Search This Blog

Sunday, July 6, 2014

Rumah terbakar ketika tonton bola

Bilik tidur rumah mangsa musnah terbakar.
Bilik tidur rumah mangsa musnah terbakar.
PARIT BUNTAR -  Bau asap yang pada mulanya disangka berpunca daripada air dijerang atas dapur rupa-rupanya datang dari bilik tidur yang sedang terbakar.

Kejadian awal pagi semalam di Lorong Kiambang 3, Taman Kerian, di sini itu memusnahkan rumah teres didiami empat beranak.

Pemilik rumah, Ali Bakar, 57, berkata, ketika insiden pada jam 5 pagi tersebut, dia sedang menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia bersama anak lelakinya di ruang tamu.

Menurutnya, dia terhidu bau asap yang kuat dan menyangka isterinya, Azizah Awang Khamis, 54, sedang memasak air di dapur.

“Saya segera jengah bilik tidur ketiga dan terkejut lihat api sedang marak di bilik itu.

“Tanpa melengahkan masa, saya suruh isteri dan dua anak keluar dari bilik masing-masing dan keluar dari rumah. Saya juga kejutkan jiran-jiran untuk maklumkan kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Ali berkata, dia segera menghubungi bomba dan cuba mengawal api daripada merebak dengan bantuan jiran-jirannya.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan bahagian dapur dan bilik belakang rumahnya musnah, termasuk kelengkapan dan pakaian seragam polis miliknya.

“Mujurlah isteri yang sedang menyediakan juadah sahur dan anak-anak sempat lari, jika tidak saya tidak dapat bayangkan apa akan terjadi kepada mereka.

“Kejadian ini menyebabkan kami sekeluarga kerugian lebih RM10,000,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata, dia tidak menyedari bau kepulan asap ketika sedang sibuk menyediakan juadah sahur.

“Saya hanya tersedar setelah suami jerit suruh kami semua beredar dari rumah.

“Meskipun semua ahli keluarga selamat, kami sekeluarga buntu untuk menghadapi kedatangan Syawal kerana kini tiada tempat berteduh sementara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.14 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 5.30 pagi.

Menurutnya, dengan kekuatan sebuah jentera bomba 26 minit diambil untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran rumah mangsa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami dapati kebakaran sudah capai tahap 50 peratus dan memusnahkan dapur, bilik air dan bilik tidur belakang.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak kami menganggarkan kerugian dialami tuan rumah melebihi RM50,000,” katanya.

Van syarikat keselamatan rentung

Sebuah van musnah terbakar di hadapan bank semalam.
Sebuah van musnah terbakar di hadapan bank semalam.
KAMUNTING - Sebuah van milik syarikat keselamatan musnah terbakar di hadapan sebuah bank, di sini, pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, kenderaan tersebut diletakkan di kawasan parkir di hadapan syarikat berkenaan.

“Kebakaran tersebut hanya membabitkan bahagian hadapan kenderaan tersebut,” katanya semalam.

Mohd Taufiq berkata, sebaik menerima panggilan orang awam, sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Dengan kepantasan pasukan bomba, api berjaya dipadamkan dan van itu dapat dielak daripada terbakar sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini jumlah kerugian dan punca kejadian masih disiasat.

Menurutnya, pihaknya turut menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu siasatan kejadian tersebut.

“Bagaimanapun, tiada individu atau wang dalam van syarikat keselamatan berkenaan kerana ketika kejadian ia diletakkan dalam kawasan parkir,” katanya.

Waspada sindiket penipuan bayaran bil TNB

Ir Kamaliah Abdul Kadir. - Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki
Ir Kamaliah Abdul Kadir. - Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki
KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan agar berhati-hati terhadap sindiket penipuan pembayaran bil elektrik TNB melalui individu yang kononnya mewakili ejen persendirian.

Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna), Bahagian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kamaliah Abdul Kadir berkata TNB tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen persendirian untuk menghubungi atau mendekati pengguna secara terus mengenai pembayaran bil elektrik.
  
"Kami ingin mengingatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang taktik yang digunakan anggota sindiket untuk mendapatkan bayaran daripada pengguna," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
  
Kamaliah berkata, sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan pelanggan, TNB menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan urusan pembayaran dan sentiasa memastikan pengguna mendapat maklumat yang tepat berkaitan pembayaran bil elektrik bulanan mereka.
  
Bayaran boleh dijelaskan di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan TNB, perkhidmatan online serta di institusi kewangan, Jabatan/Agensi Kerajaan dan syarikat pihak ketiga yang menjalankan operasi kutipan bil dari lain-lain utiliti dan pembekal perkhidmatan.
  
"Ingin diingatkan ejen kutipan TNB tidak akan menghubungi atau mendekati pengguna bagi memaklumkan pengguna bil elektrik yang perlu dibayar dan seterusnya mengambil bayaran terus daripada pengguna," katanya.
  
Kamaliah berkata, ejen kutipan bil elektrik TNB yang sah hanya menerima bayaran dalam bentuk tunai (kaunter pembayaran, kiosk layan diri dan mesin deposit tunai), debit terus kad kredit (online, autopay, phone banking) dan iDebit terus akaun simpanan & akaun semasa (online, autopay, direct debit, phone banking, mesin ATM).

Beliau menambah ejen kutipan juga tidak menerima sebarang pembayaran melalui Cek/Draf Bank.
  
"Pengguna akan dihubungi ejen kutipan hutang TNB sekiranya mereka mempunyai tunggakan bil elektrik yang telah tamat tempoh kredit. Namun, pengguna tidak akan diminta membuat bayaran terus kepada ejen berkenaan," katanya.
  
Orang ramai boleh melayari laman web http://www.tnb.com.my untuk mengetahui senarai saluran pembayaran bil elektrik TNB. - Bernama

Rumah terbakar ketika keluar berbuka puasa


WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Julai 2014


BACHOK - Hasrat dua beranak yang teruja berbuka puasa di luar berakhir dengan tragedi apabila kediaman mereka di Taman Kartini, Jelawat, musnah dalam kebakaran yang berlaku jam 8.30 malam semalam.

Ketika kejadian, Ardiana Abdul Rahman, 34, bersama anaknya, Muhammad Adreen Danial Abdullah,5, merancang untuk berbuka puasa di Kota Bharu sebelum menerima panggilan mengenai kejadian.

Ardiana tinggal di rumah tersebut bersama anak dan ibunya,Maimunah Ismail,69, yang ke Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu.

"Kami dua beranak hendak sangat berbuka di luar semalam untuk kali pertamanya sejak Ramadan bermula. Tambahan pula, ibu ke Kuala Lumpur. Bila dapat panggilan mengenai kejadian itu, saya ingatkan ia hanya gurauan.

“Bila saya balik, tak ada apa yang sempat diselamatkan. Tetapi saya bersyukur kerana ALLAH S.W.T selamatkan kami dan gerakkan hati kami untuk keluar rumah ketika kejadian dan tiada kecederaan yang berlaku," katanya.

Cermin kereta pecah

Peter (kiri) dan barisan ahli jawatankuasa MCA Tampin menemani Chia Fun (kanan) melihat cermin keretanya yang pecah.
Peter (kiri) dan barisan ahli jawatankuasa MCA Tampin menemani Chia Fun (kanan) melihat cermin keretanya yang pecah.
TAMPIN - Kejadian cermin kereta pecah di Kampung Baru Tampin, di sini semakin berleluasa sejak kebelakangan ini sehingga mengundang kebimbangan penduduk di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung terbabit, Peter Yoong Mok berkata, kejadian terbaru berlaku pagi kelmarin membabitkan cermin sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang diletakkan di luar.

Malah, dalam kejadian itu, mereka turut menjumpai batu dipecayai digunakan untuk memecahkan cermin terbabit.

Menurutnya, pemilik kereta itu, Pang Chia Fun, 37, hanya menyedari cermin kereta yang baru dibelinya pecah kira-kira jam 6 pagi.

