Search This Blog

Friday, September 5, 2014

Patah paha, tangan dirempuh kereta selepas lawan peragut


Nor Atiera Azhar Ahli ketika dilawati ADUN Penaga, Mohd Zain Ahmad di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.
KEPALA BATAS 4 Sept - Demi mempertahankan begnya, seorang gadis nekad bergelut dengan lelaki yang cuba meragut begnya.
Perbuatannya itu namun nyaris meragut nyawanya apabila motosikal ditunggangnya terbabas menyebabkannya dia patah kedua-dua paha dan tangan kanan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam, ketika Nor Atiera Azhar, 23, menunggang motosikal seorang diri untuk ke rumah seorang rakannya di Sungai Dua di sini.
Namun, setibanya di Jalan Pongsu Seribu, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal menghimpit kenderaannya lalu pemboncengnya meragut beg sandang yang diletakkan di dalam raga motosikal.
Menurut Nor Atiera, dia memegang erat beg mengandungi wang tunai dan kamera itu menyebabkan suspek merentap dengan kuat sehingga talinya putus manakala motosikalnya terbabas ke kanan jalan lalu dirempuh sebuah kereta.
"Suspek bagaimanapun gagal mendapatkan beg saya sebelum mereka melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kata beliau, orang ramai yang melihat kejadian itu membantu menghantarnya ke Hospital Seberang Jaya di sini.
Jurucakap polis daerah Seberang Perai Utara hari ini, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140905/je_03/Patah-paha-tangan-dirempuh-kereta-selepas-lawan-peragut#ixzz3CR1D0rF7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lemas ditelan pusaran air


Kejadian dipercayai berlaku jam 3 petang ketika mangsa Ahmad Faris Ahmad Nasri, 11, bersama tujuh rakan sebayanya mandi di kawasan berkenaan sebelum mayatnya ditemui hampir 10 jam kemudian di dasar sungai berkenaan oleh pasukan bomba dan penyelamat. 
Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa jam 7.30 malam kelmarin selepas seorang daripada rakan mangsa memberitahu keluarganya mengenai kejadian berkenaan. 

Katanya, polis juga difahamkan rakan mangsa hanya berdiam diri selepas pulang ke rumah masing-masing kerana takut menceritakan hal sebenar kepada keluarga.
Foto
MAYAT Ahmad Faris ditemui.

“Bagaimanapun, selepas disoal berkali-kali tentang ke mana mangsa pergi barulah seorang rakannya itu mula menceritakan perkara yang berlaku.

“Difahamkan, sebelum kejadian mangsa cuba naik semula ke darat dengan bantuan rakannya, namun usaha menariknya gagal kerana dikatakan tergelincir lalu jatuh dan disedut dalam pusaran air terbabit,” katanya. 

Katanya, berikutan itu, pihaknya memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan mencari dan menyelamatkan mangsa terbabit. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Mohd Firdaus Bukari berkata, 12 anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat pada jam 7.34 malam dan mendapat bantuan daripada Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani yang tiba pada jam 10.45 malam. 

Katanya, anggota PPDA mengambil masa dua jam melakukan operasi mencari sebelum menjumpai mayat mangsa yang tersangkut pada dawai kawat di dasar sungai berhampiran lubang pembetung air keluar menghala ke laut yang terletak tiga meter dari kawasan mangsa tergelincir. 

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat dan dituntut oleh keluarga jam 6 pagi semalam untuk dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Kota Bharu, Kelantan selepas solat Zuhur.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Pekerja pasar raya tak mengaku tipu

Mohamad Firdaus mengaku bersalah atas cubaan menipu di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
Mohamad Firdaus mengaku bersalah atas cubaan menipu di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
IPOH - Seorang pekerja pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan cubaan menipu yang dilakukan pada tahun lalu.

Mohamad Nasaruddin Mukhtar, 47, sebelum itu mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Bagaimanapun, selepas mahkamah tangguh selama 10 minit, dia berubah fikiran dan mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Nasaruddin cuba memperdaya Mohamad Firdaus Idris, 39, melalui panggilan telefon dengan memberi jaminan bahawa syarikat lelaki terbabit boleh mendapatkan sebarang projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 2.13 petang, 13 September 2013.

Bagi pertuduhan seterusnya, Mohamad Nasaruddin bersama seorang lagi yang masih bebas telah cuba menipu orang sama dengan memberitahu bahawa seorang lelaki, Mejar (B) Datuk Nordin Ahmad, 52, mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan menjamin syarikat Mohamad Firdaus boleh mendapat projek di kementerian tersebut.

Dia melakukan perbuatan tersebut di Restoran Bercham Corner pada jam 5.30 petang, 13 Ogos 2013.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut Mohamad Nasaruddin boleh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mukhriz Mat Rus menawarkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Mohamad Nasarudin merayu kepada mahkamah supaya menawarkan wang jaminan rendah kerana dia perlu menanggung anaknya yang masih belajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dia yang tidak diwakili peguam turut memberitahu mempunyai masalah kaki kerana pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dalam keadaan sebak dia menyatakan gajinya sebagai pekerja pasar raya sebanyak RM800 tidak mungkin dapat membayar wang jaminan yang tinggi.

Berikutan itu, Madihah mengenakan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 8 Oktober ini sebagai sebutan semula dan serahan dokumen.

Jumpa mayat kepala terputus

Mayat lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap dan kepala terputus di Jalan Gombak Lama, semalam.
Mayat lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap dan kepala terputus di Jalan Gombak Lama, semalam.
GOMBAK - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kepala terputus, di Kilometer 32, Jalan Gombak Lama, di sini, semalam.

