Search This Blog

Thursday, July 17, 2014

Lelaki warga India didenda RM4,300 miliki rokok seludup


Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Seorang lelaki warganegara India didenda RM4,300 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 11 karton rokok seludup bernilai kira-kira RM217.

Muhmmed Afsal, 27, yang juga pekerja kedai runcit melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 12 tengah pada 8 Julai lalu bertempat di Taman Rinting, Masai di sini.

Muhmmed bersalah dibawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 135 (1) (iii) (aa) akta yang sama.

Majistret Salina Omar turut memerintah hukuman penjara selama lapan bulan jika tertuduh gagal membayar denda.


Muhmmed tidak diwakili peguam manakala kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nur Ezzati Nooh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Tiga mayat PATI ditemui pasukan penyelamat


Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Tiga mayat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) awal pagi tadi.

Ini menjadikan empat lagi mayat masih hilang susulan tragedi bot karam membawa PATI Indonesia di 3 batu nautika Tenggara Tanjung Piai Johor awal pagi Selasa lalu.



Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 6 Wilayah Selatan Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata operasi SAR diteruskan pukul 7 pagi tadi.

"Untuk setakat ini mangsa terbaru ditemui ialah tiga lelaki yang dijumpai dari 2 hingga 9 pagi ini di sekitar perairan Tanjung Piai.


"Dua mayat berkenaan dijumpai oleh anggota polis bantuan Pelabuhan Tanjung Pelepas kira-kira 2 dan 8 pagi manakala mayat terakhir pada kira-kira 9 pagi oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Empat lagi mayat ditemui susulan bot karam


Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Empat lagi mayat berjaya ditemui kira-kira 11.45 pagi tadi susulan tragedi bot karam membawa 72 PATI Indonesia di 3 batu nautika Tenggara Tanjung Piai Johor awal pagi Selasa lalu.

Ini menjadikan kesemua tujuh mayat yang hilang berjaya ditemui semua sejak awal pagi tadi.


"Kira-kira 11.45 pagi tadi polis bantuan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menjumpai empat mayat iaitu tiga lelaki dan satu wanita di perairan Tanjung Piai.

"Mayat dibawa ke jeti PTP dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.


Menurutnya, seramai 107 anggota dan 16 aset pelbagai agensi termasuk Polis Bantuan PTP, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor terbabit dalam misi mencari dan menyelamat hari ini.


Difahamkan satu kenyataan media akan dikeluarkan lewat petang ini untuk pengesahan penamatan misi mencari dan menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Wanita didenda RM3,544.70 jual rokok, arak seludup


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Seorang wanita didenda RM3,544.70 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah atas dua tuduhan menjual rokok dan arak seludup membabitkan nilai RM354.47 di kedai runcit miliknya di sini, tahun lalu.

Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Hoi Mui Peng, 54, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama, Hoi yang berasal dari Indera Mahkota di sini, didakwa memiliki rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM139.68 di Eng Joo Trading di D-448, Taman Fairmmont, Jalan Sungai Lembing, di sini, kira-kira jam 10 pagi pada 19 Februari 2013.

Wanita itu juga didakwa atas pertuduhan kedua memiliki 113 tin minuman keras jenama popular yang diseludup di tempat, masa dan tarikh sama.


Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 135(i)(iii)(aa) akta sama.


Ia memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Lelaki didakwa rogol anak tiri


Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya pada Disember tahun lalu dan 8 Julai lalu.

Tertuduh berusia 34 tahun itu membuat pengakuan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sembilan bulan di sebuah rumah di Ayer Molek, pada waktu malam Disember 2013.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama berusia 12 tahun empat bulan pada waktu dan di lokasi sama, 8 Julai 2014.


Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.


Ahmad Sazali tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Peniaga ditetak di tapak tangan, kepala dan lutut


Oleh Salman Hamat

Nibong Tebal: Seorang peniaga cedera di tapak tangan, kepala dan lutut selepas ditetak dua lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Kampung Nibong Tebal, 5.13 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat berkata, lelaki berusia 30-an itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di Hospital Sungai Bakap (HSB).


Sebelum kejadian mangsa dikatakan pergi ke lokasi kejadian selepas dipanggil dua kenalannya itu.

"Sebaik sampai suspek dikatakan terus menetak mangsa sehingga parah.


"Mangsa bernasib baik kerana kejadian itu disedari orang awam melalui kawasan berkenaan kemudian bertindak meleraikan pergaduhan itu dan membawa lelaki berkenaan ke hospital," katanya.


Pihaknya kini sedang memburu dua suspek berkenaan bagi mengenalpasti punca sebenar.

Kejadian disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

16 pengemis kena cekup


Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Seramai 16 pengemis termasuk lapan warga asing berusia tiga dan 60 tahun ditahan dalam operasi di kawasan pasar dan bazar Ramadan sejak awal puasa sepanjang dua minggu puasa.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Zulyadain Limat berkata, sebahagian daripada individu yang ditahan kerana mengemis ini terdiri daripada golongan masih berupaya untuk bekerja membabitkan usia antara 34 dan 45 tahun yang datang ke negeri ini dengan memberi alasan untuk mencari pekerjaan.


Katanya, apabila ditahan mereka memberi alasan masih tidak mendapat pekerjaan dan terpaksa mengemis untuk menampung kehidupan.

"Bagaimanapun, apa yang kita lihat mereka seolah-olah menjadikan aktiviti mengemis sebagai 'kerjaya' mungkin kerana boleh mengaut hasil lebih lumayan," katanya.


Menurutnya, semua warga asing yang ditahan itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan kerana berkaitan dengan dokumen perjalanan.


"Bagi warga tempatan pula, mereka ditahan mengikut Akta Orang Papa 1977 dan ditahan sementara untuk siasatan sebelum diarah pulang ke negeri masing-masing selepas selesai siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Pura-pura tanya jalan sebelum rompak


Oleh Syazwan Msar

Maran: Seorang peniaga kedai emas kerugian lebih RM800,000 selepas dirompak dua individu ketika mahu membuka premisnya di Lorong Baiduri, Bandar Tun Razak, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku ketika mangsa berseorangan sedang membuka kunci di pintu premisnya sebelum didatangi dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an yang berpura-pura bertanya jalan.


Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, seorang daripada suspek berkenaan mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke leher mangsa.

"Suspek menolak mangsa ke dalam premis sambil memaksanya menunjukkan peti besi yang menyimpan wang tunai serta barang kemas.


"Pada masa sama, mereka mengarahkan mangsa memasukan barang kemas kira-kira lima kilogram ke dalam guni serta wang tunai lebih RM100,000," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

114 PATI Indonesia diberkas PPM


Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Seramai 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia berjaya ditangkap Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 selepas cuba keluar dari negara ini di Sungai Che Minah, Bandar Penawar Kota Tinggi awal pagi ini.

