Search This Blog

Sunday, July 27, 2014

Pekerja buruh maut digilis lori


  • Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

PARIT BUNTAR - Seorang pekerja buruh warga Indonesia maut dalam keadaan mengerikan setelah digilis sebuah lori treler di Kilometer 119 Jalan Ipoh-Butterwoth berhadapan Masjid Simpang Lima di sini kelmarin.

Kejadian itu turut menyebabkan kepala mangsa pecah dan cebisan otaknya bertaburan di atas jalan raya.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, mangsa, Slamet, 21, yang menunggang motosikal jenis Suzuki RG Sport digilis sebuah lori membawa muatan jentera membajak tanah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Asisten Komisioner Mat Fauzi Nayan berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari Bagan Serai menghala ke Parit Buntar hilang kawalan sebelum terbabas ke arah lori terbabit.

“Kemalangan terbabit menyebabkan mangsa terperosok di bawah lori dan dipercayai digilis tayar lori berkenaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, saksi kejadian, Hanafi, 43, berkata, dia yang sedang membeli barang di sebuah kedai berhampiran masjid terkejut mendengar dentuman kuat.

“Saya segera ke lokasi kejadian dan tergamam apabila kelihatan mangsa tertiarap di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah manakala cebisan daging dan otak bertaburan dilihat bertaburan atas jalan.


Difahamkan mangsa bekerja sebagai seorang bunuh binaan di kawasan Bagan Serai dan sedang dalam perjalanan ke rumah kongsi di Simpang Lima.

Persiapan raya musnah sekelip mata


  • Jusoh hanya mampu berputih mata apabila rumah dan semua persiapan untuk menyambut hari raya Aidilfitri musnah dalam kebakaran di Lorong Wok, Pengkalan Pasir.Jusoh hanya mampu berputih mata apabila rumah dan semua persiapan untuk menyambut hari raya Aidilfitri musnah dalam kebakaran di Lorong Wok, Pengkalan Pasir.

PASIR MAS - Ketika semua umat Islam sibuk membuat persiapan bagi menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri, dua beradik warga emas termasuk anak saudara mereka diselubungi kesedihan apabila semua persiapan menyambut lebaran musnah dalam kebakaran di Lorong Wok, Pengkalan Pasir, di sini semalam.

Kejadian berlaku pada jam 9.20 pagi dan ketika itu hanya Jusoh Bakar, 65 berada dalam rumah sementara adiknya Abdul Rahman, 60 berada di luar rumah, manakala anak saudara mereka, Wan Muhammad Habib, 25 keluar bekerja.

Menurut Jusoh, dia berada dalam bilik tidurnya semasa kebakaran berlaku dan hanya menyedarinya apabila terhidu bau hangit.

"Saya bergegas keluar dan terkejut melihat api sudah marak membakar sebuah bilik dalam rumah kami.

"Saya terus keluar dan memberitahu adik-beradik yang tinggal bersebelahan serta jiran tetangga bagi meminta bantuan," katanya.

Jusoh berkata, usahanya untuk memadamkan kebakaran gagal kerana api marak terlalu cepat.

"Semua persiapan raya musnah dalam kebakaran itu. Bagaimanapun saya bersyukur kerana kami semua selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera serta kenderaan pacuan empat roda telah bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Ketika kami sampai di lokasi kejadian, rumah berkenaan telah hangus 100 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan.

"Kerugian dianggarkan berjumlah RM75,000 dan pihak bomba mengambil masa selama 13 minit untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran," katanya.

Bayi ‘ajaib’

Foto
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat anggota keluarga al-Najar yang maut bersama 15 saudaranya selepas rumah dimusnahkan dalam serangan udara tentera Israel.
Ibu bayi berkenaan yang berusia 23 tahun maut dalam serangan udara terhadap rumahnya di bandar Deir al-Balah, namun ajaibnya bayi dikandung berjaya diselamatkan melalui pembedahan.
Dr Fadi Al-Khrote yang mengetuai pasukan pembedahan berkata, bayi terbabit ‘ajaib’ kerana ibunya diisytiharkan mati secara klinikal selama 10 minit sebelum pembedahan diselesaikan. Lazimnya, bayi dijangka tidak mampu hidup lebih daripada lima minit selepas ibunya meninggal dunia.

