Search This Blog

Wednesday, September 3, 2014

Kastam rampas 120 kenderaan mewah


Mohd. Isa Endot (kanan) memeriksa tayar yang dirampas dalam sebuah kontena di Kompleks Kastam Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Izham Jaafar
PETALING JAYA 2 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur merampas sebanyak 120 buah kereta mewah yang melakukan tiga kes kesalahan melibatkan cukai berjumlah kira-kira RM60 juta, dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Isa Endot berkata, bagi kes pertama, pihaknya merampas sebanyak 33 buah kereta mewah dari Langkawi seperti Lamborghini, Ferrari dan Porsche yang berada di luar kawasan melebihi tempoh dibenarkan, membabitkan cukai tidak dibayar berjumlah RM23.2 juta.
Menurut beliau, bagi kes memalsukan dokumen, sebanyak 28 buah kereta mewah membabitkan nilaian hampir RM1 juta juga dirampas dengan cukai tidak dibayar berjumlah RM1.5 juta.
"Bagi kes ketiga pula, sebanyak 59 buah kereta dari Singapura turut dirampas berikutan tidak membayar cukai berjumlah RM35.4 juta serta tinggal lebih masa di negara ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Kuala Lumpur di Kelana Jaya hari ini.
Menurut Mohd. Isa, pihaknya sedang mengesan pemilik asal kenderaan yang dirampas dan meminta mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi JKDM Kuala Lumpur dalam tempoh segera.
"JKDM juga ingin mengingatkan pemilik kenderaan terlibat agar segera membayar cukai selain tampil menyerah diri secara sukarela di pejabat kastam sebelum tindakan tegas dan lebih berat diambil," kata beliau.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya berjaya mematahkan beberapa cubaan penyeludupan rokok putih pelbagai jenama bernilai RM41.7 juta termasuk cukai ekoran penahanan lapan buah kontena di dua pelabuhan, sejak Januari sehingga Ogos lalu.
Dua pelabuhan terlibat adalah Pelabuhan Zon Bebas Westport Malaysia Sdn. Bhd, Pelabuhan Barat, Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Johor yang melibatkan beberapa jenama rokok putih termasuk Canyon, Premium, President, Regal, Souverign, Richman, Gold Mount dan American Legend.
Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan berikutan kastam masih gagal mengesan pengimport dan pemilik kontena berkenaan kerana menggunakan dokumen serta maklumat palsu.
"Siasatan kita mendapati kes itu didalangi sindiket antarabangsa dan mereka sudah merancang untuk menggunakan Pelabuhan Zon Bebas di Malaysia sebagai transit untuk penyeludupan rokok ke negara lain.
"Sindiket akan membuat ikrar palsu terhadap muatan bagi membolehkan kontena dibawa masuk untuk tujuan penghantaran melalui kapal ke negara ketiga. Di pelabuhan pula, kesemua rokok putih itu akan ditukar kontena dan ejen perkapalan yang baharu dengan pengikraran barang sama seperti dalam dokumen palsu," katanya.
Tambah Mohd. Isa, imej dan persepsi negatif terhadap negara akan tercemar apabila dilabelkan sebagai transit penyeludupan rokok putih sekiranya barangan itu ditahan oleh pihak berkuasa negara ketiga berkenaan.
"Siasatan akan terus dijalankan bagi menangkap pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran palsu di dalam dokumen kastam," jelasnya.
Dalam satu lagi kes beliau berkata, pihaknya menahan seorang pemandu lori kontena serta merampas 270 buah tayar lori bernilai RM175,000 di Pulau Indah, Klang di sini, Sabtu lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140903/je_01/Kastam-rampas-120-kenderaan-mewah#ixzz3CF62X5bn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lori terbalik hempap 10 orang hingga mati di India

RABU, 3 SEPTEMBER 2014 @ 3:25 PM

 
New Delhi: Sebuah lori terbalik dan menghempap 10 orang sehingga mati, termasuk tujuh kanak-kanak, yang sedang tidur di tepi jalan di utara India.

Jurucakap polis Suresh Srivastava berkata kemalangan itu berlaku awal hari ini berhampiran tapak binaan di Kanpur, 80 kilometer di barat daya Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

Mangsa terdiri daripada pekerja dan anggota keluarga mereka, kata Srivastava. Dua orang cedera parah dimasukkan ke hospital.

Katanya, pemandu lori itu melarikan diri selepas kemalangan itu.



Saksi berkata lori itu terbalik apabila pemandu terbabit cuba membuat pusingan di persimpangan tajam pada kelajuan tinggi. - AP

Polis tahan suami 'gila seks'




Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Sept. -Seorang suami 'gila seks' ditahan polis setelah isterinya membuat laporan akibat tidak tahan dengan perangai lelaki tersebut yang memaksanya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain sambil disaksikannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, 31 Ogos lalu, wanita berusia 27 tahun itu bertindak melarikan diri untuk membuat laporan polis setelah dipaksa oleh suaminya melakukan hubungan seks bersama seorang lelaki warga Bangladesh di rumah mereka di Kepong di sini.

Menurut sumber, wanita terbabit memberitahu, dia telah beberapa kali dipaksa melakukan perbuatan terkutuk tersebut dan kali terakhir adalah pada bulan lalu ketika mengandung tujuh bulan.

