Search This Blog

Tuesday, September 9, 2014

LORI TERBABAS MELANGGAR TIANG ELEKTRIK


LORI TERBABAS MELANGGAR TIANG ELEKTRIK di Jalan Sungai Dua, Kota Setia, Teluk Intan, Perak pada pukul 10.55 pagi semalam. Mangsa seorang pemandu lori tersepit berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan dan telah di serahkan kepada pihak Ambulan untuk tindakan lanjut. Operasi dilakukan oleh BBP Teluk Intan.

Bayi perempuan dijumpai atas siling tandas


KOTA BHARU 9 Sept. - Misteri tangisan bayi yang kedengaran di tandas sebuah hospital terjawab apabila seorang bayi perempuan ditemui atas siling berkenaan di sini pagi tadi.
Bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai dalam keadaan kesejukan oleh seorang tukang cuci yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tandas tersebut.
Pun begitu, bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan kini sedang mendapat rawatan susulan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140909/je_13/Bayi-perempuan-dijumpai-atas-siling-tandas#ixzz3CoW6hhzr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rompak, paksa lakukan seks oral

Rompak, paksa lakukan seks oral
KOTA BHARU - Padah merompak dan memaksa mangsanya melakukan seks oral, seorang penjual sayur dihukum penjara 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan rotan oleh mahkamah sesyen, di sini, petang tadi.

Tertuduh, Amran Yunus, 36, dari Kampung Chica, di sini, dihukum selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Tertuduh didakwa pada tuduhan pindaan merompak wanita yang berusia 29 itu dengan mengambil wang tunai RM50, seutas gelang emas; lokat emas dan kunci kereta jenis Suzuki Swift di ladang kelapa sawit di Batu Jong, Kuala Krai, antara jam 7.20 dan 9 pagi, 4 Mei 2014.

Sebelum itu, mangsa behenti di sebuah stesen minyak menyedari salah satu daripada tayar keretanya pancit.

Tertuduh kemudian mendekati mangsa dan menawarkan bantuan untuk menunjukkan kedai tayar, namun kedai yang ditunjukkan tutup.

Tertuduh kemudian menawarkan bantuan untuk membaikinya, namun tiba-tiba mangsa ditarik dan diikat pada kerusi belakang kereta.

Dia kemudiannya memaksa mangsa melakukan oral seks. Enggan melakukannya, tertuduh bertindak mencurahkan gam ke dalam telinga dan memukul mangsa di mata serta perut.

Mangsa ditinggalkan di kawasan itu selepas barangan berharga diambil.

Pada prosiding itu, peguam bela, Mohd Faizal Abdul Rahman merayu hukuman tertuduh diringankan dengan mengambil kira tertuduh yang mempunyai lima anak serta isteri, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat.

“Jenayah yang dilakukan tertuduh sangat serius. Saya mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan diri tertuduh. Mohon juga supaya mahkamah mempertimbangkan trauma yang dialami mangsa seperti mana laporan perubatan daripada pihak hospital,” katanya.

Kemalangan jalanraya di Jalan Jerantut-Maran

Kemalangan jalanraya di Jalan Jerantut-Maran, Kg Pulau Tawar pada pukul 7.20 pagi semalam. Kemalangan melibatkan 2 buah kereta di tempat kejadian dan terdapat 1 lelaki dewasa tersepit di tempat duduk pemandu. 1 lagi mangsa seorang wanita selamat. Mangsa cedera telah diserahkan kepada pihak Ambulan untuk tindakan lanjut. Operasi dilakukan oleh BBP Jerantut.

Kira-kira 100 rumah musnah dalam kebakaran

Hampir 100 buah rumah setinggan di Kg Tanjung Batu Keramat Laut di Tawau hangus dijilat api hari ini.
Tiga buah jentera bomba dengan kekuatan 37 anggota dan pegawai bertungkus-lumus memadamkan api. Turut membantu termasuklah anggota daripada Jabatan Pertahanan awam, polis dan orang awam. - Foto Bernama
Hampir 100 buah rumah setinggan di Kg Tanjung Batu Keramat Laut di Tawau hangus dijilat api hari ini.
Tiga buah jentera bomba dengan kekuatan 37 anggota dan pegawai bertungkus-lumus memadamkan api. Turut membantu termasuklah anggota daripada Jabatan Pertahanan awam, polis dan orang awam. - Foto Bernama
TAWAU - Kira-kira 100 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Keramat Laut di sini lewat hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Fredzek berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.20 petang dan tiga jentera bomba bersama 37 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya menghadapi kesukaran memadam kebakaran itudisebabkan kedudukan rumah yang rapat serta keadaan angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian pada jam 9 malam menyaksikan pasukan bomba masih menjalankan operasi memadam kebakaran. - Bernama

Maut bertembung kereta

Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah kereta.
Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah kereta.
PORT DICKSON – Kegembiraan dua rakan selepas menghadiri Festival Kuih Bulan di PD Waterfront, dekat sini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan di Batu 2, Jalan Port Dickson-Seremban, jam 11 malam semalam.

Mangsa, Cheuk Boon Yong, 20, membonceng motosikal bersama rakannya Cheng Hiu Ying, 20 dalam perjalanan dari arah Port Dickson ke Seremban sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari Seremban ke Port Dickson sebelum masuk ke selekoh sebelah kanan dan bertembung dengan motosikal yang dibonceng mangsa.

