Search This Blog

Monday, September 8, 2014

Bot terbalik, 3 rakan hilang


Oleh Na’imah Mohamed dan Nur Saliawati Salberi
Shah Alam: Keriangan sekumpulan kaki pancing menghabiskan cuti hujung minggu dengan keluar memancing bertukar tragedi apabila tiga rakan mereka dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mangsa terbalik, satu kilometer dari Jeti Tanjung Siam, Bestari Jaya, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang dikenali sebagai Jamaludin Abu, 55, Md Noor Hassan, 32, dan Hakimi, 36, dikatakan keluar memancing bersama lapan bot lain yang dinaiki rakan mereka. Bagaimanapun, bot mangsa tiba-tiba terbalik sebelum mangsa hilang dibawa arus.


Semua mangsa dari Puchong dan ketika kejadian keadaan cuaca baik, tetapi arus air sungai ketika itu beralun.



Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Roslan Asri berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.21 pagi, pasukan penyelamat dari BBP Bestari Jaya dan BBP Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.


Katanya, rakan mangsa yang lain hanya menyedari bot dinaiki mangsa terbalik selepas menyedari mereka meminta tolong sebelum hilang dibawa arus.


Menurutnya, jarak antara bot mangsa dan rakan yang lain agak jauh membuatkan mereka tidak dapat menyelamatkan mangsa.

“Sehingga jam 7 malam tadi, pihak bomba dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih belum menemui mangsa.


“Berikutan cuaca gelap dan arus air deras, operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7.30 malam dan akan disambung semula jam 8 pagi esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Wanita terkejut beg dalam kereta ‘ghaib’


Kajang: Seorang wanita terkejut apabila mendapati beg tangan diletakkan di bawah tempat duduk hadapan keretanya ‘ghaib’ ketika dia pergi ke pasar malam Bandar Seri Putra, Bangi, di sini.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti Aishah, 32, kerugian wang tunai RM3,000 termasuk pelbagai barangan berharga.


Mangsa pelik berikutan tiada kesan umpil mahupun calar pada kenderaannya itu yang boleh dikaitkan dengan kes pecah masuk kenderaan.



“Memang langsung tiada sebarang kesan pecah mahupun calar. Saya yakin kenderaan saya berkunci.


“Saya hairan bagaimana suspek dapat membuka pintu malah mengetahui kedudukan beg tangan saya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Mangsa dikenal pasti Jepun


Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Gombak: Mayat lelaki dipenggal kepalanya sebelum ditemui di Kilometer 32, Jalan Gombak Lama, di sini, Khamis lalu, dipercayai adalah warga negara Jepun berdasarkan dokumen peribadi ditemui.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, dokumen milik mangsa ditemui tidak jauh dari mayat lelaki yang dipercayai dibunuh sebelum dibuang di kawasan hutan di situ.


Menurutnya, siasatan awal menunjukkan mangsa berusia 30-an.

“Kami percaya mangsa dibunuh di kawasan lain sebelum dicampak di hutan itu. Berdasarkan bedah siasat, mangsa mati akibat lemas sebelum kepalanya dipenggal,” katanya.


Beliau berkata, motif sebenar pembunuhan ngeri itu masih lagi dalam siasatan dan polis kini sedang giat mengesan waris mangsa.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Tiga cari nipah dibunuh tebuan


Kota Samaraha: “Patutlah hati saya selalu gelisah tidak menentu, rupa-rupanya ia petanda saya hilang anak dan cucu serentak,” kata Wan Aribi Wan Ibrahim, 54, berhubung kematian anaknya, Sharifah Norhasyiawati, 24, dan cucu Nor Sharina Sharizan, 6, akibat serangan tebuan di Sungai Sebang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, selain dua beranak itu, Esah Ebon, 42, kakak ipar kepada Sharifah Norhasyiawati turut maut akibat diserang tebuan dalam kejadian di Sungai Sebang, berhampiran Kampung Tanjung Bundong, di sini. 
Sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa bersama suami Sharifah Norhasyiawati, Sharizan Ebon, 32, anak lelaki mereka, Khusairi, 3, serta anak lelaki Esah, Ismail Jemali, 9, keluar mencari pucuk nipah di kawasan sungai berkenaan untuk membungkus tapai yang menjadi perniagaan keluarga sejak 14 tahun lalu. 

Ketika kejadian, Sharifah Norhasyiawati dan Sharina paling teruk diserang tebuan apabila terkena 40 hingga 50 sengatan manakala Esah turut disengat di seluruh badan.
Foto
BELAKANG Sharizan dipenuhi kesan sengatan tebuan ketika mencari nipah di Sungai Sebang.

Sharizan, Khusairi dan Ismail turut parah akibat serangan berkenaan namun masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Upah ‘Mat Bangla’ jadi jurujual


Ini terbukti apabila ramai pekerja warga Bangladesh dikesan menjadi jurujual premis perniagaan barangan cetak rompak di sekitar Jalan Petaling, di sini.

