Search This Blog

Tuesday, August 19, 2014

2 maut, 4 parah kereta perisai ATM terbalik di Sandakan

SELASA, 19 OGOS 2014 @ 2:42 PM

DUA anggota tentera maut manakala empat lagi parah selepas sebuah kereta perisai milik ATM terbalik di Jalan Sungai Tiram, Batu 19, dekat sini, pagi tadi.
 
SANDAKAN: Dua anggota tentera maut manakala empat lagi parah selepas sebuah kereta perisai Adnan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbalik di Jalan Sungai Tiram, Batu 19, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat yang parah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini, untuk rawatan lanjut.

Dua anggota tentera yang maut ialah Mohd Hanif Patahur Rahim, 31, dan Ahmad Fikri Mansor, 23.

Mereka yang cedera ialah pemandu kereta perisai, Mohd Faizal Ahmad, 29; Mohd Amaruddin Che Soh, 29; Mohamad Haffez Khairudin, 24; dan Ifaiznor Ismail, 29.

Mereka bersama anggota yang cedera adalah dari Kem Batu 10 di Kuantan, Pahang yang bertugas di sini mengikut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mulai 15 Jun lalu hingga 15 September ini.

Difahamkan, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Sri Kinabatangan bersama sebuah lagi kereta perisai selepas menjalankan rondaan keselamatan di sebuah resort di sini.

Jenazah kedua-dua mangsa, Mohd Hanif yang berasal dari Johor dan Ahmad Fikri dari Kelantan, akan dihantar pulang ke kampung halaman mereka, esok.

3 askar maut, 1 parah dalam nahas di Kuantan

SELASA, 19 OGOS 2014 @ 9:04 AM
KEADAAN kenderaan dinaiki empat anggota tentera rosak teruk selepas terbabit kemalangan di Jalan Tanah Putih, Batu 3, Kuantan, tengah malam tadi.
 
KUANTAN: Tiga anggota tentera maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan di Jalan Tanah Putih, Batu 3 di sini tengah malam tadi.

Menurut Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali, mangsa yang terbunuh ialah Mohd Fahmi Jap, 25, Mohd Ilias Abu Seman, 23, dan Mohd Faizal Zainol, 26.

Rakan mereka yang cedera parah pula ialah Shamzuri Awang, 23, yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Beliau berkata, semua mereka adalah anggota tentera daripada Rejimen Pertama Kor Amor Diraja (1 KAD) dari Kem Batu 10 di sini.

"Kemalangan berlaku kira-kira 11.55 malam tadi, mereka dalam perjalanan ke arah Gambang dari Kuantan.

"Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian kereta jenis Honda yang dipandu Mohd Fahmi terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok lalu termasuk ke dalam longkang di situ," katanya kepada dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Noor berkata, akibat kejadian itu tiga mangsa mati di tempat kejadian dan seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat semua mangsa kemudian dihantar ke HTAA untuk bedah siasat.

"Semasa kejadian hujan lebat," katanya.

- BERNAMA

Anak lelaki Jackie Chan ditahan polis kerana memiliki dadah

Pelakon Hong Kong, Jaycee Chan, anak lelaki selebriti Jackie Chan.
 
BEIJING: Anak lelaki pelakon selebriti Hong Kong, Jackie Chan, Jaycee Chan ditahan di sini atas tuduhan berkaitan dadah.

Polis berkata Jaycee, 32, ditahan Khamis lalu bersama bintang filem Taiwan, Kai Ko.

Kedua-dua pelakon terbabit didapati positif dalam ujian marijuana dan mengakui menggunakan dadah itu di mana 100 gram diperoleh daripada rumah Jaycee.

Beberapa selebriti ditahan atas tuduhan dadah berikutan deklarasi Presiden Xi Jinping Jun lalu bahawa dadah sepatutnya dibasmi dan pesalahnya dikenakan tindakan keras.

Di Beijing sahaja, lebih 7,800 orang ditahan dalam tindakan yang dilancarkan, kata polis. - AP

Buaya bernama 'Michael Jackson' ditembak mati selepas membaham nelayan

SELASA, 19 OGOS 2014 @ 11:47 AM

 
SYDNEY: Buaya putih yang dinamakan 'Michael Jackson' ditembak mati hari ini selepas ia membaham seorang nelayan.

Pihak berkuasa dipanggil sebaik sahaja lelaki berusia 57 tahun hilang selepas dia memasuki ke dalam air di Sungai Adelaide yang mempunyai buaya bagi menanggalkan tali pancing.

Polis berkata isteri mangsa berada bersamanya di tebing sungai itu tetapi tidak nampak saat ketika buaya berukuran 4.5 meter itu melakukan serangan.

"Isterinya tidak nampak serangan buaya itu tetapi terdengar jeritan dan kemudian baru terlihat ekor yang membadai di dalam air," kata Superintendan Polis Wilayah Utara Jo Foley.

Polis kemudian menjumpai mayat lelaki itu dari sungai berkenaan.

Tempat di mana mangsa berkenaan dibawa, kira-kira 60 kilometer dari Darwin, adalah berdekatan kawasan popular di mana pelancong datang untuk melihat buaya melompat daripada air untuk mengambil makanan yang digantung pada tiang. - AFP

Polis rampas dadah bernilai RM3.8 juta di Ulu Tiram

SELASA, 19 OGOS 2014 @ 1:43 PM

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (tengah) melihat peralatan yang digunakan untuk memproses dadah termasuk bahan kimia serta pil ecstasy yang dirampas dalam operasi di sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor Bahru pada sidang media di Ibu Perjabat Kontijen Polis Johor, hari ini
 
JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki dan merampas dadah bernilai RM3.8 juta di sebuah rumah di Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, di sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 42 tahun itu ditahan pada 7.20 malam selepas polis bertindak daripada maklumat awam dan risikan.

"Polis menemui pil ecstacy seberat 2.2kg, serbuk ekstasi (21kg) dan kafein (22kg) di dalam rumah sewa yang dijadikan makmal memproses dadah itu.

Ini adalah kejayaan pertama polis kontinjen Johor tahun ini dalam pembongkaran makmal dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis turut merampas sejumlah bahan kimia dan peralatan memproses dadah termasuk mesin yang mampu memproses 7,000 pil ecstacy dalam tempoh sejam.

Beliau berkata siasatan mempercayai pil berkenaan disasarkan kepada pengunjung pusat hiburan tempatan dan mampu digunakan seramai 40,000 orang.

Mohd Mokhtar berkata maklumat awal mendedahkan aktiviti pengedaran terbabit dilakukan sejak empat bulan lalu dan polis juga sudah mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dengan kegiatan itu.

"Lelaki yang ditahan itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing mendapati dia terlibat dalam penyalahgunaan dadah," katanya.

Menurutnya suspek direman sehingga 24 Ogos ini untuk siasatan.

- BERNAMA

21 maut dalam nahas kereta api di timur India

SELASA, 19 OGOS 2014 @ 3:06 PM

 
PATNA, India: Sebuah kereta api penumpang terlanggar sebuah beca bermotor, mengorbankan 21 orang di persimpangan jalan kereta api di Bihar petang semalam.

Semua penumpang dan pemandu beca terbabit maut dalam kemalangan itu yang berlaku berhampiran Semra, sebuah bandar di Bihar.

Superintendan Polis Vinod Kumar berkata pintu pagar ke landasan kereta api terbuka menyebabkan beca terbabit menyeberanginya dan dilanggar kereta api itu, dan mengeheretnya sejauh kira-kira 500 meter.

Antara yang maut termasuk tujuh kanak-kanak dan enam wnaita. Mereka dalam perjalanan ke kuil di bandar berhampiran, Motihari.

Kira-kira 19 mangsa maut serta-merta, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital, kata pegawai kereta api, Arvind Rajak.

Semra terletak kira-kira 240 kilometer di utara ibu negeri, Patna.

