Search This Blog

Monday, August 4, 2014

Penganggur dipenjara 10 tahun, lima sebatan


Oleh Maiamalina Mohamed Amin
Kota Bharu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi selepas didapati bersalah merogol gadis bawah umur, tahun lalu.

Hakim Mohd Yusuff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Azlan Shah Mohamed Johnson, 25, dari Kampung Dusun Ban, Kuala Krai didapati bersalah merogol mangsa pada Mac tahun lalu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di tepi sungai di Kampung Kebun Pisang, Kuala Krai pada jam 9 malam, 22 Mac 2013.

Mohd Azlan Shah didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salam Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Dua sahabat didakwa pecah masuk wisma negeri


Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Seremban: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi atas tuduhan memecah masuk Wisma Negeri di sini, dan mencuri 43 unit toner milik kerajaan negeri pada 19 Julai lalu.

Tertuduh, Lee Son Yen, 27, dan Sio Chen Ping, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.


Mengikut pertuduhan, kedua dua mereka pada 19 Julai lalu antara jam 12 tengahari hingga 2.45 petang didakwa secara bersama memecah masuk Wisma Negeri, Jalan Dato Abdul Malek di sini, yang digunakan sebagai pejabat dan mencuri 43 unit toner milik kerajaan negeri.

Oleh demikian mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda.


Mohamad Izwan kemudian menetapkan 8 September ini sebagai tarikh semula sebutan kes dan menawarkan jaminan RM3500 setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Sindiket samun, culik tumpas


Oleh Muhammad Apendy Issahak
Ipoh: Polis Perak berjaya menumpaskan kumpulan sindiket ‎samun dengan tertangkapnya lima lelaki berusia 26 hingga 35 tahun yang sebelum ini dikatakan sindiket menculik kanak-kanak bagi tujuan penjualan organ manusia.

Penahanan kesemua suspek adalah susulan daripada kejadian cubaan curi sebuah kereta jenis Honda Accord di Taman Loke Yew, Tanjung Malim, dekat sini, kira-kira jam 11 malam 27 Julai lalu.‎


Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketika kejadian cubaan samun kereta itu berlaku, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sedang tidur di dalam kenderaan terbabit yang tidak berkunci, sementara bapanya sedang berbual bersama rakan di luar kerera.

Menurutnya, rakan kepada bapa kanak-kanak berkenaan melihat kelibat seorang lelaki menyusup masuk melalui pintu belakang ‎kereta dan terus menjerit 'culik budak'.


"Suspek kemudian melarikan diri dan dikejar oleh bapa kanak-kanak dan rakannya serta orang ramai yang berada di sekitar kawasan berkenaan.


"Lelaki berkenaan ‎berjaya ditangkap, namun dua rakannya yang menaiki kereta Toyota Avanza berjaya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Acryl berkata, susulan daripada penahanan suspek, polis menahan empat lagi lelaki disekitar Pulau Pinang dan Perak serta pemeriksaan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk seorang dikehendaki polis Pulau Pinang bersabit kes samun kenderaan.

"Siasatan mendapati suspek pertama yang diberkas sebenarnya cuba mencuri barang dalam kereta mangsa dan soal siasat terhadap empat rakan suspek juga tidak menunjukkan bahawa kejadian itu bermotifkan culik untuk penjualan organ manusia sebagaimana yang tersebar dalam media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Pelaut warga Indonesia dipenjara 20 tahun


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara kepada seorang pelaut warga Indonesia atas kesalahan memiliki 5.6 kilogram syabu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu kepada M Nur, 63, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Hukuman dijatuhkan mengikut pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimana dua lagi rakannya masing-masing berusia 54 dan 73 tahun yang turut berada di atas bot sama dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan itu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 5639.9 gram yang disorok di dalam bilik enjin sebuah bot pom-pom di perairan Pelabuhan Klang jam 7 pagi l, 14 Ogos 2012.


Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Asma Nadiah Abd Rahman dan tertuduh diwakili peguam bela S Selvi.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Nelayan didenda RM1,000 miliki mercun


Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Seorang nelayan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api di sebuah bazar Ramadan bulan lalu.

Tertuduh Rahmat Siron, 48, dari Kampung Pulai, Merlimau, Jasin membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.




Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit sah di Bazar Ramadan Taman Seri Telok Mas di sini, kira-kira jam 11 malam, 11 Julai 2014.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau keduanya jika sabit kesalahan.


Ida Rahayu memerintahkan tertuduh didenda RM1,000 atau dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Bumbung dua blok sekolah melayang


Ranau: Dua blok Sekolah Kebangsaan (SK) Matupang di sini, rosak teruk selepas bumbung bangunan terbabit diterbangkan angin ribut kira-kira 3.30 petang semalam.
Dalam kejadian itu, sekolah terbabit tidak mengadakan sesi pembelajaran berikutan masih bercuti sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. 
Guru besar SK Matupang, Mojat Pilik berkata, murid seramai hampir 151 kini ditempatkan di beberapa buah bangunan sementara untuk sesi pembelajaran. 

"Antara blok yang terbabit dengan ribut ini adalah kelas tahun satu hingga enam, bilik guru besar, bilik pentadbiran dan beberapa bilik lain.
Foto
BANGUNAN sekolah yang rosak akibat ditiup ribut petang semalam.

"Hampir semua barangan sekolah rosak berikutan ribut itu kerana dalam masa sama hujan lebat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Ganjaran RM1,500 tangkap tahanan lari



Seremban: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIM NS) menawarkan ganjaran RM1,500 kepada orang ramai yang dapat menangkap seorang tanahan warga Iraq yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, di Nilai sejak Jumaat lalu.
Pengarahnya Faizal Fazri Othman berkata, lelaki berusia 37 tahun itu didapati melarikan diri kira-kira jam 4.20 petang. 
Katanya,pihaknya dengan kerjasama JIM Melaka dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) negeri melakukan operasi besar-besaran bagi mengesan lelaki terbabit sejak tiga hari lalu. 

"Setakat ini maklumat yang kita terima lelaki itu dilihat di Kampung Kapal, Lenggeng di sini, pada Sabtu lalu jam 7.30 malam dan kali terakhir di Kampung Dacing Hilir Lenggeng jam 10.45 hari sama.
Foto
TAHANAN yang melarikan diri.

"Operasi disambung sejak 10 pagi tadi dengan tumpuan di sekitar Lenggeng dan Mantin," katanya.

Beliau berkata,orang ramai diminta memberi maklumat terus kepada JIM Negeri Sembilan di talian 06-7627707 atau terus kepada Komandan Depot Tahanan Imigresen Lenggeng ditalian 0194547162. 

Lelaki terbabit ditahan di depoh berkenaan sejak Januari lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan imigresen. 

"Tahanan terbabit dalam proses untuk dihantar pulang ke negara asal," katanya 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Polis rampas dadah RM3.5 juta


Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Kuala Lumpur: Polis merampas dadah jenis syabu dan pil kuda dianggarkan bernilai RM3.5 juta selepas tertangkapnya dua suspek di Taman Sungai Besi di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Senior Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, dua suspek terbabit ditahan selepas polis menemui makmal di sebuah unit kondominium mewah di kawasan terbabit yang dijadikan tempat memproses dadah sebelum membawa penahanan suspek di unit kondominium lain di kawasan berkenaan.


"Suspek merupakan seorang lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 38 dan 27 tahun dan penahanan mereka dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada pihak bomba bahawa terdapat kediaman terbakar.

"Hasil siasatan polis mendapati kediaman terbabit dijadikan pusat memproses dadah dan semasa ditemui rumah berkenaan dalam keadaan berasap disyaki proses memasak dadah sedang dijalankan," katanya pada sidang media sebentar tadi.


