Search This Blog

Monday, June 30, 2014

krew penerbangan bersama pasukan khas (PASKUB) telah berlepas dari subang untuk ke pos tendrik, gua musang, kelantan bagi melakukan operasi (medevac) membawa keluar seorang pesakit lelaki yang berumur 35 tahun

Pada jam 1044h krew penerbangan bersama pasukan khas (PASKUB) telah berlepas dari subang untuk ke pos tendrik, gua musang, kelantan bagi melakukan operasi (medevac) membawa keluar seorang pesakit lelaki yang berumur 35 tahun dipercayai mengalami kecederaan patah peha kiri akibat terjatuh semasa melakukan kerja di ladang.
Anggota PASKUB bersama jururawat JAKOA telah membuat pemeriksaan awalan sebelum membawa pesakit dengan menggunakan strecher ke pesawat dan seterusnya diserahkan kepada jabatan kesihatan JAKOA Gombak



Sebuah lori tangki terbabas dan termasuk ke dalam longkang di Jalan Kangar Alor Setar

Sebuah lori tangki terbabas dan termasuk ke dalam longkang di Jalan Kangar Alor Setar berhampiran SK Behor Mali pada pukul 3.04 petang tadi. Tiada kecederaan dilaporkan. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Kuala Perlis



Guru, 150 murid hilang punca


  • Mazlan meninjau bangunan sekolah yang menempatkan bilik guru dan perpustakaan yang telah musnah dalam kejadian kebakaran, Khamis lalu.Mazlan meninjau bangunan sekolah yang menempatkan bilik guru dan perpustakaan yang telah musnah dalam kejadian kebakaran, Khamis lalu.

TAMBUN – “Kami hilang punca….” Itulah luahan Pengetua Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Ihtidaiyah, Foziah Jamaludin selepas blok bangunan yang menempatkan bilik guru dan Perpustakaan 1Malaysia musnah dalam satu kebakaran, Khamis lalu.

Beliau berkata, kebakaran itu telah menjejaskan pengajaran dan pembelajaran kepada 150 murid-murid apabila tiada bekalan elektrik akibat insiden itu.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) sudah pun membenarkan sekolah itu ditutup selama seminggu bagi memberi laluan kerja pembersihan serpihan-serpihan kaca yang meletup dalam kebakaran dilakukan untuk keselamatan murid.

“Semua peralatan seperti komputer yang ditempatkan di bilik guru dan perpustakaan musnah, lebih menyedihkan apabila segala rekod pembelajaran murid termasuk laporan prestasi mereka turut musnah sebelum sempat diberikan kepada ibu bapa selepas mereka menduduki peperiksaan baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Foziah yang menjadi pengetua sejak enam tahun lalu berkata, dia menerima panggilan dari pengerusi sekolah yang memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 7.20 malam.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di bilik guru sebelum ia merebak ke perpustakaan bersebelahan menyebabkan kesemuanya musnah dengan anggaran kerugian, mencecah RM440,000.

Beliau berkata, bangunan baharu perlu dibina semula untuk menempatkan semula enam guru sekolah terbabit.

“Apa yang diharapkan adalah pembaikan mahupun pembinaan semula dapat disegerakan berikutan semua guru-guru tiada tempat untuk mereka buat masa ni selain perlu membawa semua kerja pulang ke rumah untuk semakan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ahli  Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mazlan Abd Rahman berkata, tinjauan beliau ke kawasan kejadian mendapati bangunan terbabit perlu dibina semula berikutan keseluruhan bangunan mengalami keretakan dan musnah keseluruhannya.

“Perpustakaan 1Malaysia juga perlu dibina semula dengan kerugian melibatkan lebih RM180,000 setelah sebahagiannya musnah dengan bahan-bahan bacaan turut terbakar menyebabkan murid dan penduduk tidak dapat menggunakan perkhidmatan itu.

“Kos melibatkan harta benda membabitkan lebih RM120,000 untuk kemudahan guru dan murid selain bangunan berjumlah RM150,000. Pelbagai usaha sedang dijalankan termasuk pihak kerajaan negeri selain dari Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk meringankan beban pihak sekolah,” katanya.

SRAR Al-Ihtidaiyah turut menjalankan kutipan derma bagi membantu menyediakan peralatan sekolah untuk sementara waktu. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun 08013010066700 (Bank Islam) atas nama sekolah terbabit.

Tiga rumah hangus sekelip mata


  • Hanif melihat buku sekolahnya yang terbakar.Hanif melihat buku sekolahnya yang terbakar.

SIMPANG RENGGAM - Tiga keluarga di Blok 3, Kampung Sahari, di sini, hilang tempat berteduh apabila rumah sewa yang mereka diami terbakar, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam itu, menyebabkan lebih kurang 13 mangsa di tiga rumah di blok berkenaan tidak sempat menyelamatkan dokumen dan barang keperluan berikutan api marak  dengan cepat.

Menurut mangsa, Hanif Azmi, 16, kejadian berlaku pantas sehingga dia tidak sempat menyelamatkan kad pengenalan dan buku pelajarannya.

Jelasnya, sewaktu kejadian, dia sedang tidur di dalam bilik berdekatan dapur rumahnya.

“Saya tersedar apabila terasa kaki sangat panas dan mendapati kebakaran bermula di bahagian dapur sebelum merebak ke seluruh rumah saya dan jiran lain.

“Saya terus ke ruang tamu untuk mengejutkan mak yang sedang tidur dan hanya sempat mencapai telefon bimbit serta mengalihkan kereta dan motor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Mohd Hafiz Misbah, 31, berkata, kejadian berlaku selepas dia pulang daripada menonton bola sepak di luar.

Menurutnya, apabila tiba di rumah, dia melihat dapur rumah jirannya sudah terbakar lalu terus berlari masuk ke rumah untuk mengejutkan isteri dan anak.

