Search This Blog

Wednesday, July 23, 2014

Kebakaran lori di KM296.7 Bangi ke Kuala Lumpur p

Kebakaran lori di KM296.7 Bangi ke Kuala Lumpur pada pukul 11.28 pagi tadi. Tiada kecederaan dilaporkan. Operasi pemadaman dilakukan oleh BBP Bangi
Add caption
Add caption
Add caption
Add caption

Maut nahas bertembung ambulans


  • Keadaan ambulans yang bertembung berhadapan dengan MPV mangsa.Keadaan ambulans yang bertembung berhadapan dengan MPV mangsa.

SERI ISKANDAR - Seorang pemuda maut dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Batu 19 Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Naza Citra bertembung sebuah ambulans daripada Klinik Kesihatan Changkat Lada.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohammad Hanif Mohmed Jelas, 24, yang memandu SUV tersebut daripada Kampung Gajah menuju ke Bota Kanan manakala ambulans pula datang dari arah Bota Kanan menuju ke Kampung Gajah.

“Kejadian berlaku apabila pemandu SUV berkenaan dipercayai telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan iaitu laluan ambulans di kawasan jalan berselekoh.

“Pemandu ambulans cuba mengelak ke kanan dan pada waktu sama pemandu SUV cuba memasuki semula laluannya namun kerana jarak yang terlalu dekat menyebabkan berlakunya pertembungan secara berdepan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

“Kelindan ambulans dikenali sebagai Rizam Marwan, 37, dan pembantu Klinik Kesihatan Changkat Lada dikenali sebagai Mohamad Faizal Mohamed Ameen, 22,  cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Changkat Melintang.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Ahmad Rozarin Razak berkata,  panggilan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 5.15 petang.

“Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit. Operasi selesai jam 6.10 petang," katanya.

Diberkas selepas dua tahun


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2014


TELUK INTAN - Seorang suspek kes ragut dan samun berjaya diberkas selepas diburu polis lebih dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan suspek lelaki berusia 22 tahun di kenali dengan panggilan Itik itu, diyakini dapat menyelesaikan sebanyak 32 kes ragut dan samun sekitar daerah ini.

Menurutnya, suspek yang juga penagih dadah dan penganggur ditahan di sebuah rumah, di Kampung Padang Tembak, di sini pada 8 Julai lalu selepas pihaknya membuat intipan serta maklumat orang awam.

“Kami menahan suspek kira-kira jam 11.30 malam di  rumah berkenaan.

“Penahanan itu membawa kepada penemuan beberapa barangan hasil aktiviti ragut dan samun dalam semak di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Taman Bersatu II, di Jalan Kampung Banjar, di sini,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Mohd Shuhaily berkata, antara barangan ditemui adalah sebuah beg sandang, beg wang kecil, sebuah I-pad, kad kredit dan kad diskaun pasar raya.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek melakukan aktiviti jenayah secara berseorangan tanpa mengira waktu dan tempat.

“Dia kini direman untuk membantu siasatan,” katanya.

Gempar lori terbakar


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2014


BAGAN SERAI - Lebih 50 pengguna jalan raya gempar menyaksikan bahagian belakang sebuah lori terbakar dalam satu kejadian di persimpangan lampu isyarat Pusat Bandar Bagan Serai, di sini petang semalam.

Bagaimanapun, pemandu lori dan seorang kelindan bernasib baik apabila api berjaya dikawal anggota Bomba dan Penyelamat Bagan Serai dan Bomba Sukarela Bagan Serai kurang lima minit selepas tiba di lokasi kejadian.

Kejadian menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan persimpangan lampu isyarat tersebut.

Tujuh termasuk tiga pondan ditahan


  • Wanita dan pondan yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.Wanita dan pondan yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.

GEORGETOWN - Tujuh termasuk tiga lelaki berperwatakan wanita ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di sekitar Lebuh Chulia awal pagi hari ini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 12 malam itu dilakukan anggota dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut selepas menerima maklumat orang awam mengenai aktiviti persundalan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Kormesioner Mior Faridaltharsh Wahid berkata, mereka yang ditahan berusia 19 hingga 36 tahun dilihat sedang menunggu pelanggan di sekitar jalan berkenaan sebelum diserbu.

Menurutnya,tiga wanita yang ditahan adalah warga asing dari Sri Lanka manakala selebihnya warga tempatan.

"Kita menjalankan pemantauan terlebih dahulu bagi melihat bagaimanakan modus operandi yang digunakan kumpulan berkenaan sebelum mendapatkan pelanggan.

"Selepas menyedari kehadiran polis, kesemuanya melarikan diri bagi mengelak ditangkap namun usaha mereka ternyata sia-sia kerana kawasan itu terlebih dahulu dikepung,"katanya ketika dihubungi hari ini.

Mior Farid berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.

"Mereka akan disiasat bawah Seksyen 27 (B) Akta Kesalahan Kecil 1956 dan Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan," katanya.

Terpaksa beraya dalam dewan


  • Norhayati bersama suami dan tujuh anaknya melihat keadaan rumah sewa yang hangus di Kampung Ulu Kuang, kelmarin.Norhayati bersama suami dan tujuh anaknya melihat keadaan rumah sewa yang hangus di Kampung Ulu Kuang, kelmarin.

CHEMOR – Sebuah keluarga terpaksa menyambut Aidilfitri di Dewan Orang Ramai Kuang Hilir apabila rumah sewa mereka di Kampung Ulu Kuang, di sini yang baharu diduduki lima bulan lalu terbakar, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kesemua barangan termasuk persiapan raya hangus menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Mangsa, Norhayati Mohd Jaafar, 29, berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada jiran menyatakan kediamannya terbakar selepas meninggalkan rumah itu beberapa minit untuk melawat ibu yang tinggal berhampiran.

Dia segera menghubungi suami, Omar Mat Saman, 56, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dekat sini bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya bergegas pulang kerana memikirkan keselamatan dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun yang enggan mengikut saya kerana bermain basikal di hadapan rumah.

“Setibanya di rumah, saya tergamam melihat api marak memusnahkan keseluruhan kediaman manakala jiran berusaha membantu memadam kebakaran itu,” katanya.

Bagaimanapun, Norhayati berkata, dia bersyukur dua anaknya tidak cedera dalam kejadian berkenaan.

Katanya, dia berterima kasih kerana ketua kampung memberi kebenaran tinggal di dewan itu sebagai penempatan sementara bersama suami serta tujuh anaknya yang masih kecil termasuk bayi berusia 15 bulan.

Terima padah dipenjara 16 tahun


  • Tertuduh (kiri) dibawa polis ke mahkamah untuk berdepan hukuman kerana menyebabkan kematian rakan. - Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHIDTertuduh (kiri) dibawa polis ke mahkamah untuk berdepan hukuman kerana menyebabkan kematian rakan. - Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Seorang pekerja lombong bijih besi dihukum penjara 16 tahun oleh mahkamah tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zaidi Abdul Hamid, 39, didapati bersalah menyebabkan kematian ke atas Mohd Yusof Zakaria, 43, di hadapan kantin sebuah lombong bijih besi di Lubuk Stol, Pasir Mas, antara jam 9.30 dan 9.40 pagi, 8 September 2012.

Hukuman terhadap tertuduh diputuskan Hakim, Datuk Azman Abdullah pada akhir kes pembelaan dan perbicaraan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (KK).

Azman dalam penghakimannya berkata, setelah meneliti pembelaan tertuduh dan keseluruhan kes pendakwaan, mahkamah memutuskan tertuduh melakukan kesalahan yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

“Mahkamah menerima keterangan tertuduh membawa pisau dari awal sebelum berjumpa dengan si mati dan tertuduh yang mencari si mati. Berlaku pergaduhan dan pergelutan dengan tertuduh dikepit leher dan menggunakan pisau itu untuk melawan mangsa.

“Unsur-unsur mempertahankan diri dengan mencari bahaya atas kehendak tertuduh adalah bukan kecualian kepada perbuatan tertuduh membunuh si mati. Sesuatu kebangkitan marah yang dicari-cari bukan satu pembelaan mutlak untuk membolehkan satu pelepasan atau pembebasan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum perbuatan si mati mengepit leher tertuduh, dia bersedia melakukan sesuatu ke atas si mati apabila pisau telah dibawanya. Kecederaan si mati di tangan adalah juga kesan mempertahankan diri.

