Search This Blog

Thursday, September 4, 2014

11 suspek curi 96 televisyen ditahan


YAN - Kelicikan sekumpulan bekas pekerja sebuah stor peralatan elektrik di Sungai Limau Luar, di sini, mencuri dan menjual beberapa unit televisyen milik syarikat berakhir apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata, kejadian itu disedari pekerja syarikat terbabit ketika melakukan pengauditan sebelum mendapati beberapa unit televisyen berkurangan sejak Mei lalu.

Menurutnya, curiga dengan perkara itu, pemilik stor berkenaan membuat laporan di Balai Polis Guar Chempedak pada 21 Jun lalu.

“Pemilik stor berkenaan mendapati sebanyak 96 unit televisyen pelbagai jenama dan saiz hilang dari stornya sejak Mei lalu.

“Susulan kejadian, sepasukan anggota polis berjaya menahan seramai 11 individu yang berumur antara 20 hingga 44 tahun yang disyaki terlibat dengan kegiatan terbabit,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini, semalam.

Katanya, seorang suspek yang ditahan juga mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu mencuri dalam bangunan.

“Enam daripada individu terbabit adalah bekas pekerja stor terbabit dan terlibat secara langsung memecah masuk stor berkenaan, manakala lima yang lain sebagai orang tengah yang menjual televisyen kepada orang ramai,” katanya.

Nek Zaidi berkata, hasil soal siasat pihak polis berjaya menemui semula sebanyak 39 unit televisyen pelbagai jenama di beberapa lokasi sekitar Guar Chempedak dan Kuala Kedah.

“Kita mendapati modus operandi kumpulan terbabit adalah melakukan perniagaan barangan curi sebelum hasilnya digunakan untuk aktiviti perjudian,” katanya.

Rumah cikgu dimasuki pencuri

WARTAWAN SINAR HARIAN
Keadaan rumah guru sejarah yang berselerak selepas dimasuki pencuri dalam kejadian pecah rumah di Balai Besar, awal pagi kelmarin.
Keadaan rumah guru sejarah yang berselerak selepas dimasuki pencuri dalam kejadian pecah rumah di Balai Besar, awal pagi kelmarin.
BALAI BESAR – Seorang guru sebuah sekolah rendah dekat sini, kerugian lebih RM1,000 apabila rumahnya dimasuki pencuri, awal pagi kelmarin.

Kejadian diketahui pengadu selepas menerima panggilan telefon kira-kira jam 4.20 pagi daripada jiran memaklumkan kejadian berkenaan.

Pengadu, Norkiah Mohamad, 40-an, yang ketika itu berada di luar kawasan di Besut kerana mengikuti kursus terus bergegas pulang.

Sebaik sampai di rumah kira-kira jam 7.30 pagi, guru sejarah itu mendapati keadaan rumahnya berselerak. Pencuri dipercayai masuk melalui siling rumah selepas pemeriksaan dilakukan mendapati ada kesan pecah pada bahagian berkenaan.

Pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai, barang kemas seperti cincin serta jam hilang. Bagaimanapun komputer riba dan kemera yang ditinggalkan dalam rumah tersebut tidak hilang.

Guru terbabit kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun. Polis masih menyiasat kes berkenaan.

Kerani ladang sawit Perkaya maut

Mayat mangsa dikeluarkan orang awam dari dalam keretanya yang remuk teruk
Mayat mangsa dikeluarkan orang awam dari dalam keretanya yang remuk teruk
KEMAMAN - Hasrat seorang kerani ladang sawit Perkaya Terengganu Sdn Bhd untuk tiba awal di pejabatnya di Bandar Cheneh Baru tidak kesampaian apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah Proton Wira dalam nahas di Jalan Mak Lagam-Cheneh, dekat Bukit Jembalang, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Zura Azira Mohd, 30, yang mengalami kecederaan di bawah tempurung kepala meninggal dunia di lokasi nahas.

Suami mangsa, Harmizi Jusoh, 32, berkata, isterinya keluar bekerja seawal jam 6.50 pagi dari rumah mereka di Kampung Titian Berayung, Kijal.

“Malam tadi dia demam dan dia menangis.. selepas saya berinya ubat, dia tertidur dan pagi tadi lepas bangun dia nampak sihat.

“Dia keluar kerja lebih awal hari ini berbanding hari biasa iaitu pada jam 6.50 pagi. Dia nampak bersemangat untuk bekerja,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman di Chukai.

Kerap duduk termenung

Harmizi berkata, sejak belakangan ini juga isterinya kerap duduk termenung menyebabkan dia sedikit hairan, namun tidak menyangka akan kehilangannya.

“Isteri seorang yang ceria, jadi saya agak pelik apabila dia kerap duduk termenung sejak beberapa hari lalu. Biasanya selepas pulang dari kerja, biarpun penat dia banyak cakap dengan saya.

Harmizi yang bekerja sebagai pegawai kontrak di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik berkata, sebelum keluar bekerja isterinya bersalaman dan mencium pipinya seperti biasa.

Namun, katanya, panggilan yang diterima kira-kira jam 8 pagi daripada anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman mengejutkannya apabila dimaklumkan isterinya terlibat dalam kemalangan.

“Kebetulan hari ini saya kerja malam, jadi semasa terima panggilan saya berada di rumah. Saya kemudian cepat-cepat pergi ke tempat kejadian sebelum lihat jasad isteri terbujur kaku,” katanya sebak.

Bilik asrama sekolah terbakar

Keadaan dalam bilik asrama SMK Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuala Tahan yang terjejas akibat kebakaran tengah malam semalam
Keadaan dalam bilik asrama SMK Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuala Tahan yang terjejas akibat kebakaran tengah malam semalam
KUANTAN - Sebuah bilik asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut musnah dalam kejadian kebakaran tengah malam kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu 12.10 tengah malam.

Menurutnya, seramai 15 anggota bomba  dari Balai Bomba Jerantut dan Kuala Tahan bersama jentera dikerah ke lokasi bagi membantu mengawal dan memadam kebakaran.

“Usaha memadam kebakaran yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Damak dan guru sekolah itu mengambil masa kira-kira dua jam untuk dipadamkan.

“Tindakan pantas pihak sekolah memaklumkan kejadian lebih awal berjaya menyelamatkan keseluruhan bangunan itu daripada musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Anuar berkata, hanya satu bilik yang terjejas dalam kebakaran itu, bagaimanapun tiada sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata, bilik asrama lelaki di tingkat tiga itu tidak berpenghuni sebaliknya hanya mempunyai kelengkapan katil, tilam dan almari sahaja.

