Search This Blog

Thursday, August 14, 2014

Anak kapal MAS ditahan di Perancis atas dakwaan salah laku


KUALA LUMPUR 14 Ogos - Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan seorang anak kapalnya telah ditahan polis Perancis untuk disoal siasat atas dakwaan berperangai tidak senonoh terhadap seorang penumpang.
Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan itu menyatakan anak kapal itu telah ditahan apabila seorang penumpang Penerbangan MH20 dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos lepas, mendakwa seorang anak kapal MAS berkelakuan tidak senonoh.
"Oleh kerana Malaysia Airlines mengharapkan anak kapalnya sentiasa mempamerkan tingkah laku paling terpuji, maka kami memandang serius dakwaan ini.
"Sudah semestinya kami akan membantu pihak berkuasa Perancis dalam menjalankan siasatan mereka. Kami ingin menegaskan bahawa keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami," kata MAS. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140814/dn_54/Anak-kapal-MAS-ditahan-di-Perancis-atas-dakwaan-salah-laku#ixzz3ANA8AL2T
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lebih 20 kes penipuan dalam talian dilaporkan di Putrajaya



PUTRAJAYA 14 Ogos - Lebih 20 laporan diterima di Putrajaya membabitkan kes penipuan dalam talian sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata, terbaru seorang suri rumah berusia 50-an kerugian hampir RM70,000 selepas ditipu seorang lelaki melalui laman sosial 'Facebook'.
"Lelaki itu mendakwa beliau dari Nigeria dan mereka berkenalan sejak awal tahun ini, semalam wanita itu membuat laporan polis," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya (IPD) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa serta Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Dr Aseh Che Mat.
Sementara itu, jumlah kerugian tertinggi yang direkodkan tahun ini ialah seorang wanita warga Indonesia berumur 40-an yang kerugiaan RM400,000 selepas ditipu seorang lelaki warga Nigeria yang mendakwa ingin bertemu di sini.
"Wanita itu datang dari Indonesia kononnya inin bertemu lelaki berkenaan di Putrajaya pada Mei lepas tetapi selepas tiba di Malaysia lelaki tersebut tidak ditemui.
"Ekoran itu wanita tersebut membuat laporan polis di IPD Putrajaya," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140814/je_11/Lebih-20-kes-penipuan-dalam-talian-dilaporkan-di-Putrajaya#ixzz3AN9dJfTZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gara-gara tanda tangan perkataan lucah, lelaki dipenjara dan denda


GEORGE TOWN 14 Ogos - Seorang tukang batu nisan yang menandatangani buku saman trafik dengan perkataan lucah bulan lepas, dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah.
Majistret, Dianne Nigrad Nor Azhar memerintahkan Lim Pei Jye menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Lim, 41, didakwa menulis kata-kata lucah pada buku saman yang diberikan kepadanya untuk ditandatangani dengan maksud mengaibkan kehormatan anggota polis trafik S.Thanesan di hadapan Kafe I Love U, di Jalan Batu Ferringhi, dekat sini pada pukul 9.50 pagi, 2 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes anggota polis trafik itu menahan Lim di hadapan kafe berkenaan kerana melanggar isyarat lampu merah.
Polis trafik itu kemudiannya mengeluarkan saman kepada Lim dan menyerahkan buku saman untuk Lim menandatanganinya, sebelum mendapati ruang tanda tangan itu ditulis dengan perkataan lucah. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140814/ma_05/Gara-gara-tanda-tangan-perkataan-lucah-lelaki-dipenjara-dan-denda#ixzz3AN8gffDl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dakwaan salah laku seksual, anak kapal MAS ditahan


14 Ogos 2014


KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan seorang anak kapalnya telah ditahan polis Perancis untuk disoal siasat atas dakwaan berperangai tidak senonoh terhadap seorang penumpang.

Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan itu menyatakan anak kapal itu telah ditahan apabila seorang penumpang Penerbangan MH20 dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos lepas, mendakwa seorang anak kapal MAS berkelakuan tidak senonoh.

"Oleh kerana Malaysia Airlines mengharapkan anak kapalnya sentiasa mempamerkan tingkah laku paling terpuji, maka kami memandang serius dakwaan ini.

"Sudah semestinya kami akan membantu pihak berkuasa Perancis dalam menjalankan siasatan mereka. Kami ingin menegaskan bahawa keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami," kata MAS. - Bernama  

Suami isteri maut pulang majlis tahlil bapa


  • Keadaan kereta MPV yang dinaiki pasangan suami isteri yang maut di Jalan Ipoh-Lumut.Keadaan kereta MPV yang dinaiki pasangan suami isteri yang maut di Jalan Ipoh-Lumut.

SEPASANG suami isteri yang baru pulang dari majlis tahlil kematian seorang ahli keluarga mereka maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu merempuh belakang sebuah kereta jenis Porsche Cayennes, 12.15 malam, kelmarin.

Kejadian berlaku di Kilometer 30 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran lampu isyarat Taman Maju itu menyebabkan mangsa, Hazli Hassan, 42, bersama isterinya Zalina Mahmod, 40, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kedua-dua mangsa bersama seorang anak mereka dikatakan dalam perjalanan dari arah Ipoh sebelum melanggar kereta dari arah sama yang berhenti di lampu isyarat berkenaan.

"Kereta jenis Perodua Alza berkenaan mengalami kerosakan di bahagian depan kereta.

"Pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian, sementara anak mereka hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Indah, Ayer Tawar selepas selesai majlis tahlil allahyarham bapa  Hazli, di Behrang.

Adik ipar Hazli dikenali Zaki, 40, berkata, mereka hanya mengetahui kejadian itu apabila menerima panggilan daripada seorang wanita yang menghubungi seorang kakaknya, menggunakan nombor bimbit Zalina.

“Dia ada maklumkan tentang kemalangan, tapi tak begitu jelas, bila kami cuba menghubungi semula, nombor berkenaan tidak bersambung.

“Saya yang bimbang segera menelefon balai polis Seri Iskandar untuk kepastian dan mereka memaklumkan memang ada kemalangan, tetapi tidak dapat disahkan lagi siapa yang terlibat,” katanya ketika ditemui di Hospital Changkat Melintang, semalam.

Zaki berkata, dalam tempoh 30 minit kemudian, polis menghubungi mereka semula dan mengesahkan kakak dan abang iparnya terlibat dalam kemalangan itu.

“Kami adik-beradik segera datang ke sini (Hospital Changkat Melintang) untuk melihat dan menuntut jenazah, kedua-dua mereka dikebumikan di Behrang.

“Kami adik-beradik juga sepakat untuk membawa pulang anak mangsa Salsabila, 13, ke Kelantan untuk dijaga di sana,” katanya.

Allahyarham Hazli adalah Ketua Urusan Ulama Pas Kawasan Beruas dan pernah memegang jawatan Yang DiPertua Pas Kawasan Beruas.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Lemas motosikal jatuh tali air


  • Anggota JPAM membawa naik mayat mangsa ke daratan.Anggota JPAM membawa naik mayat mangsa ke daratan.