Timbalan Komander PPM Wilayah 2 Superintendan N Kalai Chelvan berkata, kesemua PATI berusia lingkungan 4 bulan hingga 50 an berkenaan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiaran.


"Seramai 85 lelaki dan 24 perempuan ditahan selain tiga kanak-kanak lelaki serta dua kanak-kanak perempuan berusia dari empat hingga enam bulan berjaya ditahan oleh anggota PPM Wilayah Dua kira-kira 2 pagi tadi.

"Dua lelaki berusia 30 dan 36 tahun yang bertindak sebagai tekong dan pembantunya turut ditahan manakala sebuah bot fiber bersama lima enjin dengan 200 kuasa kuda setiap satu dirampas.


"Seorang tekong ketika ditahan memakai baju bertulisan Jawi dengan lilitan tangkal hitam di pinggang dipercayai bertujuan sebagai pelindung dari dikesan pihak berkuasa," katanya ketika sidang media di sini tadi.


Menurut Kalai Chelvan, hasil siasatan mendapati tekong berkenaan pernah ditahan sebelum ini termasuk dipenjarakan di negara ini atas kesalahan sama beberapa tahun lepas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Polis rampas mercun seludup


BALIK PULAU: Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan di sebuah gerai di Tingkat Teluk Kumbar di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata, dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu didapati menjual barang larangan itu secara terbuka di tepi jalan.
"Dalam serbuan pada 10 Julai itu, kami menyita lebih 100 keping mercun papan, pelbagai jenis bunga api, mercun roket dan lebih 20 bungkus mercun bola yang setiap paket mengandungi 100 biji," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata setiap jenis mercun itu dijual dengan harga RM1 hingga RM3 bergantung kepada jenis dan saiz dan kesemua barang rampasan itu dianggar bernilai RM3,000.


Lai berkata hanya mercun jenis 'Pop Pop', 'Magic Pop' dan 'Happy Boom' boleh dijual dengan berat tidak melebihi 22.6 kilogram. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Rangka manusia ditemui berhampiran gigi air


Melaka: Sebahagian rangka dipercayai milik manusia ditemui berhampiran gigi air di tapak pembinaan di Pulau Melaka di sini, semalam.
Difahamkan, rangka yang hanya mempunyai punggung, tulang peha dan kulit pada bahagian tulang belakang itu ditemui seorang lelaki kira-kira jam 2.30 petang. 
Menurut sumber, rangka yang tidak mempunyai kepala, tangan, badan dan kaki ditemui di atas timbunan sampah di kawasan itu. 

"Dipercayai rangka ini milik manusia, namun jantinanya masih tidak diketahui kerana bahagian perut, isi dan kemaluannya sudah tiada.
Foto
RANGKA dipercayai manusia yang ditemui semalam.

Foto
POLIS sedang menyiasat di lokasi rangka ditemui.

"Ia dipercayai dihanyutkan arus ke kawasan ini ketika air pasang sebelum tersangkut pada longgakan sampah berkenaan," katanya semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan rangka berkenaan. 

"Rangka itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti identitinya dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Kes denggi Pulau Pinang meningkat 175 peratus


Oleh Salman Hamat

Bukit Mertajam: Kes denggi di Pulau Pinang meningkat 175 peratus kepada 1,017 kes berbanding 370 kes bagi tempoh sama Januari hingga 12 Julai tahun lalu dan turut menyebabkan empat kematian.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi berkata, selain melakukan kempen banteras aedes dikalangan masyarakat pihaknya turut melakukan peneriksaan di tapak pembinaan turut menjadi antara lokasi pembiakan nyamuk berkenaan.


"Kami sudah memeriksa 402 tapak pembinaan di negeri ini dan mendapati 68 dari jumlah itu menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

"Sebanyak 56 notis pembersihan dikeluarkan, 19 lagi diarahkan tutup manakala kompaun berjumlah RM28,500 juga dikenakan terhadap kontraktor berkenaan," katanya.


Terdahulu beliau melakukan pemeriksaan tapak pembiakan aedes di sebuah tapak pembinaan di Permatang Pauh di sini, sebentar tadi.


Hasil pemeriksaan turut menemui kawasan takungan air menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Sampel berkenaan akan dianalisis dan sekiranya positif aedes tindakan akan dikenakan terhadap kontraktor berkenaan.

Selain tapak pembinaan tapak pembuangan sampah haram turut menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati sebanyak 3,226 tapak pembuangan sampah haram disahkan positif menjadi lokasi pembiakan aedes di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Suami isteri maut dirempuh kereta


Shah Alam: Sepasang suami isteri maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja masing-masing apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan kereta Perodua Viva yang gagal memotong kenderaan lain di Jalan Bukit Cerakah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa Mohamad Ujang Jantan, 42, dan isterinya, Jamilah Iswan, 36, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah akibat pertembungan berkenaan. 
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian lurus manakala keadaan cuaca baik dan tidak hujan. 

"Kita percaya kejadian berpunca daripada kereta Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun cuba memotong sebuah lagi kenderaan lain dan bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan.
Foto
Foto


"Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Dua remaja curi lapan tabung masjid


Jasin: Kariah Masjid Al-Khauthar, Umbai, di sini, dikejutkan dengan kecurian lapan tabung milik masjid itu oleh dua remaja lelaki awal pagi tadi.
Dalam kejadian 2.30 pagi, dua remaja lelaki itu dipercayai menggunakan laluan belakang masjid dengan meletakkan motosikal berhampiran Tanah Perkuburan Islam Umbai sebelum masuk melalui ke ruangan solat wanita dan mengumpil pintu jeriji. 
Kejadian itu disedari jemaah yang datang ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat subuh dan sebelum ini memang pernah ada kejadian kecurian seperti ini dan pihak masjid sepakat memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan. 

Berdasarkan rakaman CCTV dapati dua remaja lelaki mengambil masa selama satu jam untuk melarikan wang daripada tabung tabung masjid.
Foto
PERBUATAN dua remaja mencuri dirakam CCTV.

Sementara itu, Ketua Polis Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan menerusi CCTV yang diserahkan oleh jawatankuasa masjid.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Dua lelaki ditahan miliki pelbagai senjata api, bahan letupan


KUANTAN: Polis menemui senjata api, bahan letupan dan senjata tajam milik dua lelaki yang dipercayai penjenayah selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Lorong Sri Kuantan, Taman Galing Kecil di sini, pada Rabu malam.

Menurut sumber polis kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan jam 11 malam.


Dalam serbuan itu polis menemui beberapa laras senjata api, sepucuk pistol angin, peluru, bahan letupan, bom buatan sendiri, kelongsong peluru tajam, beberapa bilah parang dan pisau, buku lima dan barangan berbahaya lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati bahan letupan yang ditemui itu disahkan boleh dibuat bom.


Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh ketika ditemui mengesahkan tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian berkenaan.


