Search This Blog

Thursday, August 7, 2014

Azrinaz fail permohonan halau pemilik restoran


  • Azrinaz Mazhar Hakim ketika ditemu bual oleh majalah NONA, Mei lalu. - Foto ihsan NONAAzrinaz Mazhar Hakim ketika ditemu bual oleh majalah NONA, Mei lalu. - Foto ihsan NONA

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalau seorang pemilik restoran dan menyerahkan semula premis yang disewa sejak dua tahun lepas kepadanya.
  
Azrinaz, 35, memfailkan saman pemula terhadap pemilik Restoran RBJ Curry House, Syed Abuthahir Abdul Sithik, 37, menerusi Tetuan Firuz Jaffril, Aidil & Zarina di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 21 Julai lepas.
  
Media memperoleh salinan dokumen itu hari ini ketika kes disebut dalam kamar di depan Hakim Datuk John Louis O'hara dengan dihadiri peguam Mohd Firuz Jaffril yang mewakili Azrinaz dan peguam C  Paul Ai Su bagi pihak Syed Abuthahir.
  
Mohd Firuz memaklumkan pemberita mahkamah menetapkan 2 September untuk mendengar permohonan itu.
  
Azrinaz, pemilik lot kedai yang terletak di No 8, Blok 4, Jalan Jalil Jaya, Jalil Link, Bukit Jalil, memfailkan permohonan itu selepas mendakwa Syed Abuthahir melanggar perjanjian sewa beli yang ditandatangani pada 11 Julai 2012.

Bekas penyampai berita TV3 itu turut memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
  
Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama-sama saman pemula itu, bapa Azrinaz, Hakim Mazhar Mohd Johar, 66, mendakwa defendan gagal melunaskan sewa sebanyak RM6,500 setiap bulan tepat pada masa seperti yang ditetapkan mengikut perjanjian tersebut.
  
Hakim Mazhar, yang menguruskan penyewaan premis itu bagi pihak anaknya, turut mendakwa defendan gagal membayar bil elektrik dan air.
  
Beliau juga mendakwa satu Notis Penamatan Perjanjian telahpun dihantar kepada Syed Abuthahir pada 14 Mac lepas bagi memintanya mengosongkan premis itu, namun sehingga kini defendan tetap enggan keluar dari premis berkenaan. - Bernama

Polis P Pinang kenal pasti kumpulan samun, rogol


7 Ogos 2014

BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang mengenal pasti kumpulan yang terlibat dalam kejadian seorang ahli perniagaan diserang sekumpulan lelaki manakala rakan wanitanya diculik dan dirogol ketika sedang berehat di hentian Jambatan Pulau Pinang, di sini Ahad lepas.
 
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kumpulan terdiri daripada empat lelaki itu memang aktif menjalankan kegiatan samun di negeri ini dan Kuala Lumpur.
 
"Berdasarkan maklumat yang kita peroleh mereka memang aktif menyamun mangsa terutama ketika awal pagi dan rekod juga menunjukkan kumpulan itu turut terlibat dengan beberapa kes di Kuala Lumpur.
 
"Usaha memburu mereka giat dijalankan dan kami turut meminta bantuan kontinjen Polis Kuala Lumpur untuk mengesan anggota kumpulan berkenaan kerana mereka juga mempunyai maklumat (kumpulan berkenaan)," katanya kepada pemberita selepas Program Konvoi Kembara Sejahtera Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang, di sini hari ini.
 
Dalam kejadian Ahad lepas, seorang ahli perniagaan diserang sekumpulan empat lelaki manakala rakan wanitanya diculik dan dirogol ketika sedang berehat di hentian Jambatan Pulau Pinang. - Bernama

Marwan mungkin berjaya perdaya Amerika

k
Manila: Komander kanan kumpulan militan Abu Sayyaf, Khair Mundos semalam mendakwa pengganas penting Asia Tenggara yang dilapor terbunuh dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) dua tahun lalu masih hidup dan dilindungi kumpulan pemberontak Muslim di selatan Filipina.

Soal siasat ke atas Khair Mundos yang ditahan berdekatan Lapangan Terbang Manila pada 11 Jun mengakui kumpulannya kini hilang arah selepas tiada pemimpin memberikan arahan.

Mereka juga dibebani isu perbalahan sesama mereka dan hidup bergantung kepada aktiviti pemerasan dan penculikan.

Menurut Khair, dia bertemu Marwan atau nama sebenarnya Zulkifli Hir ketika berada di kawasan perkhemahan di pedalaman selatan Filipina.

Kawasan Maguindanao itu dikuasai kumpulan Gerakan Pembebasan Islam Bangsamoro.



Marwan adalah warga Malaysia yang dikehendaki AS kerana didakwa menjadi pemimpin penting Jemaah Islamiyah.

Marwan berada dalam senarai teratas pengganas yang dikehendaki Biro Penyiasatan Persekutuan dilaporkan terbunuh bersama rakannya pada 2 Februari 2012 akibat serangan udara di Filipina.

AS juga menawarkan imbuhan AS$5 juta (RM16 juta) untuk menangkap atau membunuh Marwan.

Kata Khair, Marwan seorang pendiam tetapi mesra dengan militan yang ada.

“Dia sering melawat khemah yang ada di kawasan itu seperti seorang ahli politik,” katanya.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Lelaki sebar khabar angin diberkas


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Klang: Seorang lelaki ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan awal pagi tadi, kerana disyaki memuat naik artikel yang mempunyai kaitan dengan khabar angin pelajar tahfiz ditetak sekumpulan lelaki di Klang, 31 Julai lalu.

Penganggur berusia 23 tahun itu ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Pandan, Ampang, untuk siasatan lanjut pihak berkuasa.


Suspek ditahan polis selepas menerima laporan polis berhubung laman sosial Facebook atas nama Muzaffar Syam yang berbunyi "Mlm tadi India Potong 6 Org Melayu (Tabligh) kat Pandamaran Klang balik dari Tahfiz Umur Mangsa 5 tahun sehingga belasan tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Remaja kembiri pak cik dipuji


New Delhi: Seorang remaja perempuan mendapat pujian polis India kerana keberanian memotong kemaluan bapa saudara yang cuba merogolnya.

Kejadian dilaporkan akhbar Independent itu berlaku di wilayah Madhepura di negeri Bihar.


Remaja berusia kira-kira 17 tahun terbabit pertama kali dirogol bapa saudaranya pada 1 Julai lalu selepas dibawa ibunya untuk ‘berubat’ dengan lelaki berkenaan yang juga dikenali penduduk setempat sebagai dukun.

Mangsa yang didakwa mengalami gangguan makhluk halus dibawa bapa saudaranya ke sebuah bilik sebelum diikat tangan serta mulutnya untuk dirogol.


Keesokan hari, bapa saudaranya itu datang melawat mangsa dan meminta dia datang sekali lagi ke rumah berkenaan kononnya untuk dipulihkan.


Bagaimanapun kali ini remaja terbabit datang dengan persediaan lebih - dia membawa alat perakam dan pisau bagi membolehkannya merakamkan perbualan dengan lelaki itu yang sekali lagi didapati cuba merogolnya.

Bersedia dengan serangan seksual baru, remaja perempuan terbabit melawan dan nekad memotong kemaluan bapa saudaranya ketika sekali lagi cuba dirogol.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap remaja terbabit, pegawai kanan polis tempatan berkata, tiada sebab untuk itu.

“Sepatutnya dia dipuji kerana berani,” katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Bogel jika teringin masuk stadium


Moscow: Liga Perdana Russia mengecam prosedur pemeriksaan polis yang mengarahkan penyokong wanitanya berbogel ketika menghadiri pertandingan bola sepak di bandar Piala Dunia 2018, Kazan.

