Search This Blog

Sunday, September 21, 2014

Ajal balik kempen


Kuala Krai: “Allahyarham sempat bersama jentera dalam beberapa ceramah malam semalam (kelmarin) namun takdirnya terbabit kemalangan ini,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli selepas Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Sembilan Safrizal Tarmizan meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, awal pagi semalam.
Dalam kemalangan jam 4.30 pagi itu, Safrizal, 31, dan ibunya, Asmita Lukman, 56, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit manakala isteri, Nurul Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, dan anak mereka, Omar Al-Fateh, 3, parah dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. 
Turut cedera ialah anak saudaranya, Amirah Syahirah Zailani, 6. 

Kejadian berlaku ketika Safrizal yang memandu Toyota Wish dipercayai gagal mengawal kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah bas ekspres dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Foto
KEADAAN kereta dipandu Safrizal (gambar kecil) menyebabkan Allahyarham dan ibunya (gambar kecil) terbunuh.

Difahamkan, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan, selepas menghabiskan masa di rumah keluarga di Pantai Cahaya Bulan dekat Kota Bharu.

Allahyarham yang juga seorang guru sekolah agama di Seremban sempat singgah di Pengkalan Kubor menyertai kempen bagi pilihan raya kecil (PRK) di situ, Khamis ini. 


Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Makin biadab!


Kuala Lumpur: Tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook (FB), Tenashar Low yang memuat naik status biadap dan keterlaluan apabila secara terbuka menghina lagu Negaraku mengundang kemarahan orang ramai dan kini menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Gadis terbabit yang dipercayai penuntut sebuah kolej di Subang Jaya itu memuat naik status berkenaan selepas berang dengan berita dilaporkan The Rakyat Post mengenai segelintir penonton tidak menghormati lagu Negaraku yang dimainkan sebelum tayangan filem bermula di pawagam.
Antara kandungan statusnya itu adalah: “Kerajaan menganiaya saya setiap hari, adakah sekarang mereka minta saya menghormati mereka dengan berdiri semasa lagu (Negaraku) yang penuh penipuan dimainkan? Sudahlah saya membayar harga tiket (wayang) yang termasuk cukai A, cukai B dan cukai C? Saya cuma ingin menikmati filem yang ditonton, kepada mereka yang menyalahkan orang lain yang tidak berdiri, adakah anda fikir negara melayan kit dengan baik? Bodoh.”

Untuk rekod, gadis itu menggunakan perkataan ‘threaten’ yang bermaksud mengancam tetapi dalam konteks itu, dia mungkin bermaksud ‘treat’ iaitu layan.
Foto
STATUS FB yang dimuat naik Tenashar.

Dia juga memuat naik statusnya itu dengan merujuk artikel salah sebuah portal berita baru-baru ini sebagai kapsyen statusnya.


Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Maut rempuh tiang monorel


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang konkrit monorel di Jalan Hang Tuah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun dan isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah datang dari arah pusat beli-belah Times Square menghala ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, bagaimanapun sebaik tiba di Jalan Hang Tuah, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang konkrit monorel di sebelah kiri.

Menurutnya, akibat kejadian mangsa parah di kepala dan badan sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi ambulans dan pihak polis.


“Mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Isterinya pula masih dalam kritikal dan sedang menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Buat 68 panggilan dalam dua bulan


GAMBAR kenangan Sharifah Erna (kanan) dan Zakia bersama anak mereka, Muhammad Hisyam di pantai Semporna, Sabah.


