Search This Blog

Thursday, September 11, 2014

Pemuda maut dihempap dahan, tersepit atas pokok


MAT Saad Putih menunjukkan pokok pukul lima tempat Mohd. Fakrul Rozi maut dihempap dahan ketika mencari madu kelulut di Pendang, Kedah, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN
PENDANG 10 Sept. - Seorang pemuda yang memperoleh rezeki dengan mencari sarang kelulut maut dihempap dahan pokok sebesar satu pemeluk di Kampung Asam Jawa, Mukim Padang Pusing, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa, Mohd. Fakrul Rozi Zainodin, 27, meninggal dunia dalam keadaan tersepit di dahan pokok pukul lima setinggi 30 meter.
Mayat pemuda itu hanya dapat dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari atas pokok itu kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
Mangsa dan seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Amran, 20-an, dikatakan mencari sarang kelulut di pokok sebesar tiga pemeluk itu yang terletak di kawasan perkuburan lama untuk dijual kepada pihak lain dengan harga RM150 untuk satu sarang.
Seorang rakan mangsa, Mat Saad Putih, 57, memberitahu, Mohd. Fakrul Rozi menelefonnya semalam bertanyakan sarang kelulut di pokok yang terletak berhampiran sawah miliknya.
"Saya beritahu dia (Mohd. Fakrul Rozi) ada sarang kelulut di atas pokok ini dan dia pun datang bersama seorang rakannya kira-kira pukul 7 petang untuk mengambil sarang tersebut.
"Mereka memanjat pokok ini dan memotong satu dahan, namun dahan itu terjatuh lalu tersangkut pada dahan lain, saya mula rasa tidak sedap hati dan menyuruh mereka menyambung semula kerja ini esok namun mereka enggan," katanya ketika ditemui di Kampung Asam Jawa, Mukim Padang Pusing, di sini hari ini.
Menurut Mat Saad, dia kemudiannya pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian kerana waktu solat maghrib semakin hampir.
"Tidak lama kemudian dalam pukul 7.30 malam saya terima satu panggilan telefon daripada rakan yang memberitahu Mohd. Fakrul Rozi dihempap dahan pokok tersebut," katanya.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Roshidah Omar, 50, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata, Mohd. Fakrul Rozi yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik itu tinggal bersama datuknya di Kampung Paya Sulaiman dekat sini.
"Saya berjumpa dengannya pada Hari Raya Aidilfitri lalu dan dia memang cekap memanjat pokok, saya reda dengan kejadian ini," katanya yang memberitahu jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kelisa, Sungai Petani hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140911/je_05/Pemuda-maut-dihempap-dahan-tersepit-atas-pokok#ixzz3D1Jwh2h5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri warga Indonesia ditemui mati di ladang buah


SEREMBAN 11 Sept. - Sepasang suami isteri warga Indonesia ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul dalam rumah mereka di sebuah ladang buah di Kampung Gebok, Mantin, dekat sini hari ini.
Pasangan berusia lingkungan 30-an terbabit ditemui oleh pasangan peniaga buah kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi ketika mereka mahu mengambil buah naga di ladang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140911/je_10/Suami-isteri-warga-Indonesia-ditemui-mati-di-ladang-buah#ixzz3D1IxL2Od
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lori tanki terbalik di Bandar Sunway, Semenyih


Kuala Lumpur: Sebuah lori tanki muatan diesel terbalik di Jalan Nil, Bandar Sunway, Semenyih kira-kira 12 tengah hari tadi.
Difahamkan, lori berkenaan terbabas mengakibatkan tumpahan minyak di kawasan itu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba, Selangor, Mohd Sani Harul berkata, sebanyak 5 anggota bomba dari Balai Bomba Semenyih dikerahkan lokasi bagi mengawal keadaan.

Menurutnya, pihak bomba menggunakan pasir dan membuat tebukan bagi mempercepatkan pengeluaran minyak.
Foto

"Keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Pasangan cedera kereta terjunam empat meter


Kuala Lumpur: Sepasang kekasih terselamat meskipun kereta yang dinaikinya 'terbang' melepasi tembok konkrit setinggi empat meter sebelum terhempas dalam keadaan terbalik.
Kejadian berlaku jam 3.25 pagi tadi di persimpangan Jalan Raja Chulan-Jalan Tun Perak menyebabkan pemandu wanita tempatan berusia 31 tahun patah tangan manakala teman lelakinya cedera ringan. 
Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan, kereta model Honda Civic itu tidak berhenti di persimpangan berkenaan sebaliknya terus terbabas ke Jalan Tun Perak dan merempuh penghadang jalan di tengah jalan. 

"Kereta turut masuk ke lauan empat lorong dan merempuh deretan gerai makan serta sebatang tiang lampu sebelum menjunam ke kawasan lapang berhampiran Jalan Silang.
Foto

"Kereta menjunam melepasi tembok setinggi empat meter dan terhempas dalam keadaan terbalik," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Markandan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan sehingga petang ini polis belum merakam percakapan mangsa kerana kedua-duanya sedang dirawat dan masih trauma.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Ibu tarik balik laporan anak hilang bongkar rahsia


Kulim: Tanda tanya tindakan seorang wanita tiba-tiba mahu menarik semula laporan kehilangan anak lelakinya berusia lima tahun terjawab berikutan penemuan mayat kanak-kanak terbabit di ladang kelapa sawit di Bukit Selambau, Sungai Petani, dekat sini, awal pagi semalam sejurus penahanan teman lelakinya, kelmarin.