Beberapa penyokong Spartak Moscow mendakwa polis di Kazan enggan membenarkan penonton wanita memasuki stadium ketika perlawanan menentang Rubin Kazan kecuali mereka bersetuju menanggalkan semua pakaian untuk pemeriksaan keselamatan.


Dalam satu blog yang kini tersebar dalam kalangan pengguna Internet Russia, seorang wanita Ekaterina Stepanova berkata pemeriksaan dilakukan polis lelaki itu amat memalukannya.

Katanya, penonton wanita diarah keluar dari barisan dan membuka pakaian dalam untuk pemeriksaan selama sehingga 10 minit.


Katanya, dia enggan membuka bajunya tetapi diarahkan menunggu setengah jam sebelum dibenarkan masuk.


Sementara itu, jurucakap polis Kazan berkata, semua pemeriksaan dibuat mengikut undang-undang.

“Hanya wanita yang disyaki seludup barangan larangan dikehendaki menjalani pemeriksaan,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Hampir 600


Kerajaan tempatan di wilayah Yunnan menyatakan lebih 2,400 mangsa cedera dalam gempa bumi berukuran 6.1 magnitud yang melanda daerah Ludian Ahad lalu.
Jurucakap tentera di bilik gerakan sementara bandar Longtoushan, Kol Feng berkata, masih ada harapan untuk menemui mangsa yang terselamat.
“Mungkin ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan sukar untuk diselamatkan.
Namun harapan masih ada,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat bermula di kawasan perkampungan terpencil yang sebelum ini gagal dimasuki membolehkan lebih banyak korban ditemui.
Walaupun ada laporan mengenai komuniti lain tertimbus di bawah runtuhan, sehingga semalam pasukan penyelamat masih gagal sampai ke kawasan itu.
Kira-kira 10,000 pasukan penyelamat dan ratusan sukarelawan dikejarkan ke Ludian bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus namun tanah runtuh dan hujan lebat sebelum ini menyukarkan operasi.
Media China melaporkan, kerajaan di bawah pimpinan Xi Jinping dilihat bertindak lebih pantas menangani bencana yang berlaku berbanding pemimpin sebelum ini.
Perkara itu disokong oleh penganalisis politik, Willy Lam yang menyatakan Xi berjaya menggerakkan pasukan penyelamat ke kawasan bencana dengan segera.
“Kita boleh lihat secara jelas, pasukan tentera dan penyelamat tiba di tempat kejadian lebih awal berbanding sebelum ini.

Ia menunjukkan pemerintahan kini lebih efektif dalam berdepan situasi seperti ini,” katanya.- AP
Foto
SEORANG kanak-kanak yang cedera terjaga daripada tidur ketika berada di sebuah hospital di daerah Ludian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Jutawan saman Google Inc kerana diaibkan di Internet


Beijing: Mahkamah Hong Kong membenarkan seorang jutawan tempatan memfailkan saman malu ke atas Google Inc kerana carian namanya di enjin carian popular itu menambah perkataan “triad” secara automatik.

Istilah “triad” (kongsi gelap) adalah sensitif di China.



Carian nama Albert Yeung Sau-shing, pengerusi konglomerat Emperor Group dalam Bahasa Inggeris dan Cina di Google menyebabkan pelayar Internet diberi cadangan - secara automatik - untuk mengaitkannya dengan “triad.” Dalam sidangnya semalam Mahkamah Tinggi Hong Kong juga menolak hujah Google yang menyatakan mereka tidak bertanggungjawab terhadap cadangan carian yang berkaitan dengan Yeung.

Google juga berhujah mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas syarikat gergasi Amerika Syarikat itu.

Google Inc memang sering berdepan tindakan undang-undang terhadap hasil carian Internet di lamannya.

Mei lalu Mahkamah Kesatuan Eropah memutuskan orang ramai mempunyai hak meminta maklumat lapuk yang tidak lagi relevan dibuang daripada keputusan carian laman itu.

Timbalan hakim mahkamah tinggi, Marlene Ng menyatakan, kes yang difailkan mempunyai sebab yang munasabah.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Penuntut warga Nigeria dipenjara lapan bulan


Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Seremban: Seorang penuntut kolej swasta dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghalang penjawat awam, April lalu.

Pelajar lelaki terbabit yang memakai baju lokap oren dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, tadi, hanya menundukkan kepala selepas hukuman dijatuhkan.


Tertuduh yang juga warga Nigeria, Iwuoha Chisom Julius, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menghalang seorang anggota polis menjalankan tugas jawatannya di kedai serbaneka 7 Eleven di Taman Cempaka, Nilai, dekat sini, pada jam 3.10 pagi, 28 April lalu.


Berikutan kesalahan itu, Iwuoha didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Mohammad Zanudin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Lapan lelaki bertopeng pecah masuk premis perniagaan


Oleh Mohd Khidir Zakaria
Port Dickson: Lapan lelaki bertopeng memecah masuk sebuah premis perniagaan dan menetak dua pemandu syarikat selepas mengikat dua pengawal keselamatan di Taman Perindustrian Lukut Raya, Batu 6, Jalan Seremban di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, kedua pengawal keselamatan tergamam apabila dihampiri empat lelaki dan diletakkan parang dileher sebelum di ikat tangan dan kaki serta mulut ditutup.


Dalam masa yang sama, empat lelaki lagi terus memasuki premis perniagaan dan memecahkan cermin dan cuba mengumpil peti besi.

Pengarah Syarikat TCK Sdn Bhd Tee Chu Kuan berkata, kumpulan perompak itu cuba menggunakan forklif untuk memecahkan peti besi, namun gagal menghidupkan injin jentera itu.

Foto
PENGAWAL keselamatan menunjukkan dagunya yang terkena parang.


Katanya, pemandu syarikat yang pertama sampai juga diikat dan setengah jam kemudian seorang lagi pemandu syarikat yang datang cuba melawan ditetak di kepala, tangan dan di kaki.


"Seorang lagi pemandu yang datang turut dicederakan di bahagian tangan.

"Bahagian dalam premis juga habis dipecahkan namun tiada barangan yang diambil selepas mereka gagal memecahkan peti besi yang hanya terdapat dokumen syarikat sahaja," katannya.

Katanya semua perompak itu melarikan diri dengan sebuah kereta milik pemandu syarikat menghala ke Lukut pada jam 4.15 pagi.

Beliau kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Dua beranak maut bertembung bas


Oleh Syazwan Msar
Lipis: Dua beranak yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terbunuh apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 18, Jalan Lipis- Benta, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan, pemandu kereta Proton Wira, Mohd Zaim Rasyidi Jusoh, 24, dan ibunya, Fatimah Che Long, 69, masing-masing dari Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang, Kelantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.


Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Kuala Lumpur namun ketika tiba di tempat kejadian kereta yang dipandu Mohd Zaim secara tiba-tiba hilang kawalan.

"Kereta yang dinaiki dua beranak terbabit berpusing dua kali sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas dari arah Raub menuju ke Lipis dan ketika kejadian kenderaan terbabit membawa 11 penumpang.


