Search This Blog

Monday, July 21, 2014

Pemandu lori pecah amanah dijel, sebat


SHAH ALAM 21 Julai - Seorang pemandu lori dihukum penjara setahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan pecah amanah dengan menjual 50 kotak minuman keras bernilai RM5,600 milik majikannya, minggu lalu.
Hakim Jumirah Marjuki menjatuhkan hukuman itu setelah bapa empat anak, Ong Ghee Chuan, 46, mengaku bersalah menjual minuman keras jenama Tiger Beer itu tanpa kebenaran majikannya di BCK Alliance Sdn. Bhd., Taman Putra Prima Dalam, Sepang dekat sini pada 15 Julai lalu.-UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140721/ma_05/Pemandu-lori-pecah-amanah-dijel-sebat#ixzz386g2aHrT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penunggang motosikal maut


KUANTAN 21 Julai - Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas bertembung dengan sebuah kereta di KM88 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (menghala ke Karak) dekat Bentong malam tadi.
Mangsa, A. Devantaran, 39, dari Taman Hijau, Karak mati semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Karak akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian 8.35 malam itu pemandu kereta, Lukman Nur Hakim Md Terasid, 28, bersama isteri dan anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Bentong menghala ke rumahnya di Taman Wijaya, Karak.
"Sampai tempat kejadian dipercayai mangsa telah terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu dan keluarganya itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.-BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_10/Penunggang-motosikal-maut#ixzz386fk5TPb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cedera dibelasah penduduk


  • NoorzainyNoorzainy

BESUT- Seorang lelaki cedera selepas dibelasah penduduk kampung akibat dipercayai memecah masuk sebuah rumah dan melarikan sebuah mesin gergaji rantai dalam kejadian di Kampung Pa Da Malik dekat Alor Lintah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 29 tahun diberkas sepasukan anggota polis di rumahnya di Kampung Pak Wong selepas dimaklumkan orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, sebelum itu, pemilik mesin gergaji tersebut yang pulang ke rumahnya di Kampung Pak Da Malik kira-kira jam 8.30 malam mendapati dinding belakang rumahnya telah pecah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak sebelum mangsa  yang berusia 34 tahun menyedari sebuah mesin gergaji yang berharga kira-kira RM750 hilang.

“Mangsa sebelum itu meninggalkan rumahnya jam 3.30 petang dalam keadaan berkunci, namun terkejut setelah pulang apabila mendapati rumahnya dipecah masuk.

“Akibat kejadian itu mangsa bersama penduduk dikatakan telah mengesan suspek dan pergi ke rumah suspek yang tinggal di kampung sebelah (Pak Wong),” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa dan penduduk kampung kemudian berjaya menangkap suspek bersama mesin gergaji tersebut dalam rumahnya.

Katanya, ketika menangkap suspek, penduduk dikatakan telah memukul kaki suspek sehingga menyebabkan kecederaan.

"Polis yang dimaklumkan perkara itu telah pergi ke rumah suspek dan mendapati  suspek dalam keadaan terbaring dengan kakinya cedera sebelum dihantar ke Hospital Besut.

"Suspek kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan," katanya.

Beliau berkata, suspek sudah dibenarkan keluar hospital dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri.

Warga emas terselamat rumah dirempuh kereta


  • Keadaan rumah Habsah yang dirempuh dalam kejadian 3.30 petang kelmarin. Gambar kecil : HabsahKeadaan rumah Habsah yang dirempuh dalam kejadian 3.30 petang kelmarin. Gambar kecil : Habsah

BACHOK – Seorang warga emas yang asyik berehat bersama cucu-cucunya di ruang tamu terselamat apabila sebuah Toyota Vios merempuh rumahnya dalam kejadian pada jam 3.30 petang kelmarin.

Habsah Jaya, 71, berkata, ketika itu dia sedang berehat sambil menonton televisyen bersama cucu-cucunya di ruang tamu sementara beberapa cucunya yang lain berada di dapur dan di dalam bilik.

“Masa tu makcik terdengar bunyi dentuman yg amat kuat tetapi tidak tahu apa yang berlaku. Makcik hanya cepat-cepat ambil cucu dan keluar rumah untuk tengok apa yang berlaku.

“Bila keluar rumah tengok orang ramai dah penuh depan rumah. Kereta terperosok di penjuru sisi rumah tetapi pemandunya seorang wanita bersama anaknya dah keluar dari kereta. Alhamdulillah tidak ada kecederaan yang berlaku pada kami dan pemandu wanita itu dikatakan hanya cedera ringan,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kereta itu hanya dialihkan sekitar jam 6 petang. Habsah mendiami rumah tersebut bersama enam ahli keluarganya yang lain termasuk anak dan cucu-cucunya.

Akibat kejadian itu, bahagian penjuru kiri rumah Habsah yang diduduki sejak 1994 itu rosak. Dia bagaimanapun tidak mengetahui jumlah kerugian yang dialami akibat kejadian itu.

Pihak polis yang dihubungi menjelaskan tiada laporan dibuat berkaitan kes itu memandangkan ia diselesaikan dengan baik dipersetujui pihak terlibat.

Berhimpun bantah kekejaman Israel


  • Bendera Israel dibakar pada Himpunan Solidariti Gaza anjuran DDPK dan AMK Tanah Merah.Bendera Israel dibakar pada Himpunan Solidariti Gaza anjuran DDPK dan AMK Tanah Merah.

TANAH MERAH - Kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Masjid Mukim Alor Pasir, di sini, kelmarin, bagi membantah serangan kejam rejim Zionis ke atas Gaza, Palestin.

Dengan laungan ‘ALLAHU Akbar’ serta membawa kain rentang yang menyokong Palestin dan mengutuk Israel, perhimpunan itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Zionis terhadap penduduk Genting Gaza.

Bantahan yang diadakan selepas solat Jumaat itu anjuran bersama Pemuda Pas kawasan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) kawasan itu.

Exco Pemuda Pas Kelantan, Mohd Shazuwan Che Hamid berkata, serangan kejam yang dilakukan ketika umat Islam menyambut Ramadan itu membuktikan kerakusan rejim Zionis yang ingin menunjukkan kehebatan mereka.

“Jika kerajaan Zionis Israel berperikemanusiaan, mereka sepatutnya memberi peluang kepada rakyat Palestin untuk beribadat sempena bulan mulia ini tetapi mereka tetap melakukan serangan,” katanya, kelmarin.

Turut serta pada Himpunan Solidariti Gaza itu Ketua Pemuda Pas  kawasan Tanah Merah, Mohd Azmi Mat Zain dan Ketua AMK Tanah Merah, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran.

Serangan Israel terhadap Gaza ketika umat Islam menyambut Ramadan sehingga kini mengakibatkan lebih 200 penduduk Palestin terutama orang awam terkorban dan hampir 2,000 orang cedera.