“Boon Yong dan rakannya Hiu Ying dikejarkan ke Hospital Port Dickson. Bagaimanapun Boon Yong yang kemudiannya di kejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban disahkan meninggal dunia sekitar jam 3 pagi.

"Manakala Hiu Ying yang cedera parah masih dirawat di Hospital Port Dickson” katanya kepada Sinar Harian.

Lelaki rakyat Vietnam mati ditikam


9 September 2014

GEORGETOWN - Seorang lelaki rakyat Vietnam dijumpai mati dipercayai akibat ditikam di persimpangan lampu isyarat Jalan C.Y Choy di sini malam tadi.
   
Mayat Nguyen Van Phuong, 41, ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan cedera parah di rusuk kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, menurut saksi kejadian, lelaki itu dikatakan dikejar seorang lelaki kira-kira pukul 11 malam.

"Mangsa bekerja di pasar berdekatan lokasi kejadian. Polis turut menemui sebilah pisau dan beberapa biji epal di dalam poket seluarnya, bagaimanapun kami percaya pisau itu bukan senjata pembunuhan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebuah basikal turut dijumpai tidak jauh dari kawasan kejadian dan polis masih menyiasat sama ada kenderaan itu milik suspek atau mangsa.

Mazlan berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Maut ditembak ketika minum

Anggota polis memeriksa lokasi kejadian tembak yang mengakibatkan seorang mati dan dua parah, semalam.
Anggota polis memeriksa lokasi kejadian tembak yang mengakibatkan seorang mati dan dua parah, semalam.
BIDOR - Seorang maut manakala dua parah dalam satu kejadian tembak di Taman Batang Padang di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa dikenali sebagai G Mogeswaran, 22, dari Kampung Bar Tongkah Harbour, Bidor, maut dipercayai ditembak dari jarak dekat.

Katanya, ketika kejadian, mangsa bersama rakan-rakan sedang minum berhampiran dengan Taman Batang Padang, di sini, kira-kira jam 10 malam, sebelum didatangi seorang lelaki.

“Suspek, seorang lelaki berbaju T biru dan berseluar pendek, mendekati mangsa dan menembak mangsa dari belakang pada jarak dekat.

“Suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan kawan-kawan mangsa. Dua lain turut cedera,” katanya pada sidang media,di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini, semalam.

Som Sak berkata, mangsa lari kira-kira 100 meter dari tempat kejadian sebelum rebah dan meninggal dunia.

Katanya, dua rakan mangsa, berusia 22 tahun, lari ke arah sebuah hotel berhampiran bagi dapatkan bantuan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menurutnya, mereka dikenali sebagai D Gunaseelan mengalami kecederaan di tangan kiri, manakala K Devaraj, mengalami kecederaan di leher serta bahu, dilaporkan stabil.

Beliau berkata, pihaknya menjumpai serpihan peluru dipercayai digunakan oleh suspek di tempat kejadian.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kami juga menahan empat lelaki bagi membantu siasatan polis.

“Jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan  Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintenden Md Nasri Fadzir  atau pegawai penyiasat kes ini, Inspektor Harris Md Noor di hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan,” katanya.

Marahkan suami buang anak

Marahkan suami buang anak
GARA -gara tindakan tidak berhati perut meninggalkan anak kembarnya di koridor sebuah blok pangsapuri di timur laut Romania, seorang wanita berdepan tuduhan melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak dan hilang hak penjagaan anak-anaknya.

Mihaela Boghian, 32, didakwa meninggalkan Antonia dan Iasmina, 8 bulan, di bandar Piatra Neamt kerana mendapat kerja sebagai pemetik buah di sebuah ladang di Britain.

Bapa kanak-kanak itu, Marius Boghian, 35, yang bekerja di Jerman berkata, dia bergegas ke Romania selepas menonton berita di televisyen yang memaparkan wajah anak kembarnya itu.

“Saya selalu menonton berita di Romania menerusi internet, dan ketika wajah anak saya dipaparkan, saya terkejut. Saya cuba hubungi isteri tetapi tidak dapat. Kemudian saya menghubungi polis dan mereka mengesahkan itu memang bayi saya,” katanya.

Difahamkan menurut laporan Daily Mail, suspek bertindak meninggalkan bayinya kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang dikirim Marius untuk penjagaan anak-anak dan berasa terbeban.

Pengarah Penjagaan Kanak-kanak Tempatan, Cristina Pavaluta berkata, suspek dikatakan telah menyedari kesilapannya, dan inginkan kembali anak kembarnya itu. Namun, kanak-kanak itu akan kekal di bawah jagaan bapanya dengan dipantau pekerja sosial sehingga siasatan selesai.

Sorok bahan letupan

Joanne menyimpan senjata api sebagai persediaan Perang Dunia Ketiga.
Joanne menyimpan senjata api sebagai persediaan Perang Dunia Ketiga.
SEORANG bekas tentera dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas didapati bersalah menyembunyikan bahan letupan, senjata api dan peluru di rumahnya di Bloxwich, West Midlands.

Joanne Morris, 48, yang dahulunya dikenali sebagai Paul dipercayai mengambil beberapa bahan letupan semasa berkhidmat dengan Jurutera Diraja antara 1983 hingga 1992.

Kesemua bahan itu disorokkan di dalam batas bunga di rumahnya sebagai persediaan untuk Perang Dunia Ketiga.