"Bulan lepas dua kereta turut dipecahkan cerminnya. Kita jangka ia dilakukan kumpulan sama membabitkan beberapa kawasan penempatan di sekitar ini.

“Oleh itu, kita harap agar pihak polis akan dapat membuat pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan masalah ini tidak akan berulang,” katanya di sini, semalam.

Judi: Dua warga emas antara ditahan


6 Julai 2014


IPOH - Dua warga emas antara lapan lelaki yang ditahan dalam Ops Bersepadu membanteras kegiatan judi haram di Taman Cempaka di sini malam tadi.
       
Pegawai Turus Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Deputi Superitenden Zailani Mohd Yussof berkata dalam operasi selama empat jam bermula 9.30 malam itu, tiga premis kafe siber diserbu.
       
"Sebanyak 63 set komputer dan wang tunai RM260 turut dirampas melibatkan nilai RM126,000," katanya kepada pemberita di sini, awal pagi tadi.
       
Menurut Zailani, kebanyakan pintu masuk utama premis berkenaan dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.
       
"Pintu belakang premis berkenaan mempunyai sistem kawalan untuk memudahkan mereka melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa," katanya.
       
Mereka yang ditahan berusia antara 30-an dan 60-an.
     
Zailani berkata premis terbabit pernah diserbu sebelum ini, namun pemiliknya masih berdegil menjalankan kegiatan yang sama.
       
Beliau berkata operasi itu membabitkan 25 anggota polis dari cawangan D7 dan 24 anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
       
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan.
       
Sementara itu, Pengarah Perlesenan dan Penguatkuasaan Bandaraya Zulkifle Jaafar Sidek berkata ketiga-tiga premis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.
       
"Pihak majlis memandang berat hal ini. Kita akan terus membanteras kegiatan judi haram agar ia tidak berleluasa di Perak," katanya. - Bernama

Mangsa beruang buta sebelah mata

Rokiah perlu menitiskan ubat setiap satu jam ke dalam mata suaminya yang cedera.
Rokiah perlu menitiskan ubat setiap satu jam ke dalam mata suaminya yang cedera.
HULU BESUT - Bagi mangsa serangan beruang pada 22 April lalu, kedatangan Aidifitri tahun ini suram selepas sebelah matanya buta akibat gigitan haiwan buas itu.

Lebih malang, Mohd Sulaiman Jusoh, 58, kini tidak mampu lagi melakukan pekerjaan berat menyebabkan dia tidak dapat menyediakan keperluan hari raya nanti.

Dia hilang pancaindera sebelah kiri selepas bahagian tersebut dibaham seekor beruang jantan dalam kejadian jam 9.30 pagi ketika dia mencari buah kerdas di hutan simpan Gunung Tebu dekat Felda Tenang, di sini.

Menurutnya, kekurangan itu sedikit sebanyak menjejaskan semangatnya untuk menyambut hari raya, tambahan pula dia turut mengalami masalah pendengaran sebelah kiri.

“Saya terlantar lapan hari di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas kepala dan muka saya dibaham sehingga berada di dalam mulut beruang itu.

“Saya amat sedih apabila mata saya tidak dapat melihat lagi dan pandangan saya dengan mata kiri memang gelap-gelita,” katanya yang ditemui di rumahnya di Felda Tenang, di sini, semalam.

Bagaimanapun, kata Mohd Sulaiman, dia tetap bersyukur kerana masih bernyawa dan sebelah lagi matanya masih mampu melihat.

Menurutnya, dia kini hanya bergantung harap kepada isterinya, Rokiah Abas yang menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan dan dengan pendapatan itulah dia menyara tiga anaknya yang masih bersekolah dalam tahun tiga, enam dan seorang belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Katanya lagi, selepas kejadian itu, dia tidak dapat tidur selama dua bulan kerana setiap kali hendak melelapkan mata, bayangan lembaga seperti beruang datang.

“Selain menanggung sakit, saya juga seperti tidak bertenaga kerana tidak dapat tidur. Namun selepas membuat rawatan alternatif, saya kini kembali pulih," katanya.

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Mohd Sulaiman memohon bantuan OKU, namun masih belum mendapat keputusan.

Menurutnya, dia turut memohon bantuan tabung serangan haiwan buas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sinar Harian pada 13 April lalu menyiarkan kisah Mohd Sulaiman yang parah selepas diserang seekor beruang ketika mencari buah kerdas di hutan berkenaan.

Kata Mohd Sulaiman, dia terserempak dengan pasangan beruang bersama seekor anak yang masih kecil ketika berada di dalam hutan tersebut.

Dia kemudiannya menyergah beruang tersebut dengan tujuan menghalaunya, namun beruang jantan bertindak menyerangnya dan dia hanya dilepaskan selepas berpura-pura mati.

Kejadian itu menyebabkan dia menerima lebih 20 jahitan di bahagian kening apabila bahagian tersebut cedera parah dan tulang kening juga patah.

Remaja maut dipukul bapanya

ALOR GAJAH – Hanya kerana menyatakan hasrat mahu bekerja untuk membantu keluarga, seorang remaja maut dipukul bapanya dengan sebatang kayu di Kampung Jawa di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Muhamad Hafiz Abd Ghani,17, dikatakan menyatakan niat berkenaan kepada bapanya yang berusia 52 tahun sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.
Ibu mangsa, Siti Habibah Ismail, 38, berkata ketika bertengkar suaminya mengambil sebatang kayu lalu memukul anak sulung daripada 10 beradik itu.

Beliau berkata, anaknya yang tidak bersekolah itu hanya menyatakan hasrat mahu bekerja bagi mencari wang untuk membeli juadah berbuka puasa. ALOR GAJAH – Hanya kerana menyatakan hasrat mahu bekerja untuk membantu keluarga, seorang remaja maut dipukul bapanya dengan sebatang kayu di Kampung Jawa di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Muhamad Hafiz Abd Ghani,17, dikatakan menyatakan niat berkenaan kepada bapanya yang berusia 52 tahun sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.
Ibu mangsa, Siti Habibah Ismail, 38, berkata ketika bertengkar suaminya mengambil sebatang kayu lalu memukul anak sulung daripada 10 beradik itu.
Beliau berkata, anaknya yang tidak bersekolah itu hanya menyatakan hasrat mahu bekerja bagi mencari wang untuk membeli juadah berbuka puasa.

Empat maut nahas jalan raya


6 Julai 2014


SANDAKAN – Seorang pemandu teksi dan tiga penumpangnya maut selepas kereta mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Batu 21 Jalan Labuk, semalam.
   
Pemandu teksi dikenali sebagai Salah Bin Ibno, 64, manakala tiga penumpang ialah Kee Kwok Edein, 63, Jaafar Kasim, 40, dan Pedro Jr Pajimola, 36.
 
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, tiga lelaki tempatan itu maut di tempat kejadian, manakala lelaki warga Filipina, Pajimola, meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan pada pukul 8.30 malam tadi.
   
Katanya insiden berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila sebuah kenderaan jenis Jeep dari arah Bandar Sandakan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan teksi dinaiki empat mangsa yang maut.
   
Siasatan di tempat kejadian mendapati ia adalah jalan lurus mempunyai garisan berkembar dan mendaki bukit jika dari arah Bandar Sandakan, katanya di sini hari ini.
   
Beliau berkata, pemandu Jeep seorang lelaki berusia 24 tahun dan dua penumpang wanita berusia 25 dan 32 tahun turut mengalami cedera parah dalam kejadian itu.

Katanya keadaan tiga mangsa yang cedera parah itu dilaporkan stabil. - Bernama

53 pelacur warga asing ditahan di ibu kota


6 Julai 2014


KUALA LUMPUR - Sebanyak 53 pelacur warga asing ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat refleksologi di ibu kota di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata, dalam serbuan 10.45 malam tadi, kebanyakan mereka yang berusia antara 18 dan 35 tahun itu ditahan ketika sedang melayan dan mengurut pelanggan.

Mereka terdiri daripada 22 wanita warga Vietnam, China (12), Thailand (10), Indonesia (7) dan masing-masing seorang wanita Laos dan Mongolia.