Bagaimanapun semua peniaga warga asing itu bertempiaran melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, semalam.
Dalam operasi bermula pada jam 3 petang itu, KPDNKK menyerbu empat premis perniagaan menjual pelbagai beg tangan, bagasi dan dompet jenama terkemuka yang dicetak rompak.

Ketua Operasi, Aminuddin Muhammad berkata, 10 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi itu yang berakhir jam 5.30 petang.

Menurutnya, serbuan turut disertai tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi menjaga keselamatan penguat kuasa KPDNKK.
Foto
ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa kedai yang diserbu di Jalan Petaling, semalam.
“Hasil serbuan itu, 1,070 beg jenama tiruan dianggarkan bernilai RM250,000 dirampas.

“Seorang warga asing diupah menjadi jurujual premis diserbu turut ditahan. Lelaki berusia 30-an itu didapati menyalah guna pas lawatan sosial untuk bekerja di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, terdapat unsur cubaan mengancam keselamatan penguat kuasa KPDNKK sepanjang operasi oleh segelintir samseng yang menjaga kawasan itu.

“Bagaimanapun perkara itu dapat dikawal dengan kehadiran pihak polis,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, serbuan dilakukan hasil aduan orang ramai termasuk pemantauan sejak beberapa minggu lalu di beberapa premis yang sudah dikenal pasti.

Perniagaan haram itu beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan difahamkan mendapat bekalan barangan tiruan dari China dipercayai diseludup masuk melalui Pelabuhan Klang.

Aminuddin berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 8(1) Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM 20,000.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Wanita kita jurubahasa penipu FB


Sungai Buloh: Sindiket penipuan cinta Facebook didalangi lima penuntut lelaki Nigeria dipercayai mengupah wanita tempatan sebagai jurubahasa bagi mengolah ayat-ayat cinta menarik di laman sosial.

Taktik itu digunakan pakai berikutan mangsa dalam kalangan wanita tempatan lebih mudah terpedaya dan dipikat dengan menggunakan gaya penulisan bahasa Melayu atau Inggeris.


Sindiket itu yang bergiat aktif sejak lebih enam bulan itu akhirnya tumpas selepas semua suspek termasuk seorang wanita tempatan berjaya diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan pada Jumaat dan kelmarin lalu.



Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, suspek sebelum ini dikesan sudah menipu beberapa mangsa membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.


“Hasil maklumat risikan serta intipan dilakukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh sejak sebulan lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Nigeria pada jam 3.30 petang Jumaat lalu di sebuah rumah di Bukit Puchong, di sini.


“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan bersama seorang lagi lelaki Nigeria di sebuah rumah di Desa Jaya di sini, lima jam kemudian,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki Nigeria jam 3 petang kelmarin di sebuah rumah di Kajang.


Beliau berkata, sindiket itu dikesan menggunakan taktik menjerat mangsa melalui perbualan di laman sosial sebelum menjalin hubungan cinta.

“Mereka akan meminta mangsa memindahkan wang ke akaun sindiket dengan menggunakan pelbagai alasan.


“Sehingga kini beberapa mangsa dikesan mengalami kerugian RM223,000 membabitkan sindiket itu sejak beberapa bulan lalu,” katanya.


Difahamkan semua suspek berusia 25 hingga 34 tahun itu adalah penuntut sebuah kolej swasta di ibu negara.


Junaidi berkata, polis turut merampas enam komputer riba, 10 telefon bimbit, dua Ipad, 20 kad pengeluaran wang automatik (ATM), satu buku cek, lima modem internet, beberapa cop, dan buku akaun bank.


Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Baju wanita bawah selimut


Kota Kinabalu: Cubaan seorang pelajar lelaki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menipu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kononnya dia bersendirian di dalam bilik hotel di Jalan Kampung Air, di sini, malam kelmarin, gagal selepas pihak berkuasa ternampak sebahagian baju tidur wanita di bawah gumpalan selimut.
Dalam operasi jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 24 tahun yang berseluar pendek mendakwa menginap seorang diri di dalam bilik sebelum seorang penguat kuasa JHEAINS menyedari terdapat kain seperti baju tidur wanita di bawah selimut di atas katil.

Sebaik diselak, penguat kuasa menemui seorang gadis berusia 23 tahun sedang menyorok sebelum kedua-duanya mengaku menginap bersama di hotel terbabit.
Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan mengaku gadis terbabit adalah teman wanitanya dan memberi alasan terpaksa menyewa bilik kerana mereka terlalu penat bersiar-siar di sekitar bandar raya.

Mereka juga mengaku tidak mempunyai hubungan sah sebagai suami isteri menyebabkan kedua-duanya terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.

Penolong Penguat Kuasa JHEAINS Khamis Jamil berkata, sepasukan anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan rambang sebelum mengetuk sebuah pintu bilik hotel dihuni pasangan berkenaan.
Foto
PEGAWAI penguat kuasa menyoal siasat pasangan remaja dalam pemeriksaan rambang di bilik hotel bajet.
"Pada awalnya, penghuni bilik ini mengaku menginap seorang diri sebelum seorang penguat kuasa menyedari baju tidur wanita di atas katil.

