Search This Blog

Friday, August 22, 2014

Gambar Ngeri Didakwa Mayat Robin Williams Tersebar

Posted 2014/08/22 by Ana Ghoib in Berita Harian
 


robin

Gossip Artis Hollywood: Ramai terkedu seketika apabila pemenang Oscar yang juga pelawak terkenal Robin Williams, 63, diumumkan meninggal dunia 11 Ogos lalu.
Paling mengejutkan adalah cara kematian Robin yang memilih untuk mengakhiri riwayat hidupnya dengan membunuh diri.
Pelakon Good Will Hunting, Mrs Doubtfire dan Good Morning Vietnam ini didapati menjerut leher sendiri menggunakan tali pinggang ketika ditemui di kediaman mewahnya di Tiburon, California.
Dalam pada keputusan penuh autopsi belum diumumkan, gambar sijil kematian Robin yang dikeluarkan semalam (20 Ogos) telah disebarkan di internet.
Tak hanya gambar sijil tersebut, turut dikongsikan di media-media sosial terutama Twitter adalah gambar mayat mendiang dengan leher mempunyai kesan dijerut tali pinggang yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.robin william
Walau pun gambar ini mungkin tak kisah ditatap oleh sesetengah orang namun ia tentu mengganggu emosi keluarga dan peminatnya yang tidak mahu mengenang Robin dalam keadaan begini. – MYNEWSHUB.MY
Laporan Sinar Harian:
SEBELUM ini, sudah ada desas-desus mengenai cara kematian pelawak terkemuka, mendiang Robin Williams, ini.
Menurut kenyataan Jabatan Sheriff Wilayah Marin, pelakon filem, Good Will Hunting ini ditemui mati pada Isnin lalu dengan cara membunuh diri dalam keadaan tergantung di kediamannya di Tiburon, California Utara.
Dalam penemuan itu, polis mengesahkan terdapat juga kesan luka keratan pada pergelangan tangan kirinya.
Sehingga ke hari ini, peminat masih tertanya-tanya apakah punca yang menyebabkan aktor berkenaan mengambil langkah sedemikian untuk menamatkan hidupnya.
Pun begitu, penyebaran gambar yang dikatakan mendiang amat mengejutkan peminat seluruh negara apatah lagi, ia merakam saat pelakon ini masih tergantung.
Meskipun gambar berkenaan hanya menampakkan sisi belakang, namun ramai yang membuat andaian bahawa itulah aktor kesayangan mereka!
Melihat keadaan individu dalam gambar berkenaan, ianya jelas menunjukkan gambaran yang sama seperti cara kematian mendiang dengan tangannya yang masih terikat dan tergantung di tepi katil.
Namun, sehingga kini belum ada yang tampil mengesahkan gambar berkenaan termasuk polis dan keluarganya.
Masalah kewangan serius
Menurut laporan akhbar antarabangsa, polis mengesahkan Williams ditemui mati di dalam bilik tidur oleh pembantu peribadinya pada jam 11.55 pagi, Isnin selepas ketukan tidak berjawab.
Ketika mayatnya ditemui, isterinya, Williams, Susan Schneider, sudah pun keluar meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja.
Dikhabarkan, pembantu peribadi Williams menemui pelakon veteran itu dalam keadaan berpakaian penuh dengan sebilah pisau poket yang mempunyai kesan darah berhampiran mayatnya.
Ada yang memberitahu, Williams turut meninggalkan sepucuk nota, namun polis tidak dapat mengesahkan atau pun menafikannya.
Walaupun Divisyen Koroner Pejabat Sheriff mengesyaki kematiannya adalah bunuh diri akibat asfiksia, namun ada cerita di sebalik kematian pemenang anugerah Oscar ini.
Sebelum ditemui mati, Williams, 63, dilaporkan pernah memberitahu beberapa rakannya mengenai masalah yang sedang dihadapi.
Menurut sumber dari kalangan kenalannya, Williams mengakui dia sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius.
Malah, beberapa minggu sebelum membunuh diri, dia juga turut menjalani rawatan pemulihan untuk masalah kemurungan.
Menyelak kembali aset dan kekayaan yang dimiliki, Williams dianggarkan berjaya mengumpul lebih RM316 juta.
Namun, sebahagian besar daripada jumlah itu dikatakan habis ekoran kes penceraian yang terpaksa dibayar kepada dua bekas isterinya.
Malah, Williams pernah cuba untuk menjual ladangnya seluas 600 ekar di California. Namun, cubaannya gagal walaupun dia berusaha menurunkan nilai semasa hartanah berkenaan.
Masalah dadah, penceraian
Walaupun keputusan penuh toksikologi masih belum diterima, namun umum tahu aktor ini turut bergelumang dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah yang teruk.
Malah, pada era 80 an, pelawak ini banyak menghabiskan masa dan wangnya untuk mengambil dadah.
Berdepan dengan masalah ketagihan serius, Williams pernah berusaha untuk keluar daripada belenggu itu, namun pendiriannya tidak tetap.
Malah pada 2006, dia kembali mendapatkan bahan terlarang itu dan kemudiannya membuat keputusan untuk menjadi sukarelawan di pusat pemulihan di Minnesota.
Dalam temuramah pada empat tahun lalu, mendiang pernah mengeluarkan kenyataan untuk membunuh diri kerana masalah dadah, namun dia melupakan hasrat itu.
Pernah berada di tahap populariti tinggi, Williams terkenal dengan sikap pemurahnya dan dikenali sebagai selebriti yang tidak angkuh.
Malah, ketika zaman kegemilangannya, Williams tidak pernah lokek dalam mengagihkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Hal ini menjadi tekanan buat dirinya apabila diambang kejatuhan kerana dia tidak dapat lagi membantu golongan berkenaan.
Perkara ini turut diakui oleh rakannya dan menganggap mendiang sebagai selebriti yang tidak sombong dan mesra.
Menurut sumber, pelakon filem, Good Morning Vietnam ini mula diambang kejatuhan selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Valerie Velardi pada 1988.
Kehidupannya semakin bercelaru setelah memilih untuk berpisah dengan isteri keduanya, Marsha Garces pada 2008.
Malah, sebelum ini, Williams pernah berkata, ‘penceraian adalah tersangat mahal’ dan kerana penceraian mampu mengosongkan koceknya.
Setiap penceraian yang dilalui, dia kehilangan jutaan ringgit apabila terpaksa membayar beberapa pampasan dan lain-lain tanggungan.
Banyak tanggungan
Sebelum ini, mungkin ramai yang tidak tahu akan bebanan yang ditanggung bintang terkenal ini apatah lagi, dia bukanlah selebriti yang sering mencanang kehidupan peribadinya.
Turut meninggalkan kemewahan demi tanggungan, Williams memilih untuk berpindah ke kediaman warisan ibunya untuk mengecilkan perbelanjaan.
Ekoran masalah kewangan yang dihadapi, Williams terpaksa mengorbankan popularitinya dengan menerima watak-watak yang kurang digemari dengan bayaran yang lebih rendah.
Selain daripada perbelanjaan harian, bil dan beberapa kos lain, Williams perlu membiayai tiga anaknya, Zachary, 31, Zelda, 25 dan Cody, 22.
Menyelak kembali zaman kegemilangannya, Nama Williams melonjak naik sebagai penghibur Amerika selepas muncul dalam sitkom televisyen, Mork & Mindy.
Mendiang kemudian berlakon dalam beberapa filem termasuk Good Morning Vietnam pada tahun 1987, Dead Poets Society (1989) dan Good Will Hunting (1997).

