Search This Blog

Tuesday, September 2, 2014

Seorang jurugambar ditumbuk keluarga mangsa MH17

 Seorang jurugambar ditumbuk keluarga mangsa MH17 apabila dikatakan tidak menghormati permintaan mereka untuk tidak mengambil gambar. Seharusnya kita harus menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang sedang kesedihan.

Wanita ‘malam merdeka’ diminta tampil


Wanita dipercayai berusia 20-an itu sebelum ini mencetuskan kegemparan apabila terdapat tulisan ‘Malam Merdeka’ pada gambar lucah yang tersebar. 
Gambar berkenaan yang turut dikongsi ramai pemilik FB mencetuskan rasa kurang senang apatah lagi wanita itu tampil memakai tudung. 

Gambar itu turut dipercayai dirakam bersama seorang lelaki di dalam sebuah bilik berdasarkan gambar tangan seorang lelaki yang meraba wanita itu.
Foto
GAMBAR yang tersebar meluas melalui laman sosial Facebook.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Datin Asmawati Ahmad berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius penyebaran gambar lucah itu yang jelas menyalahi undang-undang.

Menurutnya, wanita itu yang mungkin mangsa perbuatan pihak tidak bertanggungjawab perlu tampil membuat laporan polis secepat mungkin sekiranya dia dirogol atau sebaliknya. 

“Polis kemudian akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang. 

“Polis juga menyeru masyarakat tidak berkongsi dan menyebarkan apa sahaja bahan tidak senonoh di dalam media sosial yang boleh mengaibkan pihak tertentu sehingga menimbulkan kegusaran awam,” katanya. 

Dia menyifatkan kegiatan penyebaran gambar seumpama itu hanya akan memalukan mangsa selain menyebabkan ia menjadi ikutan golongan remaja.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Bunuh tak henti menangis


Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Kanak-kanak malang berusia dua tahun yang rangkanya ditemui ditanam di belakang sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bayan, Bukit Katil, di sini, kelmarin, dipercayai dibunuh hanya kerana tidak berhenti menangis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Bakar berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun yang juga kekasih ibu mangsa bertindak menekup mulut kanak-kanak lelaki itu dengan tangan sehingga lemas.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku berbuat demikian selepas kanak-kanak itu tidak berhenti menangis, namun kami masih menyiasat sama ada perbuatan berkenaan disengajakan atau sebaliknya.

“Kami juga mengesyaki suspek mungkin panik selepas mendapati mangsa tidak bernyawa sebelum bertindak menanam mayat di belakang rumah yang disewa bersama wanita berusia 24 tahun awal tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, satu rangka manusia dipercayai kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang disyaki mangsa bunuh ditemui ditanam di belakang sebuah rumah teres di Taman Bayan, di sini.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, rangka kanak-kanak lelaki itu ditemui berbalut dengan kain batik yang ditanam pada kedalaman 0.3 meter di belakang rumah teres dua tingkat.

Penemuan itu susulan penahanan ke atas sepasang kekasih dalam satu serbuan di sebuah rumah di Muar, Johor jam 2 pagi hari sama.

Mengulas lanjut, Razali berkata, rangka itu dihantar ke Jabatan Kimia di Johor Bahru, Johor untuk analisis lanjut dan sekiranya perlu ia akan dihantar ke jabatan sama di Petaling Jaya, Selangor bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Pada masa sama, kita masih menyoal siasat saksi kejadian selain mengenalpasti pemilik rumah teres yang menyewakannya kepada pasangan terbabit bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, pendakwaan kes akan dilakukan dalam tempoh terdekat selepas kertas siasatan siap dan dihantar kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Bapa baran dera dua anak


Alor Gajah: Seorang pekerja kilang diberkas polis selepas disyaki mendera dua anak kandungnya berusia lapan dan 10 tahun di rumah mereka di sebuah taman perumahan di Masjid Tanah, dekat sini, Sabtu lalu.
Lelaki berusia 38 tahun itu diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka jam 3 petang Sabtu lalu untuk membantu siasatan. 
Difahamkan, dua beradik lelaki yang tinggal bersama ibu tiri dan seorang adik tiri itu sering dibelasah bapanya yang panas baran setiap kali pulang kerja. 

Sumber berkata, kedua-dua beradik yang belajar di tahun dua dan empat di sekolah sama itu sering dilihat menjauhkan diri daripada rakan sekelas sejak beberapa minggu lalu sebelum perubahan dikesan pihak sekolah.
Foto
LOKASI di mana berlakunya penderaan dua beradik.

“Dua beradik itu yang ceria sebelum ini mula hilang fokus terhadap pelajaran dan sering memulaukan diri. Mereka dihantar dan dijemput setiap hari oleh bapa.

“Bagaimanapun jam 10 pagi Khamis lalu, seorang guru menegur mangsa berusia lapan tahun kerana tidak dapat menulis dengan baik ketika menduduki ujian sebelum ternampak sebahagian jari kanannya cedera,” katanya, di sini, semalam. 

