Search This Blog

Wednesday, July 16, 2014

PADAH NAIK HANTU !



Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat wanita yang bertindak ganas terhadap seorang lelaki tua ketika kemalangan di Kuantan, Pahang selepas rakaman video kejadian itu menjadi viral sejak petang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, wanita berkenaan akan disiasat mengikut undang-undang jalan raya kerana bertindak sebagai pembuli jalanan.

"Saya sudah melihat rakaman video itu pagi tadi, kita akan siasat wanita itu. Kalau kemalangan bukan itu caranya tetapi dia perlu membuat laporan polis bukan bertindak sendiri.

"Tindakannya itu mengundang bahaya dan dianggap sebagai pembuli jalan raya yang menyalahi undang-undang," katanya ketika sidang media penyerahan bungkusan Aidilfitri kepada pegawai dan anggota PDRM di Bukit Aman, tadi.

Beliau berkata, meskipun lelaki di dalam video itu tidak tampil membuat laporan polis, pihaknya akan tetap mengambil tindakan dan menyiasat wanita itu.

"Kalau tiada laporan polis kita akan buat laporan terhadap wanita itu kerana rakaman video itu sudah tersebar dan menjadi bukti kejadian," katanya.

Kebanyakan pengguna laman sosial menyelar tindakan wanita itu yang dianggap biadap. Namun ada juga pengguna merasakan perkara ini patut diselesaikan pihak polis.

Lapangan terbang Tripoli dibom

Bangkai trak dan pesawat musnah selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli diserang kumpulan bersenjata
Bangkai trak dan pesawat musnah selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli diserang kumpulan bersenjata
TRIPOLI - LIBYA. Hampir 90 peratus pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli musnah dibom dalam kejadian yang dipercayai didalangi Sel Operasi Revolusioner Libya (OCLR), menurut jurucakap kerajaan Libya, semalam.

Ahmed Lamine bagaimanapun berkata, jumlah sebenar pesawat yang musnah dalam serangan itu masih belum dapat dipastikan berikutan lapangan terbang tersebut berfungsi sebagai hab utama bagi pengangkutan di Libya.

"Kerajaan telah mengkaji kemungkinan untuk membawa pasukan antarabangsa bagi meningkatkan keselamatan di negara ini,"katanya dipetik Al Arabiya

Kelmarin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil pulang kakitangannya dari negara itu buat sementara waktu berikutan keadaan keselamatan semakin merosot selepas pertempuran sengit antara militia Zintan dan kumpulan penentang tercetus di sekitar
lapangan terbang terbabit.

Sejak pertempuran tercetus Ahad lalu, sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh manakala lebih 11 lagi cedera dan kini dirawat di hospital al-Zahraa yang terletak kira-kira 15 kilometer dari lapangan terbang.

Tripoli berdepan keganasan sejak penyingkiran Muammar Gaddafi pada 2011.

Kemalangan jalanraya di KM 3 Jalan Raya Timur Barat (Grik)

Kemalangan jalanraya di KM 3 Jalan Raya Timur Barat (Grik) pada pukul 4.22 pagi tadi. Kemalangan melibatkan sebuah MPV dan sebuah lori. 2 maut tersepit manakala seorang kanak-kanak cedera. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Gerik


'Kena reda ini ketentuan ALLAH'

Keadaan rumah mangsa yang terbakar keseluruhan.
Keadaan rumah mangsa yang terbakar keseluruhan.
KEBUN BAHARU - Sambutan Aidilfitri buat sebuah keluarga yang tinggal di Batu 10 Kebun Baharu kali ini pastinya tidak seceria seperti tahun sebelumnya apabila ditakdirkan hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kayu yang didiami mereka sejak 10 tahun lalu musnah terbakar, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tenghari itu disedari beberapa jiran keluarga berkenaan selepas terhidu bau asap dari rumah tersebut.

ketika kejadian, mangsa Md Hasan Mohd Samuri, 45, tiada di rumah kerana keluar ke Pekan Banting membeli barang bersama seorang anaknya.

"Saya betul-betul terkejut bila dapat panggilan telefon daripada jiran dan saudara-mara yang beritahu rumah saya terbakar. Saya terus gegas balik rumah dan segera telefon isteri bagi memastikan dia dan anak-anak lain selamat.

"Alhamdulillah, ketika kejadian isteri dengan anak-anak yang lain tak ada di rumah," katanya menceritakan detik cemas berkenaan.
Sepanjang dalam perjalanan balik rumah, katanya, walaupun cemas dia sempat berdoa di dalam hati agar dokumen penting dan barangan berharga milik keluarganya dapat diselamatkan.

"Bila sampai saja, hanya ALLAH yang Maha Tahu bagaimana perasaan saya. Luluh rasanya hati ni bila tengok keseluruhan rumah dah terbakar,” katanya sebak.

Md Hasan berkata, walaupun kejadian tersebut adalah musibah buatnya sekeluarga, namun dia tetap bersyukur kerana isteri dan anak-anaknya selamat.

"Saya kena reda. Ini ketentuan ALLAH. Pada hari ke 15 Ramadan, kami sekeluarga diberikan dugaan ini dan tentu ada hikmah di sebalik ujian musibah yang ALLAH berikan kepada kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya, berikutan kebakaran tersebut, sebuah motosikalnya musnah dan menganggarkan keseluruhan kerugian yang dialami mencecah RM50,000.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada jiran-jiran, saudara-mara dan semua pihak yang berusaha bantu menyelamatkan barangan rumah kami,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori itu memberitahu, buat sementara waktu dia dan keluarga terpaksa tinggal di rumah saudara-mara.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kira kira jam 12.40 tengahari dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dengan bantuan sebuah lagi tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klanv.

“Kami terpaksa menggunakan dua aliran hos 400 kaki, tiga pancutan dari pam jentera bomba air tangki serta tangki air dari BBP Pelabuhan Klang. Bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah jiran kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.

Jaslizad berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Ibu mati jururawat cuai


WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Julai 2014

IPOH - Seorang ahli perniagaan mendakwa kematian ibunya yang menghidap penyakit akibat radang paru-paru pada 16 Mac lalu berpunca daripada kecuaian jururawat ketika warga emas itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di sini.

Wong Kok Yew, 49, berkata, jururawat terbabit membuka wayar elektrokardiogram (ECG) di tubuh mendiang ibunya, Agnes Liu Soo Thye, 76, secara kasar.

Menurutnya, ketika insiden pada kira-kira jam 5 petang itu, dia sendiri melihat perbuatan jururawat tersebut yang kemudiannya memindahkan wayar berkenaan kepada pesakit di katil sebelah ibunya.

“Ketika itu, ibu saya terus menjerit kesakitan dan kira-kira 10 minit selepas itu saya dapati pergerakan ibu menjadi perlahan sebelum dia terus diam (tidak bernyawa),” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, di sini.

Kok Yew berkata, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya dan keluarga yang menganggap secara tiba-tiba, meskipun sedar ibunya mempunyai penyakit.

Katanya, insiden seumpama itu mampu dielakkan jika pihak hospital menggunakan pendekatan yang betul dan tidak terburu-buru dalam melakukan rawatan terhadap pesakit.

“Kita kesal dengan apa yang berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak hospital berhubung kecuaian tersebut.

“Bukan untuk mengejar wang ringgit sebaliknya saya tidak mahu kejadian sama berulang kepada pesakit lain yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan,” katanya.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah  berkata, pihaknya akan menghantar surat aduan kepada pihak hospital bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, berdasarkan siasatan awal, kematian wanita berkenaan tiada kaitan dengan kecuaian seperti didakwa.

