Search This Blog

Saturday, July 26, 2014

Pemilik bengkel maut bawah forklift


  • Keadaan forklift yang terbalik di tempat kejadian.Keadaan forklift yang terbalik di tempat kejadian.

ALOR SETAR - Seorang pemilik bengkel menyimpan mesin lama di Simpang Empat di sini, maut selepas forklift yang dipandunya hilang kawalan sebelum menghempapnya.

Kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin menyebabkan Low Peng Chong, 59, mati di tempat kejadian.

Isterinya, Ong Liang Howa, 58, berkata, sebelum kejadian, beliau rasa tidak sedap hati sebab suami belum pulang ke rumah. Kebiasaannya, sebelum jam 6 petang mangsa sudah balik.

Beliau kemudian pergi ke bengkel untuk melihat apa yang berlaku.

Sebaik tiba di pekarangan bengkel, Liang Howa melihat mangsa sedang mengangkat sebuah mesin besar dianggarkan seberat tiga tan menggunakan forklift.

“Bagaimanapun, jentera itu secara tiba-tiba bergoyang dan menyebabkannya tidak stabil. Saya menjerit memintanya melompat keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, kejadian berlaku terlalu pantas dan mengakibatkan mangsa dihempap forklift seberat 2.5 tan sewaktu menyelamatkan diri.

Isteri mangsa bergegas pulang ke rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian untuk meminta bantuan orang ramai menyelamatkan suaminya yang tersepit.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai lima anak masing-masing berumur antara 22 hingga 35 tahun mengasaskan syarikat itu sejak 40 tahun lalu.

Liang Howa tidak menyangka gurauan suaminya untuk bersara dari bidang perniagaan akhirnya bertukar kepada tragedi.

“Sejak kematian abangnya baru-baru ini, dia seolah-olah hilang semangat dan sering bercakap ingin bersara dari perniagaan.

"Sehari sebelum kejadian pun dia sempat bergurau dengan saya perkara sama dan mahu menjual semua barang yang ada dalam syarikat kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku ketika mangsa hendak mengalihkan generator lama yang rosak ke tempat lain.

“Semasa mengangkat generator itu, forklift hilang kawalan lalu tumbang ke sebelah kiri.

“Mangsa cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari forklift tetapi terjatuh tertiarap dengan besi forklift menghempap bahagian pinggang belakangnya,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Tukang cuci maut nahas jalan raya


WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2014


KUANTAN - Seorang tukang cuci maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 109.2 Jalan Kuantan- Segamat dekat Rompin, pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Punirah Selamat, 56 dari  Felda Keratong 8  yang mengalami kecederaan parah di kepala dan hampir keseluruhan badan  disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah yang juga tempat dia bekerja.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa dipercayai menunggang bersendirian dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikalnya dipotong sebuah kenderaan berat menyebabkan mangsa terkejut dan  gagal mengawal motosikalnya sehingga hilang kawalan.

“Mangsa jatuh bersama motosikalnya sebelum dia tercampak  ke kanan dan motosikal mengelongsor ke kanan jalan.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati, mangsa yang terjatuh ke atas jalan dipercayai dilanggar sebuah motosikal lain yang datang dari arah belakang,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, berdasarkan kecederaan mangsa, dia mungkin dilanggar motosikal terlibat di bahagian kaki dan dada .

“Mangsa yang parah termasuk di bahagian kepala dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kemalangan: Bayi maut tercampak


  • Keadaan Proton Persona dipandu jurutera Petronas selepas terbabit dalam kemalangan dekat Al Muktafi Billah Shah, tengah hari semalam.Keadaan Proton Persona dipandu jurutera Petronas selepas terbabit dalam kemalangan dekat Al Muktafi Billah Shah, tengah hari semalam.

DUNGUN - Kegembiraan sebuah keluarga pulang bercuti di kampung sempena sambutan Aidilfitri bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan berhampiran Ladang Aspek Risda, Al Muktafi Billah Shah (AMBS), dekat sini, tengah hari semalam.

Kemalangan di Kilometer 110 Jalan Jerangau-Jabor, kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona dipandu Noor Aini Abu Bakar, 30, hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik di kiri jalan.

Ketika kejadian, mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Damansara untuk pulang berhari raya di Tok Randok, Ajil, Hulu Terengganu.

Seorang bayi berusia lima bulan, Muhammad Ammar Mohd Sobri yang berada di pangkuan neneknya, Norsiah Ahmad, 60, yang duduk di tempat duduk belakang, maut di tempat kejadian selepas dipercayai tercampak keluar dari kenderaan.

Noor Aini, difahamkan seorang jurutera Petronas bertugas di Bintulu Sarawak patah tangan kiri, ibunya Norsiah cedera di muka dan keduanya dihantar ke Klinik Kesihatan Al Muktafi Billah Shah sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Manakala ibu Muhammad Ammar, Noor Asikin Abu Bakar, 28, yang berada di tempat duduk hadapan turut cedera dan dirawat di hospital  sama.

Mayat bayi dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dibawa pulang ke Ajil, Terengganu bagi proses pengebumian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian.

Berlanggar dengan kereta Fizo Omar


  • Berlanggar dengan kereta Fizo Omar

KUALA KRAI - Seorang wanita tersepit di tempat duduk penumpang bahagian hadapan apabila kereta dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan kereta milik pelakon, Wan Hafizol Wan Omar, 29 atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar, kelmarin.

Kejadian berlaku pada petang kelmarin berhampiran stesen minyak Taman Daskoh, di sini, dan turut membabitkan sebuah lagi kereta.

Kereta jenis Proton Iswara dinaiki wanita terbabit mengalami kerosakan teruk, sementara kereta jenis Audi RS5 milik Fizo rosak pada bahagian depan manakala pemandu serta dua penumpangnya selamat.

Pegawai Bomba Kanan II Che Razak Harun dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada kira-kira jam 1.48 petang.

"Ketika kami tiba di lokasi kejadian, hanya seorang wanita didapati tersepit di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaikinya.

"Pasukan bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan wanita terbabit daripada kereta berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan," katanya kepada Sinar Harian.

Pemandu Iswara Aeroback terbabit turut mengalami kecederaan tetapi berjaya dikeluarkan lebih awal oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Beliau turut memaklumkan bahawa kereta milik Fizo dinaiki tiga orang, iaitu dua wanita dan seorang lelaki.

Sementara itu, dalam laman Twitternya, Fizo memaklumkan bahawa dia dan isterinya, Mawar Abdul Karim, 25, tidak berada dalam kereta tersebut pada masa kejadian.

"Alhamdulillah, Fizo dan Mawar baru saja sampai di KB, Fizo dan isteri tiada dalam kereta semasa kejadian," katanya.

Remaja maut nahas motosikal bertembung MPV


  • Nahas melibatkan tiga buah kenderaan. Kesemua mangsa bagaimanapun terselamat dalam kejadian terbabit.Nahas melibatkan tiga buah kenderaan. Kesemua mangsa bagaimanapun terselamat dalam kejadian terbabit.

