Search This Blog

Thursday, September 25, 2014

Lelaki Dipenjara 45 Tahun, 16 Sebatan Kerana Rogol, Samun


Diterbitkan: Khamis, 25 September 2014 3:11 PM

IPOH: Belum tamat menjalani hukuman penjara, seorang banduan pada Khamis menerima nasib malang apabila Mahkamah Tinggi di sini, menjatuhkan hukuman 45 tahun penjara dan 16 sebatan terhadapnya kerana kesalahan rogol dan samun empat tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan itu terhadap Mohamad Khairi Bahauddin, 32, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya hukuman bagi lima pertuduhan dijalankan secara berasingan.

Sebelum ini, pada 26 Mac lepas, Mahkamah Sesyen memutuskan hukuman penjara 15 tahun dan 16 sebatan ke atas Mohamad Khairi dijalankan serentak bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada Khamis memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara untuk tempoh 45 tahun selepas dia selesai menjalani hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan yang dijangka berakhir 2016.

Tertuduh yang kini menjalani hukuman itu di Penjara Tapah atas kesalahan merogol seorang gadis berusia 18 tahun di dalam sebuah tandas awam wanita di pusat makanan Glutton Square dekat Teluk Intan di sini, pada 19 April 2010.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata selepas meneliti rekod jenayah dan modus operandi, responden tidak mendapat undang-undang simpati serta belas kasihan daripada mahkamah kerana kesalahan yang dilakukannya adalah berat dan berulang kali.

"Mahkamah menerima rayuan pendakwaan agar hukuman dijalankan secara berasingan. Responden perlu diasingkan daripada masyarakat kerana kesalahan yang dilakukan boleh mengancam mereka dan sebahagian besar usianya dihabiskan di penjara, supaya ia mendatangkan kebaikan kepada responden," jelasnya.

Pada 7 Ogos 2010, tertuduh merogol dua gadis serta menyamun sebuah pemain cakera padat, sebuah telefon bimbit jenis Sony Ericsson dan wang tunai RM500 milik kedua-dua gadis berkenaan.

Selain itu, tertuduh juga menyamun sebuah telefon bimbit jenis Ericsson W995 dan wang tunai RM40 milik Chong Hooi Ling, 17.

Tertuduh melakukan perbuatan itu antara 6.40 pagi hingga 7.15 pagi di No 30, Lebuh Perajurit 3, Taman Ipoh Timur di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin.
mstar

Sawa 5m sangkut di pukat


Georgetown: Seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira lima meter yang cuba menyelinap masuk ke dalam reban ayam belanda ditangkap penduduk setempat selepas terperangkap di dalam pukat di Jalan Kota Giam, Jelutong di sini, hari ini.
Kejadian berlaku pada 11.30 pagi apabila ular sawa berkenaan ditemui penduduk, Mohd Iqbal Mohd Mastan, 50, dalam keadaan tersangkut di pukat menangkap ikan yang dipasang di luar reban ayam itu. 
Mohd Iqbal berkata, pukat berkenaan dipasang bagi mengelak binatang liar seperti ular, biawak dan anjing masuk ke dalam reban dan penduduk kampung yang dibantu seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Mohd Firdaus Kushal, 24, mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan ular berkenaan. 

"Ular berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.
Foto
ULAR sawa yang ditemui tersangkut di pukat. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin

"Kejadian ular sawa menyelinap masuk ke dalam reban sudah beberapa kali termasuk kejadian terbaru dua bulan lalu.

"Dalam kejadian itu, ular sawa sepanjang tiga meter ditemui dalam reban ayam belanda sama dan selepas ditangkap serta perutnya dibelah, kami menemui seekor ayam belanda di dalam perut ular berkenaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

23 rakyat Bangladesh ditahan di Georgetown


25 September 2014


GEORGETOWN - Sebanyak 23 rakyat Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditahan dalam Ops Rantau di dua tapak pembinaan di Jalan Larut dan Tanjung Tokong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid berkata lebih 50 pekerja asing yang sedang bekerja di tapak pembinaan itu diperiksa dalam operasi pada 11.45 pagi ini.

"Mereka yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan Imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan selain dokumen tamat tempoh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua lelaki Bangladesh berusia antara 20-an dan 40-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut. - Bernama

Treler terbabas nyaris rempuh rumah


Orang ramai melihat keadaan treler yang terbabas lalu merempuh pokok dalam kejadian pagi
semalam di Kampung Telaga.
Orang ramai melihat keadaan treler yang terbabas lalu merempuh pokok dalam kejadian pagi semalam di Kampung Telaga.
HULU TERENGGANU - “Biasanya saya akan sapu daun-daun kering pada waktu pagi di halaman rumah, kebetulan hari ini (semalam) ketika kejadian saya berada dalam rumah.”

“Syukurlah, tiada apa-apa berlaku, rumah juga selamat daripada dirempuh treler,” kata Jaliza Mohd  Jusoh, 38.

Menurut ibu kepada tujuh anak ini, sebelum kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam itu, dia bersama empat anaknya sedang bersarapan sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman seolah-olah benda meletup.

“Dengar bunyi tersebut saya bagaikan dapat meneka ada tayar lori meletup dan bergegas keluar. Ternyata, tekaan saya tepat apabila dapati sebuah treler terbabas serta tidak menyangka ia telah merempuh dua batang pokok di halaman rumah saya.

“Syukurlah, ketika kejadian saya berada dalam rumah kerana menjadi kelaziman saya bersihkan halaman rumah dengan menyapu daun kering pada waktu pagi begini. Saya sekeluarga juga bernasib baik kerana treler tak rempuh rumah,” katanya.