"Akibat rempuhan berkenaan, kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta dan orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan susulan," katanya, ketika dihubungi, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Lemas dalam pembancuh simen



Segamat: Seorang lelaki, Yeung Soi Meng berusia 56 tahun pekerja sebuah syarikat pembacuh simen di temui mati dalam keadaan terduduk di dalam alat pembacuh lori simen dalam kejadian di Jalan Batu 8, Buloh Kasap di Batu Anam, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Penolong Penguasa Bomba Eva Saifon Kamarun berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.12 petang dari salah seorang kakitangan sebuah syarikat pembekal simen segera di Jalan Buloh Kasap arah Batu Anam mengatakan salah seorang kakitangannya tidak sedarkan diri ketika melakukan kerja kimpalan di dalam sebuah alat pembancuh sebuah lori simen di tapak lokasi operasi syarikat itu.
"Sebuah jentera bomba bersama dengan lima anggota bergegas dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian dan mendapati lelaki berkenaan tidak sedarkan diri.

Katanya, dua anggota bomba kemudiannya memasuki ke dalam alat pembacuh simen itu dan bertindak mengeluarkannya sebelum memberikan bantuan pernafasan namun pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia.
Foto
MAYAT mangsa yang lemas dalam alat pembacuh simen. FOTO ihsan Bomba

Dipercayai mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas ketika melakukan kerja kimpalan di dalam alat pembacuh simen berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Lelaki maut motosikal terbabas


Oleh Nur Saliawati Salberi
Shah Alam: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di laluan motosikal di Kilometer 8.8 Lebuhraya Persekutuan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Seksyen 15 ke Kampung Delek, Klang.


Jurucakap polis berkata, setibanya di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z hilang kawalan dan terbabas.

"Berikutan hilang kawalan, motosikal mangsa terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.


"Mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Penyamun solo kena cekup


Oleh Rosliza Mohamed
Machang: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang aktif melakukan kegiatan samun secara bersendirian sejak Mei lalu berjaya diberkas polis, dalam satu kejadian di Labok di sini, kelmarin.

Lelaki berasal dari Kampung Chicha di sini, ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai cubaannya melarikan sebuah kereta jenis Nissan Bluebird milik seorang wanita di Kuala Krai, kira-kira jam 7.30 malam.


Modus operandi digunakannya adalah dengan berlagak alim dan mencari wanita yang memandu sendirian untuk dibantu selepas dia memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan lastik dan serpihan plug kereta.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, sebaik menerima laporan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai bertindak mengekori suspek yang ketika itu ditemui di kawasan Telekong, Kuala Krai hingga ke Labok, Machang.


"Sebaik tiba di Masjid Labok, suspek memperlahankan kereta dan berhenti di perkarangan masjid.


"Anggota kemudiannya cuba mendekatinya namun disedari suspek yang cuba melarikan diri dengan mengundur kereta ke belakang dan hampir melanggar seorang anggota dan orang awam.

"Berikutan itu satu tembakan dilepaskan ke arah tayar depan kereta dipandu suspek bagi tujuan menghalang pergerakannya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Suspek berjaya ditahan di tepi Jalan Labok, Machang dan kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Suspek pengganas, Marwan tidak terbunuh

Suspek pengganas, Marwan tidak terbunuh
polis mengiringi Khair Mundos pada 20 Jun lalu ketika dibawa ke mahkamah di Bandar Raya Taguig, selatan Filipina. - Foto AP
2014/08/07 - 07:50:21   MANILA: Komander kumpulan Abu Sayyaf yang ditangkap mendedahkan suspek pengganas utama Asia Tenggara, yang dilaporkan oleh tentera terbunuh dalam serangan udara dibantu Amerika Syarikat dua tahun lalu, sebenarnya masih hidup dan dilindungi kumpulan pemisah Islam di selatan Filipina, menurut laporan sulit rasmi.

Khair Mundos, yang ditahan polis berhampiran lapangan terbang antarabangsa Manila pada 11 Jun lalu, mengaku kumpulannya semakin kucar kacir, tanpa pemimpin pusat, semakin dibebani perbalahan dalaman dan bergantung kepada peras ugut dan penculikan, menurut siasatan polis ke atas Mundos.

Keterangan Mundos menyamai penilaian yang dibuat tentera dan polis mengenai Abu Sayyaf, yang dikatakan semakin lemah dan terpinggir dalam hutan terpencil di selatan berikutan selama lebih sedekad oleh tentera Filipina yang dibantu Amerika.

Jabatan Negara Amerika berkata Mundos ialah pemimpin utama Abu Sayyaf dan pembiaya kewangan yang ditangkap di selatan Filipina pada 2004 tetapi dapat melarikan diri dari penjara tiga tahun kemudian. Ketika dalam tahanan polis, beliau mengaku menguruskan perpindahan dana daripada al-Qaeda kepada Abu Sayyaf untuk membiayai kes pengeboman dan serangan pengganas lain di selatan.

Abu Sayyaf tidak mempunyai kepemimpinan pusat, Mundos dipetik dalam laporan sebagai berkata, menambah militan tidak mempunyai arah tujuan dan terbabit dalam peras ugut serta penculikan untuk mengekalkan keperluan harian mereka.

Mundos berkata, beliau mengunjungi wilayah penempatan Pergerakan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFM) tahun lalu, di selatan Maguindanao dan bertemu Marwan, suspek dari Malaysia yang nama sebenarnya Zulkifli Hir. - AP

Adik masih trauma, teringat kejadian kemalangan


  • Anak-anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam kemalangan jalan raya malam Ahad lalu melihat kembali gambar lama ibu-bapa mereka.Anak-anak pasangan suami isteri yang terkorban dalam kemalangan jalan raya malam Ahad lalu melihat kembali gambar lama ibu-bapa mereka.

KAMPUNG GAJAH - “Adik masih lagi trauma dan tidak boleh dengar sesiapa sahaja menceritakan kejadian yang menimpa arwah mak dan ayah kerana dia akan terus bersedih.

Demikian cerita anak sulung kepada arwah Mohd Amin Mat Yusuf, 52,  dan Norkhaijan Tukiran, 43, yang maut dalam kemalangan malam Ahad lalu.

Nur Isma, 24, berkata, adiknya Mohamad Haziq, 6, itu turut terlibat dalam kemalangan namun hanya mengalami cedera ringan.

“Mungkin dia melihat apa yang berlaku tetapi tidak dapat menceritakan kejadian itu kepada orang lain menyebabkan dia sentiasa teringat dan kadangkala bermimpi sehingga menangis pada waktu malam.

“Dia juga masih tertanya-tanya di mana mak, kenapa mak masih belum pulang walaupun mengetahui mak dan ayah sudah meninggal,” katanya ketika ditemui di rumah di Taman Changkat Lada Raya di sini, semalam.

Dalam kejadian kemalangan Ahad lalu itu, pasangan suami isteri bersama anak bongsu mereka itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Sepang setelah menghantar anak ketiga mereka belajar dan berhari raya di rumah saudara-mara.

Setelah tiba di tempat kejadian iaitu di Kilometer 44, Jalan Teluk Intan-Sitiawan kereta Perodua Kancil yang dinaiki tiga beranak berkenaan telah bertembung dengan sebuah kereta Kancil yang dinaiki  sebuah keluarga dari Teluk Intan.

Akibat kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan dan dua ahli keluarga sebuah lagi kereta terkorban.

Nur Isma berkata, kini mereka berlima iaitu adiknya, Asmawi, 22, Nurul Jannah, 19, Mohamad Wafiy, 17, dan Mohamad Haziq menjadi yatim piatu dalam masa yang singkat.

“Saya hanya pulang berhari raya pada raya ketiga kerana sebelum itu saya beraya di rumah suami namun sempat berjumpa dengan mak dan ayah.

“Mereka berdua tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma ayah kelihatan lebih senyap berbanding sebelum ini yang suka ketawa dan membuat lawak.

