Search This Blog

Sunday, August 17, 2014

Warga emas maut, isteri parah


  • Anggota polis mengawal lalu lintas di lokasi kejadian.Anggota polis mengawal lalu lintas di lokasi kejadian.

ROMPIN – Seorang warga emas maut manakala isterinya parah selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh dipercayai di bahagian belakang dan sisi kanan oleh sebuah kereta Proton Satria Neo yang dinaiki tiga lelaki di Kilometer 146 Jalan Kuantan–Johor Bahru yang berlaku sekitar jam 11 pagi tadi.

Mangsa, peneroka Felda Selendang 1, Jafri Dermawi, 67, maut di tempat kejadian makanala isterinya, Kalsom Yusoff, 51, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, Mohd Suhaimi Che Abdullah, 39, motosikal dan kereta berkenaan datang arah yang sama iaitu dari arah Endau menuju ke Kuala Rompin.

“Saya berhenti untuk membeli jagung di gerai berhampiran dengan lokasi kemalangan dan ketika itu saya dapat lihat dengan jelas kereta tersebut merempuh motosikal berkenaan yang saya pasti ia turut dilihat oleh beberapa individu lain yang merupakan pemotong rumput yang sedang bekerja.

“Saya lihat kedua mangsa melambung bersama dengan motosikal yang mereka naiki itu selepas dirempuh dan kemudian jatuh terhempas di atas jalan manakala motosikal itu melambung sekali lagi lalu jatuh di bahu jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selepas kedua mangsa jatuh di tengah jalan, dia melihat salah seorang mangsa mengesot ke bahagian tepi jalan.

Suri rumah maut tercampak dari kereta di Setiu


17 Ogos 2014

SETIU - Seorang suri rumah maut selepas tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di Kilometer 43.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Tong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan Che Minah Che Soh, 52, maut ditempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku selepas kereta yang dipandu suaminya Ab Manaf Husin, 57, dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu dan masuk ke laluan bertentangan.

"Mereka datang dari arah Kota Bharu menghala Kuala Terengganu dan terbabas di selekoh berkenaan. Ia menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Suami mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

Panggil 'ayah' sebelum tembak


  • Salleh menunjukkan kesan tembakan pada pintu rumahnya yang terletak bersebelahan bilik air.Salleh menunjukkan kesan tembakan pada pintu rumahnya yang terletak bersebelahan bilik air.

MARANG - Seorang penternak lembu warga emas nyaris maut selepas cuba ditembak lelaki tidak dikenali dipercayai menggunakan senapang patah di rumahnya di Batu Penunggul, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, Salleh Ahmad atau lebih dikenal sebagai ‘Tok ki Salleh’ oleh penduduk setempat tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun satu das tembakan menembusi pintu rumahnya.

Menurut mangsa, dia bernasib baik kerana ketika kejadian berada di dalam bilik air dan hanya menghulurkan tangan untuk membuka pintu rumah selepas terdengar orang memanggilnya dari luar.

Sebelum itu, katanya, suspek yang dipercayai tiba di rumahnya menaiki motosikal memanggilnya dengan nama ayah dalam nada kasar.

"Tok ki sedang buang air besar, bila dengar orang panggil, Tok ki bangun untuk buka pintu rumah, tapi Tok ki tak keluar bilik air, hanya tangan saja keluar buka pintu sebab bilik air dengan pintu rumah terletak bersebelahan. Bila buka saja pintu, tiba-tiba dengar bunyi letupan," katanya.

Salleh berkata, kerana panik, dia yang tidak berpakaian hanya mendiamkan diri di dalam bilik air sehingga terdengar bunyi motosikal keluar dari kawasan rumahnya.

Katanya, suspek tidak masuk ke dalam rumah dan dia juga sempat mengintai melalui celah lubang dari dalam bilik air untuk melihat keadaan selepas mendengar bunyi motosikal keluar dari kawasan rumahnya.

“Selepas keadaan benar-benar selamat, baru Tok ki keluar dan terus hubungi ahli keluarga terdekat, rakan dan polis untuk maklumkan kejadian,” katanya.

Kata Salleh, hasil pemeriksaan dia mendapati terdapat kesan tembakan menembusi bahagian pintu rumahnya yang turut menyebabkan tingkap di bahagian tempat tidur pecah termasuk kesan lubang pada bahagian dinding.

Menurutnya, kejadian itu merupakan yang kedua menimpanya, namun enggan mengulas mengenai kejadian pertama dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.

Salleh mengakui tidak mengetahui punca kejadian itu berlaku.

Sinar Harian sebelum ini juga pernah menyiarkan laporan warga emas itu disamun dua lelaki di rumah yang sama, pada 26 Mei tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi, semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya kes sedang disiasat.

“Kita sudah hantar pasukan forensik untuk membuat pemeriksaan di tempat kejadian, malah kita juga sudah menahan dua suspek untuk membantu siasatan awal pagi tadi (semalam),” katanya.

Peniaga henti beli, saji 'patin babi'


  • Laporan Sinar Harian semalam.Laporan Sinar Harian semalam.

IPOH - Beberapa peniaga makanan di sini mengambil keputusan berhenti membeli dan menyedia menu berasaskan ikan patin selepas laporan yang mengesahkan tulang ditemui di kolam ternakan ikan tersebut di Tanjung Tualang dekat sini sebagai tulang babi.

Peniaga Nasarudin Yang, 56, pihaknya akan berhenti daripada membeli ikan berkenaan biarpun menu ikan patin masak tempoyak menjadi antara menu wajib di gerainya.

Katanya, dia akan cuba menggunakan ikan lain seperti ikan kembung untuk dijadikan menu masak tempoyak kepada pelanggan selepas ini.

“Bila keluar berita yang mengesahkan tulang tersebut adalah tulang babi, saya nekad untuk berhenti daripada membeli ikan patin. Satu Malaysia dah tahu pasal tulang babi tu.

