Search This Blog

Friday, September 12, 2014

UPSR bocor: Pengarah, Timbalan Pengarah Operasi LPM digantung tugas - TPM



TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
LAOS: Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr Naimah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr Wan Ilias Saleh digantung tugas dalam tempoh siasatan berkuatkuasa serta merta berikutan insiden kebocoran soalan UPSR.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengumumkan perkara itu hari ini, berkata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Misrah Ibrahim, akan menjalankan tugas dan tanggungjawab Pengarah LPM.
"Dalam kes ini Pengarah LPM perlu bertanggungjawab kerana sudah menjejaskan integriti Kementerian Pendidikan.
"Siasatan akan dijalankan dengan telus dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bersalah.
"Walaupun terdapat sistem kawalan yang baik, perbuatan tidak amanah dan khianat ini membuatkan anak-anak kita tertekan dan ibu bapa tidak keruan akibat insiden ini," katanya.

Pistorius disabitkan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat

Gambar fail Reeva Steenkamp, teman wanita Oscar Pistorius yang mati ditembak.
PRETORIA: Olahraga selebriti Oscar Pistorius didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat dengan menembak mati teman wanitanya Reeva Steenkamp.
Sehari selepas Pistorius dilepaskan daripada tuduhan membunuh yang lebih serius, Hakim Afrika Selatan Thokozie Masipa berkata Pistorius bertindak secara "cuai" ketika melepaskan empat tembakan ke arah pintu tandas berkunci pada awal pagi Hari Valentine 2013.
Atas tuduhan membunuh, Masipa berkata: "tertuduh didapati tidak bersalah dan dilepaskan, sebaliknya dia didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat."
Masipa menambah: "Bagi orang yang waras boleh menjangka sesiapa juga yang berada di belakang pintu itu boleh terbunuh akibat tembakannya dan dia sepatutnya mengambil langkah untuk mengelakkannya dan tertuduh gagal melakukannya."
Hakim dijangka menjatuhkan hukuman ke atas Pistorius dalam beberapa minggu dari sekarang dan dengan ketiadaan hukuman mandatori bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat, Masipa perlu menggunakan budi bicaranya.
Pistorius juga didapati bersalah atas satu daripada tiga tuduhan senjata api.
Masipa berkata Pistorius disabit dengan kesalahan menggunakan sepucuk pistol dengan cuai di sebuah restoran tetapi dilepaskan daripada dua tuduhan senjata api.
Pistorius didapati bersalah meminta untuk melihat sepucuk pistol di restoran Tasha dan ketika membeleknya di bawah meja, pistol itu terlepas tembakan.
"Dia mungkin tidak memetik picu pistol itu dnegan sengaja...tapi itu tidak melepaskannya daripada jenayah mengendalikan senjata api dengan cuai," kata Masipa.
Hakim bagaimanapun melepaskannya daripada tuduhan memiliki senjata api dengan secara haram, yang didakwa milik bapanya.
Oscar Pistorius tiba di mahkamah Pretoria, Afrika Selatan hari ini. - Foto EPA
Beliau juga berkata tiada bukti mencukupi untuk menyabitkan Pistorius di atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah bumbung tidak kalis cahaya sebuah kereta. -AFP

Lelaki direman dua hari bantu kes rempuh DUN Pulau Pinang

JUMAAT, 12 SEPTEMBER 2014 @ 5:33 PM
GEORGETOWN: Seorang lelaki ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu merempuh pagar utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Lebuh Light di sini, Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash, berkata perintah tahanan reman terhadap lelaki itu berusia 43 tahun daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zon Utara, bagi membolehkan polis mengambil keterangan dan menjalankan siasatan.

"Lelaki itu adalah orang terakhir yang dicari bagi membantu siasatan kes, ditahan petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas hadir untuk memberi keterangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Insiden rempuh masuk bangunan DUN oleh sekumpulan pemuda pada 21 Mei lalu bertujuan mencari ADUN Seri Delima RSN Rayer yang mengatakan 'UMNO Celaka' dalam ucapannya pada persidangan DUN sehari sebelum itu.



Kumpulan itu bertindak demikian bagi mendesak Rayer memohon maaf kerana mengeluarkan perkataan kesat.

Berikutan kejadian itu, 15 individu didakwa di Mahkamah Majistret George Town mengikut Seksyen 448 Kanun keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Kashmir ditenggelami banjir besar

SRINAGAR: Bandar raya utama di Kashmir India 'ditenggelami' banjir sepenuhnya' hari ini berikutan hujan lebat yang turut menjejaskan kira-kira dua juta orang di sempadan Pakistan.
Kejadian banjir paling buruk itu juga menjejaskan industri kapas di negara berkenaan.
Banjir di Kashmir berlaku berikutan hujan lebat yang turut menenggelamkan beribu-ribu kampung dan kawasan perladangan di Pakistan.
Lebih 450 terbunuh dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Pakistan (NDMA) berkata kira-kira dua juta orang terjejas dengan banjir itu - angka meliputi mereka yang terkandas di rumah dan yang lari menyelamatkan diri.
Lebih 14,000 orang dipindahkan dari pekan dan kampung di sekitar Punjab, kawasan paling ramai penduduk dan paling mewah di Pakistan. - AFP

Isteri di luar, suami di tilam


Nilai: Sepasang suami isteri warga Indonesia ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul di pondok ladang buah naga, dekat Jalan Batu 11 1/2, Mantin, semalam.
Pasangan buruh berusia 30-an terbabit ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh pemilik ladang berkenaan jam 12.30 tengah hari.

Lebih menyayat hati, wanita terbabit yang dipercayai hamil ditemui telentang di luar pondok manakala suaminya pula mati dalam keadaan tertiarap atas tilam.
Pemilik ladang, Tan Chong Kok, 44, berkata, dia dan isterinya menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux pergi ke ladang itu untuk mengutip buah naga, namun sebaik tiba pasangan terbabit tidak membuka pintu pagar seperti kebiasaan.

“Saya membunyikan hon beberapa kali, tetapi mereka tidak keluar untuk membuka pintu pagar. Saya menunggu hampir 10 minit, namun mereka tidak juga kelihatan menyebabkan saya menyuruh isteri masuk mencari mereka.

“Isteri saya tiba-tiba menjerit memanggil saya dan memberitahu bahawa pekerja kami ditemui terbaring berlumuran darah,” katanya di lokasi kejadian, semalam.
Foto
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital.
Dia berkata, selepas memeriksa dan mengesyaki kedua-dua pekerjanya dibunuh, dia segera ke Balai Polis Mantin untuk melaporkan penemuan itu bagi siasatan lanjut.

