
MOHD. Hasif Ahmad menunjukkan tempat ibu dan dua adiknya yang ditawan oleh empat orang perompak di kediaman mereka di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, kelmarin.
GUA MUSANG 28 Ogos - Tiga beranak berdepan detik mencemaskan apabila disamun dan menjadi mangsa tawanan empat perompak di kediaman mereka di Kampung Limau Kasturi di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 10.10 pagi itu, mangsa kerugian kira-kira RM10,000 apabila seutas rantai dan gelang emas, dua bentuk cincin, sebuah televisyen, sebuah komputer riba dan tiga unit telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dilarikan perompak berkenaan.
Menceritakan semula peristiwa malang itu, mangsa, Nurhasmaini Hussin, 31, berkata, ketika berada di bilik tidur bersama dua anaknya, dia terdengar bunyi enjin kenderaan lalu mengintai keluar menerusi tingkap.
Katanya, empat lelaki dilihat keluar dari kereta jenis Proton Iswara dan salah seorang daripada mereka bertanya tentang rumput di kawasan perumahan yang dikatakan terbiar.
"Saya membuka pintu dapur untuk berbual dengan mereka. Salah seorang daripada lelaki itu turut bertanya tentang ahli keluarga namun saya memberitahu suami tiada di rumah.
"Tiba-tiba dia terus merentap rantai serta gelang emas yang saya pakai sebelum mengheret saya masuk ke dalam bilik tidur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Nurhasmaini, perompak tersebut mengikat tangannya dengan seutas tali plastik manakala mulutnya ditutup dengan pita pelekat dan mukanya pula ditutup dengan kain selimut.
Anak lelakinya, Mohd. Hanif Ahmad, 3, dan Mohd. Haikal Ahmad, lima bulan hanya mampu menangis ketakutan disergah perompak yang kemudiannya mengarahkan mereka supaya diam.
"Hari ini aku berkuasa, jangan melawan kalau tidak aku sembelih," kata Nurhasmaini yang masih mengingati ayat kejam perompak tersebut ketika menyamunnya.
Dia bagaimanapun tidak dapat melihat senjata yang digunakan perompak terbabit ketika mengugut mereka sekeluarga kerana kepalanya ditutup dengan selimut.
"Lebih kurang 10 minit kemudian, mereka meninggalkan rumah dan saya berusaha melepaskan diri sebelum menghubungi suami, Ahmad Ab. Rahman, 36, menggunakan telefon yang dipinjam daripada saudara mara," katanya yang bersyukur mereka bertiga tidak diapa-apakan suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140829/je_06/Tiga-beranak-ditawan-sebelum-disamun-RM10000#ixzz3BmJO9mx7
© Utusan Melayu (M) Bhd