Search This Blog

Friday, October 3, 2014

Langgar kenalan kerana salah faham jualan lembu


Ab Rahman Raja Mohamed
Ab Rahman Raja Mohamed
SETIU - Gara-gara berselisih faham dipercayai dalam urusan penjualan lembu, seorang lelaki berusia 40 tahun bagaikan hilang pertimbangan apabila sanggup melanggar kenalannya sehingga maut di Jalan Jelapang, Kampung Jepalang, di sini, tiga hari lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, suspek memandu Proton Gen 2, nekad melanggar mangsa berusia 44 tahun, daripada Kampung Bukit Loyat, Chalok ketika itu sedang menunggang motosikal bersama dua lagi individu dipercayai dalam perjalanan pulang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, sebelum itu, suspek dan mangsa dikatakan telah bertengkar di sebuah kedai kopi berhampiran jambatan di kampung berkenaan dipercayai akibat perselisihan faham.

“Berdasarkan laporan pengadu, sejurus mendapat tahu suspek dan mangsa sedang bertengkar dia bergegas ke kedai kopi berkenaan bersama seorang kenalan berusia 43 tahun yang berasal daripada Kampung Jelapang dengan masing-masing menunggang motosikal.

”Semasa pengadu sampai, mereka (suspek dan mangsa) masih bertengkar. Bagi mengelakkan suasana semakin tegang, pengadu telah mengajak mangsa balik, namun semasa ingin tinggalkan kedai kopi itu suspek mengugut akan melanggar mangsa,” katanya.

Katanya, pengadu bersama seorang lagi rakan dan mangsa kemudiannya menunggang motosikal bersendirian meninggakan kedai kopi berkenaan.
“Bagaimanpun, semasa dalam perjalanan suspek yang memandu kereta terus melanggar mangsa serta kenalan pengadu.

“Akibatnya, kedua-duanya terpelanting di tengah jalan. Tidak cukup dengan itu, mangsa bergerak ke depan dan membuat pusingan semula( u-turn) lalu sekali lagi melanggar mangsa serta kenalan pengadu sebelum bertindak meninggalkan tempat tersebut,” katanya.

Tambah Ab Rahman, kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Setiu oleh rakannya dengan bantuan orang kampung namun mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Seorang lagi mangsa cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Katanya lagi, polis menangkap suspek jam 8.20 malam pada hari kejadian dan merampas sebuah kereta Proton Gen 2 dan kes masih disiasat.

Polis beri amaran kepada Geng 04, Sio Sam Ong


3 Oktober 2014

GEORGETOWN - Polis memberi amaran kepada dua kumpulan kongsi gelap di Pulau Pinang agar tidak menganggu keselamatan dan ketenteraman awam dengan melakukan pelbagai kes jenayah kekerasan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya mendapati dua kumpulan kongsi gelap terbesar di negeri itu iaitu Geng 04 dan Sio Sam Ong telah bertindak menganggu keselamatan dan ketenteraman awam selepas polis mengumumkan untuk memerangi mereka pada Isnin lepas.

"Tindakan dua kumpulan kongsi gelap itu melakukan jenayah kekerasan ke atas peniaga dan orang ramai seolah-oleh mencabar pihak polis berikutan kami telah mengumumkan untuk memerangi mereka.

"Saya memberi amaran keras kepada dua kumpulan itu, jika mereka masih cuba menimbulkan suasana huru hara di negeri ini, polis tidak akan teragak-agak menahan anggota geng berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Katanya sejak Ops Cantas dilancarkan sejak 17 Ogos tahun lepas hingga semalam, polis Pulau Pinang telah memeriksa 30,112 orang dan daripada jumlah itu seramai 6,334 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk 438 anggota kongsi gelap.

"Sepanjang tempoh yang sama, polis turut merampas sebanyak 18 pucuk senjata api, 920 butir peluru dan 115 buah kenderaan termasuk kereta dan motosikal," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata anggota Polis Pulau Pinang diarahkan untuk memantau, meronda dan memeriksa premis yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) selama 24 jam sehari bagi mengelak kejadian menggodam.

Beliau berkata pihaknya akan turut memantau kehadiran warga Amerika Latin terutama di lapangan terbang.

"Setakat ini tiada laporan (kejadian menggodam ATM) di Pulau Pinang. Apa pun polis telah beri ingatan kepada semua pihak untuk buat rondaan dan pemeriksaan di tempat-tempat ATM berada.

"Kami perlu beri perhatian serius kepada perkara ini kerana kejadian godam ATM telah berlaku di beberapa negeri di Semenanjung. Kita harap kejadian itu tidak akan berlaku di negeri ini," katanya. - Bernama

Pantau murid 'hilang, keluar sebentar' dari kelas


3 Oktober 2014


KUALA LUMPUR - Pelajar yang 'hilang atau keluar sebentar' dari kelas mereka perlu ditangani secara serius bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam aktiviti yang memudaratkan.

Kejadian pelajar cedera dan maut di sekolah seperti yang berlaku baru-baru ini, sekalipun disifatkan sebagai kes terpencil, namun pihak sekolah terutama guru perlu serius memantau pelajar yang bertindak keluar dari kelas.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pihak keselamatan sekolah dan guru dilihat mudah terlepas pandang perkara tersebut sehingga pelajar terbabit dalam aktiviti bermasalah.