RAUB - Menjelang beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Aidilfitri, seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah MPV, sekitar jam 11 pagi semalam.

Kejadian berlaku di simpang Taman Medan Indah di Kilometer 356 Jalan Alternatif Kuala Lumpur - Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, siasatan awal mendapati MPV jenis Proton Exora dipandu seorang wanita dari arah Sungai Lui hendak membelok masuk ke kanan jalan namun telah dilanggar motosikal remaja terbabit dari arah yang sama.

“Pelanggaran berlaku di bahagian pintu hadapan sebelah kanan MPV terbabit dan mengakibatkan penunggang motosikal itu mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa, Mohamad Syafiq Zakaria, 19, dikejarkan ke Hospital Raub untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHas) Temerloh kerana mengalami kecederaan parah di kepala serta beberapa bahagian badan lain, dah disahkan menginggal dunia kira-kira jam 3.15 petang” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, satu lagi kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan berlaku di Kilometer 345 Jalan Raub - Kuala Lipis sekitar jam 6.45 petang kelmarin.

Wan Mohd Samsudin berkata, berdasarkan siasatan mendapati sebuah pacuan empat roda dari arah Kuala Lipis telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah van dan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Pertembungan yang berlaku mengakibatkan kenderaan yang dipandu terbabas ke dalam longkang di sebelah kanan jalan, bagaimanapun mangsa hanya cedera ringan.

Wan Mohd Samsudin dalam pada itu menasihatkan agar pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati di atas jalan raya terutama di musim perayaan ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau turut menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Pengusaha kasut bundle putih mata


  • Kasut bundle disita kerana kawasan itu telah menghalang laluan trafik.Kasut bundle disita kerana kawasan itu telah menghalang laluan trafik.

RAWANG - Pengusaha kasut bundle yang menjadikan kaki lima sebuah bank di sini sebagai tempat berniaga berputih mata apabila barang jualan mereka disita penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi yang dijalankan malam kelmarin.

Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil berkata, sebelum ini penjaja tersebut hanya berniaga pada hujung minggu sahaja, namun sambutan yang memberangsangkan menjelang musim perayaan menyebabkannya berani berniaga pada hari biasa.

Menurutnya, menjadikan kawasan itu sebagai tempat menjaja membawa kepada gangguan dan halangan trafik di pinggir jalan apabila pembeli meletakkan kenderaan di kawasan tidak sepatutnya.

“Bertindak hasil aduan awam, sepasukan penguat kuasa MPS terdiri dua pegawai dan 16 anggota dari zon Rawang serta unit khas telah menyerbu tapak kerana berniaga tanpa permit di kawasan larangan.

“Sebelum ini amaran tidak dibenarkan berniaga di kawasan larangan telah dibuat malahan kita telah beri peluang kepada peniaga tersebut mengemaskan jualan, namun mereka berdegil dan ingkar arahan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam operasi itu katanya, sebanyak 14 guni mengandungi lebih 1,000 pasang kasut pelbagai jenama dirampas.

“Tindakan adalah di bawah undang-undang kecil 3 penjaja (MPS) 2007 kerana menjaja tanpa permit dan perlu menjelaskan RM1,000 untuk menuntut kembali barangan tersebut.

“Pihak jabatan akan sentiasa memantau aktiviti trending kasut bundle di tempat awam yang semakin menjadi-jadi, terutama di hadapan bank,” katanya.

Sebelum ini katanya, hanya di pasar dan dalam kedai sahaja mereka berniaga, namun sambutan menggalakkan di tempat terbuka mendorong mereka berani berniaga di situ.

Persiapan sambut Aidilfitri musnah


  • Zaharah bersama suami dan dua cucunya tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran.Zaharah bersama suami dan dua cucunya tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran.

TUMPAT - Pasangan warga emas bersama tiga cucu terpaksa menyambut Aidilfitri dalam kesedihan apabila persiapan raya mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Belukar Berangan, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu turut menyebabkan pemilik rumah, Wan Mohd Nawi Abdullah, 74, melecur di kepala.

Isterinya, Zaharah Awang, 66, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di serambi belakang rumah manakala suaminya berada di dapur.

Menurutnya, tiga cucunya, Mohd Alif Hilmi Anuar, 13; Mohd Syamsul Firdaus Saiful Bahri, 13 dan Mohd Syakir Adam Saiful Bahri, 10, tiada di rumah kerana keluar bermain bersama rakan.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kecil di dalam bilik tidur cucu dan apabila saya ke bilik tersebut, saya nampak api merebak membakar dinding.

"Saya segera memanggil suami dan kami bersama-sama berusaha memadamkan api," katanya.

Bagaimanapun Zaharah berkata, usaha memadam kebakaran dengan mengangkut tiga baldi air dari dapur gagal apabila api semakin marak sehingga kepala suaminya melecur akibat bahang panas.

“Kerana leka untuk memadamkan api, saya tidak sempat menyelamatkan barangan lain termasuk barang kemas dan wang tunai.

“Paling sedih apabila baju raya cucu turut hangus dalam kebakaran tersebut,” katanya.

Menurutnya, ketika api marak, dia menarik tangan suami keluar menyelamatkan diri sehelai sepinggang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Raja Arisan Raja berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.24 petang dan dua jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal pada jam 3.36 petang dan kebakaran ini memusnahkan 100 peratus rumah tersebut.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Tiga remaja ke pusat pemulihan


  • Dua remaja perempuan yang diarahkan menjalani hukuman selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor oleh Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Terengganu, semalam.Dua remaja perempuan yang diarahkan menjalani hukuman selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor oleh Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, mengarahkan tiga remaja perempuan menjalani hukuman selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor.

Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas ketiga-tiga mereka, yang berusia 15, 16 dan 18 tahun, mengaku salah atas tuduhan berkhalwat bersama lima lagi rakan mereka dalam sebuah rumah.

Sebelum itu, ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi rakan perempuan dan empat orang lelaki, termasuk Shauqinurudin Mamat, 20, didakwa melakukan khalwat di dalam sebuah rumah di Flat Gelong Bilal, di sini, jam 5.30 pagi pada 14 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Shauqinurudin yang bekerja sebagai buruh dikenakan hukuman denda  RM2,600 atau lima bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, manakala Muhammad Amirul Fadzlan Seman, 22, pula diarahkan menjalani hukuman selama enam  bulan di Pusat
Permurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor.

Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, iaitu Mohd Akram Firdaus Rashid, 25, dan remaja  lelaki berusia 18 tahun bersama seorang lagi remaja perempuan berusia 15 tahun masih dalam proses perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Berdasarkan fakta kes, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota hasil maklumat  kira-kira jam 5.20 pagi pada 14 Julai lalu.

Sebaik tiba di rumah berkenaan, keadaan luar rumah cerah manakala gril dan pintu utama tertutup.

