Search This Blog

Tuesday, September 16, 2014

Murid tahun enam maut, abang cedera parah nahas


16 September 2014


SRI AMAN - Seorang murid lelaki Tahun Enam maut sementara abangnya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki terbabit dalam nahas jalan raya di Simpang Klinik Lingga di sini semalam.

Abang Muhammad Zairul Ikhmal Abang Shamsurie, 12, meninggal dunia beberapa jam selepas menerima rawatan di Hospital Sri Aman manakala Abang Amirul Muqmin Abang Shamsurie, 15, cedera parah dan dirawat di hospital sama.

Abang Muhammad Zairul Ikhmal merupakan murid Sekolah Kebangsaan Semarang manakala Abang Amirul Muqmin belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman.

Menurut sumber, motosikal yang ditunggang Abang Amirul Muqmin dilanggar sebuah lori ketika keluar dari simpang jalan.

Sumber itu berkata lori terbabit dari arah pasar Lingga menuju Sri Aman apabila motosikal dinaiki kedua-dua mangsa keluar dari simpang jalan.

Dua beradik itu dipercayai dalam perjalanan dari pasar Lingga ke rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Bernama

Sempat lawat sekolah pondok sebelum meninggal


ZAIMATULJUWITA ABDULLAH
16 September 2014

BACHOK – Seorang wanita warga emas sempat menunaikan hajat terakhirnya untuk melawat Pondok Pasir Tumbuh (Madrasah Ad- Diniah Al Bakriah) di sini sebelum ajal menjemputnya akibat terkena libasan dahan pokok tumbang di Pantai Irama, Bachok petang semalam.

Dalam kejadian itu, Habsah Ismail, 95, meninggal dunia di tempat kejadian kira- kira jam 5 petang.

Anaknya, Safian Abdul Rahman, 50, berkata, ketika kejadian, dia bersama ibunya, isteri, Normala Bujang,45, anaknya, Badrul Hafiz,12, sedang menikmati pemandangan bersama ramai pengunjung lain di pesisir pantai itu.

“Ketika itu tiada hujan cuma angin agak kuat. Kami duduk berehat tepi pantai dan ibu duduk di kerusi yang saya bawa dari rumah.

"Tiba- tiba angin bertiup menyebabkan pokok kelapa di belakang kami tumbang dan menghempap dahan pokok rhu.

“Hujung dahan pokok rhu itu terkena bahagian belakang ibu menyebabkan Allahyarham tersembam.

"Kepalanya terkena pada batu yang ditambak di pesisir pantai,” katanya kepada Sinar Harian.

UPSR: Giliran jurutera pula direman

UPSR Bocor
UPSR Bocor
KEPONG - Seorang jurutera berusia 34 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Mohd Rehan Mohd Aris di Lokap Bersepadu, Jinjang, dekat sini bermula hari ini hingga 19 September.

Lelaki yang ditahan polis di Kemaman, Terengganu itu disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

ARTIKEL BERKAITAN: [ UPSR bocor: Jurutera ditahan di Kemaman ]

Seksyen 8 (1) OSA menetapkan jika seseorang yang ada dalam miliknya atau kawalannya sesuatu rahsia rasmi atau sesuatu perkataan kod, isyarat timbal atau kata laluan rasmi yang rahsia dan berhubungan dengan atau digunakan dengan apa-apa jua di sesuatu tempat, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun.

Sinar Harian hari ini melaporkan, empat individu termasuk seorang guru besar turut direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Sebelum ini pada 10 September lepas, Lembaga Peperiksaan (LPM), Kementerian Pendidikan mengumumkan kertas Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang dijadualkan keesokan harinya didapati bocor dan peperiksaannya ditangguhkan.

Selain Sains, kertas peperiksaan bahasa Inggeris juga didapati bocor.

Seramai 473,175 calon menduduki UPSR yang dijadualkan bermula pada 9 sehingga 11 September lalu.

Berikutan itu, LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Perhilitan rampas empat ular, iguana di Melaka


16 September 2014


MELAKA - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas lima ekor haiwan yang disimpan tanpa permit khas dan lesen di sebuah rumah, di Taman Melaka Baru di sini, semalam.
 
Pengarah Perhilitan Melaka Noorzakiahanum Mohd Noh berkata rampasan dilakukan sepasukan unit penguatkuasa berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai kira-kira 3.30 petang.
 
Beliau berkata haiwan yang dirampas ialah seekor ular spesis Ball Python, ular Sawa Batik, ular Sawa Batik Albino, ular spesis Copper Head Racer dan seekor iguana.
 
"Kita masih menyiasat sama ada haiwan ini dijadikan peliharaan atau untuk dijual," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Noorzakiahanum berkata hasil pemeriksaan, pemilik rumah tersebut gagal mengemukakan dokumen sah bagi setiap hidupan liar berkenaan.
 
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Remaja OKU dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Kalong


16 September 2014

KEMAMAN - Keghairahan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) untuk mandi di pantai sempena musim cuti sekolah berakhir dengan tragedi, apabila dia dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Kalong di sini semalam.
 
Che Ku Mohd Fadzli Che Ku Mohd Yasin, 14, dipercayai dihanyutkan ombak ketika berkelah di pantai bersama ibu dan lima adik-beradiknya, kira-kira 6 petang.
 
Menurut ibunya Khalijah Omar, 43, sebaik tiba, anaknya terus turun mandi seorang diri sambil dia mengawasinya dari tepi pantai.
 
Beliau berkata pada satu ketika, beliau meminta anaknya supaya berenag ke pantai apabila mendapati anaknya berada terlalu jauh dari pantai.
 
"Dia yang mandi menggunakan pelampung dilihat menghadapi masalah untuk berenang semula ke tepi pantai sebab dibawa arus. Saya menjerit mengarahkan anak sulung saya untuk turun ke pantai menyelamatkan adiknya yang semakin hanyut.

"Saya nampak dia dapat pegang tangan adiknya, tetapi dia juga turut hanyut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Khalijah berkata, jeritannya kepada anak sulungnya untuk menolong adiknya mendapat perhatian orang ramai yang turut turun ke laut dengan bot nelayan dan hanya sempat menyelamatkan anak sulungnya.
 
