Search This Blog

Tuesday, September 23, 2014

Wanita Cuba Bunuh Ibu, Masukkan Racun Dalam Minuman


Diterbitkan: Selasa, 23 September 2014 4:57 PM
Meena Patel (kiri) dan anak perempuannya, Kuntal Patel.

SEORANG wanita didakwa cuba membunuh ibunya dengan memasukkan racun ke dalam minuman ringan yang diminum ibunya.
Tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh itu dengan mengikut plot pembunuhan daripada siri televisyen Amerika Syarikat (AS) Breaking Bad yang ditontonnya.
Kuntal Patel, 37, didakwa memasukkan racun ke dalam minuman Coke Diet milik ibunya, Meena Patel.
Tertuduh melihat ibunya minum minuman tersebut.

Bagaimanapun ibu tertuduh tidak meninggal dunia.

Kuntal yang juga seorang pereka grafik bertindak sedemikian kerana ibunya melarang dia daripada berkahwin dengan teman lelakinya.

"Bukti menunjukkan bahawa Meena bukan wanita yang baik. Namun dia tidak boleh mati dengan cara sebegitu," kata pendakwa Jonathan Polnay di Mahkamah Southwark Crown, London.

Kuntal didakwa membeli racun tersebut dari sebuah laman web pasaran gelap dan dia ditahan selepas disiasat oleh FBI.

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan cuba memperolehi toksin tetapi menafikan cuba membunuh ibunya yang berusia 60 tahun itu.
Perbicaraan kes bersambung.
mstar

12 maut dalam letupan kilang bunga api di China

BEIJING: Satu letupan di kilang bunga api di selatan China mengorbankan 12 orang dan mencederakan 33 yang lain.

Dua lagi dilaporkan hilang apabila letupan menggegarkan Kilang Bunga Api Nanyang Export semalam, kata kenyataan Bandaraya Liling di Wilayah Hunan.
Laporan berkenaan tidak menyatakan punca yang mengakibatkan letupan itu tetapi ia adalah kejadian berkaitan keselamatan kerja.
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa kilang terbabit mempunyai lesen.
China adalah pengeluar bunga api terbesar dunia yang digunakan dengan meluas ketika sambutan Tahun Baharu China yang jatuh pada Februari tahun depan. - AFP
DISYORKAN

Jurucakap Osama mungkin dipenjara seumur hidup

NEW YORK: Mahkamah Persekutuan hari ini akan mengumumkan hukuman ke atas menantu Osama bin Laden kerana peranannya sebagai jurucakap al-Qaeda berikutan serangan 11 September 2001.
Sulaiman Abu Ghaith, yang dibicarakan di sini sejak kejadian 11 September itu, akan mengetahui hukuman yang mungkin dikenakan ke atasnya hari ini oleh Mahkamah Persekutuan di Manhattan.
Dia didapati bersalah pada Mac lalu atas tuduhan bersubahat dengan Osama apabila dia menyeru pengikut baharu supaya turut menyertai misi bunuh diri seperti 19 orang yang merampas empat jet komersial pada 11 September itu.
"Rempuhan pesawat tidak akan henti," kata imam dari Kuwait itu dalam video yang diedarkan pada Oktober 2001 yang ditunjukkan kepada juri.
Selain itu juri juga ditunjukkan video pada 12 September 2001 di mana Abu Ghaith duduk di sebelah Osama dan dua pemimpin tertinggi al-Qaeda ketika mereka cuba mencari alasan bagi serangan berkenaan.
Ketika membela dirinya sendiri selaku saksi, Abu Ghaith dengan tenang menafikan yang dia melakukan pengambilan rekrut untuk al-Qaeda dan menyatakan peranannya adalah lebih cenderung kepada keagamaan bertujuan menggalakkan Muslim supaya bangkit terhadap penindasan.
Tegasnya, dia bersetuju untuk menemui Osama pada malam serangan 11 September itu kerana menghormatinya sebagai seorang sheikh.
"Saya tidak menemuinya untuk merestuinya kerana membunuh beratus-ratus rakyat Amerika. Saya jumpa dia untuk bertanya apa yang dikehendakinya," kata Abu Ghaith. - AP
DISYORKAN

Biawak serang bayi


Tioman: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan parah selepas digigit biawak di rumahnya di kuarters pekerja Berjaya Resort, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.
Kejadian itu disedari ibunya yang berusia 20-an sebelum membawa mangsa ke Klinik Desa Kampung Tekek namun dirujuk ke Hospital Mersing untuk rawatan susulan.
Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu malam tadi di pondok polis Kampung Tekek.