“Barang yang cuba diselamatkan antaranya mesin basuh turut terbakar kerana tidak menyangka kayu bumbung akan jatuh dan menghempap barangan tersebut.
“Kami ingat barang itu sempat diselamatkan, tetapi akhirnya terbakar juga. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan sekarang ini kami menumpang di rumah ahli keluarga terdekat sementara menanti untuk mendapatkan rumah sewa  baharu,” katanya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng dan Adun Layang-Layang, Abd Mutalip Abdul Rahim, turut melahirkan rasa simpati kepada mangsa terlibat.

Duit hangus, rumah tak siap

Sulaiman (kiri) mendengar penjelasan Musa ketika mengunjungi rumahnya yang terbengkalai di Kampung Lubuk Jaya.
Sulaiman (kiri) mendengar penjelasan Musa ketika mengunjungi rumahnya yang terbengkalai di Kampung Lubuk Jaya.
TANJONG KARANG - "Duit dah habis tapi rumah tak siap!," Itulah keluhan seorang pesara apabila impian untuk menetap rumah sendiri di Kampung Lubuk Jaya, di sini musnah apabila didakwa ditipu kontraktor yang dilantik dan hilang gagal dikesan.

Pesara, Musa Abdullah, 60, berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk mendiami rumah sendiri selepas bersara berkecai apabila projek pembinaan rumah yang hanya tinggal pemasangan bumbung dan lantai masih tergendala sehingga kini.

Menurutnya, dia kecewa apabila melihat rumah idaman masih tidak siap dan terpaksa duduk di estet.

"Duit dan habis bayar kepada kontraktor tapi mereka buat hal pula dan gagal dihubungi memandangkan kontraktor yang dilantik beroperasi di Perak.

"Pakcik buntu tak tahu lagi cara untuk siapkan rumah ini. Nak buat pinjaman mesti tak lepas sebab usia dah lanjut. Sekarang ini pun hanya bergantung pada hasil tani yang cukup-cukup makan saja. Memang duit tak cukup nak simpan buat modal beli barang rumah," katanya sebak ketika dikunjungi Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak di rumahnya.

Musa berkata, dia memohon jasa baik wakil rakyat supaya dapat memberikan cadangan ataupun bantuan kepada keluarganya untuk memastikan rumah yang diimpikan dapat siap dengan sempurna.

“Sekarang ini pakcik bergantung harap kepada wakil rakyat kalau-kalau boleh bantu. Rumah ini pun satu-satunya harta keluarga kami yang masih ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu Sulaiman berkata, pihaknya simpati dengan nasib penduduk terbabit yang terpaksa menanggung beban akibat ditipu kontraktor yang diamanahkan untuk menyiapkan kerja pemasangan bumbung dan lantai.

“Saya pun dah lihat keadaan rumah yang cantik cuma masih belum sempurna di bahagian bumbung, tingkap, pintu dan lantai. Kawasan rumah pun semak disebabkan tiada berpenghuni.

“Bila tengok keadaan pakcik itu yang bergantung kepada hasil pertanian selepas bersara, memang tak cukup nak tampung beli barang rumah yang mungkin kosnya bernilai ribuan ringgit," katanya.

Menurutnya, beliau akan cuba mencari mana-mana bantuan yang boleh disalurkan melalui agensi kerajaan memandangkan rumah itu dikategorikan sebagai terbengkalai.

"Agak rumit dari segi permohonan tapi saya akan cuba bantu.

“Mungkin ada agensi kerajaan yang ada menyediakan peruntukan khas untuk bantu menyiapkan projek terbengkalai seperti ini,” katanya yang akan merujuk kepada agensi kerajaan berkaitan dalam masa terdekat.

Tiga maut dihempap tembok pagar


  • Anggota bomba dan penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi
kejadian.Anggota bomba dan penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

JOHOR BAHRU – Tiga buruh warga asing maut manakala seorang cedera dalam kejadian runtuhan tembok pagar sebuah kilang di Jalan Angkasa Mas, Kawasan Perindustrian Tebrau 2 di sini, semalam.

Mangsa yang maut termasuk dua warga Indonesia dikenali sebagai Sairin, 44 dan Abd Kasim, 41 serta Ropon Miah, 28 warga Bangladesh manakala Suhendra, 45 dari Indonesia dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8.35 pagi apabila tembok pagar sebuah kilang runtuh dan menghempap empat pekerja di kilang bersebelahan.

“Ketika kejadian empat pekerja sedang mengorek tanah di tepi tembok berkenaan sejak jam 8 pagi bagi melakukan kerja-kerja pemasangan pembentung untuk menyiapkan sistem perparitan di kilang berkenaan.

“Bagaimanapun, kira-kira 8.35 pagi, tembok yang diperbuat dari bata runtuh secara tiba-tiba dan menghempap kesemua mangsa yang berada di dalam parit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, tembok sepanjang 40 meter itu runtuh secara serentak dan menghempap kesemua mangsa yang ketika itu berada pada kedalaman kira-kira lima kaki pada paras bawah tanah.

Sulaiman berkata, pihak polis dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang terselamat pada jam 9.10 pagi namun mengalami kecederaan serius di bahagian tangan kanan dan punggung.

“Mangsa yang terselamat mengalami patah tangan kanan dan patah tulang punggung manakala mangsa kedua yang maut berjaya dikeluarkan pada jam 10.48 pagi.

“Sementara itu mangsa ketiga dan keempat dapat dikeluarkan antara jam 10.48 pagi hingga 10.58 pagi,” katanya.

Katanya, mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan susulan manakala mayat mangsa yang dikeluarkan turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat selesai pada jam 11.30 pagi dengan kerjasama 14 anggota polis, 18 anggota bomba dan 5 kakitangan perubatan,” katanya.

Pengawal maut digilis bas


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Jun 2014


GEORGETOWN - Seorang pengawal keselamatan wanita maut apabila motosikal yang dinaiki bersama rakan sekerja dirempuh sebelum digilis sebuah bas kilang dalam kejadian di hadapan pintu masuk sebuah kilang, di sini pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Sapnah Habits Mat Ghani, 42, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di seluruh badan.

Sebelum insiden berlaku, mangsa yang yang juga ibu tunggal dikatakan baru pulang kerja syif malam dan menumpang motosikal rakan sekerja M Nantha Gopal, 38, untuk pulang.