Polis tidak bayar sewa rumah tinggalkan gari


polis gari

Sepasang gari yang ditinggalkan pada jeriji besi sebuah pangsapuri oleh seorang polis yang culas membayar sewanya di Ampang, mungkin bakal menjadi sebahagian daripada statistik aset polis yang hilang pada tahun ini.
Gari itu ditemui pemilik rumah, Teoh Kheng Hong  di rumahnya di Pandan Indah selepas seorang polis yang menyewa di situ berpindah keluar apabila gagal menjelaskan sewa selama lima bulan.
“Dia selalu mendeposit sewa bulanan ke dalam akaun saya setiap bulan tetapi saya dapati beliau gagal berbuat demikian bermula April lalu.
“Saya kemudian memberinya masa selama tiga bulan untuk keluar.
“Dia bayar saya sekali dalam bulan April dan kemudian menghilang di penghujung Julai selepas memaklumkan saya yang dia ingin berpindah,” kata Teoh kepada wartawan.
Gari itu bukan satu-satunya aset polis yang ditinggalkan di rumah itu yang terbiar dalam keadaan kotor.
Turut ditemui adalah beberapa buku log polis dan sepasang but polis.
Ia mendorong Teoh untuk membuat laporan polis terhadap bekas penyewanya itu kerana khuatir wujudnya unsur jenayah. Malaysiakini

Militan rancang letup kilang arak Shah Alam

 Posted 2014/08/21 by Ana Ghoib in Berita Harian
 


carlsberg malaysia

Suspek militan Malaysia yang setia kepada kumpulan bersenjata Negara Islam membeli bahan membuat bom ekoran cadangan serangan terhadap kilang arak Carlsberg di Shah Alam, kata pegawai kanan antiterorisme.
Rancangan itu, yang menurut pegawai itu dalam peringkat “perbincangan”, pertama di Asia Tenggara, setelah diinspirasikan oleh kebangkitan Negara Islam di Syria dan Iraq, lapor Reuters.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin memberitahu Reuters bahawa kumpulan 19 suspek militan sudah memperoleh serbuk aluminium, yang selalu digunakan untuk pembuatan bom.
“Dalam bentuk ideologi dan niatnya ia sangat jelas,” Ayob Khan dipetik sebagai berkata ketika diwawancara.
Kumpulan itu, lapor Reuters lagi, tujuh daripadanya pernah didakwa bawah undang-undang antikeganasan dan senjata, merancang mengebom kilang bir Denmark itu dan sasaran lain termasuk pub.
Menjawab soalan Reuters, Carlsberg Brewery Malaysia berkata, pihaknya “mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan premis dan menjadikan keselamatan pekerja sebagai keutaman”.
Negara Islam kini menguasai utara Iraq yang menghampiri Baghdad dan menguasai bandar kedua Mosul.
Ia menyemarakkan orang Islam yang radikal di Malaysia dan Indonesia, antaranya ekoran kefahaman bahawa “peperangan terakhir” akan meletus di wilayah Syria. Malaysiakini

Polis Gagalkan Rancangan Bom Disko, Kilang Bir Di Malaysia

Posted 2014/08/20 by Ana Ghoib in Berita Terkini
 


pengganas malaysia militan

KUALA LUMPUR – Polis Malaysia berjaya mematahkan beberapa perancangan kumpulan militan radikal untuk mengebom beberapa tempat di sini yang didorong oleh tindakan pergerakan ekstremis jihad Syria.

Timbalan Ketua Bahagian Antikeganasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner Ayob Khan Mydin, berkata 19 militan yang disyaki itu yang ditahan antara April hingga Jun lalu yang merancang untuk mengebom pub, disko dan kilang pengeluar bir Denmark di sini.

Beliau berkata, anggota kumpulan itu yang semuanya rakyat Malaysia, berhasrat mewujudkan sebuah kawasan pentadbiran khalifah Islam di Asia Tenggara merangkumi Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura, serta bercadang ke Syria untuk belajar dari pergerakan Negara Islam dan Levant (ISIL).
Perancang itu termasuk membabitkan golongan profesional dan dua suri rumah.
Mereka masih di peringkat awal perbincangan mengenai perancangan itu dan tidak mempunyai senjata berat atau pengetahuan untuk membuat bom, katanya.
Tujuh orang sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan menggalakkan keganasan sehingga memiliki raifal buatan sendiri.
“Mereka merancang untuk melancarkan kempen keganasan dan perjuangan bersenjata dan mati syahid,” kata Ayob Khan.
Polis percaya rakan yang bersubahat dengan mereka masih lagi berada bebas di luar.
Sesetengah daripada mereka ditahan di lapangan terbang dalam perjalanan untuk ke Turki dan Syria bagi menjalani latihan dan memperoleh bantuan lain daripada ISIL.
Perancang Malaysia itu berusia antara 20 dan 50 tahun. Sesetengah mereka yang ditahan sudahpun diumumkan oleh pihak berkuasa, tetapi pihak polis masih belum memberi maklumat terperinci mengenai perancangan dan iedologi anggota kumpulan yang disyaki itu.
Ada yang sudah memulakan kempen mengumpul wang termasuk menerusi Facebook, untuk ke Syria atas alasan untuk melakukan kerja kemanusiaan, kata Ayob Khan.
“Ketika polis menyoal siasat, mereka bercakap mengenai ideologi ISIL, termasuk pembunuhan orang tidak bersalah dan juga orang Islam yang tidak menyertai kumpulan itu,” katanya.
Bar dan kilang arak berdekatan Kuala Lumpur adalah antara sasaran mereka kerana pengambilan alkohol dilarang oleh Islam, katanya.
Ayob Khan berkata suspek juga berharap untuk mewujudkan rangkaian dengan sel ISIL global dan serantau.
Katanya, polis percaya sehingga 40 rakyat Malaysia sudah ke Syria bagi menyertai perang sivil di sana.
Menurut laporan media tempatan, seorang pekerja kilang berusia 26 tahun, Ahmad Tarmimi Maliki pernah meletupkan 25 askar elit Iraq dalam serangan pengeboman kereta di sana, Mei lalu. – AFP

