Search This Blog

Sunday, August 24, 2014

18 mayat imigran ditemui di perairan selatan Pulau Lampedusa

AHAD, 24 OGOS 2014 @ 4:08 PM

 
ROME: Sebanyak 18 mayat pendatang tanpa izin ditemui di atas bot kecil berdekatan perairan selatan Pulau Lampedusa, lapor media tempatan hari ini.

Kapal tentera laut Sirio yang menjalankan operasi di perairan negara berkenaan mengesan bot itu berada dalam kesulitan, lalu menghampiri dan mendapati 73 orang berada di dalam bot kecil itu bersama-sama dengan 18 mayat. - AFP

Bayi lelaki dijumpai dalam beg kertas


24 Ogos 2014

SHAH ALAM - Seorang bayi lelaki dijumpai dalam satu beg kertas yang ditinggalkan di depan pintu utama sebuah projek pembinaan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Azisman Alias berkata bayi berkulit cerah itu ditemui pekerja tapak pembinaan berkenaan pada kira-kira 11.30 pagi, disyaki baru ditinggalkan berikutan keadaannya yang masih elok.

Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 11.45 pagi dan tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan sengaja diletak di depan pintu utama kerana ia tidak beroperasi serta dikunci setiap Ahad.

"Ketika dijumpai, bayi berada dalam keadaan sempurna, elok dan dibalut dengan sehelai tuala merah... usia bayi itu kita sedang periksa, dan kita hantar bayi itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk pemeriksaan lanjut.

"Dalam pada itu, polis sedang menyiasat dan mencari siapa ibu dan bapa kandung bayi tersebut untuk membantu siasatan," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS).

Azisman juga berkata orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. - Bernama

Kena tipu sindiket gores dan menang


  • Abdul Rahman (kiri) selepas membuat tuntutan di TTPM.Abdul Rahman (kiri) selepas membuat tuntutan di TTPM.

KUANTAN - Pendedahan media mengenai sindiket gores dan menang seperti mencurah air di daun keladi kerana masih ramai yang tertipu dengan sindiket itu sehingga sanggup mengeluarkan wang dalam sekelip mata.

Jika sebelum ini sudah ramai yang menjadi mangsa tetapi sindiket berkenaan tidak pernah serik malah mereka seperti kebal dengan undang-undang dan boleh menukar nama syarikat jika (rasa tidak selamat dan diawasi).

Kelmarin, sebanyak 19 kes daripada 31 kes membabitkan tuntutan berkaitan syarikat gores dan menang di Mahkamah Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia dan mangsa kebanyakan mangsa adalah warga emas.

Hasil daripada pertemuan bersama mangsa, mereka mendakwa cara pekerja gores dan menang adalah sama iaitu mengejar mangsa yang disasarkan dan memujuk untuk memegang kad gores.

Lebih biadab lagi ada yang terus memasuki kenderaan dan duduk di sebelah mangsa serta memaksa mangsa menunjukkan bank yang mempunyai simpanan wang.

Ada mangsa yang ditemui mendakwa mereka seolah-olah dipukau selepas pekerja syarikat gores dan menang memasuki kenderaan dan memulakan perbualan.

Justeru, beberapa mangsa terbabit turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mempedulikan pekerja yang membawa kad dan menawarkan hadiah menarik.

Mangsa juga mengingatkan orang ramai bahawa sindiket ini akan berkumpul di kawasan yang menjadi tumpuan terutama pasar raya dan mereka dikatakan tidak mempunyai lokasi tetap seperti memasang meja seperti syarikat berlesen lain.

Hilang RM20,000 dalam sekelip mata

Abdul Rahman, (bukan nama sebenar), 67, kecewa kerana kehilangan sejumlah RM20,000 dalam sekelip mata selepas bertemu dengan dua lelaki yang memaklumkan bahawa dia menang cabutan bertuah.

Paling menyedihkan wang berkenaan adalah amanat ibunya yang kini sudah berusia 90 tahun dan mahu dia menyimpan wang berkenaan untuk digunakan menunaikan haji jika sampai waktunya.

Abdul Rahman menjadi mangsa sindiket gores dan menang selepas menguruskan bil air dan ketika itu berada di kawasan letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jun lalu.

Katanya, dia didatangi dua lelaki memujuk untuk memegang satu unit ‘benda’ bulat bermagnet sambil memberitahu bahawa dia berjaya memenangi hadiah bertuah.