Tambah Mohd Shazuwan, inisiatif AMK Tanah Merah bergabung dengan Pemuda Pas dalam menjayakan himpunan itu adalah tindakan segera bagi menyatakan kesepakatan kepimpinan anak muda di peringkat kawasan.

“Kami di peringkat kawasan bersependapat dengan rakyat negara ini, malah seluruh dunia supaya peperangan ini dihentikan dan menyelamatkan bumi Gaza dari serangan kejam rejim Zionis,” katanya.

Mohd Hafidz pula berkata, Kampung Alor Pasir dipilih lokasi himpunan itu kerana isu tersebut patut sampai kepada masyarakat luar bandar dan bukan hanya warga bandar atau golongan profesional.

“Soal kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin ini isu sejagat, bukan sahaja dari segi mencemari bulan Ramadan tetapi juga dari aspek sifat kasihan belas sebagai manusia.

“Kerakusan rejim Zionis ini melambangkan Israel ingin menjadi kuasa dunia, jadi saya mohon seluruh rakyat Tanah Merah bersama kami menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel dan juga Amerika yang ‘merestui’ serangan tersebut,” katanya.

Tukar susu dengan dadah


  • Tertuduh akan dihantar menjalani hukuman penjara selepas dihukum, semalam.Tertuduh akan dihantar menjalani hukuman penjara selepas dihukum, semalam.

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang gambarnya dimuat naik di laman sosial facebook ketika ditangkap kerana mencuri lima tin susu, 14 Julai lalu, mengaku mahu menukarkan susu itu dengan dadah.

Pengakuan dibuat oleh Abdullah Zawawi Yahya di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh mengaku mencuri lima tin susu pekat pelbagai jenama itu di sebuah kedai runcit di Kampung Pauh Panji, Kubang Kerian, di sini, pada jam 7.15 petang, 14 Julai lalu.

Padah daripada perbuatannya itu, Nik Habri menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari dan denda berjumlah RM500 atau diarah menjalani hukuman penjara tambahan dalam tempoh tiga bulan, jika denda itu gagal dijelaskan.

Pada prosiding semalam, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memberitahu mahkamah tertuduh yang berusia 43 tahun itu tinggal bersendiri dan tidak mempunyai keluarga.

Katanya, lelaki bujang itu juga sudah mengaku kesalahannya serta insaf dan menyesali atas perbuatan tersebut. Hukuman diputuskan Nik Habri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda di bawah seksyen berkenaan.

Dalam insiden tersebut, tertuduh ditahan oleh pengadu yang juga pemilik kedai runcit tersebut sendiri ketika cubaannya membawa lari susu-susu berkenaan keluar dari kedai pengadu.

Pengadu yang berjaya menangkap tertuduh di hadapan kedai berkenaan kemudian menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Gambar dia ditangkap ketika melakukan perbuatannya itu menjadi perbualan di facebook dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna laman sesawang berkenaan.

Tekong nyaris maut


  • Kereta Proton Wira milik Anuar ditarik naik ke tebing dekat Takbai, Thailand.Kereta Proton Wira milik Anuar ditarik naik ke tebing dekat Takbai, Thailand.

PENGKALAN KUBOR – Seorang tekong nyaris maut apabila kereta Proton Wira yang dinaiki terjatuh dari sebuah feri ketika dia dalam perjalanan menyeberangi perairan sempadan negara ini ke Takbai, Thailand petang kelmarin.

Mangsa, Anuar Latif, 50, dari Kampung Kemanyang, Bachok berjaya menyelamatkan diri selepas melompat keluar dari kereta tersebut apabila keretanya hampir menjunam ke dalam sungai Golok itu.

Kejadian pada jam 4.30 petang berlaku apabila sebuah lori sarat muatan ikan di dalam feri tersebut menggelongsor ke belakang ketika menaiki pelantar jeti  feri di Takbai, Thailand.

Anuar berkata, ketika kejadian dia berada di belakang lori itu menunggu giliran untuk naik ke tebing selepas feri berlabuh di jeti Takbai itu.

“Tiba-tiba saya nampak lori itu menggelongsor ke belakang, saya yang berada di dalam kereta terus menarik 'break tangan' manakala kaki pula dengan kuatnya menekan 'break'.

“Dua kali bunyi hentaman kuat apabila belakang lori itu melanggar bahagian depan kereta saya menyebabkan kereta saya bergerak ke belakang,” katanya.

Menurutnya, usahanya untuk menyelamatkan kereta itu tidak berhasil apabila separuh badan keretanya telah jatuh dari feri itu.

Katanya, dalam keadaan panik itu, dia terus membuka pintu kereta dan melompat keluar menyelamatkan diri, manakala keretanya terus jatuh dan tenggelam  ke dalam sungai Golok itu.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian hampir RM30,000 manakala dokumen penting seperti buku bank, lesen memandu dan kad pengenalan diri yang disimpan di dalam kereta itu tidak sempat diselamatkan.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian, mendapati usaha mencari kereta itu dilakukan oleh pasukan penyelam dari Tentera Laut Diraja Thailand yang beribu pejabat di Narathiwat dengan bantuan Royal Thai Police Marin dan Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor.

Kereta milik Anuar ditemui kira-kira 30 meter dari jeti feri Takbai pada jam 11.45 pagi semalam.

Sementara itu, Pengurus Feri Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Kubor, Mohd Noorli Md Nawi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, Kejadian berlaku di jeti feri Takbai apabila feri Malaysia membawa penumpang dari jeti feri Pengkalan Kubor  menyeberangi sungai Golok ke Takbai.

“Ketika kejadian, hanya tinggal lori muatan ikan dan kereta mangsa di dalam feri itu.

“Ketika lori itu menggelongsor ke belakang, ia telah melanggar kereta terbabit dan kereta itu bergerak dan terjunam dari feri,” katanya.

'Buat kuih guna air parit'


  • Air parit yang tidak dijamin kebersihannya terpaksa digunakan penduduk dalam melakukan kerja-kerja harian mereka.Air parit yang tidak dijamin kebersihannya terpaksa digunakan penduduk dalam melakukan kerja-kerja harian mereka.

GUA MUSANG - Hampir 300 penduduk di Kampung Mentara Lama, dekat sini, terpaksa menggunakan air parit berikutan kemudahan bekalan air yang terputus sejak tiga bulan lalu masih belum diambil tindakan.

Sinar Harian difahamkan, aduan telah pun dibuat penduduk namun tidak mendapat respons daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Penduduk, Norsaziera Mohamad, 22, berkata, dia kerap menghubungi AKSB bagi menyatakan kesulitan yang dihadapi, namun masih tiada tindakan daripada pihak terbabit.

“Kami kecewa dengan apa yang berlaku, bayangkanlah kami terpaksa menghadapi kesulitan ini pada bulan Ramadan.