"Apa yang berlaku adalah kes terpencil dan ia bukan hari-hari berlaku. Malah kita tidak jangka ia akan berlaku. Sama macam di luar sekolah, walau ada peraturan jalan raya, kemalangan masih berlaku.

"Semua sekolah sepatutnya perlu memperbaiki dan menambah baik aspek keselamatan baik di dalam mahupun di luar sekolah kerana cabaran mendisiplinkan pelajar berubah dari semasa ke semasa.

"Ia juga adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul ibu bapa dan pelajar sendiri seperti ketika melintas, aktiviti di dalam dan luar waktu pembelajaran termasuk bersukan," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad mengulas mengenai dua kes kecuaian keselamatan membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga yang  maut selepas terjatuh dari siling dewan sekolahnya di Perlis pada 1 Oktober lepas.

Manakala seorang lagi pelajar didapati koma selepas terjatuh dari siling bahagian luar sebuah bilik darjah di tingkat dua salah satu blok bangunan sekolah kebangsaan di Keningau, Kota Kinabalu pada 2 Oktober.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata jawatankuasa disiplin sekolah perlu meletak satu garis panduan tertentu untuk pemantauan aspek keselamatan dan persekitaran bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata antara langkah penambahbaikan aspek keselamatan yang boleh diambil ialah guru kelas memberi keutamaan kepada bilangan pelajar sebelum memulakan sesuatu sesi pembelajaran dan mengambil tindakan lanjut jika pelajar tiada dalam kelas.

Selain itu, Mohamed Sabri berkata pengawal keselamatan dan pengawas sekolah juga perlu lebih kerap memantau persekitaran sekolah bagi mengesan pelajar yang ponteng kelas atau terbabit dalam tindakan memudaratkan. - Bernama

Dua mati dalam dua kejadian berasingan di Pattani

bendera thailand

PATTANI - THAILAND. Keadaan tenang dan aman di selatan Thailand untuk beberapa ketika selepas tersebarnya berita mengenai rancangan mengadakan rundingan damai, kini kembali bergolak.

Terbaharu seorang penolong ketua polis bahagian pencegahan merangkap ketua polis trafik daerah Nongchik, Pattani maut dalam satu letupan bom pada pukul 7.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pattani, Nongchik Pol. Col. Manit Yimyeam berkata kejadian berlaku di depan sebuah sekolah Taladnad Bankhao, mukim Tokjong, Nongchik.

Mangsa dikenali sebagai Inspektor Sanit Suktae, 43, yang terkena serpihan bom di bahagian kepada dan tubuhnya cedera parah, katanya ketika dihubungi Bernama.

Mangsa diberi rawatan kecemasan di hospital Nongchik kemudian dipindah ke hospital Pattani, bagaimanapun dengan lukanya yang teruk dia meninggal dunia di hospital Pattani, jelas beliau.

Ketika kejadian mangsa bertugas bersama dengan dua orang polis di hadapan sebuah sekolah dan bom buatan sendiri seberat 15 kg yang ditanam di tepi jalan diaktifkan menggunakan alat walkie-talkie.

Sementara itu, pada pukul 10.50 malam tadi, seorang awam ditembak mati di hadapan rumahnya di Kg Pado, Yarang, Pattani.

Polis sedang siasat kejadian tersebut. Mangsa Adul Awae, 39, ditembak dengan pistol di kepalanya. - Bernama

Bangunan Pejabat Pendidikan di Segamat hangus


Oleh Ahmad Ismail
Segamat: Satu daripada tiga bangunan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi dipercayai akibat lintar pintas, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, sebahagian besar Blok B yang menempatkan dewan, pelbagai peralatan seperti kerusi, meja dan pencetak musnah menyebabkan kerugian hampir RM150,000.


Pegawai Pendidikan Daerah Segamat Yasiran Miskon berkata, kebakaran itu memusnahkan dewan seminar Al-Farabi, pejabat Unit Peperiksaan dan pelbagai kelengkapan serta dokumen pentadbiran.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang musnah kerana ia belum dihantar ibu pejabat.


"Tindakan pantas bomba dan penyelamat berjaya memadamkan api sebelum ia memusnahkan keseluruhan bangunan atau merebak ke dua bangunan bersebelahannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Hasil jualan RM12,000 lesap


Kajang: Seorang pemilik sebuah restoran ‘berputih mata’ apabila wang hasil jualan RM12,000 dirompak dua penjenayah bersenjatakan parang di Mahkota Cheras, di sini.

Dalam kejadian jam 2.45 petang kelmarin, mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke bank berhampiran tempat kerjanya untuk memasukkan wang.


Difahamkan, mangsa berusia 33 tahun itu merancang mahu memasukkan wang itu pada petang hari sebelumnya namun membatalkan hasrat berikutan hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa mendakwa dihampiri dua lelaki menaiki motosikal memakai topi keledar berpenutup penuh.


“Seorang suspek mengacukan sebilah parang mengugut mangsa menyerahkan beg dibawa berisi wang tunai itu.