“Sebelum ni saya sudah tahu gores dan menang menggunakan kad, jadi saya tidak terfikir mereka ubah taktik menggunakan magnet,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia dikaburi dengan kata-kata bahawa akan menerima kereta Toyota Camry jika membuat bayaran RM20,000 tetapi memberi amaran awal supaya tidak memaklumkan kepada orang lain.

Katanya, pekerja sindiket itu tanpa segan mengikutnya pulang ke rumah untuk mengambil buku akaun Amanah saham bumiputera (ASB) sebelum mengeluarkannya di sebuah bank di Taman Tas.

Bagaimanapun, katanya, ketika sampai di pejabat sindiket berkenaan di Jalan Haji Ahmad, dia tidak sanggup mengeluarkan wang dan mahu melangkah keluar dengan segera.

“Malangnya mereka menarik tangan dan memaksa saya untuk mengeluarkan wang terbabit sebelum mengunci pintu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia sedih kerana selepas itu hanya menerima lima barang yang langsung tidak bernilai iaitu dua tilam, ketuhar, dapur masak dan mesin pengurut kaki.

Menurutnya, dia kesal kerana tidak berfikir panjang dan turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhkan diri dan tidak menoleh kepada individu yang mendakwa boleh memberi hadiah istimewa atau lumayan di tempat awam.

Malang berganda bagi mekanik yang mahu dikenali sebagai Lee, 40-an kerana anggota sindiket itu terlebih dahulu ‘memesongkan’ tarikh penerimaan wang pada resit penerimaan wang dari mangsa.

Justeru, katanya, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) tidak boleh mengeluarkan perintah kerana tarikh terima yang ditulis pada resit ialah 9 Oktober 2014.

Bagaimanapun, mangsa masih bernasib baik kerana Presiden TTPM, Reihana Abd Razak menasihatkannya supaya memohon resit pengeluaran wang di bank sebelum tribunal itu mengeluarkan perintah.

Menurut Lee, kejadian berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Haji Ahmad pada 9 Jun lalu apabila dia didatangi seorang lelaki memegang kad dan memaklumkan bahawa dia memenangi bonus.

Katanya, lelaki terbabit terus masuk ke dalam keretanya tanpa kebenaran malah enggan keluar selepas diarahkan.

“Dia tidak mahu keluar kereta sebaliknya mengikut saja ke mana saya pergi sehingga memaksa saya mengeluarkan wang sejumlah RM15,000 dari akaun sebuah bank di Jalan Beserah,” katanya.

Lebih teruk lagi, katanya, dia dipaksa ke pejabat sindiket itu dan pintu dikunci dari luar bagi mengelakkan dia keluar.

“Mereka desak saya mengeluarkan kesemua wang berkenaan dan saya terpaksa kerana melihat keselamatan diri sudah tidak selamat. Mereka memberikan saya alatan dapur, ketuhar dan penapis air elektrik,” katanya.

Sorang lagi mangsa warga emas, Yow, 50an, menjadi mangsa sindiket itu di lokasi sama ketika dia bersama dua cucu berusia 10 tahun dan 5 tahun keluar dari pasar raya berkenaan.

Katanya, seorang lelaki mengikutnya dari arah belakang dan menggores satu kad sebelum memaklumkannya menerima hadiah bertuah dan boleh juga ditukar kepada wang tunai.

“Seorang lagi lelaki masuk ke dalam kereta dan memaksa saya mengikutnya ke pejabatnya yang berdekatan dan memberi satu katalog yang mengandungi senarai logo dan nama bank,” katanya.

“Saya seperti kena pukau kerana selepas itu mengikut sahaja arahan mereka lalu mengeluarkan wang sejumlah RM7,000 dari dua bank dan menyerahkan kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, dengan jumlah itu, dia menerima dua barang iaitu tilam dan penapis air yang sehingga kini masih belum digunakan.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Teruntum, Alex Yeo berkata, pihaknya mengesan tiga lokasi tumpuan sindiket itu iaitu UTC, depan pasar raya di Jalan Tun Ismail dan Transit Point.

Menurutnya, PKR Kuantan menubuhkan pasukan khas Banteras Gores dan menang bagi membantu mangsa dan mereka boleh menghubungi talian 0109272216 untuk bantuan.

Selain itu, katanya, masih ramai yang masih tidak faham mengenai cara tuntutan di TTPM menyebabkan mangsa  kes terbabit terpaksa hadir beberapa kali untuk menyelesaikan masalah itu.

