Search This Blog

Friday, September 26, 2014

Lelaki Culik Teman Wanita Di Sekolah Ditahan


Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2014 5:11 PM
Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang bertindak menculik teman wanitanya dari sebuah sekolah sebelum mengasari mangsa di Likas dekat sini.

Ketua Polis Kota Kinabalu Supritendan M Chandra berkata, lelaki tersebut menunggu gadis berusia 17 tahun itu turun dari bas sekolahnya kira-kira pukul 6 pagi Jumaat dan mengekorinya ke dalam kawasan sekolah dengan kereta.
Lelaki itu kemudiannya memaksa gadis itu masuk ke dalam kereta dan memandu kira-kira 100 meter ke kawasan perumahan berdekatan dengan niat untuk meyakinkan gadis itu supaya tidak menamatkan hubungan mereka.
Apabila gadis itu menolak, suspek menumbuk dan menampar mangsa di pipi kanannya.

Ketika lelaki itu cuba mendapatkan sesuatu dari tempat duduk belakang, gadis itu berjaya membuka pintu kereta dan melarikan diri ke sekolah.

Lelaki itu memasuki kawasan sekolah semula untuk menggembalikan beg gadis tersebut sebelum berlalu pergi.

Gadis itu kemudiannya membuat laporan polis mengenai insiden itu.

Lelaki itu ditahan ketika dia pergi menyerah diri di Balai Polis Kota Kinabalu.
mstar

Wanita Dipenjara Simbah Minyak Petrol Di Rumah Jiran Bekas Teman Lelaki


Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2014 3:12 PM

KUALA LUMPUR: Seorang kerani bank pada Jumaat dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini selepas didapati bersalah menyimbah minyak petrol di hadapan rumah jiran bekas teman lelakinya.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Melati Hassan, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap wanita itu kerana gagal menunjukkan kad pengenalan dan memerintahkannya menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara serentak bermula hari ini.

Dia didakwa melakukan khianat dengan menyimbah minyak petrol di hadapan rumah milik Amar Amjad Mohd Basari, 30, di Permai Court 1, Taman Dato Ahmad Razali Ampang di sini pada 2 pagi, 13 Nov 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nor Melati juga didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan pada masa dan tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Ghazali Taib yang mewakili tertuduh dalam rayuannya berkata Nor Melati merupakan ibu tunggal dan mempunyai tiga anak.

Katanya anak guamnya menghidap penyakit kronik iaitu ketumbuhan di kepala tetapi tidak mampu untuk membuat pembedahan dan penyakit itu menyebabkan dia mudah pengsan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya S. Punima berkata tertuduh tidak pernah mengemukakan laporan perubatan beliau kepada mahkamah sebagai bukti dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
mstar

Gempa Bumi Landa Central Alaska


Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2014 12:15 PM

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Central Alaska, 1.51 pagi Jumaat.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, pusat gempa itu terletak 2,266km di barat laut Vancouver, Kanada dan 9,393km di timur laut Kudat, Sabah.

Namun tiada ancaman tsunami dilaporkan.
mstar

Dua penjual besi buruk didakwa tipu lebih RM1.8j

SELASA, 30 SEPTEMBER 2014 @ 5:20 PM


SHAH ALAM: Dua penjual besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengarah urusan sebuah syarikat untuk menyerahkan cek bernilai lebih RM1.8 juta bagi bayaran bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mac lalu.

S Mahendran, 35, dan P Krishnamoorthy, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim G Ramesh.

Mereka didakwa bersubahat dengan pemilik Syarikat Eagle Services & Solutions, Wan Mahrom Shah Wan Musa menipu pengarah urusan Syarikat Mettube Sdn Bhd, Sukhvinder Singh untuk mempercayai bahawa Syarikat Eagle boleh mendapatkan diskaun dua peratus daripada TNB bagi bil elektrik Syarikat Mettube.

Ini mendorong Sukhvinder Singh menyerahkan sekeping cek bernilai RM1,847,573.18 sebagai bayaran bil elektrik itu kepada Eagle Services.



Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Mettube di No. 2, Persiaran Kuala Langat, Seksyen 27 di sini 29 Mac lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh dan tarikh sebutan kes pada 17 Oktober depan.

Pendakwaan dikendalikan Mohd Raimi Mohd Ramli manakala Mahendran diwakili peguam Suzana Norlihan Alias dan Krishnamoorthy diwakili peguam V Kumar.

- BERNAMA

Konstabel polis hadapi dua tuduhan rasuah bernilai RM4,000

JUMAAT, 26 SEPTEMBER 2014 @ 5:50 PM

 
IPOH: Seorang konstabel polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang suapan bernilai RM4,000 pada Ogos lalu.

Tertuduh Mohd Azrol Azreen Abu Hasan, 26, yang bertugas di Batalion 2 Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Kedah, didakwa meminta melalui panggilan telefon di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, pada jam 12 tengah hari 31 Ogos lalu, wang suapan sebanyak RM4,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tiga wanita warga Myanmar kerana tidak mempunyai kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang tunai sebanyak RM4,000 pada tarikh sama jam 2.40 petang di Jalan Persiaran Meru Raya 5, Meru Raya, Ipoh, bagi tujuan sama.

Mohd Azrol Azreen, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000.



Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mukhriz Mat Rus di hadapan Hakim Madihah Harullah, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana bimbang tertuduh melarikan diri serta mengganggu saksi iaitu ketiga-tiga wanita Myanmar terbabit.