Katanya, apa yang dilakukan kakitangan hospital, adalah prosedur biasa yang dijalankan sama pada pesakit lain.

“Kita dapati, mendiang menghidapi pelbagai penyakit termasuk kencing manis, masalah paru-paru dan pernah  mengalami strok selama 10 tahun.

“Lagipun mesin berkenaan hanya monitor, tiada kaitan dengan punca kematian,” katanya.

Lelaki diberkas sembunyi pistol, miliki dadah

Pistol yang ditemui dalam bungkusan kertas surat khabar. Gambar kanan: Dua kelopak bersama 19 butir peluru turut dirampas.
Pistol yang ditemui dalam bungkusan kertas surat khabar. Gambar kanan: Dua kelopak bersama 19 butir peluru turut dirampas.
TAIPING - Taktik seorang lelaki menyembunyikan pistol dalam bungkusan surat khabar berjaya dihidu polis dalam satu serbuan Ops Cantas di sebuah rumah di Taman Kaya, Simpang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, turut ditemui bersama lelaki berusia berusia 30-an itu beberapa peket dadah jenis methapetamine dan ganja.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, senjata api berkenaan ditemui dalam sebuah beg dan berbalut susulan pemeriksaan lanjut dilakukan di belakang rumah berkenaan.

“Kita menemui pistol jenis automatik nombor siri 245 PP04174 itu dibungkus dalam kertas surat khabar, turut dijumpai dua kelopak peluru bersama 19 butir peluru yang tersimpan dalam satu lagi bungkusan surat khabar di beg berkenaan.

“Satu peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methampetamine seberat 0.2 gram dan satu paket plastik lut sinar berisi dadah jenis ganja seberat 1.2 gram turut ditemui.

“Kedua-dua paket dadah berkenaan dijumpai di sebelah belakang pintu bilik dan di atas lantai bersama beg duit dan dokumen peribadi dipercayai kepunyaan suspek,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, terdapat dua lagi rakan suspek berada di rumah itu, namun berjaya melarikan diri sebaik  menyedari kehadiran anggota polis.

Menurutnya, berlaku pergelutan antara ketiga-tiga mereka dengan anggota polis, bagaimanapun hanya seorang dapat diberkas.

“Walaupun suspek cuba bertindak agresif, namun beberapa anggota berjaya menahan suspek selepas berlaku pergelutan, dua rakan suspek berjaya melepaskan diri,” katanya.

Laungan takbir selamatkan nyawa

Md Ayub sedih melihat keretanya hangus dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
Md Ayub sedih melihat keretanya hangus dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.
TANJONG KARANG - Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!

Laungan takbir tiga kali menyelamatkan nyawa seorang penduduk daripada menjadi mangsa kebakaran selepas rumah bapanya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini musnah kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Penduduk, Mohd Ansor Md Ayub, 31, berkata, jeritan bapanya yang melaungkan takbir mengejutkan tidurnya yang ketika itu berada di beranda rumah dan tergamam melihat api marak di bahagian dinding.

“Saya tak terkata apa-apa bila tengok api marak dan tanpa fikir panjang terus mengambil air untuk padamkan api. Tapi lama-kelamaan, api makin besar dan sangat panas.

“Masa tu api dah menjulang ke atas kepala dan saya jadi takut, terus keluar selamatkan diri. Asap terlalu tebal sampaikan saya tak boleh bernafas,” katanya ketika menceritakan detik cemas kejadian menimpa keluarganya itu.

Sementara itu bapanya, Md Ayub Buyamin, 64, berkata, dirinya tak menyangka musibah buruk ini menimpa keluarganya di saat umat Islam sibuk berpuasa dan tak lama lagi akan menyambut Aidilfitri.

“Memang semuanya hangus, termasuklah barang persiapan raya. Musibah ini memang menguji emosi kami tapi kami reda kerana mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.

“Memang tak berayalah kami tahun ni... mungkin kami tak merasa suasana nak beraya sebab semua dah musnah. Sekarang ni pun kami menumpang rumah emak buat sementara waktu,” katanya sebak melihat rumahnya.

Sebelum kejadian berlaku Md Ayub berkata, dia terhidu bau terbakar seperti getah ketika sedang leka menonton televisyen di ruang tamu sebelum ternampak kotak fius elektrik rumah terbakar dan dipenuhi kepulan asap.

“Bila tengok fius terbakar, pakcik terus bangun dan berlari ke dapur untuk ambil air. Tapi bila simbah, api makin marak. Air satu baldi pun tak cukup nak padamkan api.

“Pakcik lari semula ke dapur untuk ambil air tapi bila toleh ke ruang tamu, api makin besar dan membakar atap rumah. Masa tu asap memang tebal dan bahagian muka serta rambut terbakar sikit.

Pakcik tak ingat apa-apa dah,  melainkan ingat ALLAH. Pakcik terus laung takbir sekuat-kuatnya sebelumwatanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat kebakaran jam 1.45 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik saja tiba di lokasi kira-kira jam 2 pagi, api sudah pun merebak dan memusnahkan 80 peratus rumah penduduk berkenaan bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Hasrat sambut Syawal tidak kesampaian

Motosikal mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah kereta.
Motosikal mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah kereta.
SELINSING - Hasrat seorang warga Bangladesh untuk berhari raya bersama rakan senegara di sini, tidak kesampaian  apabila dia maut setelah motosikal dinaikinya bertembung  kereta dalam kemalangan di Kilometer (KM) 9 Jalan Gula, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian  berlaku jam 9.30 malam, di mana mangsa, Momirul Islam Fazlur Rahmat, 35, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama seorang lagi rakan, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

Menurutnya, mangsa dan rakannya yang cedera parah segera dikejarkan ke Hospital Taiping dengan ambulan.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, manakala rakannya yang cedera parah di kepala dan badan kini dirawat di hospital.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Shahrol Aulat, 33, berkata, dia sedih setelah dimaklumkan rakannya meninggal dunia memandangkan rakannya itu menyatakan hasrat untuk beraya bersamanya di sini.

“Lebih memilukan, kuih di dalam bungkusan plastik yang dibawa untuk persiapan hari raya masih berada di dalam bakul motosikal mangsa.

“Mangsa yang bekerja sebagai pekerja sebuah stesen minyak di Jalan Taiping adalah seorang rakan yang baik dan sentiasa ceria,” katanya.

Lori terbakar, pemandu selamat

Anggota bomba memadam kebakaran sebuah lori tangki di Lebuhraya Utara Selatan, semalam.
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah lori tangki di Lebuhraya Utara Selatan, semalam.
KUALA KANGSAR - Seorang lelaki nyaris maut apabila lori dipandunya terbakar di Kilometer 260.2, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, lori tangki yang membawa muatan susu getah terbakar di bahagian kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus mengesahkan menerima laporan kejadian ketika dihubungi.

Menurutnya, seramai 12 anggota bomba dari Kuala Kangsar dan Meru dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 6.44 pagi, semalam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati sebuah lori terbakar dan apabila diperiksa, tiada mangsa berada di dalam kenderaan itu.

“Anggota kami menggunakan dua hos gelung bagi memadamkan kebakaran kerana khuatir api merebak ke bahagian tangki. Kepala lori tersebut musnah 90 peratus namun bahagian lain kenderaan berkenaan tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Dua beranak terselamat

Keadaan dua kereta yang kemalangan di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang
Taman Batu Hitam, tengah hari semalam.
Keadaan dua kereta yang kemalangan di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang Taman Batu Hitam, tengah hari semalam.
KUANTAN - Berpantang maut sebelum ajal. Demikian nasib dua beranak apabila terselamat walaupun kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki remuk manakala enjin tercabut dan tercampak kira-kira 10 meter selepas terbabit  nahas di Jalan Kuantan- Kemaman berhampiran simpang Taman Batu Hitam di sini, tengah hari, semalam.

Kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu  menyebabkan pemandu Perodua Viva, Wan Mohd Bilkhar Wan Mazlan, 29 dan anaknya berusia 7 bulan cedera.

Sementara itu, pemandu kereta jenis Honda Accord yang tidak dikenal pasti identiti turut tercedera selepas tersepit dalam keretanya.

Kesemua mangsa dikeluarkan dari kenderaan masing-masing dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum  dihantar ke klinik berhampiran dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Menurut saksi yang enggan dikenali, kereta dinaiki dua beranak itu dari arah Sungai Karang dan berhenti di lokasi untuk memasuki simpang ke Taman Batu Hitam.

“Sebuah lori dari arah yang sama dipercayai gagal mengelak lalu terlanggar bahagian belakang kereta itu menyebabkan ia berpusing dan menggelongsor masuk ke laluan bertentangan.

“Honda Accord yang dipandu seorang lelaki dari arah Kuantan menghala ke Balok gagal mengelak lalu melanggar Perodua Viva yang dinaiki dua beranak itu menyebabkan kereta itu remuk dengan bahagian enjin tercabut,” katanya.

Saksi itu berkata, Honda Accord itu juga terbabas dan tersasar ke kiri jalan dan tersangkut pada tembok longkang.

Menurut saksi, pemandu lori dipercayai beredar ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian.

Kemalangan di laluan agak berbukit itu menyebabkan gangguan lalu lintas kira-kira setengah jam sebelum keadaan kembali pulih selepas semua kenderaan terlibat dialihkan.

Kereta dilanggar jentera berat

Keadaan kereta yang remuk teruk di bahagian hadapan kanan selepas berlanggar dengan jentera berat di Kilometer 34 Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Tenai Air Gelugor, semalam.
Keadaan kereta yang remuk teruk di bahagian hadapan kanan selepas berlanggar dengan jentera berat di Kilometer 34 Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Tenai Air Gelugor, semalam.
GEMENCHEH – “Semasa sedang menunggu kenderaan saya dibaik pulih, saya terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dan sudah mengagak berlakunya kemalangan,” kata Othman Lateh, 42, ketika ditemui di lokasi kemalangan kilometer 34, Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Tenai Air Gelugor, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, dua kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) Segamat berusia lingkungan 30-an dan 40-an tidak mengalami kecederaan serius selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka berlanggar tayar belakang kanan jentera berat dari arah bertentangan.

Menurut Othman, susulan bunyi dentuman kuat berkenaan dia bergegas ke arah jalan raya dan terkejut apabila mendapati keadaan hadapan sebelah kanan kereta remuk teruk sehingga kedua-dua individu terpaksa keluar di sebelah pintu hadapan kiri.

“Mujur pemandu hanya mengalami cedera kecil di bahagian dahi dan tidak serius.

"Semasa kejadian, kereta berkenaan datang dari arah Gemencheh menuju ke Seremban. Sementara, jentera berat berkenaan pula dari arah Gemas.

“Jika diikutkan, kira-kira seminggu lalu, kurang satu kilometer dari lokasi kemalangan ini berlaku kemalangan maut membabitkan kematian tiga individu termasuk sepasang suami isteri dari Kajang, Selangor,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia baru sahaja terlelap dan tidak mengetahui bagaimana kemalangan berkenaan berlaku.

Menurutnya, mereka berdua dalam perjalanan pulang ke Segamat selepas seminggu membuat tugasan luar di Teluk Intan, Perak.

“Sebaik bunyi berdentum saya terjaga dan mendapati kereta yang dinaiki kami telah terbabit dalam kemalangan.  Memandangkan bahagian hadapan kanan remuk teruk, kawan saya yang memandu terpaksa keluar melalui pintu hadapan penumpang.

“Mujur kami tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Dilanggar ketika melintas

Seorang anggota polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Seorang anggota polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.
TANJUNG KLING - Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Kancil semasa melintas jalan di Kampung Gelam di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Jawiyah Abdullah, 67, cedera parah di kepala serta patah kaki selepas melambung dan tercampak ke atas cermin hadapan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa sedang melintas jalan sebelum dilanggar kereta Kancil berkenaan yang  dalam perjalanan dari Tanjung Kling ke Bandaraya Melaka.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala waris mangsa juga dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Pemandu kereta berkenaan dipercayai seorang wanita, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu walaupun bahagian hadapan keretanya kemik dan cermin hadapan pecah.

Kes berkenaan kini disiasat polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lori terbalik, mangsa tersepit

Keadaan lori selepas terlibat dalam kemalangan, petang kelmarin.
Keadaan lori selepas terlibat dalam kemalangan, petang kelmarin.
KOTA TINGGI - Seorang pemandu lori tersepit 40 minit selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 43 Jalan Lok Heng-Mawai, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Sharol Mohd Sa’at, 29, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan di tangan selepas berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang membabitkan sebuah lori bersama sebuah Proton Waja serta Perodua Kelisa tidak melibatkan kemalangan jiwa meskipun lori terbabit terbalik.

Pegawai bomba, Jamaludin Husin berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mangsa tersepit di tempat duduk dan kita terpaksa menggunting pintu lori untuk selamatkan mangsa. Kita berjaya keluarkan mangsa 10 minit kemudian sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) ,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman mengesahkan kejadian dan memberitahu tiada mangsa ycedera parah dalam kemalangan tersebut.

Katanya, lori dengan salah sebuah kereta datang dari arah Felda Simpang Waha dalam perjalanan menghala ke bandar Kota Tinggi.

“Siasatan awal mendapati ketika sampai di tempat kejadian, lori tersebut melanggar bahagian belakang kereta terbabit sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Ia menyebabkan pertembungan dengan sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah Kota Tinggi. Kedua-dua pemandu kereta, Ramli Hasan, 67, serta Azman Masran, 46, bagaimanapun tidak mengalami cedera parah dan dirawat di HKT,” katanya.

Murid tabika maut kemalangan

Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terlibat nahas di Kilometer 46.5 Jalan Johor Bahru
- Mersing, pagi semalam.
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terlibat nahas di Kilometer 46.5 Jalan Johor Bahru - Mersing, pagi semalam.
KOTA TINGGI - Seorang murid tabika sempat mengadu demam dan tidak mahu ke sekolah sebelum dia maut dalam kemalangan di Kilometer 46.5 Jalan Johor Bahru - Mersing berhampiran Balai Polis Mawai dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa, Nur Farah Najwa Abdullah, 5, murid Tabika Kemas Taman Koguna Indah, Kampung Makam, disini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman  Kota Jaya.
Nenek mangsa, Asmah Tamin, 62, berkata, mangsa cucu keempat daripada 13 cucunya dan mempunyai dua adik.

Menurutnya, arwah anak sulung dalam keluarganya dan dia mendapat berita mengenai kejadian tersebut daripada salah seorang anak yang menghubunginya di rumah.

“Arwah menemani ayahnya menghantar datuknya yang sudah selesai urusan di bandar Kota Tinggi balik ke rumah di Felda Easter. Malah ketika sampai di rumah pagi tadi (semalam) arwah ada mengadu dia tidak sihat.

“Bagaimanapun sudah sampai ajalnya, tidak sangka pula itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, semalam.

Guru mangsa, Mohainee Omar, 57, berkata, dia baharu mengajar Nur Farah Najwa pada tahun ini dan menganggap arwah sebagai seorang pelajar yang baik.