Kemalangan kereta api sering berlaku di India, yang mempunyai rangkaian terbesar dunia. Lebih 23 juta penumpang menggunakan 11,000 kereta api penumpang setiap tahun.

Kebanyakan kemalangan berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan dan kesilapan manusia.

Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh apabila sebuah kereta api ekspres terlanggar sebuah kereta api barang di Uttar Pradesh Mei lalu. - AP

Penyamun gigit lengan polis


MASTURAH SURADI
19 Ogos 2014


KOTA TINGGI - Seorang lelaki tidak sempat berjoli apabila dicekup empat jam kemudian selepas menyamun beg tangan seorang wanita dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi tadi.

Suspek ditahan di sebuah kedai 24 jam di bandar Kota Tinggi apabila anggota polis berjaya mengekorinya selepas mengesan lokasi suspek melalui signal telefon bimbit milik mangsa.

Difahamkan suspek turut bergelut dengan anggota polis dan mencederakan pegawai polis dengan menggigit lengan serta cuba merampas pistol bagaimanapun suspek berjaya ditumpaskan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Low Hang Seng ketika dihubungi mengesahkan seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan manakala kes tersebut diserahkan kepada IPD Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

Lelaki didakwa tipu urusan jual Mercedes


19 Ogos 2014

JOHOR BAHRU - Seorang pengusaha restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap empat pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan penjualan kereta Mercedes tujuh tahun lepas.
   
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Amin Hew, 56, didakwa menipu dan memperdaya Tan Sook Fuen dengan mendorong Tan mempercayai Mohd Amin boleh mendapatkan kereta Mercedes jenis E240 tahun 2003 yang dilelong oleh kastam dengan harga murah.
   
Sook Fuen, 52, kemudiannya menyerahkan wang tunai RM15,000 kepada tertuduh di No 9, Jalan Puchong 4, Taman Perling, Johor Baharu, pada 8 malam 16 Jan 2007.
   
Bagi tuduhan kedua, Mohd Amin didakwa melakukan perbuatan sama terhadap wanita itu sehingga mendorong Tan mendepositkan RM25,000 ke akaun Ambank milik tertuduh, pada 9.45 pagi 18 Jan 2007 di Ambank (M) Bhd cawangan Skudai, Johor Bahru.
   
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh melakukan kesalahan sama sehingga mendorong Tan mendepositkan RM13,500 dan RM35,000 ke akaun Ambank tertuduh di cawangan bank sama antara 9.12 pagi hingga 9.30 pagi pada 22 Jan 2007.
 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
   
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin.
   
Mahkamah menetapkan 3 September untuk sebutan semula kes.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Asram Zakaria. - Bernama

Dua lagi mayat dihempap runtuhan konkrit ditemui


  • Foto Ihsan Twitter Jabatan Bomba & PenyelamatFoto Ihsan Twitter Jabatan Bomba & Penyelamat

PETALING JAYA - Mayat dua lagi pekerja warga Bangladesh yang terperangkap dalam runtuhan konkrit landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara di sini, ditemui tengah hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mayat Mohamad Faruk Khan dan Mohammad Alauddin Mollik ditemui pihaknya pada 1.35 tengah hari ini.

"Kedua-dua mayat itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mayat seorang lagi pekerja Bangladesh, Mohammad Elahi Hossain ditemui pasukan mencari pada 2.30 pagi tadi dan telah dibawa ke hospital sama.

Tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh itu maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Kota Damansara pada 8.30 malam tadi.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan di laman Twitternya meluahkan rasa terkejut dengan insiden itu dan mahu siasatan penuh dijalankan segera. - Bernama

Kebakaran: Warga emas OKU maut rentung


19 Ogos 2014


SANDAKAN - Seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) warga emas mati rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Lintas Utara-Cecily dekat sini awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata mangsa yang berusia 71 tahun dikenali sebagai Voon Hoo Hee, terperangkap di ruang tamu di tingkat bawah rumah kayu dua tingkat itu.

Katanya panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 6.41 pagi dan pihaknya menghantar sebelas anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian.

Menurutnya kebakaran dapat dikawal pada pukul 8.16 pagi dan menemui mayat mangsa yang rentung di sebelah kerusi rodanya.

Beliau berkata ketika kejadian terdapat seorang cucu lelakinya berusia 25 tahun berada di tingkat atas rumah itu tetapi gagal menyelamatkan mangsa.

Haikal Jammy Ngali berkata siasatan awal bomba mendapati api bermula di tingkat bawah rumah tersebut, bagaimanapun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama

Tujuh ahli KWSP tipu pengeluaran


19 Ogos 2014


KUALA LUMPUR - Tujuh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menipu pengeluaran perumahan dalam suku kedua tahun ini.
   
KWSP berkata ketujuh-tujuh ahli berkenaan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan dikenakan denda berjumlah RM8,700 oleh mahkamah.
   
Ketua Hal Ehwal Korporat KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata tabung simpanan persaraan itu menganggap serius tuntutan palsu oleh ahli dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang tidak jujur.
   
"KWSP juga tidak menafikan terdapat penglibatan pihak ketiga atau sindiket membantu ahli yang terdesak mengeluarkan simpanan KWSP mereka secara tidak sah," kata Affendi dalam satu kenyataan. - Bernama

Sindiket rompak bersenjata di Miri tumpas


19 Ogos 2014

MIRI - Polis Miri yakin dapat menumpaskan sindiket rompakan bersenjata warga asing termasuk rompakan barangan kemas bernilai RM80,000 pada 24 Jun lepas berikutan tertangkapnya dua lelaki warganegara Filipina di dua tempat berasingan petang semalam.
   
Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Jonathon Ringgit berkata dua lelaki masing-masing berumur 26 dan 27 tahun itu kini ditahan reman.
   
Beliau berkata polis kini mencari seorang lagi lelaki warga Filipina bernama Dexter Urias Battad, 38, bagi membantu siasatan kes itu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat agar menghubungi polis Miri dengan segera.
   
Beliau memberitahu sidang media di sini hari ini polis yakin kedua-dua suspek itu mempunyai kaitan dengan kes rompakan barangan kemas pada 24 Jun lepas setelah menemui pakaian, topeng, parang dan kapak yang menyerupai peralatan digunakan merompak kedai emas tersebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup pada hari kejadian.
   
Stanley berkata sebelum ditangkap, kedua-dua suspek terbabit cuba merompak seorang wanita berusia 39 tahun yang membawa wang milik syarikat tempat dia bekerja berjumlah RM121,000 berhampiran sebuah bank tetapi tindakan pantas mangsa membunyikan hon kereta menyebabkan suspek melarikan diri. - Bernama

Kereta perisai terbalik, 2 maut


19 Ogos 2014


SANDAKAN - Dua anggota tentera maut dan empat lagi cedera ringan selepas kereta perisai Adnan yang dinaiki mereka terbalik di Jalan Sungai Tiram di Batu 19 dekat sini, hari ini.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, mereka
yang dikenali sebagai ketua kru, Sarjan Mohd Hanif Patahur, 31, dan Prebet Ahmad Feleni Mansor, 23, mati di tempat kejadian.
 
Mereka yang cedera ialah pemandu kereta perisai Mohd Faizal Ahmad, 29, Mohd Amaruddin Che Soh, 29, Mohamad Haffez Khairudin, 24, dan Ifaiznor Ismail, 29.
 
Insiden berlaku kira-kira pukul 11.15 pagi, ketika kereta perisai yang dinaiki enam anggota tentera itu dan sebuah lagi kereta perisai dalam perjalanan pulang ke Kem Sri Kinabatangan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ke 22, katanya ketika dihubungi.
 
Beliau berkata, empat anggota yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital
Duchess of Kent Sandakan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
 
Fadzil berkata siasatan awal polis mendapat kemalangan berlaku selepas kereta perisai yang dipandu Mohd Faizal dalam perjalanan dari Kampung Sungai Tiram ke Kem Sri Kinabatangan.
 