“Selepas menarik selimut, penguat kuasa terkejut menemui seorang gadis yang hanya berbaju tidur di atas katil,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.
Khamis berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mereka bukan pasangan suami isteri dan ditahan kerana berdua-duaan di dalam bilik.

“Walau apapun alasan mereka, ia tetap menjadi satu kesalahan kerana berdua-duaan di dalam bilik tanpa ikatan sah.

“Kedua-dua dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sepanjang operasi berkenaan, pihaknya berjaya menahan empat pasangan lain dipercayai berkhalwat di empat hotel berlainan sekitar bandar raya.

“Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 kerana berkhalwat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Pelajar IPT cuba setubuh luar nikah didenda


Kuala Terengganu: "Sebagai seorang yang terpelajar, perbuatan tidak bermoral itu tidak sepatutnya dilakukan tertuduh yang sudah bijak berfikir dan membezakan baik buruk sesuatu perkara," kata Hakim Tinggi Syarie Rosdi Harun dalam penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman denda RM2,300 terhadap seorang remaja perempuan yang didapati bersalah terhadap pertuduhan cuba melakukan persetubuhan luar nikah pada Jun tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 18 tahun selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.


Rosdi turut menjatuhkan hukuman penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan satu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah dengan pasangannya, Muhamad Azmil Mohd Zalzali, 20, di dalam sebuah kereta di kawasan Taman Awam Pulau Warisan, di sini, pada jam 6.50 petang, 5 Jun 2013.


Sebelum ini, Muhamad Azmil yang bekerja sendiri dan berasal dari Marang dikenakan hukuman denda RM2,800 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof manakala tertuduh diwakili peguam syarie Nurul Aini Abd Malik.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Tak mengaku salah empat tuduhan rogol anak


Kuala Terengganu: Seorang bapa kepada lima anak mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan merogol anaknya sejak mangsa berusia 13 tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Terdahulu, tertuduh yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai jurujual mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang kini berusia 16 tahun tujuh bulan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun lima bulan di bilik tidur di sebuah rumah di Besut, pada jam 2 pagi, 19 Jun 2011.



Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama pada jam 2 pagi, 20 Jun 2011.


Dalam pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa yang berusia 16 tahun tujuh bulan di alamat sama jam 2 pagi masing-masing pada 25 Ogos dan 27 Ogos lalu.


Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Penyamun kejam selubung ibu berpantang, bayi 5 hari


Maran: Empat penyamun berhati binatang apabila tergamak menjadikan seorang bayi lelaki yang baru lima hari dilahirkan sebagai mangsa apabila menyelubungnya dengan selimut dalam kejadian samun di Kampung Kandis Seberang, Chenor, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, bayi terbabit bagaimanapun selamat dan tidak mengalami sesak nafas apabila dipangku ibunya berusia 29 tahun yang turut diselubung dengan selimut berkenaan.


Turut mengalami nasib sama ialah suami dan adik perempuan kepada ibu bayi itu berusia 28 dan 26 tahun dan seorang lagi anak perempuan mangsa berusia dua tahun.



Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, sebelum kejadian, empat lelaki memakai topeng dan bersenjatakan parang menanggalkan cermin rumah sebelum memotong besi tingkap rumah mangsa.


“Siasatan awal mendapati suspek kemudian masuk ke dalam bilik tidur dan mengejutkan pasangan suami isteri itu dengan menggunakan parang sebelum mengarahkan mangsa mendiamkan diri jika mahu selamat,” katanya, semalam.


Menurutnya, suami mangsa bertindak menenangkan isterinya yang masih berpantang sebelum dua suspek mengejutkan adik perempuan mangsa serta anak perempuannya di bilik berasingan.

Menurutnya, penyamun kemudian mengarahkan semua mangsa berkumpul di dalam sebuah bilik sebelum seorang daripada mereka mengikat mangsa menggunakan tali kecuali bayi berkenaan.


Sulaiman berkata, selepas mengikat mangsa, empat penyamun terbabit meminta mereka menyerahkan wang dan barang kemas sebelum mengambil pelbagai jenis barang kemas milik mangsa.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Cincin sangkut lagi


Shah Alam: Niat seorang wanita yang mahu memperagakan cincin pemberian suaminya bertukar cemas apabila cincin berkenaan tidak dapat dikeluarkan sehingga mengakibatkan jarinya membengkak dalam kejadian di kediamannya di Fasa 2, Puncak Alam, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Saedah, 44, dikatakan memakai cincin berkenaan di jari manis sebelah kiri, tetapi tidak dapat mengeluarkannya dan terpaksa meminta khidmat pasukan bomba.

