Lima suspek yang ditangkap direman tiga hari di Mahkamah Temerloh.
Lima suspek yang ditangkap direman tiga hari di Mahkamah Temerloh.
KUANTAN - Seorang anggota polis dipercayai bekas Ketua Balai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bersama empat lelaki ditahan  kerana disyaki mencuri barang kes yang diletakkan di luar stor barang kes IPD itu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zakaria Ahmad, berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 59 tahun itu dikesan memunggah dan memasukkan barang-barang kes yang hendak dilupuskan itu ke dalam sebuah lori jenis Isuzu kira-kira jam 8.10 malam.

Menurutnya, suspek didapati memunggah barang-barang kes yang hendak dilupuskan itu tanpa kebenaran.

“Susulan itu, polis menahan lori terbabit bersama-sama lima suspek kira-kira jam 8.30 malam di hadapan pintu pagar IPD Bera ketika cuba membawa keluar barangan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu, polis menemui dan merampas kembali barang-barang kes yang cuba dicuri termasuk 63 unit monitor komputer  dan  310 Unit Pemprosesan Pusat (CPU) pelbagai jenama.
“Kita juga turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Camry dipercayai digunakan suspek,” katanya.

Zakaria berkata, kesemua barang tersebut merupakan barang kes yang dirampas berhubung kes perjudian komputer yang dalam proses untuk dilupuskan.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, ada diantara suspek yang ditahan positif dadah dan kes tersebut dikendalikan Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Bera, Inspektor Mohd Shazril Sahap.