“Bimbang dicederakan, mangsa terpaksa menyerahkan beg berkenaan sebelum suspek melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, wang berkenaan adalah hasil jualan selama empat hari restoran di bawah kendaliannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Sesak 2 Km lori terbabas di Kuala Lipis


Kuantan: Sebuah treler muatan tepung hilang kawalan sebelum terbabas dan melintang di tengah jalan di Kilometer 56 Jalan Merapoh-Gua Musang dekat Kuala Lipis, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Ia menyebabkan kesesakan lalu-lintas sepanjang dua kilometer (Km) di kedua-dua arah. 
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, anggota trafik dikerahkan ke tempat kejadian kira-kira 15 minit selepas kejadian bagi mengawal lalu lintas.

Beliau berkata, laluan itu dibuka semula jam 3.30 petang tadi selepas treler itu dialihkan.
Foto
kesesakan lalu-lintas sepanjang dua kilometer (Km) di kedua-dua arah.

"Siasatan mendapati pemandunya hilang kawalan menyebabkan treler itu terbabas dan melintang di tengah jalan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Gempa bumi sederhana berlaku di Filipina


03/10/2014 6:26pm

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku kira-kira 4.05 petang tadi di Panay, Filipina.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, pusat gegaran adalah 40 kilometer ke barat laut Bandaraya Passi, Filipina dan 764 kilometer timur laut Sandakan, Sabah.
Tiada ancaman tsunami dilaporkan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz3F5cfLWYk 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi sederhana melanda Jepun


03/10/2014 6:24pm

KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku pada 8.57 pagi tadi di pantai timur Honshu, Jepun.
Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, pusat gegaran adalah 88 kilometer tenggara Hachinohe, Jepun dan 4,508 kilometer timur laut Kudat, Sabah.
Tiada ancaman tsunami dilaporkan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_25.htm#ixzz3F5cZAq7J 
Hakcipta terpelihara 

Polis temui semula senapang milik renjer yang dicuri


03/10/2014 6:15pm

MELAKA - Polis Melaka berjaya menemui semula selaras senapang jenis P.Beretta AL 391 milik seorang pegawai renjer Jabatan Perhilitan Melaka yang dipercayai dicuri pada Ogos lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, berikutan itu polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang tidak bekerja di Taman Kasturi Semabok di sini pada 6.30 petang semalam bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta milik lelaki itu polis menemui senapang tersebut, sebilah parang, dua kad pengenalan milik individu lain, tiga kad kredit dan sebuah telefon bimbit.
"Hasil semakan polis mendapati senapang tersebut dilaporkan dicuri dalam kejadian pecah kereta berhampiran Masjid Pengkalan Minyak pada 1 Ogos lepas dan lelaki itu telah mengaku melakukan jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut polis mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes samun dan pecah rumha di sekitar Melaka.
Raja Shahrom berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_24.htm#ixzz3F5cSCu5x 
Hakcipta terpelihara 

149 kematian denggi di seluruh negara sepanjang 9 bulan tahun ini

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (kiri) melihat kemudahan ketika membuat lawatan di pusat rawatan ibu dan bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. - Foto Tg Syamim Tg Ismail
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 149 kes kematian akibat demam denggi dicatat dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini di seluruh negara berbanding hanya 48 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ia adalah peningkatan yang sangat ketara di mana terdapat sebanyak 77,527 kes demam denggi berbanding hanya 23,099 kes pada tempoh sama untuk tahun lalu.
"Malah, kementerian menjangka perubahan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini akan memberi kesan terhadap peningkatan kes denggi terutama bagi tempoh dua bulan terakhir tahun ini.
"Tiada cara lain untuk mencegahnya selain meningkatkan tahap kebersihan di seluruh negara, terutama di kawasan wabak ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke pusat rawatan ibu dan bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah.
Ditanya mengenai keupayaan jus betik sebagai penawar denggi yang semakin mendapat perhatian masyarakat ketika ini, Dr Subramaniam berkata hasil kajian mendapati jus betik hanya mampu mengurangkan kesan negatif akibat demam itu sahaja.
"Setakat ini, tiada bukti saintifik yang menunjukkan jus betik mampu mematikan jumlah virus di dalam badan pesakit, cuma ia mampu meningkatkan kadar platelet di dalam darah.
"Apabila seseorang pesakit terkena demam denggi, kadar platelet darahnya akan menurun dan saya mahu kajian lanjut dijalankan terhadap jus betik ini kerana ia mampu membantu mengurangkan kesakitan," katanya.
Beliau berkata dos pengambilan jus betik yang bersesuaian perlu ditentukan untuk seseorang pesakit itu bagi memastikan ia mampu menjadi penawar alternatif yang berasaskan herba. - BERNAMA
BH

Kilang sarung tangan musnah dalam kebakaran di Kulim

KULIM: Sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Taman Perindustrian Makmur, Lunas dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Ghazali Mahmud berkata, kebakaran kira-kira 1.15 pagi itu memusnahkan hampir 90 peratus bahagian kilang termasuk bangunan pejabatnya.
Beliau berkata punca kebakaran masih disiasat.
Kilang itu beroperasi kira-kira 10 tahun lalu dan mempunyai lebih 500 pekerja. - BERNAMA