ALOR SETAR - Seorang penunggang motosikal mati lemas dipercayai terjatuh dalam tali air di jalan Bukit Raya, Pendang, malam kelmarin.

Difahamkan waris kepada lelaki berusia dalam lingkungan lewat 20-an itu sempat menghubungi mangsa beberapa kali kira-kira jam 1 pagi namun panggilan berkenaan tidak dijawab.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi mayatnya dijumpai.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Pendang, Roshasniza Roski berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira jam 7.45 pagi semalam sebelum tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menguruskan mayat mangsa.

Menurutnya, sewaktu sampai di lokasi kejadian, mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dengan lengkap berpakaian serta masih memakai topi keledar.

"Oleh kerana keadaan tali air cetek memudahkan kerja-kerja anggota untuk melaksanakan operasi membantu dengan mengangkat mayat mangsa ke daratan.

"Operasi yang sama turut disertai empat lagi anggota JPAM lain serta polis," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Roshasniza berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sekitar jam 9.05 pagi untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad gagal dihubungi.

2 pelajar ditetak, dilibas parang

Tangan dan lengan mangsa juga tercedera semasa cuba melindungi diri. Gambar kecil: Mangsa yang berumur 19 tahun menerima lima jahitan di belakang kepala selepas diserang dua lelaki yang menutup muka dengan kain.
Tangan dan lengan mangsa juga tercedera semasa cuba melindungi diri. Gambar kecil: Mangsa yang berumur 19 tahun menerima lima jahitan di belakang kepala selepas diserang dua lelaki yang menutup muka dengan kain.
KEMAMAN - Dua pelajar sebuah kolej swasta cedera ditetak dan dilibas parang sejurus diserang dua lelaki yang memakai penutup muka dalam kejadian di sebuah rumah di Blok Alamanda B, Bandar Baru Bukit Mentok, di sini, malam kelmarin.

Serangan dipercayai bermotif dendam lama itu berlaku kira-kira jam 10 malam semasa salah seorang mangsa yang berusia 19 tahun berada di ruang tamu.

Akibat serangan itu, mangsa luka enam sentimeter di belakang kepala dan menerima lima jahitan, disyaki dihentak dengan belakang parang sementara rakannya yang berusia 25 tahun luka di lengan kiri.

Sangka mahu rompak

Mangsa berumur 19 tahun itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia yang ketika itu sedang duduk menghadap komputer riba tergamam apabila dua lelaki meluru masuk ke dalam rumah dengan masing-masing memegang sebilah parang dan sebatang besi panjang.

“Saya sangka mereka mahu merompak, jadi serta-merta saya tundukkan kepala sebab mereka berdua merapati saya.

“Tiba-tiba saya rasa sakit yang teramat sangat di bahagian kepala dan bahu serta cecair panas meleleh dari kepala, lantas saya tolak salah seorang lelaki itu yang pegang besi dan dia jatuh dengan kain penutup mukanya juga tercabut, jadi saya nampak jelas mukanya. Saya kenal lelaki itu,” katanya.

Mangsa kemudiannya berlari masuk ke dalam bilik tidur dan mengunci pintu untuk menyelamatkan diri sementara dua lelaki itu segera keluar dari rumah untuk melarikan diri.

Katanya, dua lelaki terbabit adalah senior kolejnya dan mereka pernah berselisih faham dua bulan lalu.

Tumpang rumah rakan sekolej

Mangsa menumpang sementara di rumah dihuni tujuh rakan sekolejnya sejak tiga hari lalu dan ketika kejadian, dua rakannya sedang berbual di luar rumah.

Beberapa saat sebelum serangan, kedua-dua rakannya itu juga melihat sebuah Perodua Viva berhenti tidak jauh dari rumah mereka dan keluar dua suspek dari pintu belakang yang memakai penutup muka dan meluru ke dalam rumah, di dalam kereta itu dipercayai terdapat dua lagi lelaki.

Sebaik kedua-dua suspek keluar, rakannya berusia 25 tahun yang berada di luar rumah cuba menahan suspek yang memegang parang, namun dia dilibas dengan senjata itu menyebabkan dia cedera di lengan kiri.

Bagaimanapun, salah seorang suspek berjaya ditangkap di Blok Akasia, kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian hasil tindakan pantas sekumpulan 15 pemuda Bandar Baru Bukit Mentok yang bertindak mengejar suspek sejurus menyedari kejadian itu.

Seorang lagi suspek yang berlari ke dalam semak berjaya meloloskan diri, manakala kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar jiran ke Hospital Kemaman dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

JKKK puji tindakan belia

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Bandar Baru Bukit Mentok, Zolkeple Mohamad memuji tindakan pantas belia kawasannya hingga suspek dapat ditangkap segera.

“Kejadian ini merupakan kes pertama seumpamanya di kawasan ini. Kita dalam proses penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), jadi komitmen padu belia seperti ini memberi petanda cukup baik. Lepas dapat tahu kes ini, saya segera hubungi polis dan polis tiba dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Sanggup menyorok dalam siling

Seorang daripada tiga lelaki Vietnam yang bersembunyi dalam siling berjaya ditarik keluar.
Seorang daripada tiga lelaki Vietnam yang bersembunyi dalam siling berjaya ditarik keluar.
KLANG - Tindakan tiga lelaki warga Vietnam menyembunyikan diri dalam siling rumah sewa mereka di tingkat lima sebuah pangsapuri bagi mengelakkan diri ditangkap hanya sia-sia apabila mereka berjaya dihidu anggota polis.

Sewaktu serbuan diadakan, pihak berkuasa mendapati beberapa siling di salah sebuah bilik tidur dan dapur berlubang serta ada yang pecah lalu bersepah di atas lantai ruang berkenaan.

Berikutan itu, beberapa anggota polis bertindak memeriksa sebelum memanjat dan masuk ke ruangan siling itu bagi mencari lelaki berkenaan jam 12.50 pagi.

Selang beberapa minit kemudian, ketiga-tiga lelaki berusia 20-an itu berjaya ditarik keluar menerusi ruang yang sama.

Lebih memeranjatkan, polis turut menemui dua beg besar yang disembunyikan dalam ruangan siling itu bersama mereka.

Beg itu dipercayai disembunyikan selepas mereka menyedari kehadiran polis ke rumah itu.

Selepas dua beg itu dibuka, polis terkejut mendapati beberapa alatan untuk menghisap dadah dikenali 'paipon' dan 'bong' turut ditemui.

Malah pelbagai peralatan disyaki untuk memecah masuk kediaman turut disimpan dalam dua beg berasingan dalam siling itu termasuk barangan berharga lain yang disyaki barang curi.

Itu antara aksi yang sempat dirakamkan ketika tangkapan ke atas Pati menerusi Ops Cantas Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di pangsapuri Pelangi Indah, belakang Klang Parade, Jalan Meru, di sini, awal pagi semalam.
Operasi itu turut disertai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Jabatan Imigresen Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN).