"Polis juga menahan 10 pekerja premis berkenaan dipercayai warga tempatan untuk membantu siasatan.

"Mereka (pelacur) dipercayai dibekal dan dikawal oleh sindiket tertentu namun ia masih dalam siasatan," katanya di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membantu siasatan. - Bernama

Tahanan polis meninggal dunia di lokap IPD Maran


6 Julai 2014

KUANTAN - Seorang tahanan lelaki disahkan meninggal dunia selepas pengsan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran tengah hari semalam.
   
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, tahanan berusia 40 tahun itu dikatakan pengsan di dalam lokap kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum polis menghubungi ambulans untuk membawanya ke Hospital Jengka.
   
Beliau berkata, sebaik ambulans sampai, lelaki terbabit didapati sudah tidak bernafas dan pasukan paramedik yang datang memberi bantuan mengesahkan tahanan itu sudah mati.
   
"Tahanan itu dipercayai menghidap penyakit kencing manis yang kronik dan pernah dibawa beberapa kali menerima rawatan di hospital sebelum ini," katanya
ketika dihubungi Bernama hari ini.
   
Beliau berkata, tahanan yang didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penyalahgunaan Dadah 1983 itu ditahan polis pada 16 Jun lepas.
   
Kata Sulaiman, tahanan itu juga dalam proses untuk dihantar ke Pusat Pemulihan Gambang dekat sini bagi menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan itu selama dua tahun. - Bernama

Maut selepas jemput cucu

Mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala cucunya yang membonceng masih menerima rawatan di Hospital Kulim.
Mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala cucunya yang membonceng masih menerima rawatan di Hospital Kulim.
LUNAS - Hasrat seorang datuk membawa cucu pulang ke rumah selepas waktu persekolahan tidak kesampaian apabila kedua-duanya terlibat dalam kemalangan di Jalan Padang Serai Lunas kira-kira jam 12.50 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama cucunya berusia 15 tahun dari arah Lunas menuju ke Padang Serai.

Menurutnya, tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Lunas, sebuah bas persiaran dari arah bertentangan masuk ke selekoh sebelah kanan menuju ke Taman Desa Permai.

"Keadaan bas yang melintang di tengah jalan menghalang laluan mangsa. Mangsa yang gagal mengelak merempuh di bahagian belakang sebelah kiri bas terlibat.

"Akibat rempuhan kuat, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan manakala cucunya terhumban ke tengah jalan," katanya.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian manakala cucunya di bawa ke Hospital Kulim dengan ambulan untuk rawatan kecemasan.

"Dari maklumat diperoleh, cucu mangsa masih tidak sedarkan diri bagaimanapun keadaannya stabil.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melibatkan kemalangan maut.

"Ini merupakan kes kemalangan maut yang pertama di laporkan berlaku sepanjang bulan Julai.

Lelaki Britain hilang selepas bertengkar

Warga Britain, Jonathan Kemp, 27,  (kiri) menghilangkan diri selepas bertengkar dengan isterinya Alyson Jackson, 24, di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, semalam. - Foto Bernama
Warga Britain, Jonathan Kemp, 27, (kiri) menghilangkan diri selepas bertengkar dengan isterinya Alyson Jackson, 24, di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kegembiraan seorang isteri untuk berbulan madu di rantau ini nampaknya tergencat apabila suaminya, Jonathan Kemp, 27, menghilangkan diri selepas berlaku pertengkaran sesama mereka di sini, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernamaberkata, pasangan warga Britain itu tiba di negara ini Khamis lepas.  
    
Semalam (Sabtu) pasangan itu dikatakan bertengkar di sebuah hotel di Bukit Bintang, pada kira-kira 12.30 tengah malam.   
    
"Mereka (suami isteri) baru seminggu berkahwin dan sepatutnya esok mereka pergi ke Bali, Indonesia, namun sampai sekarang, lelaki itu tidak dapat dihubungi atau dikesan. 
    
"Isterinya, Alyson Jackson, 24, cuba menghubunginya melalui telefon namun tidak berjaya. 
    
"Menurut wanita itu, suaminya memakai seluar berwarna hitam dan baju berwarna putih, berbelang ungu ketika meninggalkan hotel itu," katanya.
    
Zainuddin berkata, sehubungan itu satu pasukan khas telah ditubuh untukmenjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
    
Sementara itu, Alyson ketika dihubungi berkata beliau percaya suaminya masih berada di negara ini kerana pasportnya berada di tangan Alyson.    
"Esok, kami sepatutnya ke Bali. Saya cuba hubungi selfonnya. Hantar SMS danFacebook, tetapi tidak dijawab," katanya. - Bernama

Dua rakan terbunuh kerana Piala Dunia


WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Julai 2014


MIGORI COUNTY - KENYA. Gara-gara hanya kerana Piala Dunia 2014, dua penyokong bola sepak Kenya mati ditikam selepas bertengkar sesama sendiri.

Insiden berlaku ketika dua sahabat itu menonton perlawanan suku akhir antara Brazil dan Colombia, awal pagi semalam.

Pada mulanya, kedua-duanya dilihat saling bertikam lidah ketika menonton perlawanan bola sepak di televisyen di sebuah bar di bandar Awendo.

Pertengkaran itu akhirnya berakhir dengan pergelutan sejurus Brazil menjaringkan gol pertama, lapor The Counties.

Menurut pengurus bar, Abel Odondi, sebaik pergelutan tercetus, mereka diarah keluar oleh pengawal keselamatan bar sebelum dimaklumkan salah seorangnya terbunuh ketika bergaduh di luar kelab malam itu.

“Ketika itu bar dipenuhi penyokong bola sepak yang sedang menonton perlawanan Piala Dunia.

"Mereka diarah keluar kemudian kami dimaklumkan salah seorang yang bertengkar itu meninggal dunia,” katanya.

Laporan itu dipetik, mangsa pertama yang dikenali Maurice Otieno terbunuh selepas ditikam rakannya sendiri.

Manakala rakannya pula dibelasah penyokong lain yang berang dengan tindakannya dan kemudian turut meninggal dunia, selang beberapa jam selepas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Awendo, Kipsang Changach berkata, selepas membunuh Otieno, mangsa kedua dikenali Johnston Okum melarikan diri.

Okum kemudiannya ditemui mati di tempat menunggu bas di bandar berkenaan.

Bagaimanapun, Changach berkata, motif sebenar pembunuhan itu masih dalam siasatan pihaknya, sambil memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kumpulan cuba menimbulkan huru-hara dan bergaduh di bar ketika menyaksikan perlawanan itu, dipercayai berpunca daripada perbezaan pendapat.

Ibu reda Alang pergi


  • Kedua-dua kereta yang merempuh mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, lewat petang kelmarin.Kedua-dua kereta yang merempuh mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, lewat petang kelmarin.

KLANG - Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak yang sihat tidak mengalami sebarang sakit pergi meninggalkannya sekelip mata.

Begitulah yang dirasai oleh Rosmini Kadis, 53, apabila kehilangan anak bujangnya, Ahmad Affiq Nor Azman, 17, atau lebih mesra dipanggil Alang setelah terlibat kemalangan kira-kira jam 5.55 petang, kelmarin.

Rosmini berkata, sebelum meninggal dunia, anak keempatnya itu sangat manja dengannya dan tidak mahu berenggang.

"Sabtu lalu, arwah teringin sangat jaga makcik di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), sebab makcik ada jalani pembedahan buang ketumbuhan dalam rahim. Lima hari makcik dalam wad, dia nak sangat jaga tapi tak dapat sebab hanya ahli keluarga perempuan saja dibenarkan.

"Dia sangat kecewa. Bila makcik dah balik rumah dia jaga makcik, selalu dengan makcik tak nak berenggang," katanya sebak sambil memberitahu sambutan lebaran kali ini tentunya muram ketiadaan arwah.