Rakannya yang juga pengawal keselamatan di kilang yang sama hanya mengalami luka ringan di kaki kanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi turut mengesahkan laporan kejadian dan memberitahu siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki maut kenderaan dipandu terbabas


  • Mayat mangsa dihantar ke HSI dibedah siasatMayat mangsa dihantar ke HSI dibedah siasat

PASIR GUDANG - Seorang pemandu kereta jenis Perodua Viva maut selepas terbabas di Jalan Pekeliling Pasir Gudang berdekatan simpang tiga Kilang Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa, Fadzir Abdullah, 37, hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Mangsa seorang pekerja kilang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pasir Gudang dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,” katanya.

Abdul Samad berkata, kereta mangsa rosak teruk pada  bahagian depan dan sebelah kanan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

RM30,000 simpanan OKU hangus


  • Anggota PSKK membantu mangsa mengalihkan kesan runtuhan rumah yang terbakar di Kampung Sungai Kecil Hilir kelmarinAnggota PSKK membantu mangsa mengalihkan kesan runtuhan rumah yang terbakar di Kampung Sungai Kecil Hilir kelmarin

BANDAR BAHARU - Seorang warga emas cacat penglihatan terpaksa berputih mata apabila wang RM30,000 yang disimpannya di bawah katil hangus  terbakar termasuk rumah pusaka didiaminya dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Kecil Hilir, di sini, kelmarin.

Mangsa, Saad Jaafar, 60-an, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, dia ke dapur untuk masak air.

Menurutnya, semasa membuka gas untuk menyalakan api, dia yang mengalami cacat penglihatan sejak lahir terhidu bau benda terbakar, namun menyangka jelaga api dari bahagian bawah cerek.

“Bagaimanapun, bau asap semakin kuat dan saya menjerit meminta tolong kerana tidak tahu arah mana perlu dituju untuk melarikan diri sebab tidak nampak. Tidak lama selepas itu, saya terdengar jiran menjerit dan cucu saudara memanggil saya dari arah hadapan.

“Saya menyahut panggilan itu dan dipapah seseorang sebelum dibawa keluar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Turut serta, Pegawai Khas Pejabat Adun Bandar Baharu, Saidin Yahaya dan anggota Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK).

Saad berkata, selepas dia diselamatkan jiran, dia terdengar bunyi letupan gas yang kuat dari rumahnya.

"Jiran memberitahu, dalam tempoh tidak sampai 20 minit keseluruhan rumah musnah kerana struktur rumah daripada kayu.

“Kejadian kebakaran itu menyebabkan saya tinggal sehelai sepinggang dan wang  RM30,000 di bawah katil musnah terbakar. Kini saya buntu memikirkan kehidupan pada masa hadapan. Sudahlah tidak berkeluarga, kini terpaksa menumpang di rumah cucu saudara,” katanya.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu menyebabkan rumahnya musnah sepenuhnya walaupun api dapat dikawal anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serdang kira-kira jam 7 pagi.

Sementara itu, Saidin ketika ditemui berkata, pihaknya sudah menyerahkan bantuan kecemasan kepada Saad untuk meringankan beban penderitaan dihadapi warga emas orang kurang upaya (OKU) itu.

Menurutnya, pihaknya turut berusaha membantu mangsa memohon bantuan membina rumah baharu daripada Baitulmal bagi memastikan mangsa mempunyai rumah.

“Kami akan berusaha membantu mangsa bagi meringankan bebannya,” katanya.

Cedera dilanggar mat rempit


  • Emily Tan turut cedera di dahi, pipi, tangan serta pinggang dalam kejadian itu, manakala Monica retak siku kiri akibat dilanggar mat rempit, awal pagi semalam.Emily Tan turut cedera di dahi, pipi, tangan serta pinggang dalam kejadian itu, manakala Monica retak siku kiri akibat dilanggar mat rempit, awal pagi semalam.

BANDARAYA MELAKA - Seorang wartawan akhbar China Press dan anak saudaranya dirempuh sebuah motosikal selepas sekumpulan mat rempit secara tiba-tiba memecut ke arah mereka ketika hendak melintas di Jalan Hang Tuah, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Tay Soo Keen, 39, atau lebih dikenali sebagai Monica retak siku kiri manakala Emily Tan Xin Lin, 13, cedera di dahi, pipi, tangan dan pinggang setelah terjatuh di atas jalan raya dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu.

Kedua-dua mereka yang keluar makan bersama lima ahli keluarga lain di sebuah restoran berhampiran, dilanggar sebuah motosikal sebelum sempat menyeberangi jalan untuk pulang ke rumah di Jalan Portugis, Kampung Hulu, dekat sini.

Monica berkata, sekumpulan mat rempit itu datang dari arah Jalan Kubu masuk ke semua laluan di Jalan Hang Tuah menyebabkan dia dan anak saudara yang baru beberapa langkah bergerak hadapan khemah Bazar Mega Ramadan ‘tersepit’ di antara kira-kira 10 motosikal berkenaan.

“Ketika hendak menyeberangi jalan, tiba-tiba sekumpulan motosikal datang ke arah kami. Satu motosikal melalui hadapan dan belakang kami sebelum sebuah motosikal lain merempuh di tengah-tengah menyebabkan kami terjatuh dan cedera.

“Bagaimanapun saya tidak sempat untuk melihat nombor pendaftaran motosikal terbabit,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, semalam.

Bingung tiba-tiba kena tetak


  • Bingung tiba-tiba kena tetak

IPOH – Seorang lelaki bingung apabila dia diserang dua lelaki yang tidak dikenali menggunakan parang di kawasan parkir kereta di Pasar Besar Ipoh, di sini, Jumaat lalu.

Pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Hassan Basri, 54, cedera parah di tangan kiri dan kepalanya selepas ditetak dua kali selepas dia disyaki menjadi penyalur maklumat kepada polis berkenaan sindiket penjualan barangan terpakai di pasar terbabit.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dua perhatikan suspek berkenaan hanya memerhatikan dia sahaja namun, dia menganggap mereka sebagai pekerja di kawasan terbabit tanpa mengesyaki apa-apa.