Menerusi operasi itu juga, sekumpulan lelaki warga Vietnam tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah turut ditahan ketika mereka sedang leka menyambut majlis ulang tahun ke-21 salah seorang teman wanita kepada lelaki itu di sebuah rumah di Blok A, pangsapuri yang sama.

Lebih memeranjatkan salah seorang lelaki dalam kumpulan itu sedang khusyuk mengambil dadah manakala yang lain sedang menikmati kek hari jadi wanita itu ketika polis datang menyerbu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sekumpulan lelaki itu antara 45 Pati yang ditahan berikutan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Bunuh staf Ambank: La Ode dihukum mati

La Ode Ardi Rasila
La Ode Ardi Rasila
SHAH ALAM - Pengawal keselamatan warga Indonesia dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh kakitangan Ambank, Norazitta Abu Talib, 37, di Subang Jaya, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Datuk Akhtar Tahir terhadap La Ode Ardi Rasila, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

La Ode juga turut dijatuhi hukuman mati terhadap tuduhan kedua iaitu melakukan rompakan dengan menggunakan senjata api.

Dalam ringkasan penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, tertuduh telah sengaja melepaskan tembakan ke arah mangsa untuk melakukan rompakan.

"Keterangan tertuduh yang menyatakan bahawa dia tidak tahu dengan hanya pam senjata api itu, tembakan telah dilepaskan," katanya.

Berdasarkan keterangan pakar senjata api, tiga perkara yang perlu dilakukan sebelum melepaskan tembakan iaitu pam senjata, letak pin ke arah "fire"dan tekan picu.

"Dengan keterangan tersebut, saya tidak dapat menerima keterangan tertuduh dan tanpa sebarang keraguan menunjukkan bahawa tertuduh telah melepaskan tembakan secara sengaja dan penuh pengetahuan," katanya.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tertuduh melepaskan tembakan.

"Pada pengamatan saya, tertuduh telah mengarahkan senjata ke arah mangsa sebelum menembak. Kalau dia hendak pam senjata tersebut untuk menarik perhatian, tertuduh boleh mengarahkan senjata ke arah lain," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, La Ode, dituduh membunuh Norazitta antara jam 6.00 petang hingga  jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia juga turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili oleh Ketua Pendakwa Negeri, Mohd Azari Haron bersama Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Md Kamal manakala peguam, S Selvi dilantik oleh Kedutaan Indonesia untuk mewakili La Ode.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan La Ode yang diwakili oleh peguamnya memohon maaf kepada keluarga mangsa, kakitangan Ambank yang trauma dengan kejadian itu serta syarikat keselamatan yang telah dibatalkan lesennya serta merta disebabkan kejadian tersebut.

"Anak guam saya benar-benar sudah insaf," katanya.

Seramai 24 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang prosiding itu berlangsung sejak 24 Jun lalu.

Penggodam tweet peletakan jawatan Perdana Menteri Russia

Penggodam memecah masuk ke dalam akaun Twitter Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev.- AFP


MOSCOW: Penggodam memecah masuk ke dalam akaun Twitter Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev dan menghantar tweet bahawa beliau meletakkan jawatan dan mengecam Presiden Vladimir Putin.
"Saya akan letak jawatan. Saya malu dengan tindakan kerajaan. Maafkan saya," kata akaun Twitter Medvedev berbahasa Russia.
"Saya sememangnya hendak menyatakan ini. Vova anda salah!" kata satu lagi tweet, menggunakan nama samaran Vladimir.
Medvedev, sejak menjadi presiden pun dianggap sebagai orang kedua kepada Putin.
Jurucakap kerajaan berkata akaun Twitter Medvedev digodam dan mesejnya tidak betul.
"Kami sedang berusaha mengatasi masalah ini," kata jurucakap berkenaan kepada agensi berita kerajaan, RIA Novosti News.
Namun, mesej yan digodam itu masih tetap muncul dan akaunnya menjadi trend tertinggi di Moscow, dengan jumlah pengikut akaun berkenaan meningkat dengan pantas daripada 10,000 kepada lebih 2.5 juta.
Kebanyakan tweet yang digodam mengecam dasar kerajaan Russia.
"Crimea bukan kita punya. Sila tweet kepada orang lain," kata satu mesej ketika Medvedev, Putin dan ahli parlimen lain dijadualkan bertemu bagi membincang masalah di semenanjung Laut Hitam sejak Russia mengambilnya daripada Ukraine Mac lalu. - AFP

Tekanan lepas bercerai


  • Lelaki tersebut ditenangkan oleh orang awam sebelum dibawa ke Balai Polis Manir, Kuala Terengganu.Lelaki tersebut ditenangkan oleh orang awam sebelum dibawa ke Balai Polis Manir, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki cuba terjun dari pokok kelapa selepas dipercayai gagal mengawal emosi kerana terlalu tertekan dengan masalah keluarga, dalam satu kejadian di Kampung Telari, Manir, di sini, semalam.

Bagaimanapun, cubaan bapa kepada empat anak itu gagal apabila berjaya dipujuk oleh orang awam serta anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu dan sepasukan anggota Rakan Cegah Jenayah (RCJ) di lokasi kejadian.

Difahamkan, lelaki berusia 50-an itu mengalami tekanan sejak bercerai dengan isterinya seminggu lalu.

Sebelum kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 1 petang itu, difahamkan lelaki tersebut ada meminta wang sejumlah RM100 daripada ibunya sebelum mengamuk dan memanjat pokok kelapa berhampiran.

Terkejut dengan tindakan lelaki itu, penduduk kampung yang kebetulan berada di lokasi kejadian terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Badrul Hisham Othman berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.25 petang sebelum sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya kami ke lokasi, didapati orang ramai sedang memujuk lelaki berkenaan agar turun dari pokok kelapa, namun kami terpaksa mengambil masa kira-kira sejam setengah bagi menenteramkannya supaya turun dengan selamat,” katanya.

Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Manir, di sini, untuk siasatan lanjut.

Suami isteri maut selepas langgar Porsche Cayenne


13 Ogos 2014


IPOH - Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan isterinya maut manakala anak perempuan mereka berusia 13 tahun cedera dalam kemalangan di Seri Iskandar dekat sini semalam.
 
Dalam kejadian 12.15 tengah malam di KM30 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Maju itu, Hazli Hassan, 52, dan isteri Zalina Mahmood, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Sri Indah, Ayer Tawar selepas menghadiri majlis pengebumian bapa Hazli di Behrang.
 
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu mangsa melanggar bahagian belakang kenderaan jenis Porsche Cayenne yang berhenti di lampu isyarat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Akibat rempuhan itu, pasangan suami isteri tersebut mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan Porche tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.
 
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat sementara anak mereka menerima rawatan di hospital sama.
 
Mohamad Fakri berkata ketika kejadian cuaca baik dan laluan di situ adalah jalan lurus dengan tiga lorong serta berhampiran lampu isyarat.  - Bernama

Wanita sunyi antara mangsa sindiket Facebook


  • FacebookFacebook

KOTA BHARU - Wanita tempatan yang kesunyian merupakan antara mangsa sering diperdaya sindiket penipuan internet melalui laman sosial Facebook melibatkan warga Afrika sehingga terpaksa menanggung kerugian.

