Search This Blog

Monday, September 15, 2014

Bas Terjunam Ke Dalam Gaung, 26 Disahkan Maut


Diterbitkan: Isnin, 15 September 2014 12:06 PM
Gambar hiasan

LIMA: Sebanyak 26 penumpang disahkan terkorban selepas bas yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di laluan pergunungan Peru, kata polis negara itu.
Bas tersebut terjunam ke dalam gaung sedalam 200 meter pada Jumaat sebelum 26 disahkan terkorban pada Ahad.
Ketua Polis Cotaruse, Uriel Luque berkata, seramai 19 penumpang yang terdiri daripada enam kanak-kanak disahkan terkorban pada Sabtu dan jumlah itu meningkat setakat ini.
Kemalangan itu berlaku di laluan bahaya yang dikenali sebagai 'tujuh selekoh' di Apurimac.
Bas tersebut dilaporkan membawa penumpang-penumpang untuk menghadiri sebuah upacara keagamaan dari Puquio di Chalhuanca.
mstar

Empat sahabat dituduh edar dadah


Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, petang ini atas dua pertuduhan mengedar ganja dan heroin dengan berat kasar 565 gram Taman Bukit Puteri di sini, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada M Presanth, 24; S Ravitharan, 26; S Sathiaseelan, 26; dan M Miraaj, 24 selepas dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis ganja dengan berat kasar 462.5 gram di sebuah rumah di Jalan Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Puteri, kira-kira jam 11.10 pagi 2 September 2014.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan berat kasar 103.4 gram di lokasi pada tarikh dan masa sama.


Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Pemandu bot pisang dituduh gopoh


Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang pemandu bot pisang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan memandu bot secara gopoh hingga menyebabkan kecederaan seorang lelaki yang sedang mandi di Pantai Dataran Telok Kemang, Port Dickson, 7 September lalu.


Tertuduh, Mohd Amirol Yasli, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.




Mengikut fakta pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhamad Hidayat Ramlan, 23, dengan perbuatan memandu bot secara gopoh atau cuai sehingga membahayakan nyawa manusia atau keselamatan orang lain.
Kesalahan itu dilakukan di Pantai Dataran Telok Kemang, Batu 8, Jalan Pantai, Port Dickson, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari 7 September lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan mangsa.

Harian Metro 10 September lalu melaporkan percutian dua keluarga di Pantai Dataran Teluk Kemang, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka parah dipercayai dirempuh sebuah bot yang menarik bot pisang ketika mandi di situ.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Terima hukuman gantung


Johor Bahru: Seorang lelaki dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi selepas didapati bersalah membunuh anak teman wanitanya, tiga tahun lalu.
Hakim Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, Tai Ah Seng, 40, di akhir kes pembelaan. 

Dalam penghakimannya, Samsudin berkata, pembelaan terhadap tertuduh yang diwakili peguam John Fernandez itu bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan.
Foto
TAI Ah Seng dihukum gantung sampai mati.

"Pembelaan bercelaru dan perkara dalam keterangan ketika prosiding membela diri juga dipercayai baru ditimbulkan dan bercanggah dengan saksi pendakwaan," katanya.

Tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lima bulan di rumahnya di Taman Skudai Baru, Skudai di sini, pada jam 2.58 pagi, 17 November 2011. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Polis Selangor tumpas sindiket syabu warga Iran

ISNIN, 15 SEPTEMBER 2014 @ 7:35 PM

 
SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu di negeri ini dengan penangkapan tiga warga Iran dan penemuan tempat pembungkusan dadah semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata dadah disyaki syabu seberat 10.5 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1 juta juga dirampas.

"Semua suspek yang berumur 24 hingga 38 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Cyberjaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek pertama ditahan di sebuah kafe di Cyber Valley pada kira-kira 1 tengahari oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sepang dan bersamanya dijumpai satu bungkusan beg plastik yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat 2.015kg.



Katanya, hasil siasatan ke atas suspek pertama, pasukan berkenaan telah dibawa ke sebuah unit pangsapuri yang tidak berpenghuni di Neo Cyber, Cyberjaya yang dipercayai dijadikan tempat pembungkusan dadah.

"Polis menemui antaranya dadah berbentuk serbuk dan kristal disyaki syabu seberat 8.505kg, 200ml cecair yang juga disyaki syabu serta beberapa peralatan membungkus dadah di sebuah bilik di pangsapuri berkenaan," katanya.

Abdul Rahim berkata, lanjutan daripada penemuan itu, polis telah menyerbu satu unit pangsapuri berlainan di kawasan sama dan menahan dua lagi suspek.

"Polis kini sedang mengesan saki-baki anggota sindiket berkenaan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek datang ke Malaysia secara sah dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Sindiket curi tumpas, 5 kereta mewah dirampas



KETUA Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid (kiri) bersama pegawai penyiasat melihat sebahagian lima kereta mewah yang dirampas dari seorang disyaki terbabit dalam sindiket kereta mewah di negeri Selangor ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. - Foto Muhammad Mikail Ong
GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket mencuri dan menjual kereta mewah bernilai lebih RM2 juta dengan penahanan seorang lelaki di Lebuh Farquhar, di sini, Jumaat lalu.
Suspek yang juga seorang mekanik berusia 36 tahun itu di tahan sepasukan polis bahagian siasatan jenayah berat D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut semasa keluar dari sebuah pusat hiburan kira-kira jam 5 pagi.
Siasatan ke atas suspek membawa polis ke sebuah kondominium mewah di Butterworth di mana lima anak kunci kereta mewah pelbagai jenama termasuk enam cukai jalan yang disyaki palsu dirampas.
Lima kereta mewah berkenaan dirampas di tempat letak kereta kondominium itu dan semakan ke atas kereta terbabit mempunyai laporan polis dan disenarai hitamkan dalam sistem KOMPOL polis.