Mohan berkata, polis turut merampas dua kereta mewah dipercayai milik suspek dianggarkan bernilai RM200,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Kena cekup sedang bungkus dadah


Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Sepasang suami isteri bersama dua saudara mereka ditahan ketika leka membungkus dadah di Taman Seri Kijang, Seberang Prai Tengah di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan jam 5 petang itu, polis berjaya merampas Heroin seberat 2.46 kilogram, Syabu seberat 17 gram dan peralatan membungkus dadah.


Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, semua suspek terbabit berusia 17 hingga 28 tahun.

Menurutnya, mereka kini direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Kakitangan NSTP kerugian RM20,000

Kakitangan NSTP kerugian RM20,000Norizana menunjukkan laci pakaian yang berselerak di rumahnya di Taman Rakyat, Alor Setar, semalam. 


Alor Setar: Seorang kakitangan Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran The New Straits Times Press (NSTP) Cawangan Alor Setar, kerugian hampir RM20,000 selepas rumahnya di Taman Rakyat, Jalan Sultanah, di sini dimasuki pencuri, kelmarin.

Ketika kejadian, Norizana Hashim, 42, bersama keluarganya masih dalam perjalanan pulang dari kampungnya di Selangor selepas seminggu bercuti menyambut Aidilfitri.
Katanya, semua milikan berharga termasuk barang kemas, wang tunai lebih RM1,000, sebuah kamera digital, dua televisyen plasma dan beberapa barang elektrik dilarikan pencuri.

“Jiran menyangka kami sudah pulang pagi semalam (kelmarin) tetapi apabila saya memberitahu kami masih dalam perjalanan pulang, dia mengesyaki sesuatu dan memberitahu rumah kami dimasuki pencuri.

Ada kesan umpil pada tingkap

“Berikutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Anak Bukit kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam (kelmarin) sebelum kami tiba di rumah ini pada jam 5.30 petang,” katanya.

Norizana berkata, ada kesan umpil pada tingkap hadapan rumah yang dipercayai digunakan pencuri masuk.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.

53 peratus banduan di penjara Sabah warga asing


2014/08/04 - 13:33:48
KOTA KINABALU: Sejumlah 53 peratus daripada 6,000 tahanan dan banduan yang sedang menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di enam penjara di seluruh Sabah adalah warga asing, kata Pengarah Jabatan Penjara Sabah Ab Basir Mohamad.

Ab Basir berkata, penjara di Sabah kini menampung jumlah tahanan dan banduan melebihi kapasiti iaitu 5,500 orang dan kos makanan harian bagi setiap tahanan ialah RM8.40.


"Sekarang ini, penjara Sabah memang sudah melebihi kapasiti yang ada. Bagaimanapun, kita masih mampu menguruskan banduan yang ada dalam tahanan kita dengan baik," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini hari ini.

Justeru, kata Ab Basir, bagi mengurangkan kesesakan di penjara, pihaknya sudah bersedia untuk melaksanakan program pemindahan banduan warganegara asing untuk meneruskan tempoh hukuman mereka di negara asal sebaik mendapat arahan daripada kerajaan.

Katanya, langkah lain yang diambil dalam mengurangkan kesesakan di penjara Sabah termasuk cadangan pembinaan sebuah penjara di Lahad Datu yang pembinaannya dijangka bermula tahun ini yang boleh menampung kira-kira 1,000 banduan dan tahanan pada satu-satu masa.

Menurut Ab Basir, penjara Labuan yang baru beroperasi juga kini menampung kira-kira 400 banduan yang dipindahkan daripada penjara Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Mengenai visi penjara Sabah untuk menjadi penjara bertaraf dunia menjelang tahun 2020, Ab Basir berkata usaha sedang dilakukan bagi mencapai visi itu termasuk dari segi penyediaan kemudahan untuk banduan dan latihan kepada pegawai bagi memperkasa keupayaan pegawai terlibat.
Terdahulu pada majlis itu, Ajidin Salleh mengambil alih tugas sebagai Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu daripada Suria Idris yang berpindah ke Lembaga Parol, Kementerian Dalam Negeri. Sebelum dilantik Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Ajidin adalah Ketua Seksyen Pemulihan di Ibu Pejabat Penjara Malaysia.

- BERNAMA

Gerindra dakwa temui banyak penipuan

Gerindra dakwa temui banyak penipuanBarisan peguam Prabowo (kanan) menyerahkan dokumen di Mahkamah Perlembagaan di Jakarta, 25 Julai lalu untuk mencabar keputusan pilihan raya. - Foto AFP 

Jakarta: Ketika bergelut untuk cuba meminda kesalahan pada dokumen bagi menyokong tindakan mencabar keputusan Pilihan Raya Presiden di Mahkamah Perlembagaan, pasukan kempen calon presiden Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto mendakwa menemui lebih banyak bukti penipuan pilihan raya 9 Julai lalu.

Anggota pasukan kempen, Andre Rosiade Jumaat lalu, berkata pasukan mereka menemui petunjuk penipuan undi pada hampir separuh pusat undi ketika Pilihan Raya Presiden lalu.

“Kami meminta kes ini untuk memasukkan 210,000 pusat undi yang berkaitan dengan 50 juta pengundi,” katanya kepada Jakarta Post sambil menambah bahawa penipuan berlaku di seluruh negara dan kes terbaharu akan ditambah dalam saman mereka yang bakal didengar oleh panel hakim.

Kem Prabowo sebelum ini mendakwa penipuan berlaku di 52,000 pusat undi dan menjejaskan 21 juta pengundi dalam saman mereka yang difailkan di mahkamah pada 25 Julai lalu. Ia adalah cukup untuk mengubah keputusan rasmi pilihan raya yang menyaksikan kemenangan calon Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Joko ‘Jokowi’ Widodo-Jusuf Kalla mengalahkan Prabowo dan rakan gandingannya, Hatta Rajasa.


Buat pembetulan

Selepas kelemahan didapati dalam saman berkenaan, mahkamah memberikan Prabowo sehingga 6 Ogos untuk membuat pembetulan sebelum perbicaraan pertama.
Pasukan itu sebaliknya menggunakan lebihan masa itu untuk membuat lebih banyak dakwaan penipuan, yang mungkin dipertimbangkan sebagai tidak dapat diterima oleh panel hakim.

Kes terbaharu itu belum dilaporkan ke mahkamah.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi (Perludem), Veri Junaidi, berkata pasukan peguam terbabit tidak sepatutnya menambahkan kes baharu selain daripada kes yang sudah dimasukkan dalam saman yang diserahkan kepada mahkamah.

“Asasnya adalah saman perlu diserahkan dalam masa tiga kali 24 jam selepas pengumuman keputusan rasmi oleh KPU,” katanya.

“Pada pendapat saya, semua kandungan dokumen perlu diserahkan dalam tempoh terbabit. Selepas itu, ia tidak sepatutnya ditambah.” - AGENSI

Cedera bibir, tangan diserang beramai-ramai


2014/08/04 - 06:31:43
Marang: Kerana dendam dan perselisihan faham, seorang remaja cedera di bibir dan tangan selepas diserang sekumpulan lelaki di sebuah tapak kuari di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Khamis lalu, mangsa berusia 19 tahun bersama tiga rakannya yang dalam perjalanan ke Bukit Payong mengikuti jalan Kampung Lubuk Batu, di sini.


Sumber berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa bersama rakannya ditahan sekumpulan lelaki sebelum mereka dibawa ke sebuah tangki air di Kampung Cik Jah, di sini.

“Sebaik tiba di situ, mangsa terkejut melihat beberapa lelaki sedang menunggunya sebelum mangsa dan rakannya dipukul beramai-ramai.