Tan berkata, pasangan suami isteri itu difahamkan berasal dari Lombok, Indonesia dan bekerja di ladang seluas 1.4 hektar miliknya itu sejak lebih setahun lalu.
“Kali terakhir saya berjumpa mereka Isnin lalu ketika datang mengutip buah. Mereka memang tinggal di pondok yang disediakan dalam ladang berkenaan sejak mula bekerja dan kedua-duanya baik hati dan rajin bekerja,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Superintendan Khoo Leng Huat ketika ditemui di lokasi kejadian memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui motif kejadian itu.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7583222 atau Pegawai Penyiasat, Deputi Superintendan Affendy Sulaiman di nombor talian 012-6788174,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori dengan sebuah kereta di jalan Paloh Hinai - Segamat

BERHATI-HATI DI JALAN RAYA
Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori dengan sebuah kereta di jalan Paloh Hinai - Segamat pada pagi tadi. Gambar kiriman 'Raja Unta', fan FB Polis Pahang.

Tetak kepala bapa dengan parang

Tertuduh (kanan) dikawal polis keluar dari mahkamah dan akan ditahan sementara kes disebut semula.
Tertuduh (kanan) dikawal polis keluar dari mahkamah dan akan ditahan sementara kes disebut semula.
KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku tidak salah atas tuduhan menetak bapanya di kepala dengan parang, di mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Aqram Mhd Ariffin, 25, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bapanya itu di alamat Jalan Bukit Buloh, Pulai Chondong, Machang.

Dia didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Mhd Ariffin Awang, 56, dengan menggunakan sebilah parang pada jam 8.30 pagi, 5 September lalu.

Pada prosiding itu, tertuduh memohon dibicarakan dan memberitahu mahkamah bahawa dia tindak dapat mengingati apa-apa yang berlaku ketika itu.

Hakim, Mohd Yusoff Yunus kemudian menetapkan sebutan semula pada 15 Oktober depan. Sementara tertuduh tidak dibenarkan jaminan.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Hilwani Mat Rifin, manakala, tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Terdahulu, susulan penafian daripada tertuduh, Intan memohon kes berkenaan ditangguhkan sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Dalam kejadian lalu itu, Mhd Ariffin dikatakan berada di dalam rumah dan secara tiba-tiba didatangi tertuduh dari luar rumah dengan memegang sebilah parang.

Mhd hanya sempat bertanya ‘nak apa’ kepada anaknya itu sebelum tertuduh menyerangnya dengan tetakan parang di kepala sehingga dia mendapat kecederaan parah. Tertuduh didakwa sudah lama ketagihan dadah.

Warga emas maut kereta bertembung treler


12 September 2014

PEKAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 64 Jalan Kuantan-Segamat di Paloh Hinai dekat sini, pagi tadi.
 
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata Samsudin Chik, 60, dari Taman Sri Inderapura, Kuantan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
 
Kejadian 8.15 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Segamat, Johor.
 
Ketika memandu di laluan berselekoh itu, Samsudin dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler itu menyebabkan keretanya terbabas manakala treler yang membawa muatan kayu itu terbalik di tengah jalan, katanya di sini.
 
Yahaya berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Paloh Hinai mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mayat Samsudin sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
 
Pemandu treler, Azizi Suboh, 29, cedera ringan di tangan kiri dan dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Paloh Hinai.
 
Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Pemandu teksi mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak 12 tahun

JUMAAT, 12 SEPTEMBER 2014 @ 12:12 PM

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di Jalan Bukit Teh, Machang Bubok di sini, pada 24 Ogos lalu.

Mohd Hilmi Noor, 53, membuat pengakuan itu di hadapan hakim, Musyiri Peet dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hilmi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap murid tahun enam itu dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Machang Bubok di sini, jam 5.30 petang pada 24 Ogos lalu.



Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ramlan. Sementara tertuduh diwakili, Zainal Akram Zainal Azhar.