Sementara itu, Israel dan Hamas akhirnya bersetuju melakukan gencatan senjata sementara selama 12 jam bermula jam 8 pagi waktu tempatan semalam pada hari ke-19 keganasan di Gaza, namun usaha mencari kedamaian jangka panjang antara dua pihak bertelagah itu masih gagal mencapai kata sepakat.
Foto

Namun, malangnya dalam beberapa jam menjelang tempoh gencatan dipersetujui itu, keganasan tetap berterusan apabila serangan udara Israel mengakibatkan 23 terbunuh termasuk 16 sekeluarga, empat kanak-kanak dan seorang anggota paramedik.

Menurut Hamas dan kumpulan pejuang lain di Gaza mereka mencapai persetujuan mengadakan gencatan manakala Israel turut mengesahkan mereka bersetuju memberi ‘ruang kemanusiaan di Semenanjung Gaza’. Kenyataan dikeluarkan kementerian dalam negeri di bawah Hamas di Gaza juga memberi amaran supaya orang ramai tidak menghampiri bangunan yang musnah atau pangkalan tentera bagi mengelak terdedah kepada bahan letupan.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry yang berada di Kaherah bersama Setiausaha Agung Ban Ki-moon dilaporkan berkata usaha menghentikan pertempuran sengit Hamas dan Israel masih menemui jalan buntu berikutan kedua-dua pihak masih perlu membincangkan beberapa isu, namun mendakwa rangka asas proses damai sudah dimulakan.

Tetapi sebaliknya stesen televisyen Channel 1 Israel melaporkan Jumaat lalu, Kabinet Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak cadangan-cadangan dikemukakan Kerry.

Sehubungan itu, Kerry tiba di Perancis semalam bagi menghadiri persidangan diadakan Menteri Luar negara itu, Laurent Fabius bersama AS, Britain, Jerman, Itali, Qatar dan Kesatuan Eropah selepas

AS dan Mesir berganding bahu dalam perancangan untuk menghentikan sementara konflik berdarah Israel-Hamas sebelum perbincangan lanjut diadakan.

Konflik bermula 8 Julai lalu apabila tentera rejim Zionis melancarkan serangan udara dari Gaza dan memusnahkan laluan bawah tanah yang digunakan Hamas sehingga meragut hampir 900 nyawa Palestin, kebanyakannya orang awam. Pertempuran turut mengorbankan 37 tentera rejim Zionis, dua orang awam Israel dan seorang pekerja asing Thailand.

Sementara itu, Ban dalam satu kenyataan menggesa supaya “keganasan dihentikan sementara dan tanpa bersyarat di Gaza serta Israel yang boleh meredakan keadaan sepanjang tempoh Aidilfitri yang diharap mampu membawa kepada pelan gencatan senjata jangka panjang”.

Kenyataan itu merujuk kepada harapan menjamin gencatan senjata selama seminggu bagi membolehkan diikuti rundingan diadakan bagi terus menghentikan persengketaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Trafik perlahan di kebanyakan lebuh raya utama negara


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di semua lebuh raya menghala utara, selatan dan pantai timur dilapor perlahan setakat 9 pagi ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway berkata bagi aliran ke selatan, trafik sesak selepas Plaza Tol Sungai Besi sehingga Seremban akibat kemalangan di Km 309.

Trafik juga perlahan dari Senawang ke Pagoh, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut jurucakap itu trafik ke utara pula mula sesak dari Kota Damansara ke Jalan Duta sehingga Bukit Beruntung.

"Trafik juga sesak dari Lembah Beringin hingga ke Gopeng dan dari Ipoh Utara ke Taiping," katanya.
  
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula berkata trafik ke pantai timur sesak dari Plaza Tol Gombak ke terowong Genting Sempah dan dari persimpangan Genting Highlands ke Bukit Tinggi.

"Trafik juga perlahan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dari Plaza Tol Batu menuju Karak," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Tiga sahabat maut dalam nahas



BEGINILAH keadaan kereta yang dinaiki tiga mangsa yang maut dalam satu kemalangan di Kilometer 17, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rantau Manis, Gua Musang semalam.