Peniaga berdepan 80 pertuduhan gubah wang haram lebih RM1j





22/08/2014 8:38pm

MELAKA - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 80 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai lebih RM1 juta dari tahun 2010 hingga 2012.

Bagaimanapun, Alex Chong Siau Meng, 26, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Amran Jantan.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Sept untuk sebutan semula kes.

Siau Meng didakwa memindah dan menerima wang hasil aktiviti haram antara RM10,000 dan RM200,000 daripada akaun bank OUB, Lim Guat Moey, 48, ke akaun miliknya, yang berjumlah RM1.66 juta.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Batu Berendam serta UOB Bank Malim Business Park dan Plaza Mahkota di sini dari 3 Disember 2010 hingga 10 Julai 2012 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pekerja kedai permainan komputer Low Kim Hsen, 26, berdepan 20 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM195,611.

Dia didakwa menerima wang hasil aktiviti haram antara RM7,311 dan RM10,000 daripada akaun OUB milik Siau Meng dan Guat Moey ke akaun OUB miliknya dari 25 Januari hingga 27 Julai 2011 di UOB Malim di sini.

Bagaimanapun, Low mengaku tidak bersalah dan Hakim Ahmad Sazali Omar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Anslem Charles Fernandis, Chong diwakili peguam C.Surendran manakala peguam Loh Chon Mee mewakili Low. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_38.htm#ixzz3B8A2ld9e
Hakcipta terpelihara 

GEDUNG PAKAIAN KAMDAR TERBAKAR





8/20/2014 10:45:00 AM
KUALA LUMPUR: Gedung pakaian terkemuka Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman terbakar menyebabkan kira-kira 200 orang termasuk 90 pelanggan dikeluarkan dari bangunan tersebut, malam Selasa.

Tiada kecederaan dilaporkan akibat kebakaran yang berlaku pada pukul 7 malam itu yang dipercayai bermula di tingkat satu, bangunan tujuh tingkat itu.

Pembantu jualan, Annurul Izzati Fauzi, 20, berkata dia sedang dalam perjalanan ke tandas apabila terhidu bau asap.

"Perkara seterusnya yang saya tahu, rakan sekerja saya memaklumkan kepada kami untuk membantu memidahkan pelanggan dan kakitangan lain," katanya.

Annurul berkata asap tebal datang dari sebuah bilik penghawa dingin yang berada di tingkat satu pusat beli-belah itu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, seramai 90 anggota bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian berjaya memadamkan kebakaran itu dalam masa dua jam dan asap tebal menyukarkan usaha untuk mengesan kotak suis elektrik.

"Pemeriksaan mendapati kebakaran bermula di tingkat satu dan merebak sehingga ke tingkat empat," katanya.
- See more at: http://www.isuterkini.my/2014/08/gedung-pakaian-kamdar-terbakar.html#sthash.bmKivoOz.dpuf

GADIS TELANJANG BULAT MASIH HIDUP WALAU JATUH DARI TINGKAT TUJUH




8/20/2014 12:17:00 PM
SINGAPURA: Berpantang maut sebelum ajal.. itulah yang boleh dikatakan terhadap nasib seorang gadis yang masih hidup selepas jatuh dari flat tingkat 7, Bukit Panjang, Singapura pagi semalam.

Tanpa diketahui sebab jatuh, gadis berusia 18 tahun itu ditemui dalam keadaan telanjang bulat dan berlumuran darah di bahagian kepala oleh penduduk di koridor pejalan kaki.

Penduduk yang prihatin kemudiannya menutup tubuh gadis tersebut dengan kain sementara menanti ambulan tiba.

Difahamkan, gadis tersebut adalah anggota keluarga Chen dan tinggal di flat berkenaan bersama ibu bapa dan abangnya yang berusia 21 tahun.

Abangnya yang berada di rumah ketika kejadian tidak menyedari apa yang berlaku kerana sedang tidur dan hanya tahu selepas pintu rumah diketuk oleh polis.

Dia mendakwa adiknya tidak mempunyai masalah dengan keluarga.

Sementara itu jiran-jiran menyifatkan gadis tersebut seorang yang cantik dan sering dilihat joging di sekitar kawasan flat tersebut.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Khoo Teck Puat. 

Tahan seorang lelaki, selesai empat kes


Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Polis daerah ini menahan lelaki selepas disyaki terbabit dengan lebih 20 kes samun dan rogol sekitar negeri ini serta Selangor, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, M Chandra berkata, lelaki itu ditahan di sebuah stesen minyak Jalan Tuaran, dekat sini, 7.25 malam tadi.


Turut dirampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk menyamun, sebuah iPad, empat telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dianggarkan bernilai RM95,000.

Sehubungan penahanan lelaki itu, Chandra percaya pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes samun bersenjata pada 15 hingga 19 Ogos lalu di sekitar daerah ini.


Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki itu juga merupakan suspek bagi beberapa kes perbicaraan mahkamah bagi jenayah samun dan rogol di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Warga emas maut dilanggar lari

Motosikal yang ditunggang mangsa terperosok di bahagian bawah kereta Proton Iswara terbabit.
Motosikal yang ditunggang mangsa terperosok di bahagian bawah kereta Proton Iswara terbabit.
JITRA - Seorang lelaki warga emas maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada kejadian jam 10 malam, di Kilometer 12.2 Lebuhraya Utara-Selantan arah Utara, di sini, malam semalam.

