Search This Blog

Friday, July 4, 2014

9 maut tanah runtuh di lombong emas timur Indonesia


2014/07/04 - 15:08:28
JAKARTA: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di lombong emas haram dekat kawasan pedalaman timur Indonesia, kata pegawai rasmi, hari ini.

Ketua mencari dan menyelamat, Marsudi, berkata empat orang masih hilang manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas kejadian tanah runtuh melanda perkampungan Dageuwo, wilayah Papua.

Anggota penyelamat terpaksa diterbangkan ke lokasi kejadian berikutan kawasan berkenaan tidak dapat dihubungi melalui jalan darat kerana terletak di kawasan pergunungan.

Katanya, kesemua mangsa dipercayai adalah pelombong haram. - AFP

Kastam rampas mercun cuba diseludup masuk guna kontena


2014/07/04 - 18:18:32
PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas mercun dan bunga api bernilai RM40,000 termasuk cukai yang cuba diseludup masuk menggunakan lori kontena melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini, pagi tadi.

Pengarah JKDM Perlis, Datuk Mohd Pudzi Man, berkata mercun dan bunga api dimuatkan dalam 81 kotak itu ditemui pada ruang rahsia dalam kontena yang diisytihar kosong oleh dua lelaki dan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Pulau Pinang. 

Kanak-kanak perempuan dijangkiti JE stabil


2014/07/04 - 18:32:51
GEORGETOWN: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lima bulan, Norain Nasuha Shukri, yang dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE) dilapor dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Lailanor Ibrahim, berkata kanak-kanak itu masih dirawat di wad biasa Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata, keputusan sampel darah pesakit yang diambil kali kedua pada Rabu lepas, dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

"Berdasarkan laporan kesihatan kanak-kanak itu, pesakit belum boleh berjalan dengan baik dan perlu menjalani rawatan fisioterapi untuk tempoh tertentu.

"Kami masih menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana dan di mana pesakit itu dijangkiti virus berkenaan kerana kanak-kanak itu dijaga oleh neneknya di Bagan Jermal, Butterworth pada siang hari dan pulang ke rumah keluarganya di Lunas, Kedah selepas ibunya tamat bekerja," katanya ketika dihubungi.

Norain Nasuha disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lepas adalah positif.

Kes itu adalah yang ketiga selepas murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqrish Zulkiffli, 12, dan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari Lorong Seratus Tahun, di sini.
Muhammad Ammar Muqrish kini dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas manakala remaja terbabit masih dalam proses pemulihan.

Sementara itu, Dr Lailanor berkata laporan perubatan Muhammad Ammar telahpun dihantar ke Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

"Jawatankuasa khas yang ditubuhkan sebelum ini telah bermesyuarat dan meneliti laporan perubatan kanak-kanak itu serta mengesahkan pesakit berkenaan memang positif JE," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan pengesanan kes secara aktif dan langkah kawalan serta pencegahan di kawasan Kampung Selamat dan Bagan Jermal bagi memastikan tiada penularan virus JE.

Setakat ini, tiada kes baharu dilaporkan di negeri ini.

- BERNAMA

Satu keluarga disamun, diculik

Mazlan (kiri) meninjau rumah mangsa di Taman Hutchings.
Mazlan (kiri) meninjau rumah mangsa di Taman Hutchings.
GEORGETOWN - Empat sekeluarga terpaksa menghadapi detik mencemaskan apabila disamun dan kemudian diculik dua lelaki di kediaman mereka di Taman Hutchings di sini sebelum ditinggalkan tepi jalan di Tikam Batu, Kedah pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, lelaki terbabit menceroboh rumah seorang pemilik kedai penyaman udara ketika mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur.

Difahamkan, mereka memanjat bumbung rumah mangsa dan turun mengikut bilik air.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Mazlan Kesah berkata, suspek bersenjatakan parang bertindak masuk ke bilik dua anak perempuan mangsa berusia 13 dan 19 tahun lalu mengikat mereka sebelum menceroboh bilik mangsa dan isterinya.

Menurutnya, mangsa serta isteri turut diikat sebelum penjenayah menyelongkar dan mengambil pelbagai barangan berharga serta wang tunai berjumlah kira-kira RM5,000.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, suspek tidak berpuas hati sebaliknya meminta mangsa dan isterinya menyerahkan kad ATM dan kad kredit.

“Selepas mendapatkan kad ATM dan kad kredit, penjenayah terbabit membawa semua ahli keluarga itu menaiki kereta untuk mengeluarkan wang masing-masing.

“Bagaimanapun, ketika itu bank belum beroperasi dan empat beranak dibawa ke kawasan Perai sementara menunggunya dibuka,” katanya ketika ditemui media di rumah mangsa di sini semalam.

Ketika dalam perjalanan, suspek mengugut akan mengurung kesemuanya di satu lokasi tidak diketahui.

Bimbang sesuatu lebih buruk akan dialami keluarganya, mangsa bertindak nekad terjun dari kereta untuk meminta bantuan.

“Tindakan mangsa menyebabkan kedua-dua lelaki berkenaan takut dan kemudian meninggalkan isteri dan dua anak mangsa setengah jam kemudian.

“Mangsa cedera ringan manakala isteri dan anak-anak mangsa selamat,” katanya.

Sementara itu Mazlan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengesan suspek serta kereta mangsa yang dilarikan.

“Dari keterangan mangsa, kita dapati suspek melarikan kereta mangsa jenis Mercedes E200.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata,” katanya.

Wanita warga asing diselamatkan

Tiga pekerja pusat hiburan warga tempatan antara ditahan, sementara seorang gadis GRO bawah umur (kanan) antara yang diselamatkan Unit ATIPSOM.
Tiga pekerja pusat hiburan warga tempatan antara ditahan, sementara seorang gadis GRO bawah umur (kanan) antara yang diselamatkan Unit ATIPSOM.
MALIM - Seramai 51 wanita warga asing yang dijadikan Pelayan Pelanggan (GRO) berjaya diselamatkan polis dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di Malim Jaya, malam kelmarin.

Kesemua wanita berusi 16 hingga 34 tahun dari Vietnam, China dan Thailand itu diselamatkan sepasukan polis dari Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dari Bukit Aman.