“Kejadian itu menyebabkan bibirnya pecah dan lengan kiri bengkak. Malah, mangsa yang kesakitan turut ditinggalkan bersendirian di tempat kejadian,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendakwa kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham dengan seorang suspek sebelum ini.

Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal bersama rakannya berselisih faham dengan suspek ketika berada di lampu isyarat Batu 10, Bukit Payong, di sini, kira-kira jam 7.30 malam pada Selasa lalu.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Payong kerana bimbang keselamatannya pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Risikin Satiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

'Selalu curi duit ayah beli syabu'

'Selalu curi duit ayah beli syabu'Chulat (bukan nama sebenar) ditemuramah pemberita di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) 1Malaysia, Bachok.

Gadis terpengaruh dadah selepas berpisah dengan teman lelaki

Bachok: “Saya selalu mencuri duit ayah untuk membeli syabu, malah pernah curi-curi menoreh di kebun getah ayah untuk mengumpul duit.

“Semua ini disebabkan hendak mendapatkan bekalan syabu yang berharga RM50 satu paket dan ketika itu apa yang saya fikirkan hanya untuk mendapatkan bekalan dadah,” kata Chulat (bukan nama sebenar), 18.

Remaja wanita yang berasal dari Sarawak itu, adalah penghuni termuda di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) 1Malaysia Bachok, di sini, selepas ditahan polis ketika menghisap syabu bersama tiga rakannya tahun lalu.

Chulat berkata, dia mula terpengaruh dengan syabu selepas berpisah dengan teman lelakinya dan untuk menghilangkan rasa tertekan, rakan-rakannya mencadangkan mengambil benda terlarang itu.


Tiada didikan agama sejak kecil


Penghuni paling tua di CCRC 1Malaysia Bachok, Izah, 57, (bukan nama sebenar), mendakwa tiada didikan agama sejak kecil menyebabkan mudah terpengaruh dengan pengambilan dadah, selain pengaruh rakan dan persekitaran.
“Saya berkahwin ketika berusia 16 tahun dan bercerai setahun kemudian, sebelum membawa diri merantau mencari rezeki dan mula terjebak dengan heroin ketika bekerja di sebuah kelab malam di Melaka.

“Ketika di situ, saya terpengaruh dengan rakan sebilik yang mengambil heroin dan pernah menipu ibu mengatakan badan tidak sihat apabila ibu perasan keadaan fizikal sudah berubah, semuanya disebabkan pengaruh heroin,” katanya sambil menitis air mata.

Sekarang beliau banyak belajar agama di CCRC dan berharap apabila keluar tahun depan, Tuhan akan mempermudahkan kehidupannya.

Ibu tunggal, Liza (bukan nama sebenar), 38, berkata untuk membeli dadah, dia yang ketika itu menagih heroin, ada ketikanya mencuri duit majikannya.

“Saya bekerja sebagai seorang juruwang di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur dan untuk membeli heroin, saya terpaksa mengambil dari duit syarikat, semuanya disebabkan ketagih,” katanya.

Beliau menyalahkan keadaan rumah tangganya yang berkecai sejak 10 tahun lalu menyebabkannya terjerumus dalam kancah keji ini sehingga terpaksa meninggalkan dua anaknya kepada adiknya untuk dijaga.

“Sudah setahun lebih saya tidak berjumpa dengan kedua-dua anak itu dan sekarang di hari yang mulia ini hanya mengingati mereka saja kerana sebelum ini tidak dapat berbuat demikian juga untuk bersama di hari lebaran,” katanya.

150 korban gempa bumi

150 korban gempa bumiPenduduk mencari mangsa yang terselamat di celah bangunan yang runtuh akibat gempa bumi di wilayah Qiaojia Zhaotong di barat data China semalam. - Foto AFP Lebih 1,400 lagi cedera dalam kejadian di wilayah Qiaojia di barat daya China

Beijing: Seramai 150 orang terbunuh manakala 1,400 lagi cedera apabila gempa bumi dengan kekuatan 6.5 magnitud melanda sebahagian wilayah barat daya China, semalam lapor agensi berita Xinhua.

Imej yang diedarkan kepada media sosial menunjukkan gempa di wilayah Qiaojia Zhaotong itu meranapkan puluhan bangunan.

“Gegaran kuat juga menyebabkan kemusnahan kediaman penduduk dan bangunan lama,” lapor Xinhua.
Pihak berkuasa tempatan berkata, terlalu banyak bangunan yang rosak dan pihak mereka sedang mengumpul data bagi angka kematian dan cedera akibat bencana alam itu.

Pusat Kajian Geological Amerika Syarikat (USGS), memberi amaran bahawa keseluruhan, penduduk di rantau ini beradadi dalam struktur yang sangat terdedah kepada gegaran gempa bumi.

USGS melaporkan gempa bumi yang berlaku kira-kira jam 4 petang waktu tempatan itu berpusat 11 kilometer ke barat laut bandar Wenping pada kedalaman 10 kilometer.

Media kerajaan melaporkan Pusat Gempa Bumi Rangkaian China, menganggarkan gegaran gempa bumi itu berada pada kekuatan 6.5 magnitud. Laporan stesen televisyen tempatan menyatakan pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.
Kedudukan China yang terletak di bahagian barat daya Eropah, Asia dan India menjadikan negara itu juga terdedah kepada gempa bumi.

Pada tahun 1974, gempa bumi di kawasan yang sama mengorbankan lebih daripada 1,500 orang.

Pada September 2012, 80 orang terbunuh apabila gempa bumi berkembar melanda kawasan sempadan pergunungan Yunnan dan Guizhou.

Sementara itu, pada Mei 2008, pada kekuatan 8.0 magnitud gempa bumi telah menggoncang Sichuan, yang berjiran dengan Yunnan, mengorbankan 10,000 orang dan meranapkan wilayah terbabit. - AFP

Penunggang maut selepas langgar tiang elektrik


2014/08/04 - 13:40:02 PM
KUANTAN: Seorang pemuda terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Kuantan-Sungai Lembing dekat Kampung Kuala Kenau, di sini semalam.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata mangsa, Sahlan Mad Deli, 19, dari Kampung Sungai Emas, Sungai Lembing meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, nahas jam 6.25 petang itu dipercayai berlaku semasa lelaki itu yang menunggang bersendirian dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Sungai Lembing.

Beliau berkata, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

Mohamed Fauzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang tidak bekerja itu tidak memliki lesen memandu yang sah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Polis tahan pasangan kekasih suspek kes bunuh remaja


2014/08/04 - 13:49:16
SEREMBAN Polis menahan sepasang kekasih berusia 21 dan 19 tahun dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang remaja di tapak pembinaan di Batu 3, Jalan Labu, di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua suspek ditahan di Ampangan, dekat sini, jam 6 petang semalam.


Katanya, polis turut memburu tiga lagi individu berusia awal 20-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

Dalam kejadian itu, mayat Amir Fazli Suhaimi, 18, yang bekerja di Kompleks Sukan Nilai, dekat sini, ditemui tertiarap di dalam sebuah lubang di tapak pembinaan terbabit, jam 8.20 pagi kelmarin.

Dikejar dengan parang panjang


  • Mohd Hafizan (kanan) bersama Mohd Shafiq dan Mohd Syahidi menunjukkan cermin kereta yang pecah dan laporan polis yang di buat.Mohd Hafizan (kanan) bersama Mohd Shafiq dan Mohd Syahidi menunjukkan cermin kereta yang pecah dan laporan polis yang di buat.

BUKIT PELANDOK – Tiga sahabat yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Pachitan selepas menghadiri majlis rumah terbuka di Lenggeng, berhadapan detik cemas apabila mereka dikejar oleh seorang lelaki sambil mengacu parang, tengah malam semalam.