Demokrasi jadi alat 'serang' Islam


Oleh Mohd Izani Mohd Zain

Tragedi serangan terhadap WTC beri tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa AS sebagai pencetus siri keganasan atas nama Islam.
Pernahkah kita terfikir bagaimana Islam boleh berkonflik dengan Barat? Islam adalah agama sedangkan Barat adalah blok atau kumpulan negara dan bukannya agama. Begitu juga dalam konteks politik dan pemerintahan, penggunaan istilah Islam dan demokrasi digunakan. Ada yang mempersoalkan bagaimana Islam boleh digandingkan dengan sebuah sistem politik ciptaan manusia yang terdedah dengan kekurangan?
Tidak dinafikan, terma Islam dan Barat atau Islam dan demokrasi sering kali dipilih bagi menggambarkan sebuah hubungan, juga pertembungan antara kedua-dua belah pihak. Ini kerana antara Islam dan Barat atau demokrasi, ia mewakili sejarah, pemikiran, budaya dan nilai yang berbeza. Lebih-lebih lagi demokrasi yang lahir di bumi Barat, telah membawa segala idea kemajuan yang berpaksikan kepada pembangunan dan pemodenan.
Dalam konteks masa kini, demokrasi telah menjadi satu jenama Barat yang semakin diterima baik, malah di beberapa tempat, bersikap tidak demokratik dianggap sebagai satu kesalahan besar, berbanding tidak menjalankan tuntutan agama. Demokrasi disinonimkan dengan hak dan kebebasan, manakala agama pula amanah dan tanggungjawab yang dianggap membebankan. Malah, jika demokrasi sekalipun, ia mesti mengikut acuan dan selera Barat. Bukan demokrasi yang diubah suai, tetapi demokrasi salinan Barat.
Demokrasi acuan kita
Demokrasi sering kali dilihat mempunyai satu bentuk sahaja iaitu yang ditentukan oleh falsafah dan ideologi Barat. Dalam hal ini, hegemoni demokrasi Barat yang liberal amat kental dan mempengaruhi dalam konteks pelaksanaannya seperti soal hak asasi manusia dan kebebasan individu. Malaysia tidak terlepas dalam soal ini apabila sering disorot dan dibandingkan pelaksanaan demokrasinya mengikut perspektif Barat.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam serta masih sensitif dengan nilai dan budaya tempatan, demokrasi ala Barat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.
Di sinilah letaknya kepentingan demokrasi diterjemahkan dalam konteks Islam yang meletakkan al-Quran dan as-sunah sebagai panduan, bukannya telunjuk dan ideologi Barat. Dalam erti kata lain, hegemoni terhadap demokrasi oleh Barat yang berpaksikan fahaman liberal dan kebebasan individu hendaklah dilunturkan dan diganti dengan prinsip dan nilai Islam.
Islam perlu memimpin demokrasi agar demokrasi terpimpin ini tidak terpisah dengan agama dan tradisi Islam. Dalam hal ini, Al-Maududi pernah memperkenalkan konsep theo-democracy iaitu demokrasi yang berasaskan agama. Konsep ini jelas menonjolkan peranan agama dalam memandu demokrasi, dan ia berbeza dengan demokrasi ala Barat yang lebih mengutamakan kehendak manusia dan kebebasan individu.
Maududi percaya bahawa demokrasi hanya boleh diterima jika sistem politik dari Barat itu berlandaskan agama atau 'lingkungan' yang telah ditetapkan oleh Islam.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna umat Islam dihalang untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri. Mereka boleh mencari jalan penyelesaian atau hukum terhadap sesuatu perkara yang tidak diputuskan secara langsung dalam al-Quran mahupun as-sunah. Malah dalam Islam, perkara yang dikategorikan sebagai siyasi iaitu cara untuk memerintah kerajaan dan menyelesaikan konflik, umat Islam diberikan kebebasan untuk mencari jalan penyelesaiannya dengan syarat ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-sunah.
Berbeza dengan perkara yang dikategorikan sebagai adini iaitu hal yang berkaitan dengan akidah (kepercayaan), ibadah (penyembahan) dan akhlak (tingkah laku), umat Islam mesti menerima apa juga ketetapan yang telah diputuskan dalam al-Quran dan as-sunah. Mereka tidak diberikan kebebasan untuk menentu dan mengubah tentang apa yang telah diputuskan berkaitan tentang ketiga-tiga perkara itu.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi dalam perlembagaan negara, Malaysia wajar mendefinisikan demokrasi mengikut acuan Islam selain mengambil kira tuntutan nilai timur dan budaya tempatan. Pandangan ini sebenarnya pernah dilontarkan oleh John L Esposito dalam buku Islam and Democracy, apabila beliau melihat demokrasi adalah satu sistem politik yang sentiasa berubah, boleh diperdebatkan dan tidak hadir dalam satu bentuk sahaja.
Malah, beliau menyarankan demokrasi perlu digabungkan dengan nilai dan budaya tempatan termasuk faktor Islam dalam konteks ini. Pendekatan ini pastinya akan menjadikan demokrasi itu lebih 'dekat' dengan aspirasi Islam dan relevan dalam konteks pelaksanaannya di Malaysia.

Kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir walaupun melalui proses pemilihan secara demokrasi, dihalang untuk terus memerintah.
Tolak idea kemajuan Barat
Tragedi 11 September 2001 telah memperkukuhkan kedudukan demokrasi selain Amerika Syarikat (AS) di peringkat global. Hegemoni Barat yang didalangi oleh AS telah dirobek selepas serangan terhadap World Trade Centre (WTC) dan sebahagian bangunan Pentagon. Ketika itu, AS tanpa mengambil masa yang panjang telah melancarkan kempen Perang Global Menangani Keganasan atau 'Global War Against Terror' (GWAT).
Meskipun kempen ini pada awalnya mahu memberi tekanan kepada kumpulan Al-Qaeda yang didakwa menjadi pencetus kepada siri keganasan atas nama Islam, tetapi kesannya menjalar kepada pergerakan Islam yang mengambil pendekatan sederhana, juga keseluruhan umat Islam. Situasi ini sebenarnya didorong oleh pendirian Barat yang melihat umat Islam adalah kumpulan yang bersifat monolitik atau seragam.
Sikap pukul rata ini memberi gambaran buruk kepada Islam sehingga agama dilihat sebagai satu elemen yang mendorong kepada keganasan. Dasar dan pendekatan beragama dianggap satu langkah berbahaya dan terkebelakang yang akan menolak keadilan dan kebebasan manusia.
Bagi Barat, demokrasi tidak hanya datang membawa pilihan raya, sebaliknya, ia datang bersama idea kemajuan yang mencabar peranan agama dengan mengagungkan proses rasionalisasi, konsep kekayaan material, pembebasan daripada kongkongan adat, pemisahan politik daripada agama serta kemampuan sains dan teknologi yang berjaya membekalkan manusia dengan keupayaan untuk menguasai dirinya dan alam sekeliling. Mana-mana negara yang menerima demokrasi, tetapi menolak idea kemajuan ini akan dianggap tidak membawa aspirasi asal Barat.
Justeru, kemenangan parti Islam dalam pilihan raya di beberapa negara dinafikan kerana mereka menggugat nilai demokrasi asal dan selera Barat. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sebelum itu Parti Refah di Turki, Front Islamique Salvation (FIS) di Algeria dan Hamas di Palestin. Hak mereka untuk memerintah dihalang walaupun telah menggunakan proses demokrasi melalui pilihan raya yang sah.
Faktor demokrasi yang tidak berisiko memperlihatkan kerajaan hanya menerima demokrasi selagi demokrasi itu tidak membawa risiko apa-apa terhadapnya. Sebagai contohnya, kerajaan tidak bersedia menerima kemenangan daripada parti Islam meskipun pada awalnya menerima penyertaan parti itu dalam proses demokrasi melalui pilihan raya.
Sikap tidak adil ini bukan sahaja tidak demokratik, malah lebih buruk daripada itu, ia mendorong kepada kelahiran kumpulan pengganas yang sudah tidak lagi mempercayai demokrasi dan pilihan raya. Apabila demokrasi disekat, keganasan politik akan berlaku dan inilah sebenarnya yang mahu dilihat oleh Barat, iaitu Islam menganjurkan keganasan.
Pluralisme demokrasi dan kepelbagaian agama
Barat amat konsisten mempromosikan kebebasan atas nama demokrasi. Kini Barat tidak perlu lagi runsing kerana agenda itu dilakukan sendiri oleh umat Islam, khususnya golongan intelektual. Sebahagian mereka ditaja melalui dana penyelidikan antarabangsa yang besar dengan tujuan mempromosikan demokrasi, kebebasan dan keadilan yang mutlak dan meminggirkan peranan agama.
Kumpulan intelektual ini sememangnya digemari oleh Barat dan melalui suntikan dana penyelidikan, mereka menjadi jurucakap dan diberi pentas yang besar dalam mempromosikan 'Islam'. Kumpulan ini bukan semua berlatarbelakangkan agama, tetapi dengan kemampuan berbahasa Inggeris, berketrampilan dan sikap toleransi yang melampau, mereka mentafsir Islam menggunakan logik akal tanpa menggunakan sumber tertinggi, iaitu al-Quran dan as-sunah.
Fenomena pluralisme demokrasi dan kepelbagaian agama masa kini memburukkan lagi keadaan. Bagi mereka, sudah tidak ada kebenaran mutlak dalam Islam dan semua boleh disanggah dan diberi penafsiran yang pelbagai. Lebih malang, atas nama meraikan kepelbagaian, umat Islam dikelirukan dengan hujah dan logik akal mereka.
Ini termasuk memperjuangkan hak atas nama kebebasan dan demokrasi. Anehnya, mereka langsung tidak bercakap soal tanggungjawab atau sekurang-kurangnya mencari keseimbangan antara hak dan tanggungjawab. Sebaliknya, mereka melihat menuntut hak itu lebih besar dan mulia daripada memperingatkan soal tanggungjawab.
Sedangkan dalam konteks Islam, kita dilahirkan dalam keadaan berhutang kerana dianugerahkan nyawa dan kehidupan oleh Allah SWT. Kita sepatutnya malu kerana melebihkan soal hak dan melunakkan soal tanggungjawab. Bersuara soal hak tidak salah, tetapi ia mestilah seiring dengan tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah SWT yang mempunyai batas dan sempadannya.
Apa yang penting, kita perlu cerdik mendefinisi dan menilai demokrasi mengikut acuan kita, bukan mencedok bulat-bulat dari Barat. Kenapa kita perlu tunduk dengan pendirian Barat sedangkan kita sendiri boleh membuat pilihan? Jika benar demokrasi bercakap soal hak dan kebebasan, kenapa kita tidak boleh menunaikan hak dan kebebasan itu untuk membuat pilihan?
Kebebasan bukanlah kunci utama memahami demokrasi, sebaliknya ilmu dan kebijaksanaan. Keghairahan kita mengejar kebebasan tidak akan membawa ke mana kerana suatu masa nanti, kita akan rebah dan tersungkur. Kebebasan tanpa had dan batas akan merosakkan kita.
Islam bukanlah agama yang mengekang umatnya daripada berfikir dan menyelidik. Jika Islam menghalang, maka tidak lahirlah tradisi ilmu Islam yang kekal sampai sekarang. Islam juga tidak menolak penolak pembaharuan, tetapi agama yang bersifat sejagat dan dinamik yang menjawab persoalan sepanjang hayat. Tugas kita adalah mencungkil kebenarannya dan apa juga kaedah penyelesaian mesti kembali kepada tanggungjawab kita mendaulatkan kesucian dan ketinggian agama.
Barat tidak memerlukan satu lagi tragedi selepas 11 September 2001 untuk melemahkan umat Islam. Ia boleh datang secara proksi dan kejahilan umat Islam sendiri yang melihat Islam itu hanya satu anutan bukan cara hidup yang sempurna.
* Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Jet eksekutif hilang di Republik Dominican