GUA MUSANG - Hasrat tiga sahabat yang bekerja di ibu negara untuk menyambut hari raya Aidilfitri bersama-sama keluarga tersayang di kampung halaman masing-masing di Kelantan tidak kesampaian apabila kesemua mereka maut dalam satu kemalangan di Kilometer 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rantau Manis dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa, Zulkifli Talib, 46, Suhariza Hasan, 36, dan Mohd. Zaki Ali, 34, dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback.
Zulkifli berasal dari Kampung Temila, Pasir Putih, Suhariza dari Kampung Tawang, Bachok manakala Mohd. Zaki dari Kangkong, Pasir Mas.
Menurut sumber polis, apabila tiba di tempat kejadian, kereta terbabit yang datang dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai dipercayai cuba memotong kenderaan yang berada di hadapan mereka.
"Bagaimanapun, kereta itu telah bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
"Pertembungan tersebut menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz38cXw8avr 
Hakcipta terpelihara 

Cekik mati kekasih hamil


London: Seorang lelaki berusia 22 tahun mencekik bekas kekasih remajanya yang hamil sehingga mati sebelum menyumbat mayat wanita malang itu ke dalam bagasi dan menanamnya di dalam kubur bapa saudaranya.

Ben Blakeley dipenjara sekurang-kurangnya 20 tahun kerana membunuh teman wanitanya Jayden Parkinson, 17, sehari selepas remaja itu memberitahu dia mengandung anaknya.
Hakim Mahkamah Crown Patrick Eccles ketika menjatuhkan hukuman berkata tindakan Blakeley menanam mayat mangsa dalam kubur bapa saudaranya sebagai ‘gila’.

Sebelum itu, mahkamah dimaklumkan Jayden pernah membuat laporan terhadap Blakeley selepas diugut menyiarkan gambar intim serta video bogelnya di Facebook.


Bekas pengutip sampah itu membawa bagasi berisi mayat Jayden menaiki teksi ke tanah perkuburan berhampiran sebelum menanamnya di dalam kubur bapa saudaranya.




Ketika masih remaja Blakeley pernah memberitahu pekerja rumah anak yatim tempat dia membesar bahawa menanam mayat dalam kubur lama akan menjadi kaedah pilihannya jika perlu menutup jejak pembunuhan kerana tindakan itu menyukarkan ujian DNA serta pengecaman mayat.

Sepanjang perbicaraannya juga Blakely menampakkan sikapnya yang panas baran dan ganas apabila berkali-kali cuba mengambil alih prosiding, malah pada satu ketika selamba meninggalkan kandang tertuduh menyebabkan mahkamah ditangguhkan.

Peguam bela Richard Benson berkata, Blakeley menunjukkan rasa bersalah atas perbuatannya apabila menulis surat meminta maaf kepada paderi yang menjaga tanah perkuburan terbabit.

Menurutnya, perbuatan Blakeley akibat perasaan marah yang tidak dapat dikawal disebabkan cemburu apabila percaya Jayden yang sudah memutuskan hubungan dengannya ketika kejadian mempunyai teman lelaki baru.

Namun, sebenarnya Blakeley terkenal sebagai seorang yang baran dan mempunyai rekod mendera semua bekas teman wanitanya termasuk Jayden kerana sifatnya terlalu cemburu sehingga tidak membenarkan mereka berkawan dengan sesiapa malah turut merampas telefon bimbit mereka selain melakukan penderaan fizikal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

2 jet AS iring pesawat diancam letup


Toronto: Dua jet pejuang F16 Amerika Syarikat diarahkan mengiringi pesawat yang menuju ke Panama City kembali ke Toronto selepas seorang lelaki mengugut mahu meletupkan kapal terbang itu.

Major Julie Roberge dari Markas Pertahanan Angkasa Lepas Amerika Utara (Norad) berkata, jet pejuang itu diterbangkan untuk mengiringi pesawat Sunwaing Airlines 772 sebagai langkah berjaga-jaga, tidak sampai sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Pearson.
Rakaman video yang sempat diambil penumpang menunjukkan pasukan penguat kuasa Kanada menggempur pesawat itu sebaik mendarat sebelum menahan lelaki tempatan berusia 25 terbabit.

Dipercayai, lelaki itu marah selepas tidak berpuas hati apabila dimaklumkan barangan bebas cukai yang mahu dibelinya tidak dijual. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Rekod 38 kematian


Oleh Na’imah Mohamed dan Syafiq Aznan

Klang: Selangor terus merekodkan peningkatan dalam kes demam denggi apabila mencatat 28,621 kes membabitkan 38 kematian sejak Januari hingga 19 Julai lalu berbanding 6,520 kes dengan tujuh kematian untuk tempoh sama pada 2013.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, empat daerah dikenal pasti mencatat kes demam denggi yang tinggi didahului Petaling dengan 12,315 kes, Hulu Langat (6,029 kes), Klang (4,626 kes) dan 4,113 kes di Gombak.

