Search This Blog

Saturday, August 9, 2014

Belalai air PD

Port Dickson: Fenomena angin puting beliung kecil di permukaan laut atau dikenali sebagai belalai air yang berlaku di perairan Pantai Batu 2, di sini, semalam, bukan saja menggemparkan penduduk bandar ini, malah turut menjejaskan aktiviti nelayan setempat.
Beberapa penduduk ditemui mengakui terkejut menyaksikan fenomena itu pada jam 9.30 pagi, namun bersyukur kerana ia hanya berlaku di kawasan laut.
Begitupun, beberapa nelayan setempat mengeluh kerana kebanyakan mereka yang sedang melabuhkan pukat di tengah laut terpaksa berpatah balik kerana bimbang dipukul ribut.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Port Dickson Mohd Nor Sulaiman, 30, berkata, ketika kejadian dia dan bapa saudaranya, Awaludin Buyung, 53, sedang menunggu hasil tangkapan laut berhampiran Pulau Arang satu batu nautika dari Pangkalan Nelayan Port Dickson, di sini, sejak jam 7 pagi.
Foto
KEJADIAN puting beliung yang sempat dirakam berhampiran Pantai Batu 2, Port Dickson, semalam.

Katanya, tiba-tiba satu pusaran angin berlaku di permukaan laut dan menghasilkan puting beliung selebar 4.6 meter tidak jauh dari mereka menyebabkan kedua-duanya terpaksa bergegas pulang ke pangkalan kerana bimbang menjadi mangsa.

“Kami terkejut dan segera berkemas untuk pulang. Walaupun terkilan tidak dapat mencari rezeki hari ini (semalam), namun bersyukur kerana selamat pulang ke jeti. Biasanya kami dapat hampir RM200 sehari melalui jualan hasil laut,” katanya yang sudah menjadi nelayan selama 15 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Jabatan Meteorologi Malaysia Alwi Bahari berkata, puting beliung kecil itu akan berlaku jika ada ribut petir.

Katanya, fenomena pusaran angin yang terbentuk di permukaan air sering berlaku di kawasan iklim tropika.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Tetak kepala ibu, abang


Kuala Lumpur: Seorang lelaki tergamak menetak ibu dan abangnya selepas dia mengamuk dan cuba membunuh diri dengan membakar kediaman mereka dalam kejadian di Taman Bukit Anggerik, Cheras, di sini, petang semalam
Dalam kejadian jam 2.40 petang, suspek berusia 50 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak membakar kediaman keluarganya menyebabkan berlaku letupan di dalam rumah sebelum dia menyerang ibu dan abangnya berusia 80 dan 60-an. 
Ketua Polis Daerah Cheras Senior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati suspek mengamuk serta menetak mangsa dengan parang dan mengurung diri dalam sebuah bilik. 

Menurutnya, mangsa yang cedera di kepala dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan dan kini dalam keadaan stabil.
Foto
MANGSA yang cedera menerima rawatan daripada anggota bomba.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan, namun dipercayai suspek di bawah pengaruh dadah.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Maut di lebuh raya PLUS


Behrang : Seorang lelaki maut selepas kertanya terbabas, melanggar penghadang jalan dan terjatuh ke gaung sedalam hampir 100 meter di KM391.3 lebuh raya PLUS arah Selatan, di sini, 12.45 tengah hari ini.

Dalam kejadian itu, Allan Dowse, 56, dari Petaling Jaya Selangor tersepit di tempat duduk pemandu keretanya, Nissan Cefiro, dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.51 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Slim River diketuai pegawai bomba Azizul Rahman, pergi ke tempat kejadian.

Katanya, pasukan itu terpaksa menggunakan alat pemotong untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan operasi tamat pada 1.44 petang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Pekerja Hospital Melaka maut motosikal langgar pokok


Oleh Mohd Hilmie Hussin
Melaka: Seorang pekerja penyelenggaraan di Hospital Melaka maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar pokok di Jalan Duyong-Bukit Baru, di sini, 1.15 pagi ini.

Dalam kejadian itu, Muhammad Khairil Aziz, 25, dari Kampung Bukit Pegoh, Pernu, di sini dipercayai mahu ke rumah rakannya berdekatan Kampung Paya Ikan.


Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Razali Abu Bakar berkata, mangsa meninggal di tempat kejadian.

"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki 150RR dipercayai bergerak dari persimpangan lampu isyarat Duyong ke arah persimpangan lampu isyarat Paya Ikan. Ketika tiba di Jalan Duyong-Bukit Baru, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok," katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Mujur baru sudah makan


Oleh Omar Osman
Sungai Petani: Seorang wanita berusia 28 tahun bersama dua anaknya berusia empat tahun dan setahun nyaris maut apabila sebuah lori tanah hilang kawalan dan merempuh rumah mereka dekat Sungai Lalang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam di Kampung Tepi Sungai, Sungai Lalang, lori tanah yang datang dari arah pekan Sungai Lalang dipercayai dipandu laju gagal dikawal selepas melalui jambatan dan merempuh rumah mangsa.  


Lori terbabit sepatutnya membelok masuk ke jalan di sebelah kiri jambatan namun gagal berbuat demikian selepas brek lori didakwa tidak berfungsi menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu merempuh rumah mangsa yang terletak kira-kira 100 meter dari jambatan itu.

Menurut mangsa, Zalinadia Ali, ketika kejadian dia baru saja pergi ke dapur bersama dua anaknya selepas selesai memberi mereka makan di ruang depan.


"Baru beberapa minit ke dapur tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat di hadapan rumah. Saya kemudian segera melihat apa yang berlaku namun terkejut apabila mendapati kepala sebuah lori berada di dalam rumah dimana betul-betul tempat saya dan dua anak saya makan sebelum itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Ajal dua sahabat


Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Batu Pahat : Kegembiraan dua pelajar tingkatan enam yang baru pulang beraya dari rumah gurun mereka di Parit Kuda, Semerah disini bertukar duka apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Parit Bisu di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Nur Farah Artika Kamarulzaman, 18, dan Hafizah Zakaria, 18, parah di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.


Namun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di HSNI pada jam 11 malam tadi

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5 bertembung dengan sebuah Perodua Kenari dari arah bertentangan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Ajal digilis komuter


Oleh Muhaaamad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 40-an maut digilis komuter berhampiran Stesen Komuter Subang Jaya, dalam kejadian petang semalam, selepas dia yang dipercayai mabuk memasuki kawasan landasan itu.

Dalam kejadian 2 petang kelmarin, mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk berdasarkan penemuan botol arak di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, buat masa ini, identiti mangsa belum dikenal pasti kerana tidak menemui dokumen peribadi bersamanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Api ‘jilat’ kaki


Kota Bharu: “Saya terasa kaki panas sebelum tersedar melihat api marak di depan pintu bilik,” kata Mohd Afzan Mas Hassan, 26, mangsa kebakaran di Kampung Binjai, Bukit Marak, semalam.
Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, Mohd Afzan melecur di kaki dan badan selepas disambar api sebelum sempat menyelamatkan diri.
Mengimbas detik cemas itu, Mohd Afzan berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama anak tunggal Abdul Waqiuddin, 3, manakala kakak sulungnya, Siti Masahana, 27, sedang mandi.
Menurutnya, tidak sampai setengah jam dia melelapkan mata, tiba-tiba terasa bahang panas berdekatan dengannya.
“Sebaik membuka mata, saya terkejut melihat api besar sebelum mengangkat anak dan meletakkan di luar rumah.
“Menyedari kakak tiada di luar, saya masuk ke dapur dan memanggilnya yang sedang mandi supaya menyelamatkan diri,” katanya.
Menurutnya, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana api terlalu cepat merebak keseluruhan rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang didiami bersama ibunya, Azizah Shaari, 55.
“Kami kerugian kira-kira RM100,000 apabila empat motosikal, barangan kemas dan wang tunai milik ibu hangus.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat,” katanya memberitahu ibunya tiada di rumah kerana melawat saudara di Kuala Krai.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu,Azmi Shafii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.36 petang dan menghantar 15 anggota.
“Setiba di lokasi kejadian kami dapati hampir 80 peratus rumah sudah terbakar.
“Jumlah kerugian sebenar dan punca kejadian kebakaran masih disiasat,” katanya.
Foto
MOHD Afzan menunjukkan kecederaan pada badannya kepada rakan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Hospital pun tak selamat


Kenema, Sierra Leone: Hospital kerajaan kini bukan lagi dilihat sebagai tempat mendapat rawatan semata-mata sebaliknya ia boleh menjadi ‘perangkap kematian.’