Operasi diketuai Deputi Superintendan Polis ATIPSOM (D7c), Deputi Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff bermula 11.30 malam itu disertai 13 pegawai dan 25 anggota yang dibantu seorang pegawai dan 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Kamal Khan berkata, pihaknya melakukan serbuan terhadap dua premis bertentangan dan pemeriksaan dilakukan kira-kira 120 orang termasuk pelanggan dalam operasi selama tiga jam.

“Seramai 5 wanita dari Thailand berusia 18 hingga 34 tahun berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang di sebuah pusat hiburan sementara seorang juruwang wanita dari Indonesia ditahan bagi membantu siasatan.

“Sebuah lagi pusat hiburan kami serbu dan berjaya menyelamatkan GRO berusia 16 hingga 35 tahun dari Vietnam seramai 40 orang dan China (6),” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, semalam.

Kamal Khan berkata, dua wanita yang digelar 'Mummy' berusia 30 hingga 40 tahun yang bertindak menguruskan ‘anak-anak’ juga ditahan di pusat hiburan dua tingkat berkenaan.

Pemandu traktor didakwa ceroboh


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2014


SEREMBAN – Seorang pemandu traktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan melakukan pencerobohan rumah dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki pada 28 Jun lalu.

Tertuduh, Lim Yoa Fatt, 25, didakwa telah menceroboh rumah beralamat 1870, Jalan Kerapu 9, Taman Permai 3 dan menyebabkan kecederaan kepada Siow Meng Ching, 19, antara 3 petang hingga 11.19 malam, pada 28 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 452 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Pengajar AADK didenda cederakan isteri


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Julai 2014


SEREMBAN – Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau enam bulan penjara ke atas seorang tenaga pengajar di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang kerana mencederakan isterinya, tahun lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Albaari Ghazali, 32, selepas dia mengaku bersalah di mahkamah, semalam.

Mohd Albaari dituduh dengan sengaja mencederakan isterinya, Malina Ismail, 34, di sebuah rumah di Sri Palma Villa, Mantin kira-kira 7.10 petang, pada 2 Mei tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, ketika mangsa berada di rumah, dia telah dipukul oleh tertuduh di bahagian muka, selain ditendang belakang badan.

Mangsa yang dalam proses penceraian dengan tertuduh telah mengalami lebam di pipi kiri dan cedera di belakang badan. Kejadian ini berpunca daripada keengganan mangsa menandatangani surat tukar hak milik kedai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zainudin.

Pemuda maut tercampak atas cermin kereta

Mangsa maut selepas tercampak atas cermin kereta.
Mangsa maut selepas tercampak atas cermin kereta.
TANJUNG BIDARA - Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak atas cermin sebuah kereta dalam kemalangan di dalam kawasan Kem Terendak, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, motosikal dinaiki mangsa, Santa Anak Bantin, 23, bertembung sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta, Sabariah Ibrahim, 28, bersama dua kanak-kanak, Muhammad Aniq Naqiuddin Mohd Mazlan, 6, dan Muhammad Adib Qusyairi Mohd Mazlan, 3, hanya cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan di hadapannya, namun terbabas ke laluan kereta yang dipandu Sabariah dari arah pos pengawal Sungai Udang.

Menurutnya, pemandu kereta itu cuba mengelak motosikal mangsa tetapi gagal menyebabkan berlaku pelanggaran dan mangsa tercampak ke atas cermin hadapan kereta terbabit.

“Sepasukan anggota Jabatan Pertahan Awam (JPAM) serta bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat dan Masjid Tanah telah bergegas ke tempat kejadian bagi membantu. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke rumah mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Ladang babi usang, menjijikkan

Beberapa kandang babi kelihatan cukup usang, selain mengundang bau kurang menyenangkan.
Beberapa kandang babi kelihatan cukup usang, selain mengundang bau kurang menyenangkan.
MASJID TANAH – Masih wujud ladang penternakan babi yang gagal mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri biarpun pemantauan dilakukan secara kerap pihak berwajib.

Tinjauan di pusat penternakan di Paya Mengkuang, semalam jelas menunjukkan kandang yang menempatkan hampir beribu ekor babi kelihatan begitu usang selain kolam kumbahan menjijikkan.

Tidak hairanlah apabila penduduk sekitar seringkali merungut berlakunya pencemaran cukup teruk khususnya di Sungai Tuang, selain terpaksa menghidu bau busuk gara-gara sikap penternak yang lebih mementingkan keuntungan.

Bagaimanapun, jabatan terlibat sudah menetapkan hanya 48,300 populasi babi dibenarkan diternak yang difahamkan untuk memenuhi pasaran di Melaka, Lembah Klang dan Singapura.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Azlan Enjah berkata, pihaknya kerap melakukan pemantauan sebagai memastikan bilangan babi tidak melebihi populasi dihadkan.

Menurutnya, menerusi Enakmen Baharu Penternakan Babi yang dijangka akan diwartakan pada tahun depan membolehkan tindakan tegas diambil terhadap penternak yang masih berdegil mematuhi syarat.

“Kita akan perbetulkan sebab sebelum ini tiada satu undang-undang yang kukuh, agak sukar untuk laksanakan penguatkuasaan.

“Saya harap undang-undang diluluskan kerajaan akan dapat dilaksanakan terutamanya kepada ladang-ladang tidak ikut spesifikasi, kita tidak beri lesen dan ladang akhirnya akan diarah tutup,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini jabatan tidak memberikan lesen secara rasmi tetapi penternakan hanya ditetapkan di Paya Mengkuang menerusi pengawasan dan pengetahuan pihak jabatan.

Padah menunggang sambil berbual telefon

Anggota perubatan membantu membalut kesan kecederaan parah mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Parit Buntar.
Anggota perubatan membantu membalut kesan kecederaan parah mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Parit Buntar.
PARIT BUNTAR - Padah menunggang motosikal sambil berbual telefon, seorang lelaki patah kaki kanan akibat merempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Batu 3, Parit Kasa, Jalan Sempadan, di sini, semalam.

Menyedihkan, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, sebahagian kaki kanan mangsa yang berusia lingkungan 20-an hancur.

