Search This Blog

Friday, July 18, 2014

Tragedi MH17

Suspek samun bogel dicekup


  • Raja Shahrom (kiri) menunjukkan barangan yang disamun geng berkenaan.Raja Shahrom (kiri) menunjukkan barangan yang disamun geng berkenaan.

BUKIT BERUANG - Sekumpulan lapan lelaki yang aktif melakukan samun sejak awal tahun lalu termasuk beberapa siri ‘samun bogel’ Mei lalu akhirnya berjaya
ditumpaskan polis dalam serbuan berasingan sejak 3 Julai lalu hingga semalam.

Tangkapan membabitkan suspek berusia 19 hingga 41 tahun itu membongkar rahsia dalangnya merupakan orang kena tuduh (OKT) yang diberi jaminan sebanyak RM18,000 oleh mahkamah di negeri ini selepas didakwa atas kesalahan sama, 14 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisoner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kumpulan dipanggil Geng Rolex sebelum ini, kini diberi gelaran Geng Fajar berikutan kegiatan jenayah yang dilakukan selepas waktu subuh.

“Kesemua ahli kumpulan ini ditangkap bermula 3 Julai lalu membabitkan dua suspek yang dipercayai sedang melupuskan barangan samun di Kuala Lumpur disusuli tangkapan kedua terhadap tiga lelaki di Batu Berendam keesokan harinya.

“Hasil soal siasat, kami menahan seorang lelaki juga ketua mereka yang berusia 41 tahun di sebuah hotel di Genting Highlands sebelum menangkap dua lelaki di lokasi sama jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di yang turut dihadiri Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) negeri, Deputi Superintendan Mohd Ali Mohd Mydin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Menurut Raja Shahrom, pihaknya turut berjaya merampas pelbagai barangan dipercayai milik mangsanya dianggarkan berjumlah lebih RM40,000 iaitu tiga unit komputer riba, iPad (2), jam tangan mewah pelbagai jenama (4) dan telefon bimbit pelbagai jenis (22).

“Modus operandi mereka menaiki kereta seperti Toyota Camry, Altis dan Vios sebelum melakukan samun dengan bertopeng serta bersarung tangan ketika mangsa membuka pintu pagar rumah untuk keluar rumah antara jam 6 hingga jam 9 pagi.

“Mangsa diikat atau dikurung di dalam bilik air sebelum semua barang berharga dan minuman keras milik mereka disamun, malah terdapat kes suspek turut mengambil gambar bogel mangsanya sebagai ugutan supaya tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, siasatan menunjukkan kenderaan digunakan ketika melakukan kegiatan jenayah itu adalah milik suspek yang menggunakan nombor pendaftaran palsu milik kenderaan lain selain semakan mendapati ketua kumpulan mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes samun.

“Siasatan juga mendapati kumpulan ini dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di negeri lain, tiga daripadanya juga dikehendaki di beberapa negeri dan semakan mendapati ketua kumpulan ini mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan jenayah sama,” katanya.

Helah beli motor RM20


  • Suspek ditahan anggota polis sebelum dibawa ke Balai Polis Parit Buntar.Suspek ditahan anggota polis sebelum dibawa ke Balai Polis Parit Buntar.

PARIT BUNTAR - Kerana terdesak, seorang lelaki sanggup mengaku membeli sebuah motosikal curi dengan harga RM20 sebuah bagi mengelak dicekup polis setelah ditahan di sebuah stesen minyak di Pekan Lama, di sini, malam kelmarin.

Anggota Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK), Mohd Aifat Mohd Esa, 23, berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam, dia bersama anggota PSKK sedang menjalankan rondaan.

“Sejurus dimaklumkan motosikal dinaiki suspek ditemui, kami segera mengekori suspek sehingga ke sebuah stesen minyak.

“Suspek pada mulanya cuba melarikan diri dan memasuki stesen minyak itu untuk menyembunyikan diri, namun gagal kerana kami lebih pantas mengesannya,” katanya ketika ditemui media.

Mohd Aifat berkata, dia bersama beberapa anggota lain kemudiannya menahan suspek lelaki berusia lingkungan 20-an dan menyerahkannya kepada anggota polis Balai Polis Parit Buntar.

Menurutnya, motosikal dinaiki suspek turut dikenal pasti dicuri berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang tertera pada platnya.

“Sedang soal siasat dijalankan pegawai polis, kami terkejut dimaklumkan suspek mendakwa membeli motosikal itu daripada seorang individu tidak dikenali dengan harga RM20 tidak lama sebelum ditahan.

“Suspek turut mendakwa tidak tahu-menahu mengenai status motosikal itu dicuri dan membelinya atas alasan harga terlalu murah.

“Bagaimanapun, alasan diberikan tidak mampu meyakinkan polis dan suspek seterusnya dibawa ke Balai Polis Parit Buntar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tragedi waktu sahur


RIDAUDDIN DAUD
17 Julai 2014

Keadaan Proton Exora yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang anggota polis dan ibu mertuanya.
Keadaan Proton Exora yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang anggota polis dan ibu mertuanya. Keadaan Proton Exora yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang anggota polis dan ibu mertuanya.

ilustrasi: Sinar Harian oleh AIMA HASHIM
ilustrasi: Sinar Harian oleh AIMA HASHIM

GERIK - Seorang anggota polis berpangkat inspektor dan ibu mertua maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dinaiki terbabas dalam kejadian di Jalan Baharu Gerik-Kuala Rui berhampiran lampu isyarat, di sini, pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, pemandu, Inspektor Jafri Rizan, 34 yang bertugas sebagai Pegawai Penguatkuasa Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan penumpang, Khadijah Musa, 56, maut serta-merta di tempat kejadian akibat tersepit.

Manakala, anak lelak mangsa berusia tiga tahun yang berada di bahagian tempat duduk belakang mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharom berkata, Proton Exora yang dipandu bapa kepada dua anak itu dalam perjalanan dari Perlis menuju ke Pasir Mas, Kelantan.

Begitupun, hasil siasatan awal mendapati, sebaik kenderaan dipandu Jafri tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Proton Exora itu kemudiannya bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. Perlanggaran kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian hadapan dan maut.

“Seorang kanak-kanak yang berada di belakang pula mengalami kecederaan di kepala. Bagaimanapun, pemandu lori tersebut tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Kangar, Perlis untuk dikebumikan dari Hospital Gerik kira-kira jam 2 petang, semalam.

Abdul Manab mengingatkan pengguna jalan di laluan itu supaya berhati-hati berikutan keadaan yang berbukit.

“Pemandu mungkin tidak sedar mereka menekan minyak dengan laju apabila menuruni bukit, di sini juga ada banyak selekoh jadi apabila mereka dalam keadaan laju, mereka tidak dapat mengawal kenderaan apabila berada di selekoh.

“Musim perayaan ini, semakin banyak kenderaan menggunakan laluan ini,” katanya.

Sementara itu, suasana di pekarangan Bilik Mayat Hospital Gerik dipenuhi keluarga dan rakan setugas Allahyarham yang sebahagiannya datang dari Pasir Mas.

