Search This Blog

Monday, September 29, 2014

RM1.271 dicuri dari enam mesin ATM Affin Bank


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.271 juta dicuri daripada enam Mesin Teler Automatik (ATM) kepunyaan Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor, menurut kenyataan Affin Bank hari ini.
  
Kenyataan itu menyebut mesin ATM itu diusik pada Sabtu lepas, mengakibatkan kecurian wang tunai daripada mesin berkenaan.
  
Mesin ATM terbabit terletak di Johor Baharu, Batu Pahat dan Taman Molek di Johor; Melaka Raya; selain PJ State dan USJ di Selangor, menurut kenyataan itu.
  
"Insiden itu telahpun dilaporkan dan bank bekerjasama rapat dengan polis dalam penyiasatan kes itu," kata bank berkenaan.
  
Bank itu berkata data pelanggan bagaimanapun tidak diganggu atau dikompromi.       
  
Sementara menunggu hasil siasatan polis, bank berkenaan segera menempatkan langkah kawalan tambahan di semua mesin ATM di cawangan dan di lokasi luar.
  
"Pihak bank mengadakan pemantauan rapi bagi memastikan pelanggan kami dapat meneruskan urusan perbankan mereka dengan selamat," menurut kenyataan itu.

Laporan menyebut sekumpulan warga asing dipercayai menggunakan sim kad telefon dan peranti lain untuk menggodam mesin ATM itu.
  
Suspek dalam kes penipuan pengeluaran wang itu kelihatan seperti berketurunan Amerika Latin atau Timur Tengah.
  
Polis masih menyiasat insiden itu. - Bernama

Ribut: Lebih 100 rumah rosak di Bukit Jelutong


29 September 2014

SHAH ALAM - Lebih 100 rumah rosak dengan atap gentingnya diterbangkan serta beberapa kereta turut dihempap pokok tumbang berikutan kejadian ribut kuat yang melanda sekitar bandar raya ini petang tadi.
   
Laluan masuk ke kawasan perumahan yang terletak di Jalan Arca, Bukit Jelutong Timur terpaksa ditutup sementara waktu untuk operasi pembersihan apabila pokok-pokok di tepi jalan tumbang sehingga menutup laluan.
 
Seorang pengawal keselamatan dari sekitar kawasan perumahan itu yang enggan mahu dikenali ketika ditemui pemberita berkata kejadian ribut disedari berlaku kira-kira pukul 2.10 petang ketika beliau berada di pos pengawal.
 
"Hujan lebat terbentuk seperti satu puting beliung yang  datang dari arah tepi pos pengawal sebelum bergerak ke kawasan  perumahan itu dan menyebabkan atap genting tercabut dan pokok tumbang," katanya.
   
Menurut seorang pemilik rumah dari Bukit Jelutong  Muhammad Farid Abgani, 40, rumahnya dibanjiri air selepas atap genting tercabut ekoran ribut tersebut.

"Pokok di depan rumah saya tumbang, tetapi bernasib baik ia tumbang ke arah jalan raya dan bukan ke arah rumah saya,"  katanya.    
   
Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Bomba  (Operasi) Selangor, Mohd Sani Harul berkata sebanyak 15 anggota dari Balai Bomba Shah Alam dan Sungai Buloh dihantar ke enam lokasi berbeza di sekitar Persiaran Tebar Layar akibat pokok tumbang dan menghalang laluan.
 
Katanya, sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua orang turut dihempap pokok, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba.
 
Majlis Bandaraya Shah Alam pula dalam satu kenyataan  berkata ia telah menghantar unit pasukan pantas mereka ke lokasi pokok tumbang termasuk di Seksyen U8, Seksyen U2, Seksyen 8 dan Seksyen 9. - Bernama

Mayat kanak-kanak lelaki lima tahun ditemui di Permatang Tinggi


29/09/2014 7:21pm


SEPASUKAN polis forensik membawa bahan bukti yang dijumpai di lokasi penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang dipercayai mati dibunuh dan dibuang dalam semak oleh ibu dan teman lelaki ibunya berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Tongkang, Permatang Tinggi, Pulau Pinang hari ini. - KOSMO!


BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai dibunuh ditemui dalam kawasan semak berhampiran ladang sawit di Kampung Tongkang, Permatang Tinggi di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui selepas pemeriksaan oleh sepasukan polis di kawasan berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
"Polis menerima laporan daripada ibu kanak-kanak itu pada Sabtu lepas mendakwa anaknya hilang ketika mereka bersiar-siar di Padang Kota, George Town pada pukul 2.30 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan mendapati keterangan yang diberi wanita berusia 30 tahun itu bercanggah dan mencurigakan menyebabkan wanita itu ditahan bagi membantu siasatan.
"Susulan penahanan itu, polis turut menahan teman lelaki wanita berkenaan di Klang, Selangor bagi membantu siasatan,” katanya. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_27.htm#ixzz3Ei8FGIZT 
Hakcipta terpelihara 