Jaliza berkata, treler tanpa muatan yang dalam perjalanan dari arah Sungai Tong ke Kuala Berang itu terbabas sebelum merempuh pokok setelah salah satu tayar depannya meletup.

“Jika tiada pokok mungkin ia akan terbabas ke bengkel kayu perabot.

“Sepanjang lima tahun tinggal di rumah ini, kejadian ini pertama kali berlaku dan pastinya ia mengejutkan. Namun, pada saya ia sebahagian daripada keadaan biasa yang sering dihadapi mereka yang rumah terletak di tepi jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Othman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.36 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota.

“Sewaktu tiba di lokasi, didapati seorang pemandu tersepit di tempat duduk. Pihak bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa, Wahab Muda, 45, berasal dari Kampung Durian Kasim,” katanya.

Biawak serang bayi mungkin kelaparan


Bayi malang ini stabil setelah mendapat rawatan lanjut. Bayi malang ini stabil setelah mendapat rawatan lanjut. - Sumber WhatsApp
Bayi malang ini stabil setelah mendapat rawatan lanjut. Bayi malang ini stabil setelah mendapat rawatan lanjut. - Sumber WhatsApp
KUANTAN - Biawak yang menyerang bayi berusia lapan bulan dalam kejadian di kuarters pekerja di Berjaya Resort, Pulau Tioman pagi semalam berkemunginan dalam keadaan lapar.
  
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata biawak daripada spesies biawak air itu amat jarang menyerang manusia kecuali merasa terancam atau lapar.
  
"Haiwan liar itu mungkin terlalu lapar dan menganggap bayi berkenaan sebagai makanannya sehingga menyerang dan menggigit muka mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

[Artikel Berkaitan: Bayi lapan bulan cedera diserang biawak]
  
Khairiah berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian serangan biawak terhadap Nurhidayah Abdul Rahman yang mengakibatkan luka sepanjang enam sentimeter di bahagian muka bayi malang tersebut.
  
Beliau tidak menolak kemungkinan ia juga berpunca daripada faktor pengabaian soal kebersihan di kawasan sekitar sehingga menjadi tarikan kepada haiwan liar itu memasuki rumah untuk mencari makanan.
 
Sehubungan itu, Khairiah menyeru pihak pengurusan resort berkenaan supaya mempertingkat aspek kebersihan.
  
Antaranya termasuk memastikan pembuangan sisa makanan dilakukan secara lebih teratur untuk mengelak kawasan itu menjadi tarikan kepada haiwan berkenaan.
  
Dalam masa sama, katanya Perhilitan juga telah menghantar anggotanya ke kawasan kejadian bagi menyiasat punca sebenar haiwan itu menyerang manusia. - Bernama

Guna doktor palsu rawat pesakit


Penguat kuasa Ukaps melekatkan pita dan notis pada pintu hadapan klinik berkenaan.
Penguat kuasa Ukaps melekatkan pita dan notis pada pintu hadapan klinik berkenaan.
GEORGETOWN - Sebuah klinik swasta di Bayan Baru di sini, diarah menghentikan operasinya selepas didapati menggunakan khidmat doktor tidak bertauliah.

Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan penguat kuasa Unit Kawalan Perubatan Swasta (Ukaps), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, kira-kira jam 2 petang itu, seorang lelaki berusia 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala klinik yang beroperasi 24 jam itu disita.

Operasi dibuat selepas Jabatan Kesihatan menerima maklumat mengenai penggunaan khidmat doktor tidak bertauliah di klinik itu.

Menurut sumber, ketika serbuan, lelaki itu gagal menunjukkan sijil perakuan amalan tahunan yang melayakkannya menjalankan tugas sebagai doktor dan memeriksa pesakit.
“Pemilik klinik itu mempunyai tauliah, namun difahamkan menggaji doktor palsu. Dia juga pernah diberi amaran kerana menggaji doktor tidak bertauliah, namun berdegil,” katanya.

Menurutnya, klinik persendirian itu juga dijadikan klinik panel kepada beberapa syarikat swasta dan ketika serbuan kelihatan beberapa pesakit menunggu untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Lailanor Ibrahim mengesahkan serbuan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(c) menggaji pekerja tanpa tauliah dan Sub Seksyen 91 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 585).

Jurujual dirompak, rugi lebih RM10,000


25 September 2014


IPOH - Seorang jurujual di sebuah kedai runcit kerugian wang tunai berjumlah kira-kira RM10,000 beserta barang kemas apabila rumahnya di Taman Pelangi, Setiawan, Manjung dekat sini dimasuki perompak, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Superintendan Jaafar Baba berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, mangsa Chieng Peng Chen, 29, ketika itu berada di dalam bilik mendapati dua lelaki bersenjatakan sebilah pisau cuba memasuki biliknya.

"Kedua-dua suspek yang tidak bertopeng itu juga bertindak menendang pintu dan mengacukan sebilah pisau kepada mangsa.

"Mangsa telah diikat dan suspek menggeledah rumah dan melarikan wang tunai dan barang kemas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Menurutnya lagi, tiada kecederaan pada mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata. - Bernama

Rogol kekasih: Jurujual dijel 11 tahun, tiga sebat


Rogol kekasih: Jurujual dijel 11 tahun, tiga sebatKOTA BHARU - Padah buat seorang jurujual aksesori telefon apabila dihukum penjara 11 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah atas tuduhan rogol, di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, yang berusia 28 tahun, didakwa merogol kekasihnya yang berusia 15 tahun 11 bulan di alamat Kampung Bechah, Tanjung Mas, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 5 pagi, 26 April, tahun lalu.

Hukuman diputuskan oleh Hakim, Mohd Yusoff Yunus mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan selepas kes berkenaan melalui satu perbicaraan penuh.