Balu kepada Jafri juga kelihatan sugul sebaik melihat jenazah suaminya..

Nyaris maut motosikal bertembung lori


  • Keadaan motosikal mangsa remuk di bahagian hadapan selepas bertembung dengan lori simen.Keadaan motosikal mangsa remuk di bahagian hadapan selepas bertembung dengan lori simen.

KUALA PILAH – Seorang pelajar nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori simen 23 tan di Kilometer 3.5 Jalan Kuala Pilah-Tampin, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, mangsa, Mohd Aizat Zaihan, 17, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa, dipercayai baru sahaja pulang menghantar rakannya di Kampung Senaling.

Pemandu lori simen, Mohd Rafar Ramli, 41, berkata, dia memandu dari arah Kuala Pilah menuju ke Senaling untuk menghantar simen di tapak pembinaan bersebelahan Balai Raya Batu 1, Jalan Tampin.

Menurutnya, ketika kejadian, dia ingin membelok ke arah kanan untuk memasuki tapak pembinaan, namun ketika terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha RZX yang dipandu laju menuju ke arahnya.

"Sebelum membelok, saya lihat tiada kenderaan, namun secara tiba-tiba sahaja muncul sebuah motosikal dan mangsa terus merempuh belakang lori saya.

"Akibat rempuhan itu motosikal mangsa melekat di bahagian belakang manakala mangsa terjatuh di atas jalan raya,” katanya.

Katanya yang lebih dari dua tahun memandu lori simen berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali dalam sejarah hidupnya apabila berlaku kemalangan melibatkan motosikal.

“Saya memang terkejut kerana ia berlaku tiba-tiba sahaja. Bila saya turun dari lori, saya lihat mangsa sudah terbaring di atas jalan raya.

“Alhamdulillah, mangsa hanya cedera di kepala dan tangan. Kini dia dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah,” katanya.

Bapa redah api selamatkan tiga anak


  • Mohd Wazir memeluk Muhammad Arif Zafree (kiri) dan Muhammad Zarif.Mohd Wazir memeluk Muhammad Arif Zafree (kiri) dan Muhammad Zarif.

SEREMBAN - Tindakan pantas seorang bapa di Taman Jemerlang Indah, Panchor,  di sini, semalam berjaya menyelamatkan tiga anaknya berusia antara 2 dan 5  tahun daripada menjadi korban kebakaran yang menimpa kediaman mereka.

Demi kasihnya terhadap anak-anak, Mohd Wazir Kamarudin, 30, sanggup mengetepikan keselamatan sendiri apabila bertindak nekad meredah masuk rumahnya yang diselubungi asap tebal dalam kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi itu.

Menceritakan semula detik cemas, Mohd Wazir berkata, dia hanya menyedari insiden berkenaan sebaik sahaja pulang dari tempat kerja di Taman Tuanku Jaafar, Senawang.

“Masa itu saya hendak menjemput anak-anak di rumah, sebelum menghantar mereka ke pusat asuhan dan tadika di Taman Ampangan yang terletak lebih kurang satu kilometer dari sini.

“Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila terhidu bau hangit yang amat kuat setibanya di hadapan rumah, seolah-olah sesuatu sedang terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat asap tebal yang berkepul-kepul memenuhi segenap ruang dalam rumahnya, sebaik sahaja pintu utama dibuka.

“Sesiapa pun akan tergamam apabila berhadapan situasi demikian, lebih-lebih lagi memikirkan nasib anak-anak yang masih berada dalam rumah tanpa pengawasan orang dewasa, berikutan isteri sudah pergi bekerja sekitar 7.15 pagi.

“Namun, saya tidak boleh biarkan diri diselubungi ketakutan. Justeru, saya segera mengumpul kekuatan dalam diri lantas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan anak-anak yang sedang tidur di bilik depan,” katanya.

Mohd Wazir ternyata bersyukur kerana ketiga-tiga anaknya iaitu Muhammad Arif Zafree, 5, Muhammad Zarif Qayyum, 4, dan Nur Intan Damia, 2, berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan masih nyenyak tidur pada waktu itu.

“Memang sukar mencari mereka dalam kepulan asap tebal separas pinggang ke atas. Tanpa berlengah, saya mendukung anak bongsu sambil mengejutkan yang lain supaya keluar dari rumah secepat mungkin.

“Sebaik sahaja menjejakkan kaki di halaman rumah, saya terdengar bunyi letupan beberapa kali dari bilik belakang dan api mula marak,” katanya yang sempat mencabut fius utama sebelum masuk, bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bahagian hadapan. 

Sejurus selepas itu, katanya, dia segera mengeluarkan kereta Proton Persona, motosikal Honda EX5 dan Kawasaki KRZ yang diparkir dalam anjung rumah, sambil menjerit untuk meminta pertolongan dari jiran-jiran sekeliling.

“Lebih kurang 20 jiran datang menghulurkan bantuan. Sebahagian daripada mereka menolong saya mengeluarkan beberapa perabot dan dokumen penting melalui pintu depan, manakala selebihnya cuba memadamkan api di belakang rumah.

“Inilah pengalaman pertama saya menghadapi kebakaran sebenar, walaupun sejak lima tahun lalu saya bertugas sebagai pendandang (boiler-man) dan merupakan salah seorang ahli skuad kebakaran di tempat kerja,” katanya.

Ketika ditanya mengapa meninggalkan anak-anak sendirian, Mohd Wazir menjelaskan, ia hanya dilakukan sepanjang Ramadan berikutan isterinya yang bertugas sebagai penjawat awam di bandar Seremban perlu keluar awal ke tempat kerja.

“Pada bulan-bulan biasa, isteri saya yang menghantar mereka ke pusat asuhan dan tadika sebelum ke tempat kerja. Pada bulan Ramadan sahaja, saya mengambil alih tugas tersebut,” katanya yang bekerja dua syif iaitu 7 pagi hingga 7 malam dan 7 malam hingga 7 pagi.

Bekas staf Maim didakwa


  • Tertuduh dibawa ke mahkamah, semalam.Tertuduh dibawa ke mahkamah, semalam.

AYER KEROH - Seorang bekas kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol anak tirinya sebanyak dua kali iaitu pada Disember lepas dan minggu lalu.

Tertuduh berusia 34 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Nooraslan didakwa merogol kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Duyong pada waktu malam, Disember lalu.

Tertuduh turut didakwa merogol kanak-kanak sama berusia 12 tahun di lokasi sama pada waktu malam pada 8 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Rebecca membantah mahkamah menetapkan sebarang jumlah wang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Nooraslan merayu diberikan jaminan kerana menanggung isteri yang tidak bekerja, lima anak tiri dan dua anak kandung termasuk bayi berusia empat bulan.

Selepas mendengar rayuan itu, Ahmad Sazali yang bersetuju dengan pihak pendakwaan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, namun menetapkan sebutan semula kes pada 19 Ogos depan.