Wad di hospital itu dikosongkan dalam usaha pihak berkuasa mengawal penularan wabak Ebola yang setakat ini sudah membunuh ramai mangsa dari sehari ke sehari.


Ketika pesakit sepatutnya bertumpu ke hospital untuk mendapatkan bantuan, mereka sebaliknya menjauhinya - kecuali segelintir. Ebola ialah sejenis penyakit sangat berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.



Ia mampu berjangkit melalui darah, sentuhan secara langsung dan makanan.


Pada ketika tertentu, empat kematian dicatatkan di Hospital Kenema dan pada masa sama, individu yang dijangkiti menjauhkan diri daripada doktor menyebabkan usaha mengekang penularan wabak itu kian sukar. Ketika media membuat tinjauan di hospital berkenaan semalam, mereka dikejutkan dengan sergahan kakitangan perubatan.


“Jangan sentuh dinding di sini! Semuanya sudah tercemar!” katanya. Sementara itu, Timbalan pengarah hospital berkenaan, Albert J Mattia berkata, tidak ramai yang meninggal di hospital itu kerana kebanyakan antara mereka meninggalkan ‘perangkap kematian’ lebih awal.

“Kebanyakannya mangsa mati di kediaman masing-masing dan kadang-kadang angka kematian mencecah lima hingga enam orang sehari,” katanya.


Kenema adalah bandar terbesar di Sierra Leone dan menjadi penghubung kepada kawasan paling teruk dilanda Ebola.

Lebih 930 orang, termasuk di Sierra Leone, maut sejak wabak itu dikesan semula Mac lalu. Lebih 20 petugas perubatan sendiri meninggal dunia kerana merawat pesakit dijangkiti wabak berkenaan. Sementara itu di Liberia, mayat mangsa Ebola dilaporkan terbiar di jalanan atau rumah di seluruh ibu negeri, Monrovia. Ketika orang ramai membuat sekatan jalan raya bagi memastikan pekerja perubatan mengalih mayat berkenaan, hospital di bandar itu pula ditutup.


Tidak dapat dipastikan beramai ramai mangsa Ebola meninggal dunia setakat ini. Sukarelawan pertubuhan amal Doctors Without Borders, Alexis Moens berkata, suasana di Kenema amat berisiko dan menakutkan. “Tiada pengasingan, tiada sistem. Anda tersalah langkah, anda dijangkiti,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Wanita ditahan cuba seludup RM3 juta


Mukdahan, Thailand: Seorang wanita ditahan kerana cuba menyeludup wang tunai sebanyak 30 juta baht (RM3 juta) dari Thailand ke Laos melalui Jambatan Persahabatan.

Ketua pegawai kastam Mukdahan, Woraphat Chaovisit berkata, wanita dikenali sebagai Matapon, 42, cuba menyeludup masuk wang itu melepasi pemeriksaan imigresen Thai-Laos.


“Suspek membawa 30 ikat wang tunai yang berjumlah 1 juta baht setiap satu,” katanya.

Katanya, pihaknya bertindak hasil maklumat yang diberikan kepada kastam dan menahan lori pikap dipandu suspek ketika dia tiba di pusat pemeriksaan itu kelmarin.


Selepas lori digeledah, pihaknya menemui wang itu disorokkan di bawah kerusi bahagian depan dan belakang di dalam kotak peralatan.

Matapon menjelaskan majikannya di Laos mahu menggunakan wang itu untuk membeli minuman tenaga, tetapi dia tidak sempat membuat pembayaran kerana bank tutup.

Justeru, Matapon mendakwa dia terpaksa membawa semua wang itu bersamanya ke Laos.

Bagaimanapun, pihak kastam tetap meragui penjelasan wanita berkenaan.

Undang-undang Thai melarang individu membawa wang 500,000 baht (RM50,000) ke luar negara tanpa kebenaran pihak berkuasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Umat Islam 3 negara berisiko dilarang tunai haji


2014/08/09 - 03:29:12
Riyadh: Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan individu dari Sierra Leone, Guinea dan Liberia, di mana kes jangkita virus Ebola paling banyak dilaporkan, tidak dibenar mendapatkan visa untuk menunaikan Haji atau Umrah.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab berkata, pihaknya sudah memaklumkan arahan itu kepada pegawai di semua pintu masuk negara.


“Kami sudah melatih kakitangan kami untuk mengenal pasti dan menangani kes Ebola dan kawalan jangkitan virus, sekiranya ia berlaku,” katanya.

Seorang lelaki yang mungkin dijangkiti Ebola dan menunjukkan "tanda demam virus berdarah" dimasukkan ke sebuah hospital di Jeddah, Arab Saudi, Selasa lalu.

Dia meninggal dunia tidak lama selepas itu, menjadikannya orang pertama di luar Afrika yang meninggal dunia akibat virus merbahaya ini. Lelaki itu sebelum ini berada di Sierra Leone atas urusan perniagaan.

Majalah International Business Times, menganggarkan kira-kira 13.5 juta umat Islam menghuni negara seperti Sierra Leone, Guinea dan Liberia. Guinea sahaja mempunyai sejumlah 9.7 juta orang Islam, atau 85 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya.

Menunaikan Haji termaktub dalam undang-undang Islam semua orang Islam diwajibkan menziarahi Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka. Tiga juta umat Islam menunaikan Haji di Makkah pada tahun 2013.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan pertemuan di Geneva pada Rabu dan Khamis lalu bagi merancang langkah seterusnya untuk menangani penularan virus Ebola. WHO akan membuat keputusan tidak lama lagi sama ada untuk mengisytiharkan isu Ebola sebagai kecemasan kesihatan global.

Pada tahun 2012, Arab Saudi menjadi pusat penularan besar-besaran wabak Sistem Pernafasan Timur Tengah coronavirus (MERS). Isu Arab Saudi berhubung penyebaran MERS berterusan sehingga ke hari ini. - AGENSI 

Guru muzik wanita dicekup polis


2014/08/09 - 04:31:52
Guru muzik wanita dicekup polis

Sukan bogel di Pulau Pinang: Polis yakin mampu tahan 17 lagi peserta 

Balik Pulau: Seorang guru muzik wanita yang juga peserta Sukan Bogel Pulau Pinang 2014 ditahan di rumahnya di Sungai Ara, malam kelmarin.


Wanita berusia 34 tahun yang dikenali sebagai Ellen, ditahan pada jam 9.55 malam bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya diambil, semalam.

Wanita yang masih bujang dan tinggal bersama bapanya tidak mengaku terbabit dalam pembikinan video itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin, berkata dengan penahanan suspek, pihaknya percaya dapat membawa kepada tangkapan 17 lagi individu yang terbabit dalam rakaman video bogel itu.

4 polis tolak rasuah dihargai


4 polis  tolak  rasuah dihargai2014/08/09 - 04:31:06

Kuala Lumpur: “Saya pernah ditawarkan wang tunai RM24,000 oleh seorang pesalah trafik yang ditahan dan dikesan memiliki dadah empat tahun lalu,” kata Koperal Rahim Lamburakan (gambar).

Namun cubaan suspek itu bukan saja ditolak malah tindakannya turut mengundang padah selepas dia ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk memiliki dadah.