Terbaharu, seorang wanita rugi lebih setengah juta dalam kes terbaru di Kelantan sejak Januari hingga Julai lalu.

Dengan memaparkan wajah kacak dan mempamerkan gaya hidup mewah, sindiket penipuan itu sering menggoda mangsa dengan ayat-ayat cinta disusuli panggilan telefon, sebelum menjerat mangsa untuk menghadiahkan barangan mewah setelah berjaya menjadikan mangsa sebagai ‘kekasih hati’

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, berbanding tahun lalu Kelantan hanya mencatatkan 12 kes dengan jumlah kerugian RM 203,120 dan keadaan ini dipandang serius oleh pihaknya.

“Melalui siasatan yang dilakukan, ramai di antara mangsa mudah terpedaya dan hanyut dalam ‘asmara internet’ ini sehingga meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada lelaki yang kononnya boleh membahagiakan mereka dengan layanan romantik dan menghadiahkan barangan lumayan.

“Ini merupakan satu penipuan yang mencatatkan jumlah yang tertinggi di negeri ini dan kita harap supaya lebih ramai wanita diluar sana mengambil langkah waspada dan berhati-hati apabila berkenalan dengan lelaki dalam laman sosial memandangkan keadaan terbabit akan merugikan diri” katanya kepada sidang media di sini, hari ini.

Wanita Peru tidak mengaku tipu RM55,000


  • Eva Roszeznic mengaku tidak bersalah memperdayakan seorang lelaki pada 31 Julai lalu.Eva Roszeznic mengaku tidak bersalah memperdayakan seorang lelaki pada 31 Julai lalu.

IPOH – Seorang wanita warga Peru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menipu seorang lelaki sebanyak RM55,000 sebagai bayaran bagi mendapatkan wang berjumlah AS$1.65 juta, Julai lalu.

Eva Roszeznic Idesis, 52, dituduh memperdayakan Cheong Pooi Wan, 51, menyerahkan wang RM55,000 untuk membuat bayaran bagi mendapatkan wang asing berkenaan disekat security of commercial di Putrajaya yang tidak wujud bersama empat suspek lain masih bebas.

Ibu kepada empat anak itu dituduh melakukan perbuatan itu di Bank Hong Leong cawangan Pasir Puteh kira-kira jam 10.30 pagi pada 31 Julai lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammed Fauzi Md Yusof itu tidak menawarkan sebarang jaminan, namun meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam, Yazzer Azzad Zainudin memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dengan alasan tertuduh mempunyai penyakit selain perlu menjaga empat anaknya yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Majistret Suhaima Mohd Noor menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 23 September depan.

OIC: Gaza perlu dibangun semula


13 Ogos 2014


KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa supaya diadakan persidangan penderma untuk membangunkan semula segala-galanya yang musnah di Gaza akibat pencerobohan tentera Israel semasa konflik Israel-Gaza.
 
Dalam satu kenyataan, OIC melahirkan kebimbangan mendalam berhubung pendudukan Israel dan serangan tentera melalui darat, laut dan udara terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
 
Kenyataan itu dikeluarkan pada Mesyuarat Lanjutan Jawatankuasa Eksekutif Luar Biasa peringkat Menteri Luar mengenai Gaza di ibu pejabat OIC di Jeddah, Arab Saudi pada Selasa.
 
Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani berkata, keutamaan OIC sekarang dalam usaha berkaitan konflik itu adalah memastikan penamatan pencerobohan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza; menamatkan kepungan haram Israel ke atas Gaza: membuka sempadan dan membolehkan rakyat Palestin hidup dalam masyarakat yang stabil.
 
Keutamaan lain termasuk meningkatkan semua usaha bagi menyambung semula proses damai dan melindungi rakyat Palestin daripada serangan dan pembunuhan beramai-ramai serta memperkukuhkan kerajaan perdamaian kebangsaan puak-puak Palestin.

Beliau berkata, 57 negara anggota OIC secara individu dan bersama bertanggungjawab mengambil semua langkah bagi menghadapi cabaran tragedi kemanusiaan yang berlaku ini.
 
Dalam pernyataan muktamad, mesyuarat melahirkan kekesalan terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu menunaikan tanggungjawabnya bagi memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa dan mengambil langkah-langkah perlu untuk menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.
 
Ia menggesa supaya digerakkan usaha Kumpulan Perhubungan peringkat Menteri yang ditubuhkan untuk melibatkan diri bersama badan-badan antarabangsa, menghentikan pencerobohan Israel, dan menyampaikan mesej dan resolusi OIC.
 
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Luar Arab Saudi dan Pengerusi Sesi ke-41 Majlis Menteri Luar OIC Putera Saud al-Faisal dengan dihadiri Perdana Menteri Palestin Dr Rami al-Hamadallah dan beberapa orang menteri luar.
 
Malaysia diwakili Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Dalam ucapannya, Putera Saud berkata Dana Pembangunan Saudi akan terus menyediakan peruntukan Arab Saudi berhubung dengan perkara ini dan akan menyelaras dengan penderma lain untuk membiayai pembinaan semula bangunan dan rumah yang ranap akibat pengeboman tentera Israel.
 
Menteri Luar Saudi juga menarik perhatian kepada pengumuman yang dibuat Raja Abdullah Bin Abdulaziz untuk memperuntukkan 300 juta Riyal (RM255.43 juta) kepada Kementerian Kesihatan dan Palang Merah Palstin untuk membiayai usaha penjagaan kesihatan dan mengatasi kekurangan ubat-ubatan akibat pencerobohan Israel.  - Bernama

Pesawat mendarat cemas kerana cermin kokpit retak


  • Cermin kokpit retak punca pesawat lakukan pendaratan cemas. - Foto ihsan StraitstimesCermin kokpit retak punca pesawat lakukan pendaratan cemas. - Foto ihsan Straitstimes

BALI - INDONESIA. Pesawat Thai Airways terpaksa membuat pendaratan kecemasan di sini selepas cermin kokpit dilaporkan retak, semalam.

Penerbangan TG467 dari Sydney ke Bangkok yang membawa 272 penumpang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada 4.50 waktu tempatan.

Pendaratan kecemasan terpaksa dilakukan kerana retakan tersebut mampu menyebabkan tekanan udara di dalam kokpit menurun.

Penerbangan tersebut diteruskan hari ini. - Straitstimes

Pesawat dinaiki calon Presiden Brazil terhempas


  • Pesawat dinaiki calon Presiden Brazil terhempas

SAO PAULO - BRAZIL. Sebuah jet peribadi yang membawa calon Presiden Brazil, Eduardo Campos, terhempas di bandar Santos, lapor Reuters.

Menurut kenyataan Tentera Udara Brazil, pesawat Cessna 560XL dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara sebaik ia bersedia untuk mendarat.