Seorang maut kemalangan babit 8 kenderaan


23 Ogos 2014

SEREMBAN - Seorang maut dan dua cedera di dalam satu kemalangan yang melibatkan lapan buah kenderaan di Jalan Za'aba di sini, malam tadi.
   
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 12.30 malam itu, sebuah kereta Satria Neo dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kereta BMW.
   
Ini mengakibatkan kereta BMW merempuh lima kenderaan lain termasuk sebuah motosikal yang diletak di lokasi.        
   
Tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban berserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.  
   
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 12.32 tengah malam.
   
"Sejurus tiba terdapat seorang mangsa maut dalam kereta BMW manakala dua lagi cedera menaiki kereta Satria Neo.
   
"Mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan.
   
"Mangsa yang maut dalam kejadian berusia 29 tahun," katanya di sini.
   
Sementara itu, polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan. - Bernama

Drama tebusan dua jam berakhir ejekan

Meng jadi tebusan sepupu, buat seketika
Meng jadi tebusan sepupu, buat seketika
CHONGQING - CHINA. Keadaan panik ketika Gong Tseng, 30, menjadikan sepupunya Cui Meng, 29, sebagai tebusan dengan pisau di leher bertukar menjadi insiden memalukan kepada dirinya apabila penonton menjerit menyuruhnya bunuh diri selepas dia melepaskan tebusan dan meletakkan pisau dileher sendiri.

Menurut Mail Online, Tseng menjadikan Meng tebusan selepas berlaku pertikaian keluarga di bandar Chongqing, di selatan China.

Selepas dua jam, polis berjaya memujuknya melepaskan mangsa.

Namun, tindakan Tseng mengalihkan pisau ke lehernya sendiri mengundang ejekan daripada orang ramai yang mengatakan mereka telah penat menunggu dan hanya mahu melihat drama itu berakhir.

Difahamkan, Meng dilihat membuat panggilan telefon ketika menjadi tebusan dan dipercayai menelefon datuknya untuk membantu memujuk Tseng melepaskan dirinya.

Tseng akhirnya mengalah dan meletakkan senjata sebelum ditahan pihak polis.

Gempa kuat 6.6 magnitud melanda Valparaiso, Chile

AHAD, 24 OGOS 2014 @ 7:18 AM

 
SANTIAGO: Gempa kuat 6.6 magnitud melanda Valparaiso, Chile awal hari ini namun belum ada laporan segera mengenai kerosakan dan kecederaan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, laporan awal menunjukkan gempa berpusat di 18 kilometer di barat satu kawasan penempatan bernama Hacienda La Calera. - AP

6 perompak gempal berjoli sakan



ANGGOTA polis memeriksa kedai emas yang dirompak enam penjenayah berbadan gempal di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Tiga minit. Itulah tempoh masa yang diambil enam lelaki berbadan gempal untuk merompak 20 dulang barang kemas bernilai RM900,000 daripada sebuah kedai emas yang terletak di dalam sebuah pasar raya besar di Taman Connaught, Cheras di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, dua pekerja yang sedang bertugas di kedai emas terbabit terpaksa berputih mata melihat penjenayah terbabit memunggahkan hampir kesemua barang kemas yang dipamerkan ke dalam guni sebelum dilarikan.
Semasa rompakan tersebut, kedai emas yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari pintu masuk utama pasar raya besar yang penuh dengan pelanggan itu tidak mempunyai pengawal keselamatan.
Seorang saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Wong, 35, memberitahu, dia tidak menyangka kelibat lima lelaki gempal yang turun daripada sebuah kenderaan utiliti sukan yang membrek secara tiba-tiba serta mengeluarkan bunyi kuat di laluan pintu utama itu mahu merompak premis terbabit.
“Saya nampak ada enam orang lelaki gemuk (gempal) memakai topeng muka ski hitam dalam kereta itu. Lima daripadanya bergegas keluar dengan lagak ganas, membawa tiga buah tukul dan sepucuk pistol sambil menjerit-jerit.
“Mereka menakut-nakutkan pekerja kedai emas dan selang beberapa minit, mereka meluru keluar membawa empat guni sebelum masuk ke dalam kereta yang sedang menunggu,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3BGHitLWY 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki bertatu bunga disembelih



MAYAT lelaki warga Myanmar yang ditemui di tepi jalan berdekatan ladang kelapa sawit di Tasik Valdor, Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.


