Search This Blog

Wednesday, August 6, 2014

Kerani IPD Setiu maut nahas


  • Noor Azliza bersama anaknya.Noor Azliza bersama anaknya.

SETIU - Seorang kerani kewangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Setiu meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat simpang kilang sawit Chalok, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Noor Azliza Puteh, 29, meninggal dunia kira-kira jam 10.45 malam kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Setiu akibat kecederaan parah di bahagian dalaman dan badan.

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 22 bulan itu menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya, Mohd Safuan Sulaiman, 30, yang berada bersama mangsa sejak dia dimasukkan di hospital tersebut.

Kata Mohd Safuan, dia yang sedang bekerja di Paka, Dungun bergegas ke Hospital Setiu sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa isterinya.

Katanya, dia sempat berjumpa dengan isterinya ketika isterinya itu menerima rawatan di hospital.

“Saya bersyukur kerana berada di sisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu, arwah isteri masih sedar. Mata dan tangannya masih bergerak, walaupun dia tidak boleh memberi maklum balas, tetapi saya tahu dia sedar akan kehadiran saya dan ahli keluarga lain.

“Walaupun amat sedih dengan pemergiannya, tetapi saya reda kerana apa yang ada di muka bumi ini adalah pinjaman dan sudah sampai masa arwah dipanggil pulang,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Belukar Sukai, Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menaiki Perodua Viva, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Belukar Sukai, Kuala Terengganu dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu.

Menurut beliau, sebaik tiba di simpang kilang sawit Chalok, sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki dari arah bertentangan, dipercayai memotong di garisan berkembar sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Mangsa dan pemandu serta penumpang Proton Wira dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut, tetapi mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.45 malam ketika menerima rawatan.

“Pemandu kereta Pronton Wira berusia 23 tahun dan penumpangnya berusia 19 tahun hanya cedera ringan,” katanya.

Kata Ab Rahman, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana sebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Salam terakhir bapa dua anak


  • Hasnam (gambar kecil) maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan berdekatan Lembah Cirus Valley, Durian Mentangau, pagi kelmarin.Hasnam (gambar kecil) maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan berdekatan Lembah Cirus Valley, Durian Mentangau, pagi kelmarin.
DUNGUN – Seorang isteri tidak dapat menahan sebak apabila suami yang baharu ditemui, menemui ajal selepas keluar dari rumah dalam kemalangan di Jalan Cirus Valley, dekat sini, kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Berita menyedihkan itu diterima Azlina Hassan, 33, selepas beberapa minit suaminya keluar dari rumah dengan menaiki kereta Proton Iswara untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, sebelum keluar, Allahyarham suaminya, Hasnam Daud, 38, sempat bersalam dengannya dan dua anak mereka yang berusia 5 serta 11 tahun.

“Tidak sampai 15 minit dia keluar rumah, saya menerima panggilan telefon memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan. Saya macam tak percaya sebab baru saja kami bersamanya,” katanya.

Kata Azlina lagi, ketika kejadian, suaminya yang juga pemasang perancah besi di syarikat penapisan dekat Kerteh, Kemaman dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Namun apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah Mazda CX5 dari arah Durian Mentangau dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain, lalu bertembung dengan kereta dinaiki suaminya dari arah bertentangan.

Menurut Azlina, suaminya yang cedera parah di bahagian kepala dan badan berjaya dikeluarkan anggota bomba selepas tersepit di celah stereng tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi proses pengebumian.

Jururawat cari wali untuk nikah


  • Muhammad Fadhine bersama tunangnya berharap akan bertemu wali yang dicari untuk melangsungkan perkahwinan.Muhammad Fadhine bersama tunangnya berharap akan bertemu wali yang dicari untuk melangsungkan perkahwinan.

MENTAKAB – Seorang jururawat buntu memikirkan persiapan perkahwinannya terpaksa ditanggguhkan apabila masih gagal mengesan wali sedangkan tarikh pernikahan mereka hanya tinggal tiga bulan.

Siti Annuha Rosland 22, akan menamatkan zaman bujang dengan pilihan hatinya, Muhammad Fadhine Roslan 22, pada November ini tetapi kesemua persiapan perkahwinan tidak dapat diuruskan dengan sempurna kerana masih gagal mencari wali iaitu adik beradik sebelah arwah ayahnya.

Menurutnya, dia kematian bapa pada 1998 dan datuknya pula meninggal dunia beberapa tahun kemudian.

“Sekarang saya perlu cari adik beradik arwah ayah yang berasal dari Muar, Johor sedangkan saya tidak pernah dibawa atau mengenali mereka.

“Emak saya juga tidak tahu di mana keluarga asal arwah ayah kerana sewaktu mereka berkahwin arwah ayah hadir ke majlis seorang diri.

“Ini menyebabkan emak juga tidak dapat membantu saya mencari wali iaitu bapa saudara sebelah arwah ayah,” katanya.

Siti Annuha berkata, dia membesar di Batu 7, Jalan Karak dan tinggal bersama emak, nenek dan seorang adik lelaki orang kurang upaya (OKU) sehinggalah dia bertugas sebagai jururawat di Sabah Februari lalu.

“Saya perlu menyelesaikan atau mencari wali dalam tempoh segera kerana terpaksa balik bertugas di Sabah pada Ahad ini,” katanya.

Sementara itu, tunangnya Muhammad Fadhine berkata, perkara itu telah dirujuk ke pejabat agama dan dia akan menuruti semua nasihat yang diberikan pegawai bertugas termasuklah usaha mengesan wali melalui akhbar.

Menurutnya, kepada mereka yang mengenali arwah Rosland Rajudin atau saudara mara yang mengetahui di mana adik beradiknya berada boleh berhubung dengannya di talian 019-9640051.

Warga kemboja ditemui lemas


  • Anggota bomba dan penyelamat menemui mayat mangsa yang terapung kira-kira 150 meter dari lokasi
kejadian, semalam.Anggota bomba dan penyelamat menemui mayat mangsa yang terapung kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian, semalam.

PULAU PANGKOR -  Seorang lelaki warga Kemboja berusia 38 tahun ditemui mati dipercayai lemas apabila terjatuh ke dalam laut di di Pelantar Ikan Leangsik Pekan Pulau Pangkor dalam kejadian awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Menurutnya, pihak bomba segera ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

“Pada hari kejadian, pihak kami operasi pencarian dijalankan di sekitar tempat kejadian kerana tiada saksi yang melihat mangsa terjatuh ke dalam laut.

“Pada hari ini (semalam) bermula jam 7.30 pagi barulah operasi penuh dilakukan dengan membuat pemantauan di bahagian permukaan laut dengan menggunakan sebuah bot Kaviar dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung serta sebuah lagi bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang disertai 20 anggota penyelamat itu melibatkan pasukan polis, polis Marin, Maritim dan bomba menggunakan empat bot.

Jelasnya, mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian pada jam 11.50 pagi manakala operasi tamat pada jam 12.57 tengah hari.

"Mangsa yang baru sebulan bekerja sebagai nelayan di kawasan itu ditemui hanya mengenakan seluar pendek tanpa baju.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Kantoi curi tablet


  • Farezah meneliti rakaman CCTV yang merakam pergerakan lelaki berkenaan.Farezah meneliti rakaman CCTV yang merakam pergerakan lelaki berkenaan.
 1 / 1 
KOTA BHARU - Gerak-geri seorang lelaki berwajah kacak mencuri tablet di sebuah kedai kain di Bazar Buluh Kubu, di sini, 2 Ogos lalu terbongkar selepas perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pemilik kedai terbabit.