Tertuduh sebelum itu melalui perbicaraan penuh mengikut Seksyen 302 KK kerana didakwa membunuh mangsa sebelum didapati bersalah mengikut Seksyen 304(a) KK.

Pada prosiding itu, peguam bela, Cheang Chu Yong merayu tertuduh dikenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh masih muda dan boleh bekerja. Tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia 7 dan 2 tahun.

Ketua Pendakwa negeri, Julia Ibrahim bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan amat serius dengan membabitkan dadah. Tertuduh juga ada mengugut isteri mangsa selepas kejadian itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang penyelia kualiti bijih besi maut selepas ditikam pekerjanya di hadapan sebuah kantin berhampiran tapak lombong Kampung Rahmat, Lubok Stol.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang akibat kecederaan parah di dada kiri kerana ditikam menggunakan pisau sepanjang 15 sentimeter.

Geng curi motosikal 'Anas Simpang Empat' tumpas


  • Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan (kanan) menunjukkan motosikal dan barang kes yang berjaya ditemui selepas Polis Kedah berjaya melumpuhkan sindiket curi motosikal yang didalangi seorang individu berusia 29 tahun dikenali sebagai 'Anas Simpang Empat' hasil penahanan lima suspek ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto BernamaKetua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan (kanan) menunjukkan motosikal dan barang kes yang berjaya ditemui selepas Polis Kedah berjaya melumpuhkan sindiket curi motosikal yang didalangi seorang individu berusia 29 tahun dikenali sebagai 'Anas Simpang Empat' hasil penahanan lima suspek ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Polis melumpuhkan satu kumpulan curi motosikal yang didalangi seorang lelaki berusia 29 tahun dikenali sebagai 'Anas Simpang Empat' hasil penahanan lima suspek termasuk individu berkenaan.
  
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata kesemua suspek berusia antara 19 hingga 29 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Simpang Empat, dekat sini pada pukul 2.50 pagi semalam.
  
Beliau berkata dalam serbuan itu polis menjumpai enam motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Waja di kawasan rumah suspek yang berusia 29 tahun itu.
  
"Dua motosikal (masing-masing) jenis Yamaha Ego dan Honda EX5 dipercayai telah dilaporkan hilang di Alor Setar dan Simpang Empat pada akhir tahun lepas dan awal tahun ini manakala dua lagi motosikal (masing-masing) jenis Yamaha 125Z dan Yamaha Ego, nombor sirinya telah pun dikikis bagi mengelakkan daripada dikesan.
  
"Dua lagi motosikal dan kereta yang dijumpai itu dipercayai milik keluarga suspek. Kita percaya mereka juga menjalankan aktiviti meleraikan motosikal itu untuk dijual sebagai alat ganti kepada pembeli," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini.
 
Adzaman berkata kumpulan berkenaan dipercayai telah mula aktif pada 2012 dan salah seorang suspek kumpulan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau pelbagai kes.
  
"Semasa serbuan, kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis morfin dan dianggarkan jumlah keseluruhan yang berjaya dirampas melebihi RM20,000.   

"Kesemua suspek itu ditahan dan barang rampasan akan disiasat mengikut Seksyen 39A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama

Bas ekspres terbakar, 39 penumpang nyaris maut


23 Julai 2014

KUANTAN - Seramai 39 penumpang dan dua pemandu nyaris maut selepas sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Baharu, Kelantan rentung dalam kebakaran tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superitenden Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang di KM32, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kuala Lipis.
   
"Sebaik menyedari bahagian enjin bas berasap dan terbakar pemandu bas terbabit sempat memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum segera mengarahkan kesemua penumpang agar turun daripada kenderaan berkenaan.    

"Hasil tindakan pantas itu kesemua 39 penumpang dan dua pemandu bas dua tingkat terbabit sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada kerosakan pada bahagian enjin bas, bagaimanapun siasatan terperinci sedang dilakukan. - Bernama

Empat lelaki samun kedai emas RM200,000


23 Julai 2014

KLANG - Empat lelaki bersenjatakan pistol dan penukul besi melarikan pelbagai barangan kemas bernilai hampir RM200,000 dari sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Jalan Kebun di sini hari ini.    
   
Dalam kejadian 10.50 pagi itu, kesemua suspek yang memakai topeng skimask dan bersarung tangan dikatakan masuk ke premis berkenaan melalui pintu belakang pasar raya itu.
   
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata mereka melepaskan dua das tembakan di premis kejadian dan satu das lagi di luar pasar raya itu.
 
"Dua daripada suspek itu bertindak memecahkan cermin pameran barangan kemas menggunakan penukul besi sebelum kumpulan itu melarikan diri dengan pelbagai barangan kemas menggunakan Perodua Myvi berwarna perak," katanya di lokasi kejadian.
   
Beliau berkata polis menemui tiga kelongsong peluru 9 mm serta tiga titisan darah di rak pameran dan lantai di tempat kejadian. - Bernama

Ahli perniagaan hadapi 72 tuduhan menipu babit RM107,700


2014/07/23
IPOH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 72 pertuduhan menipu kononnya mampu menawarkan barangan lelongan kastam membabitkan wang tunai RM107,700.

Anuar Shaari, 60, didakwa menipu empat individu berlainan dihadapkan di Mahkamah Majistret berasingan iaitu masing-masing kendalian Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab dan Haslinda A Raof.


Tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan antara Oktober 2007 hingga Mac lepas itu dikenakan jaminan keseluruhan sebanyak RM50,000 dan kedua-dua mahkamah menetapkan kes disebut semula 22 Ogos ini.

Dalam prosiding di mahkamah kendalian Majistret Nur Melati Diana, lelaki itu dituduh menipu P Balakrishnan, 63, kononnya dia boleh mendapatkan barangan lelongan kastam, sehingga mangsa menyerahkan RM3,500 secara tunai.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di No 8G, Jalan Raja Perempuan Mazwin, Taman Rishah pada pukul 3 petang, akhir Julai 2013.

Dia juga dituduh menipu Balakrishnan dengan cara yang sama sehingga mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam akaun miliknya di Maybank cawangan Jalan Silibin pada 3.24 petang, 28 Julai 2013.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah kendalian Haslinda, Anuar didakwa meminta RM7,000 daripada Ahmad Chin Abdullah, 77, dengan menipu kononnya dia boleh mendapatkan barangan lelongan kastam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran berhampiran Public Bank cawangan Bercham pada Oktober 2013.

Di mahkamah yang sama Anuar turut didakwa melakukan 58 kesalahan menipu mangsa yang sama dengan cara yang sama, membabitkan transaksi wang tunai antara RM50 dan RM4,000 di dalam akaun Maybank tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Sultan Idris Shah di sini antara 3 Oktober 2013 dan 28 Disember tahun yang sama.

Tertuduh juga didakwa menipu Law Ah Chung @ Lai Lau Chiang, 80, sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM60,000 secara berperingkat-peringkat kononnya sebagai bayaran untuk mendapatkan kenderaan lelongan kastam.

Anuar didakwa melakukan kesalahan itu di No 2, Lengkok Bendahara Off Pasir Puteh di sini pada Oktober 2007.

Ahli perniagaan itu kemudiannya dibawa ke mahkamah kendalian Majistret Nur Melati Diana sekali lagi untuk didakwa dengan 10 pertuduhan menipu mangsanya Choo Cheng Chua, 56, dengan cara yang sama, sehingga Choo mendepositkan wang tunai antara RM50 dan RM1,200 ke dalam akaun tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Yang Kelsom di sini antara 12 Jan dan 9 Mac lepas.

Semua 72 pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan masing-masing dikendalikan Timbaan Pendakwa Raya, Muhammed Fauzi Md Yusof, Nurul Faridza Hamdan dan S Kavitha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- BERNAMA 

Operasi mencari mangsa yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang

Operasi mencari mangsa yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang pada 21.7.2014 pukul 3.19 pagi. Mayat telah dijumpai dan operasi berkenaan dilakukan oleh Pasukan PPDA JBPM Negeri Pulau Pinang Pinang



Lori Terbalik - Bertempat di KM4.9 Lebuhraya NKVE menghala tol Bukit Raja

Lori Terbalik - Bertempat di KM4.9 Lebuhraya NKVE menghala tol Bukit Raja. Kemalangan melibatkan sebuah lori terbalik melintasi jalan dan 2 buah kereta melanggar lori tersebut. Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 50an didalam lori yang cedera ringan.