"Arwah anak yang sangat taat. Cikgu sekolah dia pun beritahu dia rajin. Cikgu-cikgu dengan kawan-kawan sekolah suka dia. Tapi yelah, ALLAH lebih sayangkan dia... Makcik reda. Arwah pun pergi (meninggal dunia) hari baik, hari Jumaat dalam bulan mulia, Ramadan," katanya sayu.

Jenazah Ahmad Affiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, sekitar jam 9 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri memintas sebuah kereta Perodua Myvi.

“Secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Kelisa datang dari arah bertentangan merempuh motosikal mangsa. Pemandu Kelisa yang gagal kawal kenderaannya lalu merempuh pula Perodua Myvi.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke jalan raya,” katanya sekali gus memaklumkan mangsa cedera parah di kepala dan patah kaki, maut di tempat kejadian.

“Kedua-dua pemandu turut mengalami cedera ringan. Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Hajat bertunang tak kesampaian


  • Keadaan kemalangan yang meragut nyawa mangsa.Keadaan kemalangan yang meragut nyawa mangsa.

JEMPOL - Seorang kakitangan Felda Palong 10 di sini, tidak sempat melangsungkan pertunangannya Disember ini apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 22 , Jalan Bahau-Keratong, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Mohamad Abu Thalha Mohamad Ardani, 25, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Felda Lui Barat, di sini.

Bapa mangsa, Mohamad Ardani Ngadimon, 55, berkata, anak keempat daripada 10 beradik itu pernah memaklumkan untuk bertunang selepas Hari Raya Aidilfitri, namun ditunda pada Disember.

Menurutnya, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik ketika mereka sekeluarga berbuka puasa pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Sebelum arwah bergerak pulang ke Felda Lui Barat, isteri saya sempat menelefon arwah memaklumkan terdapat kemalangan di jalan Bahau - Keratong berhampiran lampu isyarat Bandar Seri Jempol.

“Isteri saya sempat berpesan agar memandu berhati-hati. Namun tidak lama kemudian, kami dimaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan dan maut di lokasi kejadian,” katanya yang bergegas ke tempat kejadian, petang kelmarin.

Menurutnya, jenazah anaknya itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Felda Lui Barat selepas selesai bedah siasat di Hospital Jempol, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu  sebuah lori, treler dan kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori dari arah Bahau terbabas ke bahu jalan semasa cuba naik ke atas jalan yang bertebing sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Ketika itu, datang sebuah treler dari arah bertentangan, namun sempat mengelak ke kanan tetapi bergesel di bahagian belakang sebelah kiri lori.

"Selepas itu, lori berkenaan bertembung pula dengan kereta dipandu mangsa yang berada di belakang treler," katanya.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

Difahamkan, pemandu lori dan treler tidak cedera. Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bandar Seri Jempol.

Maut selepas jemput cucu


  • Mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala cucunya yang membonceng masih menerima rawatan di Hospital Kulim.Mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala cucunya yang membonceng masih menerima rawatan di Hospital Kulim.

LUNAS - Hasrat seorang datuk membawa cucu pulang ke rumah selepas waktu persekolahan tidak kesampaian apabila kedua-duanya terlibat dalam kemalangan di Jalan Padang Serai Lunas kira-kira jam 12.50 tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama cucunya berusia 15 tahun dari arah Lunas menuju ke Padang Serai.

Menurutnya, tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Lunas, sebuah bas persiaran dari arah bertentangan masuk ke selekoh sebelah kanan menuju ke Taman Desa Permai.

"Keadaan bas yang melintang di tengah jalan menghalang laluan mangsa. Mangsa yang gagal mengelak merempuh di bahagian belakang sebelah kiri bas terlibat.

"Akibat rempuhan kuat, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan manakala cucunya terhumban ke tengah jalan," katanya.

Katanya, mangsa maut di tempat kejadian manakala cucunya di bawa ke Hospital Kulim dengan ambulan untuk rawatan kecemasan.

"Dari maklumat diperoleh, cucu mangsa masih tidak sedarkan diri bagaimanapun keadaannya stabil.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melibatkan kemalangan maut.

"Ini merupakan kes kemalangan maut yang pertama di laporkan berlaku sepanjang bulan Julai.

Jual bayi sendiri RM1,900


5 Julai 2014


SEOUL - KOREA SELATAN. Gara-gara menjual bayi perempuannya dengan harga serendah 600,000 won (RM1,900) seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an dikecam banyak pihak di Korea Selatan.

Susulan daripada itu, Agensi Polis Cheongju memaklumkan pihaknya telah meminta mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek kerana didakwa menjual bayinya berumur enam bulan kepada seorang wanita secara tidak sah melalui sebuah laman sesawang laporan dipetik daripada Straits Times.

Difahamkan, suspek mengambil keputusan mengiklankan anaknya di internet selepas bayi itu dilahirkan, Oktober lalu .  

Peniaga naik angin

Anggota penguatkuasa DBKL ketika menenangkan salah seorang peniaga yang berang.
Anggota penguatkuasa DBKL ketika menenangkan salah seorang peniaga yang berang.
KUALA LUMPUR - Suasana tegang berlaku dalam Ops Tegas dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan Chow Kit, apabila salah seorang pemilik gerai bazar berang dengan tindakan DBKL menyita barangan perniagaan kerana keberadaan struktur gerai di bahagian laluan kenderaan.

Penguasa Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Hariyadi Mohd Nor, berkata, keadaan itu berlaku apabila pihak peniaga tidak faham akan syarat lesen meskipun memperoleh kelulusan mewujudkan bazar.

Menurutnya, kegagalan pihak persatuan yang mengurus dan mengawal bazar berkenaan dengan baik juga membuatkan peniaga melakukan sesuka hati.

“Secara dasarnya syarat lesen perniagaan tidak dibenarkan beroperasi atas jalan apatah lagi melibatkan laluan kenderaan di kawasan tumpuan kerana akan menyebabkan kesesakan.
“Bagaimanapun, kita tak mahu berlaku insiden tak elok disebabkan ketegangan yang berlaku. Jadi perkara ini akan dibuat tindakan susulan setelah satu notis dikeluarkan kepada pemilik gerai berkenaan,” katanya pada sidang media selepas operasi yang tamat tengah malam, semalam.

Tambah beliau, ekoran perkara itu, pihak penganjur yang juga membabitkan dua persatuan peniaga, boleh di senarai hitam.

“Mereka sepatutnya bertanggungjawab memantau peniaga-peniaga dan gerai yang didirikan,” katanya.

Dalam operasi menumpukan kawasan Chow Kit dan Jalan Bukit Bintang itu, seramai 32 warga asing telah ditahan atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan, permit tamat tempoh dan salah guna pas lawatan.

Turut dikenakan tindakan adalah sita di Jalan Sultan Ismail membabitkan 12 khemah bazar yang beroperasi tanpa surat kelulusan.

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 46(1) pindaan halangan Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974. Kita juga mengambil enam tindakan sita barangan perniagaan yang dijalankan warga negara asing,” katanya.

'Raja Toyol' terlibat 23 kes kecurian

Raja Toyol dicekup penduduk selepas memecah masuk kedai runcit, di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara.
Raja Toyol dicekup penduduk selepas memecah masuk kedai runcit, di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara.
PETALING JAYA - Dia bukan anggota geng kongsi gelap, bukan penyamun, jauh sekali  perompak. Kalau dilihat dari luaran dia hanyalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Namun, siapa sangka dalam usia semuda itu dia mendapat gelaran Raja Toyol selepas terbabit dalam tidak kurang daripada 23 kes kecurian membabitkan kes pecah rumah, kecurian tabung masjid  dan kedai runcit  di kawasan Kampung Sungai Ara, Damansara, di sini, sejak setahun lalu.

Meskipun sudah acap kali ditangkap penduduk kampung kerana mencuri, bahkan pernah dibelasah kerana perbuatannya itu, budak lelaki yang sudah tidak bersekolah ini tidak serik,  malah bertambah aktif seolah-olah mencuri menjadi kerjaya sepenuh masanya.