Kredibiliti Rahim, 43, sekali lagi diuji apabila ditawarkan RM100 oleh seorang pesalah trafik juga ditolaknya ketika menjalankan tugas dalam Ops Selamat baru-baru ini.

“Ini adalah kali keempat pesalah trafik cuba menawarkan wang kepada saya sepanjang 11 tahun berkhidmat dengan Pasukan Trafik Bukit Aman,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Sijil Kepujian kepada empat anggota trafik di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian terbaru itu, Rahim berkata, ketika itu dia dan rakan setugasnya Koperal Nik Mohd Huznikri Mohd Noor bertugas di Lebuhraya Pagoh-Ayer Hitam sebelum cuba menahan sebuah kenderaan jenis BMW yang melanggar kesalahan jalan raya.

“Apabila diarahkan berhenti, pemandu itu terus memecut laju ke arah selatan, memaksa saya meminta bantuan dua lagi anggota peronda lebuh raya berkenaan yang berada berhampiran sebelum berjaya menahan kenderaan terbabit.

“Ketika menulis saman, pemandunya mendekati saya dan mengeluarkan RM100 sebagai ‘ganjaran’ dan meminta dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang,” katanya.
Beri amaran

Rahim berkata, dia memberi tiga kali amaran kepada pemandu terbabit tidak mengulangi perbuatan itu, namun tidak diendahkan sebelum memaksanya menahan suspek atas kesalahan cuba memberi rasuah.

Tindakan Koperal Rahim bersama tiga lagi rakannya iaitu Koperal Nik Mohd Huznikri, Koperal Musa Mohamed dan Lans Koperal Muhamad Yusof Saidin, turut mendapat perhatian Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff, berbesar hati memberikan mereka Surat Kepujian dan sagu hati.

Jepun keluar amaran bahaya Taufan Halong


2014/08/09 - 17:16:37
TOKYO: Agensi kaji cuaca Jepun hari ini mengeluarkan amaran peringkat tertinggi mengenai Taufan Halong yang kini menghala ke barat daya negara itu yang dijangka membawa hujan lebat dan angin kencang yang sehingga kini lebih 470 penerbangan sudah dibatalkan.

Amaran mengenai ribut petir dan hujan lebat itu yang boleh mengancam nyawa serta membawa kerosakan teruk, dikeluarkan terutama untuk daerah penempatan Mie, kira-kira 300 kilometer di barat Tokyo.


“Semua pihak perlu berwaspada dengan peningkatan paras sungai, banjir dan risiko tanah runtuh di daerah kediaman Mie," kata agensi berkenaaan dalam laman webnya.

Taufan Halong mampu mencecah kelajuan angin sehingga 180 kilometer sejam dan dijangka membadai barat daya Jepun, lewat hari ini atau awal pagi esok.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 473 penerbangan sudah dibatalkan berikutan kebimbangan taufan berkenaan, demikian menurut stesen penyiaran NHK. - AFP

Nigeria isytihar darurat berikutan peningkatan wabak Ebola


2014/08/09
ABUJA: Presiden Nigeria, Goodluck Ebele Jonathan hari ini mengisytiharkan perintah darurat di negara itu berikutan penularan wabak Ebola yang sudah meragut dua nyawa.

“Presiden Goodluck Ebele Jonathan di Abuja isytihar darurat bagi mengawal dan membendung virus Ebola di Nigeria," demikian kenyataan yang dikeluarkan pejabat Presiden.


Jonathan meminta penduduk agar menghindari perkumpulan yang besar bagi membendung jangkitan virus yang membawa maut itu.

“Kumpulan agama dan politik, perkumpulan membabitkan kaum atau ahli keluarga, persatuan atau badan yang lain perlu dikurangkan aktiviti dan mengelak daripada berkumpulan dalam jumlah yang ramai," kata kenyataan itu.

Jonathan juga meluluskan dana segera 1.9 bilion naira (AS$11.67 juta) bagi memerangi virus Ebola daripada merebak.

Antara langkah segera yang diambil kerajaan ialah mewujudkan pusat kuarantin, saringan dan pemantauan.

Semalam, Nigeria mengesahkan lima kes Ebola terbaharu yang dikesan di Lagos dan kematian kedua akibat virus itu menjadikan jumlah korban kepada tujuh orang. - AFP

Dua pelajar politeknik maut kemalangan


  • Keadaan kereta dan treler yang terlibat dengan kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Batu 8, Kampung Batu, Jalan Lunas-Padang Serai dekat Kulim hari ini. Kemalangan itu mengakibatkan dua pelajar Politeknik Tuanku Bahiyah maut di tempat kejadian setelah motosikal yang mereka naiki melanggar lori treler setelah gagal memotong sebuah kereta. - Foto BernamaKeadaan kereta dan treler yang terlibat dengan kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Batu 8, Kampung Batu, Jalan Lunas-Padang Serai dekat Kulim hari ini. Kemalangan itu mengakibatkan dua pelajar Politeknik Tuanku Bahiyah maut di tempat kejadian setelah motosikal yang mereka naiki melanggar lori treler setelah gagal memotong sebuah kereta. - Foto Bernama

KULIM - Dua pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah maut apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabit dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Lunas-Padang Serai dekat sini hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, kejadian pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu melibatkan empat buah kenderaan termasuk sebuah lori treler yang penuh dengan muatan kelapa sawit.
  
"Sebuah motosikal yang ditunggangi J.Irvin, 19, dan dibonceng S.Jayakumar, 18, dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan dari arah Lunas sebelum terlanggar lori treler yang datang dari arah Padang Serai menyebabkan kedua mereka maut di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini.
  
Beliau berkata, lori treler berkenaan kemudiannya bergesel dengan sebuah lori kecil dan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.
  
"Sepasukan enam orang anggota Bomba dan Penyelamat Balai Kulim bersama sebuah jentera berjaya mengeluarkan wanita berusia 40 tahun yang tersepit dalam keretanya.
  
"Wanita berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Kulim, manakala pemandu lori treler mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya.
  
Mayat dua pelajar itu dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. - Bernama

Misteri kehilangan buruh terjawab


  • Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

REMBAU - Misteri kehilangan seorang buruh ladang sawit di Kampung Londah sejak 5 Ogos lalu akhirnya terjawab, apabila mayatnya ditemui orang awam di ladang kebun di kampung berkenaan, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, polis menerima laporan orang awam terdapat mayat terapung dalam kolam sebelum anggota polis serta sepasukan anggota bomba tiba ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, sekitar jam 7.30 petang, mayat berkenaan berjaya diangkat dan dikenal pasti sebagai buruh ladang kelapa sawit, Ramachandran Muthuganesan, 32.

"Mangsa dipercayai tergelincir ke dalam kolam yang dalamnya dianggarkan kira-kira 5 meter. Mangsa yang merupakan warga India dipercayai tidak pulang ke rumah selepas keluar sekitar 5 petang, 5 Ogos lalu.

“Malah, majikan mangsa juga sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa kira 3 petang, kelmarin," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Sementara itu, adik majikan, D Satiseelan, 30, ketika ditemui berkata, ladang berkenaan dimiliki abangnya, D Sumaran, 40, sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kejadian seumpama itu baru kali pertama berlaku dan mangsa juga sudah agak lama bekerja di bawah abangnya.

“Mangsa seorang yang baik dan tekun bekerja. Jadi, saya terkejut apabila abang saya menghubungi saya untuk memaklumkan mangsa ditemui mati," katanya.

Pemandu maut lori rempuh belakang treler


  • LechumananLechumanan
GOPENG - Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan di Kilometer 301.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa S Lechumanan, 35, dari Shah Alam, Selangor, maut di tempat kejadian selepas lori muatan alat ganti kenderaan itu merempuh belakang treler membawa bijih besi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal lorinya dan merempuh belakang treler.