"Polis masih lagi menyiasat kes ini, bagi kita selesaikannya dahulu kemudian kita akan adakan sidang akhbar berkenaan tangkapan ini," katanya.

Abdul Aziz berkata kedua-dua suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Kes denggi meningkat 570 kes di Kelantan dalam tempoh seminggu


KOTA BHARU 17 Julai - Kes demam denggi di negeri ini meningkat sebanyak 570 kes dalam tempoh tujuh hari minggu lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, sehingga 12 Julai lalu, kes tersebut meningkat kepada 3,468 kes berbanding 2,898 pada minggu sebelumnya.
"Kota Bharu menyumbang jumlah tertinggi apabila mencatatkan 80 peratus diikuti Tumpat, Bachok, Tanah Merah dan Machang.
"Kes demam denggi ini dijangkakan akan terus meningkat menjelang Aidilfitri ini sekiranya masyarakat tidak berusaha secara berterusan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140717/ek_03/Kes-denggi-meningkat-570-kes-di-Kelantan-dalam-tempoh-seminggu#ixzz37jzLcohd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine


MOSCOW 17 Julai - Sebuah pesawat penumpang Malaysia membawa 295 penumpang dan anak kapal terhempas di Ukraine dekat sempadan Rusia, lapor Interfax memetik sumber industri penerbangan sebagai berkata.
Menurut laporan itu, pesawat Boeing itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila nahas itu berlaku.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu setakat ini. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140717/dn_41/Pesawat-penumpang-Malaysia-terhempas-di-Ukraine#ixzz37jyhnjI3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tak sempat buat kuih raya


  • Kereta yang dipandu Nasirah remuk teruk di bahagian depan.Kereta yang dipandu Nasirah remuk teruk di bahagian depan.

IJOK - Hasrat seorang ibu muda yang mengandungkan anak sulung membuat kuih raya bersama adiknya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM18 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Nasirah Ismail, 22, yang sedang mengandung empat bulan dalam perjalanan untuk mengambil adiknya sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Suami mangsa, Mohd Hezri Shukor, 33, berkata, isterinya dalam perjalanan ke Sungai Sembilang, Jeram mengambil adiknya untuk dibawa pulang ke rumah mereka di Kota Puteri.

“Sebelum kejadian, isteri ada bagi tahu dia nak ambil adik sebab nak buat kuih raya sama-sama tapi saya tak sangka jadi begini...saya sangat terkejut bila dapat panggilan dari ayah mentua.

“Masa itu saya betul-betul tergamam dan tak percaya...bila ayah bagi tahu isteri meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan. Hanya ALLAH saja tahu perasaan saya ketika itu,” katanya sebak.

Mangsa dipercayai memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil tidak dapat mengelak sebuah lori yang ketika itu sedang memotong di laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di bahagian kepala berikutan bahagian depan kereta remuk teruk dan terperosok di bawah lori.

Mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat dan jenazah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sembilang.

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut dalam kemalangan langgar lari di hadapan sebuah sekolah di Jeram kira-kira jam 730 pagi semalam.

Mangsa, Razis Mat Basir, 29, dipercayai menunggang motosikal seorang diri dipintas sebuah lori di hadapan sekolah menyebabkan motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh.

Sumber berkata, belum sempat mangsa bangun, sebuah motosikal dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkan pendarahan teruk di bahagian kepala.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Jeram manakala isteri mangsa yang menjadi guru sekolah itu terkejut apabila dimaklumkan kejadian terbabit oleh pengawal keselamatan sekolah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak sulung yang baru berusia lima bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan meminta kerjasama semua yang menyaksikan kemalangan untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Kelengkapan kahwin anak musnah


  • Mohd Shariff bersama anak perempuannya melihat rumah pusakanya yang musnah.Mohd Shariff bersama anak perempuannya melihat rumah pusakanya yang musnah.

MORIB - Keterujaan si bapa dalam menyiapkan segala kelengkapan untuk majlis perkahwinan anaknya terbantut apabila rumah pusakanya musnah dalam kebakaran, malam semalam.

Mohd Shariff Ahmad, 39, berkata, dia yang baru berpindah ke rumah bantuan zakat Januari lalu tidak sangka rumah pusakanya yang terletak bersebelahan rumah barunya itu secara tiba-tiba terbakar.

Menurutnya, rumah pusakanya itu kini diduduki anak sulungnya yang bakal mendirikan rumah tangga bulan depan.   

"Sebelum kejadian itu, dua anak saya pergi ke rumah pusaka saya itu, tapi tak sampai 20 minit dengar anak saya itu jerit.

"Saya intai dari tingkap rumah dan nampak api menjulang dari arah dapur rumah pusaka saya itu. Saya terus jerit suruh anak saya itu keluar dari sana secepat mungkin," katanya.

Menurutnya, api yang marak merebak dengan cepat sehingga mengenai sebahagian rumah bantuan zakat yang didudukinya.

"Nasib baik ahli keluarga saya sempat keluar dan selamatkan diri. Dugaan demi dugaan menimpa keluarga kami sebab baru minggu lepas anak sulung saya itu kemalangan.

“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku walaupun persiapan kahwin anak termasuk wang hantaran berjumlah RM5,080, set hantaran dan set bilik tidur musnah terbakar," katanya.

Mohd Shariff dalam pada itu berkata, dia akan tetap meneruskan majlis kahwin anaknya berikutan sudah mengedarkan sebahagian kad jemputan.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Selangor Selatan, Azmi Sadon berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.52 malam dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

“Pihak kami ambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan api sepenuhnya apabila rumah kayu yang pada asalnya terbakar merebak ke rumah bersebelahan namun berjaya dikawal dengan bantuan seramai 11 orang anggota bomba dari Balai Bomba Banting dan KLIA,”
katanya.

Menurutnya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut.

Lelaki didakwa rogol, liwat gadis 15 tahun


17 Julai 2014

IPOH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan meliwat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Gopeng, pada Februari hingga Julai lepas.

Liew Kar Chuan, 29, dari Taman Gopeng Jaya, Gopeng dekat sini mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.
   
Dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di Gopeng pada pukul 11 malam, 1 Feb lepas dan meliwat remaja itu di sebuah rumah lain juga di Gopeng antara 1 Februari hingga 6 Julai lepas.
   
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
   
Hakim membenarkan Kar Chuan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Ogos untuk sebutan semula kes.
   
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Isa manakala tertuduh diwakili peguam Meor Shaazizi Meor Shaari. - Bernama

'Kena reda ini ketentuan ALLAH'

Keadaan rumah mangsa yang terbakar keseluruhan.
Keadaan rumah mangsa yang terbakar keseluruhan.
KEBUN BAHARU - Sambutan Aidilfitri buat sebuah keluarga yang tinggal di Batu 10 Kebun Baharu kali ini pastinya tidak seceria seperti tahun sebelumnya apabila ditakdirkan hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kayu yang didiami mereka sejak 10 tahun lalu musnah terbakar, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tenghari itu disedari beberapa jiran keluarga berkenaan selepas terhidu bau asap dari rumah tersebut.

ketika kejadian, mangsa Md Hasan Mohd Samuri, 45, tiada di rumah kerana keluar ke Pekan Banting membeli barang bersama seorang anaknya.