“Jika dulu isu ikan keli, kini isu ikan patin pula. Saya harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan kerana isu seperti ini akan beri kesan bukan sahaja kepada  peniaga dan juga pelanggan.

“Saya beli sendiri semua lauk di pasar dan nampaknya saya tidak akan membeli ikan patin lagi sehinggalah isu ini selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

Berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar yang mengesahkan penemuan tulang di kolam ikan patin di Tanjung Tulang sebagai tulang babi.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ridzuan Razali, 42 berkata, gerainya memang tidak menyediakan menu masakan ikan patin berikutan lebih fokus kepada menu ikan bakar seperti ikan tilapia, keli, kembung dan lain-lain.

Bagaimanapun menurutnya, isu pengesahan tulang babi itu secara keseluruhannya akan memberi kesan besar kepada orang ramai, khususnya kepada golongan peniaga makanan.

“Isu ini sebenarnya dah lama, oleh itu saya harap pihak berkuasa dapat bertindak lebih tegas agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

“Selain itu peniaga juga dinasihatkan agar memastikan dari mana bekalan ikan diperoleh demi memastikan ianya (ikan) benar-benar halal,” katanya.

Lelaki warga Myanmar ditemui mati lemas


  • Air Terjun Chamang tempat mangsa dikatakan lemas. Gambar kecil: Cung Lai Bawi.Air Terjun Chamang tempat mangsa dikatakan lemas. Gambar kecil: Cung Lai Bawi.

BENTONG - Seorang lelaki warga Myanmar mati lemas ketika mandi bersama rakannya di Air Terjun Chamang, semalam.

Lelaki terbabit, Cung Lai Bawi, 23, dikatakan datang ke air terjun terbabit bersama rombongan terdiri dari 60 individu dari Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa dikatakan bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur.

“Menurut siasatan mendapati mangsa  mandi bersama rakannya dan tenggelam namun berjaya dibawa naik ke darat.

“Ketika di bawa naik ke darat, mangsa dikatakan telah tidak sedarkan diri dan di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Namun begitu menurutnya.  sebaik tiba di hospital, pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Dua beradik nekad lawan dua peragut


  • Syarhidatul Fitria menunjukkan tangan kanannya yang lebam ketika bergelut dengan dua peragut.Syarhidatul Fitria menunjukkan tangan kanannya yang lebam ketika bergelut dengan dua peragut.

GUA MUSANG - Dua beradik nekad melawan dua lelaki dalam kejadian ragut  di Jalan Kampung Tiong, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, Syarhidatul Fitria Wahid, 24, yang menunggang  motosikal ketika kejadian hanya cedera ringan akibat ditindih motosikal manakala adik perempuannya, Nurusyafi Ismayanti, 22, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua lelaki yang menunggang motosikal lesap setelah berjaya meragut beg tangan Syarhidatul Fitria yang mengandungi wang tunai RM1,350.

Menurutnya, dia bersama adiknya sedar diekori dua lelaki terbabit dan memang sudah mengesyaki bakal berdepan dengan kejadian tidak diingini.

Syarhidatul Fitria berkata, ketika melalui Jalan Kampung Tiong untuk pulang ke rumahnya di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, dua lelaki terbabit menghampiri mereka.

“Saya minta adik perempuan menumbuk dua lelaki  itu kerana kami berdua tidak mahu  mudah menyerah kalah, malangnya motosikal yang saya tunggang terbalik sebelum mereka melarikan beg tangan.

“Dalam keadaan paha saya ditindih motosikal terbalik itu, saya cuba bangun untuk mengejar dua penjenayah, tetapi gagal kerana mereka hilang sekelip mata,” katanya.

Syarhidatul Fitria yang bekerja di sebuah syarikat barangan elektrik di Jalan Persiaranraya Bandar ini berkata, wang tunai tersebut sebahagian besarnya milik syarikat berkenaan kerana dia baru sahaja menerimanya daripada jurujual barangan elektrik terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan masih dilakukan.

Warga emas dipukul, dibogelkan penyamun


  • Kesan jahitan di kepala Hun Loong.Kesan jahitan di kepala Hun Loong.

RAWANG - Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila dipukul dan dibogelkan sebelum disamun sewaktu bersenam sekitar jam 6 pagi berdekatan kawasan kediamannya di Bandar Country Homes, dekat sini.

Mangsa, Chen Hun Loong, 67, berkata, dia cedera di kepala dan menerima 10 jahitan selepas dipukul menggunakan besi sebanyak tiga kali.

Menceritakan kejadian, Hun Loong menjalankan rutin hariannya seperti biasa dengan berjalan bersendirian sebagai senaman ringan hanya beberapa meter dari rumahnya sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

“Saya perasan ada motor berhenti dan terus memukul saya hingga terjatuh Mereka tanggal seluar untuk ambil wang.

“Mereka tidak pakai helmet tapi saya tak dapat cam mereka sebab hari masih gelap, kejadian juga berlaku terlalu pantas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Anak mangsa, Cindy Chen, 47, berkata, dia terkejut apabila ayahnya pulang dengan keadaan kepala berdarah pada hari kejadian.

“Tiada orang yang membantunya dan pulang dalam keadaan cedera menyebabkan kami tidak lagi benarkan dia keluar berjalan sendirian.

“Penjenayah sekarang semakin ganas selain merompak mereka juga gunakan kekerasan jika melawan,” katanya.

Cindy berkata, penjenayah terbabit melarikan seluar mangsa bersama wang tunai RM20.

Selang beberapa minit selepas itu, seorang wanita, Chia Leng Long, 59, turut disamun dipercayai penjenayah yang sama namun bernasib baik tidak dicederakan.

“Mereka ragut beg kain ada wang tunai RM300 di dalamnya untuk mulakan perniagaan kedai makan.