Lebih memalukan apabila gambar dan video berdurasi selama 3.56 minit itu kini tersebar serta menjadi viral di laman sosial Facebook.

Rakaman tersebut memaparkan pergerakan seorang lelaki berusia 20-an yang memakai baju T berwarna biru cerah dan berseluar kelabu serta berkasut biru gelap sedang memilih kain.

Namun, tiba pada minit ke 3.51 dalam rakaman itu, lelaki berjanggut nipis tersebut dilihat perlahan-lahan mengambil tablet berjenama Samsung yang diletakkan di atas meja kaunter dengan tangan kanan dan menyorokkan ke dalam baju sebelum berjalan keluar dari kedai terbabit.

Tidak sangka jadi mangsa

Sinar Harian menemui pemilik kedai, Farezah Ramli, 33, di kedainya di Bazar Buluh Kubu bersebelahan Pasar Siti Khadijah, di sini, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Farezah berkata, dia tidak menyangka akan menjadi mangsa kerana sebelum ini dia ada terdengar heboh diperkatakan berlaku kejadian curi di bazar itu sejak sebulan lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit datang dari arah kanan laluan pejalan kaki lalu masuk ke kedainya pada jam 1 tengah hari dan berpura-pura mahu membeli kain.

“Ketika itu, saya anggap dia hanya mahu melihat-lihat sahaja tetapi apabila diberitahu dia ingin mengambil kain secara borong untuk dijual di pasar malam, saya layan dia seperti biasa,” katanya.

Pun begitu, Farezah mula mengesyaki sesuatu tidak kena kerana lelaki terbabit seperti melengah-lengahkan pergerakannya menyebabkan dia berhati-hati dan sentiasa memerhatikan lelaki itu.

“Dalam keadaan saya beringat-ingat, seorang pelanggan tetap saya datang dan bertanyakan tudung yang ditempah. Ketika saya berbual dengan pelanggan wanita tersebut, tidak sampai pun seminit saya berpaling ke dalam kedai melihat lelaki berkenaan telah berjalan keluar.

“Lima minit selepas itu baru saya perasan tablet milik anak yang diletakkan di atas meja hilang,” katanya.

Kejadian pertama

Farezah berkata, kejadian itu yang pertama dialaminya selepas 10 tahun berniaga dan lima tahun membuka kedai di bazar tersebut.

“Sepanjang berniaga, saya sentiasa memasang CCTV dan ketika kejadian, anak saya bermain permainan video melalui televisyen yang ada di dalam kedai tetapi rakaman tetap terpasang dan gambar lelaki itu jelas menunjukkan dia mencuri tablet berkenaan,” katanya.

Mangsa yang kerugian kira-kira RM1,500 kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abdul Rafar mengesahkan menerima laporan dan suspek berusia 24 tahun itu kini diburu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Dua rumah lenyap dipukul ombak


  • Hamdan menunjukkan rumah yang semakin hampir dengan laut di Kampung Permata.Hamdan menunjukkan rumah yang semakin hampir dengan laut di Kampung Permata.
PONTIAN - Hakisan pantai di Kampung Permata,  di sini, kian membimbangkan kira-kira  400 penduduknya apabila dua rumah  telah lenyap akibat ditenggelamkan air laut dalam tempoh tiga bulan lalu.

Kejadian berlaku disebabkan ketiadaan benteng di sesetengah kawasan pantai bagi menghalang hakisan menyebabkan rumah penduduk menjadi mangsa.

Penduduk, Hamdan Abdullah, 51, berkata, kejadian membabitkan dua rumah itu berlaku ketika fenomena air pasang, namun bernasib baik ia tidak melibatkan kerosakan harta benda dan nyawa berikutan  kediaman  tersebut pesudah tidak didiami.

“Ini kejadian pertama sejak kampung ini dibuka kira-kira 30 tahun lalu. Sebelum ini belum pernah ada rumah penduduk yang lenyap ditenggelamkan air laut.

“Kejadian sebegini amat menakutkan ratusan penduduk di kampung ini yang tinggal berhampiran kawasan pantai,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamdan berkata, jarak antara rumah dari tebing laut yang tidak sampai 10 meter menjadi bukti hakisan semakin serius.

"Jika tiada benteng dibina, tidak mustahil lebih banyak lagi rumah penduduk  lenyap dan kampung ini turut hilang dari pandangan mata umum.

“Kampung ini satu-satunya kampung di tepi pantai di kawasan bandar yang kesemua penduduknya Melayu.

Bagi Mohamad Basir, 60, berkata, walaupun menyedari bahaya yang bakal dihadapi berikutan  keadaan rumah semakin hampir dengan laut, dia tetap memilih untuk tinggal di Kampung Permata.

“Angin kencang  membadai rumah tidak kira masa.

"Jika 10 tahun dahulu angin kencang tidak begitu terasa kerana dilindungi pokok-pokok bakau, tetapi sekarang keadaan sudah berubah sama sekali.

“Buka sahaja pintu sudah nampak laut, lebih teruk lagi ketika air pasang habis rumah dimasuki air laut,” katanya semalam.

Dia yang bekerja sebagai nelayan berharap agar benteng batu segera dibina di seluruh kawasan kampung dan bukannya hanya meliputi sebahagian kawasan sahaja.

“Isu benteng bukan sesuatu yang baharu malah telah mendapat peruntukkan dari kerajaan pusat sebelum ini ketika lawatan ahli parlimen.

“Penduduk hanya mahu kejadian rumah lenyap tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.

Kampung Permata terletak kira-kira tiga kilometer dari Bandar Pontian dengan rata-rata penduduknya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

Polis siasat video pesta bogel


  • Polis siasat video pesta bogel

GEORGETOWN - Polis akan menyiasat isu penyebaran video bertajuk ‘Pesta Bogel di Teluk Bahang’ yang kini tersebar secara meluas di laman sosial.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang. Jika didapati bersalah,
boleh dihukum penjara sehingga tempoh lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kita akan mengesan identiti mereka yang terlibat dalam rakaman itu serta penganjur pesta berkenaan. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut isu penyebaran video itu.

“Sehingga hari ini (semalam), polis hanya menerima satu laporan berhubung kegiatan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Perkasa Pulau Pinang yang diwakili Ketua Wiranya, Mohd Rizuad Mohd Azudin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) berhubung penganjuran pesta bogel berkenaan.

Mohd Rizuad berkata, laporan itu dibuat bagi meminta polis menjejaki penganjur dan individu yang terlibat supaya dikenakan tindakan sewajarnya.

“Perkasa mengutuk dan mengecam tindakan kumpulan individu yang tidak bertamadun ini. Mereka seperti tiada akal sehingga sanggup menganjurkan pesta bogel di negeri ini. Kita kecam syarikat produksi yang mengeluarkan video itu.

“Oleh yang demikian, kita minta polis segera menyiasat siapa dalang yang menganjurkan pesta ini. Adakah pihak yang cuba bersekongkol dengan mereka ini sehingga pesta ini berjaya diadakan pada Jun lalu?” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di IPDTL, semalam.

Menurutnya, perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan nama baik negeri ini tercemar dan melukakan hati rakyat Pulau Pinang.

“Jika benar mereka ini warga asing, Perkasa gesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyenaraihitamkan nama mereka supaya tidak boleh lagi masuk ke negara ini. Ia bagi mengelak perkara sama berulang.

“Malaysia ada undang-undang dan agama rasmi adalah Islam. Oleh demikian, semua pihak perlu menghormati Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Kita kesal kerana ada pihak yang berani buat kegiatan tidak senonoh di negeri ini,” katanya.

Dalam video berdurasi 1 minit 56 minit saat itu, sekumpulan 18 individu yang terdiri daripada lelaki dan wanita berbogel sambil menjalankan aktiviti di Teluk Kampi, Teluk Bahang, Jun lalu.