Difahamkan kanak-kanak  ini hanya  memerlukan tempoh yang singkat untuk melarikan wang yang disimpan di dalam rumah tanpa disedari oleh pemiliknya. Sudah beribu ringgit masuk ke sakunya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya rakam visual ‘toyol’]

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sungai Kayu Ara, Ramli Daud berkata, kanak-kanak  itu  pernah diserahkan kepada polis tetapi dibebaskan semula kerana dia di bawah umur.

“Dia bergerak seorang diri di dalam kampung dan sasaran utamanya adalah wang.

“Baru-baru ini dia pernah ditangkap  dan apabila ditanya ke mana wang curi itu dibelanjakan, dia dengan selamba memberitahu wang itu digunakan untuk berhibur di pusat siber. Saya  yakin dia berkawan dengan budak yang lebih besar dan di situlah wang itu dibelanjakan,” katanya.

Menurut Ramli, kanak-kanak ini melakukan kerja tidak kira siang ataupun malam. Jika ada peluang dia akan masuk ke dalam rumah sesiapa sahaja tanpa disedari.

“Dia akan sasarkan wang yang disimpan di dalam rumah, tidak kira di dalam poket seluar, almari mahupun laci.
“Peliknya dia boleh tahu di mana wang itu disimpan dan dengan  tubuhnya yang kecil dia boleh masuk ikut  lubang kecil selain tahu membuka gril pintu rumah,” katanya.

Jelas Ramli lagi, masalah itu sukar diselesaikan kerana keluarga kanak-kanak ini langsung   tidak mengambil berat  terhadapnya.
“Dia anak ketujuh daripada lapan adik-beradik dan tinggal  bersama ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Keluarganya  sudah lali dengan cerita kanak-kanak itu ditangkap.

“Ramai yang nasihat ayahnya supaya tidak membiarkan anaknya terus begitu, tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Wanita mangsa pemerdagangan dan sindiket


  • Wanita mangsa pemerdagangan dan sindiket

DALAM era moden ini pemerdagangan manusia adalah satu bentuk perhambaan. Ia merentasi sempadan dan menjatuhkan maruah serta martabat bangsa dan negara yang terlibat. Isu wanita dijadikan mangsa pemerdagangan seakan tidak pernah berkesudahan. Sejak beberapa tahun dahulu, Malaysia nampaknya bukan lagi semata-mata menjadi transit pemerdagangan wanita, malah dapat dilihat dengan mata kepala sendiri, betapa ramainya warga asing yang entah legal entah tidak, berada di negara ini.

Ketika saya ditugaskan di Meja Mahkamah dan Jenayah, boleh dikatakan ada sahaja sebutan reman dilakukan di Mahkamah Majistret Klang dan Shah Alam bersabit kes mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang atau Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Namun tidak dapat dipastikan seberapa banyakkah dalang dan sindiket berjaya dibawa ke muka pengadilan.

Apabila diperdagangkan, mangsa tidak diberi sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan rentetan menerima kawalan ketat oleh sindiket. Ada yang mengakui didera, diberi makan kertas jika melawan dan tidak kurang juga yang dikerah tanpa bergaji serta diperlakukan seperti hamba seks.

Menurut Kajian Kesatuan Eropah dan Jabatan Negara Amerika, pemerdagangan manusia ini dapat menjana keuntungan yang lumayan dan dianggarkan sebanyak USD33 bilion setahun (angka tidak rasmi). Pemerdagangan manusia bukan saja berlaku di negara-negara mundur tetapi juga di negara-negara maju. Persoalannya kini siapakah dalang di sebalik semua ini? Dan bagaimanakah pemerdagangan manusia ini berlaku?

Menurut Artikel 3 Protokol Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendefinisikan Pemerdagangan Manusia sebagai; perekrutan, pengangkutan, pemindahan, penampungan atau penerimaan orang dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan lain. Ia termasuklah tragedi penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kedudukan, atau memberi atau menerima bayaran atau manfaat untuk mencapai persetujuan seseorang yang mempunyai kawalan ke atas orang lain, untuk tujuan eksploitasi iaitu pelacuran, buruh paksa atau perhambaan dan pemindahan organ-organ.

Hubungan baik antara negara

Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Indonesia, Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya. Hubungan baik ini sangat penting kepada sektor ekonomi, namun ia juga telah menyumbang kepada satu masalah sosial yang amat ketara iaitu pemerdagangan manusia.

Kerjasama antara negara ini dengan negara luar telah menyebabkan warganegara luar diambil bekerja di sini dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, perindustrian dan sebagainya termasuklah perhambaan dari sudut seks dan pekerja rumah urut.

Hasil kajian dari badan-badan bebas dan beberapa kes, Malaysia khususnya Sabah adalah destinasi persinggahan untuk wanita dan kanak-kanak diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara komersial manakala lelaki dijadikan sebagai buruh paksa.

Kita menyaksikan setiap hari di media massa betapa penguatkuasaan undang-undang telah diperketatkan oleh kerajaan. Pihak Polis Diraja Malaysia, Kastam, Imigresen dan Maritim Malaysia (APMM) telah berusaha kuat menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah penyeludupan manusia ini.

Kewujudan Pelan Tindakan Nasional (NAP) di bawah Majlis Anti Perdagangan Orang (MAPO) serba sedikit telah dapat mengurangkan aktiviti ini. Kerajaan mengambil inisiatif melatih lebih 3,000 pegawai yang merangkumi bidang penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman untuk menangani isu ini.

Penguatkuasaan undang-undang

Kerjasama dengan International Organization of Imigrant (IOI), Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Amnesty International Malaysia turut dijalankan.

Oleh sebab terdapat segelintir kakitangan kerajaan yang mengambil kesempatan terhadap isu sosial ini dengan menjadi orang tengah dan menerima rasuah, maka kempen untuk meningkatkan kefahaman dan profesionalisme jentera kerajaan dalam penguatkuasaan Akta Pemerdagangan Orang 2007 turut diperkenalkan.

Memang tidak dapat dinafikan, pemerdagangan atau penyeludupan wanita adalah satu mimpi ngeri yang menakutkan. Lewat kebelakangan ini, anak –anak kecil pula menjadi mangsa.

Minggu lepas, kita dikejutkan dengan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang diculik dan diberikan ubat pelali. Mujur pihak polis berjaya mengesan mangsa jika tidak, apakah natijahnya? Apakah yang bakal berlaku dengan kanak-kanak perempuan itu? Dijual? Dijadikan mangsa eksploitasi seks atau? Tiada siapa yang tahu.

Selain wanita, kanak-kanak merupakan mangsa utama pemerdagangan manusia. Mereka lemah, senang dikawal dan tidak berupaya melawan. Mereka mungkin dimanfaatkan untuk kegiatan mengemis atau penjualan dadah.

Sebahagian besar daripada empat juta pekerja asing yang sah dan tanpa izin di Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan orang, demikian menurut Laporan Pemerdagangan Manusia 2011 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, menerusi Menterinya Datuk Seri Rohaini Abdul Karim juga telah menjalankan pelbagai program khusus menangani masalah ini. Dalam operasi Ops Qaseh yang dijalankan bagi membanteras gelandangan di ibu negara, terdapat wanita warga asing yang turut berjaya ditahan dan dibawa ke Kompleks Perlindungan Sementara (Pusat Sehenti Bina Diri) Sg Buluh.

Semoga kita sama-sama menggembleng tenaga mengawal kegiatan tidak bermaruah ini. Selamatkan bangsa kita, wanita kita. Hentikan rasuah, kezaliman terhadap wanita dan kanak-kanak.

Berjaya rakam visual ‘toyol’

Kanak-kanak lelaki itu masuk ke dalam kedai runcit melalui lubang kecil pada dinding kayu yang reput.
Kanak-kanak lelaki itu masuk ke dalam kedai runcit melalui lubang kecil pada dinding kayu yang reput.
PETALING JAYA -  Tiga kali premis dipecah masuk membuatkan seorang pemilik kedai runcit di Kampung Sungai Kayu Ara memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.

