28 Ogos 2014
GEORGETOWN - Sebanyak 165 individu termasuk anggota sindiket penyeludupan dan pemerdagangan orang ditahan dalam Ops Pintas selama seminggu yang dijalankan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, bermula 21 Ogos lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata daripada jumlah itu, 158 tahanan terdiri daripada rakyat Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Kemboja dan Thailand.
Tujuh merupakan rakyat tempatan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Penguatkuasa Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2014, di sini hari ini.
Operasi membanteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang di wilayah utara dijalankan atas atas maklumat awam dan risikan dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kastam dan Jabatan Tenaga Kerja.
Mohmad berkata dalam operasi di Kedah pada 22 Ogos lepas, pasukan keselamatan menahan 24 orang terdiri daripada 16 rakyat Myanmar dan Kemboja yang cuba diseludup menerusi sempadan negara jiran dan merampas wang tunai lebih RM9,000.
"Ketika ditahan, 16 warga asing berusia 16 hingga 45 tahun itu disembunyikan dalam but tiga kereta persendirian dan dua teksi. Mereka dipercayai dalam perjalanan ke sebuah rumah di Changloon yang dijadikan tempat transit pendatang tanpa izin berkenaan," katanya.
Mohmad berkata tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand yang turut ditahan dalam operasi itu adalah anggota sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang aktif di sekitar Kedah.
Beliau berkata dalam operasi di Perlis, 21 lelaki dan dua wanita Myanmar berusia 14 hingga 46 tahun yang cuba memasuki negara ini tanpa dokumen sah ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang meronda kawasan sempadan negara itu.
Sepasang kekasih warga tempatan dan seorang wanita Thailand pula ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan transit warga asing di Padang Besar, Perlis, katanya menambah polis turut merampas 102 kilogram daun ketum dan pelbagai mercun serta bunga api.
Dalam Ops Pintas di Pulau Pinang, 172 rakyat asing diperiksa di 20 premis dan 118 daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tiada permit kerja yang sah.
"Mereka yang ditahan dalam operasi pada Selasa lepas itu ialah 65 lelaki, 26 wanita dan 27 kanak-kanak Myanmar. Mereka dipercayai diseludup masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen dan bekerja di Pulau Pinang," katanya.
Mohmad berkata susulan operasi itu, polis berjaya mengenal pasti beberapa sindiket, individu, laluan haram dan rumah transit yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan orang.
"Berdasarkan siasatan, setiap warga asing yang berjaya diseludup masuk ke negara ini akan dijual kepada pihak ketiga dengan harga sehingga RM6,000 untuk dijadikan pelacur dan buruh manakala kanak-kanak dijadikan peminta sedekah," katanya. - Bernama