Pemandu kereta, Abdul Rahman Bahari, 65, berkata, dia bersama lima ahli keluarga lain termasuk seorang bayi sedang dalam perjalanan ke Sungai Bakau dari pekan Pusat Bandar.

Abdul Rahman berkata setibanya di lokasi kejadian, dia melihat kelibat seorang penunggang motosikal yang menunggang secara melulusebelum memasuki  laluan bertentangan.

“Saya nampak dia sedang bercakap menggunakan telefon bimbit tanpa menumpukan perhatian pada jalan raya.

“Saya membunyikan hon pada jarak 20 meter bagi memberi amaran kepada mangsa yang sudah memasuki jalan bertentangan.

“Namun, mangsa tidak menghiraukan bunyi hon dan akhirnya pertembungan kuat berlaku,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Rahman berkata, kesan pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak, manakala motosikal jenis Suzuki ditunggang mangsa remuk teruk di bahagian hadapan.

Menurutnya, kemalangan itu turut menyebabkan bahagian hadapan keretanya remuk, manakala rim tayar hadapan kanan kereta hancur.

“Selepas bertembung, saya meneliti keadaan ahli keluarga dan bersyukur kesemuanya selamat serta tidak mengalami kecederaan.

“Saya segera meneliti keadaan mangsa dan terkejut melihat keadaan kaki kanan mangsa yang hancur dan parah.

“Mujur dengan bantuan anggota Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK) yang hadir, ambulans segera dipanggil untuk membawa mangsa ke Hospital Parit Buntar,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PSKK berkata, pertembungan sebuah motosikal dan sebuah kereta itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di lokasi kemalangan.

“Anggota PSKK yang menerima maklumat kemalangan segera menghubungi ambulans untuk rawatan kecemasan bagi mangsa penunggang motosikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

Maut dihempap kayu bergergaji

Timbunan kayu bergergaji bertaburan di atas jalan selepas lori yang membawa kayu itu terbalik dalam satu kejadian kemalangan di Bidor.
Timbunan kayu bergergaji bertaburan di atas jalan selepas lori yang membawa kayu itu terbalik dalam satu kejadian kemalangan di Bidor.
BIDOR - Seorang penunggang basikal maut dihempap timbunan kayu bergergaji selepas lori yang membawa kayu itu terbalik dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 65.7, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Pekan Bidor, kira-kira jam 7.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa dikenali Tan Lee Meng, 64, dari Jalan Panggung, di sini, maut di tempat kejadian.

Katanya, kejadian berlaku apabila kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Tapah menuju ke Sungkai.

Menurutnya, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun dari Chemor, tiba-tiba terbalik selepas melalui satu selekoh.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang sedang menunggang basikal dihempap dengan muatan kayu bergergaji tersebut.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tertimbus dalam timbunan kayu bergergaji tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, orang ramai yang berada di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa dari timbunan kayu, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Som Sak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut. Dalam masa sama pihak polis mengambil keterangan dan membuat ujian air kencing ke atas pemandu lori bagi membantu siasatan.

“Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pecah kereta ketika tarawih

Salah sebuah kereta yang dipecahkan penjenayah.
Salah sebuah kereta yang dipecahkan penjenayah.
IPOH -  Bulan Ramadan bukan halangan untuk penjenayah menghentikan kegiatan mereka, sebaliknya ia menjadi ‘sumber’ bagi meneruskan aktiviti tidak bermoral itu.

Ketika jemaah sedang asyik menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah, dekat sini, tiga kereta yang diletak berhampiran masjid dipecahkan.

Salah seorang mangsa, Jannatul Firdaus Azman, 21, berkata, kejadian hanya disedari selepas selesai menunaikan solat sunat tarawih kira-kira jam 9.40 malam kelmarin.

“Sesudah solat, saya ke kereta dan terkejut tengok cermin tingkap belakang sebelah kanan pecah dan beg saya turut hilang.

“Tak sangka pula ada juga kes pecah masa bulan Ramadan ni, dekat masjid pula tu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, laporan polis sudah pun dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah pada malam kejadian.

“Mujurlah tiada barang berharga yang hilang. Beg yang diambil penjenayah itu pun kosong.

“Apa yang berlaku mungkin ada hikmah dan saya berharap langkah-langkah keselamatan diambil oleh pihak berkaitan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Mohd Azali Hassan berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu memandangkan ia berlaku pada bulan Ramadan dan ketika jemaah sedang menunaikan solat sunat tarawih.

“Kita juga sudah menasihatkan jemaah agar tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kereta masing-masing kerana kita tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kejadian yang berlaku.

“Kita mohon rondaan dilpolis bagi mengelak insiden sama berulang,” katanya.

Bas terbalik, tujuh penumpang selamat

Keadaan bas yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 234, Lebuhraya Utara Selatan, petang kelmarin
Keadaan bas yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 234, Lebuhraya Utara Selatan, petang kelmarin
KUALA KANGSAR - Tujuh penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 234, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, bas yang dalam perjalanan dari Kamunting ke Kuala Lumpur itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan bas dua tingkat itu masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, keadaan bas yang terbalik mengakibatkan lorong kiri laluan terhalang dan berlaku kesesakan.

“Setibanya di tempat kejadian, kita terus memeriksa keadaan dalam bas bagi memastikan tiada mangsa yang tertinggal atau tersepit, Alhamdulillah semuanya penumpang bas termasuk pemandu kereta selamat tanpa sebarang kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang berada di kawasan itu terkejut apabila melihat bas tersebut terbalik dan menutup keseluruhan laluan kiri lebuh raya.

“Jika dilihatkan pada keadaan bas itu, saya bimbang mungkin ada penumpang yang maut atau cedera parah tetapi saya lega apabila mendengar tiada kecederaan serius dalam kemalangan itu.

“Begitu pun, kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk sepanjang beberapa kilometer kerana bas yang melintang di atas jalan itu menutup satu laluan,” katanya.

Maut ditimpa jentera turap jalan

Mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat
Mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat
KUALA KURAU -  Seorang pemandu jentera penurap jalan (steam roll) terbunuh selepas jentera itu terbalik ke dalam sebuah parit dan menghempapnya ketika sedang menyiapkan projek menaik taraf jalan ban di Kampung Parit Sungai Burong, di sini,  semalam.