Penguasa Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahya Hanafi berkata pihaknya sedang mengesan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal yang hilang itu.  - Bernama

Palsukan dokumen: Bekas ahli MPK dijel

kes mahkamah
SHAH ALAM - Seorang bekas ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan memalsukan dokumen dan resolusi perletakan jawatan pengarah syarikat, sembilan tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya membuat keputusan itu terhadap S Sandiranshegran, 59 selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

Berdasarkan pertuduhan, Sandiranshegran didakwa memalsukan resolusi bagi membuka dan menutup akaun syarikat Venus Polymers Sdn Bhd.

Perbuatan itu dilakukan di Alliance Bank Berhad, Cawangan Taman Sri Muda, dekat sini, antara 21 Jun hingga 24 Oktober 2005.

Selain itu, dia juga menghadapi tuduhan memalsukan resolusi perletakan jawatan pengarah syarikat itu, D Ramaswaree dan borang pindah saham.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di no 16, Lorong Cengkeh, off Jalan Kim Chuan, Pelabuhan Klang, pada 3 Mei 2005.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi bersama  Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd Azies Han Mohd Fadzil Azies Han dan Nik Zunaidi Zakaria.

Sandiranshegran menerusi peguamnya, DP Vijendran memohon penangguhan perlaksanaan hukuman atas alasan akan memfailkan rayuan.

Slamat membenarkan permohonan tersebut dengan dengan jaminan dinaikan dari RM68,000 kepada RM98,000 dengan seorang penjamin.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan 3 saksi pembelaan  dipanggil memberikan keterangan sepanjang 7 tahun 7 bulan perbicaraan berlangsung.

14 Pati warga Filipina ditahan


16 September 2014

SANDAKAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Sandakan (DM17) menggagalkan cubaan 14 pendatang asing tanpa izin warga
Filipina untuk masuk ke daerah ini menggunakan sebuah bot pancung dan sebuah bot pam di perairan Pulau Nunuyan Laut dekat sini semalam.

Pengarah Operasi DM17, Leftenan Komander Maritim Mohamed Yusoff Mohamed Ali berkata, kedua-dua bot tersebut dikesan bot laju DM17 semasa melakukan rondaan dalam Ops Pluto Timur.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut mendapati terdapat 14 warganegara Filipina termasuk seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya kesemua mereka berumur dalam lingkungan tujuh hingga 35 tahun.

Katanya mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. - Bernama

Remaja koma dilanggar bot meninggal pagi tadi


16 September 2014


SEREMBAN - Remaja yang cedera parah akibat dilanggar bot di pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 7 September lepas, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini pagi tadi.

Menurut bapanya Ramlan Pardi, 50, anaknya Muhamad Hidayat, 23, meninggal dunia pada pukul 5.40 ketika menerima rawatan akibat paru-parunya gagal berfungsi.

"Akibat kejadian itu, anak saya patah rusuk kiri dan mengalami kecederaan dalaman pada paru-parunya hingga menyebabkan dia koma selama seminggu dan meninggal dunia pagi ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata jenazah anaknya akan dibawa ke rumahnya di Kuarters Perumahan Polis Desa Baiduri, Cheras untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas solat zohor.

Dalam kejadian tengah hari itu, Muhamad Hidayat yang sedang mandi di pantai dilanggar bot yang menarik 'bot pisang'.  

Semalam pemandu bot pisang itu Mohd Amirol Yasli, 21, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengendalikan bot dengan cuai sehingga menyebabkan kecederaan pengunjung pantai.

Dia dikenakan jaminan sebanyak RM2,500 sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan kes disebut semula pada 16 Oktober.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Zulkifli Adamsah berkata siasatan terhadap pemandu bot terbabit akan diklasifikasi semula berikutan kematian mangsa. - Bernama

Syabu disembunyi dalam barang elektrik

Noor Rashid (kanan) menunjukkan mesin urut kaki yang digunakan untuk menyorokkan dadah di Bukit Aman, semalam.
Noor Rashid (kanan) menunjukkan mesin urut kaki yang digunakan untuk menyorokkan dadah di Bukit Aman, semalam.
KUALA LUMPUR - Sindiket dadah sanggup melakukan apa sahaja untuk menyeludup masuk bahan terlarang itu ke negara ini.

Ini termasuk menggunakan syarikat kurier melalui penghantaran barang elektrik berupa mesin pengurut kaki dan pemanas air.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid berkata, ini kali pertama pihaknya mengesan kaedah berkenaan digunakan untuk menyeludup masuk dadah.

“Kedua-dua kaedah ini dikesan selepas JSJN menyerbu (premis) dua syarikat perkhidmatan kurier di Subang Jaya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan Rabu dan Khamis lalu, pihaknya berjaya merampas lima bungkusan kargo udara. Syabu berkenaan disembunyikan dalam dua buah jenis mesin berkenaan.

"Setiap satu peralatan itu mengandungi syabu yang dibungkus dengan kertas aluminium masing-masing seberat 1.27 kilogram dan 4.06 kilogram, tiada suspek yang ditahan," katanya.

Beliau percaya, sindiket berkenaan menyeludup dadah itu dari China dan Hong Kong.

Menurutnya, dari 8 September hingga 13 September, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga lagi kes membabitkan cubaan menyeludup syabu  membabitkan beberapa pusat perkhidmatan kurier dan satu kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Jumlah keseluruhan syabu seberat 22 kilogram dianggarkan bernilai RM5 juta,” katanya.

Kata Noor Rashid, polis akan menjalinkan kerjasama rapat dengan syarikat perkhidmatan kurier di negara ini bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah.

Pemuda maut nahas motosikal


  • Pemuda berusia 22 tahun itu mati di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang terjatuh sendiri sebelum bertembung kenderaan dari arah bertentangan.Pemuda berusia 22 tahun itu mati di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang terjatuh sendiri sebelum bertembung kenderaan dari arah bertentangan.

MARAN - Seorang pemuda Orang Asli maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Maran-Jerantut, kira-kira jam 6 petang, semalam.

