 |
Ali menunjukkan tempat kejadian Mohamad Aidil dilanggar di hadapan halaman rumahnya di Jalan Parit 14 Simpang Lima. Gambar kecil: Arwah Mohamad Aidil. |
SIMPANG LIMA – “Luluh hati bila mengenangkan anak yang saya kasihi pergi buat selamanya, apatah lagi dia pergi sehari sebelum hari jadinya,” kata seorang ibu, Haliza Ali, 40, apabila anaknya, Mohamad Aidil Ibrahim, 4, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal, petang Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa yang sedang bermain bersama sepupunya di halaman rumah datuk mereka di Parit 14 Simpang Lima dipercayai melintas jalan bersendirian.
Bagaimanapun, sebuah motosikal dari Parit 15 dipercayai ingin ke kebun gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh kanak-kanak terbabit.
Mohamad Aidil kemudiannya tercampak kira-kira dua meter daripada tempat kejadian hingga terperosok ke tepi parit berhampiran.
Azizah berkata, dia berhasrat menyambut hari jadi bersama anaknya itu memandangkan mereka dilahirkan pada bulan yang sama.
“Saya memang cadang nak sambut hari jadi anak, tapi malangnya majlis hari jadi yang nak disambut dalam beberapa hari lagi bertukar jadi kenduri arwah,” katanya.
Azizah memberitahu, anaknya yang dilahirkan pada 13 September 2010 itu berhasrat ingin menikmati kek transformers berwarna kuning, namun dia berasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan arwah.
“Saya bagi tahu arwah, nanti sambut hari jadi sama-sama dengan saya sebab nanti kita boleh buat hari jadi kat Damansara dan jemput kawan datang ke rumah untuk makan kek, tapi semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya sebak.
Ketika kejadian malang menimpa Mohamad Aidil, Azizah tiada bersama kerana pergi mencari ubi kayu di Ban Kanal untuk dibawa pulang ke Damansara.
“Abah dan adik cari saya kat sana (Ban Kanal) dan beritahu anak kena langgar, mulanya saya ingatkan adik yang kena langgar tapi bila sampai di rumah saya terkejut rupanya anak saya yang kena langgar,” katanya.
Katanya, dia dan seorang adiknya lagi terus bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, namun setelah menunggu kira-kira lebih sejam di hospital itu kami dimaklumkan Mohamad Aidil telah meninggal dunia.
“Seluruh jantung saya bagaikan direntap apabila diberitahu Mohamad Aidil dah meninggal. Rasa tak tertanggung dugaan yang menimpa saya apatah lagi dia memang rapat dengan saya di rumah terutama kalau adik-beradik lain ke sekolah,” katanya.
Katanya, walaupun reda dengan pemergian Mohamad Aidil, namun jauh di sudut hatinya tetap sedih dengan pemergian anaknya itu dalam keadaan penuh menyayat hati.
Menurut Azizah, anak kelima daripada enam beradik itu adalah kehilangan kali kedua buatnya kerana sebelum itu anak keduanya yang dilahirkan tidak cukup bulan meninggal dunia selepas 10 hari melihat dunia.
Mangsa belek surah YasinBapa mangsa, Ibrahim Mustaffa, 43, berkata, dia tidak menyangka permintaan Mohamad Aidil untuk mengambil Yasin di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan dari Damansara menuju ke kampung petanda anaknya akan pergi menghadap Ilahi.
“Waktu dalam kereta dia minta saya ambilkan surah Yasin dan bila saya bagi kat dia, saya tengok arwah belek beberapa helai muka surat dan menyerahkannya semula kepada saya untuk disimpan,” katanya.
Katanya, sehingga kini, dia masih tidak dapat melupakan saat sebelum kematian Mohamad Aidil yang datang ke arahnya dan baring bersamanya di buaian gantung di halaman rumah sebaik dia pulang dari kebun.
“Masa tu lepas Zohor, arwah datang hampiri saya dan dia sempat baring di buaian dan kami berbual-bual. Dia minta saya belikannya makanan segera, tapi saya beritahu nanti sebelum balik ke Damansara kita singgah beli kat Petronas,” katanya.
Menurut Ibrahim, ketika kejadian itu dia berada di dalam rumah dan sedang bersiap-siap untuk mandi kerana ingin pulang ke Damansara, tetapi dikejutkan dengan jeritan bapa mertuanya, Ali Tanda, 61, ketika itu.
“Saya ada dengar bunyi letupan seakan-akan kedengaran bunyi motosikal langgar tin kosong, sebaik jenguk ke luar ayah dah jerit dia kata cucunya dah kena langgar. Saya pun lari dan terkejut tengok anak saya dah masuk tepi parit,” katanya.
Datuk lihat cucu dilanggarAli berkata, ketika kejadian dia baharu pulang dari sawah dan ketika di halaman rumah, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan dan sebaik menoleh ke belakang dia terkejut apabila melihat Mohamad Aidil telah dilanggar sebuah motosikal.
“Saya terus dapatkannya dan angkat dia ke darat, semantara bapanya pula terus mendakapnya lalu terus membawanya ke hospital, namun sejam selepas itu cucu saya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurut Ali, jenazah cucunya itu di bawa ke rumahnya kira-kira jam 10 malam hari yang sama dan dikebumikan keesokan paginya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Haji Dorani.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Asisten Superintendan, Che Noor Azman Chilon berkata, kejadian itu melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Katanya, penunggang motosikal berusia 27 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Parit 15 menghala ke kebunnya di Ban Kanal.
Namun, ketika melalui jalan itu, seorang kanak-kanak tiba-tiba melintas hingga menyebabkan penunggang motosikal gagal mengawal kenderaannya.
“Motosikal tak sempat nak elak lalu dia langgar kanak-kanak tersebut dan dia disahkan meninggal dunia di HTAJ Sabak Bernam kira-kira jam 6.40 petang.
“Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan organ dalaman yang serius,” katanya.
Che Noor Azman, siasatan kes kemalangan melibatkan kematian kanak-kanak tersebut dikendalikan Inspektor Norizan Ramli. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.