Dipercayai mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum dicampak ke kawasan berkenaan dan ditemui orang awam sekitar jam 2 petang semalam.

Unit forensik terpaksa menggunakan tali untuk turun memeriksa mayat yang berada di kawasan cerun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan masih menunggu laporan daripada forensik.

Menurutnya, kepala lelaki berkenaan ditemui dekat dengan badan mayat dalam keadaan bahagian matanya diikat dengan pita pelekat.

“Kesan kecederaan atau darah pada anggota mangsa sukar dikenal pasti berdasarkan keadaannya yang telah reput dan berulat.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa yang memakai seluar pendek paras lutut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sindiket dadah antarabangsa tumpas


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket dadah antarabangsa selepas menahan empat lelaki warga Nigeria dan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya, Selangor membabitkan nilai rampasan dadah jenis syabu bernilai RM2.7 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, enam lelaki berusia 27 hingga 44 tahun itu ditahan selepas polis menjalankan risikan selama sebulan ke atas kumpulan suspek sebelum berjaya memberkas mereka. 
Beliau berkata, dalam serbuan pertama yang dijalankan di sebuah kondominium mewah pada jam 3.30 petang, Selasa lalu polis memberkas tiga lelaki Nigeria bersama 7.04 kilogram dadah jenis syabu. 

"Dua hari kemudian selepas hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek polis menyerbu sebuah lagi kondominium dan menahan dua lelaki tempatan bersama seorang lelaki Nigeria. Dalam serbuan itu polis turut menemui dadah jenis syabu seberat 6.51 kilogram" katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Foto
NOOR Rashid menunjukkan dadah yang dirampas kepada pemberita. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Noor Rashid berkata, hasil siasatan yang dijalankan kumpulan suspek menggunakan perkhidmatan kurier untuk membawa masuk dadah berkenaan dengan menggunakan lapangan terbang sebagai laluan masuk.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Kunak dilanda gempa 4.0 Richter, gegaran dirasai di 3 daerah lain


SATU gempa bumi lemah 4.0 pada skala Richter melanda Kunak di pantai timur Sabah, kira-kira 500 kilometer dari sini, jam 9.15 pagi tadi. - Grafik BHOnline
KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah 4.0 pada skala Richter melanda Kunak di pantai timur Sabah, kira-kira 500 kilometer dari sini, jam 9.15 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan, menyatakan pusat gempa itu terletak di 4.6 darjah Utara dan 118.3 darjah Timur, iaitu 11 kilometer Selatan dari Kunak.
"Gegaran turut dirasai sehingga Lahad Datu, Semporna dan Tawau.
"Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat terkini," menurut kenyataan itu.

Sindiket love scam: 1,750 ditipu, rugi RM68 juta


4 September 2014


KUALA LUMPUR - Seramai 1,750 individu dilapor menjadi mangsa sindiket penipuan Internet atau 'love scam' sejak Januari 2013 hingga Ogos tahun ini, yang membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM68 juta.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,205 mangsa adalah wanita manakala bakinya ialah lelaki (545 orang).
 
"Berdasarkan laporan yang diterima polis, sejumlah 1,095 mangsa pada tahun lepas mencatatkan jumlah kerugian RM35.6 juta manakala setakat Ogos tahun ini, sejumlah 655 individu menjadi mangsa dengan jumlah kerugian lebih RM32 juta," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kompleks Kerajaan, Bukit Perdana di sini hari ini.
 
Walaupun jumlah mangsa menurun, nilai kerugian mencatat peningkatan dan ini amat membimbangkan terutama kepada golongan wanita, katanya.  - Bernama

Aset pegawai kastam, ahli sindiket dirampas

SPRM
SPRM
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak  membekukan 207 akaun bank berjumlah RM6 juta milik pegawai kastam dan ahli sindiket penyeludupan rokok serta arak yang ditahan kelmarin.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya turut menyita 10 buah kenderaan mewah, beberapa buah gudang serta unit rumah kedai termasuk wang tunai RM3 juta.

Setakat semalam, katanya, seramai 24 individu berusia 36 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi terbabit yang mana satu tangkapan dibuat di Ipoh, Perak.

“Mereka yang ditangkap terdiri daripada 12 anggota kastam pelbagai pangkat serta 12 individu dipercayai sindiket yang terlibat dengan penyeludupan rokok dan arak secara haram dan kesemua mereka direman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, Kuala Lumpur, semalam.

Difahamkan, penyeludupan keluar rokok serta arak dari Zon Perdagangan Bebas Cukai (PKFZ) di Pelabuhan Klang menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM1.2 bilion.

Perkara ini terbongkar setelah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat pemeriksaan ke atas nilai rokok dan arak masuk ke dalam PKFZ sejak 2011 dengan jumlah keseluruhan RM1.6 bilion.

“Daripada jumlah itu, hanya RM400 juta arak dan rokok sahaja yang diisytihar keluar daripada PKFZ sejak 2011,” katanya.

Menurutnya, arak serta rokok yang dikenalpasti diseludup daripada negara Sweden, Scotland, India dan beberapa negara lain.

Susulan itu, pihaknya menubuhkan sebuah Taskforce yang diketuai SPRM dan terdiri daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan lain-lain lagi dengan kekuatan 200 anggota
dan membuat operasi secara besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, operasi ini turut mendapat kerjasama daripada Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad yang mahu membanteras aktiviti ketirisan di kalangan anggota kastam secara habis-habisan.

Katanya, operasi ini dijalankan secara berterusan dan menjangkakan akan ada beberapa tangkapan lain yang akan dibuat berdasarkan siasatan lanjut.