Katanya, sebelum ini arwah seorang murid yang agak pemalu dan pendiam di dalam kelas namun sejak akhir-akhir ini arwah begitu menonjolkan diri.

“Pelajarannya juga menunjukkan peningkatan dari segi ejaan dan juga membuat kiraan Matematik. Kami juga amat terkejut apabila diberitahu makciknya bahawa Nur Farah Najwa maut dalam kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu  kereta Atos, Proton Iswara dengan sebuah bas.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan penumpang kereta Atos cedera parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Jelasnya, kemalangaan dipercayai berlaku apabila kereta Atos yang dari arah Mersing menghala Johor Bahru apabila sampai di tempat kejadian iaitu kawasan selekoh termasuk ke kanan jalan yang juga laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah bas yang datang dari arah bertentangan itu bergesel dengan kereta tersebut menyebabkan kereta itu hilang kawalan lalu bertembung pula dengan Proton Iswara sebelum terbabas ke kanan jalan.

“Akibatnya, penumpang kereta Atos  mengalami cedera parah di kepala dan  meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT). Mangsa dibawa ke HKT untuk urusan bedah siasat sebelum jenazah dituntut oleh ahli keluarga. Pemandu kereta Atos, Muhamad Fadilat Ahmad, 30, pula cedera di bahagian tangan kiri dan kanan serta bahu,” katanya.

Rahmat berkata hasil siasatan juga mendapati di tempat kejadian merupakan kawasan jalan selekoh ke kanan yang mempunyai garisan berkembar pembahagi laluan.

Katanya, tempat kejadian adalah  kawasan kelapa sawit dan ketika kejadian keadaan cuaca baik dan keadaan lalulintas tidak sibuk.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987l.

Pelayan pelanggan lari ikut siling

Laluan tikus yang ditemui di tingkat tiga premis dipercayai menjadi tempat GRO dilarikan.
Laluan tikus yang ditemui di tingkat tiga premis dipercayai menjadi tempat GRO dilarikan.
BANDARAYA MELAKA - Seramai 17 pelayan pelanggan (GRO) warga asing berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas sepasukan polis membuat serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, awal pagi semalam.

Wanita berusia 19 hingga 36 tahun itu diselamatkan anggota dan pegawai dari Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM - D7c) Bukit Aman diketuai Deputi Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff, kira-kira jam 2.15 pagi.

“Selain 17 GRO merupakan 15 warga Vietnam dan dua dari China diselamatkan, tujuh pekerja pusat hiburan berkenaan turut ditangkap termasuk seorang ibu ayam yang dipanggil Mummy berusia 34 tahun untuk membantu siasatan.

“Suami Mummy itu yang merupakan warga China antara yang ditahan bersama empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh,” katanya ketika ditemui selepas serbuan terbabit.

Kamal Khan berkata, ketika serbuan, pihaknya percaya terdapat GRO berjaya dilarikan mengikut laluan tikus iaitu melalui siling bumbung berikutan penemuan tangga kayu di tingkat tiga premis yang kosong dan dihubungkan dengan tangga yang ditutup kayu bagi mengaburi mata penguatkuasa.

“Walaupun berjaya melakukan tangkapan ini, masih ada yang lolos kerana selepas pemeriksaan dilakukan, terdapat laluan tikus yang dibuat menerusi bumbung bangunan ini.

“Bagaimanapun, sebahagian GRO dan pengunjung gagal meloloskan diri melalui pintu belakang selepas kita mengawal setiap pintu masuk depan serta belakang,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan sejumlah wang tunai RM12,080 dipercayai hasil urusniaga pemerdagangan manusia dirampas selain resit-resit serta peralatan hiburan di premis berkenaan.

“Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah akta ATIPSOM, Akta Imigresen dan Enakmen Hiburan.

“Operasi berakhir jam 5 pagi itu disertai 13 pegawai dan 26 anggota dari Bukit Aman serta dibantu pegawai dan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah,” katanya.

Dua kereta bertembung

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau membuat pemeriksaan ke atas kereta yang terbabit dalam kemalangan, semalam.
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau membuat pemeriksaan ke atas kereta yang terbabit dalam kemalangan, semalam.
REMBAU - Dua wanita cedera selepas kereta yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17.5 Jalan Seremban-Tampin kira-kira 6.45 pagi dekat sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Alza dari arah Rembau dan Proton Persona dari arah Seremban.

Menurutnya, punca kejadian masih lagi dalam siasatan. Bagaimanapun, dipercayai kedua-dua kenderaan berkenaan berlanggar dan berpusing.

“Kedua-dua pemandu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban akibat cedera di bahagian kaki. Kes disiasat di bawah seksyen 43(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Tengkorak dalam longkang

Penemuan tengkorak ini menimbulkan kegemparan.
Penemuan tengkorak ini menimbulkan kegemparan.
JUGRA - Seorang lelaki berusia 30-an terkejut apabila menjumpai suatu objek dipercayai tengkorak manusia ketika sedang leka melakukan kerja pembersihan longkang berhampiran Taman Jugra Jaya, Kampung Jugra, semalam.

Pekerja pembersihan yang melakukan kerja-kerja membersihkan longkang terbabit  menemui tengkorak tersebut jam 10 pagi apabila mesin penebasnya mengenai objek tersebut.

Ketua Kampung Jugra, Mohd Rasid Mohd Kassim berkata, dia yang sedang berehat di rumah apabila didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan menemui objek dipercayai tengkorak manusia.

Beliau kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melihat objek seperti yang dimaklumkan kepadanya.

Apa lebih mengejutnya, bukan setakat tengkorak manusia dijumpai tetapi turut menjumpai serpihan-serpihan tulang lain di percaya bahagian rangka manusia di lokasi yang sama, setelah melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan.

“Saya tak pasti sejak bila objek berkenaan sudah ada di kawasan itu kerana terdapat juga kain putih yang dah lusuh turut dijumpai di satu sudut tidak jauh dari objek berkenaan.

“Ini adalah kejadian kali kedua yang berlaku di kawasan ini, sebab beberapa tahun lalu penduduk setempat pernah digemparkan dengan penemuan tengkorak manusia di kawasan Jalan Genting, Jugra,” katanya.

Mohd Rasid kemudian memaklumkan hal berkenaan penemuan objek berkenaan kepada pihak polis sekali gus menasihatkan masyarakat supaya tidak panik dengan penemuan tengkorak itu.

“Masyarakat tidak perlu berasa panik atau bimbang, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Dua lelaki guna parang samun butik

Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki menyamun butik berkenaan sambil salah seorangnya memegang parang.
Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki menyamun butik berkenaan sambil salah seorangnya memegang parang.
SHAH ALAM – “Mana duit? Jangan jerit, nanti aku bunuh!”

Amaran dua penjenayah sambil mengacukan parang benar-benar menakutkan dua pekerja sebuah butik di Seksyen 7 di sini sehingga mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Pemilik butik yang dikenali sebagai Amira, 30, berkata, kejadian Selasa lalu menyebabkan dia kerugian RM80,000.

Amira berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal itu berlegar-legar di luar butik berkenaan jam 11.36 pagi, sebelum memecah masuk butik itu.

“Dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu merentap pintu yang berkunci, sebelum masuk ke dalam butik dan mengeluarkan parang yang disembunyikan dalam beg,” katanya.

Menurutnya, suspek mengacukan parang ke arah leher pekerjanya sambil mengarahkannya menyerahkan barang kemas dan wang tunai.

“Lelaki itu membawa lari dua komputer riba, telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai. Kerugian dianggarkan RM8,000,” katanya.

Amira berkata, dia bersyukur kedua-dua pekerjanya yang berusia 24 dan 27 tahun itu selamat.