“Pihak bomba juga melakukan pemeriksaan seluruh bangunan dan kawasan kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran dan punca  yang boleh mengakibatkan kebakaran berulang,” katanya.

“Punca sebenar kebakaran itu dan jumlah kerugian yang dialami pihak sekolah akibat kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Kereta terbakar angkara khianat

Keadaan kereta jenis Perodua Myvi terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat .
Keadaan kereta jenis Perodua Myvi terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat .
JOHOR BAHRU – Sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat di Jalan Tawakal, Flat Serantau Baru, di sini, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, semalam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Azman Mohd Surani berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 pagi.

Menurutnya, sebuah kereta Myvi berwarna kuning musnah sebahagian pada bahagian belakang kereta dipercayai perbuatan khianat selepas siasatan awal mendapati penutup tangki minyak kereta berkenaan lesap.

“Siasatan awal mendapati kebakaran bermula di bahagian belakang kenderaan dan didapati penutup tangki minyak telah tiada dipercayai perbuatan khianat,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

Azman berkata, tujuh anggota yang terlibat berjaya mengawal kebakaran dan menamatkan operasi pada jam 6.02 pagi.

Katanya, kebakaran itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Misteri bau busuk di rumah kedai terjawab

Lokasi di mana mayat mangsa ditemui seorang penduduk yang tinggal di rumah kedai berkenaan.
Lokasi di mana mayat mangsa ditemui seorang penduduk yang tinggal di rumah kedai berkenaan.
BATU PAHAT – Tanda tanya penduduk sekitar Taman Banang Height akhirnya terjawab apabila mereka menemui mayat seorang lelaki di sebuah rumah kedai dalam keadaan terbaring, malam kelmarin.

Semasa penemuan mayat kira-kira jam 9 malam itu, seorang lelaki yang juga penghuni rumah kedai berkenaan curiga dengan bau busuk dan cuba mencari punca bau berkenaan, sebelum menemui mayat terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, seorang lelaki di rumah kedai di kawasan berkenaan mencari bau busuk yang telah dihidu beberapa hari.

Katanya, sebaik memeriksa sebuah rumah di tingkat atas dia menemui mayat seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti berusia lingkungan 30-an.

“Pihak polis percaya lelaki terbabit telah mati di situ sejak tiga atau empat hari sebelum mayatnya ditemui.

“Siasatan lanjut dijalankan turut menemui kesan tikaman menggunakan objek tajam di perut, lengan dan leher mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati mangsa bukan penghuni rumah kedai terbabit dan mayatnya ditemui di sebuah rumah dihuni lelaki Vietnam bersama seorang wanita, namun mereka gagal dikesan,” katanya semalam.

Menurut Din, pihaknya percaya kehilangan penghuni rumah itu mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan terbabit dan kini berusaha mengesan mereka.

“Kami sudah merekodkan keterangan daripada saksi yang menemui mayat itu bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi bedah siasat.

Jumpa mayat dalam semak

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke HTAA.
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke HTAA.
KUANTAN - Mayat seorang lelaki ditemui terbaring dalam kawasan semak di Kilometer 21 Jalan Pintasan Kuantan – Gebeng berhampiran Balai Polis Gebeng di sini, semalam.

Mayat lelaki dipercayai sebagai Che Badrol Hafiz Che Hamzah, 21, beralamat di RRM Permatang Badak di sini ditemui kira-kira jam 8 pagi oleh seorang lelaki Orang Asli yang kebetulan memasuki kawasan hutan tersebut bersama dua rakannya untuk memikat burung.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam semak bagaimana pun siasatan awal mendapati tiada kesan darah atau kecederaan ditemui.

Menurutnya, siasatan polis di lokasi penemuan mayat itu juga mendapati tiada kesan pergelutan ditemui.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

“Hasil laporan awal bedah siasat mendapati ada seperti kesan tekanan pada bahagian leher mayat mangsa bagaimanapun pihak hospital memerlukan sedikit masa untuk melakukan beberapa pemeriksaan termasuk ujian darah sebelum menentukan punca sebenar kematian lelaki tersebut.      

“Polis menunggu keputusan penuh bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian lelaki itu sama ada melibatkan unsur jenayah atau mati mengejut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Lagi jadi mangsa gores dan menang

Nor menunjukkan laporan polis selepas menyedari ditipu.
Nor menunjukkan laporan polis selepas menyedari ditipu.
KUANTAN - Seorang wanita tidak percaya akan menjadi mangsa gores dan menang kerana dia adalah antara individu yang sangat prihatin dengan perkara itu sejak kes berkenaan berleluasa di daerah ini.

Menurutnya, dia sentiasa mengingatkan ahli keluarga supaya tidak terpedaya dengan pekerja gores dan menang yang sentiasa ‘mengejar’ pelanggan di lokasi tertentu.

Bagaimanapun, katanya, taktik licik agen gores dan menang yang menukar kaedah menambat hati pelanggan mereka mengakibatkan dia kehilangan RM10,000 dalam sekelip mata.

Nor Mohd Yunus (bukan nama sebenar), 24, berkata, sebelum ini, dia ada mendengar mengenai taktik agen berkenaan yang bijak memutar belit sehingga pelanggan mengikut sahaja arahan mereka sehingga sanggup mengambil wang di bank dalam sekelip mata.

“Tapi kali ini, kejadian itu berlaku pada saya sendiri. Mereka sangat licik dan pandai bercakap dan saya seolah-olah dipukau kerana mengikut sahaja arahannya,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama suami dan seorang anak sedang memakir kereta di hadapan gedung membeli-belah di bandar dan tiba-tiba didatangi dua lelaki yang memujuknya supaya memilih kad.

Nor berkata, dia pada mulanya memang tidak mahu melayan kerana menganggap itu adalah sindiket gores dan menang tetapi melihatkan kepada peralatan yang digunakan, dia terus mengambil kad berkenaan.

Ketika itu, katanya, dua lelaki terbabit sudah memulakan ‘tugasnya’ dengan memujuk sehingga dia dan suaminya membawa mereka mengeluarkan wang di dua bank berasingan.
Lebih mengecewakan, lelaki terbabit membawa mereka ke pejabatnya di Jalan Haji Ahmad tetapi mereka dilarang sama sekali menggunakan telefon bimbit.

