KUALA PILAH – Seorang remaja cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang keluar dari simpang salah berhadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Kuala Pilah-Seremban, petang kelmarin. Dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa, Muhamad Akmal Hairudin, 18, menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z, secara sendirian dalam perjalanan ke arah Pekan Pilah menuju ke arah Seremban. Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira secara tiba-tiba keluar dari arah simpang sebuah restoran makanan segera lalu membelok ke arah kanan menuju ke Pekan Pilah. Muhamad Akmal berkata, keadaan jalan yang mendaki dan berselekoh menyebabkan dia tidak dapat mengelak kereta berkenaan dan kejadian berlaku begitu pantas. Menurutnya, kereta berkenaan sepatutnya tidak boleh keluar ke arah kanan dan hanya boleh keluar ke arah kiri sahaja. “Bila kereta itu keluar ke arah yang salah, saya tidak dapat mengelak dan terpaksa merempuhnya,” katanya ketika ditemui semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN). Pemandu dan penumpang kereta berusia 20-an itu tidak cedera. Mereka dipercayai datang dari Melaka dan ke Kuala Pilah untuk menziarahi nenek di Kampung Beting.