Selain video tersebut, ada juga video  penuh dengan durasi 5 minit 25 saat yang tersebar secara meluas di laman sosial dengan tajuk ‘Malaysia Nude Sports Games 2014’.

Difahamkan, kesemua individu itu adalah warga Singapura yang datang ke negeri ini untuk menyertai pesta bogel berkenaan.

Bunuh remaja: Rambo Bentong dihukum mati


  • Penganggur, Rabidin Satir, 43, (berkerusi roda) yang juga dikenali sebagai "Rambo Bentong" dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan merogol dan membunuh seorang remaja lima tahun lalu di Temerloh, hari ini. - Foto BernamaPenganggur, Rabidin Satir, 43, (berkerusi roda) yang juga dikenali sebagai "Rambo Bentong" dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan merogol dan membunuh seorang remaja lima tahun lalu di Temerloh, hari ini. - Foto Bernama

TEMERLOH - 'Rambo Bentong' atau nama sebenarnya Rabidin Satir dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun, lima tahun lepas.
  
Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
  
Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
  
Bagaimanapun, Abdul Karim  membebaskan Rabidin daripada tuduhan merogol Kok kerana mahkamah tidak dapat menentukan sama ada jenayah itu dilakukan tertuduh ketika mangsa masih hidup atau telah mati.
  
Tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 376(4) kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
  
Dalam penghakimannya, Abdul Karim berkata tertuduh yang memberikan keterangan bersumpah dan merupakan satu-satunya saksi pembelaan dalam kes itu hanya memberikan keterangan bersifat penafian.
  
"Tertuduh juga hanya memberikan keterangan ringkas sepanjang perbicaraan berlangsung di mana sesi soal balas hanya dijawab dengan jawapan 'tidak ingat' dan mengambil masa yang lama untuk memberi keterangan.
  
"Daripada cerita pembelaan tertuduh, ia hanyalah keterangan bersifat penafian atau 'after thought', dia menafikan mengenali mangsa dan menafikan pernah pergi ke rumah mangsa, jadi penafian ini tidak menimbulkan keraguan kepada kes pihak pembelaan," katanya.
  
Beliau berkata kesan darah yang ditemui pada pakaian mangsa adalah sepadan dengan darah milik tertuduh selain profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada kemaluan mangsa juga sepadan dengan profil DNA milik Rabidin.
  
Rabidin yang berkerusi roda dan diwakili peguam Richard Bong Chong Fook hanya mendiamkan diri ketika jurubahasa Kadazan Dusun menterjemahkan keputusan itu kepadanya.
  
Pada 5 Februari 2013, Rabidin dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan setelah mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol dan satu tuduhan seks luar tabii yang dilakukan antara 2009 hingga 2011.
  
Bagaimanapun, pada 29 November tahun lepas,  Mahkamah Tinggi di sini menerima rayuan tertuduh dan mengurangkan hukuman kepada 40 tahun dan 24 sebatan.
  
Pada 21 Mac tahun lepas, dia turut dikenakan hukuman 18 tahun penjara setelah mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar Husin,  Bentong pada 2012.
  
Hukuman dia bagaimanapun dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuannya diterima mahkamah.
  
Rabidin dikenali sebagai Rambo Bentong kerana dia tinggal di hutan bersendirian dan menggunakan pisau Rambo untuk mengugut menyerang mangsa. - Bernama

Lelaki dipenjara sebulan kerana cederakan isteri


6 Ogos 2014


KUALA LUMPUR - Seorang penjaga tempat letak kereta dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya menggunakan kasut bola dan pen uji, Sabtu lalu.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor memerintahkan R Segar, 38, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Ogos.

Segar didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada S. Umarani, 34, di C-08-15, PPR Taman Beringin Jinjang Utara, Sentul di sini pada 1 pagi Sabtu lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh pulang ke rumah dalam keadaan marah sebelum memukul Umarani menggunakan kasut bola dan pen uji sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, luka kecil di leher dan di kedua-dua belah telapak tangan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan dan kesakitan yang dialami mangsa.

Bagaimanapun, Segar yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia perlu menanggung enam anak yang masih bersekolah. - Bernama

Dua lelaki ditahan beserta keratan kabel curi


  • JKetua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (tiga, kiri) menunjukkan kabel yang dirampas dengan penahanan dua lelaki dalam satu kejadian curi kabel di Batu 5, Bakri Muar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. - Foto BernamaJKetua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (tiga, kiri) menunjukkan kabel yang dirampas dengan penahanan dua lelaki dalam satu kejadian curi kabel di Batu 5, Bakri Muar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BHARU - Dua lelaki ditahan kerana mencuri 77 keratan kabel bernilai RM50,000 di Jalan Yong Peng, Batu Pahat dua hari lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-duanya yang  bermur 39 dan 41 tahun ditahan selepas kereta yang mereka naiki terbabas ketika cuba melarikan diri dari pihak polis.
Beliau berkata mereka pada mulanya dikesan sedang memunggah barangan ke dalam kereta kira-kira jam 2.40 pagi di Batu 5, dekat Bakri, Muar.
"Kedua-duanya kemudiannya melarikan diri bersama kenderaan mereka ke arah Jalan Yong Peng. Mereka turut merempuh seorang anggota polis yang mengejar mereka sehingga cedera. Pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das yang menyebabkan kereta suspek terbabas sebelum mereka diberkas," katanya di sini hari ini.
Turut dirampas dua bilah parang.
Mohd Mokhtar berkata kedua-duanya dikehendaki berhubung kesalahan jenayah dan dadah serta dipercayai terlibat dalam 10 kes mencuri kabel di Muar serta Batu Pahat.
Sementara itu lapan warga asing ditahan minggu lalu kerana memecah masuk kilang di Taman Teknologi Senai di sini.
Mereka yang berumur 23 hingga 31 tahun ditahan di Skudai dan Senai.
Mohd Mokhtar berkata mesin pemotong, gerudi, pemotong zink dan tukul besi turut dirampas daripada mereka.
Beliau berkata kesemua mereka yang dipercayai terlibat dalam lima kes pecah kilang di Kulaijaya dan bandar raya ini kini direman. - Bernama

Remaja licik tipu lebih 26 mangsa


  • Charles (dua, kiri) memberitahu impiannya dan sepuluh rakan untuk mendaki Gunung Kinabalu lebur selepas ditipu ejen pelancongan. Gambar kecil: Transaksi bank palsu yang dihantar suspek kononnya dia sudah memulangkan kesemua duit mangsa.Charles (dua, kiri) memberitahu impiannya dan sepuluh rakan untuk mendaki Gunung Kinabalu lebur selepas ditipu ejen pelancongan. Gambar kecil: Transaksi bank palsu yang dihantar suspek kononnya dia sudah memulangkan kesemua duit mangsa.

BALAKONG – Usianya baru mencecah 22 tahun, tetapi dia licik menipu puluhan mangsa bagaikan sudah bertahun-tahun berpengalaman melakukan jenayah terbabit.

Demikian gambaran mengenai seorang remaja perempuan yang menyamar sebagai ejen pelancongan dan dipercayai sudah menipu lebih 26 mangsa membabitkan kerugian hampir RM30,000.

Salah seorang daripada mangsa, Charles Ching, 23, berkata, dia mengenali remaja terbabit menerusi seorang rakan dan bersetuju menggunakan khidmat sebagai ejen bagi penganjuran program pendakian Gunung Kinabalu bersama sepuluh rakannya.