“Mereka segera menghubungi saya bagi memaklumkan kejadian itu. Mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, di sini,” katanya.

Menurutnya, polis mengambil kesan cap jari dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di butik itu, bagi membantu siasatan.

“Saya turut memuat naik rakaman CCTV itu dalam laman sosial Facebook supaya orang ramai dapat membantu siasatan,” katanya.

Rakaman berdurasi selama 3.22 minit itu menunjukkan kedua-dua lelaki itu mengarahkan dua pekerja berkenaan masuk ke dalam sebuah bilik, sebelum penjenayah terbabit mengambil barangan peribadi milik mangsa.

Jurucakap polis berkata, pihaknya juga merakamkan keterangan mangsa bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mengetahui maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil ke balai polis berhampiran.

Tertipu tilam RM55,000

Mangsa memegang surat yang tertera syarat dan peraturan ditetapkan, dihantar melalui Pos
Laju ke alamat mangsa selepas ditipu syarikat terbabit
Mangsa memegang surat yang tertera syarat dan peraturan ditetapkan, dihantar melalui Pos Laju ke alamat mangsa selepas ditipu syarikat terbabit
KOTA BHARU - Seorang suri rumah bukan sahaja kerugian RM12,300, malah hadiah sebuah tilam ‘Jade’ yang kononnya bernilai lebih RM55,000 seperti dijanjikan sebuah syarikat jualan langsung yang menjalankan tawaran hadiah kepada pemenang secara percuma lesap begitu sahaja.
     
Taktik terbaharu digunakan ialah dengan teknik 'sentuh dan menang' menyasarkan golongan 30-an sehinggalah warga emas.
Mangsa enggan dikenali berkata, kejadian seminggu lalu ketika dia ke sebuah pasar raya di bandar ini untuk membeli kelengkapan persiapan Aidilfitri dan ketika itu, dia dihampiri dua jurujual,  seorang lelaki dan wanita.

Menurut mangsa, dua kad diserahkan kepadanya dan salah satu kad memaparkan perkataan ‘Thank You’, manakala kad kedua bertulis dia memenangi hadiah dan boleh menuntut di pejabat syarikat terbabit, namun perlu menyentuh kad itu di mesin khas di pejabat syarikat berkenaan untuk menuntut hadiah.

“Saya mulanya ragu-ragu, namun pujukan jurujual yang memberitahu saya tidak perlu membayar apa-apa memandangkan bakal memenangi wang atau paling tidak, hadiah utama sebuah kereta Toyota Camry dan perlu menuntut hadiah dimenangi di pejabat mereka di Jalan
Long Yunus, membuatkan saya teruja.

“Tanpa banyak soal, dua jurujual itu menghampiri saya dan terus mengiringi saya dan masuk ke dalam kereta saya serta tunjuk pejabat mereka di Jalan Long Yunus. Tiba di pejabat, saya diarahkan turun dan buat perbincangan dengan majikan mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, keyakinan dirinya semakin bertambah apabila mereka turut menunjukkan album kepadanya, selain gambar pemenang yang memenangi hadiah ditawarkan.

"Namun harapan saya untuk mendapatkan wang RM55,000 hanya tinggal janji kosong apabila mereka turut memaksa saya mengeluarkan wang simpanan, yang menurut mereka untuk dijadikan cagaran sebelum dapat menebus hadiah yang telah saya menangi.

“Saya rasa tertipu apabila mendapati rupa-rupanya barangan sebenar hanya bernilai tidak sampai RM1,000 ditawarkan dengan harga yang mahal dan tidak setanding dengan nilai dibayar.

 “Kini saya rasa terpanggil untuk mendedahkan perkara ini kepada orang ramai dan mengharapkan supaya masyarakat di luar sana tidak tertipu dan terus menjadi mangsa sindiket ini," katanya.

Menurutnya, buat masa ini dia masih cuba mendapatkan maklumat dan mengharapkan pihak berkuasa memantau kegiatan itu dengan segera agar lebih ramai lagi pengguna tidak menjadi mangsa.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sebuah pusat beli-belah di sini mendapati, golongan terbabit licik melakukan aktiviti di kawasan sering menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan pelanggan dengan cara mudah.

Mereka bergerak dalam kumpulan dengan menunggu di kawasan luar parkir kereta dan mula menghampiri orang ramai di kawasan terbabit dengan menghulurkan kad. Apabila pelanggan mendapat kad tersebut, mereka mengucapkan tahniah dan kemudian akan terus memujuk mangsa mengikut mereka untuk menuntut hadiah.

Baju raya anak jadi abu

Rumah pusaka tinggalan keluarga Rosnani musnah keseluruhannya.
Rumah pusaka tinggalan keluarga Rosnani musnah keseluruhannya.
MARANG - Sebuah keluarga hilang tempat berteduh apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Tok Dir, di sini.
Lebih menyedihkan, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, keluarga malang terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila api marak dengan cepat menyebabkan mereka gagal menyelamatkan harta benda.

Mangsa, Rosnani Abu Bakar, 33, berkata, sebelum kejadian dia ke rumah rakannya dan berhasrat untuk ke rumah Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah bagi bertanyakan mengenai bantuan zakat untuk keluarga miskin jika ia disediakan.

“Saya orang susah dan ingin bertemu dengan wakil rakyat untuk bertanyakan mengenai zakat orang miskin seperti kami jika ada. Saya terdesak kerana tidak bekerja, malah suami juga tak bekerja kerana mengidap penyakit batu karang serta gout.

“Bagaimanapun saya terpaksa pulang selepas dimaklumkan rumah saya terbakar, saya pulang sebelum sempat bertanya mengenai bantuan itu dengan lebih lanjut,” katanya.

Tak sempat selamat semua barang

Rosnani berkata, sebaik tiba di rumah, dia terkejut apabila melihat kediaman pusaka tinggalan kedua datuk dan neneknya itu hangus terbakar, malah pakaian anak-anak yang baru dibeli untuk menyambut Aidilfitri juga musnah.

“Kami tak sempat untuk menyelamatkan semua barangan yang ada di dalam rumah kerana api marak dengan cepat. Tetapi saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan anak-anak saya semuanya selamat.

“Cuma saya terkilan kerana persediaan ala kadar yang dibuat termasuk sudah membeli sedikit pakaian raya untuk anak-anak turut musnah. Apa pun kami terima ini sebagai dugaan di bulan Ramadan yang penuh berkat ini,” katanya.

Rumah tersebut didiami Rosnani dan suami, Mohamad Ayob Sulong, 42, serta empat anak mereka.

Semasa kejadian kesemua mereka tiada di rumah dan mengesyaki kejadian kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.

Rosnani sekeluarga kini menumpang di rumah mak mertuanya di Kelulut, di sini.

 Mohon JKM, Maidam bantu

Mohd Nor yang melawat keluarga mangsa memohon agar Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) membantu keluarga terbabit.

“Kami hanya mampu menyalurkan sedikit sumbangan, tetapi pihak kerajaan perlu segera menyelesaikan masalah mereka, tempat tinggal dan keperluan mereka untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Pegawai Kanan Bomba II, Ismail Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.44 petang.

“Seramai 23 anggota dan tiga jentera bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran tersebut daripada merebak,” katanya.

'Apa salah saya diperlaku begini?'

Kak Leha mengemas semula kawasan gerainya yang musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat, semalam.
Kak Leha mengemas semula kawasan gerainya yang musnah terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat, semalam.
BANDAR SRI SENDAYAN - “Apa salah saya hingga diperlakukan sebegini,” demikian luah Lehar Basir, 46, apabila mengenangkan gerai makan yang diusahakannya di tepi Jalan Sungai Ujong, berdekatan Kompleks Mahkamah Syariah Seremban, di sini sudah tiga kali terbakar.