Katanya setibanya di tempat kejadian, kereta perisai itu hilang kawalan lalu terbalik.
 
Sebelum itu, mereka melakukan rondaan keselamatan di Teluk Labuk.
 
Anggota tentera berkenaan dari RAMD ke-12 Kuantan, bertugas selama tiga bulan di Kem Sri Kinabatangan sejak 15 Julai lepas.
 
Jenazah kedua-dua mangsa, Mohd Hanif yang berasal dari Johor dan Ahmad Fikri dari Kelantan, akan dihantar pulang ke kampung halaman mereka, esok. - Bernama

Warga Nigeria didakwa tipu kontraktor


19 Ogos 2014


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar kolej warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang kontraktor pembinaan berhubung penghantaran bungkusan dengan anggaran kerugian RM21,000, bulan lepas.
 
Onyemeliha Goddey Ignatius, 44, didakwa menipu Ramlah Salleh, 42, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh menyerahkan satu konsainan yang mempunyai mata wang US$1.8 juta sehingga mendorong Ramlah menyerahkan wang tunai RM21,000 kepadanya.
   
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Jambu Mawar, Off Jalan Kepong, di sini antara 4 petang dan 5 petang pada 19 Julai lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
   
Tertuduh juga didakwa tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas visa pelajar mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen  1959/1963 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norsharidah Awang tidak membenarkan lelaki Nigeria itu diikat jamin dan menetapkan 19 Sept untuk pengurusan kes.
   
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala tertuduh diwakili peguam M. Tharuma Ratnam. - Bernama

Kereta guru yang bermasalah, bukan dibakar pelajar


  • Foto sebuah kereta milik seorang guru yang mula menjadi viral sejak siang tadi dan didakwa kononnya dibakar oleh pelajar - Foto sumber WhatsApps.Foto sebuah kereta milik seorang guru yang mula menjadi viral sejak siang tadi dan didakwa kononnya dibakar oleh pelajar - Foto sumber WhatsApps.

BANTING - Kebakaran kereta milik seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang di sini hari ini adalah disebabkan litar pintas, bukan dibakar oleh pelajar seperti dilaporkan di laman sosial.
  
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu di kereta berkenaan, sebuah Proton Waja.
  
"Pasukan bomba Banting bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat maklumat dan api dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian. Hampir keseluruhan kereta itu terbakar," katanya.
  
Pelajar dikatakan panik apabila menyangka guru pemilik kereta berkenaan rentung dalam kejadian itu.
  
Pelajar, Sofiatul Hidayah Azman Naim, 18, ketika ditemui berkata kereta milik gurunya yang diletakkan di perkarangan sekolah itu terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi tadi.
  
"Seluruh pelajar kelas kami nampak kebakaran itu dan pada mulanya kami sangka cikgu kami berada dalam kereta itu sebelum sekumpulan pelajar lelaki bertindak memadamkan api menggunakan hos air berhampiran.
  
"Bagaimanapun, kami lega apabila dapat tahu cikgu tidak berada dalam kereta," katanya. - Bernama

Tembak ibu bapa kerana dikongkong

Ryan dan Maria
Ryan dan Maria
Tembak ibu bapa kerana dikongkong

Tembak ibu bapa kerana dikongkong

GARA - gara dikatakan terlalu bertegas dengan anak-anaknya, Ryan dan Maria Elena Callens, masing-masing berumur 48 dan 49 tahun ditembak mati oleh anak lelakinya selepas tidak tahan hidup dikongkong.

Suspek, 16, yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik didakwa membunuh kedua ibu bapanya menggunakan senapang pada awal pagi semasa mereka sedang tidur di rumahnya di Texas, Amerika Syarikat.

Selepas mendapat panggilan kecemasan pada jam 2 pagi (waktu tempatan), polis tiba di tempat kejadian dan menemui mayat Ryan berbaring di lantai dengan beberapa kesan tembakan di badan tidak jauh daripada senapang yang dilekat dengan lampu suluh.

Manakala ibunya ditemui di dalam bilik tidur utama dengan kesan tembakan di kepala dan lengan.

Difahamkan, menurut laporan Mail Online, suspek dilarang minum minuman keras, segala aktivitinya dipantau termasuk ketika melayari internet dan hanya dibenarkan menonton filem yang tidak mengandungi unsur ganas serta kandungan dewasa lain.

Menurut jiran yang telah lapan tahun tinggal di kejiranan sama, suspek hanya dibenarkan ke sekolah rendah dan menengah sahaja. Untuk sekolah tinggi, dia terpaksa bersekolah di rumah.

“Ibu bapanya sangat tegas. Jika melanggar peraturan, dia akan dihukum. Bagaimanapun, daripada apa yang kami lihat, dia sebenarnya seorang anak yang baik dan mesra dengan jiran,” katanya.

Perompak dipenjara 29 tahun


  • Perompak dipenjara 29 tahun

TIGA perompak bersenjata yang didakwa atas kesalahan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri kereta mewah milik seorang hartawan pemaju tanah, Rajinder Auluk di Birmingham, West Midlands, menerima hukuman setimpal apabila dijatuhkan hukuman penjara hampir 29 tahun.

Ketika rompakan dilakukan, Gavin Hunt, 37, bersama pasangan adik-beradik Jamie Dixon, 32, dan Christopher Dixon, 29, dipercayai membawa senjata berupa tukul besi, tuil besi serta kapak.

Mereka juga didakwa mengugut bunuh anak bongsu mangsa, seorang kanak-kanak lelaki 9 tahun jika Auluk enggan menyerahkan wang tunai dan barangan bernilai.

Dalam keadaan panik, Auluk menyerahkan kunci kereta mewah Nissan Pulsar GTR dan Mercedes CLK. Dua kereta tersebut bagaimanapun dijumpai ditinggalkan di kawasan berhampiran.

“Ketika kejadian, kami baru saja selesai makan dan anak lelaki saya ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Kemudian saya terdengar dentuman kuat di pintu hadapan dan saya ditumbuk di muka secara tiba-tiba.

"Saya suruh perompak ambil apa sahaja yang dimahukan kerana mereka jadikan anak saya tebusan dan letak kapak di lehernya. Saya hanya ingin dia selamat," katanya menurut laporan Daily Mail.

40 cedera akibat gempa bumi di Iran


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Ogos 2014


TEHRAN - IRAN. Satu gempa bumi sekuat 6.1 skala ritcher dilaporkan berlaku di wilayah Ilam, barat Iran hari ini, menurut laporan sebuah stesen televisyen di negara tersebut.

Pihak berkuasa mengesahkan pihaknya hanya menerima laporan mengenai kemusnahan dan kecederaan akibat bencana tersebut namun tidak kematian dilaporkan setakat ini.

Dalam pada itu Kajian Geological Amerika Syarikat (USGS) turut mencatatkan magnitud gempa bumi pada ukuran 6.3 yang berkedalaman 10 kilometer (6.2 batu).

Memetik laporan oleh Reuters, USGS turut mencatatkan gempa bumi melanda 36 kilometer tenggara bandar Abdanan, berhampiran dengan sempadan Iraq.

Menurut salah seorang pegawai perubatan, seramai 40 mangsa gempa bumi telah diselamatkan setakat ini.

“Tidak ada laporan kematian diterima setakat ini, namun pihak kami merawat ramai mangsa yang cedera dan kerosakan harta benda,” katanya.

Pada April tahun lalu, satu gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Iran dan tenggara Pakistan.

Bencana tersebut telah mengorbankan nyawa seramai 40 penduduk di kawasan kedua-kedua negara.

Kanak-kanak antara dua maut nahas jalan raya


  • Anggota bomba berusaha memotong bumbung kenderaan mangsa untuk mengeluarkan mangsa.Anggota bomba berusaha memotong bumbung kenderaan mangsa untuk mengeluarkan mangsa.