“Klang yang juga lokasi panas bagi penyebaran wabak denggi mencatat peningkatan kes demam denggi 326 peratus berbanding tahun lalu.

“Sebanyak 54 lokaliti wabak denggi dilaporkan di daerah ini, dengan 53 lokaliti jenis wabak terkawal dan hanya satu wabak tidak terkawal (tiada lokasi panas),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di sini, semalam.

Dalam masa sama, Subramaniam turut menempelak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilihat tidak serius serta tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah sampah sehingga menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata, lawatan kerja dilakukan di sekitar kawasan itu menunjukkan persekitaran sangat kotor dengan kawasan pembuangan sampah boleh dilihat di merata tempat, termasuk di bahu jalan.

“Kawasan ini boleh diibaratkan sebagai ‘tong sampah besar’ yang penuh dengan sampah di merata tempat sehingga menyebabkan sampah berkumpul dan tidak dikutip oleh kontraktor yang dilantik PBT.

“Kerajaan negeri dan PBT seharusnya mengambil langkah serius kerana isu sampah ini bukan isu kecil.

Masalah sampah ini akhirnya melarat sehingga membawa kepada penyebaran wabak denggi,” katanya.

Beliau berkata, segala langkah pencegahan penyebaran wabak denggi seperti semburan kabus juga tidak efektif jika kawasan persekitaran masih kotor.

Selain itu, Subramaniam berkata, belanjawan tambahan RM15 juta melalui Kementerian Kesihatan juga diluluskan dalam usaha membantu memerangi demam denggi yang semakin menular di negara ini.

“Masyarakat juga diminta menjaga kebersihan sekeliling dan hindari tabiat membuang sampah merata-rata, selain melupuskan sampah domestik dan pukal secara teratur,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Tragedi balik raya


Dungun: Kegembiraan lapan beranak pulang beraya di kampung bapa di Besut berakhir dengan tragedi apabila si ibu maut dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bukit Besi, di sini, petang semalam.
Kejadian jam 2.30 petang berlaku apabila van Mitsubishi Delica dipandu Azizu Rashid, 39, dipercayai terbabas selepas melalui satu selekoh.
Kemalangan itu menyebabkan isterinya Salinah Abdul Razak, 38, yang tinggal di Subang Suria, Shah Alam, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.
Suami mangsa bersama enam anaknya, Muhammad Zuhairi, 17, Muhammad Izzat, 14, Muhammad Iqbal, 12, Muhammad Izdihar, 6, Nur Izzazi, 5, dan Nur Izlyn, 4, cedera dan dibawa Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.
“Ketika kejadian, mangsa sekeluarga bersama enam keluarga rakan mereka berkonvoi ke kampung masing-masing di Besut dan Kelantan.
“Mangsa sekeluarga disedari terbabit kemalangan sebelum rakan mangsa menghubungi hospital dan polis untuk meminta bantuan,” katanya.
Sementara itu rakan arwah, Roshasidah Che Hassan, 34, berkata, seperti Aidilfitri sebelum ini, mereka enam keluarga termasuk keluarga arwah akan berkonvoi pulang beraya ke kampung masing-masing.
Katanya, mereka bertolak dari Shah Alam jam 2 pagi semalam dan akibat kesesakan lalu lintas, mereka berhenti rehat di Kemaman sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan.
“Dalam perjalanan itu kenderaan dinaiki mangsa berada di depan saya dan ketika tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat van dinaiki keluarga arwah terbalik dengan keempat-empat tayar di atas,” katanya.
Foto
KEADAAN van dinaiki mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Larian berapi


