Search This Blog

Tuesday, September 30, 2014

Ibu Dakwa Tidak Sengaja Pukul Anak Hingga Mati


Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 7:50 AM
Seorang suspek membantu polis menunjukkan tempat di mana mayat kanak-kanak berusia lima tahun dibuang dalam kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Tongkang, Permatang Desa di Bukit Mertajam, Isnin. -fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai dibunuh ditemui dalam kawasan semak berhampiran ladang sawit di Kampung Tongkang, Permatang Tinggi di sini, Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata mayat kanak-kanak itu ditemui selepas pemeriksaan oleh sepasukan polis di kawasan berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari Isnin.

"Polis menerima laporan daripada ibu kanak-kanak itu pada Sabtu lepas mendakwa anaknya hilang ketika mereka bersiar-siar di Padang Kota, George Town pada pukul 2.30 petang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata polis yang menjalankan siasatan mendapati keterangan yang diberi wanita berusia 30 tahun itu bercanggah dan mencurigakan menyebabkan wanita itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Susulan penahanan itu, polis turut menahan teman lelaki wanita berkenaan di Klang, Selangor bagi membantu siasatan," katanya, dan menambah, lelaki berusia 24 tahun itu tidak bekerja.

Mazlan berkata hasil soal siasat yang dijalankan mendapati wanita yang tidak bekerja itu mengaku memukul anaknya hingga mati di rumah mereka di Kulim, Kedah.

"Wanita itu mendakwa anaknya telah mati kira-kira pukul 4.30 petang pada 20 September iaitu tiga hari sebelum dia membuat laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.

"Berikutan panik dan enggan kejadian itu diketahui, wanita terbabit dan teman lelakinya bertindak membuang mayat kanak-kanak berkenaan di kawasan semak di Kampung Tongkang," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui mayat itu lengkap berpakaian dan dibungkus dengan selimut serta terdapat beberapa kesan gigitan pada badan kanak-kanak itu.

Polis juga sedang mengesan bapa kanak-kanak berkenaan dan difahamkan lelaki itu dalam proses bercerai dengan wanita yang ditahan, katanya.

Penganggur miliki dadah dipenjara 16 bulan


Hamdan dijatuhi hukuman 16 bulan penjara selepas mengaku salah atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis berbahaya di Mahkamah Sesyen, semalam.
Hamdan dijatuhi hukuman 16 bulan penjara selepas mengaku salah atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis berbahaya di Mahkamah Sesyen, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 16 bulan selepas mengaku salah atas dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, Hamdan Ali, 31, dari Kampung Durian Burung, di sini, mengaku salah memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 0.03 gram.

Dia turut mengaku salah bagi pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah berbahaya jenis heroin di sebuah rumah di Kampung Durian Burung, Jalan Kelantan, di sini, 28 Julai 2013, lebih kurang jam 5.30 pagi.

Dengan itu, Hamdan mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan salah itu, Hakim, Azhar Othman menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan bagi pertuduhan pertama dan dua bulan penjara untuk pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, Azhar memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Nazlyza Mohamad Nazri.

Menangis lihat ribut depan mata


Noraini (tiga, kiri) bersama wakil penduduk melihat kerosakan di dewan orang ramai.
Noraini (tiga, kiri) bersama wakil penduduk
melihat kerosakan di dewan orang ramai.
KUALA SELANGOR – “Makcik terkejut dengar angin kuat dengan petir lepas makcik solat Asar..nak sambung rewang masak tak jadi bila terkejut tengok khemah tumbang,” demikian kata seorang warga emas, Zainah Merak, 66, kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sebelum kejadian ribut melanda Taman Bukit Badong itu kira-kira jam 5 petang itu, Zainah bersama jirannya rewang masak untuk kenduri tahlil jiran berhampiran rumahnya sebelum dikejutkan bunyi angin kuat dan hujan lebat.

Menurutnya, dia dan jirannya kaku dan hanya mampu menangis sambil masing-masing berdoa keselamatan diri apabila melihat musibah ribut depan mata.

“Masa itu makcik dekat tepi rumah berhampiran pokok sebab tempat rewang di luar rumah, bila tengok pokok bergoyang, masa itu makcik hanya mampu berdoa supaya pokok itu tak tumbang.

“Masa itu juga, dua khemah tumbang sebab angin kuat sangat, semua perempuan dan jiran minta anak lelaki dia yang kebetulan ada dekat situ supaya laungkan azan dan tak lama selepas itu ribut pun reda.

“Hati makcik tak sedap bila jiran-jiran pakat balik nak tengok rumah sebab ada bumbung rumah mereka diterbangkan angin. Makcik minta izin nak balik sebab nak tengok rumah, lagipun rumah masa itu kosong tak ada orang,” katanya.