ROMPIN – Sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki tiga individu bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki tujuh sekeluarga di Kilometer 57 Jalan Ibam – Rompin berhampiran Kampung Bangkong sekitar jam 3.30 petang kelmarin.

Difahamkan, seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan penumpang kerusi hadapan kereta Proton Wira berkenaan maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, ASP Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, seorang penumpang perempuan Perodua Myvi berkenaan yang berusia 29 tahun turut maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuantan malam kelmarin.

“Kereta Proton Wira berkenaan menghala ke Ibam dipercayai terbabas disebabkan hujan ketika itu lalu memasuki laluan bertentangan dan seterusnya bertembung dengan Perodua Myvi yang menghala ke Rompin.

“Kereta Perodua Myvi berkenaan dinaiki 7 sekeluarga dalam perjalanan ke Kluang, Johor manakala Proton Wira dinaiki tiga orang penduduk Kampung Leban Chondong,” katanya.

Pencuri biadab kencing al-Quran


  • Che Ahmad menunjukkan al-Quran yang dipercayai dikencing oleh suspek di rumahnya di Renek.Che Ahmad menunjukkan al-Quran yang dipercayai dikencing oleh suspek di rumahnya di Renek.
 1 / 1 
BESUT -  Seorang pencuri dikatakan bertindak biadab apabila bukan sahaja melarikan barang berharga di rumah mangsanya tetapi dipercayai turut kencing pada senaskhah al-Quran di dalam rumah mangsa dalam kejadian di Kampung Renek, dekat Jabi, kelmarin.

Mangsa, Che Ahmad Che Will, 52, berkata, dia menyedari rumahnya dipecah masuk apabila pulang dari Kuala Lumpur bersama isteri dan seorang anaknya kira-kira jam 7 petang kelmarin.

Menurutnya, dia sekeluarga meninggalkan rumah pada Jumaat lalu dan terkejut sebaik tiba petang kelmarin apabila mendapati keadaan dalam rumah berselerak dan pintu bilik bahagian dapur terbuka luas.

“Setelah pemeriksaan dibuat saya dapati seunit televisyen bersaiz 31 inci dan satu tabung duit milik anak saya yang mengandungi wang kira-kira RM100 telah hilang.

“Saya syak pencuri pecah masuk ke dalam rumah ketika tiada di rumah dan saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih mengenai kehilangan dua barang tersebut,” katanya.

Che Ahmad berkata lagi, selepas pulang membuat laporan polis, dia sekeluarga terhidu bau hancing air kencing yang semakin kuat baunya pada sebelah malam.

Menurutnya, selepas diperiksa arah dan tempat bau hancing tersebut, dia dapati bau itu datang dari satu rak menempatkan buku termasuk senaskhah al-Quran yang terdapat di dalam bilik anak perempuannya.

“Kami percaya salah seorang daripada suspek telah membuang air kecil di rak buku tersebut menyebabkan ia terkena pada al-Quran berdasarkan terdapat kesan air kencing di situ.

“Bagaimanapun saya tidak pasti sama ada suspek sengaja kencing pada al-Quran itu atau sebalik,” katanya.

Tiga anggota tentera maut kemalangan


19 Ogos 2014


KUANTAN - Tiga anggota tentera maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan di Jalan Tanah Putih, Batu 3 di sini, tengah malam tadi.

Menurut Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang, Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, mangsa yang terbunuh Mohd Fahmi Jap, 25, Mohd Ilias Abu Seman, 23, dan Mohd Faizal Zainol, 26.

Rakan mereka yang cedera parah pula ialah Shamzuri Awang, 23, yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Beliau berkata, kesemua mereka merupakan anggota tentera daripada Rejimen Pertama Kor Amor Diraja (1 KAD) dari Kem Batu 10 di sini.

"Kemalangan berlaku kira-kira 11.55 malam tadi, mereka dalam perjalanan ke arah Gambang dari Kuantan.

"Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian kereta jenis Honda yang dipandu Mohd Fahmi terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok lalu termasuk ke dalam longkang di situ," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Noor berkata akibat kejadian itu tiga mangsa mati di tempat kejadian dan seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat kesemua mangsa kemudian dihantar ke HTAA untuk dibedah siasat.

Semasa kejadian hujan lebat, katanya. - Bernama

Nyaris maut van terbakar


  • Anggota bomba memadamkan van yang terbakar.Anggota bomba memadamkan van yang terbakar.

PASIR MAS - Seorang peniaga berjaya menyelamatkan diri apabila van yang dipandunya tiba-tiba berasap dan kemudiannya terbakar dalam kejadian jam 11.10 pagi, semalam, berhampiran Dataran Air Muleh di sini.

Mohd Sham Fauzi, 31, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menghantar beras yang dipesan pelanggan.

“Saya baharu memandu beberapa minit sebelum melihat kepulan asap tebal keluar dari hadapan van.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus berhenti dan keluar dari van kerana bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku,” katanya.

Menurutnya, apa yang dibimbangkan betul-betul berlaku apabila api turut marak dari kepulan asap berkenaan.

Katanya, api merebak dengan cepat sehinggakan beras seberat 50 kilogram di dalam van tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Pasir Mas, Eltarraf Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 pagi dan tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian.

“Kami berjaya mengawal kebakaran seminit kemudian dengan kekuatan anggota seramai lapan orang serta sebuah jentera,” katanya.

Menurutnya, melalui siasatan awal kebakaran itu dikesan berpunca daripada litar pintas yang berlaku di dalam van terbabit.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya.

Rampas barang seludup RM8,200


  • Mohd Nawi (kiri) bersama anggotanya menunjukkan ayam beku dan sosej yang dirampas.Mohd Nawi (kiri) bersama anggotanya menunjukkan ayam beku dan sosej yang dirampas.

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas sosej dan ayam beku yang diseludup masuk dari negara jiran bernilai RM8,200 selepas menahan sebuah kereta proton Wira dekat pangkalan haram Hasnah, Pengkalan Kubor, di sini, malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Nawi Yunus berkata, sebelum serbuan, pihaknya membuat intipan di kawasan itu setelah mendapat maklumat sebuah bot enjin galah masuk ke pangkalan haram berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan kira-kira jam 8.10 malam itu kelihatan dua lelaki sedang memunggah sesuatu dari bot enjin galah masuk ke dalam sebuah kereta.

“Dua suspek terbabit sempat melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota PPM dan menghilangkan diri dalam semak berhampiran,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Mohd Nawi berkata, hasil pemeriksaan anggotanya menemui pelbagai jenis sosej berjumlah 280 kilogram (kg), 10kg pencicah, 20kg serbuk roti, 10 kg tepung goreng dan 24 paket ayam beku yang setiap satunya seberat dua kg.

Semua barang yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di bawah Akta Makanan 1983.

Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan


  • Mohd Firdaus menunjukkan bagaimana baju sekolahnya digenggam guru terbabit, manakala ibunya menunjukkan laporan polis yang dibuat.Mohd Firdaus menunjukkan bagaimana baju sekolahnya digenggam guru terbabit, manakala ibunya menunjukkan laporan polis yang dibuat.

MARANG - Hanya kerana melambaikan tangan ke arah seorang guru lelaki, pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Kampung Seberang Marang di sini, pengsan setelah mendakwa tengkuknya dipukul guru berkenaan.

Mangsa, Mohd Firdaus Mohd Paudzi, 16, mendakwa sebelum dipukul, kepalanya turut dihantukkan ke kepala seorang rakan sekelasnya ketika mereka berada di koridor bangunan makmal oleh guru yang mengajar pendidikan jasmani itu.

Kejadian kira-kira jam 8.10 pagi, Khamis lalu itu, mengakibatkan mangsa pengsan di tempat kejadian dan terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Bapa mangsa, Mohd Pauzi Khalid, 40, berkata, akibat kejadian itu, anaknya mengalami kecederaan di bahagian tengkuk serta kesakitan dalaman di kepala.
Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Marang.