Mohd Azrol Azreen, bagaimanapun merayu supaya dibenarkan jaminan kerana perlu menanggung keluarga termasuk dua anak kecil yang berusia dua dan tiga tahun.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin iaitu isteri dan ibu tertuduh serta menetapkan 28 Oktober ini untuk perbicaraan.

Parlimen Indonesia mansuh pilihan raya pemimpin tempatan

JAKARTA: Parlimen Indonesia hari ini memutuskan untuk memansuhkan pilihan raya bagi pemimpin tempatan walaupun terdapat bantahan dan kritikan ia akan mengundurkan pembaharuan demokratik era pasca-Suharto.
Berikutan perbahasan hangat yang mengambil masa lebih 10 jam itu, 226 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bersetuju menamatkan sistem pilihan raya memilih Datuk Bandar, Gabenor Daerah dan Ketua Daerah.
Sebaliknya, parlimen tempatan diberi kuasa untuk melantik mereka yang dilihat pengkritik sebagai tamparan kepada proses demokrasi yang membawa kepada kejatuhan Suharto pada 1998.
Pihak yang membantah rang undang-undang itu gagal mendapat sokongan besar pada saat-saat akhir perbahasan apabila Parti Demokrat yang memerintah, yang dijangka membantah langkah itu, bertindak keluar dewan selepas syarat yang dikehendaki mereka tidak dipersetujui.
Hanya 135 ahli dewan memilih untuk mengekalkan pilihan raya, disambut dengan bantahan aktivis di luar dewan bagi menunjukkan kemarahan mereka. - REUTERS

Penerbangan WestJet ke Kanada mendarat cemas

LAS VEGAS: Penerbangan WestJet dari Las Vegas ke Kanada berpatah balik dan mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran selepas 13 minit berlepas.
Jurucakap Lapangan Terbang Christine Crews berkata, anggota kru penerbangan 1709 ke Victoria di British Columbia itu bimbang pesawat terbabit mungkin mengalami kebocoran minyak sejurus berlepas kira-kira jam 3.18 petang.
Pesawat Boeing 737 dengan 126 penumpang itu kembali ke lapangan terbang pada jam 3.31 petang dan mendarat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Kebocoran minyak itu sudah dibaiki pesawat berkenaan sebelum berlepas semula jam 6 petang semalam. - AP

Empat murid sekolah mati ditikam seorang lelaki di China

BEIJING: Seorang lelaki menikam empat murid sekolah rendah sehingga mati di Guangxi hari ini, satu lagi kejadian dalam siri serangan terhadap kanak-kanak sejak beberapa tahun lalu.
Dalam kejadian berasingan, enam orang terbunuh terpijak di sebuah sekolah rendah di Kunming, ibu negeri wilayah Yunnan, lapor agensi berita Xinhua. Ia tidak memberi maklumat lanjut.
Polis sedang mencari lelaki pertengahan umur selepas kejadian serangan pisau itu. Lelaki itu menyerang murid sekolah berkenaan ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah.
Tiga daripada mereka mati di tempat kejadian dan seorang meninggal dunia kemudian di hospital berdekatan.

Serangan itu berlaku kurang dari sebulan selepas seorang lelaki menyerang tiga kanak-kanak dan mencederakan beberapa orang di sebuah sekolah rendah di wilayah Hubei.
Jenayah ganas jarang berlaku di China berbanding kebanyakan negara lain tetapi sejak beberapa tahun ini terdapat beberapa kejadian serangan di sekolah dan kanak-kanak.
Serangan itu menyebabkan timbul desakan bagi langkah untuk meningkatkan keselamatan di sekolah di negara berkenaan di mana kebanyakan pasangan hanya mempunyai seorang anak.
Mei lalu, lelaki bersenjatakan pisau menikam dan mencederakan lapan murid di sekolah rendah di sebuah lagi bandar di Hubei. Pada Disember 2012, seorang lelaki merempuh masuk ke sebuah sekolah rendah kampung di wilayah Henan dan menikam serta mencederakan 23 kanak-kanak. - REUTERS

Calon UPSR maut dirempuh kereta


Kereta Proton yang melanggar mangsa dalam kejadian semalam.
Kereta Proton yang melanggar mangsa dalam kejadian semalam.
KOTA BHARU - Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak sempat menduduki kertas ulangan peperiksaan terbabit selepas maut dirempuh kereta ketika melintas di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari berlaku ketika mangsa, Mohamad Annas Mohamad Redzwan,12, melintas ke seberang jalan daripada kiri jalan selepas dipercayai singgah di kedai basikal.

Menurut datuk mangsa, Bidin Mat, 68, dia hanya mengetahui cucunya terlibat dalam kemalangan selepas diberitahu jiran.

“Memang agak terkejut dengan kejadian itu, lagipun saya dan ibunya, tidak tahu Mohamad Anas keluar rumah.

“Hanya bila menerima berita dia terlibat dalam kemalangan barulah saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat mayat mangsa terbujur kaku di atas jalan,” katanya.

Bidin berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu dari dua beradik merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 3.

“Memang agak terkilan apabila mengetahui dia yang maut dalam kemalangan kerana hajatnya untuk menduduki  kertas ulangan UPSR yang sebelum ini bocor tidak kesampaian," katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohami Md Isa berkata, dalam kejadian itu, mangsa melintas jalan selepas melihat lampu isyarat bertukar merah.