Mangsa, Ismail Abdullah, 72, dari Kampung Tok Jalai, Taman Jalai Jaya, dekat sini, yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai digesel sebelum tercampak ke bahagian kiri jalan.

Menurut saksi yang enggan dikenali berkata, difahamkan motosikal mangsa tercampak ke bahagian lorong kiri jalan sebelum diseret kira-kira 100 meter oleh sebuah lagi kereta dari arah sama.

“Ketika kejadian, mangsa difahamkan sudah terjatuh akibat digesel sebuah kereta sebelum motosikalnya diseret sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara.

"Dipercayai kereta yang menggesel mangsa terus melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa disyaki digesel kenderaan lain menyebabkannya terjatuh di tepi lebuh raya.

“Pada masa sama sebuah kereta jenis Proton Iswara yang ketika itu berada di lorong kanan telah melanggar dan mengheret motosikal mangsa yang terperosok di bahagian bawah kereta.

“Siasatan juga mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai langgar lari dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kereta jadi rumah

Siti Hajar Ismail mengemas beg baju miliknya dan dua anaknya yang disimpan di dalam kereta yang digunakan sebagai tempat tidur kerana tidak mampu menyewa rumah, ketika ditemui di Pembela BN Melaka di sini, semalam.
Siti Hajar Ismail mengemas beg baju miliknya dan dua anaknya yang disimpan di dalam kereta yang digunakan sebagai tempat tidur kerana tidak mampu menyewa rumah, ketika ditemui di Pembela BN Melaka di sini, semalam.
AYER KEROH – Seorang ibu tunggal terpaksa berumah di dalam kereta selama dua minggu sehingga kelmarin gara-gara tiada duit untuk menyewa.

Siti Hajar Ismail, 35, terpaksa menjadikan kereta jenis Perodua Kancil miliknya sebagai tempat berehat dan tidur bersama dua anak perempuannya selama seminggu sebelum kedua-duanya ditumpangkan di rumah saudara.

Menurutnya, selepas bercerai secara fasakh bersama bekas suaminya Jun lalu, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan di Taman Merdeka.

Namun, bagaikan jatuh ditimpa tangga, baru-baru ini, Siti Hajar dibuang kerja tanpa alasan munasabah.

“Sejak itu, saya tiada pendapatan sehingga terpaksa menghantar anak-anak menumpang ke rumah saudara selepas seminggu kami tidur di dalam kereta di hadapan rumah kawan di Taman Merdeka.

“Saya pernah meletak anak-anak di rumah kawan, namun kini saya tidak mahu menyusahkan mereka semua sehingga memilih tinggal di dalam kereta,” katanya.

Akibat kesempitan hidup, anaknya, Siti Zubaidah Zubaidi, 8, pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Melana tidak bersekolah sejak dua bulan lalu selain Siti Zulaikha, 6, terpaksa menumpang di rumah saudara-mara.

Siti Hajar berkata, rumah tangganya yang hanya dapat bertahan selama lapan tahun, mula bermasalah pada tahun kedua perkahwinan.

“Saya tidak tahan dipukul, nafkah pun tiada sehingga saya minta fasakh,” dakwanya, yang sebelum ini menyewa di Kampung Parit Melana, Alor Gajah.

Bagaimanapun, dia semakin tertekan apabila bekas suami mengambil dua anaknya di rumah sepupu di Tanjung Minyak, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya menerusi bantuan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) akan menempatkan ibu tunggal terbabit sementara di asrama Balai Islam di Lorong Pandan bermula semalam.

Menurutnya, Maim turut menghulurkan bantuan makanan secara bulanan selain pihak Pembela mendapatkan kediaman menerusi bantuan Lembaga Perumahan negeri.

“Dalam masa terdekat, mereka boleh pindah. Kereta ibu tunggal itu juga sudah tamat cukai jalan,” katanya turut membantu memperbaharui cukai jalan yang tamat tempoh 11 Ogos lalu.

Siti Hajar turut dibantu untuk menjual kuih pau menerusi Program Pendapatan 1Azam Kerja ‘Peluang Perniagaan Pau Rizqi’.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun bank CIMB 01412-0020786-524.

Bincang bawa gaduh


MOHD TAHA YAACOB
22 Ogos 2014

SETIU - Tiga lelaki termasuk dua beradik cedera parah dalam satu pergaduhan bersenjatakan pedang samurai dalam kejadian di Kampung Che Long dekat Hulu Seladang, Bandar Permaisuri, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 pagi selepas pasangan adik beradik berusia 24 dan 26 tahun, dikatakan pergi ke rumah datuk rakan mereka, seorang lelaki berusia 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, mereka pergi untuk berbincang tentang suatu perkara yang berjalan dengan baik pada peringkat awalnya, sebelum bertukar serius hingga membawa kepada pergaduhan.

Difahamkan, dalam pergaduhan itu, ketiga-tiga mereka saling menyerang dipercayai menggunakan senjata tajam iaitu sebilah pedang samurai menyebabkan kesemuanya cedera.

“Dua beradik itu meninggalkan lokasi kejadian dan polis yang menerima maklumat mengenai pergaduhan segera ke tempat kejadian.

“Sejurus kejadian itu, suspek berusia 24 tahun dikatakan pergi ke Hospital Setiu (HS) bagi mendapatkan rawatan tetapi melarikan diri sebaik melihat kehadiran polis. Polis yang menyerbu rumah dua beradik itu di Kampung Che Long, berjaya menemui si abang berusia 26 tahun, manakala si adik yang menyedari kehadiran polis cuba bersembunyi di dalam sebuah gaung bagi mengelak dikesan,” katanya.

Ab Rahman berkata, suspek bagaimanapun berjaya dibawa naik dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat sebelum ditahan, sementara abangnya yang berada dalam keadaan lemah dikejarkan ke HS bagi mendapatkan rawatan.

Polis kemudian turut menahan suspek berusia 23 tahun dan ketiga-tiga suspek dibawa ke HS untuk rawatan, namun dua daripadanya dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut, akibat cedera parah di tangan, belakang dan kepala.