Ruang tamu habis basah

Zainah berkata, dia terkejut apabila ruang tamunya dilimpahi air hujan selepas bumbung di bahagian tengah diterbangkan angin.

“Makcik sebak bila tengok ruang tamu dan dapur rumah dah penuh air paras buku lali makcik. Habis kusyen, tilam dan baju basah kena hujan.

“Memang makcik tidur dalam basah malam tadi sebab dinding menitis air sebab bumbung rumah bersambung rumah jiran dan bila bumbung rumah sebelah rosak, rumah makcik pun kena.

“Makcik rasa ini kejadian ketiga sebab sebelum ini pernah terjadi dan masa itu Cikgu Parthiban jadi Adun Ijok, sekarang ini Adun Ijok yang baru ada datang melawat,” katanya.


Bantuan logistik, pembersihan

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan yang berkunjung bersama Adun Ijok, Dr Idris Ahmad ke Taman Bukit badong turut bersimpati dengan musibah yang menimpa penduduk.

“MDKS bantu dari segi pembersihan pokok yang tumbang selepas ribut dan mengenal pasti beberapa pokok yang reput untuk dibersihkan.

“Selain itu bantuan dari segi logistik diberikan dan mengenal pasti beberapa kemudahan dewan yang di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Musibah ribut yang melanda Dun Ijok menjejaskan hampir 30 rumah di kawasan taman perumahan, lapan rumah di kampung tradisi dan dua lagi rumah penduduk India.

Sinar Harian difahamkan, bangunan Tabika Kemas Bukit Badong turut terjejas teruk apabila mengalami kerosakan barangan elektrik, manakala bumbung dewan, kantin sekolah dan perpustakaan sedia ada juga rosak.

22 warga asing ditahan

Antara warga asing yang ditahan dalam Ops D7 IPD Dang Wangi, kelmarin.
Antara warga asing yang ditahan dalam Ops D7 IPD Dang Wangi, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Seramai 22 warga asing yang bekerja di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, ditahan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kelmarin.

Serbuan ke atas premis berkenaan pada jam 11.00 malam itu, diketuai Asisten Superintendan Nasir Ismail.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 20 warga Vietnam, seorang Kemboja dan seorang warga China.

“Kesemua yang ditahan atas kesalahan bekerja tanpa permit yang sah,” katanya.

Turut ditahan, seorang warga tempatan dipercayai pengurus premis terbabit atas kesalahan menggaji pekerja tanpa permit.

Semua yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

56 ketulan ganja dirampas

Mohd Sabri (dua, kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dalam serbuan Ops Cantas dekat Taman Sutera Sungai Petani.
Mohd Sabri (dua, kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dalam serbuan Ops Cantas dekat Taman Sutera Sungai Petani.
SUNGAI PETANI - Sebanyak 56 ketulan mampat daun kering disyaki ganja  seberat 54 kilogram bernilai RM86,400 dirampas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, 24 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Petani, Superintendan Mohd Sabri Muhammad@Ahmad berkata, ketulan mampat itu ditemui dalam sebuah rumah di Taman Sutera di sini, dalam serbuan Ops Cantas dilakukan pada jam 8.40 malam.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 33 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan.
“Sebanyak 24 ketulan mampat daun kering itu dibalut dengan plastik lut sinar ditemui dalam satu plastik hitam besar.

“Manakala satu plastik hitam lagi mengandungi 21 ketulan mampat dibalut plastik lut sinar dan 11 ketulan mampat dibalut aluminium warna putih,” katanya.

Mohd Sabri berkata, ketulan mampat ganja itu ditemui atas lantai di ruang tamu di rumah yang dipercayai disewa untuk menjalankan kegiatan terbabit.

Beliau berkata, polis turut merampas dua kereta yang dianggarkan bernilai RM25,000.

Rampasan dibuat di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 Akta 340.

Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis  giat mencari saki-baki individu yang terlibat dalam kegiatan terbabit.

"Dipercayai dadah terbabit diedarkan suspek untuk pasaran sekitar utara Semenanjung Malaysia," katanya.

Tukang kebun sekolah terbunuh kemalangan


30 September 2014

 
BESUT - Seorang tukang kebun sekolah maut digilis sebuah kereta di Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Anak Ikan di sini malam tadi selepas terjatuh daripada motosikalnya yang berlanggar dengan sebuah motosikal lain.
    
Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah memberitahu mangsa yang dikenali sebagai Mohd Asmidi Abdul Razak, 28, tahun berasal dari Kampung Alur Serdang, Bandar Permaisuri, Setiu itu meninggal dunia di tempat kejadian.
    
Katanya kejadian kira-kira pukul 8.40 malam berhampiran simpang Kampung Perupok, Kampung Anak Ikan, mangsa menunggang berseorangan selepas mengisi minyak motosikal untuk pulang ke rumahnya.
    