Pemuda lemas dalam tali air


  • Anggota bomba dan UPPA membawa mayat mangsa ke tebing tali air.Anggota bomba dan UPPA membawa mayat mangsa ke tebing tali air.

BAGAN SERAI - Seorang pemuda ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air besar berhampiran Taman Intan, Jalan Siakap di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian 6.15 petang itu, mangsa, V Kanagaraj, 33, dikatakan meracau dan seperti dirasuk sebelum lari dari rumahnya di Taman Intan menuju ke kawasan tali air besar tersebut.

Abang mangsa, V Thiruselvam, 35, berkata, pada mulanya ibu dan dua adiknya cuba memegang mangsa serta menghalangnya daripada bertindak di luar kawalan.

Menurutnya, bagaimanapun usaha itu tidak berhasil apabila mangsa berjaya melepaskan diri serta segera menuju ke kawasan tali air besar dan terjun ke dalamnya.

“Tindakan mangsa terjun ke dalam tali air besar itu disedari beberapa orang awam yang berada berhampiran dan seorang daripada mereka berusaha mengambil sebatang kayu panjang yang dihulurkan kepada adik saya untuk menyelamatkannya.

"Usaha itu tidak berhasil apabila Kanagaraj gagal mencapai kayu itu dan terus tenggelam ke dalam tali air,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian di Jalan Siakap, di sini malam kelmarin.

Thiruselvam berkata, tiga hari sebelum kejadian, mangsa dilihat tidak terurus dan sering bercakap sendirian.

Katanya, bimbang melihat keadaannya adiknya itu, keluarganya membawa pemuda itu berubat secara tradisional namun mangsa dilihat semakin teruk hingga lari dari rumah.

“Selepas keluarga saya yang dibantu penduduk setempat gagal menemui Kanagaraj, kami membuat laporan polis dan turut memaklumkan kehilangannya kepada bomba," katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 2 Perak, Zainudin Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat pada sekitar jam 6.20 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebuah jentera bomba dengan kekuatan lapan anggota tiba di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Setelah beberapa jam usaha pencarian tidak berhasil, pihak kami dengan dibantu enam penyelam dari Unit Penyelamat Penyelam Air (UPPA) menyambung operasi yang bermula pada jam 11.06 malam.

"Mangsa berjaya ditemui dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut berhubung insiden itu masih dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bertindak sedemikian disebabkan masalah peribadi.

“Tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarga semalam,” katanya.

Dua beranak nyaris maut


  • Mangsa, Siti Mariam menerima rawatan awal daripada anggota Jpam.Mangsa, Siti Mariam menerima rawatan awal daripada anggota Jpam.

ALOR SETAR - Dua beranak nyaris maut apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dan masuk ke dalam parit, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta Toyota Vios secara tiba-tiba membuat pusingan U dari arah bertentangan dekat Jalan Gangsa, di sini.

Kejadian itu menyebabkan kenderaan yang dinaiki mangsa, Siti Mariam Saad, 50, dan anaknya yang berusia sekitar 30-an terbabas.

Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di rusuk kanan, manakala anak lelakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anak lelaki mangsa yang memandu kereta itu berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia tidak sempat mengelak kenderaan yang datang dari arah bertentangan tersebut.

 “Sebelum kejadian, saya dan mak dalam perjalanan pulang ke rumah dekat Taman Wira, Mergong, selepas membeli barangan dapur untuk berbuka puasa di Agro Bazaar.

“Tiba-tiba kereta yang datang dari arah bertentangan terus membuat pusingan U di hadapan saya. Saya terkejut dan tidak sempat mengelak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan berlaku perlanggaran sebelum kenderaan mereka terbalik dan terbabas ke dalam parit.

Padah angkut warga Myanmar


  • Tertuduh dikawal polis dan akan dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman.Tertuduh dikawal polis dan akan dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman.

KOTA BHARU - Padah mengangkut wanita warga Myanmar yang diseludup, seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Azmi Zainal, 35, selepas dia mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa mengangkut migran yang diseludup, Be Be Jom, warganegara Myanmar di hadapan sebuah kedai kereta di Tunjong, di sini, jam 9.55 pagi pada 17 Januari 2014.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, dan boleh juga dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.

Prosiding semalam, sepatutnya ditetapkan perbicaraan berikutan tertuduh yang memohon untuk dibicarakan ketika dituduh sebelum ini. Dia bagaimanapun menukar pengakuan itu kepada mengaku bersalah.

Terdahulu, peguam, Ahmad Nurie Ab Rahman memohon tertuduh dikenakan hukuman ringan kerana masih menanggung seorang isteri dan tiga anak berusia antara 4 dan 12 tahun.

“Ini adalah kesalahan pertamanya dan tertuduh juga insaf serta menyesal atas kesilapannya. Mohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas tertuduh yang sudah enam bulan berada dalam tahanan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin bagaimanapun membantah rayuan itu dan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira jenayah serius dilakukan.

Azmi ditahan Penguat kuasa Jabatan Imigresen selepas pihak berkuasa itu bertindak susulan daripada maklumat berhubung kes mengangkut migran yang diseludup.

Pengadu, Pegawai Kanan Imigresen, Bahagian Penguat kuasa Jabatan, Sofiatul Azwani Razali dan anggota menyerbu serta memeriksa Azmi di hadapan sebuah kedai. Ketika itu, tertuduh berada di atas motosikalnya dan memakai topi keledar, sementara Be Be Jom duduk di tepinya.

Tertuduh mengaku mengangkut warga Myanmar itu dari Rantau Panjang ke tempat mereka ditahan dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha LC 135 bernombor pendaftaran DBV 2063 miliknya. Tertuduh menerima RM50 sebagai upah. Be Be Jom pula mengaku masuk ke Malaysia tanpa dokumen.

Kaut untung jual tangki lori


  • Ruslan menunjukkan bahagian tangki sebuah lori yang dicuri dileraikan kepada beberapa bahagian.Ruslan menunjukkan bahagian tangki sebuah lori yang dicuri dileraikan kepada beberapa bahagian.

KULAIJAYA – Taktik licik geng curi lori tangki yang kemudian menjual hasil curian mereka kepada premis menjual barangan lusuh dengan harga RM14,000 untuk dileraikan berjaya ditumpaskan apabila premis itu diserbu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superitendan Ruslan Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubungan kehilangan sebuah tangki pada 7 Julai lalu membabitkan kerugian kira-kira RM100,000.

“Mangsa memberitahu dia telah meletakkan tangki lori di Taman Damai Senai pada 1 Julai lalu dan ingin mengambilnya semula pada 7 Julai namun mendapati ia telah tiada dan dipercayai dicuri.

“Hasil risikan dan maklumat yang dikumpul, kita telah lakukan serbuan di sebuah premis menjual barangan lusuh di Senai dan menjumpai rangka tangki yang telah dipotong kepada beberapa bahagian,” katanya dalam sidang media, semalam.