“Secara tiba-tiba mereka yang memegang kayu dan parang bertindak berlari meluru ke arah saya. Serangan pertama menyebabkan tangan kiri cedera ketika menahan tetakan tersebut.

“Tiba-tiba kepala saya berasa sakit apabila suspek yang memegang kayu menghentak kepala beberapa kali,” katanya di sini, semalam.

Hassan berkata, dia bernasib baik apabila beberapa orang awam yang melalui kawasan terbabit bertindak melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan.

“Kedua-dua mereka melarikan diri setelah menyedari kehadiran orang ramai dan saya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Rakan sekerja ada memberitahu terdapat beberapa peniaga berasa tidak senang dengan kejadian pekerja baharu seperti saya yang menganggap saya penyalur maklumat kepada polis,” katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis pekan lama.

Hasrat puasa bersama isteri tak kesampaian


  • Afif Syazwan duduk di sisi mayat isterinya yang maut akibat nahas jalan raya di Tanjung Lumpur, semalam.Afif Syazwan duduk di sisi mayat isterinya yang maut akibat nahas jalan raya di Tanjung Lumpur, semalam.

KUANTAN – Hasrat seorang suami, Afif Syazwan Uugust, 23, untuk menyambut kedatangan Ramadan bersama isteri tercinta tidak kesampaian apabila teman hidupnya, Sarimah Abdul Razak, 22 terkorban dalam satu kemalangan jalan raya, di hadapan Petronas Jalan Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.38 pagi itu, Sarimah yang membonceng motosikal ditunggang suaminya meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian selepas bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Civic yang keluar dari Petronas di kiri jalan telah menyeberang ke kanan jalan untuk membuat pusingan U dan berlanggar dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri muda berkenaan.

Menurutnya, motosikal yang dibonceng mangsa bersama suami datang dari arah Tanjung Lumpur. Pertembungan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan kemudiannya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.

“Manakala suaminya yang beralamat di Taman Seriku Baru 12, Jalan Gambang turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

“Difahamkan keadaan laluan di tempat kejadian ialah jalan sehala tiga lorong dan kawasan membuat pusingan U. Keadaan cuaca baik dan jalan kering. Punca kematian dan kemalangan masih dalam siasatan. Kes ini di siasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada media semalam.

Sementara itu, adik mangsa, Mariam Abdul Rahman, 18, berkata, arwah kakaknya meninggalkan dua anak berusia lima dan tiga tahun.

“Kakak dan suami tinggal berasingan dari keluarga, manakala kedua-dua anaknya ditinggalkan bersama ibu mertuanya di Batu 12 kerana dia juga bekerja.

“Saya terkejut mendengar berita tentang kematiannya kerana sudah beberapa bulan tidak bertemu dengannya dan kali terakhir adalah pada Februari lalu,” katanya.

Koma selepas terjun lori


  • Fauzi (kanan) melihat keadaan Yoong Fei yang terlantar koma sejak empat bulan lalu.Fauzi (kanan) melihat keadaan Yoong Fei yang terlantar koma sejak empat bulan lalu.

KUANTAN – Kehidupan seorang lelaki terus berubah selepas dia nekad terjun daripada lori yang dipandunya daripada masuk ke dalam gaung.

Look Yoong Fei, 39, koma lebih empat bulan lalu setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki bergantung sepenuhnya kepada ibu dan jururawat harian.

Ibu Yoong Fei, Wong Swee Chong, 65, berkata, dia tidak menyangka anak kelima daripada tujuh beradik itu akan terlantar tidak bermaya.

Menurutnya, anaknya itu seorang yang kuat bekerja, malah bertanggungjawab terhadap setiap ahli keluarga.

“Tindakan dia terjun dari atas lori itu hanya untuk menyelamatkan nyawa dia, tetapi keadaannya kini sudah tidak sama seperti sebelum ini.

“Hati saya sayu melihat dia baring dan kadang kala memberikan respons positif setiap kali namanya di panggil,” katanya.

Yoong Fei kini ditempatkan di rumah jagaan bersama jururawat di Kubang Buaya di sini dengan bayaran RM40 sehari.

Swee Chong berkata, selain terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak setiap bulan, anaknya itu hanya bergantung kepada susu khas untuk teruskan hidup.

“Dahulu, dia selalu beri duit kepada saya. Tetapi dengan keadaan sekarang ini, bantuan daripada adik-beradik saya yang diperoleh untuk membayar bil jagaan.

“Saya  sudah tua, tetapi masih berharap agar anak saya boleh sembuh seperti sedia kala sebelum saya menutup mata,” katanya.

Yoong Fei turut menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman  dan Adun Semambu Lee Chean Chung.

Tendang perut isteri hamil 8 bulan


RUBIAH OMAR
30 Jun 2014


KUALA TERENGGANU - Hanya kerana perselisihan faham kecil, seorang lelaki seperti hilang akal apabila tergamak menendang perut isterinya yang sedang hamil lapan bulan, dalam satu kejadian, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku di kediaman pasangan itu iaitu berhampiran sebuah sekolah menengah di bandar raya di sini, kira-kira jam 1.15 pagi, ketika mangsa berusia 21 tahun dipercayai sedang berehat sebelum berlaku perselisihan faham dengan suaminya itu.

Menurut sumber, pada awalnya pasangan itu hanya berbual biasa sebelum berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan suspek berusia 20-an tiba-tiba naik angin.

“Dalam pertengkaran itu, suspek gagal mengawal emosinya sehingga tergamak bertindak agresif menyepak perut isterinya tanpa mengendahkan mangsa yang ketika itu sedang hamil lapan bulan.

“Kemarahan suspek tidak berakhir di situ apabila dia bertindak memukul pergelangan tangan mangsa tanpa menghiraukan mangsa yang ketika itu sedang mengerang kesakitan,” katanya.

Jelas sumber lagi, selain bengkak dan kebas di pergelangan tangan, tindakan kasar suspek itu turut menyebabkan mangsa sakit di perut.

“Difahamkan sebelum ini, suspek sudah banyak kali memukul mangsa setiap kali berlaku perselisihan faham yang kebanyakannya hanya berpunca daripada hal-hal kecil dan remeh,” katanya.