Sebelum itu, wanita berusia 36 tahun membuat laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak berkenaan pada 11 Ogos lalu di Balai Polis Sungai Karangan, di sini, bagaimanapun menarik semula laporan pada 5 September lalu kerana mendakwa anaknya berada dalam keadaan sihat bersama teman lelakinya berusia 40-an. Difahamkan, mangsa yang juga anak tunggal dipercayai dipukul lelaki terbabit kerana menimbulkan rasa kurang selesa kepada suspek disebabkan kerap menangis.


Mayat kanak-kanak berkenaan ditemui di tepi pokok kelapa sawit di ladang berkenaan tiga kilometer dari jalan utama oleh pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kedah yang melakukan pencarian jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Arshad berkata, berikutan itu pihak polis menjalankan siasatan lanjut lalu menahan lelaki berkenaan, kelmarin kerana curiga dengan tindakan wanita terbabit menarik semula laporan polis yang dibuat mengenai kehilangan anak lelakinya.


Menurutnya, soal siasat ke atas suspek membongkar misteri kehilangan mangsa apabila lelaki berkenaan membawa pihak polis ke sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Selambau, Sungai Petani, malam kelmarin ke tempat dia dipercayai menanam mayat kanak-kanak berkenaan.


“Kejadian ini terbongkar selepas ibu mangsa menarik balik laporan mengenai kehilangan anaknya pada 5 September lalu dengan memberi alasan kanak-kanak itu kini sihat bersama teman lelakinya.

“Hasil siasatan lanjut dijalankan pihak polis kemudian mengesyaki sesuatu berlaku lalu menahan seorang lelaki yang juga teman lelaki ibu mangsa sebelum dia (suspek) membawa ke lokasi penemuan mayat kanak-kanak itu.


“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul oleh suspek sehingga menyebabkan kematiannya, namun pihak polis perlu menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebenar kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mendapat tempoh tahanan reman ke atas suspek sehingga 16 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dengan kehadiran ahli keluarga kanak-kanak terbabit sejurus mayat mangsa yang dibawa menaiki kenderaan polis tiba dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada jam 10.55 pagi.


Malah, ahli keluarga kanak-kanak terbabit turut dilihat mengalirkan air mata sambil memerhatikan mayat diusung masuk ke dalam bilik untuk proses bedah siasat.


Bagaimanapun, cubaan wartawan menemu bual keluarga mangsa gagal apabila seorang lelaki dipercayai bapa saudara mangsa enggan mengulas lanjut mengenai kejadian.


“Saya tidak mahu memberi apa-apa komen kerana kes ini masih di dalam siasatan polis. Saya menyerahkan semuanya kepada polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Wanita Vietnam menangis dihukum penjara



Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang wanita warga Vietnam menangis teresak-esak apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas enam kesalahan memiliki dadah, menggunakan dadah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Tertuduh, Nguyen Thi Mui, 24, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibaca secara berasingan oleh jurubahasa Vietnam di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.
Daripada semua pertuduhan itu, empat daripadanya dibaca bersama dengan seorang lagi tertuduh iaitu lelaki tempatan, Lee Hong Chin, 33, yang tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan memiliki dadah.

Berdasarkan empat pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, mereka bersama-sama memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (mdma) seberat 0.07 gram, methamphetamine (2.18 gram), nimetazepam (0.06 gram) dan ketamin (0.18 gram).


Kesalahan itu dilakukan pada 5 Mei lalu kira-kira jam 7.30 malam di sebuah rumah di Taman Sri Kamban, di sini.


Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Thi Mui turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan iaitu tinggal lebih masa di negara ini tanpa memiliki pas sah dan bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut seksyen 15 (4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia turut didakwa memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM5,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

Mahkamah menetapkan pertuduhan pertama penjara 10 bulan, kedua (lapan), ketiga dan keempat (sembilan), kelima (tujuh) dan keenam (lima), namun memerintahkan semua hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh tangkapan.

Thi Mui dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara paling minimum kerana sudah insaf dan mahu pulang ke negara asal.

Mahkamah juga menetapkan 19 September sebagai tarikh sebutan semula kes untuk Hong Chin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Tahanan warga Pakistan lolos


Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang warga Pakistan yang ditahan atas kesalahan dadah melarikan diri sebaik mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru 11.20 pagi tadi.

Suspek berusia 30-an itu dipercayai berjaya melucutkan tangan dari gari berantai dan terus melarikan diri ke arah Bangunan Sultan Ibrahim, Jalan Bukit Timbalan di sini.


Menurut sumber, suspek melarikan diri ketika hendak dibawa masuk ke kenderaan polis untuk dibawa pulang ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Suspek itu mendapat perintah reman sehingga 16 September ini bersabit kes dadah di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Dirodok Madura


Serdang: “Adik saya merayu dilepaskan, tetapi mereka terus memukul dan menikamnya bertubi-tubi hingga isi perutnya hampir terburai,” kata Ghazali Muhamed Hussin, 35, abang kepada Abdullah Mubarakali Muhamed Hussin, 28, yang maut dibunuh Geng Madura dari Indonesia.
Dalam kejadian 11.30 malam kelmarin, mangsa dibelasah sekurang-kurangnya lapan lelaki warga asing itu di Kampung Baru, Batu 12, Jalan Puchong di sini.