Katanya, hasil semakan yang dilakukan mendapati rangka tangki berkenaan telah dilaporkan hilang oleh mangsa dan tangkapan dibuat ke atas dua lelaki termasuk seorang lelaki berasal dari Sri Lanka.

“Kita percaya penangkapan ini berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian tangki lori di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar,” katanya.

Dalam pada itu Ruslan berkata, polis turut giat mengesan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes itu yang dikenali sebagai B Siva, 31 beralamat di Taman Senai Utama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi pegawai penyiasat di talian 014-9517882,”katanya.

Sementara itu, pihak polis turut berjaya menangkap dua lelaki menaiki motosikal yang berada dalam keadaan mencurigakan dan mendapati motosikal yang digunakan telah dilaporkan dicuri di Kulai.

“Lelaki berusia 29 dan 36 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan rakan-rakan jenayah mereka yang lain,” katanya.

Ibu hiba 5 ahli keluarga mungkin terlibat


  • Pesawat penumpang Malaysia terhempas di UkrainePesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine

SEPANG - Sungguh memilukan untuk seorang ibu apabila mengetahui anak perempuan dan empat anggota keluarganya mungkin merupakan antara penumpang penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang terhempas di Ukraine, berhampiran sempadan Rusia, lewat malam tadi.

Ibu itu yang dikenali sebagai Datin Siti Dina berkata anak perempuannya Sherliza Zaini, 45 menaiki penerbangan itu bersama suami dan tiga anak berumur antara lapan hingga 15 tahun.

"Saya terkejut, saya mengetahui berita itu apabila dihubungi seorang rakan, lantas saya membuka televisyen untuk menonton berita CNN pada pukul 12.30 tengah malam.

Hanya selepas itu, saya menyedari ia adalah penerbangan MH17 Malaysia Airlines," kata ibu yang kesedihan itu ketika ditemui di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Siti Dina berkata, keluarga itu akan singgah di Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan pulang ke Melbourne, Australia.

"Suaminya seorang warganegara Belanda dan mereka bercuti bersama di Netherlands sebelum insiden itu," katanya kepada wartawan.   

Siti Dina berkata abang ipar Sherliza di Netherlands mengesahkan keluarga itu menaiki pesawat itu selepas menghantar mereka di Lapangan Terbang Amsterdam pada Khamis.

Tidak seperti keluarga lain, Siti Dina datang ke KLIA bersendirian dengan harapan mendapat maklumat terkini mengenai MH17.

Sejak pukul 7 pagi tadi, beberapa anggota keluarga penumpang telah berada di anjung tinjau KLIA tetapi enggan ditemu bual oleh wartawan.

Laporan sebuah media asing berkata penerbangan MH17 telah "ditembak jatuh" semasa terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia, malam tadi (waktu Malaysia).

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal.

MH17 telah terputus hubungan dengan MAS kira-kira pukul 12.15 tengah hari (waktu tempatan) dari Tamak , kira-kira 50 km dari sempadan antara Ukraine dan Rusia. - Bernama

Anwar: Satu pembunuhan beramai-ramai


  • Pesawat penumpang Malaysia terhempas di UkrainePesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang didapati bertanggungjawab ke atas tragedi yang menimpa pesawat MH17.

“Kami mengutuk perbuatan ini yang disifatkan sebagai salah satu keganasan dan menggesa pihak berkuasa antarabangsa untuk menjalankan siasatan penuh serta bebas bagi membawa mereka yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ini ke muka keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pesawat tersebut yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal dikatakan telah ditembak dengan menggunakan peluru berpandu jenis Buk anti-aircraft system.

MH17 yang berlepas dari Amsterdam malam tadi (waktu tempatan) dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.10 pagi ini.

Anwar menerusi kenyataannya turut melahirkan rasa sedih yang teramat turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH17.

“Kami berasa terkejut dan sedih dengan berita yang diterima. Kami mengucapkan takziah buat keluarga penumpang MH17 yang telah kehilangan orang yang tersayang. Mari kita besama-sama tabah mengharungi tragedi yang menimpa ini,” katanya lagi.

MH17 ditembak pemisah secara rambang - Duta Ukraine


2014/07/18 -

KUALA LUMPUR: Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Ihor V Humennyi, mendakwa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak puak pemisah secara rambang.

Beliau berkata ini kerana sebelum ini puak pemisah sudah menembak jatuh dua pesawat Ukraine.

“Berdasarkan maklumat daripada perkhidmatan risikan Ukraine, pemisah sebenarnya terkejut kerana mereka menembak jatuh pesawat komersial milik Malaysia Airlines,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. 

Pesawat MAs MH17 Terhempas setelah ditembak jatuh di sempadan Rusia Dan Ukrain

Apa lagi pihak kementerian nak nafikan..? nak mengesahkan apa lagi..?

Malaysia Diuji lagi ,Terkini dan sangat menyedihkan Pesawat MAs MH17 Terhempas setelah ditembak jatuh di sempadan Rusia Dan Ukrain klik dipautan untuk lebih gambar 

http://www.cehabaq.com/2014/07/pesawat-penumpang-malaysia-terhempas-di.html

Kebakaran rumah kayu di alamat Jalan Kubu, Seberang Kedai, Limbang Sarawak

Kebakaran rumah kayu di alamat Jalan Kubu, Seberang Kedai, Limbang Sarawak pada pukul 8.15 pagi tadi.
Setakat ini dilaporkan oleh PKPgB Kurung ak Beki, kebakaran melibatkan 4 buah rumah. Operasi kebakaran menggunakan pam angkut, bot bomba, bot orang awam dan sumber air dari sungai. Ini kerana kedudukan lokasi kejadian di seberang sungai Bandar Limbang dan pihak bomba menurunkan bot di jeti berhampiran untuk menyeberang sungai ke lokasi.
Tiada mangsa dan kecederaan dilaporkan
Add caption
Add caption
Add caption

"Pulanglah adik...mama rindu"


  • Noor Azean menatap gambar kenangan adik bersama keluarga sambil berharap anak bongsunya itu ditemui segera.Noor Azean menatap gambar kenangan adik bersama keluarga sambil berharap anak bongsunya itu ditemui segera.

KLANG - “Pulanglah adik...mama rindu pada adik...,” demikian rintihan Noor Azean Abu, 34, terhadap anak bongsunya yang sehingga semalam gagal dikesan.

Anak bongsu daripada tiga beradik, Muhammad Shazrif Iqmal Azmi, 9, atau dipanggil adik gagal dikesan selepas keluar bersolat tarawih di surau berhampiran rumahnya di Pangsapuri Palma, Taman Botanic, Bukit Tinggi 2, sekitar jam 11 malam kelmarin.

Noor Azean berkata, selepas selesai solat tarawih, adik ada pulang ke rumah beberapa minit dan sempat bersembang dengannya.

“Sekitar jam 10.50 malam, adik minta izin saya untuk ke surau ikut kawan-kawannya cuci pinggan. Itu sudah biasa bagi kanak-kanak di sini bantu cuci pinggan.