Katanya lagi, mangsa yang tidak tahan menjadi tempat suspek melepaskan geram amarahnya selain bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan datang nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Acu pisau pada ibu minta RM10


  • Muhamad Azri dipenjara 10 bulan selepas mengaku salah di mahkamah majistret semalam, mengugut ibu kandungnya dengan sebilah pisau.Muhamad Azri dipenjara 10 bulan selepas mengaku salah di mahkamah majistret semalam, mengugut ibu kandungnya dengan sebilah pisau.

KUALA TERENGGANU - Seorang anak sanggup menggunakan cara kekerasan dengan mengacukan sebilah pisau ke arah ibu kandungnya bagi memastikan wanita malang itu menyerahkan wang RM10.

Bagaimanapun, perbuatan melampau Muhamad Azri Mohd Yusof, 22, menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman tersebut diputuskan selepas Muhamad Azri mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada ibunya, Noryati Saleh, 49, dengan niat menyebabkannya berasa takut.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu pada 27 Mei lalu, kira-kira jam 6.30 petang di kediaman mereka di Kampung Pengkalan Setar, Gelugor Kedai, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, semasa berehat di rumah, ayah Muhamad Azri ternampak anaknya itu sedang mengugut mangsa dengan pisau dan tindakan itu bukan sahaja menakutkan mangsa, malah ayahnya turut merasa takut.

Bimbang keselamatan mereka sekeluarga pada masa akan datang, ayah Muhamad Azri membuat laporan polis untuk tindakan susulan.

Pengarah JKR dipenjara setahun, denda RM1.15 juta


  • mahkamah

JOHOR BAHRU - Seorang Pengarah Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM1.154 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas tuduhan menyalah guna kuasa.
  
Tertuduh, Datuk Abd Rahim Ahmad, 58, yang merupakan Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu dalam tempoh sebulan.
  
Hakim Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu selepas meneliti dan mempertimbang keterangan daripada pihak pembelaan, pendakwaan serta saksi selain menilai bahan bukti secara menyeluruh sepanjang kes itu dibicarakan.
  
Mahkamah mendapati peguam bela tertuduh, M S Vethanayagam gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abd Ghafar Ab Latif.
  
Abd Rahim, selaku pengarah projek bagi kontrak pengurusan fasiliti bangunan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) serta kontrak pengurusan fasiliti bangunan JB Sentral, Bukit Chagar didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan projek untuk adiknya.

Beliau melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat JKR, Aras Empat, Bangunan Sultan Iskandar pada 1.30 tengah hari, 5 Januari 2011.
  
Tertuduh didakwa meminta Pengarah Operasi Kumpulan Syarikat Advanced Maintenance Precision Management Sdn Bhd, Saipolyaszen M Yusop, 44, yang bertanggungjawab untuk pengurusan fasiliti KIK, melantik syarikat YBA Technology Sdn Bhd milik adiknya Mohd Yusri Ahmad, 39, bagi menjalankan kerja sub kontraktor bersangkutan kontrak pengurusan fasiliti bangunan JB Sentral.
     
Kontrak berkenaan adalah melakukan imbangan, pengujian dan penjayaan bagi sistem udara dan sistem air sejuk bernilai RM196,000 dan penjayaan bagi membekalkan pemasangan dan pengujian 'Danfos Motorise Valve' untuk ACMV bernilai RM34,800.
  
Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
  
Bagimanapun, peguam bela tertuduh meminta mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain tidak mempunyai sebarang rekod buruk sepanjang berkhidmat dengan JKR dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes dijalankan. - Bernama

Ibu panik, sangka anak diculik


  • Ana yang berjaya ditemui dalam keadaan selamat namun kebingungan dipangku neneknya sambil diperhatikan oleh ibunya (duduk, kanan) dan anggota PSKK.Ana yang berjaya ditemui dalam keadaan selamat namun kebingungan dipangku neneknya sambil diperhatikan oleh ibunya (duduk, kanan) dan anggota PSKK.

PARIT BUNTAR - Seorang ibu panik selepas mendapati anak perempuannya berusia lapan tahun tiba-tiba hilang ketika mereka berkunjung ke Pasar Kemboja di Jalan Permatang Tok Mahat, di sini kelmarin.

Kanak-kanak itu yang disangka diculik bagaimanapun ditemui dalam keadaan bingung oleh anggota Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK) di sebuah kedai kopi yang terletak 500 meter dari pasar tersebut selepas dua jam.

Difahamkan, kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai Ana disedari ibunya pada kira-kira jam 12 tengah hari selepas dia didapati tiada di sisi ketika wanita itu ingin membeli tudung.

Jurucakap PSKK berkata, selepas hampir sejam mencari anak perempuannya, ibu kanak-kanak berkenaan meminta bantuan orang ramai yang kemudiannya segera memaklumkan kehilangan Ana kepada  anggota PSKK.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, 10 anggota PSKK membantu ibu dan nenek kanak-kanak berkenaan mencarinya.

“Bimbang dengan keselamatan cucunya, nenek kanak-kanak perempuan itu turut meminta Jawatankuasa Kariah Masjid Permatang Tok Mahat untuk menggunakan pembesar suara bagi memaklumkan kehilangannya.

“Lebih kurang jam 1.30 tengah hari, salah seorang anggota PSKK akhirnya berjaya menemui kanak-kanak itu dalam keadaan kebingungan di sebuah kedai kopi, 500 meter dari lokasinya hilang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSKK, Zaharuddin Mohd Ghazali berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan trauma, mungkin ketakutan setelah gagal menemui ahli keluarganya.

Katanya, PSKK turut dimaklumkan bahawa kanak-kanak berkenaan dan keluarganya berasal dari Batu Maung, Pulau Pinang datang ke Parit Buntar semata-mata untuk mengunjungi Pasar Kemboja.

“Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin dalam menjaga keselamatan kanak-kanak meskipun sedang sibuk membeli-belah.