Ghazali berkata, kejadian berlaku apabila adiknya berjumpa kumpulan lelaki itu untuk meminjam motosikal berikutan motosikal miliknya rosak.
“Kumpulan lelaki Indonesia itu enggan meminjamkan motosikal mereka hingga menyebabkan berlaku pertengkaran mulut.

“Kumpulan itu kemudiannya bertindak menyerang adik saya menggunakan senjata tajam. Adik saya ditikam dan dikelar berulang kali.

“Lebih kejam lagi apabila isi perut adik saya hampir terburai apabila perutnya dikelar. Dia kemudian dibiarkan mati berlumuran darah di lokasi kejadian,” katanya yang ditemui di bilik mayat Hospital Serdang semalam.
Foto
AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menunggu mayat mangsa selesai dibedah siasat di Hospital Serdang.
Difahamkan kumpulan pembunuh itu yang dipercayai menetap di kawasan berkenaan bertindak melarikan diri sejurus kejadian.

“Saya merayu polis memburu kumpulan penjenayah kejam itu yang tergamak menyembelih adik saya hingga mati,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner, Razimi Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kes bunuh itu.

Menurutnya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Polis masih melakukan siasatan dan sedang mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia berkata, kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Suami ‘beriman’ tak solat


Oleh Suraya Roslan, Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Niat seorang wanita untuk bersuamikan seorang lelaki yang beriman musnah sama sekali selepas mengetahui lelaki yang dikahwininya tiga tahun lalu terbabit dengan sebuah gerakan ajaran sesat seperti yang didedahkan laporan bersiri akhbar ini.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Ika berusia 40-an itu tampil selepas membaca kisah sedih Azim dan Hajar yang masing-masing ditinggalkan isteri, anak, dan menantu selepas aktif menganggotai satu ajaran sesat dari negara jiran.



Menurut Ika, sebelum berkahwin lelaki berkenaan kerap dilihat bersolat, Tarawih dan pergi ke surau.

“Namun, sebaik mengahwini saya, suami kemudian secara perlahan-lahan memberitahu solat itu tidak perlu.


“Pada mulanya saya tersentak kerana didikan agama yang diterima sejak kecil menyatakan solat itu wajib dan sebagai tiang agama, manakala suami pula cuba mempengaruhi saya untuk memasuki ajaran agama baru,” katanya kepada Harian Metro.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Lima tikaman di dada


Alor Gajah: Seorang siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus cawangan Lendu, di sini nekad menumbuk dan bergelut dengan penjenayah yang menceroboh bilik tidurnya sebelum dia ditikam lima kali di dada dengan senjata tajam hingga cedera parah.
Kejadian berlaku jam 5 pagi semalam ketika mangsa Siti Irina Redhuan, 20, tidur di bilik pangsapuri yang disewa bersama empat rakan di Taman Dimensi, di sini. 
Sejurus kejadian, rakan serumah Siti Irina, Maizura Zainal Abidin, 20, yang tidur di bilik berasingan dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu bilik dengan kuat sebelum melihat mangsa berlumuran darah. 

“Dalam keadaan lemah, dia memberitahu ada seseorang menceroboh masuk ke dalam bilik tidurnya dan sempat menumbuk muka lelaki itu hingga berlaku pergelutan.
Foto
MAIZURA menunjukkan kesan darah di lantai.

“Dalam pergelutan itu, dia ditikam beberapa kali menggunakan senjata tajam,” kata Maizura ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Jerut leher dengan langsir


Dungun: “Saya sangat takut sebaik mendapati leher ibu mentua dibelit dengan kain langsir dalam keadaan kedua-dua tangan dan kaki diikat,” kata Zakiah Zainal, 59, yang menemui mayat ibu mentuanya dipercayai dibunuh di Kampung Sura Hujung di sini, petang semalam.
Mangsa, Mariam Kassim, 86, yang tinggal bersendirian menjalankan perniagaan kedai runcit ditemui mati oleh menantunya dalam keadaan tertiarap di atas kerusi di ruang tamu, jam 1 petang.
Menurutnya, dia yang tinggal bersebelahan rumah ibu mentuanya hairan kerana arwah belum membuka kedai pada jam 7.15 pagi sedangkan biasanya waktu itu dia sudah memulakan perniagaan.

Katanya, dia mengintai rumah ibu mentuanya melalui celah dinding, tetapi tidak ternampak kelibat arwah lalu menyangkakan arwah berada di dapur.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat Mariam keluar dari rumahnya.