Mangsa, Sham Dollah, 22, yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Bangkong, Jerantut mati di tempat kejadian akibat parah di  dada.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC secara sendirian dalam perjalanan pulang dari arah Maran ke Jerantut.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian berdekatan kawasan rekreasi Lubuk Ujed itu, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terjatuh sendiri ketika menuruni satu selekoh ke kiri di laluan berkenaan.

“Motosikal yang terjatuh memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa yang dipercayai menunggang tanpa lesen memandu dan tidak memakai topi keledar mengalami kecederaan parah di bahagian dada.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Sulaiman berkata, pemandu kereta jenis Proton Wira berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Padah rompak peniaga kedai runcit


  • Tertuduh (kanan) dibawa keluar oleh anggota penjara yang mengiringinya untuk dihantar menjalani hukuman.Tertuduh (kanan) dibawa keluar oleh anggota penjara yang mengiringinya untuk dihantar menjalani hukuman.

KOTA BHARU - Seorang lelaki dihukum penjara enam tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan merompak seorang peniaga kedai runcit, di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Annur Shazwan Marzuki mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Tertuduh mengaku didakwa pada pertuduhan pilihan bersama tiga lagi yang masih bebas melakukan rompakan terhadap harta Siti Khuzauni Arefin, 31, di sebuah kedai runcit di Cabang Tiga Kepas, Machang, pada jam 8.40 malam, 9 Disember tahun lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh mengambil sebuah telefon bimbit, dompet mengandungi kad pengenalan, dua Kad Transaksi Automatik, seutas rantai leher emas, seutas rantai tangan emas dan sejumlah wang tunai.

Pada prosiding itu, peguam, Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman merayu hukuman dikurangkan dengan alasan tertuduh telah insaf, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat.

“Tertuduh melakukan jenayah serius dan mohon pertimbangan supaya mahkamah mengambil kira kepentingan awam," katanya.

Bunuh suami: Diperintah jalani ujian mental


  • Nisalma (kiri) diperintah jalani ujian mental selama sebulan.Nisalma (kiri) diperintah jalani ujian mental selama sebulan.

KOTA BHARU - Seorang pemilik kedai perabot diperintah menjalani ujian mental selepas dituduh atas dakwaan membunuh suaminya, di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Perintah dikeluarkan Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Nisalma Saat, 37, selepas permohonan itu dibuat peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal, bagi pihak tertuduh.

Nisalma didakwa membunuh Mohd Zamany Md Eusope, 38, di sebuah kedai perabot di Kampung Chicha, Jalan Hospital Kubang Kerian, Kubang Kerian, di sini pada jam 9.45 malam, 3 September lalu.

Dakwaan terhadap Nisalma dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bersama Nisalma, seorang pembantu rumah warga Indonesia, Ratu Nahtriah, 26, pula didakwa melindungi tertuduh dengan bertindak membuang pisau digunakan dalam pembunuhan itu, antara jam 9.45 dan 11 malam, tarikh sama.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Oktober depan. Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Terdahulu, Ahmad Zaidi membuat permohonan supaya anak guamnya itu dihantar menjalani ujian mental dan dipersetujui pihak pendakwaan serta mahkamah.

Nik Habri mengarahkan tertuduh menjalani ujian tersebut selama sebulan atau bergantung pada tempoh sehingga laporan terhadap kesihatan mentalnya siap.

Sementara, amah tersebut pula tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan bukan warganegara Malaysia dan ditahan sehingga kes disebut semula, pada tarikh sama.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, taktik seorang pemilik kedai perabot menyembunyikan pembunuhan suaminya terbongkar selepas bedah siasat pihak hospital mendapati ada kesan tikaman sepanjang 14.5 sentimeter pada bahagian kiri dada mangsa dan kesan koyakan di dagu si mati, juga dipercayai kesan tusukan benda tajam.

Tercampak tengah jalan


  • Keadaan kereta dipandu Mohd Aliff Farhan yang terbalik selepas terbabas dan merempuh stor barang, semalam. Gambar kecil: RodiyahKeadaan kereta dipandu Mohd Aliff Farhan yang terbalik selepas terbabas dan merempuh stor barang, semalam. Gambar kecil: Rodiyah

RANTAU PANJANG – Seorang wanita maut, sementara suami dan anaknya yang berusia setahun sembilan bulan, cedera selepas kereta dinaiki terbabas, lalu merempuh stor barang di Kampung Lubok Gong, jam 8.45 pagi, semalam.

Rodiyah Baka, 23, yang juga warga Thailand, mengalami kecederaan di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian. Mohd Aliff Farhan Mohd Marzuki, 27, pula mengalami kecederaan ringan.

Anak tunggal pasangan suami isteri itu, Qaseh Alya tercampak ke tengah jalan, mengalami sesak nafas dan mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke rumah keluarga Rodiyah  dekat Kampung Banggol Seraya, Sungai Golok, Thailand.

Saksi kejadian, Adam Zainuddin, 31, berkata, kereta jenis Honda Jazz itu dipercayai hilang kawalan selepas salah satu tayar kereta pecah.

“Risau anak kecil ini dilanggar kenderaan dari belakang, saya terus mengambilnya dan membawanya ke tempat selamat.

“Ketika itu, saya lihat bapa kanak-kanak malang ini sedang mengajar isterinya mengucap syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

"Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Temui dua mayat ada kesan kelar


  • Anggota polis mengangkat mayat salah seorang mangsa.Anggota polis mengangkat mayat salah seorang mangsa.

BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui mati dalam ladang kelapa sawit di Kampung Manggis Permatang Tinggi di sini pagi semalam.

Mayat kedua-dua lelaki berkenaan ditemui kira-kira jam 8.40 pagi oleh seorang kontraktor yang melalui kawasan berkenaan.

Menurut sumber, mayat salah seorang mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah manakala seorang lagi ditemui tidak jauh dari lokasi mayat pertama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, sebaik menerima laporan berkenaan sepasukan polis diarahkan ke kawasan kejadian untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan polis menemui mayat kedua kira-kira 10 meter dari mayat pertama dalam keadaan terlentang.

“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mangsa berusia sekitar 30-an merupakan warga Myanmar dan mereka dipercayai dibunuh di tempat lain beberapa jam lalu sebelum dibuang di sini.

“Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati ada kesan kelar pada leher dan bahagian pinggang kedua-dua mangsa selain terdapat beberapa kesan tikaman,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mazlan berkata, pemeriksaan yang dibuat di sekitar kawasan kejadian tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh kedua-dua suspek.

Beliau berkata, salah seorang mangsa bekerja di sebuah kilang di Cherok Tokkun manakala identiti seorang lagi tidak dapat dipastikan.

Katanya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Sementara itu, Mazlan berkata, pihak polis akan menubuhkan pasukan khas bagi memantau kes jenayah melibatkan warga Myanmar di daerah ini yang semakin berleluasa.

Menurutnya, terdapat 33 kes bunuh dengan 24 daripadanya melibatkan warga Myanmar berlaku sepanjang tahun ini.

“Kebanyakan kes yang melibatkan warga Myanmar berlaku di kawasan Seberang Perai Tengah.

“Kita akan bekerjasama dengan majikan yang mengambil pekerja kalangan warga Myanmar dan akan mengenal pasti apakah masalah yang dihadapi oleh mereka sehingga berlaku pergaduhan yang membawa kepada pembunuhan,” katanya.

Suami tamak ugut bunuh isteri

Zarena menunjukkan salinan sijil kelahiran anak lelakinya dan gambar kanak-kanak itu yang kini ditahan oleh keluarga suaminya di Pakistan.
Zarena menunjukkan salinan sijil kelahiran anak lelakinya dan gambar kanak-kanak itu yang kini ditahan oleh keluarga suaminya di Pakistan.
IPOH – Seorang kerani mendakwa diugut bunuh oleh suaminya dan dipaksa menyerahkan kesemua hartanya sekiranya mahu anak lelaki yang kini berada di Pakistan kembali ke pangkuannya.

Zarena Bibi Omar Din, 38, berkata, suaminya yang merupakan warga Amerika Syarikat kelahiran Pakistan memberitahu sanggup membunuh anak mereka, Ziad Mohammad Talib, 9, sekiranya kereta dan rumah mereka di Tambun tidak diserahkan kepada lelaki itu.

Menurutnya, dia terpisah dengan anak lelakinya setelah dikurung di rumah suaminya itu ketika berkunjung ke Mansehra, Pakistan pada 2 Februari lalu selepas 10 tahun berkahwin.

“Ketika di Pakistan, saya diugut bunuh setiap hari sekiranya enggan menyerahkan rumah di Sunway City, Tambun, kereta Perodua Kembara dan wang berjumlah RM18,000.

“Adik ipar turut menyediakan afidavit dan dokumen yang ditiru tandatangan serta memukul dan memaksa saya untuk meletakkan cap jari di atas dokumen berbahasa Urdu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN
Perak di sini, semalam.

Zarena berkata, dia dihantar pulang sendirian pada 10 Mac lalu manakala, anaknya dijadikan tebusan sementara harta terbabit diserahkan kepada seorang wanita bekerja sebagai penjawat awam yang turut bersubahat dalam kes itu.

Dakwanya, suaminya mahu dia menukar hak milik hartanah di Sunway City ke atas seorang wanita yang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dan anaknya masih ditahan oleh keluarga lelaki itu di Pakistan.

"Kali terakhir berhubung dengan suami adalah hujung Julai lalu di mana dia masih berkeras enggan menyerahkan kembali anak saya.

“Laporan polis berasingan telah dibuat dan saya menemui pelbagai pihak antaranya Interpol, Wisma Putra dan Biro Siasat Persekutuan (FBI) dalam usaha mendapatkan semula anak saya,” katanya.

Zarena berkata, anaknya itu dipercayai berada di Pakistan secara tidak sah apabila visanya tamat pada 22 April lalu.

“Sepanjang Sepanjang tempoh ini, saya dalam keadaan tertekan risaukan keselamatan anak saya. Saya telah dimaki, diugut dengan pelbagai cara dan saya berdiam diri kerana hanya mahukan kembali anak saya.

“Saya mengharapkan simpati mana-mana pihak untuk mendapatkan kembali anak saya memandangkan usaha dilakukan sebelum ini tidak membuahkan hasil, sementara penjawat awam terbabit perlu diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Senjata makan tuan


Kuala Terengganu: Tiga anggota Batalion 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Seberang Takir, di sini cedera di kaki, perut dan dada akibat terkena peluru ketika sedang membersihkan senjata, petang ini.
Menurut sumber, kejadian dilaporkan berlaku di kem berkenaan selepas tiga anggota terbabit berusia 19 hingga 21 tahun dipercayai baru selesai menamatkan latihan menembak pada jam 3.30 petang.
Difahamkan, sebelum kejadian, seorang daripada anggota terbabit dikatakan sedang membersihkan senjata, manakala dua lagi rakannya berada tidak jauh dari tempat anggota terbabit.
"Ketika sedang mencuci senjata berkenaan, secara tiba-tiba senjata yang berada di tangannya meletup dan terkena bahagian kaki anggota terbabit sebelum mengenai bahagian perut dan dada dua lagi rakannya," katanya.
Katanya, ketiga-tiga anggota terbabit yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, menggunakan ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Difahamkan, sehingga kini, mangsa yang mengalami kecederaan pada kaki dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa manakala dua lagi rakannya masih dirawat di wad kecemasan HSNZ.
Pegawai Memerintah Batalion 18 RAMD Kem Seberang Takir Leftenan Kolonel Mahamad Fazli Mat Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun tidak dapat memberi sebarang keterangan lanjut termasuk jenis senjata terbabit.
Foto
caption image3
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Mandi petrol...!


Gombak: Seorang lelaki bertindak gila apabila ‘memandikan’ tubuhnya dengan petrol sebelum membakar diri selepas dipercayai mengalami tekanan perasaan.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari semalam, lelaki berusia 40-an itu dikesan cuba membunuh diri tidak jauh dari kawasan belukar di Sri Gombak, di sini.
Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai tidak dapat menahan sakit akibat tubuhnya dijilat api bertindak terjun ke dalam kolam berdekatan.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Selayang Nor Aini Iman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 tengah hari.
Foto
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa daripada kolam sebelum dikejarkan ke Hospital Selayang.