Selepas beberapa kali salam diberikan, pintu dibuka dalam tempoh dua minit dua oleh Shauqinurudin.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat orang lelaki dan empat orang perempuan berada dalam rumah berkenaan dan hasil soal siasat mendapati mereka tiada hubungan suami isteri.

Bayi maut tercampak


Dungun: Seorang bayi berusia lima bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandu ibu saudaranya dalam kemalangan di Kilometer 110 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Ladang Espek RISDA, Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Ammar Mohd Sobri, lima bulan, cedera parah di kepala dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona dipandu Noor Aini Abu Bakar, 30, jurutera PETRONAS di Bintulu, Sarawak, hilang kawalan sebelum berpusing dan terbalik di tempat kejadian.

Turut berada dalam kereta ialah ibunya, Norsiah Ahmad, 60, dan adiknya Nor Asikin, 28, yang juga ibu kepada arwah Muhammad Ammar.
Foto
FARAH memangku jenazah bayi yang maut dalam kemalangan, semalam.

Noor Aini yang patah tangan kiri serta ibunya yang cedera di muka dihantar ke Hospital Dungun manakala Nor Asikin yang cedera ringan turut dirawat di hospital sama.

Seorang jururawat Klinik 1Malaysia Kuala Dungun, Farah Suzi Suliaman, 30, berkata dia ternampak kemalangan berkenaan dan segera memberhentikan kenderaannya lalu mengangkat Muhammad Ammar ke tepi jalan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Cuba bunuh diri


Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang wanita berusia 30-an yang berselisihan faham dengan teman lelakinya nekad memanjat papan iklan dan cuba membunuh diri dalam kejadian di jejantas Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran tol Jelapang, Bandar Meru Raya di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, tindakan wanita yang dipercayai warga Thailand itu disedari oleh orang ramai yang segera membuat panggilan kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru, Norazlina Robak’aee berkata, lima anggota bomba ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.48 pagi dan mendapati seorang wanita itu duduk di atas papan iklan berkenaan.

“Wanita yang dipercayai warganegara Thailand itu hanya memakai baju tanpa lengan, berseluar pendek serta dalam keadaan menangis dan menjerit-jerit memarahi teman lelakinya yang turut berada di tempat kejadian.

“Ketika operasi memujuk, wanita itu cuba berdiri dan sesekali mengugut mahu terjun,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya agak sukar untuk memujuk mangsa turun kerana emosinya ketika itu tidak stabil, bagaimanapun selepas hampir sejam dipujuk, wanita itu berjaya ditenangkan dan dibawa turun dari papan iklan berkenaan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan kejadian itu.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Boleh bawa bencana


Oleh Muhammad Apendy Issahak

Kuala Kangsar: Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman denda RM12,000 bagi tiga pertuduhan memiliki keseluruhannya sebanyak 433 butir peluru hidup oleh Mahkamah Sesyen, di sini, petang semalam, selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapinya.

Tertuduh Abdul Rahman Ramli, 46, yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 25 Jun lalu, antara jam 6 petang dan 9 malam dengan menyembunyikan semua peluru berkenaan di belakang kediamannya di Kampung Sementa, Kuala Kenas dan di sebuah kebun getah di Wakaf Kampung Kelebor, Kuala Kangsar.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dihadapan Hakim Johari Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Nor Izawani Ahmad Jalaludin dari Biro Bantuan Guaman.

Tertuduh didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda maksimum RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, jam 2 petang 25 Jun lalu, tertuduh ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan Khas Bukit Aman di hadapan pejabat RELA Taman Raja Idris Kuala Kangsar dan membawa polis ke belakang rumahnya dan menunjukan batang paip mengandungi 293 peluru jenis 0.22 di dalamnya disembunyikan dalam semak.

Tertuduh kemudian membawa, pasukan polis ke kebun getah dan menunjukan satu bungkusan plastik mengandungi 139 peluru jenis sama.

Abdul Rahman mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dihadapinya dan merayu dikenakan hukuman denda minimum.anpa dikenakan penjara.

Nor Izawani berkata, ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi anak guamnya hanya membabitkan pemilikan peluru tanpa sebarang permit serta lesen, dan tertuduh tidak mempunyai sebarang senjata api atau sebarang rekod jenayah lampau.

Menurutnya, Abdul Rahman juga hanya bekerja sebagai penoreh getah yang tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menanggung isteri dan lima anak berusia sembilan tahun hingga 21 tahun.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan jumlah peluru yang dimiliki adalah banyak dan boleh mendatangkan bencana lebih buruk kepada masyarakat seperti bunuh atau samun.

Hakim Johari menetapkan hukuman denda RM12,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan itu dan jika tertuduh gagal membayar akan dikenakan hukuman penjara 15 bulan.

Terdahulu, rakannya Mohd Amin Abdul Rahman, 29, mengubah pengakuan bersalahnya yang dibuat pada 11 Julai lalu kepada tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Mohd Amin didakwa memiliki tanpa kebenaran selaras senapang buatan sendiri jenis 0.22, pertuduhan kedua kerana memiliki 41 peluru jenis 0.22 tanpa lesen dan permit yang sah, manakala pertuduhan ketiga, memiliki tujuh peluru jenis 12 Gauge dan Hakim kemudian menetapkan 14 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Pada 25 Jun lalu kedua-dua rakan terbabit ditahan pasukan khas polis bersama seorang lagi rakan mereka berdepan pertuduhan memberi latihan ketenteraan kepada individu yang bersedia membabitkan diri dalam perbuatan pengganas Disember tahun lalu.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Jiran pujuk murtad


Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Seremban: Beberapa individu didakwa menjalankan gerakan memurtadkan umat Islam di negeri ini secara terancang, termasuk menawarkan ganjaran wang tunai dan bantuan pendidikan kepada anak.

Mereka juga dikatakan memujuk orang Islam menukar agama secara mudah iaitu tidak perlu mengubah nama dan status agama pada MyKad, sebaliknya hanya menandatangani surat aku janji untuk keluar Islam.

Hal ini didedahkan dua lelaki Islam yang mendakwa didatangi individu cuba memujuk mereka memeluk agama Kristian.

Ejen insurans yang hanya mahu dikenali sebagai Sahul, 30, dari Temiang mendakwa, dia ditawarkan ganjaran sehingga RM3,000 jika sanggup murtad oleh rakannya yang juga ejen insurans.

“Lelaki itu sering datang ke rumahnya sejak setahun lalu untuk memujuk saya keluar Islam,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, kelmarin.

Sahul berkata, dia bimbang apabila lelaki itu cuba rapat dengan ibunya.

Peniaga, Mohd Akbar Abu Bakar, 45, pula mendakwa dia dan tidak menyangka jirannya di Taman Sri Carcosa memujuknya memeluk agama Kristian pada malam Selasa lalu.

Katanya, jiran berusia 55 tahun itu datang melawat ketika dia sakit dan menawarkan ubat sebelum menyampaikan dakyah Kristian.

“Lelaki itu memburukkan Islam dan Rasulullah SAW serta mengajak saya meninggalkan Islam.