SEBERANG PERAI – Mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai mangsa pembunuhan ala gengster ditemui dengan kesan disembelih di bahu jalan berdekatan ladang kelapa sawit di Tasik Valdor, Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini semalam.
Lelaki berusia awal 30-an yang memiliki tatu berbentuk bunga ros pada lengan kanannya itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampakkan di situ.
Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Mangsa dicampak di situ dalam keadaan terbaring dan kita tidak tolak kemungkinan ia berpunca daripada pergaduhan antara kumpulan komuniti Myanmar di daerah ini.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bukan sahaja disembelih di leher sebelah kiri tetapi juga ditikam bertubi-tubi di perut dan dada,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3BGHKQANk 
Hakcipta terpelihara 

Interpol siasat kes 'kilang bayi' Thailand



POLIS menyiarkan gambar beberapa bayi tumpang milik seorang lelaki Jepun di ibu pejabat polis bandar Chonburi, Thailand pada 12 Ogos lalu.


BANGKOK - Polis antarabangsa Interpol melancarkan satu siasatan berbilang negara melibatkan kes seorang ahli perniagaan Jepun berusia 24 tahun yang mempunyai 16 bayi menggunakan kaedah ibu tumpang dan berhasrat menjadi bapa kepada beratus-ratus bayi lain.
Pihak berkuasa Thailand menggelarkan kes tersebut sebagai siasatan 'Kilang bayi'.
Pada awal bulan ini, polis menggeledah sebuah kondominium awal dan menemui sembilan bayi bersama pengasuh masing-masing tinggal di beberapa buah bilik di kediaman itu.
Mereka kemudian mengenal pasti ahli perniagaan tersebut, Mitsutoki Shigeta sebagai bapa kepada sembilan bayi itu dan tujuh bayi lain.
"Apa yang saya boleh dedahkan setakat ini adalah saya belum pernah melihat kes seperti ini di Thailand," kata pengarah Interpol Thailand, Mejar Jeneral Apichart Suribunya kelmarin.
"Kami masih berusaha untuk memahami mengapa individu ini mahu begitu ramai anak," kata Apichart.
Menurutnya, pejabat serantau Interpol di Jepun, Kemboja, Hong Kong dan India telah diminta untuk menyiasat latar belakang Shigeta bermula minggu lalu.
Polis berkata, lelaki tersebut memiliki perniagaan dan apartmen berdaftar di negara-negara berkenaan dan kerap berkunjung ke sana.
"Kami sedang menyiasat dua motif. Satu adalah pemerdagangan manusia manakala satu lagi ialah eksploitasi kanak-kanak," kata ketua penyiasat kes tersebut di Thailand, Leftenan Jeneral Polis, Kokiat Wongvorachart.
Menurutnya, Shigeta membuat 41 lawatan ke Thailand sejak tahun 2010.
Dia juga beberapa kali mengunjungi jiran Thailand, Kemboja untuk membawa keluar empat anaknya.
"Setakat ini, Shigeta masih belum dikenakan sebarang dakwaan jenayah," ujarnya.
Lelaki itu kini berusaha untuk mendapatkan semula semua 12 bayinya di Thailand yang kini diletakkan di bawah jagaan beberapa rumah kebajikan.
Shigeta juga telah membuktikan bahawa dia ialah bapa kandung 12 bayi itu melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dihantar dari Jepun. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3BGFwERaU 
Hakcipta terpelihara 

Polis ditahan miliki syabu


Oleh Na’imah Mohamed

Shah Alam: Seorang anggota polis ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu selepas bergelut dengan dua anggota unit rondaan bermotosikal (URB) di Jalan Klang-Banting, Bandar Parkland, dekat Klang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, anggota polis terbabit ditahan selepas cuba melepaskan dua rakannya yang ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota URB sebelum itu.

Difahamkan, anggota URB menahan sebuah Proton Wira dinaiki dua lelaki untuk pemeriksaan, namun tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan.

Ketika kedua-dua lelaki terbabit mahu dibawa ke Balai Polis Klang untuk pemeriksaan lanjut, sebuah Proton Wira dipandu suspek tiba-tiba memberhentikan keretanya sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Anggota URB meminta suspek menunjukkan kad kuasa atau dokumen pengenalan diri, namun lelaki terbabit enggan sehingga tercetus pergelutan.

Ketika bergelut, suspek cuba merampas pistol milik seorang daripada anggota URB, namun gagal dan dia akhirnya ditahan.

Dua lelaki yang sebelum itu ditahan dibawa ke Balai Polis Klang mengambil kesempatan itu melarikan diri dari situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui satu plastik kecil lutsinar berisi serbuk kristal disyaki syabu seberat 2.54 gram.