Sementara itu, imej televisyen pula  menunjukkan kepulan asap dari lokasi kemalangan di kawasan nahas.

Seorang pegawai polis di Santos berkata, kebarangkalian berlaku kematian terhadap nahas adalah tinggi, tetapi jumlah sebenar dan maklumat tambahan masih belum boleh dipastikan.

Campos, 49, adalah bekas gabenor Pernambuco timur laut yang telah mendapat sokongan kira-kira 10 peratus daripada pengundi dalam pilihan raya baru-baru ini.

Beliau telah sendiri diletakkan sebagai berhaluan kiri yang mesra perniagaan dan merupakan sekutu bekas Presiden Dilma Rousseff, yang memohon penggal kedua.

Dalam perkembangan sama, sumber dari Parti Sosialis Brazil mendakwa, pasangan Campos, Marina Silva, tidak berada dalam pesawat berkenaan.

2 produk konon dari Madinah dikesan mudarat kesihatan


2014/08/14 - 03:10:10 AM

Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai jangan menggunakan produk berlabel Skyline Al Taqwa Sakit Pinggang & Lutut dan Skyline Al Taqwa Gaut Asam Urat yang didakwa ubat tradisional dari Madinah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) mendapati kedua-dua produk itu boleh memudaratkan kesihatan kerana mengandungi dexamethasone, sejenis kortikosteroid yang dikawal mengikut Akta Racun 1952.


Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, pengambilan dexamethasone secara berpanjangan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius seperti lemah otot, rapuh tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi dan glaukoma.

Pengambilan produk itu juga boleh menyebabkan sindrom cushing, iaitu dengan ciri muka membulat dan bahagian atas badan membesar, tapi lengan dan kaki seolah-olah mengecil selain kesan buruk psikiatri seperti euphoria atau keriangan, kemurungan dan psikosis, katanya.

Terima empat laporan kesan buruk

Beliau berkata, BPFK menerima empat laporan kesan buruk akibat pengambilan produk yang mengandungi steroid itu termasuk kesan serius seperti perubahan tingkah laku selain simptom keriangan.

Mereka yang mempunyai stok produk itu diminta menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaannya serta-merta kerana ia salah mengikut Akta Jualan Dadah 1952 selain Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak berdaftar itu pula dinasihatkan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan di talian 03-78413200, cawangannya atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my.

Pengguna produk itu diminta segera mendapatkan nasihat pakar kesihatan, manakala yang sudah mengambilnya untuk jangka masa lama, dinasihatkan supaya tidak menghentikan penggunaannya secara mendadak kerana boleh menyebabkan masalah withdrawal sindrom yang serius, katanya.

Mayat pelancong AS dalam beg pakaian

Mayat pelancong AS dalam beg pakaian

Anggota polis (kanan) memeriksa beg pakaian yang disumbat dengan mayat wanita pelancong Amerika Syarikat di balai polis Nusa Dua, kelmarin. - Foto AFP 




Denpasar: Mayat wanita seorang pelancong Amerika Syarikat ditemui disumbat dalam beg pakaian di sebuah hotel eksklusif di pulau peranginan terkenal Bali, Indonesia. Anak perempuan mangsa dan teman lelakinya kini ditahan berhubung pembunuhan itu, kata polis semalam.

Mayat Sheila von Wiese Mack ditemui kelmarin disumbat ke dalam beg pakaian di dalam teksi berhadapan hotel lima bintang St Regis dekat kawasan peranginan Nusa Dua di Bali.

Mangsa, 62, tahun ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan beberapa kesan luka di kepala dipercayai bergelut dengan penyerangnya, kata doktor.

Dia menginap di hotel berkenaan bersama anak perempuannya, Heather, 19 dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21, kata ketua polis tempatan Djoko Hari Utomo kepada wartawan.

Dirakam bergaduh

Mack dan anak perempuannya menginap di hotel itu selama beberapa hari sebelum teman lelaki anaknya menyertai mereka pada Isnin lalu, kata Utomo. Mack turut dirakam di CCTV bergaduh dengan Schaefer di lobi hotel malam yang sama, katanya.

Hari berikutnya, pasangan itu mendaftar keluar dan menghantar beberapa beg pakaian untuk dimasukkan ke dalam sebuah teksi termasuk beg yang berisi mayat mangsa.
Mayat itu ditemui apabila pasangan itu tidak muncul-muncul, kata Utomo. Mereka kemudian dilihat menerusi rakaman CCTV meninggalkan hotel menerusi jalan pantai di belakang hotel berkenaan.

Polis melancarkan operasi memburu pasangan yang akhirnya ditemui sedang tidur di sebuah hotel di Legian, utara Nusa Dua, awal semalam, kata Utomo kepada AFP.

“Ini satu pembunuhan, dan kami akan tentukan melalui siasatan sama ada ia dirancang atau secara spontan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke hospital besar di Denpasar Bali untuk bedah siasat.

Seorang doktor berkata terdapat beberapa kesan luka di kepala yang berkemungkinan disebabkan oleh benda tumpul.

“Melihat kepada bentuk kecederaan, mangsa mungkin cuba melawan,” kata Ida Bagus Alit sambil menambah salah satu jari tangan kiri mangsa juga patah.

Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta dalam satu kenyataan berkata mereka sudah dimaklumkan mengenai kematian warganya di Bali. AFP

Lelaki langgar kenderaan JPJ ditahan


Shah Alam: Seorang lelaki bertindak ganas melanggar kereta peronda dinaiki empat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas usahanya melakukan provokasi tidak dilayan anggota terbabit di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, lelaki berusia 30-an itu mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota JPJ yang bertugas namun tindakannya itu tidak diendahkan.


Menurut sumber, suspek pada mulanya mengeluarkan tomahan kepada anggota JPJ terbabit dengan menuduh ‘JPJ rasuah’ serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.



“Selain itu suspek juga mencabar dan merakam video menggunakan telefon bimbitnya untuk dimuat naik ke laman sosial.


“Semasa anggota JPJ beredar dari tempat kejadian, suspek mengekori kenderaan JPJ dan melanggar bahagian sebelah kiri sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan awam yang kebetulan melalui kawasan itu,” katanya.


Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu bas memberhentikan kenderaannya di tengah-tengah jalan menyebabkan gangguan lalu lintas.

“Anggota JPJ menghubungi polis dan hasil siasatan ke atas suspek mendapati lesen memandu lelaki itu tamat tempoh serta memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Berkawan sejak 20 tahun lalu



Putrajaya: “Mereka adalah kawan lama saya malah ada antaranya saya kenali dan berkawan rapat sejak 20 tahun lalu. Saya tidak menyangka kehilangan semuanya sekali gus,” kata Zainudin Abdullah, 41, rakan baik kepada empat sahabat yang maut dalam kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.16 pagi di Kilometer 29.5 itu, mangsa yang maut dikenali N Gopi, 28; N Murugan, 41; S Kalaiselvan, 41 dan Mazuan Malik, 42.


Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Waja dinaiki mereka dari arah Seremban ke Shah Alam hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh belakang sebuah lori pasir yang berhenti di lorong kecemasan.