“Apabila sampai di tempat kejadian sebuah motosikal lain yang ditunggangi Maizatulakman Mustaffa, 31, keluar dari simpang Kampung Perupok menghala ke Jerteh apabila secara tiba-tiba motosikalnya dilanggar motosikal mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Khaled memberitahu akibat perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal terjatuh di atas jalanraya.

Katanya pada ketika itu beberapa buah kereta yang mengekor di belakang Mohd Asmidi tidak sempat untuk mengelakkan pelanggaran itu lalu telah menggilis mangsa hingga menyebabkan beliau mengalami cedera parah di bahagian kepala.
    
Menurutnya mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala Maizatulakman pula patah kaki kanannya.
    
Khaled berkata kenderaan yang menggilis mangsa bagaimanapun telah melarikan diri dan tidak dapat dikesan.
    
Mayat Mohd Asmidi kemudiannya telah di hantar ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat kira-kira jam 9.00 malam. - Bernama

Senarai ATM digodam di empat negeri


ATM godamKUALA LUMPUR - Berikut senarai 17 kes Mesin Teler Automatik (ATM) yang digodam dipercayai sindiket Amerika Latin melibatkan bank di cawangan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor Baharu pada minggu lepas, yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun setakat ini tiada pemilik akaun bank melaporkan kehilangan wang mereka.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur:   

ATM di Jalan Imbi; 28 Sept; Kerugian RM92,900   

Di Selangor:
    ATM di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya; 27 Sept; Kerugian RM303,000
    ATM di Seksyen 14, Petaling Jaya; 29 Sept; Kerugian RM395,850
    ATM di Dataran Sunway, Petaling Jaya; 29 Sept; Kerugian RM221,160
    ATM di USJ Subang Jaya; 27 Sept; Kerugian RM265,600
    ATM di Kota Damansara; 29 Sept; Kerugian RM285,700
    ATM di Kelana Jaya; 29 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Klang; 29 Sept; Kerugian RM150,000
    ATM di Puchong; 29 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Shah Alam; 29 Sept; Kerugian RM116,000
    ATM di Kajang; 29 Sept; Kerugian belum diketahui
 
Di Johor Baharu:

    ATM di Johor Baharu; 27 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Taman Molek; 27 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Batu Pahat; 27 Sept; RM265,000
    ATM di Kluang; 29 Sept; RM288,200
 
Melaka:

    ATM di Melaka Raya; 27 Sept; Kerugian belum diketahui
    ATM di Bandar Hilir; 27 Sept; Kerugian RM232,770
 
  - Bernama

Bank rugi RM30.5 juta e-mel pembayaran dipintas


Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
KUALA LUMPUR: Sebuah bank tempatan kerugian RM30.5 juta, dipercayai diperdaya satu sindiket yang memintas e-mel arahan pembayaran daripada sebuah syarikat di negara ini kepada bank berkenaan.
Modus operandi dipercayai dengan memintas e-mel arahan pembayaran yang dihantar kepada bank dengan menukar nombor akaun syarikat penerima di luar negara dengan nombor akaun sindiket, juga di negara asing.
Kejadian berlaku kira-kira dua minggu lalu membabitkan sebuah cawangan bank tempatan terkemuka di Labuan, Sabah.
Sumber memberitahu BH, berdasarkan arahan pembayaran diterima melalui e-mel, bank itu membuat tujuh transaksi ke akaun di Kemboja dan Hong Kong membabitkan jumlah keseluruhan AS$9.42 juta (RM30.5 juta) tanpa menyedari nombor akaun dalam arahan pembayaran sudah ditukar selepas e-mel syarikat kepada bank dipintas.