“Akibat kemalangan itu, lori mangsa rosak teruk di bahagian hadapan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Manakala pemandu treler tidak cedera dan kenderaannya hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, ketika kejadian cuaca baik dan kering serta jalan lurus menuruni bukit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun.

Tukang cuci rugi RM7,000


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2014

IPOH - Akibat ingin mendapatkan wang dengan cara mudah, seorang tukang cuci kerugian hampir RM7,000 selepas terpedaya dengan iklan sindiket nombor ramalan di sebuah surat khabar tempatan baru-baru ini.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Arif, 42, berkata, dia melihat iklan tersebut pada 20 Julai lalu dan tertarik dengan tawaran mereka yang mendakwa mampu menyediakan nombor ramalan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Menurutnya, selepas membaca iklan itu, dia segera menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara tersebut.

“Beberapa minit kemudian, mesej saya dibalas dengan mengatakan saya mampu menerima habuan lumayan sekiranya terus mendapatkan perkhidmatan. Saya yang ketika itu hanya sekadar cuba-cuba akhirnya bersetuju untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

“Kami hanya berurusan melalui SMS. Pada awalnya dia meminta saya membayar wang pendaftaran berjumlah RM300 dan segala transaksi bayaran dimasukkan ke dalam akaun miliknya,” katanya.

Dia berkata, selepas membayar wang pendaftaran, sekali lagi dia diminta untuk memasukkan RM500 untuk mendapatkan wang ramalan yang didakwa bernilai ribuan ringgit.

“Pada kali ini, kami tidak berurusan melalui SMS, sebaliknya seorang lelaki menghubungi saya dan memberikan nombor empat digit iaitu 2628 sebagai nombor ramalan.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit bertegas untuk melakukan taruhan dan saya bernasib baik kerana berjaya memenangi RM30,000 selepas bertaruh atas nombor tersebut,” jelasnya.

Arif kemudian menghubungi lelaki terbabit untuk mendapatkan wang kemenangannya namun dia diminta untuk membayar RM500 sebagai prosedur perkhidmatan.

“Malangnya, segala wang yang dipertaruhkan sebelum ini hanya sia-sia kerana saya tidak mendapat sebarang pulangan dan hanya mengalami kerugian semata-mata.

“Lelaki yang berurusan dengan saya juga lesap entah ke mana dan gagal dihubungi sehingga kini,” ujarnya yang tidak membuat laporan polis kerana malu memandangkan sindiket penipuan terbabit yang secara terang-terangan melanggar syariah Islam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Maszely Minhad berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan dan tawaran lumayan menerusi risalah atau iklan yang ditawarkan pihak tertentu bagi tujuan mengaut keuntungan.

Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati dan membuat semakan terhadap tawaran yang diberkan terlebih dahulu.

Lepas hukuman gantung


  • Kedua-dua tertuduh, Thanasegaran dan Devinthiran (belakang) dibebaskan Mahkamah Tinggi Ipoh dari tuduhan membunuh.Kedua-dua tertuduh, Thanasegaran dan Devinthiran (belakang) dibebaskan Mahkamah Tinggi Ipoh dari tuduhan membunuh.

IPOH - Dua beradik terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, selepas kedua-duanya didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh seorang buruh, di Ulu Bernam, empat tahun lepas.

Kedua-dua tertuduh M Thanasegaran, 25, dan M Devinthiran, 28, yang juga bekas buruh, kelihatan tenang sebaik dibebas dan dilepaskan daripada hukuman gantung mandatori.

Hakim, Datuk Zainal Adzam Abd Ghani memutuskan pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie selain tidak mengemukakan laporan maklumat pertama.

“Pihak pendakwaan juga didapati gagal menimbulkan dan membuktikan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

“Oleh demikian, tertuduh dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan selepas pembelaan berjaya membuktikan tertuduh tidak bersalah (membunuh),” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa membunuh, K Perumal, kira-kira jam 9 malam, pada 14 November 2010, di hadapan sebuah rumah di Ladang Sungai Samak, Ulu Bernam.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, V Santhiran.

Jenayah samun lumpuh dalam 48 jam


  • Chang Keong (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Zulkarnain (kanan) dan Zairulnizam, semalam.Chang Keong (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Zulkarnain (kanan) dan Zairulnizam, semalam.

IPOH - Kecekapan polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkawan dan pecah rumah di sini dengan tertangkapnya lima lelaki dalam tempoh 48 jam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun yang terlibat dalam kes samun di Ampang, Rabu lalu.

Menurutnya, suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan.

“Bagi kes berikutnya, dua lelaki  berusia 19 dan 20 tahun ditahan bersabit kes pecah rumah di Kampung Rapat yang berlaku pada 2 Ogos lalu.

“Ketika tangkapan dilakukan kami merampas sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa yang juga pekerja warga Indonesia," katanya.

Beliau berkata, bagi kes pecah rumah di Tambun, dua lelaki berusia 17 dan 19 tahun ditahan malah pihaknya turut merampas telefon bimbit serta dua televisyen diod pemancar cahaya (LED).

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kes pecah rumah,” katanya.

Terdahulu, Chang Keong menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBJSD) Ipoh antara Asisten Superitendan Zulkarnain Samsudin dan Asisten Superitendan Zairulnizam Mohd Zainuddin di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

Zulkarnain yang memangku jawatan itu selama satu bulan setengah dinaikkan pangkat sebagai pegawai di Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Pemandu parah rempuh lori buat pusingan U


  • Kim Seng (kanan) melihat keadaan lorinya yang terbabit dalam kemalangan.Kim Seng (kanan) melihat keadaan lorinya yang terbabit dalam kemalangan.

GEMENCHEH - Seorang pemandu lori cedera parah selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer 27 Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Baru Gedok, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.10 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Selamat, 40-an, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemencheh selepas berjaya dikeluarkan orang awam selepas bahagian hadapan lorinya remuk teruk.

Majikan mangsa, Chua Kim Seng, 48, berkata, dia dimaklumkan lorinya itu yang datang dari arah Gemencheh menuju ke Gemas telah merempuh sebuah lori yang membuat pusingan U di lokasi berkenaan.

Sorok DVD lucah bawah meja


  • Dua anggota penguatkuasa KDN memeriksa DVD di sebuah premis di Taman Cheng Perdana.Dua anggota penguatkuasa KDN memeriksa DVD di sebuah premis di Taman Cheng Perdana.

CHENG - Sebanyak 4,000 keping cakera video digital (DVD) filem tanpa Label B dirampas penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya dalam serbuan di sebuah premis di Taman Cheng Perdana, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Superintendan Arjunaiti Abdullah berkata, rampasan DVD bernilai RM32,000 itu turut membabitkan 15 keping DVD filem lucah dalam operasi kira-kira 5 petang.

“Selain DVD filem antarabangsa dan tempatan, kita turut merampas 15 keping DVD filem lucah dipercayai ditempah pelanggan dijumpai di dalam plastik yang disorok di bawah meja.

“Kesemua 4,000 DVD dirampas dari premis yang gagal menunjukkan lesen perniagaan itu kerana kegagalan mempamerkan Label B pada setiap kepingan DVD yang dijual,” katanya.

Arjunaiti berkata, serbuan diketuainya dan disertai enam anggota penguatkuasa itu dibuat selepas tiga hari risikan hasil maklumat orang awam.

“Seorang wanita berusia 17 tahun yang dipercayai penjaga premis terbabit turut ditahan dan dibawa ke Kompleks KDN Melaka, Ayer Keroh bagi siasatan lanjut.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 18b di bawah Akta Penapisan Filem 2002 kerana tidak mempunyai Sijil Kelulusan B daripada KDN yang memperuntukkan hukuman denda maksima RM25,000,” katanya.

Arjunaiti berkata, siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 5 akta sama jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau lima tahun penjara.

Kereta rempuh belakang bas


  • Keadaan kereta mangsa yang terbabit kemalangan, semalam.Keadaan kereta mangsa yang terbabit kemalangan, semalam.