Polis tumpaskan kumpulan pecah rumah Amerika Latin

KETUA Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias (tengah) bersama Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Rahmat Yaakob (kiri) menunjukkan peralatan pecah masuk rumah yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SHAH ALAM: Polis menumpaskan satu kumpulan pecah rumah di sekitar daerah ini dan Lembah Klang dengan tertangkapnya tujuh suspek yang berasal dari Amerika Latin dalam dua serbuan berasingan di Subang Jaya, Jumaat lepas.
Menurut polis, suspek yang ditahan itu termasuk seorang wanita, berusia antara 26 hingga 43 tahun.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Azisman Alias, berkata polis telah menahan empat suspek dalam serbuan pertama pada awal Jumaat lepas di sebuah rumah di Subang Avenue, Subang Jaya.
"Sejumlah barangan berharga yang dipercayai daripada kegiatan pecah rumah turut di rampas dari rumah berkenaan, antaranya ialah komputer riba, mata wang asing, dan barang kemas.
"Turut dirampas ialah sebuah Honda City dan Toyota Estima, kedua-dua kenderaan itu tidak mempunyai rekod hilang dan dipercayai disewa," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Azisman berkata, susulan serbuan pertama, suspek membawa polis ke sebuah rumah di USJ 19, Subang Jaya, kira-kira lima kilometer dari situ di mana tiga lagi suspek, termasuk seorang wanita ditahan.
Katanya, di rumah kedua itu polis turut menemui barangan yang dipercayai hasil pecah rumah serta alatan yang dipercayai digunakan untuk jenayah itu.
"Kerakyatan semua suspek belum dapat disahkan kerana hanya empat suspek mempunyai pasport, tiga daripadanya telah tamat tempoh sementara satu lagi tidak mempunyai cap masuk ke negara ini," katanya.
Katanya, modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan rumah mewah dan mereka hanya akan memecah masuk ketika penghuni tiada di rumah.
"Dengan penahanan ini pihak kami percaya telah dapat menyelesaikan antara 10 hingga ke 15 kes pecah rumah di Shah Alam dan sedang menunggu maklum balas dari balai polis daerah berhampiran kerana kumpulan itu sedang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang," katanya.
Barang-barang yang dirampas, termasuk dua kenderaan itu dianggar bernilai kira-kira RM200,000. Semua suspek direman selama empat hari berakhir hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA

'Kami masih harap dia dijumpai'


Laporan Sinar Harian 17 September lalu.
Laporan Sinar Harian 17 September lalu.
KEMAMAN – Kepiluan yang dirasai keluarga pelajar OKU yang lemas hampir dua minggu lalu dan masih belum dijumpai sehingga kini dikongsi bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menziarah keluarga itu di kediaman mereka di Teluk Kalong, tengah hari semalam.

Bagi meringankan beban keluarga mangsa, Che Ku Mohamad Fazli Che Ku Mohd Yassin, 14, Ahmad Shabery turut menyampaikan sumbangan tunai selain memberi kata-kata perangsang kepada keluarga itu agar tabah menghadapi dugaan berat itu.

Ibu mangsa, Khalijah Omar, 43, berkata, mereka sekeluarga terharu dengan kedatangan rombongan Ahli Parlimen Kemaman itu yang sedikit sebanyak menguatkan lagi semangat mereka untuk terus menanti sehingga jasad Fazli (atau mesra dipanggil Li oleh ahli keluarga) ditemui.

“Sejak hari kejadian, solat hajat tidak henti-henti dilakukan setiap hari sama ada di masjid mahupun surau. Malah, bacaan Yasin beramai-ramai juga dibuat di tepi pantai.

“Biarpun hari ini sudah masuk hari ke-13 Li hilang di pantai, namun kami sekeluarga masih menaruh harapan yang dia akan dijumpai,” kata ibu enam anak ini dalam nada sebak.

Sejak kejadian itu, Khalijah bersama ahli keluarga lain setiap hari berada di tepi Pantai Teluk Kalong dengan harapan pasukan menyelamat yang masih melakukan kerja pencarian akan memberi khabar gembira.

“Selepas waktu solat Zohor kami berada di tepi pantai dengan harapan Li akan ditemui semula, bahkan ketika berada di tepi pantai juga doa tak putus-putus saya panjatkan agar anak segera dijumpai,” katanya.

Dalam kejadian 15 September lalu, mangsa yang juga pelajar tingkatan dua SMK Kijal yang sedang mandi bersama lima lagi adik-beradiknya di Pantai Teluk Kalong dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus kira-kira jam 5.30 petang.

Mangsa cuba diselamatkan abangnya, Che Ku Mohamad Faizuldin, 16, yang bertindak menarik rambutnya daripada hanyut, namun cubaan itu gagal.

Mengaku curi televisyen, jag elektrik


Muhd Nasrul dipenjara 18 bulan selepas mengaku salah memecah masuk dan mencuri sebuah televisyen serta sebuah jug elektrik milik seorang nenek.
Muhd Nasrul dipenjara 18 bulan selepas mengaku salah memecah masuk dan mencuri sebuah televisyen serta sebuah jug elektrik milik seorang nenek.
KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja pelantar yang memecah masuk serta mencuri sebuah televisyen dan sebuah jag elektrik milik seorang nenek dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam.

Muhd Nasrul Othman, 26, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dia mengaku salah pecah rumah dan mencuri sebuah televisyen jenama 32 inci dan sebuah jag elektrik milik mangsa, Hasnah Long, 77, di kediamannya di Kampung Telok
Menara, Manir, di sini, pada 12 Jun lalu, kira-kira jam 8.15 pagi.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda dan jika kesalahan yang dimaksudkan hendak mencuri, tempoh penjara boleh dipanjangkan sehingga 14 tahun.

Mengikut fakta kes, kejadian itu hanya disedari oleh cucu mangsa apabila membuat pemeriksaan di rumahnya selepas ditinggalkan seminggu sebelum kejadian, kerana mangsa pergi ke rumah anaknya di Kemaman.

Cucu mangsa mendapati gril di kedua-dua pintu dapur mempunyai kesan diumpil sebelum mengambil keputusan untuk masuk membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan rumah berselerak.

Muhd Nasrul berjaya ditangkap di rumahnya di Kampung Padang Macang, Manir.

Tak dapat duit, mengamuk rosak harta dalam rumah


Wan Abd Aziz
Wan Abd Aziz
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki layak digelar anak derhaka apabila tergamak menjadikan ibunya yang juga seorang warga emas sebagai ‘bank’ utama mendapatkan wang bagi perbelanjaan seharian.

Lebih tidak berperikemanusiaan, setiap kali ibu malang itu gagal memenuhi permintaan si anak, dia akan menggunakan cara kekerasan bagi menakutkan wanita berkenaan.

Dalam kejadian terbaharu di kediaman mereka di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, kelmarin, suspek berusia 36 tahun dikatakan telah merosakkan perabot menggunakan kapak, selepas berang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi mangsa yang berusia 71 tahun.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa berada di rumah sebelum dihampiri anak lelakinya meminta sejumlah wang.