JUMAAT, 12 SEPTEMBER 2014 @ 8:03 AM

 
SANTO DOMINGO, Republik Dominican: Sebuah jet eksekutif dilaporkan hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Las Americas, di sini, hari ini, kata pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Jurucakap Penerbangan Awam, Hector Olivo berkata, pesawat enjin berkembar Hawker Siddeley membuat penerbangan dari Santo Domingo ke Punto Cana di timur negara berkenaan tetapi tidak

sampai ke destinasi.

Olivo berkata, pihak berkuasa melancarkan operasi semalam mencari pesawat berkenaan dan tidak dapat dipastikan jumpa mangsa di dalamnya.



Setakat ini, Agensi Keselamatan Khas Lapangan Terbang berkata, hanya juruterbang dan pembantu juruterbang disahkan berada di dalam jet itu. - AP

'Kes bunuh bukan di Air Putih'

Pengguna media sosial kecoh selepas menerima gambar ini kerana menyangka kes terjadi di Air Putih, Kemaman.
Pengguna media sosial kecoh selepas menerima gambar ini kerana menyangka kes terjadi di Air Putih, Kemaman.
KEMAMAN - Gara-gara maklumat tidak tepat yang tersebar melalui media sosial, penduduk daerah ini gempar kononnya berlaku kes bunuh di Air Putih, pagi semalam.

Menerusi sebaran maklumat menerusi WhatsApp Messenger, kes itu dikatakan berlaku di sebuah restoran berhadapan pejabat pos di Air Putih.

Turut tersebar, gambar mangsa berusia 30 tahun yang terbaring berlumuran darah dan kad pengenalannya yang beralamat di Kampung Sungai Pergam, Hulu Jabor.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Asisten Superintendan Mohd Azlan Yahaya berkata, kes itu sebenarnya berlaku di Jalan Air Putih, Kuantan, Pahang, namun ada sedikit kekeliruan apabila ia disebarkan menerusi media sosial tanpa maklumat lengkap.

“Kita tidak terima sebarang laporan berlaku kes bunuh di Air Putih, namun selepas kes ini diperkatakan dan apabila kita lakukan pemeriksaan, didapati ia terjadi di Jalan Air Putih, Kuantan.

“Justeru, kita mengingatkan pengguna media sosial agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih kerana boleh mencetuskan panik,” katanya.

Justeru, kata Mohd Azlan, pengguna media sosial sepatutnya menyelidik kebenaran sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum dihantar kepada orang lain.

“Masalahnya, penerima sebarkan pula kepada orang lain walaupun maklumat diterimanya tidak lengkap dan mengelirukan.

“Berikutan ada pengguna yang tidak bertanggungjawab, boleh berlaku sebaran maklumat palsu. Contohnya jika ada kes di Johor, tapi penyebar itu menyebarkan gambar dan maklumat dengan mengatakan ia berlaku di Kemaman,” katanya.

Mohd Azlan berkata, jika ada pihak membuat laporan, penyebar maklumat palsu boleh disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kerana menyebabkan panik serta ketidakselesaan masyarakat.

Justeru, kata beliau, orang ramai yang ragu-ragu mengenai sesuatu maklumat terutama melibatkan kes jenayah berat, dinasihatkan agar merujuk balai polis terdekat untuk mendapatkan kesahihan.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh melayari laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk mendapatkan sebarang maklumat atau berinteraksi dengan pihak polis.