“Saya mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan berjalan semula ke rumah serta bersiap-siap sebelum ke bandar Dungun menyelesaikan beberapa urusan.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Zalim ! Cungkil Mata Anak Dengan Sudu, Wanita Dipenjara 30 Tahun


MEXICO CITY,   Seorang wanita yang mencungkil mata anak lelakinya sendiri sebagai sebahagian dari satu ritual penyembahan setan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun.
Maria del Carmen Garcia Rios (28) terlibat dalam  ritual aneh bersama saudara perempuannya, dua saudara laki-laki, dan orangtuanya di kota Nezahualcoyotl, dekat Mexico City, pada Mei 2012.
Dalam perbicaraan, terungkap bahawa Fernando, yang ketika itu berusia lima tahun, dicungkil kedua matanya dalam ritual itu. Fernando yang akhirnya menjadi buta kini terpaksa menggunakan mata palsu.
Dalam perbicaraan, keenam orang itu menari-nari dan diminta menutup mata mereka agar tidak melihat kedatangan setan. Namun, Fernando menjadi ketakutan dan menolak menutup matanya ketika para peserta ritual memulai proses pemanggilan setan untuk meminta setan mengakhiri dunia. 
Akibat tak mau menutup mata itulah, akhirnya Carmen mencungkil mata Fernando, puteranya sendiri, dengan menggunakan sudu. Para tetangga yang kemudian mendengar jeritan kesakitan Fernando segera memanggil polis . 
Polis  yang datang ke rumah itu menemui Fernando menjerit kesakitan di ruangan dapur, sementara dua orang perempuan terlihat berlumuran darah.
Kepada polis , Carmen mengakui Fernando adalah puteranya. Carmen mengakui dia memerintahkan peserta ritual yang lain untuk mencungkil mata Fernando kerana dia menolak menutup mata.
Di dalam sidang mahkamah, salah seorang jiran  , Joaquin Arguellor, terkejut mengetahui ritual yang dilakukan keluarga Carmen. Sebab, kata Joaquin, keluarga itu dikenal sangat kuat agama dan bukan penyembah setan.
Carmen dan semua anggota keluarganya dijatuhi hukuman penjara 30 tahun kerana melakukan perbuatan keji itu. Sementara itu, Fernando, kini tujuh tahun, keadaannya mulai pulih, tetapi memerlukan mata palsu baru seiring dengan pertumbuhan badannya.

http://idahsalam.blogspot.com/2014/09/zalim-cungkil-mata-anak-dengan-sudu.html







Hanya helah dalang


Ipoh: Tindakan seorang pemandu lori membuat laporan polis mendakwa lorinya disamun dan dilarikan sekumpulan lelaki bersama muatan beras seberat 40 tan pada Sabtu lalu gagal memperdayakan pihak berkuasa apabila siasatan mendapati lelaki berkenaan dalang sebenar kes samun itu.
Lelaki berusia 45 tahun terbabit bukan saja mendakwa disamun, malah diculik sebelum ditinggalkan di sekitar kawasan Selama, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, pemandu lori berkenaan diberkas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, kelmarin dan kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pada Sabtu lalu, lelaki berkenaan membuat laporan polis di IPD Kuala Muda, Kedah pada jam 6.30 petang mendakwa dirinya disamun dan lori berserta muatan beras dibawa dilarikan sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pisau di Jalan Kuala Kangsar - Simpang, Taiping, dekat sini.

“Pemandu lori terbabit membuat laporan polis mengatakan pada kira-kira jam 3.30 pagi Sabtu lalu, semasa dia memandu treler di kawasan berkenaan secara tiba-tiba dihalang sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam yang berhenti di hadapan kenderaannya, sebelum tiga lelaki keluar dari kereta dan terus menyerang dengan mengacukan pisau dan menariknya keluar dari lori untuk masuk ke dalam kereta suspek.

“Lelaki berkenaan, mendakwa dua daripada suspek terus memandu lori, manakala dirinya dikawal seorang suspek di tempat duduk belakang dengan mata ditutup dan suspek keempat memandu kereta,” katanya di sini, semalam.
Foto
TRELER bawa muatan beras seberat 40 tan ditemui semula.
Mohd Dzuraidi berkata, dalam laporan dibuat, pemandu lori terbabit mendakwa tidak tahu dibawa ke mana dan hanya menyedari berada di Selama selepas dibuang di tepi jalan pada jam 7.30 pagi hari sama, sebelum menghubungi rakan untuk mendapatkan bantuan serta memaklumkan kejadian kepada majikan kilang beras dan orang tengah penjual beras.

“Dalam laporannya, lelaki berkenaan memberitahu kehilangan lori treler miliknya sendiri dengan muatan beras sebanyak 40 tan, wang tunai RM2,000 dan sebuah telefon bimbit.
“Kes samun itu kemudian dirujuk ke IPD Taiping untuk siasatan lanjut kerana berlaku di daerah berkenaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Mayat lelaki hampir reput ditemui di tepi lombong

RABU, 10 SEPTEMBER 2014 @ 4:10 PM

 
IPOH: Mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui dalam keadaan terbaring di tepi Lombong Morib 2, Malim Nawar, dekat Kampar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon, berkata mayat lelaki berumur di antara 40 tahun dan 50 tahun itu ditemui hanya berbaju T oleh seorang pesara tentera kira-kira jam 7.30 malam tadi.

"Pihak kami menerima laporan daripada seorang pesara tentera mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 8 malam tadi.

Semasa pihak polis tiba, mayat lelaki dipercayai berbangsa Cina itu mula reput serta kembung dan kami percaya lelaki itu telah meninggal dunia lebih satu minggu," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.



Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang identiti pengenalan diri ditemui pada mayatnya.

Ng berkata, hasil bedah siasat di Hospital Kampar mengklafikasikan kes itu sebagai mati lemas.

Sehubungan itu, Ng berkata, sesiapa yang mengenali mangsa atau kehilangan anggota keluarga diminta untuk hadir di mana-mana balai polis berdekatan atau tampil ke Hospital Kampar untuk pengecaman mayat.

- BERNAMA

Lelaki maut dihempap dahan ketika ambil madu kelulut



BAPA mangsa, Zainuddin Amran, 53, di sisi mayat arwah anaknya, Mohd Fakhrul Rozi Zainuddin, 27 yang maut selepas dihempap dahan pokok ketika mencari madu kelulut bersama rakannya di Kampung Pokok Asam, Padang Pusing, Pendang malam tadi. - Foto Sharul Hafiz Zam
ALOR SETAR: Seorang lelaki maut selepas dihempap dahan pokok ketika mencari madu kelulut bersama rakannya di Kampung Pokok Asam, Padang Pusing, Pendang malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, Mohd Fakhrul Rozi Zainuddin, 27, yang tinggal di Kampung Paya Sulaiman, Pendang maut selepas dahan pokok yang dipotongnya menghempap dadanya menyebabkan beliau tersepit di atas pokok.
Bapanya Zainuddin Ahmad, 52, berkata anak kedua dari tujuh beradik itu menggunakan gergaji enjin untuk memotong dahan pokok yang mempunyai madu kelulut sebelum dahan itu jatuh menghempap dadanya.
"Lepas potong, dahan itu terus menghempap dadanya...dia terkulai atas pokok. Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang bantu turunkan anak saya untuk dibawa ke hospital," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah di sini, hari ini.
Selepas bedah siasat, mayat mangsa dituntut anggota keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Kelisa, Sungai Petani.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang DSP Abdul Aziz Ahmad mengesahkan polis menerima laporan kejadian itu.
- BERNAMA

Guru maut nahas jalan raya ketika ke sekolah

RABU, 10 SEPTEMBER 2014 @ 12:55 PM

 
SANDAKAN: Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Karamunting di sini maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam satu nahas jalan raya di Taman Grandview dekat sini pagi tadi.

Ketika kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu, mangsa Nastain Bin Ahmad, 48, dalam perjalanan untuk ke sekolah tempat dia bertugas.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke sebelah kanan bahu jalan raya ketika menuruni bukit.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini untuk bedah siasat.



Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Nenek, cucu maut dalam nahas dekat Tuaran

RABU, 10 SEPTEMBER 2014 @ 4:23 PM

 
TUARAN: Seorang nenek maut bersama cucunya berusia sembilan tahun apabila dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran simpang Kampung Tambalang-Bolong, di sini, pagi tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Rozilah Wati Mitang, 59, dan cucunya, Nursyahidatul Mohd Saiful, dikatakan berjalan berpimpinan tangan untuk membeli sarapan di sebuah kedai makan tidak jauh dari rumah mereka.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Rozilah ialah pesara guru dan kini berkhidmat secara kontrak di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambalang, manakala Nursyahidatul adalah murid Tahun Tiga di sekolah sama.



Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kertas UPSR bocor: Muhyiddin amat marah, arah tubuh jawatankuasa bebas siasat



TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
VIENTIANE, Laos: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menghadiri Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) di sini, amat marah apabila mengetahui satu lagi kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bocor.
Timbalan Perdana Menteri menyifatkan perbuatan itu sebagai satu sabotaj dan mengarahkan penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk menyiasat perkara itu dan memastikan ia tidak berulang lagi.
"Saya rasa amat marah dengan perbuatan yang saya anggap sebagai sabotaj ini dan mahu perkara ini disiasat hingga ke akar umbi.
"Selain membuat laporan polis, satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi menyiasat kejadian ini termasuk merumus langkah bagi mengelakkan perkara seumpamanya berulang.
"Apa pihak tak bertanggungjawab ini dapat dengan membocorkan soalan UPSR ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Lembaga Peperiksaan hari ini membatalkan kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 bagi UPSR 2014 kerana didapati turut bocor.

Nenek ditemui mati terikat dalam rumah di Dungun



ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa di Kampung Sura Hujung,Dungun. - Foto Rosli Ilham
DUNGUN: Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya terikat di dalam ruang tamu rumahnya di Kampung Sura Hujung, di sini hari ini.
Mangsa, Mariam Kassim, 86, yang tinggal berseorangan ditemui anggota keluarganya dalam keadaan tertiarap di atas kerusi dalam rumahnya.
Kejadian itu disedari menantunya, Zakiah Zainal, 59, kira-kira 12 tengah hari tadi selepas berasa hairan kedai runcit milik mangsa masih tidak beroperasi seperti biasa.
Bercakap kepada pemberita, Zakiah berkata kira-kira 7 pagi selepas selesai menghantar anaknya ke sekolah, beliau melihat kedai ibu mentuanya itu masih tidak dibuka.
Katanya, beliau cuba mengintai dari celah dinding namun tidak melihat kelibat mangsa lantas menyangkakan ibu mentuanya itu berada di dapur sebelum keluar melakukan urusan di Bandar Dungun.
"Namun selepas pulang ke rumah kira-kira 12 tengah hari tadi, saya lihat kedai masih belum dibuka dan sekali lagi saya ke rumah mangsa sebelum melihat pintu dapur rumahnya terbuka.
"Saya terus masuk ke rumah mangsa dan melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di atas kerusi ruang tamu dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya terikat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan enggan memberi komen sama ada mangsa mati dibunuh atau sebaliknya kerana kes itu sedang disiasat.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.
- BERNAMA