“Sebelum kejadian itu juga mak dan ayah tidak ada berpesan apa-apa dan kami juga tidak menyangka mereka akan pergi dengan cara begitu, namun kami semua reda dengan kejadian ini,” katanya.

Katanya, dia akan mengambil tugas menjaga adik bongsunya itu memandangkan adiknya masih memerlukan perhatian rapi.

“Kami akan berbincang dan saya bercadang untuk membawa Mohamad Haziq tinggal bersama saya di Kuala Lumpur kerana dia masih kecil.

“Adik-adik yang lain sudah mampu berdikari sendiri. Tambahan pula di kampung ada  saudara-mara dan nenek tinggal berdekatan, mereka boleh tolong menjenguk adik,” katanya.

Mayat lelaki ditemui dengan nota


6 Ogos 2014


SANDAKAN - Mayat seorang lelaki bersama nota bertulis 'tidak tahan tekanan kerja' ditemui di tingkat lima tempat letak kereta di salah sebuah bangunan di sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, mayat Chang Fui Leong, 45, dijumpai pada pukul 2.50 pagi dan siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai terjun dari tingkat 10 bangunan berkenaan.
 
Katanya, semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) bangunan tersebut mendapati mangsa yang berjalan seorang diri ke tingkat 10 tidak menunjukkan detik-detik ketika mangsa bertindak terjun.
 
Pemeriksaan menemui sekeping nota dalam tulisan Cina pada poket seluar mangsa berbunyi "Saya tidak tahan tekanan kerja, saya bunuh diri, tolong hubungi kawan saya dan adik saya," kata Rowell.
 
Menurut Rowell mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat dan keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung kejadian.
 
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama

Dua beranak maut kereta, bas bertembung


7 Ogos 2014


KUANTAN - Dua beranak maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Km18, Jalan Lipis-Benta dekat Kuala Lipis semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata dalam kejadian 5.30 petang itu, Mohd Zaim Rasyidi Jusoh, 24, dan ibunya  Fatimah Che long, 69, dari Kampung Tasik Permai, Rantau Panjang, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sampai tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Mohd Zaim dipercayai hilang kawalan dan berpusing-pusing semasa melalui selekoh di situ sebelum bertembung dengan bas berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemandu bas Ezaruddin Tajuddin, 44, dan lapan penumpang bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdul Razak berkata mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. - Bernama

Empat sekeluarga disamun 4 lelaki bersenjata pisau


6 Ogos 2014

BENTONG - Empat sekeluarga diikat dengan kain dan wayar seterika semasa disamun empat lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging yang melarikan barangan bernilai lebih RM20,000 di rumah mereka di Kampung Baru dekat sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Nor Mansor berkata, sebelum kejadian wanita yang bekerja sendiri itu keluar dari rumah untuk mengambil anak lelakinya, 8, di Sekolah Kebangsaan Tun Fatimah, kira-kira 100 meter dari rumah mereka sementara ibu dan seorang lagi anak lelakinya berada di rumah.
 
"Sebaik sampai di rumah, mangsa menyedari terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru di hadapan pintu pagar rumahnya lalu bertindak menghampirinya.
 
"Tiba-tiba seorang lelaki yang menutup muka dengan kain keluar dari tempat duduk belakang kereta itu sambil memegang pisau pemotong daging meluru ke arah mangsa lalu mengarahkannya masuk ke dalam rumah," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Mohamad Nor berkata, seorang lagi suspek yang memakai topi keledar juga masuk ke dalam rumah dan sempat mengambil kain di ampaian lalu mengikat tangan mangsa dan dua anak lelakinya.    

Mohamad Nor berkata, ibu mangsa turut diikat dengan menggunakan wayar seterika dan mereka kemudian dikumpulkan di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah mereka.
 
Suspek, katanya, turut meminta mangsa menanggalkan semua barang kemas yang dipakai, manakala rakan jenayah suspek yang lain bertindak menggeledah rumah.
 
Beliau berkata selepas itu suspek kemudian bertindak melarikan diri melalui pintu hadapan dengan Proton Wira terbabit.
 
Katanya, mangsa kemudiannya dapat melepaskan diri sebelum menghubungi polis.
 
"Pemeriksaan awal mendapati mangsa turut kehilangan sebuah komputer riba dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian bernilai lebih RM20,000 termasuk barang kemas.
 
Menurutnya juga, polis percaya suspek yang berusia lingkungan 20an memakai kemeja dan baju-t serta berseluar jeans itu merupakan orang tempatan dan gerakan memburu kesemua suspek sedang dijalankan. - Bernama

Dua kemalangan di lokasi sama


  • Dua kemalangan di lokasi sama

IPOH - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal maut, manakala seorang penunggang motosikal lain cedera dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta yang berlaku di Kilometer 273 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Ahmad Nazmi Samsudin, 35, yang menaiki motosikal Yamaha LC dipercayai dalam perjalanan dari Jelapang menuju ke rumahnya di Kem PGA Ulu Kinta.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa kemudiannya merempuh kereta Proton Saga BLM yang di parkir di tepi jalan kerana mengalami kerosakan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya ke lorong kanan jalan sebelum motosikal Demak Scrambler melanggar mangsa sehingga menyebabkan dia cedera parah dan maut di tempat kejadian.

“Kemalangan tersebut turut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 24 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

“Semasa kejadian, cuaca baik, aliran trafik tidak sibuk dan keadaan jalan lurus. Bagaimanapun, kawasan persekitaran gelap kerana tiada lampu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Wan Sharuddin berkata, berlaku satu lagi kemalangan melibatkan empat kereta dan sebuah bas terlibat berhampiran kejadian kemalangan yang pertama.

Katanya, pada jam lebih kurang 11.25 malam, bas ekspres dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka yang dipandu pemandu bas berusia 56 tahun itu menekan brek secara mengejut selepas melihat beberapa kenderaan berhenti di hadapannya.

“Bagaimanapun, bas ekspres itu terlajak ke hadapan dan melanggar kereta Perodua Myvi, Perodua Viva, Toyota Altis dan teksi Proton Iswara.

“Kesemua pemilik kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya.

Murid OKU dakwa dipukul hingga lebam


  • Hamzah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian yang menimpa anaknya.Hamzah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian yang menimpa anaknya.

JERTIH - Seorang murid OKU sebuah sekolah rendah di sini, mendakwa dipukul seorang guru lelaki sehingga lebam di beberapa anggota badan, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Hakimie Hamzah, 10, dari Kampung Pengkalan Buluh dekat Kampung Tok Raja di sini mengadu ditampar dan dirotan serta dicubit oleh guru terbabit.

Bapa mangsa, Hamzah Awang, 64, berkata, ketika dia pergi mengambil anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 12.50 tengah hari kelmarin, dia mendapati anak kelima daripada enam beradik itu keluar dari sekolah dalam keadaan menangis.

Menurutnya, apabila sampai di rumah dia mendapati terdapat kesan rotan di punggung anaknya selain lebam pada bahagian kiri dan kanan telinga serta di kiri perut.

“Setelah diperiksa saya dapati ada kesan cubitan yang banyak dan jelas di bahagian bawah ketiak dan dada anak saya,” dakwa petani ini.

Hamzah berkata, dia kemudiannya menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Besut selepas keadaan telinga mangsa yang berair selepas kejadian tersebut selain mengadu sakit di kedua-dua belah telinga dan badan

Hamzah berkata, isterinya ada ke sekolah dan bertemu salah seorang kakitangan di situ yang mendakwa melihat guru berkenaan menampar mangsa berulang kali, namun kakitangan itu tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya membantu menyapu ubat pada badan mangsa.