Kebakaran kenderaan di Plaza tol Sunway

Kebakaran kenderaan di Plaza tol Sunway pada pukul 3.49 petang semalam melibatkan sebuah lori. Kebakaran kemudiannya merebak ke sebuah kereta (Estima). Tiada kecederaan dilaporkan. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Jalan Penchala dan BBP Puchong



Tukang urut disyaki cabul


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2014


TRIANG - Polis sedang mencari seorang tukang urut lelaki yang dipercayai cuba mencabul kehormatan seorang pelanggannya semasa proses perubatan dijalankan.

Ketua Polis daerah Bera, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, mangsa seorang wanita berusia 19 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada jam 4.20 petang kelmarin.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pada jam 1.30 petang semalam (kelmarin) semasa wanita terbabit mendapatkan rawatan di premis tersebut.

“Mangsa mendakwa tukang urut terbabit cuba mencabul kehormatannya semasa dia dalam keadaan meniarap dalam usaha untuk memulihkan kesakitan pada pinggangnya,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum menjumpai tukang urut itu selepas menerima laporan kerana lelaki itu dipercayai melarikan diri.

Difahamkan, premis yang menjalankan perkhidmatan perubatan tradisional itu memiliki lesen perniagaan sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda serta sebat atau kedua-duanya sekali.

Serang adik guna batang besi


MOHD TAHA YAACOB
23 Julai 2014


KAMPUNG RAJA (BESUT) - Hasrat dua beradik mahu membawa kakak ipar melawat anaknya yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan bertukar tragedi apabila diserang abang mereka sendiri dalam kejadian di Kampung Tok Motong, dekat Jertih Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 37 tahun bersama seorang adik lelakinya pergi ke rumah abang sulung mereka.

Menurutnya, mereka datang ke rumah suspek berusia 41 tahun untuk membawa isteri suspek ke HUSM bagi melawat anak perempuan suspek berusia 16 tahun yang dirawat di hospital berkenaan.

“Bagaimanapun dikatakan suspek tidak mengizinkan isterinya pergi menyebabkan berlaku pertengkaran antara tiga beradik itu.

“Suspek dikatakan pada mulanya sekadar memaki hamun dua adiknya dengan kata-kata kesat, tetapi tiba-tiba bertindak agresif apabila menyerang mereka menggunakan sebatang besi,” katanya.

Noorzainy berkata, akibat pergaduhan itu, mangsa dan adiknya mengalami kecederaan.

Susulan kejadian, mangsa yang bekerja sebagai mekanik membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang ingin membawa kakak ipar mereka ke hospital selain masalah keluarga antara mereka yang sudah lama berlaku. Selain itu, mangsa mendakwa suspek seorang yang panas baran,” katanya.

Kata Noorzainy, polis telah mengenal pasti suspek, namun belum ada tangkapan setakat ini.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah.

Padah buat 'drama' di rumah tumpangan


WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Julai 2014


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang masih berstatus ‘suami orang’ dikenakan denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, selepas ditahan bersama pasangannya dalam keadaan mengaibkan di sebuah rumah tumpangan.

Manakala pasangannya yang masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi dikenakan denda RM2,950 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan selepas Rozali Mohd, 37, bersama pasangannya Che Noor Aziemah Che Zainal Abidin, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Rozali yang bekerja sebagai pemandu bersama pasangannya mengaku salah melakukan satu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah di dalam sebuah bilik di sebuah rumah tumpangan di Tok Jembal, di sini, jam 11.15 malam pada 2 April lalu.

Mengikut fakta kes, satu serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah serta dibantu polis di rumah tumpangan berkenaan kira-kira jam 11.15 malam pada 2 April lalu.

Sebaik tiba, penguat kuasa bertindak mengetuk pintu bilik yang diduduki pasangan berkenaan dan pintu dibuka Rozali selepas beberapa kali salam diberikan.

Hasil pemeriksaan terdapat seorang wanita yang memakai singlet dan bertuala bersembunyi di dalam bilik air.

Soal siasat kemudian mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram.  

Pendakwaan dilakukan  Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Khanurulhajja Mustaffa di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail

Dua jam kerah tenaga tangkap tedung selar


  • Mohd Zabri (dua, kanan) menunjukkan ular tedung selar yang tumpas di tangan sekumpulan anggota JPAM di Kampung Baru Pengkalan Berangan, Marang, semalam.Mohd Zabri (dua, kanan) menunjukkan ular tedung selar yang tumpas di tangan sekumpulan anggota JPAM di Kampung Baru Pengkalan Berangan, Marang, semalam.
MARANG - JPAM Marang berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang enam meter di Kampung Baru Pengkalan Berangan di sini, malam kelmarin selepas bertungkus lumus selama dua jam.

Ular tedung selar rotan itu berjaya ditangkap selepas dikesan penduduk kampung yang melihat reptilia itu keluar dari sebuah rumah penduduk dan kemudiannya menyusur memasuki Pejabat Pertanian Pengkalan Berangan. Staf Tinggi JPAM daerah, Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehadiran reptilia itu kira-kira jam 8.15 malam sebelum menghantar sekumpulan enam anggota JPAM ke tempat kejadian.

Menurutnya, operasi berkenaan diketuai Kopral Wan Mohd Faizal Wan Ismail yang mengambil masa selama dua jam untuk menangkap ular tersebut yang bersembunyi di bawah timbunan kayu di dalam stor pejabat pertanian terbabit.

“Ular berkenaan dilihat keluar dari sebuah rumah penduduk, kemudian menyusur ke arah Pejabat Pertanian Pengkalan Berangan dan terus memasuki ke dalam bangunan pejabat pertanian sebelum ia berjaya dikesan berada dalam stor pejabat itu.

“Anggota JPAM mengambil masa selama dua jam untuk menangkap ular tersebut kerana keadaan dalam stor yang dipenuhi timbunan kayu menyukarkan kerja-kerja menangkap reptilia berbisa berkenaan,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di daerah berkenaan yang masih mempercayai ketangkasan JPAM menangkap reptilia berbisa yang  boleh membunuh mangsa dalam masa singkat.

Dua lelaki parah ditetak guna parang


  • Dua mangsa berlumuran darah diserang sekumpulan lelaki, malam kelmarin.Dua mangsa berlumuran darah diserang sekumpulan lelaki, malam kelmarin.

GEORGETOWN - Dua lelaki yang bekerja di pondok pengawal Mutiara Batu Ferringhi, di sini, cedera parah diserang sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang dan topi keledar, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.22 malam itu, kedua-dua mangsa berusia antara 22 hingga 24 tahun mengalami kecederaan di seluruh badan akibat ditetak dengan parang, sewaktu bekerja di tempat kejadian.

Mangsa dan rakannya secara tiba-tiba diserang oleh 15 lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa itu gagal mengenal pasti kesemua suspek kerana penjenayah itu memakai topi keledar bertutup.

Mangsa dalam keadaan berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Namun, salah seorang mangsa difahamkan putus jari telunjuk kiri.

Siasatan awal polis, mendapati mangsa juga tidak mengetahui punca kejadian dia dan kawannya diserang dan dipukul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut,  Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid  mengesahkan kejadian, berkata polis masih belum mengenalpasti punca kejadian.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tukang perabot maut jatuh tingkat 5


  • Polis mengangkat mayat Kam Tak untuk dibawa ke HPP.Polis mengangkat mayat Kam Tak untuk dibawa ke HPP.

GEORGETOWN - Seorang tukang perabot dipercayai maut setelah terjatuh dari tingkat 5, Blok 3, sebuah pangsapuri, di Lebuh Rambai, Paya Terubong, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.45 pagi, semalam, Cheong Kam Tak, 50, didapati maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepala, selain patah kaki kiri.

Menurut isteri mangsa, dua jam sebelum kejadian Kam Tak mengadu sesak nafas. Suaminya itu kemudian menaiki motosikal ke klinik di kawasan Air Itam.

Lebih kurang 10 pagi, suaminya pulang dan menyangkut kunci motosikal di dalam rumah sebelum keluar semula tanpa memberitahu ke mana hendak pergi.