“Ibu malang itu memaklumkan tidak dapat menunaikan permintaan anaknya kerana tidak mempunyai wang sebelum suspek berlalu keluar.

“Pada mulanya, mangsa menyangka suspek dapat menerima jawapan itu tanpa menduga jawapannya itu telah mengundang kemarahan suspek yang masuk semula ke dalam rumah sambil membawa sebilah kapak.

“Belum sempat mangsa bertanya apa-apa, suspek terus merosakkan serta memecahkan televisyen, perabot dan kabinet dalam rumah mereka tanpa mengendahkan rayuan mangsa yang memintanya bersabar,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendakwa kejadian seumpama itu kerap berlaku terutamanya setiap kali apabila mangsa gagal memenuhi kehendaknya untuk mendapatkan wang.

Warga emas itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu. Difahamkan, suspek ditahan beberapa jam selepas laporan dibuat ibunya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Balasan anak derhaka


Mohd Hamizan Abd Rahman dipenjara 18 bulan selepas mengaku salah mencederakan bapa kandungnya dengan sebatang sepana boleh laras.
Mohd Hamizan Abd Rahman dipenjara 18 bulan selepas mengaku salah mencederakan bapa kandungnya dengan sebatang sepana boleh laras.
KUALA TERENGGANU - Balasan anak derhaka! Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhi hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang lelaki kerana tindakannya memukul bapa kandung dengan sepana boleh laras, 23 Ogos lalu.

Mohd Hamizan Abd Rahman, 26, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bapanya, Abd Rahman Mohamad, 69.

Dia mengaku salah memukul mangsa menggunakan sebatang sepana boleh laras di kediaman mereka di Kampung Tegaru, Manir, pada 23 Ogos lalu, kira-kira jam 2 petang.

Dengan itu, Mohd Hamizan mengaku salah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa mangsa berada di rumah, Mohd Hamizan telah mengamuk dan berlaku pertelingkahan mulut di antara dua beranak itu.

Situasi semakin tegang apabila Mohd Hamizan mencederakan mangsa menggunakan sepana boleh laras sehingga mendatangkan kecederaan di lengan kiri mangsa.

Walaupun tidak mengalami kecederaan serius, bapa malang itu membuat laporan polis pada hari sama, kira-kira jam 4.40 petang kerana bimbang keselamatan dirinya serta ahli keluarga lain pada masa akan datang.

Mohd Hamizan ditangkap di rumah mereka keesokannya, kira-kira jam 3.15 petang.

Remaja maut tersepit bawah treler


Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah treler, semalam.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa
 yang tersepit di bawah treler, semalam.
BACHOK – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut manakala rakannya cedera di kaki apabila motosikal yang dinaiki mereka tersepit di bawah treler dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8 pagi di Kampung Mujur, di sini.

Pegawai Bomba Kanan II, Adnan Mat Juri berkata, pihak Bomba dan Penyelamat Bachok bersama enam anggota dan sebuah jentera terpaksa menggunakan peralatan khas ‘power unit air bag’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian depan treler.

“Kami terima panggilan jam 8.10 pagi. Mangsa pertama berjaya dikeluarkan jam 8.45 pagi dan mangsa kedua dikeluarkan jam 8.56 pagi.

“Mangsa yang terselamat patah kaki dan yang meninggal dunia mengalami kecederaan pada kepala, muka, kaki dan putus tangan kanan. Selepas dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk untuk dihantar ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Manakala Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu ialah penunggang motosikal Nurin Sofiah Che Mazidy dari Kampung Loak, Bekelam, maut di tempat kejadian dan rakannya yang membonceng, Siti Nurul Yusrina Rusdi, cedera di betis kiri.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai menghala ke Kuala Terengganu iaitu di laluan yang sama dengan treler tersebut.

“Penunggang motosikal dipercayai mengubah haluan dari kiri jalan ke kanan. Treler kemudiannya cuba mengelak ke kanan dan hilang kawalan terus terbabas ke kanan jalan lalu melanggar tiang elektrik. Akibatnya, motosikal terseret lebih kurang 50 meter.

"Penunggang motosikal meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian muka dan putus tangan kanan. Manakala pembonceng menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya.

APMM tahan 2 bot nelayan Vietnam


Ketua Penguatkuasa Maritim D10, Komander Maritim Khoo Teng Chuan (kanan) memeriksa 22 nelayan Vietnam yang ditahan ketika menangkap ikan di perairan Negara 90 batu Nautika dari pantai Tok Bali selepas sidang media di Pejabat  Maritim Tok Bali di Pasir Puteh hari ini. - Foto Bernama
Ketua Penguatkuasa Maritim D10, Komander Maritim Khoo Teng Chuan (kanan) memeriksa 22 nelayan Vietnam yang ditahan ketika menangkap ikan di perairan Negara 90 batu Nautika dari pantai Tok Bali selepas sidang media di Pejabat Maritim Tok Bali di Pasir Puteh hari ini. - Foto Bernama
PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 Tok Bali di sini, menahan sebanyak 22 warga Vietnam bersama dua bot laut dalam kerana menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan negara, di Laut China Selatan, semalam.
  
Ketua Penguatkuasanya Komander Maritim Khoo Teng Chuan berkata kedua-dua bot berkenaan ditahan 90 batu nautika dari pantai Tok Bali, ketika nelayan terbabit sedang menangkap ikan pada 11 pagi.
  
"Sepasukan anggota APMM yang menaiki Kapal Maritim Jujur yang diketuai Left Komander Nor Hafizi Mohd Rafek mengesan pergerakan nelayan terbabit dan berjaya menahan selepas mengejar lebih sejam," katanya kepada pemberita di pejabat APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali di sini, hari ini.
  
Khoo berkata pihaknya turut merampas kira-kira 2 tan ikan baja dan sotong kering bernilai antara RM50,000 dan RM150,000 yang dipercayai untuk dipasarkan di Vietnam.
  
Beliau berkata nelayan berkenaan yang berumur antara 20 dan 40 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985.