Hukuman dijatuhkan Mahkamah Wolverhampton Crown, dan suspek akan menjalani hukuman di penjara lelaki walaupun menganggap dirinya seorang wanita dan membahasakan diri sebagai Joanne sepanjang prosiding mahkamah.

Ketika serbuan, pihak polis menemui hampir 2,000 butir peluru termasuk 476 kartrij peluru, 239 kepala peluru, 15 peledak, 12 senapang patah, tujuh batang bahan letupan, bom tangan asap dan dua pedang samurai.

“Ini adalah jumlah rampasan peluru terbesar dirampas polis West Midlands dalam 10 tahun. Rumah ini terpaksa dikosongkan dan letupan terkawal perlu dilakukan bagi memastikan kawasan tersebut kurang berbahaya,” menurut Hakim John Warner.

Menurut Mail Online, Joanne mengaku bersalah atas empat tuduhan kerana menyalahi undang-undang.

Angka korban hujan monsun cecah 300

Penduduk di Jalalpur Bhattian di wilayah Punjab menunggu giliran untuk berpindah. - Foto AFP
Penduduk di Jalalpur Bhattian di wilayah Punjab menunggu giliran untuk berpindah. - Foto AFP
LAHORE - PAKISTAN. Angka korban hujan monsun mencecah lebih 355 orang (sehingga jam 10 malam waktu Malaysia) selepas hujan monsun berterusan melanda sejak minggu lalu di Pakistan dan India.

Di India, sekurang-kurangnya 450 kampung ditenggelami banjir dan berlaku tanah runtuh di Kashmir hingga membunuh 175 penduduk.

Menurut Al Jazeera, keadaan sama turut berlaku di Pakistan apabila lebih 160 orang maut manakala ribuan penduduk hilang tempat tinggal.

Jurucakap pengurusan bencana Pakistan, Ahmed Kamal memberitahu, sebanyak 286 kampung di Punjab ditenggelami banjir dengan ribuan rumah dihanyutkan arus deras.

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi yang meninjau kawasan banjir mengarahkan pihak berkuasa melakukan pemantauan dan operasi menyelamat sepanjang tempoh 24 jam.

Runtuhan kuari: Dua pekerja asing ditemui mati


PASUKAN mencari dan penyelamat mendaki kuari bagi mencari tiga mayat warga asing yang mati tertimbus dalam runtuhan kuari di Felda Bukit Sagu 4, Kuantan. - Foto Luqman Hakim Zubir
KUANTAN: Dua disahkan maut dalam kejadian runtuhan kuari di Bukit Sagu 4, Bukit Sagu, dekat sini, kira-kira jam 5 petang tadi.
Dua mangsa itu adalah warga Indonesia, Rudi Hartono, 30, dan warganegara Myanmar, Tang Yang Siew, 25.
Mayat pertama ditemui kira-kira jam 7 malam manakala mayat kedua pada jam 9.20 malam.
Seorang lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu dan masih belum ditemui adalah Cecep Rubiyanto, 22, juga warga Indonesia.

Lebih 100 rumah atas air musnah kebakaran dekat Tawau

ISNIN, 8 SEPTEMBER 2014 @ 8:53 PM

 
TAWAU: Lebih 100 rumah atas air di Kampung Tanjung Batu Laut di Logpond, dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam ini.

Kejadian bermula pada jam 7 malam tadi mengakibatkan lebih 400 penduduk hilang tempat tinggal.

Sehingga jam 8.45 malam ini, bomba masih menjalankan operasi memadam kebakaran.

Difahamkan, bomba berdepan kesukaran untuk masuk ke kawasan kampung berkenaan berikutan laluan yang sempit.



Setakat ini, bomba masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian itu mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.20 petang sebelum menghantar lebih 30 anggota bersama empat jentera dan kenderaan utiliti ke lokasi.

"Jumlah sebenar rumah terbakar serta penduduk yang hilang tempat tinggal masih belum dapat dipastikan. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Tiga pekerja asing dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan kuari


KUANTAN: Tiga pekerja warga asing dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan kuari di Bukit Sagu 4, Panching, dekat sini, kira-kira jam 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan kejadian itu dan usaha mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.
Mangsa dipercayai warga Indonesia dan Myanmar namun identiti mereka belum dapat dipastikan.

175 terkorban banjir di India


NEW DELHI : Kira-kira 175 nyawa terkorban sementara beribu yang lain terkandas dalam banjir buruk melanda wilayah Jammu dan Kashmir sehingga jam 5 petang tadi waktu tempatan.
Pasukan tentera dan keselamatan negara itu sudah melancarkan misi menyelamat besar-besaran sejak kelmarin sementara Perdana Menteri India, Narendra Modi mengisytiharkan banjir buruk itu sebagai darurat.
Berdasarkan portal berita India Today, kira-kira 2,000 kakitangan kerajaan, termasuk pelajar dan polis di Srinagar gagal menghubungi keluarga di Jammu sejak tiga hari lalu berikutan masalah rangkaian komunikasi yang terjejas teruk.