KOTA KINABALU – Selepas lebih dua bulan menjadi tawanan kumpulan penculik, Konstabel Zakia Aleip yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lalu telah menghubungi keluarganya sebanyak 68 kali.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kali terakhir anggota polis marin berusia 26 tahun itu menghubungi keluarganya adalah pada petang kelmarin dan memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan selamat.
Katanya, menerusi panggilan yang dibuat itu, Zakia sempat bercakap dengan isteri, Sharifah Erna Berson, 23, dan bapanya, Aliep Sadu, 53, selain isteri mangsa juga ada bercakap dengan suspek dari kumpulan penculik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3Du2DvX1e 
Hakcipta terpelihara 

MRT Corp dedah hasil siasatan


KUALA LUMPUR - Mass Rapid Transit Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp) menyatakan tiada pengawasan yang mencukupi antara faktor yang membawa kepada keruntuhan blok landasan projek MRT di Kota Damansara dekat sini pada bulan lepas.
Dalam laporan yang dikeluarkan di sini semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati kekurangan kepipis telah menyebabkan landasan itu mempunyai kestabilan terhad dan oleh itu apabila parapet dipasang pada bahagian jejambat, ia mengakibatkan landasan jejambat itu runtuh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3Du2XqrBm 
Hakcipta terpelihara 

Sorok senjata api dalam enjin kapal



AHMAD (dua dari kiri) memegang selaras raifal Benelli Argo buatan Itali yang dirampas dari sebuah kapal mewah di Langkawi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Polis berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki kulit putih warga Afrika Selatan yang menjadikan sebuah kapal mewahnya sebagai tempat menyimpan sejumlah senjata api dan peluru dekat Terminal Feri di Jeti Kuah, Langkawi pada Khamis lalu.
Kegiatan itu terbongkar selepas polis yang melakukan serbuan pada pukul 12.30 tengah hari menemui tujuh laras raifal Benelli Argo buatan Itali di dalam kapal tersebut yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
Berikutan penemuan itu, polis menahan lelaki tersebut yang berusia 43 tahun dan seorang wanita Thailand berumur dalam lingkungan 30-an yang dipercayai kekasihnya bagi membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3Du21Zhoz 
Hakcipta terpelihara 

Polis tahan pelajar IPTA berkelakuan tidak senonoh


KUANTAN - Polis menahan sepasang kekasih yang berkelakuan tidak senonoh di dalam sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Terengganu menuju Kuala Lumpur pada pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada pemandu bas berkenaan pada pukul 2.01 pagi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3Du1t2FJa 
Hakcipta terpelihara 

Dua maut MPV bertembung bas



ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa daripada sebuah kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kuala Krai, Kelantan semalam.


KUALA KRAI - Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah kenderaan di Kilometer 106.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mereka yang maut ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya, Asmita Lukman, 56, yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish.
Tiga yang cedera ialah isteri Safrizal, Nurul Izatil Aqmar Mat Lazim, 28; anak, Mohd. Uma Al Fateh, 3, dan anak saudara, Amirah Syahirah Zailani, 6, yang turut berada dalam kenderaan terbabit.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan selepas mengambil isterinya di kampung di Pantai Cahaya Bulan di sini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3Du1fIuau 
Hakcipta terpelihara 

Buang janin dalam loji kumbahan



PEKERJA IWK sering menemui janin (gambar kecil) di loji kumbahan seperti ini.


KUALA LUMPUR - Syarikat pembentungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) semalam mendedahkan, para pekerjanya kerap menemui janin manusia di dalam loji kumbahan kendaliannya.
Pengurus Kanan Komunikasi IWK, Shahrul Nizam Sulaiman yang membuat pendedahan mengejutkan itu berkata, dalam tempoh setahun, lebih 10 kes pembuangan janin dikesan.
Kes terbaharu, seorang pekerja penyenggaraan loji di Metro Kepong 1 di sini menemui janin yang berusia dalam lingkungan dua bulan melekat pada dinding batu tangki yang sedang dibersihkan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3Du1QhOSO 
Hakcipta terpelihara 

Penumpang cemas pesawat dipenuhi asap



KESEMUA penumpang memakai oksigen pernafasan ekoran asap di dalam pesawat itu.