Remaja berkenaan kemudian memintanya membayar wang deposit sebanyak RM1,000 sebelum meminta 10 peratus lagi daripada jumlah keseluruhan bayaran beberapa minggu selepas bayaran pertama dibuat Disember tahun lalu.

Disebabkan mempercayai suspek yang turut memberi izin MyKad serta gambar wajahnya dirakam, Charles memberitahu, dia melunaskan kesemua baki bayaran apabila diminta.

Ejen pelancongan itu kemudian menghantar MMS salinan resit  pengesahan bayaran tertera kepala surat syarikat yang kelihatan seakan-akan asli.


Beri pelbagai alasan

Bagaimanapun selepas kesemua bayaran dijelaskan, Charles meminta ejen memulangkan kembali wang deposit sebanyak RM1,000, tetapi usahanya gagal apabila remaja itu memberi pelbagai alasan.

Disebabkan tidak berpuas hati, Charles kemudian menempah tiket penerbangan dan terus ke Sabah bertemu suspek.

Pada mulanya remaja itu enggan bertemu, namun akhirnya akur.

Ketika pertemuan, wang deposit dijanjikan gagal dipulangkan menyebabkan satu surat perjanjian menyatakan  tindakan undang-undang dan laporan polis akan dibuat sekiranya suspek masih mungkir janji.

“Dia beritahu bank dah tutup, kad ATM tinggal di rumah dan banyak alasan lain mengelak untuk bayar kembali wang deposit,” katanya.

Charles berkata, dia terkejut setelah dimaklumkan oleh seorang ejen pelancongan lain bahawa remaja wanita ini terkenal sebagai penipu di Sabah.

Menurut ejen pelancongan tersebut, ramai pernah ditipu dan jenayah dilakukannya juga pernah dilaporkan akhbar sebelum ini.

“Saya dan rakan kemudian ke Pejabat Tourism Sabah untuk membuat laporan, sekali lagi saya tersentak apabila dimaklumkan ejen ini sudah menipu lebih 26 orang mangsa dengan kerugian puluhan ribu ringgit,” katanya lagi.


Tunjuk transaksi palsu

Tambah Chales, bagaimanapun agak mengejutkan apabila suspek menghubunginya beberapa hari selepas itu bertujuan membatalkan trip dan berjanji memulangkan semua wang yang dibayar sebelum ini.

Suspek turut mengirim MMS gambar transaksi bank yang menunjukkan dia sudah membuat pemindahan wang ke dalam akaun.

"Bila saya periksa akaun, memang tak terima duit yang dikatakan. Malah pihak bank yang dihubungi juga memberitahu tiada apa-apa transaksi berlaku.

“Saya bergegas ke cawangan bank setelah berasa curiga dan pegawai bertugas sahkan transaksi itu palsu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Karamunsing Sabah dan Balai Polis Dang Wangi.

Sementara itu, Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang menerima aduan mangsa berkata, beliau sudah menulis surat kepada Ketua Polis Sabah memohon polis melakukan siasatan serta-merta.

Katanya, dengan adanya surat pengakuan dan dokumen palsu dibuat ejen terbabit, ia memudahkan lagi siasatan dibuat pihak polis.

“Jika didapati bersalah, suspek harus dituduh di mahkamah dan kegiatan jenayahnya harus dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai pelancong ke Sabah sebagai mangsanya lagi,” katanya.

Ambil tindakan individu hina Agong


6 Ogos 2014


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun laman sosial Facebook Chandra Lawan Tetap Lawan yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Puat Mohd Ali berkata pihaknya kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab itu yang sengaja menghina Tuanku Abdul Halim dengan memuat naik gambar kemalangan ngeri dengan suntingan wajah baginda.

"Polis perlu menyiasat perkara itu dengan segera agar tidakan tegas terhadap mereka yang terlibat dan ia tidak boleh dipandang ringan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Katanya sebelum ini tiada tindakan berat dikenakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab menghina institusi raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong menyebabkan ada pihak lain turut melakukan penghinaan tanpa rasa takut.

Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil bagi memberi pengajaran kepada orang lain yang juga rakyat negara ini agar tidak melakukan penghinaan terhadap institusi diraja yang boleh menimbulkan kemarahan antara kaum.

Mohd Puat berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut perlu memainkan peranan dengan mencari dalang yang melakukan perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong.

"Pemilik akaun facebook itu kata akaun dia digodam dan itu cara paling mudah untuk selamatkan diri. SKMM perlu menggunakan kepakaran untuk siasat dalang yang melakukan perkara itu," katanya.

Beliau berkata penghinaan terhadap institusi raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong sudah menjadi trend di kalangan rakyat negara ini yang tidak bertanggungjawab dan kemudiannya mereka akan memohon maaf sekiranya dikritik.

Katanya laporan polis turut dibuat oleh Persatuan Pegawai Tadbir negeri Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar agar kertas siasatan mengenai perkara itu dibuka dengan segera bagi memastikan tindakan keras dikenakan terhadap mereka yang terlibat menghina Tuanku Abdul Halim.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Kerabat Diraja Kedah, Syed Idrus Syed Baharom berkata pihaknya merasa terhina dengan perbuatan itu dan menganggap perbuatan itu sangat melampau.

Syed Idrus yang juga sepupu kepada Tuanku Abdul Halim berkata mereka yang tidak bertanggungjawab itu perlu bersyukur kerana hidup dalam negara yang aman dan damai di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja-raja Melayu.

"Saya berharap pada masa akan datang tidak ada lagi penghinaan seperti itu berlaku," katanya yang turut membuat satu laporan polis mengenai penghinaan terhadap Tuanku Abdul Halim di Balai Polis Anak Bukit di sini hari ini.

Pergerakan Pemuda Umno Kedah serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. - Bernama

Jumpa MyKad dalam semak


  • Yusri menunjukkan beberapa kad MyKad dan ATM yang ditemui dalam semak di Jalan Ulu Langat, kelmarinYusri menunjukkan beberapa kad MyKad dan ATM yang ditemui dalam semak di Jalan Ulu Langat, kelmarin

AMPANG - Seorang anggota polis terkejut apabila menjumpai beberapa keping kad pengenalan tulen serta beberapa dokumen dalam semak di Jalan Hulu Langat di sini, kelmarin.
Sukarelawan polis Ampang Jaya, Inspektor Yusri Mohd Yussof berkata, beliau mengetahui perkara ini setelah menerima panggilan daripada rakannya kira-kira jam 4.30 petang.

“Secara kebetulan, ada seorang kawan saya sedang menunggang basikal di kawasan itu dan nampak beberapa keping MyKad dan lesen memandu dalam semak di tepi jalan,” katanya.

Selepas menerima panggilan itu, beliau terus ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di sana, beliau menemui 12 keping MyKad serta MyKid, tiga dompet, dua tas tangan, kad ATM dan beberapa barang lain.

“Selepas itu, saya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk memaklumkan perkara tersebut dan menyerahkan semua dokumen yang ditemui kira-kira jam 7 malam,” katanya.

Menurutnya, pemilik semua kad itu sudah dihubungi dan ada di antara mereka sudah mengambil kad mereka di balai polis.

Katanya, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi polis sekiranya melihat individu melakukan aktiviti yang mencurigakan.

Sarjan polis mengaku tidak bersalah terima rasuah


  • Tertuduh dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.Tertuduh dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.

SHAH ALAM - Seorang sarjan polis dihadapkan di mahkamah sesyen, di sini, semalam berhubung kesalahan menerima rasuah ketika menyelesaikan kes berkaitan dadah.