Tidak lama kemudian, isterinya mendengar bunyi yang kuat, seperti sesuatu jatuh. Beliau bergegas keluar dan mendapati suaminya maut dalam keadaan berlumuran darah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid  mengesahkan kejadian itu, berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Mayat ibu tunggal ditemui dalam semak


23 Julai 2014


GUA MUSANG - Seorang ibu tunggal warga Thailand ditemui mati berlumuran darah di dalam belukar di belakang rumahnya di Batu Macang, Jerek, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mayat Rokiah Ismail, 66, dijumpai penduduk kampung pada pukul 2 petang ketika gerakan mencarinya selepas dia didapati hilang dari rumah Isnin lalu.

Beliau berkata, polis dari Balai Polis Bertam di sini yang menerima maklumat penemuan warga emas itu bergegas ke tempat kejadian dan pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala.

"Polis yang menjalankan siasatan di dalam rumah mangsa menemukan kesan darah di ruang dapur dan dipercayai mangsa dipukul di situ sebelum dibuang ke dalam semak di belakang rumahnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata, mangsa merupakan peniaga sayur kecil-kecilan di sekitar kampung itu dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan. - Bernama

Maut terkena tiga das tembakan


23 Julai 2014


MIRI - Seorang lelaki maut selepas ditembak dua lelaki dalam kejadian di Kampung Lusut, Taman Tunku, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, mangsa, Chiong Siong Yu, 45, dari Jalan Pujut 1, meninggal dunia di hospital selepas terkena tiga das tembakan di bahagian kanan muka dan bahu kiri.

Mangsa ditemui ditembak di sebuah kawasan yang dipercayai lokasi aktiviti sabung ayam dan siasatan polis di situ menemukan sembilan kelongsong peluru 45mm serta sebutir peluru hidup, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya siasatan awal polis juga mendapati mangsa ditembak oleh dua suspek bertopeng yang masing-masing membawa pistol.

Mengulas kes berbeza, Tian Kee berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun maut selepas dibelasah dua lelaki yang bersenjatakan parang panjang dan besi di belakang bangunan Bright Inn, Jalan Merpati, pukul 5 petang semalam.

Lee Hua Dung dari Piasau sempat melarikan diri ke sebuah kedai runcit berhampiran sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri, katanya.

Menurut Tian Kee, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Miri.

Siasatan polis mendapati mangsa diserang sebanyak dua kali oleh suspek yang sama iaitu kali pertama pada pukul 3.30 petang dan kali kedua pukul 5 petang, katanya.

Menurutnya kedua-dua kes diklasifikasi kes bunuh dan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun keseksaan. - Bernama

Warga emas dibunuh sebelum samun


  • Rahmat (tengah) menunjukkan rantai emas dan dua telefon bimbit yang dipercayai dicuri di kediaman mangsa. Rahmat (tengah) menunjukkan rantai emas dan dua telefon bimbit yang dipercayai dicuri di kediaman mangsa.

KOTA TINGGI - Hasrat seorang anak pulang beraya di kampung halaman di Felda Lok Heng Barat di sini, bertukar kepada majlis pengebumian ibunya.

Warga emas tersebut ditemui anaknya dalam keadaan tidak bernyawa, malam kelmarin, dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di kediaman mangsa.

Jariah Abu Bakar, 62, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah oleh anaknya yang kebetulan baru balik dari Kuala Lumpur untuk bercuti raya bersamanya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa seorang ibu tunggal tiga anak tinggal bersendirian di rumah tersebut.

Menurutnya, polis berjaya menahan lima suspek termasuklah sepasang suami isteri di beberapa lokasi berhampiran dalam tempoh tidak sampai 24 jam, dan suspek utama dalam kes ini adalah remaja berusia 15 tahun dan tidak bersekolah.

“Polis turut menemui barang mangsa yang dicuri iaitu dua telefon bimbit dan seutas rantai emas. Siasatan awal mendapati, suspek utama cuba melakukan pecah rumah dan telah masuk ke kediaman tersebut melalui bumbung.

“Supek juga bertindak memecahkan syiling rumah tersebut dan mangsa yang menyedari kehadiran suspek telah menjerit, menyebabkan suspek memukul mangsa dengan sebatang kayu di bahagian kepala sehingga menyebabkan mangsa maut,” katanya.

Rahmat berkata, semakan rekod jenayah ke atas semua suspek mendapati semuanya tiada rekod kesalahan lampau.

Semua suspek berusia lingkungan 15 hingga 28 tahun itu, direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, jiran mangsa, Jaliah Md Salleh, 58, berkata, mangsa yang bekerja membuat kuih raya dengannya sejak awal Ramadan lalu, ada memberitahu rumahnya dimasuki orang melalui tingkap bahagian belakang, Khamis lalu.

Namun, ketika kejadian itu mangsa kebetulan tiada dirumah kerana tidur di rumah anaknya.

“Ketika arwah datang kerja pada pagi Jumaat, dia bercerita tentang rumahnya yang dimasuki orang. Malah, kejadian tersebut bukanlah kali pertama berlaku kerana beberapa tahun lalu rumahnya juga pernah dimasuki pencuri.

“Pada hari sama, arwah juga ada memberitahu dia hendak buat kuih raya di rumahnya pada Sabtu. Sejak itu, saya tidak melihat arwah keluar rumah dan menyangka dia sibuk menyiapkan kuih raya,” katanya kepada Sinar Harian di kediaman mangsa di Felda Lok Heng Barat, dekat sini.

Dalam pada itu, Adun Sedili, Rasman Ithnain, menyeru agar masyarakat dapat mengambil langkah berwaspada terutama pada musim perayaan ini berikutan kejadian yang berlaku itu.

Berpura-pura pergi ke masjid


  • Abd Wahab (kiri) menyoal siasat lelaki yang memakai baju Melayu yang ditahan ketika sedang asyik berjudi dalam Ops Dadu, tengah malam semalam.Abd Wahab (kiri) menyoal siasat lelaki yang memakai baju Melayu yang ditahan ketika sedang asyik berjudi dalam Ops Dadu, tengah malam semalam.

TAMAN DESA PD – Temberang seorang lelaki berbaju Melayu kononnya mahu menunaikan solat Tarawih serta mengimarahkan 10 malam terakhir Ramadan di masjid pecah, apabila dia ditahan anggota polis ketika sedang asyik berjudi, tengah malam semalam.

Lelaki yang berusia akhir 30-an dan sudah berkahwin serta mempunyai anak itu turut mengaku menghabiskan wang sebanyak RM200 untuk berjudi ketika diserbu dalam Ops Dadu di Taman Desa PD, dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Abd Wahab Harun, Ops Dadu yang bermula jam 12.15 tengah malam dan berakhir jam 3 pagi itu diketuai oleh Asisten Superintenden (ASP) Zamsari Zainal bersama enam anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

Katanya, ketika serbuan, seramai 11 individu berusia 22 hingga 44 tahun ditahan ketika sedang asyik berjudi.

“Kesemua mereka dipercayai penduduk di sekitar Taman Desa PD ini dan mereka terdiri daripada lima Melayu, Cina (5) dan seorang India.

“Pihak polis turut menahan tiga lagi lelaki dipercayai penjaga premis serta merampas 37 set komputer.

“Penjaga premis gagal menunjukkan lesen perniagaan dan tangkapan di bawah Seksyen  4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Wahab berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak lapan serbuan Ops Dadu dijalankan   di premis yang terbabit dengan kegiatan judi di daerah ini hasil maklumat awam serta risikan polis.

“Daripada serbuan itu,  sebanyak 457 unit komputer telah dirampas dan dua individu telah dituduh di mahkamah,” katanya.

Katanya, operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bertujuan mengurangkan premis perjudian yang semakin banyak beroperasi secara haram di daerah ini.

“Pihak polis amat berharap kerjasama pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi dalam membanteras kegiatan berkenaan dari berleluasa.

"Kita akan terus menjalankan tanggungjawab ini tetapi dalam masa yang sama, kita juga amat memerlukan kerjasama dengan pihak berkaitan serta orang ramai untuk menjadi mata dan telinga polis,” katanya.

Pemilik restoran diberi amaran


  • Noridzuan bersama pegawainya meneliti dokumen berkaitan dengan restoran dalam pemeriksaan berkenaan.Noridzuan bersama pegawainya meneliti dokumen berkaitan dengan restoran dalam pemeriksaan berkenaan.