Huzaifah Mohd Yatim, 25, terkejut selepas CCTV itu berjaya merakam visual seorang kanak-kanak sedang menggeledah barangan  dan mencuri wang yang disimpan dalam kedai jam 2.50 pagi 20 Jun lalu.

“Kanak-kanak itu mengaku  masuk ke dalam kedai melalui lubang kecil celah dinding papan kedai yang reput,” katanya.

Menurutnya, perangkap itu sengaja dibuat bagi mengesan pencuri yang menjadi buah mulut penduduk kampung itu selama ini.

“Saya kerugian besar selepas kedai dipecah masuk. Malah selepas ditangkap budak itu masih cuba pecah masuk kedai saya,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, dia kerugian RM4,000 selepas rumahnya dimasuki akhir bulan lalu.

“Dompet yang mengandungi wang saya letak di dalam poket seluar yang digantung di dalam bilik lesap dan kejadian itu disedari ketika saya bangun waktu pagi.

“Anehnya tiada kesan rumah dipecah masuk, tapi ada saksi yang nampak kelibat kanak-kanak merayau di sekitar rumah saya pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, laporan mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Damansara.

Tragedi ngeri enam sekeluarga


Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
Rembau: Tiga sekeluarga terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 240 lebuh raya PLUS arah utara, dekat sini, lewat petang semalam.

Selain itu, tiga penumpang turut parah dalam kejadian membabitkan enam sekeluarga pada kira-kira 4.30 petang.
Mangsa yang terbunuh adalah pemandu, Mohd Fauzan Salleh, 28; Yunus Salem Angran, 21; dan Muhammad Firas Mohd Fauzan.

Seorang wanita dan dua kanak-kanak yang parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, dekat sini, untuk rawatan lanjut.

Foto


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata hasil siasatan kereta berkenaan terbabas, merempuh papan tanda dan tiang lampu menyebabkan ketiga-tiganya terbunuh di lokasi kejadian.




Menurutnya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini, untuk bedah siasat.

Ibrahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

46 jururawat pulang ke India


New Delhi: Seramai 46 jururawat warga India yang terperangkap di kawasan yang ditawan pejuang Islam di sebuah bandar di utara Iraq dihantar pulang, semalam.

Kumpulan jururawat itu terperangkap ketika bertugas di sebuah hospital kerajaan di Tikrit apabila bandar itu diserang, bulan lalu.
Setakat ini masih belum jelas sama ada mereka diculik dan ditawan atau sekadar terperangkap dalam serangan berkenaan.

Mereka dipindahkan dari Tikrit ke Mosul Khamis lalu sebelum menaiki pesawat khas dari Arbil semalam dan dijangka tiba di Kerala jam 6.30 pagi waktu tempatan. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Kantoi tinggal anak pergi berjudi


Alor Setar: Sepasang suami isteri beragama Islam bukan saja tidak menghormati Ramadan malah sanggup meninggalkan dua anak mereka di rumah semata-mata mahu melepaskan gian bermain judi di sebuah premis judi yang beroperasi di sebuah inap desa di Taman Sri Indah Fasa 4, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 1 pagi, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diketuai Inspektor Mohd Nasrul Faiz Suaid menyerbu premis judi yang beroperasi secara haram hasil maklumat awam dan risikan.


Lelaki terbabit yang berasal dari Puchong, Selangor manakala isterinya yang berasal dari daerah ini, masing-masing berusia 30-an, ditahan ketika leka bermain mesin yang berunsurkan perjudian pada Ops Dadu.

Pegawai Turus D7 IPK Kedah Asisten Superintendan Mohd Fauzi Yusof berkata, pasangan suami isteri terbabit yang mempunyai tiga anak menyewa sebuah daripada bilik di inap desa berkenaan.


“Dua daripada bilik di inap desa berkenaan itu pula disewa sindiket perjudian. Ketika serbuan, kami dapati 10 pelanggan berusia 19 hingga 30-an sedang leka bermain mesin judi.


“Kami menahan pasangan suami isteri berkenaan dan semakan mendapati lelaki itu pernah ditahan sebelum ini kerana terbabit dalam aktiviti perjudian,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya merampas seunit komputer kawalan utama, 16 komputer, satu unit jalur lebar dan wang tunai RM54.


Mohd Fauzi berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk diambil keterangan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Hina Nabi: CONCERN buat aduan polis


Kota Kinabalu: Tindakan seorang pemilik akaun memuat naik kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi laman sosial Facebook miliknya, mendapat reaksi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (CONCERN) apabila yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Pengerusinya Sainuri Yahmin menyifatkan individu menggunakan akaun ‘David Orok’ dianggap keterlaluan dan mampu mencetuskan ketegangan antara kaum.


“Tindakan individu bernama David ini adalah sama sekali tidak benar, palsu dan merendah-rendahkan Nabi Muhammad SAW dan menghina umat Islam di negara ini.

“Malah, dakwaan individu terbabit yang kononnya merujuk kepada al-Quran dan hadis adalah tidak benar dan bercanggah,” katanya ketika ditemui.


Sainuri berkata, kenyataan David yang dimuatnaik perkara itu kira-kira jam 12.11 tengah malam, kelmarin, boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.


“Semalam (kelmarin), kami menerima pesanan menerusi laman sosial WhatsApp menunjukkan gambar keratan kenyataan David.

“Enggan menuduh membuta tuli, kami terus memeriksa akaun Facebook milik individu ini dan terbukti ia adalah benar,” katanya.


Katanya, CONCERN membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan sebagai pengajaran kepada pelakunya.



“Siasatan segera perlu dilakukan kerana tindakannya boleh mencetuskan pergaduhan dan perselisihan faham antara masyarakat.


“Memang setiap penduduk di negara ini mempunyai hak bersuara, namun bukan dengan cara yang menyentuh sensitiviti orang berlainan agama,” katanya.


Harian Metro difahamkan, David adalah anggota Parti Reformasi Negeri (STAR) dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.


Terdahulu, CONCERN dianggotai 15 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dan Persatuan Peguam Muslim Sabah.


Sementara itu, kenyataan biadab dimuat naik individu berkenaan turut mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Putatan apabila turut tampil membuat laporan polis.


Ketua Pemuda UMNO Putatan Ir Shahelmey Yahya berkata, tindakan individu itu dikhuatiri akan mencetus perbalahan antara kaum dan agama di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Bikin gempar


Oleh Alias Abd Rani
Marudi: Suasana di perkarangan sebuah sekolah menengah di sini, kecoh apabila seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun secara tiba-tiba berdiri atas beranda bangunan sekolah tiga tingkat dalam cubaan membunuh diri di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 6 petang apabila pelajar tingkatan tiga itu dikatakan nekad mahu terjun selepas dipercayai mengalami masalah dengan keluarga angkatnya.


Sumber berkata, kejadian disedari seorang guru lelaki sebelum bertindak menghubungi polis.

“Walaupun beberapa kali dipujuk namun pelajar terbabit tidak mempedulikan sebaliknya menyatakan hasrat untuk terjun. “Pihak sekolah tiada pilihan terpaksa menghubungi pasukan keselamatan bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.


“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit mempunyai masalah dengan keluarga angkat. Ini menyebabkan dia mengambil ubat penenang dari Hospital Marudi tetapi tidak memakannya pada hari kejadian,” katanya.


Kata sumber itu lagi, anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk memujuk pelajar terbabit sebelum dia membatalkan hasratnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar tindakan pelajar itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

2 lelaki dibunuh, perut terburai


Butterworth: Mayat dua lelaki dipercayai warga asing yang mati ditikam, dengan seorang daripadanya dalam keadaan perut terburai, ditemui di landasan kereta api Kampung Jawa, Perai di sini, jam 9.15 pagi semalam.

Selain ditikam berkali-kali di beberapa bahagian badan, polis turut menemui kesan kelaran pada leher seorang daripada mangsa.


Mayat itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

Sumber polis berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 30-an dan ketika ditemui, kedudukan mayat tidak jauh antara satu dengan lain.