REMBAU – Seorang wanita parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya merempuh belakang sebuah bas dua tingkat di Kilometer 225.5 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mangsa, Shaheen Begum, 45, tersepit di tempat duduk penumpang hadapan kereta dipandu suaminya dan berjaya dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu MPV jenis Audi Q7 dan bas dua tingkat jenis Scania.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua buah kenderaan adalah dari arah selatan menuju ke utara. Bagaimanapun, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan. Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban bagi rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa yang memandu kenderaan dikenali sebagai Ahmad Nakibullah, 55, tidak mengalami kecederaan serius,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Ibrahim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan insiden berkenaan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Mohd Yusof Samad bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat.

Dipenjara kerana halang tugas penjawat awam


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Ogos 2014


SEREMBAN – Seorang warganegara Nigeria dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas didapati bersalah menghalang penjawat awam pada 28 April lalu.

Tertuduh, Iwuoha Chisom Julius, 23, yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Mantin, Nilai, di sini, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Tertuduh didakwa menghalang Shamrul Harun Abdul Haalim menjalankan tugasnya sebagai anggota polis di kedai serbaneka 7-Eleven di Taman Desa Cempaka, Nilai, dekat sini, kira-kira 3.10 pagi, pada 28 April lalu.

Pengadu yang tiba dan memperkenalkan diri sebagai polis setelah menerima aduan terdapat seorang lelaki warga Afrika mengganggu seorang pekerja wanita di kedai serbaneka berkenaan.

Pengadu telah meminta tertuduh mengemukakan dokumen pengenalan diri tetapi enggan berbuat demikian, malah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasukan polis dan turut bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan, tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan berikutan masih belajar dan baru tiba di negara ini pada tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin turut memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas perbuatan yang dilakukan tertuduh.

Mohamad Izwan dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira atas peningkatan jenayah yang dilakukan warganegara Afrika yang datang ke negara ini.
Mohamad Izwan kemudiannya menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bermula tarikh tangkapan tertuduh.

Potong jari kaki


  • Siti Fatimah dan Kapri lega dengan perkembangan kesihatan anak mereka.Siti Fatimah dan Kapri lega dengan perkembangan kesihatan anak mereka.

IPOH – Gara-gara terpijak plastik yang dibakar, seorang kanak-kanak lelaki kehilangan satu jari kaki yang terpaksa selepas tapak kaki kanannya melecur teruk.

Mohamad Khairul Amsyar Fahmi Kapri yang baru berusia setahun enam bulan selamat menjalani pembedahan, 1 Ogos lalu untuk membuang satu jari kaki sebelum melakukan pembedahan plastik menampal semula tapak kakinya menggunakan kulit yang diambil dari bahagian paha.

Ibunya, Siti Fatimah Nasia, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang 17 Julai lalu, anak bongsu dari tiga beradik itu keluar dari rumahnya di Kampung Bersia Lama, Gerik melalui pintu belakang sebelum menghampiri kawasan pembakaran sampah.

Menurutnya, sebaik menghampiri kawasan itu, Mohamad Khairul Amsyar dikatakan terpijak plastik yang terbakar sebelum api berkenaan turut membakar tapak kakinya hingga menampakkan daging.

“Memang saya terkejut dengar orang jerit kuat, saya lari untuk dapatkannya, waktu itu masih dapat lihat api itu seolah memanggang kaki anak saya.

“Hanya tuhan yang tahu perasaan saya, anak sekecil itu menangis keperitan, mujur ramai yang bantu cuba padamkan api itu,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Pemuda Umno Perak bersama Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.

Mohamad Khairul Amsyar menerima rawatan awal di Hospital Gerik sebelum dibenarkan pulang, namun terpaksa dimasukkan semula ke hospital apabila keadaannya kembali kritikal, 29 Julai lalu.

Dalam tempoh itu, kaki kanak-kanak itu dikatakan membengkak dan mengeluarkan darah yang banyak.

Siti Fatimah berkata, dia sama sekali tidak menyangka, kesan yang dihadapi anaknya begitu kritikal hingga terpaksa kehilangan jari kaki.

Dia turut mengakui, berat hati untuk membenarkan pembedahan itu, namun tidak mempunyai jalan lain bagi memastikan keselamatan anaknya, terjamin.

“Sampai sekarang saya masih terbayang api yang membakar tapak kaki anak saya, dia meronta kesakitan, sebelum ini hampir setiap malam dia menangis, mengingau.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan, keadaannya bertambah baik, boleh senyum dan boleh bermain, mungkin tak lama lagi kami dapat pulang ke rumah semula,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Hairul Anwar Mohamed Noor memaklumkan, pengurusan HRPB bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran bil sepanjang mendapatkan rawatan di hospital itu.

Katanya, langkah itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kesusahan keluarga berkenaan yang hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai tukang kebun sekolah.

“Selepas ini, JKM bersama YBU akan terus memantau keperluan keluarga ini, kita juga bercadang untuk mengadakan lawatan ke kediaman mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Keadaan keluarga itu sebelum ini didedahkan seorang ahli keluarga berkenaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kemudiannya mahu, satu tindakan susulan dilakukan.

Bapa Mohamad Khairul Amsyar, Kapri Osman, 42, melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan yang diberikan dan menganggap ia sebagai rezeki Syawal.

“Dengan gaji saya RM600 sebulan, saya tak fikir yang saya mampu nak tampung semua kos rawatan di hospital ini, terima kasih pada semua yang membantu,” katanya.

Hilang kali ke-4


  • NANDHININANDHINI

IPOH – Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah, di sini tidak serik apabila dia menghilangkan diri buat kali keempat dari kediamannya di Jelapang Jaya, sejak 5 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kehilangannya kali ini meresahkan keluarga apabila gadis itu menghantar pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), memberitahu dia selamat dan berada di bawah jagaan dua individu.

Ibu gadis itu, S Marimuthu, 54, berkata, sebaik anaknya, S Nandhini, 16, menghantar SMS  itu, dia gagal dihubungi  sehingga hari ini.

Menurutnya, keadaan itu membimbangkannya dan kemungkinan anak bongsunya itu dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab kerana sebelum ini, Nandhini masih menjawab panggilan meskipun lari dari rumah.

“Siapa tak bimbang, selalu kalau dia lari dari rumah, dia akan jawab telefon dan pulang apabila diminta, tetapi sekarang keadaan lain.” katanya  pada sidang media di Wisma MCA Negeri, semalam.

Hadir sama, Ketua Biro Pusat Khidmat dan Aduan MCA Negeri, Jimmy Loh Thim Kheun; Ketua MIC Bahagian Tambun, S Muniandy dan Ketua Biro dan Aduan MIC Negeri, S Mokan.

Nandhini dilaporkan beberapa kali lari dari rumah iaitu pada 18 Jun, 18 Julai, 2 Ogos dan terbaru 5 Ogos lalu.

Dalam tempoh itu, gadis itu dikatakan memiliki pelbagai jenis telefon bimbit mahal.

Marimuthu berkata, sebelum ini, kehilangan anaknya ada hubung kait dengan kekecewaan terhadap prestasi sekolah yang buruk.

"Nandhini pernah menulis nota yang memaklumkan malu tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muniandy tidak menolak kemungkinan perkara itu  melibatkan sindiket tertentu yang menjadikan pelajar sekolah sebagai mangsa.

Katanya, sindiket itu dipercayai membekalkan telefon bimbit kepada pelajar bagi memudahkan mereka berkomunikasi.

“Kita difahamkan, sebanyak lapan telefon bimbit dirampas oleh Marimuthu daripada Nandhini dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

“Kita berharap Nandhini segera pulang ke rumah kerana ibunya terlalu rindu untuk bertemu dengannya,” katanya.

Sorok motosikal curi di belakang kedai


  • Motosikal yang dipercayai dicuri disorokkan oleh suspek di belakang kedai.Motosikal yang dipercayai dicuri disorokkan oleh suspek di belakang kedai.