“Kami terpaksa juga mandi dan membuat kuih raya menggunakan air parit yang tidak terjamin kebersihannya,” katanya.

Bagi Wan Maisarah Wan Harun, 30, pula mendesak pihak pengurusan tertinggi AKSB turun padang untuk melihat sendiri kesulitan yang dihadapi mereka.

Katanya, boleh dikatakan sepanjang hari penduduk berkumpul di parit berdekatan untuk mengangkut air bagi kegunaan di rumah khususnya memasak.

“Sepatutnya AKSB menghantar air dengan lori tangki bagi keperluan penduduk jika keadaan itu berlarutan, namun amat  tiada tindakan sedemikian dilakukan,” katanya.

Tidak sempat pakai baju raya

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang remuk.
Nik Hasnah menunjukkan seluar dan baju raya yang baharu dibeli Mohd Hafis Hafizi untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.
Nik Hasnah menunjukkan seluar dan baju raya yang baharu dibeli Mohd Hafis Hafizi untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.
TANAH MERAH - Hasrat seorang pemuda untuk memakai baju raya baharu Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila maut dalam nahas jalan raya di Kampung Batu 8, Batang Merbau, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Hafis Hafizi Muhamad, 28, mati apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 62.8, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dalam kejadian kira-kira jam 4 petang.

Nahas jalan raya itu turut menyebabkan penumpang kereta yang juga abang ipar mangsa, Aznan Muhamad, 36, cedera parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

Ibu mangsa, Nik Hasnah Ibrahim, 50, berkata, anaknya itu sempat mencuba seluar dan baju yang baharu dibeli sebelum keluar bermain futsal bersama rakan sekampung pada malam kejadian.

“Arwah beli baju dan seluar baharu untuk Aidilfitri tahun ini kerana sudah lama dia tidak ada pakaian baharu untuk hari raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Kulim, Machang, semalam.

Nik Hasnah berkata, dia turut tidak menyangka beberapa perubahan ditunjukkan anak keduanya daripada 12 beradik itu terutama pada malam kejadian menjadi petanda buruk akan menimpa.

“Paling ketara, arwah sempat bermain gitar dan menyanyikan lagu raya selepas berbuka puasa sehari sebelum kejadian sedangkan dia tak pernah buat begitu walaupun dia pandai main gitar.

“Pada hari sama, arwah juga pasang lampu ‘spotlight’ depan tangga rumah dan beritahu, hari raya tahun ini dia nak pasang lampu hiasan di sekeliling rumah,” katanya.

Tambah Nik Hasnah, perubahan anaknya itu turut disedari rakan-rakannya yang bermain futsal bersama pada malam kejadian apabila arwah yang merupakan seorang peramah berubah menjadi pendiam.

“Arwah memang periang dan suka bergurau hingga dia digelar ‘Tok Raja’ oleh kawan-kawannya tetapi pada malam kejadian, dia berubah menjadi pendiam.

“Arwah juga baharu bertunang dengan seorang gadis dari Kampung Kemuning pada 31 Mei lalu dan bercadang untuk kahwin selepas Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud mengesahkan kejadian dan siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kejadian berlaku apabila kereta Kancil dinaiki mangsa dari arah Jeli ke Tanah Merah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

“Kereta mangsa dipercayai cuba memotong deretan kenderaan sebelum bertembung dengan Mitsubishi Triton yang dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Jeli.

“Mangsa mati di tempat kejadian, manakala penumpang yang patah paha kiri, patah tulang rusuk kanan dan cedera di muka dihantar ke Hospital Tanah Merah,” katanya.

Miros: 29 terkorban setiap hari di jalan raya


  • Fuad melihat demontrasi menyelamat yang dilakukan oleh pasukan St. John Ambulans Kawasan Batu Pahat, semalam.Fuad melihat demontrasi menyelamat yang dilakukan oleh pasukan St. John Ambulans Kawasan Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menjangkakan 29 orang akan terkorban di jalan raya setiap hari pada 2020.

Ini berdasarkan kajian dilakukan terhadap sikap pemandu dan punca kemalangan di negara ini.

Kecuaian merupakan punca utama berlakunya kemalangan khususnya kemalangan maut yang meragut nyawa dan penunggang motosikal adalah mangsa tertinggi dalam berlakunya kejadian seumpama itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, buat masa ini, angka korban di jalan raya juga tinggi iaitu sekitar 18 individu maut setiap hari dan dijangkakan terus meningkat.

Menurutnya, kajian Miros itu menunjukkan hasil yang terlalu membimbangkan dan sepatutnya orang ramai memberikan kerjasama berhubung kesedaran kemalangan yang semakin meningkat pada masa kini.

“Walaupun banyak kempen keselamatan dibuat, World Health Ranking masih menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-20 di dunia dengan 34.5 kes kematian disebabkan kemalangan bagi setiap 100,000 penduduk.

“Perkara seumpama ini sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pengguna jalan raya sedar kecuaian dan kelajuan menjadi pembunuh utama di jalan raya,” katanya melalui teks ucapannya semasa perasmian Perkhidmatan Ambulan Kecemasan St John Ambulans Malaysia Sempena Aidilfitri 2014 Peringkat Negeri Johor.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Sulitnya, Ahmad Fuad Sarbini.

Ajal sejam sebelum berbuka


  • Mohd Yusri yang mengalami pendarahan teruk di kepala meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian. Gambar kecil: Mohd YusriMohd Yusri yang mengalami pendarahan teruk di kepala meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian. Gambar kecil: Mohd Yusri

KEMAMAN – “Lepas 10 minit selisih dengannya di tengah jalan, tiba-tiba saya dapat tahu dia maut langgar lembu,” kata bapa kepada seorang pelajar Kolej Universiti Tati (Tatiuc), Mohd Yusri Mohd Noor, 19, yang terbunuh dalam kemalangan kira-kira sejam sebelum berbuka puasa, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja secara sambilan sebagai juru kimpal di Bandar Baru Kerteh, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ranggon Estet sebelum melanggar seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba.
Nahas kira-kira jam 6.40 petang di Jalan Batu Putih berdekatan Lapangan Terbang Kerteh itu menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak sejauh kira-kira lima meter dari motosikalnya.

Mohd Noor Musa, 53, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, tragedi itu cukup memilukan, lebih-lebih lagi Aidilfitri hanya tinggal seminggu.

Katanya, ketika berselisih dengan anaknya itu, dia dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah sekolah menengah di Kerteh.

“Sebaik sampai, saya terima panggilan daripada seorang kenalan yang memaklumkan nahas menimpa anak. Tempat kejadian cuma dua kilometer dari tempat kerja saya. Saya bergegas ke sana, melihat jasad anak yang sudah kaku atas jalan, tubuh saya menggeletar, rasa sangat sedih,"  katanya.