Sumber berkata, guru terbabit yang curiga bertanya kepada murid itu namun terkejut selepas melihat sebahagian jari kanan mangsa cedera dan bengkak sebelum memaklumkan kepada pihak sekolah. 

“Lebih mengejutkan, pemeriksaan menemui sebahagian badan mangsa lebam dan membengkak kemerahan selain terdapat beberapa jaluran panjang dipercayai akibat dirotan. 

“Pihak sekolah kemudian memanggil abang mangsa di tahun empat untuk mendapatkan maklumat mengenai adiknya sebelum mendapati dia turut mengalami nasib yang sama,” katanya. 

“Susulan kejadian, dua beradik yang cedera pada sebahagian jari dan seluruh anggota badan dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan dan ditahan di wad untuk rawatan selanjutnya. 

“Mereka ditempatkan di wad kanak-kanak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Masjid Tanah dibuat pada Jumaat,” katanya. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, badan dua beradik itu terdapat kesan dipercayai didera bapa kandungnya sendiri. 

“Susulan kejadian itu, bapa kandung mangsa ditahan ketika hadir di pekarangan IPK Melaka jam 3 petang Sabtu lalu untuk membantu siasatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

‘Saya minta maaf cikgu’


Georgetown :“Saya ingin memohon maaf kepada semua tenaga pengajar Sekolah Kebangsaan Tanjong Tokong,” kata Norhafizah Abu Bakar, 27, yang kesal dengan insiden anak lelakinya, Muhammad Azrul Danish, 7, ditampar guru Bahasa Inggeris kerana gagal menyiapkan kerja sekolah.
Kesal dengan apa yang berlaku Norhafizah, tampil membuat permohonan maaf itu kepada semua tenaga pengajar sekolah terbabit terutama pengetuanya. 
Katanya, pihaknya membuat permohonan maaf secara terbuka kerana ingin menyelesaikan masalah berkenaan secara baik selain turut mengaku kejadian berpunca akibat sikap yang terlalu terburu-buru. 

“Tindakan terburu-buru kami mengakibatkan berlaku salah faham selain mendengar sebelah pihak semata-mata, saya meminta maaf kepada guru besar, Aliasa Abdul Rahman, guru bahasa Inggeris dan semua guru Sekolah Kebangsaan Tanjong Tokong.
Foto
NORHAFIZAH membuat permohonan maaf secara terbuka kepada guru Sekolah Kebangsaan Tanjung Tokong, Pulau Pinang kerana dakwaan anaknya dipukul.

“Saya mengaku atas kesilapan dalam menangani masalah itu dan demi menjaga nama baik sekolah serta mempertahankan kredibiliti, integriti dan maruah semua tenaga pengajar sekolah permohonan maaf ini dibuat,” katanya, semalam.

Dia dan suami turut melahirkan rasa kesal di atas apa yang berlaku selain berhasrat menemui guru besar termasuk guru wanita untuk meminta maaf sekali gus menyelesaikan masalah itu. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Syabu guni bawang merah


Georgetown: Cubaan seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia menyeludup keluar dadah disyaki syabu bernilai RM3.5 juta dengan menyembunyikannya di bawah timbunan guni bawang merah gagal apabila dihidu pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pemeriksaan terhadap bot mereka.
Pemeriksaan lanjut dilakukan kemudian menemui plastik besar mengandungi 18 bungkusan pelbagai warna dalam bentuk hablur kristal seberat 16.895 kilogram disembunyikan dalam petak kayu bot itu. 
Dalam kejadian di Barat Daya Tanjung Tokong di sini, jam 11.45 pagi, Jumaat lalu, bot didaftarkan atas nama KM Usaha Makmur 02 di Indonesia dipintas APMM Daerah Maritim Dua selepas mendapat maklumat ia membawa bahan mencurigakan. 

Ketua Penguat kuasa Maritim APMM Daerah Maritim Dua, Kapten Kamaruszaman Abu Hassan berkata, bot berkenaan diklasifikasikan sebagai bot ‘barter trade’ itu dikatakan baru saja berlepas dari Jeti Kontena Butterworth Utara (NBCT) menghala ke barat perairan Pulau Pinang.
Foto
PEGAWAI penyiasat, Leftenan Maritim Noor Azreyanti Ishak menunjukkan bungkusan dadah dipercayai jenis syabu yang dirampas.

Beliau berkata, bot itu kemudian ditahan untuk diperiksa pegawai dan anggota APMM dibantu Unit anjing pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menemui dadah terbabit.

“Kami tidak menolak kemungkinan dadah itu disembunyikan di dalam petak kayu yang kemudian ditimbuni guni bawang merah bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Bahan berkenaan dipercayai cuba diseludup dari negara ini ke Aceh, Indonesia. 

“Seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia berusia antara 32 hingga 52 tahun ditahan untuk siasatan,” katanya pada sidang media, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Bukan calang-calang jenayah


Georgetown: Siasatan dilakukan Polis Pulau Pinang mengesahkan 11 daripada 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditahan pagi kelmarin memiliki rekod jenayah termasuk cuba membunuh, samun, curi, dadah dan kes di bawah Akta Kastam manakala seorang daripada mereka pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat 1969.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, manakala hasil ujian saringan air kencing dilakukan mengesahkan empat lelaki positif berada di bawah pengaruh dadah. 
Beliau berkata, mengikut pecahan mereka yang ditahan ialah 131 lelaki dan tujuh wanita berbangsa Cina, Melayu (10) dan India (7) berusia antara 18 hingga 67 tahun, semua mereka mempunyai pelbagai latar belakang berbeza antaranya bekerja sendiri, kakitangan kerajaan dan swasta serta pelajar. 