Khoo berkata sejak Januari tahun ini hingga kini, APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali menahan 203 nelayan Vietnam atas kesalahan sama.
  
Beliau berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 7 tan sotong kering bernilai RM134,850 dilelong setelah dirampas daripada nelayan asing yang menceroboh perairan negara itu. - Bernama

Warga emas ditemui mati


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 September 2014


KOTA BHARU - Seorang warga emas ditemui mati terlentang dalam kediamannya selepas tiga hari isterinya pulang ke kampung di Kampung Padang Enggang, di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa ditemui dalam keadaan terbabit oleh anaknya yang meninjau keadaan rumah setelah ibunya pulang ke kampung bagi menyelesaikan hal keluarga.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, warga emas berusia 78 tahun itu ditinggalkan berseorangan selepas isterinya pulang ke kampung.

“Dipercayai warga emas berkenaan mempunyai masalah kesihatan dan turut bergantung kepada ubat-ubatan.

“Isterinya hanya menyedari kematian suaminya itu selepas diberitahu oleh anaknya tentang keadaan bapanya itu selepas mendapati mayat mangsa dalam keadaan busuk,`` katanya.

Rohaimi berkata, mayat warga emas itu di hantar ke hospital untuk proses bedah siasat. Kejadian berkenaan diklafikasikan sebagai mati mengejut dan kematian terbabit tiada unsur jenayah.

Rogol: Buruh dijel 7 tahun, 2 sebatan


Tertuduh (dua, kanan) dibawa keluar dari mahkamah untuk dihantar menjalani hukuman yang diputuskan hakim.
Tertuduh (dua, kanan) dibawa keluar dari mahkamah
untuk dihantar menjalani hukuman yang diputuskan hakim.
KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh ladang kerana kesalahan merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun, dia dihukum penjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Sauti Abdullah, 20, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.

Tertuduh yang beralamat di Kuala Krai tersebut didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun 11 bulan di rumahnya di alamat Kampung Pak Jelak, Bukit Sireh, Kuala Krai, antara jam 4.30 pagi hingga 5 petang, 13 Januari lalu.

Tertuduh sebelum itu pergi ke rumah mangsa pada awal pagi hari sama dan membawanya pulang ke rumah di alamat berkenaan.

Tibanya di rumah, tertuduh membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik dan beberapa kali merogolnya sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah itu.

Bapa mangsa yang menyedari kehilangan anaknya kemudian mencari mangsa sebelum mangsa pulang ke rumah pada jam 5 petang dan memberitahu bapanya dia dirogol oleh tertuduh.

Pada prosiding itu, peguam, Mohamad Asyraf Zakaria merayu bagi pihak anak guamnya itu supaya mahkamah memutuskan hukuman ringan dengan alasan tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih. Katanya, insiden itu juga berlaku tanpa perancangan atau paksaan.

“Tertuduh ikhlas menginsafi kesalahan yang dilakukan. Kesalahan ini juga adalah kesalahan pertamanya dan dia masih muda. Hukuman penjara lama juga tidak akan dapat menghalang pasangan kekasih lain daripada membuat kesalahan,” katanya.

Alasan peguam berkenaan bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari yang memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi menyampaikan mesej kepada umum bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan seperti itu.

“Mangsa hanya berumur 14 tahun, manakala tertuduh pula 20 tahun. Apa yang tidak dirancang, sedangkan mangsa diambil daripadanya rumah pada jam 4 pagi dan pulang hanya pada jam 5 petang.

“Mereka pasangan kekasih dengan perbezaan umur enam tahun. Tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa atas nama sebagai pasangan kekasih,” katanya.

Mekanik maut dilanggar lori


Razali maut di tempat kejadian setelah berlanggar dengan lori di hadapan Pasar Wakaf Bharu, semalam.
Razali maut di tempat kejadian setelah berlanggar
dengan lori di hadapan Pasar Wakaf Bharu, semalam.
TUMPAT – Seorang mekanik maut apabila motosikalnya berlanggar dengan lori yang membawa daging beku di kilometer 6.5 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor di hadapan Pasar Wakaf Bharu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, mangsa dikenali Razali Idris, 53, dari Kampung Menjual di sini maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila mangsa dari simpang pasar Wakaf Bharu menghala ke rumahnya menukar haluan secara mengejut untuk masuk ke simpang Padang Rokma.

“Mangsa telah mengubah haluan dari tepi jalan sebelah kiri ke tengah jalan di laluan lori tersebut,” katanya.

Menurutnya, dalam jarak yang dekat, lori tersebut yang dalam perjalanan ke Rantau Panjang dari Kota Bharu terlanggar mangsa walau pun pemandu lori terbabit cuba mengelak sehingga terbabas ke bahu jalan sebelah kanan.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Zaharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian diminta menghubungi polis di Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Tumpat di talian 09-7257222 untuk membantu siasatan kemalangan tersebut,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Naimah Che Salleh, 45, berkata, dia mengetahui abangnya terlibat dengan kemalangan selepas dihubungi oleh keluarga terdekat.

Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi kejadian namun tidak sempat menyelamatkannya kerana dia sudah meninggal dunia.

“Abang saya tidak menentu tempat kerjanya kerana kerjanya membaiki peti sejuk secara bergerak.

“Mungkin kemalangan itu berlaku ketika dia ke rumah pelanggannya untuk baiki peti sejuk,” katanya memaklumkan abangnya  seorang duda tujuh anak.

Peniaga trauma ditikam peragut


Gambar mangsa cedera selepas diragut tersebar di laman sosial semalam.
Gambar mangsa cedera selepas diragut tersebar di laman sosial semalam.
PASIR PUTEH - Peniaga perempuan trauma selepas ditikam peragut pada tangan dan paha dalam kejadian di hadapan kedai borong telur di bandar ini petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Chong Bi Lai, 59, ditikam dengan objek tajam sebanyak dua kali di tangan dan dua kali di paha oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, mangsa meletakkan kenderaan di hadapan kedai dan keluar untuk membeli telur.