Mayat bayi lelaki ditemui di tapak pelupusan sampah




SEORANG penduduk Orang Asli, Roslan Salleh menunjukkan lokasi mayat bayi yang ditemui di tapak pelupusan sampah di Tanjung Merit, Mersing, hari ini. - Foto Mohd Sah Muda
JOHOR BAHRU: Mayat seorang bayi lelaki yang masih lagi bertali pusat dijumpai di tapak pelupusan sampah di Tanjung Merit, Mersing, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Zulkepli Hashim, berkata mayat bayi itu dijumpai pada 9.30 pagi tadi oleh seorang lelaki Orang Asli yang sedang mencari barangan lusuh di kawasan itu.
"Mayat bayi itu ditemui dalam keadaan berbungkus dengan surat khabar dan beg plastik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zulkepli tidak menolak kemungkinan mayat itu baharu diletakkan di tapak pelupusan itu berdasarkan keadaannya yang masih elok.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung penemuan itu.
Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Orang ramai diminta menghubungi hotline polis Johor di talian 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai sebarang maklumat.
- BERNAMA

Pegawai lengahkan bayaran ganjaran



ACP Paul Khiu Khon Chiang, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Johor (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan hasil rampasan yang berjaya di rampas dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Johor Bahru, baru-baru ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Tindakan segelintir pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dikatakan sengaja melengah-lengahkan proses pembayaran ganjaran kepada pemberi maklumat dipercayai menjadi antara punca sindiket penyeludupan rokok dan arak semakin berleluasa.
Satu sumber mendedahkan, pegawai tersebut bertindak demikian kerana telah menerima imbuhan daripada sindiket penyeludupan barangan itu dan sekali gus melindungi kegiatan haram tersebut.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pemberi maklumat berasa tidak puas hati dan mengambil keputusan berhenti menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa kerana ia melibatkan soal keselamatan serta perbelanjaan mereka.
"Selepas memperoleh maklumat, pihak berkuasa yang bertindak me- lakukan serbuan akan menyerahkan laporan ganjaran diperoleh pemberi maklumat kepada pegawai atasan.
"Bagaimanapun, terdapat pegawai atasan JKDM yang tidak bertanggungjawab sengaja melengah-lengahkan proses pembayaran ganjaran sehingga ada yang tertangguh sehingga empat atau lima tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan sindiket penyeludupan rokok dan arak menyediakan habuan sehingga RM40,000 bagi merasuah segelintir pegawai dan anggota JKDM di Tambak Johor dan Bukit Kayu Hitam.
Pada 7 September lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan mengenai kegiatan penyeludupan rokok dan arak yang berleluasa di kedua-dua kawasan tersebut sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit dalam satu malam.
Laporan eksklusif itu juga mendedahkan bagaimana terdapat segelintir pegawai dan anggota jabatan berkenaan didakwa terlibat dengan sindiket.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, selain melengah-lengahkan pembayaran, jumlah ganjaran yang sepatutnya dinikmati oleh pemberi maklumat juga dikurangkan sehingga 50 peratus bertujuan mengecewakan mereka.
"Tindakan mereka ini akan memberi kesan kepada pemberi maklumat yang berhenti daripada mendedahkan sebarang informasi berhubung penyeludupan kepada pihak berkuasa,'' ujarnya.
Sumber itu memberitahu, ganjaran diterima pemberi maklumat tertakluk kepada nilai rampasan dan akan disyorkan oleh pegawai penyiasat JKDM mengikut peruntukan yang termaktub dalam akta jabatan itu.
Katanya, jumlah ganjaran melebihi RM100,000 akan dinilai oleh pegawai kanan di ibu pejabat manakala jumlah yang kurang daripada amaun terbabit diluluskan oleh pegawai kanan di peringkat negeri.
"Sebagai contoh, jika nilai rampasan rokok dan arak bernilai RM1 juta jumlah ganjaran yang diterima pemberi maklumat berjumlah RM100,000, tetapi yang menjadi masalah adalah setelah laporan terbabit tiba di ibu pejabat, jumlah ganjaran tersebut akan dipotong sehingga separuh. proses pembayaran juga sengaja dilewat-lewatkan bertujuan mahu mengecewakan pemberi maklumat,'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140915/je_01/Pegawai-lengahkan-bayaran-ganjaran#ixzz3DOJJoTCl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua lelaki warga asing ditemui mati dipercayai dibunuh


BUKIT MERTAJAM 15 Sept. - Dua mayat lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Manggis, Permatang Tinggi, di sini hari ini.
Mayat berkenaan ditemui seorang penduduk kampung yang melalui kawasan itu kira- kira pukul 8 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140915/je_06/Dua-lelaki-warga-asing-ditemui-mati-dipercayai-dibunuh#ixzz3DOJAQrz8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis rampas dadah RM5.5 juta