Menurut Lehar atau lebih dikenali sebagai Kak Leha dalam kalangan pelanggan dan penduduk Felda Sendayan, kebakaran terkini melibatkan gerainya berlaku kira-kira 3 pagi semalam.

“Saya dapat tahu kejadian itu daripada seorang pekerja stesen minyak berhampiran yang kebetulan lalu depan gerai saya. Pada masa sama, dia turut menghubungi bomba.

“Kerugian dianggarkan sekitar RM300 akibat kerosakan terhadap beberapa perkakas untuk berniaga seperti rak pinggan mangkuk, payung, kerusi dan meja makan,” katanya.

Kak Leha bagaimanapun bersyukur kerana kuih raya seperti tempeyek, kerepek pisang tanduk, dodol cair dan dodol keras tempahan pelanggan bernilai tidak kurang RM400 yang disimpan di gerai itu terselamat.

Menurutnya, insiden tersebut bukanlah kali pertama dialami sepanjang sembilan bulan berniaga di lokasi berkenaan, sebaliknya sudah dua kali berlaku iaitu sekitar awal tahun ini dan dua bulan lepas.

“Sampai sekarang, saya masih tertanya-tanya punca kebakaran tersebut. Hendak kata akibat kecuaian atau secara semula jadi, tidak masuk akal pula berikutan gas memasak tidak disimpan di situ, selain bukti yang ada menunjukkan seolah-olah gerai dibakar seseorang.

“Saya dapati ada bau minyak petrol yang agak kuat di kawasan gerai, terutama pada beberapa perkakas yang tidak terbakar,” katanya yang menjelaskan ketiga-tiga kebakaran berlaku pada waktu yang hampir sama iaitu sekitar jam 3 pagi.

Menceritakan semula pengalamannya sebelum ini, Kak Leha berkata, kebakaran pertama menyebabkan dia kerugian lebih RM3,500, manakala kali kedua sekitar RM500.

“Gerai saya musnah sepenuhnya dalam kebakaran pertama. Namun, saya agak bernasib baik dalam kebakaran kedua, apabila api sempat dipadamkan polis peronda sebelum merebak ke seluruh gerai,” katanya.

Menurutnya, dia benar-benar tidak faham, mengapa ada pihak tidak berpuas hati dengannya, sedangkan dia hanya mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga.

“Saya bukan orang senang, maka tak perlulah mereka iri hati atau dengki pada saya. Saya berniaga untuk membantu suami yang menghidap sakit jantung, selain menanggung tiga anak berumur antara 20 hingga 15 tahun yang masih belajar.

“Lebih menyedihkan, ibu yang menjadi tempat mengadu pula baru meninggal dunia kira-kira lima bulan lalu. Mahu tidak mahu, terpaksalah saya gagahkan diri untuk menghadapi dugaan ini tanpanya,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelanggan tetap Kak Leha, Md Zahari Md Nasir, 41, yang datang menjengah semalam berasa amat terkejut dengan insiden terbabit.

“Walau siapa pun yang melakukannya, mereka memang tidak berperikemanusiaan kerana sanggup menyusahkan Kak Leha, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Suhaimi Ismail, 41, pula berharap kejadian yang berlaku tidak akan mematahkan semangat Kak Leha untuk terus berniaga selepas ini, memandangkan harga makanan dan minuman dijual sangat berpatutan berbanding tempat lain.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Badrottamam Abd Rahim berkata, lapan anggota membabitkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan.

“Setibanya kira-kira 15 minit kemudian, kita dapati sekitar 40 peratus gerai terbabit musnah dalam kebakaran yang tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa,” katanya.

Suami isteri maut kemalangan, anak terselamat

Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori.
Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori.
GERIK - Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka terselamat dalam satu kemalangan di Kilometer 3, Jalan raya Timur Barat, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, kereta pelbagai guna (MPV) dinaiki kedua-dua mangsa bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Insiden menyebabkan pasangan itu parah akibat tersepit sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Gerik.

Seorang anak mereka yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Video wanita dan pengunci stereng mula viral


  • Seorang wanita bertindak mengamuk sambil memukul kenderaan pelanggarnya dengan pengunci stereng.Seorang wanita bertindak mengamuk sambil memukul kenderaan pelanggarnya dengan pengunci stereng.

SHAH ALAM - Berang kerana kerete baharunya dilanggar, seorang wanita bertindak mengamuk sambil memukul kenderaan pelanggarnya dengan pengunci stereng.

Menurut sebuah portal, kejadian dipercayai berlaku di Kuantan.

Insiden bermula apabila seorang lelaki warga emas terlanggar kereta wanita itu dari belakang.

Kejadian kemudiannya sempat dirakam pengguna jalan raya lain malahan 'drama' amukan itu turut menyebabkan trafik di kawasan kejadian menjadi sesak.

Video yang menjadi viral sejak semalam mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial berhubung insiden itu.

Nahas kereta api di Moscow, 16 maut

Penumpang yang cedera parah dihantar ke hospital dengan menaiki helikopter.
Penumpang yang cedera parah dihantar ke hospital dengan menaiki helikopter.
MOSCOW - RUSIA. Sekurang-kurangnya 16 maut manakala lebih 120 cedera selepas sebuah kereta api bawah tanah tergelincir di barat ibu negara, menurut pihak berkuasa, semalam.

Timbalan Datuk Bandar, Pyotr Biryukov memaklumkan usaha mencari dan menyelamat (Sar) masih dijalankan berikutan lima penumpang dipercayai masih terperangkap dalam kejadian menggemparkan di stesen Park Pobedy tersebut.

"Kira-kira 200 penumpang telah dipindahkan dari kereta api terbabit. Sebanyak 15 ambulans dan beberapa helikopter diletakkan dalam keadaan bersedia," katanya.

Sementara itu, media tempatan melaporkan siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada masalah litar pintas.

Menurut anggota penyelamat, usaha Sar sukar dilakukan kerana kedudukan stesen itu yang terletak sedalam 85 meter, laporan dipetik dari AFP.

Doktor Korea lemas


Jertih: Seorang pelancong Korea berusia ditemui lemas di perairan Shark Point, Pulau Perhentian Besar, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Kim Byung Rin, 40, yang juga seorang doktor datang melancong ke pulau peranginan itu bersama isterinya pada 12 Julai lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa sedang menjalankan aktiviti snorkeling di kawasan perairan pusat pelancongan pulau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, orang awam yang berada di pantai ternampak mangsa lemas sebelum membuat laporan di Pondok Polis Pulau Perhentian.


“Pasukan penyelamat yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.


“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian dan disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

20 korban nahas


Moscow: Dua puluh orang terbunuh manakala ramai lagi cedera dalam kejadian kereta api tergelincir di bandar raya ini semalam.

Kejadian yang berlaku pada waktu puncak itu menjadi kemalangan terburuk dalam laluan kereta api bawah tanah, antara yang tersibuk di dunia.

Stesen televisyen Russia melaporkan, keadaan menjadi panik dengan penumpang terjatuh apabila kereta api berkenaan membrek secara mengejut menyebabkan tiga gerabak tergelincir.

Siren kecemasan dibunyikan sementara puluhan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu merawat mangsa yang cedera.



Helikopter juga digunakan bagi membawa mangsa yang parah.

Seramai 19 mangsa terkorban di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di hospital selepas cedera parah.

Jurucakap kementerian kesihatan turut memberitahu hampir 130 orang dimasukkan ke hospital.