Katanya, ketika mangsa mahu masuk semula ke dalam kereta selepas membeli telur, keretanya dihampiri kereta dipercayai jenis Toyota Vios warna putih.

“Seorang lelaki tiba-tiba keluar dari kereta tersebut dan berjaya menghalang mangsa menutup pintu kereta, suspek terus menikam bahagian atas tangan dan paha mangsa.

“Suspek cuba mengambil beg sandang mangsa yang tersangkut pada bahu kanan mangsa, mangsa cuba melawan walaupun dalam keadaan berlumuran darah namun akhirnya beg itu berjaya dilarikan suspek,” katanya.

Menurutnya, kereta yang dinaiki suspek kemudiannya memecut laju ke arah jalan Jertih, Terengganu.

Mohd Kamal berkata, mangsa kemudian meminta pertolongan orang ramai di kawasan sekitar kedai tersebut dan tidak lama selepas itu, ambulans membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis (HTA).

“Suspek yang meragut beg mangsa dicam memiliki susuk tubuh sederhana, kulit hitam manis, muka agak berjerawat dan rambut pendek.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa mendapat cedera ringan dengan luka kecil pada bahagian tangan dan pada paha kanan," katanya.

Mangsa yang dirawat di unit kecemasan HTA itu kemudiannya memohon untuk berada di wad kerana masih terkejut dengan kejadian itu.

Dalam kejadian itu, mangsa kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, Kad kredit Mastercard dan Visa, wang tunai berjumlah RM100 serta satu telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Note 3 warna merah.

Mohd Kamal berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa melakukan kegiatan samun termasuk mengenal pasti identiti pemilik kenderaan yang digunakan oleh suspek untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Bi Lai ketika ditemui di HTA semalam berkata, kecederaan di belakang tapak tangan, pergelangan tangan dan paha kanan tidak serius sebagaimana yang digambarkan dalam media sosial.

Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam waktu yang terlalu pantas yang menyebabkan dia gagal untuk meminta pertolongan orang ramai.

“Ini adalah kejadian pertama yang saya alami dan ia paling menakutkan saya.

“Kalau penjahat itu guna pisau pastinya kecederaan lebih parah. Berita laman sosial yang mengatakan tangan saya dikelar, dikerat dan sebagainya adalah tidak betul,” katanya.

Kanak-kanak maut jatuh tingkat sembilan


Nurul Elies Natasha terjatuh dari tingkat sembilan Kuarters Kem Batalion 6 PGA Bakri. (Gambar kecil) Siling yang pecah dipijak mangsa.
Nurul Elies Natasha terjatuh dari tingkat sembilan Kuarters
 Kem Batalion 6 PGA Bakri. (Gambar kecil) Siling yang pecah dipijak mangsa.
MUAR – Seorang murid sekolah rendah maut, selepas terjatuh dari tingkat sembilan Kuarters Kem Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Nurul Elies Natasha Abd Aziz, 11, bersama beberapa rakannya bermain sorok-sorok di kawasan berkenaan, sementara ibu bapanya dan kanak-kanak lain pula menghadiri majlis di blok itu.

Kejadian malang itu dipercayai berlaku apabila siling dipijak mangsa pecah. Difahamkan, Nurul sempat berpaut pada kayu siling dan tepi blok, sebelum terjatuh serta terhempas dua kali di atas tanah dan longkang kecil.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, kejadian itu disedari seorang penduduk yang melalui kawasan berkenaan apabila terlihat tubuh seorang kanak-kanak berada dalam longkang.

“Nurul yang masih bernafas lemah dengan pendarahan pada bahagian hidung diangkat dan diletakkan di atas lantai.

“Keadaan menjadi kecoh apabila ramai jiran mula mengerumuni kawasan itu dan tidak lama kemudian mangsa meninggal dunia,” katanya, semalam.

Jiran terbabit berkata, kawasan itu menjadi tempat permainan kanak-kanak di situ, tetapi tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

Nurul merupakan anak sulung daripada tiga-beradik dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Parit Zin, Bakri, yang terletak dua kilometer dari kuarters itu.

Seorang rakan sekelas mangsa, Nursyazwani Najwa Roszman, 11, berkata, Nurul dilihat kurang bercakap berbanding kebiasaannya ketika bertemu di sekolah pada sebelah pagi kelmarin.

“Dia seorang yang peramah. Saya terkejut dengar dia jatuh," katanya.

Usaha Sinar Harian untuk menemu bual ibu bapa mangsa tidak berjaya kerana difahamkan mereka pulang ke kampung di Jeli, Kelantan bagi urusan pengebumian mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang


29 September 2014


LABUAN - Dua belas orang daripada lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas lima rumah setinggan yang mereka diami di Kampung Gersik Baru di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Labuan, Jason Bilin berkata, penghuni lima rumah berkenaan cuma sempat menyelamatkan diri masing-masing dalam kejadian 2.38 pagi tadi.
   
Katanya empat jentera bomba berserta 27 anggota yang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak kira-kira 3.18 pagi.
   
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. - Bernama

Bayi 10 bulan melecur, polis tahan pengasuh


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 September 2014

Bayi 10 bulan melecur, polis tahan pengasuh

BANDARAYA MELAKA - Seorang pengasuh kanak-kanak berusia 30 tahun ditahan polis Rabu lalu bagi membantu siasatan kejadian seorang bayi perempuan berusia 10 bulan yang didapati melecur teruk pada punggungnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek yang kini telah dijamin dipercayai dapat membantu siasatan polis ke atas kejadian berkenaan.

Menurutnya, pengasuh berkenaan ditahan polis susulan satu laporan yang dibuat bapa bayi berkenaan selepas mendapati punggung anaknya didapati melecur teruk.

"Selasa lepas, lelaki itu bersama isterinya telah mengambil dua orang anak perempuan mereka di rumah pengasuh berkenaan di Bertam Hulu.

“Malam itu, apabila isteri pengadu mahu menggantikan lampin bayi berkenaan, dia mendapati punggung bayi itu melecur teruk,” katanya di sini semalam.