“Sehingga hari ini, 14 lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 60 tahun ke atas sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala baki anggota PPS dibebaskan esok (hari Ini) selepas tempoh tahanan reman sehari berakhir.
Foto

“Setakat ini, 30 peratus daripada ahli PPS yang ditahan sudah direkodkan keterangan. Saya menafikan dakwaan pengerusi PPS kami menerima senarai nama ahli pertubuhan itu yang diserahkan kepada polis untuk tujuan tapisan keselamatan.

“Begitu juga dengan dakwaan anggota PPS terbabit dalam rondaan cegah jenayah bersama anggota polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini, semalam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Maut rempuh tiang elektrik


Dungun: “Arwah sempat bersalam dengan saya sebelum pergi ke tempat kerja,” kata Mohd Zaki Harun, 49, bapa kepada Mohammad Fahmy Ifdzal, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 64.7, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kuala Abang, di sini, semalam.
Mangsa yang menunggang motosikal Naza GSR250 maut apabila gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh tiang elektrik lalu tercampak ke tengah pembahagi jalan pada jam 8.45 pagi.
Mangsa yang berasal dari Kampung Pak Pa, Kuala Terengganu mengalami kecederaan parah di kepala, dada serta muka meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohd Zaki berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu petang kelmarin ketika mangsa yang bekerja sebagai mekanik motosikal berkuasa tinggi memaklumkan hendak ke Dungun.
“Anak memaklumkan perlu bertugas di Dungun memandangkan syarikat tempatnya bekerja mengadakan jelajah promosi menjual motosikal di sana.
“Arwah sempat bersalam dengan saya sebelum turun dari rumah dan saya tidak menyangka dia akan pulang ke rumah pagi ini (semalam) sebelum terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan balik,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini, semalam.
Menurutnya, dia menerima panggilan daripada rakan arwah anaknya itu yang memaklumkan mangsa kemalangan dan meminta dia segera ke Hospital Dungun.
“Saya pada mulanya menyangkakan kemalangan itu kecil saja dan sebaik tiba di Bilik Kecemasan hospital, saya dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Mayat mangsa kemudian dibawa polis ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.
“Dalam tempoh tiga hari berturut-turut, enam mangsa maut membabitkan tiga kemalangan yang berlaku di Dungun.
“Daripada Januari tahun ini hingga hari ini (semalam), seramai 39 orang maut dan polis meminta kerjasama kepada semua pemandu supaya tidak memandu laju serta berwaspada setiap masa sebagai mengelak kemalangan maut terus berlaku,” katanya.
Foto
ANGGOTA polis mengangkat mayat Fahmy yang maut dalam kemalangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

‘Tak nak sekolah dah’


Kangar: Gurauan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan sepupu dan rakan sekolahnya bahawa dirinya tidak akan pergi ke sekolah lagi bagai memberi petanda apabila mangsa maut bersama ibunya dan seorang warga emas dalam kemalangan, di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku jam 7.30 malam itu apabila motosikal dinaiki mangsa Dzul Fiqar Dulkafle, 10, bersama ibunya Norlia Hashim, 43, dan ibu angkat Norlia iaitu Puan Chik, 77, berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dalam kemalangan di Kampung Bongor Kudong, Simpang Empat, di sini. 
Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki motosikal Yamaha Nouvo meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala, manakala pemandu dan penumpang MPV terbabit difahamkan tidak mengalami kecederaan. 

Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari rumah Norlia di Kampung Tebuk, Simpang Empat untuk menghantar Puan ke Kampung Pauh Tiga Beradik, di sini, dan bermalam di rumah wanita itu selepas selesai melakukan aktiviti memancing ikan.
Foto
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (dua dari kanan) menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Bapa saudara angkat Dzul Fiqar, Saad Ishak, 60, dari Padang Sera, Kedah, berkata dia bersama keluarga ada menghadiri majlis kenduri di rumah saudara di Kampung Pauh Tiga Beradik di Jalan Alor Setar-Kangar iaitu sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Menurutnya, ketika majlis kenduri berlangsung, dia mendapati sikap arwah Dzul Fiqar agak berbeza kerana bertukar menjadi peramah kerana sebelum ini murid Sekolah Kebangsaan Simpang Empat berkenaan agak pendiam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Kendong anak ke akhir hayat

Foto
KERETA yang merempuh mangsa diterbalikkan orang ramai.
Manjung: Hasrat seorang lelaki mengutip duit sewa rumah bertukar tragedi apabila dia bersama dua anak berusia lima dan tujuh tahun maut apabila motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang di Batu 6, Lekir, di sini lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Suhaini Abu Samat, 39, yang menunggang motosikal bersama dua anak lelakinya maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sejurus kenderaan mereka dirempuh dari belakang. 
Mangsa yang bekerja sendiri, bersama dua anaknya, Mohamad Kuzaimy, tujuh tahun dan Haikal Firdaus, lima tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. 