Sebelum hukuman diputuskan pada prosiding, peguam bela, Karmazubi Shaari bagi pihak anak guamnya merayu hukuman minimun dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor usianya yang masih muda.

“Berdasarkan keadaan sekeliling kejadian berlaku mungkin atas kerelaan mangsa, bagaimapun tertuduh menginsafi dan memdapat pengajaran sepanjang kes ini dijalankan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Nor Hamizah Ghazali bagaimanapun membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan hujahan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah satu jenayah serius.

“Seperti mana peruntukkan undang-undang mengikut seksyen ini, tertuduh boleh dihukum penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

“Isu keadaan sekeliling ketika kejadian berlaku tidak terpakai dalam kes ini kerana mangsa hanya berusia 15 tahun 11 bulan. Kepentingan awam hendaklah diambil kira selain mempertimbangkan jumlah kes rogol yang setiap kali dilaporkan melibatkan pelajar dan remaja bawah umur,” katanya.

Dia ditahan 8 Mei 2013 dan dituduh di mahkamah sama pada 19 Mei 2013.

Lelaki direman kes hina institusi diraja, polis


Aktivis lelaki berusia 29 tahun (baju putih) dibawa keluar selepas pihak polis mendapat kebenaran Majistret Salina Omar di sini hari ini, untuk perintah reman selama tiga hari terhadap aktivis itu bagi membantu siasatan kes berhubung kenyataan menghina polis dan institusi diraja di dalam sebuah laman blog yang disiasat mengikut Seksyen (1) (a) Akta Hasutan 1948. - Foto Bernama
Aktivis lelaki berusia 29 tahun (baju putih) dibawa keluar selepas pihak polis mendapat kebenaran Majistret Salina Omar di sini hari ini, untuk perintah reman selama tiga hari terhadap aktivis itu bagi membantu siasatan kes berhubung kenyataan menghina polis dan institusi diraja di dalam sebuah laman blog yang disiasat mengikut Seksyen (1) (a) Akta Hasutan 1948. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU - Polis hari ini mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja dan polis menerusi sebuah laman blog.
  
Majistret Salina Omar mengeluarkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap lelaki berusia 29 tahun itu untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.
  
Peguam lelaki berkenaan, New Sin Yew ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata lelaki tersebut yang ditahan semalam, di Shah Alam, Selangor diperlukan polis untuk siasatan lanjut berhubung beberapa kenyataan yang dibuat menerusi blog berkenaan.
  
Katanya, lelaki itu ditahan selepas polis bertindak atas laporan yang dibuat orang awam pada 11 Jun 2013 mengenai blog berkenaan.
  
"Polis memberi alasan perintah reman itu adalah bagi memberi masa untuk polis merakamkan keterangan, menguruskan barang kes serta mengesan rakan sekutu yang terbabit," katanya.
  
Terdahulu, lelaki yang memakai baju T berwarna putih itu tiba di perkarangan mahkamah di sini, kira-kira jam 2.30 petang dengan diiringi anggota polis. - Bernama

SMS songlap wang


Hamza (dua, kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media semalam.
Hamza (dua, kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media semalam.
KUALA LUMPUR – Polis mengesan trend baharu yang digunakan oleh penjenayah siber dengan hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp, penjenayah terbabit mampu mencuri sejumlah wang dalam akaun bank mangsa dalam tempoh seminit.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya menerima tujuh laporan polis membabitkan kerugian RM59,400 sepanjang bulan ini.

“Mangsa mendakwa menerima satu pautan url link melalui SMS daripada nombor telefon antarabangsa dan diarahkan untuk klik link tersebut yang mengandungi virus malware atau trojan.

“Apabila mangsa klik pautan akan keluar satu sijil kononnya dikeluarkan pihak bank berserta nombor kod, seterusnya mangsa dikehendaki memasukkan maklumat peribadi bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Menurutnya, proses muat turun dari url tersebut, telah mewujudkan satu program baharu di telefon pintar milik mangsa dengan ikon bank berkaitan.
“Tanpa mangsa sedari, program itu yang berfungsi sebagai SMS Stealer yang bertindak menghantar TAC (Transaction Authorisation Code) kepada suspek.

“Setelah selesai proses muat turun tersebut, paparan laman web sebenar bank berkaitan akan dipaparkan semula di skrin telefon bimbit mangsa,” katanya.
Beliau turut menasihati pengguna telefon bimbit agar menggunakan anti-virus dan perisian anti-malware yang sentiasa dikemas kini.

“Sentiasa berwaspada dan jangan sesekali membuka mesej, email, spam yang mengandungi lampiran atau klik pautan pada mana-mana laman web,” katanya.

Hamza berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan pihak yang menghantar SMS itu.

“Kita percaya sindiket berkenaan turut menggunakan keldai akaun dalam kalangan rakyat tempatan," katanya.

'Saya rayu agar cikgu berhenti pukul'


Amir Ikhwan menunjukkan antara kesan pukulan di belakang telinga yang masih jelas kelihatan
Amir Ikhwan menunjukkan antara kesan pukulan di belakang
telinga yang masih jelas kelihatan
KUALA TERENGGANU - ‘Akibat salah buka muka surat yang diminta, saya diherdik, dipukul, diheret dan kepala dihentak di papan hitam seolah-olah saya melakukan kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan,” demikian cerita pelajar tingkatan dua, Amir  Ikhwan Mohamad Arof yang mendakwa dipukul guru di sebuah sekolah menengah di sini.

Amir Ikhwan yang ditemui di kediamannya, di sini, berkata, kejadian berlaku Selasa lalu jam 12.30 tengah hari ketika dia berada di dalam kelas.