Trojan Backdoor.Padpin diguna godam ATM

 SELASA, 30 SEPTEMBER 2014 @ 2:22 PM


Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

ANGGOTA Forensik Selangor membuat pemerikaan keatas mesin ATM Al Rajhi Bank jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A yang telah di godam. - Foto Mohd Asri Saifuddin
KUALA LUMPUR : Sejenis virus dikenali sebagai Backdoor.Padpin dipercayai digunakan sindiket penggodam Mesin Juruwang Automatik (ATM) bagi menyempurnakan misi mereka mengeluarkan wang secara haram.
Backdoor.Padpin adalah sejenis virus yang direka khusus untuk menceroboh sistem keselamatan komputer ATM dengan pantas.
Virus itu yang mula dikesan Mei lalu itu turut berupaya memadam failnya sendiri jika gagal menguasai kawalan pad kekunci ATM untuk mengelak dikesan.
Menurut syarikat keselamatan internet terkemuka, Symantec Corporation, Backdoor.Padpin adalah sejenis Trojan yang menyasarkan ATM. Trojan itu membolehkan penyerang menggunakan pad kekunci ATM bagi mengemukakan arahan kepada mesin berkenaan.
"Apabila dilaksanakan (misi menggodam dimulakan), Trojan mencipta fail ulssm.exe yang boleh diletakkan di dalam mana-mana fail pada komputer ATM. Trojan itu kemudian akan mencipta entri pendaftaran tertentu supaya ia berjalan setiap kali sistem operasi Windows bermula
"Penggodam kemudian memberi arahan menerusi pad kekunci tadi untuk membuat pengeluaran wang dan menghentikan sistem penggera bagi mengelakkan misi godaman dikesan. Mereka juga boleh melanjutkan tempoh sesi pengeluaran untuk terus mencuri wang," menurut kenyataan Symantec Corporation.
Polis semalam mengenal pasti sindiket menggodam ATM yang dikesan sejak Jumaat lalu menggunakan virus sama iaitu ulssm.exe untuk mengeluarkan wang.
Difahamkan, kumpulan berkenaan juga mensasarkan ATM model lama jenis NCR yang mudah digodam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazerene, berkata virus itu akan memberi arahan untuk membuat pengeluaran wang yang masih terdapat di dalam mesin ATM yang digodam.
Beliau berkata, suspek menggunakan panel kekunci ATM untuk memproses dan mengeluarkan wang daripada mesin ATM.
Sehingga malam tadi, anggaran nilai wang tunai yang berjaya dicuri oleh kumpulan penggodam dari beberapa bank tempatan di empat negeri ialah RM30.5 juta.
Polis juga sudah mengenalpasti beberapa suspek menerusi rakaman litar tertutup (CCTV), dipercayai dilakukan warga asing berasal daripada Amerika Latin.

Jurutera warga China ke tali gantung bunuh rakan sekerja

JURUTERA warganegara China, Fang Jinzhong, 57, keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid
SHAH ALAM: Seorang jurutera warga China dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan sekerjanya tiga tahun lepas.
Fang Jin Zhong, 57, jurutera di sebuah kilang di Jalan Kapar, Bukit Raja, Klang, didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Loo Lee Keng, 28, pada 6 Julai 2011 di premis berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah, ketika menjatuhi hukuman itu berkata tertuduh yang sudah berumah tangga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mengikut fakta kes, Fang menyebabkan kematian Loo dengan menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan yang tercetus antara mereka di sebuah stor di premis berkenaan.
Mangsa ditikam sehingga mengenai jantung dan beberapa bahagian badan lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chi Chau dan Lai Chee Hoe.
- BERNAMA

Pasangan kekasih direman 7 hari bantu kes penemuan mayat kanak-kanak

BUKIT MERTAJAM: Sepasang kekasih direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, yang dipercayai dibunuh dan dibuang dalam semak berhampiran ladang sawit di Kampung Tongkang, Permatang Tinggi di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata wanita berusia 30 tahun, yang juga ibu kepada kanak-kanak berkenaan dan teman lelakinya, 24, direman bermula hari ini.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan penahanan pasangan kekasih ini diharap dapat membantu siasatan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira 12 tengah hari semalam oleh sepasukan polis selepas hasil siasatan terhadap ibu kanak-kanak itu, yang melaporkan kehilangan anaknya semasa bersiar-siar di Padang Kota, George Town, Selasa lalu.
Wanita itu ditahan selepas memberikan keterangan bercanggah dan mencurigakan.
Hasil siasatan lanjut mendapati wanita yang menganggur itu mengaku memukul anaknya hingga mati di rumah mereka di Kulim, Kedah sebelum membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan semak di Kampung Tongkang.
Rusli berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya mengubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA

Kekasih Gelap Mati Jatuh Balkoni


Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 10:18 AM

BANGKOK: Seorang wanita maut selepas terjatuh ketika bersembunyi di bahagian balkoni kediaman kekasihnya, lapor media pada Isnin.

Menurut polis, wanita terbabit menjalin hubungan sulit dengan lelaki yang sudah beristeri.

Jurucakap polis berkata, wanita itu berada di rumah kekasihnya apabila isteri lelaki berkenaan pulang secara mengejut.

“Sebelum itu lelaki berkenaan tinggal bersendirian di rumah kerana isterinya pulang ke kampung untuk bersalin,” katanya.

Namun dia membuat kemunculan mengejut selepas dimaklumkan oleh jiran bahawa ada wanita lain di rumah berkenaan.

Kepulangan di luar jangkaan itu mendorong wanita terbabit memanjat keluar dan bersembunyi di balkoni tetapi dia tergelincir dan jatuh lalu mati.

Ebola Kali Ini Paling Dahsyat - WHO


Diterbitkan: Isnin, 29 September 2014 10:39 AM
Pegawai perubatan membawa seorang lelaki yang disyaki dijangkiti virus Ebola di Monrovia, Liberia.

GENEVA: Wabak Ebola yang melanda Afrika Barat kali ini disifatkan yang terburuk dan paling dahsyat dalam sejarah.