"Mangsa turut memberitahu, suaminya tidak mengambil sebarang bayaran kerana tindakan tersebut dilakukan sekadar untuk 'suka-suka' dan dia akan lebih terangsang apabila isterinya bersama dengan orang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber itu memberitahu, selain suami wanita tersebut berusia 34 tahun yang merupakan peniaga barangan mainan kanak-kanak, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun turut direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, sumber tersebut berkata, mangsa telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140903/je_02/Polis-tahan-suami-gila-seks#ixzz3CF5pkkQr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mahkamah Singapura tidak adil


KHAIRUL ANWAR RAHMAT
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Keputusan Mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman penjara selama seminggu kepada seorang peminat pasukan Johor Darul Takzim (JDT) warga Malaysia, Mohamed Kamil Kamal Basha selepas tiga bulan tidak dibenarkan keluar dari republik tersebut merupakan satu keputusan yang dianggap amat tidak adil.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, keputusan mahkamah itu yang dijatuhkan hari ini tidak wajar.
"Sebaik sahaja ditahan oleh Polis Singapura pada 20 Mei lalu, Mohamed Kamil tidak dibenarkan keluar dari Singapura bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya malah dia juga tidak dapat bekerja dan mengalami risiko kehilangan kerja.
"SukaGuam berpendapat pihak pendakwaan di Singapura tak perlu menahan rakyat negara ini selama berbulan-bulan atas kesalahan kecil, kemudian dipenjara seminggu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamed Kamil dijatuhi hukuman penjara selama seminggu oleh mahkamah di Singapura hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh di luar Stadium Jalan Besar.
Berdasarkan laporan laman web The Strait Times, dalam kejadian itu, Mohamed Kamil, 27, didakwa merempuh garisan polis dan meninggikan suara kepada pegawai keselamatan selepas tidak dibenarkan masuk ke stadium semasa perlawanan JDT menentang Lions XII.
Menurut Khairul Anwar, SukaGuam meminta pihak berkuasa tempatan menghantar nota bantahan kepada Mahkamah Singapura supaya mengkaji undang-undang lapuk negara itu.
"Ini jelas menunjukkan Mahkamah Singapura mengetepikan prinsip penting perundangan iaitu 'justice delayed is justice denied' maksudnya keadilan yang tertangguh sebenarnya adalah keadilan yang dinafikan. Sepatutnya tertuduh didakwa secepat mungkin dan dijatuhkan hukuman segera supaya boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Mahkamah Singapura sengaja melambat-lambatkan proses pendakwaan sehingga memaksa Mohamed Kamil hampir tiga bulan di negara itu dan difahamkan sepanjang tempoh tersebut, dia tinggal di rumah saudaranya," katanya.
Menurutnya, pihak pendakwaan Singapura sepatutnya membayar pampasan mengikut jumlah hari yang terpaksa dihabiskan oleh Mohamed Kamil di Singapura kerana hukuman penjara rasmi hanya seminggu tetapi dia ditahan selama tiga bulan di republik itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kulai, Mohd. Fadil Misnan menegaskan, kesalahan merusuh dan meninggikan suara terhadap pihak berkuasa Singapura dilihat sesuatu yang pelik dan sukar diterima.
Menurutnya, isu sebenar dalam kes itu ialah keengganan pihak Stadium Jalan Besar atau Persatuan Bola Sepak Singapura menerima tiket yang dibeli oleh penyokong-penyokong JDT.
"Seandainya benar penyokong JDT membeli tiket dikhaskan kepada penyokong Singapura, pasti ada satu pendekatan penyelesaian yang boleh dibuat, seperti pemulangan semula wang.
"Tetapi menurut maklumat yang diterima, pihak stadium langsung tidak mengendahkan rayuan mereka. Ini boleh dianggap satu provokasi sengaja kepada penyokong JDT," katanya.
Beliau juga berasa kecewa kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seolah-olah menutup mata dan tidak berusaha membantu menyelesaikan isu ini.
Katanya, FAM wajar mempertimbangkan semula penyertaan Singapura dalam bola sepak Malaysia jika negara jiran itu tidak mempunyai semangat kesukanan tinggi dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140903/ma_01/Mahkamah-Singapura-tidak-adil#ixzz3CF5gyA59
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis Johor rampas pistol, peluru



Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
JOHOR BHARU: Polis merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson beserta sembilan butir peluru daripada seorang lelaki di Persiaran Tanjung Satu pada Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim, berkata hasil daripada serbuan susulan pula, polis telah menahan dua lelaki dan seorang perempuan berumur antara 30 hingga 54 tahun di beberapa tempat di Tampoi.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal dan sebuah kereta mewah jenis BMW.
"Siasatan mendedahkan semua suspek terlibat dalam kegiatan dadah di sekitar Johor Baharu. Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Menurut Ismail, seorang daripada yang ditahan itu mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan kes cubaan bunuh dan dadah.
- BERNAMA

Lori terbalik hempap 10 orang hingga mati di India

RABU, 3 SEPTEMBER 2014 @ 3:25 PM

 
New Delhi: Sebuah lori terbalik dan menghempap 10 orang sehingga mati, termasuk tujuh kanak-kanak, yang sedang tidur di tepi jalan di utara India.

Jurucakap polis Suresh Srivastava berkata kemalangan itu berlaku awal hari ini berhampiran tapak binaan di Kanpur, 80 kilometer di barat daya Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

Mangsa terdiri daripada pekerja dan anggota keluarga mereka, kata Srivastava. Dua orang cedera parah dimasukkan ke hospital.

Katanya, pemandu lori itu melarikan diri selepas kemalangan itu.



Saksi berkata lori itu terbalik apabila pemandu terbabit cuba membuat pusingan di persimpangan tajam pada kelajuan tinggi. - AP

Pelancong warga Perancis dilapor hilang di Pulau Tioman

RABU, 3 SEPTEMBER 2014 @ 3:26 PM

 
ROMPIN: Seorang pelancong warga Perancis dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti air berhampiran Berjaya Resort Tioman, Pulau Tioman, dekat sini, petang semalam.