Jurukamera NBC dijangkiti Ebola di Liberia

Gambar pada 2011 ini menunjukkan Thomas Eric Duncan (kanan) dengan rakannya Wilmot Chayee pada satu majlis perkahwinan di Ghana. Duncan adalah pesakit pertama yang disahkan menghidapi Ebola di Amerika Syarikat. - Foto AP
NEW YORK: Seorang jurukamera yang membantu membuat liputan penularan wabak Ebola di Liberia untuk NBC News diuji positif bagi virus berkenaan dan akan diterbangkan balik ke Amerika Syarikat untuk rawatan.
Presiden NBC News Deborah Turness berkata semua kru NBC News termasuk wakil perubatan Dr Nancy Snyderman akan diterbangkan balik ke Amerika Syarikat dan diletakkan di bawah kuarantin selama 21 hari.
Jurukamera terbabit bekerja di Liberia selama tiga tahun dan membuat liputan wabak Ebola. Dia mula membuat rakaman untuk rangkaian stesen televisyen itu Selasa lalu.
Dia berasa letih dan sakit badan kelmarin dan demam. Semalam dia mendapatkan rawatan dan menjalani ujian.
Turness berkata tiada kakitangan NBC lain yang menunjukkan simptom atau petanda jangkitan Ebola. - AP
BH

16 orang dipercayai masih hilang di gunung berapi



KIRA-KIRA 16 orang masih lagi hilang berikutan kejadian gunung berapi meletus. - Foto EPA
TOKYO: Kira-kira 16 orang masih lagi hilang berikutan kejadian gunung berapi meletus, yang setakat ini mengakibatkan 47 orang maut.
Pegawai dari wilayah Nagano, lokasi Gunung Ontake itu, mengesahkan bahawa terdapat sejumlah 16 orang dipercayai mendaki gunung itu Sabtu lalu apabila ia meletus. - AFP
BH

Dua warga Myanmar mengakui bunuh pasangan pelancong dari Britain

Pelancong tiba di Pulau Koh Tao di Thailand, tempat di mana dua warga Britain dibunuh pada 15 September lalu. - Foto REUTERS
BANGKOK: Polis Thai berkata dua lelaki dari Myanmar mengakui membunuh sepasang pelancong dari Britain di mana mayat mereka dijumpai di sebuah pulau peranginan bulan lalu.
"Dua suspek Myanmar mengakui melakukan pembunuhan kedua-dua mereka," kata Ketua Polis Nasional Somyot Poompanmoung.
Katanya, DNA mereka didapati sepadan dengan kesan yang diperoleh di tempat kejadian di Pulau Koh Tao di mana David Miller, 24, dan Hannah Witheridge, 23, dijumpai mati pada 15 September lalu.
Somyot berkata kedua-dua mereka yang membuat pengakuan itu adalah antara tiga warga Myanmar yang ditahan sejak Khamis lalu kerana disyaki terbabit dalam jenayah berkenaan.
"Suspek ketiga berkata dia meninggalkan tempat kejadian sebelum pembunuhan itu berlaku," kata Somyot.
"Keputusan ujian DNA (daripada kedua-dua lelaki terbabit) mengesahkan DNA yang sama pada tubuh mayat mangsa (wanita)," katanya.
Tambahnya, polis sedang menanti mahkamah mengeluarkan waran bagi membolehkan kedua-dua mereka didakwa.
Sementara itu Ketua polis wilayah Kiattipong Khaosamang berkata tertuduh juga mengakui merogol Witheridge.
"Kedua-dua mereka merogol mangsa wanita terbabit," kata Kiattipong.
Beliau juga berkata kedua-dua mangsa dibunuh dengan kayu dan cangkul, yang dijumpai di tempat kejadian. - AFP
BH

AirAsia buat laporan polis sindiket guna jenama syarikat


KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan AirAsia hari ini membuat laporan polis berhubung sindiket yang memperdaya orang ramai menggunakan nama syarikat penerbangan itu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Bahagian Perundangan Kumpulan AirAsia, Amir Faezal Zakaris di IPD berkenaan jam 10 pagi tadi.
Amir Faezal berkata, laporan polis itu dibuat selepas syarikat menerima pelbagai aduan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai program loteri yang mencurigakan mengaitkan jenama syarikat itu, baru-baru ini.
bharian

Guru wanita ditemui mati di rumahnya

RANAU: Seorang guru wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di ruang tamu rumahnya berhampiran kuarters penempatan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Kundasang, di sini, pagi tadi.
Mayat Masinah Samadi, 50, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundasang, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh suaminya yang pulang dari kerja kira-kira jam 10.35 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman, berkata polis menemui kesan umpil pada bahagian pintu dapur rumah mangsa, dipercayai dilakukan oleh penjenayah yang memecah masuk kediaman itu.
"Polis percaya kejadian itu bermotifkan rompakan, namun masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan polis.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Lagi Makmal Dadah Di P Pinang Diserbu