Perkara itu dimaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila angka kematian akibat wabak penyakit itu kini melebihi 3,000.

Pemeriksaan badan kesihatan dunia itu juga mendapati jumlah itu menyamai hampir separuh daripada keseluruhan pesakit yang dijangkiti virus itu.

Sehingga kini, seramai 6,574 orang telah dijangkiti virus maut itu di lima negara Afrika dengan 3,091 kematian.

Kematian tertinggi seramai 1,830 orang dicatat di Liberia diikuti 648 mangsa di Guinea dan 605 pesakit lagi di Sierra Leone.

Baki kematian akibat virus maut itu dicatat di beberapa negara Afrika lain termasuk Senegal dan Nigeria.

Menurut WHO, wabak Ebola kali ini melibatkan virus paling berbahaya daripada lima rantaian virus Ebola yang diketahui oleh manusia.

Spesies berkenaan mencetuskan wabak Ebola pertama di Zaire, Congo pada 1976 yang menyebabkan 280 kematian.

Ontake Meletus: Helikopter Tentera Bawa Turun Mayat


Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 2:40 PM
Helikopter mendarat di Gunung Ontake bagi membawa turun mangsa kejadian gunung berapi itu meletus.

KASO: Helikopter tentera terpaksa digunakan untuk membawa turun mangsa kejadian Gunung Ontake yang meletus sejak Sabtu lalu.

 
Sehingga Isnin, gunung berapi itu dikatakan masih mengeluarkan gas toksik dan debu panas hingga menyukarkan operasi mencari yang dijalankan pasukan keselamatan negara matahari terbit itu.

Media Jepun melaporkan ada antara mayat yang ditemui tertimbus dalam debu.

Sebelum ini empat mayat sudah dibawa turun dan pada Isnin, lapan lagi dibawa helikopter tentera negara itu, manakala 24 lagi mangsa masih berada di puncak gunung berkenaan.

Siaran stesen televisyen Jepun, TBS menayangkan visual sekumpulan anggota tentera membawa mayat mangsa dalam beg mayat menaiki helikopter tentera yang mendarat di kawasan lapang untuk dibawa turun.

Mayat mangsa terbabit kemudian dikumpulkan di padang rumput untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga yang berkumpul di situ.

"Keadaan di lokasi gunung berapi berbau gas sulfur serta asap yang masih tebal menyebabkan usaha mencari baki mangsa terpaksa ditangguhkan," kata seorang anggota penyelamat, Morimoto.

Sabtu lalu, gunung berapi Ontake berketinggian 3,067 meter yang menjadi salah satu lokasi mendaki popular terletak 210 kilometer dari barat Tokyo telah meletus selepas kali terakhir ia meletus pada tahun 1979, namun tiada kematian dilaporkan. 

10 Mesin ATM Digodam Didedah


Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 3:33 PM
atm

PETALING JAYA: Polis Selangor mengesahkan insiden 10 mesin juruwang automatik (ATM) telah digodam dengan kerugian yang dilaporkan di negeri ini melebihi RM1,736, 710.

Sumber, pada Selasa berkata enam cawangan bank Al Rajhi telah digodam, manakala dua lagi masing-masing adalah cawangan Affin Bank dan Bank Islam di Selangor.

Polis menerima dua laporan penggodaman pada Ahad dan lapan lagi laporan pada Isnin.

"Jumlah kerugian daripada tujuh kes setakat ini adalah RM1, 736,710. Kerugian bagi tiga penggodaman lain belum ditentukan".

Senarai cawangan bank yang digodam adalah seperti berikut:


Bank: Affin Bank, Jalan USJ10 / 1J
Masa: 5.30 petang, 27 September
Kerugian: RM265, 000

Bank: Affin Bank, Jalan Yong Shook Lin
Masa: Tidak Ketahui, 27 September
Kerugian: RM303,000

Bank: Al Rajhi Bank, Kota Damansara
Masa: 00:46, 29 September
Rugi: RM285,700

Bank: Al Rajhi Bank, Wisma Metro Kajang
Masa: 00:46, 29 September
Rugi: Belum ditentukan

Bank: Al Rajhi Bank Kelana Jaya
Masa: 00:46, 29 September
Rugi: Belum ditentukan

Bank: Al Rajhi Puchong
Masa: 01:12, 29 September
Rugi: Belum ditentukan

Bank: Al Rajhi Bank, Seksyen 9, Shah Alam
Masa: 12.30 tengah hari, 29 September
Rugi: RM116,000

Bank: Al Rajhi Bank, Jalan Raja Bot, Klang
Masa: Tidak Ketahui, 29 September
Rugi: RM150,000

Bank: Bank Islam, Seksyen 14
Masa: Tidak Ketahui, 29 September
Rugi: RM 395,850

Bank: Bank Islam, Jalan PJU 5/5
Masa: Tidak Ketahui, 29 September
Rugi: RM: 221,160
Tags / Kata Kunci:godam ATM , mesin ATM

Seorang Maut Kren Tumbang Di Genting Highlands


Diterbitkan: Selasa, 30 September 2014 1:26 PM
Lokasi kejadian yang mengakibatkan warga Myanmar maut di tapak binaan di Genting Highlands.