Pegawai di Pelabuhan Klang ditahan


Oleh Siti Suraya Md Tap
Shah Alam: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mengesahkan seorang pegawainya yang bertugas di Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang (PKFZ) antara 11 pegawai yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan suruhanjaya berkenaan.

Setakat ini, pegawai berkenaan sudah ‘dikuarantinkan’ dan JKDM akan turut menjalankan siasatan dalaman membabitkan semua kakitangannya yang bertugas di kawasan berkenaan selain terhadap kakitangan berkenaan.

Menurut sumber, satu pertemuan akan diadakan di antara Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad dengan kakitangan yang bertugas di zon terbabit dalam usaha pihak berkuasa berkenaan meningkatkan integriti dan kredibiliti kakitangannya.

Sumber itu berkata individu yang yang ditahan SPRM kerana terbabit dalam penyeludupan arak dan rokok secara besar-besaran membabitkan cukai tidak berbayar mencecah ratusan juta ringgit di PKFZ itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Akhbar semalam melaporkan SPRM berjaya menahan seorang Pengarah Kastam Negeri bersama dengan 11 pegawai.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam kenyataannya berkata, pihaknya menahan 10 individu lain iaitu pemilik syarikat, ejen dan pemandu lori yang membawa barangan seludup.

Menurutnya, operasi besar-besaran yang dilakukan sekitar Lembah Klang sejak kelmarin itu turut merampas wang tunai dan barangan seludup dari gudang pelabuhan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Hadapi tuduhan bunuh


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan semalam memerintahkan seorang bekas pekerja kilang yang sebelum ini didenda kerana melupuskan bayi perempuan yang dilahirkannya di dalam tandas secara rahsia untuk membela diri di atas tuduhan membunuh.

Keputusan ini dibuat selepas satu panel lima anggota yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk memerintahkan Nurul Syuhada Shamsudin, 24, membela diri terhadap pertuduhan asal, iaitu membunuh bayinya pada 2009.

“Kami mendapati sesuatu yang tidak betul dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.



Keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan diketepikan,” katanya.

Suriyadi juga menghantar kembali kes itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi Nurul Syuhada yang kini mengandung enam bulan untuk membela diri di hadapan hakim perbicaraan yang sama dan seterusnya menetapkan 18 September ini untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi itu.

Beliau juga memerintahkan Nurul Syuhada, kini seorang suri rumah direman sehingga 18 September ini selepas peguamnya E Gnasegaran memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Nurul Syuhada dari Parit Buntar, Perak dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 25 Januari 2011 tanpa perlu membela diri terhadap dakwaan membunuh bayinya antara jam 3 dan 7 pagi 31 Disember 2009 dalam sebuah tandas wanita di kilang Jabil Circuit, Bayan Lepas, GeorgeTown Pulau Pinang.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas itu.

Pada 6 Mac 2013 Mahkamah Rayuan mensabitkan dan mendenda Nurul Syuhada RM3,000 selepas dia mengaku bersalah ke atas pertuduhan melupuskan bayinya secara rahsia.


Dia membayar denda itu.


Pihak pendakwaan merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Nurul Syuhada berhadapan dengan hukuman mati jika didapati bersalah kerana membunuh.

Mengikut fakta kes, mayat bayi tersebut dijumpai tersangkut dalam lubang tandas oleh seorang tukang cuci selepas menerima aduan tandas tersumbat di kilang itu.

Di awal proseding, Gnasegaran memohon kepada mahkamah supaya anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan dia sudah berkahwin dan mengandung enam bulan serta memerlukan pemerhatian doktor.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad berkata permohonan rasmi untuk jaminan sepatutnya dibuat di Mahkamah Tinggi dan mahkamah bersetuju dengan beliau.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Lima didakwa


Petra Jaya: Lima penyokong Sarawak termasuk dua beradik kembar dan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Samarahan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuching, semalam, atas pertuduhan merusuh di Stadium Negeri, di sini, malam Sabtu lalu.
Kelima-lima tertuduh iaitu Mohammad Shafiq Nuruddin Wahap, 18; Mohd Syafiq Mohammad Razali, 18; Mohammad Nur Hamizzy Marzuki dan kembarnya Mohammad Nur Hamizan, 17, serta Mohd Sapian Matlazim, 20, dihadapkan ke mahkamah selepas tempoh reman berakhir semalam. 
Berikutan itu, Majistret Portia Tham Ong Leng, menetapkan 7 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes, manakala 18 dan 19 November ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan. 

Porthia turut membenarkan semua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan dua penjamin iaitu ibu bapa masing-masing.
Foto
KELIMA-lima suspek yang ditangkap dalam rusuhan yang berlaku di Stadium Negeri, Kuching Sarawak, 30 Ogos lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 151 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan selepas merusuh dan menyerbu masuk stadium sebaik tamat saingan Piala Malaysia antara Sarawak menentang Perak, pada jam 11 malam 30 Ogos lalu. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Duka angkara kawan


Marang: “Ibarat bermain silap mata, hanya dalam tempoh 38 hari kereta yang ditukar suka sama suka ini sudah tidak layak berada di jalan raya,” kata seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, melalui laman sosial Facebook membolehkannya mengenali seorang lelaki berusia 30-an sebelum mereka mengambil keputusan menukar kereta masing-masing secara suka sama suka. Katanya, pada 25 Mei lalu, dia ke rumah lelaki terbabit yang terletak di pantai barat sebelum menyerahkan kereta Honda Accord SV4 miliknya kepada lelaki itu. 

“Saya kemudian mengambil kereta Honda Civic milik lelaki berkenaan yang mana ketika itu semua prosedur pertukaran hak milik dan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sudah dilakukan.
Foto
AHMAD kerugian besar selepas kereta ditukar gagal dijual.