Sarjan Mohd Faridzuddin Hamzah, 24, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor, mengaku tidak bersalah memperoleh suapan RM500 dua kali sebagai dorongan untuk menyelesaikan satu kes narkotik.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 April 2014 dan 5 Mac 2014 di Tingkat 1, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad menetapkan wang jaminan RM3,000 ke atas Mohd Faridzuddin, yang diwakili peguam Salim Bashir dengan seorang penjamin, manakala pasport antarabangsanya ditahan oleh mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan di mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos 2014 ini untuk sebutan kes.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, Rosbiahanin Arifin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya pada 24 Julai yang lalu supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Lelaki parah ditetak


6 Ogos 2014


GUA MUSANG - Seorang lelaki parah ditetak ketika dia sedang minum di kedai kopi di Kampung Lembaga di sini semalam.
   
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritenden Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian berlaku pada jam 11.40 pagi apabila Fakhruzi Ibrahim, 30, ditetak sebanyak dua kali dengan golok pada kepalanya oleh seorang lelaki.
   
Beliau berkata suspek berumur 27 tahun itu pada mulanya cuba memukul mangsa dengan kayu tetapi mangsa dapat mengelak dengan beberapa orang merampas kayu itu dan mententeramkan keadaan.
   
"Namun suspek yang tidak puas hati dengan keadaan itu terus mengeluarkan  golok yang terselit di pinggangnya lalu menetak kepala mangsa. Orang ramai kemudiannya turut merampas golok itu," katanya.
   
Fakhruzi kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai.
   
Suspek dari Rancangan Pemulihan Tanah RPT Sungai Terah telah ditahan dan kini direman. - Bernama

Kastam KLIA rampas 15.56 kg dadah


  • Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk Chik Omar Chik Lim bersama Ketua Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA, Zahari Abdullah (kiri) dan Pegawai Penguatkuasa, Muhammad Farhan Izhar menunjukkan dadah jenis methamphetamine yang disorokkan di dalam botol protein seberat 9.85kg bernilai RM1,871,500 pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam KLIA di Sepang hari ini.  - Foto BernamaPengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk Chik Omar Chik Lim bersama Ketua Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA, Zahari Abdullah (kiri) dan Pegawai Penguatkuasa, Muhammad Farhan Izhar menunjukkan dadah jenis methamphetamine yang disorokkan di dalam botol protein seberat 9.85kg bernilai RM1,871,500 pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam KLIA di Sepang hari ini. - Foto Bernama

SEPANG - Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 15.56 kilogram (kg) dadah bernilai RM2.97 juta yang cuba diseludup melalui kawasan pintu masuk negara antara Julai hingga 2 Ogos.
  
Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata tiga warga asing iaitu seorang wanita warga Thailand dan dua lelaki - warga Nigeria dan Iran - ditahan berkaitan kes rampasan dadah dalam tempoh itu manakala satu kes melibatkan bungkusan dadah jenis methamphetamine masih disiasat kerana pemiliknya gagal dikesan.
  
Dalam kes berkaitan bungkusan dadah jenis methamphetamine itu, Chik Omar berkata dadah itu dikesan dalam kargo berisi 12 tin makanan yang tiba di gudang MAS Kargo KLIA dari Lagos, Nigeria pada 1 Julai lepas.
  
"Hanya lima tin sahaja ada kacang pis di dalKastam KLIA Rampas 15.56 Kg Dadah Bernilai RM2.97 Jutaamnya dan selebihnya dadah. Siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
  
Pada hari yang sama juga, seorang wanita warga Thailand berusia 22 tahun ditahan di sebuah hotel di ibu negara setelah pemeriksaan bagasinya menemui serbuk putih positif kokain seberat 1.67kg bernilai RM334,000 tersorok dalam kerangka besi bagasi ketika suspek tiba di KLIA melalui pesawat dari Abu Dhabi pada 30 Jun.
  
Chik Omar berkata pada 20 Julai pula, seorang lelaki Nigeria berusia 34 tahun, yang menaiki pesawat dari Addis Ababa, Ethiopia, ditahan di KLIA ekoran penemuan dadah jenis methamphetamine seberat 2.75kg bernilai RM522,500 pada suspek.
  
Terbaru pada Sabtu lepas, seorang lelaki warga Iran berusia 27 tahun turut ditahan di KLIA selepas dadah jenis methamphetamine ditemui disorok dalam bungkusan dan tiga botol protein yang ditutup rapat dalam bagasinya.
  
Beliau berkata suspek yang menaiki penerbangan dari Doha, Qatar dipercayai 'memantau keadaan di KLIA' sebelum ini kerana pernah beberapa kali datang ke Malaysia dan kali ini ditahan selepas membawa dadah seberat 9.85kg bernilai kira-kira RM1.87 juta.
  
Chik Omar berkata dua suspek sudah didakwa, manakala suspek terbaharu masih direman.
  
"Sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, sembilan suspek ditahan dengan penemuan 254kg dadah bernilai kira-kira RM44.2 juta melibatkan 15 kes," kata beliau. - Bernama

Lebih 300 kes demam denggi dilapor dalam 24 jam


  • nyamuk aedes denggi

KUALA LUMPUR - Sebanyak 325 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 24 jam sejak semalam.  

Menurut laporan dalam laman sesawang iDengue kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), Kelantan merekodkan kes paling tinggi iaitu 136 kes diikuti Selangor dengan 94 kes.

Sebanyak 124 kawasan di seluruh negara termasuk kawasan dalam daerah Petaling, Gombak, Hulu Langat, Seremban, Kota Baharu, Tumpat dan Sibu disenaraikan sebagai lokaliti aktif denggi terkini.

Kawasan komersial yang paling tinggi mencatatkan kes denggi ialah daerah Petaling, Selangor.

Kawasan berkenaan mencatatkan 111 kes secara kumulatif bagi tempoh Januari sehingga Julai lepas.

Bilangan kes denggi di seluruh negara bagi tempoh tujuh bulan pertama sejak Januari tahun ini adalah sebanyak 54,976 kes dan jumlah ini meningkat berbanding  15,400 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 101 kematian direkodkan akibat kes denggi berbanding 31 kematian bagi tahun lepas.

Orang ramai boleh merujuk portal http://idengue.remotesensing.gov.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai denggi. - Bernama

Suntik ‘tonik’ sebelum kerja


Kuala Lumpur: Ambil dadah dulu sebelum ke tempat kerja. Itu dilakukan empat pengawal keselamatan yang menjadikan bahagian bawah jambatan berhampiran Bulatan Batu Caves, dekat sini, bagi melepas gian dan ‘tonik’ untuk bertahan ketika bekerja.
Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dibantu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menyerbu sarang ‘mat gian’ itu dan berjaya menahan 28 penagih termasuk empat pengawal keselamatan terbabit.
Op Cantas Khas Narkotik Kuala Lumpur itu disertai tujuh pegawai dan 40 anggota bermula seawal jam 6 pagi semalam hasil risikan selama lima bulan mendapati penagih kebiasaannya akan ke lokasi untuk menghisap dadah sebelum memulakan kerja.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, seramai 25 lelaki yang ditahan adalah warga tempatan manakala tiga lagi penagih adalah warga Myanmar dan Indonesia berusia 22 hingga 40-an.
Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan empat lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan yang mana tiga daripadanya masih lengkap berpakaian seragam syarikat keselamatan.
“Siasatan mendapati mereka menjadikan tempat ini sebagai ‘port’ untuk menagih dadah jenis heroin yang dibeli daripada pengedar kawasan berhampiran sebelum ke tempat kerja.
Dalam serbuan ini kita turut merampas motosikal suspek.