PETALING JAYA: Seorang buruh warga asing maut apabila kren yang mengangkut besi perancah terbalik di tapak pembinaan di Genting Highlands, pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, sebuah kren yang sedang beroperasi di tapak pembinaan hotel dan taman tema itu sedang mengangkat peralatan binaan itu terbalik dan  menghempap pekerja warga Myanmar.
Warga asing yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan itu maut akibat kejadian itu.
Difahamkan, ketika kejadian kren itu dikendalikan warga tempatan, manakala mangsa yang dikenali sebagai Shonah Ahmad Zafar berada pada kedudukan berhampiran jentera berat itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof menerusi Twitter berkata, telah mengarahkan siasatan lanjut dijalankan terhadap insiden tersebut.
Sementara itu, polis pihak berkuasa ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan masih menjalankan siasatan kejadian itu.

Warga Singapura dipenjara sehari, denda RM20,000 kerana rasuah


30/09/2014 2:19pm

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba merasuah seorang pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tahun lalu.
Tan Choon Kiat, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Pada 7 Mei tahun lalu, tertuduh didakwa cuba memberi rasuah kepada pegawai SPAD, Asmadi Mat sebanyak 1,250 dolar Singapura (RM3,216) di sebuah restoran di Taman Daya di sini pada pukul 4.10 petang sebagai dorongan untuk melepaskan dan tidak dikenakan tindakan mahkamah terhadap sebuah bas persiaran yang disita suruhanjaya itu.
Bas berkenaan telah disita SPAD selepas menurunkan penumpang di Tuas pada 25 April tahun lalu atas kesalahan menjalankan pengangkutan awam tanpa permit dan mempamerkan permit palsu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz3Emdyhcu7 
Hakcipta terpelihara 

Tiga premis musnah dalam kebakaran


30/09/2014 1:45pm

MELAKA - Dua bengkel kenderaan dan sebuah stor penyimpanan minyak pelincir musnah dalam satu kebakaran di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malim Jaya di sini, tengah malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu turut memusnahkan 20 buah kereta, dua van dan sebuah motosikal yang ditempatkan di dua bengkel berkenaan selain menyebabkan kerosakan tiga lagi premis berhampiran.
Timbalan Pengarah Bomba Melaka, Sohaimi Mohamed berkata, bomba menerima panggilan pada pukul 12.36 tengah malam dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian dengan enam jentera dan tujuh kenderaan utiliti dari balai bomba Jalan Kubu, Ayer Keroh, Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin Bestari melibatkan 57 pegawai dan anggota.
“Pihak bomba terpaksa memadam kebakaran menggunakan semburan buih menggunakan 78 tong buih sebelum api berjaya dikawal pada jam 2 pagi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula daripada stor terbabit sebelum merebak ke beberapa premis lain.
Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian sebenar masih dalam siasatan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz3EmdrNRlf 
Hakcipta terpelihara 

Bank komersil tingkat keselamatan bagi elak rompakan ATM


30/09/2014 1:32pm

KUALA LUMPUR - Persatuan Bank Malaysia (PBM) memberi jaminan kepada orang ramai bahawa anggota persatuan yang mempunyai rangkaian mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berikutan beberapa kes rompakan ATM baru-baru ini.
PBM berkata, baki akaun dan maklumat pelanggan tidak terjejas dalam kejadian yang dilaporkan itu.
“Anggota persatuan telah meningkatkan langkah berwaspada dan keselamatan serta akan terus memantau dan mengambil langkah pencegahan bagi melindungi data pelanggan dan melindungi wang mereka dalam bank,” kata PBM dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai boleh menghubungi persatuan itu di ABMConnect melalui hotline dengan mendail 1-300-88-9980 atau e-mel pada eABMConnect dengan melayari www.abm.org.my. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz3Emdk0h7t 
Hakcipta terpelihara 

Pemuda maut kereta dipandu rempuh pokok


30/09/2014 2:25pm

KUANTAN - Seorang pemuda maut selepas kereta Proton Waja yang dipandunya terbabas melanggar sebatang pokok kelapa sawit di Jalan Besar Jengka 23 dekat Maran, malam tadi.
Mangsa, Ning Shi Quan, 22, beralamat di Taman Seroja, Jerantut dan bekerja sendiri itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Deputi Superintendan Mohd. Noor Yusof Ali berkata, nahas pukul 10 malam itu berlaku semasa mangsa memandu dari arah Jerantut menghala ke simpang Temerloh.
"Mangsa yang memandu sendirian itu menuju ke destinasi yang tidak diketahui dan sampai di tempat kejadian dalam keadaan hujan lebat menyebabkan keretanya tiba-tiba hilang kawalan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kereta mangsa kemudiannya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm#ixzz3EmdUWAn4 
Hakcipta terpelihara 