“Saya ketika itu berjalan kaki ke gerai sekitar jam 6.15 pagi dari lorong 1/16. Kejadian berlaku di 1/8 beberapa meter dari kawasan rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Country Homes, Soong Beng Khoon meminta mangsa membuat laporan polis untuk memberi gambaran sebenar kejadian jenayah yang berlaku di kawasan tersebut.

“Banyak kes tidak dilaporkan kerana prosedurnya yang lama dan masalah komunikasi, tapi perkara itu perlu diambil serius kerana penting untuk pihak polis mengetahui statistik jenayah di sini.

“Kekerapan berlaku jenayah di sini sangat membimbangkan. Saya harap jumlah anggota polis dapat ditingkatkan dan berusaha menangani masalah jenayah untuk membuang persepsi negatif kepada institusi itu,” katanya.

Lima individu hilang di Bukit Wawasan ditemui


16 Ogos 2014


KUALA LUMPUR - Lima individu yang dilaporkan hilang semasa menjalankan aktiviti riadah di Bukit Wawasan di Puchong, malam tadi, ditemui dalam keadaan selamat kira-kira pukul 4 pagi ini.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Sehat Bedol berkata mereka ditemui di kawasan hutan Saujana Puchong 10, bukit berkenaan.    

"Mereka merupakan dua wanita masing-masing berumur 52 dan 30 tahun manakala tiga lelaki berusia lingkungan 30-an.

"Mereka ditemui dalam keadaan selamat namun sedikit lemah dan dikeluarkan sejam kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kesemua individu terbabit dilaporkan hilang oleh suami seorang daripada wanita terbabit pada kira-kira pukul 10 malam tadi apabila isterinya tidak pulang selepas mendaki Bukit  Wawasan bersama-sama rakannya sejak petang semalam. 

Pelajar OKU lemas ketika bermain parit


16 Ogos 2014

JASIN - Seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) ditemui mati lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sebuah parit di Kampung Bukit Kecik Pernu di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi tadi ketika Muhammad Syakir Mamat, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota sedang bermain bersama tiga rakannya di tepi parit berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahman Jaafar berkata     mayat mangsa ditemui di dasar parit itu.

Rakan mangsa Muhammad Amri Suhaimi, 13, berkata sebelum kejadian, mangsa mandi di dalam parit sebelum naik semula ke tebing.

"Tidak lama selepas itu, dia bertindak terjun secara tiba-tiba ke dalam parit sebelum sempat kami menghalangnya," katanya.

Katanya dia bersama dua lagi rakan cuba menghulurkan dahan pokok untuk menarik mangsa keluar tetapi tidak berjaya. - Bernama

Warga Thai ditahan tipu jual telefon secara online


17 Ogos 2014


KANGAR - Seorang warga Thai ditahan kerana dipercayai membuat penipuan penjualan telefon bimbit secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Perlis, Supt Tengku Zailan Tengku Ahmad Shah berkata suspek didakwa mengiklankan penjualan itu menerusi Facebook.

Bagaimanapun kes itu masih disiasat lanjut, katanya.
   
Beliau berkata lelaki tersebut adalah antara tujuh yang diberkas dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan 11 Ogos lalu hingga malam tadi.
   
Mereka yang berumur antara 20-an hingga 40-an didapati melakuan jenayah     samun, komersial dan narkotik.
   
Dalam operasi lima hari itu sebanyak 378 orang, 256 motosikal, 280 kereta dan 90 bas, lori dan van diperiksa dengan 31 saman trafik dikeluarkan, 1,761 DVD haram dirampas serta beberapa gram heroin dan syabu, katanya. - Bernama

Maut mahu ambil kunci


  • Lokasi Ilyas terjatuh selepas cuba memasuki biliknya di UiTM kampus Puncak Alam, kelmarin.Lokasi Ilyas terjatuh selepas cuba memasuki biliknya di UiTM kampus Puncak Alam, kelmarin.

KUALA SELANGOR - Gara-gara mahu mengambil kunci bilik tidurnya, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam,di sini, maut setelah terjatuh daripada tingkat empat asramanya, kelmarin.

Mangsa, Mohd Ilyas Saifullah Md Azhari, 19, pelajar semester pertama dalam program Asasi Sains jatuh setinggi kira-kira 30 meter dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian muka.

Seorang pelajar lelaki yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam.

“Pada ketika itu, Ilyas mahu masuk ke dalam biliknya, namun dia tertinggal kunci di dalam bilik,” katanya.

Beliau yang tinggal berdekatan bilik mangsa berkata, mangsa tinggal bersama seorang lagi rakan.

Namun, mangsa mengambil tindakan sendiri dengan cuba memanjat beranda dari bilik sebelah untuk masuk ke biliknya.

“Akibatnya, dia tergelincir sebelum jatuh ke bawah dan kami terus menghubungi polis bantuan universiti untuk melaporkan kejadian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ambulans tiba tidak lama kemudian dan terus membawa mangsa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan kejadian terbabit dan pihaknya mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

“Polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat,” katanya.

Gempa bumi 5.0 magnitud gegar Kazakhstan


HONG KONG: Gempa bumi berukuran 5.0 magnitud menggegar tenggara Talghar, Kazakhstan pada kira-kira jam 5.42 pagi tadi, kata Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) .
Pusat gempa pada kedalaman 28.26 kilometer itu pada mulanya dikesan pada kedudukan 42.9484 darjah utara latitud dan 77.3814 timur longitud. - Agensi

Polis Marin rampas rokok seludup bernilai RM2.9 juta

PENGERANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas rokok seludup bernilai RM2.9 juta dan menahan tiga individu dalam serbuan di Sungai Rengit, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, polis berjaya merampas 279,500 paket rokok pelbagai jenama serta sebuah lori dan dua van yang digunakan sindiket itu di ladang sawit tepi Sungai Punggai, Sungai Rengit, di sini.
Timbalan Komander PPM Wilayah 2 Johor, Superintendan Salehuddin Mat Zaman, berkata tiga suspek berusia antara 26 dan 48 tahun itu ditahan ketika sedang memunggah rokok berkenaan daripada lori ke van.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Tektikal PPM Pengerang di sini, sebentar tadi.