“Dia dilanggar kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu dalam keadaan laju dan terus merempuh mangsa walaupun ketika itu lampu isyarat masih menunjukkan isyarat merah.

“Setakat ini kes ini masih disiasat dan pemandu turut ditahan untuk dibuat pemeriksaan air kencing," katanya.

Pelajar perempuan hampir dilarikan kekasih


26 September 2014


KOTA KINABALU - Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun hampir dilarikan oleh teman lelakinya dari sebuah sekolah menengah di Likas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 6 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun tersebut menarik mangsa ke dalam kenderaan miliknya jenis Perodua Myvi dan membawa mangsa ke Taman Jaya Likas yang terletak kira-kira 100 meter dari sekolah itu.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M. Chandra berkata mangsa yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 10 pagi tadi, mendakwa lelaki itu menampar dan menumbuknya.

"Siasatan lanjut mendapati pengadu dan suspek adalah pasangan kekasih sejak setahun lalu dan berkenalan melalui media sosial.

"Motif suspek berjumpa pengadu kerana suspek tidak berpuas hati pengadu mahu berpisah dengan suspek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, katanya, polis menahan suspek yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan pihaknya merampas Perodua Myvi miliknya dan jaket warna merah milik mangsa sebagai bahan bukti. - Bernama

Trauma ibu tak habis


Johor Bahru: Ibu bapa bayi yang menjadi mangsa serangan biawak, Nur Hidayah Abdul Rahman berusia lapan bulan akan diberikan kaunseling oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang trauma dengan insiden itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Asiah Md Ariff berkata, langkah itu diambil selepas melihat keadaan ibu mangsa Nur Raudhah Maisarah Abdullah, 38, yang masih tidak dapat melupakan insiden menimpa anak tunggalnya itu.

Katanya, keadaan Nur Hidayah semakin beransur pulih dan ceria, tetapi ibunya Nur Raudhah masih trauma dengan kejadian itu.
“Kita faham perasaannya kerana dia sendiri yang menyaksikan kejadian itu dan bergelut dengan haiwan berkenaan bagi menyelamatkan anaknya.

“Justeru, dalam musibah atau keadaan apa sekalipun, kita cuba membantu dengan menugaskan pegawai JKM memberi kaunseling kepada ibu bapa mangsa sehingga keadaan pulih dan ia mungkin mengambil masa kerana bukan mudah menghilangkan trauma,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Wad Kanak-kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi meninjau keadaan Nur Hidayah semalam turut disertai Ketua Penolong Pengarah JKM negeri Hashim Kidam dan Pegawai JKM Daerah Johor Bahru Manayi Ibrahim.
Foto
ASIAH mendokong Nur Hidayah yang semakin pulih daripada kecederaan akibat diserang biawak.
Sempena lawatan berkenaan, Asiah menyampaikan sumbangan kepada Nur Raudhah Maisarah.

Menurut Asiah, ibu bapa mangsa bagaimanapun tidak dikenakan tindakan atau didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mereka tidak didakwa kerana ia bukan berpunca daripada kecuaian dan kejadian itu berlaku di luar jangkaan. Tambahan, kawasan pulau itu sememangnya menjadi habitat bagi haiwan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Bahagian Pembedahan Plastik HSA Dr Low Tzuemn Ling berkata, keadaan Nur Hidayah bertambah stabil dan kini dalam pemantauan hospital.

Low berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang jangkitan pada Nur Hidayah dan memantau keadaannya sehingga pulih.

“Sebenarnya, kita turut terkejut dengan apa yang berlaku dan berusaha memberi rawatan sebaik mungkin kepadanya.

“Akibat serangan reptilia itu, Nur Hidayah menerima lebih 150 jahitan di dalam dan luar kawasan cedera iaitu pipi, dahi dan kepala.

“Bagaimanapun, Nur Hidayah bernasib baik kerana tidak menerima jangkitan setakat ini dan mungkin berada di wad untuk tempoh seminggu lagi bagi menerima rawatan susulan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

‘Habuan’ RM500,000


Shah Alam: Seorang Penolong Penguasa Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam terhadap tuduhan menerima suapan lebih setengah juta bagi tujuan melepaskan barang tidak bercukai.
Tertuduh, Harun Baba, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tujuh tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah 2009 membabitkan nilai suapan sebanyak RM688,100.

Mengikut kertas tuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai antara RM49,000 hingga RM162,700 antara April 2011 hingga Ogos lalu.
Tertuduh didakwa menerima suapan itu daripada beberapa individu warganegara Malaysia sebagai upah untuk mengesahkan dalam sistem maklumat kastam bahawa pemeriksaan terhadap kenderaan yang membawa minuman keras sudah dibuat.

Pemberian suapan itu bertujuan mendapatkan pengesahan dan pelepasan oleh JKDM terhadap borang K8 syarikat di mana individu terbabit mempunyai kepentingan sedangkan pemeriksaan tidak dibuat.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dua lokasi berasingan iaitu Hotel Armada, Seksyen 52, Petaling Jaya dan JKDM Cawangan Zon Bebas Pelabuhan Klang Barat (PKFZ).
Foto
PENOLONG Penguasa Kanan Kastam, Harun Baba dibawa keluar daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Saifuddin Hashim Musaimi dan Husmaruddin Husin kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM210,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada antara RM50,000 hingga RM 60,000 dengan alasan semua akaunnya dan isteri sudah dibekukan, malah dia mungkin ditahan kerja selain mempunyai tanggungan dan komitmen hutang kereta yang perlu dibayar.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Sembunyi dalam saluran paip


Malah, seorang lelaki hanya memakai seluar pendek tanpa baju ketika melarikan diri keluar dari tapak pembinaan di Jalan Larut ke arah jalan raya menghala ke persisiran pantai.