“Saya sangat kesal dengan perbuatan guru tersebut yang saya difahamkan baru bertukar ke sekolah itu. Selama empat tahun anak saya bersekolah di situ kejadian kelmarin adalah kali pertama menimpa anak saya.

“Saya difahamkan guru tersebut bertindak di luar batasan hanya kerana anak saya bergaduh dengan rakan sebayanya yang juga murid OKU. Takkanlah cikgu sampai bertindak begitu sekali sedangkan anak saya tak sempurna serba serbi,” katanya.

Hamzah yang kesal dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit bertindak membuat laporan di Balai Polis Jertih petang kelmarin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

460 tikus ditangkap sejak Januari


  • Pehimi (kanan) menunjukkan tikus yang berjaya ditangkap semalam.Pehimi (kanan) menunjukkan tikus yang berjaya ditangkap semalam.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan memperhebatkan gerakan membasmi tikus secara lebih bersepadu dalam memastikan sasaran mewujudkan persekitaran sifar tikus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dapat direalisasikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, tindakan proaktif dengan kadar segera sudah diambil termasuk memasang perangkap di lokasi-lokasi tikus berlindung atau membiak.

Menurutnya, antara kawasan dikenal pasti sebagai tempat tumpuan untuk memasang perangkap menggunakan kaedah gam itu adalah lokasi penyimpanan kain dan pakaian, stor yang kurang dikunjungi serta tempat menyediakan makanan.

“Selain itu, pihak hospital juga mengambil pendekatan tegas dan serius berhubung larangan membawa makanan dalam kalangan pelawat. Apa yang lebih mustahak adalah menghapuskan sumber makanan tikus di sekitar kawasan hospital.

“Insya-ALLAH, saya yakin dengan usaha berterusan pihak pengurusan hospital, ia tidak akan menjadi fobia kepada masyarakat, malah setakat ini kesan masalah tikus tidaklah sehingga mengganggu pesakit yang dirawat di hospital ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan Aidilfitri bersama warga kerja HSNZ di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, kehadiran tikus yang berkeliaran di dalam wad HSNZ, di sini, turut menjadi viral dalam laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.

Gambar dan video berkenaan dikatakan telah tersebar di laman sosial memberi imej negatif terhadap hospital utama di negeri ini kerana ia tidak sepatutnya berlaku.

Mengulas lanjut, Muhammad Pehimi berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengatasi masalah itu dan jawatankuasa tersebut telah bertindak pantas sejak empat hari lalu dalam usaha untuk menyelesaikan perkara itu.

“Untuk rekod, dari Januari hingga Jun, kita berjaya menangkap sebanyak 460 ekor tikus, manakala sejak empat hari lalu sebanyak 43 ekor lagi ditangkap.  Kerja ini akan berterusan dan kita berterima kasih di atas makluman orang ramai berhubung isu tersebut menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini,” katanya.

Muhammad Pehimi berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menguatkuasakan tindakan kepada peniaga yang tidak berlesen di sekitar hospital dan berhubung isu sampah-sarap agar segera diangkat.

Sementara itu, Dr Anwa meminta orang ramai peka terhadap pelupusan sisa makanan di hospital dengan membuang sampah-sarap ke dalam bakul sampah khas bertutup yang disediakan agar tidak menarik tikus datang ke kawasan tersebut.

Tak sempat berjoli


MOHD FIRDAUS YON
7 Ogos 2014


JOHOR BAHRU - Dua penjenayah diberkas selepas sejam melakukan samun bersenjatakan parang ke atas sepasang suami isteri dan seorang pekerja binaan di kediaman mangsa di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kira-kira jam 3 petang, semasa pengadu bersama isteri dan pekerja kontrak itu berada di rumah, datang dua lelaki menaiki Proton Perdana warna hitam bersenjatakan sebilah parang.

Menurutnya, suspek kemudian masuk ke dalam rumah pengadu serta mengarahkan suami isteri dan pekerja kontrak itu menyerahkan semua barang berharga milik mereka dengan anggaran kerugian keseluruhan RM2,400.

“Pengadu merupakan ejen hartanah berusia 42 tahun mengalami kerugian berupa wang tunai RM400, telefon bimbit, kad pengenalan dan lesen memandu selain dua kad ATM. Manakala pekerja binaan kerugian kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM.

“Pada jam 4 petang, sepasukan anggota polis dikenali pasukan Ninja yang sedang membuat rondaan menahan kereta suspek di Jalan Songkit, di sini, berhampiran bangunan Wisma Daiman,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sulaiman berkata, sejurus ditahan, suspek bertindak memecut laju ke arah Jalan Kebun Teh berdekatan perkuburan India sebelum hilang kawalan dan berhenti di jalan mati.

“Seterusnya anggota pasukan Ninja telah berjaya memberkas dan menangkap kedua-dua suspek. Siasatan mendapati pengadu bersama isteri serta pekerja kontrak tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Apabila suspek dibawa ke Balai Sentral, pengadu bersama pekerja telah mengecam kedua-dua suspek berkenaan yang telah menyamun mereka. Pengadu dan pekerja kontrak itu juga telah mengecam barang rampasan daripada suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 36 tahun mempunyai rekod lampau (dikehendaki) bagi kes pecah rumah manakala suspek kedua berumur 37 tahun tidak memiliki rekod lampau.

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan ditahan untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak dengan bersenjata atau rompak serta cuba menyebabkan kematian.

“Polis merampas sebuah kereta milik suspek pertama, sebilah parang iaitu senjata digunakan untuk menyamun, sepasang sarung tangan, satu allen key, seutas beg silang dan dokumen milik mangsa

“Polis memohon kerjasama saksi yang nampak kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Meninggal dunia selepas berkelahi


  • Di kawasan surau inilah mangsa dipapah oleh isterinya sebelum mangsa menghembuskan nafas
terakhirnya.Di kawasan surau inilah mangsa dipapah oleh isterinya sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhirnya.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dipercayai beberapa minit berkelahi dengan anak jirannya, dalam satu kejadian di sebuah flat di Bukit Kecil, di sini, semalam.

Sebelum kejadian dipercayai kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, 70-an dikatakan pada awalnya hanya bertikam lidah dengan anak jirannya yang berusia 20-an disebabkan perselisihan faham sebelum ini di antara mereka berdua.

Menurut sumber, bagaimanapun, kedua-dua mereka yang gagal mengawal emosi masing-masing telah menyebabkan pertengkaran kecil itu menjadi agak serius sehingga berlakunya pergelutan.

“Mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati dengan anak jirannya sebelum ini telah ‘menyerang’ pemuda itu sejurus ternampak kelibatnya yang ketika itu sedang menunggang motosikal di kawasan flat berkenaan.

“Pada awalnya mereka berdua hanya bertengkar mulut, namun menjadi agak serius sehingga berlaku pergelutan.

“Dalam pergelutan itu, mangsa dikatakan telah jatuh sebelum dibawa isterinya ke sebuah surau berhampiran tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Difahamkan, mangsa menghidap pelbagai penyakit termasuk jantung.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Shahida Abdullah, 39, berkata, ketika sedang melayan pelanggan di warung miliknya yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari surau berkenaan, dia ternampak pasangan suami isteri itu sedang duduk di atas kerusi yang disediakan di kawasan surau.

“Semasa itu, saya nampak isterinya sedang mengurut dada arwah yang ketika itu kelihatan berada dalam keadaan yang agak lemah.