“Anak saya diperlakukan sedemikian dipercayai setelah melambai tangannya ke arah guru terbabit. Mungkin ketika tu, guru tersebut berada dalam keadaan marah.. oleh kerana anak saya mengaku melambaikan tangan kepadanya, dia terus dikasari.

“Selepas tengkuknya dipukul anak saya terus pengsan. Saya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi oleh isteri lalu bergegas ke sekolah untuk melihat keadaan anak saya,” katanya.

Menurut bapa kepada lima anak itu, dia boleh menerima kenyataan yang anaknya dihukum jika melakukan kesalahan, tetapi bukan dengan cara sedemikian.

Mohd Pauzi mendakwa, tindakan guru terbabit memukul anaknya tanpa sebab adalah tidak wajar.

“Saya buat laporan polis kerana mahu anak saya mendapat keadilan. Cikgu terbabit juga datang berjumpa saya untuk meminta maaf, namun saya tetap dengan pendirian tak mahu menarik semula laporan dibuat,” katanya.

Sinar Harian turut mengunjungi mangsa di rumahnya di Kampung Alor Tuman di sini, dan dimaklumkan dia hanya akan ke sekolah semula hari ini (esok).
Dia bagaimanapun mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Kassim Husin sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut namun belum menerima laporan lengkap daripada pihak sekolah.

Mengaku salah rogol anak tiri


  • Tertuduh dibawa keluar dari perkarangan mahkamah sebaik hukuman dijatuhkan ke atasnya semalam.Tertuduh dibawa keluar dari perkarangan mahkamah sebaik hukuman dijatuhkan ke atasnya semalam.

TEMERLOH – Seorang lelaki berketurunan Orang Asli dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam selepas tertuduh mengaku salah merogol anak tirinya berusia 13 tahun hingga melahirkan bayi.

Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Muhamad Sani 37, selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Sendayan, di sini dua tahun lalu.

Mangsa yang ketika itu berumur 13 tahun melahirkan bayi perempuan pada 11 Februari 2013 jam 3.40 petang di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini.

Bapa kandung mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan meminta siasatan dilakukan ke atas bapa tiri mangsa kerana sewaktu kejadian mangsa tinggal bersama ibu kandung dan bapa tirinya.

Dalam laporan kimia yang diperoleh mendapati tertuduh adalah bapa kepada kandungan yang dilahirkan mangsa dan seterusnya tangkapan ke atasnya dibuat pada 17 Ogos lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwaraya Nik Rabiatul Adawiah Saupi.

Pekerja asing jadi mangsa samun


  • Aftabuddin (belakang) menunjukkan aksi penjenayah mengacukan pisau rambo kepadanya.Aftabuddin (belakang) menunjukkan aksi penjenayah mengacukan pisau rambo kepadanya.

KUANTAN - Seorang pekerja asing berdepan saat getir selepas diacu sebilah pisau rambo ketika dalam perjalanan pulang ke asramanya selepas tamat waktu bekerja di pasar raya Nirwana di Batu 3 Jalan Gambang, dekat sini, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 8 malam, Aftabudin, 42, berjalan seorang diri melalui Jalan Kurnia Jaya untuk membeli kad prabayar di sebuah kedai berdekatan.

Katanya, sebelum itu dia berjalan bersama seorang rakan sekerja yang dikenali sebagai Kazal tetapi mereka berpisah di pertengahan jalan kerana mahu membeli kad prabayar.

“Kira-kira 1 kilometer dari asrama, dua lelaki menunggang motosikal menarik  dan mengacu pisau ke leher saya,” katanya.

Menurut Aftabudin, ketika itu dia panik dan tidak boleh bertindak seorang diri kerana memikirkan keselamatannya.

Katanya, dua lelaki itu dengan kasar memintanya mengeluarkan beg duit dan bertanyakan telefon bimbitnya.

“Saya hanya ada RM50 sahaja dan tidak membawa telefon bimbit. Mereka merampas beg duit dan wang tunai yang ada sebelum memecut motosikal,” katanya yang bimbang keselamatan rakan lain juga.

Katanya, kawasan itu sentiasa menjadi tumpuan pencuri kerana keadaan jalan sunyi terutama waktu malam tetapi ada pekerja pasar raya yang  menggunakan laluan itu sebanyak enam kali sehari kerana berulang-alik pada waktu rehat dan keperluan lain.

“Kawasan itu memang selalu berlaku kejadian samun dan kami rasa sudah tidak selamat melalui jalan berkenaan kerana penjenayah berani menggunakan senjata,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Cawangan pasar raya berkenaan, Tee Boon Hee berkata, pekerjanya sudah melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Boon Hee berharap polis mengambil tindakan kepada penjenayah dan kerap melakukan rondaan di lokasi itu kerana keadaan gelap pada waktu malam tetapi menjadi laluan kepada pekerjanya.

“Kami memang mengambil berat mengenai keselamatan pekerja di sini dan tidak mahu mereka menjadi mangsa peragut atau penjenayah.

“Kami percaya penjenayah itu memang menyasarkan pekerja pasar raya ini yang selalu berulang alik dari asrama ke tempat kerja,” katanya.

Katanya, sebelum ini, beliau pernah mendengar beberapa pekerja mengadu mengenai keadaan di kawasan itu dan sudah ramai yang menjadi mangsa tetapi penjenayah berjaya melepaskan diri.

Mayat seorang mangsa runtuhan konkrit MRT ditemui


  • Foto Ihsan Twitter Jabatan Bomba & PenyelamatFoto Ihsan Twitter Jabatan Bomba & Penyelamat

SHAH ALAM - Mayat salah seorang daripada mangsa runtuhan bahagian konkrit projek Mass Rapid Transit (MRT) di Kota Damansara ditemui kira-kira jam 2.34 pagi tadi.

Menurut laporan sebuah portal online, mangsa warga Bangladesh yang ditemui ialah Mohammad Elahi Hossain, 27.

"Operasi mencari dua lagi mayat masih dijalankan," Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, dipetik sebagai berkata.

Dalam insiden jam 9.46 malam tadi, tiga pekerja projek berkenaan disyaki terperangkap dan tertimbus dalam runtuhan tersebut.

Berdasarkan laporan awal, kejadian itu melibatkan runtuhan blok konkrit di tapak pembinaan landasan MRT.

13 diselamatkan selepas 2 hari karam


  • Mangsa terselamat menumpang seketika di rumah penduduk tempatan di daerah Bima. Foto: AFPMangsa terselamat menumpang seketika di rumah penduduk tempatan di daerah Bima. Foto: AFP

BIMA - INDONESIA. Lapan warga asing dan lima rakyat Indonesia diselamatkan, dua hari selepas bot pelancong dinaiki karam akibat ribut di Sangeang, Pulau Lombok, timur Indonesia.

Mereka yang terselamat hanya berpaut pada bot penyelamat dan terapung dengan jaket keselamatan lapor AFP.

Operasi itu menjadikan jumlah mangsa terselamat adalah 23 orang termasuk 18warga asing.

Sepuluh warga asing diselamatkan kelmarin termasuk dari New Zealand, Britain, Sepanyol, Belanda, Jerman dan Perancis.

Pegawai penyelamat, Budiawan berkata, dua lagi warga asing masih hilang.

"Mangsa diselamatkan semalan dijumpai 100 kilometer di luar pantai pulau Sumbawa. Kumpulan penyelamat memperluaskan operasi pencarian hingga ke Sape," katanya.

Menurutnya, operasi itu turut melibatkan pihak tentera dan polis. 

85 maut banjir di Kathmandu


  • Ratusan rumah musnah akibat dihanyutkan banjir di Bardiya. Foto: AFPRatusan rumah musnah akibat dihanyutkan banjir di Bardiya. Foto: AFP

KATHMANDU - NEPAL. Sekurang-kurangnya 85 maut dalam kejadian hujan monsun di Nepal, semalam.