“Ketika itu, guru berkenaan menyuruh kami membuka buku, saya tersilap membuka muka surat yang diminta, kemudian dia tanya kenapa salah buka, saya kata saya ikut kawan. Cikgu marah saya dan kata saya perli dia.

“Dia heret saya dari tempat duduk ke hadapan kelas, dia tampar pipi, pukul dan hentak kepala saya di papan hitam. Saya rayu cikgu berhenti mencederakan saya tetapi dia tidak endah dan terus menarik kedua-dua telinga sehingga kepala saya sakit dan
telinga saya lebam,” katanya.

Amir Ikhwan dan kedua ibu bapanya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan mahu tindakan lanjut diambil terhadap guru terbabit.

Sementara itu, ibunya, Edah Endut, 42, berkata, dia amat terkejut melihat keadaan anaknya yang tidak bercakap seolah-olah trauma dengan sesuatu sebaik pulang ke rumah selepas habis sesi persekolahan, kelmarin.

“Saya tambah terperanjat bila tengok belakang telinganya lebam, butang baju sekolah tercabut akibat direntap dengan kuat.

“Niat saya dedahkan cerita ini bukan untuk aibkan sesiapa, saya hanya mahu kita ambil pengajaran terhadap apa yang berlaku. Saya tidak kisah jika guru ingin pukul anak saya, tetapi biarlah setimpal dengan kesalahannya,” katanya.

Amir Ikhwan tidak hadir ke sekolah semalam kerana malu untuk berdepan dengan kawan-kawan selain trauma serta takut untuk berdepan guru berkenaan.

Selain membuat laporan polis, Edah bersama suami turut mengemukakan aduan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berharap kedua-dua pihak bersemuka untuk berunding mencari penyelesaian.

“Memandangkan kes itu tidak melibatkan jenayah dan kecederaan teruk, kita harap kedua-dua pihak dapat duduk dan berbincang serta mencapai kata putus.

“Saya sering mengingatkan agar ibu bapa dan guru memahami peranan masing-masing dalam mendidik generasi muda,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu menyelidik tingkah laku anak-anak  dan tidak hanya mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

“Kita yakin, PIBG pihak sekolah dan ibu bapa akan berbincang mengenai perkara ini. Kita tidak mahu kes ini menyebabkan semua guru hilang semangat untuk mengajar kerana yang rugi adalah kita.

“Tanggungjawab mendidik amat besar, guru-guru pun dinasihatkan agar mendidik dengan cara terbaik dan tidak menghukum murid atas kesalahan yang tidak setimpal,” katanya.

Terkejut bil air cecah RM4,000


Tumpang menunjukkan bayaran bil air berjumlah RM4,223.30.
Tumpang menunjukkan bayaran bil air berjumlah RM4,223.30.
PALONG - Seorang warga emas yang juga peneroka Felda Palong Satu di sini, terkejut apabila menerima bil air yang mencecah RM4,223.30 bagi bulan Ogos lalu.

Warga emas itu, Tumpang Mihat, 61, berkata, caj berkenaan tidak masuk akal langsung kerana sebelum ini hanya sekitar RM15 hingga RM25 sebulan.

“Mustahil dalam tempoh sebulan penggunaan air boleh mencecah lebih RM4,000 kerana hanya tiga orang sahaja yang tinggal di rumah ini.

“Saya terima bil air ini pada 18 September lepas. Kemudian saya segera membuat aduan kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), secara lisan, namun sehingga ke hari ini belum ada maklum balas positif,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Tumpang berkata, dia yang menetap di tanah rancangan Felda berkenaan sejak 39 tahun lalu tidak pernah menerima caj setinggi itu walaupun ketika mengadakan majlis keramaian.

"Kalau buat kenduri kahwin sekalipun, cajnya tidaklah setinggi itu iaitu sekitar RM100 ke bawah. Manakala setakat ini, tiada pula paip pecah dekat rumah ini.

"Jumlah caj ini seolah-olah saya perlu bayar untuk caj sebulan untuk seluruh penduduk kawasan Felda Palong Satu ini,” katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, menurut Penolong Pengurus Unit Korporat Sains, Norzita Ismail, pihaknya sudah mengambil tindakan dengan mendaftarkan aduan pengadu.

"Aduan yang didaftarkan ini penting untuk memastikan aduan berkenaan dapat diatasi dalam kadar segera. Punca-punca bil pengadu meningkat akan disiasat melalui pelbagai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mayat budak dikerat ditemui


25 September 2014


TOKYO - JEPUN. Mayat seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Jepun yang dikerat anggota badan ditemui dalam beberapa beg plastik berhampiran rumahnya, menurut pihak berkuasa, semalam.

Memetik laporan AFP, berdasarkan ujian DNA, bahagian anggota ditemui disahkan milik Mirei Ikuta yang dilaporkan hilang di Kobe, di barat Jepun, 11 September lalu.

Susulan penemuan itu, seorang lelaki 47 tahun yang tinggal di kawasan kejiranan mangsa disoal siasat bagi membantu siasatan polis.