KUALA LUMPUR 15 Sept - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan kejayaan besar apabila menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas dadah bernilai RM5.5 juta minggu lalu.
Kejayaan itu termasuk membongkar kegiatan sindiket dadah didalangi warga Nigeria yang mengunakan kargo udara melalui syarikat perkhidmatan kurier untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini.
Turut ditangkap ialah dua lelaki yang bertindak menjadi keldai dadah dan penerima barangan kurier tersebut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140915/je_07/Polis-rampas-dadah-RM55-juta#ixzz3DOJ23Ase
© Utusan Melayu (M) Bhd 

UPSR: Polis reman empat lelaki


PUTRAJAYA 15 Sept. - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman empat lelaki bagi membantu siasatan kes kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.
Mereka terdiri daripada seorang guru besar dan dua guru semuanya dari Pulau Pinang manakala seorang lagi ialah ejen insurans dari ibu negara.
Majistret Nur Dahlia Azmi membenarkan mereka direman selama empat hari sehingga Khamis ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi kesalahan memiliki dan mendedahkan kepada umum bahan yang dikategorikan sebagai rahsia kerajaan secara salah. - UTUSAN ONLINE.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140915/ma_02/UPSR-Polis-reman-empat-lelaki#ixzz3DOHw8DEh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penulis bebas mengaku tak bersalah siar komen aibkan KPN


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Seorang penulis bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyiarkan komen yang mengaibkan dan mendatangkan kemarahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta memecahkan keamanan awam dalam akaun Twitternya, pada Hari Merdeka, lalu.
Hakim Rashid Daud menetapkan jaminan RM4,000 terhadap Wong Hoi Cheng, 43, dengan seorang penjamin. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140915/ma_01/Penulis-bebas-mengaku-tak-bersalah-siar-komen-aibkan-KPN#ixzz3DOHpOmvv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bom: Bekas askar ditahan



KEADAAN kereta pengusaha restoran wanita yang terkena bom di Kampung Baru Subang dekat Sungai Buloh, Selangor kelmarin.


SUNGAI BULOH - Polis menahan seorang bekas tentera darat bagi membantu siasatan berhubung kejadian sebutir bom meletup di bawah kereta dipandu seorang pengusaha restoran di Kampung Baru Subang dekat Sungai Buloh kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, lelaki warga tempatan berusia 50 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam di kediamannya di Pangsapuri Pahlawan 2, Taman Tun Perak di ibu negara.
Menurut beliau, tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis kira-kira 15 jam selepas kejadian itu berlaku.
Bersama suspek itu, polis merampas dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Honda Civic serta dua buah telefon bimbit milik suspek itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3DOHJVIWe 
Hakcipta terpelihara 

Polis tahan empat cikgu


SERAMAI 473,175 calon UPSR menjadi mangsa soalan bocor apabila mereka perlu menduduki semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memasuki episod baharu selepas polis menangkap empat orang guru dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Perak semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, tiga guru lelaki dan seorang guru perempuan masing-masing berusia 30 hingga 54 tahun ditahan oleh Pasukan Bertindak Polis Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
"Antara lokasi serbuan ialah di Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak," katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3DOGuyAZ1 
Hakcipta terpelihara 

Murid tahun lima ditemui lemas

Mayat mangsa diangkat untuk dihantar ke hospital.
Mayat mangsa diangkat untuk dihantar ke hospital.
SERI ISKANDAR - Seorang murid tahun lima ditemui lemas di sebuah lombong di Taman Universiti, Seri Iskandar di sini, dalam kejadian petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri berkata, mangsa, Muhammad Fakrul Ikmal Ardi, 11, dikatakan mandi di lombong berkenaan bersama enam rakannya.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang dan anggotanya segera ke tempat kejadian.

“Salah seorang rakannya memberitahu, mangsa dikatakan lemas ketika mandi sebelum mangsa didapati tenggelam dalam lombong berkenaan.

“Usaha mencari dan menyelamat segera dilakukan dengan bantuan pihak bomba dan akhirnya mayat mangsa ditemui dan dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya.

Mohamad Fakri mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak dengan tidak membenarkan mereka mandi atau menjalankan sebarang aktiviti di kawasan lombong untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Sementara itu bapa mangsa, Ardi Abu, 56, berkata, dia tidak menyangka tindakan Muhammad Fakrul mengejutnya tidur adalah sapaan terakhir daripada anaknya.

“Saya terkejut kerana ketika pagi kejadian arwah mengejutkan saya untuk pergi kerja sedangkan sebelum ini dia tidak pernah melakukannya.

“Saya bertanya kepadanya kenapa tidak ke sekolah kerana terlupa cuti persekolahan telah bermula. Selepas itu dia kembali  ke biliknya,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai tukang kebun di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar berkata, kejadian lemas itu hanya diketahui selepas diberitahu anak sulungnya.

“Saya menerima ujian ini dengan reda dan mengucapkan terima kasih kepada pihak terlibat dalam mencari dan menyelamat arwah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 2.51 petang kelmarin.

Menurutnya, dia bersama empat anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Selaman dibuat tanpa bantuan Unit Skuba kerana keadaan lombong sedalam lebih kurang 2.8 meter .

“Mayat mangsa ditemui di dasar lombong dalam keadaan meniarap dan berseluar pendek tanpa baju jam 3.45 petang,” katanya.