Menurutnya, sebuah jentera serta lapan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian membantu mangsa.

Katanya, mangsa ditemui di dalam kolam dengan keadaan lemah oleh anggota penyelamat.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

‘Import’ kosmetik racun


Shah Alam: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai barangan kosmetik yang cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan jalan laut dianggarkan bernilai RM85,000 sejak Januari hingga awal September ini.
Antara barangan keperluan yang menjadi kegemaran untuk diseludup masuk adalah syampu, sabun badan, produk haruman badan, produk penjagaan muka wanita serta lelaki dan ia dipercayai didorong permintaan dalam kalangan warga asing yang menetap di negara ini. 
Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 1 Pelabuhan Klang Asisten Superintendan Mohd Rohaizad Mohd Nasir berkata, untuk tempoh sama tahun lalu, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup barangan kosmetik ke negara ini yang bernilai RM92,000. 

Katanya, produk yang dirampas sering dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang memandangkan wujudnya permintaan tinggi daripada peniaga terutama sekitar Lembah Klang.
Foto
ANTARA jamu popular yang sering mendapat permintaan di Malaysia.

“Mereka (penyeludup) juga biasanya memilih laluan laut di Pelabuhan Klang kerana beranggapan mudah membolosi pemeriksaan barangan kerana beranggapan laluan di situ sibuk dengan kapal dagang dan mereka pasti mampu mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Guru besar ditahan reman


Putrajaya: Seorang guru besar, dua cikgu dan seorang ejen insurans ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Dahlia Azmi di sini, hari ini ke atas guru besar dan dua guru berusia 30 hingga 54 tahun dari Pulau Pinang serta ejen insurans berumur 31 tahun dari Kuala Lumpur. 
Keempat-empat suspek yang diiringi polis tiba di mahkamah pada jam 10.20 pagi dengan berpakaian lokap itu, disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, keempat-empat tahanan reman itu adalah antara enam individu termasuk lima guru yang ditahan polis semalam, bagi membantu siasatan kes kebocoran soalan kertas Science dan Bahasa Inggeris UPSR.
Foto
EMPAT individu yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes kebocoran soalan UPSR 2014 dibawa ke kamar Mahkamah Majistret Putrajaya.

Beliau berkata, daripada enam tangkapan itu, tiga guru ditahan di Pulau Pinang dan masing-masing seorang guru di Parit Buntar, Perak serta Kuala Ketil, Kedah.

Manakala seorang agen insurans berusia 31 tahun ditangkap di Sentul, Kuala Lumpur. 

Gan berkata, dua daripada guru terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis, malam tadi. 

Menurutnya, sehingga kini polis juga sudah merakam percakapan 12 indiviu membabitkan enam pegawai Lembaga Peperiksaan (LPM), lima guru dan seorang wartawan selain merampas gajet komunikasi untuk siasatan lanjut. 

Kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan selepas murid menduduki peperiksaan itu pada Khamis lalu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya pada hari berkenaan. 

LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baru bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu. 

Susulan kes kebocoran itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

‘Makan’ penampar ejen gores


Seremban: Dua sahabat ditampar ejen syarikat gores dan menang di Taman Bukit Kepayang, di sini, semalam, selepas mereka datang ke syarikat terbabit untuk meminta cop bagi merujuk kes itu ke Pejabat Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) negeri.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Low Beng Yen, 54, ditemani rakan, Kong Chee Tern, 50, ke pejabat syarikat berkenaan untuk meminta cop bagi kes tuntutan isterinya. 
Difahamkan, isteri Low terpedaya dengan pujuk rayu ejen syarikat terbabit di sebuah pasar raya di Seremban 2, dekat sini, sehingga menyerahkan wang RM1,200, Sabtu lalu. 

Low berkata, dia berjumpa seorang daripada empat lelaki dipercayai ejen dan meminta cop untuk membuat aduan di TTPM.
Foto
LOW (kanan) melakonkan semula aksi ditampar dua ulat gores dan menang.

Malangnya, dua lelaki bertindak memarahi mereka serta tidak mahu menandatangani surat berkenaan.

“Bagi mengelakkan keadaan bertambah tegang, kami berdua membuat keputusan pulang. Bagaimanapun ketika turun tangga, kami didatangi 12 lelaki dan dua daripada mereka menampar kami. 

“Mereka juga mendakwa tidak akan membayar semula wang isteri saya itu,” katanya ketika ditemui di pejabat MCA negeri, di sini, semalam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Tayar pecah ragut isteri


Oleh Jauhariatul Akmal Johar
Rantau Panjang: Seorang suami sempat mengajar isterinya mengucap dua kalimah syahadah sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik dalam kejadian di Kampung Lubok Gong, Jalan Rantau Panjang Lama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi, Miss Rodiyah Baka, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala bayi perempuannya yang berusia setahun sesak nafas dan dihantar ke Pusat Kesihatan Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Pasir Mas (HPM).

Bagaimanapun, suami Miss Rodiyah, Mohd Aliff Farhan Mohd Marzuki, 27, yang memandu kereta Honda Jazz hanya cedera ringan.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Banggol Seraya, Sungai Golok selepas menghabiskan masa bersama keluarga di Kedai Lalat, Kota Bharu.

Ketika ditemui, Mohd Aliff Farhan kelihatan sugul dan enggan ditemu bual berikutan terlalu sedih.

Saksi kejadian, Adam Zainuddin, 31, berkata, dia mendengar bunyi dentuman diiringi rempuhan kuat tidak jauh dari kediamannya dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Apabila keluar, saya dapati ada bayi perempuan sudah berada di tengah jalan dipercayai tercampak dari kereta yang ketika itu sudah terbalik sebaik merempuh sebuah stor penyimpanan barang di lokasi kejadian.

“Saya menyelamatkan bayi terbabit yang kelihatan sesak nafas.