“Selepas menggunakan kereta itu sebulan, saya kemudian ingin menjualnya dan apabila membuat pemeriksaan PUSPAKOM di Kuala Terengganu, saya dimaklumkan terdapat gangguan pada casis kereta terbabit.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Jejak 5 si bogel nama samaran


Balik Pulau: Polis Pulau Pinang masih lagi meneruskan usaha mendapatkan butiran lengkap lima individu yang terbabit dalam penganjuran pesta sukan bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Teluk Bahang di sini.

Kesukaran mengesan identiti individu yang masih bebas itu disebabkan mereka hanya menggunakan nama samaran selain empat darinya didapati bukan rakyat negara ini.

Malah, hasil siasatan polis terhadap 10 peserta yang ditahan sebelum ini menemui jalan buntu selepas mereka mendakwa hanya mengenali lima peserta terbabit melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, polis bagaimanapun sedang giat mengesan identiti semua baki peserta berkenaan bagi membantu dan melengkapkan siasatan.

“Walaupun hanya menggunakan nama samaran namun kami mempunyai kaedah sendiri untuk mengesan lima individu terbabit dan polis akan berusaha menjejaki mereka walau dengan apa cara sekalipun.

“Kami juga amat berharap orang ramai mengenali individu berkenaan atau pengajuran sukan bogel berkenaan agar tampil bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Isu video bogel yang memaparkan sekumpulan 15 individu melakukan aksi sukan mula menjadi panas apabila ia tersebar dalam laman sosial hingga menimbulkan pelbagai reaksi kepada masyarakat setempat yang menganggap ia satu perbuatan jijik dan tidak senonoh selain memalukan negara.

Susulan daripada itu, polis kemudian berjaya menahan 10 individu dan mereka kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau 28 Ogos lalu.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Melawan tak mahu keluar


Oleh Junaidi Ladjana
Sandakan: Sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang menaiki lapan bot pam dan melakukan provokasi ketika dihalau pasukan keselamatan kerana memasuki perairan negara di Pulau Selingan, di sini, petang kelmarin, ‘menerima padah’ apabila seorang daripadanya parah ditembak selepas mengancam keselamatan anggota keselamatan dengan parang.

Dalam kejadian pada jam 1.45 petang kelmarin itu, suspek Jabal Abdullah, 22, cedera di betis kiri dan buku lali sebelah kanan akibat terkena tembakan dan suspek dikatakan dibawa ke Pulau Bakungan Kecil (Malaysia) bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke hospital Dutchess Of Kent, di sini, untuk rawatan lanjut.


Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Abdul Rashid Harun berkata, sebelum kejadian, anggota tentera yang bertugas di Pulau Bakungan Kecil menerima maklumat terdapat beberapa bot dari Pulau Bakungan Besar, Filipina, menuju ke arah Pulau Selingan yang terletak 25 kilometer dari pusat bandar.

“Bertindak atas maklumat itu, enam anggota tentera yang menaiki bot Boston Whaler 54 bergerak ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota tentera mendapati lapan bot pam berada di kawasan perairan negara dan seorang saja yang ada dalam setiap bot pam berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Abdul Rashid berkata, anggota tentera terbabit cuba menghalau kumpulan berkenaan dengan melepaskan tiga das tembakan amaran, namun hanya dua saja yang berpatah balik ke perairan Filipina, manakala enam pam bot lagi tidak mengendahkan amaran itu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Gelora janda ketagih cinta


Oleh Asmah Rusman
Kuala Lumpur: Hasrat seorang janda hartawan berasal dari Brunei untuk bertemu kekasih yang di kenali melalui laman sosial sebaliknya menyebabkan mangsa ditipu kira-kira RM50,000 minggu lalu.

Mangsa yang berusia 61 tahun sanggup ‘menderma’ wang kepada kekasihnya itu yang menyamar sebagai lelaki warga British, namun menetap di Malaysia.

Mangsa dikatakan sanggup mengambil penerbangan ke negara ini untuk bertemu suspek dikenali dengan nama Harry Ibrahim pada Jumaat lalu selepas berkenalan sejak Jun lalu.

Malangnya suspek yang dihubungi mangsa sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seolah-olah mahu mempermainkan mangsa apabila menyedari mangsa tidak membawa tambahan RM30,000 seperti diminta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Mortadza Nazareene berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu dari Polis Diraja Brunei (PDB) selain kerjasama diberikan tiga anak mangsa.

“Anak mangsa membuat laporan polis selepas ibunya enggan mempercayai nasihat mereka yang yakin lelaki dikenali mangsa adalah ahli sindiket penipuan cinta melalui Internet.

“Bagaimanapun, ibu mereka tidak percaya sebaliknya yakin lelaki itu seorang ahli perniagaan syarikat perkapalan berpangkalan di Jerman dan berasal dari United Kingdom,” katanya dalam sidang media di Bukit Perdana semalam.

Mortadza berkata, mangsa sebelum itu sudah menyerahkan wang tunai RM50,000 kepada suspek melalui dua akaun bank tempatan yang diberikan suspek.

“Teman lelaki mangsa mendakwa menghadapi masalah perniagaan dan meminta bantuan kewangan dari mangsa.

“Susulan laporan PDB itu, sepasukan anggota daripada JSJK diarahkan menjalankan risikan di KLIA untuk mengesan suspek.



Bagaimanapun suspek tidak hadir sebaliknya membiarkan wanita itu menunggu lebih tiga jam termasuk diarahkan ke Puchong,” katanya.

Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya menjejaki suspek bersama dua rakannya di sebuah rumah di Mantin, Negeri Sembilan.