Kuala Lumpur: Seorang anggota detektif polis melecur di beberapa bahagian tubuh apabila kereta yang dinaikinya dibakar seorang lelaki tidak dikenali di Batu 6 1/2, Jalan Puchong, awal pagi semalam.
Mangsa, Koperal Elango Gopal dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sempat menyelamatkan diri dan berlari ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa yang terbakar pada tangan, muka, bahu kanan dan badan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh isterinya kira-kira jam 8 pagi.
Sumber berkata, sebelum kejadian itu, mangsa bersama dua rakannya menemui seorang pemberi maklumat di Petaling Jaya sebelum mereka singgah bersahur di sebuah restoran kira-kira jam 5 pagi.
“Dua lagi anggota memandu kereta milik persendirian manakala mangsa memandu kereta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Proton Waja berwarna kelabu.
“Selepas bersahur mereka bersurai dan pulang ke rumah masing-masing malangnya mangsa dipercayai diserang seorang lelaki sebelum dibakar bersama kenderaan berkenaan,” katanya.
Katanya, kereta berkenaan ditemui di kawasan perindustrian di Jalan Puchong iaitu satu kilometer dari rumah mangsa oleh anggota polis Balai Polis Sri Petaling.
“Isteri mangsa menghubungi rakan setugas suaminya sejurus menghantar mangsa ke hospital.
Difahamkan mangsa dalam keadaan stabil dan masih dirawat kerana melecur,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Chew, 33 berkata, dia terdengar bunyi letupan kuat kira-kira jam 7 pagi.
“Saya segera membuka pintu rumah dan melihat api marak membakar sebuah kereta Proton Waja di depan kilang ini.
“Saya segera menghubungi bomba tetapi ketika pergi memeriksa kereta berkenaan saya lihat pemandunya sudah tiada,” katanya yang menyewa sebuah bilik di tingkat atas kilang berkenaan.
Katanya, pasukan bomba yang datang memadamkan kebakaran itu terkejut apabila menemui pelbagai buku log dan fail mengandungi dokumen milik PDRM.
Foto
KEADAAN kereta yang dibakar suspek
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Sengaja bakar rumah, kedai

Oleh Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim

Putrajaya: RM1.4 bilion. Begitulah jumlah kerugian dicatat akibat kebakaran rumah dan premis perniagaan, terma­suk yang sengaja dibakar dengan niat jahat di negara ini sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata, 513 kes daripada jumlah kerugian berkenaan berpunca daripada sengaja dibakar dengan niat jahat. 
“Tiga negeri yang mencatat statistik tertinggi bagi kes berkenaan adalah Kuala Lumpur, Johor dan Selangor,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini. 

Menurutnya, JBPM mempunyai dua klasifikasi bagi kes se­ngaja dibakar iaitu sengaja dibakar dengan niat jahat dan sengaja dibakar dengan niat baik.
Foto

“Sengaja dibakar dengan niat jahat adalah seperti kita semua maklum adalah perbuatan khianat, manakala, sengaja dibakar dengan niat baik pula merujuk kepada beberapa kes di luar kawalan individu yang mencetuskan kebakaran.

“Contohnya, pesawah membakar jerami di sawah, tetapi gagal mengawal api yang marak sehingga merebak ke kawasan perkampungan atau perumahan,” katanya. 

Ditanya sama ada JBPM menjalankan siasatan jika ada unsur sengaja dibakar dengan niat jahat di rumah atau premis, Saimon berkata, JBPM akan me­nyerahkan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

Katanya, JBPM hanya menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Cedera ditembak lanun


Kota Tinggi: Tujuh lelaki bersenjatakan pistol dan parang melarikan pelbagai barangan berharga milik kru sebuah kapal tangki dalam kejadian rompakan di 2.5 batu nautika, barat laut Teluk Ramunia di Pengerang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.40 malam, seorang anak kapal MT Jix Lang yang juga warga Indonesia dan belum dikenal pasti identitinya cedera selepas ditembak di leher oleh anggota kumpulan terbabit. 
Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata, kapal tangki itu berdaftar di Ulan Bator, Mongolia dan membawa muatan Marine Gas Oil (MGO) sebelum diceroboh tujuh lelaki. 

“Hasil maklumat diterima, dua bot dan sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diarah ke lokasi kejadian.
Foto
KRU kapal yang cedera diberi rawatan kecemasan.

“Kami cuba mengejar bot dinaiki lanun terbabit yang menghala ke arah Pulau Lima, tetapi mereka menghilangkan diri ke kawasan perairan negara jiran,” katanya.

Menurutnya, apabila anggota APMM menaiki MT Jix Lang, pihaknya mendapati seorang kru berusia 30-an cedera ditembak. 

“Kami turut menemui dua pistol dan parang ditinggalkan lanun ketika mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami. 