Menurut Mohd Shafiq Azman, 24, sebelum kejadian, dia bersama rakannya Mohd Hafizan Jamil dan Mohd Syahidi Shahar masing-masing berusia 24 tahun terlibat dalam satu kemalangan kecil di Pekan Bukit Pelandok, kira-kira jam 12.20 tengah malam.

Mohd Shafiq memberitahu, insiden dipercayai berlaku apabila dia yang memandu kereta jenis Proton Waja terlanggar seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang melintas secara tiba-tiba.

“Saya memandu dalam kelajuan sekitar 50 hingga 60 kilometer sejam. Bagaimanapun ketika jarak kira-kira 20 meter, tiba-tiba ada seorang kanak-kanak melintas jalan.

“Saya sempat membrek kereta namun tidak berjaya mengelak dari melanggar kanak-kanak itu.

“Selepas perlanggaran itu, saya keluar dari kereta untuk memeriksa keadaan kanak-kanak itu namun saya pula dikerumuni oleh sekumpulan lelaki sekitar 10 orang dan salah seorang daripada mereka memegang parang panjang" katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sembunyi di celah-celah deretan premis kedai

Mohd Shafiq berkata, kunci kereta dirampas dan mereka dimarahi lelaki berkenaan sebelum sepakat untuk menyelesaikannya di Balai Polis Bukit Pelandok.

“Namun ketika kami menolak kereta untuk di parkir di bahu jalan, Mohd Hafizan telah dibelasah lebih daripada empat lelaki selepas dia keluar dari kereta kerana salah seorang lelaki itu bertindak menendang pintu kereta.

“Bagaimanapun, seorang lagi rakan saya, Mohd Syahidi bertindak membantu Mohd Hafizan. Namun kami tidak sangka lelaki yang memegang parang itu bertindak lebih agresif dengan mengejar Mohd Hafizan.

“Melihat tindakan lelaki itu, Mohd Hafizan lari lebih 200 meter untuk menyelamatkan diri dengan bersembunyi di celah-celah deretan kedai di Pekan Bukit Pelandok sebelum menghubungi rakan-rakan lain.

“Sementara saya dan Mohd Syahidi bernasib baik kerana ada seorang pakcik melalui kawasan itu dan menjadi orang tengah untuk menenteramkan sekumpulan lelaki itu," tambahnya lagi.

Tambahnya, akibat insiden itu, dianggarkan lebih 100 penduduk kampung keluar serta berhimpun di hadapan Balai Polis Bukit Pelandok sebelum bersurai sekitar jam 3.30 pagi.

Mangsa alami kerugian kira-kira RM2,000

Dalam pada itu tambah Mohd Shafiq, mujur ada polis peronda datang meleraikan ketegangan yang berlaku.

"Kami semua kemudian pergi ke Balai Polis Bukit Pelandok yang terletak berhampiran di kawasan kemalangan itu berlaku.

“Selepas berada di balai polis, barulah saya dapat menghubungi ibu bapa memaklumkan tentang kejadian itu," katanya.

Menurutnya, dia mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila cermin hadapan keretanya pecah dan beberapa bahagian kereta kemik dalam kejadian itu.

“Nasib baik kami tidak mengalami cedera parah walaupun dibelasah," katanya.

Suspek kini diburu polis

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, ACP Abd Wahab Harun berkata, pihaknya telah mengenal pasti suspek terlibat.

"Kita sedang memburu mereka yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 440(a) Kanun Keseksaan melakukan khianat semasa membuat rusuhan dan kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abd Wahab berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian berlaku selepas insiden kemalangan membabitkan sebuah kereta yang bergesel dengan seorang kanak-kanak yang tiba-tiba melintas jalan.

“Sejurus kemalangan itu, sekumpulan lelaki telah merosakkan kereta dan menyerang pemandunya.

“Rentetan dari insiden itu, ketiga-tiga lelaki itu telah menghubungi ibu bapa masing-masing dan beberapa sahabat sehinggalah kejadian itu tersebar serta ramai penduduk kampung datang berkumpul di hadapan Balai Polis Bukit Pelandok.

“Bagaimanapun, polis berjaya menenteramkan keadaan dan membubarkan himpunan tersebut. Kanak-kanak dan bapanya serta tiga lelaki itu dihantar balik ke rumah masing-masing dengan diiringi oleh kereta peronda polis,” katanya.

Abd Wahab menambah, orang ramai turut diingatkan supaya tidak bertindak melulu dan melanggar peraturan undang-undang sedia ada.

“Serahkan tanggungjawab itu kepada pasukan polis dan polis akan mengambil tindakan yang telus berlandaskan undang-undang,” katanya lagi.

Rumah peneroka hangus


  • Rumah pemilik salah seorang peneroka yang terbakar di Felda Lui Blok 12, semalamRumah pemilik salah seorang peneroka yang terbakar di Felda Lui Blok 12, semalam

JEMPOL – Sebuah rumah milik salah seorang peneroka musnah sepenuhnya, akibat kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1 petang, di Felda Lui Blok 12, semalam.

Menurut Pegawai Operasi, Yusof Rasip, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.12 petang, dan sampai ke lokasi 20 minit kemudian.

Katanya, sebaik sahaja tiba ke tempat kejadian, rumah yang tiada penghuni itu sudah hangus 100 peratus.

“Malah sebahagian depan rumah telah pun runtuh. Disebabkan rumah tersebut diperbuat daripada papan dan separuh batu, maka ia memudahkan lagi api merebak dengan pantas.

“Hasil siasatan awal dengan jiran, kebakaran mula berlaku di bahagian ruang tengah rumah tersebut, dan kemudiannya merebak ke bahagian depan serta belakang rumah,” katanya.

Tambahnya, sebanyak dua jentera dari  Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol dan Simpang Pertang berserta 12 anggota termasuk pegawai, bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman api dan pemeriksaan di lokasi.

“Difahamkan, semasa kejadian pemilik rumah telah keluar dan berada di sekitar Seremban, sebelum dimaklumkan oleh jiran mengenai kejadian tersebut.

“Sehingga kini punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Pemandu lori tersepit


  • Sebuah lori terbalik di lereng lombong di Klian Intan, Pengkalan Hulu petang kelmarin.Sebuah lori terbalik di lereng lombong di Klian Intan, Pengkalan Hulu petang kelmarin.

PENGKALAN HULU - Seorang pemandu lori nyaris maut selepas lori dipandunya terbalik dengan semua tayar ke atas berhampiran sebuah lombong di Klian Intan, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.24 petang itu, mangsa yang tersepit di dalam lori berkenaan dikeluarkan oleh anggota bomba.

Jurucakap bomba memaklumkan, mangsa telah dibawa ke hospital oleh petugas sebuah syarikat sama yang  beroperasi berhampiran kawasan itu.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, kita dapati sebuah lori terbalik di laluan lereng lomong dan mengakibatkan pemandu lori tersepit.

“Kita mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan hidraulik dan kemudiannya mangsa dibawa ke hospital oleh rakan setugasnya,” katanya.

Difahamkan, kenderaan tersebut dipercayai terbabas ketika melalui jalan tersebut dan menyebabkannya masuk ke lereng lombong dan terbalik.

150 pekerja lari lintang pukang


  • Anggota bomba bertungkus-lumus memastikan api dipadamkan sepenuhnya.Anggota bomba bertungkus-lumus memastikan api dipadamkan sepenuhnya.

KAMUNTING - Seramai 150 pekerja sebuah kilang memproses sarung tangan getah di Jalan Logam 4, Kamunting Raya, di sini lari lintang pukang menyelamatkan diri selepas premis tersebut terbakar pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, kilang berkeluasan 3.5 hektar itu terbakar menyebabkan pekerja rata-rata terdiri warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan Nepal keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, kebakaran menyebabkan keseluruhan bahagian belakang kilang termasuk mesin memproses sarung tangan getah, musnah.