“Mayat pertama ada lapan kesan tikaman di dada, perut, tangan, belakang serta bahu kiri. Mangsa memakai baju biru, seluar coklat dan kasut keselamatan hitam.


“Mangsa kedua memakai kemeja coklat, seluar biru dan kasut keselamatan dikelar di leher selain ditikam di dada, rusuk manakala perutnya terburai,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari kerja di sebuah kilang ke asrama berhampiran.


Ia berdasarkan penemuan bekas makanan kosong berhampiran lokasi kedua-dua mangsa. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor mengesahkan berkaitan penemuan mayat berkenaan.



“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. Motif kejadian masih disiasat, begitu juga dengan identiti kedua-dua mangsa.


“Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan. Kes pula disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Bayi 8 bulan antara 3 maut


Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Parit Buntar: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 200.2, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi, sebuah lori yang sarat membawa muatan tong gas merempuh belakang sebuah lori simen mengakibatkan pemandu lori simen berkenaan patah kaki.


Isteri pemandu lori simen berkenaan yang cedera meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping manakala bayi perempuan pasangan terbabit meninggal dunia akibat tersepit.

Kelindan lori simen berkenaan juga maut selepas badannya putus dua apbila digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang terbabas akibat melanggar tong gas yang bertaburan di atas jalan raya.


Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nor Ruziany Noorzamzuri, 19, berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang dan bayinya, Shahrul Zafran Mohd Sobri.


Kelindan lori simen yang mati itu pula dikenali sebagai V Sivaraja, 49.

Foto
ANTARA kenderaan yng terbabit dalam kemalangan jam 3.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, berdasarkan keterangan saksi, kelindan lori simen turun dari lori untuk meninjau keadaan belakang lori itu selepas kenderaan berkenaan dirempuh.


“Sivaraja bagaimanapun digilis Proton Exora yang terbabas. Kemalangan turut menyebabkan sebuah lagi MPV jenis Toyota Wish terbabas namun pemandu bersama tiga penumpang termasuk dua kanak-kanak selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.



“Pemandu lori simen dan pemandu Proton Exora yang cedera ringan turut dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan. Mayat ketiga-tiga mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.


Bagaimanapun, pemandu lori membawa muatan gas yang hanya dikenali Mohd Sobri masih tidak sedarkan diri selepas cedera parah di kaki.


“Setakat ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kami masih menunggu keterangan daripada pemandu lori membawa muatan gas untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan kemalangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Tragedi ngeri enam sekeluarga

Tragedi ngeri enam sekeluarga

Rembau: Tiga sekeluarga terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 240 lebuh raya PLUS arah utara, dekat sini, lewat petang semalam.
Selain itu, tiga penumpang turut parah dalam kejadian membabitkan enam sekeluarga pada kira-kira 4.30 petang.
Mangsa yang terbunuh adalah pemandu, Mohd Fauzan Salleh, 28; Yunus Salem Angran, 21; dan Muhammad Firas Mohd Fauzan.

Seorang wanita dan dua kanak-kanak yang parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, dekat sini, untuk rawatan lanjut.
Foto

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata hasil siasatan kereta berkenaan terbabas, merempuh papan tanda dan tiang lampu menyebabkan ketiga-tiganya terbunuh di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini, untuk bedah siasat.

Ibrahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/06

Cabut lari digertak wanita


Kuala Lumpur: Tindakan berani seorang wanita menggertak dan mengambil gambar dua penjenayah cuba mencuri kenderaan yang menyamar sebagai pekerja agensi tarik kereta menyebabkan suspek melarikan diri.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa yang berusia 32 tahun hampir dirompak penjenayah ketika berada di kawasan meletak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Selayang, Gombak.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zeti, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu kereta Perodua Kelisa bersendirian untuk membeli barang dapur.

Menurutnya, kereta dipandunya secara tiba-tiba dipintas dan dihadang sebuah kereta Perodua Viva dinaiki dua suspek terbabit.


Dia berkata, dua lelaki yang dianggarkan berusia pertengahan 30-an itu secara tiba-tiba mengarahkannya keluar daripada kenderaan dan menyerahkan kunci kereta.


“Seorang suspek memberitahu bahawa dia ditugaskan pihak bank untuk merampas kereta itu kerana saya gagal membayar ansuran bulanan. “Saya yang terkejut dengan arahan lelaki itu terus mengajaknya berbincang di pintu masuk pasar raya itu. Saya berasa sangsi kerana kereta itu tidak lagi terikat dengan pinjaman bank berikutan semua baki ansuran sudah dijelaskan,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Sentul di sini, semalam.

Tidak puas hati dengan tindakan suspek yang cuba memperdayakannya, Zeti meminta suspek menunjukkan surat arahan dari bank bagi menarik kereta itu selain memberitahu nama pemilik sebenar kenderaan dipandu.


“Malangnya suspek gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen selain memberitahu nama sebenar pemilik kereta ini,” katanya, Bagaimanapun, tembelang kedua-dua penjenayah terbongkar apabila seorang suspek berpura-pura menelefon seorang `pegawai bank’ dan bertutur dalam bahasa Tamil.



“Dia mendakwa mendapatkan maklumat daripada pegawai bank yang mengarahkan kereta saya ditarik. Namun saya tambah pelik apabila dia memberitahu bahawa pegawai bank itu bernama Faizal sedangkan dia berbual dalam bahasa Tamil.


“Saya kemudian bertindak berani mengeluarkan telefon bimbit dan merakam gambar suspek dan kereta dipandu. Tindakan saya itu menyebabkan penjenayah tersentak seketika,” katanya.


Terkejut dengan tindakan mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri dari lokasi kejadian.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/05

Gegaran 6.0 magnitud landa barat Indonesia


2014/07/06
Jakarta: Satu gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda barat Indonesia semalam. Tiada amaran tsunami mahupun kecederaan atau kerosakan, menurut laporan ahli seismologi Amerika, semalam.

Kumpulan pengkaji Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi itu berlaku pada jam 4.39 petang waktu tempatan pada kedalaman 30 kilometer, 88 kilometer ke tenggara Sinabang, di sebuah pulau kecil di Simeulue.

Pegawai agensi meteorologi, iklim dan geofizik Indonesia, Diana Rahyu berkata, gempa bumi itu dirasai di beberapa bahagian di Sumatera, di sebelah barat Simeulue.

“Setakat ini tiada ancaman tsunami mahupun laporan kecederaan atau kerosakan,” katanya.

Indonesia terletak dalam lingkungan kawasan gunung berapi Pasifik. Pertembungan itu menyebabkan aktiviti gegaran dan gunung berapi kerap berlaku. - AFP

Dua lelaki menyamar minta suapan


2014/07/06
Bahau: Seorang pengusaha restoran di sini, mendakwa didesak membayar RM300, kononnya bagi mengelak dikenakan tindakan saman oleh dua lelaki yang kononnya kakitangan Kementerian Kesihatan.

Dua lelaki terbabit dikatakan ke restoran itu, kira-kira jam 1.50 tengah hari Selasa lalu, ketika peniaga berusia 50-an berkenaan sibuk melayan pelanggan.

Mereka mendesak mangsa membayar RM300 bagi mengelak disaman, tetapi mangsa curiga kerana tidak tahu apa kesalahan yang dilakukannya. Bagaimanapun, selepas berulang kali didesak selain enggan mencetuskan kekecohan di restorannya, peniaga berkenaan menyerahkan RM50 kepada dua lelaki itu sebelum dia diberikan resit, namun resit itu juga kelihatan meragukan.


Ketika mendedahkan kes berkenaan, Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Negeri Sembilan, Yap Yoke Keong, berkata beliau juga secara kebetulan berada di restoran yang dikunjungi dua lelaki terbabit.

“Sebaik menyedari kekecohan itu, saya memanggil dua lelaki yang mendakwa mereka kakitangan Kementerian Kesihatan itu, tetapi kedua-duanya terus beredar,” katanya, di sini, semalam.