Tiga individu mengaku bunuh bekas ratu cantik


TIGA lelaki dijatuhi hukuman penjara lebih 20 tahun setiap seorang selepas mengaku bersalah membunuh bekas ratu cantik Venezuela, Monica Spear, 29, dan bekas suaminya Thomas Berry, 39 di hadapan anak perempuan mereka berusia 5 tahun.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa maut ditembak manakala anaknya, Maya Veliz terselemat selepas ditembak di bahagian kaki ketika kereta yang mereka naiki rosak di sebuah lebuh raya di negara terbabit.

Menurut Mirror UK, Spear yang memenangi gelaran Ratu Cantik Venezuela 2014 tinggal di Amerika Syarikat, dan ketika kejadian mereka dikatakan sedang dalam perjalanan dari Puerto Cabello ke bandar ketiga terbesar di Venezuela, iaitu Valencia menaiki Toyota Corolla.

Insiden berlaku di El Cambur, kira-kira 322 kilometer dari Caracas.

Jean Carlos Colina, 19, Jose Ferreira Herrera, 18 dan Nelfrend Jimenez Alvarez, 21 mengaku terlibat dalam pembunuhan itu.

Colina dihukum penjara 26 tahun manakala Herrera dan Alvarez masing-masing dipenjara 24 tahun.

Spear dan Berry bercerai tahun lalu selepas empat tahun berkahwin. Namun, pasangan ini masih berkawan baik demi kepentingan anak tunggal mereka.

Warga emas ditemui tergantung

Mayat mendiang diiring waris dan penduduk kampung dibawa ke Tanah Perkuburan Orang Asli Batu 8 untuk dikebumikan.
Mayat mendiang diiring waris dan penduduk kampung dibawa ke Tanah Perkuburan Orang Asli Batu 8 untuk dikebumikan.
ROMPIN – Seorang lelaki warga emas Orang Asli ditemui oleh anak lelakinya dalam keadaan sudah tidak bernyawa dipercayai kerana menjerut dirinya sendiri di Perkampungan Orang Asli Batu 8, di sini, sekitar jam 7.30 pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian tersebut disedari oleh anaknya yang bangun tidur pada pagi itu dan melihat ayahnya dalam keadaan tergantung di ruang tamu.

“Warga emas yang berusia 63 tahun itu difahamkan menghidap penyakit mental dan pernah menerima rawatan di Hospital Kuantan dan Rompin.

“Bagaimanapun, ketika pihak polis tiba di rumahnya di Perkampungan Orang Asli Batu 8 pada pagi itu, mayat warga emas tersebut sudah diturunkan oleh ahli keluarganya, manakala tali yang digunakan untuk menjerut dirinya itu masih terikat pada kayu palang bumbung,” katanya.

Johari berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, pada malam kejadian warga emas tersebut dikatakan tidak tidur dan bercakap seorang diri di ruang tamu.

“Mayat dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan keputusannya menunjukkan kejadian tersebut tiada unsur jenayah,” katanya.

Sementara itu, wartawan Sinar Harian cuba mendapatkan ahli keluarga warga emas berkenaan, namun mereka enggan ditemu bual.

Jeritan jiran bantu selamatkan nyawa

Hanya bahagian tangga rumah Mohd Khairi yang terselamat dalam kejadian kebakaran terbabit.
Hanya bahagian tangga rumah Mohd Khairi yang terselamat dalam kejadian kebakaran terbabit.
KAMPUNG PAMAH KULAT - Seorang mangsa kebakaran yang nyaris maut apabila kediamannya di kampung ini hangus dijilat api bersyukur kerana terselamat dan menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) daerah bagi menampung kos membina semula rumahnya yang musnah.

Mangsa, Mohd Khairi Kamaluddin, 39, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM50,000 apabila keseluruhan rumahnya musnah dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran di belakang rumahnya dan ibu saudara yang tinggal bersebelahan.

“Saya terjaga lantas terus bangkit dari tidur dan terkejut melihat kepulan asap dari bumbung rumah dan api sedang marak.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus keluar rumah dan tak sempat nak selamatkan barang berharga,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Samsiah Mat Sah, 74, berkata, anaknya yang bekerja sendiri itu baru sahaja menetap di rumah terbabit.

“Sebelum ini, rumah itu kosong kerana kami telah membina rumah baru bersebelahan rumah ini.

“Meskipun begitu, saya bersyukur kerana anak saya selamat dalam kejadian itu,” katanya.