KUANTAN - Gara-gara mempamerkan tanda halal di papan tanda restoran, pemilik sebuah restoran yang menjual makanan ala mamak di Tanah Rata, Cameron Higlands diberi amaran bertulis agar tidak gunakan tanda itu.

Pihak pengurusan restoran itu juga diberi amaran menutup logo halal dalam tempoh tiga hari kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa Sijil.

Tindakan memalsukan logo halal adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan Dan Penandaan Halal) dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

Ketua Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, berdasarkan semakan dokumen dan temubual dengan pihak pengurusan, Restoran itu dimiliki seorang wanita beragama Islam berbangsa India.

“Namun apa yang mencurigakan adalah pemilik itu dikatakan tidak berada di negara ini dan hanya sekali sekala sahaja datang ke restoran itu menyebabkan timbulnya keraguan dan tanda tanya adakah nama wanita itu sekadar untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Alasan itu juga dianggap sebagai helah untuk menghalalkan penggunaan ayat al-Quran di premis makanan itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Jaip akan menyiasat perkara itu sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Katanya, restoran itu mempunyai dua pekerja dan seorang tukang masak beragama Islam.

Dalam pemeriksaan itu, Jaip meminta mengemukakan Sijil Halal Malaysia tetapi ternyata pengurus gagal berbuat demikian dan mengakui tidak memiliki Sijil Halal malah tidak pernah memohon Sijil halal.

“Restoran dibuka pada 3.30 petang untuk pelancong bukan Islam tetapi turut menjadi pilihan pelanggan Islam,” katanya.

Selain itu juga katanya, premis yang menjual ayam dan daging serta membekal makanan sejuk beku di Brinchang, turut diberi amaran kerana mempamerkan logo halal Malaysia tanpa Sijil halal sah.

Penggunaan logo halal pada banner iklan premis tersebut seolah-olah premis tersebut mempunyai Sijil halal dan boleh mengelirukan pengguna.

Lawatan pemantauan disertai seramai 11 pegawai dari Jaip, kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Raub, Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Agama Islam daerah.

Lima kali kedai kena pecah


  • Uthaya menunjukkan lubang pada pagar besi yang dibuka suspek sebelum memecah kunci mangga di kedai runcit milik keluarganya.Uthaya menunjukkan lubang pada pagar besi yang dibuka suspek sebelum memecah kunci mangga di kedai runcit milik keluarganya.

RAWANG - Seorang peniaga kerugian lebih RM2,500 apabila kedai yang disewanya dalam pasar moden Bandar Country Homes dimasuki pencuri Ahad lalu sekitar jam 2 hingga 3 pagi.

Mangsa, R Uthaya Kumar, 22, berkata, kedai milik keluarga yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu itu telah dimasuki pencuri sebanyak lima kali untuk tahun ini.

Menurutnya, dia syak kedainya dimasuki orang yang sama apabila turut merosakkan satu kamera litar tertutup (CCTV) dan melarikan dekoder yang mengandungi rakaman CCTV.

“Tahun lepas saya berjaya tangkap suspek bawah umur yang pecah masuk dalam premis melalui rakaman CCTV, kemudian ada kes kecurian lagi. Masa tu suspek tutup muka dengan kain. Kali ini CCTV dirosakkan dan dekoder dilarikan.

“Mereka turut melarikan barang jualan seperti minuman ringan, paket minuman 3 dalam 1, mainan serta sos,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dipercayai suspek masuk melalui pintu dengan memecahkan kunci mangga dari celah pagar besi.

“Tak pasti mereka potong mangga atau sebaliknya sebab setiap kali selepas kejadian kunci tersebut tidak ditemui.

“Kami memang ada tingkatkan ciri-ciri keselamatan termasuklah tukar kunci dan pintu yang lebih tebal, tapi pencuri lagi bijak menyebabkan kejadian sama berulang,” katanya.

Katanya, dia berharap supaya pasar moden menyediakan pengawal keselamatan yang boleh memantau kawasan selain memperketatkan laluan keluar masuk.

“Pernah beberapa kali terserempak dengan beberapa anak muda yang melepak di sini pada waktu malam sekitar jam 12 dan biasanya akan meminta mereka beredar.

“Kami juga pernah berkawal pada waktu malam untuk atasi masalah kecurian ini namun tidak berjaya menangkap suspek,” katanya.

Persiapan sambut Aidilfitri musnah


  • Makalsom menunjukkan bilik tidurnya yang hangus.Makalsom menunjukkan bilik tidurnya yang hangus.

GUA MUSANG - Persiapan sebuah keluarga untuk menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi lebur apabila rumah papan didiami mereka di Kampung Panggong Lalat, dekat sini, terbakar, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, turut musnah ialah empat motosikal, sebuah kereta dan wang tunai RM5,000 yang disimpan dalam sebuah bilik tidur, hasil bayaran gaji pekerja balak, Ahad lalu.

Makalsom Abdullah, 51, berkata, ketika kejadian dia sedang menoreh getah di Kampung Lebur Jaya, tidak jauh dari rumahnya, manakala suaminya, Harif Abdullah, 59, bekerja balak di kawasan hutan dekat Pos Blau.

Menurutnya, hanya tiga cucu yang masih kecil berusia 2 hingga 4 tahun bersama seorang anak saudara, Yati Mail, 19, yang baru datang kelmarin untuk menyambut Aidilfitri berada di rumah tersebut.

"Saya menerima panggilan telefon daripada anak saudara kira-kira jam 9.40 pagi memaklumkan rumah terbakar dan ketika saya tiba, api marak membakar keseluruhan rumah.

"Namun saya bersyukur kerana anak saudara saya pantas menyelamatkan tiga cucu saya, jika tidak mungkin keadaan akan lebih teruk," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Che Rusli Che Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran itu jam 9.46 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dengan lapan anggota diketuai Ketua Operasi, Azman Dollah segera ke lokasi kejadian.

"Kebakaran berjaya dipadamkan dalam masa 15 minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

15 individu tawar khidmat seks ditahan


23 Julai 2014


GEORGETOWN - Polis menahan 10 wanita dan lima pondan yang disyaki terbabit aktiviti persundalan dalam operasi di Lebuh Chulia di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, kumpulan wanita dan pondan terbabit yang berusia antara 20-an dan 30-an dilihat beraksi ghairah, dipercayai untuk memikat pelanggan.

"Apabila menyedari kehadiran polis mereka cuba melarikan diri bagaimanapun kawasan itu telah dikepung," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk diambil keterangan dan boleh didakwa kerana berkelakuan kurang sopan di tempat  awam.

Beliau berkata, polis akan terus membuat pemantauan bagi membendung kegiatan pelacuran serta persundalan di negeri ini tanpa mengira lokasi sama ada di jalanan mahupun hotel mewah. - Bernama

Bayi sembilan bulan, ibu maut kemalangan


  • Wajah comel Nurul Hannan ketika hayatnya. (Gambar kecil) Wajah kemesraan Helizam bersama Allahyarham Farah Natasha.Wajah comel Nurul Hannan ketika hayatnya. (Gambar kecil) Wajah kemesraan Helizam bersama Allahyarham Farah Natasha.

KUALA KUBU BHARU - “Saya sempat pegang-pegang, usap cucu sambil sembang dengan bapanya masa jumpa di pakir Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum berurusan di kaunter.

“Tapi tak sampai setengah jam saya terima panggilan seorang lelaki menggunakan telefon anak saya mengatakan mereka terbabit kemalangan dan cucu saya meninggal dunia,” kata Mohamad Ibrahim, 70, bapa mangsa kemalangan maut melibatkan tiga kenderaan di Jalan Ampang Pecah kira-kira jam 4 petang semalam.

Sejurus itu, Mohamad bergegas ke lokasi kejadian berdekatan selekoh menuju Darul Quran, Jakim, dekat sini dan mendapati menantunya, Helizam Ali Nafiah, 27, yang tersepit di tempat duduk pemandu sedang diselamatkan.

Manakala, anaknya Farah Natasha Mohamad, 27, dan cucunya, Nurul Hannan, 9 bulan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Belum reda dengan berita itu, Mohamad sekali lagi dikejutkan apabila anak tunggal daripada isteri keduanya itu disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di wad kecemasan.