“Ia ditemui di dalam kotak rokok yang diselitkan di belakang badan suspek.

Selain itu, kami menemui alat menghisap dadah di dalam poket seluar suspek.

“Pemeriksaan terhadap Proton Wira dipandu suspek juga menemui satu plastik syabu seberat 0.88 gram di dalam laci papan pemuka kereta terbabit,” katanya.

Suspek yang berusia 30 tahun dibawa ke IPD Klang Selatan untuk disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Putus tangan


Ipoh: Seorang kelindan lori meninggal dunia akibat parah dan putus tangan kiri selepas kenderaan berat dinaiki merempuh treler berhenti di laluan kecemasan di Kilometer 281, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar tol Ipoh Timur, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.14 pagi, Mohd Shabari Shafiae, 37, meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang memandu lori Mohd Azley Ismail, 44, cedera ringan manakala pemandu treler tidak cedera.
Ketua Trafik Daerah Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori itu dari Shah Alam, Selangor ke Pulau Pinang dipercayai melanggar belakang treler kerana tidak perasaan kenderaan itu berhenti di laluan kecemasan.
“Mohd Shabari yang berasal dari Shah Alam meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Pemandu lori itu dibawa ke HRPB untuk rawatan.

Ketika kejadian, cuaca baik dan aliran trafik lancar dengan jalan lurus dua lorong serta satu lorong kecemasan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Syarikat simen bising didenda


Quang Binh: Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Vietnam di mendenda sebuah syarikat perusahaan simen sebanyak VND120 juta (RM17,913) semalam kerana menyebabkan pencemaran bunyi.

Syarikat Van Ninh Cement didapati bersalah menghasilkan bunyi bising 15 desibel lebih tinggi daripada had yang ditetapkan.
Keadaan itu, kata jurucakap kerajaan, menyebabkan penduduk sekitar terganggu dengan pencemaran bunyi dihasilkan.

“Syarikat itu juga tidak mempunyai pelan pemuliharaan alam sekitar seperti dikehendaki undang-undang,” katanya.


Pihak berkuasa tempatan juga mengarahkan syarikat berkenaan mengambil langkah segera bagi mengurangkan kadar pencemaran bunyi dihasilkan. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Amah ‘serang’ istana Aquino


Manila: Kecewa melihat penderitaan dan kemiskinan masyarakat di Filipina, seorang pembantu rumah bertindak nekad membawa sepucuk pistol dan cuba menyerbu Istana Presiden bagi mendesak Presiden Benigno Aquino meletak jawatan.

Namun, media semalam melaporkan, hasrat Flora Pineda, 36, digagalkan selepas dia ditahan pengawal keselamatan di pekarangan bangunan berkenaan jam 3.45 petang kelmarin.
Menurut pengawal bertugas, mereka ternampak pistol dibawa wanita itu dan segera menahannya di pos kawalan untuk disoal siasat.

Kata pengawal itu, pembantu rumah yang menetap di Taguing itu cuba melawan, namun dapat ditenangkan kemudian.


Polis mengesahkan pistol didakwa Pineda diambil dari abangnya yang bertugas sebagai polis marin.




Ketika dirampas, pistol berkenaan berisi peluru.

Jurucakap polis berkata, pengawal keselamatan Istana Presiden menghantar Flora ke Ibu Pejabat Polis Manila untuk siasatan lanjut.

Flora memberitahu pemberita, dia tidak berniat mencederakan sesiapa.

“Saya membawa pistol ini hanya untuk menakutkan Aquino agar dia meletak jawatan bagi menyelesaikan masalah kemiskinan di Filipina,” katanya.

Sambil mengeluh memikirkan kemiskinan di Filipina, Flora berkata, dia pernah didatangi peminta sedekah ketika makan di sebuah pusat beli-belah.

“Peminta sedekah itu merayu saya berkongsi makanan dengannya.

“Saya perlu memberitahu presiden, ramai rakyat negara ini masih tidur di jalanan ketika dia nyenyak tidur di tilam empuk,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia mengalami gangguan mental, Flora secara bersahaja mengakuinya.

“Tapi itu tidak menghalang saya menyedarkan kerajaan mengenai penderitaan yang dilalui golongan miskin negara ini,” katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Pesawat MAS ke Tokyo berpatah balik


Oleh Ikram Ismail

Kuala Lumpur: Sebuah pesawat MH70 Penerbangan Malaysia (MAS) yang sudah berlepas menuju ke Tokyo pagi semalam terpaksa berpatah balik berikutan berlaku masalah keselamatan.