Johari berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan termasuk meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) melakukan pemeriksaan di kediaman mangsa.
Foto
SERANGAN biawak terhadap bayi adalah kali pertama dilaporkan di pulau ini.

Beliau berkata, kes berkenaan adalah kali pertama dilaporkan di pulau itu membabitkan biawak menyerang manusia.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Buruh mengaku pecah masuk pejabat


Kuala Terengganu: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 24 bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memecah masuk dua pejabat dengan mencuri wang tunai sebanyak RM1,815 dan sebuah komputer riba.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Amirudin Mohamad, 32, dari Rumah Pangsa Kampung Kolam, di sini mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. 
Mengikut pertuduhan pertama, Amirudin didakwa memecah masuk pejabat dengan mencuri wang tunai RM1,700 milik Juna Jusoh, 39, di sebuah pejabat di Jalan Sultan Ismail, di sini, jam 10.30 pagi pada 13 Mei lalu. 

Bagi kesalahan itu, Rozianti menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan penjara.
Foto
AMIRUDIN dipenjarakan 24 bulan atas dua tuduhan memecah masuk pejabat.

Selain itu, Amirudin turut didakwa memasuki sebuah pejabat yang dijadikan sebagai tempat menyimpan harta dan mencuri satu set komputer riba jenama HP dan wang tunai RM115 milik Gemwira di Pejabat Gemwira Sdn Bhd di Jalan Sultan Mohamad, di sini, jam 7 malam pada 18 September lalu.

Bagi kesalahan itu, Rozianti menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan. Bagaimanapun, Rozianti mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Siasat murid sekolah agama belai anjing


Johor Bahru: Jabatan Agama Johor (JAJ) memandang serius berkaitan sebaran gambar di laman sosial Facebook berkaitan sekumpulan murid Sekolah Agama Bakar Batu bermesra bersama seekor anjing.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut berkata, mengikut maklumat diperolehi pihaknya, sekumpulan murid berkenaan meluangkan masa dengan membelai anjing selepas tamat waktu persekolahan.

Beliau berkata, difahamkan ia berlaku di kawasan luar sekolah agama dan ia disedari beberapa penduduk. 
Foto
GAMBAR di Facebook yang memaparkan murid sekolah agama membelai seekor anjing dengan ditemani seorang wanita.
Menurutnya, pihaknya difahamkan kumpulan kanak-kanak berkenaan bertindak demikian selepas dipengaruhi seorang wanita beragama Islam. 
"Wanita berkenaan yang dikatakan berkahwin dengan warga asing tidak sepatutnya mempengaruhi kumpulan kanak-kanak itu untuk membelai anjing kerana ia bercanggah dengan hukum agama, syarak dan budaya. 

"Saya berharap bahagian JAJ mengambil tindakan segera terhadap wanita itu kerana perbuatannya menjejaskan sensitiviti umat Islam. 

"Begitu juga dengan kanak-kanak terbabit seharusnya diberi penerangan berkaitan hukum agama supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan. 

"Anjing tidak sesuai dijadikan sebagai binatang peliharaan sebaliknya bagi tujuan memburu dan mengawal keselamatan, ia dibenarkan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Jurukamera RTM buat laporan polis


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lutin Ahmad, 39, yang mendakwa dikasari sekurang-kurangnya dua lelaki dipercayai kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, semalam tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul jam 10 pagi tadi.




Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, jurukamera terbabit dikatakan sedang merakam visual lima tahanan JKDM yang keluar daripada bilik perbicaraan sebelum seorang lelaki dipercayai mengiringi suspek cuba menghalang rakaman kamera dan menjerit.

Lelaki itu dikatakan bertindak agresif dengan menyentuh dan memusingkan leher Lutin menyebabkan dia hilang keseimbangan badan dan terjatuh.


Mangsa dikatakan cuba dipijak individu yang bertindak agresif itu sebelum rakan media lain membantu Lutin daripada terus dikasari.


Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan menerima laporan polis dibuat Lutin.

Dua lagi laporan polis bersabit insiden itu turut dibuat termasuk laporan anak perempuan Penolong Kanan Pengarah Kastam 1 Cawangan Siasatan Khas (Bahagian Penguatkuasaan) Ibu Pejabat JKDM Dengkil, Mohd Arifin Zakaria, 57, yang turut didakwa atas sembilan pertuduhan.

Munusamy berkata, Mohd Arifin yang dibebaskan dengan ikat jamin turut tampil membuat laporan polis mendakwa insiden itu tercetus selepas jurukamera terbabit mengasari dia dan anak perempuannya.

"Kita sedang meneliti rakaman litar tertutup untuk mengetahui punca sebenar dan kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

"Seorang lagi lelaki yang disyaki bertindak menyerang Lutin kini sedang dikesan pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Didakwa bunuh anak teman wanita


Sungai Petani: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas dituduh membunuh anak teman wanitanya berusia lima tahun, 11 Ogos lalu.
Tertuduh, Mohd Zamri Daud, 42, bagaimanapun mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Intan Farena Zainal Abidin. 
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Mohamad Fazrin Md Shukri di sebuah rumah tidak bernombor di belakang kedai runcit di No. 80 A1, Kampung Sungai, di sini, kira-kira jam 11 pagi, 11 Ogos lalu. 

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Foto

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Shazwani Syed Hussin terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Mekanik maut motosikal terbabas


Melaka: Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggang melanggar penghadang jalan di Bukit Baru, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi mangsa Muhammad Izwan Maula Samsudian, 24, dari Paya Ikan, Bukit Baru meninggal dunia di tempat kerana kecederaan parah di anggota badan. 
Kejadian dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan. 

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar bertemu rakan di lokasi yang tidak diketahui.
Foto

Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Padah miliki telefon bimbit curi


Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Seremban: Seorang suri rumah didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah memiliki telefon bimbit curi, pada 16 September lalu.




Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Suzana Madris, 29, menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Suzana membuat pengakuan bersalah itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Mega Dous milik Datuk Osman Salleh, 58, di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, pada jam 11.30 malam 16 September lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Dua beranak maut dirempuh kereta


Chukai: Seorang wanita berusia 46 tahun dan anak angkat lelakinya berusia 33 tahun maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dari arah belakang di Kilometer 107 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Labohan, di sini, 11 malam tadi.
Mangsa, Nariah Hamzah yang parah di kepala dan patah kaki kirinya meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. 
Manakala anak angkatnya, Zawawi Mohamad yang parah di kepala dan beberapa bahagian badan juga meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. 

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha Lagenda dinaiki mereka dari Paka ke Kijal, dekat sini dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita.
Foto
MANGSA menaiki motosikal yang dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kejadian dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Nenek maut, cucu cedera dilanggar kereta


Sandakan: Seorang wanita warga emas maut manakala cucu lelakinya berusia empat tahun cedera apabila dirempuh kereta ketika melintas jalan menuju ke perhentian bas di sebuah pasar raya di Jalan Utara berhampiran Taman Tyng, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Mohd Zain berkata, mangsa Aida Sabtar, 56 tahun dilanggar ketika melintas jalan bersama cucunya. 
"Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Aida dan cucu lelakinya berusia empat tahun dilanggar ketika melintas dari kiri ke kanan jalan. 

"Siasatan awal mendapati mangsa dilanggar oleh sebuah Proton Waja yang dalam perjalanan dari arah bandar ke Batu 7 di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Foto
caption image1

Menurut Zabidi, Aida yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess Of Kent Sandakan setengah jam kemudian, manakala cucunya hanya mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di hospital yang sama.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Berjahit di kepala dipukul guru


Kota Kinabalu: Pengguna media sosial di negeri ini sekali lagi gempar dengan penyebaran gambar seorang murid cedera di kepala kononnya akibat dipukul oleh seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah di sini, kelmarin.

Murid berusia lapan tahun itu dikatakan menerima tiga jahitan di kepala akibat terhantuk di meja selepas dia mendakwa dipukul guru kerana gagal menyiapkan kerja sekolah. 