“Dia turut menawarkan bantuan pendidikan untuk dua anak saya,” katanya.

Sahul dan Mohd Akbar ditemui selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat laporan berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

Mohd Akbar berkata, dia membuat dua laporan berkaitan tindakan jirannya itu.

“Saya bimbang apabila lelaki itu turut mendakwa dia sudah memurtadkan ramai umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad ketika dihubungi mengakui pihaknya ada menerima laporan umat Islam di negeri ini cuba dimurtadkan melalui pelbagai cara.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Denda RM30,000


Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Syarikat atau orang perseorangan yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 sebelum 31 Disember depan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 96 akta berkenaan.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Menurutnya, pendaftaran wajib bagi syarikat atau orang perseorangan yang menjalankan perniagaan dan mencapai nilai Pembekalan Bercukai bagi tempoh 12 bulan melebihi RM500,000 itu bermula sejak 19 Jun lalu.

“Ia selaras dengan pewartaan Akta GST 2014 pada tarikh sama.



Berikutan pewartaan itu, kebanyakan peruntukan dalam akta GST sudah berkuat kuasa pada tarikh itu kecuali beberapa peruntukan seperti pengenaan cukai yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2015.

“Jadi, menjadi kewajipan kepada mereka yang menjalankan perniagaan dan mendapat perolehan melebihi RM500,000 mendaftar mengikut akta ini mulai 19 Jun hingga 31 Disember,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KDRM di sini, semalam.

Katanya, mengikut statistik, hampir 300,000 pendaftar berpotensi yang sepatutnya mendaftar untuk GST, tetapi sehingga 24 Julai lalu, hanya 6,031 yang sudah berdaftar.

Beliau berkata, syarikat yang mendaftar daripada pelbagai perniagaan merangkumi 19 jenis termasuk pertanian, pembuatan, perkhidmatan, e-perdagangan, kesihatan, kewangan dan hospitaliti manakala syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) pula sebanyak 4,000 syarikat.

“Pendaftaran secara sukarela bermula sejak 1 Jun dan 6,031 mendaftar.

Ia satu petanda baik dan kami percaya lebih ramai yang akan mendaftar selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Dua suspek ditahan


Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Dua suspek yang ditahan untuk siasatan kes pembunuhan model warga Estonia, Regina Soosalu, 29, turut direman untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua mereka itu antara yang ditahan bagi membantu siasatan kematian model berkenaan dan mahkamah membenarkan tahanan reman mereka untuk kes dadah disambung sejak kelmarin, selepas memperoleh perintah sambung reman bagi siasatan kes bunuh itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata, tujuh suspek masih ditahan berhubung kes pembunuhan wanita berkenaan dengan empat daripadanya disambung tahanan reman selama enam hari bermula 22 Julai lalu.

Katanya, seorang suspek direman tujuh hari yang berakhir Isnin nanti.

“Selain direman untuk siasatan kes bunuh ini, dua lagi suspek dibenar reman disambung tiga hari untuk membantu siasatan kes dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, tujuh lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan untuk membantu siasatan selepas polis mengesahkan kematian model sambilan itu di Pulau Rawa, Mersing, pada 1 Julai lalu, akibat dibunuh, bukannya mati lemas seperti jangkaan awal.

Ia berikutan kesan kecederaan yang ditemui pada badan mangsa ketika bedah siasat.

Difahamkan, Regina ialah teman wanita seorang kerabat diraja dan mereka menjalin hubungan sejak dua tahun lalu.

Mangsa dikatakan tinggal di Kuala Lumpur dan tiba di pulau berkenaan pada hari sama dia dilaporkan hilang.

Sementara itu, Hasnan berkata, kertas siasatan kes pembunuhan model sambilan berkenaan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kami sedang menunggu keputusan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Usahawan lapor polis Fizz gagal lunas hutang


Kuala Lumpur: “Nampaknya saya terpaksa membuat laporan polis dan mendedahkan perangai dia pada media sebab dah lama saya bertolak-ansur. Tapi, dia memberi alasan dan mengelak daripada melunaskan hutangnya.”

Demikian luahan seorang usahawan dikenali sebagai Linda, 36, yang kesal dengan sikap lepas tangan pelakon popular, Fizz Fairuz kerana gagal membayar semula wang berjumlah RM15,000 yang dipinjam pada Oktober tahun lalu.

Linda berkata, keputusan membuat laporan polis dan mendedahkan perkara itu adalah jalan terakhir untuk mendapatkan semula wangnya selepas pelbagai usaha dan rundingan dibuat dengan pelakon filem Mat Tudung itu menemui kegagalan.

“Bagi saya mudah saja, tak perlu ubah-ubah cakap dan canang itu dan ini di merata tempat.



Sekarang, bayar saja semula hutang saya.

“Dia berjanji untuk bayar semula antara April hingga Jun lalu, tapi hingga kini, dia mendiamkan diri dan mengelak.

“Saya sudah bagi peluang kepadanya secara baik tapi nampaknya dia yang nak perkara ini dibesarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Difahamkan, Fizz meminjam RM15,000 daripada Linda akhir Oktober tahun lalu dengan alasan membuat pengubahsuaian rumah ibunya di Pahang.

Atas hubungan persahabatan dan memahami kesempitan wang dihadapi Fizz, Linda bersetuju meminjamkan wang itu.

Suami kepada pelakon Almy Nadia itu berjanji membayar semula wang Linda April hingga Jun lalu selepas dia menerima bayarannya sebagai pengajar di Akademi Fantasia 2013, namun sehingga minggu lalu Fizz berdiam diri.

Minggu lalu, Fizz menerusi pesanan mesej kepada Linda mendakwa dia sudah memulangkan semua duit itu kepada pihak ketiga yang juga rakan Linda dan tidak mahu diganggu lagi.

Linda yang masih tidak menerima wang dijanjikan itu mengesyaki satu pakatan berlaku antara Fizz dengan pihak ketiga, sekali gus membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini, Ahad lalu.

Difahamkan juga, Linda yang juga seorang usahawan terkenal sering membantu golongan artis yang kesempitan wang, namun tidak pernah menghadapi masalah mendapatkan semula wangnya kecuali daripada Fizz.

  Katanya, sikap pelakon itu yang mendiamkan diri dan sukar dihubungi menimbulkan syak wasangka kepadanya untuk membawa perkara itu ke tengah.

“Sebenarnya saya pun tak nak kecoh hal ini sebab niat ketika itu membantu dia ubah suai rumah emaknya.

Tapi, bila jadi macam ini, saya terkilan dengan sikapnya.

“Saya bagi peluang kalau tak mampu bayar sekali gus, boleh ansur-ansur, tapi itu pun dia perdaya saya.


Tak berkatlah dia buat rumah emaknya dan canang itu dan ini, tapi wang saya dia mengelak nak bayar,” katanya.