Polis tumpas sindiket dadah sintetik tempatan



Oleh Azzman Jamal

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada hasil rampasan bernilai RM500,000 selepas berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah sintetik tempatan yang menjadikan sebuah gudang sebagai makmal haram ketika sidang media di IPK Selangor, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah sintetik tempatan selepas menyerbu sebuah gudang yang dijadikan sebagai makmal haram di kawasan perindustrian di sini, Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata, dalam serbuan di Seksyen U5, di sini, pasukan khas dari Bukit Aman itu turut merampas sebanyak 1.67 kilogram (kg) kristal syabu, cecair syabu (6 kg) dan 112 kg pil yang dianggarkan bernilai RM500,000.

2 beranak hadapi 420 pertuduhan seleweng bahan api subsidi

KHAMIS, 11 SEPTEMBER 2014 @ 2:40 PM

 
ALOR SETAR: Dua beranak yang juga pengarah sebuah syarikat pemborong diesel di Pengkalan Kundor, di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi atas 420 pertuduhan menyeleweng bahan api subsidi yang didakwa dilakukan mereka antara September dan November tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Lim Ah Wah, 70, dan anaknya, Lim Heap Hoe, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas masing-masing 140 pertuduhan yang dihadapi, serta 140 lagi pertuduhan yang didakwa atas nama syarikat milik mereka, Megasen Sdn Bhd.

Berdasarkan pertuduhan, Ah Wah dan Heap Hoe masing-masing didakwa atas 140 pertuduhan menyeleweng diesel dan petrol subsidi membabitkan jumlah antara 36,720 liter dan 109,770 liter bagi setiap kes sepanjang tempoh berkenaan.

Kedua-dua mereka yang didakwa secara berasingan, turut berdepan pertuduhan bagi pihak syarikat yang didakwa atas 140 pertuduhan sama.



Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Khairul Fikrie Zubaidi di hadapan Hakim Ibrahim Othman mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibawa bersama Peraturan 9(2), Peraturan 13(1) dan Peraturan 19A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Mayat bayi perempuan ditemui dalam beg kain

KHAMIS, 11 SEPTEMBER 2014 @ 6:46 PM

 
KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan ditemui orang awam di sebuah pangsapuri di Rawang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad, berkata mayat bayi itu yang diletakkan dalam sebuah beg kain berhampiran kotak peti surat di pangsapuri berkenaan, ditemui kira-kira jam 9.30 pagi.

"Mayat bayi itu cukup sifat dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Ali berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang baharu dilahirkan.



Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk tampil membantu siasatan.

- BERNAMA

Pistorius 'tidak bersalah' bunuh teman wanita



OLAHRAGAWAN Afrika Selatan, Oscar Pistorius menitiskan air mata di kandang tertuduh ketika keputusan mengenai kes pembunuhan membabitkannya dibaca di mahkamah Johannesburg hari ini. - Foto REUTERS
PRETORIA: Bintang pecut paralimpik, Oscar Pistorius didapati tidak bersalah atas pertuduhan membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp hari ini apabila hakim Afrika Selatan, Thokozile Masipa menolak tuduhan paling berat terhadapnya.
"Pihak pendakwa jelas tidak membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh bersalah atas tuduhan pembunuhan terancang," kata Masipa sebelum meneruskan penghakiman terhadap tuduhan membunuh tanpa niat ke atas tertuduh.
"Secara keseluruhannya bukti yang dikemukakan gagal menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai niat untuk membunuh mangsa apatah lagi secara terancang," katanya.
"Jelas sekali tertuduh tidak menjangka ia satu kemungkinan, bahawa dia akan membunuh orang yang berada di sebalik pintu," katanya sebelum menolak pertuduhan pembunuhan biasa.
Pistorius, 27, yang duduk di kandang tertuduh kelihatan tunduk dan menutup mukanya selepas keputusan itu dibacakan.
Pistorius didakwa atas tuduhan membunuh dan tiga kesalahan berkaitan senjata api berhubung pembunuhan pada Hari Valentine tahun lalu.
Dia bagaimanapun, masih boleh didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang panjang atau boleh dibebaskan.
Pertuduhan pembunuhan terancang boleh disabitkan hukuman penjara seumur hidup di penjara Afrika Selatan. - AFP

Pelajar IPT nyaris maut nahas kereta di Shah Alam


KEADAAN kereta Toyota Caldina manga yang terbalik berhampiran Persiaran Masjid, Seksyen 2, Shah Alam malam tadi. - Foto BHOnline
SHAH ALAM: Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi nyaris maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam satu kemalangan berhampiran Persiaran Masjid, Seksyen 2, di sini, malam tadi.
Nadiah Mokhtar, 18, yang mengalami kecederaan ringan, dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila kereta mewah jenis Toyota Caldina milik rakannya, Nafis Syahmi, 18 , terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Kemudian, kereta itu dipercayai merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan, menyebabkan kereta yang dipandu Nadiah terbalik.
Nafis berkata, beliau berada di rumah apabila rakannya itu menghubungi melalui telefon bimbit, bagi memaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 9 malam itu.
"Nadiah dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berjumpa dengan seorang kawan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
"Beliau menghubungi saya dan memberitahu beliau cedera akibat kemalangan itu," katanya kepada pemberita, malam tadi.