Gembala kambing mati dibunuh

Lokasi mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan kebun getah di Air Kuning Selatan, Tampin, semalam.
Lokasi mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan kebun getah di Air Kuning Selatan, Tampin, semalam.
TAMPIN - Seorang pengembala kambing ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala oleh majikannya di sebuah kebun getah di Ayer Kuning Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, K.Arumugam, 50, dijumpai dalam keadaan terbaring dan mempunyai kesan luka di bahagian kepala, belakang badan serta bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, ketika kejadian, majikan mangsa yang dikenali sebagai K.Paninerselvam, telah keluar untuk minum malam bersama ahli keluarga mereka.

"Sebaik sahaja sampai di kawasan ladangnya itu, dia terlihat mangsa terbaring di tengah-tengah kawasan kebun getah berkenaan, iaitu kira-kira 40 meter dari kandang kambing.

“Majikannya itu kemudiannya mendekati mangsa dan mendapati pekerjanya telah mati dipercayai dibunuh berikutan terdapat kesan luka dan darah di seluruh badan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai penoreh di kebun getah tersebut sejak empat tahun lalu baru sahaja ditugaskan untuk menjaga kira-kira 30 ekor kambing sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati sebanyak tiga ekor kambing telah hilang dipercayai telah dicuri dan kejadian tersebut mungkin ada kaitan dengan kes berkenaan.

“Kita juga menggunakan khidmat anjing pengesan D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintendan Khoo Leng Huat berkata, kes akan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Tampin untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Guna sos cili tulis 'Malaysia' minta bantuan

Penduduk terpaksa berasak di atas sebuah jentera untuk ke pusat pemindahan setelah banjir melanda Kashmir.
Penduduk terpaksa berasak di atas sebuah jentera untuk ke pusat pemindahan setelah banjir melanda Kashmir.
SEPANG - "Kami terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk menarik perhatian bagi menyelamatkan diri, termasuk menggunakan sos cili untuk menulis perkataan 'Malaysia' atas tuala".
  
Selain itu, sekumpulan 15 rakyat Malaysia itu yang terpaksa menyelamatkan diri ke bumbung hotel dalam suhu 16 darjah celcius turut menggantung baju yang mempunyai corak bendera Malaysia.
  
Mereka terpaksa duduk atas bumbung hotel setinggi empat tingkat itu selama beberapa jam pada 7 Sept lepas selepas terperangkap dalam banjir yang melanda Jammu dan Kashmir, India, baru-baru ini, sebelum diselamatkan penduduk setempat.

Menceritakan detik mencemaskan itu yang dilaluinya bersama-sama 15 anggota keluarga dan rakan, Farisha Elaina Abdul Hanif berkata, cuaca sejuk ketika itu tidak dihiraukan kerana apa yang lebih penting kami diselamatkan.
  
"Kami melakukan apa sahaja bagi menarik perhatian badan penyelamat semasa berada atas bumbung hotel itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.

Farisha Elaina, 23, berkata mereka pergi ke Jammu dan Kashmir bagi menghadiri majlis perkahwinan kakaknya dengan seorang rakyat negara itu dan telah terkandas sembilan hari sejak 6 September di kawasan itu.
  
Katanya kakak dan abang iparnya juga kembali ke tanah air hari ini tetapi menaiki Malindo Air dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
  
Menceritakan pengalaman tersebut, Farisha Elaina berkata hotel yang diduduki mereka berhadapan dengan empangan 'Tasik Dall' dan hujan lebat berterusan menyebabkan empangan tersebut pecah dan melimpah ke dalam hotel.
  
Beliau berkata dalam masa 24 jam sahaja air dari paras dada telah meningkat sehingga ke paras bumbung.
  
"Untuk menyelamatkan diri ke atas bumbung itu juga kami bertarung nyawa untuk meredah air yang deras. Setelah beberapa jam duduk atas bumbung hotel, kami diselamatkan oleh penduduk setempat dengan menggunakan sampan," katanya.
  
Katanya cabaran yang dihadapi bukan terhenti di situ malah terpaksa berebut dengan kira-kira 5,000 penduduk setempat untuk menaiki trak tentera untuk ke tempat yang lebih selamat.

Beliau berkata setelah beberapa hari terkandas, akhirnya mereka dibawa menaiki helikopter ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi.
  
Sementara itu ibu Farisha Elaina, Datin Norzam Aini Hamzah, 59, berkata pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi melakukan tugas mereka dengan cekap dan pantas bagi menyelamatkan rakyat Malaysia.
  
"Saya ingin berterima kasih kepada pihak suruhanjaya kerana cekap menjalankan tugas dan berusaha keras menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia," katanya. - Bernama

Suspek Ebola masih dibawah pemerhatian di hospital

Virus Ebola
KUCHING - Menteri Muda Kesihatan Umum Sarawak Datuk Dr Jerip Susil hari ini mengesahkan bahawa seorang pelajar Zimbabwe yang sedang menuntut di kampus sebuah universiti asing di sini yang diserang demam panas masih diletakkan di bawah pemerhatian Hospital Umum Sarawak (SGH) di sini.
Dr Jerip bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan berita itu, dan menjelaskan belum ada pengesahan yang pelajar berusia 24 tahun itu dijangkiti Ebola.

