Search This Blog

Wednesday, September 17, 2014

Lori bertembung

Lori dinaiki mangsa dan lori membawa muatan sawit remuk selepas bertembung. Gambar kecil: Airy Suparman
Lori dinaiki mangsa dan lori membawa muatan sawit remuk selepas bertembung. Gambar kecil: Airy Suparman
GUA MUSANG – Pertembungan dua lori di Kilometer 74 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Kampung Sungai Bayu, di sini, petang kelmarin meragut nyawa seorang pemandu lori dan menyebabkan seorang kelindan parah.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 5.30 petang dan mangsa, Airy Suparman Abdullah, 38 berasal dari Kampung Cita Jaya, Tanah Merah maut di tempat kejadian.

Kelindannya, Mohamad Sayuti Mat Kasim, 21 cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) manakala pemandu sebuah lori lagi, Ab Dollah Awang, 61, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RPT) Kesedar Chalil tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, semasa kejadian, mangsa bersama kelindannya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai selepas selesai kerja baik pulih jalan.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, lori dinaiki mangsa bertembung dengan lori membawa muatan sawit dipandu Ab Dollah yang datang dari arah bertentangan.

"Kedua-dua lori terbabit remuk dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang terpaksa dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa.

"Kejadian turut menyebabkan kesesakan lalu-lintas namun dapat dikawal sebaik sahaja anggota polis tiba di tempat kejadian," katanya.

Tambahnya, Mohamad Sayuti dilaporkan berada dalam keadaan stabil di HKK dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati terutama pada musim cuti sekolah sekarang ini.

"Polis akan buat rondaan di semua jalan raya bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan perjalanan orang ramai ke destinasi yang dituju lebih selamat," katanya.

Anak lelaki sergah penyamun

Suspek berjaya diberkas oleh orang awam.
Suspek berjaya diberkas oleh orang awam.
KOTA BHARU - Tindakan pantas seorang remaja berusia 15 tahun menyergah seorang lelaki yang cuba menyamun ibunya, menyelamatkan wanita itu daripada menjadi mangsa jenayah.

Kejadian berlaku di tepi jalan Batu 4, Jalan Kuala Krai, di sini, berdekatan sebuah restoran makanan segera, berhampiran lampu isyarat cabang empat Tunjong, pada jam 9.15 malam, Khamis lalu.

Mangsa berusia 30-an  sebelum itu memberhentikan keretanya dan turun berjalan menuju ke restoran makanan segera berkenaan untuk membeli makanan.

Secara tiba-tiba, datang tiga lelaki menaiki kereta jenis Perodua Kancil berhenti berdekatan mangsa sebelum seorang daripada mereka turun lalu mengacu pisau ke leher mangsa. Suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai dan dompet yang dipegangnya.

Anak lelaki mangsa yang menunggu di dalam kereta menyedari kejadian itu, kemudian bertindak pantas keluar daripada kereta dan menyergah suspek menyebabkan lelaki tersebut terkejut.

Remaja itu meluru ke arah suspek dan membantu ibunya yang sedang bergelut dengan suspek.

Suspek berusia 39 tahun dan berasal dari Ketereh, cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya diberkas selepas orang awam menyedari kejadian tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan suspek.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metamphetamine. Dua lagi rakan suspek yang melarikan diri masih diburu.

“Suspek kini direman sehingga 19 September ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata,” katanya.

Lelaki ditemui mati tepi longkang pangsapuri

Mayat mangsa ditemui terbaring di tepi longkang.
Mayat mangsa ditemui terbaring di tepi longkang.
GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Blok 354, Lintang Maccalum 1, Gat Lebuh Maccalum di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mayat lelaki berusia 40an itu ditemui terbaring tepi longkang pangsapuri berkenaan oleh orang ramai selepas terdengar bunyi dentuman.

Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Leong berkata, tidak pernah melihat lelaki berkenaan sebelum ini dan dipercayai bukan penduduk di situ.

Beliau berkata, sebelum itu, lelaki berkenaan dilihat berjalan di sekitar perumahan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Saya memang tak pernah lihatnya di sini dan yakin dia bukan penduduk perumahan ini.

“Kebanyakan kes orang terjatuh dari pangsapuri di sini adalah orang luar. Saya harap kejadian seperti ini tak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, sumber polis berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap lelaki berkenaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala selain tulang pinggang patah.

“Polis masih menyiasat identitinya selain mengenal pasti dari aras berapa lelaki ini terjatuh,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kes diklasfikasikan sebagai kematian mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.

'Ingat pelanggan rupanya penyamun'

Jari An Asriza cedera dah menerima enam jahitan akibat terkena parang. Gambar kanan: Kecederaan yang dialami An Asriza akibat terkena parang ketika kejadian samun.
Jari An Asriza cedera dah menerima enam jahitan akibat terkena parang. Gambar kanan: Kecederaan yang dialami An Asriza akibat terkena parang ketika kejadian samun.
MANJUNG - Seorang pekerja sebuah stesen minyak cedera di tangan dan kening akibat diserang menggunakan parang dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di sini, petang, kelmarin.

Mangsa, An Asriza Abdul Rani, 21, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.25 petang semasa dia sedang bekerja di stesen minyak itu.