Mangsa kejadian, A Peter Lues, 50, yang berasal dari Taman Seri Kerian, Bagan Serai meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Saksi kejadian, S Vinod,25, berkata, kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi apabila jentera yang dipandu mangsa terbalik dan terhumban ke dalam parit berhampiran ketika sedang menjalankan kerja menggilis batu kerikil jalan.

Menurutnya, mangsa yang mula bekerja di lokasi kejadian sejak kelmarin difahamkan sedang memandu jentera itu sebelum terhumban akibat keadaan pinggiran jalan ban yang lembut menyebabkan tanah runtuh.

“Berikutan itu, mangsa terhumban ke dalam parit berserta jentera dipandu sebelum ditimpa jentera itu ketika cuba bangun untuk menyelamatkan diri.

“Kejadian itu disedari beberapa pekerja kontrak yang membantu mengeluarkan mangsa dari bawah jentera itu sebelum membawanya ke Hospital Parit Buntar dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK) berkata, kejadian itu disedari penduduk kampung setelah dimaklumkan beberapa pekerja kontrak di kawasan berdekatan.

Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa pada mulanya menemui kesukaran, namun berjaya dilaksanakan hasil kerjasama penduduk kampung dan anggota PSKK.

“Mangsa didapati sudah meninggal dunia, dipercayai lemas di dalam parit berikutan ditimpa jentera penurap jalan yang berat.

“Selain itu, terdapat beberapa kecederaan parah dikesan di bahagian kepala dan badan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

“Punca sebenar kematian mangsa belum dikenal pasti kerana polis masih menunggu laporan bedah siasat.

“Kita yakin kes tiada kaitan unsur jenayah,” katanya.

Anak guru nyaris dibawa lari

Anak guru nyaris dibawa lari

TEMERLOH - Seorang guru sebuah sekolah menengah di sini membuat laporan polis apabila dimaklumkan seorang lelaki bermotosikal cuba membawa pulang anaknya dari pusat asuhan tunas Islam (Pasti) Taman Temerloh Makmur, pagi kelmarin.

18 ladang babi dikompaun ingkar pengurusan biokimia


BERNAMA | .
BUTTERWORTH: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengenakan kompaun kepada pengusaha 18 ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor kerana melanggar amalan pengurusan sisa kumbahan yang ditetapkan.
  
Setiausahanya, Rozali Mahamud berkata pemeriksaan MPSP mendapati 18 daripada 78 ladang babi di kawasan itu tidak mencapai tahap permintaan oksigen biokimia (BOD) ketika melepaskan air kumbahan ke sungai.
  
"Sebanyak 18 ladang babi yang kami periksa pada Selasa telah melebihi ukuran BOD yang ditetapkan iaitu sebanyak 50.
  
"MPSP telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 kepada setiap pengusaha berkenaan dan jika mereka mengulangi kesalahan itu, permohonan pembaharuan lesen untuk beroperasi pada masa depan tidak akan diluluskan," katanya di sini hari ini.
  
Beliau berkata air kumbahan yang dilepaskan dan tidak mematuhi BOD boleh menyebabkan pelbagai jangkitan penyakit, termasuk virus JE.
  
"Pemeriksaan di ladang mendapati ia dalam keadaan bersih tetapi air sisa yang dilepaskan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan, dan perkara ini harus diatasi segera," katanya.
  
Rozali juga berkata pematuhan terhadap BOD oleh pemilik ladang babi amat penting kerana di Kampung Selamat, terdapat lebih 90,000 ekor babi yang sedang diternak.
  
"MPSP mendapati kegagalan mematuhi BOD oleh pengusaha ladang merupakan masalah berulang kerana mereka menggunakan sistem pengurusan sisa kumbahan kaedah lama," katanya. - Bernama

Cemburu buta bawa mati


Sibu: Angkara cemburu buta, seorang pemuda 22 tahun bertindak kejam apabila mengelar leher isteri berusia 52 tahun menggunakan parang di sebuah rumah flat di Sibu Jaya di sini, petang tadi.
Tragedi berdarah berlaku pada 1 petang itu dikatakan berpunca daripada suami mangsa tidak dapat menahan marah selepas bertengkar dengan wanita terbabit. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Zulkifli Hassan berkata, kemuncak pertengkaran itu, lelaki terbabit memijak badan wanita terbabit dan sebelum mengelar lehernya.
Foto
MAYAT mangsa terlentang di kaki lima flat di Sibu Jaya, petang tadi

"Mangsa keluar dari bilik untuk menyelamatkan diri namun rebah di kaki lima flat dan meninggal di situ.

"Suspek sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya 

Difahamkan, pasangan itu berkahwin dua tahun lalu dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun. 
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Guru Pasti selamatkan pelajar daripada diculik


KHAIRIL ABDUL RAHIM | .
TEMERLOH: Serentak dengan ketangkasan seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) menyelamatkan seorang pelajarnya daripada menjadi mangsa culik kelmarin, Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh (DPPKT) melahirkan rasa syukur di atas komitmen para guru di dalam mendidik, mengasuh dan menjaga keselamatan para pelajar.

Ketuanya, Ustaz Zaharim Ishak dalam kenyataan medianya menyebut, Pasti merupakan salah satu aktiviti pendidikan dan kebajikan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia sememangnya mengutamakan aspek keselamatan di Pasti.

Jelasnya, setiap pelajar yang pulang akan dipastikan oleh guru bertugas dijemput oleh ibu bapa atau wakil yang disahkan oleh keluarga.

Zaharim merujuk kepada isu laporan polis berhubung cubaan membawa pulang murid Pasti oleh individu yang tidak dikenali kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi apabila seorang lelaki menunggang motosikal datang dan cuba membawa pulang anak seorang guru di sebuah Pasti di Temerloh Makmur dekat sini, kononnya diminta oleh keluarganya.

Bagaimanapun tindakan pantas guru pengasuh Pasti berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa, iaitu seorang guru sekolah menengah di sini yang berusia 29 tahun, berjaya menyelamatkan cubaan melarikan kanak-kanak terbabit.

Guru yang enggan identitinya didedahkan itu, bergegas ke Pasti terbabit selepas dimaklumkan guru pengasuhnya dan segera  membuat laporan polis.