Menurut adik mangsa, Rosnita Abu Samat, 32, abang dan dua anak saudaranya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Limau, Kampung Pasir Pandak, di sini, selepas mereka ke rumah arwah ibunya di Taman Keris Batu 6.
Foto
KEMALANGAN maut yang melibatkan tiga beranak di Batu 6 Lekir, Manjung.

“Arwah abang dan anaknya ke rumah arwah ibu kami yang disewakan kepada orang lain untuk mengutip duit sewa rumah.

“Mereka tiga beranak keluar selepas Isyak dan apabila tiba di sana penyewa tiada di rumah, lalu mereka bergerak pulang semula ke rumah di Sungai Limau. 

“Malangnya, dalam perjalanan pulang itu mereka terbabit kemalangan dan kami dimaklumkan tiga beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian,”” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Seri Manjung, di sini, semalam. 

Rosnita berkata, hubungan Allahyarham bertiga begitu rapat dan anak saudaranya begitu manja dengan arwah abangnya sejak kematian ibu mereka dua tahun lalu. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Lelaki warga Myanmar maut dipukul rakan senegara di Bachok




ANGGOTA Polis Forensik mencari bahan bukti selepas seorang lelaki warga Myanmar maut disyaki dibunuh rakan senegaranya di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Beoh di sini, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
BACHOK: Seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai dibunuh rakan senegara di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Beoh di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Mat, berkata mangsa yang berusia 21 tahun itu dipercayai dipukul beberapa kali di bahagian kepala oleh dua rakannya.
"Maklumat diterima pada jam 1 tengah hari dan polis terus dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa serta dua suspek bekerja sebagai buruh binaan dan sedang menyiapkan kerja di rumah berkenaan sejak awal tahun ini," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa maut akibat dipukul dengan objek keras di bahagian kepala dan mengalami pendarahan teruk.

ANGGOTA Polis Forensik mengusung mayat mangsa seorang lelaki warga Myanmar yang ditemui maut disyaki dibunuh rakan senegaranya di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Beoh di sini, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
"Gerakan memburu kedua-dua suspek sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.
Abdul Hamid berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, pemilik rumah berkenaan Zaimah Ab Rasid, 43, berkata kali terakhir beliau berjumpa mangsa ialah ketika mangsa datang ke rumahnya semalam.
"Dia memang baik dan sebelum ini, dia pernah mengadu dua rakannya itu tidak puas hati dengannya.
"Saya tidak sangka dia akan diperlakukan sebegitu rupa sebab dia rapat dengan anak saya serta orang kampung, dan dia beragama Islam," katanya. - BERNAMA

‘Mabuk’ pandu lalu


Petaling Jaya: Menggunakan konsep jualan arak ‘pandu lalu’. Itu kaedah digunakan premis menjual arak murah kepada golongan lelaki tempatan termasuk golongan belia di sekitar Taman Sri Manja, di sini.
Premis berkenaan terletak di lorong sunyi antara bangunan rumah kedai dikesan menjadi ‘syurga’ golongan kaki botol berikutan harga arak dijual jauh lebih murah berbanding pasaran. 
Tinjauan wartawan Harian Metro sejak seminggu lalu mendapati pemilik premis bebas menjual minuman keras kepada orang awam termasuk pelanggan Melayu serta remaja bawah umur. 

Hasil uji beli dilakukan wartawan, pemilik premis menjual minum keras pada harga cukup murah iaitu RM10 bagi tiga tin minuman keras.
Foto
SUASANA kedai menjual minuman keras di Taman Sri Manja.

Ia berbeza dengan harga pasaran iaitu sekitar RM7 bagi setin minuman keras.

Dipercayai pemilik premis mampu menjual arak itu pada harga murah berikutan minuman keras itu belum dibayar cukai Kastam Diraja Malaysia (KDRM). 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