Pesawat itu yang baru berlepas pada jam 10.50 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berpatah balik selepas 50 minit berada di udara.
Sementara itu, laman web rasmi MAS menunjukkan pesawat itu dijadualkan semula berlepas pada jam 1.15 petang dan dijangka tiba pada jam 9.25 malam tadi di Tokyo.

Sehingga jam 7 malam tadi, MAS itu belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi.





Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Mayat bayi terapung di tali air


Langkawi: Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui tersangkut pada ranting pokok dan terapung di dalam tali air di Kampung Titi Cangwang, Mukim Ulu Melaka, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, orang ramai yang terlihat sebahagian badan mayat bayi tenggelam di dalam air melaporkan penemuan itu kepada polis. 
Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah mengesahkan, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada orang awam. 

“Sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan. Siasatan awal mendapati tiada kecederaan fizikal pada mangsa.
Foto
MAYAT bayi lelaki ditemui tersangkut pada ranting pokok dan terapung di tali air.

“Mayat bayi yang memakai lampin pakai buang itu dibawa ke Hospital Langkawi sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat,” katanya.


Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/24

Tiga beranak terbunuh


Lubok Antu: Seorang ibu dan dua anak lelakinya terbunuh apabila Perodua Alza dinaiki bertembung sebuah van dalam kemalangan di Jalan Sri Aman-Betong, lewat petang semalam.
Kemalangan berlaku pada jam 5.45 petang mengorbankan wanita berusia 37 tahun serta anak lelaki masing-masing berusia lapan dan 20 tahun. 
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan James Johnanthan berkata, tiga beranak itu maut di tempat kejadian manakala suaminya parah. 

Beliau berkata, pemandu van patah kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Betong untuk rawatan lanjut.
Foto

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat beranak dalam perjalanan dari Sarikei ke Sri Aman, bergesel dengan sebuah MPV dari arah sama.

"Kenderaan dinaiki mangsa kemudian berpusing dan secara kebetulan, sebuah van dinaiki tiga lelaki datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh. 

"Rempuhan itu menyebabkan ketiga-tiga beranak tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. 

Menurutnya, mayat tiga beranak itu kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat manakala punca kemalangan masih dalam siasatan polis.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

Iceland keluar amaran merah gunung berapi Bardarbunga


REYKJAVIK 24 Ogos - Iceland mengeluarkan amaran keselamatan ke atas gunung berapi Bardarbunga kepada tahap merah, semalam dengan melarang sebarang penerbangan daripada menggunakan laluan udara di kawasan tersebut selepas mengesan letusan kecil di situ.
"Terdapat letusan berterusan dari bawah permukaan glasier, kemungkinan satu letusan kecil yang tidak mampu mencairkan litupan ais itu," kata pegawai pejabat meteorologi, Theodor Hervasson.
Gunung berapi Bardarbunga merupakan sebahagian sistem gunung berapi tersembunyi di bawah glasier Vatnajokull setebal 500 meter di tengah Iceland. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_03/Iceland-keluar-amaran-merah-gunung-berapi-Bardarbunga#ixzz3BG8rjhax
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mayat bayi lelaki ditemui terapung di sungai


LANGKAWI 23 Ogos - Mayat seorang bayi lelaki ditemui terapung di Sungai Titi Cangwang, Ulu Melaka di sini semalam.
Mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 6.56 petang.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Harith Kam Abdullah memberitahu, bayi itu ditemui dalam keadaan sudah kembung dengan hanya memakai lampin pakai buang.
“Mayat bayi ini ditemui oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum laporan dibuat kepada pihak polis," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah di Kuah di sini hari ini.
Menurut Harith, mayat bayi tersebut dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini untuk dibedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Harith turut meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu agar terus menghubungi balai polis berdekatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_06/Mayat-bayi-lelaki-ditemui-terapung-di-sungai#ixzz3BG8RXanq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki Myanmar ditemui mati dalam ladang sawit