“Sebelum kejadian berlaku saya lihat ada sebuah kereta jenis Gen2 berhenti di salah sebuah pam minyak dan saya seperti biasa menghampiri kereta itu kerana menyangka dia mahu mengisi minyak.

“Tiba-tiba seorang lelaki keluar dari kereta memegang parang dan meminta menyerahkan beg pinggang yang saya pakai. Semasa lelaki itu cuba menarik beg, parang yang dipegangnya terkena kening sebelah kiri dan dua jari kiri saya,” katanya.

Katanya, lelaki berkenaan berjaya melarikan diri bersama beg pinggang miliknya yang mempunyai wang hasil jualan minyak.

“Akibat itu saya menerima enam jahitan di jari dan dua jahitan di kening serta segera membuat laporandi Balai Polis Pantai Remis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pihaknya berjaya menahan salah seorang suspek yang terlibat dalam kes samun di stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, hasil maklumat awam, anggota polis Balai Pantai Remis yang mengadakan rondaan berjaya menahan suspek berusia 47 tahun di Kampung Lubuk Pusing, Changkat Keruing kira-kira jam 12.05 malam semalam.

“Selepas menyamun, suspek melarikan diri namun kenderaan yang digunakan semasa menyamun dijumpai di Kampung Lubuk Pusing, Pantai Remis.,” katanya.

“Suspek yang ditahan akan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. Dalam masa sama, polis masih mengesan salah seorang rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Jaafar berkata, sebuah premis yang menjalankan perniagaan membeli emas lama dan surat pajak hampir disamun.

“Dalam kejadian jam 9.10 pagi kelmarin di Sitiawan, ketika premis berkenaan baru dibuka, tiba-tiba datang seorang lelaki cuba menyamun.

“Berlaku pergaduhan hingga menyebabkan pekerja di premis cedera di kepala dan kaki kiri dipercayai terkena parang. Namun suspek melarikan diri sebelum sempat menyamun barang di premis berkenaan," katanya.

Orang minyak warga Bangladesh

Pekerja warga Bangladesh ini bertukar menjadi orang minyak selepas terjatuh dalam tangki berisi cecair tar.
Pekerja warga Bangladesh ini bertukar menjadi orang minyak selepas terjatuh dalam tangki berisi cecair tar.
KUALA BERANG - Malang tidak berbau! Seorang pekerja warga Bangladesh bertukar menjadi orang minyak selepas terjatuh dalam tangki minyak berisi cecair tar, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa seorang pekerja di sebuah kuari di daerah ini terpaksa berendam dalam takungan cecair tar itu selama 20 minit sebelum berjaya diselamatkan setelah jeritannya didengari rakan sekerjanya.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berusia 30-an sedang melakukan kerja penyelenggaraan bagaimanapun ketika cuba mengambil peralatannya yang terjatuh ke dalam tangki berisi cecair tar tersebut dia tergelincir dan turut tercampak ke dalam tangki.

Menurut sumber, mangsa menjerit meminta tolong beberapa lama sebelum pekerja lain menyedari kejadian itu dan berusaha membantu mengeluarkan mangsa.

“Pekerja warga Bangladesh ini dibawa keluar menggunakan tali yang diikat pada sebuah jengkaut kerana usaha awal membantu dengan cuba menariknya ke atas tidak berhasil.

"Ketika dia berjaya ditarik keluar, dia begitu keletihan serta tidak bermaya. Malah, seluruh tubuhnya dipenuhi tar seperti orang minyak," katanya.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Salim Mansor berkata, pihaknya turut menerima panggilan berhubung kejadian itu yang memaklumkan ada seorang lelaki terjatuh dalam tangki minyak.

“Pihak kami menerima panggilan jam 10.02 pagi dan bergegas ke tempat kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota.

"Sebaik tiba di sana didapati mangsa telah dibawa keluar oleh rakan sekerjanya daripada tangki tersebut," katanya.

Nahas libatkan 150 kenderaan

Kabus tebal dipercayai menjadi punca nahas menggemparkan di Netherlands.
Kabus tebal dipercayai menjadi punca nahas menggemparkan di Netherlands.
THE HAGUE - BELANDA. Sekurang-kurangnya dua maut dalam kemalangan melibatkan 150 kenderaan di lebuh raya sesak di selatan Netherlands, semalam.

Pihak berkuasa memaklumkan, insiden menggemparkan itu berlaku di kedua-dua laluan antara bandar Goes dan Middelburg terletak kira-kira 150 kilometer (km) di barat daya Amsterdam.

"Punca nahas itu mungkin disebabkan kabus tebal yang menjejaskan jarak penglihatan pengguna lalu lintas," menurut jurucakap pegawai keselamatan wilayah Zeeland menerusi akaun Twitter rasmi mereka. 

Hans Hubregtse turut memaklumkan sebanyak 50 ambulans dikerah ke lokasi kejadian di Heinkenszand, kira-kira 8 km di luar Goes.

Difahamkan menurut AFP, laluan di kedua-dua arah juga ditutup bagi melancarkan operasi menyelamat mangsa yang masih terperangkap.

'Iron Man' gagal larikan duit dari ATM



SEBUAH mesin ATM yang dibuka oleh seorang penjenayah memakai pakaian serba hitam dan topeng 'Iron Man' di Plaza Damai di Luyang, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki memakai topeng 'Iron Man' gagal melarikan wang dari sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Plaza Damai dekat Luyang di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.19 petang itu, suspek yang berpakaian serba hitam turut menyembur kamera litar tertutup (CCTV) dalam bank berkenaan dengan cat putih bagi mengelak perbautannya dirakam.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 6 petang sebelum menghantar sepasukan anggota dan Unit Forensik untuk menjalankan siasatan.