Mereka adalah antara 23 warga asing yang dicekup kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam ‘Ops Rantau’ yang dijalankan pada jam 11.45 pagi, semalam, dengan membabitkan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) bersama lima agensi penguatkuasa lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan RELA.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam pemeriksaan di Jalan Larut, lebih 50 lelaki warga Bangladesh dan Indonesia berusia antara 20 dan 40-an diperiksa termasuk enam daripadanya ditahan selepas bersembunyi di dalam saluran paip alat pendingin hawa.

“Hasilnya, 17 daripada mereka ditahan di Jalan Larut manakala enam lagi lelaki warga Bangladesh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Tanjung Tokong.

“Berikutan itu, 23 tahanan terbabit dibawa ke IPDTL untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai masuk ke dalam negara ini secara haram untuk bekerja di kawasan tapak pembinaan,” katanya.
Foto
SEBAHAGIAN warga asing ditahan dalam Ops Rantau, semalam.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan Seksyen 39(b) akta sama kerana melanggar syarat pas lawatan sosial.

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pemilik tapak projek mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/1963 kerana disyaki mengajikan dan melindungi lelaki warga asing tanpa permit sah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Pelawat datang meliwat


Alor Setar: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berdepan detik hitam apabila diliwat rakan sendiri dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Taman Nuri, di sini, Isnin lalu.

Kejadian dipercayai berlaku jam 9.30 pagi apabila mangsa dikatakan diarahkan suspek berusia 16 tahun mengikutinya ke premis berkenaan yang dihuni seorang lelaki lain berusia 35 tahun sebelum dipukul.


Difahamkan, suspek melakukan seks luar tabie terhadap mangsa menyebabkan remaja itu mengalami kesakitan sebelum diarahkan pulang.

Mangsa bertindak memaklumkan kepada keluarga lalu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.


Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian daripada doktor Selasa lalu.


Menurutnya, berikutan itu polis menahan suspek dan lelaki terbabit di rumah masing-masing di Taman Nuri pada jam 10 pagi, kelmarin, bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Maklumat bocor habis


Kuala Lumpur: Sindiket mesin perjudian siber di sekitar ibu kota bagaikan sudah ‘menghidu’ operasi Ops BAH 4 dilancarkan semalam apabila kebanyakan premis judi haram yang diserbu didapati tidak beroperasi.
Dalam serbuan bermula jam 11 pagi itu, semua premis mesin judi berkenaan didapati kosong dan tiada sebarang aktiviti perjudian dijalankan.

Operasi besar-besaran itu membabitkan seramai 378 pegawai dan anggota daripada 13 agensi penguatkuasaan dengan menyasarkan 74 premis yang disyaki menjalankan kegiatan haram itu.
Antara agensi yang terbabit adalah Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jawatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Telekom Malaysia (TM) serta badan sebuah badan NGO, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Bagaimanapun operasi terbabit masih berjaya merampas sejumlah unit komputer selepas ia disahkan pakar perjudian Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan perjudian.

Kebanyakan premis judi menggunakan taktik meletakkan iklan premis untuk dijual atau disewa di pintu hadapan premis.
Foto
KOMPUTER yang digunakan untuk berjudi dirampas.
Selain itu ada juga premis yang membina dinding besi atau konkrit di bahagian hadapan bagi menyukarkan pihak berkuasa melakukan serbuan.

Lebih mengejutkan apabila ada antara premis berkenaan yang mempunyai laluan khas bagi menghubungkan premis bersebelahan atau bertujuan untuk melarikan diri.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, walaupun tiada tangkapan membabitkan perjudian, operasi membanteras akan diteruskan.

Katanya, kerjasama daripada pelbagai agensi dalam Ops BAH 4 itu memberi kesan kepada sindiket judi komputer serta melumpuhkan kegiatan haram itu.

“Dalam Ops BAH 4 yang dijalankan hari ini (semalam), 680 komputer dan lima mesin judi berjaya dirampas daripada 34 premis yang diserbu di sekitar kawasan Cheras dan Bandar Tun Razak di sini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Denda nikah tanpa izin


Petaling Jaya: Pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal masing-masing didenda RM1,000 dan RM800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Subang Bestari atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran dan bersubahat dalam pernikahan mereka itu di Taman Datuk Harun, dua tahun lalu.
Hakim Syarie Saharuddin Selamat membuat keputusan itu terhadap pasangan berkenaan selepas mereka mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. 
Mahkamah turut memerintahkan Aeril atau nama sebenarnya Suhairi Sunari, 26, dan Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 22, dan Wawa masing-masing menjalani hukuman penjara dua bulan dan 40 hari jika gagal membayar denda. 

Selain pasangan itu, bapa angkat Aeril, Wahab Raop, 71, turut didenda RM800 kerana bersubahat dalam pernikahan mereka.
Foto
AERIL dan Wawa masing-masing didenda RM1,000 dan RM800. FOTO Rohanis Shukri

Ketiga-tiganya didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Februari 2012.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Dituduh rompak siswi


Alor Gajah: Seorang peniaga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merompak hingga mencederakan siswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu di sebuah apartmen, dua minggu lalu.
Tertuduh, Rahim Othman, 20, dari Taman Mutiara membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Rahim didakwa merompak dan mencederakan Siti Irina Ridzwan, 20, di sebuah apartmen di Jalan Dimensi Utama, jam 6.15 pagi, pada 10 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
Foto
SUSPEK kes tikam dan mencederakan pelajar siswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu (kiri dan kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah.