Lori tangki rempuh plaza tol

Plaza tol di lorong kedua rosak dirempuh lori tangki yang turut melanggar tiga kenderaan dalam nahas kira-kira jam 3.40 pagi di LPT2 dekat Jabor.
Plaza tol di lorong kedua rosak dirempuh lori tangki yang turut melanggar tiga kenderaan dalam nahas kira-kira jam 3.40 pagi di LPT2 dekat Jabor.
JABOR – Seorang pekerja kontrak yang nyenyak tidur dalam kenderaan berdepan detik cemas apabila keretanya bersama dua kenderaan lain yang berada di tempat parkir, dirempuh sebuah lori tangki dalam kejadian di Plaza Tol Jabor, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), pagi kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 3.40 pagi itu, lori tangki tersebut terlebih dahulu melanggar plaza tol di lorong kedua menyebabkan kaunter tiket ranap.

Kenderaan berat tersebut kemudiannya melencong ke kiri lebuh raya sebelum menyeret sebatang pokok dan merempuh deretan tiga kenderaan lain, iaitu Proton Wira milik pekerja kontrak terbabit, Honda CRV dinaiki seorang pensyarah dan beberapa pelajar serta Perodua Kelisa.

Bagaimanapun, pekerja kontrak berusia 29 tahun terbabit bersama pensyarah dan beberapa pelajar yang ketika itu berada dalam kenderaan masing-masing, bernasib baik kerana tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, semasa kejadian, pensyarah terbabit baru sahaja berhenti untuk ke tandas, namun belum sempat keluar dari kenderaan, dia dan beberapa pelajarnya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Katanya, nahas itu dipercayai berlaku selepas lori tangki tersebut yang dalam perjalanan dari Port Dickson, Negeri Sembilan menuju ke Kawasan Perindustrian Teluk Kalong secara tiba-tiba gagal dikawal ketika tiba di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, plaza tol yang dirempuh, ditutup, jadi tiada pekerja di dalamnya. Rempuhan kuat menyebabkan pondok itu musnah. Lori tangki tersebut kemudiannya terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok dan deretan tiga kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, pemuda India berusia 31 tahun yang memandu lori tangki tersebut terselamat serta tidak cedera.

Hasil ujian air kencing mendapati, pemandu lori tersebut positif dadah dan ditahan reman selama sehari untuk membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu dengan tidak cermat serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Terkejut jumpa tulang dalam longkang

Anggota bomba melihat ketulan tulang yang ditemui. - Foto Sinar Harian oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN
Anggota bomba melihat ketulan tulang yang ditemui. - Foto Sinar Harian oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN
GEORGETOWN - Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang membuat penyelengaraan di bilik pencawang di Bayan Mutiara, Pantai Jerejak di sini terkejut apabila menemui beberapa ketulan tulang dalam longkang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi, pekerja itu pada mulanya menyangka ia adalah tulang haiwan namun berasa sangsi sebelum melaporkannya kepada polis.

Sebaik menerima laporan,sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian termasuk Unit Forensik dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Difahamkan, polis mengambil beberapa ketulan tulang berkenaan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dianalisa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.

Menurutnya, hasil ujian patologi yang diperolehi mendapati, ia mungkin tulang betis atau peha manusia.

"Pemeriksaan di kawasan kejadian menemui 16 ketulan tulang. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Niat nak pecah masuk, akhirnya terperangkap


11 September 2014
BESUT – Seorang penganggur berumur 17 tahun yang memecah masuk ke dalam sebuah rumah di Kampung Seberang Kastam terpaksa menyorok di atas siling lebih empat jam apabila perbuatannya disedari mangsa pagi semalam.
 
Dalam kejadian yang berlaku pukul 7.00 pagi itu, seorang warga emas Mohamad@Yusof Muda, 68, yang baru bangun dari tidur telah mendapati salah satu daripada bahagian bumbung bilik tidurnya telah dicabut.
 
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Supt Noorzainy Mohd Noor yang mengesahkan kejadian itu memberitahu mangsa yang curiga telah pergi di luar rumahnya dan telah menjumpai sebuah motosikal jenis Yamaha 125 berwarna hitam diletakkan berhampiran rumahnya.
 
Katanya mangsa yang mula mengesyaki sesuatu telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja.
 
“Polis yang datang memeriksa ke rumah mangsa berjaya telah menemui suspek sedang bersembunyi di atas siling rumah mangsa dalam keadaan keletihan dengan keadaan badannya berpeluh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Menurutnya suspek kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis Kampung Raja untuk ujian air kencing dan didapati beliau positif methamphetamine.
 
Turut ditemui daripada suspek sebiji pil yaba dipercayai dadah, satu tiub lutsinar mengandungi serbuk kristal cerah dipercayai syabu. - Bernama

Kejar penyerang walaupun cedera

Idris (kiri) meluangkan masa melawat Siti Irina di Hospital Melaka, malam kelmarin.
Idris (kiri) meluangkan masa melawat Siti Irina di Hospital Melaka, malam kelmarin.
MELAKA - Penuntut perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Alor Gajah yang cedera ditikam dalam kejadian samun awal pagi kelmarin dilaporkan stabil selepas menerima rawatan lanjut di Hospital Melaka.
Mangsa, Siti Irina Ridzwan, 20, yang ditikam beberapa kali di dada dan bahu itu turut berkongsi detik cemas dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi di rumah sewanya didiami bersama empat rakan di Apartment Dimensi di sini.

Siti Irina pelajar tahun tiga jurusan Komunikasi Massa berkata, sebelum kejadian dia sedang tidur dan hanya terjaga selepas menyedari seseorang di dalam biliknya itu.

“Saya bangun dan dalam gelap nampak susuk badan (suspek) dan dia pandang saya sebelum suruh saya diam lalu menikam saya, namun ketika itu saya masih tidak sedar saya ditikam dan cedera.

“Saya kemudian melawan dengan menumbuk bahagian badan dia. Saya cuba kejar dan keluar menuju ruang tamu dan sedar saya cedera apabila darah membuak keluar dan tidak larat berjalan,” katanya di sini, malam kelmarin.