"Pemeriksaan belum selesai dan doktor masih memantau keadaan beliau," ujar Dr Jerip pada sidang akhbar di pejabatnya di Petra Jaya.

Menurut Dr Jerip pelajar itu telah mengadakan pertemuan dengan seorang warga Nigeria yang tiba di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun warga Nigeria itu berada dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom Ebola.

Pihak berkuasa kesihatan negeri kini mengasingkan kedua-dua mereka di kampus buat sementara waktu bergantung pada pemeriksaan selanjutnya, kata Dr Jerip.

Pelajar itu merupakan suspek kedua Malaysia bagi Ebola. Yang pertama dilaporkan di Perak minggu lepas dan kemudian didapati negatif.

Mengenai pelajar Nigeria, Dr Jerip berkata pihak berkuasa kesihatan melakukan pemeriksaan ekstensif ke atas semua mereka yang telah pulang ke Nigeria dan datang kembali ke Sarawak.

Ebola adalah sejenis demam berdarah, sering mengakibatkan maut kepada manusia dan kera. Wabak penyakit itu meragut lebih 2,000 nyawa di Afrika Barat tahun ini. - Bernama

Langgar jururawat: Polis cari saksi kejadian

Pasukan perubatan membantu mangsa yang terbaring di atas jalan selepas dilanggar.
Pasukan perubatan membantu mangsa yang terbaring di atas jalan selepas dilanggar.
SEREMBAN - Polis memohon saksi kejadian atau individu yang terbabit dengan kejadian langgar lari di persimpangan Bukit Rasah, Jalan Rasah, semalam, agar tampil untuk membantu siasatan.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian itu, seorang jururawat meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang dipandu laju, kira-kira jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, mangsa, Nadiatul Nalia Abdullah, 30, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini.

“Menurut saksi kejadian, ada yang ternampak sebuah kereta jenis Proton Saga BML warna putih melanggar motosikal mangsa jenis Honda EX5 itu. Namun nombor pendaftaran kereta berkenaan gagal dikesan.

“Disebabkan perlanggaran tersebut, mangsa tercampak dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan untuk ke hospital.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, diminta tampil ke mana-mana balai polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Kamarudin di talian 012-7280644 atau hubungi Balai Polis Seremban di talian 06-6033322," katanya.

Jumpa bayi di kebun kelapa sawit

Lokasi kebun kelapa sawit dikatakan pekerja menjumpai bayi perempuan itu.
Lokasi kebun kelapa sawit dikatakan pekerja menjumpai bayi perempuan itu.
RUNGKUP - Rutin harian seorang pekerja kontrak dikejutkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di kebun kelapa sawit, di Kampung Masri, Batu 21, Sungai Batang, dekat sini, pagi kelmarin.

Bayi perempuan itu ditinggal tanpa sebarang kain dan lebih menyedihkan, bayi perempuan dalam keadaan berlumuran darah selain tali pusat masih melekat bersama uri ditinggalkan di atas plastik.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku kepada bayi berkenaan, pekerja kontrak itu terus ke Klinik Kesihatan Selekoh untuk memaklumkan penemuan itu.

Ketua Kampung Sungai Batang, Abd Salim Anuar yang ditemui berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 11.45 pagi kelmarin selepas dihubungi pihak polis Balai Rungkup.

Sejurus kejadian itu, beliau terus ke Klinik Kesihatan Selekoh selepas bayi perempuan itu dibawa oleh kakitangan klinik dan pihak polis  hasil  aduan  pekerja berkenaan di klinik berkenaan.

Abd Salim berkata, kejadian itu adalah pertama kali berlaku di kawasan seliaanya.

Menurutnya, penduduk kampung bersama polis akan membantu mencari individu yang terlibat dalam kes ini.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Teluk Intan, Selva Ratnam berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai bayi perempuan itu petang kelmarin.

Katanya, kini bayi itu masih dalam rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI) untuk tujuan pemantauan.

Menurutnya, sekiranya kesihatan bayi perempuan itu dalam keadaan baik, pihaknya akan mengambil kanak-kanak itu untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, bayi itu masih dalam pemantauan pihak HTI dan kami akan ambil bayi itu.

“Kami akan tempatkan bayi itu di Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Kami minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 05-6299222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Cagar motor curi nak pinjam wang

Kedua-dua suspek didapati positif dadah sebelum ditahan kerana memiliki motosikal curi.
Kedua-dua suspek didapati positif dadah sebelum ditahan kerana memiliki motosikal curi.
KULIM - Gara-gara memberi pinjaman wang kepada rakan dan meminta motosikalnya dijadikan cagaran, dua lelaki berusia 20 tahun ditahan kerana dipercayai memiliki motosikal curi

Sebelum itu, kedua-dua suspek ditahan kerana positif dadah ketika ujian saringan air kencing, bagaimanapun setelah siasatan dijalankan polis mendapati suspek menyimpan motosikal yang dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, dari semakan dijalankan terhadap enjin serta casis motosikal terlibat, ia dilaporkan hilang di Kuala Ketil sebelum ini.

Menurutnya, suspek mengaku menerima motosikal itu dari seorang rakan yang menjadikan motosikal itu sebagai cagaran kerana mahu meminjam wang sebanyak RM200 darinya.