Sementara itu, rakannya, Amir Fusyairi Ahmad Anuar, 41, mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersubahat melakukan jenayah berkenaan.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

‘Bersama selama-lamanya’


Lundu: “Mereka rapat seperti adik beradik, saya tidak sangka mereka ‘pergi’ bersama selama-lamanya,” kata Sharifah Nuraizah Mirza Syed Norrais, 15, kakak kepada Syed Faizzahin, 10, yang dikhuatiri lemas bersama sepupunya, Muhammad Irfan Arman, 10, di Pantai Pandan, di sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 hingga 6 petang apabila kedua-dua murid tahun empat itu dilaporkan lemas dan mayat Muhammad Irfan ditemui terdampar di pantai ketika air surut jam 9.15 malam hari kejadian.
Difahamkan, Syed Faizzahin, anak ketiga Koperal Syed Norrais Syed Ahmad, 43, anggota Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dan dilaporkan keluar rumah jam 5.30 petang untuk bermain bola bersama sepupunya di Kampung Pandan, di sini.

Mangsa masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Stunggang Melayu dan Sk Siar Campuran, di sini.
Foto
AHLI keluarga menunggu perkembangan mangsa lemas. Gambar kecil, gambar kenangan Syed Faizzahin bersama keluarga.

Menceritakan kejadian, Sharifah Nuraizah berkata, kehilangan adiknya hanya disedari ahli keluarga selepas mereka berdua tidak pulang ke rumah seperti biasa sebaik keluar bermain bola di kawasan berhampiran.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Tetak kekasih sampai mati


Taipei: Seorang lelaki ditangkap semalam selepas menetak hingga mati teman wanitanya.

Media tempatan melaporkan, pelajar lulusan Universiti Taiwan, Zhang Yanwen menetak teman wanitanya sebanyak 34 kali selepas kecewa kekasihnya itu mahu memutuskan hubungan mereka.
Kejadian berlaku selepas Zhang ke rumah wanita itu untuk memujuknya supaya membatalkan rancangan itu.

Zhang turut mengugut mendedahkan gambar bogel mangsa tetapi wanita itu tetap dengan keputusannya.


Zhang kemudian mengambil pisau dan menetak mangsa. Dia turut mengelar leher teman wanitanya, menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.


Zhang memberitahu polis dia tidak dapat menerima keputusan wanita itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Pencuri kereta hisap puting bayi diburu


Suspek yang digelar ‘Binky Bandit’ (gambar) didakwa merompak dan mencuri kereta minggu lalu. 
Rakaman video berhampiran tempat kejadian menunjukkan lelaki itu menghisap puting. 
Walaupun gambar itu agak menggelikan hati, jurucakap Jabatan Polis Oklahoma City mengingatkan penduduk bahawa lelaki terbabit penjenayah berbahaya. 
Foto
Sarjan Jennifer Wardlow berkata, suspek mungkin kelihatan keanak-anakan tetapi jenayahnya serius. 
“Mangsa pertama tidak cedera tetapi mangsa kedua mungkin tidak bernasib baik,” katanya. 

Dalam kejadian minggu lalu, lelaki kulit hitam itu dipercayai penagih dadah berusia 18 tahun, merompak mangsa dan merampas kunci kereta sebelum melarikan kenderaan mangsa. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Kemaruk anak


Tennessee: Seorang wanita semalam dituduh membunuh selepas dia menembak mati seorang ibu dalam usaha untuk menculik dua anak mangsa berusia tiga minggu dan tiga tahun untuk menjadikan mereka anaknya.

Pegawai di Catoosa County berkata semalam, Catherine Goins, 37, akan didakwa membunuh Natalia Roberts, 30.


Catherine yang berasal dari Tennesse Jumaat lalu menelefon polis mendakwa dia menembak seorang penceroboh di kediaman bekas teman lelakinya.

Bagaimanapun, siasatan yang yang dilakukan membongkar rancangannya untuk mengambil anak mangsa.


Penyiasat berkata, Catherine menemui Natalia, ibu dua anak Jumaat lalu dan mempelawanya ke rumah bekas teman lelakinya, Tony Richards, dengan alasan untuk memberi baju bayi.


Apabila Natalia muncul, Catherine menembak belakang kepalanya ketika mereka menaiki tangga.

Dia kemudian melarikan diri bersama-sama dua anak mangsa.

Polis berkata, Catherine bertindak demikian selepas teman lelaki barunya berang apabila mengetahui Catherine tidak hamil.

Dia mengambil keputusan menculik bayi Natalia untuk menunjukkan kepada teman lelakinya bahawa dia melahirkan anak tiga minggu lalu.

Catherine melarikan diri bersama-sama kedua-dua anak mangsa sebaik menembak Natalia.

Apabila Richards pulang, dia mendapati mayat di kediamannya dan menelefon polis. Dia kemudian menghubungi Catherine, memujuknya berpatah balik.