Gambar itu viral dalam kalangan pengguna media sosial terutama menerusi Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Foto
MURID lapan tahun terpaksa menerima tiga jahitan di kepala akibat terhantuk di meja selepas dikatakan dipukul guru.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat keluarga murid terbabit, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Jame Alip dikatakan mengadakan perjumpaan antara pihak sekolah dengan ibu bapa bagi menyiasat perkara sebenar sebelum sebarang tindakan lanjut diambil. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

‘Dipukau’ untuk bogel


Ampang: Terpukau dengan tindakan seorang kenalan baru wanita yang berbogel di laman sosial Skype menyebabkan seorang pemuda diperangkap sebelum dipaksa membayar RM1,500.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, mangsa berusia 25 tahun dikatakan menggunakan laman sosial itu untuk berbual dengan suspek warga Filipina.


Sumber polis berkata, mangsa bagaimanapun teruja apabila wanita terbabit tiba-tiba berbogel dan mengajak mangsa turut melakukan tindakan sepertinya.

“Mangsa bagaimanapun enggan melakukan perkara itu dan cuba menamatkan perbualan mereka namun dia mendakwa bagai dipukau dan tidak menyedari turut sama berbogel.


“Mangsa kemudian menerima mesej melalui laman sosial Facebook empat jam kemudian meminta dia membuka pautan yang diberikan suspek,” katanya.


Sumber berkata, mangsa bagaimanapun terkejut apabila aksi dia berbogel dirakam di dalam laman You Tube menyebabkan dia panik.

“Suspek kemudian sekali lagi menghubungi mangsa dan mengugut bayaran wang RM1,500 jika dia tidak mahu video aksi itu disebarkan.


“Mangsa diarahkan membuat bayaran ke akuan bank diberikan wanita itu sebagai ‘tebusan’ bagi memastikan video itu dipadamkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Hancur digilis


Kuala Lumpur: Mengerikan apabila seorang lelaki mati digilis sebelum mayatnya diseret hampir 100 meter menyebabkan badan mangsa hancur berhampiran Taman Connaught, Cheras di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an dirempuh ketika melintas jalan di Lebuh raya Timur Barat dari Bandar Tun Razak menghala ke Cheras di sini. 
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, mangsa bagaimanapun dirempuh kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 30 tahun. 

“Mangsa yang dirempuh terperosok di bawah kereta itu sebelum terseret lebih kurang 100 meter (m). Akibatnya badan mangsa hancur dan berteraburan di atas jalan.
Foto
KENDERAAN yang terbabit nahas.

“Pada masa sama sebuah kereta Honda dipandu lelaki berusia 44 tahun yang berada di belakang kereta wanita itu tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa sekali lagi,” katanya, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

24 tuduhan rasuah


Kuala Lumpur: Lima pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen berlainan di sini semalam atas 24 tuduhan menerima rasuah berbentuk bayaran bulan berjumlah RM76,000 pada 2011 dan tahun ini.
Empat daripada mereka sebelum ini sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat lalu atas tuduhan sama, menerima wang rasuah itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap barang iaitu minuman keras yang tidak dikenakan cukai daripada syarikat yang tidak dinamakan.

Mereka adalah Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Cawangan Siasatan Khas (Bahagian Penguatkuasaan), Ibu Pejabat JKDM Dengkil, Mohd Arifin Zakaria, 57; Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Azlee Mohamed Yusof, 48; Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kastam Negeri Selangor, Sohaizan Othman, 41, dan Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan WPKL, Hizam Abd Ghani, 56.
Keempat tertuduh itu membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohd Ariffin didakwa atas sembilan pertuduhan membabitkan nilai suapan RM16,000, Azlee berhadapan dengan lapan pertuduhan menerima suapan RM4,000 manakala Sohaizan pula didakwa dengan lima pertuduhan menerima suapan RM5,000 serta Hizam menghadapi satu pertuduhan menerima suapan RM50,000.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Connought dan Taman Segar, Cheras, di sini, pada Mac 2011 dan antara Januari tahun ini hingga Ogos lalu.
Foto
TIGA pegawai kastam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16a(A) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu dipenjarakan tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Pegawai Kastam Tinggi Diraja, Ishak Abu, 55, juga didakwa atas kesalahan menerima suapan bernilai RM1,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja Laut di sini, jam 8.38 malam pada 26 Julai lalu.