Siti Irina berkata, dia kemudian menjerit memanggil rakan sepengajian lelaki yang tinggal di tingkat bawah melalui tingkap sebelum ke bilik rakan serumahnya untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, ibu Siti Irina, Hasnelly Nilis, 53, berkata, dia terkejut sebaik sahaja dimaklumkan rakan serumah anak bongsu daripada empat beradik itu jam 6.30 pagi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron meminta pihak pengurusan UiTM mengkaji secara terperinci kawalan keselamatan kawasan kediaman pelajar di luar kampus.

473,175 ambil semula subjek bahasa


Putrajaya: Semua 473,175 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negara terpaksa menduduki semula kertas Bahasa Inggeris Kertas 1 dan Bahasa Inggeris Kertas 2 ekoran kertas soalan bocor.

Pengumuman tergempar itu dibuat Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada satu sidang media petang semalam, sekali gus menambah ‘derita’ calon UPSR di seluruh negara selepas terpaksa menduduki semula kertas Science pada 30 September ini.


Idris berkata, kementerian membuat keputusan calon terbabit menduduki semula kedua-dua kertas peperiksaan berkenaan selepas mendapati berlaku kebocoran soalan.



Menurutnya, pihaknya mengesan kertas soalan bocor bagi Bahasa Inggeris Kertas 1 dan Bahasa Inggeris Kertas 2, pagi semalam.


“Apabila sudah lengkap bukti dan menerima sepenuhnya (laporan), baru kita boleh membuat pengumuman mengenai perkara ini.


“Kami hanya mengetahui laporan penuh bagi kebocoran kertas pagi ini (semalam) ketika calon UPSR sedang menduduki peperiksaan kedua-dua kertas itu, semalam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dan Pelancaran Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) di Sektor Pengajian Tinggi (SPT) di sini, semalam.

Kelmarin, Lembaga Peperiksaan (LP) mengeluarkan kenyataan kertas peperiksaan Science 018 (kod bagi Sekolah Kebangsaan), 028 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan 038 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) bagi UPSR dijadualkan berlangsung jam 8.15 hingga 9.30 pagi semalam ditangguhkan pada 30 September susulan kertas soalan bocor.


Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan memohon maaf kepada ibu bapa dan murid kerana terpaksa menghadapi situasi itu dan berharap semua berjalan dengan baik selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Rugi RM600,000 kerana RM1


Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Seorang ahli perniagaan kehilangan RM600,000 selepas diumpan penjenayah dengan taktik menabur beberapa not kertas RM1 di atas jalan.

Dalam kejadian jam 1.15 petang kelmarin, mangsa yang berusia 53 tahun menjadi mangsa tipu helah dua penjenayah berhampiran kawasan Industri Taman Jaya, Balakong, di sini.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejadian jenayah itu dipercayai dilakukan seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai mengekori mangsa dari bank.



Menurutnya, mangsa yang menjalankan perniagaan fabrik dan pakaian dikatakan baru mengeluarkan RM600,000 untuk membayar gaji pekerjanya.


“Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke syarikatnya terkejut apabila mendapati tayar kereta dipandu bocor mendadak.


“Susulan itu mangsa pergi ke sebuah kedai kereta berhampiran untuk menukar tayar keretanya itu,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang menunggu giliran menukar tayar keretanya bagaimanapun terlihat seorang wanita melambai-lambai tangan ke arahnya.


“Wanita itu menunjukkan isyarat tangan seolah-olah mengarahkan mangsa keluar dari kenderaan dan melihat sesuatu di atas jalan.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa keluar dari keretanya sebelum mendapati beberapa keping wang bertaburan di atas jalan tidak jauh dari keretanya,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang leka mengutip wang itu bagaimanapun tidak menyedari seorang lelaki mengambil kesempatan menyusup masuk ke dalam kenderaannya.


“Suspek mengambil beg berisi RM600,000 itu yang diletakkan mangsa di tempat duduk hadapan kenderaan sebelum melarikan diri. “Mangsa menyedari diperdaya apabila mendapatinya beg miliknya ghaib. Mangsa segera membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.


Polis percaya kegiatan jenayah itu dilakukan pasangan warga asing.


“Mangsa yang diambil keterangan mendakwa sudah menjadi kebiasaan dia mengeluarkan wang tunai sebanyak itu pada tarikh berkenaan untuk membayar gaji pekerjanya.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Memang kejam sungguh


Sandakan: Tidak cukup membelasah seorang gadis yang juga rakan sekerjanya dengan batang besi sehingga maut, seorang lelaki turut menanggalkan semua pakaian dan merakam foto mangsa dalam keadaan bogel dalam kejadian di sebuah kilang di Kampung Sungai Kayu, Batu 7, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa Rizma Johan, 20, yang ketika itu masih bernyawa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.


Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama empat rakan sekerjanya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja sebelum suspek meluru dari belakang dan terus menarik rambut gadis berkenaan.



Pada masa sama, suspek memukul kepala mangsa menggunakan batang besi beberapa kali sehingga beberapa rakan sekerjanya cuba membantu dengan menahan suspek daripada terus membelasah gadis terbabit.


Bagaimanapun, suspek tidak mengendahkannya malah turut memukul seorang rakan mangsa menggunakan batang besi sama.


Sebaik mendapati mangsa tidak sedarkan diri, lelaki terbabit menanggalkan semua pakaian mangsa sebelum merakam gambar bogel mangsa sebelum beredar.

Majikan mangsa yang tiba beberapa minit kemudian membawa mangsa ke HDOK untuk rawatan.


Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Suspek berusia 30 tahun yang juga rakan sekerja mangsa ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sandakan, jam 8.30 malam hari sama,” katanya.


"Siasatan lanjut di tempat kejadian turut menemui sebatang besi dipercayai digunakan suspek ketika kejadian," katanya.


Zabidi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Hukuman bapa, dua anak kekal


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan sabitan terhadap seorang bapa dan dua anak atas pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Kemboja, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu dan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Yeow Kim Bok, 55, dan anaknya, Yeow Sheh Yan, 26, serta Yeow Sheh Li, 34.


Beliau juga menolak rayuan seorang penuntut, Mona Ooi Jia Yi, 23, untuk mengetepikan sabitan terhadap pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.



Hakim Mohd Azman dalam keputusannya mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak tersilap apabila mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap semua tertuduh.


Pada 30 Januari 2013, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Yeow dan Sheh Yan manakala Sheh Li dikenakan hukuman penjara setahun atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.