Difahamkan, cincin berkenaan sudah lama tidak dipakai mangsa dan menyedari jarinya mula membengkak serta kebiruan mangsa cuba pelbagai cara untuk mengeluarkan cincin itu termasuk menggunakan sabun dan minyak, namun tidak berjaya.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Rosdi Shafie, sebaik menerima panggilan daripada mangsa, sepasukan bomba dari BBP Bestari Jaya bersama enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kira-kira dua jam mangsa menahan sakit dan cuba pelbagai cara untuk mengeluarkan cincin itu daripada jarinya, tetapi gagal sehingga dia mengambil keputusan untuk menelefon pihak kami untuk mendapatkan bantuan selepas dinasihatkan oleh rakan.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memotong cincin berkenaan sebelum berjaya mengeluarkannya,” katanya.
Foto
ANGGOTA bomba berusaha memotong cincin yang tersangkut di jari Saedah. Gambar kecil, jari mangsa yang membengkak.
Menurutnya Rosdi, pihak bomba terpaksa menggunakan alat pemotong besi khas, bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Gempar jumpa bom lama 226 kilogram


Semua pengunjung pusat riadah itu kemudian diarahkan beredar meninggalkan lokasi berkenaan sejurus bom lama itu ditemui orang awam kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan di laman sosial rasmi Facebook (FB) Polis Daerah Kajang, bom lama berkenaan dipercayai peninggalan ketika zaman penjajahan Jepun.
Laporan itu memberitahu bom berkenaan dijangka akan diletupkan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Selangor, pagi ini.

Rakan FB Polis Daerah Kajang dan orang ramai yang sering melakukan aktiviti mendaki Bukit Cheras Awana dan Bukit Hartamas di sini, dinasihatkan menjauhi kawasan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, salah seorang pengunjung bukit itu, Law Boon Hee, 40, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan bukit itu ‘menyimpan’ bom lama bersaiz besar ketika mahu memulakan aktiviti jam 4 petang semalam.
Foto
BOM lama yang ditemui tertanam di Bukit Cheras Awana, semalam.
Dia mendakwa kerap mendaki bukit di kawasan itu sebagai kaedah bersenam selain mendapatkan udara segar di kawasan hutan simpan berhampiran.

“Saya sudah lakukan aktiviti ini sejak 10 tahun lalu. Tidak sangka terdapat bom tertanam di bukit ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Buru peragut rambut panjang


Tokyo: Polis Jepun menjalankan gerakan besar-besaran mengesan seorang suspek wanita yang disyaki terbabit dalam 20 kes ragut dompet.

Menurut jurucakap polis, menerusi keterangan mangsa, mereka menerangkan suspek adalah wanita yang berambut panjang yang memakai gaun labuh.


Dalam kejadian terbaru berlaku kira-kira 2 petang (waktu tempatan) kelmarin, seorang wanita berusia lewat 60-an sedang berjalan di Suginami apabila seorang perempuan bermotor cuba menghampiri untuk meragut begnya.



Bagaimanapun, warga emas itu bernasib baik kerana beg itu dipegang kemas, menyebabkan suspek terus beredar dari tempat kejadian.


Polis Tokyo berkata, ada 20 kes serupa dikesan sejak 11 Ogos lalu di Suginami dan kawasan kejiranan berhampiran. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

7 dihukum mati


Semua tertuduh didapati bersalah menculik dan merogol empat wanita terbabit ketika mangsa dalam perjalanan ke Kabul selepas menghadiri majlis perkahwinan. 
Presiden Hamid Karzai sebelum ini menggesa semua lelaki terbabit dihukum gantung. 

Dalam perbicaraan yang berlangsung hanya beberapa jam, hukuman mati itu sebenarnya untuk kesalahan rompakan bersenjata.
Foto
Seorang daripada tujuh lelaki yang dihukum mati berdiri dalam kandang tertuduh ketika prosiding mahkamah.

Menurut saksi, semua tertuduh berpakaian seperti polis dan bersenjatakan pistol menghentikan satu konvoi kereta pada awal pagi 23 Ogos lalu.

Empat wanita terbabit diheret keluar dari kereta mereka sebelum disamun, dipukul dan dirogol. Seorang daripada mangsa juga dilaporkan mengandung. 

Seorang mangsa berkata: “Kami menghadiri majlis di Paghman bersama keluarga dan diserang dalam perjalanan pulang. 

“Seorang daripadanya mengacukan pistol ke kepala saya manakala seorang lagi mencuri barang kemas kami. Selebihnya anda tahu apa berlaku selepas itu,” katanya yang memakai burqa ketika memberi keterangan. 

Penunjuk perasaan yang berhimpun di luar menjerit dan mendesak tertuduh dihukum mati dan bersorak selepas Ketua Polis Kabul Zahir Zahir juga membuat ujaran sama. 

“Kami mahu mereka digantung di khalayak ramai supaya menjadi pengajaran untuk semua orang. 

“Ketika ditahan mereka memakai seragam polis dan mengakui perbuatan mereka tidak sampai dua jam selepas ditahan,” katanya. 

Sementara itu, hakim berkata semua tertuduh berhak merayu terhadap hukuman berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

Tiga pemancing dikhuatiri lemas bot terbalik di Kuala Selangor


KUALA SELANGOR: Tiga pengail dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki terbalik berdekatan Jeti Tanjung Siam, Bestari Jaya, di sini, pagi tadi.
Ketiga-tiga mangsa, Jamaludin Abu, 55, Md Noor Hassan, 32 dan seorang lagi yang dikenali sebagai Hakimi, 36, kesemuanya berasal dari Puchong, dipercayai keluar ke sungai berdekatan untuk memancing ketika bot yang dinaiki terbalik.
Sepasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Kuala Selangor serta Unit Skuba sudah dikerahkan untuk mencari ketiga-tiga mangsa, selepas menerima panggilan kira-kira jam 11.20 pagi tadi.