“Hasil siasatan terhadap kru kapal, kami percaya lanun terbabit adalah warga Indonesia berdasarkan dialek mereka.,” katanya. 

Menurut Amran, pihaknya yakin motif utama kumpulan itu adalah untuk merompak muatan MGO, namun gagal. 

Katanya, lanun terbabit hanya sempat melarikan barangan peribadi milik kru seperti telefon bimbit. 

“Ketika kejadian, 14 kru berada di atas kapal membabitkan enam warga Indonesia, Myanmar (7) dan satu dari China. Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk diberi rawatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Eksperimen makan diri


Kuala Terengganu: Perancangan seorang pelajar tingkatan empat sejak seminggu lalu untuk meletupkan mercun buatan sendiri yang dihasilkan daripada belerang 10 biji mercun bola yang diisi di dalam tiga botol kaca kanta sentuh, berakhir tragedi apabila hancur empat jari tangan kanan dan cedera di belakang badan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam di Kampung Tanjung Sabtu, di sini, Mohd Azli Aidil Aziz, 16, melakukan ‘eksperimen’ itu secara senyap-senyap kerana bimbang dimarahi ibu bapanya yang sering menasihatinya supaya tidak bermain mercun. 
Menurut ibunya Kamaziah Embong, 47, kejadian berlaku selepas anaknya cuba meletupkan satu daripada mercun itu tetapi meletup sebelum sempat dilempar. 

“Saya tidak sedar bila anak buat uji kaji mercun itu tapi ada terdengar anak lain beritahu, Mohd Azli mengasingkan belerang mercun bola ke dalam tiga bekas.
Foto
KAMAZIAH menenangkan Aidil yang hancur empat jari tangan kanan akibat terkena letupan mercun bola.

“Dia tak berani tunjuk depan saya dan suami kerana kami berdua acap kali pesan kepadanya supaya jangan bermain mercun.

“Tidak sangka pula dia buat sendiri mercun sejak seminggu lalu tanpa disedari saya dan suami,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Lima korban raya


Gua Musang: Hanya dalam tempoh tiga jam, daerah ini yang menjadi antara laluan utama anak Kelantan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri mengorbankan lima orang, manakala empat lagi parah dalam dua kemalangan berasingan, semalam.
Kemalangan pertama berlaku di Jalan Chiku–Aring di Aring 8, dekat sini, jam 10.30 pagi, dan menyaksikan dua sekeluarga maut apabila Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina. 
Mangsa yang maut adalah pemandu Perodua Alza yang juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Terengganu, Terengganu, Mohd Kosim Rashid, 39, dan adik iparnya Azliana Ab Kadir, 30, guru yang mengajar di Sarawak dan pulang bercuti untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung. 

Isteri Mohd Kosim yang hamil tujuh bulan, Arini Ab Kadir, 37 bersama anak mereka Mohd Aniq Izat Mohd Kosim, 10, Umairi, 9, dan Alisha Balkiq, 6, parah dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
Foto
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat tiga mangsa dari kereta.

Kemalangan kedua berlaku di Kilometer 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai jam 1.30 petang membabitkan Proton Wira yang bertembung dengan bas persiaran mengorbankan tiga sahabat.

Tiga sahabat, Suhariza Hassan, 35, Zulkifli Talib, 46, dan Mohd Zuki Ariffin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian. 


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/27

Cubaan rompak kapal gagal


JOHOR BAHRU 26 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan sekumpulan tujuh lelaki bersenjata api untuk merompak sebuah kapal yang membawa minyak di perairan Pengerang, Kota Tinggi, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.40 malam itu, seorang anak kapal warga Indonesia cedera parah setelah ditembak di bahagian lehernya.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, kejadian itu berlaku ke atas kapal MT Jixiang yang didaftarkan di Ulan Bator, Mongolia, di kedudukan 4.5 kilometer dari Barat Laut, Teluk Rumania.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat, dua bot serta sebuah kapal Maritim Malaysia dikerahkan ke lokasi kejadian dan semasa menghampiri kapal berkenaan, kumpulan perompak itu bertindak melarikan diri.
"Mereka dipercayai melarikan diri menghala ke Pulau Lima. Pihak kami cuba mengejar tetapi mereka berjaya menghilangkan diri di kawasan perairan negara jiran.
"Pemeriksaan mendapati seorang anak kapal cedera dan mangsa dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut. Turut ditemui dua pucuk pistol dan sebilah parang ditinggalkan perompak yang disyaki warga Indonesia berdasarkan percakapan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Amran, siasatan mendapati kapal tersebut membawa 14 anak kapal yang terdiri daripada tujuh warga Myanmar, Indonesia (6) dan China (1).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140727/je_02/Cubaan-rompak-kapal-gagal#ixzz38cQjaFt2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu maut ditetak anak kurang siuman