Menurutnya, api yang marak turut menyebabkan pusat penyimpanan sarung tangan getah dan stok simpanan getah di kilang berkenaan rentung.

“Hanya bahagian hadapan berjaya diselamatkan termasuk struktur bangunan dua tingkat yang sedang dalam pembinaan.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Semua 150 pekerja yang bertugas ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Sehingga jam 6 petang semalam, operasi pemadaman masih dijalankan membabitkan sembilan jentera dari enam Balai Bomba dan Penyelamat berhampiran.

Ia berikutan keadaan kawasan yang luas serta membabitkan bahan mudah terbakar di kilang itu.

Taufiq berkata, operasi membabitkan kira-kira 80 pegawai dan anggota bomba dari Balai Kamunting, Taiping, Bagan Serai, Parit Buntar, Kuala Kurau dari Perak serta sebuah jentera dari balai Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Katanya, insiden itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas apabila asap hitam setinggi kira-kira 100 meter boleh dilihat dari jarak lima kilometer dari lokasi kejadian.
“Jumlah kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Difahamkan, kilang berkenaan sudah beroperasi hampir 10 tahun dan hasil pengeluaran premis tersebut dieksport ke Jepun, Cina, Thailand dan Singapura.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, sebahagian pekerja kilang bertungkus lumus memindahkan bungkusan kotak, dipercayai berisi sarung tangan getah ke tempat selamat.

Dalam pada itu, penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur apabila kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.

Jamaiah Md Salleh, 38, berkata, adiknya berusia 22 tahun yang bertugas pada hari kejadian sudah bekerja selama lima tahun di kilang itu.
“Alhamdulillah, adik saya selamat, mujur kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya.

Rizal Rulan, 36, pula berkata, isterinya yang sudah lima tahun bekerja di kilang berkenaan tidak bekerja kerana masih bercuti.

“Saya datang untuk melihat keadaan kilang, syukurlah semua selamat, isteri saya pun tak bekerja sebab masih cuti hari ini (semalam),” katanya.

Dua maut kemalangan berasingan


  • Motosikal Ming Tiong rosak teruk akibat pertembungan dengan kereta.Motosikal Ming Tiong rosak teruk akibat pertembungan dengan kereta.

SUNGAI PETANI - Seorang warga emas yang sedang dalam perjalanan membeli sarapan maut dalam kemalangan apabila kenderaan yang dipandu terbabas ke tepi jalan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi semalam dekat Taman Seri Wang apabila mangsa, Chew Chee Seng, 77, memandu kenderaan sendirian.

Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari pekan Sungai Petani menuju ke rumahnya di Taman Keladi.

Apabila sampai di satu simpang, kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas sehingga memasuki ke dalam longkang, bagaimanapun, mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu disahkan maut di lokasi kejadian.

Dalam kejadian berasingan, seorang lagi maut ketika menunggang motosikal berdekatan Taman Berlian kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Mangsa, Chen Ming Tiong, 50, yang sedang menunggang motosikal berseorangan dekat Jalan Kelab Cinta Sayang maut apabila bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Mangsa yang melambung akibat pertembungan terbabit maut di lokasi kejadian.

Sumber polis memaklumkan, mayat kedua-dua mangsa terbabit dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah siasat.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Kereta hangus selepas terlanggar tiang elektrik


  • Kereta Kancil hangus selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Tampin, semalam.Kereta Kancil hangus selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Tampin, semalam.

KUALA PILAH – Sebuah kereta Perodua Kancil hangus selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Tampin berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Muhammad (TMS), dekat sini, awal pagi semalam.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Adnan Awaluddin berkata, seramai enam anggota dan sebuah jentera serta sebuah kenderaan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (EMRS) bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 3.30 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati sebuah kereta Perodua Kancil telah terbakar 100 peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa di dalam kereta terbabit.

“Kita mengambil masa selama 13 minit untuk memadam kebakaran dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang saksi, Vickness Ratnam, 28, berkata, sebelum kejadian, dia ternampak kereta berkenaan diletakkan di tepi jalan selepas terbabit dalam kemalangan.

“Dalam perjalanan ke Melang, saya ternampak kereta itu berada di bahu jalan selepas terlanggar tiang elektrik. Waktu itu, saya nampak satu keluarga berada di luar kereta berkemungkinan pemilik kenderaan tersebut,” katanya.

Tambahnya, selepas selesai minum kira-kira jam 3.30 pagi. dia terkejut apabila melihat bahagian enjin kereta terbabit terbakar serta mengeluarkan kepulan asap.

"Saya terus menghubungi Balai Bomba Kuala Pilah apabila melihat api marak begitu pantas kemungkinan terdapat kebocoran di bahagian paip petrol. Mujur tiada letupan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, pemilik kereta serta keluarganya selamat dan pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah kereta lain.

Kereta milik kontraktor mangsa ‘culik’ ditemui


  • Kereta mangsa berjaya ditemui selepas ditinggalkan perompak di Taman Seri Damai Aman.Kereta mangsa berjaya ditemui selepas ditinggalkan perompak di Taman Seri Damai Aman.

KUANTAN -  Kereta jenis Mercedes Benz S280 milik kontraktor yang dilaporkan hilang selepas dia diculik perompak malam kelmarin berjaya ditemui ditinggalkan di satu kawasan di Taman Seri Damai Aman, Jalan Gambang dekat sini.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Ong, 43 ketika dihubungi berkata, dia menerima panggilan daripada Adun Teruntum, Sim Chon Siang kira-kira jam 12 malam memaklumkan keretanya ditemui.

Menurutnya, kereta tersebut ditemui orang awam sebelum dimaklumkan kepada Chon Siang dan disahkan kenderaan itu miliknya yang hilang sebelum ini.

“Saya hanya tahu kereta itu ditemui dan kini di bawa ke Balai Polis Jaya Gading bagaimanapun keadaannya belum dapat dipastikan sama ada berada dalam keadaan baik, rosak atau ada barangan yang hilang.

“Saya masih di rumah kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan untuk ke sana melihat sendiri kereta tersebut bagaimanapun saya lega kerana ianya sudah ditemui,” katanya.

Ong berkata, dia hanya diberitahu kereta itu dalam keadaan baik dan boleh dipandu ke balai polis untuk siasatan.

“Saya difahamkan kereta itu ditinggalkan di hadapan bangunan kedai di Lorong Seri Damai Aman 38 dalam keadaan berkunci.

“Saya menyerahkan kunci pendua kepada polis untuk membukanya dan dibawa ke balai,” katanya.

Semalam Sinar Harian menyiarkan pengalaman Ong yang terpaksa berdepan detik cemas apabila dia diculik sekumpulan perompak ketika sedang menuju ke keretanya untuk pulang ke rumah.

Dia mendakwa perompak menutup mukanya sebelum mengheret masuk ke dalam kereta dan dibawa lari hingga ke Kajang, Selangor.

Mangsa yang turut dicederakan dibawa lari menaiki keretanya sebelum perompak meninggalkan kenderaan tersebut dan membawanya menaiki kenderaan lain hingga ke Kajang.

Selain dicederakan, wang tunai dalam dompetnya dikebas perompak bagaimanapun dompet, telefon dan kad kredit diserahkan semula kepadanya.

72 keluarga dikesan hidap virus Aids di Melaka


  • AIDS

ALOR GAJAH - Sebanyak 72 keluarga terdiri daripada penagih dadah dan anggota keluarga mereka dikesan menghidapi virus Aids di Melaka.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar berkata daripada jumlah itu, 299 orang adalah Orang Kena Pengawasan (OKP) yang mendaftarkan diri secara sukarela dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Melaka.