CCTV dalam kawasan Plaza Damai di Luyang disembur dengan cat putih oleh penjenayah yang cuba memecahkan sebuah mesin ATM.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pemeriksaan mendapati sebuah mesin ATM di bank berkenaan diumpil selain empat CCTV disembur dengan cat putih.
Katanya, tiada pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian dan polis sudah meneliti rakaman CCTV bagi membantu siasatan.
"Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan namun kita sedang berusaha mengesan," katanya.
Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Jakariya Julpakal di talian 013-8571881.

Debaran 10 minit


Kapar: Sebanyak 11 motosikal musnah terbakar di Flat Taman Kapar Setia, di sini, awal pagi semalam, selepas kejadian 29 kenderaan dibakar di Shah Alam, Serdang Perdana serta Senawang, Negeri Sembilan, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang penghuni juga hampir maut selepas terperangkap lebih 10 minit di dalam kediamannya akibat kebakaran motosikal berkenaan. 
Mangsa, R Suresh, 34, berkata, itu adalah 10 minit yang mendebarkan dalam hidupnya apabila dia terperangkap di dalam rumah di tingkat satu flat berkenaan sebelum nekad terjun melalui tingkap balkoni bagi menyelamatkan diri. 

Menurutnya, dia sedang tidur di ruang tamu rumahnya ketika itu sebelum terasa bahang panas mengakibatkan dia terjaga.
Foto
SURESH terselamat dalam kebakaran 11 motosikal penghuni flat.
Foto
PENDUDUK Flat Taman Kapar Setia melihat rangka motosikal yang terbakar.

“Sebaik saya bangun dan menuju ke pintu depan, saya lihat cahaya kemerah-merahan di luar sebelum terdengar bunyi letupan kecil dari bahagian tempat letak motosikal di bawah rumah.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Drama Si Munchkin


Kajang: Seorang pemilik kucing baka Munchkin tidak menyangka penyewa bilik di rumahnya sanggup mencuri dan menjual tiga ekor kucingnya bernilai RM 5,700 melalui Internet untuk mendapat wang cara mudah.
Dalam kejadian pada 13 September lalu itu, pemilik kucing yang mahu dikenali sebagai Adam Putra, 38, keluar dari rumahnya di Taman Bukit Kenangan di sini, untuk ke tempat kerja. 
Menurut Adam, dia mengetahui kehilangan kucingnya selepas pulang ke rumah kira-kira jam 9 malam hari sama. 

“Saya dapati kucing yang diletakkan dalam sebuah bilik khas sudah dilarikan. Suspek juga tiada di dalam biliknya ketika itu.
Foto
KUCING yang dicuri dijual lelaki di Internet sebelum dikembalikan semula kepada pemiliknya.

“Saya mengesyaki suspek yang melakukan perbuatan itu kerana hanya kami berdua yang tinggal di rumah berkenaan,” katanya.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

ATM siasat kes 3 askar cedera kena tembakan


Kuala Lumpur: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menjalankan siasatan dalaman terperinci ekoran kejadian tiga anggota Batalion 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Seberang Takir Kuala Terengganu, cedera terkena tembakan, dalam kejadian kelmarin.

Menurut kenyataan dikeluarkan, TDM memberitahu siasatan dalaman dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan pihaknya memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran.


“Terdapat kecederaan kepada anggota terbabit ketika menjalani fasa latihan menembak oleh pasukan itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan kepakaran mereka,” menurut kenyataan itu, semalam.

Kenyataan itu mendakwa anggota yang mengalami kecederaan kini dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Gadis beli nasi lemak lari bersama kekasih



Ipoh: Seorang bapa merayu orang ramai membantu mengesan anak perempuannya Puteri Nur Sabrina, 17, yang hilang sejak 30 Julai lalu selepas keluar membeli nasi lemak di kawasan berhampiran rumahnya di Taman Klebang Utama, di sini.

Megat Kamarudzzaman Megat Talib, 45, berkata, anak perempuannya itu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini hilang tanpa membawa sebarang beg pakaian.

Menurutnya, anaknya itu dipercayai melarikan diri mengikut teman lelakinya iaitu seorang lelaki tempatan yang hanya dikenali sebagai Myzan berasal dari Gombak, Selangor.

Katanya, pada hari kejadian, Sabrina memakai seluar trek berwarna gelap serta baju-T berwarna putih dan memberitahunya mahu keluar membeli nasi lemak di kawasan berdekatan dengan menaiki motosikal Yamaha LC Ego.

“Selepas beberapa jam keluar, anak saya tidak kembali ke rumah menyebabkan saya mula mencarinya di beberapa rumah rakan sekolahnya, namun usaha itu gagal.



Saya juga cuba menghubungi telefon bimbitnya, tapi tidak berjawab.

“Kini telefon bimbit anak saya itu gagal dihubungi menyebabkan saya membuat laporan di Balai Polis Chemor pada 1 Ogos lalu.

Pelbagai ikhtiar turut dilakukan termasuk mencarinya di Kuala Lumpur, namun tidak menemuinya,” katanya.