Semua mangsa maut serta merta di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.


Zainudin yang ditemui di lobi Jabatan Forensik Hospital Putrajaya berkata, kali terakhir dia menemui empat rakannya itu jam 1 pagi semalam di Seremban bagi membincangkan urusan perniagaan sebelum semua rakannya itu bertolak ke Juru, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Pasangan balik tahlil maut dekat lampu isyarat


Seri Iskandar: Sepasang suami isteri maut, manakala anak perempuannya parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Maju, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu Hazli Hassan, 52, bersama isterinya, Zalina Mahmood, 50, dan anak mereka, Amirah Syahirah Hazli, 13, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh bahagian belakang kenderaan utiliti sukan jenis Porsche Cayenne S yang berhenti di lampu isyarat di situ.


Keluarga malang itu dalam perjalanan pulang dari Behrang ke rumah mereka di Taman Sri Indah, Ayer Tawar, dekat sini.



Adik Zalina, Zaki Mahmood, 40, berkata, sebelum itu, keluarga terbabit menziarahi jenazah bapa kepada abang iparnya di Behrang dan bergerak pulang sejurus majlis tahlil selesai.


“Kami mengetahui kejadian ini apabila mendapat panggilan daripada seorang wanita berbangsa Cina yang menghubungi nombor telefon seorang lagi kakak saya bagi memaklumkan mengenai kemalangan itu, namun tidak begitu jelas.


““Kami kemudian cuba menghubungi semula nombor berkenaan, namun gagal dan hanya mengetahui kemalangan itu berlaku di kawasan Seri Iskandar. Saya terus menelefon Balai Polis Seri Iskandar untuk mendapat kepastian dan mereka memaklumkan memang ada kemalangan tetapi tidak dapat disahkan lagi siapa yang terbabit,”” katany, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.30 pagi dan siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah terutamanya di bahagian kepala.


“Mangsa dipercayai meninggal dunia berikutan pendarahan dalaman yang serius akibat hentakan kuat di bahagian hadapan kenderaan.

“Kenderaan yang dipandu mangsa remuk teruk terutamanya di bahagian bonet depan, manakala Porsche Cayenne hanya mengalami kerosakan di bahagian belakang bonet,” katanya.


Menurutnya, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Anak dihempap kereta depan ibu



Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar: “Luluh hati saya bila lihat jasad anak dalam keadaan berlumuran darah akibat dihempap kereta. Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku di depan mata dalam sekelip mata.”

Itulah luahan Sharifah Yusof, 39, ibu kepada Muhammad Ilham Zaki Saaidi, 8, yang maut dalam kejadian di Jalan Bagan Tiang, Tanjung Piandang, semalam.


Kejadian berlaku jam 7 pagi apabila kereta jenis Proton Saga Aeroback yang dipandu Sharifah, terbabas dan terbalik akibat terlanggar kabel penyokong tiang elektrik di tepi jalan ketika dalam perjalanan menghantar anak lelakinya itu ke sekolah selepas menghantar seorang lagi anak lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Lope, Tanjung Piandang di sini.



Mangsa yang juga pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Megat Aris, Bagan Tiang, tercampak melalui tingkap penumpang hadapan sebelum dihempap kenderaan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Menurut Sharifah, dia hanya mampu menjerit memanggil nama anaknya berkali-kali selepas kereta yang dinaiki terbabas dan terbalik dalam kejadian itu.


“Saya hanya terdengar bunyi cermin kereta bahagian penumpang pecah dan selepas kereta terbalik, saya terkejut apabila mendapati Muhammad Ilham sudah tidak sedarkan diri akibat dihempap bahagian sisi kereta,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, abang mangsa, Johan Arif Muhammad, 13, berkata, dia tidak menyangka kehilangan adiknya selepas mereka bersama-sama menaiki kereta untuk ke sekolahnya sebelum kejadian itu.


“Sebelum ini, hubungan kami amat rapat, malah kami sering bermain bersama adik kecil yang berusia dua tahun.

“Tetapi, sikap adik (Muhammad Ilham), berubah sejak kebelakangan ini, malah dia turut pergi memancing di parit hadapan rumah berseorangan pada lewat petang semalam (kelmarin). Saya benar-benar terasa kehilangan arwah kerana dia seorang adik yang baik,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Mat Fauzi Nayan berkata, ketika dalam perjalanan ke sekolah mangsa, kenderaan yang dinaiki mangsa dan ibunya difahamkan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke bahagian sisi sebelah penumpang selepas tayar kereta terlanggar kabel penyokong tiang elektrik di tepi jalan.


“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa yang berada di bahagian hadapan tempat duduk penumpang tercampak keluar sebelum dihempap kenderaan itu.


“Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah, maut di tempat kejadian, manakala ibunya hanya cedera ringan,” katanya.


Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Ipar amuk kunci motor hilang


Kuala Lumpur: Seorang wanita cedera dan lebam di badan selepas diserang kakak iparnya di kediaman keluarga mereka di Cheras di sini, kelmarin, selepas dituduh mencuri kunci motosikal.

Dalam kejadian jam 11.00 malam itu, mangsa berusia 46 tahun yang baru pulang dari tempat kerja dihampiri kakak iparnya berusia 50-an yang bertanyakan kunci motosikal miliknya.


Sumber polis berkata, mangsa bagaimanapun memberitahu dia tidak tahu menahu mengenai kunci motosikal itu, namun kakak ipar tetap menuduhnya menyembunyikan kunci itu.



“Mangsa bagaimanapun enggan melayan kakak iparnya itu sebelum masuk ke dalam bilik. Namun suspek yang tidak berpuas hati bertindak menendang pintu sehingga pecah.


“Akibatnya berlaku pertengkaran antara mereka selama beberapa minit sebelum bertukar menjadi ganas apabila suspek terus menyerang dan memukul mangsa dengan kayu,” katanya.


Sumber berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan lebam di badan selepas dibelasah suspek.

“Bimbang kejadian sama berulang mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Krim ‘ajaib’ VIP diserbu


Kajang: Sebuah syarikat produk kecantikan milik pasangan VIP diserbu pihak berkuasa selepas dikesan menjual krim ‘ajaib’ yang didakwa kononnya boleh menyembuhkan 30 penyakit serentak.
Dakwaan tidak munasabah itu mengundang rasa musykil berikutan krim itu dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit bahaya seperti sakit jantung, lumpuh dan kencing manis dengan hanya menyapu krim itu pada kulit tubuh.

Sumber Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kewujudan krim ajaib itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan orang ramai.
Susulan itu sepasukan pegawai BPF Selangor melakukan pemeriksaan mengejut di premis syarikat itu kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, premis itu bertanggungjawab mengedarkan krim berkenaan kepada puluhan stokis di seluruh negara.

“Pihak BPF merampas sembilan kotak produk krim itu yang dijual dengan harga RM40 setiap kotak. Bagaimanapun kebanyakan produk krim itu dipercayai sudah dihantar kepada stokis yang dilantik.
Foto
ANGGOTA farmasi merampas produk krim yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.
“Siasatan mendapati pemilik produk itu melakukan kesalahan serius berikutan mendakwa produk krim dijual itu boleh menyembuhkan pelbagai penyakit,” katanya.