Kata Mohd Noor, lidahnya kelu sebaik sahaja melihat jasad anaknya yang berlumuran darah kerana darah membuak-buak keluar dari kepala, sebelum orang ramai yang melihat kejadian itu menutupnya dengan sebidang tikar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pesakit hospital Gaza melimpah

Pesakit hospital Gaza melimpah
Pakar perubatan Aman Palestin Malaysia berkumpul sebelum menaiki bas untuk melepasi pusat pemeriksaan tentera Mesir kali kedua bagi memasuki Gaza melalui pintu Rafah, semalam. - Foto Ismail Mat 
Selepas hampir dua minggu Israel menyerang Gaza, keadaan di wilayah itu semakin meruncing dengan hospital dipenuhi penduduk yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis.

Pengarah Media Aman Palestin Malaysia, Anas Abdul Wahab, berkata keadaan di Gaza semakin tenat dan terlalu sukar untuk digambarkan.

Katanya, pihak berkuasa di Gaza juga meminta Kerajaan Mesir membenarkan ambulans dari negara itu mengambil pesakit yang sudah melimpah di hospital dan sempadan.

“Keadaan tidak dapat digambarkan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mengumpulkan semua rakyat asing untuk keluar dari Gaza,” katanya.

Sementara itu, riak wajah kekecewaan menyelubungi wajah setiap anggota misi perubatan kecemasan dari Malaysia dan Kesatuan Eropah apabila dihalang kali ketiga daripada memasuki Gaza menerusi sempadan Rafah, semalam.

Selepas lebih sejam menunggu semakan pasport di sekatan pemeriksaan tentera Mesir berdekatan Gerbang Al Arish, mereka diarah berpatah balik ke Kaherah dengan alasan pintu sempadan ditutup.

Mereka mencuba sekali lagi untuk kali ketiga, tetapi pihak berkuasa Mesir tetap tidak membenarkannya dengan memberi alasan keadaan di sebelah Rafah terlalu bahaya untuk dimasuki.
Walaupun wakil rombongan merayu agar dibenarkan meneruskan perjalanan, pihak berkuasa Mesir enggan bertolak ansur yang menyebabkan seluruh misi berpatah balik ke Kaherah.

Pakar bedah dari Jordan, Dr Wasfi Ijarah, melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak berkuasa Mesir yang disifatkannya sebagai tidak bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin.

Mesir lebih kejam 

“Mesir bukan setakat enggan membantu rakyat Palestin yang terperangkap di Gaza, malah lebih kejam apabila turut menghalang negara Islam lain daripada membantu rakyat Palestin.

“Walaupun berdepan kesukaran, saya tidak berputus asa untuk memasuki Gaza demi berbakti kepada tanah air kelahiran keluarga saya,” katanya sambil memaklumkan ibu bapanya terpaksa berhijrah ke Jordan sejak tahun 1948.

Pakar bius dari Hospital Columbia Setapak, Dr Hasbe Zuraina Abu Bakar, turut melahirkan kekecewaan kerana belum berpeluang memasuki Gaza selepas dua hari mencubanya.

“Saya kecewa kerana hasrat membantu mangsa peperangan terhalang,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Anak kelahiran Gaza, Dr Ramy Girshally dari Jerman, berharap dapat memasuki Gaza untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa peperangan.

“Walaupun dihalang, saya tidak akan berputus asa daripada terus berusaha masuk dan tidak akan pulang sepanjang tempoh lima minggu bercuti ini,” katanya yang berhijrah ke Jerman sejak 19 tahun lalu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyuarakan kebimbangan berhubung keganasan di Gaza dan menyatakan ia sudah meragut nyawa lebih banyak kanak-kanak serta perkhidmatan asas untuk kanak-kanak turut diserang.

Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak terbunuh dan 500 lagi cedera di Gaza, dan empat kanak-kanak Israel cedera di Israel, kata agensi itu dalam kenyataan dikeluarkan di New York.

“Lebih 1,780 keluarga di Gaza telah menyaksikan rumah mereka dimusnahkan dan ribuan orang lagi kehilangan tempat tinggal dan lebih 80 sekolah rosak akibat serangan itu,” kata UNICEF.

Rokok pelbagai jenama dirampas

Rokok pelbagai jenama dirampas
Khon Chiang melihat rokok yang dirampas pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor Bahru, semalam. - Foto Nur Aisyah Mazalan
 Johor Bahru: Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) dan Polis Mersing merampas rokok bernilai hampir RM500,000 secara berasingan di pantai Senggarang, Batu Pahat dan FELDA Tenggaroh.

Dalam serbuan jam 10 malam kelmarin, PPMW2 merampas 19,600 paket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM220,000 selepas mengejar sebuah bot di pantai Senggarang, Batu Pahat.

Komander PPMW2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata dalam operasi Ops Cantas Khas (Perairan) itu, PPMW2 turut merampas sebuah bot dengan satu enjin 200 kuasa kuda yang digunakan untuk menyeludup rokok dari negara jiran menerusi perairan Kukup hingga Batu Pahat.

Bot mencurigakan

Awalnya kami mengesan beberapa bot mencurigakan ketika meronda perairan itu sebelum menghampirinya untuk pemeriksaan tetapi bot berkenaan dipecut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bot peronda RH31 mengejar satu daripada bot berkenaan dan selepas 20 minit, ia dikesan menghala ke kawasan cetek di daratan pantai Senggarang sebelum tekong dan dua awak-awak melarikan diri ke hutan paya bakau.

Tahan dua lori
Pemeriksaan menemui 19,600 paket rokok pelbagai jenis yang dibungkus dalam karung khas, dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, katanya.

Pada kejadian lain, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing merampas rokok seludup bernilai RM200,000 selepas menahan dua lori berhampiran kilang FELDA Tenggaroh 4 pada jam 3 pagi, Rabu lalu.

Peniaga ikan sorok barangan seludup dalam stor


2014/07/21

Pengkalan Hulu: Seorang peniaga ikan dikesan menjadikan bilik tempat menyimpan ikan segar sebagai stor menyembunyikan pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM500,000.

Kegiatan dipercayai mula dilakukan secara kecil-kecilan dua tahun lalu bagi memenuhi permintaan penduduk setempat sebelum berkembang menjadi pengedar utama 15 jenama rokok seludup ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Suspek itu dipercayai berselindung di sebalik perniagaan ikan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dengan memasukkan rokok seludup ke dalam lori ikan ketika menghantar bekalan ke tiga negeri itu.

Serbu stor rokok

Susulan maklumat awam, seramai 14 anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perak menyerbu stor rokok seludup itu berhampiran sebuah stesen di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, jam 11.45 malam kelmarin.

Komander UPP Perak, Asisten Superintendan Kasturi Othman, berkata ketika serbuan, suspek berpura-pura menjadi pekerja dengan mengangkat pelbagai tong ikan bersama 10 pekerja selain berlagak tidak memahami pertanyaan diajukan.