Difahamkan, Helizam mengalami kecederaan parah di mana patah kedua-dua belah kaki dan kini sedang dirawat di Hospital Selayang.

Rancang beraya di kampung

“Kami memang nak bincang untuk beraya dengan keluarga. Anak-anak yang dari luar negara juga sedang bercuti untuk sama menyambut Aidilfitri di kampung, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Tapi ALLAH SWT sudah takdirkan begini, mereka pergi di bulan penuh barakah,” katanya.

Persiapan raya sudah dibuat

Sementara itu, ibu saudara Helizam yang dikenali sebagai Kak Maya berkata, besar kemungkinan segala persiapan menyambut Aidilfitri yang berbaki lima hari sudah disiapkan sepenuhnya memandang bayi terbabit merupakan anak sulung mangsa.

“Saya sudah dapat bayangkan mereka sudah membuat persiapan dan sudah beli keperluan anak sulung mereka.

“Lagi pun Farah Natasha perbaharui lesen sebab tarikh tempoh lesen tamat pada bulan kelahirannya bulan ini. Jadi mereka sudah siapkan lebih awal,” katanya.

Menurut Kak Maya, ibu Farah Natasha baru meninggal dunia Jumaat lalu dan jenazah Farah Natasya serta anaknya akan dikebumikan bersebelahan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Desa Kaloi.

Manakala, kakak Farah Natasha, Nurlina Mohamad, 41, dia pulang ke Malaysia semata-mata untuk menyambut Aidilfitri bersama seluruh keluarganya.

Bagaimanapun, dia terkejut setelah menerima panggilan mengatakan anak buahnya maut dalam kemalangan jalan raya.

“Ayah hubungi kata nak datang ke Ampang, Kuala Lumpur untuk berbuka di sana, tapi 10 minit lepas itu makcik pula hubungi katakan Natasya kemalangan dan bayi meninggal dunia.

“Lepas dapat berita itu kami terus ke sini. Saya sampai saja di unit kecemasan HKKB doktor beritahu Natasya sudah meninggal dunia dan tak sempat dirujuk ke Hospital Sungai Buluh,” katanya.

Dibawa menaiki van ke HKKB

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), A Rajoonaidu berkata, ketika kejadian beliau kebetulan melalui kawasan itu dan terlihat mangsa menahan kesakitan dan terus membawanya menaiki van beliau.

“Saya nampak dia sudah keluar kenderaan dan masa itu ada seorang jururawat dan saya minta tolong dia.

“Saya tak fikir panjang masa itu cuma mahu selamatkan dia saja,” katanya ketika ditemui di HKKB.

Dalam pada itu, Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong ketika melawat keluarga mangsa di Unit Forensik HKKB juga turut menghulurkan bantuan kewangan untuk pengurusan jenazah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob ketika dihubungi  Sinar Harian mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan mengenai punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Lebih 160 rumah musnah dilanda ribut


23 Julai 2014


TEMERLOH - Lebih 160 buah rumah, dua dewan orang ramai dan sebuah dewan sekolah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang melanda beberapa buah kampung di daerah Temerloh, petang semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, kebanyakan rumah berkenaan tercabut bahagian bumbung dan dinding akibat dilanda ribut kencang yang berlaku selama hampir setengah jam.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Batu Kapor, Kampung Sungai Buluh, Taman Saga dan Tanjung Kerayong, di Mentakab membabitkan 144 buah rumah manakala selebihnya di Kampung Bongsu, Kampung Paya Siput, Batu 7 Lanchang dan Felda Jenderak Utara, Kuala Krau.

Tiga buah dewan yang terlibat ialah Dewan Orang Ramai Kampung Batu Kapor dan Kampung Sungai Buloh serta Dewan Sekolah Kebangsaan Batu Kapor.

Ketua Kampung Batu Kapor Zambri Sulaiman ketika ditemui berkata ia merupakan kejadian ribut yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 40 tahun. Lebih 1,000 penduduk terjejas akibat ribut berkenaan.

"Walaupun ada kejadian ribut berlaku sebelum ini, namun ia tidak melibatkan kerosakan rumah yang banyak, tetapi kali ini ia agak buruk dengan angin yang kencang serta hujan lebat sehingga 98 buah rumah di Kampung Batu Kapor dan Kampung Sungai Buloh, rosak.

"Kejadian ribut tersebut amat mengerikan kerana ia datang dengan hujan lebat diikuti angin kencang serta awan yang gelap selama hampir setengah jam sehingga merosakkan rumah selain banyak pokok besar tumbang," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan segera kepada mangsa bagi meringankan bebanan lebih-lebih hampir menjelangnnya Aidilfitri.

Sementara itu seorang imam di Batu Kapor Mentakab Mohd Salleh Jarum, 48, berkata, ketika kejadian beliau bersama keluarga sedang berehat dan menonton televisyen sementara menunggu waktu berbuka.

"Ketika itu, hujan turun renyai-renyai sebelum tiba-tiba saya terdengar satu letupan kuat berlaku. Apabila ke dapur, saya dapati bahagian bumbung dapur dan tengah rumah tercabut dilanda ribut.

"Dalam keadaan ribut dan angin yang bertiup kencang itu, saya bersama isteri serta lima anak keluar rumah menyelamatkan diri dan dalam masa sama saya sempat melihat berpuluh-puluh atap rumah jiran turut berterbangan," katanya.

Beliau yang bekerja sendiri menganggarkan kerugian yang dialami lebih RM18,000 termasuk akibat kerosakan perabot rumah, barangan elektrik dan persiapan raya.

Katanya ini merupakan ribut kejadian terburuk sejak tinggal di kampung itu 35 tahun lalu. - Bernama

Remaja maut tersepit lif

Remaja maut tersepit lifGerik: Seorang remaja maut selepas lif pemunggah barang menghempap bahagian kepalanya dalam kejadian di sebuah kedai ubat di sini jam 7.20 malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharom berkata, mangsa Noor Syarmila Abu (gambar), 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala.

Katanya, tiada unsur jenayah ditemui berhampiran kawasan kejadian tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Gerik, Meor Mohd Meor Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.43 malam dan menggunakan alat menyelamat khas untuk mengeluarkan mangsa dengan operasi yang tamat pada jam 10.30 malam.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan menjenguk ke bawah dari lif yang dinaikinya seorang diri di tingkat satu setinggi kira-kira 4.5 meter dan pada masa sama dia tertekan butang turun menyebabkan tengkuknya tersepit.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Bersia Lama semalam selepas dibedah siasat di Hospital Gerik.

Sementara itu, ibu mangsa, Radziyah Khamis, 61, berkata beliau sempat membekalkan agar-agar kepada Noor Sharmila untuk berbuka bersama-sama rakan sekerjanya.
Ucap selamat tinggal pada ibu

Radziyah berkata, anak bongsu daripada sembilan beradik itu sempat mengucapkan selamat tinggal kepadanya dan adik beradik lain ketika mahu menunggang motosikal ke tempat kerjanya kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin.

Syarmila baru sebulan bekerja sambilan di kedai itu sebelum dia dijangka memasuki universiti pada September depan selepas menamatkan kursus matrikulasi di Kolej Matrikulasi Johor di Tangkak.

Mak cik terkedu sebaik mengetahui dia mengalami kemalangan itu pada jam 8 malam selepas diberitahu seorang saudara yang bekerja di kedai berhampiran.

Pada mulanya makcik menyangka hanya cedera ringan tetapi tidak sangka ia membawa maut, katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Radziyah berkata, dia terkilan kerana Noor Syarmila bukan saja tidak sempat berhari raya. Baju raya yang ditempah daripada kakaknya juga hampir siap, malah dia anak harapan keluarga belajar sehingga ke universiti.

Dia reda dengan kejadian yang berlaku beberapa hari menjelang ketibaan Aidilfitri.

Tiga kenderaan terbakar


2014/07/23

Kuala Lumpur: Tiga kenderaan termasuk sebuah lori bermuatan tanah merah terbakar di Plaza Tol Bandar Sunway, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) selepas lori terbabit dikatakan terbabas dan melanggar palang serta tembok tol berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan arah ke Shah Alam itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika menghampiri plaza tol berkenaan sebelum terbakar.