Jurucakap Kementerian Perumahan, Laxmi Prasad Dhakal berkata, tentera terpaksa memindahkan ribuan penduduk di Bardiya akibat terjejas teruk.

"Pasukan penyelamat melancarkan operasi mencari mangsa selepas hujan monsun itu menghanyutkan ratusan rumah dan berlaku tanah runtuh," katanya dalam laporan AFP.

Menurutnya, hujan lebat itu juga memusnahkan jalan raya di sekitar kawasan barat negara itu yang bersempadan dengan India.

"Helikopter terpaksa digunakan untuk menyelamatkan penduduk terkandas dan menghantar bekalan kecemasan. Sehingga kini, 18,200 orang di Bardiya sudah dipindahkan ke pusat pemindahan," katanya.
Beliau berkata, operasi kini juga tertumpu kepada pengawalan wabak taun kerana tiada bekalan air bersih.

40 cedera akibat gempa bumi di Iran


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Ogos 2014


TEHRAN - IRAN. Satu gempa bumi sekuat 6.1 skala ritcher dilaporkan berlaku di wilayah Ilam, barat Iran hari ini, menurut laporan sebuah stesen televisyen di negara tersebut.

Pihak berkuasa mengesahkan pihaknya hanya menerima laporan mengenai kemusnahan dan kecederaan akibat bencana tersebut namun tidak kematian dilaporkan setakat ini.

Dalam pada itu Kajian Geological Amerika Syarikat (USGS) turut mencatatkan magnitud gempa bumi pada ukuran 6.3 yang berkedalaman 10 kilometer (6.2 batu).

Memetik laporan oleh Reuters, USGS turut mencatatkan gempa bumi melanda 36 kilometer tenggara bandar Abdanan, berhampiran dengan sempadan Iraq.

Menurut salah seorang pegawai perubatan, seramai 40 mangsa gempa bumi telah diselamatkan setakat ini.

“Tidak ada laporan kematian diterima setakat ini, namun pihak kami merawat ramai mangsa yang cedera dan kerosakan harta benda,” katanya.

Pada April tahun lalu, satu gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Iran dan tenggara Pakistan.

Bencana tersebut telah mengorbankan nyawa seramai 40 penduduk di kawasan kedua-kedua negara.

Judi: Atuk 6 enam cucu didenda RM1,000


ADILA SHARINNI WAHID
18 Ogos 2014


KOTA BHARU - Padah kerana berjudi snuker, empat termasuk seorang datuk enam cucu didenda masing-masing RM1,000 oleh mahkamah majistret, di sini, pagi tadi.

Denda diputuskan Majistret, Nik Habri Muhamad selepas Mat Alias Hussain, 57, dan tiga lagi rakannya berusia lingkungan 20-an iaitu Md Iruwan Awang; Mohammad Azim Abdul Halim dan Aizat Che Mat, mengaku bersalah.

Mereka mengaku pada tuduhan bersama-sama bermain judi Lucky Ball dengan menggunakan wang sebagai pertaruhan di sebuah pusat snuker di Jalan Kuala Krai, Kok Lanas, di sini, pada jam 4 pagi, 15 Ogos 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad dan mereka diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.

Terdahulu, kesemua tertuduh melalui peguam belanya memohon denda itu dikurangkan dengan mengambil kira faktor mitigasi masing-masing serta mengakui berjudi hanya untuk suka-suka sehingga tidak menyedari mereka melanggar undang-undang serta hukum agama.

Perompak larikan televisyen milik penjawat awam


18 Ogos 2014

JERTEH - Seorang penjawat awam di Kampung Renek di sini mengalami kerugian selepas perompak melarikan peti televisyen 32 inci dan tabung wang anaknya semalam.
 
Mangsa, 52, yang enggan namanya didedahkan berkata dalam kejadian 7 malam itu, beliau dan keluarga baru balik ke rumah dan terkejut apabila mendapati keadaan rumahnya berselerak dan pintu dapur rumahnya terbuka.
 
Setelah memeriksa di dalam rumah, beliau mendapati sebuah peti televisyen jenama Panasonic berukuran 32 inci hilang dan tabung yang mengandungi duit syiling kira-kira RM100 di bilik anaknya turut dilarikan.
 
"Apa yang kami kesalkan ialah apabila bilik anak saya berbau hancing dipercayai air kencing terdapat dekat almari termasuk di atas naskah al-Quran milik anak saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Noorzainy Mohd Noor yang dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan pengadu dan berkata siasatan sedang dilakukan.  - Bernama

Warga Nepal pukul rakan dengan besi dipenjara


  • Warga Nepal pukul rakan dengan besi dipenjara

KOTA BHARU - Seorang operator kilang warga Nepal dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 akibat memukul rakan serumahnya dengan tukul besi, di mahkamah majistret, di sini, pagi tadi.

Hukuman diputuskan terhadap Pun Debilal, 22, yang beralamat di Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini.

Pun Debilal didakwa dengan segaja menyebabkan cedera ke atas Krishna Bahadur Karki juga warga Nepal dengan menggunakan besi berbentuk T seakan-akan tukul di alamat sama pada jam 10.30 pagi, 9 Jun 2014.

Pada tarikh berkenaan, pengadu seorang anggota polis yang sedang bertugas menerima maklumat daripada orang awam berhubung satu pergaduhan melibatkan warga asing di alamat tersebut.

Bertindak atas maklumat itu, anggota bergegas ke tempat kejadian dan menahan tertuduh dan dengan berpandukan tertuduh, anggota polis ditunjukkan senjata yang digunakan untuk memukul mangsa.

Siasatan mendapati kedua-duanya sebelum itu bertengkar mulut sebelum mangsa dikatakan memegang alat sulit tertuduh menyebabkan tertuduh memukul mangsa menggunakan bahagian hulu tukul tersebut.

Prosiding semalam berjalan dengan jurubahasa bahasa asing kerana tertuduh tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Polis trafik parah dirempuh


  • Polis trafik parah dirempuh ketika iring KP Kedah

KULIM - Seorang anggota polis trafik parah apabila motosikal yang ditungganginya dipercayai dirempuh sebuah Proton Wira dari arah hadapan di Kilometer 20, Jalan Kulim-Mahang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, Lans Koperal Muhd Syazwan Ahmad Safiudin, 31, yang mengiringi Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim dari arah Mahang menuju Kulim selepas melakukan lawatan rasmi di beberapa balai polis dalam daerah berkenaan.

Menurut sumber, Muhd Syazwan mengalami kecederaan parah di mana dua bahagian tangan kanannya kerana patah.

"Kaki kirinya juga dilaporkan patah akibat rempuhan berkenaan.

"Manakala pemandu kereta berkenaan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kulim," katanya.

Katanya, siasatan mendapati terdapat beberapa kesan serpihan akibat rempuhan berada pada laluan kereta itu.

Difahamkan, Muhd Syazwan mengiringi Ahmad dari Balai Polis Sungai Kob yang mengadakan lawatan sempena persaraannya.

"Dia nak rogol...dia nak bunuh saya"


  • Keadaan mangsa selepas dihentak dan dibelasah suspek sebelum ditemui orang awam di tepi jambatan berdekatan Taman Mas.Keadaan mangsa selepas dihentak dan dibelasah suspek sebelum ditemui orang awam di tepi jambatan berdekatan Taman Mas.

PUCHONG - "Kak tolong saya...saya hampir nak dirogol...laki tu nak bunuh saya...tolong saya kak."

Rayu seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah, di tepi jambatan Taman Mas menghubungkan Kampung Seri Aman, Puchong dengan Bandar Saujana Putra di sini, petang semalam.

Wanita Indonesia berusia 32 tahun itu memberitahu kejadian berlaku ketika dia menunggu bas di hentian Taman Putra Perdana untuk pulang ke rumah setelah tamat waktu bekerja jam 3 petang.