Beliau berkata, suspek berusia 24 tahun pula dirawat Hospital Setiu.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan serangan ini bermotifkan dendam lama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Gara-gara baling pasu bunga


WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Ogos 2014


SEREMBAN – Gara-gara membaling pasu bunga hingga menyebabkan kecederaan parah kepada peniaga, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Tan Cheong Joon, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Salamiah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap Wong Sek Min, 54, dengan bersenjatakan pasu  bunga di sebuah restoran Kampung Baru Site C, Chuah, Port Dickson, dekat sini, pada jam 1.30 pagi, 14 Ogos lalu.

Berikutan itu dia boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Tertuduh yang diwakili peguam Philip Yeow Boon Bee merayu agar dibenarkan jaminan kerana anak guamannya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mempunyai tanggungan isteri dan empat orang anak yang masih sekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September  depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli.

Maut motosikal bertembung lori

Pelajar tingkatan tiga itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah lori dari arah bertentangan di laluan berselekoh berdekatan simpang Felda Jengka 10.
Pelajar tingkatan tiga itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah lori dari arah bertentangan di laluan berselekoh berdekatan simpang Felda Jengka 10.
MARAN - Ketua Kampung Felda Jengka 10 dan empat rakan mangsa sebak ketika membantu mengutip cebisan tempurung kepala mangsa di lokasi kejadian kemalangan maut di Kilometer 41 Jalan Maran-Jerantut, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang pelajar tingkatan tiga, Hamirul Hakim Abdullah dari Felda Jengka 10 meninggal dunia apabila motosikal ditunggang bertembung sebuah lori tiga tan dari arah bertentangan.

Ketua Kampung Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman berkata, dia secara kebetulan pulang dari pekan Sungai Jerik tiba di lokasi kejadian berdekatan simpang masuk ke tanah rancangan itu, beberapa minit selepas kemalangan berlaku.

“Mereka berlima termasuk mangsa difahamkan menunggang motosikal masing-masing dalam perjalanan pulang membeli barang ganti motosikal di Pekan Sungai Jerik.

“Suasana jadi pilu dan saya sendiri tidak mampu menahan sebak ketika membantu mengutip cebisan daging dan tempurung kepala mangsa.

“Rakan mangsa turut membantu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jengka 10, malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dipercayai tidak memakai topi keledar bertembung dengan sebuah lori Isuzu tiga tan membawa anak ayam dari arah bertentangan.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan mendapati pemandu lori berusia 32 tahun dari Ledang, Johor itu positif dadah dan kini di tahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran sebelum diserahkan kepada bahagian narkotik untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pengemis warga asing mewah

Antara warga asing yang ditahan ketika meminta sedekah sambil membawa anak kecil dalam
operasi yang dijalankan JKM Johor Bahru
Antara warga asing yang ditahan ketika meminta sedekah sambil membawa anak kecil dalam operasi yang dijalankan JKM Johor Bahru
JOHOR BAHRU – Hanya bermodalkan wajah simpati, warga asing yang datang ke negara ini mengambil kesempatan di atas kebaikan dan keprihatinan rakyat tempatan untuk mengemis sehingga mencecah pendapatan RM500 sehari.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, pihaknya pernah menahan seorang wanita Pakistan berusia 45 tahun yang ditemui meminta sedekah berhampiran sebuah kompleks membeli-belah.

““Hasil pemeriksaan ke atas seorang wanita Pakistan yang ditemui berkeliaran berhampiran Plaza Angsana mendapati dia berjaya mengumpul RM500 dalam masa sehari.

"Adakalanya mereka tidak duduk mengemis di tepi jalan tetapi cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjual tisu dari kereta ke kereta yang ada di persimpangan jalan,” katanya.

Mahayi berkata, terdapat warga asing yang tidak serik dan masih mengulangi kegiatan mereka walaupun beberapa kali ditahan oleh penguatkuasa JKM kerana hasil lumayan yang berjaya diperolehi.

“Ketika ditahan ada yang cuba beri alasan mereka baru sampai di kawasan itu dan tidak pernah mengemis sedangkan pernah ditahan beberapa kali.

“Selain itu, ada juga yang sanggup membawa anak kecil untuk meraih simpati orang ramai dan memungut hasil lumayan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan mengemis di sekitar bandaraya ini.

"Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 33/2 Akta Orang Papa 1977," katanya.

15 peratus pelajar ketagih ketum

Abdul Rahman (tengah) mencampakkan barang kes narkotik ke dalam lubang untuk ditimbus
Abdul Rahman (tengah) mencampakkan barang kes narkotik ke dalam lubang untuk ditimbus
KANGAR - Kira-kira 15 peratus pelajar sekolah menengah di daerah Kangar terlibat dengan gejala minum air daun ketum yang dicampurkan dengan ubat batuk.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, penglibatan pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun dengan ketagihan air ketum sangat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan disiplin pelajar itu sendiri.

Katanya, perkara ini harus dipandang serius oleh ibu bapa supaya ia tidak terus merebak dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pada Ogos tahun lalu, seorang pelajar ditangkap oleh guru kerana minum air daun ketum dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

“Ibu bapa tidak boleh biarkan anak mereka terjerumus dengan aktiviti minum air ketum kerana akibatnya perlu ditanggung untuk jangka masa panjang malah ia boleh merosakkan institusi keluarga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemusnahan/Pelupusan Barang Kes Narkotik di pekarangan berek polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, polis juga meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat tentang penjualan air ketum di kampung masing-masing.

Menurutnya, dengan cara itu ia dapat mengekang penjualan air ketum kepada orang ramai terutamanya pelajar.

Terdahulu, sebanyak 456,952 gram pelbagai jenis dadah rampasan dimusnahkan semasa majlis pelupusan terbabit dengan nilai dianggarkan RM1,189,941.

“Selain itu, sebanyak 156,536 gram daun ketum serta 416 liter air ketum turut dimusnahkan dengan harga semasa RM33,893.

“Jumlah itu adalah daripada kes narkotik dari 2002 hingga 2012 yang melibatkan sebanyak 423 kertas siasatan dibuka mengikut pelbagai seksyen dan pertuduhan hasil rampasan serta tangkapan,” katanya.

Katanya, barang kes yang dimusnahkan adalah melibatkan sebahagian kes-kes yang selesai melalui proses perundangan di mahkamah.

10 gerai makan musnah terbakar

Peti ais milik peniaga antara barang yang rosak teruk dalam kebakaran ini.
Peti ais milik peniaga antara barang yang rosak teruk dalam kebakaran ini.
TELOK KEMANG – Sebanyak 10 daripada 12 buah gerai di Dataran Sri Kemang, Pantai Telok Kemang terbakar dalam kejadian awal pagi, semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi itu mengakibatkan gerai makan di kawasan pantai peranginan negara, Pantai Telok Kemang musnah sekelip mata.