Isu tersebut menjadi bualan hangat dalam aplikasi Whatsapp dan tersebar secara meluas di sekitar daerah ini.

Dalam pada itu Zaharim mengucapkan tahniah dan syabas di atas tindakan bijak lagi tepat oleh guru terbabit kerana segera menghubungi ibu murid untuk pengesahan.

“Pihak DPPKT juga mengucapkan terima kasih kepada ibu murid tersebut kerana segera membuat laporan polis agar tindakan susulan dapat diambil.

“Oleh itu, saya bagi pihak DPPKT mengharapkan isu ini dapat dibincang secara bertanggungjawab dan tidak membawa kepada fitnah.

“Justeru, DPPKT menggesa semua pihak terutama pihak kerajaan agar meningkatkan usaha menjaga keselamatan rakyat amnya dan pelajar sekolah dan pra-persekolahan khasnya,” jelas beliau dalam kenyataan medianya. – HARAKAHDAILY 4/7/2014

kemalangan lagi...

Helmy Boboy's photo.

FBI menawarkan RM16 juta untuk kepala Zulkifli @ Marwan

KUALA LUMPUR: Pengganas antarabangsa yang juga rakyat Malaysia, Zulkifli Abd Hir masih belum meninggal dunia.

Dia masih hidup dan menjadi individu paling dikehendaki di dunia dan pengganas yang sukar ditangkap.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) menawarkan RM16 juta sebagai bayaran untuk mendapatkan kepala Zulkifli dan agensi keselamatan itu meningkatkan operasi mereka dalam menjejaki individu berbahaya ini, terutamanya selepas melihat insiden keganasan di Syria dan Iraq.

Mereka khuatir dengan kebangkitan keganasan berikutan seruan Abu Bakar Baghdadi - kini dianggap sebagai pengganas paling berbahaya di dunia - kepada kumpulan radikal Islam di seluruh dunia untuk bangkit dan berjuang demi negara Islam.

Agensi keselamatan serantau berkata mereka kini sedang meneliti semula pergerakan Zulkifli berikutan insiden di Timur Tengah dan kesannya terhadap Asia Tenggara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan mengesahkan Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Marwan masih hidup, walaupun laporan terdahulu mengatakan beliau terbunuh dalam serangan udara pada 2 Februari 2012.

"Kami menyedari laporan yang mengatakan dia terbunuh beberapa tahun lalu. Itu tidak benar. Kami percaya dia masih bersembunyi di selatan Filipina," katanya pada Khamis.

Ayob berkata, pasukannya kini sedang mengesan Marwan dan memantau individu yang rapat dengannya.

Ketika ditanya sama ada Zulkifli mungkin terlibat dalam gerakan kumpulan militan di negara ini dan menghantar pejuang ke Syria dan Iraq, beliau berkata, polis tidak menolak sebarang kemungkinan.

Difahamkan Zulkifli, anak jati Muar, Johor mempunyai seorang isteri di Malaysia tetapi berkahwin dengan tiga warga Filipina sepanjang tempoh persembunyiannya.

Bekas jurutera berusia 48 tahun yang mendapat latihan di AS turut dikaitkan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang kini aktif di Filipina.

Beliau juga merupakan pakar dalam membuat bom.
Sumber perisikan berkata, ketua Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) itu dianggap sebagai pembekal bom kepada kumpulan radikal dan juga seorang pelatih kepada ahli kumpulan tersebut.

"Oleh itu penangkapannya amat penting dalam usaha kita memerangi keganasan. Dia adalah sebahagian daripada kumpulan Jemaah Islamiyah yang bertanggungjawab dalam serangan bom di Bali yang menyebabkan 200 orang maut," kata seorang penganalisis.

Adiknya, Rahmat Abdhir, seorang warga AS, kini ditahan di Guantanamo, berikutan penangkapannya di California kerana terlibat dalam konspirasi menyediakan bekalan sokongan kepada pengganas.

Zulkifli, sama seperti ahli KMM yang lain, dilaporkan berlepas ke Afghanistan pada lewat 1980-an untuk menyertai misi menentang Rusia.
Sekembalinya ke Malaysia, Zulkifli menubuhkan KMM bertujuan untuk membentuk negara Islam serantau melalui keganasan.

Ahli KMM dikaitkan dengan pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Dr Joe Fernandez pada 2002, penggeboman di sebuah gereja dan sebuah kuil Hindu serta serangan di balai polis Guar Chempedak pada 4 Februari 2001.

Mereka yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri termasuk pemimpin PAS di peringkat akar umbi iaitu Zainon Ismail, Noorashid Sakid, Ahmad Tajuddin dan Nik Adli Nik Aziz, anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan.

Berang ditegur, pemandu lori lepaskan tembakan ke arah suami isteri


04/07/2014 3:06pm

MIRI - Sepasang suami isteri berdepan situasi menakutkan apabila seorang pemandu lori sampah melepaskan satu das tembakan ke arah mereka selepas berang kerana ditegur memandu dalam keadaan berbahaya.
Dalam kejadian pada kira-kira 3,30 petang semalam di Jalan Kubur, Sungai Rait Bakam di sini, suami isteri itu bernasib baik kerana tempakan itu hanya terkena cermin kereta bahagian pemandu.
Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, suspek dipercayai menggunakan senapang angin buatan sendiri dan menggunakan guli sebagai peluru.
"Polis sedang memburu suspek dan berdasarkan gambaran mangsa, suspek berumur 20-an berambut panjang hingga bahu, bertatu di tangan dan lengan,” katanya.
Katanya, berdasarkan laporan polis dibuat pasangan itu pada pukul 5.22 petang semalam, pengadu yang juga suami berumur 35 tahun mendakwa sebelum insiden tembakan berlaku suspek memandu lori dipercayai dalam keadaan mabuk dan laju sehingga hampir melanggar kereta pengadu dan menyebabkan kedua-dua kenderaan terhenti. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz36UNwMyGr 
Hakcipta terpelihara 