Mangsa, Jerome Philippe Laurent, 24, dipercayai hilang kira-kira jam 6.30 petang.

Apabila beliau tidak pulang ke chalet, rakannya melaporkan kehilangannya di Balai Polis Tioman untuk tindakan susulan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata usaha mencari mangsa sedang giat dilaksanakan sejak dia dilaporkan hilang dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan orang kampung.

8 ditahan di Skudai, kes samun selesai

RABU, 3 SEPTEMBER 2014 @ 4:39 PM

 
JOHOR BAHRU: Polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes samun di sekitar bandar raya ini selepas menahan lapan lelaki di dua lokasi berasingan di Skudai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superitendan Noor Hashim Mohamad berkata dua daripada mereka ditahan pada pukul 3 pagi di Jalan Silat Harimau, Bandar Selesa Jaya manakala enam lagi ditahan kemudiannya di sekitar Taman Skudai Baru.

"Terdahulu, polis menerima maklumat berkaitan satu kes samun membabitkan tiga lelaki berparang di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Taman Damai Jaya, Skudai pada 1 pagi 31 Ogos lalu.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, polis berjaya menahan sebuah kereta bersama dua lelaki semalam dan siasatan lanjut kemudiannya berjaya menahan enam yang lain," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya hari ini.



Beliau berkata hasil penahanan lapan lelaki terbabit, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta, 17 telefon bimbit, tiga bilah parang, 60 keping kad tambah nilai prabayar dan wang tunai RM514.

Pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod dadah manakala tiga lagi mempunyai rekod jenayah lain.

Katanya, kesemua mereka berumur 17 hingga 24 tahun itu dipercayai terbabit dengan jenayah berkenaan sejak enam bulan lalu dan mereka kini direman sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Tiga maut, kereta rempuh tiang elektrik

Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah setelah kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok serta tiang lampu berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya di sini hari ini.  - Foto Bernama
Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah setelah kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok serta tiang lampu berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya di sini hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM – Tiga maut dan seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan selepas hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tiang elektrik dalam kejadian 6.45 pagi tadi berhampiran Desa Pinggiran Putrajaya.

Kenderaan jenis Proton Wira dinaiki empat lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Dengkil ke Desa Pinggiran Putera sebelum terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan tiga mayat yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Putrajaya.

Katanya, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama bagi menjalani rawatan. Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum lagi dikenal pasti.

Abdul Razak berkata,  pihak bomba dan penyelamat bersama sebuah jentera dan tujuh anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7 pagi bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Spa koboi tawar seks



DUA wanita warga asing menunggu pelanggan di premis urut di Kota Kinabalu baru-baru ini.


KOTA KINABALU - Hanya bermodalkan wajah menarik, pakaian seksi dan jelingan manja berahi sudah cukup mencairkan hati lelaki bermata keranjang yang terdesak mengharapkan belaian gadis luar negara.
Lelaki seperti ini juga dikatakan sanggup berbelanja besar hingga mencecah RM300 semata-mata untuk mendapatkan urutan seks selama 60 minit di spa itu yang juga popular sebagai 'spa koboi'.
Caranya sangat mudah iaitu pelanggan akan dibawa ke ruang menunggu di tingkat dua premis berkenaan sebelum dijamu dengan minuman oleh beberapa pekerja lelaki.
Untuk memilih pasangan, pelanggan hanya perlu meninjau ke sebuah bilik yang menyajikan beberapa wanita lengkap berpakaian seksi sebelum diiring menuju ke tingkat tiga yang menempatkan bilik kosong.
Tinjauan Kosmo! di sebuah pusat spa di bandar raya ini turut mendapati, kira-kira 20 tukang urut yang bekerja di premis berkenaan merupakan warga Thailand dan Filipina dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
Tempoh tiga bulan yang dibenarkan untuk berada di negeri ini digunakan sebaiknya oleh mereka bagi mengaut keuntungan ribuan ringgit sebelum pulang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3CEza5rYj 
Hakcipta terpelihara 

Kastam rampas 120 kereta mewah



mohd. isa (kanan) melihat kereta mewah yang dirampas di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya semalam.


PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meminta pemilik kenderaan mewah, termasuk golongan penjawat awam, menjelaskan kompaun cukai tertunggak setelah kenderaan mereka dirampas atas kesalahan memiliki kenderaan yang tidak mempunyai lesen import (AP) dan tinggal lebih masa di Semenanjung.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Isa Endot berkata, setakat ini terdapat pemilik kenderaan terbabit masih tidak menjelaskan kompoun atas pelbagai kesalahan memiliki kereta import.
Katanya, kastam telah merampas sebanyak 120 buah kenderaan import di sekitar ibu negara sejak Disember 2013 sehingga Januari tahun ini.
“Nilai cukai keseluruhan kenderaan yang dirampas itu lebih kurang RM60 juta.
“Nilai kenderaan dirampas itu hampir RM14 juta,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Beliau berkata, daripada 120 jenis kenderaan itu termasuk Lamborghini, Ferrari, Bentley, Porsche, Nissan GTR, Audi, Toyota, Nissan, Honda, Mitshubishi, Volkswagen, Mercedes Benz, Lexus, dan Motosikal BMW.
Mohd. Isa berkata, 33 buah kenderaan itu mempunyai nombor kenderaan berpendaftaran di Langkawi dan telah berada di Semenanjung melebihi 90 hari.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3CEzRBkr7 
Hakcipta terpelihara 