Lelaki mati akibat asma terbongkar

Perintah reman terhadap amah dan isteri mangsa disambung, semalam.
Perintah reman terhadap amah dan isteri mangsa disambung, semalam.
KOTA BHARU - Kematian seorang lelaki yang didakwa isterinya akibat penyakit asma, akhirnya terbongkar apabila hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan tikaman di dada mangsa yang menguatkan bukti suaminya itu dibunuh.

Mangsa, Mohd Zamany Md Eusope, 38, dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas isterinya mengadu suaminya tidak sihat dan dalam keadaan tenat ketika berada dalam kedai perabot di Chica, Kubang Kerian pada 4 September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar berkata, pada awalnya kes terbabit diklafikasikan sebagai kematian mengejut memandangkan menurut isteri mangsa, suaminya mengalami penyakit lelah namun hasil bedah siasat menunjukkan lelaki itu mati akibat dibunuh.
“Terdapat kesan tikaman pada dada sebelah kiri mangsa dan kesan koyakan di bahagian dagunya dipercayai akibat ditikam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Forensik lebih kurang jam 11 malam mengesahkan mangsa ditikam dengan benda tajam sedalam 14.5 sentimeter dan koyakan tersebut juga adalah disebabkan ditusuk dengan objek itu," katanya.
Idris berkata, pemeriksaan terhadap paru-paru mangsa juga menunjukkan lelaki itu bukannya mati akibat penyakit asma.

“Hasil daripada laporan itu, polis menahan isterinya dan pembantu rumah mangsa yang berusia 20-an untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes terbabit disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan tempoh reman dua suspek terbabit disambung lima hari bermula semalam.

Sementara itu, seorang pekerja kedai perabot berkenaan, Mohd Hawari Rusli, 29, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu dari rakannya pada malam kejadian.

“Saya tiada di kedai pada malam itu, namun terkejut apabila menerima panggilan memberitahu majikan saya mati akibat lelah, namun hasil bedah siasat dilakukan menunjukkan mangsa mati akibat dibunuh.
“Apa pun saya harap pihak polis dapat jalankan siasatan lanjut untuk menyelesaikan kes terbabit,” katanya.

Berjalan kaki senaman paling mudah, jimat

Peserta bersenamrobik pada Program Berjalan 10,000 Langkah anjuran Pejabat Kesihatan daerah.
Peserta bersenamrobik pada Program Berjalan 10,000 Langkah anjuran Pejabat Kesihatan daerah.
BERA - Masyarakat menyambut baik pelaksanaan Program Berjalan 10,000 Langkah anjuran Pejabat Kesihatan daerah sekali gus berharap agar aktiviti ini diteruskan pada masa akan datang.

Seorang peserta, Siti Esah Garom, 58, berkata, dia teruja untuk menyertai program terbabit selepas melihat kemeriahan dan kesungguhan peserta pelbagai peringkat usia begitu bersemangat menjayakan program kesihatan itu.

Menurutnya, penyertaannya di bawah Persatuan Warga Emas Felda Purun itu turut mendapat sokongan pihak persatuan malah beberapa ahli lain tidak melepaskan peluang mengambil bahagian.

“Alhamdulillah, saya masih mampu berjalan sehingga 10,000 langkah walaupun usia sudah meningkat, lagipun saya memang selalu melakukan aktiviti ini bersama ahli persatuan.

“Aktiviti berjalan kaki ini bukan sahaja mudah malah tidak memerlukan kos yang banyak untuk melakukannya,” katanya selepas Program Berjalan 10,000 Langkah Merdeka da Koi Nok Sihat Peringkat Daerah Bera 2014, di sini.

Seorang lagi peserta, Abdul Rahim Yusoh, 60 berkata, dia tidak ketinggalan menyertai aktiviti ini dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan diri.

Menurut Abdul Rahim, minat terhadap aktiviti berbentuk kesihatan mendorongnya untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan dan lebih menyeronokkan apabila dia tidak berasa letih berjalan sejauh itu selepas melihat kesungguhan 500 peserta lain yang turut bersemangat berjalan kaki.

“Saya seronok menyertai aktiviti ini secara beramai-ramai kerana lebih meriah dan bersemangat serta tidak bosan.

“Selain berjalan, kami turut bersenamrobik dan sudah tentu suasana jadi lebih meriah,” katanya.