Katanya, anak perempuannya itu juga pernah hilang selama beberapa hari tahun lalu sebelum ditemui semula selepas lelaki berkenaan menghantar anaknya itu ke Hentian Puduraya.

Menurutnya, dia mengesyaki kehilangan anaknya kali ini sudah dirancang.

Sementara itu, ibunya, Norazizian Mohd Ghazali, 43, turut merayu mana-mana pihak yang mengenali atau mengetahui di mana anaknya berada untuk menghubungi mereka atau balai polis terdekat bagi memastikan anak gadisnya itu kembali ke pangkuan.

“Pulanglah ke pangkuan keluarga dan ingatlah masa depan, peperiksaan SPM sudah makin hampir.

“Ibu mana yang tidak bimbang bila anaknya hilang, bermacam ikhtiar dan usaha kami lakukan, tetapi semuanya menemui jalan buntu, ini adalah ikhtiar terakhir kami dan diharapkan dapat maklum balas positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Mayat tertiarap ditembak di kepala



Sungai Petani: Mayat seorang lelaki berusia 30-an ditemui mati dalam keadaan tertiarap oleh seorang penternak lembu dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, dekat sini, pagi semalam.

Mayat lelaki terbabit ditemui jam 9 pagi di ladang berkenaan ketika penternak terbabit mencari lembunya yang dilepaskan di kawasan ladang berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda Deputi Superintendan Ricky Tey berkata, polis yang menerima maklumat itu kemudian bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat lelaki dalam keadaan tertiarap.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap mayat itu polis menemui satu kesan tembakan di kepala mangsa dan percaya mangsa mati akibat tembakan itu.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan pada mayat terbabit.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai dibawa ke ladang kelapa sawit berkenaan antara jam 1 hingga 5 pagi sebelum ditembak di kepala dan ditinggalkan dikawasan terbabit.

“Polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta suspek yang melakukan perbuatan itu.



Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Orang ramai yang mengetahui kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

‘Ghaib’ 13 hari


Kuala Lumpur: Seorang bapa tidak lena tidur susulan kehilangan anak gadisnya berusia 16 tahun yang ‘ghaib’ sejak 13 hari lalu selepas dihantar ke sekolah.
Mangsa, Nurul Sakinah Jamaludin dilaporkan gagal dikesan sejak 4 September lalu selepas bapanya, Jamaludin Abu Hanifah, 52, menghantar anaknya itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul, di sini.
Jamaludin berkata, dia menghantar anaknya itu ke pintu pagar sekolah sekitar jam 7 pagi seperti biasa.
Menurutnya, dia bagaimanapun berasa tidak sedap hati sebelum mengambil keputusan berpatah balik dan memeriksa anaknya di sekolah.
“Namun saya terkejut apabila guru kelas anak saya itu memberitahu Sakinah tidak hadir ke kelas pagi itu.
“Saya tidak tahu punca anak sulung saya menghilangkan diri kerana tiada sebarang pergaduhan berlaku di rumah sebelum itu,” katanya.
Dia memberitahu cuba menghubungi telefon bimbit anaknya, namun tidak dijawab.
“Malah SMS yang dihantar berulang kali kepadanya turut tidak dibalas,” katanya, semalam.
Menurutnya, dia berusaha mencari Sakinah di rumah rakan, namun kebanyakan mereka mendakwa tidak melihat anaknya.
“Saya merayu Sakinah kembali ke pangkuan kami dan berbincang dengan ahli keluarga sekiranya menghadapi sebarang masalah.
“Saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul dan diharap orang ramai dapat membantu mencari Sakinah,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui lokasi anaknya itu berada diminta segera menghubunginya di talian 012-6721583 atau 03-40449710 atau balai polis berhampiran.
Foto
NURUL Sakinah
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Mangsa meninggal dunia


Seremban: “Kami sekeluarga sempat mengucup dahinya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.40 pagi tadi (semalam),” kata Sabarila Husin, 46, ibu Muhamad Hidayat Ramlan, 23, yang meninggal dunia selepas sembilan hari dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, akibat parah dirempuh bot yang menarik bot pisang, 7 September lalu.
Kejadian berlaku pada jam 10 pagi ketika Muhamad Hidayat mandi di Pantai Dataran Telok Kemang, Port Dickson, dekat sini, menyebabkan anak sulung daripada lima beradik itu parah pada paru-paru selain patah tulang rusuk kiri dan menerima lebih 10 jahitan pada lengan kiri.
Sabarila berkata, suaminya, Lans Koperal Ramlan Pardi, 50, yang bertugas dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) dimaklumkan doktor mengenai keadaan anaknya yang semakin kritikal kelmarin.
“Keadaan arwah bertambah tenat awal pagi tadi (semalam).
Sebelum arwah meninggal, dia membuka matanya meminta saya, suami dan empat adiknya bergilir mencium dahinya.

Sebaik anak bongsu saya berusia 13 tahun mencium dahinya, dia menghembuskan nafas terakhir.
“Semua adik arwah sedih dengan pemergian abangnya itu, namun saya sebagai ibu perlu tenangkan mereka.
Foto
JENAZAH Muhamad Hidayat dibawa untuk dikebumikan.

Saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTJ, di sini, semalam.
Jenazah Muhamad Hidayat dituntut keluarganya untuk dibawa pulang ke Kuarters Perumahan Polis Desa Baiduri, Cheras, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, selepas solat Zuhur, semalam.
Ramlan pula berkata, dia berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang terbabit dengan kejadian berkenaan demi kepentingan awam.
“Saya diberitahu perkhidmatan bot pisang tidak mempunyai insurans.

Sebelum ini ada beberapa kes kematian dilaporkan membabitkan bot pisang dan saya mahu semua pihak memandang serius perkara ini.
“Saya lihat segelintir pemandu bot yang menarik bot pisang memandu laju dan melulu hingga membahayakan nyawa pengunjung yang mandi, malah arwah juga dilanggar ketika mandi tidak jauh dari pesisir pantai,” katanya.
Menurutnya, pihak tertentu sepatutnya menyediakan laluan khas untuk bot masuk dan keluar bukan di kawasan pengunjung mandi, selain memantau pengusaha yang menjalankan perkhidmatan tanpa insurans dan pemandu bot tiada lesen.
Harian Metro semalam melaporkan, pemandu bot yang melanggar Muhamad Hidayat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini dan mengaku bersalah.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

‘Tumpah darah’


Kota Kinabalu: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan tidak sempat merasai dakapan ibu kandungnya apabila wanita itu maut dipercayai akibat ‘tumpah darah’ di sebuah rumah di Kampung Bukit Nenas, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa dikenali sebagai Aminah Ayuan, 30, dipercayai melahirkan sendiri bayinya, manakala suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Ibu malang itu dipercayai mengalami kompilasi sejurus selepas melahirkan bayi sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Kejadian disedari jirannya yang mengesyaki berlaku perkara buruk selepas terdengar jeritan ibu malang itu lalu menghubungi ambulans untuk meminta bantuan.

Bagaimanapun, ketika menanti kehadiran ambulans, wanita terbabit meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah ketika bersalin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra mengesahkan kejadian dan mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.
Foto
ANGGOTA polis menyiasat di lokasi kejadian wanita maut selepas melahirkan anak di Kampung Bukit Nenas, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

‘Lesap begitu sahaja’


Kuala Lumpur: Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ketika bermain bersama rakan-rakannya berhampiran flat Taman Sri Batu Caves, sejak Jumaat lalu terus menjadi misteri.
Mangsa, Muhammad Syarif Syamil didakwa lesap begitu sahaja dan tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain pada jam 11 pagi.
Kehilangan mangsa hanya disedari ibunya selepas Muhammad itu tidak balik ke rumah sehingga waktu petang.
Bapa mangsa Muhammad Fitri Peter Abdullah, 32, berkata, ada jiran mendakwa ternampak anaknya itu bermain di taman permainan di Batu Caves pada hari kehilangannya.
Katanya, Muhammad dilihat keluar dari rumah memakai baju-T berwarna putih dan berseluar panjang gelap.
“Sehingga kini tiada sesiapa pun tahu di mana anak saya berada.
Semua rakannya yang tinggal di kawasan perumahan juga pelik dengan kehilangannya.
“Kami sekeluarga merayu sesiapa yang mengetahui di mana Muhammad berada supaya memberi maklumat,” katanya.
Menurutnya, dia bimbang keselamatan anaknya itu berikutan Muhammad masih kecil dan pastinya tidak akan pergi jauh dari kawasan rumah.
Dia mendakwa sudah puas mencari anaknya itu di sekitar Gombak dan ibu kota, namun gagal menemui anaknya itu.
“Malah, dia tidak membawa wang ketika keluar bermain.

Kehilangannya cukup membingungkan kami.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi saya di talian 012-9701759, 0102009255 atau 1086650964 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Foto
MUHAMMAD Syarif hilang ketika bermain di flat Taman Sri Batu Caves.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Taktik pasang mangga di luar