CALIFORNIA - Penumpang pesawat JetBlues dari Long Beach, California ke Austin, Texas pada Khamis lalu cemas apabila kabin tiba-tiba dipenuhi asap sehingga menyebabkan mereka terpaksa memakai alat bantuan oksigen pernafasan.
Kejadian cemas pesawat yang membawa 142 penumpang itu dirakamkan oleh penumpang yang menunjukkan kebanyakan mereka kelihatan keliru dengan apa yang berlaku termasuk kedengaran kanak-kanak menangis.
Bagaimanapun, kesemua penumpang selepas itu diminta bertenang oleh juruterbang memandangkan pesawat itu yang mengalami kerosakan enjin telah bersiap sedia untuk membuat pendaratan kecemasan.
Sementara itu, pelakon Twilight, Jackson Rathbone yang berada dalam pesawat itu turut merakamkan beberapa gambar kejadian tersebut dan memuat naik di laman Twitter.
Seorang jurucakap lapangan terbang Long Beach, Cassie Perez-Harmison berkata, juruterbang mengisytiharkan kecemasan dan menggunakan sejenis bahan pemadam apabila kokpit menerima amaran enjin pesawat itu panas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0921&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Du0BcJAK 
Hakcipta terpelihara 

Polis masih runding bebas Zakiah


KOTA KINABALU 20 Sept. - Rundingan untuk membebaskan anggota Pasukan Polis Marin (PPM), Konstabel Zakiah Aleip yang diculik lapan lelaki bersenjata dalam serangan hendap di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada Julai lalu masih diteruskan.
Walau bagaimanapun Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, rundingan itu berdepan masalah apabila kumpulan penculik bertegas mahukan jumlah wang tebusan seperti dituntut sebelum ini.
"Kita sudah mengemukakan tawaran yang munasabah, mereka tak bersetuju. Kita juga tidak tahu di mana lokasi sebenar anggota berkenaan (Zakiah) kerana kumpulan penculik itu sering berpindah bagi mengelak diberkas pihak berkuasa Filipina," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 12 Julai lalu, Zakiah, 26, dilarikan kumpulan penculik dari selatan Filipina manakala rakannya, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati ditembak ketika sedang bertugas di sebuah resort di pulau berkenaan.
Jalaluddin berkata, biarpun lokasi Zakiah masih tidak diketahui, anggota polis itu berada dalam keadaan sihat dan selamat.
"Dia ada menghubungi dan berbual dengan isteri (Sharifah Erna Berson) dan bapanya pada pukul 2.14 petang semalam. Malah, isterinya turut bercakap dengan ketua serta anggota kumpulan penculik itu.
"Sehingga kini, sebanyak 68 panggilan telefon dibuat oleh anggota berkenaan terhadap ahli keluarganya di sini," tambahnya.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti tiga orang suspek yang didakwa menyebar dan menghasut dalam isu 'memerdekakan' Sabah daripada Malaysia.
Jelasnya, ketiga-tiga suspek itu merupakan warga tempatan dan menetap di luar Sabah.
"Kita akan buru (tangkap) mereka berhubung dakwaan hasutan dan fitnah. Kita ada pasukan khas di sini dan di Bukit Aman, jika ada unsur-unsur berbaur fitnah, hasutan dan penghinaan, kita akan bertindak," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140921/je_02/Polis-masih-runding-bebas-Zakiah#ixzz3DtzR7ZB4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tujuh raifal dirampas