“Dalam keadaan kes penculikan kanak-kanak semakin berleluasa di seluruh negara, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan kanak-kanak dan tidak alpa dalam menjaga keselamatan mereka kerana perkara tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Hasrat puasa bersama isteri tak kesampaian


  • Afif Syazwan duduk di sisi mayat isterinya yang maut akibat nahas jalan raya di Tanjung Lumpur, semalam.Afif Syazwan duduk di sisi mayat isterinya yang maut akibat nahas jalan raya di Tanjung Lumpur, semalam.

KUANTAN – Hasrat seorang suami, Afif Syazwan Uugust, 23, untuk menyambut kedatangan Ramadan bersama isteri tercinta tidak kesampaian apabila teman hidupnya, Sarimah Abdul Razak, 22 terkorban dalam satu kemalangan jalan raya, di hadapan Petronas Jalan Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.38 pagi itu, Sarimah yang membonceng motosikal ditunggang suaminya meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian selepas bertembung dengan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Civic yang keluar dari Petronas di kiri jalan telah menyeberang ke kanan jalan untuk membuat pusingan U dan berlanggar dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri muda berkenaan.

Menurutnya, motosikal yang dibonceng mangsa bersama suami datang dari arah Tanjung Lumpur. Pertembungan itu menyebabkan mangsa cedera parah dan kemudiannya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.

“Manakala suaminya yang beralamat di Taman Seriku Baru 12, Jalan Gambang turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

“Difahamkan keadaan laluan di tempat kejadian ialah jalan sehala tiga lorong dan kawasan membuat pusingan U. Keadaan cuaca baik dan jalan kering. Punca kematian dan kemalangan masih dalam siasatan. Kes ini di siasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada media semalam.

Sementara itu, adik mangsa, Mariam Abdul Rahman, 18, berkata, arwah kakaknya meninggalkan dua anak berusia lima dan tiga tahun.

“Kakak dan suami tinggal berasingan dari keluarga, manakala kedua-dua anaknya ditinggalkan bersama ibu mertuanya di Batu 12 kerana dia juga bekerja.

“Saya terkejut mendengar berita tentang kematiannya kerana sudah beberapa bulan tidak bertemu dengannya dan kali terakhir adalah pada Februari lalu,” katanya.

Kedai makan terbakar, peniaga rugi RM10,000


  • Kedai makan yang diusahakan Sai Kee sejak empat tahun lalu, musnah dalam kebakaran petang kelmarin.Kedai makan yang diusahakan Sai Kee sejak empat tahun lalu, musnah dalam kebakaran petang kelmarin.

SEGAMAT - Seorang pengusaha kedai makan di Jalan Sia Her Yam, di sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila premis perniagaan yang diusahakannya sejak empat tahun lalu, terbakar petang kelmarin.

Mangsa, Chong Sai Kee, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, dia berada di rumah di Segamat Baru, sebaik menutup operasi kedainya pada jam 3.30 petang.

“Saya hanya dimaklumkan mengenai kebakaran ini oleh salah seorang rakan peniaga yang menelefon kira-kira pukul 5.10 petang dan kemudian terus bergegas ke kedai.

“Apabila sampai, api sudah berjaya dikawal dengan sebahagian bawah kedai sudah musnah dijilat api. Saya tidak sempat selamatkan sebarang peralatan yang ada di dalam kedai,” katanya.

Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa, Sai Kee bersyukur kerana kebakaran tersebut berlaku selepas dia menutup kedai.

Menurutnya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bomba untuk melakukan siasatan dan akan kembali berniaga selepas kedainya dibaiki pada masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizad Mamat berkata, dia menerima panggilan kebakaran tersebut daripada orang awam yang melihat kepulan asap daripada kedai tersebut kira-kira  pukul 5 petang.

“Tiga jentera bomba iaitu dua dari Bandar Putra dan satu dari Jalan Abdullah dengan kekuatan 20 orang anggota dikejarkan ke kawasan kejadian serta mengambil masa lima minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

“Siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca daripada kebocoran gas memasak dan mujur kebakaran tersebut  tidak merebak ke premis perniagaan lain,” katanya.

Ketua tentera nafi berkomplot jatuhkan kerajaan


  • Prayuth dan Suthep mempunyai agenda tersendiriPrayuth dan Suthep mempunyai agenda tersendiri

BANGKOK - THAILAND. Ketua Tentera Thailand menafikan tuduhan bahawa beliau telah merancang dan berkomplot untuk melakukan merampas kuasa sejak sekian lama.

Memetik laporan Bangkok Post, Prayuth Chan-O-Cha menafikan tuduhan yang beliau sebelum ini pernah berbincang dengan ketua penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra.

“Saya tidak menyertai mana-mana proses atau terlibat dengan mana-mana pemimpin,” katanya menerusi satu siaran televisyen, kelmarin.

Media tempatan melaporkan, tuduhan terhadap Prayuth itu bertiup kencang selepas Suthep mengemas kini status Facebook mengatakan beliau akan membatalkan semua pengutipan dana.

Pada 2010, Prayuth pernah dilihat mengadakan perbincangan sulit dengan Suthep dalam satu majlis makan malam dan perkara itu menguatkan lagi tuduh konspirasi mereka berdua.

Curi kambing: Buruh mengaku tidak salah


  • Md Suhaimi (dua, kiri) dan Abdul Aziz keluar dari mahkamah selepas mohon dibicarakan atas tuduhan itu.Md Suhaimi (dua, kiri) dan Abdul Aziz keluar dari mahkamah selepas mohon dibicarakan atas tuduhan itu.

KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencuri seekor kambing di tepi Jalan Kampung Alor Tal, Tumpat, Jun lalu.

Tertuduh, Md Suhaimi Mohamed, 43, didakwa mencuri kambing milik Muhammad Faiz Ahmad, 24, itu di tepi Jalan Kampung Alor Tal, Tumpat pada jam 6 petang, 24 Jun 2014.

Pada prosiding semalam, Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Mariah Dahari memohon penangguhan untuk pengurusan kes.

Majistret, Nik Habri Muhamad kemudian membenarkannya kes berkenaan ditangguhkan dan sementara menunggu sebutan semula, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Tuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang peruntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali. Kes bersambung 13 Ogos depan.