Dalam masa sama, saya melihat seorang lelaki (Mohd Aliff Farhan) sedang mengajar isterinya mengucap dua kalimah syahadah di sisi kereta mereka yang terbalik sebelum wanita berkenaan menghembus nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Adam berkata, difahamkan salah satu tayar kereta Mohd Aliff Farhan pecah menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Foto
ANGGOTA polis melihat mayat mangsa kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Halau mentua belasah ipar


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Menantu bersikap seperti hantu. Itulah gambaran terhadap tindakan seorang lelaki yang tergamak menghalau ibu dan bapa mertuanya dari rumah didiami di Setapak.

Malah, lelaki berusia 30-an itu sanggup bertindak ganas membelasah adik iparnya berusia 20-an selepas mangsa enggan keluar dari rumah berkenaan.

Sumber polis berkata, suspek bersikap tidak bertimbang rasa selepas berkahwin dengan isterinya yang juga anak sulung dalam keluarga mentuanya.

Menurutnya, suspek mula berubah sikap apabila gemar memarahi kedua-dua mentuanya selepas setahun mendirikan rumah tangga.

“Dia yang pernah membelasah pasangan itu kemudian mengusir ibu dan bapa mentua dari rumah didiami itu awal tahun ini.

“Tindakannya itu seolah-olah disokong isterinya yang membiarkan ibu bapa kandungnya diusir keluar dari rumah milik mereka,” katanya.

Bagaimanapun adik ipar lelaki itu masih tinggal di rumah berkenaan berikutan lokasi ke tempat kerjanya yang terletak berhampiran kediaman itu.

Menurutnya, suspek bagaimanapun mempengaruhi isterinya supaya turut sama berusaha menghalau adiknya itu.

“Selepas beberapa kali memaksa mangsa keluar dari rumah itu, suspek akhirnya membelasah mangsa dengan kerusi hingga berdarah di kepala.

“Mangsa yang cedera itu terpaksa meminta bantuan bapanya yang menyewa rumah di kawasan berdekatan untuk menghantarnya ke hospital.



Kecederaan itu menyebabkan mangsa menerima enam jahitan di kepala,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, susulan kejadian itu, mangsa ditemani bapanya membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Adik lega jenazah abang mangsa MH17 dibawa pulang



Kuala Lumpur: “Kami rasa lega dan bersyukur kepada Allah SWT,” itu jawapan ringkas adik kepada anak kapal terakhir pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Shaikh Mohd Noor Mahmood, 44, yang dijangka pulang ke tanah air Khamis ini sebaik jenazahnya sudah dikenal pasti.

Shaikh Radzi Mahmood, 40, berkata, walaupun keluarga masih diselubungi kesedihan, tetapi mereka lega abangnya satu-satunya anak kapal terakhir daripada 15 yang dibawa pulang ke Malaysia.

“Sebaik jenazahnya sudah dikenal pasti, kami bersyukur akhirnya penantian kami sekeluarga sudah berakhir.



“Kami berserah kepada Allah SWT supaya Khamis ini abang saya akan pulang ke tanah air dan bersemadi dengan tenang,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

Menurutnya, enam ahli keluarga termasuk dia, ibunya, Amnah Mohd Sharif, 65, isteri arwah, Madiani Mahdi, 42, anak arwah Sheikh Danish, 13, dan Zulaikha, 2, serta seorang adiknya kini berada di Amsterdam untuk mengiringi kepulangan jenazah abang sulungnya itu Khamis ini.


Kelmarin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan empat lagi jenazah mangsa nahas MH17 sudah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan dijangka dibawa pulang dalam masa terdekat.


Menurut Liow, dua daripadanya ialah anak kepada arwah Tambi Jiee iaitu Muhammad Afzal Tambi, 17, dan Marsha Azmeena Tambi, 15, sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Syabu macam barang runcit


Oleh Na’imah Mohamed
Shah Alam: Taktik seorang warga Iran membawa dadah menggunakan bungkusan plastik biasa seperti digunakan membeli barangan runcit gagal mengabui mata pihak berkuasa apabila dia ditahan.

Hasil penahanannya, dua lagi rakan senegaranya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Cyberjaya, kelmarin.

Dalam semua serbuan itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor merampas syabu seberat 10.52 kilogram (kg) bersama 200 mililiter (ml) cecair syabu bernilai RM1.2 juta dan ia adalah rampasan terbesar kontinjen itu pada tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, dalam tangkapan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang diketuai Inspektor Syed Nazely Sayed Jaafar menerima maklumat mengenai kegiatan suspek daripada orang awam sebelum mereka menjejaki suspek.

“Suspek ditahan ketika minum di kafe di Pusat Komersial Cyber Valleyjam 1 petang dan ketika itu, dia didapati membawa sebungkus beg plastik yang kelihatan seperti mengandungi barangan runcit biasa bersamanya.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati, bungkusan itu mengandungi 2,015 gram syabu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Abd Rahim berkata, hasil soal siasat, polis menyerbu kondominium di Neo Cyber jam 1.30 tengah hari dan menemui 8,505 gram syabu bersama 200 ml cecair dan juga peralatan membungkus dadah berkenaan.

Bagaimanapun, dalam serbuan itu, tiada sebarang tangkapan dibuat berikutan unit kondominium berkenaan sudah ditinggalkan kosong.

“Suspek membawa polis ke tempat ketiga iaitu sebuah lagi unit kondominium di kawasan yang sama dan kami menahan dua lagi lelaki warga Iran yang menjadikan semua tangkapan tiga orang berusia antara 24 hingga 38 tahun.

“Semua yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan rekod menunjukkan mereka sering keluar dan masuk ke negara ini sejak 2011,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 21 September depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



Foto
ABD Rahim menunjukkan hasil rampasan pada sidang media, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Habuan cabul


Oleh Sarah Zulkifli
Kuala Lumpur: Gara-gara menceroboh tandas wanita sebelum mencabul remaja perempuan, seorang penjaga stor dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Saifulakmar Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Arizul Salleh, 27, selepas tertuduh mengaku salah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, iaitu 10 September lalu.

Mengikut pertuduhan, Arizul didakwa dengan maksud hendak mencabul kehormatan remaja yang berusia 18 tahun itu di dalam tandas wanita tingkat 1, Pearl Point, di sini, jam 10.30 malam, Rabu lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar diberikan hukuman denda atas alasan menanggung dua orang anak serta mempunyai pendapatan rendah iaitu RM1,300.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menolak dan menutup mulut mangsa ketika mangsa keluar dari tandas.