Polis siasat wartawan portal berita


03/09/2014 2:28pm

GEORGE TOWN - Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang wartawan sebuah portal berita berikutan laporan polis daripada pelbagai pihak mendakwa berita yang ditulis berbaur fitnah dan hasutan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sehingga malam tadi, sembilan laporan polis diterima berkaitan artikel bertajuk ’Disoal siasat selama 4 jam, dakwa dilayan seperti penjenayah’ yang disiarkan dalam portal itu pada Isnin.
"Berikutan laporan polis yang dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, polis membuat kertas siasatan menurut Seksyen 41c Akta Hasutan 1948 kerana laporan yang disiarkan itu dikatakan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.
"Polis akan memanggil wartawan wanita berkenaan untuk merekodkan keterangannya untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Artikel berkenaan menyiarkan temu bual wartawan berkenaan dengan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Phee Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri pada pukul 1.30 pagi ketika Phee masih dalam tahanan polis. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz3CEzJF2xw 
Hakcipta terpelihara 

Mayat lelaki berlumuran darah ditemui di kaki lima


03/09/2014 2:36pm

GEORGE TOWN - Mayat seorang lelaki yang berlumuran darah ditemui dalam keadaan tertiarap di kaki lima kedai di Lebuh Carnavon, di sini hari ini.
Mayat A. Rajar, 60, ditemui oleh dua lelaki yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkatam terdapat kesan luka di muka lelaki itu dipercayai akibat jatuh tersembam.
"Mayat Rajar dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan siasatan sedang dijalankan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm#ixzz3CEyXdi37 
Hakcipta terpelihara 

KERETA TERBABAS MELANGGAR TIANG ELEKTRIK

KERETA TERBABAS MELANGGAR TIANG ELEKTRIK di Dengkil menghala ke Pinggiran Putra pada pukul 7.45 pagi tadi. Mangsa 3 orang lelaki india maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah telah diserahkan kepada pihak Ambulan dan Polis untuk tindakan lanjut. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Cyberjaya dan BBP Putrajaya

Pinjam ah long demi anak

Kasih ibu, Nageshwary (kanan) tetap sabar menjaga anaknya yang cacat penglihatan.
Kasih ibu, Nageshwary (kanan) tetap sabar menjaga anaknya yang cacat penglihatan.
GEORGETOWN - Demi anak, seorang ibu tunggal terpaksa meminjam wang daripada lintah darat bagi menyara tiga anak lelakinya.

Nageshwary (bukan nama sebenar), 42, hanya bekerja sebagai tukang cuci tandas dan memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM800.

Menurutnya, disebabkan kesempitan hidup setelah kematian suami sejak beberapa tahun lalu menyebabkan dia terpaksa membuat pinjaman kepada ah long sebanyak RM5,000.

"Lebih sedih lagi bila anak saya berusia 19 tahun hadapi masalah penglihatan selain keadaan mentalnya yang semakin kurang baik.

"Saya terpaksa buat pinjaman dengan ah long sebab nak beli motor dan beberapa keperluan rumah lain berikutan pada masa itu gaji tak cukup nak menyara keluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Nageshwary berkata, jarak ke tempat kerja yang jauh menyebabkan dia terpaksa membeli motosikal dan memberi kemudahan kepada anak lelakinya.

"Keadaan menjadi lebih susah selepas suami saya meninggal dunia.

"Malah hampir setahun lebih saya tak bayar sewa rumah," katanya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, anaknya yang mengalami masalah kecacatan sejak lahir pernah dihantar ke sebuah sekolah cacat penglihatan di Pulau Pinang dan Seberang Perai, namun disebabkan masalah mental, kedua-dua sekolah tidak dapat menerimanya lagi.

"Kini anak saya terpaksa duduk di rumah. Mujur ada jiran yang baik hati menjaga dia sementara saya pergi kerja," katanya.

Malah katanya, wang gaji yang diterimanya kadangkala tidak mampu membeli barangan keperluan anak keduanya itu.

"Salah seorang anak saya pula kini bakal menghadapi masalah mata juga kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Dia kini berada di Hospital Pulau Pinang dan hanya menunggu keputusan doktor untuk menjalani pembedahan," katanya.

Malah katanya, mereka sekeluarga sudah lama tidak menyambut Deepavali setelah ketiadaan suami.

"Saya cuma berharap akan ada insan yang sudi membantu kami sekeluarga bagi meringankan beban yang ditanggung," katanya.

JKM cari waris kanak-kanak

Orang awam yang menemui bayi itu yang dipercayai baru sahaja dilahirkan terus membuat laporan kepada polis.
Orang awam yang menemui bayi itu yang dipercayai baru sahaja dilahirkan terus membuat laporan kepada polis.
BUKIT MERTAJAM - Waris bayi lelaki yang ditinggalkan di kawasan perumahan Taman Inderawasih, Perai dekat sini, 25 Februari lalu sedang dikesan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, Seberang Perai Tengah (SPT).

Jurucakapnya berkata, orang awam yang menemui bayi itu yang dipercayai baru sahaja dilahirkan terus membuat laporan kepada polis.

Beliau berkata, bayi itu dibawa ke sebuah klinik swasta sebelum dihantar Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

"Selepas pemeriksaaan mendapati bayi itu dilahirkan pra-matang dengan anggaran 34 hingga 38 minggu dengan berat 1.68 kilogram.

"Bayi itu kemudian ditempatkan dalam Neonatal Intensive Care Unit (NICU)," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan yang ditemui pada bayi berkenaan ketika dijumpai.

"Susulan itu, Unit Kerja Sosial HSJ merujuk kes itu kepada pegawai pelindung untuk tindakan lanjut. Bayi itu kini ditempatkan di wad 1 HSJ dan bersedia untuk discaj.