KUALA LUMPUR 26 Julai - Seorang wanita warga emas maut akibat ditetak dengan senjata tajam oleh anaknya yang kurang siuman di sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Sentul, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 74 tahun, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di atas tilam dengan kesan tetakan di bahagian kiri mukanya.
"Kita menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita memaklumkan bahawa kakaknya yang kurang siuman telah memukul ibunya sehingga mati namun tidak pasti menggunakan senjata jenis apa.
"Hasil pemeriksaan kemudian mendapati terdapat kesan tetakan pada muka mangsa dan kita percaya wanita warga emas itu ditetak menggunakan senjata tajam," katanya di sini hari ini.
Tambah Munusamy, pihaknya telah menahan suspek berusia 45 tahun itu di lokasi kejadian dan kini direman untuk membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140727/je_03/Ibu-maut-ditetak-anak-kurang-siuman#ixzz38cQcndeo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 lelaki samun pengawal


KUALA LUMPUR 26 Julai - Polis memburu tiga lelaki bertanggungjawab menyamun seorang pengawal yang sedang bertugas di sebuah pondok keselamatan di taman perumahan Riverview, Taman Melawati, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kesemua suspek yang dipercayai memakai pakaian seragam polis melarikan wang tunai mangsa berjumlah antara RM200 hingga RM300.
Kesemua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna putih.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan sedang menyiasat kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140727/je_04/3-lelaki-samun-pengawal#ixzz38cQ6WSX8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima maut dalam dua nahas



Anggota bomba mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit dalam kereta dalam kemalangan di Felda Ciku 2, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Musang, Kelantan, semalam.
GUA MUSANG 26 Julai - Lima termasuk tiga sahabat maut manakala empat lagi cedera dalam dua kemalangan yang berlaku di Jalan Chiku Aring, berhampiran Felda Aring 8 serta Kilometer 17, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Rantau Manis, dekat sini hari ini.
Kemalangan per­tama berlaku kira-kira pukul 8 pagi membabitkan sebuah keluarga dari Kuala Terengganu yang dalam perjalanan pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bertam, di sini.
Mangsa, Mohd. Kosim Rashid, 39, dan adik iparnya, Azliana Abdul Kadir, 30, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan manakala isterinya, Arini Abdul Kadir, 37, serta tiga anak mereka Umaira, 9; Mohd. Aniq Aizat, 10; dan Alisa Balqis, hanya tercedera.
Difahamkan, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu Mohd. Kosim secara tiba-tiba terbabas dan memasuki laluan bertentangan setibanya di kawasan kejadian sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah hadapan.
Ibu kepada Azliana dan Arini, Rubiah Deraman, 58, berkata, dia sempat bercakap dengan anak-anaknya menerusi telefon semalam, yang memaklumkan mereka sekeluarga akan bertolak pulang ke kampung hari ini.
"Kira-kira pukul 11 pagi tadi, anak saya, Arini menelefon beritahu mereka terlibat dalam kemalangan. Hanya tuhan sahaja tahu betapa luluh hati saya menerima khabar buruk itu," katanya ketika di­temui di Hospital Gua Musang, di sini hari ini.
Sementara itu, kemalangan kedua pula berlaku kira-kira pukul 1.30 petang, melibatkan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dinaiki tiga sahabat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.
Mangsa, Zulkifli Talib, 46; Suhariza Hasan, 36; serta Mohd. Zuki Ariffin, 41; maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas persiaran yang datang dari arah bertentangan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. Mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.
Sementara itu, dalam satu lagi kejadian kira-kira pukul 4.30 petang ini, seorang lelaki patah paha kanan manakala empat lagi cedera ringan selepas kereta Proton Gen2 dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas berdekatan Felda Ciku 2, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140727/je_01/Lima-maut-dalam-dua-nahas#ixzz38cPyO4Pn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengganas mungkin punca pesawat terhempas