Diterbitkan: Khamis, 2 Oktober 2014 2:45 PM

GEORGE TOWN: Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah berikutan penahanan dua lelaki dalam serbuan di sebuah apartment di Lorong Bidor, di sini, Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata polis turut merampas pelbagai dadah bernilai RM50,000 dan wang tunai RM1,150 dalam serbuan pada 12 tengah hari itu.
"Lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 44 dan 55 tahun dan hasil pemeriksaan, kami mendapati sebuah bilik di rumah itu dijadikan makmal dadah.
"Dadah-dadah yang dirampas ialah 877 gram ketamin, serbuk dadah (530 gram), heroin (18.5 gram), serbuk kafein (5,700 gram), pil erimin 5 (tiga biji) dan sejumlah bahan kimia dan kami turut merampas peralatan memproses dadah," katanya dalam sidang akhbar di sini, Khamis.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, dua lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar itu menjalankan kegiatan pemprosesan dadah di rumah berkenaan sejak tiga bulan lepas untuk diedar di sekitar Pulau Pinang.
Guan berkata kedua-dua lelaki terbabit yang mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam kes berasingan Guan berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Bayan Baru pada 26 Sept lepas, polis merampas sepucuk pistol, satu kelopak peluru dan 50 butir peluru jenis S&B.
"Kami mendapat maklumat rumah berkenaan dijadikan tempat memproses dadah, bagaimanapun dalam serbuan pada 10.10 malam itu, polis tidak menemui barang berkenaan sebaliknya menemui sepucuk pistol jenis CZ 75D, kelopak peluru dan peluru," katanya.
Beliau berkata tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan pemilik rumah berkenaan giat dijalankan.
mstar

Remaja Tanam Barang Kemas Ibu, Sebelum Menipu Dirompak


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 12:23 PM
Abdul Rashid Abdul Wahab

KAJANG: Remaja perempuan berusia 16 tahun menanam barang kemas ibunya di pekarangan pangsapuri keluarganya, sebelum mendakwa kediaman itu dirompak.

Bagaimanapun, polis mengesyaki dia menipu apabila dia mendakwa perompak juga mengambil RM20,000 daripadanya ketika berada di rumah mereka Bandar Baru Bangi dekat sini.

Remaja itu yang pernah melarikan diri dari rumah kemudiannya ditahan polis.

Ibu berusia 51 tahun yang tidak tahu mengenai perbuatan anaknya menanam barang kemasnya membuat laporan polis mendakwa dua orang merompak kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, remaja itu mendakwa dua orang memasuki rumah mereka dengan bersenjatakan pisau pada pukul 3.30 petang, Selasa.

"Dia mendakwa dua perompak itu memaksanya memberitahu dimana ibunya menyimpan barang kemas, wang tunai RM20,000 dan beberapa barang berharga.

"Kami mengesyaki sesuatu yang tidak kena terutama berkaitan wang tunai yang banyak di simpan di rumah," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Abdul Rashid berkata, polis kemudiannya menyoal siasat remaja itu dan akhirnya mendapat tahu mengenai barang kemas yang ditanam di pekarangan kediaman mereka.

Katanya, gadis yang ditahan pada Rabu itu kini ditahan reman untuk membantu siasatan kes berkenaan.
mstar

Gangguan Seksual: Gagal Kawal Nafsu, Persekitaran Jadi Punca


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 11:30 AM

PETALING JAYA: Gagal mengawal nafsu menyebabkan ada di kalangan majikan atau rakan sekerja yang terbabit kes gangguan seksual di tempat kerja.

Pegawai Pemulihan Kesihatan Mental, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Nurhijjah Zain berkata, kes seumpama ini turut dipengaruhi faktor sekeliling.

"Persekitaran juga memainkan peranan penting. Kadang-kadang mangsa sendiri yang menyebabkan kes gangguan ini berlaku seperti berpakaian yang seksi, tingkah lalu atau percakapan yang berbaur 'double meaning'.

"Selain itu, kebebasan internet yang menyediakan bahan lucah turut menyumbang kepada gangguan ini," katanya kepada mStar Online.

Nurhijjah berkata, lebih malang apabila ada majikan atau rakan sekerja yang tidak tahu di mana untuk melepaskan nafsu tanpa berfikir panjang menjadikan rakan sekerja mangsa.

"Jika kelakuan ini tidak dibendung, pelaku boleh menjadi lebih obses untuk melakukan perbuatan yang lebih teruk," jelasnya.

Berdasarkan pengendalian kes gangguan seksual, sikap mudah percaya pada pujian dan janji manis antara faktor utama berlakunya kes rogol dan cabul di tempat kerja yang membabitkan majikan dan rakan sekerja.

Perlakuan yang disifatkan gangguan seksual ini boleh berlaku sama ada secara lisan dan bukan lisan, visual atau fizikal.

Selain itu, statistik kes gangguan seksual yang dikeluarkan Bukit Aman merangkumi cabul dan rogol bagi 2012 dan tahun lalu keseluruhannya mencatatkan 75 kes membabitkan majikan, manakala kes melibatkan rakan sekerja pula sekali ganda iaitu 156 kes.

Daripada jumlah itu, kes rogol membabitkan majikan sebanyak 27, manakala 48 kes untuk cabul dicatatkan, manakala kes gangguan seksual melibatkan rakan sekerja pula menunjukkan 42 kes rogol dicatatkan, manakala cabul sebanyak 114 kes.
mstar

Selisih Faham Jualan Lembu, Seorang Maut, Seorang Lagi Parah Dirempuh


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 3:15 PM
Gambar hiasan.

SETIU: Gara-gara perselisihan faham berhubung penjualan lembu, seorang lelaki maut manakala rakannya parah dilanggar seorang lelaki yang dikenali mereka dalam kejadian di Kampung Jelapang, Permaisuri di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamad berkata kejadian kira-kira pukul 6 petang itu menyebabkan mangsa Rohadi Yaacob, 44, maut manakala Zakaria Taib, 43, parah selepas dirempuh kereta Proton Gen 2.