7 cedera, letupan bom di stesen kereta api metro Chile

SANTIAGO: Sebutir bom meletup di kawasan gerai makanan dalam stesen kereta api metro Santiago menyebabkan tujuh orang cedera, hari ini.
Kerajaan negara itu menyifatkan perbuatan itu sebagai "tindakan pengganas".
Pegawai berkata, bom berkenaan meletup ketika waktu makan tengah hari di stesen Escuela Militar (sekolah tentera).
Katanya, bom terbabit diperbuat menggunakan alat pemadam api dan sebuah jam yang diletakkan di dalam tong sampah.
"Kejadian ini memang dahsyat. Seorang wanita tertiarap di atas lantai manakala pelanggan melarikan diri tanpa membuat bayaran dan meninggalkan makanan yang dihidangkan," kata
seorang pekerja restoran, Rosa Valdes. - AFP

Tak sangka buruan berkopiah



Pasir Puteh: “Dalam tempoh hampir tiga bulan mereka sewa, saya tak pernah bersua muka dengan mereka.

“Cuma sebelum ini, saya memang maklum mengenai mereka yang sering berkopiah, bercakap lemah-lembut dan memiliki riak muka yang jujur,” kata Nabar Lazim, 62.


Nabar ialah pemilik rumah yang disewa dua penjenayah paling dikehendaki polis.



Menurutnya, dia memang tidak menyangka individu yang menyewa rumahnya itu penjenayah paling dikehendaki dikenali sebagai pembunuh upahan kerana perwatakan ditunjukkan kedua-dua mereka memang cukup berbeza daripada perangai sebenar.


Nabar berkata, dia dan isteri Rakiah Awang Noh, 59, hanya mengetahui mengenai identiti sebenar penyewa berkenaan selepas terkejut dengan kedatangan sepasukan polis yang mengepung rumah berkenaan yang terletak bersebelahan rumahnya.


“Sebelum menyewakan rumah itu, saya diberitahu seorang jiran sekampung ada sepasang suami isteri mencari rumah sewa dan berminat menyewa rumah saya RM200 sebulan.

“Urusan sewa pertama pun diuruskan jiran sebelum kedua-dua penyewa itu masuk ke rumah.


“Saya pula membuka sebuah kedai mencuci kenderaan di bandar Pasir Puteh menyebabkan kami jarang pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati jarak rumah sewa itu dengan jalan utama Machang-Pasir Puteh hanya kira-kira 20 meter selain dikelilingi pelbagai pokok buah-buahan.


Menceritakan kejadian tembak-menembak itu, Nabar berkata, sebelum ini, dia dan isteri sering bermalam di kedai mereka di bandar Pasir Puteh, namun pada hari kejadian, mereka sepakat pulang ke rumah kerana kepenatan.


Katanya, ketika mahu melelapkan mata, dia terdengar bunyi ketukan pintu berulang kali diikuti bunyi bising menyebabkannya nekad meninjau keadaan sekeliling walaupun takut.


“Sebaik pintu dibuka, saya terkejut melihat sepasukan polis memenuhi pekarangan rumah sewa sebelum mereka meminta saya masuk ke dalam rumah kerana faktor keselamatan,” katanya.


Menurutnya, bunyi bising itu berlarutan sebelum bunyi seperti letupan mercun kedengaran tidak lama kemudian.


“Saya dan Rakiah bersama tiga anak dan dua cucu hanya mendiamkan diri dan berkumpul di ruang tamu sambil beristighfar semoga kami sekeluarga tidak ditimpa sebarang musibah.


“Tembak-menembak itu berlangsung kira-kira setengah jam sebelum suasana kembali tenang dan sunyi. Hanya selepas menunaikan solat Subuh, baru saya berani keluar rumah dan meninjau keadaan sebelum dimaklumkan kedua-dua penyewa sebenarnya penjenayah yang dikehendaki polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Mangsa tembakan rambang


Kepala Batas: Seorang lelaki bingung selepas rumahnya menjadi sasaran tembakan rambang dalam kejadian di Lorong Seri Bertam 3, Taman Seri Bertam di sini, jam 3 pagi semalam.

Terdahulu sejurus kejadian jiran mangsa dikatakan terjaga selepas terdengar bunyi kuat itu dari hadapan rumahnya, namun dia menyangka ia letupan mercun.


Jiran mangsa yang curiga melihat sebuah kereta memecut laju meninggalkan lokasi kejadian keluar untuk menyiasat punca bunyi letupan itu.



Kejadian tembakan itu hanya disedari isteri mangsa ketika keluar dari rumahnya kira-kira jam 7 pagi sebelum menghubungi suaminya memaklumkan perkara itu.


Mangsa yang hanya dikenali sebagai Tan, 35, berkata, dia kemudian bergegas pulang ke rumah sejurus dimaklumkan mengenai perkara itu kerana risau dengan keselamatan keluarganya.


Dia kemudian mula berasa tidak sedap hati apabila menemui kelongsong peluru dan lubang akibat kesan tembakan pada dinding dan pagar kediamannya itu.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Tikam Batu, Kedah, namun isteri berusia 33 tahun dan empat anak berusia setahun hingga 13 tahun ketika itu sedang nyenyak tidur,” katanya.


“Bagaimanapun mereka langsung tidak menyedari perkara itu, sebaik masuk ke dalam kawasan rumah saya lihat pagar besi dan dinding berlubang, hati bertambah risau selepas menemui kelongsong peluru,” katanya.

Mangsa, yang bekerja sebagai penjaga ladang ayam di Kuala Ketil, Kedah berkata, dia risau dan hairan mengapa rumahnya menjadi sasaran tembakan berkenaan.