"Sepanjang tempoh itu, tiada ahli keluarga atau waris yang datang melawatnya," katanya.

Beliau berkata, bayi itu akan ditempatkan sementara di Rumah Kanak­-kanak Taman Bakti, Kepala Batas demi kesejahteraan dan keselamatannya mengikut perenggan 19 (2) Akta Kanak-­kanak 2001 sehingga  dibawa semula ke mahkamah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi pejabat berkenaan atau talian 04-5382584 dan 017-4371949.

30 rumah rosak dilanda ribut

Hasnah menunjukkan bumbung kedainya yang tercabut akibat dilanda ribut.
Hasnah menunjukkan bumbung kedainya yang tercabut akibat dilanda ribut.
GUA MUSANG - Sebanyak 30 rumah penduduk di beberapa kampung sekitar bandar ini rosak teruk dilanda ribut, petang kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuni rumah berkenaan masing-masing menyelamatkan diri.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Rahmat, Kampung Baru, Kampung Kerinting, Jalan Besar, Kampung Lembaga, Jalan Masjid dan Tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Seorang peniaga kedai makan di Tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Hasnah Deraman, 42, berkata, ketika kejadian dia berada dalam kedainya dan bersiap untuk menutup premis.

Menurutnya, tiba-tiba kedainya bergoyang sebelum atap tercabut dilanda ribut dan hujan lebat menyebabkan ruangan dalam kedai habis basah.

“Saya panik melihat kejadian yang berlaku terlalu pantas. Nasib baik saya cepat berlindung di bahagian bumbung kedai yang masih terselamat.

“Kejadian itu pertama kali berlaku dan saya juga tidak mampu untuk membaiki kerosakan dialami dalam masa terdekat ini kerana berniaga makanan hanya sekadar cukup makan saja,” katanya.

Katanya, dalam masa sama, bekalan elektrik di seluruh bandar ini terputus menyebabkan penduduk terpaksa bergelap dalam masa 10 minit, tetapi bersyukur kerana terselamat.

Seorang lagi penduduk Kampung Kerinting, Syukri Abdul Rahman, 30, pula berkata, dia tidak menyangka rumahnya musnah dalam sekelip mata akibat dilanda ribut.

“Saya yang berada di rumah terkejut dengan kejadian itu, namun tetap bersyukur kepada Tuhan kerana masih selamat walaupun atap berterbangan sekitar rumah,” katanya.

Sementara itu, Adun Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, beliau turut bersimpati dengan nasib semua mangsa ribut yang berdepan dengan masalah kerosakan rumah.

Beliau berkata, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang penduduk harus menjaga keselamatan diri dan keluarga kerana kerap berlaku kejadian ribut.

“Kita akan membuat bancian secara menyeluruh bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menilai kerosakan sebelum menyalurkan bantuan secepat mungkin,” katanya.

Mayat abang dalam longkang

Jasad Mohd Fazlie dalam keadaan tertangkup dan tidak bergerak lagi.
Jasad Mohd Fazlie dalam keadaan tertangkup dan tidak bergerak lagi.
BANDARAYA MELAKA - Seorang adik tidak mampu berkata-kata dan terus bertindak terjun ke dalam longkang untuk mengangkat abangnya yang sudah tidak bernyawa, di Kampung Pasir Putih, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, Mohd Firdaus Fadella, 19, bertindak terjun selepas melihat susuk tubuh dengan pakaian milik abangnya Mohd Fazlie, 30, dalam keadaan terlangkup di dalam longkang.

Mohd Firdaus yang menyangka terdapat kemalangan selepas melihat orang ramai mengerumuni longkang, menghampiri kawasan terbabit sebelum menyedari kejadian malang itu sebenarnya menimpa abangnya sendiri.

“Saya mencari abang, kerana dia tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli roti canai sejak jam 4 pagi, sebelum terlihat orang ramai di longkang terbabit.

“Saya sangka mereka melihat kemalangan, tapi bila sampai di situ bertapa luluhnya hati saya melihat jasad abang dalam keadaan tertangkup di dalam longkang dan tidak lagi bergerak,” katanya ketika menceritakan kejadian yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu semalam.

Menurutnya, dia kemudian turun ke dalam longkang lalu mengangkat jasad ke atas tebing sambil memangku tubuh kaku itu sebelum orang ramai menghubungi polis serta ambulans.

Ibu mangsa, Rohana Mahmud, 54, pula berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dihubungi rakan Mohd Firdaus lalu bergegas ke lokasi.

“Saya seperti tidak percaya kerana kali terakhir berbual dengannya kira-kira jam 3 pagi tadi (semalam) sebelum dia masuk ke dalam bilik untuk tidur.

“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat anak terbaring kaku dan wajah serta mulutnya dipenuhi lumpur, melihat keadaan itu saya sempat membersihkan lumpur di mukanya sebelum anggota paramedik yang tiba mengesahkan Mohd Fazlie sudah meninggal dunia,” katanya.

Rohana berkata, arwah mengidap diabetes tahap kronik sehingga terpaksa berhenti sebagai pekerja kontrak di sebuah agensi kerajaan kerana kerap cuti sakit selain pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka dan laporan bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dapat dikaitkan atas kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Anak pemuas nafsu bapa


WARTAWAN SINAR HARIAN
3 September 2014
JERTIH - Harapkan pegar, pegar makan padi. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada seorang bapa di sebuah kampung di sini apabila dipercayai tergamak merogol anak kandungnya sendiri sejak empat tahun lalu.