"Saya betul-betul terkejut bila dapat panggilan telefon daripada jiran dan saudara-mara yang beritahu rumah saya terbakar. Saya terus gegas balik rumah dan segera telefon isteri bagi memastikan dia dan anak-anak lain selamat.

"Alhamdulillah, ketika kejadian isteri dengan anak-anak yang lain tak ada di rumah," katanya menceritakan detik cemas berkenaan.
Sepanjang dalam perjalanan balik rumah, katanya, walaupun cemas dia sempat berdoa di dalam hati agar dokumen penting dan barangan berharga milik keluarganya dapat diselamatkan.

"Bila sampai saja, hanya ALLAH yang Maha Tahu bagaimana perasaan saya. Luluh rasanya hati ni bila tengok keseluruhan rumah dah terbakar,” katanya sebak.

Md Hasan berkata, walaupun kejadian tersebut adalah musibah buatnya sekeluarga, namun dia tetap bersyukur kerana isteri dan anak-anaknya selamat.

"Saya kena reda. Ini ketentuan ALLAH. Pada hari ke 15 Ramadan, kami sekeluarga diberikan dugaan ini dan tentu ada hikmah di sebalik ujian musibah yang ALLAH berikan kepada kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya, berikutan kebakaran tersebut, sebuah motosikalnya musnah dan menganggarkan keseluruhan kerugian yang dialami mencecah RM50,000.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada jiran-jiran, saudara-mara dan semua pihak yang berusaha bantu menyelamatkan barangan rumah kami,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori itu memberitahu, buat sementara waktu dia dan keluarga terpaksa tinggal di rumah saudara-mara.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kira kira jam 12.40 tengahari dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dengan bantuan sebuah lagi tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klanv.

“Kami terpaksa menggunakan dua aliran hos 400 kaki, tiga pancutan dari pam jentera bomba air tangki serta tangki air dari BBP Pelabuhan Klang. Bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah jiran kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.

Jaslizad berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Laungan takbir selamatkan nyawa

Md Ayub sedih melihat keretanya hangus dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
Md Ayub sedih melihat keretanya hangus dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
TANJONG KARANG - Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!

Laungan takbir tiga kali menyelamatkan nyawa seorang penduduk daripada menjadi mangsa kebakaran selepas rumah bapanya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini musnah kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Penduduk, Mohd Ansor Md Ayub, 31, berkata, jeritan bapanya yang melaungkan takbir mengejutkan tidurnya yang ketika itu berada di beranda rumah dan tergamam melihat api marak di bahagian dinding.

“Saya tak terkata apa-apa bila tengok api marak dan tanpa fikir panjang terus mengambil air untuk padamkan api. Tapi lama-kelamaan, api makin besar dan sangat panas.

“Masa tu api dah menjulang ke atas kepala dan saya jadi takut, terus keluar selamatkan diri. Asap terlalu tebal sampaikan saya tak boleh bernafas,” katanya ketika menceritakan detik cemas kejadian menimpa keluarganya itu.

Sementara itu bapanya, Md Ayub Buyamin, 64, berkata, dirinya tak menyangka musibah buruk ini menimpa keluarganya di saat umat Islam sibuk berpuasa dan tak lama lagi akan menyambut Aidilfitri.

“Memang semuanya hangus, termasuklah barang persiapan raya. Musibah ini memang menguji emosi kami tapi kami reda kerana mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.

“Memang tak berayalah kami tahun ni... mungkin kami tak merasa suasana nak beraya sebab semua dah musnah. Sekarang ni pun kami menumpang rumah emak buat sementara waktu,” katanya sebak melihat rumahnya.

Sebelum kejadian berlaku Md Ayub berkata, dia terhidu bau terbakar seperti getah ketika sedang leka menonton televisyen di ruang tamu sebelum ternampak kotak fius elektrik rumah terbakar dan dipenuhi kepulan asap.

“Bila tengok fius terbakar, pakcik terus bangun dan berlari ke dapur untuk ambil air. Tapi bila simbah, api makin marak. Air satu baldi pun tak cukup nak padamkan api.

“Pakcik lari semula ke dapur untuk ambil air tapi bila toleh ke ruang tamu, api makin besar dan membakar atap rumah. Masa tu asap memang tebal dan bahagian muka serta rambut terbakar sikit.

Pakcik tak ingat apa-apa dah,  melainkan ingat ALLAH. Pakcik terus laung takbir sekuat-kuatnya sebelumwatanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat kebakaran jam 1.45 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik saja tiba di lokasi kira-kira jam 2 pagi, api sudah pun merebak dan memusnahkan 80 peratus rumah penduduk berkenaan bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Nenek nekad lawan peragut

Esah mengalami luka kecil dijari akibat bergelut dengan peragut
Esah mengalami luka kecil dijari akibat bergelut dengan peragut
BESUT - Seorang nenek nekad melawan dua penjenayah demi mempertahankan barang kemas yang dipakainya daripada diragut dalam kejadian di halaman rumah mangsa di Kampung Amir, dekat Alor Lintang pagi kelmarin.

Esah Awang, 76, bertindak memegang kaki salah seorang suspek dan menepis tangan suspek yang cuba menggunting rantai leher dipakainya.

Namun dalam usia sebegitu, dia yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah menengah berhampiran tidak mampu mempertahankan barang berharga itu.

Menurut Esah, sebelum kejadian dia berada di luar bahagian belakang rumah untuk mengangkat kain di jemuran.

“Tiba-tiba datang seorang lelaki dari arah belakang makcik lalu menutup mulut makcik dengan tangannya. Penjahat itu yang memegang gunting cuba memotong rantai leher yang makcik pakai.

“Entah bagaimana makcik jadi berani melawan lelaki itu dengan memegang betisnya sambil menolak tangannya,” katanya yang berada seorang diri di rumah ketika kejadian.

Esah berkata, tidak lama selepas itu datang seorang lagi rakan peragut yang turut bertindak memegang dan menendang belakangnya yang sudah terbaring di atas tanah.

“Akhirnya mereka berjaya potong seutas rantai leher dan seutas gelang tangan makcik, kemudian terus melarikan diri dengan sebuah motosikal,” katanya.

Katanya, dia sedar tindakannya melawan dan bergelut dengan penjenayah yang bersenjatakan sebilah gunting itu amat berbahaya, tetapi kejadian itu berlaku secara spontan.