Menurut mangsa, sebelum ini dia tidak mempunyai musuh atau terbabit dengan salah faham dengan mana-mana individu yang mungkin berdendam dengan dirinya.


“Saya sendiri tak tahu kenapa orang tembak rumah saya, ini sesuatu yang menghairankan kerana saya tidak pernah bergaduh dengan mana-mana individu sebelum ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


Menurut beliau, anggota forensik yang menjalankan siasatan di kawasan rumah itu menemui lapan kelongsong peluru Thai arms, selain lapan kesan lubang akibat tembakan serta tiga serpihan peluru.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Lima keluarga hilang tempat tinggal


Alor Gajah: Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas deretan rumah sewa didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Sekolah Ghafar Baba, di sini, semalam.

Kejadian jam 9.30 pagi itu disedari seorang penghuni, Norafiqah Norasid, 21, apabila ternampak kepulan asap keluar dari bahagian hadapan sebuah rumah empat sederet itu.


Menurut Norafiqah, ketika kejadian dia baru keluar dari rumah untuk ke kedai berhampiran sebelum menyedari kepulan asap lalu berpatah balik untuk meninjau punca kejadian.



“Saya panggil jiran sebelah, Nornajihah Abd Malik, 25, untuk bertanya dari mana punca asap terbabit keluar sebelum dia meninjau di bahagian dapur rumah ketiga dan mendapati api marak dari dalam sebuah bilik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, tersentak dengan kepulan asap itu, dia berlari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan beberapa barangan berharga sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah.


“Keadaan semakin cemas apabila berlaku letupan kecil menyebabkan api mula marak dan merebak ke deretan empat rumah terbabit sebelum sebuah rumah berdekatan turut disambar api dan terbakar sebahagiannya,” katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin yang melawat tempat kejadian berkata, beliau meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi membantu menguruskan keperluan keluarga mangsa.

Katanya, beliau difahamkan semua mangsa yang terdiri daripada lima keluarga memilih untuk menumpang di rumah saudara-mara buat sementara waktu sementara kebajikan mereka dipantau kakitangan Parlimen di bawahnya. “Mangsa memilih untuk tinggal bersama saudara-mara ekoran rumah didiami musnah 100 peratus, namun pihak Parlimen dan jabatan berkenaan akan memastikan kebajikan dan keperluan mangsa terjaga,” katanya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Penolong Penguasa Sahmsul Fuad Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 9.53 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, seramai 13 pegawai dan anggota membabitkan dua jentera dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat mengenai kebakaran itu.

“Setiba di tempat kejadian, kami mendapati keseluruhan deretan empat rumah hangus terbakar dalam keadaan api masih marak sebelum api dikawal dalam tempoh kurang 10 minit dan berjaya dipadamkan kurang dari 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

13 dokumen seleweng ke SPRM


Putrajaya: Lebih 13 dokumen mengandungi maklumat penyelewengan yang dilakukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai Janice Lee Ying Ha dihantar ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Penolong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor Mohammad Firdaus Babh berkata, tindakan itu dilakukan selepas beliau mengesyaki terdapat penyelewengan dan penyalahgunaan peruntukan yang dilakukan Janice semasa beliau menyandang jawatan berkenaan dari 2010 sehingga tahun lalu.


Beliau berkata, pihaknya mengambil masa yang agak lama untuk melengkapkan dokumen berkenaan, termasuk kenyataan daripada beberapa saksi dan syarikat sebelum ia diserahkan kepada SPRM.



“Terdapat lebih 20 kes yang dimuatkan di dalam dokumen yang diserahkan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Kuari rentap nyawa

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: Seorang pekerja asing ditemui mati manakala dua rakan sekerjanya dikhuatiri maut akibat tertimbus runtuhan kuari di Bukit Sagu 4, Panching, dekat sini, jam 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, anggotanya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian.
Katanya, dipercayai mangsa adalah warga Indonesia dan Myanmar namun identiti mereka masih belum dapat dikenalpasti.

"Pasukan penyelamat giat mencari lagi dua mangsa dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian," katanya.
Foto
LOKASI kejadian runtuhan kuari.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

29 pelajar kita terkandas bah


Putrajaya: Kementerian Luar mengesahkan 29 pelajar Malaysia dilaporkan terperangkap dalam bencana banjir teruk di Jammu dan Kashmir, India.
Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, seramai 10 pelajar terperangkap di Pahalgam dan masih gagal dihubungi Konsulat Malaysia manakala 19 pelajar lain pula terperangkap di sebuah hotel di Srinagar. 
Beliau berkata, semua pelajar berkenaan terdiri daripada pelajar perubatan dari Universiti Perubatan Manipal di Karnataka yang dibiayai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan juga pelajar persendirian. 

“Hujan lebat dan banjir di kedua-dua negeri itu menenggelamkan 450 kampung dan memberi kesan buruk kepada 2,000 kampung yang lain.
Foto
ORANG ramai berkumpul di jambatan yang runtuh akibat arus deras dalam bencana banjir di Sungai Tawi di pinggir Jammu, India, kelmarin.