Seorang mangsa, Husin Aton, 52, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh rakannya mengenai kejadian itu.

Menurutnya, kebiasaannya dia akan bermalam di gerai untuk berkawal, namun hari ini (semalam) disebabkan ada urusan dia masih berada di luar.

“Sebenarnya tadi (semalam) saya dah balik ke gerai dan masa nak tidur saya tersedar turut bawa kunci kereta sedangkan saya datang naiki motosikal sahaja. Jadi saya balik semula ke kedai di jalan pantai yang diusahakan isteri untuk memulangkan kunci berkenaan.

“Tidak lama selepas itulah, ada beberapa rakan datang memaklumkan kedai saya terbakar,” katanya yang mengalami kerugian hampir ratusan ribu ringgit.

Katanya, antara barang yang terbakar adalah sembilan peti ais dan beberapa tong gas memasak, peralatan memasak, dua motosikal iaitu jenis Scooter SYM dan Modenas Kriss.

Tragedi paling buruk

Seorang lagi peniaga, Fatimawati Mat Yusof, 56, berkata, ini adalah  kejadian pertama dan tragedi paling buruk berlaku sejak gerai berkenaan dibuka.

Menurutnya, sebelum ini, dia pernah terfikir bagaimana jika gerai ini terbakar satu hari nanti dan tidak sangka ia benar-benar berlaku.

“Memang semua barang dalam gerai hangus, tidak ada satu pun yang berjaya diselamatkan,” katanya.

Shahrizal Kamarulzaman, 29, pula berkata, dia melihat bagaimana api yang marak membakar gerainya.

“Tidak boleh buat apa ketika itu, sebab api memang besar selain berdoa agar kejadian ini segera berakhir.

“Luluh juga hati melihat tempat kita berniaga mencari makan setiap hari musnah dijilat api,” katanya.

Bomba berjaya kawal kebakaran

Dalam pada itu, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd Izwan Md Said berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 pagi dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

“Ketika itu, api sedang marak dan struktur gerai yang dibina dengan papan menyebabkan api merebak begitu cepat ditambah dengan faktor angin yang sederhana kuat.

“Bagaimanapun, melalui kaedah 'offensive', kami berjaya mengawal api daripada terus merebak ke deretan bangunan kedai lain. Api juga dapat dikawal daripada memusnahkan keseluruhan struktur bangunan termasuk barang-barang yang ada di dalam gerai,” katanya.

Mohd Izwan berkata, pihaknya juga menggunakan kaedah 'offensive' untuk mengawal api bagi mengelakkan lebih 30 tong gas memasak milik peniaga meletup.
“80 peratus gerai terbakar, sementara punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Katanya, seramai 20 anggota bomba dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson terlibat dalam operasi menyelamat ini.

Peniaga ditempatkan di premis sementara

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, kesemua 10 peniaga yang terlibat dalam insiden kebakaran ini akan  secepat mungkin ditempatkan ke lokasi perniagaan sementara.

“MPPD mempunyai premis perniagaan yang kosong di Pantai Telok Kemang dan mereka akan ditempatkan di situ untuk sementara waktu.

“Premis gerai itu akan segera dibersihkan dan dibaik pulih termasuk bekalan air serta elektrik bagi membolehkan peniaga memulakan perniagaan mereka dengan segera," katanya.

Gerai yang terbakar adalah milik MPPD dan disewa oleh mangsa kebakaran. Gerai berkenaan terletak di Pantai Telok Kemang bersebelahan Dataran Sri Kemang.

Warga emas diseret lori muatan tanah

Orang ramai bantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tayar belakang lori dalam kemalangan itu yang berlaku pagi semalam.
Orang ramai bantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tayar belakang lori dalam kemalangan itu yang berlaku pagi semalam.
TEMERLOH – Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan ngeri di gilis sebuah lori membawa muatan tanah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori dan motosikal di Kilometer 1, Jalan Karak-Mentakab di sini pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi apabila motosikal ditunggang warga emas dikenali K.Narayanan , 63, dari arah bandar Mentakab terperosok ke bawah lori yang keluar ke jalan besar secara tiba-tiba. Mangsa diseret beberapa meter.

Orang ramai yang berada berhampiran tempat kejadian bertindak di luar kawalan apabila cuba memecahkan cermin lori terbabit sebelum dileraikan beberapa orang awam yang lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Superintendan Zundin Mahmood mengesahkan kejadian dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pemandu lori terbabit ditahan untuk ujian air kencing dan ujian darah dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Kereta dalam garaj tiba-tiba terbakar

Api sedang marak membakar kereta Honda Civic yang diletakkan di garaj.
Api sedang marak membakar kereta Honda Civic yang diletakkan di garaj.
TAIPING - Sebuah kereta jenis Honda musnah 100 peratus selepas terlibat dalam satu kebakaran di Taman Sri Larut, Simpang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, kenderaan yang diletakkan di garaj kereta di sebuah rumah dipercayai tiba-tiba terbakar.

Menurutnya, akibat kebakaran itu api turut merebak ke bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 1.03 pagi dan segera menghantar anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian,” katanya.

Hasna berkata, selain kenderaan ruang tamu di rumah berkenaan juga terbakar 20 peratus.

“Bagaimanapun, penghuni rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Penculik tuntut AS$132 juta tebusan untuk pembebasan Foley


WASHINGTON: Penculik James Foley daripada pergerakan jihad menuntut wang tebusan 100 juta euro (RM422 juta) bagi pembebasannya, kata majikannya, GlobalPost berikutan video ngeri yang menunjukkan kepalanya dipenggal.

Ketua Eksekutif GlobalPost, Philip Balboni mengesahkan bahawa tuntutan awal daripada penculik Jim Foley adalah 100 juta euro.
Foley membuat laporan untuk GlobalPost dari Syria dan diculik pada November 2012 dan Balboni turut terbabit dalam usaha untuk mengesan wartawan foto itu.
Balboni berkata penculik terbabit melakukan perhubungan dengan GlobalPost dan keluarga Foley kurang daripada 12 kali dan penculik terbabit tidak pernah berunding mengenai jumlah wang tebusan yang besar itu dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Selasa lalu ia mengeluarkan video yang menunjukkan salah seorang anggotanya memenggal kepala Foley. - AFP

Demam berdarah ragut 13 nyawa di Congo

JUMAAT, 22 OGOS 2014 @ 8:23 AM

 
KINSHASA: Demam berdarah yang tidak diketahui puncanya sudah menyebabkan kematian 13 orang di barat laut Republik Demokratik Congo, menurut seorang pegawai Kementerian Kesihatan.