Ketika disoal siasat, Catherine berkata, dia berada di rumah Richard apabila mendengar bunyi bising. Dia ke dapur untuk mengambil pistol dan menembak penceroboh itu di ruang tamu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Kematian bukan sebab stres melampau


WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2014


KUANTAN - “Ibu bapa arwah Norsabrina Shahrulnizam menafikan kematian anak mereka disebabkan stres melampau sebaliknya mengalami situasi kandungan gula yang tinggi,” demikian kata Pengarah Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail ketika dihubungi di sini, semalam.

Rosdi berkata, selepas mendapat penjelasan daripada kedua ibu bapa pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Wira itu, pihaknya dimaklumkan bahawa keadaan Norsabrina sebelum ini adalah baik.

Menurutnya, pelajar terbabit juga dapat menerima keputusan untuk menduduki semula peperiksaan itu dengan terbuka.

“Justeru, saya berharap, pihak yang tidak bertanggungjawab tidak wajar menyebarkan sebarang maklumat di laman sosial atau aplikasi ‘Whatsapp’ sekiranya tidak mempunyai fakta yang betul.

“Ini akan memberi kesan kurang baik kepada keluarga mangsa yang masih bersedih akibat kehilangan anak tersayang,” katanya.

Rosdi  turut meluangkan masa menziarahi keluarga terbabit di Felda Chini Timur 2 semalam.

Kematian Norsabrina menjadi viral di Facebook dua hari lalu sehingga menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai yang mengaitkan kematian murid itu berpunca daripada stres melampau akibat soalan peperiksaan bocor.

Cincin bengkok, cengkam jari manis


Mohd Firdaus menunjukkan cincin dipotong anggota bomba.
Mohd Firdaus menunjukkan cincin dipotong anggota bomba.
MUAR – Seorang remaja terpaksa menanggung kesakitan berganda bukan hanya disebabkan cedera pada anggota badan, tetapi jari manis tangan kiri yang membengkak akibat cincin yang dipakai membengkok serta mencengkam jarinya selepas terbabit kemalangan di Batu 5 Bakri berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bakri, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Mohd Firdaus Abd Hamid, 24, bersama rakannya, Mohd Anuar Muniran, 26, menaiki motosikal dalam perjalanan ke sebuah kedai di Bakri untuk mengambil telefon bimbit.

Malangnya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kenderaan yang ingin membelok ke kiri di persimpangan sebuah perumahan berhampiran.

Mohd Anuar berkata, mereka terjatuh di atas jalan dan hanya mengalami luka-luka ringan melecet pada kulit kerana terseret pada permukaan jalan raya yang licin akibat hujan.

“Rakan saya (Mohd Firdaus) menahan kesakitan kerana cincin yang dipakai membengkok serta mencengkam jarinya.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu membantu dan kami segera mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bakri tetapi kemudiannya  dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk memotong cincin dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Muar,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Razali Ismail berkata, enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke HPSF selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.13 petang.

“Kita memotong cincin itu menggunakan alat khas dan terpaksa mengambil masa setengah jam kerana kerja tersebut dilakukan secara berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada jari mangsa,” katanya.

Rahsia kedai mainan kanak-kanak


Anggota penguatkuasa sedang mengangkut mesin judi dalam operasi, semalam.
Anggota penguatkuasa sedang mengangkut mesin judi dalam operasi, semalam.
BANDA HILIR - Berselindung di sebalik lesen menjual permainan kanak-kanak, sebuah kedai di sebuah pasar raya di sini, dikesan digunakan sebagai pusat permainan judi haram sejak beberapa bulan lalu.

Aktiviti tidak bermoral pusat berkenaan akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa dan akibatnya, satu operasi bersepadu dijalankan terhadap pusat berkenaan, semalam.

Operasi bermula jam 10.30 pagi itu disertai anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membabitkan 22 orang dengan dibantu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) serta anggota polis.

Pengarah Inspektorat MBMB, Mat Derus Tompang berkata, selain rampasan mesin judi dari premis berkenaan, polis dan Jaim turut menahan dan merekod keterangan empat pengunjung yang sedang leka bermain judi serta tiga penjaga pusat berkenaan.

Majlis kahwin rosak angkara mak andam


Zack dan Nina menunjukkan beberapa gambar baju pengantin yang diambilnya sebagai bukti.
Zack dan Nina menunjukkan beberapa gambar baju pengantin yang diambilnya sebagai bukti.
SEREMBAN – Impian sepasang pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia mereka minggu lalu, bertukar pengalaman ngeri apabila mereka ditipu mak andam.
Lebih teruk, pasangan yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 42, dan Nina, 32, terpaksa membeli persalinan lain sebagai ganti disebabkan mak andam dinantikan hanya tiba 15 minit sebelum majlis persandingan bermula.
Menceritakan kejadian itu, Zack berkata, dia dan isteri membuat keputusan memilih mak andam berkenaan yang ditemui di pameran pengantin di pusat membeli-belah Terminal 2, Februari lalu selepas tertarik dengan pakej perkahwinan ditawarkan.

“Pakej ditawarkan meliputi pelamin, jurugambar, solekan dan lapan persalinan baju dengan hanya RM1,500. Selepas berbincang dengan isteri, kami telah pergi ke kedai mak andam itu di Seremban Jaya beberapa hari kemudian untuk membuat tempahan,” katanya.

Menurutnya, dia membayar deposit sebanyak RM450 pada 10 Februari lalu selepas membuat pilihan pelamin dan pakaian pengantin serta membuat bayaran tambahan RM700 pada 26 Mac lalu.