“Mereka turut menunjukkan beberapa gambar yang disiarkan dalam akhbar mengenai kejayaan individu bertuah yang menerima hadiah istimewa termasuk kereta dan wang dalam jumlah yang banyak.

“Lelaki itu juga mendakwa mereka tidak pernah disiasat polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana menjalankan perniagaan sah malah turut menjadi tumpuan akhbar mengambil gambar pemenang,” katanya.

Nor mendakwa, dia pada mulanya teragak-agak menyerahkan wang sebanyak itu tetapi mengalah dan mengambil resit sebelum menerima barang yang diberikan iaitu tilam, dapur elektrik dan penapis air.

Menurutnya, selepas menyedari ditipu, Nor yang tinggal di Ladang Jabor membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

“Kami kembali semula ke pejabat itu dan berjumpa dengan agen yang mengambil wang kami tetapi mereka mula berkasar dan tidak mahu memberikan wang berkenaan malah mendakwa mereka tidak menipu,” katanya.

Atas keselamatan, katanya, Nor dan suaminya terpaksa pulang dengan berputih mata tanpa mendapat semula wang berkenaan.

'Saya ingat rumah jiran terbakar'

Keadaan rumah Izhar yang musnah dalam kebakaran, semalam.
Keadaan rumah Izhar yang musnah dalam kebakaran, semalam.
TRONG – Seorang nelayan tidak menyangka rumah yang baru ditinggalkan seketika hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Nibong, di sini semalam.

Mangsa, Izhar Hamid, 41, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak bongsunya pergi ke kedai berhampiran kediaman mereka.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, dia melihat kepulan asap dari jauh dan menyangka kediaman yang berada di hadapan rumah mereka terbakar.

"Saya mula berasa tidak sedap hati, kerana memikirkan seorang warga emas yang tinggal bersendiri yang tinggal bersebelahan rumah dan segera pulang.

"Luluh hati saya apabila melihat hampir separuh rumah telah musnah dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak, namun sempat menyelamatkan beberapa helai baju dab beberapa pasang kasut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Izhar berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana ketika kejadian, semua ahli keluarganya tiada di rumah.

Jelasnya, kini mereka sekeluarga mungkin akan menumpang di rumah saudara yang tinggal berhampiran untuk sementara waktu.

“Saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM50, 000 akibat kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Rashid berkata, rumah jenis kelas A, iaitu keseluruhan batu musnah hingga 70 peratus dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu.

Menurutnya, bilik gerakan bomba menerima panggilan kira-kira jam 10.12 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan operasi memadam  serta  menyelamat.

“Tiba di tempat kejadian, kita dapati api telah marak di beberapa bahagian rumah berkenaan dan kami menggunakan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dibantu sebuah lagi jentera dari balai Pantai Remis.

“Dengan kekuatan seramai 15 anggota api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.04 tengah hari,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasna berkata, rumah berkenaan didiami mangsa bersama isteri, empat anak dan seorang adik.

“Semua mangsa selamat kerana ketika kejadian rumah terbabit ditinggalkan kosong.

“Sehingga kini jumlah kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Dibelasah bekas kakak ipar


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2014


KUALA TERENGGANU- Hanya disebabkan tidak berpuas hati dengan kata-kata yang diluahkan melalui Whatsapp, seorang wanita dipercayai nekad menyerang bekas adik ipar di kediaman bekas mertuanya, dalam satu kejadian di Kampung Raja Baram, Chendering, di sini, Isnin lalu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.30 petang, suspek 20-an dengan ditemani adik perempuannya telah datang ke rumah bekas keluarga mertuanya bertujuan menyelesaikan masalah berhubung kata-kata yang dilemparkan melalui Whatsapp oleh mangsa, 25, sebelum ini.

“Ketika itu, mangsa dipercayai sedang berehat bersama kedua orang tuanya sebelum dikejutkan dengan kehadi-ran suspek yang terus menyerangnya dengan menampar pipi sehingga dia terjatuh.

“Tidak cukup dengan itu, suspek bertindak lebih agresif dengan menendang perut mangsa tanpa belas kasihan, bagaimanapun, bekas ibu mertuanya menghalang suspek daripada terus menerus membelasah mangsa,” katanya.

Namun kata sumber, semasa mangsa cuba bangun untuk menyelamatkan dirinya, adik suspek pula masuk campur dengan bertindak memukul kepala mangsa menggunakan kayu yang dibawa bersama.

“Dalam keadaan menahan kesakitan, mangsa menggagahkan diri lari masuk ke dalam bilik bagi menyelamatkan dirinya daripada terus dibelasah.

“Suspek dan adiknya masih tidak berpuas hati dan nekad mengejar mangsa sebelum tindakan mereka itu dihalang oleh bekas bapa mertuanya yang juga secara kebetulan ada di rumah semasa kejadian,” katanya.

Katanya lagi, suspek bersama adiknya mula beredar meninggalkan rumah berkenaan beberapa minit kemudian selepas berlaku pertelingkahan mulut antara dia dan bekas kedua mertuanya.

Susulan kejadian, mangsa dipercayai telah mengalami kecederaan di bahagian kepala; muka; lebam di mata serta sakit di badan dan menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), di sini.

Mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Chendering, di sini, selepas kejadian dan difahamkan kedua-dua beradik berkenaan berjaya ditahan malam kelmarin di kediaman mereka.

Sementara itu, Pendaftar Mahkamah Sesyen, Majistret Rusila Nik, semalam, membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan
kecederaan.

Pengarah Kastam negeri antara 22 ditahan SPRM

SPRM
SPRM
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 22 individu, termasuk termasuk seorang Pengarah Jabatan Kastam negeri yang disyaki terbabit aktiviti rasuah dalam melepaskan barang seludup yang tidak diisytihar cukai.
  
Daripada jumlah itu, 12 pengawai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
  
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, 12 daripada mereka merupakan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 10 lagi individu merupakan pemilik syarikat dan ejen-ejen mereka serta pemandu lori yang membawa barang-barang yang diseludup dalam satu operasi khas secara besar-besaran di Lembah Klang.
  
"Sindiket itu melibatkan transaksi rasuah kerana melindungi sindiket aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang.
  
"SPRM percaya tangkapan ini telah berjaya menumpaskan dalang yang terbesar dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak, yang tidak dibayar duti kastam, di sebuah pelabuhan utama di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
  
Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi besar-besaran di Lembah Klang, hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang.
  
Mohd Shukri berkata operasi itu turut merampas wang tunai daripada individu terbabit dan barang yang diseludup dari gudang pelabuhan yang melibatkan nilai ketirisan akibat aktiviti lari daripada cukai ini mencecah ratusan juta ringgit.
  