Ahli Parlimen Mexico dibunuh dan dibakar



SEORANG ahli Parlimen Mexico diculik, kemudian bunuh dan dibakar selepas keretanya dipintas penjenayah. - Foto AFP
GUADALAJARA, Mexico: Seorang ahli Parlimen Mexico diculik, kemudian bunuh dan dibakar selepas keretanya dipintas penjenayah pada waktu siang, kata pihak berkuasa semalam.
Pihak berkuasa berkata Gabriel Gomez Michel sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang di Jalisco Isnin lalu apabila lima kereta memintas kenderaan pelbagai gunanya (SUV).
Mayat bekas doktor kanak-kanak berusia 49 tahun itu dijumpai awal Selasa lalu di kawasan Zacatecas di dalam SUV yang hangus terbakar, di sisi mayat pembantunya yang juga hangus.
Pakar forensik mengenal pasti mayat Gomez Michel dan pembantunya Heriberto Nunez Ramos, yang terbakar teruk sehingga tidak dapat menyatakan bagaimana mereka dibunuh.
Ketua Pendakwa Jalisco, Luis Carlos Najera, berkata pihak penyiasat percaya kumpulan penjenayah terancang bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu.
Gambar kamera keselamatan menunjukkan terdapat beberapa kereta mengepung SUV ahli Parlimen terbabit dan seorang lelaki berbaju merah menuding jari ke arah cermin kereta berkenaan di pinggir Guadalajara.
Peguam Negara Zacatecas, Arturo Nahle berkata tiada peluru dijumpai pada mayat ataupun kereta terbabit.
Beberapa ahli politik tempatan pernah diserang ketika peperangan terhadap dadah di Mexico dan sekurang-kurangnya 30 Datuk Bandar dibunuh sejak 2006 tetapi keganasan terhadap ahli Parlimen agak berkurangan. - AFP

Ditimpa besi 25 tan


Melaka: Seorang pemandu lori sampah sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan maut selepas dihempap batang besi kren seberat 25 tan ketika kerja menaikkan sebuah pam konkrit ke atas bumbung kompleks beli-belah di bandar raya ini, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5.35 pagi, mangsa, Anas Tawi, 55, berada di dalam lori sampah di belakang bangunan pusat beli-belah itu dan tidak sempat melarikan diri ketika palang besi kren tumbang menghempap lori yang dipandunya secara tiba-tiba.
Mangsa yang juga warga Indonesia dan mempunyai taraf penduduk tetap meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Rakan sekerja mangsa yang juga kelindan lori Sabari Bidin, 45, berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
“Ketika kejadian saya berada di belakang lori dan batang besi kren tiba-tiba tumbang dan menghempap lori dipandu Anas,” katanya, di sini, semalam.
Sementara itu, anak bongsu mangsa, Siti Hidayu Anas, 22, berkata, dia dan ibunya, Emi Bokhori, 56, mengetahui kejadian menimpa bapanya selepas seorang anak majikan datang ke rumahnya di Durian Tunggal, di sini.
Katanya, dia dan ibunya segera ke tempat kejadian, namun sebaik tiba didapati bapanya sudah dibawa ke Hospital Melaka, untuk dibedah siasat.
“Sudah lebih 30 tahun bapa melakukan rutin kerja sama setiap hari.
Dia akan ke pusat beli-belah itu terlebih dulu untuk mengutip sampah, namun tidak sangka hari ini (semalam) hari terakhir dia bekerja.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan bapa pada Isnin lalu dan ketika itu, dia seperti biasa saja.

Kami sekeluarga memang sedih kerana kemalangan ini berlaku disebabkan kecuaian manusia.
“Selepas menguruskan pengebumian, baru kami akan fikir sama ada ingin mengambil tindakan undang-undang atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Bakar berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya, semalam.
Foto
KEADAAN lori kren yang menghempap lori sampah menyebabkan pemandu maut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

‘Saintis’ curi kereta


Petaling Jaya: Satu sindiket mencuri kenderaan mewah dikesan menggunakan alat khas dipanggil Jammer yang berupaya melumpuhkan sistem penggera keselamatan kenderaan mewah.
Sindiket digelar Geng Taiwai itu bagaimanapun tumpas selepas polis berjaya memberkas tujuh ahli kumpulan penjenayah termasuk seorang wanita Ahad lalu. 
Kumpulan penjenayah berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu turut dikesan menggunakan kenderaan curi untuk tujuan kajian terhadap sistem keselamatan sebelum mencuri kenderaan model sama. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, dalang kumpulan itu berjaya dikenal pasti dan diberkas ekoran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika suspek melakukan jenayah di kawasan Kota Damansara, di sini.
Foto
AZMI (kanan) dan pegawainya menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas pada sidang media, semalam.

Menurutnya, suspek diberkas itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan pernah pernah dituduh di mahkamah April lalu, tetapi dibebaskan atas ikat jamin polis.

“Empat lagi anggota kumpulan itu ditahan polis di Kepong pada 14 September lalu sebelum seorang lagi diberkas pada 16 September lalu. 

“Seorang lagi suspek wanita dipercayai isteri kepada suspek utama ditahan kira-kira jam 2 awal pagi tadi (semalam),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Cari dalang CCTV dalam tandas


Kuala Lumpur: Orang ramai diminta tidak mensensasikan kejadian khianat pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang ditanam pada dinding tandas wanita sebuah kafetaria di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana ia akan mengganggu emosi warga kampus.

Menurut Pegawai Perhubungan Media Bahagian Komunikasi Korporat UIAM Roslan Rusly, pihak pengurusan dan keselamatan UIAM sedang giat melakukan siasatan bagi mencari dalang yang bertanggungjawab selain menyifatkan perbuatan khianat itu tidak wajar dilakukan kerana melanggar hak peribadi pelajar dan kakitangan wanita.

“Siasatan menyeluruh akan terus dijalankan bagi mencari dalang perbuatan ini, malah tulisan berbaur ugutan yang ditulis di cermin tandas selepas pembongkaran itu juga sudah dimaklumkan kepada polis.

“Walaupun kita akui kejadian itu menimbulkan kebimbangan pelajar perempuan dan kakitangan wanita, namun keadaan masih dalam kawalan dan meminta orang ramai jangan mengembar-gemburkan isu ini yang akan mengeruhkan keadaan lagi” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Isnin lalu, UIAM gempar apabila seorang pelajar perempuan menyedari kamera ditanam di dalam dinding tandas berkenaan sebelum pihak pengurusan bertindak memecahkan dinding itu.