Ladang babi positif JE akan dikuarantin



GEORGE TOWN 4 Julai - Ladang babi di negeri ini yang menunjukkan keputusan positif virus Ensefalitis Jepun (JE) terhadap sampel darah haiwan itu akan dikuarantin, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin.
Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang akan mengeluarkan satu pewartaan penyakit seperti termaktub dalam Ordinan Haiwan 1953 dan Perintah Haiwan (Kawalan Penyakit Viral Ensephalitis) 1999 yang akan diumum Ketua Menteri Lim Guan Eng sekiranya ujian sampel darah itu positif JE.
"Kerajaan negeri memandang serius terhadap pendedahan kes virus Ensefalitis Jepun (JE) yang melanda negara. Kami akan mengambil langkah pencegahan perlu bagi mencegah virus ini daripada tersebar.
"Kerajaan negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengatasi masalah ini dan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran, Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata kawalan vektor nyamuk telah dimulakan sejak pendedahan kes JE itu dan ia akan diteruskan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140704/dn_34/Ladang-babi-positif-JE-akan-dikuarantin#ixzz36UNTyp9X
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pecah amanah RM1.3 juta


Ipoh: Seorang wanita ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes pecah amanah membabitkan penipuan kad tambah nilai telefon bernilai RM1.3 juta.
Wanita yang berusia 33 tahun itu, yang beralamat di Taman Ipoh Timur, di sini, dipercayai ‎mengambil stok tanpa kebenaran daripada syarikatnya bekerja dengan mengubah suai invois asal. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengarah pengurusan sebuah syarikat pengedaran telekomunikasi yang mendapati‎ kekeliruan pada stok tambah nilai daripada dalaman syarikat berdasarkan penelitian laporan pada bulan Januari hingga Mac lalu. 

"Suspek disyaki mengubah suai invois berjumlah lebih kurang RM1.3 juta di mana pekerja wanita itu mengeluarkan stok berkenaan dengan memberikan arahan kepada kakitangan penghantaran tanpa pengetahuan penjaga stor.
Foto
SUSPEk dipercayai terbabit dalam kes pecah amanah membabitkan penipuan kad tambah nilai telefon bernilai RM1.3 juta. FOTO Muhaizan Yahya

"Hasil daripada siasatan yang dijalankan, pihak kami bertindak menahan suspek petan‎g semalam dan mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Sesyen Ipoh sebentar tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Pengawal keselamatan dipenjara, denda cederakan pekerja kilang



KUALA LUMPUR 4 Julai - Seorang pengawal keselamatan dipenjara enam hari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pekerja kilang, minggu lepas.
Majistret Saifulakmal Said menjatuhi hukuman itu ke atas Mohd Salehuddin Abd Raoh, 25, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap, Selasa lepas.
Mohd. Salehuddin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebatang besi terhadap Shahrul Nizam Shahimin, 29, di satu alamat di Jalan Taman Sri Sentosa, Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama dekat sini pada 9 malam, 28 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya. -BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140704/ma_07/Pengawal-keselamatan-dipenjara-denda-cederakan-pekerja-kilang#ixzz36UN0mcOG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

10 minit kejar bot pancung


Johor Bahru: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terdiri daripada 19 lelaki dan 11 perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki ditahan selepas bot pancung dinaiki mereka dipintas oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 2 kira-kira satu batu nautika dari Pantai Pontian, awal pagi tadi.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, turut ditahan seorang tekong dan dua pembantunya warga Indonesia. 
"Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, dua bot ronda PPM Wilayah 2 sedang menjalankan rondaan Ops Cantas Perairan telah mengesan bot yang dinaiki pendatang sedang menuju ke perairan Indonesia. 

"Bot ronda berkenaan mengejar kira-kira 10 minit sebelum bot pancung PATI berkenaan berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pancung itu membawa warga Indonesia tanpa sebarang permit serta dokumen perjalanan yang sah.
Foto
ANTARA PATI yang ditahan.

"Mereka cuba keluar dari Malaysia melalui jalan keluar yang tidak diwartakan. Tekong dan dua pembantunya masing-masing berusia antara 24 hingga 39 tahun telah melakukan kesalahan di bawah Sek 26A Atipsom 2007 manakala yang lain akan didakwa dibawah Seksyen 5 (2) dan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Dua suspek jual pasport ditahan


Oleh Siti A'isyah Sukaimi
Putrajaya : Dua lelaki warga Malaysia masing-masing berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket menjual pasport Malaysia kepada warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Aloyah berkata, dua individu terbabit ditahan dalam operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar Puchong antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam tadi.


Menurutnya, seorang daripada individu terbabit ditahan ketika mereka sedang cuba memberi rasuah untuk tujuan mendapatkan pasport Malaysia bagi kegunaan warga asing.

"Turut dirampas wang tunai hampir RM70,000 dipercayai bayaran untuk pasport Malaysia yang dibekalkan.


"Berikutan itu, kes diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/04

Empat anggota militan Sri Lanka ditahan di ibu negara, Selangor - KPN


2014/07/04 - 15:56:44 PM
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki warga Sri Lanka, dipercayai anggota kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka dalam serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keempat-empat mereka ditahan kerana disyaki anggota kanan LTTE yang terbabit dalam melancarkan serangan di Sri Lanka serta merancang untuk mengaktifkan LTTE dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka.

"Suspek pertama yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) adalah pakar pembuat bahan letupan; suspek kedua terbabit dalam cubaan membunuh bekas Presiden Sri Lanka, Chandirka Kumaratunga pada 18 Disember 1999.

"Suspek ketiga pula bersubahat dengan seorang warganegara Sri Lanka yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman pada 14 Mei lalu kerana merancang untuk melancarkan serangan ke atas pejabat konsulat asing di Chennai dan Banglore, India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, suspek yang sama juga terbabit dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan, pas pelajar warga asing dan aktiviti penyuludupan manusia.