Wanita penganjur Pesta Sukan Bogel serah diri, beri keterangan

Chew Tok Hwa,


GEORGETOWN: Seorang wanita yang juga penganjur Pesta Sukan Bogel Pulau Pinang 2014 di Teluk Bahang, dekat sini, akhirnya menyerah diri dan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, di sini, hari ini.
Wanita terbabit, Chew Tok Hwa, 57, bersama dua lagi peserta iaitu seorang lelaki, Justin Ang Ji Keng, 24, dan seorang wanita, Carmen Chan turut hadir bagi memberi keterangan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan berhubung penyerahan diri ketiga-tiga individu berkenaan.
"Mereka semua tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan kita sudah mengambil keterangan daripada mereka.
"Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan awal dan kemungkinan akan mengadakan satu sidang media esok," katanya.

Warga Myanmar lemas di Air Terjun Chamang


KUANTAN: Seorang pekerja kilang warga Myanmar lemas ketika mandi bersama kumpulan rakan sekerjanya di Air Terjun Chamang dekat Bentong petang tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Nor Mansor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.54 petang apabila mangsa Cung Lai Bawi, 23, tiba-tiba tenggelam ke dasar sungai.
"Rakan-rakannya yang berada di kawasan berhampiran berjaya menariknya ke darat, bagaimanapun mangsa disahkan telah mati oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadan tidak lama selepas itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurutnya mangsa sebelum itu tiba di kawasan rekreasi berkenaan bersama 60 rakan dari Cheras, Kuala Lumpur pagi tadi.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat. - BERNAMA

Banjir di Nepal: 54 mati, 142 dilaporkan hilang


KATMANDU: Banjir dan tanah runtuh di barat Nepal mengorbankan sekurang-kurangnya 54 orang dan 142 dilaporkan hilang ketika hujan berterusan sejak tiga hari lalu, kata pegawai hari ini.
Pegawai polis Kesh Bahadur Shahi berkata, sebanyak 10 daerah dilanda banjir apabila anggota penyelamat menemui 54 mayat.
Katanya, angka kematian dijangka terus meningkat.
Hujan sejak Khamis lalu di kawasan berkenaan, iaitu kira-kira 400 kilometer barat ibu negara, Katmandu.
Lebuh raya dan jalan raya sama ada ditenggelami air atau disekat akibat tanah runtuh di daerah
berkenaan sehingga menyukarkan anggota penyelamat untuk sampai ke perkampungan terpencil.
Shahi berkata, beribu-ribu penduduk di perkampungan terpencil kini terkandas dan tanah ladang dihanyutkan manakala rumah dinaiki air sehingga memaksa penduduk mencari perlindungan di tempat tinggi.
Cuaca buruk turut menjejaskan usaha helikopter penyelamat untuk sampai ke kawasan yang terjejas. - AP

Skandal paksa murid derma darah terbongkar


Beijing: Polis menahan tujuh suspek di China yang disyaki terbabit dalam sindiket memaksa pelajar sekolah menderma darah.

Antara yang ditahan termasuk timbalan ketua sebuah pusat tabung darah yang diuruskan sebuah syarikat di wilayah Gansu dan dikenali sebagi Huang.


Agensi berita Xinhua melaporkan, Huang turut ditahan bersama enam suspek lain yang dilapor penganggur.

Syarikat yang menguruskan pusat berkenaan ialah pengeluar produk darah terbesar China.


Laporan menyebut, rakan Huang yang dikenali sebagai Zhang berserta beberapa orang lain memaksa pelajar sekolah rendah dan menengah menderma darah.


Mereka mengguna kad pengenalan palsu bagi menunjukkan penderma orang dewasa.

Huang memberitahu polis, dia dipaksa meningkatkan jumlah penderma darah dan meminta bantuan Zhang.


Sindiket itu dikatakan membelasah mangsa sebelum dibawa untuk menderma darah dan kegiatan itu terbongkar selepas seorang pelajar memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapanya. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

53 maut tanah runtuh, banjir


Kathmandu: Banjir kilat dan kejadian tanah runtuh sepanjang tiga hari lalu meragut sekurang-kurangnya 53 nyawa dan memutuskan hubungan penduduk di pendalaman kawasan pergunungan Nepal dengan dunia luar.

Bencana itu berpunca daripada hujan lebat sejak Rabu lalu.


Kementerian Dalam Negeri berkata, 75 orang hilang sementara 36 yang lain dirawat di beberapa hospital akibat kejadian itu.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada mangsa yang hilang itu terperangkap di rumah mereka atau dihanyut oleh banjir.


Pegawai berkata, 25 peratus daripada 75 daerah Nepal dilanda tanah runtuh atau banjir.


“Lebih 200 kediaman musnah sementara ratusan lagi tenggelam sama sama sekali,” kata seorang pegawai.

Hujan amat penting bagi Nepal yang bergantung kepada pertanian. Bagaimanapun, hujan terlalu lebat setiap tahun menyebabkan kematian dan kemusnahan. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

2 serangan, 2 maut


Yala: Dua anggota keselamatan terbunuh dan tiga lagi cedera dalam dua serangan bom berasingan di wilayah ini dan Narathiwat semalam.

Di daerah Kabang, Yala, tujuh anggota skuad operasi khas polis yang menaiki empat motosikal diserang ketika mengiringi sekumpulan guru.


Lans Koperal Sarawuth Choothanom disahkan mati di hospital manakala ketua patrol, Leftenan Montree Phummorradok yang cedera, dihantar ke hospital di Songkhla.

Seorang anggota unit pemusnah bom (EOD) berkata, bom kawalan jauh seberat lima kilogram diletakkan dalam pemadam api dan disembunyikan di dalam guni baja.