Anggota keselamatan mengawasi bangkai pesawat Swiftair MD83 yang terhempas berhampiran kampung Saharan di Boulikessi, sempadan Mali-Burkina Faso, kelmarin. - AGENSI
PARIS 26 Julai - Presiden Perancis, Francois Hollande tidak menolak punca pesawat Air Algerie yang terhempas di Mali kelmarin sehingga mengorbankan 116 orang, mungkin disebabkan pengganas.
Menurut portal Mail Online, beliau berkata, Perancis akan berusaha mengenal pasti punca nahas itu kerana sebahagian penumpangnya ialah rakyat Perancis.
Kenyataan Hollande itu dibuat ketika Pejabat Luar Perancis semalam mengesahkan, seorang lelaki Britain turut terlibat dalam nahas tersebut.
Perkhidmatan kawalan udara dilaporkan gagal mengesan pesawat itu kira-kira 50 minit selepas kapal terbang tersebut berlepas dari Ouagadougou di Burkina Faso ke Algiers.
"Terdapat beberapa hipotesis terutamanya faktor cuaca dan kami juga tidak menolak sebarang kemungkinan lain kerana kami juga mahu tahu penyebab kejadian ini berlaku.
"Apa yang kami tahu, serpihan pesawat tertumpu di ruang yang terhad, tetapi terlalu awal untuk membuat kesimpulan," ujarnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve berkata, Perancis sedar tentang kehadiran pengganas di zon kejadian, yang juga musuh kepada kepentingan Barat.
Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, beliau sangat sedih dengan berita kematian lelaki Britain itu.
Beliau juga menulis surat kepada Hollande untuk mengucapkan takziah di atas kehilangan rakyat Perancis.
Beberapa gambar juga menunjukkan mayat-mayat dan bangkai pesawat Swiftair MD83 itu bertaburan berhampiran kampung Saharan di Boulikessi, sempadan Mali-Burkina Faso.
Terdapat dakwaan menyatakan, pesawat Swiftair MD83 itu terlalu usang dan tidak seharusnya membawa penumpang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_11/Pengganas-mungkin-punca-pesawat-terhempas#ixzz38cPCLTJp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Juruterbang tidak bersalah - CAA


TAIPEI 26 Julai - Pentadbiran Aeronautik Awam (CAA) di Taiwan hari ini menafikan bahawa ketua juruterbang syarikat itu harus dipersalahkan di atas insiden nahas pesawat TransAsia Airways yang mengorbankan 48 penumpang.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Lee Wan-li berkata, pihaknya tidak pernah menyatakan ketua juruterbang bertanggungjawab di atas nahas pesawat itu.
Keluarga seorang mangsa yang terkorban, Lee Yi-lang, semalam menyuarakan kemarahan di atas kenyataan jurucakap CAA yang menyatakan ketua juruterbang pesawat itu mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sama ada untuk mendarat, berlegar di ruang udara atau pulang ke lapangan terbang asal.
Pesawat milik syarikat TransAsia Airways, GE222 terhempas di kawasan perumahan penduduk pada Rabu lalu selepas satu percubaan yang dilakukan untuk mendarat di Lapangan Terbang Magong, Taiwan gagal ekoran angin kencang susulan Taufan Matmo.
Seramai 48 maut dan 10 mangsa lain selamat. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_09/Juruterbang-tidak-bersalah---CAA#ixzz38cOlnH63
© Utusan Melayu (M) Bhd 

346 titik panas dikesan di Sumatera


JAKARTA 26 Julai - Agensi bencana Indonesia semalam memberi amaran bahawa keadaan jerebu di wilayah Riau, di barat Sumatera akan bertambah buruk selepas satelit mengesan 346 titik panas di seluruh Sumatera.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho memberitahu Jakarta Globe, hutan dan tanah masih berterusan terbakar dengan 148 daripada titik panas itu dikesan di Riau.
Katanya, jumlah titik panas itu lebih banyak berbanding laporan sebelum ini iaitu 87.
Menurut Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik (BMKG), jerebu turut menyebabkan jarak penglihatan di beberapa kawasan terganggu antaranya di Pekanbaru, Pelalawan, Rengat dan Dumai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_08/346-titik-panas-dikesan-di-Sumatera#ixzz38cOXzwIr
© Utusan Melayu (M) Bhd