"Mengikut rekod kira-kira 75 peratus daripadanya merupakan penagih dadah tegar manakala 15 peratus pula adalah mangsa terdiri daripada anak serta isteri yang dijangkiti melalui penagih dadah berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbukanya sempena Aidifitri di sini, hari ini.

Beliau berkata angka tersebut dikhuatiri lebih berikutan bilangan sebenar pembawa virus Aids dalam kalangan penagih dadah serta anggota keluarga mereka sukar dikesan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri bersama Pemadam Melaka sedang berusaha mengesan bilangan sebenar penghidap virus berkenaan untuk diberi bantuan dan sokongan. 

Latipah berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk pendekatan turun padang dengan memberi kesedaran kepada penagih dan bekas penagih mengawal pengambilan dadah melalui pelaksanaan rawatan methadone.

Beliau berkata Pemadam dan Agensi Antidadah Kebangsaan Melaka juga sedang mengumpul maklumat dan data sebenar penghidap HIV/Aids yang lain daripada kumpulan OKP yang berdaftar.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 2,992 OKP berdaftar dengan Pemadam Melaka dan kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat mengenai anggota keluarga mereka yang berkemungkinan dijangkiti virus tersebut.

"Kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka menerima golongan penghidap virus tersebut dan tidak pernah menyisihkan mereka kerana sebahagian daripadanya adalah mangsa," katanya.

Sehubungan itu, katanya penghidap HIV/Aids dalam kalangan penagih dadah dan anggota keluarga mereka dinasihat menghubungi pihaknya bagi mendapatkan rawatan serta bantuan lain. - Bernama

Roti berinti sosej berulat


  • Roti yang baru dibeli berkulat.Roti yang baru dibeli berkulat.

KLUANG - Hasrat satu keluarga untuk menikmati roti yang dibeli di sebuah pasaraya di pinggir bandar di sini terbantut apabila mendapati roti yang berintikan sosej itu telah berkulat serta berulat.

Pengadu berkenaan, Saiman Surat, 43, yang tinggal di Taman Puteri di sini berkata, roti berkenaan dibeli Jumaat lalu (1 Ogos) ketika dia bersama isterinya.

“Apabila saya ingin menjamah roti berkenaan, saya terkejut melihat tepi roti berkenaan sudah bercendawan.,” katanya .

Saiman berkata, melihat keadaan roti itu dia terus menghalang anak-anaknya meneruskan makan tetapi anak sulungnya telah makan roti berkenaan sehingga habis.

Apa yang menghairankan roti tersebut baharu dibuat pada hari saya membelinya dan boleh dimakan sehingga keesokannya (2 Ogos),” katanya.

Sementara itu, Jurucakap pengurusan pasaraya tersebut berkata, pihaknya rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan akan menarik balik semua jenis roti berintikan sosej dan siasatan akan dijalakan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Tiga maut kemalangan di Perak


4 Ogos 2014


TELUK INTAN - Seorang wanita dan anak lelakinya berusia dua tahun antara tiga yang maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan yang membawa dua keluarga di Km 44 Jalan Teluk Intan-Sitiawan, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, kejadian turut menyebabkan tiga parah dan seorang lagi cedera ringan.
   
M. Pusparani, 40, meninggal dunia di Hospital Teluk Intan manakala anaknya R. Sanjeet serta seorang lagi mangsa Mohd Amin Mat Yusof, 52, maut di tempat kejadian, katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Mereka yang parah ialah suami Pusparani, K. Ravi, 40 serta seorang lagi anak mereka R. Balachandderao, 5; dan isteri Mohd Amin, Norkhaijan Tukiran, 43, manakala anak mereka Muhammad Haziq, 7, hanya cedera ringan, katanya.
   
Mohd Suhaily berkata kejadian berlaku 12.05 tengah malam membabitkan dua buah kereta jenis Perodua Kancil yang bertembung sesama sendiri.
 
Katanya kejadian berlaku semasa Mohd Amin dan keluarganya dalam perjalanan dari Teluk Intan menuju ke Sitiawan.
   
Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki keluarga Mohd Amin hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki Ravi sekeluarga.
   
"Bagaimanapun kita belum mendapat apa-apa maklumat siapa yang memandu kedua-dua kenderaan berkenaan disebabkan kesemua mangsa sama ada meninggal dunia atau mengalami kecederaan kini dirawat di hospital," katanya.
   
Beliau berkata pertembungan itu menyebabkan beberapa mangsa tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba. - Bernama

Jiran curiga pintu pagar terbuka


  • Emirul Iskandar dan adiknya, Emisya Alis mengemas barang yang berselerakan.Emirul Iskandar dan adiknya, Emisya Alis mengemas barang yang berselerakan.

ALOR SETAR - Seorang penjawat awam kerugian hampir RM10,000 apabila rumahnya di Taman Rakyat, Jalan Sultanah dekat sini, dimasuki pencuri ketika dia dan keluarganya bercuti sempena Aidilfitri di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rosli Ariffin, 50, berkata, dia dan keluarganya mendapat maklumat tentang rumahnya dimasuki pencuri selepas jirannya menghubunginya ketika jam 12.30 tengah hari kelmarin, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Alor Setar.

Katanya, jirannya curiga selepas melihat pintu pagar rumahnya terbuka menyebabkannya masuk ke hadapan rumahnya dan mendapati pintu serta tingkap rumahnya juga turut terbuka.

“Semasa jiran membuka tingkap, dia dapati seluruh ruang tamu rumah berselerakan dengan barang-barang dan mengesyaki rumah kami dimasuki pencuri.

"Lalu jiran terbabit menghubungi saya serta membuat laporan di Balai Polis Anak Bukit,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, dia tiba di rumah jam pada jam 5.30 petang kelmarin dan mendapati semua bilik dan stor digeladah pencuri terbabit.

Katanya, pintu hadapan rumahnya diumpil hingga rosak dan pintu besi belakang pula terbuka bagi memudahkan mereka membawa barangan keluar.

"Pencuri itu bukan sahaja menggeledah semua almari dalam bilik malah turut membuka almari simpanan makanan di dapur hingga menyebabkan barangan makanan turut berselerakan.

“Pelbagai barangan seperti dua televisyen, dua komputer riba, dua gitar elektrik dan tabung anak saya juga turut dikebas. Paling menyedihkan ialah barangan emas yang disimpan oleh isteri saya turut dicuri," katanya.

60,000 anak ayam rentung


  • Kandang ayam berteknologi tinggi terbakar mengakibatkan kira-kira 60,000 anak ayam mati.Kandang ayam berteknologi tinggi terbakar mengakibatkan kira-kira 60,000 anak ayam mati.

TANJUNG MALIM – Seorang penternak ayam mengalami kerugian besar apabila kira-kira 60,000 anak ayam miliknya rentung dalam kebakaran di Kampung Kelawar di sini, semalam.

ketika kejadian pada kira-kira jam 7.15 pagi itu, sebuah daripada tiga blok yang menempatkan kandang ayam berteknologi tinggi terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Abdul Rahim Saari berkata, anggotanya menggunakan sumber air dari kolam berhampiran kandang ayam tersebut bagi mengawal api dari merebak ke kawasan lain.

“Bomba menerima panggilan pada jam 7.43 pagi dan ketika tiba, hampir 80 peratus kandang berkenaan sudah terbakar, bagaimanapun api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 20 minit,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, namun dianggarkan hampir 60,000 anak ayam yang ditempatkan di kandang menggunakan teknologi tinggi itu mati.

Katanya, bomba akan menunggu laporan penuh dari Jabatan Forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Difahamkan, ketika kejadian, terdapat 30 pekerja berada di kawasan penternakan itu, namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana keadaan api yang marak.