Sementara itu, di daerah Muang, Narathiwat, sebuah lori tentera yang membawa tiga anggota menjadi sasaran serangan bom yang dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan utama.


Letupan berkenaan menyebabkan seorang anggota terbunuh dan mencederakan dua yang lain termasuk ketua pasukan, Sarjan Mejar Sanya Phromephetnil.

Lori berkenaan turut membawa beberapa tong petrol untuk dihantar ke pangkalan renjer di daerah lain, namun letupan yang berlaku tidak menjejaskan muatan yang dibawa. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Eric Cantona dituduh merompak


Wigan: Seorang remaja yang mempunyai nama serupa dengan lagenda Manchester United, Eric Cantona adalah antara empat yang didakwa melakukan rompakan bersenjata di sini.

Adam Eric Cantona Doyle, 18, bersama tiga lelaki lain dituduh merompak sebuah kedai koperasi di Wigan sebelum jam 8 malam waktu tempatan Rabu lalu.


Dalam kejadian itu, kenderaan yang digunakan penjenayah dikatakan diletakkan berhampiran pintu belakang premis berkenaan sebelum tiga lelaki masuk ke dalam kedai dan merompak.

Seorang daripada mereka bersenjatakan kapak.


Pekerja kedai berkenaan dipaksa menyerahkan wang sebelum perompak melarikan diri.


Wang berkenaan bagaimanapun berjaya ditemui kembali.

Doyle yang berasal dari Salford akan dihadapkan ke mahkamah bersama Dean Anthony Mcdonough, Kade Stephen Cole, 23, dan Daniel Dickenson, 27. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Telan wang tunai RM327,000


Teluk Montego: Seorang lelaki warga Venezuela ditangkap kerana cuba menyeludup wang tunai berjumlah AS$103,500 (RM327,000) dari Jamaica selepas dia menelan lebih 80 bungkusan plastik mengandungi wang berkenaan.

Eddy Alberio Mancipe Ortega, 41, ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Sangster di Teluk Montego ketika hendak berlepas ke Trinidad.


Ortega mengaku kepada polis bahawa dia menghabiskan masa dua hari untuk menelan bungkusan plastik berkenaan.

Menurut akhbar The Gleaner, dia dihukum penjara tiga bulan oleh pihak berkuasa Jamaica.


Kerana dia sudah ditahan sejak lapan bulan lalu, Ortega diusir ke negara asalnya serta-merta.


Sehubungan itu, Jamaica kini meningkatkan pemeriksaan terhadap mereka yang meninggalkan negara itu.

Ketua Bahagian Siasatan Kewangan Justin Felice berkata, ini kali pertama pihaknya menemui wang tunai diseludup dari Jamaica dengan cara itu.


“Ia menggambarkan bagaimana orang akan menjadi kreatif untu mengelak dikesan pihak berkuasa yang cuba memerangi pengubahan wang haram,” katanya. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

1.7kg kokain dalam payudara


Wanita warga Venezuela berusia 43 tahun itu menggunakan dua beg plastik mengandungi 1.7 kilogram kokain sebagai implan payu dara untuk memperdaya kastam di lapangan terbang di ibu negara Sepanyol ini.

Dia mulanya ditahan pegawai kastam kerana kelihatan cemas.
Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan tidak menemui apa-apa pada bagasinya.

Wanita itu baru saja tiba dengan penerbangan dari Bogota, Colombia apabila pegawai menahannya kerana curiga dengan tingkah lakunya ketika berada di kaunter kastam.

Walaupun tidak ada apa yang ditemui dalam bagasinya, pegawai mengarahkannya menjalani pemeriksaan tubuh.
Foto
DUA implan payudara yang digunakan untuk menyeludup kokain sebanyak 1.7 kilogram oleh seorang wanita Venezuela.
Langkah pegawai wanita yang meraba suspek mendapati ada sesuatu yang tidak kena pada payudaranya.

Dia serta-merta mengaku membawa implan kokain, menurut kenyataan polis Sepanyol.
Wanita itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk mengeluarkan implan dari kedua-dua payudaranya, mengandungi kokain seberat 1.7 kilogram.

Polis Sepanyol melakukan pemeriksaan ketat terhadap penumpang yang tiba dengan ‘penerbangan panas’ dari Amerika Latin. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Ajal tertidur


Juru: Akibat tertidur di dalam kenderaan pacuan empat roda, dua lelaki maut selepas mereka lemas kerana menghidu gas karbon monoksida di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru menghala ke Selatan, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam, Rizuan Ismail, 35, dan Ong Cheng See, 39, ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tersandar di kerusi pacuan empat roda jenis Ford Escape terbabit oleh orang awam yang berhenti mengisi minyak.

Orang awam yang curiga kemudian memberitahu pekerja stesen minyak sebelum mereka menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.
Ong ditemui di tempat duduk pemandu dengan mukanya ditutup jaket, manakala Rizuan berada di tempat duduk penumpang dan kedua-duanya kaku, dipercayai terhidu gas yang terhasil daripada penyaman udara kenderaan berkenaan.

Seorang saksi yang juga pekerja stesen minyak terbabit dan enggan dikenali berkata, dia pada awalnya pelik melihat kenderaan berkenaan yang lama berada di parkir namun tidak mengendahkannya kerana menyangka kedua-dua mangsa mungkin kepenatan dan berhenti berehat.

“Bagaimanapun, ada pelanggan yang mahu mengisi minyak curiga melihat keadaan dua mangsa terbabit sebelum dia memaklumkannya kepada saya.
Foto
ANGGOTA forensik memeriksa kereta mangsa selepas dimaklumkan orang awam.
“Saya mengetuk cermin tingkap kenderaan berkenaan namun tiada tindak balas sebelum saya menghubungi polis dan bomba untuk meminta bantuan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan.