Pasangan itu kemudiannya membawa anak mereka ke sebuah klinik sebelum mereka dirujuk ke Hospital Melaka.

Menurut Raja Shahrom, bapa bayi berkenaan membuat laporan polis selepas mengesyaki bayinya berkemungkinan didera.

Menurutnya, bayi berkenaan masih ditahan di Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Kes berkenaan masih disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Pengarah kastam KL, 5 pegawai mengaku tak bersalah


Rasuah
SHAH ALAM - Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah terhadap 21 pertuduhan menerima suapan lebih RM39,000.

Datuk Mohd Isa Endot dan lima pegawai kastam yang lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, sebentar tadi.

46 remaja ditahan dalam pesta liar positif dadah


Antara individu yang ditahan bagi membantu siasatan.
Antara individu yang ditahan bagi membantu siasatan.
KUALA LUMPUR - Keghairahan 96 remaja berpesta liar di sebuah kondominium di Jalan Kassipillay di sini, semalam, berakhir dengan 46 daripada mereka ditahan polis selepas didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, serbuan pada kira-kira jam 5 pagi itu mendapati semua pengunjung berusia 18 hingga 22 tahun terdiri daripada 78 lelaki dan 18 wanita sedang berhibur.

“Hasil saringan air kencing, kita dapati 37 lelaki dan sembilan perempuan yang berada di premis tersebut positif dadah jenis ganja dan methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja berkenaan menyewa apartmen tersebut dengan bayaran RM390 sehari.

“Tindakan mereka ini menyebabkan orang awam berasa curiga sebelum memaklumkan kepada pihak polis yang seterusnya membuat serbuan,” katanya.

Kesemua remaja yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan lanjut.

Puluhan pendaki dikhuatiri maut


Anggota penyelamat berusaha membawa turun beberapa pendaki. Foto: AFP
Anggota penyelamat berusaha membawa turun beberapa pendaki. Foto: AFP
OTAKI - JEPUN. Lebih 31 pendaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran gunung berapi Ontake selepas ia meletus secara tiba-tiba dan membebaskan debu tebal ke udara, kelmarin.

Jurucakap polis wilayah Nagano memaklumkan pengesahan kematian tidak boleh dibuat sehingga ia disahkan oleh doktor.

Susulan daripada itu, kira-kira 550 anggota penyelamat telah dikerah untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat puluhan lagi pendaki yang dipercayai masih terkandas di kawasan tersebut.

Menurut AFP, usaha itu dilaporkan berdepan kesukaran susulan debu setebal 20 sentimeter melitupi sebahagian besar kawasan sekitar gunung berapi Ontake.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan turut mengesahkan kira-kira 49 pendaki menyertai ekspedisi pendakian puncak gunung setinggi 3,067 meter tersebut.

Polis tahan mekanik, rampas dadah bernilai lebih RM86,000

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Mohamad @ Ahmad (kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dalam Ops Cantas di Taman Sutera, dekat sini, Rabu lalu. - Foto Omar Osman
SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang mekanik lelaki berumur 33 tahun dan merampas 54 kg ganja dianggarkan bernilai RM86,400, menerusi Ops Cantas di Taman Sutera, dekat sini, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Mohamad @ Ahmad berkata dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada jam 8.40 malam itu, polis menemui 56 ketulan mampat daun kering disyaki ganja di ruang tamu rumah sewa suspek, di taman berkenaan.
"Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama enam hari, sehingga 30 Sept ini.
"Dalam serbuan sama, polis turut merampas dua buah kereta, Proton Iswara dan Wira, dianggarkan bernilai RM25,000, di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 Akta 340, untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini, hari ini.
Mohd Sabri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kes berkenaan mungkin melibatkan satu sindiket pengedaran dadah, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
"Kita percaya dadah yang dirampas ini sebenarnya sedang dalam proses untuk diedarkan ke pasaran setempat, namun setakat ini hanya seorang suspek yang ditahan," katanya.
- BERNAMA

SPRM tahan seorang lagi kes seludup keluar barang dari PKFZ

 AHAD, 28 SEPTEMBER 2014 @ 9:43 PM
KUALA LUMPUR: Seorang individu yang disyaki bersuhabat dengan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menerima wang rasuah daripada sindiket penyeludupan arak yang tidak dibayar cukai eksais, telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata individu itu kini direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
"Perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Jamidan berkata lelaki itu merupakan orang awam ke-31 ditahan SPRM dalam operasi besar-besaran sejak 3 September lepas.
Sehingga Khamis lalu, 12 pegawai Kastam telah didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ipoh secara berperingkat.
Kenyataan itu berkata, 16 pegawai Kastam masih ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan kes penyeludupan barang-barang yang lari daripada pembayaran duti kastam. Penahanan semua individu itu adalah hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang (PKFZ). - BERNAMA

Juruterbang Air France henti mogok

AHAD, 28 SEPTEMBER 2014 @ 8:21 PM

 
PARIS: Juruterbang syarikat penerbangan Air France menamatkan mogok selama dua minggu yang melumpuhkan industri penerbangan negara berkenaan, kata pegawai kesatuan sekerja, hari ini.

Mogok itu diadakan berikutan rancangan mewujudkan syarikat penerbangan tambang murah sehingga menyebabkan berlakunya mogok sekali gus mengakibatkan kerugian kira-kira 20 juta euro sehari.

"Saya sudah mengesahkan bahawa SNPL (kesatuan sekerja utama syarikat penerbangan) memutuskan untuk menamatkan mogok ini," kata jurucakap kesatuan sekerja SPAF, Julien Doboz. - Reuters

Lagi kes godam ATM, RM303,000 lesap di PJ

ISNIN, 29 SEPTEMBER 2014 @ 7:02 AM

 
KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai warga asing disyaki melesapkan RM303,000 daripada dua mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Petaling Jaya kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim, berkata perkara itu terbongkar selepas seorang pegawai bank berkenaan membuat semakan susulan kejadian serupa yang menimpa cawangan bank berkenaan di selatan tanah air kelmarin.