"Rakan yang meminjam wang terbabit memberikan motosikal itu kepada kedua-dua suspek untuk dijadikan sebagai cagaran," katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, pihaknya ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya jangan sesekali mempercayai sekiranya ada rakan atau orang dikenali ingin menjadikan motosikal atau apa sahaja jenis kenderaan bagi tujuan meminjam duit.

Katanya, selain itu, pihaknya juga menasihatkan mana-mana premis sewa kenderaan supaya lebih berhati-hati apabila menerima motosikal yang dicagarkan oleh pelanggan ketika menyewa kereta.

"Pastikan motosikal yang dicagarkan mempunyai geran asal serta cukai jalan. Sekiranya polis membuat serbuan dan mendapati motosikal itu mencurigakan, kami akan meminta pemilik premis mengemukakan geran motosikal terlibat.

"Sekiranya gagal, polis akan membuat semakan terhadap nombor enjin dan casis motosikal terlibat. Jika motosikal itu dilaporkan hilang, polis akan menahan pemilik premis untuk membantu siasatan,” katanya.

Tragedi ke majlis kahwin

Keadaan van dan kereta yang rosak akibat terlibat dalam kemalangan semalam.
Keadaan van dan kereta yang rosak akibat terlibat dalam kemalangan semalam.
IPOH - Perjalanan 10 sekeluarga ke majlis perkahwinan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan melibatkan van dan kereta di Kilometer 249.2 Lebuhraya Utara Selatan berhadapan Hentian Rehat dan Rawat Sungai Perak (arah selatan), awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa, Salmah Ahmad, 46, dari Batu Kurau dan Jimah Md Nata, 61, dari Aulong, yang menaiki van jenis Toyota bersama lapan ahli keluarga lain dalam perjalanan ke Rawang sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Mereka sekeluarga dipercayai bertolak kira-kira jam 1 pagi dari Kamunting untuk menghadiri majlis perkahwinan di Rawang.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Honda City yang dinaiki dua lelaki hilang kawalan lalu merempuh belakang van berkenaan.

Rempuhan itu mengakibatkan mangsa yang duduk di belakang van cedera parah sebelum disahkan maut di tempat kejadian, sementara lapan penumpang lain bersama pemandu dan penumpang kereta mengalami cedera ringan.

Mangsa, Long Ngah Abu Bakar, 57, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga lain nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman.

“Masa itu lebih kurang jam 1.45 makcik terjaga bila dengar bunyi dentuman kuat. Makcik turun dari van dan hanya terasa kaki serta badan sakit.

“Makcik kemudiannya segera menjauhkan diri dari kawasan kemalangan apabila melihat minyak kereta bocor kerana bimbang kereta akan terbakar,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hindon Mahmud berkata, dia hanya menyedari kemalangan itu apabila kepalanya terhantuk di van itu.

“Saya cuma lihat jambatan dan apa yang berlaku kemudian saya tidak ingat kerana terasa sakit akibat kemalangan itu,” katanya.

Mereka yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat, manakala mereka yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Superintendan Alias Seman mengesahkan kejadian dan memaklumkan, punca kemalangan masih dalam siasatan.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika musim hujan.

Mekanik maut nahas

Motosikal milik mangsa yang rosak teruk selepas terlibat kemalangan.
Motosikal milik mangsa yang rosak teruk selepas terlibat kemalangan.
KULIM - “Tak payah hantar motosikal ke kedai bermula 12 September ni kerana aku tak ada lagi di sini,” antara ungkapan seorang mekanik kepada pelanggan sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Tungku Putra berhampiran Stadium Mini Keladi kira-kira jam 10.50 pagi kelmarin.

Mangsa yang berusia 55 tahun menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan ke Kilang Lama untuk membeli alat ganti motosikal.

Setibanya di tempat kejadian, mangsa cuba mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba membuat pusingan U di sebelah kanan jalan.

Mangsa cuba mengelak dan terbabas di lorong sebelah kiri jalan sebelum digilis lori pasir yang datang dari arah belakang.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, pemandu lori cuba mengelak bagaimanapun tayar belakang lori menggilis paha mangsa.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Kulim dan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.

Sumber polis berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melibatkan kemalangan maut.

Pencuri sekolah tinggalkan nota

Keadaan dokumen yang berselerak selepas pejabat SRA Sri Cheeding yang dipecah masuk.
Keadaan dokumen yang berselerak selepas pejabat SRA Sri Cheeding yang dipecah masuk.
SEPANG - “Terima kasih. Welcome. Jangan marah nak cari RM500 aje”, itulah nota yang ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab memecah masuk pejabat dan bilik mesyuarat Sekolah Rendah Agama Sri Cheeding awal pagi, kelmarin.

Kejadian disedari oleh seorang guru kira kira jam 8.30 pagi mendapati pintu gril pejabat serta bilik mesyuarat telah diumpil dan keperluan pejabat berselerak.

Adun Telok Datok, Loh Chee Heng berkata, beliau dimaklumkan sebuah almari yang berkunci dan bermangga itu turut dikopak dan dokumen penting di dalamnya turut berselerak.

Menurutnya, lebih kesal apabila satu nota ditulis di bilik guru besar seolah-olah pencuri terbabit mahukan duit semata-mata bukan barangan lain.

“Bagaimanapun, kejadian ini membimbangkan pihak sekolah kerana dipercayai dua unit komputer turut hilang.