“Bagaimanapun, kita akan siasat kes ini secara terperinci, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Mayat Rizuan yang berasal dari Kedah dan Ong dari Melaka dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Usaha menemubual keluarga dan isteri Rizuan tidak berhasil kerana masih bersedih dengan kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Arwah suka bantu orang


Kota Bharu: “Arwah seorang anak yang baik dan suka menolong orang. Tanpanya, saya berasa kehilangan,” luah Zulmi Mohamad, 41, ibu kepada Mohamed Farkhan Akhiramdzan, 14, yang lemas ketika mandi di tasik dekat Pantai Kuala Senok, Tawang, Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Mohamed Farkhan bersama tiga lagi rakannya berbasikal dari rumahnya di Lorong Kubur Maras, Langgar, di sini, ke kawasan tasik berkenaan untuk mandi.


Bagaimanapun, tiga daripada mereka diselamatkan orang ramai, manakala Mohamed Farkhan lemas.

Mayat Mohamed Farkhan ditemui pada jam 5.43 petang oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan penyelamat Kota Bharu dan turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


Zulmi berkata, sebelum kejadian, anak ketiga daripada lima beradik itu tidak memaklumkannya mahu ke Pantai Kuala Senok bersama rakan, malah dia hanya mengetahui anaknya lemas selepas dimaklumkan jiran.


“Saya tahu dia keluar rumah sekitar jam 9 pagi, tetapi dia tidak memaklumkan mahu ke mana-mana. Selalunya dia hanya bermain sekitar sini dengan rakan yang juga budak kampung ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila ada jiran datang ke rumah hampir jam 5 petang memberitahu saya perlu ke Pantai Kuala Senok kerana anak saya lemas,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Pelajar UiTM maut jatuh tingkat 4


Shah Alam: Seorang penuntut jurusan Sains Asasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, meninggal dunia selepas terjatuh daripada tingkat empat asrama dihuninya jam 9 malam kelmarin.

Menurut rakan mangsa yang tinggal berhampiran biliknya, mangsa, Mohd Ilyas Saifullah Md Ashari, 19, dikatakan cuba memasuki biliknya melalui tingkap kerana mendapati pintu biliknya terkunci.


Rakan mangsa yang enggan dikenali itu berkata, ketika memanjat daripada tingkap bilik sebelah untuk ke biliknya, mangsa tergelincir sebelum terjatuh daripada ketinggian kira-kira 30 meter.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, saya dapati Mohd Ilyas Saifullah sudah dibawa ke hospital dengan ambulans dan mendapati tempat di mana dia jatuh dipenuhi dengan kesan darah,” katanya.


Difahamkan, sebelum kejadian, penuntut semester satu itu sedang menunggu ketibaan bapanya untuk menjemputnya pulang ke rumah sebelum naik ke asrama di Kolej Angsana 3 bagi mengambil barang namun mendapati biliknya terkunci.


Sekumpulan penuntut yang berada di tempat kejadian melaporkan kejadian kepada warden yang kemudiannya mendapatkan ambulans dan memaklumkan kepada pengurusan UiTM serta polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Tragedi mandi sungai


Sebelum kejadian jam 5.15 petang, Muhammad Firdee Akasha Ruslan, 14, dari Taman Seri Bayu, Sungai Petani, Kedah bersama enam rakannya ke majlis rumah terbuka rakan mereka, Danial Fikri Mohd Tarmizi, 15, di Kota Aur.

Bagaimanapun, difahamkan, sebelum pulang, Muhammad Firdee Akasha yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Agama Gurun dikatakan ke tepi sungai bersama rakannya dan ternampak beberapa remaja tempatan mandi berhampiran jeti nelayan Kota Aur.
Berikutan itu, mangsa dikatakan turut serta dengan terjun ke sungai untuk mandi sebelum naik ke jeti.

Bagaimanapun, selepas terjun kali kedua, mangsa dikatakan lemas dan cuba dibantu remaja lain yang melihat kejadian namun gagal diselamatkan.

Bapa mangsa, Ruslan Ayob, 48, berkata, arwah menghubunginya Khamis lalu untuk memaklumkan dia tidak dapat pulang kerana mahu menghadiri rumah terbuka rakan di Tikam Batu, Kedah.
Foto
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat mangsa yang lemas di Sungai Muda dekat Kota Aur, Kepala Batas, petang kelmarin.
“Arwah tinggal di asrama sekolah dan sepatutnya pulang ke rumah minggu ini tetapi tidak berbuat demikian.

“Dia beritahu mahu ke rumah rakan yang mengadakan majlis rumah terbuka. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapat tahu dia lemas di Sungai Muda,” katanya di Hospital Kepala Batas (HKB).

Ruslan berkata, arwah anak ketiga daripada lima beradik. Dia jarang keluar rumah, malah tidak berani menunggang motosikal tanpa kebenaran.

“Arwah bukan jenis gemar merayau dan hanya keluar jika ada urusan. Namun Khamis lalu, dia mengikut rakan dari asrama sekolah kerana tidak pulang ke rumah terlebih dulu,” katanya.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Prai Yuhannas Faizal Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Dugaan bantuan Gaza


Ismailia (Mesir): Konvoi Misi Kemanusiaan Malaysia Ke Gaza yang dijadualkan tiba di pintu Rafah sekitar 7 petang semalam (waktu Malaysia) berdepan ujian berikutan bekalan perubatan dan keperluan yang hendak dibawa masuk ke Gaza masih berada di Kaherah.
Sehubungan itu, konvoi kemanusiaan yang sepatutnya sudah berada berhampiran sempadan Mesir-Gaza pada Khamis lalu, perlu ditangguh sementara perjalanan dan kesemua anggota misi terpaksa bermalam di Ismailia, kira-kira 128 kilometer dari Kaherah.
Apabila selesai semua lori kontena yang membawa kargo seberat kira-kira 10 tan itu yang dijangka tiba di Ismailia, hari ini, barulah konvoi akan bergerak pula sejauh kira-kira 300 kilometer untuk ke Rafah. Selain itu, kekangan keselamatan di sepanjang laluan ke Rafah khususnya di Utara Sinai yang masih berada bawah perintah berkurung tentera bermula 4 petang hingga 6 pagi juga menjadi faktor konvoi terpaksa berhenti di Ismailia. 