"Suspek keempat pula terbabit dalam pengumpulan dan penyaluran maklumat kepada LTTE untuk tujuan merancang serangan," katanya.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas dalam operasi berkenaan adalah sejumlah besar pasport palsu pelbagai negara dan cop rasmi palsu Jabatan Imigresen Malaysia dan kedutaan-kedutaan asing.
"Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Suspek kes bunuh Timbalan KP Kastam ditahan

KUALA LUMPUR 2 Julai - Suspek utama kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim tahun lalu akhirnya berjaya diberkas polis di sebuah rumah di Ampang kira-kira pukul 5 pagi ini.
Menurut sumber, polis turut menahan tiga lagi rakan suspek dalam serbuan lain di Batu Caves.
"Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.15 pagi 26 April lalu, Allahyarham Shaharuddin ditembak mati ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil untuk ke pejabatnya.
Mangsa yang duduk di sebelah pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak dekat oleh seorang daripada dua lelaki menaiki motosikal di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, Putrajaya.
Kejadian berlaku ketika kereta mangsa bersama pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki itu tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140703/je_12/Suspek-kes-bunuh-Timbalan-KP-Kastam-ditahan#ixzz36MBmO7nc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga emas temui ajal sebelum sempat solat tarawih


MIRI 4 Julai - Seperti umat Islam lain, seorang warga emas, Hamidi Wasli, 64, tidak mahu ketinggalan mendapatkan keberkatan Ramadan dengan menunaikan solat tarawih di Masjid al-Taqwa yang terletak berhampiran rumahnya di Kampung Wireless di sini.
Namun ibadat itu hanya sempat dilakukan selama tiga hari apabila dia menemui ajal dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke masjid untuk bertarawih pada pukul 7.20 malam tadi.
Mangsa maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux di Jalan Permaisuri di sini, ketika sedang berjalan kaki ke Masjid al-Taqwa di Jalan Kipas yang mengambil masa lima minit perjalanan dari Kampung Wireless.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, mangsa berasal dari Balingian, Mukah, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Katanya, lelaki malang itu dilanggar oleh 4WD yang dipercayai dipandu laju dari arah pusat bandar menuju ke Krokop di sini.
“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter di tengah jalan sebelum sebuah kereta Proton Wira dari arah belakang yang dikatakan tidak sempat berhenti menggilis bahagian kepalanya.
“Pemandu Toyota Hilux yang memecut laju meninggalkan lokasi kejadian selepas merempuh mangsa berjaya dikepung oleh orang awam yang melihat insiden itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, polis kemudian menahan pemandu Toyota Hilux dan Proton Wira untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140704/je_02/Warga-emas-temui-ajal-sebelum-sempat-solat-tarawih#ixzz36TcdbxYj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

100 penduduk tinggal sehelai sepinggang


ANGGOTA bomba dibantu penduduk kampung memadam dan mengawal api daripada merebak dalam kebakaran di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, semalam. - BERNAMA
KOTA KINABALU 3 Julai - Kira-kira 100 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka diami sejak 15 tahun lalu di Kampung Pondo, Pulau Gaya, musnah dalam kebakaran, dekat sini hari ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu dipercayai memusnahkan 30 buah rumah perkampungan atas air berkenaan.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohammad Affendy K. Ramin berkata, seramai 18 anggota termasuk pegawai telah bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki bot Polis Marin.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba, lebih 20 buah rumah telah hangus dijilat api kerana dibina rapat selain diperbuat daripada kayu.
"Api berjaya dikawal pukul 1.37 petang sebelum operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 2.33 petang," katanya.
Tambah Mohammad Affendy, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.
Perkampungan di Pulau Gaya terletak kira-kira satu kilometer dari bandaraya ini dan mengambil masa 15 minit perjalanan menggunakan bot laju.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Pulau Gaya, Kansi Abdullah ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku sebaik sahaja masyarakat pulau tersebut selesai menunaikan solat zuhur.
Katanya, terdapat hampir lima bunyi letupan dipercayai dari tong gas sepanjang kebakaran tersebut berlaku.
"Ada di antara penduduk bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri dan selain sebahagian dari mereka cuba memadamkan kebakaran," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140704/dn_25/100-penduduk-tinggal-sehelai-sepinggang#ixzz36Tby11tv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pekerja stesen minyak jumpa janin dalam tandas

KUALA LANGAT 4 Julai - Seorang pekerja sebuah stesen minyak di Bandar Sungai Emas di sini terkejut apabila menemui janin bayi yang telah hancur ketika membersihkan tandas wanita di situ.
Pekerja terbabit yang enggan dikenali berkata, tandas tersebut tersumbat dua hari lalu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menutupnya buat sementara waktu.
“Hari ini pada kira-kira pukul 10.30 pagi, saya cuba membersihkan tandas itu kerana menyangka ada tuala wanita tersangkut dalam saluran air tandas tersebut.
“Saya cuba menguis dengan kayu dan terkejut apabila ternampak objek seperti tangan dan segera memberitahu pihak pengurusan sebelum mereka menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd. Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.40 petang dan tiba di tempat kejadian 18 minit kemudian.
“Janin yang dipercayai berusia tujuh bulan itu sudah hancur dan hanya tinggal cebisan tangan dan kaki ketika di keluarkan daripada saluran tersebut.
“Janin itu dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut," ujarnya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140704/je_03/Pekerja-stesen-minyak-jumpa-janin-dalam-tandas#ixzz36TbcFNYI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemandu maut kereta bergesel lori


  • Keadaan kereta yang dipandu mangsa remuk teruk. Foto Ehsan Jabatan Bomba dan penyelamat MalaysiaKeadaan kereta yang dipandu mangsa remuk teruk. Foto Ehsan Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia

KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandu terbabas sebelum bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 151, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Lanchang, Temerloh, tengah hari kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu, Mohamad Zulkifli Mahadi, 19, dari Kampung Bongsu, Lanchang meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh akibat kecederaan parah dialami.

Manakala penumpang kereta, Suaini Mohd Sidek, 53, yang cedera parah turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, lori yang membawa muatan batu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Temerloh.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori terbabit mendakwa ternampak sebuah kereta dari arah bertentangan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluannya.

“Pemandu lori gagal mengelak menyebabkan kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa bergesel dengan lori menyebabkan bahagian kanan kereta tersebut remuk.

“Akibat kejadian, pemandu dan penumpang kereta terbabit mengalami kecederaan parah dan tersepit dalam kenderaan dinaiki,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke HoSHAS bagaimanapun pemandunya dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 44.6 Lebuh Raya Karak–Kuala Lumpur dekat Bentong, awal pagi kelmarin.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa berketurunan Orang Asli, Razak a/k Deris, 19, dari Kampung Orang Asli Tun Razak, Kuala Kubur Baru disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Lori terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Bentong ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di lokasi, lori terbabit dipandu agak perlahan kerana mendaki laluan berbukit sebelum pemandunya menyedari berlaku hentakan dari arah belakang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS110 dari arah sama dipercayai gagal mengelak dan terlanggar bahagian belakang lori tersebut.