Denda RM100 angkara celupar



NIK FADULLAH dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Angkara mengeluarkan kata-kata ‘polis gila’ kepada seorang anggota polis yang menyaman kenderaannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Mohd. Isa Mohamed menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nik Fadullah Fetree Fauzi, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata tersebut.
Mohd. Isa mengarahkan Nik Fadullah yang berasal dari Kota Bharu dipenjara 10 hari jika gagal menjelaskan bayaran denda.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3CfbLP7NF 
Hakcipta terpelihara 

Orang tengah sindiket curi kereta mewah ditahan


IPOH – Polis berjaya menggagalkan kegiatan satu sindiket curi kereta mewah dengan tertangkapnya seorang lelaki yang merupakan orang tengah selain merampas tiga buah kenderaan bernilai RM1.04 juta pada Rabu lalu.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan dalam satu serbuan Ops Lejang pada pukul 10 pagi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah di Pengkalan Indah di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek dipercayai menjadi orang tengah dengan menyimpan kenderaan curi sebelum menyerahkan kepada pihak lain untuk dibawa masuk ke negara jiran.
Menurut beliau, dalam serbuan sama polis berjaya merampas dua buah kenderaan iaitu BMW 325i dan Toyota Land Cruiser serta dua unit kunci kenderaan tersebut.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3CfbDqAOa 
Hakcipta terpelihara 

Saman RM300 guna lampu tambahan



LAMPU brek berwarna merah.


IPOH – Pemilik kenderaan yang memasang aksesori lampu tambahan (lampu strob) boleh disaman RM300 apabila arahan larangan itu dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 November depan.
Hanya tiga warna dibenarkan untuk lampu kenderaan di jalan raya iaitu lampu brek berwarna merah, lampu isyarat kenderaan berwarna kuning dan lampu utama berwarna putih.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, perkara itu diambil kira selepas melihat penggunaan aksesori lampu strob merupakan salah satu faktor berlakunya kemalangan.
Menurut beliau, pemilik yang mengubahsuai kenderaan mereka dengan memasang aksesori lampu strob serta menggunakan nombor plat yang tidak dibenarkan akan berhadapan dengan tindakan tegas.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3CfarrZ77 
Hakcipta terpelihara 

Gencatan senjata di Ukraine rapuh


SEORANG pemberontak pro-Rusia berdiri di hadapan kenderaannya yang dilengkapi mesingan berat di Donetsk, timur Ukraine semalam.


DONETSK - Seorang penduduk terbunuh dalam bedilan meriam ke atas bandar pelabuhan Mariupol di Ukraine manakala beberapa letupan kuat didengar dekat sebuah lapangan terbang di sini semalam sekali gus meningkatkan kebimbangan satu gencatan senjata yang dimeterai dua hari lalu akan gagal.
Beberapa letupan dekat lapangan terbang ini amat kuat sehingga boleh didengari penduduk di pusat bandar raya ini yang menjadi kubu kuat pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Ukraine, Volodymyr Polyovyi menyatakan dalam satu taklimat di Kiev bahawa anggota-anggota pemisah cuba menyerang lapangan terbang tersebut yang dikuasai kerajaan sejak Mei lalu.
Gencatan senjata tersebut kelihatan bertahan sepanjang hari kelmarin tetapi bedilan artileri bermula lewat malam.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia dalam satu kenyataan menuduh tentera Ukraine mencabuli gencatan senjata itu dengan membedil enam lokasi kedudukan mereka kelmarin termasuk dekat lapangan terbang di sini.
Kenyataan tersebut memberitahu, beberapa pemberontak terbunuh dalam serangan itu.
Bedilan artileri turut berlaku di pinggir bandar pelabuhan Mariupol yang menjadi lokasi barisan hadapan tentera Ukraine memerangi pemberontak.
Menurut pihak berkuasa bandar pelabuhan itu, seorang penduduk awam terbunuh manakala seorang petugas wanita cedera dalam bedilan tersebut.
Sebutir peluru meriam turut memusnahkan sebuah stesen petrol di kawasan itu.
Mariupol terletak di perairan Laut Azov pada jarak 115 kilometer ke selatan bandar raya ini.
Ukraine dan pemberontak pro-Moscow itu sebelum ini menandatangani satu perjanjian gencatan senjata di ibu kota Belarus, Minsk pada Jumaat lalu dalam usaha untuk menamatkan pertumpahan darah yang berlarutan sejak lebih empat bulan lalu.
Perang saudara antara pemberontak pro-Rusia dan kerajaan Ukraine bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara itu tetapi turut meragut sekurang-kurangnya 2,600 nyawa orang awam serta menyebabkan beribu-ribu penduduk hilang kediaman. - AP


Artikel terpelihara  
 

Ribuan penduduk Srinagar diancam banjir



MANGSA banjir beratur untuk menaiki sebuah helikopter selepas penempatan di Hamirpur Kona dalam daerah Rajouri, barat daya Jammu, India ditenggelami air.


