Manila: Taufan Fung-Wong yang menyebabkan banjir teruk di sebahagian besar ibu negara Filipina ini kelmarin, membadai pula wilayah paling utara negara itu semalam dengan membawa hujan dan angin kencang bersama-samanya.
Majlis Pengurusan Bencana Kebangsaan melaporkan kelmarin, lebih 700,000 terjejas akibat taufan Fung-Wong di bandar raya Manila dan di wilayah utara serta tengah Filipina, memaksa lebih 205,000 penduduk berpindah.
Sekurang-kurangnya lima orang mati.
Semalam, Gabenor Ilocos Norte di barat laut pulau Luzon, Imee Marcos berkata, angin kencang dan hujan lebat melanda wilayah berkenaan selama lebih 12 jam, menyebabkan bumbung rumah terbang, pokok tumbang dan hubungan jalan raya terputus kerana dinaiki air.
“Saya terperangkap dalam bilik tidur bersama generator, beberapa komputer dan telefon kerana saya tidak boleh keluar,” katanya ketika dihubungi menerusi telefon dari Laoag, ibu negeri Ilocos Norte, 400 kilometer ke utara Manila.
“Saya terpaksa mendesak penduduk bersabar.
Tak banyak yang boleh kita lakukan,” katanya.
Menurut Imee, pasukan penyelamat kini berusaha membantu mangsa yang terperangkap dan buat masa ini belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.
Katanya, kali terakhir keadaan seperti itu berlaku di wilayah berkenaan ialah 10 tahun lalu.
Di bandar raya Manila, ribuan penduduk yang terpaksa berpindah kelmarin, kembali kediaman mereka untuk membersihkan rumah masing-masing yang berselut dan berlumpur, semalam..
Hujan lebat kemlarin melumpuhkan ibu negara Filipina itu dan wilayah berhampiran.
“Kami tidak ada pilihan, kecuali kembali ke rumah kami.
Tak mampu hendak sewa apartmen,” kata seorang penduduk, Lovi Barbosa, 35, sambil membersihkan lumpur di rumahnya yang terletak berhampiran tebing sungai.
Menurutnya, dia dan lima anaknya yang berusia dua dan 10 tahun terpaksa tidur di luar sebuah kedai tayar kelmarin kerana sekolah yang dijadikan pusat pemindahan terlalu sesak.
Selain lima kematian yang dilaporkan, pihak berkuasa Manila berkata, seorang penduduk masih hilang.
Taufan berkenaan juga menyebabkan bekalan elektrik terputus di utara Pulau Luzon.
Purata 20 taufan membadai Filipina setiap tahun menyebabkan ratusan penduduk terbunuh dan menjejas kehidupan jutaan yang lain.

PENDUDUK mengharung banjir di jalan raya sementara yang lain melihat dari bumbung rumah di daerah Rizal, timur Manila, semalam.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21