Lelaki berkenaan mencabul kehormatan remaja itu sebelum jeritannya didengari orang awam.

Tertuduh ditangkap orang awam sebelum diserahkan kepada polis.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Pasangan baru tunang didakwa



Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Seremban: Sepasang kekasih yang baru bertunang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan melarikan wang tunai kepunyaan dua lelaki di Telok Kemang, Port Dickson, dekat sini.

Tertuduh, Baderen Zaman Abu, 40, dan tunangnya, Norerwani Yahaya, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan pertuduhan pilihan menyimpan barang curi.

Mereka yang menetap di Pasir Panjang, Port Dickson, dekat sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan rompakan secara berkumpulan dengan bersenjata parang terhadap Muhamad Rohim Zaid Zainudin, 20, dan Mohamad Khairul Amizan Mohd Kamalruddin, 20, dengan mengambil beg pinggang, wang tunai, dua telefon bimbit, kunci motosikal dan beberapa dokumen peribadi membabitkan kerugian lebih RM1,000.

Kesalahan itu dilakukan di tepi pantai, Batu 9 Telok Kemang, Port Dickson, dekat sini, pada 6 September lalu, jam 3.40 pagi.

Bagi kesalahan itu, pasangan terbabit didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka bersama-sama didakwa menyimpan barang curi yang diketahui dilakukan dengan cara rompakan bersenjata terhadap dua mangsa sama di hadapan sebuah kedai di Jalan Pekan Pasir Panjang, Port Dickson, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz tidak menawarkan sebarang jaminan untuk kedua-dua tertuduh itu.



Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Baderen yang memakai baju lokap ungu merayu agar dibenarkan jamin dengan nilai paling rendah kerana hanya bekerja sebagai buruh manakala Norerwani pula bekerja kilang di Melaka dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan Baderen diikat jamin RM10,000 dan Norerwani RM6,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan kedua-dua tertuduh itu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap Isnin minggu kedua.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober ini selain turut memberi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu kedua-dua mangsa dalam kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Acu parang ke leher


Kota Bharu: Seorang pembantu kedai buku dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap pertuduhan menyamun seorang wanita, Disember tahun lalu.
Hakim Mohd Yusoff Yunus memutuskan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Annur Syazwan Marzuki, 26, dari Kampung Mengketil, Pangkal Meleret, Machang mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Annuar bersama tiga orang lagi yang masih bebas melakukan rompakan terhadap mangsa, Siti Khuzaini Arefin, 31, di sebuah kedai runcit di Cabang Tiga Kepas, dekat Machang pada jam 8.40 malam, 9 Disember 2013.
Tertuduh didakwa mengambil telefon bimbit Nokia, sebuah dompet mengandungi kad pengenalan, kad ATM, seutas rantai emas, seutas gelang emas dan sejumlah wang tunai yang kesemuanya milik mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di kedai runcitnya bersama pembantu kedai dikenali Sofiyah Husain, tiga lelaki tidak dikenali tiba-tiba masuk ke dalam kedai dengan seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang dan mengacukannya ke leher Sofiyah sambil menyuruh mereka diam.
Foto
MOHD Annur dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Alami gejala Ebola


Kuching: Seorang penuntut lelaki warga Afrika sebuah universiti swasta di bandar raya ini dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana disyaki mengalami simptom penyakit Ebola, tengah malam kelmarin.
Penuntut lelaki berusia 24 tahun itu, dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 12 tengah malam selepas mengalami demam panas sebelum dikuarantin.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata, penuntut dari Zimbabwe sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Tabuan, namun kakitangan perubatan meminta supaya merujuk kes itu kepada HUS.

Bagaimanapun, beliau berkata, penuntut terbabit kini di Wad Isolasi dan tidak menunjukkan simptom berkaitan dengan virus maut itu.
Foto
BANGUNAN di pekarangan HUS tempat seorang pesakit yang disyaki dijangkiti virus Ebola.

“Ketika ini kami sedang memantau perkembangan kesihatan penuntut ini dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

“Setakat ini tiada pengesahan lagi (jangkitan Ebola), pakar di HUS masih meneruskan siasatan dan memantau dengan rapi keadaan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan penuntut itu tidak pernah meninggalkan negeri ini tetapi ada bertemu rakannya dari Nigeria yang baru pulang dari negara asal mereka.

Sementara itu, Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata, keputusan sama ada penuntut itu menghidap Ebola atau sebaliknya, akan diketahui dalam tempoh seminggu.

“Ada satu kes turut disyaki berlaku di Perak, namun selepas pemeriksaan rapi, suspek mengalami demam panas didapati negatif wabak itu,” katanya.

Wabak Ebola pertama dikesan berlaku pada 1976 di dua lokasi serentak iaitu Nzara, Sudan, dan Yambuku, Republik Demokratik Congo.

Ebola adalah demam berdarah yang membawa maut kepada manusia serta monyet dengan dianggarkan lebih 2,000 kematian dilaporkan berlaku Afrika Barat akibat wabak itu tahun ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Guru Besar antara empat direman


Putrajaya: Seorang guru besar, dua guru serta seorang lelaki iaitu ejen insurans ditahan reman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung kebocoran soalan kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Majistret Nur Dahlia Azmi mengeluarkan perintah reman itu yang bermula semalam hingga Khamis ini. 
Keempat-empat lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 yang boleh membawa hukuman penjara satu hingga tujuh tahun dan denda. 

Tiga guru terbabit dari Pulau Pinang dengan dua daripadanya mengajar di sekolah sama, manakala seorang lagi lelaki berasal dari Kuala Lumpur.
Foto
TIGA daripada empat yang ditahan reman.

Mereka diwakili peguam bela Esther Tan Siew Choo.

Sebelum itu, keempat-empat lelaki berkenaan yang berpakaian lokap polis tiba di Mahkamah Majistret, di sini, pada jam 10.20 pagi dengan diiringi anggota polis. 

Mereka dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan keluar dari mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari. 