Kediaman dua beranak terbakar


Keadaan rumah usang tempat Sarimah berteduh sementara menanti rumah dibaiki semula
Keadaan rumah usang tempat Sarimah berteduh sementara menanti rumah dibaiki semula
RAUB - Seorang warga emas terpaksa menumpang rumah menantu buat sementara waktu manakala anak perempuannya pula kini menetap di sebuah rumah usang selepas kediaman mereka yang terletak di Kampung Ulu Atok, dekat sini terbakar.

Difahamkan, rumah yang didiami Mokhtar Abdullah, 76, bersama seorang anak perempuannya, Sarimah Mokhtar, 45, merupakan rumah bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Nasib yang menimpa mereka mendapat perhatian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) Raub, diwakili Pegawai Muip daerah, Ab Halim Chik menyampaikan sumbangan kepada Mokhtar bagi meringankan bebannya.

Ab Halim berkata, beliau berharap sumbangan yang dihulurkan akan digunakan Mokhtar untuk menampung sedikit kos yang diperlukan untuk membaiki rumahnya itu.

Sementara itu, menceritakan detik kejadian pada 31 Ogos lalu, Mokhtar berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira jam 1 pagi untuk memeriksa kotak suis rumah selepas lampu bilik tidurnya tiba-tiba terpadam namun terkejut apabila melihat ruang tamunya dipenuhi kepulan asap.

“Api marak terlalu cepat, pakcik tak sempat nak selamatkan apa-apa barang dalam rumah.

“Televisyen, peti ais, mesin basuh dan perabot rumah musnah dalam kebakaran terbabit dan kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000,” katanya.

Menurutnya, meskipun sudah lebih dua minggu kejadian terbabit berlaku, namun bantuan bulanan yang dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak cukup untuk menampung kos membaiki semula rumahnya itu.

“Pendapatan bulanan pakcik bergantung sepenuhnya kepada bantuan JKM, memang tak cukup nak guna untuk kos baiki rumah yang rosak.

“Alhamdulillah Muip sudi membantu, diharap rumah kami dapat dibaiki semula kerana pakcik kasihan melihat anak perempuan pakcik terpaksa tinggal dekat rumah usang di belakang rumah kami yang terbakar itu sementara menantu rumah dibaiki semula,” katanya.

Treler tergelincir dekat plaza tol Rawang

Keadaan treler yang terbabas beberapa meter sebelum tol Rawang.
Keadaan treler yang terbabas beberapa meter sebelum tol Rawang.
RAWANG - Sebuah treler dari arah Rawang menuju Kuala Lumpur terbabas sebelum masuk ke longkang di Kilometer 443 berhampiran tol Rawang, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pemandu gagal mengawal kenderaan akibat jalan licin selepas hujan.

Saksi mahu dikenali sebagai Foo berkata, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan keluar tanpa bantuan melalui tingkap.

“Bahagian kiri treler telah masuk ke dalam longkang dan ketika saya sampai di lokasi pemandu telah keluar dengan sendiri.

“Beberapa minit kemudian sebuah treler jenis sama tiba sebelum memindahkan muatan barangan treler terbalik itu,” katanya.

Insiden itu katanya, turut menyebabkan gangguan trafik menghala ke tol Rawang menuju ke Kuala Lumpur.

Sekitar jam 5.30 petang trafik mulai lancar selepas usaha mengeluarkan treler terbabas tersebut selesai.

Bas bawa pelajar Usim terbabas


Bas dinaiki 30 pelajar Usim terbabas di Ulu Yam Baharu sekitar jam 6.40 petang.
Bas dinaiki 30 pelajar Usim terbabas di Ulu Yam Baharu sekitar jam 6.40 petang.
SELAYANG - Sebuah bas membawa 30 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dari arah Ulu Yam menghala pulang ke Nilai terbabas merempuh pembahagi Jalan Sungai Tua-Ulu Yam berhampiran Empangan Batu, petang semalam.

Seramai 11 mangsa termasuk dua pemandu yang mengalami kecederaan masing-masing di bahagian leher dan kaki telah dikejarkan ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan sebanyak dua bas dinaiki pelajar sementara tenaga pengajar menggunakan kenderaan sendiri baru sahaja selesai aktiviti di kawasan berkenaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kenderaan gagal dikawal sewaktu menuruni bukit akibat kegagalan brek berfungsi.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dari dalam bas.

“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 6.42 dan tiba di lokasi pada jam 6.51 petang mendapati terdapat beberapa pelajar yang masih berada dalam bas.

“Tiada mangsa tersepit dan alami kecederaan serius,” katanya kepada Sinar Harian, semalamSekitar jam 9 malam anggota bomba masih berada di lokasi untuk pemeriksaan dan siasatan.
Insiden menyebabkan gangguan trafik sejauh dua kilometer dari kedua-dua arah.