![]() |
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat digilis lori simen dalam kemalangan tersebut. |
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang apabila mangsa, Ting Yan Tong, 75, yang menunggang motosikal bergesel dengan sebuah lori simen sebelum terjatuh dan digilis kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan datang dari arah pekan Taiping melalui Jalan Stesen menghala ke jambatan Assam Kumbang.
“Lori simen berkenaan juga datang dari arah yang sama dan masing-masing berhenti di persimpangan lampu isyarat iaitu lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Yusuf berkata, hasil siasatan mendapati ketika di persimpangan lampu isyarat, lori simen terbabit telah bergesel dengan motosikal mangsa yang berada di sebelah kiri mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum digilis.
“Dalam siasatan yang dijalankan, di lokasi kejadian jalannya mempunyai dua lorong iaitu belok ke kanan dan jalan terus. Malah ketika kejadian juga keadaan cuaca adalah baik dan jalan kering,” katanya.
Mengulas lanjut, Yusuf berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
“Selain itu, disebabkan kemalangan terbabit, motosikal mangsa juga turut mengalami kerosakan teruk, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sehingga kini siasatan masih dijalankan dan kes ini di siasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.