NIBONG TEBAL 23 Ogos - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui dengan keadaan lehernya hampir putus akibat disembelih di jalan masuk ke ladang kelapa sawit di Valdor, Simpang Ampat, di sini hari ini.
Selain disembelih, mangsa yang ditemui kira-kira pukul 12 tengah hari turut ditikam di dada dan perut.
Menurut sumber polis, mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dan mempunyai tatu ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terbaring berlumuran darah.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan calar pada badan mangsa yang masih belum diketahui identitinya itu dan dia dipercayai dibunuh lebih enam jam lalu di tempat lain sebelum dibuang di situ," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, siasatan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supritendan Wan Hasan Wan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini untuk dibedah siasat.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_05/Lelaki-Myanmar-ditemui-mati-dalam-ladang-sawit#ixzz3BG82f0Gq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Janin bayi ditemui dalam longgokan sampah


HAMZAH Alias (tengah) bersama timbalannya, Deputi Supritendan Tukiman Seriman (kiri) melihat janin yang ditemui oleh Nor Zami Akrom (kanan) di dalam longgokan sampah di pekan Bahau, Negeri Sembilan, semalam. - MINGGUAN/SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMP0L 23 Ogos - Janin bayi perempuan dipercayai berusia kira-kira lima bulan ditemui dalam longgokan sampah yang dipungut oleh seorang penduduk dekat Kampung Indah Bahau, di sini hari ini.
Janin yang cukup sifat itu ditemui Nor Zami Akrom, 52, kira-kira pukul 9 pagi apabila dia membuka plastik sampah yang dipungutnya di belakang sebuah kedai makanan segera enam jam sebelum itu di Bahau di sini.
“Pada awalnya saya sangka menemui bangkai seekor ayam namun apabila diteliti rupa-rupanya janin bayi.
“Akibat terlalu takut, saya pada mulanya bercadang untuk menanam janin itu di belakang rumah tetapi selepas berfikir bahawa itu perbuatan jenayah, saya segera pergi ke Balai Polis Bahau kira-kira pukul 9.20 pagi dan memaklumkan mengenai perkara tersebut," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_04/Janin-bayi-ditemui-dalam-longgokan-sampah#ixzz3BG7fpXTr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Inspektor polis ditahan


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan seorang pegawainya berpangkat Inspektor yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini terlibat dengan sindiket yang diketuai dalang terbesar kes kecurian kenderaan di negara ini, Robin Hai.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat (gambar) berkata, pegawai polis itu dipercayai berperanan sebagai penghantar kenderaan curi ke sempadan negara.
“Setakat ini, kita mempunyai bukti yang sah bahawa pegawai tersebut terlibat secara langsung dengan kegiatan seludup kereta mewah ini.
“Kita syaki, suspek menerima upah daripada sindiket curi kenderaan untuk membawa kenderaan curi tersebut dari Lembah Klang hingga ke kawasan sempadan di Bukit Kayu Hitam," katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutupan Tembak Amal Pistol di Lapang Sasar Subang, di sini hari ini.
Dalam kejadian 15 Ogos lalu, tindakan suspek yang membawa isteri dan anaknya ketika cuba menyeludup keluar kereta mewah jenis Toyota Vellfire di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak berhasil apabila dia ditahan.
Hasil pemeriksaan, kereta yang dipandu suspek pernah dilaporkan hilang pada 3 Oktober 2012 di Subang Jaya, Selangor.
Sementara Robin Hai atau nama sebenarnya, Nyo Ah Hai, 50, yang menjadi buruan polis antarabangsa (Interpol) selama lapan tahun telah ditahan di Terminal Dua Lapangan Terbang Changi, Singapura awal Julai lalu.
Menurut Abdul Samah lagi, suspek masih ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan iaitu menerima harta curi hasil rompakan berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_03/Inspektor-polis-ditahan#ixzz3BG7O7ado
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita ditahan tanam janin


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Seorang wanita berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan janin bayi yang tertanam di kawasan semak di belakang sebuah pangsapuri di Kampung Bendahara, Batu Caves dekat sini malam tadi.
Difahamkan, janin tersebut telah ditanam sejak dua minggu lalu. Janin itu ditemui selepas pihak polis menggali kawasan semak tersebut selepas mendapat maklumat daripada pihak hospital.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lanjut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_01/Wanita-ditahan-tanam-janin#ixzz3BG71ZVJS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota forensik polis parah ditembak


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Seorang anggota polis berpangkat Konstabel parah selepas ditembak tiga lelaki dalam kejadian rompakan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bukit Tinggi, Klang, dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia awal 30-an dan bertugas di Unit Forensik Bukit Aman dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk menerima rawatan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_02/Anggota-forensik-polis-parah-ditembak#ixzz3BG6niTqx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Adik ipar pegawai kanan polis ditemui mati dalam kondo