“Saya pasti motif sebenar adalah duit dan dipercayai juga kumpulan penagih dadah,” katanya.

Chee Heng berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku kerana menyasarkan sekolah untuk merompak.

Katanya, memang sebelum ini sebuah balai raya di kampung yang sama pernah di pecah masuk namun selepas itu tiada lagi kejadian seumpama itu berlaku.

“Apa yang penting semua pihak perlu memainkan peranan untuk meningkatkan keselamatan.

“Pihak berkuasa juga diharapkan dapat menyiasat kejadian itu dengan lebih serius bagi tidak menjadikan sekolah sebagai sasaran,” katanya.

Sementara iti, guru besar sekolah ini, Partimah Bawon ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Jarum sejurus menerima aduan daripada kakitangannya namun beliau enggan mengulas lanjut.

Dua wanita maut nahas dekat R&R Sungai Perak


14 September 2014

IPOH - Dua wanita maut manakala lapan yang lain cedera ringan selepas kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan lain di Kilometer 249.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.

Jurucakap polis berkata dalam kemalangan pada pukul 1.40 pagi itu berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Sungai Perak, Salmah Ahmad, 46, dan Jemah Mat Nata, 61, maut di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah kesan rempuhan itu.

Salmah beralamat di Kampung Kelian Sungai Ava, Batu Kurau, sementara Jemah dari Taman Kami 8, Aulong, Taiping.

"Kenderaan van jenis Toyota yang dinaiki kesemua mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai telah hilang kawalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata van tersebut dalam perjalanan dari Kuala Kurau, dekat sini, menuju ke Rawang, Selangor membawa 10 orang termasuk pemandu manakala Honda yang dinaiki dua orang itu pula dari Pulau Pinang ke Ipoh.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Mangsa yang cedera ringan dibawa ke hospital sama dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, katanya. - Bernama

Penoreh getah ditemui mati disyaki dibunuh


14 September 2014


TAMPIN - Seorang penoreh getah ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah disyaki dibunuh di sebuah kebun getah di Ladang 300 Ekar, Air Kuning Selatan dekat sini, pagi tadi.

Mayat K. Arumugam, 50, ditemui pada kira-kira 2 pagi oleh majikannya dengan kesan luka di bahagian kepala dan belakang badan serta muka berdarah.

Selain itu, terdapat kesan tompokan darah kira-kira 10 meter dari mangsa.

Difahamkan mangsa telah bekerja dengan majikannya sebagai penoreh getah sejak empat tahun lalu dan baharu mengembala kambing sejak tiga bulan lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Khoo Leng Huat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.  

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran.  - Bernama

Cuaca buruk halang operasi menyelamat



BEBERAPA penduduk tempatan menaiki sebuah bot melintasi kawasan perumahan yang musnah akibat banjir di pinggir Multan, Kashmir, India kelmarin.


NEW DELHI - Operasi menyelamat mangsa banjir yang dianggarkan berjumlah lebih 150,000 orang di wilayah Kashmir terjejas akibat hujan lebat yang kembali melanda semalam, kata polis.
Kejadian itu telah mengorbankan lebih 200 orang di India menjadikan yang terburuk dalam dekad ini, manakala 149,000 mangsa berjaya dipindahkan ke kawasan selamat oleh pasukan tentera.
Pasukan Tentera Udara India terpaksa menghentikan sementara operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di Srinagar, lapor agensi penyiaran NDTV.
Semua operasi udara yang berpengkalan di Jammu juga terpaksa dihentikan akibat cuaca buruk.
Sebanyak 80 buah pesawat dan helikopter terlibat dalam operasi ini.
Cuaca buruk dikhuatiri akan menambah kesukaran mangsa yang terkandas dan kini terbiar tanpa kemudahan.
Agensi berita IANS pula melaporkan, Ketua Menteri Negeri, Omar Abdullah berkata, banjir tersebut merosakkan harta benda termasuk kemudahan awam yang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM3.1 bilion).
Sebahagian kawasan di Srinagar kini bagaimanapun telah menerima semula bekalan kuasa elektrik, namun sistem komunikasi dan laluan lebuh raya masih tidak dapat digunakan. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3DKvq6ts7 
Hakcipta terpelihara 

Ebola ragut nyawa doktor keempat di Sierra Leone



PEKERJA kesihatan membakar peralatan yang digunakan bagi merawat pesakit Ebola di tengah Conakry di Guinea kelmarin.