Suspek menggeleng sambil menyatakan tidak faham apa yang ditanya, selain menafikan menyimpan rokok seludup dan enggan memberi kunci stor.
Bagaimanapun, dia mengalah dan menyerahkan kunci itu selepas anggota menyatakan pintu premis itu akan dipecahkan jika tidak diberi kunci, katanya di sini, semalam.

Kasturi berkata, stor terbabit dipenuhi kotak mengandungi 15 jenama rokok putih dan kretek yang dipercayai diseludup untuk dipasarkan ke beberapa negeri, terutama sempena Aidilfitri.

Pelajar nekad rempuh dua peragut


2014/07/21 -

Kuala Lumpur: Seorang pemandu wanita nekad merempuh bahagian belakang motosikal dua lelaki yang baru meragutnya dalam kejadian di Lorong Raja Muda Abdul Aziz menghala Jalan Tun Razak, semalam.

Kejadian pada jam 1 pagi itu, mangsa warga Kazakhstan, pelajar universiti swasta berusia 25 tahun diragut dua lelaki yang menaiki motosikal dengan memecahkan cermin sisi pemandu dengan cota sebelum meragut beg tangannya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata dua peragut itu kemudian memecut motosikal dengan melintasi pembahagi jalan ke arah bulatan Pahang sebelum mangsa mengejar dan melanggar belakang motosikal sehingga menyebabkan dua suspek itu tercampak.

Penunggang larikan diri

Katanya, penunggang motosikal itu kemudian melarikan diri bersama beg tangan mangsa dan pemboncengnya cedera parah sebelum motosikal yang dinaikinya dilanggar kenderaan yang datang dari arah Kampung Baru.

“Kenderaan wanita yang tersepit di pembahagi jalan menyebabkan sebuah kenderaan yang datang dari arah Jalan Tun Razak merempuh kenderaan mangsa.

“Bagaimanapun mangsa hanya mengalami cedera ringan dan suspek dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, mangsa kerugian hampir RM2,000 akibat insiden itu.

Zainuddin berkata, siasatan lanjut mendapati dua suspek yang berusia 18 tahun itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Pelajar Tahun Enam putus jari

Pelajar Tahun Enam putus jari
Rohaya Mohd Ali menemani anaknya Norhakime, ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, semalam. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
 Johor Bahru: Seorang murid Tahun Enam putus jari manis serta melecur tangan, paha dan perut apabila mercun bola yang dinyalakan meletup dalam tangannya.

Kejadian pada jam 10 malam Jumaat lalu itu juga mungkin menyebabkan mangsa, Norhakime Rozan, hilang dua lagi jari yang cedera terlalu parah.

Norhakime bersama 11 lagi kanak-kanak lain sedang bermain mercun dan bunga api di kawasan belakang kediamannya di Senai, apabila dia membakar mercun bola tetapi ia meletup dalam genggaman.

“Saya terduduk dan menahan sakit apabila nampak tangan berdarah, manakala kawan yang lain melarikan diri,” katanya yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Norhakime berkata, nasib dua lagi jarinya akan ditentukan hari ini selepas doktor sebelum ini mendapati ia sukar diselamatkan.

“Buat masa ini, doktor memasukkan tiub pada jari telunjuk dan tengah, namun sekiranya esok (hari ini) jari saya masih lebam (kehitaman), ia mungkin dipotong.

Sedih hilang jari
“Saya sedih sebab kalau hilang satu jari mungkin saya masih boleh menulis, tetapi macam mana kalau dua lagi turut dipotong,” katanya.

Sementara itu, kakak Norhakime, Nurashikin Rozan, 24, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang jiran sebelum bergegas mendapatkan adiknya.

“Ketika itu, saya melihat adik sudah dimasukkan ke dalam sebuah kereta jiran untuk dibawa ke hospital sebelum saya membuat laporan di Balai Polis Senai pada hari kejadian.

“Saya bersyukur kejadian itu tidak meragut nyawa adik walaupun dia cedera dan saya berharap nasib malang angkara mercun itu menjadi iktibar kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Ruslan Khalid, mengesahkan menerima laporan kejadian. 

Kemalangan jalanraya di persimpangan Bukit Jalil Lebuhraya Puchong- Sungai Besi

Kemalangan jalanraya di persimpangan Bukit Jalil Lebuhraya Puchong- Sungai Besi semalam. Kemalangan melibatkan 2 kenderaan. Mangsa seorang lelaki berbangsa India maut di tempat kejadian. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Bukit Jalil



Add caption

Kemalangan melibatkan 2 buah kereta di Jalan Jengka 13






Kemalangan melibatkan 2 buah kereta di Jalan Jengka 13 baru-baru ini. Mangsa seramai 2 orang cedera dan telah diserahkan kepada pihak Ambulan untuk tindakan lanjut. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Jengka.

Kemalangan jalanraya berdekatan Kilang Sony, Bandar Baru Bangi

Kemalangan jalanraya berdekatan Kilang Sony, Bandar Baru Bangi baru-baru ini. Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori. Mangsa seorang lelaki melayu berumur dalam lingkungan 60an meninggal dunia di tempat kejadian. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Semenyih, BBP Bangi bersama jentera EMRS Bangi.
Add caption
Add caption

Rela terjun sungai lari dari polis


Kansas (Amerika Syarikat): Seorang lelaki yang berbogel diselamatkan daripada mati lemas selepas dia terjun ke sungai ketika dikejar polis.

Sebelum kejadian, lelaki berkenaan cuba memecah masuk ke dalam beberapa kenderaan.



Polis memberitahu wartawan, lelaki itu ditangkap dan digari sebelum dia melarikan diri dan terjun ke sungai.

“Lelaki itu cuba melarikan diri daripada polis sebelum dia menanggalkan pakaian dan terjun ke dalam sungai,” kata jurucakap polis.

Video yang dirakam media menunjukkan suspek yang bergari berada di sungai berdepan dengan masalah untuk berenang.

Seorang anggota polis yang menanggalkan pakaian seragamnya juga dilihat berenang ke arah lelaki itu dan menariknya ke tebing.

Menurut polis, dua pegawainya terpaksa berenang untuk menyelamatkan lelaki berkenaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Mangsa ribut Rammasun di Filipina meningkat


Manila: Jumlah kematian akibat taufan Rammasun di Filipina kini 94 manakala enam dilaporkan masih hilang apabila satu lagi ribut membawa hujan lebat ke kawasan terbabit.

Rata-rata di Filipina, pekerja berusaha memulihkan elektrik untuk ribuan kediaman yang kehilangan bekalan sejak ribut melanda, minggu lalu.


“Kebanyakan kematian dilaporkan akibat pokok tumbang dan runtuhan bangunan manakala mereka hilang dilaporkan menaiki bot ke laut walaupun keadaan cuaca ketika itu buruk,” kata jurucakap Majlis Pengurusan Bencana Filipina Mina Marasigan.