Timbalan Datuk Bandar Moscow, Pyotr Biryukov berkata, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan kira-kira lima mangsa yang terperangkap di dalam gerabak di bawah tanah.

“Ada di antara mangsa yang terperangkap dan tanda menunjukkan mereka masih hidup,” katanya.

Menurut laporan, separuh daripada mangsa yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan tenat.

Seorang mangsa berkata: “Saya menyangka yang kami akan mati.

Kami terselamat dan berjaya keluar selepas terperangkap, ia suatu keajaiban.” Datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

“Ia kemalangan yang terburuk membabitkan kerta api bawah tanah di bandar raya ini,” katanya.

Rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat membawa keluar mayat mangsa yang terbunuh dan pasukan perubatan merawat mereka yang cedera.

Pihak berkuasa menyatakan kerja menyelamat mungkin mengambil masa sehingga 24 jam.

Satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat punca kejadian kerana ada dakwaan menyebut kereta api berkenaan berhenti secara mengejut berikutan penurunan bekalan elektrik secara mendadak.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

16 maut komunis, orang kampung bertempur


Manila: Seramai 16 maut apabila pemberontak komunis bertempur dengan penduduk kampung, semalam.

Jurucakap tentera tempatan Major Christian Uy berkata, tentera Pembebasan Baru Filipina (NPA) menyerang kediaman ketua kampung Calpito Egua di kawasan pedalaman di Mindanao, namun Egua dan pengikutnya berjaya mempertahankan diri.


“Seramai 13 pemberontak, dua penduduk kampung dan seorang anggota tentera yang dikerahkan membantu Egua terbunuh,” katanya.

Menurutnya, Egua yang memimpin puak Manobo dan seorang askar turut cedera dalam pertempuran selama dua jam itu.


Jurucakap tentera wilayah terbabit, Kapten Albert Caber berkata, pemberontak terbabit sering memeras ugut penduduk tempatan.


“Itu caranya mereka mendapat bekalan apabila menyasarkan ladang pisang, nanas serta getah selain penternak ayam dan pembekal barangan melombong,” katanya.

Katanya, Egua dan puaknya menjalakan kegiatan melombong emas secara kecil-kecilan dan pertempuran tercetus apabila mereka enggan tunduk kepada ugutan pemberontak itu.

NPA sayap bersenjata Parti Komunis Filipina yang melakukan pemberontakan sejak 1969 yang sehingga kini melihat puluhan ribu orang terbunuh. Kejadian itu paling dahsyat dalam tempoh sedekad.

Pada 2012, 11 pemberontak terbunuh dalam pertempuran dengan tentera berhampiran Manila.

Anggota NPA turut membunuh dua datuk bandar di Mindanao dalam serangan hendap dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Presiden Benigno Aquino menyasarkan mencapai perjanjian damai dengan pihak komunis sebelum penggalnya berakhir pada 2016. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Sedia hadapi taufan


Setiausaha Komunikasi Presiden Herminio Coloma berkata, sekolah-sekolah diarah ditutup hari ini di beberapa kawasan termasuk Manila manakala kerajaan berada dalam keadaan berjaga-jaga sebagai usaha mengelak jumlah kecederaan yang tinggi. 
Risiko Ribut Tropika (TSR) menjangka Rammasun - dengan kelajuan 160 kilometer sejam (kmsj) - membadai wilayah Albay dan Sorsogon di timur Filipina, semalam. 

Ribut itu dikategorikan taufan tahap satu dan diramalkan membawa sehingga 20 milimeter (mm)hujan sejam di kawasan seluas 500 kilometer (km).
Foto
PENDUDUK dipindahkan dari kawasan persisiran pantai dengan menaiki lori.

Ia dijangka ribut terkuat dihadapi Filipina sejak taufan besar Haiyan - yang dikategorikan tahap lima dan dianggap antara ribut paling dahsyat direkodkan sampai ke daratan - meragut lebih 6,100 nyawa dan mengakibatkan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal, November lalu.

Jabatan kaji cuaca berkata, Rammasun dijangka mengakibatkan pusuan ribut sehingga tiga meter di kawasan perkampungan di pesisiran pantai. Ribut itu juga yang pertama dalam tempoh empat tahun di Manila. 

Rammasun dijangka melalui utara Samar dan Leyte - dua wilayah yang paling teruk dibadai Haiyan di mana masih ada penduduknya yang tinggal di dalam khemah selepas kehilangan tempat tinggal. Kawasan terbabit mungkin mengalami angin kencang dan hujan lebat.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Tersepit dalam mesin basuh


Selepas berusaha sedaya upaya selama 30 minit untuk mengeluarkan anaknya, Peng yang berusia tiga tahun itu, wanita berkenaan akhirnya menyerah kalah dan menelefon bomba untuk mendapatkan bantuan. 
Bagaimanapun, mereka juga tidak berjaya menarik keluar kanak-kanak berkenaan. 

Sebagai jalan terakhir, anggota bomba terpaksa memotong mesin basuh berkenaan menggunakan peralatan menyelamat hidraulik.
Foto
PENG tersekat di dalam mesin basuh berkenaan.

Jurucakap bomba bandar Suzhou di wilayah Anhui, tengah China, Yong Wu berkata, Peng langsung tidak cemas, sebaliknya teruja melihat begitu ramai anggota bomba di rumahnya.

“Saya melihat ibunya yang cemas apabila nampak kami menggunakan peralatan hidraulik untuk memotong mesin basuh berkenaan. Tetapi semuanya berjalan lancar dan kami berjaya mengeluarkan tong dram mesin basuh itu,” katanya ketika ditemui, semalam. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Anu berdarah ditoreh isteri


Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Seorang isteri bertindak kejam apabila cuba memotong kemaluan suaminya ketika mangsa sedang lena tidur di ruang tamu rumah didiami di Taman Wilayah, Sentul di sini.

Dalam kejadian 11 pagi kelmarin, mangsa lelaki warga Myanmar hanya mampu menjerit kesakitan selepas mendapati alat sulitnya berlumuran darah akibat ditoreh dengan pisau.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R.Munusamy berkata, mangsa yang juga pemegang kad UNHCR dikatakan berselisih faham dengan isterinya menyebabkan mereka tinggal berasingan.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dan isterinya yang berusia 40-an itu dalam proses untuk bercerai.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah bersendirian.



Difahamkan isteri mangsa datang ke rumah itu sebelum diizinkan masuk oleh mangsa tanpa bertanya apa-apa.

“Mangsa kemudiannya tidur di atas sofa di ruang tamu rumah.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati darah pekat membasahi seluar dan bahagian kemaluannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa tambah panik apabila melihat isterinya berdiri sambil memegang pisau.

“Mangsa yang mengalami pendarahan teruk pada alat sulitnya kemudian dihantar ke hospital dengan bantuan jiran yang terdengar jeritan mangsa meminta tolong.

“Kemungkinan suspek mengambil pisau di dapur rumah itu dan berniat untuk mencederakan suaminya bermotif marah atau dendam,” katanya.

Menurutnya, polis sedang giat mengesan isteri mangsa yang bertindak melarikan diri ketika suaminya mengerang kesakitan.

Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Ibu terjaga selamat nyawa


Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: Tindakan pantas seorang wanita warga emas mengejutkan anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) daripada tidur menyelamatkan mereka daripada hangus terbakar selepas rumah didiami musnah dijilat api di Kampung Jawa, di sini, semalam.

Kejadian jam 5.10 pagi itu memusnahkan tujuh deretan rumah setinggan, sebuah van dan dua motosikal sekali gus mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM200,000.

