Bumbung rumah daripada dua blok rumah teres Taman Sri Kulim berselerakan selepas kejadian ribut petang, kelmarin.
PASIR PUTEH - Lebih 37 rumah, termasuk 18 rumah teres daripada dua blok di Taman Sri Kulim, Kampung Gong Kubur, di sini, terjejas teruk akibat ribut petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, ribut turut merosakkan bumbung rumah di Kampung Gong Kua, Dalam Kemunting, Kampung Tok Nik dan Kampung Padang Siam.
Kejadian di Kampung Gong Kubur paling teruk apabila bumbung daripada 11 rumah teres blok D diterbangkan angin dan menghempap deretan bumbung rumah di blok C sehingga menjejaskan persiapan berbuka puasa sekurang-kurangnya 18 keluarga.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, bantuan segera RM500 setiap keluarga daripada Tabung Serambi Makkah disampaikan kepada 18 mangsa bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dermawan dialu-alukan untuk tampil membantu mangsa ribut di daerah ini lebih-lebih lagi kejadian itu berlaku dalam bulan Ramadan.
“Saya berharap semua mangsa bersabar dan mengingati bahawa ini semua ujian daripada ALLAH SWT yang datang tanpa diduga. Kerajaan akan berusaha membantu mangsa.
“Saya amat bersimpati kerana bencana ini berlaku ketika kita bersiap sedia untuk menyambut hari raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi; Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim; Adun Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah; Ahli Parlimen, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamed.
Mangsa, Hasmayati Yusof, 49, berkata, ketika kejadian dia memasak lauk untuk berbuka puasa sebelum terkejut dan berlari meninggalkan dapur.
“Saya mendapatkan cucu saya selepas terdengar dentuman kuat, saya lihat bumbung diterbangkan angin dan ketika itu saya menyangka hanya rumah saya terjejas teruk.
“Saya terus keluar dari rumah dan mendapati semua rumah di blok D ini mengalami nasib sama. Semua bumbung diterbangkan angin kencang tidak sampai seminit,” katanya.
Taman Sri Kulim di Kampung Gong Kubur yang mempunyai tujuh blok dan berusia 25 tahun itu diduduki kira-kira 355 penghuni daripada 71 keluarga.
Seorang lagi mangsa, Che Noh Busu, 60, berkata, dia sempat melihat bumbung sebahagian besar rumahnya terangkat ketika dia membantu isteri, Zalida Zakaria, 43, mengemas rumah.
“Saya hanya memikirkan keselamatan dua anak saya berusia tiga dan 11 tahun. Alhamdulillah kejadian itu berlaku ketika kedua-duanya berada di tempat selamat,” katanya.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, jawatankuasa khas dibentuk bagi membantu mangsa ribut di Kampung Gong Kubur dengan lebih bersistematik.
“Kita mungkin tidak sempat membantu menyiapkan bumbung rumah mereka sebelum hari raya memandangkan jaraknya hanya dua minggu lagi, kerosakan ini terlalu besar dan mesti dibina secara serentak,” katanya.