“Disebabkan saya memang mengenali mereka, jadi saya mengambil keputusan menghampirinya untuk mengetahui situasi sebenar, namun, sejurus tiba di situ, saya dimaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Jelasnya, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa dan pada masa sama, polis turut menahan suspek serta saksi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Lelaki dipenjara angkara hobi


  • Tertuduh diiringi anggota polis ke lokap mahkamah sementara menunggu wang jaminan dijelaskan semasa hadir untuk sebutan pertama kes itu 24 Julai lalu.Tertuduh diiringi anggota polis ke lokap mahkamah sementara menunggu wang jaminan dijelaskan semasa hadir untuk sebutan pertama kes itu 24 Julai lalu.

KUANTAN - Seorang pekerja sambilan sebuah syarikat pembalakan yang juga peminat senjata dan bahan letupan terpaksa melupakan minatnya itu apabila segala koleksi yang disimpan selama ini mengheretnya ke penjara selama 44 hari dan terpaksa menjelaskan denda RM8,000, semalam.

Lee Ming Hooi, 27, dari Lorong Air Putih 68,  Jalan Beserah di sini yang mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan 24 Julai lalu mengekalkan pengakuan bersalahnya semalam bagi dua daripada tiga pertuduhan memiliki senjata api tiruan, senjata bahaya dan bahan yang dihadapinya.

Bagaimanapun dia menukar pengakuan tidak bersalah terhadap salah satu pertuduhan selepas tuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang dihadapinya dipindah dan disebut semula di mahkamah sesyen, semalam.

Dalam sebutan kesnya semalam, Meng Hooi mengekalkan pengakuan bersalahnya terhadap tuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dua alat renjatan elektrik.

Mengikut seksyen itu, dia berdepan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun bagi kesalahan itu, Majistret Nor Zaihan Mohamed Ali menjatuhkan hukuman penjara 22 hari dan denda RM3,000 terhadap tertuduh.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki satu mercun buatan sendiri dan lapan bahan letupan  jenis Super Power 90.

Bagi kesalahan itu, tertuduh juga dipenjara 22 hari dan denda RM5,000 atau empat bulan penjara.

Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu bagaimanapun berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap 16 Julai lalu.

Dalam Mahkamah Sesyen Kuantan, tertuduh menukar pengakuan kepada tidak bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa memiliki empat unit busur silang, satu pistol tiruan bersama lima butir peluru, dua buku lima, lapan bilah parang pelbagai saiz, dua bilah pedang 50 sentimeter (sm) dan dua pedang berkembar ukuran 55 sm.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah ditawarkan jaminan RM20,000 oleh pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin.

Bagaimanapun Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin membenarkan jumlah itu dikurangkan kepada RM15,000 dan diperintahkan melaporkan diri di Balai Polis Kuantan setiap bulan sebelum atau pada 5 hari bulan hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Peguam, Zaharman Zainal Abidin ketika mewakili tertuduh dalam rayuannya menjelaskan, semua senjata dan bahan letupan yang dirampas adalah koleksi anak guamnya yang amat berminat dengan barangan itu.

Menurutnya, semua barang yang dirampas ditemui di dalam rumah yang jelas menunjukkan senjata itu hanya untuk hobi dan bukan bagi tujuan jenayah.

“Senjata itu tidak pernah dibawa keluar dan tiada kesan menunjukkan ianya pernah digunakan.

“Manakala mercun dan bahan letupan digunakan untuk ‘mengebom’ ikan ketika memasuki hutan menjalankan kerja-kerja pembalakan,” katanya.

Majistret Noor Zaihan bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya melupakan hobinya itu kerana ia telah menyusahkan diri sendiri sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara.

“Carilah hobi baharu yang lebih sesuai,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman.

Parah ditetak di kedai kopi


  • Seorang peniaga kedai makan menunjukkan tempat mangsa ditetak.Seorang peniaga kedai makan menunjukkan tempat mangsa ditetak.

GUA MUSANG – Penolong Pertanian Risda, Fakhruzi Ibrahim, 30, parah ditetak seorang lelaki ketika sedang minum di sebuah kedai kopi di Kampung Lembaga, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa minum bersama beberapa penduduk, kira-kira jam 11.40 pagi sebelum didatangi suspek dikenali berusia lingkungan 27 tahun.

Menurutnya, mangsa sempat mengelak apabila cuba dipukul dengan sebatang kayu dan beberapa penduduk membantunya dengan merampas batang kayu berkenaan bagi mengelakkan terus berlaku pergaduhan.

Bagaimanapun katanya, suspek yang tidak puas hati mengeluarkan sebilah golok yang terselit di pinggangnya, lalu menetak kepala mangsa dua kali menyebabkan luka parah.

“Orang ramai berjaya berjaya merampas golok daripada tangan suspek dan segera membawa mangsa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai (HKK).

"Suspek yang berasal dari Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah ditahan pada hari sama. Polis turut merampas sebilah golok dan batang kayu yang digunakan suspek," katanya.
Saiful Bahri berkata, suspek ditahan reman tiga hari sehingga 8 Ogos ini dan siasatan di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan.

"Hasil siasatan, suspek mempunyai rekod aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.

40 kanak-kanak korban baharu ISIL


  • Minoriti Yazidi mengadakan demonstrasi di luar pejabat PBB di bandar Arbil menentang ancaman yang dikenakan ISIL.Minoriti Yazidi mengadakan demonstrasi di luar pejabat PBB di bandar Arbil menentang ancaman yang dikenakan ISIL.

BAGHDAD - IRAQ. Sekurang-kurangnya 40 kanak-kanak minoriti Yazidi di wilayah Sinjar di utara Iraq terbunuh dalam serangan militan, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kelmarin.

"Menurut laporan rasmi yang diterima Unicef, kanak-kanak dari minoriti Yazidi meninggal dunia akibat daripada kesan langsung keganasan, perpindahan dan dehidrasi sejak dua hari lalu,"menurut pertubuhan itu.

Ahad lalu, Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang sebelum ini menguasai kawasan barat laut Iraq telah mengambil alih Sinjar yang berada di bawah kawalan tentera Peshmerga di wilayah Kurdistan.

Jurucakap komuniti Jawhar Ali Begg memberitahu, hampir 40,000 masyarakat Yazidi telah meninggalkan kediaman mereka di bandar Sinjar dan Zumar untuk berlindung di wilayah jiran Kurdistan.

"Keluarga yang melarikan diri termasuk sehingga 25,000 kanak-kanak amat memerlukan bantuan kemanusiaan seperti makanan dan perkhidmatan sanitasi kerana mereka kini terkandas di gunung sekitar Sinjar,"katanya yang dipetik  Al Arabiya

13 kambing mati sekali gus


  • Kambing mati dipercayai akibat perbuatan khianat.Kambing mati dipercayai akibat perbuatan khianat.

PENAGA - Seorang penternak kambing di Permatang Janggus mengalami kerugian hampir RM6,000 apabila 13 kambing yang diternaknya mati pagi semalam.

Ibrahim Isyak, 43, berkata kejadian tersebut disedarinya ketika mahu memberi ternakannya makan.

“Setiap hari, saya akan beri kambing saya makan kira-kira jam 6 petang, tetapi semalam ketika meletakkan makanan, tidak semua yang turun dari kandang dan saya syak sesuatu yang buruk berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang mengusahakan ternakan kambing sejak 2006 mempunyai lebih 42 kambing hasil pakej usahawan diperolehnya.

Katanya, sebelum ini kambing tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda sakit.

“Cuma semalam, saya mendapati beberapa ekor mengalami cirit-birit serta muntah selain ada darah pada najis," katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim tidak menolak kemungkinan kambingnya mati akibat perbuatan khianat.