Pengurus, Lim Chee Wah, 37, ketika ditemui berkata, ketika insiden berlaku, dia berada di rumah sebelum dimaklumkan pekerjanya.
Katanya, kepantasan bomba berjaya menyelamatkan 160,000 lagi anak ayam yang ditempatkan di dua blok berasingan.

Beliau berkata, lokasi itu menempatkan tiga blok kandang yang boleh menempatkan 80,000 anak ayam setiap satu.

"Kami baru beroperasi kira-kira dua tahun lalu, ini adalah kejadian pertama, memang mengejutkan, saya pun tak tahu dari mana kebakaran ini bermula.

“Ketika kebakaran, hanya 20,000 anak ayam berjaya dipindahkan, sementara 60,000 lagi rentung,” katanya yang menganggarkan nilai kerugian mencecah RM2 juta.

Chee Wah berkata, pihaknya perlu menjalankan pemantauan rapi di lokasi termasuk kemungkinan asap tebal yang boleh menjejaskan keselamatan baki anak ayam.

Mayat tertiarap dalam lubang

Keadaan mayat mangsa yang ditemui di dalam lubang
Keadaan mayat mangsa yang ditemui di dalam lubang
Murni dan anaknya Suhaimi (bertopi) ketika di lokasi.
Murni dan anaknya Suhaimi (bertopi) ketika di lokasi.
Motosikal ditunggang mangsa.
Motosikal ditunggang mangsa.
SEREMBAN -  Seorang pekerja Kompleks Sukan Nilai ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam sebuah lubang di Jalan Labu, Batu 6 berhampiran sebuah kuari di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Amir Fazli Suhaimi Fadzil, 18, ditemui orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Sumber berkata, ketika ditemui, remaja yang menetap di Nilai itu, hanya memakai seluar dan tidak berbaju.

“Pemeriksaan mendapati, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan turut mengalami lebam pada bahagian mata serta darah di hidung.

“Malah dompet milik mangsa turut tidak ditemui termasuk dokumen pengenalan diri lain. Sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dipercayai ditunggang mangsa ditemui iaitu kira-kira 40 meter dari lokasi mayat mangsa dijumpai,” katanya.

Menurutnya, sebuah topi keledar berwarna biru, sehelai baju dan jam tangan turut ditemui tidak jauh dari mangsa berserta beberapa kesan darah.

Kata jurucakap, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk tindakan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sementara itu, bapa saudara mangsa Abdul Samad Uda Ismail, 45, yang ditemui di HTJ di sini berkata, dia diberitahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi oleh anak saudaranya dan bergegas ke Seremban dari Slim River, Perak.

“Kali terakhir saya jumpa dengan arwah Isnin lalu yang datang berhari raya di rumah saya. Tapi dia terpaksa pulang awal ke Seremban disebabkan perlu bekerja.

“Pagi tadi (semalam) keluarga arwah ada di rumah saya kerana mereka baru sahaja sampai. Tapi sebaik sahaja menerima berita tersebut, masing-masing bergegas pulang,” katanya.

Manakala seorang rakan baik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ar-Radhi, 29, berkata, dua hari lalu dia memberitahu mahu berhari raya di rumah arwah.

“Tapi dia beritahu mahu mencari hari yang sesuai untuk buat makan-makan dan itulah kali terakhir saya bertemu dengannya.

“Malam tadi (kelmarin) pun arwah ada menghantar pesanan ringkas kepada adik perempuan saya yang meminta memberitahu ibu bapanya yang dia sayangkan mereka sekiranya dia sudah tiada,” katanya.

Malah katanya, arwah juga menunjukkan perubahan sikap apabila dilihat lebih banyak beribadat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dua rumah rosak dihempap pokok


  • Sebuah rumah di Kampung Seberang Pintasan rosak teruk selepas dihempap pokok besar dalam kejadian ribut, lewat petang semalam.Sebuah rumah di Kampung Seberang Pintasan rosak teruk selepas dihempap pokok besar dalam kejadian ribut, lewat petang semalam.

SEBERANG PINTASAN - Kejadian ribut lewat petang semalam menyebabkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan pantai cemas seketika selain beberapa rumah mengalami kerosakan setelah atap diterbangkan angin.

Terdapat juga kejadian pokok tumbang menghempap rumah menyebabkan pihak bomba terpaksa dipanggil untuk membantu mangsa terlibat.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Seberang Pintasan mendapati dua rumah rosak teruk akibat dihempap pokok tumbang, manakala sebuah rumah di Kampung Bemban turut mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas atap diterbangkan angin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Nor  Azizi Che Noh berkata, sebuah jentera bomba bersama  enam anggota dikejarkan ke Kampung Seberang Pintasan bagi memotong pokok tumbang.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, cuma sebahagian daripada struktur rumah mangsa rosak teruk akibat dihempap pokok.

“Nilai kerugian dialami mangsa terlibat masih lagi dalam siasatan pihak kami.

“Mujurlah mangsa terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Dentuman bagai ledakan bom


  • Idris menunjukkan serpihan konkrit pintu pagar rumahnya yang bertaburan akibat dipanah petir dalam kejadian malam kelmarin.Idris menunjukkan serpihan konkrit pintu pagar rumahnya yang bertaburan akibat dipanah petir dalam kejadian malam kelmarin.

PASIR PUTEH - Empat keluarga di Kampung Surau, di sini, diselubungi ketakutan apabila rumah mereka bergegar akibat panahan petir dalam kejadian pada jam 8 malam, kelmarin.

Penduduk, Idris Ismail, 43 berkata, dia terkejut mendengar dentuman kuat umpama ledakan bom ketika berada dalam rumah bersama isteri, Naziha Yaakob, 40 dan anak-anaknya.

"Ada cahaya terang-benderang di luar rumah dan saya lihat pucuk pokok kelapa di hadapan rumah saya menyala manakala tanah berasap. Selepas keadaan reda, baru saya keluar untuk melihat kesannya.

"Saya lihat bahagian atas pagar konkrit rumah saya berkecai disambar petir dan kejadian itu juga membentuk satu lopak tidak jauh dari pokok kelapa. Saya percaya di situlah tempat panahan petir berakhir," katanya.

Menurutnya, sambaran petir turut mengenai rumah di sekitar menyebabkan barangan elektrik seperti televisyen dan peti sejuk di rumah empat keluarga terbabit rosak.

Katanya, bagaimanapun dia bersyukur kerana dirinya, isteri dan lima anaknya berusia 5 hingga 19 tahun selamat walaupun anak bongsunya menangis ketakutan.

Sementara itu, jirannya, Zaidi Mat Din, 46 berkata, dentuman kuat itu mengejutkan semua keluarga terlibat kerana ketika itu hujan renyai-renyai dan tidak ada tanda ribut akan melanda.

Tambahnya, dari dalam rumah dia dapat melihat api sebesar lori menjunam ke tanah selepas menyambar pokok kelapa bersama gegaran yang cukup menakutkan.

"Ketika itu saya bersama keluarga sedang berehat di ruang tamu dan kami terdiam kerana kejadian itu. Tidak berani untuk bergerak. Apabila keadaan reda, saya menyedari beberapa palam elektrik di rumah saya hangus dan peralatan elektrik musnah.
"Saya keluar rumah untuk melihat kesan kejadian dan mendapati cermin kereta saya yang diletak di hadapan rumah pecah. Ini adalah pengalaman pertama saya berada hampir dengan panahan petir," katanya.

Dua beradik penyamun kena tahan


  • Mohd Kamil (tengah) menunjukkan parang dan barang-barang kes yang dirampas daripada suspek.Mohd Kamil (tengah) menunjukkan parang dan barang-barang kes yang dirampas daripada suspek.