“Konsulat Malaysia di Chennai menghubungi pelbagai pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan laporan keadaan semasa pelajar berkenaan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, di sini, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

'Mat Hatim' sudah mati


Kota Bharu: Selepas lebih setahun diburu, penjenayah paling dikehendaki, 'Mat Hatim' atau nama penuhnya Hatim Mohd Zain, 25, akhirnya tersungkur apabila maut dalam satu kejadian berbalas tembakan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Banggol Telipot, Pasir Puteh, jam 4.10 pagi tadi.
Turut maut adalah seorang lagi rakan sekutunya Mohamad Hafiz Saupi, 25, dari Kampung Merak Banggu, Bachok. 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, Mat Hatim sudah lama diburu berikutan terbabit kes bunuh dan tembak di Kampung Kemasin, Bachok, Februari tahun lalu. 

"Operasi pagi tadi dikendali sepasukan anggota Operasi Khas Bahagian Siasatan/ Perancangan (D8) Bukit Aman yang bertindak menyerbu rumah sewa didiami dua suspek terbabit sejak dua bulan lalu.
Foto
RUMAH sewa didiami suspek. FOTO Azlan Hafeedz

"Dalam serbuan itu suspek melepaskan tujuh das tembakan yang turut mencederakan tiga anggota termasuk seorang pegawai.

"Namun ketiga-tiganya yang cedera di pergelangan tangan, peha dan perut berada dalam keadaan stabil, dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian," katanya pada sidang media sebentar tadi. 

Mohmad percaya dengan kematian suspek polis berjaya menyelesaikan dua kes bunuh, tiga kes cubaan bunuh dengan senjata api selain dadah yang aktif dilakukan sejak tiga tahun lalu. 

Polis turut merampas dua pucuk pistol jenis Compact Cz 75D dan .38 buatan Brazil berhulu kayu berwarna coklat. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

100 rumah jadi abu


Tawau: Dianggarkan sebanyak 100 rumah setinggan musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut, petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohd Affendy K Ramin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 petang.
"‎Kebakaran membabitkan rumah setinggan dan seramai 37 anggota bomba bersama tiga jentera dikejar ke lokasi kejadian.

"Setakat ini, operasi memadamkan api masih dilakukan dan dilaporkan belum dapat dikawal," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Foto
ANTARA rumah yang terbakar. FOTO Norasikin Daineh

Bagaimanapun, Affendy berkata tiada mangsa dilaporkan setakat ini ‎dan pihak bomba masih bertungkus lumus mengawal kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Dua gajah Sumatera ditemui tanpa gading


Banda Aceh: Dua ekor gajah Sumatera yang sangat diancam kepupusan ditemui mati dengan gading masing-masing hilang, kata polis semalam.

Jurucakap polis Aceh, Gustav Leo berkata, gajah pertama ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Aceh Timur pada Ahad, manakala seekor lagi di daerah Aceh Jaya pada Jumaat.


“Pegawai berkaitan masih dalam perjalanan ke tempat bangkai gajah kedua itu ditemui,” katanya. Gustav berkata, pihak veterinar mengesan terdapat unsur racun pada najis gajah pertama. Justeru, katanya, pihak berkuasa percaya gajah berkenaan sengaja dibunuh pemburu haram untuk membolehkan mereka mengambil gadingnya. Biasanya gajah Sumatera dibunuh penduduk kampung kerana ia sering merosakkan tanaman.



Pada masa sama, ia juga dikehendaki pemburu haram yang ingin mendapatkan gadingnya. Ketika ini ada kurang daripada 3,000 ekor gajah jenis itu di seluruh dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Gugur bayi dalam balai polis


Riyadh: Seorang wanita Syria yang hamil selepas menjalin hubungan sulit dengan kekasihnya bertindak luar jangkaan apabila menggugurkan kandungannya ketika ditahan di dalam lokap polis untuk mengelak didakwa.

Wanita itu yang sudah bercerai ditahan selepas dilihat bersama seorang lelaki. Hasil pemeriksaan mendapati dia hamil, lapor akhbar al Watan.


“Dia ditahan dalam lokap sementara menanti perbicaraannya, namun menggugurkan kandungan itu.

“Mungkin dia menganggap dapat mengelak daripada dibicarakan dan menyangka pihak polis tidak tahu perbuatannya,” lapor akhbar itu.


Wanita itu kemudian dibawa ke hospital dan bakal menghadapi tuduhan mengadakan hubungan sulit serta membunuh anak dalam kandungannya. - Agensi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

350 korban banjir


Dengan talian telefon dan rangkaian jalan raya terputus, kerosakan sebenar bencana itu di seluruh Kashmir dan Punjab masih belum dipastikan tetapi rakaman video dari helikopter tentera menunjukkan keseluruhan perkampungan di lokasi kejadian ditenggelami air.

Ketika tentera bertungkus-lumus sepanjang masa untuk menyelamatkan mangsa di Kashmir, penduduk kelihatan melambai dari bumbung bangunan.
Kenderaan dan haiwan ternakan pula kelihatan dihanyutkan air.

Pegawai pengurus bencana berkata, jumlah kematian semasa menjadikan banjir kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 50 tahun.

Puluhan ribu tentera dan polis menggunakan helikopter serta bot bagi menghantar selimut, khemah dan bantuan lain bagi meminimumkan kesan bencana.
Foto
LIMPAHAN banjir membentuk ‘air terjun’ ketika orang ramai meredah jalan raya di Bagh di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Seramai 5,183 orang diselamatkan sehingga petang semalam dan pengagihan bantuan terus ditingkatkan.

