Orang awam yang mengerumuni lokasi nahas mengalihkan lembu yang mati di tengah jalan selepas kejadian itu.
KEMAMAN – “Makcik tengok cucu tak mahu berenggang dengan arwah, tapi tak terlintas di fikiran yang arwah akan habis umur (meninggal dunia),” kata ibu kepada seorang mekanik, Mohd Nurul Hafizul Mohd, 30, yang terbunuh selepas motosikal ditungganginya terlanggar lembu, malam kelmarin.
Nahas berlaku kira-kira jam 8 malam di Kilometer 131.9 Jalan Lama Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Titian Berayun, Kijal, semasa mangsa dalam perjalanan pulang dari rumah orang tuanya di Rumah Murah Pantai Penunjuk, Kijal ke rumah mentua di Kampung Gong Chengal, Kemasik.
Mangsa yang bakal menyambut kelahiran anak ketiga, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala selepas tercampak sejauh kira-kira 10 meter sejurus terlanggar seekor lembu yang melintas jalan.
Akibat kemalangan itu, motosikal Honda EX5 dinaikinya rosak dan lembu terbabit pula mati di tengah jalan.
Isteri sarat mengandungMadiah Mokhtar, 54, yang juga penjual lemang di deretan Gerai Lemang Kijal berkata, paling menyedihkan apabila Allahyarham ‘pergi’ saat isterinya, Noor Zalwati Mohd Yusoff, 33, sarat mengandung sembilan bulan.
Kata Madiah, dalam kejadian itu, anaknya keluar dari rumah mereka kira-kira jam 7.45 malam untuk pulang ke rumah mentua kerana dia bersama isteri dan dua anak tinggal di situ.
“Pada waktu petang sebelum kejadian, makcik bawa cucu (anak sulung arwah - Muhammad Haiqal Zafran, 4) ke Chukai. Lebih kurang jam 5.30 petang, arwah datang ambil anaknya lepas dia balik dari kerja di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kampung Mak Lagam, Chukai.
“Dia datang ambil cucu dekat deretan Gerai Lemang Kijal, tempat makcik berniaga. Cucu nampak ceria dengan ayahnya itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman.
Hafizul yang juga anak kedua daripada lima beradik kemudiannya menghantar Muhammad Haiqal Zafran balik ke Kemasik sebelum dia kembali semula ke rumah orang tuanya di Kijal.
Mengadu sakit bahuMadiah berkata, sehari sebelum kemalangan, Hafizul tidur di rumahnya kerana letih disebabkan banyak kerja di bengkel.
“Semasa berada di rumah, makcik dengar keluhannya. Dia mengadu sakit bahu kiri, kesan kemalangan yang dialaminya beberapa tahun lepas.
“Sendi bahunya yang terkeluar masih belum masuk ke kedudukan asal, jadi makcik berhajat nak bawa dia pergi berurut dalam beberapa hari lagi. Namun belum sempat makcik bawa dia berurut, dia habis umur (meninggal dunia),” katanya sambil mengalirkan air mata.
Adik tak tunjuk perubahanSementara itu, abang mangsa yang masih bujang, Nurul Faizal, 32, berkata, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian tersebut.
“Kali terakhir saya bercakap dengannya ketika saya pulang ke rumah pada jam 6.30 petang. Waktu saya balik, dia dah ada di rumah, tapi saya tak nampak sebarang kelainan dan tidak sangka musibah ini akan terjadi,” katanya.
Enam kes kemalangan mautDalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian berkenaan.
Mayat mangsa tiba di Hospital Kemaman untuk pemeriksaan kira-kira jam 10 malam sebelum dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Penunjuk.
Dengan kes berkenaan, sejak Januari hingga kelmarin, Kemaman mencatatkan kira-kira enam kes kemalangan maut disebabkan haiwan ternakan melintas sekali gus menuntut semua pihak lebih cakna agar masalah tersebut tidak berlaku lagi pada masa akan datang.