Taufan itu kini ditiup ke selatan China, namun ribut baru dikenali sebagai Matmo pula mendarat di Filipina dengan kelajuan angin 150 kilometer sejam (kmsj) selain memburukkan lagi hujan di kawasan yang sebelum ini menjadi mangsa Rammasun.


Syarikat pengedar tenaga kedua Filipina, Manila Electric Co melaporkan lebih 400,000 kediaman di Manila masih terputus bekalan elektrik sejak taufan pertama yang membadai negara itu mendarat, Rabu lalu.


Filipina melihat kira-kira 20 ribut besar setiap tahun dan kebanyakannya membawa maut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

18 korban taufan di China


Beijing: Kadar kematian akibat ribut paling kuat di China sejak berdekad lamanya kini mencapai 17 orang dan jabatan kaji cuaca menjangkakan hujan lebat untuk beberapa hari akan datang.

Taufan Rammasun mengakibatkan lapan kematian di wilayah Hainan dan sembilan lagi di Guangxi, lapor agensi berita rasmi Xinhua.


Menurut pihak berkuasa tempatan, sekurang-kurangnya dua dilaporkan hilang manakala taufan paling kuat membadai China sejak 1973 itu kini bergerak ke utara.

Rakaman berita menunjukkan jalan raya dibanjiri air hujan lebat turun di Yunan manakala Internet dipenuhi gambar pokok tumbang, tanaman rosak dan jalan-jalan yang kosong di kebanyakan kawasan di selatan China.


Taufan itu pertama kali mendarat di China pada petang Jumaat lalu dengan kelajuan angin melebihi 200 kilometer sejam (kmsj).


Jabatan kaji cuaca di China mengeluarkan ‘amaran merah’ iaitu amaran tahap tertinggi mengenai Rammasun, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, ribut itu kini tidak lagi dilihat sebagai berbahaya kerana semakin kurang kesannya, lapor Xinhua.

Menurut Xinhua, semua lapangan terbang di Hainan dibuka semula semalam. Begitu juga perkhidmatan bas, kereta api dan feri.

Sementara itu, Pusat Kaji Cuaca China memberi amaran hujan lebat akibat taufan berkenaan mungkin dirasai di utara China untuk beberapa hari akan datang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

'Itu akaun palsu, bukan saya'


Tawau: Presiden Kelab Penyokong BN Sabah dan Kerajaan Datuk Mohd Jeffry Rosman mewakili kelab terbabit dan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara membuat laporan polis bagi meminta siasatan dilakukan terhadap satu akuan Facebook (FB) yang bernama Sim Kwang Yung dikatakan menghina juruterbang MH17 dan rakyat beragama Islam mengenai isu nahas terbabit.‎
Bagaimanapun Mohd Jeffry dalam kenyataannya turut meminta supaya orang ramai tidak bertindak melulu menuduh wanita berkenaan dan biar pihak berkaitan menjalankan siasatan mereka.
"Ketika laporan dibuat pagi tadi di IPD Tawau, kebetulan saya terserempak dengan pemilik penama Sim Kwang Yung yang tampil membuat laporan polis menafikan bahawa beliau membuat kenyataan berbaur menghina agama Islam dan juruterbang berkaitan nahas MH17 yang kini tersebar meluas di laman sosial," katanya.

Beliau berkata, akaun FB aslinya adalah Kwang ‎Yung Sim manakala yang palsu Sim Kwang Yung Sim dan perkara itu sudah dilaporkan kepada polis pada 2012 mengenai akaun palsu berkenaan," katanya dalam kenyataan di Facebooknya miliknya.
Foto
DATUK Mohd Jeffry Rosman bersama penama asal akaun Facebook di IPD Tawau.
Foto


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, pihaknya ada menerima tiga laporan polis berhubung isu terbabit termasuk penama asal akaun ‎Facebook terbabit.

"Tindakan akan diambil dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan, katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/19

Hanyut 16 jam


Mersing: Dua daripada empat mangsa bot karam di Perairan Pulau Rimau dekat sini, semalam, ditemui selamat awal pagi ini oleh sebuah bot nelayan tempatan selepas 16 jam terapung.
Mohamad Shafiq Nor Affandi, 22 dan Mohamad Syahkirin Khalil, 22, ditemui terapung di perairan Pulau Seri Buat, Rompin, Pahang kira-kira jam 7 pagi tadi oleh sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. 
Terdahulu, Mohamad Shafiq dan Mohamad Syahkirin bersama Mohd Faizal Baharudin, 38, serta Mohamad Izuddin Mahayuddin, 24, berlepas dari Mersing kira-kira jam 10 pagi menuju ke Pulau Tioman untuk menguji enjin bot gentian kaca milik Mohd Faizal yang baru dibaiki. 

Bagaimanapun kira-kira jam 3 petang ketika dalam perjalanan balik, tempat meletak enjen bot berkenaan tiba-tiba patah menyebabkan enjin sangkut 250 kuasa kuda itu jatuh ke dalam laut.
Foto
MOHAMAD Shafiq (kiri) dan Mohamad Syahkirin. FOTO Mohd Sah Muda

Mohamad Shafiq, berkata, ketika kejadian keadaan laut turut bergelora menyebabkan air mula masuk ke dalam bot sebelum tenggelam di perairan berdekatan Pulau Rimau di sini, tidak lama kemudian.

"Saya dan Mohamad Syahkirin hanyut dibawa ombak dan arus sehingga ke perairan Pulau Seri Buat di Perairan Rompin, Pahang. 

"Manakala, bapa saudara (Mohd Faizal) dan Mohamad Izuddin dihanyutkan ke arah lain," katanya. 

Mereka diselamatkan sebuah bot nelayan kira-kira jam 7 pagi tadi dan dibawa ke Pantai Air Papan di sini, sebelum menghubungi keluarga dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing sejurus kemudian. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintendan Zulkepli Hashim mengesahkan kejadian itu sambil berkata gerakan mencari dan menyelamat membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/20

‘Macam mana nak menulis...’


Johor Bahru: “Macam mana saya mahu menulis jika tiga jari saya dipotong?” tanya Norhakime Rozan, 12, selepas diberitahu tiga jarinya terpaksa dipotong berikutan cedera teruk akibat letupan mercun bola.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu terpaksa kehilangan jari manis tangan kanannya selepas mercun dimainkannya meletup di belakang rumah terletak di Senai di sini, jam 10 malam Jumaat lalu. 
Norhakime berkata, dua lagi jarinya terpaksa dipotong selepas doktor yang membuat pemeriksaan semalam memberitahu ia sukar diselamatkan. 

“Buat masa ini doktor cuba masukkan tiub pada jari telunjuk dan tengah. Namun, sekiranya esok (hari ini) jari saya masih lebam dan darah tidak mengalir, ia mesti dipotong juga.
Foto
NORHAKIME ditemani ibunya ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah, semalam.

