01/07/2014 8:50pm
TASEK GELUGOR - Tiga pelatih yang sedang menjalani hukuman di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kampung Selamat di sini dipercayai telah melarikan diri dengan mencuri sebuah motosikal milik petugas keselamatan di situ.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang tadi ketika ketiga-tiga pelatih yang berusia antara 24 hingga 30 tahun itu sedang berkumpul bersama sekumpulan pelatih lain tidak jauh dari pejabat Puspen berkenaan semasa waktu pertukaran syif petugas pusat berkenaan.
"Ketika itu waktu pertukaran syif pekerja dan terdapat sekumpulan pelatih sedang berkumpul berhampiran bangunan pejabat.
"Entah bagaimana, ketiga-tiga pelatih telah menjumpai kunci motosikal milik petugas keselamatan yang dipercayai tercicir sebelum mereka bertindak mencuri motosikal itu dan melarikan diri.
"Kebetulan pintu utama sedang terbuka kerana ketika itu waktu pertukaran syif sedang berlaku," katanya.
Jelasnya lagi, ketiga-tiga pelatih itu yang masing-masing berasal dari Kedah dan Perak itu masih bersembunyi di sekitar kawasan berkenaan.
Difahamkan, sehingga petang ini gerakan bagi mengesan ketiga-tiga pelatih itu sedang giat dijalankan di sekitar kawasan itu. - KOSMO!
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_31.htm#ixzz36ESt3esV
Hakcipta terpelihara