Mahkamah membenarkan Mohd Arifin diikat jamin RM15,000, Hizam dan Ishak masing-masing RM5,000, Sohaizan (RM20,000) dan Azlee (RM10,000), dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan semua kes disebut pada 20 Oktober depan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Suami tinju isteri depan anak, ibu


Kuala Lumpur: Seorang wanita hanya mampu mengerang kesakitan apabila mukanya dibaling sekuat hati dengan alat kawalan jauh televisyen oleh suami.

Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, mangsa yang berusia 36 tahun turut ditumbuk suaminya berusia 40 tahun di rumah ibunya di Wangsa Maju di sini, berpunca akibat pertengkaran kecil.


Sumber polis berkata, kejadian bermula apabila pasangan itu berbincang kemelut rumah tangga dihadapi mereka.

“Bagaimanapun perbincangan itu bertukar sebaliknya apabila suami mangsa tiba-tiba melenting dan terus memaki hamun mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran.


“Pertengkaran itu bertambah ganas apabila suaminya membaling alat kawalan televisyen ke arah mangsa sehingga mengenai muka mangsa,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang mengerang kesakitan kemudian ditumbuk di muka dan kepala oleh suami.

“Kejadian itu amat menyedihkan berikutan ia berlaku di hadapan anak mangsa berusia enam tahun dan ibu mentua mangsa.


“Ibu mentua mangsa yang bimbang keadaan mangsa kemudian campur tangan untuk meleraikan pertengkaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Kumpulan ada dana RM3 juta


Kuala Lumpur: “Maklumat yang saya peroleh menunjukkan mereka ada dana lebih RM3 juta dan lebih membimbangkan, turut berpotensi untuk terjerumus kepada aktiviti militan.”

Demikian kata Penolong Setiausaha (Keselamatan dan Ketenteraman) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al Ghari mengenai ancaman satu ajaran sesat yang dibongkar akhbar ini menerusi beberapa laporan sejak awal bulan ini.


Beliau berkata, kumpulan itu yang dipercayai sudah mengumpul kira-kira 5,000 pengikut di seluruh negara didapati memperoleh sumber kewangan kukuh hasil sumbangan ahli.



“Gerakan dakyah songsang ini turut dikesan mempunyai kaitan dengan pertubuhan kongsi gelap Melayu dengan rangkaian di seluruh negara,” katanya kepada Harian Metro.


Menurutnya, selain bergerak secara dalaman, maklumat risikan juga mendedahkan kumpulan terbabit mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan politik dari negara jiran serta beberapa ajaran lain sebelum ini.


“Sebelum ini, ajaran itu bergerak aktif di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan sebelum mula menyusup masuk ke bahagian utara Semenanjung selepas aktiviti mereka mula dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Dicekup lepas sejam lari


Kapar: Dua penjenayah yang baru menyamun seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di Pekan Kapar, di sini, tidak menyangka diberkas polis kurang satu jam selepas melarikan diri.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, suspek berusia 20-an dikatakan merompak mangsa yang sedang berjalan pulang dari bank.


Sumber polis berkata, suspek yang menaiki kereta Proton Saga meluru ke arah mangsa sebelum seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil menunjukkan gari.

“Suspek juga mencekik leher mangsa dan mengugut mahu menahan mangsa yang kononnya didapati menghisap dadah walaupun mangsa menafikan dakwaan itu.


“Suspek memeriksa badan mangsa sebelum merampas barangan peribadi mangsa antaranya telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM500 serta dokumen pengenalan diri dan kad bank,” katanya.


Menurutnya, suspek kemudian memecut laju ke jalan utama sementara mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Kapar.

“Berdasarkan laporan, anggota peronda berjaya mengesan kereta dinaiki suspek di Taman Aman Kapar, di sini, sekitar jam 5.30 pagi hari sama sebelum menahan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Semua sudah terlambat


Ampang: “Saya sedih kerana kakak, Nurain Othman, 27, dan adik bongsu, Nuramanina Aminah Othman, 11, tenggelam lemas ke dasar kolam tanpa disedari orang ramai yang turut berenang di kolam sama,” kata Muhd Iqbal Nazmim, 23.
Dalam kejadian jam 2.30 petang kelmarin, mangsa dua beradik itu lemas ketika melakukan aktiviti riadah di sebuah kelab renang di Taman Melawati, Hulu Klang di sini.
Iqbal berkata, kejadian itu hanya disedari salah seorang adiknya, Muhd Alif Haziq, 12, sebelum bertindak meminta bantuan orang ramai yang berada berhampiran kolam itu.