“Kebanyakan yang ditahan terdiri daripada pengawal keselamatan, buruh kasar, pemandu lori dan peniaga.
“Mereka datang seawal jam 6 pagi untuk melepaskan gian sebelum masuk bekerja dan kebanyakan mereka berpendapatan RM1,000 ke atas,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi itu, semalam.
Wan Abdullah berkata, siasatan mendapati penagih kebiasaannya akan datang ke situ tiga kali seminggu dan ada juga yang tinggal dan tidur di situ.
“Kami sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya lima lokasi tumpuan penagih dadah di seluruh Kuala Lumpur dan akan menjalankan operasi sama dalam masa terdekat.
“Hasil risikan, empat daerah di Kuala Lumpur iaitu Dang Wangi, Brickfields, Wangsa Maju dan Sentul kini dalam perhatian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) selepas dikenal pasti mempunyai beberapa lokasi tumpuan penagih dadah,” katanya.
Beliau berkata, polis akan menjalankan serbuan di lokasi berkenaan bagi membersihkan kawasan itu daripada menjadi ‘port’ penagih sekali gus menghapuskan gejala ini.
Semua suspek direman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul selama tujuh hari mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Rawatan Dadah.
Foto
PENGAWAL keselamatan yang ditahan dalam Op Cantas Khas.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

‘Sukan bogel’ menjijikkan!


Georgetown: Memualkan. Itu gambaran paling tepat buat sekumpulan individu terdiri daripada lelaki dan wanita yang tergamak berbogel sebelum merakamkan aksi mereka yang kononnya menyertai acara Sukan Bogel Pulau Pinang 2014 di Teluk Bahang, di sini.
Rakaman terbabit dipercayai dilakukan Jun lalu dan menjadi perbualan hangat apabila ia dimuat naik ke laman sosial, semalam menerusi beberapa versi video berdurasi 12 minit, 5 minit 56 saat dan 1 minit 56 saat yang memaparkan aktiviti golongan yang menggelar diri mereka sebagai ‘Nudism’ itu. 
Dalam video berkenaan, ada kira-kira 18 individu membabitkan lelaki dan wanita yang berusia antara 30 dan 50-an dilihat berbogel sambil menjalankan aktiviti sukan di kawasan Pantai Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang. 

Pelbagai aktiviti dijalankan mereka dalam keadaan berbogel antaranya ‘Nude Body Painting’, ‘Crabs Walking’, ‘Swim Over Bodies’, ‘Running Relay’, ‘Camp Fire and Kettle Bell Competition’ dan ‘Durian Dancing’.Foto
GELAGAT sekumpulan lelaki dan wanita yang menggelar diri mereka sebagai ‘Nudism’.
Foto
GELAGAT sekumpulan lelaki dan wanita yang menggelar diri mereka sebagai ‘Nudism’.

Pada peringkat awal, video tersebut menyiarkan individu terbabit melukis di badan masing-masing termasuk perkataan ‘Go Green’ dan ‘Go Nature’ yang menjadi antara slogan kempen kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mereka yang tidak segan silu kelihatan teruja dan terhibur apabila melakukan pelbagai aktiviti bersama pasangan di tepi pantai. 

Difahamkan, program sukan bogel itu dianjurkan seorang wanita bernama Madam Chew Tok Hwa lingkungan 50-an dan dalam video berdurasi 12 minit, dia dilihat memberi ucapan kepada peserta ketika berada di Thailand, iaitu selepas program diadakan di Pulau Pinang. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Warkah taubat pencuri insaf


Gombak: “Ya Allah, di saat Winzulaidi terjatuh, Winzulaidi berserah kepadaMu Ya Allah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang dan maafkanlah kesalahan Winzulaidi di duniaMu Ya Allah.” Itu yang tertera dalam warkah taubat seorang pencuri yang menyesal dengan perbuatannya dan bertindak memulangkan kembali beberapa keping dinar emas bernilai kira-kira RM3,000 kepada mangsa.
Malah, pencuri yang dipercayai warga Indonesia itu turut membayar ‘ganti rugi’ sebanyak 10,000 Rupiah (RM2.70) dalam kejadian di Taman Sri Gombak, di sini, Sabtu lalu.
Mangsa, Marianti Chadijah Mohd Ghazali, 35, bersama suaminya Mior Yusuf Ahmad Fuad, 38, terkejut selepas mendapati rumah yang ditinggalkan hampir seminggu selepas pulang berhari raya di kampung dalam keadaan mencurigakan sebaik tiba di rumah mereka.

Menurut Marianti, dia dan suaminya tiba di Gombak kira-kira jam 12.30 tengah malam sebelum mendapati lampu di ruang balkoni rumah terpasang.
Foto
MARIANTI (gambar kecil) menunjukkan nota taubat yang ditinggalkan pencuri.

“Sebelum tiba di rumah lagi, hati saya rasa berdebar-debar dan merasakan sesuatu sedang berlaku. Telahan saya benar apabila tiba di persimpangan rumah, saya dapati lampu di balkoni menyala.

“Saya bertanya kepada suami sama ada dia terlupa menutup lampu namun suami yakin dia sudah menutup lampu sebelum pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.

Katanya, apabila sampai di hadapan rumah suami melihat pintu pagar dan jeriji rumah berkunci namun pintu depan sudah terbuka.

“Malah meja yang diletakkan di tepi dinding beralih ke tengah manakala kotak yang disediakan untuk tempat tinggal kucing dibentang sepertimana digunakan golongan gelandangan tidur,” katanya.

Menurut Marianti, selepas yakin rumah dimasuki pencuri suami kemudiannya menghubungi polis dibimbangi terdapat orang di dalam rumah.

“Setibanya polis di rumah, suami cuba membuka pintu namun gagal dan terpaksa masuk ikut pintu belakang.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Saintis kontroversi ditemui tergantung


Tokyo: Seorang saintis kanan Jepun yang terbabit dalam skandal penyelewengan sel dasar ditemui mati dipercayai membunuh diri semalam.

Yoshiki Sasai, 52, pernah menyelia dan bekerjasama menghasilkan laporan penyelidikan sel dasar yang terpaksa ditarik balik berikutan isi kandungannya dipalsukan.


Polis daerah Hyogo berkata mayat Sasai ditemui tergantung di bangunan penyelidikan kerajaan, RIKEN, di Kobe. Seorang pengawal keselamatan menemui dia dalam keadaan nazak dan Sasai dikejarkan ke hospital namun disahkan mati dua jam kemudian. Menurut polis, beberapa nota terakhirnya ditemui pada mayat Sasai. Bagaimanapun polis enggan mendedahkan isi kandungannya.



Media tempatan melaporkan tiga pucuk surat yang ada bersamanya dialamatkan kepada penulis bersama laporan penyelidikan itu, Haruko Obokata, pegawai kanan pusat penyelidikan itu dan rakan penyelidik lain.


Kumpulan penyelidik yang diketuainya menarik balik laporan penyelidikan itu daripada jurnal sains Britain, Nature berikutan tindakan Haruko melakukan penyelewengan dalam penyelidikan berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Angka kematian akibat gempa di Yunnan meningkat

Seorang wanita sedang menangis meratapi kematian dua anaknya yang terkorban akibat gempa bumi di wilayah Yunnan, China.
Seorang wanita sedang menangis meratapi kematian dua anaknya yang terkorban akibat gempa bumi di wilayah Yunnan, China.
YUNNAN – CHINA. Lebih 400 orang disahkan terkorban setakat ini dalam satu siri gempa bumi di sebuah perkampungan di China dua hari lepas.

Menurut sebuah kenyataan yang disiarkan pada hari ini, kebarangkalian bagi pasukan penyelamat untuk menemui mangsa yang masih terselamat semakin tipis berikutan tempoh masa yang diambil untuk mencari dan mengali runtuhan semakin singkat.