4 dekad nikah hilang begitu saja


Georgetown: Seorang suami resah apabila isteri menjadi teman hidup sejak 40 tahun lalu hilang tanpa dikesan hampir sebulan lalu selepas keluar dari rumah mereka di Taman Teluk Indah, Prai di sini.
Anak saudara mangsa, Muhammad Ubaidullah Othman, 23, berkata ibu saudaranya Zainab Ali, 60, disedari hilang jam 8 pagi, 4 Ogos lalu selepas keluar dari kediamannya itu.
Ketika itu Zainab, disangka pulang semula ke rumah kerana keluar dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang wang tunai, dokumen pengenalan diri dan pakaian.
Keadaan itu menyebabkan bapa saudaranya Abdul Aziz Akil, 65, terlalu rindu serta bimbang dengan keselamatan isterinya itu.
“Kami tidak tahu apakah tujuan ibu saudara saya keluar kerana tidak meninggalkan sebarang pesanan ke mana destinasinya, ketika itu dia bersahaja terus berjalan meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang.
“Saya pelik dengan apa yang berlaku kerana, beberapa hari sebelum hilang, ibu saudara saya tidak menunjukkan sebarang gelagat aneh dan semuanya berjalan seperti biasa,” katanya.
Muhammad berkata, dia dan ahli keluarga berusaha mengesan Zainab dengan mencari wanita itu di kawasan berhampiran namun tidak membuahkan hasil.
Mereka yang hampir berputus asa selepas gagal mengesan Zainab, bercadang mendapatkan bantuan pakar rawatan tradisional dalam usaha mencari wanita berkenaan.
“Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan berusia 30 dan 35 tahun turut tinggal di rumah sama.
Ibu saudara biasanya akan membantu suaminya di warung mereka di Prai dan kadang-kadang menjaga dua cucunya,” katanya.
Katanya, Abdul Aziz turut membuat laporan sehari selepas Zainab hilang di Balai Polis Prai, namun hingga kini belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa.
Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Zainab Ali diminta menghubungi Abdul Aziz di talian 0164841334 atau balai polis yang berdekatan.
Foto
MUHAMMAD Ubaidullah menunjukkan gambar ibu saudaranya yang hilang sejak sebulan lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Harga murah peras wang


Kuala Lumpur: Sekumpulan peniaga samseng dikesan memasang jerat dengan menawarkan telefon pintar pada harga serendah RM599 sebelum mangsa dipaksa membuat bayaran tambahan mencecah RM1,500.
Bayaran tambahan berkenaan kononnya perlu dibayar mangsa sebagai pakej bayaran perisian, antivirus, pelan Internet, ganti rugi dan pelbagai kos tersembunyi yang sebelum itu tidak dinyatakan pada mangsa.
Lebih buruk lagi, ada antara pelanggan yang mendakwa pernah diserang beberapa samseng daripada kumpulan terbabit kerana tidak mahu membayar duit tambahan diminta.

Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur berkata, kumpulan jurujual telefon pintar itu yang bergerak aktif di beberapa pusat beli-belah menggunakan strategi membuat promosi jualan tidak masuk akal.
Foto

Katanya, kumpulan itu menawarkan telefon pintar model terbaru pada harga jauh lebih murah dari pasaran.

“Sebagai contoh telefon pintar model Samsung S4 pada harga RM599 padahal harga sebenar sekitar RM1,499.

“Selepas pelanggan berminat dan membayar harga telefon itu, mereka akan menunjukkan belang dengan meminta pembeli membuat bayaran tambahan RM1,000 hingga RM1,500 kononnya untuk bayaran perisian, antivirus, pelan Internet, ganti rugi dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pembeli yang mahu membatalkan niat membeli telefon pintar berkenaan bagaimanapun akan ditunjukkan rekod pada komputer bahawa urusan pembelian itu sudah didaftarkan dan tidak boleh dibatalkan.

Katanya, pelanggan yang berkeras mahu membatalkan pembelian mereka hanya dibenarkan mendapat pengembalian 20 peratus dari wang dibayar.

“Mereka langsung tidak menyatakan bayaran tambahan sebelum menjual telefon pintar terbabit dan lebih mengejutkan apabila telefon bimbit itu adalah model tiruan,” katanya.

“Dari pemerhatian, setiap premis itu akan sentiasa menukar pekerja setiap bulan mungkin bagi mengelakkan pelanggan datang untuk menuntut ganti rugi dengan hanya mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan pekerja terbabit juga sudah menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan sasaran kumpulan ini adalah orang berpendapatan rendah, pekerja asing dan pelancong asing.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran semasa.

Katanya, pastikan terlebih dahulu ketulenan telefon bimbit berkenaan dan pakej yang ditawarkan sebelum membuat pembayaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Tiga beranak maut dirempuh kereta


Manjung: Seorang bapa bersama dua ?anak lelakinya berusia lima dan tujuh tahun maut dalam kemalangan di Batu 6, Lekir, di sini lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Suhaini Abu Samat, 39, yang menunggang motosikal bersama dua anak kecilnya itu maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta.
Ketua Polis ?Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa bersama dua anak yang keluar simpang kanan dari arah Lekir menuju ke arah Seri Manjung, di sini dan memasuki ke lorong kanan laluan berkenaan.

"Pada masa sama, datang sebuah kerera jenis PROTON Waja dari arah yang sama dan merempuh belakang kenderaan dinaiki tiga beranak itu.
Foto
KETIGA-TIGA mangsa maut di tempat kejadian akibat tercampak.

"Akibat rempuhan itu penungang dan dua orang pemboncengnya tercampak ke laluan bertentangan dan ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan dan ditahan untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Kasihan si kucing


Kuala Lumpur: Tanpa perikemanusiaan, seekor kucing menerima azab apabila mulutnya hancur manakala hampir semua giginya patah akibat dipukul kerana kesalahan mencuri ikan untuk mengisi perut.
Kisah seekor kucing dibelasah seorang peniaga sebuah pasar di Selayang, menjadi kemarahan orang ramai kerana tindakan itu disifatkan keterlaluan.
‘Posting’ berkaitan kejadian melalui sebuah laman blog popular yang dimuat naik di Facebook petang kelmarin, menerima lebih 99,000 likes, 25,000 komen selain 11,349 yang berkongsi ke laman masing-masing.