“Mangsa yang bekerja sebagai pekebun sayur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, kedua-dua kemalangan maut itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gempa bumi kuat landa wilayah Kepulauan Kermadec


KUALA LUMPUR 4 Julai - Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda wilayah Kepulauan Kermadec, New Zealand pada 3.50 pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berpusat di 1,089 kilometer timur laut dari Tauranga, New Zealand dan 7,956 kilometer tenggara dari Semporna, Sabah.
Tiada ancaman tsunami dilaporkan. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140704/dn_27/Gempa-bumi-kuat-landa-wilayah-Kepulauan-Kermadec#ixzz36Ta6fxLt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasangan kahwin segera nikah semula


2014/07/04 - 00:06:22
Alor Setar: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mengesahkan sebahagian daripada 68 pasangan yang mendakwa bernikah melalui khidmat sindiket nikah ekspres di Kuala Kedah, sebelum itu sudah melangsungkan pernikahan di negara jiran.

Perkara itu terbongkar susulan siasatan lanjut JAIK ke atas 20 daripada pasangan terbabit yang dipanggil untuk diambil keterangan setakat ini, termasuk yang berada di luar Kedah.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JAIK, Syeikh Ahmad Faisol Omar, berkata majoriti daripada 20 pasangan terbabit mengaku berkahwin di beberapa lokasi di negara jiran walaupun dalam surat nikah masing-masing tertera Masjid Kuala Kedah sebagai lokasi pernikahan.

Kita kesan ramai dalam kalangan mereka sebenarnya berkahwin di negara jiran, pulang ke tanah air dan mendaftar pernikahan yang kononnya dilangsungkan di sebuah masjid di Kuala Kedah. Motifnya dipercayai untuk memudahkan urusan pendaftaran nikah, selain mengelak prosedur rumit yang perlu dilalui.

Buat masa sekarang, kita sudah panggil 20 pasangan dan hasil keterangan, status nikah majoriti daripada mereka diyakini tidak sah. Justeru, kita harap baki lebih 40 lagi pasangan dapat tampil kerana ia penting kerana bukan saja menentukan status nikah, tetapi juga anak yang bakal lahir hasil hubungan itu.

Jika benar status pernikahan mereka tidak sah, mereka perlu melalui semula proses pernikahan, katanya.

BH sebelum ini melaporkan seorang imam sebuah masjid di Kuala Kedah digantung tugas sebagai jurunikah kerana disyaki dalang sindiket nikah ekspres yang dikesan aktif sejak awal tahun ini. Sindiket itu didakwa sudah menikahkan lebih 60 pasangan dengan bayaran RM3,000 setiap pasangan dan turut mengeluarkan sijil nikah palsu.
Mengenai nasib anak yang bakal dilahirkan pasangan yang tidak sah status pernikahan mereka, Ahmad Faisol, berkata anak terbabit boleh diklasifikasikan sebagai anak syubhah (meragukan).

Terjun laut rumah terbakar


2014/07/04 - 00:16:49
Kota Kinabalu: Sebaik saja melihat kepulan asap hitam dan api mula marak di rumah jiran, empat sekeluarga terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, semalam.

Asli Haris, 29, berkata mereka kemudian meminta pertolongan penduduk kampung sebelum mereka empat beranak dibawa dengan bot ke tengah laut.

Asli antara kira-kira 300 penduduk perkampungan atas air seluas 0.4 hektar di pulau itu yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran memusnahkan kira-kira 40 rumah, jam 12.30 tengah hari, semalam.

Katanya, beliau berehat di rumah bersama isteri serta dua anak sebelum tiba-tiba terdengar suasana riuh-rendah serta jeritan penduduk memaklumkan kampung mereka terbakar.

Kami panik kerana terperangkap selepas laluan keluar dari kawasan rumah sudah terbakar. Malah, api marak dengan cepat akibat angin kencang disusuli beberapa letupan dipercayai daripada tong gas menyebabkan kami tiada pilihan selain terjun ke laut.

Selain itu, ada penduduk lari bertempiaran ke arah bukit di belakang kampung, kebakaran itu berlaku dengan pantas menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barangan berharga serta dokumen penting, " katanya.

Jimmy Samat, 20-an, berkata beliau terdengar sembilan letupan kuat seperti ledakan bom sebelum membawa ibu dan bapanya menyelamatkan diri menggunakan bot.
Ketika kejadian, saya dan ibu bapa berehat di ruang tamu dan dua lagi adik perempuannya belum pulang dari sekolah. Tiba-tiba terdengar letupan kuat di luar rumah.

Saya kemudian melihat api mula marak di rumah jiran lalu membawa ibu dan bapa keluar tanpa sempat membawa dokumen penting atau barangan berharga.

Kami hanya mampu melihat rumah yang diduduki sejak 15 tahun lalu hangus, namun tetap bersyukur kerana kami tiga beranak dapat menyelamatkan diri," katanya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Afendy K Ramin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 1.23 tengah hari sebelum menghantar 12 anggota yang menggunakan dua bot Polis Marin.

Api berjaya dikawal pada jam 1.37 tengah hari. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, manakala punca sebenar kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Cebisan tangan, kaki janin dalam tandas

Cebisan tangan, kaki janin dalam tandas
Anggota forensik serta anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan janin dari saluran air dalam tandas di sebuah stesen minyak di Banting, semalam.


Banting: Satu janin yang hanya tinggal cebisan tangan dan kaki ditemui dalam saluran air sebuah tandas stesen minyak di sini, semalam.

Keadaan itu menyukarkan pihak polis mengenal pasti jantinanya, tetapi janin berkenaan dipercayai berusia tujuh bulan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil, berkata janin berkenaan ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh pencuci tandas ketika menjalankan kerja pembersihan.
Kakitangan pembersihan itu terkejut apabila melihat ada ketulan timbul di lubang saluran air tandas itu.