“Walaupun berjaya ditarik keluar dari kolam namun semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui wartawan semalam.
Foto
DI KOLAM ini dua beradik lemas petang kelmarin. Gambar kecil, Nurain dan Nuramanina maut dalam kejadian lemas petang kelmarin.

Dia mendakwa lebih kecewa apabila pihak pengurusan kolam renang seakan-akan menyalahkan adik dan kakaknya itu kerana tidak mengikut prosedur.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Gelabah di tengah jalan


Tanah Merah: Tindakan seorang lelaki dipercayai warga tempatan memandu dalam keadaan mencurigakan akhirnya membongkar kegiatannya menyeludup bangkai harimau kumbang jantan untuk dipasarkan ke negara jiran.
Pemandu van itu dianggar berusia antara 30 dan 45 tahun memecut laju kenderaannya apabila menyedari diekori anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Bunga, di sini, jam 2 pagi, semalam di Kampung Kedondong, Bunut Susu, Pasir Mas.

Pemangku Komander UPP Kelantan Inspektor Wan Zakaria Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan lelaki itu sebelum mengekorinya di kampung berkenaan.
“Sebaik menerima maklumat, anggota kami melakukan risikan di kawasan berkenaan dan mengesan van terbabit dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Dia diekori dan dipintas, namun meletakkan kenderaan di bahu jalan sebelum melarikan diri ke kawasan semak berdekatan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaannya menemui bangkai seekor harimau kumbang diletakkan di tempat penyimpanan barang dianggarkan seberat 100 kilogram dengan beberapa organ dalamannya dikeluarkan,” katanya di sini, semalam.
Foto
WAN Zakaria (dua dari kiri) menunjukkan bangkai harimau kumbang yang cuba diseludup.
Wan Zakaria berkata, pihaknya percaya haiwan berkenaan hasil buruan penyeludup yang ditembak mati tengah malam di hutan sempadan Tanah Merah dan Jeli dan hanya dibawa keluar beberapa jam kemudian.

“Haiwan ini sekiranya dijual di pasaran gelap boleh mencecah harga antara RM100,000 dan RM800,000,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

20 tahun menyamar pesara polis


Oak Harbor (Amerika Syarikat): Seorang pekerja rumah mayat ditahan di Washington selepas polis menyedari dia menyamar sebagai pesara polis sejak 20 tahun lalu.

Perbuatan Jim Bailey terbongkar selepas dia cuba meleraikan pergaduhan sepasang suami isteri dalam sebuah kereta dengan mengenalkan dirinya pesara polis dan meminta saksi menelefon polis, kata Ketua Polis Oak Harbor, Edgar Green.

Siasatan dijalankan mendapati Bailey, 69, menyamar sebagai pesara polis sejak lebih 20 tahun lalu.



Menyamar sebagai anggota polis adalah kesalahan besar menurut undang-undang Washington.

“Kami bangga dengan apa yang kami lakukan dengan sentiasa bekerja keras melakukan tugas kami.

Tetapi apabila ada orang yang cuba menyamar menjadi seorang daripada kami, kami kecewa,” kata Green.

Bagaimanapun, peguam Bailey berkata, terdapat salah faham dengan apa yang berlaku.


Menurutnya, lelaki itu yang ditahan minggu lalu adalah orang baik yang sentiasa ingin membantu orang lain.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Empat askar ditembak polis


Batam: Empat anggota tentera Indonesia dari Batalion Yonif 134 Tuah Sakti ditembak polis Briged Mobil (Brimob) Riau awal pagi semalam selepas berlaku pergaduhan di antara kedua-dua pasukan sebelum itu.

Ketua Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (TNI) Fuad Basya berkata, dua anggota tentera berpakaian preman berkunjung ke suatu lokasi yang dilihat menjadi tumpuan ramai.