“Saya berat hati nak benarkan dia pergi hingga dua kali saya tolak pintu utama nak halang dia. Tapi  akhirnya saya benarkan dia pergi selepas dia merayu beberapa kali,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya, semalam.

Adik yang rajin ke surau untuk solat tarawih dengan dua abang, biasanya pulang sekitar jam 11.05 malam.

“Tapi hingga jam 11.30 dia tidak balik. Risau berlaku sesuatu saya dan suami bertanyakan jiran-jiran terdekat dan rakan-rakan adik tapi tak ada seorang pun nampak dia. Suami dan rakan-rakan segera menjejaki adik di kawasan berdekatan tapi tak jumpa juga,” katanya.

Kerisauannya bertambah apabila mengenangkan adik mempunyai penyakit asma.

“Saya gagahkan diri ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dengan menunggang motosikal seorang diri sebab nak cari adik sekitar jam 3 pagi. Saya tunggu tiga jam di depan wad kecemasan kalau ternampak kelibat pesakit yang mungkin adik dimasukkan ke situ. Itupun gagal juga,” katanya.

Hati si ibu makin resah mengenangkan keselamatan adik apatah lagi selepas penduduk memaklumkan ternampak kelibat kereta jenis Welfire hitam mundar-mandir di sekitar pangsapuri beberapa hari sebelum adik hilang dan juga sejam sebelum adik hilang.

“Saya harap adik selamat,” katanya yang membuat laporan Polis di Balai Bukit Tinggi dua jam kemudiannya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung adik yang berbaju T jersi hitam dan seluar biru ketika keluar rumah diminta menghubungi Noor Azean di talian 012-6456307 atau Balai Polis berdekatan.

Tak sempat buat kuih raya

Kereta yang dipandu Nasirah remuk teruk di bahagian depan.
Kereta yang dipandu Nasirah remuk teruk di bahagian depan.
IJOK - Hasrat seorang ibu muda yang mengandungkan anak sulung membuat kuih raya bersama adiknya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM18 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Nasirah Ismail, 22, yang sedang mengandung empat bulan dalam perjalanan untuk mengambil adiknya sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Suami mangsa, Mohd Hezri Shukor, 33, berkata, isterinya dalam perjalanan ke Sungai Sembilang, Jeram mengambil adiknya untuk dibawa pulang ke rumah mereka di Kota Puteri.

“Sebelum kejadian, isteri ada bagi tahu dia nak ambil adik sebab nak buat kuih raya sama-sama tapi saya tak sangka jadi begini...saya sangat terkejut bila dapat panggilan dari ayah mentua.

“Masa itu saya betul-betul tergamam dan tak percaya...bila ayah bagi tahu isteri meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan. Hanya ALLAH saja tahu perasaan saya ketika itu,” katanya sebak.

Mangsa dipercayai memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil tidak dapat mengelak sebuah lori yang ketika itu sedang memotong di laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di bahagian kepala berikutan bahagian depan kereta remuk teruk dan terperosok di bawah lori.

Mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat dan jenazah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sembilang.

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut dalam kemalangan langgar lari di hadapan sebuah sekolah di Jeram kira-kira jam 730 pagi semalam.

Mangsa, Razis Mat Basir, 29, dipercayai menunggang motosikal seorang diri dipintas sebuah lori di hadapan sekolah menyebabkan motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh.

Sumber berkata, belum sempat mangsa bangun, sebuah motosikal dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkan pendarahan teruk di bahagian kepala.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Jeram manakala isteri mangsa yang menjadi guru sekolah itu terkejut apabila dimaklumkan kejadian terbabit oleh pengawal keselamatan sekolah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak sulung yang baru berusia lima bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan meminta kerjasama semua yang menyaksikan kemalangan untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Cedera ditetak waktu berbuka

Hanim yang bekerja di kedai runcit ini ditetak dengan parang di kepala sewaktu berbuka puasa.
Hanim yang bekerja di kedai runcit ini ditetak dengan parang di kepala sewaktu berbuka puasa.
TANGGA BATU - Seorang pembantu kedai wanita hanya sempat menikmati lima suapan bihun sebelum cedera ditetak seorang perompak ketika berbuka puasa di sebuah kedai runcit di Kampung Gelam di sini, kelmarin.

Mangsa, Hanim Hasan, 46, yang sedang berbuka puasa sendirian ditetak menggunakan parang panjang terpaksa menerima tujuh jahitan berikutan kecederaan dialami di kepala dalam kejadian jam 7.40 malam.

Hanim berkata, dia yang berbuka puasa sedang  makan bihun di kaunter pembayaran tidak menyedari kehadiran lelaki berkenaan bersama seorang rakannya yang menunggu di pintu hadapan  premis terbabit.

“Saya sedang bekerja dan ketika baru masuk lima suapan dengan tiba-tiba saya ditolak sehingga jatuh ke bawah kaunter oleh seorang lelaki berparang sepanjang kira-kira dua kaki.

“Ketika mendongak saya lihat dua lelaki memakai topi keledar dan salah seorang meluru ke arah saya lalu menetak kepala saya menggunakan belakang parang,” katanya ketika ditemui di sin, semalam.

Hanim berkata, lelaki yang menetaknya kemudian mengambil wang kira-kira RM350 yang terdapat di dalam mesin wang sambil mengugutnya menyerahkan wang lain sekiranya ada.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas namun saya bernasib baik kerana seorang lelaki lain yang menunggu di pintu memberitahu terdapat dua pelanggan lelaki menghala kedai ini.

“Kedua-dua penjenayah itu kemudian melarikan diri menaiki motosikal dipercayai jenis Honda Wave ke arah Sungai Udang meninggalkan saya yang berdarah di kepala,” katanya.

Menurutnya, dua pelanggan lelaki itu kemudian segera membawanya ke sebuah klinik swasta untuk menerima rawatan sebelum ke Balai Polis Tanjung Kling untuk membuat laporan kira-kira jam 9.20 malam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pihaknya kini memburu kedua-dua lelaki terbabit yang menyebabkan kecederaan di kiri kepala mangsa.

“Kedua-dua suspek memakai topi keledar dengan salah seorang bersenjatakan parang akan dikesan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan mendatangkan kecederaan,” katanya.

3 pelajar ditahan edar pil kuda

Jamaluddin menunjukkan pil kuda yang dirampas.
Jamaluddin menunjukkan pil kuda yang dirampas.
KUANTAN - Tiga pelajar antara sembilan yang ditahan selepas didapati mengedar pil kuda dalam Ops Cantas Khas Narkotik yang diadakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, malam semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pihak polis berjaya menahan tujuh lelaki dan dua perempuan berumur antara 17 hingga 26 tahun bersama 7,971 biji pil kuda yang bernilai RM278,985.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata, tangkapan pertama dilakukan di kawasan Kampung Selamat berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan sebanyak 1,400 biji pil kuda dirampas.

Menurutnya, susulan daripada tangkapan itu, suspek telah membawa pihak polis ke sebuah rumah di Indera Mahkota 2.