“Ketika serbuan dilakukan, kumpulan suspek warga Afrika itu giat menjalankan penipuan terhadap mangsa lain menggunakan akaun laman sosial sama,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 20-an itu menggunakan pas lawatan sosial dan pas penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri berkenaan.

“Siasatan mendapati akaun bank yang diterima mangsa itu adalah milik seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Semua kaya semalamam


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara terperinci punca wang jutaan ringgit diperoleh dan disimpan di dalam akaun bank milik 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan Selasa lalu.
Siasatan turut menjurus terhadap 10 kenderaan mewah dan beberapa aset rumah dimiliki kumpulan pegawai JKDM ditahan itu. 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Syukri Abdull berkata, pihaknya buat masa ini bertindak membekukan 207 akaun bank milik 12 pegawai JKDM dan 10 ahli sindiket yang turut ditahan membabitkan jumlah simpanan RM6 juta. 

Menurutnya, wang itu dipercayai ada kaitan dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak bermutu tinggi yang tidak diisytiharkan.
Foto
PEGAWAI kastam yang ditahan dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman, semalam.

“Siasatan mendapati pegawai kastam pelbagai pangkat itu memiliki simpanan wang di dalam bank berjumlah sekitar RM4 juta dan RM3 juta lagi dalam bentuk tunai. Ahli sindiket pula memilik simpanan wang di dalam bank berjumlah RM2 juta.

“Jumlah itu adalah hasil siasatan dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security yang melakukan siasatan susulan Rabu lalu,” katanya. 

Beliau berkata, pegawai JKDM itu dikesan terbabit dalam kegiatan rasuah dan melindungi sindiket penyeludupan arak dan rokok. 

“Mereka membantu melepaskan barangan itu yang ditempatkan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKPZ) tanpa membayar duti cukai. 

“Dianggarkan sejumlah RM1.67 bilion rokok dan arak dibawa masuk sejak 2011. Daripada jumlah itu, hanya RM420 juta cukai diisytiharkan,” katanya. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Penggal tepi hutan


Gombak: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya disembelih pembunuh sebelum diletakkan dalam bungkusan kain tidak jauh dari tubuh mangsa.
Dalam kejadian jam 2 petang, semalam mayat mangsa ditemui orang awam dibunuh di kawasan hutan berhampiran kilometer 32, Jalan Gombak Lama, di sini. 
Mayat mangsa dipercayai mati beberapa hari lalu didapati dalam keadaan berbungkus dengan beberapa helai pakaian serta diikat dengan pita pelekat. 

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan meniarap serta kepalanya dipenggal pada bahagian leher menggunakan senjata tajam.
Foto
ANGGOTA polis mengawal lokasi penemuan mayat mangsa pembunuhan kejam di Jalan Gombak Lama.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati mayat mangsa yang ditemui berhampiran jalan utama itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mayat mangsa yang ditemui di kawasan cerun bukit itu memakai seluar jean berwarna biru lengkap berkasut. 

“Hampir keseluruhan mayat ditutupi tanah dan hasil pemeriksaan mendapati keadaan tangan mayat sudah reput,” katanya, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Lemas ditelan pusaran air


Kejadian dipercayai berlaku jam 3 petang ketika mangsa Ahmad Faris Ahmad Nasri, 11, bersama tujuh rakan sebayanya mandi di kawasan berkenaan sebelum mayatnya ditemui hampir 10 jam kemudian di dasar sungai berkenaan oleh pasukan bomba dan penyelamat. 
Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa jam 7.30 malam kelmarin selepas seorang daripada rakan mangsa memberitahu keluarganya mengenai kejadian berkenaan. 

Katanya, polis juga difahamkan rakan mangsa hanya berdiam diri selepas pulang ke rumah masing-masing kerana takut menceritakan hal sebenar kepada keluarga.
Foto
MAYAT Ahmad Faris ditemui.

“Bagaimanapun, selepas disoal berkali-kali tentang ke mana mangsa pergi barulah seorang rakannya itu mula menceritakan perkara yang berlaku.

“Difahamkan, sebelum kejadian mangsa cuba naik semula ke darat dengan bantuan rakannya, namun usaha menariknya gagal kerana dikatakan tergelincir lalu jatuh dan disedut dalam pusaran air terbabit,” katanya. 

Katanya, berikutan itu, pihaknya memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan mencari dan menyelamatkan mangsa terbabit. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Mohd Firdaus Bukari berkata, 12 anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat pada jam 7.34 malam dan mendapat bantuan daripada Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani yang tiba pada jam 10.45 malam. 

Katanya, anggota PPDA mengambil masa dua jam melakukan operasi mencari sebelum menjumpai mayat mangsa yang tersangkut pada dawai kawat di dasar sungai berhampiran lubang pembetung air keluar menghala ke laut yang terletak tiga meter dari kawasan mangsa tergelincir. 

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat dan dituntut oleh keluarga jam 6 pagi semalam untuk dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Kota Bharu, Kelantan selepas solat Zuhur.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Elakan sudah terlambat


Kuala Lumpur: Tindakan seorang pemandu kereta merempuh konkrit pembahagi jalan dalam usaha mengelak daripada melanggar seorang pejalan kaki gagal apabila kenderaan itu tetap melanggar mangsa.
Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa lelaki berusia 30-an maut serta-merta selepas dilanggar kereta BMW di kilometer 9.9, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Kepong, di sini. 
Mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti maut di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan. 

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari Sri Gombak menuju Taman Wahyu di sini.
Foto
MAYAT seorang pejalan kaki yang maut dirempuh sebuah kereta ketika melintas malam kelmarin.