Beliau berkata, barang-barang yang tidak dibayar duti kastam terbabit terdiri daripada rokok dan arak.
  
"Ia diseludup keluar untuk pasaran dalam negara. Malah sebahagian barang terbabit turut dihantar untuk jualan di negara jiran secara haram," katanya.
  
Operasi yang dijalankan bermula semalam dilaksanakan secara bersepadu diketuai oleh SPRM bersama pasukan petugas khas.
  
Turut menyertai operasi khas ini ialah Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan CyberSecurity. - Bernama

Playboy dipenjara 80 tahun


4 September 2014


TAIPEI - TAIWAN. Seorang playboy terkenal Taiwan berikrar akan mengemukakan rayuan selepas dia dijatuhi hukuman penjara hampir 80 tahun kerana merogol 14 wanita dan merakamkan insiden tersebut.

Mahkamah Tinggi Taiwan mendapati Justin Lee, 29, yang juga anak seorang hartawan bersalah kerana menyerang 14 wanita secara seksual dan membuat rakaman secara haram.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Lee untuk membayar pampasan bernilai AS$1.16 juta (RM3.7 juta) kepada mangsa yang terlibat, menurut laporan AFP.

Hujan lebat ragut 11 nyawa

Anggota penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa tertimbus tanah runtuh disebabkan hujan lebat. Foto oleh AFP
Anggota penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa tertimbus tanah runtuh disebabkan hujan lebat. Foto oleh AFP
BEIJING - CHINA. Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala 27 lagi hilang selepas hujan lebat melanda barat daya Chongqing di China, sejak Isnin lalu.

Agensi berita Xinhua melaporkan, hujan lebat turut menyebabkan ribuan rumah runtuh dan hampir 40,000 penduduk dipindahkan ke tempat selamat.

Sementara itu menurut laporan AFP, pegawai kawalan banjir tempatan memaklumkan, tanah runtuh di daerah Fengjie telah membentuk dua tasik dengan paras air yang tinggi di mana ia meningkat sehingga satu meter dalam tempoh sejam.

Lebih 1,000 penduduk turut dipindahkan dari kawasan sekitar dan mangsa hilang adalah termasuk 11 pelombong arang batu yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah.

Warga emas ditemui mati tertiarap

Pasukan forensik memeriksa mayat lelaki berkenaan.
Pasukan forensik memeriksa mayat lelaki berkenaan.
GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki warga emas ditemui berlumuran darah dalam keadaan tertiarap di Lebuh Carnavon di sini pagi tadi.

Mayat A Rajar, 60, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 9 pagi berhampiran kedai menjual arak dan dipercayai mati akibat minum arak berlebihan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, sejurus menerima maklumat kejadian itu, sepasukan polis bergegas ke sana untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya, mayatnya ditemui tertirap dengan kesan luka di bahagian muka dipercayai akibat tersembam.

"Berdasarkan maklumat yang  diterima dari rakannya memaklumkan si mati dilihat mengambil minuman keras pada malam semalam.

"Dia dipercayai tidak dapat mengawal diri sebelum terjatuh dan disahkan meninggal di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mior Farid berkata, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

Mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Hujan batu tembusi bumbung

Padil (kanan) menunjukkan ketulan ais daripada hujan batu kepada Azmi.
Padil (kanan) menunjukkan ketulan ais daripada hujan batu kepada Azmi.
KUALA KRAI - Hujan batu di Kampung Enggong dekat sini, yang berlaku Isnin lalu menggemparkan penduduk, apatah lagi seorang wanita cedera akibat kejadian tersebut.

Ia juga pastinya mencatatkan sejarah kerana itulah kali pertama hujan batu yang bersaiz mencecah dua sentimeter berlaku di kampung berkenaan dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk jika ia berulang pada masa akan datang.

Dua tahun lalu, kejadian sama pernah berlaku tetapi saiz hujan batu agak kecil. Kejadian kali ini juga menyebabkan tujuh bumbung rumah rosak.

Seorang penduduk kampung, Samihah Abdul Samad, 39, yang cedera di tepi hidung berkata, dia tidak menyangka hujan batu boleh terpelanting masuk ke dalam kedainya.

"Tepi hidung saya berdarah akibat terkena hujan batu. Tidak sangka pula sehingga cedera sedangkan ketika itu saya berada di dalam kedai.

"Mujur, luka kecil sahaja dan tidak memudaratkan. Pada mulanya, saya ingatkan biji getah yang terpelanting masuk ke dalam kedai tetapi selepas mengamatinya, baru mengetahui ketulan ais yang terkena tepi hidung," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian hanya seorang pelanggan berada di dalam kedai kerana hujan agak lebat.

"Saya pula berada di kaunter. Terkejut juga kerana hujan batu boleh terkena saya sedangkan jarak kaunter dan hadapan kedai agak jauh.

"Kejadian terkena hujan batu ini tidak akan dilupakan sepanjang hayat walaupun hanya mengalami kecederaan ringan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Berlindung dalam kereta

Seorang lagi penduduk, Padil Abdullah, 47, berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Zaiton Tahir, 42, dan anaknya berusia 14 tahun baharu pulang dari Pasar Besar Kuala Krai.

Sebaik tiba katanya, hujan renyai diikuti  ribut kencang dan hujan batu, menyebabkan dia sekeluarga , segera masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, ketika itu dia mendengar bunyi yang begitu kuat di atas bumbung dan air mula membasahi bahagian dalam rumah.

Tambahnya, ketika itu dia baru menyedari hujan batu yang menembusi hampir keseluruhan bumbung rumahnya.

“Kami sekeluarga amat takut, isteri menangis kerana terlalu panik dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Setelah melihat ketulan ais agak besar jatuh ke dalam rumah menerusi bumbung yang tembus, kami tiga beranak kemudiannya masuk ke dalam kereta yang diletakkan di bawah garaj untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Padil berkata, pada mulanya dia mahu memandu kereta keluar dari kampung tersebut tetapi disebabkan bimbang cermin kereta pecah, mereka hanya menunggu hujan berhenti di dalam kenderaan.


Hanya mampu berselawat

Seorang lagi penduduk, Azizah Wahab, 52, yang sedang memasak ketika kejadian berkata, dia tidak dapat melupakan  kejadian itu kerana sepanjang hayatnya tidak pernah melihat butiran hujan yang bersaiz besar dan tidak pernah melalui situasi mencemaskan seperti itu.