SRINAGAR - Banjir dahsyat melanda ibu kota wilayah Kashmir India di sini semalam, sekali gus memaksa beratus- ratus penduduk berpindah selepas Perdana Menteri Narendra Modi tiba di wilayah berkenaan untuk melihat sendiri kemusnahan yang berlaku.
Setakat ini, hampir 250 orang terkorban di rantau Himalaya yang berjiran dengan Pakistan itu sejak hujan monsun mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh menyebabkan berpuluh-puluh buah rumah ranap beberapa hari lalu.
Pasukan tentera dan petugas kecemasan lain telah dikerahkan ke kawasan berkenaan bagi membantu operasi memindahkan mangsa banjir yang terperangkap menggunakan bot dan helikopter.
Sungai utama di rantau itu, Sungai Jhelum melimpah dan menenggelamkan beberapa kawasan di sini semalam turut memaksa penduduk naik ke bumbung untuk menyelamatkan diri.
"Saya mahu merayu kepada orang ramai supaya tidak panik," kata Ketua Menteri Omar Abdullah dalam satu sidang akhbar di sini.
Modi tiba bertemu Omar dan beberapa pegawai agensi kecemasan di samping menilai situasi di Kashmir.
Banjir yang melanda kali ini disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh lima dekad.
Beberapa ribu kampung di seluruh Jammu dan rantau Kahsmir dilanda banjir dengan 350 buah kampung ditenggelami air.
Dalam pada itu, tentera India yang dibantu 22 buah helikopter dan empat pesawat setakat ini berjaya memindahkan seramai 11,000 penduduk ke kawasan selamat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3CfZMJXkw 
Hakcipta terpelihara 

Geng Jamil aktif pecah rumah tumpas


KOTA KINABALU 5 Sept. - Ekoran bisnes makanan kurang memberangsangkan, seorang majikan bersama tiga pekerja di kedai makan miliknya menukar 'kerjaya' dengan menjadi penjenayah pecah rumah.
Suspek berusia 35 tahun bersama tiga pekerjanya dan tiga lagi lelaki menubuhkan satu kumpulan dinamakan sebagai Geng Jamil dan aktif memecah masuk rumah di sekitar Kota Kinabalu sejak Mei lalu.
Sehingga kini, enam kes jenayah tersebut dikesan dilakukan kumpulan itu di Kolombong, Kepayan, Luyang, Menggatal serta Inanam dengan anggaran kerugian sebanyak RM291,000.
Bertindak atas maklumat, kesemua suspek akhirnya diberkas ketika sedang leka bermain permainan video di sebuah pusat rekreasi di pusat beli-belah di sini.
Pemeriksaan mendapati suspek utama itu pernah dipenjara selama tiga tahun kerana memiliki barangan curi, namun dibebaskan pada Mac tahun lalu dan membuka perniagaan kedai makan sebelum perniagaannya merosot.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, berikutan penahanan ahli kumpulan itu, polis menemukan barangan curi termasuk kereta, telefon, jam tangan, dompet, besi pengumpil, rantai emas dan resit pajak gadai yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM40,000.
"Tiga ahli kumpulan tersebut merupakan pekerja suspek utama di kedai makan miliknya manakala tiga yang lain bekerja sebagai pelayan kedai, pekerja buruh binaan dan penjual pakaian di pasar malam," katanya demikian dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Daerah, di sini hari ini.
Chandra yang menjawat Timbalan Ketua Polis Daerah dinaikkan pangkat dan tempatnya diisi oleh Supritendan Mohd. Azhar Hamin.
Majlis penyerahan tugas tersebut disaksikan oleh Ketua Jabatan Pe­ngurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140906/je_05/Geng-Jamil-aktif-pecah-rumah-tumpas#ixzz3CfYowFQJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek perdaya orang ramai menangi cabutan bertuah diberkas


KOTA KINABALU 5 Sept. - Seorang lelaki licik memperdaya orang ramai dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya mereka memenangi hadiah cabutan wang tunai dari sebuah syarikat minyak terkenal.
Mangsa yang yakin, akan menghubungi nombor tertera dalam SMS terbabit sebelum diarah untuk memasukkan wang tunai dalam akaun bank untuk tuntutan hadiah.
Sebaik sahaja melakukan transaksi, nombor tersebut gagal dihubungi.
Sehingga kini, suspek mengaut keuntungan berjumlah RM8,997 membabitkan sekurang-kurangnya enam kes di Semenanjung dan negeri ini.
Bertindak atas maklumat ekoran satu kes penipuan melibatkan seorang wanita berusia 25 tahun dan juga bekerja sebagai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Februari lalu, suspek berusia 40 tahun itu akhirnya ditahan polis dalam serbuan di Kudat semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa menerima SMS memenangi cabutan bertuah dari Shell dan menghubungi satu nombor telefon yang dijawab seorang lelaki dikenali sebagai Hj. Mohd. Yusof.
Lelaki tersebut kemudian mengarahkannya memasukkan wang tunai RM2,500 untuk tuntutan hadiah ke dalam satu akaun menggunakan mesin deposit tunai (CDM) sebelum suspek gagal dihubungi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Saiman Kasran berkata, siasatan awal polis mendapati, suspek turut terlibat dalam lima kes serupa di Semenanjung dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