Susulan daripada itu, ia menjadi viral dan heboh diperkatakan di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Roslan berkata, pihak pengurusan juga mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Setiap pegawai keselamatan wanita UIAM ditugaskan memeriksa setiap tandas wanita untuk melihat sama ada penyambungan atau objek yang menyerupai CCTV.

“Setakat ini kita mengesahkan hanya satu kejadian penyambungan wayar CCTV di tandas itu.

“Kita juga mengalu-alukan kerjasama semua warga kampus sekiranya terdapat objek yang mencurigakan segera memaklumkan pihak pengurusan,” katanya yang mengesahkan laporan sudah dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Seluar dalam tutup wajah


Petaling Jaya: Bimbang gambar mereka dirakam pihak media menyebabkan seramai 10 kakitangan termasuk pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dilanjutkan reman didapati menggunakan seluar dalam pelbagai warna bagi menutup wajah mereka.
Situasi itu dilihat ketika kesemua 15 kakitangan dan pegawai kastam termasuk seorang pengarah JKDM negeri bergelar Datuk tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini, pagi semalam, sambil diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 
Kesemua mereka adalah kumpulan kedua pegawai JKDM yang ditahan pihak SPRM selepas dipercayai terbabit dalam kes rasuah didalangi sindiket yang membawa masuk rokok dan arak bermutu tinggi ke negara ini. 

Seramai 13 daripada mereka dilanjutkan tempoh tahanan reman selama lima hari manakala dua lagi dilanjutkan tahanan reman selama enam hari bermula hari ini.
Foto
SEBAHAGIAN daripada 15 pegawai dan kakitangan kastam menggunakan seluar dalam pelbagai warna bagi menutup wajah mereka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Dua ahli Geng 18 terjerat


Shah Alam: Dua anggota ‘Geng Sasi’ yang sering melakukan jenayah samun dan pemerasan di sekitar Sri Muda, Seksyen 25, di sini, sejak beberapa bulan lalu berakhir apabila mereka dicekup polis kurang 12 jam selepas melakukan samun, kelmarin.
Suspek yang masing-masing berusia 22 dan 23 tahun ditahan di kawasan sama, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas polis menerima laporan mengenai kejadian samun dilakukan mereka terhadap seorang lelaki jam 3.30 pagi hari sama.
Selain menyamun, kedua-dua suspek yang juga anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng 18’ turut menjalankan kegiatan pemerasan terhadap peniaga di sekitar Sri Muda untuk mendapatkan wang mudah.

Malah, mereka dikatakan akan mencederakan mangsa jika enggan menyerahkan wang perlindungan seperti diminta.
Foto
AZISMAN (dua dari kanan) menunjukkan sebilah parang yang dirampas daripada penjenayah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 30-an yang disamun suspek, sepasukan pegawai dan anggotanya menjalankan risikan sebelum mengesan suspek.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di kawasan Sri Muda dan mereka dipercayai terbabit dengan kegiatan samun bersama dua lagi rakan yang masih bebas dan usaha memburu mereka giat dijalankan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek juga anggota kongsi gelap Geng 18 berdasarkan tatu yang dicacah pada lengan kiri mereka yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pemerasan di sekitar Sri Muda.

“Polis merampas sebilah parang digunakan suspek untuk menyamun selain menemui telefon bimbit dipercayai milik mangsa mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

Katanya, orang ramai terutama peniaga di kawasan sekitar Sri Muda diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis jika didatangi individu tertentu yang meminta wang perlindungan atau melakukan kekerasan supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Mati dibelasah kerana tak siap kerja rumah


Phayao, Thailand: Seorang budak lelaki yang tidak menyiapkan kerja rumahnya mati dipukul bapanya yang mabuk, kata polis semalam.

Jurucakap polis Phayao berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu pada malam Isnin lalu.

Katanya, kejadian berlaku di sebuah rumah di daerah Muang.



“Budak terbabit dimarahi bapanya kerana tidak menyiapkan kerja rumah dan dibelasah teruk.

“Ketika itu bapanya dalam keadaan mabuk,” katanya.

Apabila polis tiba di tempat kejadian, katanya, penyiasat menemui seoran budak berusia sembilan tahun yang tidak sedarkan diri.

“Polis juga mendapati hidung dan mulut mangsa berdarah, manakala tangan kirinya patah,” katanya.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Phayao tetapi dipindahkan ke Hospital Chiang Rai kerana masalah peralatan.

Bagaimanapun, kata jurucakap itu, budak terbabit disahkan mati pagi semalam.

“Suspek berusia 36 tahun dan bekerja sebagai juruteknik penyaman udara.

“Dia sudah mengaku membelasah anaknya,” katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Sembunyi dalam ketuhar


Thomasville (Amerika Syarikat): Seorang wanita yang dikehendaki polis kerana memalsukan kad kredit ditemui bersembunyi di dalam ketuhar.

Desma KaShay Brown, 25, dituduh menggunakan kad milik rakan serumahnya untuk memesan pakaian bernilai AS$428.



Apabila rakannya menyedari perbuatan Desma, dia segera membuat laporan polis.

Polis semalam menyerbu sebuah rumah berhampiran rumah sewanya selepas mendapat maklumat.


Mereka mulanya gagal mengesan wanita itu yang bertubuh kecil.

Bagaimanapun selepas menyelongkar, mereka akhirnya menemui mangsa di dalam ketuhar di dapur rumah berkenaan.