Yeow dan Sheh Yan didakwa memperdagangkan Neak Ban, 26, bagi maksud eksploitasi dengan menggunakan kekerasan atau paksaan terhadap wanita itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Sri Sinar Segambut, Sentul di sini, pada jam 1.30 tengah hari, 3 Ogos 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Tiba-tiba rodok


Oleh Arifin Salleh

Melaka: “Dia tekan dada sambil suruh diam tetapi tiba-tiba merodok dada saya berkali-kali menggunakan benda tajam. Terkejut dengan tindakan itu, saya tumbuk dadanya menyebabkan dia panik dan melepaskan saya,” kata siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Lendu, Siti Irina Ridzwan, 20, yang cedera selepas ditikam lima kali oleh penceroboh rumah sewanya di pangsapuri Taman Dimensi, Lendu, pagi kelmarin.

Siti Irina berkata, dia pada mulanya terkejut melihat lembaga hitam tercegat di depannya sebelum berlaku pergelutan.


“Dalam cahaya samar-samar saya nampak seorang lelaki berbadan sederhana dan bermisai memakai baju gelap menyuruh diam sebelum dia menikam dada saya beberapa kali.



“Saya berlari ke arah tingkap dan menjerit memanggil rakan sekuliah memaklumkan ada orang masuk rumah,” katanya di Hospital Melaka, malam kelmarin.


Siti Irina yang dirawat di hospital itu turut menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron malam kelmarin.


Dia yang ditemani ibunya, Hasnelly Nilis, 53, kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Wad Pembedahan Wanita, Hospital Melaka.

“Sebelum tidur saya buka tingkap sedikit supaya udara luar masuk dan terlelap selepas mengulangkaji pelajaran. Saya terjaga apabila melihat lelaki itu berdiri menghadap ke arah saya,” katanya.


Sementara itu, Idris berkata, beliau bersyukur kerana mangsa kejadian samun bersenjata itu masih mampu tersenyum biarpun melalui detik paling sukar dalam hidupnya.

“Kita semua gembira apabila melihat mangsa masih mampu tersenyum sekali gus melegakan kita semua,” katanya.


Menurutnya, faktor keselamatan di pangsapuri yang kebanyakannya didiami pelajar UiTM amat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian supaya kejadian menimpa Siti Irina tidak berulang.


“Pasukan keselamatan universiti dan polis perlu memainkan peranan menjaga kawasan persekitaran tempat tinggal pelajar supaya sentiasa terkawal dan selamat,” katanya.


Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, dua lelaki berusia awal 20 tahun dipercayai rakan kepada suspek utama ditahan reman.


“Pemeriksaan di rumah suspek di tingkat dua pangsapuri berkenaan menemui dua parang, sebilah kerambit serta dua kunci kereta jenis Hyundai dan Proton Saga yang disahkan milik mangsa dan rakan serumahnya.


“Kedua-dua rakan suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) hingga 18 September,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Polis antara enam didakwa culik ahli perniagaan


Kuala Lumpur: Enam lelaki termasuk seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan tebusan RM790,000.

Koperal Muhammad Al-Mubarak Zulkifli, 33, Mohamad Nordin Senapi, 48, (bekas tentera), Rizal Affandi Shafiee, 35, (penarik kereta), Lee Han Keat, 38, Ravinder Jeet Singh, 41, dan seorang remaja berusia 17 tahun didakwa menculik mangsa berusia 33 tahun pada Jun lalu.


Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama beberapa orang yang masih bebas didakwa dengan niat menculik mangsa bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM790,000 di Hyundai One Marketing, Jalan Chow Sow Lin di Salak Selatan, di sini pada 26 Jun lalu.



Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Seksyen yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.


Setiap tertuduh diwakili peguam yang berasingan iaitu Ahmad Shuib Ismail Sham, Siti Amalina Putri Ismail, Latifah Ariffin, Shah Rizal Abdul Manan, Jayarubbing Jayaraj dan Eng Koa Chee.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap semua tertuduh.


Mahkamah menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Baru dapat anak kembar kena penjara 20 bulan


Ampang: Seorang lelaki yang baru mendapat anak kembar di hukum penjara 20 bulan dan didenda RM35,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas empat tuduhan pecah rumah di sekitar daerah sini, dua tahun lalu.

Mohd Ali Yunus, 22, yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan di dua Mahkamah Majistret berlainan.


Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula tarikh ditangkap iaitu pada 17 Jun lalu.



Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Mohd Ali menjalani hukuman penjara 28 bulan lagi jika gagal membayar denda.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dan mencuri pelbagai barangan termasuk wang tunai dan komputer riba yang bernilai RM8,000.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Keramat Permai, Hulu Kelang dan Taman Melawati antara 29 April 2012 hingga 10 November tahun sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua boleh denda dan sebat jika disabit kesalahan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon supaya mahkamah meringankan hukumannya dengan mengambil kira dia masih muda ketika kesalahan dilakukan dan kini insaf selepas mendapat cahaya mata kembar, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Kereta sapu mewah



Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Hasrat seorang ‘ulat teksi’ untuk memperdaya dua pelancong asing warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) malam kelmarin tidak kesampaian apabila ditahan sepasukan anggota penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, lelaki berusia 57 tahun itu diberkas selepas didapati menawarkan perkhidmatan teksi haram bagi perjalanan dari klia2 ke Kuala Lumpur dengan mengenakan caj tambang sekitar RM120.


Beliau berkata, suspek yang menggunakan kenderaan mewah Mercedes-Benz itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika sedang membawa dua pelancong asing berkenaan ke keretanya yang diletakkan di tempat letak kereta.



“Kami terpaksa menahan lelaki berkenaan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Darat 2010 bagi kenderaan yang digunakan selain Akta 205 Pengangkutan Darat bagi aktiviti teksi haram.


“Kami juga sudah mendapatkan keterangan daripada dua pelancong warga asing berkenaan dan difahamkan pelancong berkenaan baru pertama kali tiba di negara ini,” katanya pada sidang media selepas menyertai Operasi Parasit di klia2 di sini semalam.


Katanya, sekiranya di dapati bersalah, lelaki berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali selain menyita kenderaan berkenaan.

Dalam operasi khas itu, seramai 32 anggota penguatkuasaan SPAD terpaksa melakukan aktiviti penyamaran dengan menyamar sebagai penumpang bagi memerangkap ulat teksi berkenaan.


Operasi dimulakan jam 6 petang sebelum berakhir jam 11 malam itu dijalankan selepas menerima banyak aduan mengenai kebanjiran ulat teksi di klia2 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Che Hasni berkata, beliau juga difahamkan kegiatan ulat teksi itu sudah lama berlarutan memandangkan ia menawarkan habuan dan keuntungan lumayan yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.