207 akaun RM6 juta dibeku


KUALA LUMPUR 4 Sept. - Ekoran penahanan 24 individu yang terlibat dalam sindiket penyeludupan arak dan rokok di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membekukan sebanyak 207 akaun yang dianggarkan berjumlah RM6 juta, termasuk milik 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull memberitahu, jumlah akaun pegawai kastam yang dibekukan kira-kira RM4 juta dan akaun anggota sindiket itu pula berjumlah RM2 juta.
"Pelbagai harta milik pegawai kastam dan anggota sindiket turut disita iaitu 10 kenderaan mewah, lori yang penuh dengan muatan arak, sebuah lot rumah kedai dan wang tunai berjumlah hampir RM3 juta yang dipercayai hasil daripada aktiviti ini.
"Kami juga turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada JKDM khususnya Ketua Pengarahnya dalam melancarkan misi ini," katanya dalam sidang akhbar khas di pejabat SPRM di sini hari ini.
Sehingga kini sebanyak 28 individu terdiri daripada 12 pegawai kastam pelbagai pangkat dan 12 orang anggota sindiket telah ditahan di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140905/je_01/207-akaun-RM6-juta-dibeku#ixzz3CfYTQ79Q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Negara hilang RM4 bilion sejak tahun 2011


PEGAWAI SPRM membawa 12 pegawai dan anggota JKDM ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, semalam untuk mendapatkan perintah reman.
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sikap rakus segelintir pihak mencari kekayaan melalui cara memberi dan menerima rasuah menyebabkan negara kehilangan pendapatan kira-kira RM4 bilion daripada duti dan cukai yang sepatutnya diterima sejak 2011 daripada kemasukan arak serta rokok di Zon Perdagangan Bebas Cukai, Pelabuhan Klang, Selangor.
Ketirisan itu dilihat terlalu besar memandangkan dengan jumlah tersebut, kerajaan boleh membina tidak kurang 50 buah sekolah yang boleh menampung 900 pelajar serta lengkap dengan kemudahan asrama.
Tidak hairanlah, kerajaan melalui pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dalam mencari penyebab ketirisan itu berlaku sehingga tertangkapnya 24 individu termasuk 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pelbagai pangkat, semalam.
Difahamkan, operasi besar-besaran itu adalah sambungan Op 3B SPRM yang tergendala ekoran seorang pegawai JKDM yang ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada April 2011.
Pada ketika itu, 62 anggota dan pegawai JKDM ditahan untuk siasatan berhubung kerugian akibat ketirisan yang dianggarkan berjumlah RM108 bilion.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, anggaran ketirisan kes terbaharu tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan ke atas borang kastam dan borang Zon Bebas sejak 2011.
"Sindiket tersebut dipercayai menggunakan cara membawa masuk rokok dan arak bermutu tinggi dari Scotland, Sweden, Kemboja, India, Thailand dan Indonesia yang bernilai RM1.67 bilion dengan nilai cukainya 300 peratus daripada nilai barangan tersebut untuk disimpan di PKFZ.
"Bagaimanapun, sindiket dengan bantuan pegawai JKDM membawa keluar barangan berkenaan untuk dipasarkan ke dalam negara dengan membuat pengisytiharan palsu yang hanya berjumlah RM420 juta," katanya dalam sidang akhbar khas di pejabat SPRM di sini hari ini.
Semalam, SPRM dilaporkan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan arak serta rokok terbesar dengan penahanan 22 individu termasuk seorang pegawai JKDM berpangkat pengarah dari sebuah negeri di utara Semenanjung.
Mohd. Shukri seterusnya memberitahu, pihaknya berjaya menahan dua lagi individu semalam yang sehingga kini menjadikan jumlah mereka yang ditahan adalah seramai 24 orang iaitu 12 pegawai Kastam serta 12 lagi adalah ahli sindiket tersebut yang berumur antara 36 hingga 56 tahun.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kejayaan tersebut adalah hasil daripada operasi bersepadu satu pasukan khas yang diketuai oleh SPRM yang dibantu oleh Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta beberapa agensi lain sejak setahun lalu.
"Tindakan susulan untuk menilai cukai itu sedang diambil oleh LHDN dan Kastam membabitkan duti eksais serta operasi ini masih diteruskan serta dijangkakan beberapa tangkapan lagi akan dilakukan," ujarnya.
Sementara itu, katanya, 12 pegawai dan anggota JKDM, termasuk seorang Pengarah Kastam negeri yang ditahan SPRM semalam direman selama tujuh hari mulai hari ini selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor bagi membantu siasatan.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