Akibat kejadian itu, Esah hanya mengalami sakit di bahagian belakang badan, lebam di pergelangan tangan kiri dan sedikit luka pada jari dipercayai tercucuk mata gunting ketika dia menepis tangan suspek.

“Makcik tak dapat cam suspek kerana dia pakai topi keledar yang menutup muka, tapi kedua-duanya berkulit cerah dan mempunyai saiz badan yang sederhana.

“Makcik ambil masa lama kumpul wang sedikit demi sedikit untuk beli barang kemas tersebut ketika harga murah dulu dan dalam sekelip mata dicuri mereka yang tak bertanggungjawab. Makcik anggarkan kerugian melebihi RM8,000,” katanya.

Esah merupakan ibu tunggal yang tinggal bersama anak, menantu dan seorang cucunya di rumah berkenaan.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan, Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin di Balai Polis Kampung Raja.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek dan mengingatkan orang ramai terutama wanita agar berhati-hati jika memakai barang kemas terutama jika berseorangan di tempat sunyi.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan.

Setengah jam bertarung nyawa

Keadaan lori yang terbalik di KM91 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Ayer
Hitam, Dungun selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 11.40 pagi, semalam
Keadaan lori yang terbalik di KM91 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Ayer Hitam, Dungun selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 11.40 pagi, semalam
DUNGUN - “Pemandu lori sudah elak, tapi kereta itu makan jalan. Tayar belakang lori tersangkut menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbalik,” kata Mohd Morizam Amin, 29, kelindan lori yang terselamat selepas lori dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Ayer Hitam, dekat sini, pagi semalam.

Kata Mohd Morizam, ketika kejadian, lori dinaikinya dalam perjalanan menuju ke Paka selepas menghantar perabot di bandar Dungun.

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas, namun bersyukur kerana dia dan pemandu lori, Jofri Tamat, 40, yang dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, hanya cedera ringan.

Sementara itu, pemandu Proton Saga BLM, Salleh Majid, 60, yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas dipercayai dihempap lori berkenaan, terpaksa bertarung nyawa hampir setengah jam sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Dungun.

Akibat kejadian itu, Salleh mengalami patah kaki, selain cedera di bahagian kepala dan lutut, manakala isterinya, Zuhaini Yaacub Thomas, 60, yang berada di tempat duduk hadapan pula patah tangan kanan.

Kedua mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketika kemalangan, pasangan suami isteri itu yang tinggal di Kampung Lentang Jerangau dan menjalankan perniagaan menjual daging lembu, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menziarahi anak perempuan mereka di Kemasek.

Turut terbabit dalam kemalangan itu dua Proton Waja dan sebuah Proton Wira.

Bagaimanapun, mangsa lain yang berada dalam kereta berkenaan hanya cedera ringan dan dirawat di Unit Pesakit Luar Hospital Dungun.

Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati lori dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan, sebelum bergesel dengan Proton Saga BLM lalu terbalik.

Manakala tiga lagi kereta berlanggar setelah salah sebuah Proton Waja berhenti secara mengejut.

Kemalangan kira-kira jam 11.40 pagi di Kilometer 91 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu juga menyebabkan kesesakan jalan yang teruk  sejauh hampir lima kilometer di kedua-dua hala, namun berjaya dikawal dengan bantuan polis trafik.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu.

11 ditahan terbabit kegiatan gores dan menang


16 Julai 2014


KOTA BHARU - Dua wanita antara 11 yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket penipuan gores dan menang di Padang Bonggor, Jalan Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata semua suspek yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu ditahan pada 5 petang di sebuah premis di sini.

"Sejak April tahun ini kita telah menahan 22 individu termasuk 11 orang yang ditahan semalam dan kita kesan kegiatan sindiket penipuan ini sejak awal tahun ini.

"Sindiket ini menyasarkan pelanggan di pusat membeli-belah untuk dijadikan mangsa dan mereka amat licik," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini, hari ini.

Azham berkata siasatan awal mendapati deposit minimun yang dikenakan kepada pelanggan bagi memperoleh sesuatu barangan adalah sebanyak RM12,300.  

"Kita rampas kesemua barangan yang digunakan untuk memperdayakan pelanggan antaranya resit dan album hadiah lumayan yang digunakan untuk menarik minat pelanggan.

Antara hadiah menarik yang ditawarkan kepada pelanggan adalah jongkong emas seberat 1 kilogram, kami percaya sindiket ini akan berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk menjalankan operasinya," katanya.

Katanya, orang ramai perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat mengenai sindiket gores dan menang ini.

Beliau berkata semua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

Pemuda dibelasah disyaki curi motosikal meninggal


16 Julai 2014

BESUT - Seorang pemuda yang dibelasah penduduk kampung kerana disyaki mencuri sebuah motosikal di Kampung Kubang Bemban dekat Kampung Raja pada Jumaat lepas meninggal dunia hari ini ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
   
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa Mohd Zul Hafis Ilias, 21, berasal dari Gong Dasar, Jabi dekat sini yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, meninggal dunia 3.15 petang tadi.  

"Siasatan akan dijalankan sementara menunggu keputusan bedah siasat. Malah kita minta saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Dalam kejadian pada 11.30 malam Jumaat lalu, mangsa dijumpai pengsan setelah dibelasah penduduk kampung.
   
Ketika polis tiba di tempat kejadian hasil makluman orang ramai, seorang lelaki dijumpai terbaring tidak sedarkan diri di atas jalan raya sebelum menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Besut.
   
Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala turut mengalami bengkak di bahagian belakang kepala dan luka-luka kecil di kaki, siku, lutut dan tangan serta terpaksa diberi bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke Hospital Sutanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut. - Bernama

Kiki sudah mohon maaf

Status permohonan maaf yang dimuat naik oleh Kiki di akaun Facebook.
Status permohonan maaf yang dimuat naik oleh Kiki di akaun Facebook.
KUANTAN - Pemandu kereta Peugeot putih yang bertindak membuli pesara yang terlanggar keretanya di tempat letak kereta UTC Kuantan tampil memohon maaf dan mengakui kesalahannya.

Wanita berusia 30 tahun itu memohon maaf kepada Sim Siok Hong, 67, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang hari kejadian.

Sinar Harian difahamkan wanita itu juga dijangka tampil ke IPD Kuantan hari ini bagi merekodkan keterangan berhubung kejadian.

Wanita itu telah membuka akaun Facebook baharu semalam menggunakan nama Kiki Kerja Kahwin dan dia membuat permohonan maaf secara terbuka melalui akaun tersebut yang mendapat 8,896 likes sehingga jam 6.30 petang semalam.

“Saya mahu masyarakat menghormati privasi saya. Kadang-kadang orang ada membuat kesilapan. Mohon maaf tulus ikhlas daripada hati seorang rakyat Malaysia ini,” katanya.

Sementara itu, Digi Telecommunications telah menawarkan untuk membayar kos baik pulih kenderaan lelaki warga emas berkenaan.