Ahmad Ibrahim (dua dari kiri) melihat senjata api raifal jenis Bennelli Agro buatan Itali dan pelbagai jenis peluru yang dirampas dalam kapal mewah di Langkawi dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Alor Setar, semalam. - MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN
ALOR SETAR 20 Sept. - Kegiatan seorang lelaki warga Afrika Selatan yang menjadikan kapal mewah miliknya sebagai transit penyimpanan senjata api terbongkar dalam satu serbuan oleh pihak polis di jeti Kuah, Langkawi, kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, polis menemui tujuh pucuk raifal jenis Bennelli Agro dipercayai buatan Itali dan pelbagai jenis peluru di dalam kapal mewah milik lelaki berusia 43 tahun itu.
"Polis menahan lelaki tersebut kerana menyimpan senjata api dalam keadaan yang mencurigakan dan turut ditahan ialah seorang wanita warganegara Thailand berusia 30-an yang dipercayai kekasihnya.
"Polis masih menyiasat kejadian ini dan mungkin senjata api tersebut dimiliki oleh pemilik kapal-kapal mewah lain dan lelaki tersebut menjadikan kapalnya sebagai tempat menyimpan senjata tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut Ahmad, kedua-dua suspek tersebut ditahan reman sehingga 24 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960.
Sementara itu, dalam kes berasingan Ahmad memberitahu, pihaknya juga telah menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah kelmarin.
Ujar beliau, kedua-dua suspek itu ditahan kira-kira pukul 8.45 malam di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Sungai Petani di sini.
"Hasil pemeriksaan pihak polis menjumpai 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 9.8 kilogram, 15 paket plastik berisi heroin seberat 4.6 gram dan dua paket berisi syabu seberat 560 gram di dalam kereta suspek.
"Kesemua dadah ini bernilai lebih RM150,000 dan salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dengan jenayah serta dadah," jelasnya.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140921/je_01/Tujuh-raifal-dirampas#ixzz3DtzBJmZg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Duit palsu: Pegawai tentera Thai ditahan


PHNOM PENH 20 Sept. - Seorang pegawai tentera merupakan antara tiga lelaki warga Thailand yang ditahan di Kemboja atas kesalahan memiliki duit palsu berjumlah AS$7 juta (RM22.6 juta).
Akhbar The Cambodia Daily hari ini melaporkan, penahanan tiga individu terbabit dibuat berikutan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa selama sebulan di barat laut wilayah Battambang, Kemboja.
Duit palsu berupa wang kertas AS$100 (RM310) tersebut dirampas selepas seorang anggota polis menyamar sebagai seorang pengurup wang dalam siasatan yang dijalankan itu.
Seorang suspek, Chamrat Vongsa, 51, merupakan pegawai tentera Thailand yang ditempatkan di sempadan antara dua negara terbabit. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_07/Duit-palsu-Pegawai-tentera-Thai-ditahan#ixzz3Dtyw40w0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Banjir terus lumpuhkan Manila


SEBAHAGIAN mangsa banjir membawa beberapa barangan peribadi menyeberangi jalan yang dipenuhi air selepas berlakunya Taufan Fung-wong di wilayah Rizal, timur Manila, semalam. - REUTERS
MANILA 20 Sept. - Beribu-ribu orang penduduk yang terjejas akibat Taufan Fung-wong yang melanda ibu negara ini pulang ke rumah masing-masing yang kebanyakannya dipenuhi lumpur hari ini, ketika angka korban meningkat kepada lima orang.
Menurut Majlis Pengurusan Dan Pengurangan Risiko Bencana Filipina, hujan lebat telah mengakibatkan bandar metropolis yang memiliki penduduk berjumlah 12 juta orang itu lumpuh dan memaksa hampir 83,000 penduduk berpindah.
"Kami tiada pilihan selain daripada pulang ke rumah. Kami tidak mampu untuk menyewa rumah lain," kata seorang mangsa banjir Lovi Barbosa, 35.
Jabatan kaji cuaca negara melaporkan, hujan berterusan selama tiga minggu di sekitar Manila sampai ke kemuncaknya semalam dan satu lagi taufan yang tidak begitu kuat dijangka berlaku di Pulau Luzon, kira-kira 400 kilometer dari Manila.
Sementara itu, perkhidmatan kaji cuaca menjangkakan Taufan Fung-wong akan membadai Taiwan esok.
Pengarah Eksekutif Majlis Bencana, Alexander Pama berkata, sehingga kini angka korban sudah meningkat kepada lima orang, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan hilang.
"Taufan turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus di kawasan utara Luzon, selain mengakibatkan beberapa buah feri kecil musnah di kawasan Pelabuhan Cebu," ujar Pama.
Secara purata dianggarkan 20 buah taufan melanda negara ini setiap tahun dan menyebabkan ratusan orang terkorban serta berjuta lagi hidup dalam keadaan sengsara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_04/Banjir-terus-lumpuhkan-Manila#ixzz3DtyPui3p
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kekecohan tercetus di Glasgow