Pemandu teksi mati dibunuh penumpang


2014/07/06
Kuala Lumpur: Seorang pemandu teksi warga tua mati selepas dipercayai dibunuh seorang penumpang yang cuba melakukan samun di Jalan Pudu Ulu, Cheras, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa berusia 63 tahun hendak menurunkan suspek di kawasan berhampiran Hotel V Garden, Jalan Pudu, tetapi berselisih faham dipercayai berkaitan tambang yang dikenakan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata berikutan itu pergaduhan tercetus selepas suspek yang berusia 39 tahun cuba menyamun dan melarikan teksi mangsa.

Katanya, orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian segera memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa dan turut membantu menahan suspek terbabit yang cuba melarikan diri sebelum menyerahkannya kepada polis.

Mangsa tertiarap atas jalan raya

“Setiba di tempat kejadian, polis menemui mangsa tertiarap atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah selepas mengalami kecederaan serius akibat dicederakan suspek.

“Hasil pemeriksaan oleh Unit Forensik Polis Kuala Lumpur, menemui sebilah pisau berukuran kira-kira 18 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa, tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohan Singh berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mendapatkan maklumat secara lebih tepat daripada beberapa saksi yang membantu dan melihat kes berkenaan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya sambil menambah siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berhubung kes dadah dan jenayah.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Taliban bakar trak bawa bekalan tentera


2014/07/06
Kabul: Militan Taliban membakar berpuluh-puluh trak bahan api yang didakwa memberi bekalan kepada tentera asing di Afghanistan, dalam serangan di pinggir bandar ibu kota negara itu, kata pegawai, semalam.

Kebakaran berpunca daripada bom yang meletupkan lori tangki yang menanti untuk memasuki bandar raya itu di tempat letak kenderaan di barat Kabul, tengah malam kelmarin.

“Sekitar jam 10.30 malam kelmarin, berpuluh-puluh lori tangki minyak milik syarikat persendirian terbakar.

Api marak

“Tiada siapa dapat menghampiri kawasan itu kerana kebakaran masih marak,”
kata jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai.

Menurutnya, tiada kematian dilaporkan ketika pasukan bomba cuba mengawal api pagi semalam.
“Saya sedang tidur dalam trak, apabila terdengar tiga letupan kuat. Selepas itu saya melihat trak minyak meletup satu demi satu. Saya segera meninggalkan kawasan itu,” kata seorang pemandu trak, Janat Gul.

Pengarah Siasatan Jenayah polis Kabul, Gul Aghan Hashimi, berkata ia adalah bom magnetik yang menyebabkan lori tangki disambar api.

Trak berkenaan milik syarikat persendirian. Tidak dapat dipastikan sama ada trak itu membekalkan minyak kepada pasukan Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO). - AFP

KERJA ORANG DALAM?


2014/07/06 - 04:10:01
Isu palsu kerakyatan: Petugas jabatan dipercayai terima sogokan jual dokumen Malaysia

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan orang dalam jabatan berkaitan yang bersekongkol dengan sindiket warganegara ekspres menjual dokumen Malaysia kepada warga asing.

 Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah (gambar), berkata ratusan ribu pasport dan MyKad hilang sejak tahun 2008 dipercayai membabitkan petugas jabatan itu yang menerima sogokan sindiket.


Katanya, bagi mengeluarkan pasport, MyKad tulen diperlukan dan dengan itu, sindiket warganegara ekspres dipercayai saling berkait serta memiliki rangkaian dengan ejen warga asing.

Pelampau Buddha ugut bunuh orang Islam


2014/07/06 - 03:28:26
Foto
Penduduk berkumpul sambil melaungkan kata-kata ketika menyertai pengebumian seorang lelaki yang terbunuh, di Mandalay. - Foto AFP

Foto
Anggota polis memeriksa penunggang motosikal di Mandalay.
Kumpulan bersenjatakan pisau, belantan, batang buluh; polis dituduh hanya memerhati

MANDALAY: Beratus-ratus pelampau Buddha mengancam membunuh penduduk Islam ketika menunggang motosikal meronda di bandar raya kedua terbesar di Myanmar, sekali gus meningkatkan prospek keganasan agama seterusnya selepas dua maut dalam ketegangan awal minggu ini.

Kira-kira 300 penganut Buddha menunggang motosikal mengelilingi Mandalay kelmarin, ramai bersenjatakan pisau, belantan dan batang buluh.

“Kami akan membunuh semua orang Islam,” sebahagiannya menjerit ketika menunggang di jalan raya selepas menghadiri majlis pengebumian lelaki Buddha yang ditikam mati malam Rabu lalu.

Seorang lelaki Islam juga maut, dipukul sehingga mati Khamis lalu dalam perjalanan menunaikan solat subuh.

Kakitangan Felda maut



ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Mohamad Abu Thalha yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan kelmarin.


JEMPOL - Hasrat seorang kakitangan Felda untuk berbuka puasa bersama keluarganya di Felda Lui Barat di sini tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta Proton Persona dipandunya dirempuh sebuah treler di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Mohamad Abu Thalha Mohamad Ardani, 25, yang bertugas di Felda Palong 10 dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Jarak lokasi kejadian dengan rumah keluarganya di Felda Lui Barat ialah 24 kilometer.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz36dqOxGq6 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket malukan nama Malaysia


UBAT perangsang seks sentiasa mendapat permintaan tinggi orang ramai walaupun ia membahayakan.


KUALA LUMPUR - Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Selangor dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan merampas 181 jenis ubat-ubatan bernilai RM12.4 juta dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan di Hab Antarabangsa Kawasan Perdagangan Bebas, KLIA, Sepang bulan lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar kecil) berkata, serbuan pada 6 Jun lalu dijalankan selepas gudang itu didapati mengendalikan ubat-ubatan perangsang seks tidak berdaftar dan ubat-ubatan preskripsi untuk pasaran antarabangsa.
"Kebanyakan yang dirampas adalah ubat generik bagi rawatan mati pucuk seperti sildenafil, tadalafil dan juga ubat lain seperti ubat generik untuk darah tinggi, antikolestrol dan antibiotik," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, pengedaran ubat-ubatan itu didalangi sindiket yang membabitkan syarikat-syarikat yang beroperasi di India, Singapura dan Malaysia.
Pesanan pelanggan dibuat secara online dengan domain yang berpusat di London.
"Ubat-ubatan ini dihantar oleh pengilang di India melalui pesanan sebuah syarikat di Singapura dan maklumat pelanggan serta alamat hantaran, kebanyakan di Amerika Syarikat, dihantar oleh syarikat di India kepada ejen di Malaysia melalui e-mel," katanya.
Beliau berkata, gudang yang diserbu di Malaysia bertindak sebagai hab penyimpanan dan pembungkusan ubat-ubatan sebelum ia dihantar kepada pelanggan di Amerika Syarikat melalui pos bungkusan yang diikrarkan sebagai suplemen kesihatan.
Dr. Noor Hisham berkata, sindiket itu beroperasi di Malaysia sejak pertengahan Mac tahun ini dengan bilangan bungkusan yang dihantar melebihi 1,000 bungkusan sehari.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0706&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz36dpElnAu 
Hakcipta terpelihara 

Penyamun tikam pemandu teksi hingga mati diberkas


KUALA LUMPUR 5 Julai - Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang penyamun sejurus selepas suspek menikam seorang pemandu teksi sehingga mati berhampiran sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu Cheras, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 63 tahun dilihat oleh orang awam bergelut dengan suspek berusia 39 tahun berhampiran kenderaannya lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek yang ketika itu cuba melarikan diri dengan kenderaan mangsa.
"Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tertiarap di atas jalan raya dengan kesan kecederaan di tangan, belakang badan dan mata. Siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai penumpang sebelum cuba menyamun mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Tambah Mohan Singh, pihaknya turut menemukan sebilah pisau dipercayai digunakan dalam insiden itu, tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau dan telah ditahan reman untuk membantu siasatan. Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140706/je_03/Penyamun-tikam-pemandu-teksi-hingga-mati-diberkas#ixzz36dPTuyYR
© Utusan Melayu (M) Bhd