Menurutnya, pemandu kereta itu bagaimanapun terkejut apabila mendapati seorang lelaki tiba-tiba muncul dan melintas jalan di hadapannya.

“Pemandu kereta itu cuba mengelak mangsa dengan melanggar konkrit penghadang jalan. Bagaimanapun kereta itu tetap meluncur dan merempuh mangsa. 

“Akibatnya mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Dia kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat,” katanya. 

Menurutnya polis gagal mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh lelaki itu. 

Menurut Ali, pemandu kereta itu bagaimanapun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

‘Doktor’ kaki lima terkedu


Kuala Lumpur: Ramai peniaga warga asing sekitar ibu kota bergerak aktif sebagai ‘doktor palsu’ apabila bebas menjual pelbagai ubat-ubatan seludup termasuk ubat sudah luput tarikh kepada orang ramai.
Kegiatan menyalahi undang-undang itu dikesan hasil risikan pegawai Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kumpulan peniaga ini yang aktif menjual ubat seludup pada harga murah. 
Jurucakap CPF berkata, siasatan mendapati peniaga ini gemar menjual pelbagai ubat-ubatan dikawal KKM antaranya seperti antibiotik, ubat antivirus dan pelbagai ubat mengandungi steroid. 

Menurutnya, ubat ini dilarang dijual secara bebas berikutan ia hanya boleh dibekalkan oleh doktor selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan.
Foto
PEGAWAI CPF memeriksa ubat yang dirampas di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam.

“Tambah membimbangkan apabila ubat seludup ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan sekiranya dimakan tanpa kawalan.

“Sebagai contoh pil corticosteroid dijual boleh merosakkan sistem ketahanan tubuh pada penyakit walaupun pil itu didakwa boleh mengatasi masalah sakit sendi dan sebagainya,” katanya. 

Menurutnya, dos berganda diambil pengguna pula boleh menyebabkan penurunan tahap antibodi badan, sekali gus mengakibatkan kesan lebih buruk pada sistem tubuh. 

Dia berkata, kegiatan penjualan ubatan haram itu dilumpuhkan selepas sepasukan pegawai CPF Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diketuai Asniza Alias melakukan operasi di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Koyak saman baling polis


Batang Kali: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi bertindak biadab apabila mengoyak notis saman diterima sebelum mencampakkan kertas itu ke arah anggota polis yang menahannya di Jalan Genting menghala Ulu Yam di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, suspek berusia 23 tahun didapati melakukan kesalahan mengubah suai kenderaan tanpa kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). 
Pegawai Turus Trafik Bukit Aman Superintendan Bon Jeen Ahrom berkata, lelaki terbabit yang menunggang motosikal Kawasaki turut menghambur kata-kata kesat kepada anggota polis bertugas. 

“Sejurus mengoyakkan kertas saman itu, lelaki terbabit terus memecut motosikalnya sebelum berpatah balik disebabkan tertinggal MyKad dan lesen.
Foto
ANGGOTA polis trafik memeriksa kenderaan ketika operasi khas di Genting Sempah, semalam.

“Ketika itulah suspek diberkas sebelum diarah menjalani ujian air kencing. Hasil ujian mendapati suspek positif mengambil dadah ganja,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk siasatan lanjut. 

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 30-an di kawasan sama selepas mendapati memandu kereta curi. 

“Hasil semakan mendapati suspek adalah penjenayah dikehendaki. Kereta curi Proton Wira dipandu suspek turut dihantar ke IPD Hulu Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.Dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 1,036 saman dikeluarkan di empat lokasi berasingan di Terminal Bas Genting, Jalan Gombak menuju susur Genting, Jalan Genting ke Genting Sempah dan Jalan Genting menuju ke Ulu Yam. 

“Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, tamat tempoh cukai jalan dan mengubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. 

“Operasi turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Puspakom dan Pasukan Polis Bantuan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

SPRM beku 207 akaun


Kuala Lumpur: Sejumlah 207 akaun bank dianggarkan RM6 juta kini dibekukan sehingga selesai siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes rokok dan arak bermutu tinggi yang tidak diisytiharkan.
Kesemua akaun itu membabitkan pegawai Kastam pelbagai pangkat yang berjumlah sekitar RM4 juta dan akaun sindiket berjumlah RM2 juta.
Ia dikesan selepas tertangkapnya 24 individu, termasuk 12 pegawai Kastam pelbagai pangkat dan 12 lagi yang disyaki anggota sindiket.

Mereka ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security, pada 3 September lalu.
PEGAWAI SPRM membawa anggota Kastam pelbagai pangkat ke Mahkamah Petaling Jaya untuk mendapat perintah tahanan reman. FOTO Affendy Rashid

Mereka ditahan di beberapa tempat berasingan, termasuk di PKFZ Lembah Klang dan Ipoh selepas mendapat maklumat mencukupi.

Suruhanjaya itu, hari ini, mendedahkan rokok dan arak bermutu tinggi tidak diisytiharkan berjumlah RM1.25 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Syukri Abdull berkata, arak dan rokok itu ditempatkan di PKFZ (Zon Bebas Cukai) di Pelabuhan Klang dan diseludup masuk tanpa membayar duti.

"Sejumlah RM1.67 bilion rokok dan arak dibawa masuk sejak 2011. Daripada jumlah itu, hanya RM420 juta diisytiharkan.

"Ini menjadikan jumlah tidak diisyiharkan termasuk duti kastam yang menyebabkan kerajaan kerugian adalah berjumlah RM2.5 billion," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, arak dan rokok dikesan masuk dari beberapa negara termasuk Scotland, Sweden, Indonesia, Thailand, China, India dan Kemboja.