“Saya jarang lepaskan ternakan saya di luar kawasan kandang, jadi tak mungkin termakan rumput yang diracun," katanya.

Dia juga telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan veterinar Pokok Sena dan mereka memberikan dua botol ubat untuk diberikan kepada ternakannya.

Tujuh termasuk tiga kereta mewah musnah terbakar


  • Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan sebuah bengkel membaiki kenderaan.Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan sebuah bengkel membaiki kenderaan.

GEORGETOWN - Tujuh kenderaan termasuk tiga kereta mewah yang diletakkan di sebuah bengkel di Jalan Perlis, Georgetown di sini hangus terbakar dalam satu kejadian yang berlaku awal pagi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.45 pagi itu, kesemua kenderaan terbabit yang telah siap diperbaiki tidak dapat diselamatkan apabila api yang dikatakan berpunca dari arah depan bengkel berkenaan merebak cepat sehingga memusnahkan hampir 70 peratus bengkel berkenaan.

Komander Operasi Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Azrinnoor Ahmad berkata, pihaknya yang menerima panggilan kebakaran kira-kira jam 2.51 pagi itu bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, tiga jentera bomba berserta 20 anggota dikerahkan memadamkan kebakaran berkenaan dan api berjaya dikawal 15 minit kemudian.

Azrinnoor berkata, pihaknya masih lagi menyiasat punca dan jumlah kerugian yang dialami akibat kejadian itu.

Digilis lori lepas motor terbalik


Kuala Lumpur: Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya terbalik sebelum digilis sebuah lori yang membawa muatan kren di Kilometer 18, Lebuh raya Damansara Puchong (LDP), di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun itu dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja.


Sumber berkata, kemalangan dikatakan berlaku apabila mangsa dikatakan cuba memotong barisan berikutan keadaan jalan yang sesak ketika semua orang bergegas untuk ke pejabat.

“Kejadian berlaku di susur masuk ke Bandar Sunway ketika motosikal mangsa tiba-tiba bergesel dengan bahagian tepi lori itu.


“Akibatnya motosikal mangsa terbalik menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis tayar belakang lori berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Bayi dalam perut ipar meninggal


Mersing: Seorang lelaki terbunuh manakala adik iparnya terpaksa dibedah bagi mengeluarkan bayi tujuh bulan dalam kandungannya yang mati selepas kereta mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Tanjung Leman-Felda Tenggaroh di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Saifol Bahari, 35, yang memandu Proton Waja maut manakala penumpang iaitu adik iparnya, Siti Noraini Samad, 21, serta suami, Mohd Amran Awang Othman, 19, cedera parah. 
Kemalangan turut menyebabkan pemandu Perodua Myvi, kakitangan Klinik Kesihatan Tenggaroh dikenali sebagai Kevin Tan Ken Shawn, 25, cedera parah. 

Difahamkan, kejadian berlaku apabila Perodua Myvi dipandu Kevin yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja, hilang kawalan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Waja dipandu Saifol.
Foto
KEADAAN kereta yang dipandu mangsa.

Pertembungan itu menyebabkan Saifol yang cedera parah di kepala dan dada, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Mersing jam 10.30 pagi. Siti yang sarat mengandung anak sulung menjalani pembedahan bagi mengeluarkan mayat bayi dalam kandungannya.

Isteri Saifol, Salwaniza Samat, 26, berkata, dia baru berkahwin dengan Saifol 13 Jun lalu, dan belum sampai dua bulan hidup bersama, kini mereka sudah terpisah selama-lamanya. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Syabu bekas kuih raya


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
Temerloh: Cubaan dua sahabat menyembunyikan lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dalam bekas kuih raya tidak menjadi apabila ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Bahagia, kelmarin.

Dalam serbuan jam 8.10 malam, kedua-dua suspek berusia 20 dan 30 tahun gagal memboloskan diri sebelum terperangkap di ruang tamu apabila dikepung sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Serbuan yang diketuai Inspektor T S Naventheran dilakukan selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di rumah berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, ketika serbuan, polis terpaksa memecahkan pintu belakang selepas suspek enggan membuka pintu termasuk tidak memberikan kerjasama.

Menurutnya, selepas berjaya memasuki rumah itu, polis menemui dua suspek di ruang tamu selepas gagal melarikan diri akibat dikepung sebelum polis menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, polis menemui lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 101.9 gram dianggarkan bernilai RM17,000 disembunyikan di bawah meja.

“Pada masa sama, polis turut merampas satu alat penimbang digital, satu botol kaca diubah suai untuk menghisap syabu, satu bungkus plastik berisi plastik kosong, tiga telefon bimbit jenama Samsung dan Nokia serta satu Galaxy Tab Samsung.

“Siasatan awal mendapati syabu itu dipercayai dibawa masuk dari negeri jiran dianggarkan bernilai RM25,000 jika dijual mengikut harga pasaran gelap,” katanya.

Kedua-dua suspek bersama barangan dirampas dibawa ke IPD Temerloh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

‘Vitamin dadah’


Sepang: Cubaan seorang lelaki warga Iran menyembunyikan dadah di dalam botol serbuk protein bina badan di bagasinya gagal apabila tindakannya itu dihidu pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Balai Ketibaan Kastam, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Sabtu lalu.
Pemeriksaan lanjut ke atas bagasi suspek berusia 27 tahun itu menemui dadah jenis methamphetamine seberat 9.85 kg bernilai RM1.87 juta yang disembunyikan di dalam dua botol plastik dan satu bungkusan plastik. 
Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, siasatan awal mendapati, suspek berkenaan sudah memasuki Malaysia sebanyak lima kali namun tidak dapat dipastikan sama ada terbabit dalam penyeludupan dadah sebelum ini. 

Beliau berkata, dadah berkenaan ditemui selepas anggotanya mengesan dua botol plastik dan satu bungkusan di dalam bagasi di bawa suspek sebelum membuka beg berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Foto
CHIK Omar (tengah) menunjukkan dadah yang disembunyikan dalam bekas protein bina badan yang dirampas di KLIA pada 2 Ogos lalu.

“Sebaik dibuka, kami menemui dua botol plastik dan bungkusan yang tertera produk sumber protein jenama terkemuka yang sering dijadikan makanan tambahan bagi ahli bina badan.

“Namun sebaik diperiksa kami menemui serbuk putih di dalamnya yang disyaki dadah jenis methamphetamine sedangkan botol dan bungkusan luaran tertera sumber protein berperisa coklat,” katanya pada sidang media di sini semalam. 

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. 

Chik Omar berkata, suspek juga mengakui seorang ahli bina badan berdasarkan susuk badannya yang berisi dan tegap. 

Dalam perkembangan sama, Chik Omar berkata, kes rampasan dadah itu adalah kes keempat direkodkan Kastam KLIA sejak Julai hingga 2 Ogos lalu membabitkan rampasan keseluruhan 15.56 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.97 juta. 

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, seramai tiga suspek warga asing ditahan termasuk warga Iran berkenaan selain masing-masing seorang warga Thailand dan Nigeria berusia antara 22 hingga 34 tahun. 

“Kejayaan rampasan bagi keempat-empat kes itu hasil pemantauan dan pemeriksaan berterusan ke atas penumpang yang tiba di KLIA serta maklumat awam. 

“Kes pertama dikesan kira-kira jam 9.30 pagi 1 Julai lalu di gudang MAS Kargo KLIA selepas pemeriksaan lanjut terhadap sebuah parcel berjaya menemui lima tin makanan diisi bahan jernih kristal jenis methamphetamine seberat 1.28 kg bernilai RM243,960,” katanya. 