“Kejadian Isnin lalu amat menakutkan dan mengejutkan, bukan sahaja kepada saya tetapi penduduk kampung ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun hujan batu berlaku kira-kira 15 minit tetapi baginya, ia seperti tempoh yang amat panjang.

"Sepanjang tempoh tersebut, saya hanya mampu berselawat dan berdoa agar tidak ditimpa bencana serta diselamatkan daripada kejadian tidak diingini," katanya.

Bagi Rosiah Semail, 33, pula, dia lari ke rumah jirannya kerana takut tinggal di rumah bersama tiga anak berikutan suaminya tiada ketika kejadian.

“Hujan batu menembusi bumbung rumah dan ia menakutkan kami anak-beranak. Jadi, saya segera mencari perlindungan di rumah jiran," katanya.


Pakai topi keledar elak cedera

Sementara itu, dalam kejadian hujan batu Isnin lalu, ada penduduk mengambil kesempatan mengutip ketulan ais dengan memakai topi keledar bagi mengelak kepala cedera.

Ada juga yang merakamkan kejadian dengan video untuk menjelaskan lagi keadaan sebenar Isnin lalu kepada rakan dan keluarga yang lain.

Malah, Sinar Harian turut berpeluang melihat suasana penduduk mengutip ketulan ais tersebut.

Penduduk mendakwa, ketulan air batu yang jatuh mempunyai pelbagai bentuk dan saiz hinggakan ada yang menyerupai bunga.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan ( JKKKP) Mukim Enggong, Azmi Matkar berkata, penduduk telah mengisi borang memohon bantuan zink menggantikan bumbung yang rosak.

Menurutnya, penduduk yang ditimpa bencana kali ini tidak mampu membeli zink baharu dan memerlukan bantuan bagi tujuan tersebut.

Kes dadah di Kelantan catat peningkatan - Mazlan

DATUK Mazlan Lazim memakaikan pangkat kepada pegawai pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelancaran Pasukan Petugas Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini. - Foto Rosliza Mohamed
KOTA BHARU: Jumlah kes dadah di Kelantan mencatatkan peningkatan yang ketara dengan 351 kes dilaporkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak 255 kes dilaporkan dengan 399 tangkapan di negeri ini.

"Pada Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 521 tangkapan dibuat melibatkan kes di bawah Seksyen 39B, 39A (2) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ini bermakna mereka yang mengedar dadah secara besar-besaran di negeri ini banyak, penguatkuasaan memang banyak tetapi ia masih ada," katanya kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat dan Pelantikan Pasukan Petugas Khas PDRM Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.



Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Abdul Rahman.

Di majlis itu, sebanyak 15 pegawai kanan polis kontinjen Kelantan dinaikkan pangkat daripada ASP kepada DSP. Tiga pasukan khas bagi membanteras kes kecurian kenderaan, lumba haram dan dadah turut dilancarkan.

Mazlan berkata kawasan sempadan akan menjadi tumpuan utama kepada pasukan khas itu dalam usaha membanteras gejala dadah di negeri ini.

"Kita perlu ambil tindakan tegas terutama di kawasan sempadan kerana kalau tidak ia akan menjadi masalah kepada negeri-negeri lain.

"Ini kerana kemasukan dadah adalah melalui negeri ini, kita ingin lupuskan sindiket ini," katanya.

Mazlan berkata permintaan terhadap dadah terutama sekali pil kuda amat tinggi di negeri ini.

"Ada yang jual antara RM25 sehingga RM30 sebiji, permintaan tinggi tetapi ia masih dalam keadaan terkawal kerana kita sentiasa mengadakan operasi secara berterusan," katanya. - BERNAMA

13 pegawai kastam antara 22 dicekup SPRM


KUALA LUMPUR: Seorang Pengarah Kastam Negeri bersama 12 pegawai antara 22 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi khas di Lembah Klang, semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Bahagian Operasi, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul dalam satu kenyataan petang tadi memaklumkan 10 pemilik syarikat, ejen dan pemandu lori turut ditahan kerana terbabit dalam aktiviti rasuah berkaitan penyeludupan barang yang tidak diisytihar cukai.
Shukri berkata, penahanan semua individu itu adalah hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang.
Katanya, dalam operasi itu pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai serta barangan seludup dari gudang pelabuhan.
"Sindiket ini membabitkan transaksi rasuah kerana melindungi aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang.
"SPRM percaya tangkapan itu berjaya menumpaskan dalang yang terbesar dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak, yang tidak dibayar duti kastam, di sebuah pelabuhan utama di zon berkenaan," katanya.
Operasi khas yang diketuai SPRM bermula semalam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara.

Peguam hartanah dipenjara enam tahun kerana pecah amanah


PEGUAM hartanah, Herlina Khamisiah Sauli mengaku bersalah atas pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: Seorang peguam hartanah dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM418,500 dua tahun lepas.
Hakim Abdul Rashid Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Herlina Khamisiah Sauli, 36, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula daripada dia ditangkap, semalam.
Herlina Khamisiah, yang ketika itu sebagai peguam di Firma Guaman Messrs Herlina & Co didakwa melakukan pecah amanah terhadap baki wang hasil jualan rumah milik seorang pesara tentera Wan Mohd Husain Wan Ibrahim, yang berjumlah RM418,500 dengan tidak menyerahkan wang itu sebaliknya menggunakan untuk kegunaan firma guamannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di firma guamannya di No. 27-1, Jalan Wangsa Delima 5, Pusat Bandar Wangsa Maju, Wangsa Maju di sini pada 31 Okt 2012.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.
Mengikut fakta kes, pengadu melantik Herlina Khamisiah daripada Tetuan Herlina & Co untuk menguruskan jualan rumahnya dan pada 11 April 2013, pengadu dimaklumkan bahawa pihak pembeli telah membuat baki bayaran sebanyak RM 418,500 dan bayaran dibuat kepada firma guaman itu sebagai pemegang amanah.
Selepas urusan jual beli selesai, Herlina Khamisiah gagal menyerahkan wang hasil jualan kepada pengadu sehingga pengadu pergi semula ke firma guaman tersebut tetapi firma guaman telah ditutup dan usaha mengesan Herlina Khamisiah gagal.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S.Nithia memohon hukuman berat diberikan kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah sangat serius selain tertuduh ketika itu merupakan seorang peguam yang diamanahkan untuk menguruskan dana itu tetapi dia menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepadanya.
"Kesalahan ini juga memberi kesan kepada kerjaya peguam secara keseluruhannya, apabila masyarakat hilang kepercayaan terhadap peguam lain, mohon kepentingan awam diambil kira sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman supaya boleh memberi pengajaran kepada yang lain," katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia mempunyai seorang anak berusia tiga tahun dan tidak lagi beramal sebagai peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Herlina Khamisiah turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap dana dalam akaun pelanggan Herlina & Co di Bank Al Rajhi, Taman Connought, Cheras berjumlah RM261,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama antara Mac 2012 hingga Sept 2013 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Hakim Norsharidah Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan Jumaat ini untuk menjatuhkan hukuman.
Herlina Khamisiah gagal membayar jaminan itu. - BERNAMA