Suspek yang berusia 41 tahun sepatutnya menjadi pelindung kepada gadis itu sebaliknya bertindak di luar kewarasan akal apabila merogol anak perempuannya itu sejak mangsa berusia 13 tahun.

Namun kerana tidak tahan menjadi mangsa pemuas nafsu bapanya sendiri, pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini nekad melaporkan perbuatan keji suspek kepada polis di Balai Polis Jertih pada Khamis lalu.

Menurut sumber, aduan tersebut dibuat selepas suspek didakwa merogol mangsa untuk kali terakhir ketika mangsa sedang tidur kira-kira jam 2 pagi pada Rabu lalu di rumahnya di sebuah kampung di sini.

Katanya, mangsa yang tersedar daripada tidur terkejut melihat suspek berada di hujung kakinya sebelum bertindak merogol mangsa.

“Sebelum itu mangsa membantah perbuatan bapanya namun dengan kudratnya sebagai wanita menyebabkan dia tidak mampu menolak perbuatan keji bapanya itu,” katanya.

Kata sumber itu lagi, tidak tahan dengan sikap kebinatangan bapanya dan tidak sanggup berterusan diperlakukan begitu lagi mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada jam 1.15 petang sehari selepas kejadian.

Difahamkan juga, mangsa mengakui menjadi mangsa rogol bapanya yang bekerja sebagai jurujual di Jertih itu sejak dia di tingkatan satu lagi dan perbuatan tersebut berlaku di rumah.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan serta tindakan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan untuk pemeriksaan lanjut.

Bertindak atas laporan sepasukan anggota polis kemudian giat memburu suspek sebelum lelaki itu ditahan di depan sebuah kedai di bandar Jertih, kira-kira jam 5 petang pada Khamis lalu.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 (B)Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Pelajar maut, rakan cedera parah


3 September 2014


KOTA TINGGI - Seorang pelajar kolej swasta maut manakala rakannya cedera parah dalam kemalangan di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi,  Superintendan Rahmat Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, Adib Zulhilmi Khamarluddin, 19, penuntut semester empat bahagian perhotelan di sebuah kolej swasta di Desaru, meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang ditungganginya bergesel dengan bucu hadapan kanan sebuah lori.

"Rakannya, Muhaimad Aiman Roslee, 19, pula cedera parah akibat kecederaan di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT),” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama rakannya itu, dalam perjalanan dari arah Desaru menghala ke Bandar Penawar, apabila dia cuba  memotong lori yang hendak membelok ke kanan.

Pemandu lori berkenaan yang berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sungai Danga Perling, Johor Baharu hari ini sebelum Zuhur. - Bernama

Penternak babi jangan degil

Barisan Exco Kerajaan Negeri dan jabatan kerajaan melakukan lawatan di tapak penyembelihan babi sementara di Paya Mengkuang.
Barisan Exco Kerajaan Negeri dan jabatan kerajaan melakukan lawatan di tapak penyembelihan babi sementara di Paya Mengkuang.
AYER KEROH - Tindakan tegas akan diambil terhadap penternak-penternak babi di Paya Mengkuang yang terus berdegil tidak mematuhi arahan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri memandang serius keengganan penternak terbabit mewujudkan sistem kolam kumbahan secara sistematik sehingga mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

“Kerajaan negeri akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas terhadap penternak babi mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Semua penternak perlu mematuhi arahan, antaranya pembuangan najis mesti ada kolam sistematik. Jika tidak ikut, kita ambil tindakan,” katanya di sini, semalam.

Idris berkata demikian susulan lawatan barisan Exco Kerajaan Negeri ke tapak penyembelihan babi sementara di Paya Mengkuang, kelmarin yang mendapati ramai penternak gagal menyediakan kolam kumbahan secara sistematik.

Antara yang melawat, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman; Exco Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Lai Meng Chong dan Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek, Lim Ban Hong.

Sebelum ini, pusat penyembelihan babi di Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Ayer Keroh dipindahkan ke lokasi itu dan mula beroperasi semalam.

Sementara itu, Idris berkata, penguatkuasaan undang-undang boleh dilaksanakan menerusi Enakmen Baharu Penternakan Babi yang akan diwartakan tahun depan selepas enakmen sebelum ini tidak diguna pakai sejak 1988.

Bagaimanapun, katanya, sebelum pelaksanaan enakmen berkenaan, tindakan akan dilakukan mengikut peraturan beberapa agensi terlibat; antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Parit dan Saliran selain Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Warga Myanmar mati dipukul

Keadaan mayat mangsa ketika ditemui dalam rumahnya.
Keadaan mayat mangsa ketika ditemui dalam rumahnya.
BACHOK – Seorang lelaki Myanmar ditemui terbaring di dalam sebuah rumah dalam pembinaan dipercayai dibunuh rakan senegaranya pagi semalam.

Mayatnya ditemui pemilik rumah Mohd Ropi Mat Ali, 40-an, yang ingin melihat buruh binaan itu membuat lantai baru rumahnya dekat Kampung Seri Kemunting, Gunung, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Manakala anak kepada pemilik rumah yang ditemui, Mohd Firdaus Mohd Ropi,18, berkata, bapanya mendapat tahu mengenai kejadian tersebut apabila ingin melihat kerja yang dilakukan mangsa pada pagi semalam.

“Ayah pergi ke rumah yang sedang dibina itu untuk tengok mangsa buat kerja pelantaian. Puas ayah panggil tetapi dia tidak menyahut.

“Bila ayah masuk ke rumah tengok mangsa dalam selimut dan tidak bergerak. Bila ayah buka selimut barulah nampak dia berlumuran darah. Ayah kemudiannya beritahu ibu dan segera hubungi polis,” katanya.