“Selepas pemeriksaan dilakukan di rumah terbabit, polis berjaya menangkap tiga lelaki dan seorang perempuan berusia awal 20-an yang merupakan seorang pelajar kolej swasta bersama 600 biji pil kuda.

“Pada 2.30 pagi pula, polis menahan sebuah kereta jenis Suzuki Swift di pekarangan rumah di Taman Padang Permai dan menangkap tiga lelaki dan seorang perempuan bersama 2,000 biji pil kuda,” katanya kepada media pada sidang media di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, dalam tangkapan kedua itu, salah seorang suspek lelaki adalah pelajar kolej swasta dan suspek perempuan adalah pelajar sekolah menengah di Pekan.

Menurutnya, ekoran tangkapan itu juga, polis merampas 3,971 biji pil kuda selepas serbuan dilakukan di rumah diduduki suspek.

Bagaimana pun katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek adalah negatif dadah.

Rampasan dadah RM227,800

Azham (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa
serbuan sekitar Kota Bharu.
Azham (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam beberapa serbuan sekitar Kota Bharu.
KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya merampas dadah bernilai RM227,800 dalam tempoh tiga minggu lalu, termasuk syabu seberat 81.8 gram di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sembilan lelaki ditahan dalam lima serbuan sejak 29 Jun lalu.

“Dalam serbuan pertama di Kampung Khatib Ali, di sini, pada 29 Jun lalu, kita menemui 91 botol cerah berisi heroin bernilai RM182,000 dan lima paket syabu dengan nilai RM14,500 serta menahan tiga lelaki tempatan.

“Pada 6 Julai lalu, kita turut menahan seorang lelaki di Kampung Binjai Limbat, Kubang Kerian, di sini kerana memiliki heroin bernilai RM900 dan 50 biji pil kuda,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Azham berkata, serbuan ketiga pada 8 Julai lalu di Kampung Pengkalan Datu Sering, di sini, polis turut menangkap dua lelaki kerana mengedar 50 gram syabu bernilai RM11,500.

Terbaharu katanya, polis turut menahan dua lelaki di Kampung Hutan Buloh, Melor, kerana memiliki tiga botol heroin yang dianggarkan bernilai RM1,350.

Dalam kes berasingan, menurutnya, seorang pekerja kilang plastik berjaya ditahan di balai pelepasan LTSIP kerana memiliki syabu bernilai RM16,800.

“Semasa pemeriksaan tubuh di balai pelepasan, didapati sesuatu yang diselitkan pada bahagian pinggang lelaki terbabit. Dia bertindak melarikan diri ke tingkat atas sebelum ditangkap.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai dua bungkus plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 81.8 gram dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Azham, hasil ujian air kencing mendapati suspek berusia 36 tahun itu positif methamphetamine dan kini ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

MH17: PAS rakam simpati, harap keluarga bersabar


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS merakam simpati terhadap keluarga penumpang MH17 yang telah disahkan terhempas  di Ukraine berdekatan sempadan Rusia.

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, berita itu sesuatu yang mengejutkan di saat ingatan rakyat Malaysia masih segar terhadap kehilangan pesawat MH370 sejak Mac lalu.

"Kita melahirkan rasa sedih dan simpati kita kepada anggota keluarga yang terlibat dengan tragedi terbaru ini.

"Kita mengharapkan mereka bersabar dalam menerima ketentuan ini," katanya kepada Harakahdaily.

Bawa ke PBB

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Malaysia membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencari keadilan dan penyelesaian.

"Kita juga mengutuk keganasan terhadap penerbangan awam yang turut mengancam keselamatan awam," kata beliau.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terputus hubungan pada kira-kira 1415 (GMT)  dari waypoint Tamak, sekitar 50km dari sempadan Ukraine dan Rusia  terhempas malam tadi selepas didakwa ditembak jatuh.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (waktu tempatan) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat.

Pesawat terbabit membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal. -HARAKAHDAILY 18/7/2014

Polis tahan Kiki 'amuk' warga tua

Polis tahan Kiki 'amuk' warga tuaKeratan BH mengenai wanita cetus kontroversi, semalam. Gambar kecil; Siti Fairrah Ashykin Kuantan: Polis semalam menahan wanita yang mencetuskan kontroversi kerana merosakkan kereta seorang warga tua di parkir kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata wanita berkenaan, Siti Fairrah Ashykin atau lebih dikenali sebagai Kiki, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan jam 4 petang semalam bagi membantu siasatan kes terbabit dan perintah reman akan dimohon terhadapnya jika siasatan belum lengkap dalam tempoh 24 jam.
Dalam keterangan sebelum ini, katanya, pengusaha butik berusia 30 tahun itu mengaku sudah membuang pengunci stereng yang diguna ketika merosakkan kereta warga tua, Sim Siak Heong, 68, dalam kejadian berkenaan

.

Saman RM300 guna lorong kecemasan


2014/07/18 - 04:09:50

Kuala Lumpur: Polis akan mengeluarkan saman maksimum RM300 kepada pemandu yang menggunakan lorong kecemasan di semua laluan sepanjang Op Selamat 2014 sempena musim perayaan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tindakan tegas itu untuk mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang di samping menjadi pemandu berhemah.

“Berdasarkan pengalaman, apabila ada pemandu menggunakan laluan kecemasan, pihak kami dan pasukan penyelamat mengalami kesulitan akibat kesesakan untuk melakukan kerja menyelamat jika berlaku kemalangan kerana laluan itu sesak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Op Selamat 5/2014 Sempena Aidilfitri di ibu negara semalam.

Bermula 4 Ogos

Operasi berkenaan bermula Isnin ini hingga 4 Ogos depan, membabitkan pelbagai agensi keselamatan termasuk bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Khalid berkata, polis akan menempatkan anggota trafik di 60 lokasi panas, iaitu kawasan kerap berlaku kemalangan di seluruh negara selain bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakan undang-undang.

Bahan kuih guna logo halal palsu dirampas

Foto
Mazlina bersama pegawai JAKIM menunjukkan dua logo halal palsu digunakan pada produk makanan ketika operasi di sebuah pasar raya di Taman Midah, Cheras, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin
 Produk dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian DNA

Kuala Lumpur: Kira-kira 300 produk dan bahan membuat kuih yang dibekalkan oleh tiga syarikat ke seluruh negara dirampas kerana didapati menggunakan logo halal palsu serta mempamerkannya tanpa perakuan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Satu daripada syarikat yang diserbu itu beroperasi lebih 10 tahun, turut menjual dan memasarkan produk keluarannya di dua pasar raya terkenal di negara ini.
Semua produk berkenaan yang digunakan untuk membuat pastri, biskut dan kek dirampas menerusi Ops Gelatin dilakukan 15 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur serta JAKIM, semalam.

Tiga pembekal itu adalah sebuah syarikat pembungkusan dan dua pasar raya di tiga lokasi berasingan iaitu di Taman Bukit Indah, Jalan Klang Lama; Taman Midah, Cheras serta Semenyih.