"Pada kira-kira 6.30 petang kelmarin, setelah selesai membuat 'balancing' bersama pengurus cawangan bank berkenaan, pegawai bank itu mendapati sejumlah RM33,500 telah dikeluarkan melalui penggunaan kad ATM manakala RM303,000 lagi lesap dipercayai akibat mesin ATM digodam.

"Baki yang tinggal dalam mesin ATM itu hanya RM3,500," katanya ketika dihubungi.



BERNAMA semalam melaporkan sejumlah RM530,600 wang tunai di dua ATM sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor lesap apabila digodam semalam dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih.

Azmi berkata, mengikut pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup, pegawai bank itu mendapati dua suspek itu telah membuka bahagian atas dua mesin ATM dan memasukkan sesuatu ke dalamnya kira-kira 12.30 tengah malam semalam," katanya.

-- BERNAMA

Warga emas ditahan noda anak jiran


Oleh Mohd Fadly Samsudin
Kajang: Seorang lelaki warga emas ditahan kerana mencabul dua kanak-kanak perempuan yang juga anak jirannya, di Jalan Tenaga, Hulu Langat di sini, antara Mac 2013 hingga Februari lalu.

Penahanan lelaki berusia 63 tahun itu dilakukan selepas ibu mangsa membuat laporan polis dan dia ditahan di rumahnya, Jumaat lalu.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kanak-kanak perempuan berusia 10 dan kakaknya berusia 12 tahun itu dipercayai dicabul suspek di rumah mereka.

“Kejadian bagaimanapun dirahsiakan dua kanak-kanak ini sehingga mereka menceritakannya kepada seorang jiran baru-baru ini.


“Ibu mangsa berusia 48 tahun, turut membawa kedua-dua anaknya ke Hospital Kajang bagi melakukan pemeriksaan,” katanya.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan tiada kesan koyakan pada kemaluan kedua-dua mangsa.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan siasatan lanjut mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Pengsan anak bawah lori


Bachok: Seorang ibu tidak dapat menahan sebak dan pengsan seketika sebaik ditunjukkan lokasi anak perempuan bongsunya maut dalam kemalangan di Kampung Mujor, Bachok, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, motosikal yang dibonceng Nurin Sofiah Che Mazidi, 15, gagal dikawal dan merempuh sebuah lori menyebabkan dia terperosok serta meninggal dunia di tempat kejadian. 
Manakala, rakannya, Siti Yusrina Rosdi, 15, yang menunggang motosikal berkenaan parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). 

Menurut abang Nurin Sofiah, Mohd Amirul, 21, ibunya Fatimah Ismail, 45, bergegas ke tempat kejadian sebaik diberitahu adiknya kemalangan ketika dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak, di sini.
Foto
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Nurin Sofiah di lokasi nahas di Kampung Mujor, Bachok, semalam.

Bagaimanapun, katanya, ibunya gagal mengawal diri dan terpaksa ditenangkan ahli keluarga sebelum dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Loak, Bekelam, di sini untuk berehat seketika serta menunggu ketibaan jenazah.

“Sebelum kejadian, Nurin Sofiah ke sekolah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5, namun tidak tahu pula yang dia meninggalkan motosikal itu di rumah rakan dan hanya membonceng motosikal rakannya. 

“Saya hanya mengetahui dia ditimpa kemalangan apabila seorang rakannya memaklumkan kami sekeluarga kira-kira jam 8 pagi. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Sebulan tak balik


Seremban: “Saya sudah buntu hingga tak tahu bagaimana hendak cari dia dan sejak kehilangannya aktiviti harian kami serba tak kena,” kata Muhamad Zaidi Mohamed Yunus, 42.
Muhamad Zaidi yang juga peniaga ayam golek di Jalan Bukit Kuda, Klang, Selangor kini hidup dalam kebimbangan apabila anak bongsunya, Putri Najiha, 16, menghilangkan diri sejak keluar bersama bakal tunang, Ahmad Fauzi Jaamat, 22, di i-City, Shah Alam, Selangor pada 28 Ogos lalu.
Menurut Muhamad Zaidi, anak bongsu daripada tiga beradik itu bersiar-siar bersama Ahmad Fauzi kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian dan dipercayai mengikut seorang lelaki lain.
Katanya, ketika keluar bersama Ahmad Fauzi, anaknya dikatakan memberi alasan kepada bakal tunangnya untuk ke tandas, tetapi tidak kembali dan dipercayai dilarikan seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta.
“Pengawal keselamatan di i-City memberitahu Ahmad Fauzi, dia ternampak anak saya mengikut seorang lelaki berusia 50-an.
“Selepas disiasat, lelaki terbabit disyaki bapa kepada bekas pekerja saya dikenali sebagai Ajoi, 31, dan dia dipecat Julai lalu kerana cuba melakukan perbuatan tidak baik kepada Putri Najiha.
“Saya mengesyaki Ajoi bersubahat dengan bapanya untuk melarikan anak saya kerana selepas dipecat, Ajoi kerap berhubung dengan anak saya melalui telefon bimbit,” katanya, semalam.
Menurut Muhamad Zaidi, dia cuba mengesan anaknya itu melalui telefon bimbit, namun gagal kerana talian ditutup, malah turut pergi ke rumah bapa Ajoi di Batang Melaka, Melaka tetapi tidak menemui mereka.
Katanya, sebelum itu, Putri Najiha yang tidak lagi bersekolah tidak menunjukkan perubahan sikap atau tiada perkara menguris hatinya.
“Hubungan Putri Najiha dengan ahli keluarga lain juga baik,” katanya yang ditemui bersama isterinya, Jamaliah Abdullah, 42.
Menurutnya, dia sudah membuat tiga laporan polis iaitu pada 29 Ogos di Balai Polis Klang Utara diikuti Balai Polis Daerah Shah Alam pada 2 dan 7 September lalu “Kami sekeluarga bimbang keselamatannya, apatah lagi dia seorang remaja muda yang belum matang dalam membuat keputusan.
Foto
PUTRI Najiha.
“Saya harap orang ramai dapat membantu mengesan Putri Najiha.