Manakala, isteri Mohd Ropi, Zaimah Abdul Rashid, 43, berkata, kali terakhir dia bertemu mangsa petang semalam ketika mangsa datang ke rumahnya yang terletak kira- kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Menurutnya, rumahnya itu dibina mangsa bersama dua lagi rakannya yang berusia 19 dan 26 tahun yang juga dari Myanmar.

Beliau berkata, sebelum ini, mangsa ada memaklumkan mengenai kelakuan dua rakannya yang tidak elok, namun mangsa masih mahu membantu rakannya itu bekerja di negeri ini.

Difahamkan, mangsa baru sahaja menerima duit upahan hasil kerja pembinaan rumah berhampiran rumahnya sebanyak RM1,250 tetapi semuanya didapati hilang termasuk pasport dan telefon bimbitnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pihak polis mendapat maklumat mengenai kes itu pada jam 1.30 tengah hari.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa adalah lelaki warga Myanmar berusia 21 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah.

“Mangsa ditemui dalam bilik sebuah rumah yang dibinanya oleh pemilik rumah terbabit. Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul.

Gerakan mencari dua lagi rakan mangsa sedang dilakukan,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan manakala motif mengenai kejadian masih disiasat.

Lepas gambar, video pula


Susulan kekecohan melanda pengguna Internet berikutan penyebaran gambar bogel artis antarabangsa, dunia maya digemparkan lagi dengan dakwaan penggodam bahawa mereka turut memiliki video lucah selebriti terkenal.

Kekecohan dikatakan berpunca daripada tindakan penggodam yang menceroboh akaun iCloud, Mashable dan beberapa media sosial lain.

Individu yang mengaku bertanggungjawab menyebarkan koleksi gambar lucah selebriti antarabangsa termasuk Jennifer Lawrence di laman forum perkongsian gambar 4chan mendakwa mereka juga memiliki beberapa video lucah milik aktres berkenaan.

Penggodam menyatakan mereka akan memuatnaik video berkenaan dengan bayaran ditetapkan melalui PayPal.

Beberapa hari sebelum siri gambar berkenaan dimuatnaik, Internet dibanjiri pengguna tidak bertanggungjawab yang mendakwa mereka menjual bahan berkenaan.

Satu kenyataan turut dimuatnaik di laman 4chan menggunakan nama sama dengan penggodam memberitahu mereka bukan penggodam sebenar yang mendapatkan gambar bogel Jennifer dan selebriti lain sebaliknya mereka lebih kepada ‘pengumpul’.

Artis yang turut menjadi mangsa penyebaran gambar bogel berkenaan termasuk Kate Upton, Mary E Winstead dan Jessica Brown Findlay.

Jurucakap Jennifer mengesahkan keaslian gambar berkenaan dan mendedahkan bintang ‘The Hunger Games’ itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana laman sesawang atau media yang menyebarkan gambar berkenaan.

Sementara itu, penggodam dilaporkan cuba melarikan diri apabila menulis status menyatakan mereka akan ‘berpindah lokasi’.

Dalam tindakan yang dilihat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa itu, mereka menyatakan perkara berkenaan sambil berterima kasih kepada ‘penyokongnya’ yang berkongsi gambar berkenaan di laman itu.

Status penggodam juga menunjukkan perkara itu satu konspirasi membabitkan lebih daripada seorang individu dan mengambil masa lama serta kerja yang rumit.

“Untuk pengetahuan anda, saya tidak bertindak sendirian.



Terdapat beberapa individu terbabit secara langsung dan saya memerlukan mereka bagi merealisasikan perkara ini.

Terima kasih atas sumbangan dan minat anda semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Rompak bapa mentua mahu bayar hantaran kahwin


Nouakchott (Mauritania): Seorang pengantin lelaki mencuri wang milik bapa mentuanya untuk membayar wang hantaran perkahwinannya.

Perbuatan itu hanya disedari dua hari selepas majlis perkahwinan diadakan.

Menurut akhbar tempatan, lelaki itu mencuri hampir 500,000 ougyiya (RM5,520) daripada syarikat bapa mentuanya, tempat dia bekerja dan membayar wang berkenaan kepada mangsa sebagai hantaran untuk berkahwin dengan anaknya.

“Si bapa mentua mengetahui kecurian itu dua hari selepas majlis perkahwinan dan menyedari menantunya yang mencuri.



‘Dia mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap menantunya, tetapi dilarang anggota keluarga lain.

“Lelaki itu mendesak menantunya memulangkan semua wang dicurinya itu,” lapor akhbar Al Takadumi.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Kastam rampas rokok bernilai RM4 juta di Pelabuhan Klang dan Johor

PENGARAH Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Isa Endot bersama barang rampasan rokok putih pada sidang media di Kompleks Kastam di sini hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon
 RABU, 3 SEPTEMBER 2014 @ 12:01 AM

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Kuala Lumpur merampas lapan unit kontena mengandungi 73.69 juta batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM4 juta di Pelabuhan Klang dan Johor dari Januari hingga Ogos lepas.
Pengarahnya, Datuk Mohd Isa Endot berkata, rokok yang dirampas melibatkan cukai lebih RM37 juta.
Bercakap pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata siasatan mendapati kegiatan tersebut didalangi oleh sindiket antarabangsa.
Mereka menggunakan Pelabuhan Zon Bebas di Malaysia sebagai transit untuk menyeludup rokok itu ke negara ketiga, kata beliau.
Mohd Isa menyeru orang ramai memberi kerjasama kepada pihak kastam dengan menyalurkan maklumat penyeludupan menerusi talian bebas tol kastam di 1800-88-8855. - BERNAMA


DISYORKAN

Sembunyi cincin curi dalam perut


Orem: Dua penjenayah di Utah, Amerika Syarikat (AS) bertindak nekad apabila seorang daripada mereka menelan cincin dicuri dalam usaha menyembunyikannya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka ditahan polis atas dakwaan mencuri apabila imbasan sinar-X menunjukkan cincin berkenaan jelas berada di dalam perut Christina Schlegel, 25, Dia dan Bryan Ford, 29, dikatakan pergi ke kedai barangan kemas Zales di Orem, baru-baru ini dan Ford berpura-pura memeriksa cincin berkenaan sementara Schlegel menanti di dalam kenderaan.