Sehingga ke hari ini, angka kematian yang dicatatkan di bahagian barat daya wilayah tersebut meningkat kepada 407 orang.

Pada 3 Ogos lepas, sebuah gempa bumi berukuran 6.1 skala ritcher telah melanda wilayah Yunnan di China.

Gempa bumi tersebut telah memusnahkan 80,000 buah rumah manakala 124,000 kediaman lagi mengalami kerosakan teruk.

Bencana yang berlaku itu sekaligus mengulangi sejarah hitam yang melanda wilayah Sichuan di mana lebih  daripada 80,000 orang terkorban dalam satu gempa bumi yang tercetus pada tahun 1950.

Dalam pada itu, pihak berkuasa China turut melahirkan kebimbangan mengenai sebuah tasik kecil yang terbentuk akibat tanah runtuh sejak dua hari lepas.

Menurut laporan media tempatan, tasik tersebut mungkin bakal membanjiri kawasan carian dalam masa beberapa hari akan datang.

Ia sekaligus bakal merencatkan usaha pihak berkuasa bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat yang buat masa kini masih dijalankan.

Guna tangan gali runtuhan


Bencana itu setakat ini mengorbankan 405 nyawa dan mencederakan ramai yang lain. Antara sukarelawan yang datang membantu ialah puluhan pelajar sekolah menengah yang tiba di daerah Ludian selepas wilayah Yunnan dilanda gempa bumi berukuran 6.1 magnitud.

Seorang pelajar, Jackson Zeng berkata dia membesar di situ dan kebanyakan mangsa adalah jirannya. “Saya tidak pasti apa yang boleh dilakukan namun saya akan membantu selagi mampu,” katanya.
Seperti Zeng, kebanyakan pelajar yang datang menggunakan kekuatan tangan bagi mengalihkan runtuhan, manakala tentera bergantung kepada jentera berat. Bantuan kerajaan berbentuk khemah, selimut, baju panas, tandas bergerak dan beberapa keperluan asas lain yang diperlukan mangsa mula tiba di situ.

Gempa di kawasan cerun dan laluan sempit serta hujan lebat semalam menyukarkan usaha membawa dan menyalurkan bantuan.

Kebanyakan kediaman rosak akibat tanah runtuh yang berlaku akibat gempa di kawasan berkenaan.
Foto
SEORANG lelaki menukar baju pada mayat anaknya selepas dikeluarkan dari runtuhan kediaman mereka di Longtoushan.
Ambulans, jengkaut dan lori yang dipenuhi makanan serta kumpulan sukarelawan mula membanjiri jalan utama menuju ke Longtou yang terjejas teruk. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Doktor dihukum mati keluar penjara


Bangkok: Doktor pakar sakit puan yang dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah pada 2007 kerana membunuh isterinya dan mengepam potongan mayat itu di tandas, dibebaskan semalam.

Dr Wisut Boonkasemsanti asalnya dihukum mati namun keprihatinannya di penjara dengan menjaga banduan lain mendorong pihak berkuasa mengubah ketetapan itu menjadi penjara seumur hidup. Sehingga semalam Wisut sudah menjalani dua pertiga daripada hukumannya, iaitu 10 tahun dan 10 bulan.


Dia kemudian mendapat pengampunan diraja. Wisut adalah pakar sakit puan dihormati di Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn.



Isterinya, Phassaporn, juga doktor pakar sakit puan. Wisut didakwa membunuh Phassaporn pada Februari 2001 selepas perkahwinan mereka menghadapi masalah.


Data mahkamah menunjukkan Phassaporn menuduh Wisut menjalin hubungan sulit dengan seorang pesakitnya. Pembunuhan itu terbongkar selepas polis menemui cebisan badan Phassaporn dalam tangki najis di kawasan universiti tempat tertuduh bekerja. Cebisan mayat Phassaporn ditemui dalam bilik Hotel Sofitel di Bangkok yang menjadi tempat Wisut tinggal.


Antara bukti dikemukakan dalam perbicaraan itu ialah pil tidur dibeli Wisut. Sementara itu Pengarah Jabatan Penjara, Jen Witthaya Suriyawongse berkata mereka akan memastikan Wisut mengikut peraturan parol selepas dibebaskan.

“Wisut akan diletakkan di bawah pemerhatian dan harus melaporkan diri setiap bulan kepada pegawai parol,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Jumlah isteri dijangkiti HIV daripada suami meningkat


Naypyidaw: Jumlah isteri dijangkiti virus HIV daripada suami di Myanmar dilaporkan meningkat serius dengan golongan berusia di bawah 24 tahun sebagai sasaran utama.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan, Myanmar mencatatkan 200,000 orang di negara itu hidup dengan virus HIV atau penyakit AIDS. Kadar jangkitan dalam kalangan pelacur dianggarkan 7.1 peratus, manakala kadar jangkitan di antara lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis ialah 8.9 peratus. Laporan WHO itu menyatakan, kira-kira 20 kes jangkitan baru berlaku setiap hari di Myanmar dengan enam daripadanya membabitkan wanita yang mengadakan hubungan seks dengan suami masing-masing.


Daripada jumlah orang awam positif HIV, 50 peratus daripadanya menerima rawatan antiretroviral yang didakwa dapat membantu pesakit dan menyelamatkan nyawa di samping mengurangkan risiko jangkitan.



Laporan itu menyatakan, pesakit yang dijangkiti virus HIV juga berdepan kecaman hebat, prejudis dan didera secara fizikal oleh masyarakat sekeliling.


Kata WHO, pesakit terbabit adalah golongan paling memiliki tahap kesedaran tinggi dan aktif menyebarkan maklumat mengenainya dalam usaha membendung ia daripada terus merebak.


Mereka giat mengajak masyarakat dan pihak berkuasa menyertai usaha membanteras penyakit itu dan membantu golongan pembawa virus HIV. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

‘Dimasak’ anak sendiri


Beijing: Sepasang warga tua dibunuh oleh anak kandung mereka yang bersekongkol dengan kawannya sebelum mayat mangsa dikerat serta dimasak di dalam ketuhar gelombang mikro.

Pegawai pendakwa Michael Arthur berkata, Henry Chau Hoi-leung, 30, dan rakannya Tse Chun-kei, 36 merancang melakukan pembunuhan itu lebih dari tiga bulan lalu dengan membeli pisau, peti sejuk dan ketuhar gelombang mikro khas untuk tujuan berkenaan.


Selepas ditangkap Chau dan Tse mengaku membunuh Chau Wing-ki, 64, dan isterinya Siu Yuet-yee, 63, pada 1 Mac tahun lalu kerana mereka berasakan “telah bersedia.” Bagaimanapun, di mahkamah semalam kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah. Menerusi rakaman litar tertutup mangsa dilihat kali terakhir memasuki bangunan di Tai Kwok Tsui bersama anak sulung mereka itu.



Tertuduh dilihat keluar bersendirian dari bangunan itu 20 minit kemudian.


Arthur berkata, Henry mungkin melakukan pembunuhan pada waktu itu.


“Pembunuhan ini sangat terancang. “Mereka merangka tindakan itu sejak Januari sebelum melaksanakannya pada 1 Mac,” katanya. Anggota badan pasangan malang yang dikerat itu ditemui di dalam flat berkenaan pada 15 Mac dengan kepala mereka ditemui di dalam dua peti sejuk berasingan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Bom palsu: Penumpang Qatar Airways ditahan


6 Ogos 2014


LONDON - BRITAIN. Polis berjaya menahan seorang penumpang Qatar Airways yang disyaki membuat ancaman bom palsu selepas memberi amaran kepada juruterbang pesawat itu.

Sebaik menerima makluman kecemasan, sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Britian mengiringi pesawat Qatar Airways Penerbangan 23 melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Manchaster, hari ini.