Photo
PASUKAN misi ke Gaza mengaminkan doa sebelum bertolak ke Rafah pagi tadi.

Ismailia adalah bandar pelabuhan di Mesir yang menjadi lokasi persinggah sebentar konvoi sebelum meneruskan perjalanan ke Rafah.

Sekitar 9 pagi semalam, 85 sukarelawan termasuk petugas media, doktor dan wakil kedutaan bertolak dari Kaherah.

Misi diketuai sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia dan disertai badan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Mercy Malaysia serta MAPIM.

Sementara itu, Dr Norshida Brahim, 40, yang turut sama dalam perjalanan mengikuti Misi Kemanusiaan Malaysia ke Gaza, berkata: "Walaupun perasaan takut menyelubungi diri, saya kuatkan semangat kerana benar-benar tekad untuk membantu penduduk Gaza." 

Beliau yang pertama kali masuk ke kawasan konflik peperangan, berkata ini adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat dan berharap segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Hati saya berdebar-debar sejak dua hari lalu, namun saya banyak berzikir dan membaca al Quran untuk menenangkan fikiran. 

"Selain itu sesi taklimat yang diberikan sekretariat misi setiap malam sejak tiba di Kaherah, banyak membantu saya membuat persediaan mental dan fizikal," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur. 

Menurutnya, 26 doktor sukarelawan bersiap sedia untuk ditempatkan di hospital bagi menyumbang khidmat dan kepakaran masing-masing.

Sementara itu wartawan penyiaran TV3, Muhammad Arashy Mohd Azim, berjanji untuk memberikan laporan terbaik mengenai situasi semasa di Gaza buat tatapan rakyat Malaysia.

"Sebelum ini, kita sering mengikuti perkembangan di Palestin menerusi laporan media antarabangsa, saya fikir sudah tiba masanya media tempatan membuat liputan di Gaza untuk mencari dan menyampaikan berita mengikut perspektif Malaysia," katanya.

Menurutnya mereka akan cuba membuat lintas langsung dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan.

"Apapun, ini adalah tanggungjawab yang besar dan saya akan cuba buat laporan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," katanya yang juga pertama kali mengikuti misi sukarelawan ke kawasan konflik.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/08/17

Lemas tengah tasik


Bachok: “Saya sempat melihat mereka berempat terkapai-kapai minta tolong, tetapi hanya tiga berjaya ditarik ke tepi tebing, manakala mangsa sudah jauh di tengah tasik dan tidak dapat diselamatkan,” kata saksi kejadian seorang remaja, Mohamed Farkhan Akhiramdzan (gambar kecil), 14, yang mati lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di tasik dekat Pantai Kuala Senok, Tawang, Bachok, semalam.
Menurut Rosdi Mohamad, 36, dia bersama beberapa rakan memancing berhampiran tempat kejadian sebelum terdengar jeritan meminta tolong. 
“Sebelum itu, saya melihat mangsa dan rakannya seronok bermandi-manda di tasik itu yang jarang didekati orang kampung berikutan kedalamannya boleh meragut nyawa. Kesudahannya ada yang lemas dan saya terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa,” katanya.Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Abdul Razak Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 4.11 petang. 

Photo
Rosdi menunjukkan lokasi mangsa, Mohamed Farkhan Akhiramdzan (gambar kecil) ditemui lemas.

“Seramai lapan anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dikerah mencari mangsa.



Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada: 2014/08/17

Lelaki elak dicekup patah kaki terjun laluan bertingkat


LELAKI warga Indonesia yang cedera ketika cuba melarikan diri dibawa masuk ke dalam ambulans di NPE, Kuala Lumpur semalam.


PETALING JAYA - Tindakan dua pemuda dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri daripada polis memakan diri apabila salah seorang daripada mereka retak tulang belakang, patah kaki dan tangan selepas terjun dari laluan bertingkat di Kilometer 8 berhampiran persimpangan Templer, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) petang semalam.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, lelaki warga Indonesia tersebut dikatakan cuba mengelak daripada pemeriksaan polis selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Jalan Bukit Gasing di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Petaling Jaya yang sedang meronda di kawasan itu terserempak dengan suspek yang menaiki motosikal bersama rakannya dalam keadaan mencurigakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3AbICMY78 
Hakcipta terpelihara 

Maut semasa tidur dalam SUV


ANGGOTA polis memeriksa SUV dinaiki Cheng See dan Rizuan selepas kedua-dua mereka ditemui mati dalam kenderaan tersebut yang diletakkan di sebuah stesen minyak berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Juru, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.


BUKIT MERTAJAM – Pelanggan sebuah stesen minyak berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Juru, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini gempar apabila dua lelaki ditemui mati dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diletakkan di hadapan stesen minyak tersebut dipercayai akibat terhidu gas karbon monoksida.
Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa yang dikatakan bekerja sebagai kontraktor, Ong Cheng See, 39, dan Rizuan Ismail, 35, tidur di dalam kenderaan jenis Ford Escape XLT itu beberapa jam sebelum mereka ditemui tidak lagi bernyawa.
Enjin kenderaan itu tidak dimatikan malah alat pendingin hawa juga masih terpasang dengan kesemua tingkap kenderaan itu ditutup rapat.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, Cheng See, berasal dari Semabok, Melaka dan Rizuan dari Alor Setar, Kedah dijumpai dalam keadaan kaku oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada pekerja stesen minyak berkenaan.
Menurutnya, mayat Cheng See berada di tempat duduk pemandu manakala mayat Rizuan di tempat duduk penumpang hadapan.
"Pekerja stesen minyak itu yang menyangka kedua-dua mangsa sedang tidur cuba mengejutkan mereka dengan mengetuk cermin kereta.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3AbHVoPju 
Hakcipta terpelihara 

Polis minta bantuan Interpol buru dua pencuri berlian RM1.5 juta



RAKAMAN CCTV menunjukkan dua lelaki (dalam bulatan) dicari polis kerana disyaki mencuri cincin berlian di galeri emas terkemuka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Turut kelihatan jurujual di premis tersebut (kiri sekali).