Lelaki bersalah kes bunuh jiran


2014/07/18 - 04:04:43

Ipoh: Seorang lelaki didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana membunuh jirannya tanpa niat, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani mensabitkan R Normalan, 20, terhadap kesalahan itu selepas berpuas hati dengan keterangan saksi dan pihak pendakwaan.

Pada mulanya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori kerana mengakibatkan kematian Kalarani Vedi, 37, di hadapan sebuah rumah bernombor 39, Taman Segari, dekat Manjung, pada pada jam 9.30 malam, 12 Disember tahun 2009.

Bagaimanapun, pertuduhan dipinda kepada Seksyen 304(b) kanun sama iaitu membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Zainal Adzam menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh menjatuhi hukuman, selain mendengar keterangan ahli keluarga mangsa.

yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwa raya.

Tertuduh turut didakwa atas satu lagi kesalahan iaitu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada jirannya, K Jivakumar, 27, pada tarikh, tempat dan masa yang sama.
Sementara itu, Zainal Adzam melepas dan membebaskan bapa tertuduh, R Ramayah, 49, yang dituduh melakukan kesalahan itu secara bersama dengan anaknya.

Dia turut dilepas dan dibebaskan bagi dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

MH17 DITEMBAK

MH17 DITEMBAK
295 penumpang, anak kapal terbunuh 
Kuala Lumpur: Pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) ditembak jatuh di perkampungan Grabovo, Donestk, Ukraine, berhampiran sempadan Russia, malam tadi.

Ketika kejadian, pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur itu membawa 280 penumpang dan 15 kru. Semua penumpang dan kru dipercayai terbunuh dalam tragedi itu.
Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashchenko, dalam laman Facebooknya berkata pesawat itu dipercayai ditembak jatuh oleh pemisah di ruang udara Ukraine menggunakan peluru berpandu Buk, sejenis peluru berpandu darat ke udara.

MAS melalui laman Facebooknya, mengesahkan pihaknya terputus hubungan dengan pesawat itu ketika kedudukan terakhir pesawat berkenaan di ruang udara Ukraine.

Tak mengaku terima rasuah

Tak mengaku terima rasuah
Ganiah (kiri) berbincang dengan peguamnya di Mahkamah Khas Rasuah, semalam. - Foto Muhaizan Yahya 
Kes penyelewengan dana perniagaan automotif: Bekas pengurus GLC dituduh ambil suapan hampir RM500,000

Ipoh: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit dalam perniagaan automotif, semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, atas tuduhan menerima rasuah hampir RM500,000, lima tahun lalu.

R Ganiah Vinsan, 48, dari Pusat Bandar Puchong, Selangor dan kini ahli perniagaan, membuat pengakuan itu di depan Hakim Madihah Harullah selepas ketiga-tiga tuduhan yang didakwa dilakukannya di Ipoh, Perak, antara April hingga September 2009, dibacakan.

Dia dituduh, ketika menjadi Pengurus Jualan UMW Pennzoil Distributors Sdn Bhd, menerima rasuah bagi dirinya, iaitu cek Public Bank bernilai RM175,000 pada 10 September 2009 daripada syarikat Popular Construction and Engineering Sdn Bhd (PCE) yang dibayar atas nama Rameses Communication (RC), milik adik iparnya.

Tiga bom buatan sendiri, bahan letupan dirampas

Tiga bom buatan sendiri, bahan letupan dirampas
Polis menemui bahan letupan selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Galing Kecil, Kuantan semalam. - Foto Zulkepli Osman
 Kuantan: Polis mematahkan kegiatan satu kumpulan yang mungkin terbabit dalam jenayah terancang berdasarkan jumlah bahan letupan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Galing Kecil, dekat sini malam kelmarin.

Dalam serbuan oleh Cawangan Jenayah Berat (D9) Pahang itu, polis menemui tiga bom buatan sendiri dan 10 bungkusan bahan letupan yang disahkan mampu menghasilkan bom.

Turut ditemui, empat senjata ‘crossbow’ serta sepucuk pistol jenis ‘wingun’ berisi lima butir peluru yang dibeli di Thailand, dua kelopak peluru, pedang, parang dan pelbagai barangan lain seperti gari serta ‘vest’ polis.
Operasi tiga jam bermula 11 malam itu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 27 tahun yang dikehendaki polis.

Nahas MH17: Gurauan penumpang pesawat akan 'hilang' jadi kenyataan


2014/07/18 - 06:48:30

THE HAGUE: Gurauan seorang pemuda Belanda dengan memuat naik gambar di laman Facebooknya beberapa minit selepas menaiki pesawat Malaysian Airlines bahawa ia akan 'hilang', akhirnya bertukar menjadi kenyataan.

Dalam posting berkenaan Cor Pan menyatakan: “Jika ia akan hilang, seperti inilah yang akan berlaku."

Pan, yang bakal menikmati percutian di pantai Malaysia, memuat naik gambar untuk senagaja bergurau bahawa satu lagi pesawat akan hilang secara misteri seperti berlaku terhadap pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi, pada Mac lalu.

Beberapa jam kemudian, pesawat berkenaan juga hilang daripada radar dan mengorbankan 297 penumpang selepas berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur.

Meskipun tiada pengesahan bahawa Cor, yang berasal dari Volendam, 15 kilometer di utara Amsterdam, berada di dalam pesawat, namun gambarnya itu diambil dari pintu masuk penumpang dengan pesawat sedang menunggu di ruang parkir.

Gambarnya itu disertakan dengan keterangan 'di Lapangan terbang Schipol'.

Komen yang diberikan rakannya dalam Facebook, mengesahkan dia berada di dalam pesawat.
Gambar Cor sehingga tengah malam tadi sudah dikongsi lebih 10,000 kali di dalam media sosial itu.

Sebelum itu, Cor memuat naik beberapa gambar pantai tropikal yang cantik di dalam laman Facebooknya dan berkata: Hanya menunggu beberapa hari lagi..." - AFP 

Pesawat penumpang Malaysia terhempas dekat sempadan Russia

Foto
Dalam Twitter Malaysia Airlines (MAS), melaporkan pihaknya terputus hubungan dengan pesawat MH17 dari Amsterdam.
 MOSCOW: Pesawat penumpang Boeing Malaysia yang membawa 295 penumpang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Ukraine dekat sempadan Russia malam ini.

Sementara itu, dalam Twitter Malaysia Airlines (MAS), melaporkan pihaknya terputus hubungan dengan pesawat MH17 dari Amsterdam.

Kedudukan terakhir pesawat ialah di ruang udara Ukraine. - Agensi





Aktres dipenjara 18 tahun


Texarkana (Texas): Seorang aktres dipenjara 18 tahun kerana menghantar surat dicemarin ricin kepada Presiden Barack Obama dan datuk bandar New York City ketika itu sebelum cuba menuduh suaminya melakukan jenayah berkenaan.