“Saya sedih. Jika hilang satu jari mungkin saya masih boleh menulis. Tetapi macam mana jika dua lagi jari turut dipotong?” katanya ketika ditemui di Wad Kanak-kanak, Hospital Sultanah Aminah di sini, semalam.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/21

Pihak berkuasa digesa pantau baju-T kalimah Allah



JOHAN (dua dari kanan) bersama penduduk Semenyih menunjukkan baju-T yang dijual di salah sebuah kedai di daerah itu semalam.


SEMENYIH – Penduduk di daerah ini menggesa agar pihak berkuasa memantau setiap kedai di kawasan berkenaan ekoran terdapat penjualan baju-T yang tertera kalimah Allah.
Hasil aduan orang ramai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz telah membuat pemantauan di kedai Le Nora Souviner Boutique di sini pada awal pagi semalam bagi mendapatkan kepastian.
“Sebagai langkah berjaga- jaga saya telah membeli kesemua baju-T tersebut yang dijual pada harga RM10 sehelai bagi mengelakkan ia dibeli oleh orang ramai.
“Lebih dikesalkan apabila peniaga yang menjual baju- T ini beragama Islam dan sewenang-wenangnya mendakwa tidak menyedari baju itu tertera kalimah Allah,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz383OuEG2L 
Hakcipta terpelihara 

Khalid arah siasat wanita Korea pakai baju tertera ayat al-Quran


INILAH gambar wanita Korea memakai pakaian yang tertera ayat suci al-Quran yang tersebar di laman sosial.


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat wanita warganegara Korea yang memakai baju tertera ayat al-Quran di sebuah pasar raya di Ampang dekat sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan akan diambil mengikut perun- tukan undang-undang sedia ada.
“@PDRMsia (PDRM Malaysia) peka dengan apa yang berlaku. Insya-Allah kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada. Percayalah.
“PDRMsia tidak akan bias (berat sebelah). Semua kesalahan akan disiasat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kita semua perlu menghormati sistem undang-undang kita,” katanya dalam entri terbaharu Twitternya semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz383O0pDOV 
Hakcipta terpelihara 

Ezany khuatir isteri dilarikan


Lizda Nuryanti


PUCHONG – Belum reda dengan isu penceraian, pelakon Ezany Nizariff sekali lagi dilanda musibah apabila dia mendakwa isterinya dilarikan oleh seorang lelaki di rumahnya di Seri Kembangan di sini Khamis lalu.
Ezany ketika ditemui di Balai Polis Kinrara berkata, dia menyedari kehilangan isterinya, Lizda Nuryanti Abidin, 32, kira-kira pukul 4.30 pagi ketika dia hendak bersahur.
“Bila bangun, saya tengok dia sudah tiada dan saya kemudian turun ke tingkat bawah rumah mencarinya sebelum menyedari pintu utama tidak berkunci.
“Saya berkali-kali hubungi telefon bimbitnya tetapi gagal. Saya juga menelefon ahli keluarganya di Labuan, namun mereka maklumkan Lizda tidak pulang ke kampung pun,” katanya selepas membuat laporan polis semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz383NqTo1G 
Hakcipta terpelihara 

Tukar taktik elak dicekup


MENJELANG Aidilfitri tidak lama lagi, kes-kes kecederaan akibat bermain mercun terus meningkat. Sejak awal Ramadan hingga kini, kes-kes remaja tercedera mahupun terputus jari akibat mercun masih berlaku.
Kekerapan kes kecederaan akibat mercun yang dilaporkan menimbulkan pelbagai persepsi bahawa barangan larangan itu lebih mudah ditemui di Kelantan berbanding negeri lain.
Ikuti siri kedua laporan khas mengenai mercun oleh wartawan Utusan Malaysia, ZAAIN ZAIN dan YATIMIN ABDULLAH serta jurugambar, ROSNI MASRI.
KOTA BHARU 20 Julai - Penyeludup mercun yang sebelum ini aktif membawa masuk mercun dalam kuantiti besar kini menukar taktik dengan membawa masuk sedikit demi sedikit barang larangan itu ke dalam negeri ini bagi mengelak dikesan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim (gambar) berkata, taktik baharu itu menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan kegiatan para penjenayah terbabit pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Selain mengaburi mata pihak berkuasa katanya, taktik itu juga mengelak para penyeludup mengalami kerugian besar sekiranya ditangkap.
"Dahulu para penyeludup membawa masuk mercun menggunakan lori. Modus operandi mereka bagi tahun ini agak berbeza kerana membawa masuk dalam kuantiti kecil menggunakan kenderaan biasa," katanya.
Mazlan dalam pada itu memberitahu, sejak Januari sehingga 12 Julai lalu, polis merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM376,000 dalam operasi yang dilakukan di seluruh negeri ini.
Sementara itu katanya, nilai rampasan mercun sepanjang tahun lalu adalah RM591,000 manakala pada 2012, nilai rampasan adalah sebanyak RM487,000.
"Jumlah individu yang ditahan kerana menjual mercun setakat ini adalah empat orang berbanding 23 orang pada tahun lalu dan 43 orang pada 2012.
"Tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap individu yang bermain mercun pada tahun ini berbanding 11 dan 22 orang pada 2013 dan 2012," katanya.
Menurut beliau lagi, bagi tahun ini, tiga kes kecederaan akibat bermain mercun dilaporkan berbanding tujuh kes pada 2013 dan 19 kes pada 2012.
Katanya, rampasan mercun kebanyakannya dibuat di Bukit Bunga, Jeli; Lalang Pepuyu, Tanah Merah; Rantau Panjang; Jeram Perdah dan Meranti, Pasir Mas; Pengkalan Kubur, Tumpat serta Binjai, Kota Bharu.
"Mercun yang paling banyak dirampas adalah mercun bola, mercun ketupat, mercun das dan 'happy boom'," katanya sambil memberitahu kesemua kes membabitkan mercun disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_04/Tukar-taktik-elak-dicekup#ixzz383LeKp29
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga pejabat Exco dipecah masuk


PEJABAT salah seorang Exco yang dipecah masuk di Wisma Negeri, di Seremban, semalam.