"Semua 13 orang yang maut itu mengalami demam, cirit-birit, muntah dan pada peringkat serius, muntah hitam," kata Dr Felix Kabange Numbi.

Sehingga kini, kira-kira 80 orang yang pernah bersua dengan mangsa sudah dimasukkan ke hospital. - AFP

SEORANG pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) hampir terputus tangan kiri akibat ditetak



SEORANG pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) hampir terputus tangan kiri akibat ditetak dengan parang setelah beliau memotong bekalan elektrik di sebuah rumah di Jalan PJS 7/23 Bandar Sunway, di Kuala Lumpur semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, Muhamad Axdni Isa, 42, bersama dua lagi rakan sekerjanya dilapor melakukan kerja pemotongan elektrik di depan sebuah rumah teres sebelum dua orang lelaki yang berada dalam rumah tersebut tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt Tan Ah Chua berkata mangsa dan rakan-rakannya telah dimaki hamun lelaki itu ketika cuba menerangkan kepada suspek bahawa mereka membuat penyambungan elektrik secara haram.

“Disebabkan bengang, suspek kemudian keluar dari rumah dengan dua bilah parang dan menetak tangan kiri mangsa beberapa kali manakala rakannya yang lain terselamat,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam. Tan berkata, mangsa dihantar rakannya ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Pantai Bangsar di Kuala Lumpur untuk pembedahan.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua suspek berusia 33 dan 45 tahun itu untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. –

Dua maut ketika ke tempat kerja


  • Mayat Muhamad Fareez ditutup dengan surat khabar selepas maut di KM 27 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur berhampiran Ladang Tuan Mee, Ijok.Mayat Muhamad Fareez ditutup dengan surat khabar selepas maut di KM 27 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur berhampiran Ladang Tuan Mee, Ijok.

KUALA SELANGOR - Hasrat dua orang penduduk tempatan yang mahu ke tempat kerja tidak kesampaian apabila masing-masing maut dalam kejadian kemalangan berasingan di daerah ini dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Kejadian pertama, mangsa, Muhamad Fareez Jaafor, 24, yang juga penunggang motosikal dipercayai bekerja sebagai ‘despatch’ dirempuh sebuah kereta jenis Proton Inspira di KM 27 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur berhampiran Ladang Tuan Mee, Ijok.

Dalam insiden kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai dalam perjalanan dari Ijok menghala ke Sungai Buloh untuk ke tempat kerja bagaimanapun dirempuh kereta terbabit yang datang dari arah bertentangan.

Sumber berkata, mangsa kemudian jatuh ke kiri jalan sebelum dilanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Saga BLM yang datang dari arah belakang menyebabkan mangsa diseret sejauh 50 meter dari tempat kejadian.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

“Kedua-dua pemandu kereta terbabit difahamkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Pasukan penyiasatan trafik yang diketuai Inspektor Mohd Elmi Othman bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan orang awam.

Manakala kejadian kedua membabitkan pemandu sebuah kereta jenis Perodua Kelisa dan dua lori di KM25.5 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Sungai Janggut, Jeram di sini kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Mangsa yang juga seorang eksekutif sebuah pasaraya, Pua Ley Kien, 33, memandu bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menuju ke Klang untuk ke tempat kerja.

Mangsa yang berasal dari Sekinchan, Sabak Bernam itu dipercayai tidak sempat mengelak sebuah treler yang membawa muatan kosong yang secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.

Akibatnya, kereta yang dipandu mangsa berlanggar secara berdepan sebelum terbabas ke bahu jalan dan mengalami kecederaan teruk di semua bahagian anggota badan.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku sebuah lori lima tan dipercayai bergesel dengan treler terbabit menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kedua-dua pemandu lori dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kedua kejadian kemalangan dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana penduduk atau pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Suami isteri parah akibat melecur


  • Keadaan rumah mangsa selepas kebakaran tersebut.Keadaan rumah mangsa selepas kebakaran tersebut.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri nyaris maut dalam satu kebakaran di kediaman mereka Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh, di sini, awal pagi, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.53 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Emran Othman, 67, manakala isterinya, Julia Badri, 66, parah akibat melecur di badan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak keempat mangsa, Edy Junaidy, 31, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian selepas dimaklumkan oleh kakaknya.

Menurutnya, dia terkejut mendapat tahu insiden berkenaan sebelum bergegas ke HKL dari Kuala Pilah untuk melihat keadaan ibu bapa mereka.

“Kakak saya telefon kira-kira jam 5.10 pagi beritahu emak dan ayah akan dimasukkan ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan, Che Ku Mohd Azlizam Che Ku Daud berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan kira-kira jam 3.53 pagi.

Beliau berkata,  api dipercayai bermula dari bilik stor. Kejadian disedari oleh jiran sebelah rumah mangsa.

“Namun, jiran hanya sempat  menyelamatkan seorang mangsa (isteri). Bagaimanapun, dengan tindakan pantas anggota, kita turut berjaya menyelamatkan suaminya.

“Dipercayai ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang tidur. Akibat kejadian itu, mangsa (suami) mengalami kecederaan lebih 90 peratus di badan,  isterinya 23 peratus,” katanya.

Katanya lagi, punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Dua pelajar maut, kemalangan berasingan


21 Ogos 2014

KUANTAN - Dua pelajar terbunuh selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam dua kemalangan berasingan di Maran dan Rompin, semalam.
 
Pelajar berkenaan ialah Hamirul Hakim Abdullah, 15, dari Felda Jengka 10 Bandar Jengka, Maran dan Mohd Alif Aiman Mohd, pelajar Tingkatan 1 dari Felda Selancar, Rompin.
 
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian pertama pada 5.21 petang di Kilometer 41 Jalan Maran-Jerantut, dekat Maran, Hamirul Hakim yang menungang sendirian telah bertembung dengan sebuah lori membawa muatan anak ayam.
 