Shannon Guess Richardson, 36, dikenakan hukuman penjara maksimum bagi kesalahan memiliki dan menghasilkan toksin biologi.


Dia juga diarahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$367,000 (RM1.2 juta) selepas mengaku salah terhadap tuduhan itu, Disember lalu.

Ketika merayu hukuman ringan, Shannon memohon maaf dan kesal terhadap perbuatannya.


“Saya tidak pernah berniat menyakiti sesiapa. Saya bukanlah jahat... sebenarnya saya tidak sampai hati untuk menyakiti sesiapa,” katanya.


Menurutnya, dia menyangka surat berkenaan tidak akan dibuka kerana kawalan keselamatan ketat di Rumah Putih dan pejabat Michael Bloomberg yang ketika itu menjadi Datuk Bandar New York.

Menurut pendakwa, Shannon menghantar tiga surat sebelum membuat laporan polis bahawa ia dilakukan oleh suaminya yang sudah memfailkan tuntutan cerai ketika itu.

Dalam pengakuan bertulisnya, Shannon mengakui membeli kacang kastor di Internet dan mempelajari cara-cara memprosesnya menjadi ricin.

Dia kemudian mewujudkan alamat emel, akaun pembelian PayPal dan peti surat di pejabat pos atas nama suaminya Nathan Richardson tanpa pengetahuan lelaki terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Banjir landa Hunan


Kementerian Hal Ehwal Awam dan seorang pegawai berkata, wilayah berkenaan juga berdepan dengan ketibaan Tufan Rammasun yang dijangka membawa angin selaju 140 kilometer sejam. 
Taufan berkenaan membadai Filipina sebelum ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang mati dan menumbangkan pokok serta memutuskan bekalan elektrik sejak kelmarin. 

Di wilayah Sichuan, tanah runtuh menimbus sebuah trak dan empat kereta di sebatang lebuh raya, meragut 11 nyawa dan menyebabkan 19 yang lain cedera, menurut pegawai pihak berkuasa tempatan di bandar Maoxi.
Foto
PENDUDUK di Changsa, wilayah Hunan di selatan China mengharung banjir.

Dalam satu kenyataannya, Kementerian Hal Ehwal Awam berkata, hujan lebat dan banjir serta tanah runtuh yang berlaku sepanjang minggu menyebabkan 34 orang mati dan 21 orang hilang di tujuh wilayah selatan negara itu.

Kebanyakan kematian dan penduduk hilang berlaku di wilayah Guizhou dan Hunan. 
Bencana itu dilapor menyebabkan 9.300 rumah musnah dan 63,000 lagi rosak. 

Selain itu, ia turut menjejaskan 38,400 hektar tanah pertanian, sekali gus menyebabkan kerugian berjumlah lebih 5.2 bilion yuan (RM2.7 bilion).- AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

Juruhebah glamor dibunuh kerana tiada wang


Pencuri berkenaan begitu yakin mangsa yang terkenal itu mempunyai wang yang banyak selepas mengecamnya sebagai hos program televisyen. 
Chen Xia, 26, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah Yongchuan di bandar Chongqing di barat daya China apabila dia dihalang dua lelaki bersenjatakan pisau. 

Mereka mendesaknya supaya menyerahkan semua wangnya di dalam beg duitnya.
Foto
MAYAT Chen di dalam sungai

Apabila menyedari dia hanya membawa sejumlah kecil wang yang bersamaan RM2.50, kedua-dua pencuri terbabit berang dan menikamnya berulang kali.

Mereka kemudian mencampaknya dari jambatan dalam usaha membunuh wanita itu. 

Jeritan Chen ketika ditikam oleh Chi Peng, 27, dan Lee Shih, 24, menarik perhatian orang ramai yang menelefon polis. 

Polis yang tiba beberapa minit kemudian menemui mangsa di dalam sungai. 

Jurucakap polis, Bao Lai berkata, Chen masih hidup ketika mereka menariknya keluar dari sungai tetapi disahkan mati oleh pasukan perubatan tidak lama kemudian. 

Polis juga berjaya menangkap kedua-dua penyerang tidak jauh dari tempat kejadian. Mereka mengaku merompak wanita itu. 

Chen ialah hos program popular, ‘Home in the Countryside' yang disiarkan menerusi televisyen setiap minggu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18

3 kes sehari


Oleh Siraj Mohd Zaini

Petaling Jaya: “Boleh dikatakan dalam sehari lebih tiga kes hilang motor atau peralatan motor yang saya dengar di kawasan ini,” kata Mohd Rudy Ahmad, 30, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, di sini.

Menurutnya, kejadian kecurian motosikal sudah didengar setiap hari sejak mendiami kawasan itu tujuh tahun lalu, meskipun pelbagai usaha digiatkan penduduk setempat untuk cuba membendungnya.


Katanya, kekurangan rondaan pihak berkuasa pada waktu malam di empat blok PPR menjadi punca masalah itu tidak menemui jalan penyelesaian.



“Boleh lihat sendiri banyak bangkai motor ditinggalkan begitu sahaja, tidak kurang juga ada motor yang tiada bertayar.


“Beribu penduduk di sini dan kebanyakannya mempunyai motosikal menjadi lubuk kepada pencuri berleluasa,” katanya.


Tinjauan Harian Metro di kawasan itu juga mendapati tidak kurang daripada 30 bangkai motor berada di sekitar koridor tingkat bawah PPR berkenaan.

Penduduk, Mohd Husni Abdullah, 31, berpendapat sikap segelintir penghuni yang sambil lewa terhadap keselamatan motosikal milik mereka juga turut menjadi punca peningkatan kes itu setiap hari.


Dia mendakwa perbuatan itu didalangi penduduk di kawasan itu sendiri kerana beberapa tahun lalu dia pernah menangkap seorang remaja cuba mencuri motosikal miliknya.

“Saya yakin kegiatan ini memang dari penduduk di sini juga, bukan menuduh, kadang-kadang kita sendiri pun tidak pernah kenal siapa sebenarnya penduduk di sini.


“Ramai di antara mereka yang menyewa di sini budak-budak muda pun selalu juga melepak di bawah, saya cuma ingin menasihati sesiapa yang tidak mahu kehilangan motor, sila kunci dengan sebaik-baiknya,” katanya.


Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melakukan sedaya upaya memastikan perkara itu dapat diatasi, namun ia memerlukan kerjasama semua pihak.


Pegawai Perhubungan Awam MBPJ Zainun Zakaria berkata, pihaknya mengakui kes kecurian meningkat saban tahun di kawasan itu dan pelbagai usaha digerakkan termasuk dengan kerjasama polis bagi meningkatkan rondaan di waktu malam.


“Bukan sahaja, di PPR Lembah Subang, tapi kebanyakan PPR lain pun menghadapi masalah sama, kita sentiasa berusaha mengatasi perkara ini tapi kita perlukan kerjasama persatuan penduduk untuk menguatkuasakan langkah keselamatan yang lebih rapi supaya ia dapat dikawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/18