KULIM - Seorang lelaki berusia 20-an dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri lembu ditahan penduduk kampung, jam 2 pagi kelmarin.

Dari maklumat diterima, penduduk ternampak suspek menunggang motosikal dan mengejarnya. Suspek yang cemas kemudiannya mencampakkan motosikal di tepi jalan dan cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, penduduk kampung menghubungi polis dan meminta bantuan unit MPV.

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

“Dari soal siasat yang dijalankan, polis mempercayai suspek bukan sahaja terlibat dalam perlakuan jenayah mencuri lembu tetapi turut terlibat dalam beberapa jenayah lain termasuk mencuri motosikal.

"Polis meminta suspek bekerjasama dan memberikan maklumat tentang motosikal yang disembunyikannya. Polis pergi ke Taman Sepilai di sini, dan menemui sebuah motosikal di belakang kedai. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.

Abdullah berkata, dari semakan nombor enjin dan casis motosikal terbabit, ia masih dilaporkan hilang di Kulim.

Katanya, polis turut memperoleh maklumat tentang beberapa individu dan kumpulan lain yang terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal.

"Sehingga kini polis sedang membuat risikan untuk mendapatkan maklumat terhadap suspek terlibat.

"Tangkapan akan dipertingkatkan bagi memastikan masalah kecurian motosikal ini dapat dibendung," katanya.

Angin pelik muncul dari laut


  • Sudah lebih seminggu namun pihak bertanggungjawab tidak membersihkan pantai awam yang dilanda ribut ini.Sudah lebih seminggu namun pihak bertanggungjawab tidak membersihkan pantai awam yang dilanda ribut ini.

BATU FERRINGHI - "Saya nampak seolah-olah angin menyedut air dari laut dan kemudian berpusar dengan laju di hadapan kami," cerita A Supayyah, 64, berkenaan ribut yang melanda di Pantai Miami.

Supayyah yang menetap di situ sejak 40 tahun lalu berkata, ia kali pertama dia melihat angin pelik berhampiran dengan kawasan rumahnya.

“Saya dengan dua lagi kawan duduk di sebuah kedai makan tepi laut dekat dengan rumah saya, tiba-tiba dalam jam 1 pagi, kami terkejut kerana melihat air dari laut seperti naik ke langit.

“Kemudian air itu berpusar dengan laju dan bunyinya kuat, kami tidak boleh buat apa-apa dan hanya berdoa sahaja pada masa itu,” katanya.

Selepas angin berkenaan berpusing dengan bunyi yang kuat, ia kemudiannya bergerak dengan laju ke kawasan berhampiran.

“Pada masa itu kami memang sangat takut kerana tidak tahu ke mana ia ingin bergerak, sehinggalah tiba-tiba angin itu melencong naik ke darat dan melalui kedai makan di Pantai Miami.

“Namun kami bernasib baik kerana semua rumah penduduk di tepi pantai tidak musnah kerana adanya pokok besar yang menghalang, kemudian angin terus naik ke bahagian atas bukit dan memusnahkan pondok hentian bas,” katanya.

Disebabkan itulah pokok berusia ratusan tahun itu tumbang dan memusnahkan tandas serta sebahagian rumah seorang penduduk di situ.

Bagaimanapun penduduk di situ terkilan kerana pihak yang bertanggungjawab masih tidak memotong pokok yang tumbang menghempap tandas awam dan rumah.

Supayyah berkata, kejadian sudah berlalu hampir seminggu dan keadaan masih teruk dengan pokok tumbang merata-rata.

“Memang susah kalau dibiarkan saja pokok ini tumbang, orang yang datang ke Pantai Miami susah hendak menggunakan tandas.

“Kami berharap ada orang yang sudi tolong kami,” katanya.

Tinjauan ke perumahan penduduk di Pantai Miami itu turut disertai pimpinan Pas Teluk Bahang.

'Superboy' selamat rumah datuk


  • Abdullah menunjukkan dinding rumahnya yang hampir hangus, namun berjaya diselamatkan cucunya yang bertindak nekad memadam api dengan menyimbah pasir dan air. Gambar kecil: Fansuri.Abdullah menunjukkan dinding rumahnya yang hampir hangus, namun berjaya diselamatkan cucunya yang bertindak nekad memadam api dengan menyimbah pasir dan air. Gambar kecil: Fansuri.

DUNGUN - Tindakan nekad seorang kanak-kanak berusia 7 tahun menyimbah api dengan pasir dan air berjaya menyelamatkan rumah datuknya daripada hangus dalam kebakaran dekat Kampung Paya, lewat petang kelmarin.
Lebih membanggakan apabila cubaan memadam api oleh kanak-kanak yang boleh disifatkan sebagai hero atau ‘superboy’ itu dilakukan seorang diri tanpa bantuan pihak lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, Fansuri Nor Amin yang sedang menyalakan pelita minyak tanah di halaman rumah terkejut apabila api tiba-tiba marak lalu menyambar dinding rumah papan datuknya.

Ketika kejadian, datuknya, Abdullah Mat Zin, 68, sedang tidur dalam bilik utama rumah papan tersebut.

Menceritakan detik cemas itu, Fansuri berkata, sebelum kejadian dia hendak menyalakan pelita minyak tanah untuk bermain mercun.

Namun, tiba-tiba api yang dinyalakan terus marak lalu menyambar dinding rumah sebelum dia mengambil pasir, menyimbahnya ke arah api setinggi kira-kira dua meter itu.

Dalam kelam kabut, dia yang ketika itu tidak berbaju terpandang sebuah motosikal milik bapa saudaranya yang terletak di tepi rumah lalu mengambil keputusan menolak motosikal tersebut kerana bimbang ia mungkin terbakar jika disambar api.

“Ketika hendak memadam api dengan air, api telah menyelar badan saya.

“Namun saya bernasib baik kerana api tak melarat dan membakar keseluruhan badan saya,” kata murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar itu.

Kata Fansuri, selepas badannya disambar api, dia rasa kebas, namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum jiran datuknya datang menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Abdullah berkata, dia yang ketika itu sedang tidur tiba-tiba dikejutkan dengan rasa panas daripada haba api yang sudah menyambar dinding di ruang tamu rumahnya.

“Apabila menjenguk keluar, saya lihat cucu sedang padam api.

“Saya betul-betul terkejut melihat keberaniannya memadam api seorang diri, macam tak percaya apa yang saya saksikan,” katanya.

Bagaimanapun, bomba yang tiba dengan jentera pemadam beberapa minit kemudian mendapati api yang nyaris memusnahkan rumah Abdullah itu sudah berjaya dipadamkan.

Hanya kerana salah jawab soalan


  • Gunasekaran (kanan) menunjukkan kesan lebam pada tangan kiri Ranjit, manakala Ilangovan menunjukkan laporan polis dibuatnya.Gunasekaran (kanan) menunjukkan kesan lebam pada tangan kiri Ranjit, manakala Ilangovan menunjukkan laporan polis dibuatnya.

SEREMBAN - Hanya kerana dikatakan salah menjawab soalan latihan matematik, seorang murid darjah enam bengkak dan lebam di tangan kiri selepas dipukul dengan kayu sepanjang 50 sentimeter oleh gurunya.

Kejadian berlaku di sebuah Sekolah Kebangsaan Tamil di Senawang, Rabu lalu, apabila pelajar terbabit, Ranjit Dass, 12, dikenakan denda akibat kesalahan berkenaan, kira-kira 9 pagi.

Menurutnya, guru lelaki berusia lingkungan 30-an yang baru berpindah ke sekolah itu sejak dua bulan lalu bertindak memukulnya selepas salah menjawab latihan matematik yang diberikan.

“Cikgu beri latihan matematik dan saya salah jawab kerana tidak faham. Kemudian secara tiba-tiba cikgu pukul saya dengan kayu yang dibawanya sebanyak lima kali di tangan dan bahu kiri.