Dalam perkembangan sama, seorang pekerja kampung berusia 61 tahun didakwa dengan mengetahuinya sebagai harta curi, menyimpan kambing berkenaan pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh, Abdul Aziz Ismail pada mulanya mengaku bersalah, bagaimanapun menukar pengakuan itu selepas mendakwa dia tidak mengetahui kambing berkenaan adalah kambing curi dan hanya membeli kambing tersebut sahaja.

Sebutan semula kes ke atas Abdul Aziz ditetapkan pada tarikh sama dengan kes Md Suhaimi, manakala ikat jamin yang dibenarkan ke atasnya berjumlah RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pekerja restoran melampau


  • Gambar dipercayai suspek dengan tangan bergari mula disebarkan di Facebook.Gambar dipercayai suspek dengan tangan bergari mula disebarkan di Facebook.

SEREMBAN – Seorang wanita terkejut apabila dua pekerja warga asing sebuah restoran, di sini dengan berani memeluk dan mengusap anak perempuannya berusia 10 tahun secara tiba-tiba ketika dia sedang membeli air, Khamis lalu.

Ibu mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu anaknya turun membeli air seorang diri di restoran berkenaan.

Menurutnya, dia memberhentikan kenderaannya di hadapan kedai makan terbabit dan hanya menunggu di dalam kereta bersama seorang lagi anak perempuannya berusia enam tahun.

“Saya suruh anak sulung turun seorang diri kerana hanya mahu membeli air. Malah kereta saya diparkir betul-betul berhadapan kedai makan berkenaan.

“Dari dalam kereta saya lihat pergerakan anak. Tapi tiba-tiba saya pelik apabila salah seorang pekerja di situ memeluk anak saya dari belakang,” katanya.

Malah katanya, seorang lagi pekerja turut bertindak di luar batasan apabila dengan sengaja mengusap leher dan pipi anaknya.

Berang dengan keadaan itu, dia membunyikan hon kereta beberapa kali sebagai tanda amaran sebelum pekerja terbabit melarikan diri dan bersembunyi di bahagian belakang kedai.

“Saya turun berjumpa dengan penyelia restoran terbabit kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kurang sopan tersebut.

“Tapi dia memujuk saya agar tidak membesarkan hal itu dan meminta maaf mewakili pekerjanya. Saya memang bengang sangat sebab dia berani usik anak perempuan saya macam itu. Memang dia masih kanak-kanak tapi janganlah sesuka hati mahu memeluk dan mengusik anak orang,” katanya.

Sebaik sahaja pulang ke rumah, dia memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum membuat laporan di Balai Polis Senawang.

Sementara itu, Sinar Harian mendapati, gambar dua lelaki warga asing dengan tangan bergari dipercayai suspek  mula disebarkan di laman Facebook, sejak Khamis lalu.

Malah ia turut mendapat pelbagai maklum balas orang ramai yang ternyata sangat terkejut dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku.

Dolly kena serbu

Operasi cegah maksiat dipertingkatkan
Operasi cegah maksiat dipertingkatkan
SURABAYA - INDONESIA. Ratusan polis dan tentera menyerbu kawasan panas dikenali sebagai Dolly di bandar kedua terbesar di Indonesia, bagi membanteras kegiatan maksiat sebelum kehadiran Ramadan.

Pegawai keselamatan Surabaya, Musaddad Ghina berkata, serbuan dilakukan untuk memastikan pusat-pusat hiburan dan pelacuran ditutup sepanjang Ramadan.

“Ketika serbuan dilakukan oleh kira-kira 500 anggota keselamatan, berlaku beberapa pergelutan antara pasukan keselamatan dan penduduk tempatan. Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dipetik Jakarta Post

Menurutnya, serbuan itu dibuat seminggu selepas Datuk Bandar Surabaya mengumumkan penutupan Dolly.

“Mereka telah diberikan tempoh beberapa minggu untuk menghentikan operasi namun gagal berbuat demikian," katanya.

'Dengar teriakan minta tolong'

Mangsa lima sekeluarga nyaris maut apabila Toyota Avanza yang dinaiki terjun ke dalam saluran pembetung sedalam sembilan meter dalam nahas di hadapan Pasaraya Besar Giant Kijal.
Mangsa lima sekeluarga nyaris maut apabila Toyota Avanza yang dinaiki terjun ke dalam saluran pembetung sedalam sembilan meter dalam nahas di hadapan Pasaraya Besar Giant Kijal.
Mangsa lima sekeluarga nyaris maut apabila Toyota Avanza yang dinaiki terjun ke dalam saluran pembetung sedalam sembilan meter dalam nahas di hadapan Pasaraya Besar Giant Kijal.

Mangsa dibawa keluar oleh orang awam melalui pintu kereta.
Mangsa dibawa keluar oleh orang awam melalui pintu kereta.
RAIHAM MOHD SANUSI
30 Jun 2014


Mangsa lima sekeluarga nyaris maut apabila Toyota Avanza yang dinaiki terjun ke dalam saluran pembetung sedalam sembilan meter dalam nahas di hadapan Pasaraya Besar Giant Kijal.

KEMAMAN - Selepas lima hari insiden kereta terjun Jambatan Bukit Kuang berlalu, warga Kemaman sekali lagi dikejutkan dengan kejadian hampir sama apabila sebuah Toyota Avanza yang dinaiki lima sekeluarga terjunam ke dalam terowong pembetung sedalam sembilan meter.

Kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 133 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, berhadapan Pasaraya Besar Giant Kijal, kira-kira jam 11.20 malam kelmarin.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu, Abdul Halim Shah Kechil, 49, bersama isteri yang berusia 47 tahun dan tiga anak mereka yang berusia lingkungan 19 hingga 13 tahun bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Kenderaan yang dinaiki mangsa jatuh dalam keadaan terbalik dengan keempat-empat tayar berada di atas.