Dia berkata, berdasarkan risalah diedarkan, produk itu didakwa mampu menyembuhkan penyakit berbahaya seperti batu karang, asma, gout, darah tinggi, kencing manis, sakit pinggang, sakit jantung, migrain dan pelbagai penyakit lain.
“Malah, krim itu turut dikatakan boleh menyembuhkan bisa akibat patukan ular dan sengatan haiwan. Semua dakwaan ini dianggap tidak munasabah dan meragukan.

“Tindakan itu jelas menyalahi Akta Ubat (iklan dan penjualan) 1956. Dua kakitangan syarikat itu sudah diambil keterangan berhubung penjualan produk itu yang didakwa diimport dari Brunei,” katanya.

Dia berkata, peniaga produk kecantikan atau makanan kesihatan seharusnya tidak meletakkan iklan atau mengedarkan risalah mendakwa produk dijual boleh merawat penyakit tanpa kelulusan KKM.

“Apa yang berlaku kini ramai pengusaha produk kecantikan dan makanan menggunakan iklan tidak munasabah untuk menarik perhatian pelanggan serta mendapatkan keuntungan.

“Mereka ini menggunakan promosi di media massa untuk meyakinkan pengguna sedangkan produk dijual bukanlah ubat disahkan KKM,” katanya.

Menurutnya, antara 20 penyakit yang dilarang mutlak untuk diiklankan adalah penyakit ginjal, jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, lelah, kusta, barah, pekak, penagihan dadah, burut, penyakit mata, tekanan darah tinggi, sakit otak, mandul, mati pucuk, penyakit kelamin, lemah urat saraf hubungan seks dan dingin rasa seks.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Padah sambut Hari Kekasih


Buraidah (Arab Saudi): Sebuah mahkamah rayuan di sini, semalam mengekalkan keputusan mahkamah jenayah yang menjatuhkan hukuman 39 tahun penjara ke atas lima lelaki, termasuk tiga anggota tentera kerana menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day).

Mereka semuanya warga tempatan ditahan pasukan pencegah maksiat 14 Februari lalu yang menyerbu rumah peranginan di luar bandar ini, tempat kelima-lima lelaki itu berpesta bersama-sama enam wanita.



bukan muhrim mereka.

Turut dirampas dalam serbuan itu sejumlah bunga ros dan arak buatan tempatan.

Kelima-lima suspek mengaku menari dan bertemu secara sulit dengan wanita itu.

Tertuduh pertama dipenjara lima tahun dan juga seribu sebatan, tertuduh kedua dan ketiga, tujuh tahun penjara dengan 1,500 sebatan manakala tertuduh keempat dan kelima dipenjara 10 tahun dan 2,000 sebatan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Rugi RM500,000


Kampar: Seorang pengusaha pasir mendakwa mengalami kerugian hampir RM500,000 selepas pihaknya tidak dibenarkan mengorek pasir di kawasan lombong yang diwartakan sebagai Zon Perlombongan Silika, Malim Nawar, dekat sini, meskipun sudah mendapatkan lesen pemindahan bahan mineral daripada kerajaan negeri sejak dua bulan lalu.

Pengusaha berkenaan, Datuk Ahmad Shahbudin Ali Akhbar berkata, dia sudah mendapat kelulusan untuk mengorek pasir di kawasan seluas 20 ekar itu, namun tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja berkenaan oleh peneroka tanaman yang mendakwa sudah mengusahakan tanaman di situ sejak 2008.


“Kami cuba berunding secara aman dengan menawarkan kepada pihak peneroka gantian setiap ekar pasir yang diambil dengan tanah, malah membayar setiap satu ekar pasir dengan harga RM4,000.

“Kami sudah banyak tanggung rugi berikutan lesen yang diluluskan selama tiga bulan hanya tinggal sebulan saja lagi sedangkan kami masih belum buat apa-apa pengeluaran pasir di kawasan itu,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan sebanyak lima kali, namun peneroka tanah itu masih berdegil menyebabkan pihaknya mengalami kerugian setengah juta sejak lesennya diluluskan pada 24 Jun lalu.


“Kami tidak kejam, walaupun mempunyai surat.

“Kami hanya mahu mengambil pasir keluar tanpa merosakkan tanaman mereka, malah kami membayar pasir yang diambil dan menggantikan peralatan tanaman yang rosak seperti paip air dan pagar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Berikutan itu, menurutnya, dia mengambil tindakan merobohkan pagar kawasan tanaman peneroka itu bagi menjalankan kerja pengeluaran pasir semalam.



Sementara itu, peneroka tanaman yang mahu dikenali sebagai Ah Chai berkata, dia diberi tapak untuk menjalankan industri tanaman sejak 2008 dan dibekalkan dengan 169 pekebun.


“Saya akan rugi banyak sekiranya tanah di situ diambil. Mereka hanya membeli tanah di situ dengan harga RM4,000 seekar, itu akan merugikan saya.


“Memang mereka akan menggantikan tanah itu, tapi kita tidak tahu tempoh masa tanah itu diganti. Hal ini akan menjejaskan tanaman saya dan saya rugi,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


Suasana di kawasan tanah berhampiran lombong yang terletak kira-kira lima kilometer dari jalan utama menjadi tumpuan ramai apabila beberapa individu memenuhi kawasan berkenaan termasuk kumpulan peneroka.


Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar turut berada di kawasan berkenaan bagi mengawal keadaan.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan kejadian berkenaan, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

4 maut minum arak buatan sendiri



Jakarta: Empat lelaki mati selepas meminum arak buatan sendiri di sebuah rumah kedai di Karangsatria, malam Isnin lalu.

Polis semalam berkata, beberapa peminum arak sama kini dirawat di Hospital Anna Medika.

Jurucakap polis berkata, mereka penduduk dari kawasan Babelan.

Mengenai kaki botol yang mati itu, polis berkata, mereka tidak dapat menjalankan bedah siasat kerana mayat berkenaan sudah ditanam.

Kata jurucakap itu, waris pula enggan melaporkan kematian berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Seorang daripada mangsa berkata, arak berkenaan dicampur dengan bahan penguat tenaga batin.

“Dakwaan itu masih disiasat dan polis melihat kemungkinan ada bahan lain turut dicampurkan,” katanya.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Pemilik 54 lembu putih mata


Maran: Kegembiraan menyambut Syawal bagi sembilan penternak di FELDA Jengka 2 berakhir dengan kesedihan apabila 54 ekor lembu milik mereka hilang dipercayai dicuri oleh sindiket Geng Lembu yang menggunakan ubat pelali.

Kejadian kehilangan lembu milik penternak terbabit dipercayai mula berlaku pada Ramadan lalu sebelum semua mangsa membuat laporan di Balai Polis Maran kelmarin, selepas gagal mengesan lembu berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM108,000.