Namun, kata Zack, dia dan isteri mula berasa tidak sedap hati kerana sukar berurusan dengan wanita terbabit bagi membincangkan persediaan majlis perkahwinan mereka.

“Bila kita telefon mahu tengok baju dan buat fitting, dia beri alasan sibuk dan selalunya gagal untuk dihubungi. Tapi disebabkan kami telah membuat bayaran dan majlis perkahwinan pun tidak lama lagi, saya bersangka baik mungkin dia betul-betul sibuk," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perasaannya bertambah tertekan kerana sebaik saja hari dinantikan, pelamin dan pakaian diberikan tidak seperti dipesan.

“Saya pilih pelamin lain, tapi yang dia pasang pada majlis di rumah isteri saya macam pelamin budak tadika buat. Baju pula dia beri bukan yang kami pilih," katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila pada majlis bertandang di rumahnya pula, dia dan isteri terpaksa memakai pakaian sendiri kerana wanita terbabit gagal dihubungi.

Zack berkata, suami kepada mak andam itu hanya tiba kira-kira 15 minit sebelum majlis bermula dan memberi alasan isterinya tidak dapat datang kerana terjatuh di dalam tandas.

“Bayangkan, tertekannya kami ketika itu. Tapi mahu buat macam mana, majlis perlu diteruskan kerana tetamu sudah dijemput.

“Mereka berjanji mahu memulangkan semula wang yang dibayar sebanyak RM1,150. Tapi tak tahulah macamana," katanya yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini.

Jeritan selamatkan nyawa sekeluarga


Keadaan rumah banglo yang terbakar di Taman Mount Austin.
Keadaan rumah banglo yang terbakar di Taman Mount Austin.
JOHOR BAHRU – Tiga beranak dan seorang pembantu rumah cemas selepas tingkat dua rumah banglo yang didiami terbakar dalam kejadian di Taman Mount Austin, di sini, pagi semalam.

Pemilik rumah itu yang juga ahli perniagaan, Norain Che Mat, 38 terkejut selepas terhidu bau asap dan bergegas mengejutkan ahli keluarganya yang lain supaya keluar menyelamatkan diri masing-masing.

“Dalam keadaan panik, saya menjerit dan mengarahkan anak perempuan, ayah serta pembantu rumah saya keluar dari rumah. Kemudian, saya segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Walaupun bomba tibabeberapa minit kemudian, namun api marak dengan cepat dan merosakkan bahagian bumbung, peralatan elektrik serta semua perabot di tingkat dua rumah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Norain mensyaki kebakaran berpunca daripada kejadian litar pintas dan menganggarkan kerugian kira-kira RM50,000.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba, Raja Yusrin Unin berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.44 pagi, satu jentera dengan kekuatan empat anggota dari Balai Bomba Johor Jaya dikerahkan ke tempat kejadian.

“Kami tiba 14 minit kemudian selepas panggilan kecemasan diterima. Api kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal kira-kira jam 8.05 pagi.

“Hampir keseluruhan tingkat dua rumah berkenaan terbakar dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, sebuah rumah kongsi 40 pintu yang menempatkan pekerja warga asing di Bandar Dato’ Onn, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Mohd Shah Mohd Derus, bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.07 pagi dan satu jentera dari Balai Bomba Kangkar Tebrau dengan kekuatan empat anggota tiba 16 minit kemudian.

“Api berjaya dikawal kira-kira 9.25 pagi dan padam sepenuhnya 10.39 pagi.

"Kebakaran telah memusnahkan hampir sepenuhnya rumah kongsi berkenaan. Kita masih siasat punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Ibu syak anak ikut pemandu teksi


Siew Ping (duduk, dua, kiri) bersama anggota keluarga merayu anaknya pulang selepas dilaporkan hilang sejak pagi Sabtu lalu. Gambar kecil: Jing Ning
Siew Ping (duduk, dua, kiri) bersama anggota keluarga merayu anaknya pulang selepas dilaporkan hilang sejak pagi Sabtu lalu. Gambar kecil: Jing Ning
PUCHONG – “Pulanglah nak... mak rindu sangat. Kalau ada masalah baliklah, kita bincang," demikian rayu seorang ibu, Pou Siew Ping, 51, kepada anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak Sabtu lalu.

Siew Ping, seorang penyelia di sebuah syarikat swasta berkata, anaknya, Chung Jing Ning, 17, kali terakhir dilihat pada jam 8 pagi, 20 September lalu sebelum dia ke tempat kerja.

Anak ketiga daripada enam beradik itu memberitahunya, dia mahu menghadiri kelas kecantikan di sebuah kolej di Puchong Jaya.

Bagaimanapun, Siew Ping terkejut apabila pihak kolej menghubungi dan memaklumkan anaknya tidak hadir ke kelas pada hari berkenaan.

Bimbang sesuatu yang buruk, dia menghubungi suami dan bergegas pulang ke rumahnya di Bandar Puteri 6.

“Saya terkejut tengok baju dia semua dah tak ada. Pegawai keselamatan tempat kami tinggal beritahu anak saya keluar rumah bawa tiga beg pakaian dan naik sebuah teksi," katanya.

Anak ada hubungan dengan pemandu teksi

Siew Ping berkata, dia mengesyaki anaknya mempunyai hubungan dengan seorang pemandu teksi berasal dari Sabah yang dipercayai terbabit melarikan anaknya.