Akibat pelanggaran itu, dua kenderaan lain, termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang kebetulan berada di kiri dan kanan lorong tol berhampiran lori terbabit turut terbakar, manakala sebuah lagi kenderaan lain rosak teruk.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, semua pemandu dan penumpang semua kenderaan itu berjaya menyelamatkan diri, namun pemandu lori berkenaan tidak dapat dikesan dipercayai melarikan diri sejurus kejadian.

Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.36 petang dan dua jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala dan Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

Petugas tol cedera

Hanya wanita yang juga petugas di tol berkenaan dilaporkan cedera pada bahu dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, manakala yang lain selamat, katanya.
Katanya, kerja memadam kebakaran berakhir sejam kemudian dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Mayat disahkan pemilik feri terbalik


2014/07/23

Suncheon: Mayat yang dijumpai lebih sebulan lalu dalam sebuah ladang asam Korea Selatan sudah dikenal pasti pihak berkuasa dan ia adalah ahli perniagaan yang juga ketua keluarga pemilik pengendali feri terbalik April lalu, yang mengorbankan lebih 300 orang.

Polis memaklumkan semalam bahawa DNA dan cap jari dari mayat yang ditemui pada 12 Jun di selatan negara itu menunjukkan ia milik Yoo Byung-un, sasaran pencarian terbesar Korea Selatan yang dilakukan selama lebih dua bulan.


Kegagalan pihak berkuasa menahan Yoo menjadi beban politik kepada Presiden Park Geun-hye. Kerajaannya dikritik hebat kerana tidak mengendalikan bencana feri berkenaan yang kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, dengan baik.

Lima belas kru Sewol yang terselamat, termasuk kapten kapal itu kini dibicarakan atas tuduhan membunuh dan kelalaian. Bencana itu mencetuskan kesedihan dan kemarahan apabila beberapa krew didapati meninggalkan kapal, selepas mengarahkan penumpang tunggu dalam kabin.

Yoo, 73, dituduh menyalahgunakan dana, lalai dan mengelak daripada membayar cukai. Pihak berkuasa menawarkan ganjaran kira-kira AS$500,000 (RM1.58 juta) untuk penahanan beberapa ahli keluarga Yoo.

Ketua polis Suncheon, Woo Hyung-ho memaklumkan sidang media bahawa sebuah buku milik Yoo ditemui di kawasan itu bersama botol kosong produk minyak hati jerung yang dikilangkan keluarga Yoo.

Beliau berkata, polis mungkin akan melakukan ujian forensik lebih cepat, jika mereka mengenalpasti dua barangan itu. Kami tidak mengetahui bahawa buku itu ditulis Yoo, kata Woo. Kami mengakui kami tidak melakukannya dengan sempurna.
Seorang pegawai polis lain berkata pengumuman itu ditangguhkan kerana siasatan forensik DNA memerlukan tempoh 40 hari. Waktu kematian masih tidak pasti kerana mayat itu sebuah reput 80 peratus. Mayat dipindahkan semalam dari Suncheon ke Perkhidmatan Forensik Kebangsaan di Seoul.
AGENSI

18 maut pertempuran di Filipina


2014/07/23

Cotabato: Pertempuran sengit antara tentera Filipina dan pecahan kumpulan pemisah Islam di selatan negara itu meragut 18 nyawa dalam masa sehari keganasan, kata tentera, semalam.

Tujuh belas anggota Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan seorang anggota tentera maut dalam keganasan seharian itu kelmarin di Pulau Mindanao, kata komander tentera kawasan itu, Brigadier Jeneral Eduardo Pangilinan.


Seorang anggota tentera terbunuh ketika serangan. Tujuh belas anggota pemisah maut apabila tentera membalas tembakan, katanya kepada wartawan.

Pertempuran reda semalam tetapi tentera terus berwaspada, dengan helikopter tempur terbang rendah dan kereta perisai diletakkan di jalan raya di Bandaraya Cotabato, pusat perdagangan di kawasan itu.

Tidak berlaku pertempuran lain tetapi kami meneruskan operasi kami di darat, kata Pangilinan.

Kejadian bermula awal pagi kelmarin ketika pemisah BIFF menyerang pangkalan luar tentera di wilayah Maguindanao yang digegarkan dengan keganasan. Ia kemudian merebak ke wilayah Cotabato Utara berhampiran sebelum pemisah berundur.

Jurucakap BIFF, Abu Misry Mama, menyangkal dakwaan tentera, sebaliknya berkata cuma empat anggotanya terbunuh.
Cuma empat maut. Kami tidak pernah menipu mengenai angka kematian kerana satu penghormatan meninggal dunia sebagai mujahidin, katanya.

Beliau berkata, BIFF melancarkan serangan bagi membalas dendam di atas penculikan seorang penduduk Islam dan anak lelakinya pada 3 Julai lalu.

Tentera sebelum ini menafikan tuduhan beliau, menyifatkan ia sebagai propaganda.

Sembilan orang awam cedera

Agensi kebajikan sosial wilayah berkata, sekurang-kurangnya sembilan penduduk awam cedera dan lebih 300 keluarga lagi terpaksa melarikan diri disebabkan pertempuran berkenaan.

BIFF berpecah dengan kumpulan pemisah Islam utama, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada 2008. MILF menandatangani gencatan senjata dan mengadakan rundingan damai dengan kerajaan bagi pembentukan wilayah autonomi di kawasan dikuasai penduduk Islam itu di selatan Filipina.

Bagaimanapun, BIFF yang dipercayai cuma mempunyai beberapa ratus anggota, menolak rundingan dan masih menuntut penubuhan negara Islam berasingan di selatan.

Ia sebelum ini melancarkan serangan di Mindanao dalam usaha mengganggu usaha damai. Pelbagai kumpulan pemisah termasuk MILF melancarkan pemberontakan di selatan Filipina sejak 1970-an bertujuan mendapatkan kemerdekaan atau autonomi kepada minoriti Islam di Mindanao.
AGENSI

Taufan Rammasun ragut 46 nyawa


2014/07/23

Beijing: Angka kematian akibat ribut paling kuat pernah melanda China sejak beberapa dekad lalu mencecah 46 orang dengan 25 yang lain dilaporkan hilang, kata pihak berkuasa semalam.

Dalam masa sama, satu lagi taufan dijangka sedang menghampiri pantai timur negara itu.


Taufan Rammasun telah menyebabkan 19 orang mati di selatan pulau China dekat wilayah Hainan, 18 di barat daya Yunnan dan sembilan lagi di Guangxi, kata Kementerian Hal Ehwal Awam dalam satu kenyataan di laman webnya.

Lebih 620,000 orang telah dipindahkan dan seramai 252,000 memerlukan bantuan kecemasan, menurut kenyataan itu.
Sejumlah 37,000 buah rumah musnah sejak ribut pertama yang dikatakan dalam kategori taufan kuat melanda China pada petang Jumaat, dengan kelajuan angin melebihi 200 kilometer sejam.

Kementerian Hal Ehwal Awam awal pagi Rabu lalu berkata 33 orang telah mati akibat ribut.

Taufan paling ganas
Taufan paling ganas yang pernah melanda selatan China sejak 1973 itu juga menyebabkan kemusnahan di selatan wilayah Guangdong.

Rammasun - yang bermaksud Guruh Tuhan dalam bahasa Thailand - telah menyebabkan lebih 120 kematian di Filipina dan Vietnam, kata pihak berkuasa di sana.

Sementara itu, Taufan Matmo dijangka akan melanda pantai timur China pada hari ini, lapor Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC).

Matmo yang dikatakan memiliki kelajuan sehingga mencecah 173 kilometer sejam diramalkan akan melanda Taiwan lebih awal pada hari ini sebelum menuju ke barat China sepanjang tengah hari hingga ke petang.
AFP

Jumlah kematian denggi setakat ini 94 orang, naik 224 peratus


2014/07/23

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian kerana kes denggi di seluruh negara sehingga Ahad lepas ialah sebanyak 94 orang, meningkat 224 peratus berbanding 29 kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kementerian Kesihatan berkata, Selangor merekod kes kematian paling tinggi iaitu 38 orang berbanding tujuh orang tahun lepas sementara Johor mencatat 14 kematian berbanding tujuh orang tahun lepas.


Kuala Lumpur dan Putrajaya pula mencatat lapan kematian berbanding tujuh orang tahun lepas sementara Labuan dan Perlis tidak mencatat sebarang kematian, katanya dalan satu kenyataan.