Seorang mangsa, Razali Abu, 60, mendakwa kehilangan haiwan berkenaan berlaku dalam tempoh berasingan sebelum menyedarinya ketika hendak mengira semula ternakan dipeliharanya sejak tiga bulan lalu.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan kehilangan 15 ekor lembu miliknya berlaku pada waktu malam apabila pencuri dipercayai menggunakan ubat pelali sebelum menyuntik pada badan lembu berkenaan.


Menurutnya, dia mengakui tidak menggunakan kandang sebagai tempat mengurung semua ternakannya itu, sebaliknya membiarkan haiwan terbabit bebas berkeliaran di dalam ladang kelapa sawit termasuk di tepi jalan.


“Saya percaya pencuri terbabit bukan saja menggunakan ubat pelali, malah sebuah kenderaan pacuan empat roda turut digunakan sebagai kenderaan utama untuk menyumbat dan membawa lari ternakan berkenaan.

“Saya amat berharap polis dapat melakukan rondaan setiap hari, terutama tengah malam bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid mengesahkan menerima laporan dibuat oleh sembilan penternak terbabit, kelmarin.



Menurutnya, polis mengingatkan semua penternak supaya mengurung semua lembu peliharaan dan tidak membiarkannya berkeliaran di merata tempat, sekali gus dapat mengelakkan kecurian berlaku.


“Polis akan melakukan rondaan bagi membanteras kegiatan curi lembu, selain meneruskan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Sumbat ibu dalam beg


Mayat Sheila von Wiese Mack ditemui disumbat dalam beg berkenaan dan disimpan dalam but sebuah teksi di depan Hotel St Regis, Nusa Dua kelmarin. 
Sumber berkata, mayat Sheila ditemui separuh bogel dengan beberapa kesan kecederaan di kepala. 

“Polis percaya mangsa melawan ketika cuba dibunuh,” katanya.
Foto
POLIS Bali memeriksa beg pakaian berisi mayat Sheila di depan hotel lima bintang, semalam.

Ketua Polis Nusa Dua, Djoko Hari Utomo pula berkata Sheila, 62, menginap di hotel lima bintang itu bersama anaknya, Heather, 19, selama beberapa hari sebelum teman lelaki remaja terbabit, Tommy Schaefer, 21, datang untuk tinggal bersama.

“Pada malam Isnin, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Sheila bertengkar dengan Schaefer di lobi hotel. 

“Keesokan hari, Heather dan Schaefer mendaftar keluar dengan membawa beberapa beg pakaian yang polis percaya satu daripadanya berisi mayat Sheila,” katanya. 
Djoko berkata, mayat wanita terbabit ditemui selepas Heather dan Schaefer menghilangkan diri dan ditunggu lama pemandu teksi. 

Siasatan polis, katanya, menunjukkan pasangan terbabit meninggalkan hotel berkenaan melalui pantai di bahagian belakang. 

Polis menjalankan operasi dan mengesan mereka tidur di sebuah hotel di Legian semalam. 

“Ini adalah kes bunuh,” katanya. 

Pemeriksaan menunjukkan mangsa dipukul dengan objek tumpul dan satu daripada jarinya patah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14

Empat maut langgar lori pasir


Putrajaya: Empat lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 29.5 Lebuhraya ELITE, di sini jam 5.16 pagi tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Saidon Amean berkata, mangsa membabitkan empat lelaki berusia lingkungan 30-an ke 40-an menaiki kereta Proton Waja dalam perjalanan ke Shah Alam.
Menurutnya, bagaimanapun, kereta berkenaan dipercayai memasuki lorong kecemasan dan melanggar belakang sebuah lori pasir yang berhenti di lorong berkenaan.

"Berikutan itu, keempat-empat mangsa dalam kereta berkenaan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.
Foto
KEADAAN kereta yang remuk selepas melanggar belakang sebuah lori pasir.

Saidon berkata, pemandu lori terbabit menghentikan kenderaannya di lorong kecemasan berikutan tayar lori berkenaan bocor.

Semua mangsa terbabit dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Murid maut dihempap kereta ibu


Parit Buntar: Seorang murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Megat Aris, Bagan Tiang di sini, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandu ibunya ketika dalam perjalanan ke sekolah, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, difahamkan kenderaan itu terbabas dan terbalik akibat melanggar kabel elektrik di kiri jalan.
Mangsa Muhammad Ilham Zaki, 8, yang lengkap berpakaian sekolah maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari tingkap hadapan tempat duduk penumpang sebelum dihempap kereta itu.

Jurucakap polis mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.
Foto
MANGSA maut di tempat kejadian
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Maut selepas koma enam hari


Kuala Lumpur: Seorang bayi perempuan yang dipercayai mangsa dera akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 7 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh, dekat sini, selepas tidak sedarkan diri sejak Khamis lalu.
Bapa saudara bayi terbabit yang mahu dikenali sebagai Helmi berkata, mangsa Nurain Damia Mohamad Naqiuddin berusia setahun dua bulan sebelum itu menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepala selepas dikejarkan ke hospital pada Khamis lalu dan berada dalam keadaan koma selama enam hari.
"Buat masa ini jenazah Damia sedang menjalani proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Cheras iaitu di kawasan perumahan neneknya," kata Helmi ketika dihubungi Harian Metro.

Nurain Damia disahkan mengalami pendarahan otak selepas didakwa terjatuh daripada kerusi ketika di bawah jagaan pengasuhnya.
Foto

Bagaimanapun ibu mangsa kemudian membuat laporan polis selepas mengesyaki anaknya didera dan mendakwa sebelum ini ada kesan lebam pada badan bayi itu.

Damia sudah dua bulan diletakkan dalam jagaan pengasuh berusia 30-an yang turut menjaga seorang lagi kanak-kanak lelaki.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Wang penumpang MH370 lesap

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Sejumlah wang milik penumpang pesawat MH370 sebanyak RM100,000 dilaporkan lesap daripada akaun bank mereka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan selepas laporan dibuat seorang pekerja bank terbabit.
"Seorang individu tidak dikenali memindahkan wang daripada tiga akaun mangsa kepada akaun mangsa keempat sebelum traksaksi seterusnya dibuat melalui mesin ATM dan kios bank.

"Polis sedang mengesan lokasi pengeluaran berkenaan untuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjejaki individu berkenaan," katanya.
Foto

Katanya, pengeluaran berkenaan membabitkan RM100,000 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, 8 Mac lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi pada 24 Mac berikutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

Terperosok bawah lori


Putrajaya: Empat lelaki maut selepas kereta Proton Waja dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah lori pasir dalam kemalangan di Kilometer 29.5Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 5.16 pagi itu, empat mangsa terbabit, N Gopi, 28; N Murugan, 41; S Kalaiselvan, 41 dan Mazuan Malik, 42, dalam perjalanan dari Seremban ke Shah Alam. 
Bagaimanapun, kereta yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh belakang lori pasir berhenti di lorong kecemasan. 

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, semua mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Foto
KEADAAN kereta yang terperosok bawah lori pasir.

“Semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/14