Bagaimanapun, Fizz yang dihubungi enggan memberikan sebarang komen dan tidak mahu ambil melayan dakwaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Kereta melekat di pokok


Sungai Petani: Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan di Lebuhraya PLUS arah utara dekat Sungai Tulang dan di Jalan Lama berhampiran Jambatan Merdeka, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pertama pada jam 1.15 petang, mangsa, Norlizan Mohamad, 34, yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat jualan kereta di Pulau Pinang maut selepas kereta Toyota Vios yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang bercuti sempena Aidilfitri di kampungnya di Beseri Jaya, Perlis.
Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berkata, sebaik tiba ditempat kejadian kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh pokok.
“Akibat kejadian itu, kereta mangsa melekat di pokok dan mangsa tersepit di dalam kereta.
Mangsa dikeluarkan orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
“Bagaimanapun mangsa yang parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia selepas beberapa jam dirawat di HSAH,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian kedua pada jam 7.30 malam, seorang lelaki L Surenderan, 32 maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu merempuh penghadang jalan di sebelah kiri jalan.
“Mangsa yang berasal dari Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang dikatakan dalam perjalanan dari Kepala Batas ke Tikam Batu, di sini, tetapi sebaik melalui selekoh berhampiran jambatan, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh penghadang jalan.
“Mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mayat mangsa dihantar ke HSAH untuk dibedah siasat,” katanya.
Foto
PASUKAN perubatan merawat Norlizan di tempat kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Terpengaruh tawaran pinjaman lesap RM13,000


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Terpengaruh dengan tawaran pinjaman RM80,000 kononnya diuruskan seorang wanita di Amerika Syarikat menyebabkan seorang lelaki kerugian RM13,000 selepas membuat bayaran sebagai ‘syarat’ pinjaman.

Lelaki berusia 28 tahun itu pada mulanya mengenali seorang wanita Mei lalu yang menawarkan peluang pinjaman kewangan dan suspek mendakwa sepupunya yang berada di Amerika Syarikat menguruskan perniagaan pinjaman kepada mereka yang ingin membuka perniagaan.

Selepas dua bulan bukan saja pinjaman tidak diperoleh malah wang miliknya yang diberikan kepada suspek turut lesap menyebabkan dia tampil membuat laporan di Balai Polis USJ8, kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

Suspek turut memberikan alamat emel sepupunya dan meminta mangsa berhubung dengan wanita itu untuk mengetahui maklumat lebih lanjut berkaitan tawaran itu.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dan berurusan melalui e-mel.



Dia yang tertarik dengan tawaran itu kemudian bersetuju sebelum wanita yang mendakwa berada di Amerika Syarikat itu meminta mangsa berurusan dengan sepupunya pula.

“Lelaki terbabit kemudian berjumpa semula dengan suspek sebelum dia diarahkan memasukkan wang diminta ke dalam akaun bank diberikan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus memasukkan wang diminta itu secara berperingkat di sebuah bank di Subang Jaya sebanyak RM13,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

JPJ berpakaian preman


Shah Alam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan lebih ramai anggotanya yang berpakaian preman di beberapa lokasi untuk memastikan pemandu mematuhi undang-undang dan tidak melanggar peraturan jalan raya sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob berkata, anggota JPJ akan ditempatkan di setiap 30 kilometer laluan dikenal pasti bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sekali gus mengelakkan kemalangan.
“Anggota JPJ dengan bantuan 500 Skuad Muda JPJ akan ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan yang terpilih.
“Kami tidak akan melakukan sekatan jalan raya, tetapi menggunakan kaedah penyamaran dan saman untuk melihat jika ada kesalahan dilakukan pengguna jalan raya seperti melanggar lampu merah serta memotong barisan,” katanya ketika ditemui selepas Ops Hari Raya di Jalan Banting-Klang, semalam.
Menurutnya, anggota yang bertugas akan memerhati dan memberi peringatan kepada pengguna agar mematuhi peraturan jalan raya, tidak memandu laju, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit.
“Begitu juga dengan penyamaran sebagai penumpang ekspres, anggota kami akan memantau pemandu bas ekspres dan apabila tiba ke destinasi dituju, pemandu bas akan disaman jika melakukan kesalahan di sepanjang perjalanan.
“Lebih daripada 100 lokasi di jalan Persekutuan seluruh negara akan dipantau anggota JPJ sempena kempen keselamatan jalan raya menjelang sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.
Selain itu, 1,800 anggota dan pegawai JPJ seluruh negara akan ditugaskan untuk kempen keselamatan jalan raya yang bermula 21 Julai sempena musim perayaan ini.
“Setiap kali menjelang musim perayaan 1.5 juta kenderaan berada atas jalan raya dan kita akan menggerakkan anggota agar dapat mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.
Foto
YUSOFF (dua dari kanan) bersama anggota melakukan pemeriksaan pada penungggang motorsikal pada operasi hari raya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Kereta baru seminggu


Kota Bharu: Kurang seminggu digunakan, kereta mewah Audi S5 milik pelakon dan usahawan Fizo Omar sudah ‘dicium’ kenderaan lain apabila terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 69.7 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kuala Krai, petang kelmarin.
Ketika kejadian, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, tidak memandu kereta itu sebaliknya dipandu adik bongsu Wan Normimi Adila, 19, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Selising, Pasir Puteh, dekat sini.
Turut berada dalam kereta itu ibunya Hasnah Jidin, 54, dan pembantu peribadi Fizo Rosdi Razak.

Fizo berkata, dia sangat terkejut diberitahu ahli keluarganya terbabit dalam kemalangan itu yang turut membabitkan empat kenderaan serentak.
Foto
KEADAAN kereta dipandu Wan Normimi yang terbabit nahas dekat Kuala Krai.

“Saya sedang bermesyuarat bersama pekerja syarikat di Kuala Lumpur dan menerima panggilan telefon daripada pembantu memberitahu mereka terbabit dalam kemalangan.

“Terkejut saya dibuatnya apatah lagi ada empat kenderaan terbabit, namun saya bersyukur sebaik diberitahu mama, adik dan pembantu selamat serta tidak cedera, melainkan lebam pada badan kerana beg udara terbuka dan dihempap beg pakaian. 

“Cuma mama dan adik masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku. Mereka terkejut kerana tidak pernah berdepan kejadian begini, terutama apabila beg udara sudah terbuka dan mereka gagal keluar daripada kereta hingga perlu dibantu orang awam,” katanya.

Kejadian jam 1.15 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika Wan Normimi cuba mengelak kereta yang keluar daripada simpang secara tiba-tiba sebelum bertembung dengan van dari arah bertentangan dan kereta Proton Iswara dipandu Lim Lee Lin, 31.

Akibat pertembungan itu, kereta Lim berpusing sebelum dilanggar kereta Proton Wira dari arah belakang menyebabkan dia tersepit di tempat duduk pemandu dan parah di kepala. 

Mengulas lanjut, suami kepada anak pengasas tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim, 25, itu berkata, tidak mahu memikirkan mengenai kos pembaikan kereta itu yang mungkin menelan belanja sehingga RM17,000.