Rata-ratanya marah, malah ada yang mengutuk tindakan peniaga berkenaan selain meminta pembelaan atas kucing itu.
Foto

Difahamkan, kucing berwarna putih oren itu, kini berada dalam jagaan seseorang yang menetap di Kajang.

Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid menganggap tindakan itu sebagai tidak bertamadun dan melampaui batas.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

‘Suntikan vaksin’ kebas barang kemas


Oleh Rizal Abdullah
Kuala Lumpur: Seorang wanita licik dikesan berkeliaran menyamar sebagai kakitangan jabatan kesihatan bertujuan memperdaya pekerja warga asing dengan taktik memaksa mangsa mendapatkan suntikan di hospital.

Dalam kejadian terbaru, empat pekerja wanita warga Indonesia menjadi mangsa apabila diperdaya sebelum semua barang kemas dan wang milik mereka dilarikan wanita terbabit.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ati, 32, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan empat rakan lain sedang bekerja di kedai makan berhampiran Taman Sri Rampai di sini, sekitar jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, seorang perempuan yang dikenali sebagai mak cik tiba-tiba muncul dengan menaiki sebuah kereta di kawasan itu.

“Mak cik berkenaan yang kerap datang ke pasar sebagai pelanggan kemudian mengarahkan saya dan empat rakan lain bersiap sedia untuk mengikutnya ke hospital.

“Wanita itu mendakwa kami perlu berjumpa doktor dan mendapatkan suntikan vaksin bagi membolehkan kami bekerja di negara ini.



Dia memberitahu kami boleh dikenakan tindakan dan ditangkap pihak berkuasa sekiranya masih gagal mendapatkan suntikan,” katanya.

Dia berkata, mereka kemudian dibawa menaiki sebuah kereta milik wanita itu sebelum dibawa ke sebuah klinik di Jalan Ipoh, di sini.

“Sebaik tiba di hadapan klinik itu, wanita itu mengarahkan kami menanggalkan semua barang kemas dan mengeluarkan semua wang tunai serta telefon bimbit dibawa.

“Dia kemudian mengarahkan kami mengumpulkan semua barangan itu dan meletakkannya ke dalam beg tangan milik seorang rakan saya bernama Winda,” katanya.

Menurutnya, wanita itu memberi alasan semua barang kemas itu tidak boleh dibawa ketika membuat pemeriksaan doktor.

“Kami diarah masuk ke dalam klinik.

Bagaimanapun kami menyedari ditipu apabila wanita terbabit menghilangkan diri.

“Kejadian itu menyebabkan kami kerugian cincin dan subang emas, wang tunai, empat telefon bimbit dan pelbagai barangan berharga lain berjumlah lebih RM2,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Pekerja berang lambat terima gaji samun penyelia


Kota Kinabalu: Akibat berang berikutan lambat dibayar gaji, sekumpulan buruh binaan bukan saja bertindak mengikat penyelia, malah melarikan wang gaji berjumlah RM17,000, dalam kejadian di sebuah restoran makanan di Jalan Lintas Pendek, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, penyelia berusia 35 tahun dikatakan sedang mengagihkan gaji pekerja di sebuah kedai kopi, sebelum didatangi sekumpulan pekerja dipercayai untuk menuntut gaji mereka.

Bagaimanapun, mangsa terpaksa menangguhkan bayaran gaji seorang daripada suspek memandangkan dia mengalami masalah kehadiran termasuk tidak bekerja sejak beberapa hari lalu.

Berikutan itu, suspek berusia 50 tahun tidak berpuas hati lalu bertindak menyerang mangsa dan dibantu beberapa rakannya.

Suspek dikatakan bertindak mengikat mangsa, namun berlaku pergelutan dengan pekerja lain sebelum kumpulan pekerja itu berjaya melarikan diri bersama wang gaji pekerja milik majikan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Superintendan M Chandra berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis kemudian menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Jalan Lintas, di sini, jam 3.55 petang, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati suspek pekerja di tempat mangsa dan didapati tidak hadir bekerja sejak beberapa hari yang lalu.



Pada Sabtu lalu, ketika mangsa mengagihkan gaji pekerja, suspek dan beberapa rakan yang lain datang menuntut gaji mereka.

“Memandangkan suspek mempunyai masalah kehadiran, gaji suspek akan diberi pada hari Selasa menyebabkan suspek tidak puas hati lalu bertindak mengeluarkan tali untuk mengikat mangsa.

“Ketika itu berlaku kekecohan kerana rakan mangsa cuba membantu sebelum suspek dan rakannya melarikan diri bersama-sama wang gaji pekerja dianggarkan RM17,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Rumah empat keluarga musnah terbakar


Gelang Patah : Sebuah rumah yang didiami empat keluarga musnah dalam kebakaran di Jalan Ibadat, Kampung Melayu Gelang Patah, di sini, hari ini.
Pegawai Bomba Kanan 2 Ezam Mistorrero Din selaku Ketua operasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.45 petang. 
Menurutnya, satu jentera dengan kekuatan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Universiti bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran. 