Alor Setar: Helah sepasang kekasih mengunci mangga di luar pintu bilik sebuah rumah tumpangan yang mereka sewa untuk mengaburi pihak berkuasa gagal apabila mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat, malam kelmarin.
Selain itu, mereka dikatakan turut menyembunyikan motosikal dalam bilik berkenaan untuk mengelak daripada diketahui sesiapa memandangkan rumah tumpangan itu terletak di kawasan perumahan.
Dalam serbuan jam 11.30 malam, pasangan berusia 22 dan 24 tahun yang menetap di Pendang itu memberi alasan datang ke situ untuk berbincang soal perkahwinan ketika disoal siasat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
Difahamkan, rumah tumpangan itu menjadi ‘port’ pasangan kekasih untuk bermalam di situ disebabkan pemiliknya mengubah suai setiap bilik dengan memasang pintu jeriji besi seolah-olah seperti penjara dan turut memasang mangga pintu di bahagian luar kononnya tiada penyewa.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang JAIK Syeikh Mohd Rosyidi Mahmud berkata, sepasukan anggotanya mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek tanpa baju.
Beliau berkata, mulanya lelaki itu memberi alasan hanya berseorangan dalam bilik itu tetapi terkantoi apabila ternampak kelibat seorang wanita yang berpakaian lengkap melarikan diri ke bilik air.
“Hasil soal siasat, lelaki berstatus suami orang yang mempunyai seorang anak itu gagal menunjukkan dokumen membuktikan dia dan janda muda adalah suami isteri atau mempunyai hubungan mahram.
“Wanita itu memberi alasan mereka sudah lama kenal tetapi cuma rapat sejak beberapa bulan lalu walaupun tahu lelaki itu sudah beristeri.
“Berikutan itu, kita menahan mereka kerana disyaki bersekedudukan sehingga menimbulkan syak kepada orang ramai,” katanya.
Mohd Rosyidi berkata, operasi sempena sambutan Hari Malaysia itu dilakukan untuk membanteras kegiatan maksiat di sekitar hotel bajet dan rumah tumpangan di sekitar bandar raya ini.
“Dalam operasi itu seramai tiga pasangan termasuk dua daripadanya pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dicekup di dua lokasi berasingan.
“Kebanyakan mereka memberi alasan datang ke hotel murah itu hanya untuk berbincang soal kahwin dan datang untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi semua alasan yang diberikan tidak masuk akal dan hanya untuk melepaskan diri.
“Lebih mengecewakan apabila seorang pelajar IPT berusia 18 tahun yang ditahan itu masih belajar di semester satu tetapi sanggup menyewa hotel bersama pasangannya disebabkan jauh dari keluarga, ” katanya.
Mohd Rosyidi berkata, semua mereka berusia 18 hingga 24 tahun yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Justeru, saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing kerana kebanyakan pasangan yang ditahan sebelum ini berkenalan melalui laman sosial Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan WeChat sebelum menyewa hotel untuk melakukan maksiat,” katanya.
Foto
PASANGAN kekasih disoal siasat oleh pegawai JAIK.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Lengkap berpakaian


Kuala Lumpur: Penemuan mayat seorang bayi lelaki berhampiran Taman Wilayah Jinjang menimbulkan tanda tanya apabila mangsa lengkap berpakaian, termasuk dipakaikan sarung tangan dan kaki.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, mayat bayi itu dibuang individu tidak bertanggungjawab di tepi longkang berhampiran sebuah stesen minyak.
Mayat bayi cukup sifat itu turut dipakaikan baju dan seluar berwarna merah jambu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mayat bayi itu ditemui pekerja memotong rumput sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada anggota polis yang kebetulan melalui kawasan itu.
Foto
MAYAT bayi yang ditemui.

“Mayat bayi itu tersangkut pada batu di tengah longkang. Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung bayi itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Makan otak kekasih


Joseph Oberhansley (L) allegedly murdered, then ate parts of Tammy Jo Blanton (R)Jeffersonville (Amerika Syarikat): Seorang lelaki yang pernah didapati bersalah kerana membunuh dan dibebaskan dengan ikat jamin, memecah masuk rumah teman wanitanya, membunuhnya sebelum memasak jantung, paru-paru dan otak mangsa.

Joseph Oberhansley, 33, didakwa melakukan kekejaman itu selepas memasuki rumah teman wanitanya, Tammy Jo Blanton, 46, di Jeffersonville, Indiana, Khamis lalu.


Polis menemui mayat Tammy di bilik mandi dengan kecederaan teruk di kepala, leher dan perut.



Menurut kenyataan polis, mereka menemui pinggan berlumuran darah dan tulang serta peralatan memasak juga dipenuhi darah.


Tammy dilapor menelefon polis jam 3 pagi, 11 September lalu dengan mengadu Oberhansley, 33, cuba memasuki rumahnya. Polis mengusir lelaki itu, tetapi mereka kembali semula ke rumah berkenaan jam 10 pagi atas desakan rakan sekerja Tammy. Mereka kemudian menemui mayat mangsa di dalam tab mandi dengan sebahagian tempurung kepalanya pecah. Menurut laporan tangkapan, Oberhansley mengaku memasak sebahagian otak kekasihnya dan memakannya.


Bagaimanapun, ketika dihadapkan ke mahkamah semalam, Oberhansley mendakwa dia tidak melakukan kekejaman itu.

Dia memberitahu hakim mahkamah Clark County: “Anda silap orang.” Dia dituduh membunuh, melakukan kekejaman terhadap mayat dan menceroboh, tetapi menafikan semuanya.


Oberhansley mempunyai sejarah jenayah sejak 2000 lagi apabila didapati bersalah membunuh tanpa niat dan cuba membunuh teman wanitanya ketika itu, Sabrine Elder, 17, dan mencederakan ibunya.

Hanya beberapa hari sebelum pembunuhan itu, Sabrine melahirkan anak Oberhansley.


Dia dibebaskan pada 2012, tetapi pada 2013 dia didapati bersalah mencekik seorang lelaki di sebuah bar. Dia dibebaskan dengan ikat jamin dua minggu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Tak sempat sampai rumah


Kejadian berlaku apabila pemandu itu, Ping Ch’ang, 27, membelok keluar dari garaj kedai berkenaan untuk pulang. Dia tertekan pedal minyak dan merempuh deretan kereta di lampu isyarat.

“Dia cuba menukar lorong tanpa memberi isyarat dan tertekan pedal minyak menyebabkan keretanya meluncur laju dan melanggar kereta di depan,” kata seorang saksi.
Jurujual Porsche, Qiang Chiu berkata: “Kami masih melambai ke arahnya apabila dia menekan minyak dan melanggar kereta lain. “Kami meluru ke tempat kejadian. Pemandunya selamat, tetapi keretanya teruk. Kami sudah mengingatkan dia kereta itu memang laju.” Ping mungkin perlu berbelanja RM300,000 lagi untuk kereta Porsche Boxster putih itu dan empat kereta lain yang dilanggarnya.