SEGAMAT – Polis daerah ini berjaya menyelesaikan kes samun melibatkan pengusaha kebun di sekitar Labis dengan tertangkapnya dua suspek lelaki yang merupakan adik beradik di kawasan kebun di Felda Moakil, di sini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi berkata, suspek yang berumur 31 dan 34 tahun itu ditahan  sepasukan anggota yang sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa kes samun membabitkan pengusaha kebun di daerah itu.

“Ketika ditahan, polis turut dirampas bersama suspek yang juga dipercayai penagih dadah itu adalah sebilah parang, pisau, gunting, alat menghisap dadah, dua telefon bimbit dan empat kad sim telefon.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek yang berumur 34 tahun itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau melibatkan tiga kes curi motosikal dan tiga kes dadah sementara adiknya yang berusia 31 tahun mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, kelmarin.

Menurutnya, ketika ditahan, suspek juga sedang menunggang motosikal curi yang dilaporkan hilang di Lenga, Muar pada Julai lalu dan hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin.

Katanya, dalam beberapa kejadian samun sepanjang bulan lalu di Labis, suspek yang bersenjatakan parang dan kayu itu menyasarkan pengusaha kebun yang sedang berkebun dengan melarikan wang tunai, telefon bimbit dan motosikal mangsa.

“Polis juga mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Felda Tenang itu tidak tinggal di rumah mereka, sebaliknya menjadikan kawasan kebun di sekitar Labis sebagai tempat  tinggal mereka selain membawa parang sebagai senjata untuk digunakan ketika menyamun.

“Bagaimanapun, kebanyakan mangsanya hanya dicederakan menggunakan kayu dan pihak polis juga sudah mengenal pasti beberapa individu rakyat tempatan yang membeli kelima-lima buah motosikal yang dilarikan suspek dalam beberapa kejadian samun baru-baru ini,” katanya.

Sebelum ini, suspek juga dipercayai menggunakan motosikal curi berwarna merah sebelum menukar catnya kepada warna hitam bagi mengelirukan pihak polis dan kejadian jenayah terbaharu yang dilakukan suspek pada 29 Julai lalu di Labis sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM20,000.

“Saya berharap dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, semua pengusaha kebun di Labis dapat menjalankan aktiviti berkebun mereka seperti biasa dan tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri mereka lagi.

“Kes diasiasat mengikut Seksyen 394, 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkawan menggunakan senjata tajam serta mendatangkan kecederaan dan suspek kini direman sehingga 8 Ogos ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, satu dialog di antara Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; polis dan pengusaha kebun juga pernah diadakan di Balai Polis Labis berkenaan isu ini seperti yang telah dilaporkan oleh Sinar Harian.

Serang kakak kerana perli isteri


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Ogos 2014


KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu sayangkan isteri, seorang lelaki tergamak menyerang kakak kandungnya menggunakan sebatang paip besi hanya kerana bengang mangsa dikatakan memerli isterinya, dalam satu kejadian di Bandar Permaisuri, Setiu, Rabu lalu.

Dalam kejadian dipercayai kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun dikatakan sedang berehat di rumah ibu mereka di kampung berkenaan sebelum berlaku pertengkaran mulut dengan adik lelakinya yang berusia 20-an.

Menurut sumber, sebelum kejadian, dua beradik berkenaan dikatakan berbual kosong dan secara tiba-tiba suspek naik marah menyebabkan berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.

“Suspek yang gagal mengawal amarahnya tiba-tiba bertindak agresif apabila mula menolak kakaknya hingga terjatuh. Tidak cukup dengan itu, suspek turut menampar pipi mangsa.

“Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan kakaknya yang dikatakan ada mengeluarkan perkataan memerli isterinya sebelum kejadian itu,” katanya.

Jelas sumber, kemarahan suspek tidak berakhir di situ apabila bertindak semakin ganas dengan cuba untuk memukul mangsa menggunakan sebatang paip besi yang secara kebetulan ada berhampiran lokasi kejadian.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila bapa mereka yang turut ada di rumah berkenaan masuk campur dan sempat menghalang serta meleraikan pergaduhan itu.

“Walaupun hanya cedera ringan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Tong kerana bimbang keselamatan dirinya dan keluarga pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Gempa bumi di China ragut 150 nyawa


3 Ogos 2014


CHINA - Sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh dan ratusan lain cedera dalam gempa bumi dengan 6.1 skala richter yang melanda barat daya China, lapor media tempatan.

Pusat Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat berkata gempa itu melanda wilayah Yunnan pada 4.30 petang.

Pihak berkuasa tempatan memberitahu agensi berita Xinhua, banyak rumah telah musnah dalam kejadian itu.

CCTV pula menyebut gemba bumi itu yang paling kuat melanda provinsi itu dalam tempoh 14 tahun.

Pada tahun 1970, gempa bumi dengan 7.7 magnitud melanda Yunnan membunuh sekurang-kurangnya 15,000 orang.

Wanita China diculik, dirogol



KAWASAN rehat bersebelahan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang yang menjadi lokasi wanita warga China dilarikan sebelum dirogol.


BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita warga China melalui detik hitam memeritkan apabila dia bukan sahaja dilarikan daripada kekasihnya yang menjadi mangsa rompakan malah lebih trauma apabila diperkosa secara bergilir-gilir oleh tiga penjenayah di sini semalam.
Kejadian pada pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia sekitar 20-an dalam perjalanan dari George Town menuju ke Butterworth bersama kekasihnya seorang ahli perniagaan yang berusia sekitar 40-an selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kekasihnya, pasangan yang menaiki kereta jenis Hyundai Elantra singgah di kawasan rehat bersebelahan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.
“Ahli perniagaan itu meninggalkan mangsa di dalam kereta yang enjin masih hidup sementara dia memasuki tandas.
“Mangsa yang ditinggalkan bersendirian didatangi empat lelaki menaiki dua buah motosikal sebelum kumpulan lelaki itu berpura-pura bertanyakan arah jalan,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz39NaO6HvN 
Hakcipta terpelihara 

Jadi keldai akaun demi cinta



WARGA Afrika yang membanjiri negara ini banyak terlibat dalam kes-kes penipuan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Demi cinta kepada lelaki Afrika, wanita tempatan di negara ini didapati sanggup mengambil risiko ditangkap bersama kekasih mereka, kebanyakannya Awang Hitam, apabila membuka akaun di bank-bank tempatan bagi tujuan melakukan penipuan.
Wanita yang membuka akaun bank semata-mata untuk digunakan warga Afrika yang menjalankan aktiviti penipuan ini digelar sebagai keldai akaun. Wanita yang menjadi keldai akaun kebiasannya termakan pujuk rayu cinta Awang Hitam.
Awang Hitam mempergunakan wanita terbabit untuk membuka akaun di beberapa buah bank tempatan bertujuan memudahkan sindiket itu melakukan penipuan ke atas mangsa-mangsa lain supaya memindahkan wang hasil aktiviti penipuan ke dalam akaun dimiliki keldai akaun terbabit.
Antara modus operandi penipuan yang membabitkan Awang Hitam ialah memintas maklumat peribadi pengguna perbankan internet sebelum meminta mangsa atau ahli sindiket itu sendiri membuat transaksi dengan memindahkan wang mangsa ke dalam akaun dimiliki keldai akaun yang dijadikan kekasih oleh ahli sindiket itu.
Sebelum itu, ahli sindiket mungkin menghantar e-mel kepada mangsa-mangsa sebelum meminta mereka melakukan akses ke atas satu jaringan di internet dan mengarahkan mangsa-mangsa menukar kata laluan atau lain-lain maklumat perbankan mereka.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz39NZejqBw 
Hakcipta terpelihara