Selepas diselidik, kata Fuad, didapati ia bukanlah tempat simpanan petrol seperti disangka pada peringkat awal.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka ditembak di kaki, menyebabkan rakannya cuba membantu tetapi turut ditembak,” katanya.

Insiden itu mendorong lebih ramai anggota TNI datang dan sesetengahnya bergegas ke Ibu Pejabat Brimob untuk mendapatkan penjelasan.


Di situ, kata Fuad, berlaku pergaduhan dan berakhir dengan dua daripada anggota TNI itu cedera ditembak.


“Secara keseluruhannya empat anggota TNI luka ditembak di kaki,” katanya.

Sementara itu penduduk Batam diminta bertenang dan tidak terpengaruh dengan keadaan semasa.

TNI juga mengeluarkan arahan supaya semua anggotanya dilarang meninggalkan berek bagi mengelak sebarang kejadian membalas dendam.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Kumpul DNA penduduk pulau


Kerajaan yakin dalang pembunuhan dua pelancong Britain di Koh Tao, Surat Thani akan dapat diberkas tidak lama lagi selepas polis mengumpul sampel DNA semua penduduk di pulau peranginan itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand Prawit Wongsuwan berkata, setakat ini pihak berkuasa mengesahkan suspek adalah keturunan Asia.



Bagaimanapun Prawit enggan menyatakan secara jelas bila suspek kes berkenaan akan ditangkap.

“Kami mengarahkan semua pakar dalam pelbagai bidang ke tempat kejadian dan bertugas sebaik mungkin,” katanya.

Pada 15 September lalu polis menemui mayat penuntut Britain, Hannah Witheridge dan David Miller dalam keadaan bogel dengan kesan dipukul berhampiran sebuah banglo di pesisir pantai.

Mayat dua warga Britain itu ditemui di kawasan pantai pulau peranginan itu pagi semalam.

Kejadian itu menarik perhatian banyak pihak, sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

Bukti semasa menunjukkan seorang daripada mangsa adalah wanita yang menjadi sasaran serangan seksual.


Ketua Pejabat Sains Forensik Polis, Left Jen Kamrop Panyakaew mengesahkan satu unit di bawahnya dikerah mengumpul semua DNA penduduk Koh Tao sebagai langkah tambahan kepada 30 sampel suspek sebelum ini.


Kamrop berkata, satu set lengkap sampel DNA akan diuji dan akan mengumpul sampel lain jika perlu.

“Kami akan melakukannya sehingga dalang pembunuhan itu ditangkap,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Wilayah 8, Panya Mamen mengarahkan semua pekerja bot nelayan yang singgah di pulau itu dikesan segera.

Panya berkata, kedudukan Koh Tao yang berhampiran dengan wilayah Chumphon, nelayan dari situ juga akan disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Bayi lapan bulan diserang dan digigit biawak


KUANTAN 23 Sept. - Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan terpaksa menanggung kesakitan apabila mengalami luka yang agak teruk di bahagian kepala dan muka setelah diserang dan digigit seekor biawak.
Kejadian malang kira-kira pukul 10 pagi semalam itu dilaporkan berlaku di kuarters pekerja sebuah resort di Puala Tioman, Rompin dekat sini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140923/je_06/Bayi-lapan-bulan-diserang-dan-digigit-biawak#ixzz3E93Ukb8y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

UPP patahkan cubaan seludup harimau kumbang


ZAKARIA Hamzah menunjukkan bangkai harimau kumbang yang dirampas oleh anggotanya di UPP Bukit Bunga, Jeli, Kelantan, semalam.
JELI 22 Sept. - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) mematahkan cubaan seorang lelaki untuk menyeludup bangkai seekor harimau kumbang seberat 100 kilogram dipercayai untuk dijadikan makanan eksotik di Pasir Mas dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lelaki tersebut yang memandu sebuah van bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas meninggalkan kenderaannya di bahu jalan berhampiran simpang tiga Kampung Kedondong, Pasir Mas dekat sini selepas dipintas oleh anggota UPP Bukit Bunga.
Pemangku Komander UPP negeri, Inspektor Zakaria Hamzah berkata, sebaik sahaja menyedari kenderaannya diekori, suspek bertindak memecut sebelum sempat dipintas oleh anggotanya.
"Hasil pemeriksaan mendapati seekor harimau kumbang yang telah ditembak berada di bahagian belakang van terbabit.
"Badan harimau kumbang tersebut berlubang-lubang dipercayai ditembak menggunakan peluru penabur dan disyaki baru sahaja ditembak ekoran badannya yang masih lembut dan tidak berbau," katanya dalam sidang akhbar di UPP Bukit Bunga di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140923/je_01/UPP-patahkan-cubaan-seludup-harimau-kumbang#ixzz3E93Cz3ZG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima pegawai kastam didakwa terima RM76,000


Dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menerima rasuah berbentuk bayaran bulanan antara RM500 dan RM50.000 di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. Seramai lima pegawai JKDM mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah sesyen berlainan. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Selepas dua hari, seramai lima lagi pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 24 tuduhan menerima rasuah antara RM500 dan RM50,000 secara bulanan sejak awal tahun ini.
Empat daripadanya merupakan tertuduh-tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Jumaat lalu atas dakwaan serupa.
Hari ini, mereka dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini dengan nilai wang suapan yang didakwa diterima berjumlah RM76,000.
Di hadapan Hakim Alaudeen Ismail, Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Cawangan Siasatan Khas (Bahagian Penguatkuasaan), Ibu Pejabat JKDM Dengkil, Mohd. Arifin Zakaria, 57, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,000 di antara Januari dan Ogos lalu di Malayan Banking Bhd. (Maybank) Cheras dan Stesen Petronas hadapan Cheras Sentral Plaza, dekat sini.
Turut membuat pengakuan serupa di mahkamah tersebut ialah Pegawai Kastam Kanan, Bahagian Penguatkuasaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Hizam Abd. Ghani, 56, yang didakwa atas satu pertuduhan menerima suapan RM50,000 pada Mei lalu di Taman Segar, Cheras di sini.
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 ke atas Mohd. Arifin bagi kesemua pertuduhan manakala Hizam dikenakan ikat jamin RM5,000.
Di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin pula, Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kastam Negeri Selangor, Sohaizan Othman, 41, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 di antara Mac dan Julai lalu di Stesen Minyak BHP, Taman Connaught, Cheras di sini.
Dia dibebaskan dengan ikat jaminan RM20,000 berserta seorang penjamin.
Sementara itu, di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin, Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKDM WPKL, Azlee Mohamed Yusof, 48, mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM4,000 di antara Januari dan Ogos lalu di Taman Connaught, Cheras di sini.
Di mahkamah sama, Pegawai Kastam Tinggi (Bahagian Penguatkuasaan) Kastam Selangor, Ishak Abu, 55, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima RM1,000 tanpa sebarang balasan kira-kira pukul 8.38 malam, 26 Julai lalu di Maybank cawangan Jalan Raja Laut di sini.
Rasuah tersebut adalah sebagai dorongan agar tiada tindakan undang-undang diambil ke atas barang-barang yang belum diluluskan oleh JKDM iaitu arak atau mempunyai kaitan dengan urusan rasmi masing-masing.
Azlee dikenakan jaminan RM10,000 manakala Ishak diikat jamin RM5,000, masing-masing dengan seorang penjamin. Ishak juga perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Kesemua pertuduhan membabitkan Mohd. Arifin, Hizam, Sohaizan dan Azlee dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17 akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta tersebut yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi.
Pertuduhan bagi Ishak pula dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais, Ahmad Saifuddin Hashim Musaimi dan Husmarudin Hussin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Abdul Rahim Ali, Gabriel Susayan dan Feisal Mustapha.
Kesemua kes itu ditetapkan sebutan semula pada 20 Oktober ini untuk permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama dan penyerahan dokumen.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140923/ma_01/Lima-pegawai-kastam-didakwa-terima-RM76000#ixzz3E8PqBMrT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Seorang lagi pegawai kastam didakwa kes rasuah


SHAH ALAM 23 Sept. - Seorang lagi pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah wang RM300, dua bulan lalu.
Mohd. Yusri Mohd. Jonet, 35, yang merupakan Pegawai Kanan jabatan tersebut mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Norhadida Ahmad. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140923/ma_06/Seorang-lagi-pegawai-kastam-didakwa-kes-rasuah#ixzz3E8PiLTo6
© Utusan Melayu (M) Bhd