SEBAHAGIAN penyokong kemerdekaan (kanan) berkelahi dengan penunjuk perasaan pro-Britain di Dataran George, Glasgow, Scotland, kelmarin. - REUTERS
GLASGOW 20 Sept. - Kekecohan tercetus antara penyokong dan penentang kemerdekaan Scotland di Dataran George, Glasgow semalam, beberapa jam selepas Ratu Elizabeth II dan Menteri Pertama Scotland, Alex Salmond menyeru supaya penduduk wilayah ini kembali bersatu-padu.
Seruan dua pemimpin itu dinyatakan selepas keputusan pungutan suara Scotland mendapati 55.3 peratus penduduk Scotland menentang untuk berpisah dengan Britain berbanding 44.7 peratus bersetuju untuk merdeka.
Menurut media tempatan, kejadian itu tercetus ketika kumpulan penentang kemerdekaan berarak dengan membawa bendera Union Jack di dataran tersebut dan bertembung dengan kumpulan pro-kemerdekaan.
Seramai enam orang ditahan ekoran pertelingkahan tersebut yang melibatkan kira-kira 200 orang.
Kumpulan penentang kemerdekaan turut dilaporkan membakar bendera Scotland dalam pertelingkahan berkenaan sehingga memaksa polis mengawal keadaan.
Menurut saksi, kumpulan pro-kemerdekaan turut menyanyikan lagu Flower of Scotland, manakala kumpulan penentang kemerdekaan pula membalas dengan nyanyian lagu Rule Brittania sebelum mereka bersurai tidak lama kemudian.
Sementara itu, Salmond, 59, yang bertanggungjawab membawa gerakan menuntut kemerdekaan daripada United Kingdom (UK) meletak jawatan semalam, selepas majoriti penduduk negara ini dalam satu pungutan suara menolak usaha tersebut.
Laman web Washington Post melaporkan, Salmond ketika mengumumkan keputusan tersebut berkata, beliau akan melepaskan jawatan berkenaan sejurus Parti Kebangsaan Scotland (SNP) berjaya memilih pemimpin baharu bagi menggantikannya.
Kata Salmond lagi, beliau turut menolak untuk bertanding dalam pemilihan ketua baharu SNP pada persidangan tahunan bulan November ini, namun menegaskan sama sekali tidak akan bersara dari dunia politik.
"Sudah tiba masa untuk saya memberi peluang kepada orang lain untuk memimpin. Sebagai ketua, masa untuk saya terus memimpin sudah hampir tamat.
"Namun bagi Scotland, kempen harus diteruskan dan impian tidak akan sama sekali berkubur," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Ratu Elizabeth II merayu kepada rakyat Scotland agar terus bersatu dan mengenepikan perbezaan pendapat. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_01/Kekecohan-tercetus-di-Glasgow#ixzz3DtxaoxRd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

30 penduduk diselamatkan daripada banjir kilat


ALES, Perancis 21 Sept. - Pasukan penyelamat menyelamatkan kira-kira 30 penduduk di bandar Ales, selatan Perancis semalam selepas hujan lebat semalaman menyebabkan banjir kilat.
Pihak berkuasa melaporkan, lapan operasi menyelamat dijalankan oleh 200 anggota bomba dengan bantuan empat buah helikopter.
Pegawai kerajaan, Didier Martin berkata, 25 orang telah diselamatkan, dan sebahagian daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Banjir kilat tersebut membanjiri kira-kira 400 buah rumah dan berpuluh-puluh kereta. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140921/lu_08/30-penduduk-diselamatkan-daripada-banjir-kilat#ixzz3DtxISMmD
© Utusan Melayu (M) Bhd