Ketua Pengarah Pasukan Bertindak Bencana Kebangsaan, O P Singh berkata, di sesetengah kawasan air begitu tinggi dan penyelamat tidak boleh ke tempat berkenaan kecuali melalui laluan udara.
“Amat sukar menyatakan berapa ramai terperangkap.

“Kepastian hanya boleh didapati selepas semua mangsa diselamatkan,” katanya.

Jurucakap tentera laut pula berkata, pasukan penyelam dihantar ke kawasan terjejas dan berkerja “siang dan malam” namun mereka sukar dihubungi akibat masalah logistik.

Di Pakistan pegawai berkata jumlah kematian kekal 205 dengan 131 daripadanya di kawasan Punjab.

Pegawai Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata, di kawasan Kashmir yang ditabir Pakistan, seramai 63 orang maut dan 105 cedera. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Bunuh anjing dalam mesin basuh


Hong Kong: Polis semalam melancarkan siasatan berhubung kes penderaan haiwan selepas seorang lelaki memuat naik gambar ke Internet yang menunjukkan dia membunuh seekor anjing dengan memerangkapnya di dalam mesin basuh.

Gambar itu yang dimuatnaik oleh lelaki yang menamakan dirinya Jacky Lo menunjukkan seekor anjing kecil cuba memanjat keluar dari mesin basuh itu sementara satu lagi menunjukkan haiwan berkenaan bergelut untuk mengelak dirinya daripada lemas ketika mesin itu berpusing.


‘Lo’ berkata dia memuat naik gambar itu untuk menunjukkan ‘cara paling pantas untuk memandikan anjing.’ Menjawab satu soalan oleh seorang pengguna yang bertanya sama ada dia membunuh haiwan itu, ‘Lo’ menjawab dalam ruang komen di bawah gambar itu: “Ya. Ia sudah mati. Anda mahu melihatnya?” Hampir 20,000 pengguna Internet di Hong Kong menandatangani petisyen menerusi online menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lelaki itu. - Agensi

'Lelaki alam maya ajak dia lari'



SITI RUDZAH menunjukkan gambar anaknya, Siti Nur Hidayah yang hilang dipercayai dilarikan oleh kenalan Facebooknya di Muar semalam.


MUAR - Sebuah keluarga di sini tidak keruan memikirkan kehilangan anak tunggal mereka yang menghilangkan diri hampir sebulan lalu.
Ibu gadis berkenaan, Siti Rudzah Arsad, 58, yang ditemui di kediamannya di Kolej Jururawat Segamat di sini percaya, kehilangan anaknya, Siti Nur Hidayah Ibrahim, 23, mungkin ada kaitan dengan kenalan yang dikenalinya di media sosial Facebook.
Wanita itu berkata, 'teori' yang difikirkan mungkin tepat kerana anak gadisnya kerap merungut kononnya dirinya bosan selepas terpaksa berhenti kerja disebabkan mengalami masalah lutut.
"Sejak duduk di rumah, dia beritahu, dirinya bosan dan minta saya belikan telefon pintar bagi memudahkan dia berhubung dengan rakan-rakannya, saya akur dan membelinya," katanya sambil memberitahu anaknya menjadi pasif dan sangat teruja dengan telefon baharunya selepas itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3Clv9IjQs 
Hakcipta terpelihara 

Kastam rampas 20 buah kereta mewah seludup



ANGGOTA JKDM memeriksa kereta mewah pelbagai jenis yang dirampas dalam beberapa operasi di Selayang dan Rawang, Selangor bermula Jumaat lalu hingga semalam.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 20 buah kenderaan mewah pelbagai jenis dipercayai dalam proses dijual kepada pihak-pihak tertentu oleh satu sindiket penyeludupan berjaya dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam.
Antara kenderaan yang dirampas dalam operasi di Selayang dan Rawang itu ialah Porshe, BMW, Mercedez Benz, Audi, Honda, Toyota serta beberapa jenis kenderaan lagi. Kesemua kenderaan tersebut dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran tanpa membayar cukai.
Pengarah Risikan Ibu Pejabat JKDM, Mariappa Ramayah berkata, operasi bermula Jumaat lalu sehingga semalam dilakukan oleh JKDM Kedah selepas mereka mendapat maklumat mengenai kegiatan sindiket itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3CluTmJIK 
Hakcipta terpelihara 

Remaja pancing duit masjid dicekup


PASIR MAS - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dicekup ketika mencuri duit tabung sebuah masjid di Kampung Kasar dekat sini setelah dikepung awal pagi semalam.
Dia ditangkap tiga ahli jawatankuasa (AJK) masjid tersebut kira-kira pukul 2 pagi yang bersembunyi di bawah tangga kerana berkawal setelah masjid itu kerap dipecah masuk.
Remaja itu telah bertindak agresif ketika cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan selama lima minit.
Remaja berkenaan yang tidak bersekolah dipercayai penagih pil kuda dan dia menggunakan wang curi untuk membeli dadah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3CluLCMLM 
Hakcipta terpelihara 

Pasangan kekasih aktif curi kereta



MOHD. MOKHTAR memeriksa kenderaan mewah bernilai lebih RM500,000 yang dirampas di Johor Bahru, Johor semalam.


JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih dipercayai dalang satu sindiket mencuri kenderaan mewah yang bergerak aktif di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur ditangkap dalam satu serbuan minggu lalu.
Kegiatan lelaki berusia 47 tahun dan pasangannya berusia 48 tahun itu terbongkar selepas mereka ditahan dalam satu serbuan di Taman Plentong, Masai dekat sini kira-kira pukul 3 petang.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff memberitahu, kedua-dua suspek berkenaan ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ketika menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Lexus.
Menurut beliau, kenderaan tersebut telah dilaporkan hilang di Klang, Selangor dan susulan itu polis menemui tiga lagi kenderaan bernilai lebih RM500,000 yang disimpan di sebuah bengkel kereta berhampiran.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3CluCNkvI 
Hakcipta terpelihara 

Riwayat Mat Hatim berakhir


KOTA BHARU – Pemburuan polis Kelantan terhadap penjenayah paling dikehendaki, Mat Hatim sejak lebih setahun lalu berakhir semalam apabila dia dan rakan jenayahnya mati dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah rumah di Kampung Banggol Telipot, Pasir Puteh di sini.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi, Mat Hatim atau nama penuhnya, Hatim Mohd. Zain, 25, bersama sahabatnya, Mohamad Hafiz Saupi, 25, mati di dalam rumah tersebut manakala tiga anggota polis cedera dipercayai ditembak oleh Mat Hatim.
Tiga anggota polis yang cedera ialah Inspektor Shukri Hassan, Koperal Zulkifli Mat Din dan Lans Koperal Zahari Abd. Hamid. Shukri cedera terkena tembakan di paha kiri, Zulkifli cedera di pergelangan tangan kiri manakala Zahari cedera di perut kanan terkena serpihan peluru.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3CltyiP1S 
Hakcipta terpelihara 

Obama beri amaran wabak Ebola akan menjadi semakin buruk



BEBERAPA petugas Palang Merah Liberia memakai sut perlindungan ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah kampung yang dilanda wabak Ebola di pinggir ibu kota negara itu, Monrovia pada 4 September lalu.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan, AS kini menggalas tugas utama mengekang penularan wabak maut Ebola di Afrika Barat yang dijangka semakin sukar dan mengambil masa agak panjang untuk ditangani.
Beliau berkata, pihak tentera AS akan membantu dengan membekalkan barangan dan kelengkapan serta menyediakan khidmat pekerja keselamatan kesihatan awam yang bawa dari seluruh dunia bagi menangani wabak itu.
Bagaimanapun, langkah itu akan mengambil masa selama beberapa bulan sebelum keadaan dapat dikawal sepenuhnya, kata Obama sewaktu bertemu wartawan dan ketika ditemu bual oleh agensi berita NBC minggu lalu.
Obama memberi amaran jika wabak itu merebak dan dikesan di AS, ia menjadi satu isu awam yang sangat serius walaupun perkara tersebut belum terjadi setakat ini.
Penularan wabak Ebola yang mula dikesan di negara Liberia sejak enam bulan lalu setakat ini telah membunuh kira-kira 2,000 orang di beberapa buah negara di barat Afrika. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3ClqaeLf2 
Hakcipta terpelihara 

29 pelajar perubatan Malaysia terperangkap di Kashmir


BEBERAPA penduduk bersama haiwan ternakan mereka meredah banjir di ibu negeri wilayah Kashmir India, Srinagar kelmarin.


KUALA LUMPUR - Seramai 29 pelajar perubatan dari Malaysia yang sedang bercuti di Kashmir dilaporkan terperangkap akibat banjir besar yang melanda wilayah berkenaan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan semalam memberitahu bahawa, pelajar tersebut terperangkap di bandar Srinagar dan Pahalgam.
Kesemua pelajar berkenaan menuntut dalam jurusan perubatan di Universiti Perubatan Manipal di Karnataka.
"Seramai 10 pelajar perempuan dilaporkan terperangkap di Pahalgam dan masih lagi tidak dapat dihubungi oleh Konsulat Malaysia di India.
"Seramai 19 lagi pelajar terperangkap di sebuah hotel di Srinagar yang merupakan ibu negeri Jammu dan Kashmir," katanya.
Kata kenyataan itu, Konsulat Malaysia di Chennai sedang menghubungi pihak berkuasa tempatan di wilayah berkenaan untuk mendapatkan laporan berhubung situasi semasa kumpulan pelajar tersebut.
Menurut pihak Konsulat, pelajar-pelajar berkenaan hanya boleh dihubungi melalui laman sosial Facebook kerana terdapat gangguan dalam sistem komunikasi dan perhubungan.
Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir buruk di wilayah berkenaan yang menenggelamkan beratus-ratus kampung dan beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan.
Dilaporkan hampir 250 orang terkorban sejak banjir melanda rantau Himalaya itu yang berjiran dengan Pakistan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0909&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Clpm75MV 
Hakcipta terpelihara 

Dua penjenayah maut, tiga anggota polis cedera ditembak


KOTA BHARU 8 Sept. - Dua penjenayah yang paling dikehendaki maut manakala tiga anggota polis cedera dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Banggol Telipot, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 4.10 pagi tadi.
Salah seorang penjenayah yang dikenali sebagai Mat Hatim, 25, dikehendaki polis kerana terlibat dalam beberapa kes bunuh di negeri ini.
Pihak polis akan mengadakan sidang akhbar untuk mendedahkan secara mendalam mengenai kejadian tersebut pada pukul 3 petang ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140908/je_05/Dua-penjenayah-maut-tiga-anggota-polis-cedera-ditembak#ixzz3Clp7J4mw
© Utusan Melayu (M) Bhd