Jurucakap polis berkata, wanita itu perlu bertanggungjawab terhadap kemalangan itu memandangkan kereta lain semua berhenti ketika kejadian. -Agensi
Foto
KERETA Porsche Boxster yang baru dibeli Ping rosak teruk akibat kemalangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Kereta Exco Perlis disimbah cat


KEADAAN kereta milik Mat Hassan yang disimbah cat merah di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, Perlis semalam.


KANGAR – Dua buah kereta milik Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mat Hassan disimbah dengan cat merah di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis di sini pagi semalam.
Mat Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, kejadian itu hanya disedari oleh isterinya yang keluar dari dalam rumah untuk menutup lampu pagar depan kediaman mereka pada pukul 6.30 pagi semalam.
“Sebaik sahaja keluar, isteri saya mendapati kereta jenis Honda Accord untuk kegunaan Exco telah disimbah dengan cat berwarna merah yang mengenai bonet dan cermin depan kenderaan itu.
“Selain itu, kenderaan jenis Naza Citra milik saya turut terkena percikan cat itu pada bahagian pintu kiri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3DWXKu9Z0 
Hakcipta terpelihara 

Misteri bau busuk terungkai


JELI - Misteri bau busuk yang mengganggu jiran di Kampung Bukit Jering, Kuala Balah di sini terungkai apabila mayat seorang tauke balak ditemui di rumah sewanya kelmarin.
Mayat Ong Cheng Chin, 65, ditemui pada pukul 3 petang oleh anak pemilik rumah tersebut, Rosli Abdul Gani, 35.
Rosli pergi ke rumah itu selepas beberapa jiran mengadu mereka sudah tidak tahan dengan bau busuk dari rumah tersebut.
Mangsa yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu dijumpai dalam keadaan tangan dan kaki terikat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3DWXBMuZx 
Hakcipta terpelihara 

10 minit larikan RM50,000



RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek sedang merompak sebuah kedai emas di Kota Sentosa, Kuching, Sarawak kelmarin.


KUCHING - Seorang lelaki bersenjatakan pistol jenis revolver melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM50,000 dalam rompakan nekad di sebuah kedai emas di Kota Sentosa di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.04 petang itu, suspek berjaya melarikan 17 utas rantai emas selepas mengacukan senjata tersebut ke arah seorang pekerja wanita di kedai emas terbabit dan mengugutnya.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Pauzi Bujang berkata, suspek terbabit dikatakan hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk melakukan rompakan itu.
Menurutnya, kedai emas berkenaan tidak menggaji pengawal keselamatan namun terdapat tiga pekerja wanita yang bekerja di situ ketika kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3DWWjQdJI 
Hakcipta terpelihara 

Mayat dibuang di ladang kelapa sawit



ANGGOTA polis menutup mayat seorang lelaki (dalam bulatan) yang ditemui mati dibunuh di sebuah ladang sawit, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah semalam


SUNGAI PETANI - Seorang penternak lembu yang sedang memberi haiwan ternakannya makan terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Padang Buluh, Jalan Kuala Ketil di sini semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, tiada sebarang dokumen diri ditemui pada mangsa.
Timbalan Ketua Polis daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd. Sabri Mohamad berkata, sepasukan anggota polis telah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat maklumat daripada orang awam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3DWWaWmYw 
Hakcipta terpelihara 

Jurutera dari Terengganu direman


KUALA LUMPUR – Seorang jurutera lelaki ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi subjek Sains dan Bahasa Inggeris selepas polis mendapat kebenaran mahkamah.
Perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Raihan Mohd. Harris di Lokap Berpusat Jinjang di sini menjadikan jumlah yang ditahan reman kepada lima individu termasuk seorang guru besar di sebuah sekolah di Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Jurutera yang berusia 34 tahun itu ditangkap di Kemaman, Terengganu dekat sini kelmarin dan dibawa menaiki kenderaan polis ke lokap berpusat berkenaan bagi mendapatkan perintah reman.
Mohd. Raihan mengeluarkan perintah reman terhadap jurutera itu sehingga Jumaat ini berdasarkan peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3DWW7iGEx 
Hakcipta terpelihara 