Katanya ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang menunggang motosikal secara berasingan pulang ke rumah selepas bertengkar bersama suspek di sebuah kedai kopi di kampung berkenaan.

"Ketika ketiga-tiga rakan tersebut dalam perjalanan meninggalkan kedai berkenaan, suspek yang berusia 40 tahun itu bertindak mengejar dan melanggar dua mangsa itu dengan keretanya.
"Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dan suspek telah bertengkar sebelum seorang rakan mangsa mengajaknya pulang dan ketika mereka meninggalkan kedai kopi tersebut, suspek telah berkata kepada Rohadi 'aku langgar kamu'," kata Ab Rahman.
Susulan rempuhan tesebut, kedua-dua mangsa terpelanting ke tengah jalan dan suspek terus bergerak ke depan dengan membuat pusingan U sebelum sekali lagi merempuh kedua-dua sahabat berkenaan dan terus melarikan diri.

Ab Rahman berkata seorang lagi rakan mangsa yang menyaksikan insiden itu, dengan bantuan orang kampung bergegas membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Setiu.

Bagaimanapun Rohadi yang berasal dari Kampung Bukit Loyat, Setiu maut ketika dalam perjalanan ke hospital manakala Zakaria yang berasal dari Kampung Jelapang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Ab Rahman berkata suspek yang bekerja sendiri itu diberkas 8.20 malam pada hari kejadian dan turut merampas kenderaan yang digunakan melanggar mangsa.

Suspek yang berasal dari Kampung Jelapang itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
mstar

Penduduk terputus hubungan

Pokok tumbang menyebabkan penduduk terputus laluan akses keluar masuk petang semalam.
Pokok tumbang menyebabkan penduduk terputus laluan akses keluar masuk petang semalam.
BALAKONG - Penghuni lebih 70 unit rumah di Taman Putra Budiman di sini terputus hubungan dengan kawasan luar apabila sebatang pokok bersaiz dua pemeluk tumbang menyembah bumi di laluan masuk ke perumahan itu, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, beberapa tiang elektrik turut tumbang menyebabkan enam unit rumah menghadapi gangguan elektrik.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, hujan lebat hampir sejam turut menyebabkan pokok yang tumbang tersangkut di tiang lampu lampu jalan.

“Penduduk terjejas teruk kerana lokasi adalah satu-satunya akses keluar masuk ke kawasan perumahan itu,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah dihubungi untuk membersihkan tapak manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) membaik pulih kemudahan tiang elektrik dan lampu jalan yang rosak akibat kejadian itu.

Warga emas orang Asli maut terbakar


3 Oktober 2014


KUANTAN - Seorang lelaki Orang Asli maut dalam kebakaran di rumah pondok Orang Asli di Kampung Buluh Nipis, Bukit Ibam dekat Muadzam Shah, Rompin malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, Anuar Hassan, lelaki itu adalah, Kong a/l Tongkak, berusia 75 tahun.

"Pihak kami menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 11.55 malam tadi sebelum lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba Muadzam Shah pergi ke lokasi kejadian.

"Mangsa ditemui mati oleh anggota Bomba semasa operasi memadamkan api dijalankan di dalam rumah itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan punca kejadian sedang disiasat, katanya. - Bernama

Muhammad Hakimi bukan dibuli


Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
KANGAR - Polis meminta orang ramai menghentikan spekulasi mengaitkan kematian pelajar Tingkatan 3 yang jatuh dari siling dewan sekolah kerana dibuli rakan-rakannya.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, laporan mengenai kejadian mangsa Muhammad Hakimi Zukefli, 15, jatuh dalam keadaan tertiarap bersama kotak pensel miliknya adalah tidak benar.

“Apabila polis sampai, tidak ada kotak pensel di tempat kejadian. Bagaimana pula ia boleh dikaitkan dengan kes buli sedangkan rakaman percakapan guru-guru dan rakan-rakannya juga mendapati tiada unsur buli berlaku.

“Tak mungkin ada orang sanggup panjat dan meniti siling bumbung itu semata-mata untuk menyembunyikan kotak pensel, malah kalau ia dilambung pun tak akan sampai kerana ketinggiannya hampir 40 kaki (12 meter),” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut jatuh dari siling dewan sekolah]

Jelas Abdul Rahman, dakwaan mengatakan mangsa cuba mengambil bola takraw juga tidak berasas kerana bola takraw dipercayai hanya melantun di atas atap anjung di hadapan dewan.

“Dia dan rakan-rakan bermain sepak takraw sebelum waktu rehat pada 10.30 pagi, ada dua biji bola melantun ke anjung tersebut tetapi guru tidak benarkan pelajar bermain naik mengambil bola itu.
“Selepas dua kali bola takraw melantun ke anjung, mereka bersurai tetapi Muhammad Hakimi tidak bersama rakannya yang lain sebelum ditemui maut di dalam dewan itu pada jam 11.15 pagi,” katanya.
Siasatan awal mendapati mangsa menaiki tangga di bahagian pintu belakang berhampiran pentas tidak dikunci, namun polis masih menyiasat bagaimana mangsa meniti siling ke lokasi dia jatuh.
Sementara itu, Ketua Unit Pembangunan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Yusuff Man yang melawat tempat kejadian, berkata JPN bersedia memberi kerjasama kepada polis untuk menyiasat.