Digi melalui laman Facebook rasminya berkata, mereka akan membayar kos baik pulih kereta lelaki terbabit kerana sifat empati yang ditunjukkannya.

Syarikat telekomunikasi itu juga menawarkan untuk membayar ganti rugi kepada wanita terbabit sekiranya dia dapat memaafkan lelaki warga emas itu.

KEMALANGAN JALAN RAYA DI KM35 LEBUHRAYA KARAK


Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena yang terbabas...
Mangsa seorang lelaki melayu yang cedera dan tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan diserahkan kepada pihak ambulan




10 korban Taufan Rammasun


2014/07/17

10 korban Taufan Rammasun
Penduduk berlindung di sebuah pusat perlindungan sementara selepas Taufan Rammasun melanda pantai Teluk Baseco dekat Metro Manila semalam. - Foto REUTERS
Pejabat, sekolah ditutup, lebih 370,000 lagi terpaksa berpindah

Manila: Taufan Rammasun mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang ketika ia membadai Filipina dan ibu negaranya, menyebabkan 370,000 terpaksa berpindah manakala pasaran kewangan, pejabat dan sekolah ditutup, kata wakil pasukan penyelamat semalam.

Rammasun, ribut terkuat yang melanda negara itu tahun ini, melepasi selatan Manila semalam selepas melalui kepulauan utara Luzon, menumbangkan pokok dan tiang elektrik serta menyebabkan keputusan bekalan tenaga.

Jalan utara di seluruh Luzon terhalang akibat sampah, pokok tumbang dan tiang elektrik. Ribut menyebabkan pokok tercabut di ibu negara.

Ditawan 6 jam


Kuala Lumpur: Seramai 15 anak kapal warga asing yang bertugas di kapal tangki minyak milik syarikat Malaysia ditawan lanun selama lebih enam jam di Perairan Timur Johor, Laut China Selatan, kelmarin.
Dalam kejadian 11.45 malam itu, kapal yang membawa muatan 2.5 juta metrik minyak gas marin diserang sekumpulan lanun yang membawa senjata api.

Lebih mencemaskan apabila kumpulan lanun terbabit turut merosakkan sistem navigasi, komunikasi dan kawalan jentera utama pada kapal berkenaan bertujuan memastikan kedudukan kapal itu tidak dikesan pihak berkuasa.
Dalam kejadian itu, lebih 60 peratus muatan minyak dirampas dan dipindahkan kumpulan lanun ke kapal lain.

Malah kumpulan lanun turut merompak wang tunai milik anak kapal membabitkan jumlah ribuan ringgit.

Kumpulan lanun itu kemudian bertindak meninggalkan kapal tangki itu menggunakan bot laju selepas melakukan rompakan sekitar jam 6 pagi.
Foto
KAPAL tangki yang ditawan lanun, kelmarin
Difahamkan kapal tangki itu dalam perjalanan dari Singapura ke Sandakan, Sabah dengan membawa tiga anak kapal warga Bangladesh, tiga warga Indonesia dan sembilan warga India.

Pengarah Pengurusan Media Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Komander Ismail Othman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian serangan lanun itu pada jam 10.30 pagi semalam.
Menurutnya, pihak TLDM mengarahkan kapal KD Terengganu ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

“KD Terengganu tiba di lokasi kejadian dua jam kemudian dan menghubungi kapal tangki itu menggunakan sistem radio.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua anak kapal tangki itu dalam keadaan selamat, tetapi masih terkejut dengan kejadian yang dialami,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Buat hal tak serik dihukum


Oleh Rosli Ilham

Dungun: Tidak serik dengan hukuman denda yang dikenakan terhadapnya tahun lalu, seorang peneroka sekali lagi cuba mengedar mercun, namun dia menerima padah apabila diberkas di halaman rumahnya di Ketengah Jaya, di sini, malam kelmarin.

Suspek berusia 51 tahun ditahan bersama dua rakannya warga Indonesia berusia 34 dan 40 tahun, jam 11 malam.


Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, ketika serbuan, suspek yang berada di dalam kereta Naza Citra miliknya dan baru tiba di rumahnya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.



“Namun polis bertindak pantas mengejar suspek dan menahannya manakala dua rakannya berada di dalam rumah gagal melarikan diri.


“Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis mercun di dalam rumah dan di dalam kenderaan suspek yang dianggarkan bernilai RM2,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini, semalam.


Beliau berkata, polis percaya bekalan mercun terbabit diambil dari negara jiran sebelum dibawa pulang ke sini untuk dijual kepada penduduk sekitar kawasan FELDA terbabit dengan anggaran keuntungan dua kali ganda.

Katanya, suspek pernah ditahan polis tahun lalu berhubung kesalahan sama dan dikenakan hukuman denda oleh mahkamah.


“Pada tahun ini polis sekali lagi memberkas suspek bersama dua rakannya sebelum semua suspek dan pelbagai jenis mercun itu dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,“ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Enam suspek kes rogol masih diburu


Bachok: Enam suspek berhubung kes dua remaja perempuan dirogol bergilir-gilir oleh 21 individu dalam kejadian di Ketereh 20 Mei lalu masih menjadi buruan polis Kelantan.

Ketua Polis Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya kini giat mengesan enam lelaki yang berusia berusia 18 hingga 25 tahun, sekali gus menyelesaikan kes itu dengan segera Katanya, enam lelaki yang berasal dari kampung berkenaan dipercayai sudah melarikan diri, namun pihaknya sentiasa membuat pemantauan bagi menjejaki mereka.


“Kita sudah menahan 15 individu termasuk tiga beranak yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol itu. Lima daripadanya sudah pun didakwa di mahkamah.



“Namun, kita masih memburu saki baki kumpulan ini iaitu enam individu berkenaan untuk menyelesaikan kes rogol ini,” katanya pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa dan penyerahan cek kepada Tabung Kemanusiaan Palestin-Media Prima Berhad.


Cek berjumlah RM1,000 itu disampaikan oleh Ahli Perniagaan Datuk Azham Damiri di Kampung Budi, di sini, semalam kepada wakil Media Prima, Sulaiman Jaafar.


Beliau berkata, kes berkenaan tidak akan ditutup selagi enam suspek tidak diberkas.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dua remaja masing-masing pelajar tingkatan dua dan tiga mendakwa dirogol sekumpulan lelaki di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir.


Rakan lelaki salah seorang mangsa dikatakan dipaksa untuk menyaksikan kejadian itu. Susulan kejadian, 15 individu ditahan termasuk tiga beranak berusia 14 hingga 38 tahun.

Mazlan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Ditusuk kaca botol


Batu Pahat: Dua anggota polis cedera diserang seorang pesakit mental menggunakan serpihan botol kaca ketika mereka cuba menahan lelaki berkenaan di Kampung Parit Ismail di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, empat anggota bergegas ke kampung berkenaan selepas menerima aduan penduduk berhubung gangguan seorang pesakit mental.