Wanita ditemui lemas di Sungai Bernam

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menemui mayat wanita yang lemas di Sungai Bernam, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba dan Penyelamat
BAGAN DATOH: Seorang wanita berusia 40-an ditemui lemas di Sungai Bernam oleh anggota bomba dan penyelamat petang tadi selepas dilaporkan hilang kira-kira lima jam sebelum itu.
Jurucakap bomba berkata, orang ramai melihat wanita itu terjatuh ke dalam sungai berkenaan yang mempunyai kedalaman lapan meter ketika berada di RNH Fishing, Parit 25 di Hutan Melintang, sebelum dihanyutkan arus deras kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Hutan Melintang dibantu anggota Balai Bomba Teluk Intan serta anggota polis menyertai misi mencari dan menyelamat mangsa diketuai Ketua Operasi, Pegawai Bomba Wan Zakiri Wan Mohd Noor.
"Selepas beberapa jam operasi, kami berjaya menemui jasad mangsa di pesisiran sungai berkenaan pada jam 5.43 petang tadi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan pengecaman dan tindakan selanjutnya.

Berani tak bertempat


Petaling Jaya: Hanya kerana bimbang diberkas polis berikutan tidak mempunyai lesen memandu, sepasang remaja bertindak agresif memandu kereta melawan arus di Lebuhraya Lembah Baru Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Damansara Petaling Jaya, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, remaja terbabit cuba melarikan diri sebaik ditahan anggota polis di kawasan perindustrian di Kota Damansara.
Tindakan ‘berani mati’ itu bagaimanapun mengundang padah apabila mereka terbabit kemalangan selepas merempuh sebuah kereta model Honda Civic.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku apabila anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak kereta dinaiki pasangan remaja berusia 17 tahun itu.
Foto
KEADAAN kereta dipandu remaja terbabit yang berlanggar dengan sebuah kenderaan awam lain.

Menurutnya, pihak polis kemudian cuba menahan remaja terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

“Panik melihat kehadiran kereta peronda polis, suspek terus memecut laju dan melarikan diri menyebabkan anggota polis mengejar mereka.

“Suspek mulanya melarikan diri ke arah susur keluar Damansara Lebuh raya NKVE namun bertindak berani berpatah semula dan melawan arus,” katanya.

Tindakan suspek mengundang padah apabila sebuah kereta Honda Civic yang melalui lebuh raya itu menghala ke Subang Jaya gagal mengelak sebelum merempuh kereta dipandu remaja itu.

Azmi berkata, pemandu kereta Honda Civic terselamat dalam kejadian itu sementara suspek mengalami kecederaan ringan.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Pekerja ladang sawit terpaksa teman mayat rakan dua jam


Miri: Seorang pekerja ladang sawit terpaksa ‘menemani’ mayat rakan sekerjanya kira-kira dua jam apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Iran, Bekenu, di Jalan Persisiran Pantai Miri Bintulu, Batu Niah, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, kereta Perodua Kancil yang dinaiki dua sahabat itu bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran.


Mangsa, Saddam Pengarah, 22, dari Rumah Sebli, Ulu Sikat, Mukah, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala pemandu kereta terbabit, Arith Aidan, 31, cedera ringan.

Sumber polis berkata, sebaik kemalangan berlaku, pemandu lori terbabit menghilangkan diri, manakala mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum pasukan keselamatan tiba di lokasi kejadian.


Menurutnya, polis lewat tiba di lokasi kejadian kerana hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6 pagi.


“Pemandu yang cedera ringan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Batu Niah, manakala mayat rakannya dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Berdasarkan soal siasat, kemalangan berpunca akibat Perodua Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan berikutan kenderaan dari arah bertentangan memasang lampu tinggi.

“Keadaan itu menyebabkan kenderaan mangsa termasuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori berkenaan,” kata sumber itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Janathon Ringgit ketika mengesahkan kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Peguam pecah amanah RM418,500


Oleh Sarah Zulkifli
Kuala Lumpur: Seorang peguam dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang guaman RM418,500, dua tahun lalu.

Hakim Abdul Rashid Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Herlina Khamisiah Sauli, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh hari dia ditangkap, iaitu kelmarin.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai peguam diamanahkan harta, iaitu baki wang hasil jualan rumah milik pesara tentera, Wan Mohd Husain Wan Ibrahim melakukan pecah amanah dengan tidak menyerahkan wang itu kepada firma guamannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat peguam Messrs Herlina & Co di Jalan Wangsa Delima 5, Pusat Bandar Wangsa Maju, di sini pada 31 Oktober 2012.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan mempunyai anak berusia tiga tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S Nithia memohon hukuman berat kerana tertuduh sebagai peguam diberikan amanah dengan wang, namun menyalahgunakan kuasa diberikan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, Herlina turut mengaku bersalah atas tuduhan sama membabitkan wang RM261,000.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai peguam dan pengurus di firma guaman sama didakwa melakukan pecah amanah di tempat sama antara Mac 2012 hingga September tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang menetapkan Jumaat ini untuk tarikh jatuh hukum selain memberikan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Kopi pembunuh syarikat misteri


Kuala Lumpur: Kejadian serangan sakit jantung mendadak terhadap beberapa mangsa lelaki akhirnya membongkar kegiatan penjualan pelbagai produk kopi beracun yang dikesan mengandungi kimia berbahaya.
Kewujudan pelbagai produk kopi campuran dihasilkan syarikat ‘hantu’ ini dikesan kian berleluasa apabila ia mudah dibeli dengan harga RM5 sebungkus. 
Menyedari bahaya produk kopi campuran ini yang mengandungi kimia analog sibutramine dan taladafil, Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melakukan operasi besar-besaran bagi merampas produk itu di pasaran petang semalam. 

Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, sepasukan 90 pegawai CPF diketuai Ketua CPF Kuala Lumpur Asniza Alias menyerbu 23 premis menjual jamu dan ubat-ubatan tradisional di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.
Foto
PEGAWAI Cawangan Penguat Kuasa Farmasi menunjukkan kopi ‘maut’ yang dirampas dalam serbuan di Jalan Tunku Abdul Rahman petang semalam.

Ketika operasi dilakukan, pegawai CPF mendapati rata-rata kedai yang diserbu menjual peket kopi jenama Kopi Panggung dan Kopi Jantan kepada orang ramai.

Paket kopi diharamkan itu digantung di hadapan premis dengan kebanyakannya mendakwa dicampur herba Tongkat Ali dan pelbagai herba lain. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Tiga mati, kereta berkecai


Putrajaya: Tiga maut dan seorang cedera parah apabila kereta dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, semua empat mangsa lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira itu dalam perjalanan dari arah Dengkil ke Desa Pinggiran Putra sebelum terbabit kemalangan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan tiga mayat mangsa di bawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, seorang mangsa yang cedera parah di bawa ke hospital sama untuk menjalani rawatan kecemasan.
Foto
FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

"Identiti mangsa sedang dikenalpasti," katanya.

Katanya, pihak bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dan tujuh anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7 pagi bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Tali barut lepas cukai


Oleh Hairulazim Mahmud
Kuala Lumpur: Seorang Pengarah Kastam Negeri dan 11 pegawainya dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menjadi ‘dalang’ melepaskan barangan seludup yang tidak diisytihar cukai mencecah nilai ratusan juta ringgit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dalam kenyataannya berkata, pihaknya menahan 10 individu lain iaitu pemilik syarikat, ejen dan pemandu lori yang membawa barangan seludup.


Menurutnya, semua suspek ditahan dalam operasi besar-besaran di Lembah Klang sejak kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya merampas wang tunai dan barangan seludup dari gudang pelabuhan dalam operasi itu.


“Hasil pemantauan setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang mendapati semua suspek terbabit dalam sindiket transaksi rasuah kerana melindungi aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di kawasan zon itu.


“Operasi dijalankan bermula semalam (kelmarin) dilaksanakan secara bersepadu diketuai SPRM bersama pasukan petugas khas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara dan CyberSecurity,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Tauke ‘hati kering’


Kuala Lumpur: Berpura-pura menjamu selera di restoran sebelum berjudi di bahagian belakang premis. Itulah taktik digunakan sindiket perjudian Internet yang beroperasi secara sulit di sebuah kedai di Segambut di sini.
Kegiatan perjudian haram itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyerbu premis berkenaan jam 3 petang semalam. 
Serbuan diketuai Pegawai Operasi Bahagian Pencegahan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) IPD Sentul Asisten Superintendan Dean Jonathan Jalin itu dilakukan hasil dari risikan sejak tiga hari lalu. 

Hasil serbuan mengejut itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dipercayai penjaga pusat judi berkenaan.
Foto
ANGGOTA polis Unit D7 Daerah Sentul menyerbu premis mesin perjudian berselindung disebalik kedai makan di Segambut.

Turut ditahan empat pelanggan termasuk pasangan suami isteri berusia 40-an yang sedang leka bertaruh pada mesin judi disediakan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung aktiviti perjudian di kawasan itu yang semakin berleluasa. 

Katanya, pihak polis turut 31 unit komputer dipercayai digunakan sebagai mesin perjudian siber oleh sindiket itu. 

“Hasil pemeriksaan, premis itu sudah diserbu sebanyak tiga kali sejak enam bulan lalu. Bagaimanapun sindiket itu kembali membuka pusat judi itu beberapa bulan kemudian. 

“Ini menunjukkan mereka tidak takut dengan undang-undang dan hanya mementingkan keuntungan,” katanya. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Anak bijak IT sudah tiada...


Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Mohd Husni Mohd Noor
Putrajaya: “Dia banyak mengajar saya bagaimana cara menggunakan Internet dan kemudahan teknologi maklumat lain bagi menyiapkan tugasan dan berita menggunakan komputer riba,” kata wartawan Makkal Ossai Kuala Selangor M Velayuthai, 56, bapa kepada V Thamilarasan, 18.

Thamilarasan antara tiga penuntut Universiti Multimedia Malaysia (MMU) yang maut selepas kereta dinaikinya terbabit kemalangan di Persiaran Selatan berhampiran Desa Pinggiran Putra, di sini, semalam.


Velayuthai yang ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya berkata, anak bongsunya itu banyak mengajarnya cara untuk menyunting gambar dan mengirim e-mel tugasan berita ke ibu pejabat Makkal Ossai di Kuala Lumpur.

Katanya, anaknya itu sangat meminati teknologi maklumat dan atas faktor itu dia menghantar Thamilarasan ke MMU untuk menyambung pelajaran dalam bidang IT.

Foto
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi nahas.


“Kini tiada siapa lagi boleh ajar saya kerana dia sudah tiada. Dia baru mendaftar masuk di MMU pada Jun lalu dan mengambil Kursus Asas IT selama setahun.


“Kali terakhir kami sekeluarga bertemunya pada Ahad lalu selepas dia pulang ke rumah bagi menghabiskan cuti sempena Hari Kemerdekaan,” katanya.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

‘Tazkirah’ bogel batal perkosa


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang sudah membogelkan rakan sekelasnya membatalkan niat memperkosa mangsa sejurus diberikan ‘tazkirah’ berhubung dosa besar bakal ditanggung.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, suspek yang berusia 20-an sebaliknya meminta maaf, selain membantu mangsa memakai semula jubah yang sebelum itu ditanggalkan.
Sumber polis berkata, kejadian bermula apabila mangsa tertinggal Mykad di dalam kereta suspek yang dinaiki sebaik mangsa pulang dari menghadiri kelas di sebuah kolej swasta di Cheras.

Menurutnya, mangsa yang berusia 23 tahun itu kemudian menghubungi suspek dan meminta Mykad itu dihantar kembali kepadanya.


“Bagaimanapun, mangsa diminta berjumpa di restoran berdekatan untuk mengambil semula Mykad itu sejam kemudian.


“Sebaik berjumpa dengan lelaki itu, suspek memberi alasan Mykad mangsa tertinggal di dalam bilik hotel. Dia kemudian meminta mangsa mengikutnya hingga bilik hotel berkenaan,” katanya.