Tersepit dalam mesin bancuh simen

Kanak-kanak terbabit dibawa ke HTJ untuk mendapatkan rawatan.
Kanak-kanak terbabit dibawa ke HTJ untuk mendapatkan rawatan.
SEREMBAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menahan kesakitan lebih kurang setengah jam selepas tangan kirinya tersepit di dalam sebuah mesin pembancuh simen di sebuah kawasan pembinaan di Jalan Ulu Jelebu di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu, menyebabkan mangsa Mohd Sapie Ramli, 5, mengalami patah tangan kiri dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 4.13 petang.

“Sebanyak satu jentera berserta lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Jelebu bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“Kami sampai ke lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian dan sebaik sampai kanak-kanak terbabit sedang menahan kesakitan akibat tangannya tersepit,” katanya.

Menurutnya, bomba mengambil masa lima minit mengeluarkan tangan mangsa dan orang awam yang berada di lokasi membantu menghantar mangsa ke Hospital Jelebu sebelum di bawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu katanya, pihaknya difahamkan kejadian dipercayai berlaku ketika kanak-kanak berkenaan dipercayai sedang bermain di kawasan pembinaan di situ yang berhampiran dengan sebuah surau.

“Ketika kejadian, mesin pembancuh simen tersebut dalam keadaan terpasang dan ramai pekerja buruh berada di lokasi tersebut termasuk ibu mangsa.

“Secara tiba-tiba kanak-kanak itu yang berada berhampiran memasukkan tangannya ke dalam mesin tersebut dan disedari pekerja buruh di lokasi selepas mangsa menjerit kesakitan,” katanya.

Ditoreh jiran hingga maut

Keadaan mayat mangsa yang dibunuh dengan kejam, awal pagi semalam.
Keadaan mayat mangsa yang dibunuh dengan kejam, awal pagi semalam.
PUCHONG – Hanya kerana mahu meminjam sebuah motosikal milik jirannya yang juga warga Indonesia, seorang lelaki maut ditoreh di muka serta perut selepas berlaku pergaduhan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.01 pagi itu, mangsa yang dalam keadaan mabuk dikatakan ke rumah jirannya itu untuk meminjam motosikal.

Sumber berkata, jirannya enggan memberi keizinan menyebabkan mangsa naik angin lalu bertindak merosakkan kenderaan itu di perkampungan setinggan di Batu 12.

Geram melihat tindakan mangsa, pemilik motosikal itu mula memukul mangsa dan berlaku pergaduhan sebelum suspek memanggil tujuh lagi rakannya.

“Mangsa dibelasah oleh rakan-rakan suspek tanpa rasa kasihan menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di muka dan perut.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia lingkungan 30-an maut serta-merta di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Dakwa ditipu ejen pembantu rumah


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 September 2014
Hamdan menunjukkan SMS antaranya dengan ejan Liza.
Hamdan menunjukkan SMS antaranya dengan ejan Liza. 



BANDAR KLANG - Seorang usahawan mendakwa dirinya telah ditipu oleh seorang ejen pembantu rumah bernama Liza apabila hasratnya untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah sehingga kini masih tidak kesampaian.

Dia yang mahu dikenali sebagai Hamdan, 56, memberitahu, sudah membayar wang RM14,000 kepada ejen berkenaan, tetapi apabila bertanyakan status pembantu rumah yang dijanjikan pihak berkenaan cuba berdolak-dalik.

Katanya, dia mengenali Liza berusia 40-an menerusi seorang rakan tahun lalu.

“Kawan saya kenalkan saya dengan Liza di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil pada September 2013.

“Pada masa itu, Liza bawa dua pembantu rumah warga Indonesia. Selepas pilih salah seorang daripada mereka, saya terus buat bayaran RM14,000 guna cek,” katanya.

Selang beberapa hari, Liza telah hantar seorang pembantu rumah berusia 28 tahun.

“Tapi, lepas beberapa hari amah tu kerja... dia pula berlagak macam majikan dalam rumah saya. Bila siasat, saya dapat tahu dia dah kahwin, suaminya bekerja di Kuantan, Pahang. Katanya, dia kerja dengan saya sementara saja sebab dia nak kerja di restoran dekat dengan suaminya,” katanya.

Berasa tidak sedap hati, Hamdan memaklumkan hal itu kepada Liza supaya ditukarkan pembantu rumah yang lain.

“Sampailah awal tahun ni, baru saya diberikan pembantu rumah gantian yang juga warga Indonesia, nama Anie umur 28 tahun.

“Tapi, lebih kurang empat bulan bekerja, dia pula buat hal... Lari dari rumah ketika saya dan keluarga tiada di rumah,” dakwanya.

Katanya, pihaknya kesal dengan perkara itu dan mengesyaki ejen berkenaan bersekongkol dengan pembantu rumah terlibat demi mengejar keuntungan agensinya.

“Sudahlah Anie larikan diri , Liza pula asyik minta saya jelaskan gaji amah tu, sedangkan dia dah larikan diri. Anie tu tak ada permit kerja rupanya... dah tu macam mana saya nak bayar Levi,” katanya.

Sehubungan itu, Hamdan mahu Liza menyerahkan pembantu rumah baharu danmempunyai permit atau pulangkan semula RM14,000 yang telah dibayar.

“Jika Liza enggan, saya akan ambil tindakan undang-undang. Dia tak mahu jawab telefon saya. Kini dah masuk setahun saya tunggu dia serahkan amah baharu,” katanya.