Kelmarin, Muhammad Hakimi ditemui maut di dalam Dewan Sekolah Kebangsaan Syed Alwi di sini.

Dua projek punca banjir

Mhd Amin Nordin Abd Aziz
Mhd Amin Nordin Abd Aziz
KUALA LUMPUR - Denda berjumlah RM100,000 dikenakan kepada dua pihak bertanggungjawab terhadap dua projek pembinaan yang menyebabkan berlaku banjir kilat di ibu negara kelmarin.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memberikan notis amaran berkuat kuasa tujuh hari agar pihak terbabit melaksanakan tindakan sewajarnya di tapak binaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, dan jika gagal, arahan henti kerja akan dikeluarkan.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, tindakan dikenakan terhadap konsultan Projek Warisan Merdeka di Jalan Sultan iaitu Perunding Arup berikutan kegagalan menyelenggara sistem perangkap kelodak.

Menurutnya, ia menyebabkan berlaku banjir lumpur di Jalan Hang Jebat, dan melimpah ke Jalan Sultan.

“Denda RM50,000 dikenakan terhadap perunding berkenaan kerana gagal mengawasi tapak,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi projek di Dutamas melibatkan kontraktor Eaewoo yang turut dikenakan denda RM50,000 kerana gagal menyelenggara sistem saliran menyebabkan berlaku banjir di Jalan Dutamas 2, petang kelmarin.

Kedua-dua tindakan dikenakan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Dalam pada itu, insiden kenderaan di tempat letak kereta Jalan Kia Peng yang ditenggelami air, kelmarin dikenal pasti berikutan keadaan muka bumi kawasan yang rendah.

Taburan hujan yang tinggi juga menjadi punca saluran longkang tidak mampu menampung aliran air menyebabkan berlaku takungan di kawasan tersebut.

Semalam Sinar Harian melaporkan kejadian hujan lebat selama dua jam mengakibatkan banjir kilat di ibu negara yang mengakibatkan beberapa kawasan ‘lumpuh’.

Sungai Pueh sudah 10 tahun tercemar


Keadaan air di Sungai Kuala Pueh yang dapat dilihat dari atas jambatan Kampung Kuala Pueh.
Keadaan air di Sungai Kuala Pueh yang dapat dilihat dari atas jambatan Kampung Kuala Pueh.
HULU TERENGGANU - Penduduk kecewa apabila isu pencemaran Sungai Pueh, di sini yang berlarutan sejak 10 tahun lalu tiada penyelesaian biarpun pelbagai aduan dibuat kepada banyak pihak.

Pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa minyak dari sebuah kilang itu dipandang sepi oleh pihak pengurusan kilang terbabit biarpun ada dalam kalangan penduduk telah tampil memaklumkan kepada mereka selain turut didedahkan dalam pelbagai media massa sebelum ini termasuk Sinar Harian.

Biarpun penduduk ibarat menanti buah yang tidak gugur untuk melihat semua ini berakhir, namun mereka tetap menaruh harapan agar masalah pencemaran itu segera berakhir sekali gus mengembalikan semula suasana kemeriahan penduduk beriadah di sungai.

Seorang penduduk, Tengku Mustaffa Tengku Ngah, 59, berkata, aktiviti riadah seperti memancing dan mandi-manda yang dahulunya menjadi rutin harian sebahagian penduduk kini lenyap berikutan air sungai telah bertukar menjadi hitam serta berminyak.

“Masalah ini telah lama berlanjutan, belakangan ini pula ia dilihat semakin serius apatah lagi dalam tempoh kurang daripada dua bulan ratusan ikan terapung mati dipercayai akibat pencemaran. Tidak pasti sampai bila semua ini akan terus terjadi.

“Kalau dulu, Sungai Kuala Pueh ini dikatakan lubuk bagi kaki pancing kerana adanya pelbagai spesies ikan seperti lampan; seluang; perah termasuk udang galah, tetapi kini semuanya sekadar tinggal kenangan.

"Bukan setakat ikan, biawak pun tak boleh hidup dalam sungai tercemar begini,” katanya.

Kata Tengku Mustaffa, pencemaran ini amat merugikan generasi akan datang kerana sungai adalah khazanah berharga.

“Saya amat berharap agar masalah ini dapat berakhir juga,” katanya.


Mohon tindakan segera

Seorang lagi penduduk, Tengku Zahri Tengku Awang, 52, berkata, dia berharap agar pihak berkaitan dapat mengambil langkah segera bagi memulihkan sungai tersebut.

“Pembuangan sisa minyak ke sungai ini telah banyak pupuskan hidupan selain menyebabkan penduduk tidak lagi boleh memancing dan mandi-manda. Jika dahulu kesan air hitam dan berminyak sering dilihat ketika hujung minggu, tetapi kini tidak menentu.

“Saya difahamkan, apabila tempat takungan di kilang itu penuh, sisa tersebut akan dilepaskan dan mahu atau tidak sungailah menjadi sasaran. Kesannya, sungai dicemari dengan minyak hingga menyebabkan air bertukar hitam,” katanya.