KUALA LUMPUR - Polis mendapatkan bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kes kecurian dua bentuk cincin berlian bernilai RM1.5 juta di dua buah galeri emas di sini Khamis lalu.
Sumber polis berkata, polis memperluaskan usaha mengesan kedua-dua lelaki dipercayai warga Taiwan yang berusia lingkungan 40-an itu dengan mendapatkan bantuan daripada Interpol.
"Bantuan daripada Interpol dijangka dapat mempercepatkan lagi usaha menyelesaikan kes kehilangan dua bentuk cincin terbabit," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3AbHO5J2a 
Hakcipta terpelihara 

Penganjur pesta bogel serah diri

Penganjur pesta bogel serah diri

KERATAN Kosmo! semalam.


GEORGE TOWN - Polis menahan tiga lagi individu yang terlibat dengan penganjuran pesta bogel di pantai Teluk Kampi, Taman Negara Teluk Bahang pada 30 Mei lalu, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang ditahan setakat ini lima orang.
Salah seorang yang ditahan itu ialah penganjur pesta tersebut, Chew Tok Hwa, 57, berasal dari Sungai Petani, Kedah yang juga bekas guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di sini.
Menurut sumber, Tok Hwa yang pernah menyertai sebuah parti politik ditahan ketika tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Balik Pulau di sini untuk memberikan keterangan semalam berhubung kes pesta bogel tersebut.
Menurut sumber, selain Tok Hwa, dua lagi peserta pesta bogel iaitu lelaki tempatan, Justin Ang Ji Keng, 24, dan seorang wanita yang dikenali sebagai Carmen Chan, 20-an, turut hadir di IPD Barat Daya semalam bagi membantu siasatan.
Mereka kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Jelas sumber itu lagi, tindakan ketiga-tiga individu itu tampil untuk membantu siasatan menunjukkan usaha pihak polis mendedahkan gambar dan nama mereka sebelum ini telah menunjukkan hasil yang positif.
"Ketiga-tiga peserta ini datang serah diri secara baik. Polis masih menunggu kehadiran 10 lagi peserta lain dan percaya mereka akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesai kes tersebut.


Artikel terpelihara  

Kedai diserang perosak harta awam



GAMBAR rakaman kamera keselamatan menunjukkan Brown mencekak baju pekerja sebuah kedai di bandar Ferguson dalam negeri Missouri, AS pada 9 Ogos lalu.


FERGUSON, Missouri - Para perosak harta awam menyerang sebilangan kedai di sini semalam beberapa jam selepas polis menyatakan seorang remaja kulit hitam yang ditembak mati oleh seorang anggota polis kulit putih merupakan suspek kes rompakan.
Dakwaan tersebut mencetuskan semula kemarahan penduduk bandar ini manakala keluarga remaja berusia 18 tahun itu menuduh polis cuba untuk menjatuhkan maruah anak mereka.
Terdahulu, polis di sini menyiarkan rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki kulit hitam berbaju-T, berseluar pendek dan memakai selipar sama seperti pakaian yang dipakai oleh Brown semasa dia ditembak mati merentap baju pekerja sebuah kedai dan menolak mangsa.
Brown didakwa merompak sejumlah cerut dari kedai tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, media tempatan melaporkan kumpulan-kumpulan pengacau menyerang beberapa buah kedai termasuk sebuah kedai telefon bimbit dan pasar daging selepas satu demonstrasi aman diadakan bandar ini kelmarin.
Laporan berita Amerika Syarikat (AS) menyebut polis di sini menembak gas pemedih mata dan bom asap tetapi sebahagian besar daripada mereka berkumpul agak jauh dan tidak menyerbu kumpulan penunjuk perasaan.
Media AS turut melaporkan sejumlah penduduk setempat bergegas menuju ke kedai-kedai yang diserang untuk memujuk perosak harta awam itu supaya beredar dari lokasi tersebut.
Mereka kemudian mengawal premis-premis berkenaan untuk menghalang kumpulan pencuri itu daripada kembali.
"Jika anda menerima laporan bercanggah, ia kerana kawasan ini masih huru-hara," kata seorang pemberita tempatan, Joel Anderson di laman Twitter.
Mengulas perkembangan di sini, ketua polis tempatan, Thomas Jackson berkata, anggota polis yang menembak Brown dikenali sebagai Darren Wilson.
"Anggota polis berusia 28 tahun ini tidak mempunyai rekod bersih tanpa masalah disiplin," kata Jackson.
"Pertembungan antara anggota polis ini dan Brown tiada kaitan dengan kes rompakan tersebut," tambahnya.
Sebaliknya kata ketua polis berkenaan, Wilson cuba menangkap Brown kerana melihat dia mengganggu lalu lintas.
Menurut Jackson, beliau mendedahkan laporan dan rakaman kes rompakan itu selepas menerima terlalu banyak permintaan untuknya berbuat demikian.
Namun, penduduk setempat menuduh polis berbohong dan menukar fakta kes enam hari selepas insiden itu berlaku.
"Mereka cuba menutup banyak perkara," kata seorang wanita yang ditemu bual saluran berita AS,CNN
"Pihak atasan cuba menutup perbuatan anggota polis ini, mengapa perkara ini tidak dinyatakan pada awal lagi," kata sumber tersebut.
Selain polisi, kes itu turut disiasat Biro Siasatan Persekutuan.
Brown dilaporkan tidak membawa senjata dan mengangkat tangan semasa ditembak beberapa das oleh anggota polis tersebut. -AFP


Artikel terpelihara