“Rakan saya turut dipukul di muka dan belakang badan kerana salah jawab soalan,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku dan guru tersebut tidak pernah memukul murid sebelum ini.

“Saya tidak tahu kenapa cikgu sanggup pukul saya sehingga tangan saya bengkak dan lebam," katanya.

Disebabkan tidak sanggup menanggung kesakitan, Ranjit kemudian mengadu kepada ibunya sebaik pulang ke rumah.

Bapa saudara Ranjit, A Ilangovan, 40, berkata, ibu Ranjit, A Selvi, 30, segera membawa Ranjit ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini  selepas melihat tangan anaknya itu kemerahan dan bengkak.

“Ranjit mengeluh sakit dan sekarang sudah masuk  hari ketiga, tangannya masih sakit dan lebam masih kelihatan.

“Kami sekeluarga nekad membuat laporan polis selepas melihat kecederaan dan kesakitan  terpaksa ditanggung Ranjit,” katanya.

Ilangovan berkata, dia rasa sedih dan kecewa terhadap perbuatan guru yang sanggup memukul anak saudaranya  itu sehingga cedera.

“Sekiranya Ranjit bersalah, dia boleh memukul dengan rotan sebagai cara mendidik tetapi kami tidak boleh terima apabila dia pukul dengan kayu. Ini sudah melampau," katanya ketika membuat aduan di pejabat Adun Senawang, P Gunasekaran,  di sini, semalam.

Sementara itu, Gunasekaran berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan guru terbabit perlu dikenakan tindakan.

“Saya mahu berbincang dengan pihak sekolah tentang perkara ini, namun mereka tidak benarkan saya masuk ke kawasan sekolah.

“Saya telah mengadukan perkara ini kepada Jabatan Pendidikan negeri dan meminta mereka menyiasat dan mengenakan tindakan disiplin kepada guru tersebut,” katanya.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sudah menerima laporan awal tentang perkara tersebut daripada pihak sekolah.

"Kita akan membuat siasatan terlebih dulu, dan sekiranya guru terbabit benar-benar bersalah, dia tidak akan terlepas daripada tindakan,” katanya.

Panik dengar dentuman, terus simbah air


  • Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran.Keadaan rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran.

KUALA MUDA - “Mujur ahli keluarga lain bermalam di rumah emak, jika tidak, kesemua enam orang turut menjadi mangsa kebakaran,” luah ahli keluarga terdekat, Zulfikri Saidin, 43, mengenai kejadian yang berlaku di rumah adiknya dekat Kampung Baru Sungai Layar di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku pada waktu awal pagi itu hanya disedari anak saudara Zulfikri yang ketika itu hanya tinggal seorang diri.

“Masa itu tinggal Mohd Naqiub Jamal Najib, 17, seorang diri sementara yang lain bermalam di rumah emak,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulfikri berkata, kejadian mungkin disebabkan litar pintas kerana mangsa terdengar bunyi sesuatu yang kuat sebelum bertindak panik terus menyimbah air ke bahagian pendawaian terbabit.

Katanya, api merebak pantas sehingga menyebabkan keseluruhan bahagian rumah kayu terbabit hangus dalam kebakaran.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khairil Syamsul Yusof berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 5.52 pagi dan sampai ke lokasi kejadian kira-kira jam 6.04 pagi.

Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh lapan minit bersama anggota yang ditugaskan.

“Kekuatan anggota seramai 13 orang bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan,” katanya.

Difahamkan, rumah terbabit didiami keluarga yang turut mempunyai kaitan persaudaraan dengan seorang pemimpin tempatan di sini.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Merbok, Prof Dr Ismail Daut yang dimaklumkan turut melakukan tinjauan ke lokasi kejadian beberapa jam kemudian.

Penyamun sempat salam, minta maaf


  • Mohd Hairi menunjukkan kesan hentakan di pintu bilik yang dilakukan penyamun menggunakan tong gas. Mohd Hairi menunjukkan kesan hentakan di pintu bilik yang dilakukan penyamun menggunakan tong gas.

KOTA TINGGI - Mentang-mentanglah jenayah yang dilakukannya dalam bulan Syawal, seorang penyamun bersalaman dan meminta maaf daripada tuan rumah selepas merompak sebuah kediaman di Bandar Sri Perani, di sini, semalam.

Mohd Hairi Tahir, 37, seorang peniaga berkata, dia bersama isteri serta seorang anaknya berusia dua tahun sedang tidur apabila terjaga setelah mendengar bunyi hentakan kuat di biliknya.

Bunyi itu adalah daripada hentakan tong gas oleh seorang daripada tiga lelaki bersenjatakan parang dan pisau yang memasuki rumahnya.

“Saya menjerit, namun terus terdiam apabila diacu parang. Mereka paksa saya menunjukkan tempat di mana saya menyimpan wang dan barang-barang berharga.

“Kira-kira 10 minit berada di dalam rumah kami dan mendapat apa yang mereka mahu, seorang daripada mereka bersalaman dengan saya dan meminta maaf. Katanya, mereka pecah masuk rumah saya hanya untuk cari makan.

“Sebaik sahaja mereka beredar, saya memeluk anak isteri serta berasa lega kerana kami tidak dicederakan. Sejurus selepas itu, saya memberitahu jiran dan menghubungi polis,” katanya di sini, semalam.

Mohd Hairi menganggarkan kerugian kira-kira RM7,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Rahmat Othman memberitahu rompakan itu berlaku kira-kira jam 4.45 pagi.

“Seorang daripada mereka bersenjata parang, manakala dua lagi bersenjatakan pisau. Ketiga-tiga suspek telah memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang yang telah diumpil.

“Suspek melarikan sebuah komputer riba, jam tangan, gelang, sedikit wang tunai serta telefon bimbit kepunyaan mangsa. Tiada yang cedera,” katanya.

Rahmat berkata, perompak itu, yang menutup muka, dipercayai warganegara Indonesia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Kita nasihatkan kepada masyarakat agar sentiasa berwaspada. Jangan menyimpan barang berharga di rumah dan tingkatkan ciri-ciri keselamatan rumah. Sentiasa berhubung dengan polis bagi mendapatkan nasihat keselamatan,” katanya.

Bayi kritikal dipercayai didera


  • Nurain Damia dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh. Gambar kecil: Nurain DamiaNurain Damia dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh. Gambar kecil: Nurain Damia

SUNGAI BULOH - Jatuh daripada kerusi rotan tetapi kecederaan seperti dilanggar sebuah kereta!

Itulah yang dikatakan oleh doktor mengenai kecederaan yang dialami, Nurain Damia, setahun dua bulan, setelah dikatakan terjatuh di rumah pengasuhnya di Flora Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Menurut ibu mangsa, Nor Ani Shafarina Sani, 22, pengasuh anaknya mengatakan Nurain Damia terjatuh dari sebuah kerusi ketika sedang tidur kira-kira jam 7 petang.

“Sejurus mendengar berita itu, saya menghubungi suami saya, Mohd Naquudin Zakaria, 25, untuk memaklumkan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, semalam.

Nor Ani berkata, suaminya terpaksa mengambil Nurain Damia terlebih dahulu selepas pengasuh menghubungi sekali lagi memaklumkan keadaan anaknya dan meminta dibawa ke hospital dengan kadar segera.

“Ketika saya melihat keadaan Damia, saya sangat terkejut dan menangis. Saya lihat tangan serta kakinya sudah kejang,” katanya.

Menurut Nor Ani, sepanjang perjalanan ke hospital, Nurain Damia dalam keadaan separa sedar dan mulutnya berbuih. Dia cuba memanggilnya berulang kali, namun tiada sebarang tindak balas diterima.

“Pemeriksaan doktor mendapati Damia mengalami pendarahan di dalam kepala dan perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.

Nor Ani sangat terkejut apabila doktor memaklumkan kecederaan Nurain Damia seperti bukan impak daripada jatuh kerusi.