Menurut polis, Ford dikejar pekerja kedai berkenaan ketika melarikan cincin itu sebelum dia sempat melepaskan diri dengan kenderaan dipandu Schlegel.

Kedua-dua mereka ditahan tidak lama kemudian.

Polis menyatakan mereka pada mulanya agak bingung memikirkan di mana cincin berkenaan berada sehingga imbasan sinar-X dilakukan ke atas perut Schlegel.- AP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Mumbai 'lumpuh' seketika stesen jana kuasa 'rosak'

 SELASA, 2 SEPTEMBER 2014 @ 9:20 PM

 
MUMBAI: Gangguan di stesen jana kuasa elektrik menyebabkan Mumbai terputus bekalan elektrik selama berjam-jam, lapor sebuah syarikat pembekal terkemuka negara itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Masalah itu ternyata menambah tekanan kepada India yang sememangnya sedang berdepan masalah bekalan tenaga elektrik.

Syarikat Tata Power berkata, kerosakan satu unit mesin jana kuasa di stesen Mumbai menyebabkan bekalan berkurangan pada jam 9.45 pagi semalam.

Kawasan yang terjejas teruk beberapa pusat bandar utama dan luar bandar. Masalah hanya dapat diselesaikan lewat petang semalam.



Syarikat tenaga itu dalam kenyataan yang die-melkan berkata, pihak mereka berusaha mengatasi masalah secepat mungkin dan akan memastikan bekalan tenaga disalurkan seawal mungkin ke kawasan yang terjejas.

"Kami ingin memastikan komitmen Tata Power untuk membekalkan bekalan tenaga berkualiti 24 jam setiap hari ke bandar Mumbai demi kepercayaan yang sudah diberikan kepada syarikat kami," kata kenyataan itu.

Sektor tenaga India berusaha untuk mengeluarkan tenaga elektrik yang mencukupi untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat. Terputus bekalan dikatakan perkara biasa berlaku di sebahagian besar negara itu.

Sektor tenaga India turut mengeluarkan amaran beberapa minggu lalu berhubung bekalan arang batu yang kian berkurangan. Ia menjadi penjana dua pertiga daripada pengeluaran tenaga elektrik India.

Kerajaan India pada Isnin lalu, meminta mahkamah tinggi melindungi beberapa konsesi lombong arang batu yang diusahakan secara haram, di tengah-tengah kebimbangan sektor itu yang mampu terancam dengan kekurangan bekalan itu.

India dikatakan masih mengimport arang batu dalam kuantiti besar sekalipun berada di tempat kelima simpanan terbesar dunia. - AFP

Isteri serik tabiat seks pelik suami

SELASA, 2 SEPTEMBER 2014 @ 11:38 PM

 
KUALA LUMPUR: Tabiat pelik seorang lelaki yang gemar melihat isterinya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain di hadapannya akhirnya terbongkar selepas wanita terbabit yang tidak tahan diperlakukan sedemikian nekad membuat laporan polis, kelmarin.

Wanita berusia 28 tahun yang sedang sarat mengandung sembilan bulan itu membuat keputusan melarikan diri dari kediamannya di Taman Daya, Kepong di sini dan membuat laporan polis selepas menerima panggilan dari suaminya kira-kira jam 10.30 malam, Ahad lalu mengarahkannya bersiap sedia untuk melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki warga Bangladesh yang akan dibawa pulang pada malam itu.

Mangsa yang berniaga barang permainan kanak-kanak di sebuah pasar raya di Selayang itu mendakwa suaminya sudah beberapa kali memaksanya melakukan hubungan seks dengan lelaki Bangladesh terbabit dengan alasan untuk suka-suka dan lebih terangsang dengan kali terakhir diperlakukan sedemikian pada Julai lalu ketika dia mengandung tujuh bulan.

Menurut sumber, suami wanita terbabit yang berusia 34 tahun ditahan sejurus polis menerima laporan dan kini direman selama tujuh hari sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan.

"Lelaki Bangladesh terbabit juga sudah ditahan dan siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pembantu kedai borong permainan kanak-kanak di Chow Kit. Suspek berusia 26 tahun.

"Mangsa sudah pun dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan," kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kes itu dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

31 mati kerana Ebola, wabak masih merebak


KINSHASA 3 Sept - Serangan wabak virus maut Ebola di Republik Demokratik Congo terkini telah membunuh 31 orang dan wabak ini masih merebak dalam kawasan barat laut negara itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
"Terkini seramai 31 orang maut," kata ketua komunikasi WHO, Eugene Kambambi kepada AFP.
Tambahnya, wabak maut ini masih kekal terkurung di dalam jaringan di sebuah kawasan sekitar 800 kilometer di utara Kinshasa.
Sebelum ini WHO telah memberi jumlah angka yang terkorban mencecah 13 orang dalam negara ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140903/lu_01/31-mati-kerana-Ebola-wabak-masih-merebak#ixzz3CC5bePFR
© Utusan Melayu (M) Bhd