Sementara itu, Siew Choo berkata, semua lelaki berkenaan yang berusia antara 30 hingga 50 tahun kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya untuk membantu siasatan. 

Sehingga kelmarin, polis sudah mengambil keterangan daripada 12 individu termasuk enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), lima guru dan seorang wartawan. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

500 dikhuatiri lemas


Rome: Kira-kira 500 pendatang asing mungkin mati lemas selepas penyeludup merempuh dan menenggelamkan kapal yang mereka naiki, di laut Meditteranean beberapa hari lalu, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) semalam.

Dua warga Palestin yang diselamatkan oleh sebuah kapal kargo Selasa lalu selepas bot mereka karam berhampiran Malta memberitahu pertubuhan itu, terdapat kira-kira 500 penumpang dalam kapal berkenaan yang sengaja dirempuh dan ditenggelamkan oleh penyeludup manusia.


“Dua mangsa yang terselamat yang dibawa ke Sicily memberitahu kami, sekurang-kurangnya 500 orang berada di dalam kapal itu. Sembilan lagi mangsa diselamatkan oleh kapal Greece dan Malta tetapi yang lain hilang, dikhuatiri mati lemas,” kata jurucakap IOM di Itali, Flavio Di Giacomo.



Bagaimanapun, maklumat mengenai kejadian itu tidak dapat disahkan, Menurut mangsa yang terselamat itu, pendatang dari Syria, Palestin, Mesir dan Sudan menaiki kapal berkenaan dari Damietta di Mesir pada 6 September dan dipaksa bertukar kapal beberapa kali ketika menyeberang lautan untuk menuju ke Eropah.


Penyeludup yang berada dalam bot berasingan kemudian mengarahkan mereka menaiki kapal lebih kecil. Bagaimanapun, kebanyakan penumpang enggan berbuat demikian kerana bimbang ia terlalu kecil untuk mereka yang begitu ramai.


Tindakan penumpang itu mencetuskan kemarahan penyeludup yang kemudian merempuh berkenaan hingga ia karam, kata IOM. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

4 suspek militan IS keturunan Uighur


Jakarta: Empat suspek militan yang ditahan di hujung minggu lalu adalah keturunan Uighur, etnik minoriti China dan didakwa cuba menemui pelampau Indonesia paling dikehendaki.

Polis Indonesia yang sebelum ini mendakwa suspek warga Turki, semalam berkata, mereka masih menyiasat sama ada keempat-empat orang yang ditahan itu mempunyai hubungan dengan kumpulan Negara Islam (IS) yang menguasai sebahagian Syria dan Iraq.


Puluhan warga Indonesia dilapor berada di Asia Barat untuk menyertai IS dan kumpulan militan lain hingga mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa yang berusaha menangani keganasan sepanjang beberapa tahun lalu.



Indonesia sudah mengharamkan IS tetapi tidak ada undang-undang yang boleh menyekat suspek militan daripada ke luar negara. Keempat-empat suspek Uighur itu ditahan di wilayah Sulawesi Tengah, kawasan utama gerakan militan di Indonesia. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/16

Ceroboh DUN: Seorang lagi dihadapkan ke mahkamah


PULAU PINANG 15 Sept. - Selepas lebih empat bulan menghilangkan diri, seorang lagi tertuduh kes pencerobohan Dewan Undangan Negeri(DUN) Pulau Pinang, Mei lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Wan Norazman Ariffin, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama 15 lagi lelaki yang te- lah dituduh sebelum ini menceroboh DUN tersebut pada kira-kira pukul 1.30 petang, 21 Mei lalu dengan niat hendak menggusarkan Setiausaha Dewan, M. Maheswari.
Pendakwaan terhadap ahli perniagaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau ke- dua-duanya.
Majistret L. Umma Devi membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes bersama 15 tertuduh yang lain pada 29 September ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib memohon tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Rosli Ismail yang mewakili Wan Norazman memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama kepada pihak polis.
Pada 19 Jun lalu, 15 lelaki yang kebanyakannya merupakan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa di hadapan Majistret Nurul Rashidah Md. Akit atas pertuduhan sama.
Mereka ialah Datuk Mohd. Ridzwan Bakar, 54, Hisham Ahmad Sabri, 43, Afriz Mohd. Noor, 36, Rosesarwandi Saad@ Yaacob, 33, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin, 37, Hisham Abdul Hamid, 38, Mohd. Nashrol Hisham Abdullah, 38, dan Azmeal Abu Bakar, 42.
Yang turut didakwa ialah Mohd. Yusmadi Mohd. Yusof, 34, Mohamad Hilmie Ibrahim, 37, Jasmin Noordin, 40,
Nordin Wahab, 41, Mohamed Ghani Abd. Jiman, 48, Wan Abidin Zain, 51, dan Mohamed Ibrahim A. Siahoo, 31.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140916/ma_02/Ceroboh-DUN-Seorang-lagi-dihadapkan-ke-mahkamah#ixzz3DQe1OU1L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ahli PRM mengaku tidak bersalah siar komen jelik

Wong Hoi Cheng

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Seorang ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyiarkan komen yang mengaib serta membangkitkan kemarahan Ketua Polis Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui akaun Twitternya bagi menggugat keamanan awam, pada Hari Kemerdekaan lalu.
Wong Hoi Cheng, 43, yang juga penulis bebas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di restoran makanan segera, McDonald's, Midvalley, Brickfields, di sini kira-kira pukul 2 petang, 31 Ogos lalu.
Dia didakwa menyiarkan komen melalui akaun Twitter, http://twitter.com./wonghoicheng dengan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar dan anggota serta pegawai PDRM, dengan mengetahui perbuatannya itu akan menggugat keamanan awam.
Pertuduhan terhadap lelaki itu yang juga dikenali sebagai Victor Wong dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya kepada Khalid di akaun laman sosialnya yang sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Pertuduhan terhadap Hoi Cheng yang bekerja sebagai pengurus projek sebuah kilang kayu itu dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Hakim Abdul Rashid Daud membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Arafas Abdul Razak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140916/ma_01/Ahli-PRM-mengaku-tidak-bersalah-siar-komen-jelik#ixzz3DQdCiwY7
© Utusan Melayu (M) Bhd