“Kami menemuinya mengerekot dan berpeluh dalam ketuhar,” kata jurucakap polis, Joey Blackburn.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Anggota badan kanak-kanak dalam plastik


Tokyo: Polis semalam menemui mayat seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sudah dikerat dan diletakkan dalam beberapa beg plastik berhampiran rumahnya.

Ujian DNA mengesahkan anggota tubuh berkenaan milik Mirei Ikuta yang hilang di Kobe, barat Jepun, 11 September lalu.

Menurut laporan media semalam, anggota polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun untuk disoalsiasat.

Jepun mempunyai kadar jenayah paling rendah dan jenayah ganas amat jarang berlaku.

Sudah menjadi perkara biasa bagi seorang kanak-kanak berusia enam tahun berjalan pulang sendiri dari sekolah, walaupun di bandar besar.

Usaha secara besar-besaran dilancarkan untuk mencari Mirei selepas dia tidak pulang dua minggu lalu.

Langkah berkenaan gagal sehinggalah beberapa beg plastik berbau busuk ditemui di kawasan semak kira-kira 100 meter daripada kediaman kanak-kanak itu ditemui, semalam.

Plastik berkenaan mengandungi kepala, bahagian perut dan tangan serta kaki, kata jurucakap polis.



Beberapa lagi anggota tubuh mangsa masih belum ditemui.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

‘Taiko’ sudah kena cam


Kuala Lumpur: Biarpun sudah hampir setahun kongsi gelap diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Op Cantas Khas, Geng 04 dan Geng 36 dikesan masih bergiat aktif dan dianggap antara kumpulan paling ganas berbanding pertubuhan haram yang lain.
Operasi memburu ahli kumpulan kongsi bermaharajalela dalam kegiatan pemerasan, samun, rompakan dan pembunuhan menggunakan senjata api dilancarkan Ogos tahun lalu selepas kadar jenayah meningkat.
Sumber berkata, selepas setahun Op Cantas Khas dilancarkan kumpulan kongsi gelap sememangnya kepanasan dan mula mengurangkan aktiviti jenayah mereka berikutan ramai ahli dan ketua kumpulan ditahan.

“Ini kita dapat lihat dengan penurunan kadar jenayah di seluruh negara. Bagaimanapun, mutahir ini terdapat kes jenayah keganasan meningkat dan maklumat risikan menunjukkan yang kumpulan terbabit kembali aktif dan disebabkan itu, polis melancarkan Op Cantas Khas semula,” katanya.
Foto
KETUA Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi menunjukkan tukul dan kapak yang dirampas daripada ahli kumpulan kongsi gelap.
Foto
TATU di lengan seorang anggota kongsi gelap.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti identiti semua kumpulan kongsi gelap termasuk ‘taiko’ ataupun ‘orang besar’ kumpulan dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Doktor tak ada sijil


Georgetown: Sebuah klinik swasta 24 jam di Bayan Baru dekat sini, diserbu pasukan penguatkuasa Unit Kawalan Perubatan Swasta (UKAPS) Kementerian Kesihatan negeri selepas menerima aduan doktor yang bertugas tidak bertauliah.
Dalam serbuan jam 2 petang tadi, klinik berkenaan disita dan dihentikan operasi serta merta bagi membolehkan UKAPS menjalankan siasatan lanjut. 
Hasil siasatan awal mendapati seorang doktor lelaki berusia 54 tahun tidak mempunyai Sijil Perakuan Amalan Tahunan yang melayakkan dia sebagai doktor dan memeriksa pesakit. 

Pegawai UKAPS turut mengambil kenyataan lelaki itu untuk siasatan lanjut.
Foto
KLINIK 24 jam disita berikutan seorang doktor bertugas didapati tak bertauliah.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Lailanor Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan oprasi ke atas premis berkenaan.

Katanya, pihak kementerian sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

40,000 samseng kepanasan


Kuala Lumpur: Peringatan polis mengenai gerakan besar-besaran untuk memburu lebih 40,000 samseng dan ahli kumpulan kongsi gelap di seluruh negara menyebabkan mereka kini bagai cacing kepanasan dan mula mengatur strategi untuk mengelak daripada dicekup.
Ini terbukti apabila mesej menerusi aplikasi WhatsApp mula tersebar dalam kalangan ahli kumpulan gengster untuk memperingatkan sesama mereka agar berhati-hati dan mengambil langkah yang perlu bagi mengelak ditahan polis. 
Mesej yang disebarkan itu turut sampai ke tangan wartawan akhbar ini dan pemerhatian mendapati ia jelas menggambarkan kebimbangan dirasai golongan itu. 

Antara kandungan mesej itu ialah : “Tolong buang sticker (pelekat) dekat motor dan kereta. 18&04, nazi dan double coin. 08, spider hitam dan net 8 angle matahari 8 penjuru. 21, 777 tiga warna, 36 naga merah, pakua, ang bi hoi merah, 77, Batas dan Bersatu..semua tolong tanggal.
Foto
DR Wan Junaidi (kanan) pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan Sri Pinang.

“Kawan-kawan tolong berhati-hati. Jangan keluar kenyataan pasal geng di facebook, twitter dan instagram..bahaya.”



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Atuk ‘terajang’ perogol berbogel


Gombak: “Saya tergamam melihat lelaki itu dalam keadaan berbogel menindih tubuh isteri menyebabkan saya terus menyepaknya sekuat hati,” kata seorang lelaki yang sempat menyelamatkan isterinya dari diperkosa pagi semalam.
Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an berkata, kejadian berlaku jam 7 pagi apabila dua lelaki berusia 20-an dan 40-an menceroboh masuk kediamannya di Kampung Laksamana, di sini.
Menurutnya, insiden berlaku ketika isterinya yang berusia 50-an berada di dalam rumah bersendirian sebelum diserang kedua-dua suspek.

