Machang: “Dia keluar tergesa-gesa dan tidak beritahu ke mana dia hendak pergi. Cuma sebelum itu, dia sempat berjanji akan pulang awal.
“Namun, sejam kemudian kami hanya menerima berita dia kemalangan dan meninggal dunia,” kata Azmi Yusof, 55, bapa kepada Mohamad Fakaruddin, 15, yang terbabit kemalangan di jalan lama Machang ke Pasir Puteh dekat Sekolah Kebangsaan Bukit Tiu, di sini, kelmarin.
Dalam kemalangan jam 7.50 malam itu, Mohamad Fakaruddin yang juga pelajar Sekolah Menengah Agama Banggol Judah, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian bersama Muhammad Rizalman Mat Nasir, 21, selepas motosikal ditunggang mereka bertembung.
Difahamkan, ketika kejadian, Muhammad Rizalman yang menunggang motosikal Honda C70 dari Pasir Puteh gagal mengawal kenderaannya dan bertembung dengan motosikal Mohamad Fakaruddin.
Azmi berkata, mereka sekeluarga dimaklumkan Mohamad Fakaruddin cedera serius di tengkuk dan kepala.
“Berikutan kecederaan itu, dia meninggal dunia. Kami sekeluarga reda menerima berita ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Tiu, di sini, semalam.
Menurutnya, anak bongsunya itu menunggang motosikal milik abangnya yang dan hanya memaklumkan mahu keluar sebentar serta tidak memaklumkan destinasi yang dituju.
“Dia berjanji pada abangnya untuk pulang awal kerana abangnya mahu menggunakan motosikal itu ke tempat kerja.
“Sudah ajalnya begini. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tiu,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Kamal Azural Mohamed berkata, siasatan lanjut mengenai kemalangan itu masih dijalankan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan awal mendapati ia berpunca daripada Muhammad Rizalman berasal dari Kampung Muka Bukit, di sini yang memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Mohamad Fakaruddin.
Beliau berkata, pertembungan itu mengakibatkan kedua-dua penunggang maut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:20 AM



KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7961#foto