“Ia memang kereta baru yang saya gunakan tidak sampai seminggu. Saya beli sebagai hadiah kepada diri sendiri sempena gaji pertama saya sebagai usahawan.

“Tetapi, kejadian sudah berlaku. Yang penting sekali ahli keluarga saya selamat kerana kereta yang rosak boleh dibaiki, ada insurans, tapi ahli keluarga tiada galang ganti.

“Saya melihat kejadian ini ada hikmahnya apabila keluarga kami berkumpul lebih awal di rumah mama apabila semua adik beradik saya pulang sejak malam tadi (semalam),” katanya yang tiba tengah malam semalam menaiki kapal terbang bersama isterinya.

Fizo berkata, akan melawat Lim yang cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.

Aktor filem Kongsi itu turut menasihati pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, sekali gus boleh membahayakan nyawa pengguna lain.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Parti Kongres protes pelampau Shiv Sena


New Delhi: Parlimen gempar semalam selepas rakaman televisyen menunjukkan seorang pemimpin Shiv Sena memaksa seorang lelaki Muslim makan sekeping capati walaupun dia berpuasa.

Ahli Parlimen Parti Kongres yang kini menjadi pembangkang memprotes sekeras-kerasnya perbuatan itu dalam sidang dewan.


Mereka menganggap perbuatan berkenaan melanggar hak serta kebebasan beragama lelaki terbabit.

Jurucakap Parti Kongres Manish Tewari berkata, perbuatan itu amat menjijikkan dan patut dikecam.


Rakaman yang disiarkan di televisyen kebangsaan menunjukkan sekumpulan ahli parlimen Shiv Sena bertengkar dengan seorang penyelia syarikat katering pada 17 Julai lalu.


Ahli parlimen terbabit tidak berpuas hati dengan kualiti makanan disediakan kerana makanan Maharashtria tidak dihidangkan.

Berikutan itu ahli parlimen Rajan Baburao Vichare dilihat beberapa kali cuba menyumbat capati ke mulut penyelia terbabit sehingga mengakibatkan puasanya terbatal.
Shiv Sena adalah sekutu terkuat parti Perdana Menteri Narendra Modi yang memenangi pilihan raya Mei lalu.

Bagaimanapun, Vichare berkata dia tidak menyedari lelaki terbabit beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Transformers disaman


Beijing: Pemilik sebuah taman alam di China memfailkan saman terhadap penerbit Transformers terbaru kerana gagal memuatkan logo taman berkenaan dalam filem terbaru mereka.

Akhbar China Daily melaporkan, Kumpulan Pelancongan Chongqing Wulong Karst yang mengendalikan kawasan dipenuhi gaung serta gua di barat daya China yang menjadi lokasi penggambaran beberapa babak di dalam filem berkenaan mencapai persetujuan dengan penerbit Transformer untuk memasukkan logo mereka dalam filem itu namun ia dimungkiri.


Syarikat itu menuntut supaya Paramount Pictures dan syarikat sekutunya di China membayar pampasan lebih 20 juta yuan (RM10.3 juta).

Transformers amat popular di China dan banyak syarikat daripada pengeluar susu hingga bank berpusu-pusu menjalin kerjasama dengan filem berkenaan untuk kepentingan produk mereka.


“Mereka yang tidak pernah ke Chongging tidak akan tahu babak berkenaan dirakamkan di Wulong disebabkan logo kami tidak turut ditunjukkan,” kata pengurus pemasaran Li Chu.


Seorang pekerja di mahkamah Chongging berkata, Wulong memfailkan saman Selasa lalu namun mahkamah hanya akan memutuskan minggu depan sama ada membenarkan kes itu diteruskan.

Bagaimanapun, laporan lain menimbulkan tanda tanya mengenai persetujuan antara Wulong dengan penerbit filem berkenaan.

Sekutu Paramount di China, m1905.com dalam satu kenyataan di laman webnya berkata ia kesal logo Wulong tidak dipaparkan dalam filem berkenaan dan menyifatkan perkara itu sebagai kesilapan komunikasi.

Transformers: Age of Extinction menjadi filem paling laris di China apabila merekodkan jualan lebih AS$280 juta (RM888 juta) setakat ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Bapa 2 anak kemaruk intai rahsia perempuan


Singapura: Seorang bekas jurutera dikenakan hukuman penjara tiga minggu semalam selepas didapati bersalah merakam video tidak senonoh wanita ketika mereka menaiki eskalator di pusat membeli belah dan stesen MRT.

Teh Thian Seng, 51, yang kini tidak bekerja dipercayai menjadi pesalah pertama yang mempunyai masalah psikologi dikenakan hukuman penjara.


Ayah dua orang anak itu turut dikenakan denda SG$8,500 (RM21,744) selepas mengaku bersalah memiliki 17 rakaman ‘dalam kain’ wanita di kediamannya di Hougang pada 2012.



Teh juga mengaku salah menjatuhkan maruah wanita di laluan bawah tanah antara bandar Ngee Ann dan pusat beli belah Wisma Atria serta di eskalator stesen MRT Dewan Bandaraya pada 25 Ogos tahun yang sama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Dilarang masuk kerana biadap


Monroe, Connecticut: Seorang ibu dan anaknya dilarang memasuki kedai Doughnut Inn di Monroe kerana didakwa biadap terhadap pelanggan lain.

Namun ia bukanlah biadab seperti yang lazim difahami.


Sehari sebelum itu Justin Otero, 4, sedang berbaris untuk memesan donat apabila dia menyapa seorang wanita berhampirannya.



Otero kemudian bertanya sama ada wanita membeli donat untuk hidangan dua orang.


Budak itu kemudian bertanya jika wanita terbabit sedang hamil. Wanita itu menafikannya dan tidak menganggap pertanyaan berkenaan sebagai menyindirnya. Otero juga meminta maaf kerana bertanya soalan itu.


Namun, sehari kemudian ketika Otero dan ibunya pergi sekali lagi ke Doughnut Inn, mereka tidak dibenarkan masuk.

Pengurus kedai berkata Otero bersikap biadap dan hampir membuat perniagaannya rugi.


Dakwaan ini disiarkan di dalam akaun Facebook milik Doughnut Inn.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Mangsa rogol mati tergantung


Dalam kejadian di negeri Bengal Barat itu, mangsa adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan mayatnya ditemui tergantung di sebatang pokok di Nandakumar. Sejarah perselisihan faham yang panjang antara keluarga mangsa dan suspek dipercayai mendorong kejadian tidak berperikemanusiaan itu.

Sumber berkata, keluarga mangsa dan suspek bertelagah mengenai pemilikan tanah ladang berhampiran kampung mereka.
Baru-baru ini bapa mangsa dan suspek bergaduh namun perkara itu tidak dinyatakan dalam laporan polis kelmarin. Tidak seperti beberapa kes rogol lalu, Nandakumar di Haldia itu bukanlah kawasan terpencil malah terletak hanya 90 kilometer dari Kolkata.