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Adik ipar kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd, Bakri Mohd. Zinin ditemui mati di kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Kerinchi di sini malam tadi.
Mayat Hajar Mohamad Yatim, 54, ditemui di dalam bilik tidur oleh anak saudaranya kira-kira pukul 10 malam ini.
Anak saudara arwah terpaksa memecah pintu rumah ibu saudaranya itu dengan bantuan pihak keselamatan kerana panggilannya tidak berjawab sebelum menemui mayatnya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140824/je_07/Adik-ipar-pegawai-kanan-polis-ditemui-mati-dalam-kondo#ixzz3BG6YvfHq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki mati ditembak di dalam masjid


ZURICH 23 Ogos - Seorang lelaki beragama Islam maut selepas ditembak oleh seorang lelaki bersenjata di sebuah masjid di negara ini, ketika dia sedang mengerjakan solat Jumaat, semalam.
Mail Online melaporkan, pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian di pinggir bandar St Gallen, bagaimanapun berjaya menahan suspek sejurus selepas kejadian.
Seorang pegawai berkata, ketika ditemui suspek sedang memegang selaras senapang, manakala mayat mangsa ditemui di dalam bilik di masjid El-Hidaje.
Kira-kira 300 orang jemaah berada di masjid itu ketika kejadian berlaku.
Jurucakap polis, Gian Andrea Rezzoli berkata, pihaknya menerima panggilan telefon tentang kejadian tembakan tersebut pada kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).
Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan tiada kaitan dengan jenayah kebencian terhadap penduduk Islam, sebaliknya mungkin disebabkan oleh persengketaan keluarga.
Masjid El-Hidaje yang boleh menempatkan kira-kira 350 jemaah dalam satu-satu masa sering menjadi tumpuan penduduk berbangsa Albania untuk mengerjakan solat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_08/Lelaki-mati-ditembak-di-dalam-masjid#ixzz3BG5lF8P3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami isteri ditahan rantai anak


ALVAR dirantai di pergelangan kaki oleh ibu bapanya atas alasan dia sering mendatangkan banyak masalah ketika berada di sekolah dan di rumah. - AGENSI
MEXICO CITY 23 Ogos - Sepasang suami isteri ditahan pihak berkuasa Mexico, selepas didapati bersalah merantai kaki anak lelaki mereka berusia 10 tahun sepanjang hari.
Mail Online melaporkan, Alejandro Hernandez, 44, dan isterinya Beatriz Enriquez, 34, mengaku merantai Alvar di pergelangan kaki atas alasan anaknya itu sukar dikawal.
Hernandez berkata, anak sulungnya itu tidak pernah duduk diam dan sering melakukan banyak masalah ketika berada di sekolah serta di rumah.
“Kami tidak bertindak kejam, kami sayangkan semua anak kami. Kami melakukan perkara itu kerana sudah buntu untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Kami lakukan demi kebaikan Alvar, dan sama sekali tidak pernah ada niat untuk menyakitinya," jelas Hernandez, yang turut memiliki empat orang anak lain.
Polis mengetahui kejadian itu selepas seorang individu yang dipercayai salah seorang daripada rakan Hernandez ternampak kelibat Alvar dirantai di dalam rumahnya di Poza Rica.
Polis berkata, ketika ditemui Alvar berada dalam keadaan tidak terurus dan kini dia diletakkan ditempat yang selamat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_07/Suami-isteri-ditahan-rantai-anak#ixzz3BG5AQDYw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bot karam: 170 pendatang Afrika dikhuatiri lemas


TRIPOLI 24 Ogos - Sebuah bot kayu yang membawa kira-kira 200 pendatang asing Afrika karam di perairan Libya, kelmarin dengan 170 penumpang dilaporkan masih hilang.
Pegawai pengawal pantai Libya, Abdellatif Mohammed Ibrahim berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan 16 penumpang dengan 15 mayat ditemui setakat ini dalam kejadian yang berlaku di kawasan Guarabouli, kira-kira 60 kilometer di timur Tripoli.
Katanya, pihaknya mengalami masalah kekurangan sumber untuk misi menyelamat dengan hanya satu bot pengawal pantai digunakan untuk menyelamatkan mangsa yang identiti kewarganegaraan masih tidak lagi diketahui. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_01/Bot-karam-170-pendatang-Afrika-dikhuatiri-lemas#ixzz3BG3oLu8T
© Utusan Melayu (M) Bhd