Katanya, mangsa dipercayai telah berlanggar secara bertentangan dengan lori tiga tan di satu selekoh yang datang dari arah Jerantut.
 
"Bagaimanapun, pemandu lori terbabit, Abdul Jabar bin Abdul Aziz, 32, dari Ledang, Johor Bahru tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak memakai topi keledar semasa kejadian dan hasil saringan air kencing ke atas pemandu lori terbabit turut mendapati dia positif ganja.
 
Pemandu lori kini ditahan untuk siasatan lanjut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, katanya.
 
Sementara itu, dalam kejadian pada 5.49 petang di Jalan Utama Felda Selancar 5, di Cenderawasih dekat Rompin, Mohd Alif Aiman Mohd Jaki, 13, maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar bahagian belakang sebuah jentolak di hadapanya.
 
Mohd ALif yang menunggang bersama rakannya Mohd Yusry Kamarudin, 13, dari rumah mereka di Felda Selancar sedang menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Selancar, Rompin.
 
Mangsa dipercayai menunggang secara melulu sambil bersembang dan telah terlanggar belakang jentolak tersebut yang sedang bergerak, kata Mohd Noor.

Beliau berkatam, akibat pelanggaran itu, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan mati selepas dua jam menerima rawatan di Klinik Perwira Jaya, Cenderawasih manakala rakan mangsa hanya cedera ringan.
 
Pemandu jentolak, N. Ananthan, 21, itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
 
Kedua-dua pelajar itu tidak memakai topi keledar semasa kejadian dan tiada lesen memandu yang sah, katanya.
 
Menurutnya kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - Bernama

2 ditahan disyaki gubah wang haram


21 Ogos 2014


MELAKA - Dua lelaki termasuk seorang pegawai bank hari ini ditahan selepas disyaki terlibat melakukan penggubahan wang haram membabitkan nilai RM19.2 juta.
 
Kedua-dua-dua lelaki terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kira-kira 3 petang tadi ketika hadir untuk memberi keterangan mengenai kes itu di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini.
 
Kedua-dua lelaki berusia 26 itu dipercayai merupakan rakan subahat suspek utama yang merupakan seorang pengurus unit di sebuah bank berusia 29 tahun yang kini dalam buruan polis.
 
Ketua Penolong Pengarah bahagian itu Datuk Ahmad Marzuki Mohd Saad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
 
"Mereka akan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh esok mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang guru wanita daripada keluarga berada yang membuat simpanan tetap di sebuah bank di Melaka, kerugian RM19.2 juta setelah dipercayai ditipu sindiket yang didalangi seorang pengurus bank.
 
Wanita berusia 48 tahun itu membuat simpanan antaranya dalam bentuk cek, bank draf dan tunai melibatkan 81 transaksi sejak 2010 selepas suspek dipercayai menawarkan kadar bunga yang tinggi untuk simpanan tetap.
 
Hasil siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai membuat satu akaun lain menggunakan nama wanita itu untuk memindahkan wang berjumlah RM19.2 juta melalui Internet ke tiga akaun lain milik tiga lelaki. - Bernama

‘Ubat gugur’ mamah rahim


Kuala Terengganu: Pecah rahim, sakit pinggul serta pendarahan teruk pada kemaluan antara risiko ditanggung individu yang sanggup membeli ubat terlarang untuk menggugurkan kandungan di sebuah premis di Bandar Permaisuri, Setiu yang beroperasi sejak setahun lalu.
Premis yang berselindung di sebalik jualan pakaian dan aksesori itu sebelum ini menjadi buruan golongan tertentu untuk menggugurkan kandungan secara haram bagi menutup keaiban diri. 
Bagaimanapun, kelicikan tauke wanita terbabit untuk mengaut keuntungan mudah dengan menjual ‘ubat gugur’ itu tidak bertahan lama selepas anggota Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berjaya menghidu penjualan bahan terlarang itu Ahad lalu. 

Pengarah JKNT Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, hasil risikan pihaknya berjaya menahan wanita berkenaan dan merampas baki ‘ubat gugur’ bernilai kira-kira RM1,000.
Foto
PENGUAT kuasa JKNT menyerbu premis menjual ubat terlarang.

“Berdasarkan bukti pembelian dijumpai, aktiviti wanita ini didapati beroperasi sejak setahun lalu dan berjaya memperoleh keuntungan berlipat ganda daripada jualan ‘ubat gugur’.

“Wanita berkenaan mendapat ‘ubat gugur’ daripada pembekal dengan harga sekitar RM8 hingga RM10 sebiji dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga sekitar RM50 sebiji. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Rungkai sakit kemaluan



Kuala Lumpur: Kesakitan pada kemaluan seorang kanak- kanak berusia tujuh tahun terungkai selepas pemeriksaan doktor mengesahkan dia menjadi mangsa rogol di ibu kota, kelmarin.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan kebiasaannya dihantar ke rumah pengasuh selepas pulang dari sekolah ketika ibu bapanya bekerja.


Sumber polis berkata, kira-kira jam 10 malam kelmarin, mangsa mengadu sakit ketika membuang air kepada ibunya.

“Ibu kanak-kanak itu pada mulanya tidak menyangka buruk, namun selepas mangsa beberapa kali mengadu sakit, dia dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan,” katanya.


Menurutnya, selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan kemaluan mangsa bengkak selain ada pendarahan.


“Mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol dan ibu bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Kanak-kanak lemas jatuh dalam kolam


Kuala Lumpur: Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun untuk pergi mandi-manda bersama rakan di kolam renang di sebuah kondominium berdekatan Taman Melati, Setapak, di sini berakhir tragedi apabila dia lemas, petang kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 5.40 petang itu, mangsa, Fatehah Abdul Rahim dipercayai terjatuh ke dalam kolam renang dewasa sebelum lemas.
Keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, rakan mangsa yang terlihat kejadian itu segera meminta pertolongan penduduk kondominium yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Beberapa penghuni cuba membantu mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan namun gagal.
“Mangsa tinggal di kawasan lain namun anak bongsu daripada lima beradik itu ke kondominium itu untuk berjumpa dan mandi di kolam renang terbabit bersama beberapa orang rakannya yang menetap di kondominium terbabit,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Nor Azman Muhamad Yusuf berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Foto
KELUARGA mangsa mengiringi jenazah untuk dikebumikan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22