Kali terakhir mangsa dilihat adalah kira-kira jam 5 petang Rabu lalu ketika dia keluar membeli makanan selepas pulang dari sekolah.

Apabila bapa mangsa mendapati kanak-kanak itu tidak pulang dia dan penduduk kampung mula menjalankan operasi mencari.
Mangsa disyaki lemas dalam kolam dan usaha mencari dibuat ke semua kawasan berhampiran sawah padi namun dia tidak dijumpai sehingga mereka menghentikan usaha itu kerana malam.

Kira-kira tengah malam, seorang pemuda keluar ke kawasan belukar untuk membuang air dan ternampak satu mayat tergantung pada pokok.
Dia menjerit ketakutan dan lolongan itu didengari penduduk kampung yang kemudian keluar untuk mengetahui apa yang berlaku.

Selepas diteliti mereka mengenal pasti mayat tergantung itu ialah kanak-kanak yang mereka cuba kesan sebelumnya, Ketika ditemui kanak-kanak itu berada dalam keadaan hampir bogel dan cebisan pakaiannya ditemui bersepah di kawasan berhampiran sawah padi. Penduduk kampung mengesyaki kanak-kanak malang itu dirogol dan mencari seorang lelaki yang dikenali pernah melakukan serangan seksual ke atas kanak-kanak setempat.

Ketika orang kampung tiba, suspek didapati memakai gamcha (kain yang biasanya digunakan untuk mengesat peluh) dan dia bersama dua rakannya cuba melarikan diri. Penduduk kampung mengejar suspek dan membelasah mereka.

Rumah suspek juga dibakar. Apabila polis tiba, suspek utama didapati sudah tidak bernyawa, manakala dua rakannya tidak sedarkan diri. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Keldai dadah dicekup kastam


ALOR SETAR - Cubaan seorang 'keldai dadah' warga Thailand menyeludup masuk dadah jenis syabu dari Thailand seberat 2.35 kilogram bernilai RM450,000 gagal apabila dicekup kastam di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam, Rabu lepas.
Timbalan Pengarah Kastam Kedah, Mohd. Noor Yusoff berkata, suspek wanita berusia 34 tahun itu ditahan selepas memiliki dadah ketika menjalani pemeriksaan di Unit Pemeriksaan Penumpang Laluan Bas dan Pejalan Kaki di kompleks itu kira-kira 12.40 tengah hari.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz38WXikXMv 
Hakcipta terpelihara 

Dua remaja maut selepas motosikal dinaiki bertembung


KIRI: Muhammad Haris, Mohamad Azli


TUMPAT - Dua remaja maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu mangsa yang maut ialah Mohamad Azli Mohamad, 19, dan Muhammad Haris, Muhammad, 17, manakala yang cedera ialah Mohammad Haziq Muhammad, 15, dan Wan Mohammad Shakirin Wan Mohd, 16.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz38WXRVFIF 
Hakcipta terpelihara 

Kotak hitam pesawat Air Algerie ditemui



SERPIHAN badan pesawat Air Algerie bertaburan di lokasi nahas.


PARIS - Bangkai pesawat Air Algerie yang membawa 116 orang penumpang dan kru yang dilaporkan hilang dari radar ditemui terhempas di Mali, kata beberapa pegawai lapangan terbang semalam.
Para pegawai itu menyatakan, cuaca buruk dipercayai menjadi punca pesawat McDonnell Douglas MD-83 itu terhempas sehingga badannya terputus kepada beberapa bahagian.
"Askar-askar Perancis yang berada di lokasi nahas itu telah memulakan penyiasatan. Namun, sedihnya, tiada mangsa yang selamat ditemui," kata Presiden Perancis, Francois Hollande kepada pemberita.
Sejumlah 100 orang askar dan 30 buah kenderaan dari sebuah pangkalan tentera Perancis tiba di lokasi nahas pada pagi semalam.
Lokasi nahas itu terletak dekat bandar Gossi.
Hollande berkata, salah satu kotak hitam pesawat tersebut telah pun ditemui dan akan dianalisis dengan segera.
"Serpihan pesawat itu tertumpu di sebuah kawasan yang kecil. Namun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan," kata Hollande.
Menurutnya, pesawat itu membawa 51 warga Perancis yang terhempas dekat sempadan Burkina Faso.
Beberapa pegawai penerbangan menyatakan, pesawat itu terputus hubungan dengan pesawat itu 50 minit selepas ia berlepas ke Algeria.
Pesawat itu yang dikendalikan syarikat Swiftair yang berpangkalan di Madrid berlepas dari Lapangan Terbang Ouagadougou di Ouagadougou Burkina Faso.
Semua kru di dalam pesawat itu merupakan warga Sepanyol. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz38WW3661s 
Hakcipta terpelihara 

Wanita seludup dadah ditahan



Mohd. Noor Yusoff (dua dari kiri) bersama pegawainya memeriksa bungkusan mengandungi syabu seberat 2.35 kilogram yang disorok dalam beg galas semasa proses imbasan di Unit Pemeriksaan Penumpang Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam, Persiaran Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin
ALOR SETAR 25 Julai - Cubaan seorang tukang urut wanita warganegara Thailand untuk menyeludup dadah jenis syabu bernilai hampir RM500,000 ke negara ini gagal apabila dia tahan di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam di sini Rabu lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri, Mohd. Noor Yusoff berkata, wanita itu ditahan pada pukul 12.40 tengah hari setelah pegawai kastam mengimbas beg galas yang dibawanya selepas melalui Unit Pemeriksaan Penumpang Laluan Bas/ Pejalan Kaki Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam.
"Pemeriksaan awal mendapati ada bungkusan berbalut kertas karbon biru mengandungi hablur kristal putih disyaki dadah disorokkan pada dinding di bahagian dalam beg galas tersebut.
"Selepas diperiksa dengan lebih teliti di pejabat kastam narkotik Alor Setar, kita dapati sebanyak dua bungkusan mengandungi dadah jenis syabu seberat 2.35 kilogram dengan nilai hampir RM500,000 cuba diseludup wanita tersebut ke negara ini dengan menggunakan beg galas ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat JKDM Kedah di Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.
Menurut Mohd. Noor, wanita tersebut yang berusia 34 tahun menyamar sebagai pelancong dan dia yang dipercayai datang dari Bangkok kemudiannya menaiki sebuah van di Hatyai menuju ke Bukit Kayu Hitam.
"Dari Bukit Kayu Hitam wanita ini dipercayai menuju ke Pulai Pinang dengan van tersebut dan bekalan dadah ini disyaki untuk diedarkan di kawasan utara.
"Kami percaya wanita ini dinasihatkan oleh sindiket penyeludupan dadah agar menggunakan perkhidmatan van bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana banyak cubaan menyeludup dadah dengan menggunakan bas berjaya dikesan," ujarnya.
Tambah Mohd. Noor, wanita itu yang mempunyai seorang anak tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di negara ini dan pernah dua kali memasuki negara ini.
"Suspek ditahan reman mulai semalam hingga 30 Julai ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah berbahaya 1952," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140726/je_03/Wanita-seludup-dadah-ditahan#ixzz38WVQQWhy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gudang baju musnah dalam kebakaran


ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaranSebuah gudang baju dua tingkat musnah dalam kebakaran di kawasan perindustrian Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Julai - Sebuah gudang baju dua tingkat musnah dalam kebakaran di kawasan perindustrian Desa Tun Razak, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, kebakaran tersebut memusnahkan 100 peratus kawasan gudang terbabit namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada pukul 10.24 malam sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Menurutnya, apabila anggotanya tiba, api sedang marak membakar keseluruhan kawasan gudang terbabit.
"Keluasan kebakaran membabitkan kawasan seluas 300 meter persegi. Usaha memadamkan kebakaran berjalan sehingga kira-kira pukul 1 pagi bagi mengawal api daripada terus merebak.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, seramai 37 anggota dan pegawai daripada tiga Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Turut terlibat dalam operasi kebakaran tersebut ialah anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tun Razak, Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi," ujarnya.
Sementara itu, pemilik kilang tersebut yang enggan dikenali berkata, sejurus selepas menerima panggilan daripada pekerjanya kira-kira pukul 10.15 malam dia terus menghubungi bomba untuk memaklumkan kejadian berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140726/je_04/Gudang-baju-musnah-dalam-kebakaran#ixzz38WVG31nY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anggota PGA maut dirempuh


SABAK BERNAM 25 Julai - Hasrat seorang anggota polis berpangkat Koperal untuk pulang ke kampung halaman pada 31 Julai ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tidak kesampaian selepas mangsa maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 53, Jalan Klang-Teluk Intan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, Nazawi Chik, 37, dari Kem Batalion Keempat, Polis Gerakan Am (PGA) di Semenyih dekat sini sedang menunggang motosikal dari Pusat Kawalan PGA Sungai Haji Dorani di sini ke sebuah kedai runcit.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Noor Mushar Mohd. berkata, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dirempuh oleh sebuah lori dari arah Sekinchan menghala ke Teluk Intan.
"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140726/je_05/Anggota-PGA-maut-dirempuh#ixzz38WV61Cyj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki tempatan berdepan hukuman gantung


JANATHAN Kandok (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas daripada suspek dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.
KOTA KINABALU 25 Julai - Seorang lelaki tempatan bakal berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja seberat satu kilogram dalam serbuan di daerah Papar, Isnin lalu.
Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di pekarangan sebuah pangsapuri di daerah berkenaan oleh sepasukan anggota cawangan narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah kira-kira pukul 2.45 petang.
Ketika kejadian, suspek dipercayai sedang membawa satu bungkusan dan selepas diperiksa, didapati bungkusan itu mengandungi satu peket balutan berisi ganja.
Hasil siasatan lanjut di rumah suspek, pihak kastam menemui dua peket ganja yang disorok di bilik tidur.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Dr. Janathan Kandok berkata, penahanan lelaki itu ialah hasil risikan dan maklumat orang awam yang telah menghidu kegiatan haram yang dilakukan suspek.
"Lelaki tempatan berusia 38 tahun itu ditahan kerana didapati memiliki dadah jenis ganja seberat satu kilogram dan dipercayai bernilai lebih RM3,000.
"Turut ditahan ialah seorang wanita warga Filipina berusia 30 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam dekat sini semalam. Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kastam negeri, Hamzah Sundang.
Mengulas lanjut, Janathan berkata, pihaknya masih giat menjalankan siasatan sama ada suspek yang ditahan terlibat dengan sindiket atau sebaliknya.
"Ini merupakan salah satu kejayaan memberangsangkan dari JKDM Sabah berikutan kita hanya sering melakukan tangkapan di terminal atau lapangan terbang," ujarnya.
Tambah Janathan, kes disiasat mengikut Seksyen 39B (Akta 234) dan Seksyen 15 (1) (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140726/je_07/Lelaki-tempatan-berdepan-hukuman-gantung#ixzz38WUwS2EO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Persiapan warga emas sambut Aidilfitri musnah


WAN Mohd. Nawi Abdullah (kiri) bersama ahli keluarganya sedih melihat rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Belukar Berangan, Tumpat, Kelantan, semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
TUMPAT 25 Julai - Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada Isnin ini, sepasang suami isteri warga emas di Kampung Belukar di sini diselubungi kesedihan selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, semua peralatan rumah, pakaian dan pelbagai kelengkapan untuk menyambut Aidilfitri gagal diselamatkan.
Kejadian tersebut turut menyebabkan mangsa, Wan Mohd. Nawi Abdullah,74, melecur di kepala ketika cuba memadamkan kebakaran daripada terus merebak.
Isterinya, Zaharah Awang, 66, berkata, kebakaran tersebut berlaku ketika berehat di serambi belakang rumah manakala suaminya berada di dapur.
Menurutnya, dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan kecil yang datang dari dalam bilik cucunya.
"Apabila ke bilik tersebut, saya nampak api merebak membakar dinding lalu terus memanggil suami dan tanpa berlengah kami berusaha memadamkan kebakaran itu," katanya.
Tambah Zaharah, bagaimanapun usaha memadam kebakaran tersebut gagal apabila api semakin marak sehingga kepala suaminya melecur akibat bahang panas.
"Kerana leka memadam api, saya tidak sempat menyelamatkan harta lain seperti barang kemas dan wang tunai," ujarnya.
Katanya, kebakaran tersebut menyebabkan dia dan suaminya tinggal sehelai sepinggang namun bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat dan menyifatkan kejadian itu sebagai ujian daripada Allah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Raja Arisanshaseni Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.24 petang.
Katanya, seramai lima anggota bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140726/je_02/Persiapan-warga-emas-sambut-Aidilfitri-musnah#ixzz38WUVqMf1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penjaga kafe siber didenda RM1,200


KUALA LUMPUR 25 Julai - Gara-gara cemburu, seorang penjaga kafe siber membelasah seorang pengawal keselamatan dengan kerusi kerana menyangka mangsa mempunyai hubungan dengan teman wanitanya, minggu lalu.
Ekoran itu, Majistret Erry Shahriman Nor Aripin hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,200 atau penjara satu bulan terhadap Roger Jilan Ble, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini.
Hukuman tersebut diperintah berkuat kuasa dari tarikh tangkap, 19 Julai lalu.
Tertuduh bersama-sama seorang yang telah dijatuhi hukuman, didakwa mencederakan Muhammad Auni Mar'ie Md. Haib, 23, di bilik No. 553-5, bangunan Wisma Indah, Jalan Tun Razak di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 16 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling mengemukakan pertuduhan terhadap lelaki yang tidak diwakili peguam itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140726/ma_02/Penjaga-kafe-siber-didenda-RM1200#ixzz38WUFL8Sv
© Utusan Melayu (M) Bhd