Katanya, dia mengenali pemandu teksi yang dikenali dengan nama Din berusia lingkungan 40-an sejak tahun 2010 kerana lelaki itu sering menghantar anaknya ke sekolah.

Bagaimanapun khidmat lelaki itu dihentikan  selepas mengetahui hubungan terjalin antara kedua-duanya.

“Dua minggu lepas saya terkejut jumpa gambar pemandu teksi itu dalam begnya. Bila saya semak buku akaun bank Jing Ning pula, saya tengok dia ada keluarkan duit antara RM4,000 hingga RM5,000. Saya percaya dia bagi pada lelaki itu," katanya.

'Pulangkan Jing Ning'

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng menggesa sesiapa yang terlibat membawa lari mangsa supaya memulangkannya semula.

Ketua Pusat Masyarakat Kinrara Puchong, Dr Kow Cheong Wei turut berpesan perkara yang sama.

“Saya harap mereka yang dapat mengesan remaja ini dapat berhubung dengan saya sendiri di talian 0122972198, Chee Heng (0122732148) atau Pegawai Penyiasat Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Inspektor Lai di talian 0380742222,” katanya.

Khalwat: 7 rakan sekerja didenda


WARTAWAN SINAR HARIAN
26 September 2014

KUALA TERENGGANU - Tujuh rakan sekerja termasuk seorang pengurus jualan dikenakan denda RM1,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam selepas ditahan berkhalwat di dalam sebuah rumah pada Disember tahun lalu.

Bukan itu saja, kesemua tertuduh masing-masing terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membuat keputusan selepas kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 38 tahun mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, Hamdi Halipah, 38, yang juga pengurus jualan bersama tiga penasihat jualan iaitu Mohammad Haznee Izwadi Umar, 31, Nor Rahim Mohamad Nayin, 28, dan Mohd Affis Adnan, 24, didakwa melakukan khalwat di dalam sebuah rumah di Mukim Off Chabang Tiga, Jalan Sultan Mohamad, di sini, jam 1.15 pagi pada 23 Disember tahun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama tiga lagi wanita iaitu Ismadia Ismail, 24, Suizee Dan Nia, 26, dan Nurul Nadhira Saleh, 23.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Mengikut fakta kes, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa syariah daerah bersama polis kira-kira jam 1.15 pagi pada 23 Disember 2013.

Sebaik tiba di rumah berkenaan, keadaan pintu utama rumah terbuka dan polis memberi salam beberapa kali tetapi tiada jawapan diberikan.

Selepas beberapa kali salam diberikan, anggota membuat pemeriksaan sebelum menemui empat lelaki dan tiga wanita berada dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Hasil soal siasat dijalankan mereka tiada mempunyai hubungan suami isteri sebelum kesemuanya ditahan untuk siasatan lanjut.

5 wanita warga Indonesia dikurung

Sebahagian Pati yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P yang dijalankan sekitar Kota Bharu semalam.
Sebahagian Pati yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P yang dijalankan sekitar Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU - Taktik sebuah sindiket mengurung lima wanita warga Indonesia berusia lingkungan 32 hingga 44 tahun dalam serbuan rumah pangsa di Jalan Padang Bongor, di sini, berjaya dikesan pihak Imigresen Kelantan dalam serbuan yang dijalankan di sini pagi semalam.

Dipercayai sindiket berkenaan yang didalangi warga Indonesia yang sudah lama berpangkalan di negeri ini, memperdaya wanita-wanita berkenaan yang kononnya untuk mendapatkan pekerjaan apabila tiba di Malaysia.

Namun harapan untuk bekerja hanya tinggal janji, malah mereka bukan sahaja tidak diberi makanan malah dikurung selama dua bulan dalam rumah terbabit dan dipercayai sindiket berkenaan menggunakan wanita-wanita terbabit untuk aktiviti pemerdagangan.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kelantan, Hamid Abdul Rahman berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 2.30 pagi, hasil maklumat orang awam dan pihaknya terpaksa memecahkan pintu gril dan pintu utama menggunakan pemotong khas apabila kedua-dua pintu berkenaan dikunci dengan menggunakan mangga.

“Kita berusaha membuka kedua-dua pintu lebih dari 20 minit dan akhirnya berjaya memecahkan pintu utama dan apabila masuk ke dalam rumah, kita dapati lima wanita sedang menyorok di bahagian ruang tamu sambil menangis teresak-esak.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota penguat kuasa Imigresen kepada ke semua wanita terbabit, mereka akhirnya akur dan kemudian mengikut pihak kami untuk di bawa ke pejabat di Telipot untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrant 2007 (Akta 670),” katanya.

Hamid berkata, kelima-lima wanita berkenaan akan di bawa ke mahkamah untuk mendapatkan tempoh perlindungan sementara sebelum di bawa ke rumah perlindungan di Kuala Lumpur.

Hamid berkata, dalam Operasi Bersepadu 6P itu, pihaknya turut menjalankan operasi di dua kawasan berasingan di Salor yang turut berjaya menahan lebih 30 warga asing warga Indonesia dan Myanmar terdiri daripada kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 43 tahun.

“Mereka terdiri daripada pekerja buruh yang ditemui di rumah-rumah kongsi di Kampung Parit China dan Aur Duri Salor yang juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua 26 lelaki, tiga kanak-kanak dan dua wanita itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (akta 155) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk tinggal dan menetap di negara ini walaupun untuk sementara," katanya.