FREETOWN - Seorang lagi doktor meninggal dunia menjadikan doktor keempat maut semasa berkhidmat merawat mangsa-mangsa yang dijangkiti wabak Ebola, kata seorang pegawai kerajaan semalam.
Ketua Pegawai Perubatan, Dr. Brima Kargbo berkata, mangsa, Dr. Olivet Buck meninggal dunia kelmarin sejam selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan pihaknya tidak dapat membantu membawa mangsa ke Jerman bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sierra Leone sebelum itu telah meminta dana daripada WHO untuk membawa mangsa ke Eropah kerana tidak mahu kehilangan doktor yang maut akibat wabak tersebut.
WHO bagaimanapun tidak berjanji dapat memenuhi permintaan itu, namun berusaha untuk memberikan penjagaan yang terbaik terhadap Buck di Sierra Leone termasuk akses penggunaan ubat-ubatan yang masih dalam percubaan.
Wabak Ebola yang merebak melalui sentuhan dengan badan pesakit yang dijangkiti memberi risiko kepada jururawat dan doktor terutama jika tidak menggunakan vaksin atau rawatan yang diluluskan.
Lebih 300 orang pekerja kesihatan telah dijangkiti wabak Ebola di Guinea, Liberia dan Sierra Leone dengan separuh daripada jumlah itu telah disahkan meninggal dunia, kata WHO.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku kekurangan doktor dan jururawat di beberapa buah negara di Afrika Barat yang banyak kehilangan anggota kesihatan mahir.
Setakat ini, hanya pegawai perubatan dan anggota pasukan bantuan dari negara asing yang dipindahkan dari Sierra Leone dan Liberia untuk menerima rawatan ke luar negara atau pulang ke negara masing-masing.
Doktor Sgeik Humarr Khan menjadi doktor pertama yang disahkan meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Ebola sewaktu menerima rawatan di Eropah pada hujung Julai lalu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3DKvIkC3D 
Hakcipta terpelihara 

Terjun lepas bunuh kawan


Sibu: Akibat terdesak, seorang pekerja kapal warga Myanmar dipercayai terjun dari tingkat empat bangunan rumah kedai di Jalan Lanang, di sini, selepas membunuh dua rakan sekerja, kelmarin.
Difahamkan, suspek yang tidak sedarkan diri selepas terjun dari bangunan itu dilaporkan stabil dan sudah ditahan polis. 
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, suspek warga Myanmar berusia 32 tahun itu mabuk dan bergaduh dengan rakan senegaranya, Kyaw Aye Tun, 34, sebelum menikam mangsa dengan sebilah pisau. 

Sumber berkata, seorang rakan sekerja mereka, Ponnana Ganesh, 25, dari India, yang menyaksikan kejadian itu menegur suspek dan cuba meleraikan pergaduhan.
Foto
POLIS mengangkat mayat warga asing yang dibunuh rakan senegara di Sibu.

Bagaimanapun, katanya, suspek yang berang dengan campur tangan Ponna, menyerangnya dan menikamnya dengan pisau.

“Apabila terdengar bunyi bising, rakan mereka pergi melihat apa yang berlaku dan nampak suspek memegang pisau berlumuran darah serta dua lelaki cedera parah. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Memang dasar khianat


Shah Alam: Sekumpulan penjenayah sempat memberi amaran kepada penduduk supaya tidak campur tangan sebelum membakar beberapa kenderaan di kawasan meletak kenderaan pangsapuri Seksyen 16, di sini, kelmarin.
Seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika dia dan beberapa penduduk lain berada di bahagian bawah pangsapuri terbabit. 
Menurutnya, beberapa kenderaan pacuan empat roda tiba-tiba memberhentikan kenderaan di hadapan mereka. 

“Beberapa lelaki kemudian keluar dari kenderaan sebelum menuju ke arah kami sambil mengacukan besi dan parang. Mereka menyuruh kami pergi ke tempat lain kalau tidak mahu dicederakan.
Foto
ANGGOTA bomba memadamkan saki-baki api yang terdapat pada bahagian enjin kereta yang dibakar.

“Mereka kemudian membakar sebuah lori yang diletakkan di tempat letak kenderaan serta beberapa kereta lain yang berada berdekatan lori itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian, semalam.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Puluhan ribu penduduk masih terperangkap dalam banjir


Ratusan ribu penduduk masih terperangkap dalam banjir, memerlukan bantuan selepas bencana itu, melanda wilayah Himalaya berkenaan, termasuk negara jiran, Pakistan.
Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat kini meragut sekurang-kurangnya 480 nyawa di kedua-dua negara itu dengan pasukan penyelamat berusaha menangani bencana paling buruk pernah berlaku dalam masa empat dekad.
Selepas cuaca cerah selama beberapa hari, hujan lebat diiringi dengan ribu petir menggangu operasi menyelamat.
Baik di India mahupun di Pakistan, pasukan menyelamat menggunakan bot dan helikopter untuk menghantar bekalan bantuan makanan dan memindahkan mangsa.
“Cuaca amat buruk.
Kami terpaksa menghentikan operasi untuk seketika dan menanti cuaca bertambah baik,” kata jurucakap tentera udara India, Gerard Galway.
Seorang pegawai di Srinagar, Syed Abid Rasheed Shah berkata, hujan yang kembali melanda itu juga mencetuskan masalah baru kepada ratusan ribu mangsa yang tidak mempunyai tempat berteduh sempurna, di samping mencetuskan kebimbangan mengenai penyakit.

Menurutnya, di beberapa kawasan, ada mangsa yang tinggal di khemah tidak kalis air.
Foto
SEORANG lelaki membawa barangan peribadi dari rumahnya di Srinagar, semalam.

Di Kashmir India, penduduk menyuarakan kemarahan kerana terlalu lewat menerima bantuan.
Beberapa anggota penyelamat diserang.
Kerajaan India menganggarkan sekurang-kurangnya 200 orang mati dan 142,000 diselamatkan di kawasan pedalaman.
Di Pakistan pula, kira-kira 280 orang maut akibat hujan lebat dan banjir di Punjab, Kashmir dan Gilgit Baltistan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15