Difahamkan, setiba di tempat kejadian dua anggota polis itu mendapati pesakit mental terbabit berada dalam sebuah rumah dan mereka cuba memujuknya keluar.
Menurut sumber, selepas usaha memujuk lelaki itu tidak berhasil, anggota polis terbabit membuat keputusan masuk ke dalam rumah untuk berbincang dengan lelaki berkenaan.

“Namun melihat anggota polis naik ke rumah, lelaki itu tiba-tiba mengamuk dengan membaling botol.

“Selepas hampir dua jam berusaha mententeramkannya, keadaan sedikit reda apabila dia menunjukkan tanda untuk bekerjasama yang meyakinkan anggota polis mendekatinya,“ katanya.
Foto
KEADAAN mangsa yang ditusuk kaca botol di Kampung Parit Ismail, Batu Pahat, kelmarin.
Menurut sumber itu, ketika dua anggota polis menghampiri untuk menangkapnya, tiba-tiba lelaki itu bertindak luar dugaan dengan menikam seorang anggota dengan serpihan kaca botol di belakang badan.

“Seorang lagi anggota juga luka akibat diserang pesakit mental itu. Kedua-dua anggota terbabit di hantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan,“ katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata pesakit mental itu berjaya ditahan untuk diserahkan kepada pihak yang berkenaan.

Katanya, kedua-dua anggotanya yang cedera dalam kejadian itu dilaporkan tidak membimbangkan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

2 lagi mayat ditemui


Johor Bahru: Dua lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia mangsa tragedi bot pancung karam di perairan Tanjung Piai Johor, Pontian, kelmarin, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah 6 Wilayah Selatan Kapten Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, dua mayat lelaki berkenaan dijumpai pada jam 2.35 petang oleh bot agensi berkenaan dan bot tukar barang Indonesia di 3.5 batu nautika Tenggara Tanjung Piai.


Menurutnya, dua mayat mangsa yang dipercayai berusia 30-an itu dijumpai tanpa dokumen pengenalan diri dan dibawa ke jeti Sungai Pulai, Gelang Patah untuk tindakan lanjut.



Katanya, hasil pengakuan dua tekong laut yang ditahan sejurus kejadian kelmarin mendapati bilangan penumpang bot malang berkenaan ialah 72 orang, bukannnya 80 seperti dianggarkan pihaknya.


“Usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan bagi mencari baki tujuh PATI yang masih hilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Bakar sampah, kedai hangus


Ipoh: Sebuah kedai runcit berusia lebih 40 tahun musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Jalan Menteri, Kampung Manjoi, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, pemiliknya, Syed Halim, 43, kerugian hampir RM80,000 selepas semua peralatan serta barangan runcitnya musnah.


Menurut Syed, kejadian berlaku apabila sampah-sarap yang dibakar berhampiran kedainya secara tiba-tiba marak sehingga menyebabkan bahan kayu di kawasan itu turut terbakar.



“Memang saya ada membakar sampah di sebelah kedai, namun ia hanya dalam jumlah yang kecil dan ketika kejadian saya sibuk melayan pelanggan.


“Kebakaran berlaku terlalu pantas kerana tidak sampai beberapa minit saya meninggalkan sampah itu, sebahagian kedai sudah terbakar,” katanya.


Menurutnya, kejadian itu disedari sebaik orang awam yang melalui jalan di hadapan kedainya menjerit ternampak api sedang marak.

“Ketika itu hanya Tuhan saja tahu betapa panik keadaan apabila api kelihatan marak membakar hampir separuh kawasan di luar kedai.


“Malah, barangan runcit semuanya hangus dijilat api di hadapan mata saya,” katanya yang mewarisi perniagaan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

Tambahnya, kejadian itu menyebabkan beberapa barang kelengkapan dan stok simpanan barang jualan di kedainya musnah.


“Kedai ini adalah peninggalan warisan ayah dan ibu kami adik-beradik. Terlalu banyak kenangan di sini sepanjang saya menguruskan perniagaan turun temurun ini.


“Saya akan usahakan juga untuk membaik pulih kedai ini. Jika ada pihak sudi membantu kami adik-beradik juga memang dialu-alukan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya Norazlina Robak’ee berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai terbabit jam 9.35 malam sebelum tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Barang hantaran hangus


Banting: “Semua hasil titik peluhnya hangus bersama rumah pusaka ini,” kata Haniza Abdul Manan, 42, ibu kepada Wan Badrol Muhayat Mohd Sheriff, 21, selepas rumah pusaka mereka di Batu 27, Kampung Morib, di sini hangus bersama barangan hantaran untuk majlis perkahwinan anaknya itu yang dijadualkan bulan depan.
Dalam kebakaran jam 9.30 malam kelmarin, semua persiapan perkahwinan Wan Badrol hangus menyebabkan dia kini hanya berkurung di dalam bilik di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah pusaka itu sejak kejadian.

Haniza berkata, anak sulungnya yang bekerja sebagai peniaga Char Kuey Teow langsung tidak keluar bilik mungkin kerana terlalu sedih kerana semua barangan hantaran serta wang tunai RM5,000 hangus dalam kejadian itu.
Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan anak sulungnya itu ialah rumah berkenaan diwariskan datuknya yang sempat berpesan supaya menjaganya dengan baik sebelum arwah meninggal dunia dua tahun lalu.

“Majlis pernikahan anak saya dijadualkan pada 16 Ogos depan di rumah pasangannya, Aisyah Sujangi, 22, dan segala persiapan untuk majlis itu dibeli hasil titik peluhnya sebagai peniaga Char Kuey Teow musnah bersama rumah berkenaan.

“Bukan barang hantaran dan wang tunai saja, malah katil, tilam serta beberapa perabot lain baru dibeli bagi menyambut kedatangan pasangan hidupnya bulan depan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, semalam.
Foto
HANIZA menunjukkan sisa kebakaran rumah pusaka miliknya.
Haniza berkata, ketika kejadian, dia dan anaknya baru pulang dari berbuka puasa di rumah adiknya manakala suami dan seorang lagi anaknya baru selesai berniaga.

“Sedang kami duduk berborak di rumah saya yang hanya bersebelahan rumah pusaka itu, tiba-tiba kami terdengar bunyi bising seakan-akan kaca pecah di bahagian belakang rumah berkenaan.
“Sebaik melihat api marak, kami sekeluarga meluru keluar dan cuba memadamkan api, namun mungkin kerana rumah itu diperbuat daripada kayu, api merebak cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 9.52 malam sebelum mengejarkan dua jentera ke tempat kejadian.