SEREMBAN 20 Julai - Empat buah bilik termasuk tiga pejabat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) di Wisma Negeri dipecah masuk petang semalam.
Tiga pejabat Exco yang terlibat ialah pejabat Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Ke­sejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaludin Alias; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Abd. Razak Ab. Said.
Menurut Jalaludin, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 2 petang, namun disedari kira-kira empat jam kemudian oleh pihak keselamatan.
"Antara barangan milik saya yang dilarikan ialah iPad dan disket. Setakat ini kita masih menyiasat sama ada dokumen rasmi turut hilang daripada simpanan.
"Selain pejabat saya, dua lagi pejabat Exco dan sebuah stor Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang terletak di aras yang sama turut dipecah masuk," katanya ketika ditemui hari ini.
Ini merupakan insiden kali kedua berlaku melibatkan pejabat Exco dipecah masuk selepas pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli pada 25 September lalu.
Pemeriksaan mendapati suspek memasuki bilik tersebut dengan meme­cah tombol pintu dan cermin sebelum menggeledah dan melarikan barangan berharga.
Jelas beliau, satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh unit keselamatan pejabat (SUK) pada hari yang sama.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Baharuddin Mustapha menjelaskan, pihaknya menerima laporan polis berhubung insiden itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_06/Tiga-pejabat-Exco-dipecah-masuk#ixzz383LJhN5O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Diesel bersubsidi 21,000 liter dirampas


BERUAS 20 Julai - Sebanyak 21,000 liter diesel bersubsidi yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak dalam satu serbuan di Bagan Panchor, di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 4 pagi melalui Op Titik, KPDNKK turut merampas sebuah lori tangki yang digunakan sindiket terbabit dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM207,540.
Difahamkan, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah dengan membeli bahan api itu daripada bot nelayan tempatan sebelum menyimpan dalam sebuah tangki berkapasiti 27,000 liter.
Selepas tangki itu penuh, minyak tersebut akan dipindahkan ke dalam sebuah lori tangki sebelum diseludup melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah ke negara jiran.
Timbalan Pengarahnya KPDNKK Perak, Mohd. Khalis Kasim berkata, pihaknya berjaya menggagalkan kegiatan sindiket tersebut untuk menyeludup sebanyak 21,000 liter diesel bersubsidi yang disimpan di sebuah pelantar nelayan di situ.
"Kita juga berjaya menahan seorang pemandu lori dan seorang penjaga masing-masing berusia 40-an ketika sedang mengepam minyak tersebut ke dalam lori dari tangki tersebut.
"Mereka bijak menyembunyikan kegiatan itu dengan berselindung di sebalik pusat pengumpulan diesel yang terletak di kawasan penempatan nelayan yang sesak," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menahan kedua-dua lelaki itu bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, beliau berkata, setakat semalam pihak KPDNKK negeri berjaya mematahkan sebanyak 26 kes penyelewengan diesel sejak Ops Titik bermula pada 15 Mei lalu.
"Sebanyak 12 kes dicatatkan di Manjung, Gerik (5), Taiping (3) dan masing-masing dua kes di Ipoh, Parit Buntar dan Tapah dengan nilai rampasan tersebut mencecah lebih RM1.03 juta," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_05/Diesel-bersubsidi-21000-liter-dirampas#ixzz383LDFdEZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

UPP rampas mercun, bunga api bernilai RM200,000


RUSLI Karim (tengah) bersama dua anggota Unit Pencegahan Penyeludupan menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas di Ibu Pejabat UPP Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR
KOTA BHARU 20 Julai - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas sebanyak 167 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM200,000 di Kampung Saujana, Besut dekat sini, kelmarin.
Komander UPP negeri, Rusli Karim berkata, berdasarkan maklumat daripada orang awam, pihaknya membuat risikan di kawasan Kampung Tok Bali pada pukul 7 pagi sehingga berjaya mengekori sebuah lori yang disyaki membawa mercun tersebut.
"Kita mengekori lori ini sehingga masuk ke kawasan Terengganu, pemandu lori tersebut bertindak memecut laju apabila mula menyedari kenderaannya diekori.
"Kita berjaya menahannya di kawasan Kampung Saujana dan pemandu lori ini meninggalkan kenderaannya di sini lalu melarikan diri," katanya kepada pemberita di ibu pejabat UPP Kota Bharu di sini hari ini.
Rusli berkata, kesemua mercun tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan untuk dipasarkan di Kuala Lumpur.
"Kita lihat pada tahun ini, ada beberapa model baharu mercun dan salah satu antaranya dinamakan sebagai mercun bom. Model ini sangat berbahaya.
"Barangan rampasan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Rusli berkata, pihaknya merampas 60 kotak mercun serta bunga api yang dianggarkan bernilai RM60,000 di Kampung Meranti, Pasir Mas pada 12 Julai lalu.
"Rampasan tersebut dibuat selepas pihaknya mengekori sebuah lori di kawasan tersebut sebelum ditinggalkan oleh pemandunya yang melarikan diri," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_03/UPP-rampas-mercun-bunga-api-bernilai-RM200000#ixzz383KwhxIa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis siasat wanita Korea


GAMBAR yang disebarkan melalui laman sosial menunjukkan seorang wanita Korea memakai pakaian bertulis perkataan ayat al-Quran di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 20 Julai - Polis telah mengenal pasti wanita Korea yang gambarnya tersebar di laman-laman sosial semalam kerana memakai baju bertulis ayat suci al-Quran ketika membeli barangan di sebuah pasar raya di Ampang dekat sini.
Wanita itu kini sedang dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 398 Kanun Keseksaan iaitu menghina agama bagi menimbulkan ketidakpuasan hati.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) melalui laman Twitternya berkata, tindakan lanjut terhadap wanita itu akan diambil tidak lama lagi.
"@PDRMsia dah mula siasat kes 'makcik' tu. Dia Korean, baru sampai sini, beli baju tu dari India. Biarlah kita siasat lebih lanjut, harap bersabar.
"Ada yang @PDRMsia dapat ambil tindakan segera, ada memerlukan masa untuk kita bertindak secara rasional. Kami akan laksanakan tanggungjawab kami," katanya dalam laman berkenaan.
Khalid juga menegaskan, polis akan menjalankan siasatan itu dengan telus dan menasihati orang ramai supaya bersabar.
"@PDRMsia tidak akan bias. Semua kesalahan akan disiasat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kita semua perlu hormat kepada sistem undang-undang kita.
"@PDRMsia peka dengan apa yang berlaku. Insya Allah kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada. Percayalah," ujarnya.
Semalam, pengguna laman sosial Facebook berang selepas menyaksikan gambar wanita itu secara selamba memakai baju kaftan bertulisan al-Quran ketika sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di Ampang.
Malah, satu lagi gambar menyaksikan seorang lelaki menegur wanita terbabit setelah dia dikatakan tidak senang hati melihat perlakuan biadab itu yang jelas menghina umat Islam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi memberitahu, satu laporan polis sudah dibuat oleh pihak berkuasa selepas mendapat maklumat berhubung kejadian itu di laman sosial berkenaan.
"Bertindak atas perkara itu, polis kini sedang mengesan wanita berkenaan untuk mengetahui cerita sebenar. Dia dipercayai seorang pelancong yang baru datang memasuki negara ini.
"Oleh demikian, saya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana polis kini sedang menjalankan siasatan tentang perkara itu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140721/je_02/Polis-siasat-wanita-Korea#ixzz383KjW3ZL
© Utusan Melayu (M) Bhd