Katanya, kes kedua dikesan kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama selepas pasukan Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA menemui dadah jenis kokain seberat 1.67 kg bernilai RM334,400 sebaik memeriksa bagasi seorang wanita warga Thailand berusia 22 tahun di sebuah hotel di Kuala Lumpur. 

Manakala, bagi kes ketiga pula, seorang lelaki warga Nigeria berusia 34 tahun ditahan selepas imbasan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasinya berjaya menemui dadah jenis methamphetamine seberat 2.75 kg bernilai RM522,500. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Keletihan di surau R&R


Alor Gajah: “Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan saya sebaik dimaklumkan polis berhubung penemuan mereka,” begitu kata suami kepada seorang wanita yang hilang bersama bayi berusia dua bulan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, sejak Isnin lalu.
Suami mangsa, Mohd Razis Ribaihi, 27, berkata, dia bersyukur apabila dimaklumkan mengenai penemuan dua beranak itu di Tapah, Perak pada jam 11.55 pagi, semalam. 
“Seorang anggota polis menelefon saya memaklumkan bahawa isteri, Nor Syamila Md Nor, 27, dan anak, Muhamad Aqifshamil, dua bulan, kini berada di Balai Polis Tapah. 

“Mereka ditemui dalam keadaan lemah dipercayai keletihan akibat tidak makan sejak dilaporkan hilang pada Isnin lalu,” katanya, semalam.
Foto
NOR Syamila dan anaknya dibawa oleh orang ramai ke Balai Polis Tapah.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, Isnin lalu, Nor Syamila dan Muhamad Aqifshamil dalam perjalanan pulang selepas beraya dari kampungnya di Johor ke rumah di Apartment Bukit Permata, Lumut, Perak sebelum singgah di R&R Ayer Keroh untuk berehat seketika selepas mengalami sakit kepala.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Razis yang berkhidmat dengan pasukan Bomba dan Penyelamat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Perak, berkata, dia yang sedang bekerja menerima SMS daripada telefon bimbit isterinya dipercayai dihantar orang lain memaklumkan bahawa Nor Syamila ditemui dalam keadaan lemah di dalam sebuah surau di R&R berkenaan. 

“Saya terkejut dengan kejadian itu dan membalas mesej berkenaan, namun sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila wanita terbabit membalas mesej mengatakan isteri tidak sedarkan diri dan muntah darah. 

“Wanita itu memberitahu akan menghantar isteri ke sebuah klinik di sekitar Alor Gajah dan meninggalkannya bersama anak di klinik terbabit untuk mendapatkan rawatan sebelum beredar ke tempat kerjanya,” katanya. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Tengah mandi rumah terbakar


Kuantan: “Alangkah terkejut apabila melihat api sudah marak di ruang tamu dan saya bergegas membawa anak bongsu berusia enam tahun keluar melalui pintu dapur,” kata Salmah Osman, 52, yang terselamat daripada kebakaran memusnahkan rumahnya di Kampung Sungai Ular, di sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu, wanita terbabit sedang mandi namun bernasib baik apabila anak perempuannya, Siti Zubaidah Ramli, 6, menyedari kebakaran berkenaan lalu menjerit memanggilnya berulang kali sebelum mereka berdua menyelamatkan diri.

Salmah berkata, dia pada mulanya tidak melayan panggilan anaknya itu kerana menyangka hanya perkara kecil berlaku, namun selepas Siti Zubaidah tidak berhenti memanggilnya selain mengetuk pintu bilik air beberapa kali menyebabkan dia bergegas keluar.

“Saya panik melihat api sudah marak dan terus berlari keluar bersama anak bongsu melalui pintu dapur dalam keadaan berkemban sebelum cuba mendapatkan bantuan jiran, namun api marak dengan cepat dan tiada apa sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Katanya, ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah manakala dua anaknya yang lain berusia tujuh dan lapan tahun masih berada di sekolah manakala suami, Ramli Noordin, 53, berada di tempat kerja di Gebeng, di sini.

“Suami bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan sebaik melihat rumah terbakar dia terus pengsan sehingga kami memanggil ambulans kerana bimbang sesuatu buruk berlaku,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Tikaman di dada


Kuching: Dua penuntut perubatan lelaki warga Britain yang sepatutnya pulang ke tanah air mereka Jumaat ini selepas tiga bulan melakukan latihan amali, di sini bagi membolehkan mereka menggenggam segulung ijazah tidak kesampaian apabila maut dibunuh empat lelaki dalam kejadian di Jalan Abell di sini, semalam.
Mangsa Aidan Brungar, 22, dan Nail Delton, 23, adalah penuntut perubatan dari Universiti Newcastle, England meninggal dunia di tempat kejadian dengan mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap dan terlentang di atas jalan raya selepas di tikam di dada oleh suspek bersenjatakan pisau pada jam 4 pagi, semalam. 
Difahamkan, mangsa datang ke sini untuk menjalani latihan amali melalui program pertukaran pelajar dengan sebuah pusat perubatan swasta sejak Jun lalu dan sepatutnya pulang ke negara mereka Jumaat ini. 

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Chai Khin Chung berkata, insiden berlaku ketika kedua-dua mangsa minum di sebuah kafe sebelum mereka bergaduh sesama sendiri.
Foto
ANGGOTA polis memeriksa tempat kejadian.

Beliau berkata, pada masa sama sekumpulan lelaki terdiri empat suspek berusia antara 19 hingga 35 tahun secara kebetulan singgah tiba di kafe berkenaan dari Batu 3, di sini ternampak mereka bergaduh lalu menghampirinya untuk meredakan keadaan.

“Sebaliknya, tindakan itu silap apabila mangsa memarahi kumpulan suspek hingga tercetus perang mulut antara mereka. 

“Kumpulan suspek dipercayai tidak berpuas hati terhadap mangsa, lalu mengejarnya menaiki sebuah kereta sehingga ke lokasi kejadian. 

“Salah seorang suspek berusia 23 tahun keluar dari kenderaan, menyerang serta menikam dada dan belakang mangsa sehingga rebah,” katanya ketika mengadakan sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, semalam. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Maruah dirobek


Kuala Lumpur: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib malang yang menimpa seorang lelaki yang bukan saja disamun, dibelasah dan dibogelkan sekumpulan lelaki malah gambarnya dalam keadaan mengaibkan turut disebar di laman sosial.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ran, 27, berkata dia berkenalan dengan salah seorang daripada lelaki berkenaan yang berusia 30-an menerusi laman Facebook dan dijanjikan pekerjaan lumayan di Johor Bahru (JB). 
“Ketika itu saya memang sedang dan terdesak untuk mencari pekerjaan. Saya segera menerima tawaran lelaki berkenaan sebelum menaiki bas ke JB untuk berjumpa dengannya. 

“Namun sebaik bertemu, baru saya tahu dia sebenarnya adalah seorang penipu yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan memperdayakan orang yang terdesak untuk mencari kerja seperti saya,” katanya menceritakan kejadian yang berlaku awal tahun lalu.
Foto
RAN menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

Sebaik kembali ke ibu negara, Ran yang sakit hati memuat naik foto lelaki berkenaan sambil memberi amaran kepada rakan-rakannya agar berhati-hati dengan lelaki berkenaan.

Beberapa bulan selepas itu, lelaki itu menghubunginya dan berjanji untuk membayar ganti rugi dengan syarat mereka perlu berjumpa di sebuah hotel di ibu negara. 

Dia yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju berjumpa di sebuah bilik hotel seperti dijanjikan dan sebaik tiba di hotel berkenaan, dia diikat oleh beberapa rakan lelaki terbabit sebelum dibelasah dan dibogelkan. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07