Menurutnya, sejak Januari hingga kelmarin, pihaknya berjaya menahan dua ulat teksi dan 11 kereta sapu kerana menawarkan perkhidmatan teksi tanpa permit sah.


“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan ulat teksi supaya tidak terus menawarkan perkhidmatan itu kerana hukuman berat menanti jika mereka ditangkap,” katanya.


Dalam pada itu, Che Hasni berkata, aktiviti ulat teksi juga hanya mensasarkan pelancong dari timur tengah dan China selain pelancong asing yang tiba di Malaysia buat pertama kali.


Menurutnya, pihaknya kini sudah menempatkan anggota penguatkuasaan secara statik di beberapa lokasi utama seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS); Pudu Sentral dan KLIA bagi terus membanteras kegiatan ulat teksi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

3 terselamat tali gantung


Ampang: “Kamu bertiga bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman mati apabila pihak pendakwaan meminda pertuduhan membunuh kepada menyebabkan kematian.
“Diharap hukuman diberikan dapat memberikan pengajaran kepada kamu semua dan insaf serta sentiasa ingat niat tidak menghalalkan cara,” kata Hakim Manira Mohd Noor di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian dalam penghakimannya sebelum menjatuhkan hukuman penjara setahun enam bulan terhadap tiga bekas pengawal keselamatan atas tuduhan menyebabkan kematian seorang remaja lelaki yang dipercayai mencuri wang tabung di sebuah masjid di Pandan Indah, tahun lalu.

Mereka Mohd Aswenry Majon, 27, dan dua lagi warga Indonesia, Iweldo Putra, 20, dan Pondri Neriko, 21.
Foto
Tiga bekas pengawal keselamatan dibawa ke mahkamah, semalam.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan bermula dari tarikh mereka ditangkap.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Cuba kejutkan mayat


Kuantan: Seorang pemilik kedai yang cuba mengejutkan pekerjanya selepas mendapati restorannya masih belum dibuka terkejut apabila menemui mayat lelaki itu terbaring dengan kesan luka di bilik sewanya di Air Putih di sini, semalam.
Mayat Azrul Saman, 30, dari Kampung Sungai Pergam, Kemaman, Terengganu ditemui kira-kira jam 7 pagi di dalam bilik di tingkat satu bangunan restoran itu yang turut menempatkan beberapa penghuni lain.
Difahamkan, mangsa biasanya akan membuka restoran itu seawal jam 6 pagi dan kegagalan mangsa berbuat demikian menimbulkan kehairanan majikannya yang kemudian naik ke bilik sewa mangsa untuk cuba mengejutkannya.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebaik tiba di bilik mangsa, pemilik restoran berusia 50-an itu terkejut melihat pekerjanya terbaring di atas lantai dan sudah tidak bernyawa.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital.

“Majikan mangsa terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu dan hasil pemeriksaan menemui beberapa kesan luka di badan mangsa.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Datin naik kandang saksi


Shah Alam: Bekas ibu mentua penyampai radio, Jimmy Shanley menafikan suaminya menghalang bekas menantunya itu mengambil cucu mereka, Zahrah Rania ketika giliran bermalam di rumah Jimmy.
Datin Muniroh Kassim, 53, yang juga pengasas produk kosmetik Natasya memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, suaminya, Datuk Suhaimy Othman tidak membenarkan Zahrah Rania diambil kerana yang datang ke rumahnya ketika itu bukanlah Jimmy, sebaliknya kakak iparnya, Datin Mastura Marliza Razali.
“Bukan tak benarkan kakak ipar dia datang, suami saya suruh Jimmy sendiri datang ambil (ZahrahRania).

“Kenyataan suami saya tak benarkan Jimmy ambil anak, tak betul,” katanya menyangkal cadangan peguam syarie Mohd Nor Aizan Md Idrus yang mewakili Jimmy bahawa anak guamnya dihalang mengambil Zahrah Rania di rumah keluarga bekas isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.
Foto
MUNIROH (kiri) dan Nursuhaila Eliani Suhaimy keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Wanita itu berkata demikian pada sesi soal balas perbicaraan kes perintah komital kerana melanggar perintah mahkamah membabitkan hak lawatan dan bermalam yang difailkan Jimmy terhadap Nursuhaila Eliani.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/12

Culik depan mata ibu


Pasir Gudang: Setiap kali ternampak van putih melintas di depan rumahnya di Taman Cahaya Masai di sini, jantung Rahayah Bul, 42, berdegup kencang dan badannya menggigil berikutan kejadian anak perempuannya yang berusia sembilan tahun cuba diculik seorang lelaki menaiki kenderaan seperti itu, Sabtu lalu.
Rahayah berkata, sehingga kini dia tidak dapat melupakan detik cemas anak tunggalnya, Nur Ainna Haili dicekik dan diacu pisau pada leher oleh penjenayah yang mahu mencuri Perodua Myvi anak saudaranya.
Menurutnya, sejak heboh dengan kejadian van putih menculik kanak-kanak, dia sentiasa berjaga-jaga dan tidak jemu berpesan kepada pengasuh supaya tidak membenarkan anaknya bermain di luar rumah ketika dia bekerja.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 2 petang itu, dia tidak menyangka lelaki memandu van putih bertulis ‘Majlis Perbandaran Pasir Gudang’ (MPPG), cuba menculik anaknya yang dipanggil Ain, di depan matanya.
Foto
RAHAYAH mencium anaknya yang nyaris dilarikan seorang lelaki, Sabtu lalu.

“Sejak kejadian itu saya jadi macam orang tak betul. Tak boleh nampak van putih, tak boleh nampak orang tak kenal. Saya jadi trauma dan menggigil.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Kertas Science UPSR bocor


Kuala Lumpur: Kertas peperiksaan Science bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.15 hingga 9.30 pagi esok akan ditangguhkan ke 30 September ini susulan ia didapati bocor.
Dalam kenyataan dikeluarkan Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan (LP), siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan mata pelajaran terbabit tersebar menerusi media sosial.
"LP sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Kertas Science 018 diambil oleh murid Sekolah Kebangsaan, manakala Science 028 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan Science 038 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil).
Foto
MURID menduduki peperiksaan UPSR semalam. FOTO Syarafiq Abd Samad

Seramai 472,853 murid menduduki UPSR di 8,299 pusat peperiksaan di seluruh negara selama tiga hari bermula semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10