Selepas beberapa minit menunggu bas, mangsa yang mahu dikenali sebagai Yusma berkata, tiba-tiba dia didatangi seorang penunggang motosikal yang mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumah.

Mulanya mangsa enggan menerima pelawaan tersebut namun berubah fikiran selepas melihat wajah lelaki itu yang kelihatan baik dan seperti berniat ikhlas.

Yusma berkata, dia bagaimanapun mula rasa risau apabila motosikal dibonceng bukan menghala ke rumahnya sebaliknya ke laluan tak pernah dilaluinya.

"Masa itu saya cuba untuk turun dari motosikal tapi lelaki itu menunggang dengan laju dan hanya berhenti di tepi jambatan yang sunyi. Saya cakap kat dia kalau nak ambil rantai leher ambillah tapi dia bukan saja menyentap barang kemas dipakai tetapi turut menghentak muka dan tangan saya beberapa kali menggunakan  topi keledar,” katanya.

Menurut Yusma, lelaki itu tidak terus melepaskannya sebaliknya meluru ke arahnya dan beberapa kali mengatakan hendak merogol dan membunuhnya.

Akibat terlalu takut Yusma berlari untuk menyelamatkan diri namun lelaki itu terus mengejarnya.

“Lelaki itu memukul saya lagi beberapa kali dan cuba untuk merogol saya, ketika itu saya gagahkan diri untuk bangun, menendang kemaluannya menyebabkan dia terjatuh sebelum terus bersembunyi di sebalik kawasan semak.

“Dari celah-celah rimbunan rumput, saya nampak lelaki itu cuba mencari saya namun beredar beberapa minit kemudian,” katanya.

Dia yang mengalami kecederaan serius di muka dan tangan kemudian diselamatkan orang awam yang melalui jalan itu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sekumpulan remaja disyaki samun pasangan suami isteri ditahan

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 12:17 PM

Datuk Abd Rahim Jaafar (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah (dua dari kiri) pada sidang media IPK Shah Alam, hari ini.
 
SHAH ALAM: Sekumpulan remaja ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kes samun sepasang suami isteri di Tanjung Karang, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi pada 12 Ogos itu, pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengamal perubatan, terkejut selepas rumah mereka dipecah masuk oleh sekumpulan lelaki sebelum mangsa ditetak dengan parang manakala isterinya dipercayai dicabuli oleh seorang daripada suspek yang memecah masuk rumah mereka.

Beliau berkata, penjenayah kemudian melarikan beberapa barangan berharga seperti barang kemas, telefon bimbit, jam tangan dan sejumlah wang tunai dengan kerugian dianggarkan RM4,500.

"Hasil siasatan polis dan maklumat risikan, pada 17 Ogos lalu antara jam 1.30 pagi hingga 9 malam, polis berjaya menahan lapan lelaki dan seorang wanita, berusia antara 19 hingga 22 tahun di beberapa kawasan di Sungai Buloh, Kuala Selangor dan Kampung Melayu Sungai Buloh serta di Kota Malam Prima, Tanjung Malim, Perak.

"Dua daripada mereka mempunyai rekod dadah manakala seorang daripada mereka mempunyai sati rekod kesalahan lampau membabitkan kes samun. Kami juga percaya mereka terbabit dengan tujuh kes samun di Kuala Selangor," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Abdul Rahim berkata, kumpulan ini dipercayai sudah menjalankan kegiatan berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 354 Kanun Keseksaan dan semua suspek ditahan reman sehingga 24 Ogos ini," katanya.

13 orang diselamatkan dua hari selepas bot pelancong tenggelam

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 10:18 AM

Mangsa yang terselamat dalam kejadian bot pelancong yang karam Sabtu lalu, dibawa ke sebuah rumah di pekan Bima.
 
BIMA, Indonesia: Lapan rakyat asing dan lima warga Indonesia diselamatkan hari ini, dua hari selepas bot pelancong karam dalam ribut.

"Mereka dijumpai bersama, sesetengahnya dalam bot penyelamat manakala yang lain terapung dengan jaket keselamatan kira-kira 100 kilometer di luar kawasan perairan Sape di timur pulau Sumbawa," kata pegawai penyelamat, Budiawan.

Beliau menambah, mangsa nahas itu kini berada di pekan Sape tetapi terlalu awal bagi beliau menyatakan kewarganegaraan mereka.

Sejumlah 18 rakyat asing dan lima warga Indonesia sudah diselamatkan berikutan kejadian itu, sementara dua lagi rakyat asing masih hilang.

Bot itu karam Sabtu lalu selepas terperangkap dalam cuaca buruk ketika ia sedang dalam pelayaran dari Lombok ke pulau Komodo, yang terkenal dengan biawak, species cicak terbesar dunia yang menarik perhatian ramai pelancong.

Semalam 10 orang diselamatkan termasuk pelancong dari New Zealand, Britain, Sepanyol, Belanda, Jerman dan Perancis. - AFP

Gempa bumi 6.3 magnitud di barat Iran

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 11:05 AM

 
SINGAPURA: Satu kejadian gempa bumi dengan magnitud 6.3 melanda barat Iran hari ini berhampiran ibu negeri wilayah Dezful, kira-kira 480 kilometer dari Tehran.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu pada kedalaman 10 kilometer, melanda pada kira-kira jam 10.32 pagi ini.

Tiada laporan mengenai mangsa setakat ini. - Reuters

Kerja menyelamat ribuan mangsa banjir di barat Nepal dipergiat

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 11:54 AM
MANGSA banjir Nepal mencari barangan peribadi yang masih terselamat selepas kediaman mereka musnah dilanda banjir di perkampungan Motipur, negara itu pada 16 Ogos lalu.
 
KATMANDU: Pihak berkuasa Nepal yang berusaha menyelamatkan ribuan mangsa banjir yang masih terperangkap kini bimbang dengan kemungkinan penularan wabak penyakit akibat bencana yang sudah mengorbankan 101 orang dan menyebabkan 136 lagi hilang.

Jurucakap Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan Nepal, Jhanka Nath Dhakal, berkata empat helikopter membawa makanan, bantuan kecemasan, ubat-ubatan dan petugas perubatan sudah dihantar ke perkampungan yang dilanda banjir di barat negara itu.

Pasukan penyelamat juga berusaha memasuki perkampungan berkenaan menerusi jalan darat.

Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan terputus perhubungan sejak negara itu dilanda banjir Khamis lalu membabitkan 10 daerah di barat Nepal.

Hujan berhenti sejak semalam dan cuaca baik hari ini memudahkan kerja mencari dan menyelamat dilakukan. - AP

Kes kencing tikus di Pahang meningkat

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 1:44 PM

 
KUANTAN: Penyakit kencing tikus atau leptospirosis di Pahang meningkat dari tahun 2011 hingga 2013, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman, berkata kes yang dicatat di seluruh negeri tahun lepas ialah 277 berbanding 163 pada 2012 dan 135 pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, antara daerah yang mencatat kes tertinggi ialah Kuantan, Jerantut, Lipis, Pekan, Maran dan Temerloh.

"Kes kematian yang berpunca daripada penyakit tersebut juga meningkat tahun lepas iaitu lima kes berbanding sifar pada tahun sebelumnya dan satu kes pada 2011.

"Kerajaan negeri mengambil pelbagai tindakan bagi mengelak penyakit Leptospirosis dari terus merebak, antaranya melalui aktiviti pendidikan kesihatan yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, Klinik Kesihatan dan hospital," katanya menjawab soalan Lee Chin Chen (DAP-Ketari) di persidangan Dewan Undangan Negeri.

Norol Azali berkata, kerajaan negeri turut mengeluarkan garis panduan mengenai pengurusan pusat rekreasi sungai dan air terjun bagi mengelak sebarang penyakit berjangkit bawaan air.