JAS telah buat siasatan

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Roshadah Hashim ketika diminta mengulas permasalahan tersebut berkata, pihaknya sudah sedia maklum dan berdasarkan aduan telahpun ke lokasi membuat siasatan bersama Jabatan Perikanan negeri.

“Pihak kami memerlukan bukti secukupnya sebelum satu-satu tindakan diambil dan tidak boleh membuat sebarang tohmahan melulu kepada mana-mana pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran.

“Berdasarkan aduan yang mengatakan banyak ikan mati di sungai berkenaan, JAS juga telahpun ke lokasi bersama Jabatan Perikanan yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Katanya, penduduk yang mengetahui aktiviti boleh menyebabkan pencemaran diminta menghubungi JAS dengan segera berikutan penyaluran maklumat awal membolehkan pihaknya ke lokasi untuk mendapatkan bukti.

Beliau berkata, sebagai contoh sekiranya berlaku tumpahan minyak dan pihaknya dimaklumkan dengan segera maka JAS dapat mengumpul bukti yang kukuh untuk sebarang tindakan susulan.

Polis tingkatkan kawalan keselamatan mesin ATM

ATM godam
3 Oktober 2014
IPOH - Polis kini meningkatkan pemantauan dan rondaan di premis yang menyediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) ekoran beberapa insiden penggodaman mesin berkenaan yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bagaimanapun setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian penggodaman ATM di negeri ini.

"Kita akan memantau lokasi yang berpotensi dijadikan sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab, perkembangan insiden diberi perhatian serius memandangkan kejadian ini telah berlaku di negeri lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Tanjung Malim yang baharu iaitu Superintendan Ahmat Mat Isa, menggantikan Timbalan KPD Deputi Superintendan R Supramaniam yang sebelum ini memangku jawatan tersebut, di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini.

Baru-baru ini, kes penggodaman mesin ATM melibatkan empat buah bank di Kuala Lumpur, Melaka, Johor Baharu dan Selangor dengan anggaran kerugian lebih RM3 juta dipercayai digodam sindiket dari Amerika Latin.

cryl Sani berkata, polis juga mengadakan perbincangan dengan pihak bank bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan keselamatan mesin ATM.

Terdahulu, beliau menyampaikan penghargaan kepada R Kamalavalli, 50, dan Nor Anida Ahmad Nawawi, 41 yang masing-masing merupakan balu anggota polis yang meninggal dunia semasa perkhidmatan iaitu Deputi Superintendan M Shamugam, 57, dan Deputi Superintendan Mior Fahim Ahmad, 40.

Turut menerima penghargaan ialah Afidah Ehsan, 53, ibu kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian Koperal Mohd Azuan Abdullah.

Shamugam meninggal dunia akibat serangan jantung manakala Mior Fahim pula ditemui lemas di kawasan air terjun Sungai Tungku, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun semasa menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan Kemahiran Memandu Off Road.

Mohd Azuan maut apabila motosikalnya dirempuh kereta penjenayah ketika mengejar suspek kes samun di Bagan Serai pada 26 Mei lepas. - Bernama

'Saya percayakan dia...'

Zaris menunjukkan punggung anaknya yang melecur teruk kepada Sazali.
Zaris menunjukkan punggung anaknya yang melecur teruk kepada Sazali.
BANDARAYA MELAKA - “Saya tidak pernah menaruh sebarang  perasaan syak kepada dia serta percaya dia boleh menjaga anak saya dengan baik.”

Bagaimanapun, kejadian di mana anak perempuannya yang berusia 10 bulan melecur teruk pada bahagian punggung kini  membuatkan Zaris Othman. 28, serik hendak menghantar anak kecil itu ke pengasuh.

Mengimbas kembali kejadian berkenaan, Zaris berkata, kejadian yang menimpa Nurawliya Medina Mohd Aswad hanya disedari bapa mertuanya apabila kanak-kanak berkenaan asyik meraung apabila didukung datuknya, lebih-lebih lagi ketika tangan datuknya tersentuh bahagian punggungnya.

Menurutnya, ekoran penemuan itu, dia dan suami membawa anak berkenaan ke Hospital Melaka, di mana doktor yang memeriksa bayi berkenaan menasihatkan mereka membuat laporan polis.

“Saya dan suami tergamam apabila dimaklumkan doktor terdapat kecederaan melecur teruk pada punggung anak saya.

“Saya tidak menyangka kerana selama ini saya percaya dia boleh menjaga anak saya, lebih-lebih lagi kerana kami tinggal berjiran,” katanya ketika menerima kunjungan Adun Paya Rumput, Sazali Muhd Din, di kediamannya di Taman Bertam Hulu di sini semalam.

Dalam lawatan berkenaan, yang turut disertai Ketua Wanita Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Noradibah Abdullah serta Pegawai Khas Ketua Menteri, Mohd Nizam Dawood, Sazali turut menyampaikan sumbangan dan bantuan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, kepada keluarga berkenaan.

Susulan laporan polis yang dibuat, seorang wanita ditahan polis untuk membantu siasatan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan.

Sementara itu, Sazali menggesa supaya polis menyiasat secara menyeluruh ke atas kejadian berkenaan supaya tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menurutnya, polis juga diharap dapat memaklumkan hasil siasatan kepada keluarga terbabit memandangkan mereka kini dalam trauma akibat kejadian berkenaan.