Dia berkata, mangsa bagaimanapun ditolak ke atas katil sebelum cuba diperkosa.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Alasan miskin sanggup edar dadah


Raub: Kemiskinan hidup dipercayai menjadi punca seorang lelaki sanggup menjadi pengedar dadah dengan menjadikan rumahnya sebagai markas untuk membungkus bahan terlarang itu di Kampung Gali Tengah, dekat sini, sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila rumah itu diserbu pada jam 3 petang, kelmarin, menyebabkan lelaki berusia 40 tahun berkenaan ditahan ketika membungkus dadah jenis heroin dan syabu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, serbuan itu diketuai Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Inspektor Ray Erindra Raj bersama anggotanya selepas menerima maklumat awam.

“Ketika serbuan dilakukan, pengedar itu yang terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis tidak sempat meloloskan diri sebelum polis menjalankan pemeriksaan di dalam rumahnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis menemui dadah jenis syabu dan heroin sebelum lelaki itu bersama bahan terlarang berkenaan dibawa ke IPD Raub untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua bahan terlarang yang dirampas itu dianggarkan lebih 30 gram dan bernilai lebih RM2,000.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan turut mendapati pengedar itu dipercayai membawa masuk syabu dan heroin berkenaan selepas mendapatkan bekalan melalui satu sindiket pengedaran dadah dari negeri jiran.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada kegiatan haram dilakukan sejak tiga bulan lalu.

“Suspek mengakui terpaksa menjadi pengedar kerana kemiskinan hidup selain tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

20 ‘Datuk’ segera terkedu


Kuala Lumpur: Seramai 20 individu mendakwa ditipu seorang lelaki licik yang menyamar sebagai ‘Datuk’ dengan menawarkan bantuan mendapatkan gelaran Datuk pada kadar bayaran tertentu.
Suspek berusia 33 tahun itu yang turut melakukan penipuan menjual kenderaan mewah murah dikesan sudah memperdaya ramai mangsa membabitkan kerugian RM700,000.
Penipuan itu terbongkar selepas semua mangsa membuat laporan polis, selain membuat aduan kepada Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, semalam.
Presiden persatuan itu, Kuan Chee Heng berkata, suspek dikenali sebagai Vick bijak menggunakan taktik pujukan sebelum meminta mangsa memasukkan wang ke akaun bank miliknya.
Menurutnya, mangsa membabitkan pelbagai latar belakang, termasuk penuntut dan golongan profesional.
“Ramai mangsa mudah diperdaya berikutan suspek mendakwa memegang jawatan naib presiden parti politik terkemuka.
“Selain menawarkan gelaran Datuk dan kereta mewah, suspek turut mendakwa mampu membantu penuntut lepasan sekolah memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya.
Beliau berkata, seorang mangsa yang membuat laporan kepadanya mendakwa suspek berjanji membantu mendapatkan tempat di sebuah IPTA.
“Suspek mengarahkan mangsa memasukkan wang ke dalam akaunnya dengan alasan dia sudah membantu membayar kos pengajian terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang resit ataupun tawaran untuk memasuki pusat pengajian daripada universiti berkenaan,” katanya pada sidang media, semalam.
Selain itu, suspek juga memperdaya seorang mangsa membeli kereta Toyota Camry dengan harga serendah RM40,000.
“Suspek mengaku mempunyai hubungan baik dengan kerajaan dan mampu mendapatkan kereta mewah pada harga yang murah melalui jualan lelongan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Mangsa dikatakan terpedaya selepas dihubungi beberapa individu yang mendakwa sebagai kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menguruskan urusan jual beli itu atas arahan suspek.
“Saya percaya kegiatan penipuan itu dilakukan suspek dengan bantuan beberapa individu lain.
Kuan berkata, suspek juga bertindak mengugut mangsa dengan menghantar beberapa samseng supaya tidak melaporkan perkara itu kepada mana-mana pihak.
Sehubungan itu Kuan menasihati orang ramai tidak mudah terpedaya dengan individu yang mengaku sebagai kenamaan itu.
Foto
KUAN menunjukkan gambar suspek yang didakwa menipu orang ramai untuk dapat gelaran ‘Datuk’.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

‘Sila bagi Awie RM500’


Kuala Lumpur: Isteri penyanyi dan pelakon, Awie diperintahkan untuk membayar kos mahkamah sebanyak RM500 kepada suaminya itu berikutan kelewatan hadir ke prosiding sebutan kes hadanah (hak penjagaan kekal) tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain memerintahkan demikian selepas Rozana Misbun, 36, dan peguamnya, Majdah Muda gagal hadir ketika prosiding sebutan kes itu pada jam 10 pagi. 
Mohd Amran berkata, mahkamah mengambil serius perkara itu atas alasan boleh menjejaskan prosiding mahkamah dan demi keadilan mana-mana pihak. 

Namun, Rozana dan Majdah tiba-tiba muncul selepas beberapa minit prosiding kes itu berjalan.
Foto
AWIE (kanan) bersama peguamnya keluar daripada Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta, semalam.

Majdah memohon maaf di atas kelewatan mereka dan memberitahu pihaknya menyerahkan beberapa dokumen permohonan lain berkaitan kes itu di kaunter mahkamah.

Bagaimanapun, Amran masih mengekalkan perintah supaya Rozana membayar kos mahkamah kepada Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46. 

Sementara itu, Majdah memberitahu mahkamah pihaknya sudah memfailkan bantahan awal berhubung kes induk iaitu hadanah kekal dan menyerahkan secara kendiri kepada Awie selaku plaintif semalam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanj
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Marah kekasih acah terjun bangunan


Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, gadis terbabit dikatakan bertengkar dengan kekasihnya yang tinggal di pangsapuri sama.
Tindakan gadis itu duduk di atas balkoni dalam keadaan kaki terjuntai menyebabkan penduduk di kawasan itu cemas sebelum segera menghubungi pihak bomba dan penyelamat.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah Mohd Rafie Kusni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Masalah komunikasi menjejaskan sedikit usaha kami memujuk mangsa kerana dia tidak faham bahasa Malaysia sebelum teman lelakinya datang untuk membantu.
“Kami mengambil masa lebih 10 minit untuk memujuknya turun sambil dibantu teman lelakinya itu.
Mangsa akhirnya membatalkan hasrat untuk membunuh diri,” katanya.
Difahamkan, mangsa berselisih faham dengan teman lelakinya sebelum cuba bertindak untuk terjun dari bangunan terbabit.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Foto
WANITA yang cuba terjun dari tingkat 13 pangsapuri di Jalan Loke Yew, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04