Katanya, skuad khas diketuai SPRM membuat pemantauan terhadap kes ini, sejak setahun lalu.

Menurutnya, tindakan susulan iaitu menilai cukai sedang dilakukan oleh Lembaha Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam membabitkan duti eksais.

Pada sama, katanya, SPRM turut merampas dan menyita lori yang penuh dengan muatan arak dan kenderaan sindiket.

"Pelbagai harta alih dan tidak alih milik pegawai kastam dan anggota sindiket turut disita termasuk 10 kenderaan mewah, sebuah lot rumah kedai dan wang tunai berjumlah hampir RM3 juta," katanya.

Menurutnya, operasi dan siasatan masih berterusan dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dilakukan.

Sementara itu, SPRM sudah mendapatkan perintah tahanan reman tujuh hari, bermula hari ini, terhadap 12 pegawai anggota Kastam, termasuk seorang pengarah negeri, di Mahkamah Petaling Jaya, untuk membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Bas hanyut, 70 hilang


Srinagar: Kira-kira 70 orang dilapor hilang selepas sebuah bas yang membawa membawa lebih muatan dihanyutkan arus dalam kejadian banjir yang melanda Kashmir, semalam.

Jurucakap pasukan penyelamat, Shantmanu berkata operasi mencari dan menyelamat digerakkan, namun arus deras dan hujan lebat menyukarkan usaha mengesan lokasi bas berkenaan.


Menurut laporan, bas itu dalam perjalanan ke sebuah majlis perkahwinan di sebuah kampung di wilayah Rajouri, 180 kilometer ke barat daya Srinagar.



Bas berkenaan dilaporkan hanya mampu menampung 54 orang, tetapi ia membawa lebih daripada itu.


Kebanyakan majlis perkahwinan di wilayah berkenaan terganggu akibat hujan lebat dan banjir yang terburuk sejak 22 tahun menyebabkan banyak majlis terpaksa ditunda.


Hujan lebat dan banjir yang melanda Kashmir sebelum ini sudah meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa sejak dua hari lalu dan pihak berkuasa terpaksa mengarahkan sekolah serta kolej di wilayah itu ditutup selain menghentikan operasi kereta api sejak semalam.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat akan berterusan untuk tempoh dua hari lagi.


Jurucakap polis Imtiyaz Hussain berkata, 14 mangsa terbabit mati akibat dihanyutkan arus atau ditimbus s lumpur yang dibawa banjir. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Dipaksa jilat ludah sebelum dibunuh


Jailpaiguri: Polis di Benggala Barat semalam melancarkan siasatan berhubung dakwaan seorang gadis belasan tahun dirogol dan dibunuh selepas dimalukan jawatankuasa kampung.

Menurut laporan, gadis berusia 15 tahun itu mulanya membantah tindakan jawatankuasa berkenaan memukul bapanya kerana gagal membayar pinjaman yang diambilnya untuk membeli jentolak.


Tindakan gadis itu menyebabkan jawatankuasa berkenaan mengalihkan kemarahan mereka kepadanya, termasuk memaksa dia meludah dan menjilat semula.

Sebaik kejadian itu, gadis terbabit hilang.


Mayatnya ditemui kelmarin berhampiran landasan kereta api di daerah Jalpaiguri.


Seorang lelaki yang menemui mayat itu berkata, pakaian gadis itu terselak hingga ke bahu dan dipercayai diperkosa.

Anggota keluarganya membuat laporan polis dengan menamakan 13 orang anggota jawatankuasa kampung berkenaan sebagai suspek.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Wanita tak kesal penggal anak


Anguo (China): Seorang ibu yang memenggal kepala anaknya yang berusia 16 bulan dengan pisau memberitahu polis, dia tidak menyesal membunuh kanak-kanak itu.

Feng Tai, 31, mengaku dia mulanya mencekik bayi itu sehingga mangsa pengsan di rumah keluarganya sebelum memenggalnya ketika dia masih bernyawa.


“Memang saya membunuhnya dan tidak menyesal. Dia tidak perlu menderita kerana dia sudah bebas,” katanya kepada polis.



Abang wanita itu, Feng Tsao, 34, berkata: “Adik saya tertekan sejak melahirkan anak itu dan suaminya bekerja jauh serta jarang balik.


“Keluarga kami membantunya. Keluarga mentuanya juga bantu. Tetapi, dia sering tertekan. “Dia menelefon saya pada tengah malam untuk memberitahu dia membunuh anaknya. Saya mulanya tidak percaya, tetapi apabila tiba di rumahnya, dia menunjukkan kepala anaknya. Sungguh mengerikan.” Polis menemui mayat mangsa tertanam di belakang rumah keluarga itu di bandar Anguo di wilayah Hebei, timur laut China.


“Feng Tai mengaku membunuh anaknya, tetapi dia jelas kelihatan tidak sihat. Kami meneruskan siasatan sementara wanita itu dihantar untuk pemeriksaan psikiatrik,” kata jurucakap polis.

Bercakap menerusi telefon dengan wartawan tempatan, bapa bayi itu. Liu Yen, berkata: “Ia tragedi buruk. Saya tidak ada pilihan lain kecuali bekerja jauh dari keluarga. Saya tahu isteri saya tidak gembira, tetapi kami perlukan wang.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Berpusing macam baju dalam mesin basuh


Pasadena (Amerika Syarikat): Seorang kanak-kanak berusia lima tahun nyaris maut apabila dia terperangkap dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi di sini, semalam.

Kanak-kanak itu berada dalam mesin yang berpusing pada kelajuan tinggi selama beberapa minit sebelum disedari seorang lelaki.