Cubaan samun gagal, tiga penjenayah berjaya diberkas


SEREMBAN 6 Sept - Perbuatan lima penjenayah dari Selangor memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Jed dekat sini, memakan diri apabila tiga daripada mereka diberkas polis, awal pagi ini.
Ketiga-tiga suspek warga tempatan yang berusia 19 tahun itu ditahan ketika cuba untuk bersembunyi di sebuah hutan berhampiran dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).
Dua lagi rakan mereka dapat meloloskan diri.
Sebelum itu, pada pukul 3 pagi, suspek yang bersenjata parang dan kuku kambing bertindak memecah masuk rumah dan kejadian tersebut disedari oleh mangsa selepas terdengar bunyi bising di atas bumbung bahagian belakang.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Khoo Leng Huat berkata, mangsa yang mengesyaki sesuatu segera memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan di taman berkenaan dan menghubungi polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140907/je_03/Cubaan-samun-gagal-tiga-penjenayah-berjaya-diberkas#ixzz3CfXeXl7G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gadis cedera diragut dua lelaki


PASIR MAS 6 Sept. - Hasrat seorang gadis untuk membeli sepasang kasut sebagai persediaan untuk mula bekerja di sebuah kedai kek di Kota Bharu tidak kesampaian selepas dia diragut oleh dua lelaki di Jalan Pasir Mas-Pasir Pekan berhampiran Kampung Jias di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Norsyazwani Ibrahim, 22, yang menunggang motosikal bersama sepupunya, Siti Aisyah Abdullah, 16, turut cedera ringan setelah kedua-duanya terjatuh ketika mengejar motosikal suspek.
Ketika insiden itu, mereka dalam perjalanan dari bandar Pasir Mas ke Kota Bharu untuk membeli kasut.
Norsyazwani memberitahu, sebelum diragut, dia bersama sepupunya singgah ke bandar terlebih dahulu untuk mengeluarkan wang di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Ujarnya, ketika dalam perjalanan ke Kota Bharu, secara tiba-tiba dua lelaki yang menaiki motosikal Yahama LC menghampiri mereka lalu seorang daripadanya meragut beg mengandungi wang tunai berjumlah RM200 dan telefon bimbit yang diletakkan di dalam raga kenderaan.
"Saya cuba pertahankan beg itu namun gagal kerana kudrat lelaki berkenaan kuat. Saya cuba mengejarnya tetapi motosikal ditunggang terbabas.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana saya dan Siti Aisyah hanya mengalami kecederaan ringan sahaja," ujarnya sambil memberitahu, mereka mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140907/je_02/Gadis-cedera-diragut-dua-lelaki#ixzz3CfUbZHtJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 lelaki diberkas, rampas 6,000 pil kuda


CHE Man Dros (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Inspektor Winda Lang (kanan) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas dalam sidang akhbar di Padang Besar, Perlis, semalam. - BERNAMA
PADANG BESAR 6 Sept. - Polis memberkas lima lelaki berikutan penemuan 45 kilogram ganja dan 6,000 pil kuda dalam sebuah kereta di Wang Kelian dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Dros berkata, pemilik kereta tersebut diberkas di Pulau Pinang dan empat lagi di Wang Kelian serta di sini antara 30 Ogos hingga 3 September lalu.
Beliau berkata kedua-dua dadah tersebut bernilai kira-kira RM390,000.
"Kesemua suspek yang bekerja sendiri itu kini direman selama tujuh hari sehingga 10 September," katanya kepada pemberita dalam majlis serah tugas antara beliau dengan timbalannya, Deputi Supritendan Md. Rafae Hassan semalam, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa.
Che Man dinaikkan ke pangkat Asistan Komisioner dan ditukarkan ke Negeri Sembilan bagi menjawat jawatan Ketua Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Negeri. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140907/je_01/5-lelaki-diberkas-rampas-6000-pil-kuda#ixzz3CfUV6qbh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

28 nelayan Vietnam ditahan kerana ceroboh


JOHOR BAHARU 7 Sept. - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan 28 nelayan Vietnam kerana menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan Pulau Tinggi dekat Mersing, semalam.
Komander PPM, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, dua tekong bersama 26 awak-awak berusia lingkungan 19 hingga 59 tahun yang menggunakan dua bot ditahan pukul 7.45 malam di kedudukan kira-kira 14 batu nautika tenggara Pulau Tinggi.
"Bertindak atas maklumat, sebuah bot ronda dari Markas Taktikal PPM Pengerang, Kota Tinggi menjalankan 'Ops Gelora' di kawasan itu dan berjaya mengesan dua bot nelayan terbabit yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda berkembar," katanya kepada pemberita hari ini.
Khiu berkata, nelayan terbabit bertindak memotong tali pukat serta memecut bot sejurus menyedari kehadiran polis namun mereka berjaya dipintas dan ditahan 20 minit kemudian.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua bot membawa kepada penemuan 25 tan pelbagai jenis ikan dipercayai ditangkap sejak seminggu lepas menggunakan pukat tunda.
Katanya, kesemua ikan dan bot berkenaan, yang didaftar di Vietnam, dianggar bernilai RM1.75 juta, dibawa ke Jeti Kuala Sedili untuk diserah kepada Jabatan Perikanan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140907/je_04/28-nelayan-Vietnam-ditahan-kerana-ceroboh#ixzz3CfUOPLy6
© Utusan Melayu (M) Bhd