Ia berkata jumlah keseluruhan kes demam denggi yang dilapor setakat ini tahun ini ialah 51,987 kes berbanding 14,755 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Daerah Petaling mencatat jumlah kes demam denggi paling tinggi iaitu 12,518 kes atau 30 peratus dari 51,987 kes yang dilapor setakat ini.

Kementerian Kesihatan berkata 32 pasukan terdiri daripada 95 anggota telah digerakkan bagi menjalankan aktiviti kawalan di Daerah Petaling sejak Isnin lepas. - BERNAMA 

MH17: Dua kotak hitam dihantar kepada penyiasat nahas udara di UK - Liow


2014/07/23
 
KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat antarabangsa telah memutuskan untuk menghantar dua kotak hitam daripada pesawat MH17 Malaysia Airlines kepada Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom untuk analisis forensik.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini adalah prosedur biasa bagi kotak hitam dihantar ke makmal terdekat yang ditauliahkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk dianalisis.


"Kedua-dua kotak hitam itu akan dibawa dengan kapal terbang ke Farnborough, United Kingdom, dengan diiringi oleh pakar-pakar Malaysia dan anggota pasukan penyiasat antarabangsa yang lain," kata beliau dalam kenyataan tiga perenggan di sini hari ini.

Pasukan Penyiasat Antarabangsa diketuai oleh Belanda.

Liow berkata keputusan ini adalah susulan persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua pemisah pro Rusia di kawasan itu, Alexander Borodai.

"Susulan persetujuan antara Perdana Menteri dan ketua pemberontak (timur Ukraine), Malaysia memperoleh hak terhadap kedua-dua kotak hitam MH17 itu. Seperti disebutkan Perdana Menteri, kotak hitam itu kemudian akan diserah kepada pasukan penyiasat antarabangsa untuk analisis," kata beliau. Pada Isnin, Malaysia memperoleh persetujuan bagi membawa keluar mayat penumpang dan kotak hitam penerbangan MH17 dan juga bagi para penyiasat antarabangsa mendapat laluan selamat ke tapak nahas di timur Ukraine.

Puak pemisah pro Rusia di timur Ukraine dilaporkan telah menyerahkan kedua-dua kotak hitam itu yang dijumpai di tapak nahas kepada pasukan penyiasat Malaysia pada Selasa.
Pesawat Malaysia Airline Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 krew, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, di timur Ukraine Khamis lalu, dipercayai ditembak menggunakan peluru berpandu dari darat ke udara. - BERNAMA

Polis tahan lelaki bantu siasat kes model


2014/07/23

Johor Bahru: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh model sambilan warga Estonia, Regina Soosalu dekat Pulau Rawa di Mersing, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan, berkata lelaki berusia 35 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu ditahan di Mersing, kelmarin.


Setakat ini, ada enam suspek yang ditahan dalam kes pembunuhan ini dan empat daripadanya polis memperoleh sambungan reman enam hari bermula semalam hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Selain siasatan kes bunuh ini, dua lagi suspek turut ditahan selama empat hari bermula kelmarin hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Akta Dadah Merbahaya 1952, katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada peringkat awal siasatan, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai lemas, tetapi kini menukarnya kepada pembunuhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999, katanya.

Insiden tembak jatuh MH17 mungkin 'kesilapan' - Risikan AS


2014/07/23

WASHINGTON: Pesawat MH17 mungkin ditembak jatuh secara 'silap' oleh anggota pemisah pro-Russia yang kurang mahir, kata pegawai risikan Amerika Syarikat dan menolak pendirian Moscow bahawa insiden itu hanya propaganda.

Bukti yang dikumpul mencadangkan bahawa puak pemisah melancarkan SA-11 dari darat ke udara yang menyebabkan pesawat Malaysia itu meletup pada Khamis lalu tetapi masih tidak jelas 'siapa yang memetik picu' dan mengapa.


"Penjelasan yang paling munasabah....ialah ia adalah satu kesilapan dan misil itu dilepaskan oleh 'kru yang kurang mahir' kerana peralatan senjata berkenaan memerlukan kemahiran dan latihan," katanya.

Pegawai itu berkata, beberapa insiden terdahulu dalam tempoh beberapa tahun di mana tentera Russia dan Amerika Syarikat tersilap menembak jatuh pesawat penerbangan awam.

Sebelum itu, pesawat Korea pernah ditembak jatuh oleh jet Soviet pada 1983 dan Tentera Laut Amerika Syarikat tersilap menembak jatuh pesawat awam Iran pada 1988. - AFP 

Dua beradik dihalau ibu, bapa kelaparan


2014/07/2

Kuala Terengganu: Dua beradik berusia lima dan tujuh tahun bukan sahaja ditemui kelaparan dan tidak terurus akibat dihalau ibu bapa, malah seorang daripada mereka turut memiliki beberapa kesan kecederaan lama disyaki akibat didera.

Kanak-kanak perempuan dan adik lelakinya itu ditemui seorang lelaki yang ternampak dua beradik itu di halaman rumahnya di Kampung Gong Kasim, Merchang, Marang, dalam keadaan menyedihkan pada jam 9 malam, Sabtu lalu.


Curiga melihat keadaan dua budak itu, lelaki mendekati mereka sebelum kedua-duanya mengaku sudah dua hari tidak pulang ke rumah kerana dihalau ibu bapa.

Dakwa kena halau

Lelaki itu membawa dua kanak-kanak itu ke Balai Polis Merchang. Polis mendapati kedua-dua mereka mengaku dihalau bapanya berusia 53 tahun dan isterinya yang juga rakyat Thailand, berusia 33 tahun.

Dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Mereka mendakwa berkeliaran di sekitar kampung selepas dihalau keluar rumah, katanya.
Susulan laporan dibuat, bapa kanak-kanak itu dan isterinya ditahan di rumah mereka di Kampung Gong Kasim.

Suspek yang bekerja sebagai nelayan dan isterinya mengaku mengabaikan dua beradik itu, katanya.

‘Ahli sihir’ dipukul sampai mati


Patna: Penduduk kampung di kawasan pedalaman timur India memukul hingga mati seorang wanita yang mereka dakwa ahli sihir.

“Mereka memukul wanita itu hingga mati kerana dituduh mengamalkan sihir,” kata Superintendan Sudhir Kumar Singh, ketua polis daerah Champaran Timur, tempat kejadian berlaku.


Menurutnya, 14 penduduk kampung sebelum itu berkumpul di depan rumah mangsa untuk menyelesaikan pertelingkahan mengenai hak milih tanah dengan keluarga wanita itu.



Mereka kemudian bertindak menyerangnya selepas menuduh wanita berkenaan mengguna sihir hingga menyebabkan penduduk kampung sakit.


“Ia bermula dengan perebutan tanah dan wanita itu menjadi mangsa balas dendam. Polis masih menyiasat,” kata Singh.


Bagaimanapun, sehingga ini, belum ada yang ditangkap kerana semua yang yang terbabit bersembunyi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23

Taufan ragut 46 nyawa


Pihak berkuasa berkata demikian ketika satu lagi taufan dilapor menghampiri pantai timur negara berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, Kementerian Hal Ewal Awam berkata, taufan Rammasun menyebabkan 19 orang terbunuh di pulau Hainan, wilayah di selatan China, 18 di Yunnan di barat daya negara itu dan sembilan lagi di Guanxi.
Menurut kenyataan berkenaan, lebih 620,000 penduduk tempatan terpaksa dipindahkan sementara kira-kira 252,000 memerlukan bantuan kecemasan sementara lebih 37,000 rumah musnah sejak taufan itu mula melanda China Jumaat lalu dengan membawa angin selaju 200 kilometer sejam.

Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menyatakan kira-kira 33 orang mati dalam bencana alam berkenaan.

Rammasun, angin yang paling kencang melanda China sejak 1973 turut membawa kemusnahan di wilayah Guandong.
Foto
PENDUDUK Lao Cai di utara Vietnam meredah banjir selepas kawasan itu dibadai taufan Rammasun, semalam.
Rammasun yang dalam bahasa Thai bermakna ‘Tuhan Ribut’ turut mengorbankan 120 orang di Filipina dan Vietnam.

Dalam pada itu, taufan Matmo dijangka membadai pantai timur China awal hari ini selepas melanda Taiwan semalam dengan membawa angin dengan kelajuan kira-kira 173 kilometer sejam. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/23