“Isteri saya yang ketika itu berada di ruang tamu kediamannya terus menjerit memanggil nama saya. Saya kemudian berlari masuk ke dalam rumah sebelum terkejut melihat keadaan isteri.
Foto
RUMAH milik Ahmad yang diceroboh, semalam. Gambar kecil, kain batik milik mangsa.

“Kedua-dua suspek sedang berbogel manakala seorang dari mereka sedang menindih isteri saya,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Lori datang ‘bersarapan’


Kota Bharu: “Saya pengsan seketika kerana terlalu terkejut melihat lori pasir itu tiba-tiba meluru laju ke arah kedai makan bapa saudara, Fauzi Yakob,” kata Zarifah Hasan, 45, menceritakan kejadian lori merempuh kedai makan tempatnya bekerja di Kampung Dewan Beta, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, 10 pelanggan yang sedang menjamu selera lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri berikutan lori dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an gagal dikawal dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh kedai. 
Difahamkan, brek kenderaan itu gagal berfungsi dengan baik menyebabkan pemandunya merempuh apa saja halangan di depannya. 

Turut rosak teruk sebuah kereta Proton Iswara kepunyaan pemilik kedai dan motosikal Honda pelanggan.
Foto
KEADAAN lori yang merempuh sebuah kedai makan di Kampung Dewan Beta.

Menurut Zarifah, ketika kejadian dia sedang berdiri di depan kedai sambil melihat pelanggan sedang minum dan makan pagi.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Penangan cinta


Tampin: Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga ditemui tidak sedarkan diri di belakang sekolahnya dipercayai selepas meminum sejenis racun rumpai, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun dipercayai meminum racun rumpai di belakang sekolah berkenaan sebelum rebah. 
Menurut sumber, pelajar itu yang dipercayai baru putus cinta dikatakan gagal mengawal perasaan dan meminum racun yang dibawa ke sekolah secara diam-diam. 

“Selepas minum pagi di sebuah warung berdekatan, mangsa terus menuju ke belakang bangunan sekolah dan mengeluarkan botol racun daripada beg lalu meminumnya sebelum dia rebah dalam keadaan mulut berbuih.
Foto
MANGSA tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum racun dirawat di Hospital Tampin.

“Pelajar itu bagaimanapun bernasib baik kerana ditemui rakan yang terus memaklumkan kepada pihak sekolah sebelum dia dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Geng curi kenderaan RM2j tumpas


PERANTI elektronik, pemutar skru dan kunci pendua yang dirampas oleh polis daripada Geng Taiwai dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.


PETALING JAYA – Kelicikan anggota Geng Taiwai mencuri kenderaan mewah di Lembah Klang dengan cara membuat salinan pendua alat kawalan jauh kenderaan terbabit tumpas apabila enam anggota sindiket itu termasuk seorang wanita ditangkap polis baru-baru ini.
Difahamkan, sindiket ini dipercayai terlibat menjalankan aktiviti mencuri kereta mewah membabitkan kerugian berjuta-juta ringgit sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, hasil siasatan lanjut ke atas kesemua suspek, pihaknya berjaya merampas 10 buah kenderaan yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3EGnd4FXb 
Hakcipta terpelihara 

Kes Ebola boleh cecah 1.4 juta


PENDUDUK yang sakit dipercayai terkena virus Ebola menunggu di luar ‘Klinik Pulau’ iaitu sebuah pusat rawatan yang baharu dibuka di Monrovia, Liberia kelmarin.- AFP


NEW YORK - Pegawai Kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran keras terhadap kes wabak Ebola yang boleh menjangkiti 1.4 juta mangsa pada pertengahan Januari tahun depan jika tidak dibendung dengan segera.
Unjuran yang dilakukan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) itu berdasarkan perkembangan yang berlaku sejak akhir Ogos lalu.
"Saya berharap unjuran yang paling buruk ini tidak akan berlaku," kata Ketua CDC, Dr. Tom Frieden semasa mendedahkan mengenai laporan berkenaan.
Lebih 5,800 pesakit Ebola dan 2,800 kematian berlaku dalam tempoh enam bulan lalu dan pihak berkuasa kesihatan antarabangsa memberi amaran bahawa krisis itu mungkin akan menjadi lebih teruk apabila masih banyak kes kematian berlaku manakala banyak kes jangkitan gagal dikesan.
Pihak CDC memberi contoh mengenai angga- ran bilangan kes yang dilapor dan tidak dilaporkan pada 30 September sebenarnya telah mencecah 21,000 orang hanya di dua buah negara iaitu Liberia dan Sierra Leone.
Kadar itu, menurut CDC boleh menyebabkan pesakit Ebola mencecah 1.4 juta jika masih berlarutan dan tiada tindakan berkesan diambil.
Berikutan itu, pihak berkenaan menggesa tindakan agresif diambil seperti mengasingkan pesakit Ebola sama ada di hospital atau di rumah selain langkah-langkah pencegahan lain termasuk aspek pengebumian mayat pesakit wabak maut itu.
"Langkah lebih agresif boleh menghalang wabak ini," kata Frieden.
Kelmarin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa kes di tiga buah negara iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone akan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 20,000 kes jika tiada langkah berkesan diambil.
Tanda-tanda penyakit Ebola ialah demam, sakit sendi, muntah, cirit-birit, serta pendarahan luaran dan dalaman. Sehingga hari ini belum ada penawar bagi penyakit berkenaan.
Sementara itu, menurut seorang pakar, Dr. Ar- mand Sprecher, masalah ini dapat ditangani sekiranya pesakit atau mangsa Ebola yang telah meninggal dunia tidak disentuh tanpa menggunakan sebarang pelindungan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3EGmrO1pt 
Hakcipta terpelihara