Sebaik melakukan pendaratan selamat, polis Manchester menahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi punca kepada penyebaran maklumat mengenai bom palsu di dalam pesawat berkenaan, lapor AP.

Ketua Superintendan Polis Manchester, John O' Hare berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada peranti atau maklumat mengenai bom itu adalah sahih namun ia adalah tindakan yang wajar dilakukan ketika berhadapan situasi cemas.

"Kes berkenaan adalah jenis yang terpencil dan orang ramai yang nampak kehadiran polis dan pihak berkuasa tidak perlu cemas dengan keadaan itu," katanya.

Ketika kejadian, pesawat yang membawa 269 penumpang dan 13 krew pesawat dari Doha, Qatar melakukan pendaratan.

Ekoran kejadian, landasan di lapangan terbang itu ditutup buat sementara waktu untuk tujuan keselamatan.

Sebaik mendarat, pakar siasatan melakukan pemeriksaan dalam pesawat.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan negara berkenaan mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan pesawat itu sudah mendarat dengan selamat.

"Kes berkenaan kini di bawah siasatan pihak berkuasa tempatan," katanya. - AP

Motosikal terbabas, langgar pengadang jalan


  • Mayat mangsa tercampak lima meter selepas melanggar penghadang jalan di Kilometer 15.2 Lebuhraya Kajang – Seremban (Lekas) arah Utara, dekat siniMayat mangsa tercampak lima meter selepas melanggar penghadang jalan di Kilometer 15.2 Lebuhraya Kajang – Seremban (Lekas) arah Utara, dekat sini

NILAI – Seorang penunggang motosikal tercampak sejauh lima meter selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu melanggar pengadang jalan di Kilometer 15.2 arah Utara, Lebuhraya Kajang – Seremban (Lekas), dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa, Loi Chee Wah, 45, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Nilai itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kajang selepas selesai bekerja.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave itu dipercayai telah bergesel dengan sebuah kereta Proton Wira di laluan yang sama.

“Akibatnya, kedua-dua kenderaan itu terbabas lalu melanggar pengadang jalan. Mangsa telah tercampak ke tebing sejauh lima meter,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Wira itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga,” katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan terhadap punca kemalangan tersebut.

Geng Ben tersungkur akhirnya

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah dikenali sebagai Geng Ben yang dikesan bergerak aktif sejak dua tahun lalu, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, hasil daripada kejayaan terbabit polis turut merampas tujuh kenderaan mewah curi bernilai hampir RM1 juta. 
Katanya, kumpulan berkenaan dianggotai dua Lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 37 tahun. 

“Antara kereta yang dirampas termasuk Mercedes Benz, Audi, Honda City dan empat lagi Volkswagen Golf.
Foto
ZAINUDDIN (kiri) menunjukkan kereta mewah curi yang dirampas,semalam.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan bergerak aktif di kawasan sekitar Lembah Klang, Kajang dan Alor Setar, Kedah.

“Modus operandi kumpulan ini melakukan samun di rumah sebelum melarikan kenderaan milik mangsa yang disamun,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam. 

Menurutnya, keempat-empat individu ini ditahan di sebuah pangsapuri di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, berdasarkan maklumat dan risikan dilakukan pihaknya. 

Katanya, semua suspek ditahan reman dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan saki baki kumpulan berkenaan. 

Zainuddin berkata, setakat ini polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Arwah anak rayu ibu tak balik KL


Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Kota Bharu: “Mereka pernah merayu supaya saya tidak tinggalkan mereka, sebaliknya bekerja di sini, namun kami bukan orang senang.

“Saya perlu bekerja untuk menyara kedua-duanya termasuk anak bongsu yang tinggal dengan saya di Kuala Lumpur,” kata Siti Aishah Mahmood, 36, ibu kepada dua beradik yang dirempuh sebuah lori empat tan dalam kemalangan di Kampung Repek, Pasir Mas, kelmarin.

Dalam kejadian itu, anak kedua Siti Aishah, Mohd Arif Zafran Mohd Zaki, 6, meninggal dunia manakala abangnya, Mohd Amir Zakuan, 8, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menurutnya, dia masih terkejut dengan kejadian menimpa anaknya, apatah lagi teringatkan rayuan mereka yang mendesak untuk tinggal bersama dan tidak mahu berpisah.

Katanya, ketika pulang bercuti sempena Aidilfitri lalu, Mohd Arif Zafran dan Mohd Amir Zakuan memeluknya sambil menangis kerana tidak mahu dia kembali ke ibu negara.

“Saya bercuti selama seminggu dan pulang ke Kuala Lumpur Khamis lalu.



Sepanjang berada di kampung, setiap hari kami akan tidur bersama dan mereka memang seperti kembar yang sentiasa bersama, malah manja dengan saya.

“Walaupun tinggal berjauhan, kami sentiasa berhubung tetapi desakan hidup menyebabkan saya perlu meninggalkan mereka selepas bercerai dua tahun lalu, wang perbelanjaan diberikan suami kepada tiga anak tidak mencukupi.

“Saya hanya mampu membawa anak bongsu Mohd Akil Zikri yang kini berusia empat tahun bersama untuk tinggal di rumah yang disewa beramai-ramai manakala Mohd Arif Zafran dan Mohd Amir Zakuan diletakkan di bawah jagaan ibu.

“Ia keputusan yang sangat berat, namun kami tiada pilihan.

Apabila kejadian ini berlaku, menyebabkan saya tertekan dan sangat sedih,” katanya ketika ditemui di HUSM, semalam.

Ibu tunggal itu berkata, dia segera pulang ke kampung sebaik dimaklumkan kejadian menimpa dua beradik terbabit, namun hatinya hiba apabila gagal bersama mereka di saat kedua-duanya memerlukan.

“Saya berharap anak sulung yang parah di kepala, badan dan patah kaki kanan akan segera pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa meskipun kehilangan adik kesayangan yang seperti kembarnya,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kejadian kemalangan membabitkan dua beradik yang berpimpin tangan dalam perjalanan ke rumah guru mengaji al-Quran sebelum dirempuh sebuah lori empat tan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Amuk lelaki gila talak


Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai gila talak bertindak ganas apabila menyerang suami bekas isterinya menggunakan serpihan kaca tingkap dalam kejadian di Kampung Chubadak, Sentul di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang mangsa dikatakan berada bersama isterinya sebelum suspek datang bersama seorang lagi rakan dengan menjerit memanggil nama mangsa serta melakukan provokasi untuk mengajak mangsa bergaduh.


Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa berusia 21 tahun tidak mengendahkan suspek selepas dipujuk isterinya agar tidak keluar daripada rumah untuk berjumpa suspek.

“Berang kerana pelawaan untuk bergaduh dengan mangsa tidak dilayan, suspek merosakkan motosikal Yamaha RXZ milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumah sebelum mangsa keluar untuk melihat kejadian itu,” katanya.


Munusamy berkata, suspek yang bernama Mohamad Syafiq Mohd Alias juga berusia 21 tahun terus menerkam mangsa sebaik melihat mangsa keluar daripada rumahnya dan berlaku pergelutan selama beberapa minit.


Beliau berkata, suspek kemudian mengambil serpihan kaca tingkap dan terus menyerang mengakibatkan mangsa cedera di bahagian telinga kanan akibat dikelar.

“Panik dengan kejadian itu suspek bersama rakannya melarikan diri dan isteri mangsa mendapatkan bantuan jiran untuk membawa suaminya ke hospital sebelum isteri mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Munusamy memberitahu mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata, pihaknya kini giat memburu suspek yang juga lelaki Melayu bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06