“Dua jentera dikejarkan dari BBP Banting dan KLIA dan jentera pertama tiba di tempat kejadian pada jam 10.06 malam sebelum dapat mengawal api setengah jam selepas itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Berbogel minta bantuan


Gemas: Seorang kanak-kanak berlari dalam keadaan bogel untuk meminta bantuan jiran sekali gus menyelamatkan neneknya yang menghidap sakit sendi dan bertongkat daripada rentung selepas rumah mereka di FELDA Palong 5, Jempol, dekat sini, terbakar, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, kanak-kanak terbabit Eqwan Marsyal Morarasyal, 5, baru selesai mandi dan mahu mencari baju di dalam almari di ruang tengah rumah sebelum melihat percikan api pada bahagian kabel elektrik di situ.

Murid tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu kemudian bergegas ke dapur dan memanggil neneknya, Jaliah Harisun, 61, yang ketika itu sedang memasak juadah berbuka puasa dan memberitahu kejadian itu.
Menurut Jaliah, dengan bertongkat dia pergi memeriksa dan terkejut melihat percikan api daripada kabel yang terbakar jatuh ke tempat rak pakaian yang ada di situ.

Katanya, dalam keadaan cemas, cucunya yang belum sempat memakai pakaian bergegas keluar memaklumkan kepada jiran yang kemudian datang memapah dia keluar dari rumah yang sedang dijilat api.

“Jika tidak kerana cucu memberitahu jiran rumah sedang terbakar, tidak tahulah apa akan berlaku kepada saya.
Foto
EQWAN bersama neneknya Jaliah kehilangan tempat tinggal. Gambar kecil, keadaan rumah mangsa yang terbakar.
“Sudahlah berjalan menggunakan tongkat sebab sakit sendi dan lutut, hendak menyelamatkan diri sendiri pun dibantu jiran,” katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersedih kerana tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu, dia tetap bersyukur terselamat hasil tindakan pantas cucu memberitahu jiran mengenai kejadian.
Katanya, ketika kejadian hanya dia dan cucu yang dipelihara sejak kecil itu berada di rumah manakala suaminya Adnan Ahmad, 59, berada di kebun.

“Pagi kejadian (kelmarin) saya sempat hias rumah dengan langsir baru untuk Aidilfitri. Persiapan lain seperti baju raya turut hangus,” katanya.

Jaliah berkata, keluarganya kini tinggal sementara di rumah kakitangan FELDA Palong 4,5 dan 6.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau Norazhim Mohd Shah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 5.12 petang dan lima anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Ramelan Ribut bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, turut membantu dalam operasi memadam kebakaran enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Palong Enam.

Norazhim berkata, ketika pihaknya sampai di lokasi kejadian pada jam 5.52 petang, rumah berkenaan sudah 50 peratus terbakar dan usaha memadam api sudah dilakukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba Gemas yang tiba pada 5.40 petang bersama PBS.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Penjara 8 tahun ragut beg galas


Kuala Terengganu: Dua sahabat terpaksa akur dengan hukuman penjara lapan tahun diputuskan Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku salah meragut beg galas milik seorang penuntut di sebuah perhentian bas pada 3 Julai lalu.

Hakim Mohd Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Tengku Taufik Hidayat Tengku Abdullah, 30, dari Bukit Payong, Marang dan Tengku Azhar Tengku Ismail, 29, dari Manir, di sini mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta Wan Nur Safiah Wan Ahmad, 23, dengan meragut beg galas yang mengandungi kad pengenalan, sebuah telefon bimbit model BlackBerry jenama 9800, sebuah telefon bimbit model Nokia 302 Asha, satu pengecas telefon bimbit, seutas jam tangan jenama Bonia dan wang tunai RM50.



Dua sahabat yang masing-masing bekerja sebagai mekanik dan peniaga mengaku salah melakukan kesalahan itu di tempat menunggu bas, Kampung Pengadang Baru, di sini, jam 6.45 petang pada 3 Julai lalu.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.


Mengikut fakta kes, ketika mangsa menunggu bas di kawasan berkenaan sebelum dihampiri sebuah motosikal Honda EX5 dinaiki dua tertuduh yang bertopi keledar.

Dua tertuduh kemudian memberhentikan motosikal berhampiran tempat mangsa menunggu bas sebelum seorang daripadanya menghampiri mangsa dan meragut beg galas yang ada di tangan mangsa dari arah belakang.


Sebaik mendapatkan beg galas itu, dua tertuduh melarikan diri sebelum satu laporan polis dibuat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17

Suami isteri terjun sungai


Sungai Petani: Gara-gara takut ditahan pihak berkuasa selepas didapati menjual makanan sebelum jam 3 petang, sepasang suami isteri sanggup terjun ke dalam sungai sebelum menghilangkan diri di celah-celah pokok dalam hutan di Pusat Rekreasi Tupah, Merbok, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila sepasukan pegawai Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) dan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), menyerbu gerai milik pasangan berusia 30-an berkenaan berikutan maklumat awam.

Difahamkan, pasangan itu melarikan diri lintang-pukang lalu terjun ke dalam sungai dan menghilangkan diri di dalam hutan meninggalkan bungkusan nasi dan lauk-pauk sejurus menyedari kenderaan MPSPK berhenti di hadapan meja jualan.
Hasil pemeriksaan, pegawai dan anggota penguat kuasa PADKM dan MPSPK menemui sejumlah makanan di atas meja dan sebuah motosikal yang di dalam raganya terdapat beberapa bungkusan makanan dipercayai untuk dijual pada pelanggan.

Ketua Penguat Kuasa PADKM Zaiferi Zainul Abidin berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan pasangan suami isteri itu menjual makanan kepada golongan tidak berpuasa di kawasan pusat rekreasi terbabit sejak awal Ramadan.

Katanya, hasil intipan mendapati, wanita terbabit meletak sebuah meja untuk menjalankan perniagaannya seawal jam 9 pagi bagi menjual pelbagai masakan, namun pihaknya gagal menahan pasangan terbabit kerana mereka sudah melarikan diri disebabkan menyedari kehadiran pihak berkuasa lebih awal.
Foto
Penguat Kuasa PADKM memeriksa bungkusan makanan yang ditemui dalam serbuan di sebuah kedai segera.
“Kita dapati ramai pelanggan datang membeli makanan daripada wanita berkenaan, malah kita turut menyerbu sebuah gerai lain, namun hanya menemui bungkusan makanan dan air kerana peniaganya sudah menghilangkan diri.

“Semua makanan dan peralatan berniaga serta motosikal dirampas. Malah, kita juga menahan seorang lelaki Melayu Pattani kerana menghisap rokok di khalayak ramai,” katanya ketika ditemui, di sini.
Dalam operasi itu, PADKM memeriksa lebih 10 kedai dan gerai sekitar Semeling, Tupah, Tanjung Dawai, Jalan Bedong, Bukit Makmur, Tikam Batu, Taman Ria Jaya dan Tasek Apong untuk memastikanmereka mematuhi arahan.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, sebanyak empat gerai disaman.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/17