Katanya, sekiranya jatuh kerusi, kecederaan di tempurung kepalanya tidak seteruk itu.

“Lebih malang lagi, tempurung kepala Damia retak dan tidak dapat disambung kerana otaknya mengembang,” katanya.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, Nor Ani membuat laporan di pondok polis hospital.

Nor Ani berkata, Nurain Damia dihantar di bawah jagaan pengasuh itu sejak dua bulan lalu dan dalam tempoh itu terdapat beberapa kesan kecederaan di kepalanya.
“Pengasuh memberikan alasan yang Damia terjatuh. Pernah sekali pipi anak saya lebam. Namun, pengasuh mengatakan dia (Damia) digigit oleh salah seorang anak jagaannya,” katanya.

Menurutnya, beliau mendapat khidmat pengasuh tersebut melalui laman sosial Facebook dan Nurain Damia merupakan anak tunggalnya setelah berkahwin sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat.

'Kami harap ada pihak bantu'


  • Rosmani (kanan) bersama Pengerusi Koperasi Ummu Wahidah Terengganu Berhad (Kuwat),
Engku Rafieah Engku Ismail menunjukkan kerosakan yang dialami akibat kejadian ribut Julai lalu.Rosmani (kanan) bersama Pengerusi Koperasi Ummu Wahidah Terengganu Berhad (Kuwat), Engku Rafieah Engku Ismail menunjukkan kerosakan yang dialami akibat kejadian ribut Julai lalu.

TEMPINIS - Pendapatan empat ibu tunggal terjejas berikutan rumah perlindungan hujan projek pertanian fertigasi yang diusahakan mereka di sini, dekat Jabi rosak teruk akibat dipukul ribut dalam kejadian beberapa hari menjelang 1 Syawal lalu.

Wakil ibu tunggal yang merupakan pengurus di situ, Rosmani Mat Deris berkata, kesemua ibu tunggal terbabit yang bernaung di bawah Persatuan Ibu Tunggal negeri Terengganu menerima kesan akibat kerosakan pada kerangka dan bumbung plastik pelindung hujan di tapak
pertanian seluas kira-kira 0.8 hektar itu.

“Dengan sumber yang terhad kami tak mampu untuk membaiki kerosakan tersebut yang dipercayai melebihi RM20,000 dan berharap ada pihak tertentu dapat menghulurkan bantuan untuk membaikinya,” katanya.

Katanya, selain kerosakan bumbung plastik di tapak projek itu beberapa kotak sangkar lebah kelulut turut rosak.

Kata Rosmani, tanaman utama diusahakan di situ ialah tanaman pemanis alternatif iaitu stevia, pemeliharaan kelulut (madu) serta sayur-sayuran.

Menurutnya, keuntungan hasil pertanian di sini bukan sahaja menjadi sumber pendapatan ibu tunggal terbabit, tetapi turut disalurkan kepada Koperasi Ibu Tunggal Terengganu.

“Sebelum ini madu kelulut keluaran di sini mendapat permintaan kerana ramai mengetahui kelulut tersebut memperoleh makanan dari bunga pokok stevia yang juga herba dan dikatakan berfungsi sebagai anti kanser,” katanya.

Rosmani amat berharap agar pihak dan jabatan berkaitan terutama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat membantu memulihkan semula tapak pertanian itu.

Janin ditemui dalam kolam kumbahan


8 Ogos 2014


JOHOR BAHRU - Orang awam menemui satu janin manusia di kolam kumbahan Jalan Aman, Larkin Utama di sini pada 10.45 pagi hari ini.
 
Polis yang bergegas ke tempat kejadian setelah mendapat maklumat dan menemui janin itu, berukuran lapan sm dan seberat 500g.
 
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh dalam kenyataan di sini berkata, pihaknya percaya janin itu datangnya dari saluran tandas dari flat Taman Larkin yang berdekatan.
 
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penemuan itu untuk menghubungi polis di talian hotline Ibupejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan di 07-2218999 untuk membantu siasatan.
 
Janin itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.  - Bernama

Gadis hidup sebatang kara


  • Atap rumah Nuraini yang sudah banyak bocor.Atap rumah Nuraini yang sudah banyak bocor.

KANGAR - Seorang gadis hidup sebatang kara di Kampung Jejawi Dalam, di sini, berhasrat menjalankan perniagaan sejuk beku untuk mengubah nasib hidupnya yang kini mengharap ihsan orang lain.

Nuraini Naim Mahamad, 29, berkata, dia kini terpaksa menumpang teduh di rumah jirannya selepas rumah peninggalan keluarga angkatnya hanya usang dan hampir roboh.

Menurutnya, kedua ibu bapa angkatnya meninggal dunia 10 tahun lalu dan menyerahkan rumah tersebut kepadanya namun rumah itu dimakan anai-anai sehingga dia takut untuk tinggal di situ.

“Mujurlah ada jiran yang baik hati menumpangkan saya, dapat juga merasakan kehidupan berkeluarga. Rumah ini menunggu masa untuk roboh, tetapi saya tetap menjenguk rumah itu sekali sekala.

“Saya pernah mengisi borang Baitulmal untuk mendapatkan bantuan membaik pulih rumah pada April lalu namun sampai sekarang belum ada jawapan,” katanya ketika ditemui.

Nuraini memberitahu, dia pernah melakukan pelbagai kerja namun kerja-kerja tersebut hanya cukup-cukup makan apabila dia hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jelasnya, dia kini tidak mempunyai kerja tetap dan hanya bergantung kepada bapa angkatnya di Pulau Pinang.

“Apabila saya terdesak dan langsung tidak mempunyai wang untuk makan, barulah saya akan minta dengan bapa angkat yang saya kenal semasa saya bekerja di Pulau Pinang dulu.

“Saya tidak mahu terlalu mengharapkan budi orang, sekarang ini pun dah banyak menyusahkan orang sekeliling,  saya rasa tertekan dengan kehidupan saya yang sebatang kara,” katanya.

Katanya, sekiranya mempunyai modal, dia mahu membuka perniagaan menjual kuih sejuk beku yang pernah diusahakan bersama ibu angkatnya dahulu.

"Saya berharap akan ada pihak yang akan memberi sumbangan mesin membuat kuih supaya dapat meneruskan kehidupan tanpa mengharapkan bantuan orang sepanjang masa," katanya.

Lelaki mengamuk ancam bom rumah



Anggota Bomba dan Penyelamat memberi rawatan awal kepada ibu dan abang suspek yang ditetak dengan parang dalam kejadian amuk di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Penduduk di sekitar Jalan 18, Taman Bukit Anggerik, Cheras di sini gempar apabila seorang lelaki bersenjatakan parang mengamuk serta mengancam untuk membunuh diri menggunakan bom di rumah yang didiaminya di kawasan itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, lelaki berusia 50-an terbabit turut menetak kepala ibu dan abangnya dengan parang.
Bagaimanapun, suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah berjaya ditahan polis kira-kira sejam kemudian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Mohamed Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.40 petang daripada orang ramai memaklumkan terdapat ancaman bunuh diri dengan menggunakan bom di sebuah rumah.
"Setiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati seorang lelaki sedang mengamuk dan telah menetak kepala ibu dan abangnya dengan parang.
"Pasukan polis yang turut tiba di lokasi akhirnya berjaya menahan suspek yang mengurung dirinya dalam sebuah bilik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Johari berkata, pihaknya telah memberi rawatan awal kepada ibu dan abang suspek sebelum ambulans tiba.
"Kedua-duanya mangsa yang berusia lingkungan 80-an dan 60-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan berada dalam keadaan stabil," ujarnya.
Beliau berkata, semasa kejadian, suspek berada di rumah terbabit bersama kedua ibu bapanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Senior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes di siasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis menyiasat punca kejadian ini namun kami suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140809/je_01/Lelaki-mengamuk-ancam-bom-rumah#ixzz39qGQCuUG
© Utusan Melayu (M) Bhd