Katanya, pihaknya tiba 20 minit kemudian dan mendapati api sedang marak.
Foto
RUMAH diubahsuai dan didiami oleh empat keluarga.

"Bagamainapun, ia dapat dikawal pada jam 4.10 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.23 petang.

"Pemeriksaan awal mendapati rumah ini diubahsuai dan didiami oleh empat keluarga dan mempunyai empat pintu. 

Menurut Ezam, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Pengasuh ikat bayi

Bayi diikat dengan pita pelekat.
Bayi diikat dengan pita pelekat.
SEORANG pengasuh bertindak kejam apabila mengikat seorang bayi ketika tidur di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak Forth Worth, Texas, Amerika Syarikat.

Susulan kejadian itu, pasangan ibu bapa Kristin dan Brad Galbraith bertindak menuntut ganti rugi AS$1 juta (RM3.1 juta) terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Akademi Montessori Heart2Heart dituduh cuai selepas pasangan itu mendakwa gambar bayi lelaki mereka yang diikat bersama selimut tersebar meluas di laman sosial.

Difahamkan, gambar berkenaan diambil oleh bekas pekerja yang menghantar foto berkenaan kepada pasangan itu pada Jun lalu.

Peguam pasangan itu, Larry Rasansky berkata, perbuatan itu sungguh kejam dan merupakan mimpi ngeri buat anak guamnya.
“Ibu bapa mengamanahkan pusat asuhan untuk menjaga anak-anak mereka tetapi perbuatan ini sangat teruk kerana bayi itu tidak mampu bersuara jika mereka merasakan kesakitan dan seksinya diikat seperti itu," katanya.

Sementara itu, sehingga kini pusat asuhan itu tidak mengulas mengenai tindakan undang-undang yang dikenakan dan masih beroperasi seperti biasa.

"Selama ini kakitangan kami memberikan layanan terbaik kepada pelanggan dan jaminan keselamatan tahap tertinggi kepada bayi dan kanak-kanak yang berada di sini," katanya dalam laporan Dailymail.

Mangsa serangan asid menderita

Perubahan wajahnya selepas di bedah.
Perubahan wajahnya selepas di bedah.
AYAH kepada dua anak ini menjalani hidup seharian dengan dibelenggu trauma melampau selepas menjadi mangsa serangan asid dilakukan oleh individu tidak dikenali di Rayleigh, Essex.

Ketika kejadian, Darren Pidgeon, 27, sedang memandu bersendirian untuk menuju ke pusat bandar kira-kira jam 12 malam.

Kenderaannya tiba-tiba dihampiri dua lelaki bermotosikal dan mengarahkannya memberhentikan kenderaan.

Dia kemudiannya membuka tingkap lalu di sembur dengan asid oleh lelaki berkenaan.

Dalam kesakitan dia turut dibelasah lelaki terbabit.

"Awalnya, saya ingat ia adalah semburan lada tetapi lama-kelamaan saya merasa perit. Saya tidak mampu melawan ketika itu kerana kulit saya mula melecur dan memedihkan. Saya menjerit meminta tolong," katanya.
Menurutnya, kejadian itu benar-benar meninggalkan kesan terhadap hidupnya.

"Nasib baik, saya tidak buta cuma parutnya masih kekal. Kini saya kehilangan pekerjaan dan terpaksa meminta bantuan kerajaan," katanya.

Polis penyiasat berkata, motif serangan masih belum diketahui dan pihaknya merayu kepada mana-mana individu untuk tampil sebagai saksi kejadian.

Akibat daripada serangan itu, Darren dimasukkan ke hospital selama empat minggu untuk menjalani rawatan cantuman kulit.
Darren kini berpindah ke London untuk mendapatkan rawatan kulit dari doktor pakar bagi menjalani pembedahan plastik.

"Saya mahu mereka diberkas secepat mungkin kerana perkara sama boleh terjadi kepada orang lain," katanya dalam laporan Dailymail.

MH17: Jurufoto cedera ditumbuk lapor polis

Foto ihsan Facebook Astro Awani
Foto ihsan Facebook Astro Awani
KUALA LUMPUR – Seorang jurugambar akhbar tempatan cedera selepas ditumbuk seorang lelaki di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi, di sini, kira-kira jam 11 pagi, tadi.

Difahamkan, lelaki dipercayai kenalan ahli keluarga mangsa MH17, mendiang Subashni Jretnam dikatakan bertindak demikian bagi menghalang mangsa, Aizuddin Saad, 29, dari mengambil gambar.

Menurut mangsa, dia ditugaskan untuk membuat liputan ketibaan jenazah MH17 di memorial berkenaan.

"Namun, ketika sedang merakamkan gambar, salah seorang dipercayai ahli keluarga mangsa menendang ke arah kameranya dan menyebabkan kamera rosak selain lensa patah.