Bagaimanapun, ketangkasan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu menyelamatkan baki hampir 20 deretan rumah setinggan di kawasan berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian hanya tiga daripada tujuh rumah itu berpenghuni, manakala empat yang lain adalah rumah kosong.

Mangsa, Neo Hoo Meng, 65, berkata, ketika kejadian dia yang tinggal bersama anaknya, Wong Siew Peng, 42, sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi letupan kuat dari rumah bersebelahan.

“Apabila tersedar saya terhidu bau asap dan melihat dinding rumah mula terbakar dipercayai berpunca daripada rumah bersebelahan.

“Bimbang keadaan lebih buruk berlaku saya segera mengejutkan anak daripada tidur sebelum kami keluar menyelamatkan diri,” katanya, semalam.

Neo yang menghidap penyakit darah tinggi dan sakit lutut berkata, kebakaran itu mengakibatkan mereka dua beranak tinggal sehelai sepinggang dan tidak mempunyai tempat tinggal.

“Saya baru membeli barangan keperluan harian dan ubat menggunakan wang bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima bulan lalu, semuanya musnah terbakar.

“Walaupun bersedih dengan kejadian ini, namun saya bersyukur kerana kami terselamat dan barang kemas pemberian mendiang suami yang diletakkan di dalam tin juga ditemui walaupun ia turut terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Timbalan Penguasa Bomba Yazid Md Tahir dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 5.13 pagi.

“Seramai 16 anggota dengan dua jentera ke lokasi dan sebaik tiba jam 5.16 pagi api sedang marak memusnahkan 80 peratus deretan rumah yang dibina menggunakan struktur kayu.

“Api dikawal daripada merebak ke rumah lain jam 5.26 pagi dan dipadamkan sepenuhnya jam 5.57 pagi.



Selain tujuh rumah, sebuah van dan dua motosikal turut musnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

RM102,000 pampasan putus kaki


Parit Buntar: Seorang nelayan muda yang putus kaki kanannya ketika menangkap ikan di laut, gembira apabila menerima pampasan bernilai RM102,000 yang dibayar syarikat insurans, semalam.
Lim Qian Chuan, 26, yang juga ahli Persatuan Nelayan Daerah Kerian berkata, dalam kejadian pada 30 Disember tahun lalu, kaki kanannya terputus selepas tersangkut pada tali pukat tunda digunakannya ketika menangkap ikan bersama bapanya di sekitar perairan Tanjung Piandang, di sini.
Susulan kejadian itu, bapanya bertungkus-lumus membawanya ke beberapa hospital untuk mencantumkan kembali kakinya, namun semuanya sia-sia apabila doktor bertugas mengesahkan kaki yang terputus itu tidak dapat diselamatkan.
Menurut Qiam Chuan, walaupun sedih bergelar orang kurang upaya (OKU), namun dia menerima seadanya nasib itu dan menggunakan wang simpanannya untuk membeli kaki palsu demi memudahkannya untuk melakukan kerja-kerja menangkap ikan kelak.
Namun, penantian selama hampir tujuh bulan akhirnya terbela apabila perlindungan insurans yang dibelinya dari Persatuan Nelayan ketika mula mendaftarkan diri sebagai nelayan beberapa tahun lalu meluluskan sejumlah pampasan kepadanya.
“Saya berterima kasih kepada Pengerusi Majlis Persatuan Pembangunan Pertanian (MP3) Abu Bakar Mat Ali, yang bertungkus-lumus memproses permohonan pampasan saya selama ini.
“Wang ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang saya tanggung selepas bergelar OKU.
“Kejadian itu tidak pernah melunturkan semangat untuk menjadi nelayan dan juga pewaris keturunan nelayan daripada datuk moyang saya lagi,” katanya selepas menerima cek pampasan dari Abu Bakar.
Dalam pada itu, Abu Bakar menyifatkan tragedi yang menimpa mangsa adalah sebagai kemalangan sewaktu berkerja.
Menurutnya setiap nelayan berdaftar di daerah ini digalakkan membeli insurans daripada persatuan nelayan bagi meringankan beban ditanggung ahli atau keluarga jika berlaku kejadian tidak diingini ketika bekerja di lautan.
Foto
ABU Bakar menyerahkan cek pampasan kepada Lim.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

2 kali malang!


Alor Gajah: Malang berganda bagi dua beradik apabila bukan saja terbabit kemalangan dengan babi hutan, malah motosikal yang ditinggalkan selepas nahas hanya tinggal rangka selepas komponennya dicuri di Jalan Kampung Jelatang, di sini, kelmarin.
Difahamkan, motosikal Yamaha 125Z yang dibeli beberapa bulan lalu ditunggang Hartika Edi Harman, 21, bersama adiknya, Mohd Aidil Edi Harman, 19, hilang kawalan selepas dirempuh seekor babi hutan yang melintas jalan sebelum ditinggalkan berhampiran sebuah kedai makan.
Bagaimanapun, motosikal ditinggalkan sementara itu hanya tinggal rangka ketika mangsa datang ke tempat kejadian untuk mengambil kenderaanya semula selepas berbuka puasa.
Menurut sumber, mangsa bersama adiknya dalam perjalanan ke tempat kerja di Masjid Tanah sebelum seekor babi hutan dari atas bukit berdekatan meluru lalu terus merempuh motosikal dinaiki mereka.
“Akibat rempuhan itu, Mohd Aidil yang membonceng motosikal tercampak di atas jalan patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, manakala Hartika hanya cedera ringan.
“Motosikal mangsa yang rosak teruk bahagian hadapan ditinggalkan di sebuah kedai makan sebelum mangsa menghantar adiknya yang patah kaki kanan ke hospital untuk rawatan,” katanya, di sini, semalam.
Menurutnya, selesai berbuka puasa di rumah, mangsa datang semula untuk mengambil motosikalnya, namun terkejut apabila didapati beberapa komponennya hilang.
Hartika berkata, dia bercadang berbuka puasa untuk menghantar motosikalnya ke bengkel, namun malangnya kenderaan yang ditinggalkan tidak sampai sejam hanya tinggal rangka.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham mengesahkan mengenai laporan kehilangan beberapa komponen motosikal milik mangsa.
Foto
MOHD Aidil patah kaki kanan selepas motosikal diboncengnya merempuh seekor babi hutan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16

Duit gaji RM50,000 diragut depan rumah


Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Seorang wanita cedera akibat terjatuh ketika mengejar dua lelaki yang meragut beg tangan miliknya mengandungi wang tunai RM50,000 di depan rumahnya di Lorong Kubang Buaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 37 tahun cedera di kaki kiri akibat tersepak batu sebelum dibantu orang awam yang kebetulan melalui tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebelum kejadian, mangsa baru tiba di rumahnya selepas mengeluarkan wang tunai itu di sebuah bank di bandar ini, untuk membayar gaji pekerjanya.

Menurutnya, ketika mangsa keluar dari kereta, seorang daripada peragut yang menaiki sebuah motosikal menghampiri wanita itu sebelum merampas beg tangan mangsa mengandungi wang tunai RM50,000.

Katanya, siasatan awal mendapati peragut kemudian berlari ke arah rakannya yang menunggu di luar rumah mangsa sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.

“Pada masa sama, mangsa cuba mengejar suspek dalam usaha menyelamatkan wang tunai miliknya, tetapi gagal apabila terjatuh akibat tersepak batu mengakibatkan kaki kirinya cedera.

“Mangsa gagal mengenal pasti kedua-dua suspek kerana kejadian berlaku begitu pantas dan tidak sempat mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal suspek,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa kemudian menghubungi suaminya memaklumkan kejadian itu.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuantan selepas mendapatkan rawatan di hospital kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil di Balai Polis Kuantan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/16