Sedih lihat keadaan jenazah anak


TEMERLOH 16 Sept. - Kerana sayang, Mohd. Ridzuan Ahmad Zubir, 37, yang bekerja sebagai pengurus jenama sebuah syarikat di Pulau Pinang nekad berhenti kerja dua tahun lalu bagi memberi tumpuan menjaga anaknya yang hiperaktif.
Bagi menanggung kos perubatan anaknya, Mohamad Khairiel Haqimie Mohd. Ridzuan, 12, yang tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU) itu, dia juga menjual rumah dan keretanya untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Sungai Rabit di sini.
Mohd. Redzuan juga mengambil keputusan untuk bekerja menjual burger pada waktu malam supaya dapat menjaga anaknya pada sebelah siang.
Namun kebakaran yang mengorbankan Mohamad Khairiel Haqimie di Kampung Sungai Ratib semalam begitu meruntun hatinya apatah lagi melihat pengakhiran hidup anak kesayangannya itu dalam keadaan sedemikian rupa.
"Dia hiperaktif dan tidak boleh bercakap serta amat rapat dengan saya dan kami selalu menghabiskan masa bersama sehinggalah dia tidur.
"Kehilangannya amat terasa dan saya terlalu sedih apabila melihat keadaan jenazahnya," katanya sambil menitiskan air mata.
Kata Mohd. Ridzuan, anaknya yang belajar di Sekolah Pendidikan Khas berhampiran perlu dijaga secara berterusan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, dia menguruskan rutin harian anaknya termasuk memandikannya dan memberi ubat penenang pada waktu petang sebelum anaknya tidur.
"Sebelum kejadian, seperti biasa saya memandikan Mohamad Khairiel Haqimie dan memberinya makan ubat penenang sebelum pergi ke bandar Temerloh untuk membuka gerai burger.
"Seakan memberikan petanda, arwah yang biasanya aktif ketika mandi hanya diam sahaja dan tidak melompat-lompat seperti biasa. Kemudian dia terus tidur," katanya.
Dalam pada itu, datuk mangsa, Ahmad Zubir Osman berkata, kehilangan Mohamad Khairiel yang begitu rapat dengannya amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga.
"Saya amat terkejut dengan kejadian ini. Kami telah menempah baju Melayu untuknya sempena majlis perkahwinan ibu saudaranya pada 12 Oktober nanti," katanya.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pada masa ini pihak bomba masih giat menyiasat punca sebenar kejadian dan kerugian akibat kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_04/Sedih-lihat-keadaan-jenazah-anak#ixzz3DWSVtUim
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita meninggal dunia semasa bersalin


KOTA KINABALU 16 Sept. - Tinggal bersendirian dan meninggal dunia ketika melahirkan bayi perempuan.
Demikian nasib yang menimpa seorang wanita di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Nenas dekat sini ketika ditemui jiran yang juga salah seorang ahli keluarganya selepas terdengar jeritan mangsa kira-kira pukul 10 pagi ini.
Ibu malang yang dikenali sebagai Aminah Ayuan itu dipercayai mengalami komplikasi sewaktu melahirkan bayi sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Walau bagaimanapun, bayi perempuannya dilaporkan selamat dan dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, wanita terbabit tinggal bersendirian ekoran suaminya keluar bekerja sebagai buruh binaan.
"Salah seorang ahli keluarganya telah pergi ke rumah wanita itu sebelum mendapati mangsa terbaring dalam keadaan tidak bermaya di sebelah bayi perempuannya.
"Melihat keadaan itu, ahli keluarganya meminta pertolongan jiran lain untuk menghubungi ambulans," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Chandra, wanita tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia sejurus ambulans tiba kira-kira pukul 10.44 pagi.
Tambahnya, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut dan mayat wanita itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_05/Wanita-meninggal-dunia-semasa-bersalin#ixzz3DWSMMHc9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bapa tekad teruskan kes ke mahkamah


SEREMBAN 16 Sept. - "Saya akan teruskan kes ini di mahkamah biarpun anak sulung saya telah meninggal dunia kerana ini adalah pengajaran buat pengusaha itu agar mementingkan aspek keselamatan."
Itu kata Lans Koperal Ramlan Pardi, 50, selepas anak sulungnya, Muhamad Hidayat Ramlan, 23, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar di sini pagi ini.
Muhamad Hidayat meninggal dunia kira-kira pukul 5.40 pagi selepas tujuh hari koma di hospital itu akibat kegagalan fungsi paru-paru selepas dilanggar 'banana boat' di Pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 7 September lalu.
Ramlan yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, Kuala Lumpur berkata, tindakan mahkamah ke atas pengusaha bot itu pada masa yang sama memberikan kesedaran kepada pengusaha lain agar insiden ini tidak berlaku kepada orang lain.
"Ini soal keselamatan, tidak bolehlah ambil ringan kerana melibatkan nyawa orang. Saya difahamkan oleh pengusaha bot itu sudah ada kes lemas dua minggu lalu akibat perkara yang sama.
"Ini bukan untuk saya tapi untuk kepentingan umum, mereka tidak ada lesen membawa bot tak ada aspek keselamatan. Jadi kalau berlaku sesuatu hal awam siapa nak salahkan?," katanya ketika ditemui di Unit Forensik hospital.
Ramlan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima oleh pegawai perubatan hospital berkenaan, anaknya meninggal dunia ekoran paru-paru kanannya dipenuhi air.
Semalam pemandu 'banana bot' berkenaan Mohd. Amirol Yasli, 21, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini atas pertuduhan memandu bot secara cuai sehingga mendatangkan kecederaan parah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Supritendan Zulkifli Adamsah berkata, siasatan terhadap pemandu bot terbabit akan disemak semula berikutan kematian mangsa.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari, 7 September lalu, Muhamad Hidayat yang mandi di pantai terbabit mengalami kecederaan pada rusuk kiri, kepala dan tangan apabila dilanggar bot itu.
Jenazah Muhamad Hidayat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas dibawa pulang di Kuarters Perumahan Polis, Desa Baiduri, Kuala Lumpur.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140917/je_06/Bapa-tekad-teruskan-kes-ke-mahkamah#ixzz3DWRv1M8l
© Utusan Melayu (M) Bhd