"Selepas itu, saya membawa komponen kamera tersebut ke tempat lain untuk diperiksa dan bagi mengelakkan insiden menjadi lebih teruk sebelum rakan media lain mengambil gambarnya bersama kamera yang rosak. Bagaimanapun, datang seorang lagi lelaki juga dipercayai ahli keluarga mangsa tiba-tiba menumbuk muka dari arah belakang," katanya.

Tambah Aizuddin lagi, dia kemudiannya dibawa ke lobi oleh pekerja memorial di situ untuk membersihkan luka di muka.

Katanya lagi, dia kemudian dibawa ke sebuah klinik berhampiran sebelum laporan polis dibuat di Balai Sungai Besi kira-kira jam 1.06 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Individu yang terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Lelaki miliki kad kuasa 'perisik' KDN dipanggil


2 September 2014


MELAKA - Polis Melaka memanggil seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pemilikan kad kuasa 'perisik' Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata lelaki berusia 30 tahun yang bekerja di sebuah hotel di negeri itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada 11 malam, 31 Ogos lepas.

Beliau berkata polis turut merampas satu kad kuasa Unit Risikan Khas KDN yang mempamerkan jawatan perisik dipercayai diterima daripada seorang kakitangan KDN berusia 34 tahun.

"Lelaki terbabit mengaku memperoleh kad itu daripada rakannya yang bekerja di kementerian tersebut pada April lepas.

"Namun, hasil siasatan mendapati tiada Unit Risikan Khas dalam KDN dan juga tiada kad kuasa dikeluarkan kementerian itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.  

Raja Shahrom berkata pihaknya membuka kertas siasatan bagi kes berkenaan dan tindakan lanjut akan diambil terhadap lelaki itu jika terdapat sebarang kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung penggunaan kad kuasa itu.

"Kami minta orang ramai atau pihak berkuasa jika ada yang pernah ditemui orang yang mengatakan dia perisik KDN supaya tampil membuat laporan polis dan kita akan ambil tindakan serta-merta," katanya.

Dalam pada itu, Raja Shahrom berkata pihaknya kini sedang mengesan kakitangan KDN yang memberikan kad kuasa berkenaan. - Bernama

Suami Paksa Isteri Hamil Bersetubuh Dengan Pekerja Bangladesh


PETALING JAYA: Seorang wanita mengandung tidak dapat menanggung derita selepas suaminya berulang kali memaksanya mengadakan hubungan seks dengan seorang pekerja Bangladesh untuk memenuhi nafsu seksualnya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad pada Selasa berkata wanita berusia 27 tahun itu melarikan diri dari rumah selepas menerima panggilan daripada suaminya yang berusia 34 tahun kira-kira pukul 10.30 malam Ahad yang memberitahunya bahawa dia akan membawa pulang seorang lelaki Bangladesh untuk tidur dengannya. 

"Takut dengan permintaan suaminya, wanita itu meninggalkan rumah dan meminta bantuan daripada pihak polis.

"Ini bukan kali pertama suaminya memaksa dia mengadakan hubungan seks dengan pekerja Bangladesh berusia 26 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Nizam.

"Sebelum ini dia dipaksa mengadakan hubungan seks dengan Nizam sebanyak dua hingga tiga kali.

"Dia sedang mengandung tujuh bulan apabila suaminya meminta dia tidur dengan lelaki itu pada bulan Julai," katanya.

Wanita itu mendakwa suaminya akan terangsang dengan melihat mereka melakukan seks dan kemudiannya akan mengadakan hubungan seks dengannya.

Dia juga berkata Nizam tidak dikenakan sebarang bayaran untuk tidur dengannya.

Dia telah dihantar ke Hospital Selayang untuk penilaian perubatan, menurut laporan. 

"Kami menahan Nizam di kedai mainan di Chow Kit pada hari Isnin, manakala suami wanita itu ditahan di rumah pasangan itu di Taman Daya Kepong.

"Kedua-dua lelaki itu ditahan selama seminggu bagi membantu siasatan," kata Ali. 

Kes ini diklasifikasikan sebagai rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Penduduk bimbang dicabul lelaki berkepala botak


AMPANG JAYA - Orang ramai yang tinggal di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang di sini hidup dalam ketakutan berikutan kemunculan pencabul misteri berkepala botak yang didakwa gemar meraba golongan wanita yang berada di luar rumah seorang diri.
Pencabul botak itu dikatakan memerhati gerak-geri wanita muda di pangsapuri berkenaan terlebih dulu sebelum menghampiri sasarannya untuk bertindak meraba mangsa-mangsanya.
Suspek yang dikatakan berbadan sasa dan berkulit gelap dikatakan aktif melakukan kerja-kerja tidak bermoral itu sekitar pukul 12 tengah malam sehingga waktu pagi.
Semasa kejadian, pencabul itu didakwa memakai pakaian gelap dengan lokasi tumpuannya di dalam lif dan tangga pangsapuri. Sebahagian lagi mangsa mengadu mereka dicabul semasa sedang membuka pintu kereta di tempat letak kereta.
Sejak sebulan lalu, sejumlah 20 wanita dikatakan menjadi mangsa pencabul botak yang belum diketahui identitinya itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0902&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3C9EvzYZc 
Hakcipta terpelihara