“Mesin berkenaan berpusing laju dan dia berada di dalamnya. Mujur ada orang yang melihatnya. “Mulanya dia menyangka ia baju atau sesuatu kerana ia bergerak terlalu laju,” kata jurucakap polis, Van Mitchell.



Beberapa minit sebelum itu, seorang wanita cuba menggunakan mesin berkenaan, tetapi memaklumkan kepada pengurus mesin itu tidak boleh digunakan.


Polis tidak pasti bagaimana kanak-kanak itu boleh memasuki mesin berkenaan dan terperangkap di dalamnya.


Mangsa cedera teruk tetapi selamat dan kini dirawat di hospital di Texas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Lelaki mabuk jadi ‘Superman’


Tang Lei, 25, memberitahu polis di Suqian, dia memecah masuk sebuah rumah di apartmen berkenaan selepas minum bersama beberapa kawan.

Katanya, dia menyangka rumah itu kosong.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila anak tuan rumah itu terjaga.

“Untuk memastikan dia tidak menjerit, saya memberitahunya akan terbang pulang ke tempat asal saya.

“Dia tidak percaya dan memberitahu saya, ‘jika anda Superman, buktikan anda boleh terbang atau saya akan menjerit.
Foto
LELAKI mabuk yang memecah masuk apartmen ditahan polis.
“Saya tidak mempunyai pilihan. Saya menanggalkan pakaian sehingga tinggal seluar dalam serta berjalan ke tingkap.

“Saya lihat ada bumbung di bawah dan yakin saya boleh terjun ke situ,” kata Tang di hospital.
Polis kemudian menemuinya dalam keadaan luka. Dia kini berdepan hukuman penjara tujuh tahun jika didapati bersalah atas tuduhan merompak. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

Doktor maut cetus kebimbangan terbaharu Ebola di Nigeria - WHO

KHAMIS, 4 SEPTEMBER 2014 @ 8:41 AM

 
DAKAR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan seorang doktor yang menghidap Ebola di selatan Nigeria merawat berpuluh pesakitnya sehingga terdedah kepada virus itu sebelum doktor berkenaan meninggal dunia.

Sementara itu pegawai kesihatan Nigeria berkata pihaknya percaya virus berkenaan kini berjaya dikawal selepas seorang pengembara rakyat Liberia membawa masuk Ebola ke negara itu.

Namun, seorang lelaki yang terdedah kepada pengembara berkenaan dan ia menjadi kes klaster Ebola yang dikesan di Port Harcourt.

WHO berkata, doktor berkenaan yang sudah mati dan isterinya juga mempunyai simptom Ebola.



Lebih 60 orang yang dalam pengawasan doktor berkenaan turut diklasifikasikan sebagai mereka yang 'berisiko tinggi' dan "amat berisiko tinggi'.

Jumlah kematian akibat Ebola kini sudah berkurangan berbanding dengan Liberia, Sierra Leone dan Guinea apabila angkanya mencecah ratusan mangsa di setiap negara berkenaan. - AFP

41 pelajar SMK Sultanah Bahiyah keracunan makanan


ALOR SETAR: Seramai 41 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah, dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), malam tadi selepas mengalami cirit birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan.
Perkara itu dipercayai berlaku selepas pelajar terbabit menikmati air minuman kotak yang diberikan pihak sekolah secara percuma pada waktu rehat, semalam.

200 penerbangan Lufthansa batal berikutan mogok

 JUMAAT, 5 SEPTEMBER 2014 @ 3:38 PM
FRANKFURT: Lufthansa, syarikat penerbangan terbesar di Jerman, membatalkan 200 penerbangan hari ini yang menjejaskan 25,000 penumpang berikutan mogok juruterbang.
Kesatuan sekerja juruterbang, 'Vereinigung Cockpit' menganjurkan mogok selama enam jam antara jam 5 petang hingga 11 malam (11 malam hingga 3 pagi waktu Malaysia) berhubung perubahan dalam dasar persaraan awal syarikat penerbangan itu.
Tindakan pekerja itu ditumpukan kepada lapangan terbang terbesarnya iaitu Frankfurt, menyebabkan pembatalan sebahagian besar penerbangan domestik dan serantau.
Lufthansa berkata penerbangan dibatalkan seawal 1.30 petang (7.30 malam Malaysia) dan kebanyakannya mulai jam 4 petang (10 malam Malaysia).
Syarikat berkenaan berjanji akan cuba mengehadkan kesan mogok itu ke atas penumpang.
Juruterbang Lufthansa kini boleh menikmati persaraan awal berbayar mulai usia 55 tahun. Mereka sedang berjuang untuk meningkatkan umur minimum serta menuntut agar pembayaran pencen itu turut membabitkan juruterbang.
Jumaat lalu lebih 100 penerbangan dibatalkan di beberapa lapangan terbang di Jerman berikutan mogok oleh juruterbang syarikat tambang murah, 'Germanwings'. - AFP

14 terkorban dalam banjir, tanah runtuh di Kashmir

SRINAGAR: Banjir paling teruk di Kashmir dalam tempoh 22 tahun mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, kata pegawai polis Imtiyaz Hussain.
Katanya, mangsa dibawa arus air yang kuat ataupun tertimbus di dalam lumpur yang mengalir dari cerun bukit sejak semalam. Mangsa termasuk seorang anggota separa tentera yang ditimpa peti simpanan.
Hussain berkata askar dan anggota penyelamat menggunakan bot bagi memindahkan ribuan orang ke tanah tinggi.
Sekurang-kurangnya 100 kampung di sekitar Lembah Kashmir terbabit dengan banjir akibat limpahan air dari tasek dan sungai, termasuk sungai Jhelum, yang mencapai 1.5 meter melebihi paras bahaya. - AP