Jika mempunyai maklumat boleh menghubungi saya di talian 010-2443425,” katanya.
Foto
MUHAMAD Zaidi bersama isterinya menunjukkan laporan polis.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Bayi melecur di rumah pengasuh


Melaka: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan melecur teruk di sebahagian punggungnya dipercayai didera pengasuhnya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Tangga Batu, dekat sini, Selasa lalu.
Sebahagian punggung bayi itu dipercayai dicucuh dengan benda panas sehingga melecur ketika dijaga pengasuhnya. 
Bapa bayi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Asmadi, 28, mendakwa, bayinya itu dihantar ke rumah pengasuh oleh isterinya seperti biasa sebelum ke tempat kerja pagi Selasa lalu. 

“Isteri menjemput anak kami itu di rumah pengasuh jam 6.50 petang dan ketika dalam perjalanan pulang, dia kelihatan merengek dan gelisah.
Foto
KEADAAN punggung bayi dipercayai didera pengasuhnya.

“Sebaik tiba di rumah, bapa mendukung anak saya sebelum tiba-tiba meraung kesakitan apabila punggungnya disentuh. Pelik dengan perkara itu, bapa menyelak lampin pakai buang sebelum melihat kesan seolah-olah terbakar di punggung anak,” katanya, di sini, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

17 tahi judi ditahan di gelanggang kebun getah


Alor Setar: Wang tunai RM12,558, dipercayai wang pertaruhan 17 tahi judi antara yang dirampas hasil serbuan di ‘port’ baru judi laga ayam di dalam kebun getah di Kampung Cherok Air Pasang, Bukit Pinang, di sini, Jumaat lalu.

Serbuan jam 6.30 petang itu dilakukan sepasukan lapan anggota Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Inspektor Noor Azman Adnan sempena Ops Dadu dan Cantas hasil maklumat awam serta risikan polis.

Difahamkan, lokasi berkenaan dikesan menjadi lokasi terbaru kaki judi menerusi aktiviti laga ayam di sekitar bandar ini untuk melepaskan gian berikutan beberapa markas mereka sebelum ini dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, 17 tahi judi ditahan terdiri daripada lelaki berusia 20-an hingga 40-an dan mereka dipercayai menjadikan lokasi itu sebagai markas judi sejak sebulan lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menggunakan lima ayam jantan yang dibeli khas daripada penjual di sekitar negeri ini dan negara jiran untuk dijadikan ayam laga.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan seperti enam kotak plaster, lawi ayam (empat pasang), kanvas (2), masing-masing satu unit pisau lipat, gunting, gam, generator dan RM12,558 dipercayai hasil pertaruhan,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Adzaman, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Bas USIM terbabas


Gombak: Sebuah bas membawa 24 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terbabas melintangi longkang di Jalan Sungai Tua, di sini, selepas bas berkenaan dipercayai mengalami masalah brek, petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, bas yang dipercayai dalam perjalanan pulang dari Hutan Lipur Ulu Yam dikatakan hilang kawalan ketika menuruni jalan curam sebelum ia terbabit terbabas.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad bagaimanapun berkata, tiada mangsa yang terkorban tetapi dua pelajar wanita dilaporkan cedera parah manakala sembilan lagi cedera ringan.

Menurutnya, seorang pelajar dikejarkan ke Hospital Selayang manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Foto
KEADAAN bas yang terbabas akibat masalah brek.
Foto
ANGGOTA penyelamat membawa mangsa yang cedera ke dalam ambulans.

“Selain dua mangsa itu yang cedera parah serta cedera ringan itu, semua pelajar lain berusia antara 20 hingga 25 tahun dilaporkan selamat,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu bas berusia 44 tahun dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Kekejaman bersarang di hati


Pasir Puteh: Tidak cukup begnya dirampas, seorang wanita cedera parah apabila ditikam sebanyak empat kali di tangan dan paha kanannya dalam satu kejadian samun di depan sebuah kedai borong di bandar ini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa, Ching Bi Lai, 59, parah selepas ditikam dengan objek tajam sebaik keluar dari kedai berkenaan yang menjual telur secara borong. 
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, sebelum kejadian, mangsa meletakkan keretanya di depan premis berkenaan di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu untuk membeli telur. 

“Sebaik selesai urus niaga, wanita berkenaan masuk semula ke dalam keretanya dan terus menghidupkan enjin. Ketika hendak menutup pintu kereta, mangsa melihat ada sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih menghampiri dan seorang lelaki tidak dikenali keluar dari kereta berkenaan serta berjalan menuju ke arahnya.
Foto
MANGSA yang cedera parah dibantu orang ramai untuk dihantar ke hospital selepas ditikam empat kali oleh penyamun.

“Tanpa diduga, suspek terus menikam bahagian atas tangan mangsa sebanyak dua kali disusuli paha kanan, juga sebanyak dua kali menggunakan objek tajam,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Terlelap di pucuk kelapa


Ranau: Merajuk kerana tidak diberikan sebotol arak, seorang warga emas mengambil keputusan memanjat pokok kelapa dan enggan turun selama lebih lima jam sehingga memaksa orang ramai menghubungi pasukan penyelamat bagi membantu menurunkan mangsa.
Dalam kejadian jam 7 pagi di Kampung Sinarut Lama, di sini, semalam, warga emas berusia 70 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas dikatakan merajuk dengan rakan yang enggan memberi arak kepadanya. 
Lelaki terbabit memanjat pokok kelapa setinggi lebih enam meter untuk mengambil nira, tetapi enggan turun. 

Menurut saksi, orang ramai memujuknya turun, tetapi lelaki itu berkeras mahu berada di atas pokok.
Foto
WARGA emas yang enggan turun dari pokok kelapa di Kampung Sinarut Lama, semalam.

Difahamkan, warga emas itu dipercayai tertidur beberapa kali sehingga penduduk menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta bantuan.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29