"Jabatan Kesihatan Negeri juga telah mengadakan kursus pengurusan leptospirosis kepada anggota kesihatan dan perubatan yang terlibat dalam pengendalian penyakit bagi meningkatkan kefahaman mengenainya," katanya.

- BERNAMA

Gajah jantan Pygmy Borneo ditemui mati dengan kesan tembakan

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 4:54 PM
Petugas Jabatan Hidupan Liar Sabah bersedia untuk menjalankan bedah siasat ke atas bangkai gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati di ladang kelapa sawit di FELDA Umas, Tawau.
 
Seekor gajah jantan Pygmy Borneo yang ditemui mati akibat ditembak di ladang kelapa sawit di FELDA Umas, Tawau.
KOTA KINABALU: Seekor gajah jantan Pygmy Borneo dewasa ditemui mati dengan kesan tembakan di tepi jalan di Ladang Kelapa Sawit FELDA Umas, dekat Tawau, Jumaat lalu.

Gajah jantan dianggarkan berusia lingkungan 20 tahun itu dipercayai ditembak menggunakan senapang patah.

Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan, berkata pihaknya mengesan luka di bahagian perut bangkai gajah itu sebelum menjalankan bedah siasat.

"Hasil bedah siasat dijalankan oleh Unit Penyelamat Jabatan Hidupan Liar menemui peluru dalam paru-paru bahagian kiri haiwan liar terbabit.

"Ia dipercayai mati selepas dua hingga empat hari menahan kesakitan akibat ditembak dan peluru berkenaan juga sudah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

8 maut bangunan runtuh di Afrika Selatan

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 10:32 PM

 
JOHANNESBURG: Lapan pekerja maut apabila sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh dan ramai lagi yang dipercayai terperangkap dalam sisa runtuhan, kata pekerja kecemasan.

Buruh terbabit sedang membina sebuah rumah dua tingkat di tanah persendirian di Meyersdal, selatan Johannesburg ketika ia runtuh.

"Pada mulanya, lima mayat sudah ditemui dari celah runtuhan dan angka korban kemudiannya meningkat kepada lapan," kata jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Ekurhuleni.

Seramai 10 pekerja lain pula dibawa ke hospital termasuk dua mengalami kecederaan serius.

Katanya, punca kejadian belum dapat dipastikan. - AFP

Tiga dikhuatiri maut runtuhan konkrit di tapak pembinaan MRT Kota Damansara

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 11:37 PM
TIGA mangsa disyaki terperangkap apabila blok konkrit di tapak pembinaan landasan MRT, Kota Damansara runtuh kira-kira jam 9.46 malam tadi.
 
PETALING JAYA: Tiga dikhuatiri maut selepas berlaku runtuhan konkrit di tapak projek pembinaan MRT di Kota Damansara, berhampiran Hospital Pusrawi di sini, sebentar tadi.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 9.46 malam.

"Kemalangan membabitkan runtuhan konkrit di tapak pembinaan landasan MRT.

"Terdapat tiga mangsa disyaki terperangkap dan tertimbus di bawah runtuhan konkrit," katanya.

Tidak mengaku rompak pengurus


Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang pekerja kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merompak sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengurus acara, bulan lalu.

Tertuduh, G Naagendran, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak beg tangan milik  Nor Ain Mohd Noh, 26, yang di dalamnya mengandungi sebuah telefon bimbit jenama iPhone, kad pengenalan, kad Mesin Juruwang Automatik (ATM) dan wang tunai RM1,000.

Tertuduh ketika dalam cubaan merompak itu turut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.



Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam lif Blok B Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu, di sini, jam 4 pagi, pada 7 Julai 2014.  Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.  Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff  tidak menawarkan sebarang jaminan.  Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula bagi lantikan peguam.  Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penganggur yang didakwa merompak penganalisis bank warga Thailand minggu lalu, diarah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta selama sebulan.

Mahkamah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Norasyikin Zakaria yang mewakili Badrul Hisham Abu Seman, 31, supaya mahkamah tidak merekodkan pengakuan bersalah anak guamnya atas alasan lelaki itu mengalami masalah mental lembam.


Norasykin berhujah, perkara itu dimaklumkan keluarga tertuduh namun, tiada rekod perubatan yang boleh dikemukakan kepada mahkamah bagi menyokong alasan itu berikutan keluarganya tidak pernah merujuk tertuduh di mana-mana hospital mahu pun memohon mendapatkan kad Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Badrul Hisham didakwa merompak beg tangan jenama Coach milik Thawanrat Puckdeepun, 28, di Jalan Law Yew Swee, di sini,  jam 9 malam, pada 11 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

29 dicekup penagih baru


Kuala Lumpur: Seorang pelajar tingkatan lima antara 29 yang dikesan terbabit dalam aktiviti penagihan dadah dalam operasi yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di lima lokasi di ibu negara, kelmarin.
Dalam operasi terbabit 29 lelaki dipercayai penagih dadah berusia 17 hingga 45 tahun ditahan selepas pihak AADK menerima aduan awam mengenai kegiatan tidak sihat itu di beberapa kawasan perumahan di ibu negara.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK Malaysia Izhar Abu Talib berkata, operasi yang dijalankan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, Sri Mulia, Hiliran Ampang, Sri Kota dan Sri Sabah selepas pihaknya melakukan risikan dan pemantauan beberapa hari lalu mengenai aktiviti penagihan dadah yang semakin menular.
“Kami menyasarkan untuk membersihkan beberapa kawasan panas yang dikesan banyak berlaku aktiviti penagihan dadah di ibu negara.
Penagih yang ditahan akan melalui beberapa proses seperti ujian patologi sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk ditempatkan di pusat pemulihan atau di bawah pengawasan selama dua tahun,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.
Beliau berkata, operasi yang disertai 35 anggota bagi membersihkan aktiviti penagihan dadah secara besar-besaran di ibu negara dilancar sejak April lalu bagi memastikan masyarakat bebas daripada gejala berkenaan.
Izhar berkata, penagih dadah yang ditahan akan melalui kaedah perundangan seperti aktiviti pemulihan dan rawatan serta mereka yang diletakkan di bawah syarat pengawasan perlu melaporkan diri kepada AADK untuk tindakan lanjut dan kegagalan mereka berbuat demikian boleh diambil tindakan.
Mengulas lanjut mengenai trend penagihan dadah di sekitar Kuala Lumpur, Izhar berkata, kebanyakan penagih yang menjadikan kawasan perumahan PPR sebagai lokasi mereka adalah kerana kawasan berkenaan strategik seperti di bawah tangga boleh dijadikan tempat menagih dadah.
Beliau berkata, semua 29 penagih yang ditahan penganggur, pengawal keselamatan dan juga pelajar yang mana rata-rata yang ditahan adalah penagih baru.
Foto
ANTARA penagih dadah yang ditahan untuk pemeriksaan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Edar heroin: Penganggur dihukum gantung sampai mati


 
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penganggur yang didapati bersalah terhadap pertuduhan mengedar heroin tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Hasrool Mohamed Najri, 20, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata keterangan pembelaan tertuduh sebelum ini yang mengatakan dia diminta oleh seorang lelaki dipanggil `Abe Adnan' untuk mengambil bungkusan plastik di bawah bumbung di rumah lelaki itu gagal menunjukkan keraguan.

"Mahkamah setuju bahawa keterangan mengenai Abe Adnan ini telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah kerana tidak diketahui sama ada wujud atau tidak Abe Adnan ini," katanya.

Beliau berkata tindakan tertuduh melarikan diri ketika serbuan dilakukan polis menunjukkan tertuduh sememangnya memiliki dadah berkenaan.

Mohamed Hasrool didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 66.2 gram di sebuah stesen minyak di Mukim Maka, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, Tanah Merah, pada 5.10 petang, 15 Julai 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali dan tertuduh diwakili peguam Ahmad Ridzuan Awang.

- BERNAMA