Ketika kejadian, mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari rumah mereka di Kuala Terengganu ke Kuantan, tetapi sebaik tiba di selekoh tajam di tempat kejadian yang jalannya masih dalam proses pembinaan, mangsa dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan hingga kereta yang dipandu hilang kawalan lalu merempuh blok pengadang plastik di tepi jalan sebelum terjatuh ke dalam terowong pembetung.

Lihat kesan brek

Seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui lokasi selepas beberapa minit kejadian, Mohd Yusof Yasar, 46, berkata, dia mendengar sayup-sayup teriakan meminta tolong dari Toyata Avanza yang terjatuh sebaik dia menjenguk ke bawah terowong pembetung.

“Sebelum saya jenguk ke bawah saluran pembetung, saya perasan ada kesan brek sejauh tiga meter di atas jalan dan ia menunjukkan mangsa cuba memberhentikan keretanya tapi tak berjaya.

“Sejurus itu, orang ramai segera turun ke terowong pembetung dan keluarkan mangsa dari dalam kenderaan yang terlingkup sebelum ketibaan bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman dan mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kemaman,” katanya.

Laluan berselekoh tajam

Mohd Yusof berkata, dia tidak terkejut apabila melihat kenderaan tersebut terperosok di bawah terowong pembetung itu kerana dia sendiri nyaris terjun ke dalam pembetung berkenaan sebulan lalu ketika dia sekeluarga pulang dari menikmati murtabak di Dungun.

“Ketika kejadian, pantulan cahaya dari kenderaan depan menyebabkan saya silau saat melalui selekoh tajam di laluan yang masih dalam pembinaan ini. Nasib baik saya sempat memusing stereng ke kanan, kalau tidak saya sekeluarga mungkin terlebih dahulu yang jadi mangsa,” katanya.

Katanya, beberapa alat cahaya yang digantung di blok pengadang plastik di laluan itu tidak mencukupi kerana ia sangat gelap dan pengguna jalan raya tidak menyedari laluan berselekoh tajam.

“Sepatutnya pihak kontraktor meletakkan blok pengadang jalan konkrit di tepi tebing jalan ini kerana jika berlaku kemalangan, blok konkrit boleh halang mangsa daripada terus jatuh ke dalam saluran pembetung,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian juga mendapati kontraktor tidak meletakkan tanda amaran yang jelas di kawasan itu, malahan blok plastik di tepi jalan juga tidak diletakkan dalam keadaan tersusun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kemalangan itu berkata, mangsa sekeluarga dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 4 pagi semalam.

Maut kereta bertembung lori

Keadaan kereta mangsa remuk teruk
Keadaan kereta mangsa remuk teruk
BATU PAHAT – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandu bertembung dengan lori di Kilometer 131, Jalan Johor Bahru – Melaka berhampiran Peserai, di sini.

Kejadian jam 9 pagi itu berlaku setelah kereta Proton Waja yang dipandu mangsa dari arah Batu Pahat gagal memotong kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan lori dari arah Muar.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, disebabkan pertembungan itu, mangsa, Tan Teck Wee, 40, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori cedera serta mengadu sakit dada.

“Mangsa dan pemandu lori dihantar ke hospital dan polis masih lagi menyiasat kemalangan yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

Katanya, dia turut menasihatkan kepada pemandu apabila hendak memotong, pastikan keadaan selamat termasuk tidak memotong di garisan berkembar.

Poligami ekspres dikesan aktif


  • Risalah yang dipercayai sindiket poligami ekspres mula tersebar di beberapa negeri.Risalah yang dipercayai sindiket poligami ekspres mula tersebar di beberapa negeri.

ALOR SETAR - Walaupun amaran dan penguatkuasaan dilakukan, namun sindiket nikah poligami ekspres masih dikesan bergiat aktif dengan menyebarkan risalah berkenaan kepada orang ramai di beberapa negeri, termasuk Kedah.

Dengan tag line ‘untuk yang berani sahaja’, bagi menarik perhatian, sindiket tersebut dipercayai turut menyediakan pakej lengkap pernikahan yang berlangsung di Songkhla, Thailand.

Difahamkan, sindiket berkenaan sedia membantu pasangan yang bermasalah untuk berpoligami kerana faktor kewangan, undang-undang dan halangan keluarga.

Dengan tawaran harga serendah RM2,500, sudah pasti ia membuatkan pasangan berkenaan mendapatkan pakej tersebut.

Bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah pasangan untuk poligami, malah sindiket tersebut turut mendakwa jurunikah dan sijil nikah yang dikeluarkan adalah mendapat pengesahan Jabatan-jabatan Agama Islam di Malaysia.

Sindiket terbabit dilihat seolah-olah cuba menyediakan ruang untuk pasangan berpoligami secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama mahupun mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu.
Selain itu, pengangkutan pergi dan balik dari Alor Setar ke Thailand bagi urusan pernikahan juga disediakan sindiket terbabit.

Sejurus selesai pernikahan itu, mereka turut disediakan tempat penginapan di sebuah hotel mewah sekitar Alor Setar selama tiga hari, dua malam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang wanita mendedahkan tidak sanggup bersekongkol dengan perbuatan salah suaminya berkahwin dengan isteri kedua menggunakan khidmat sindiket di Alor Setar.

Pernikahan poligami menerusi sindiket terbabit diketahui wanita tersebut selepas sijil nikah berkenaan dikesan palsu dan disahkan oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar.

Pasangan poligami itu kemudiannya mengakui telah berkahwin di sebuah bilik hotel sekitar Alor Setar menerusi sindiket sebagai jalan mudah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, demi merahsiakan perkahwinan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir individu dikesan menggunakan sindiket penjualan sijil nikah poligami yang menyerupai sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Menurut laporan itu, proses akad nikah pasangan tersebut dilakukan tanpa melibatkan wali terdekat pengantin perempuan.

 Sindiket berkenaan juga dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dengan mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 dan dikatakan mendapat sambutan hangat mereka yang mahu berpoligami.

Pada masa sama, mereka juga bijak memancing pasangan berkenaan dengan mempercepatkan pengeluaran sijil nikah poligami beberapa hari sebelum akad nikah berlangsung.

30 pendatang asing ditemui mati lemas


30 Jun 2014


ROM - ITALY. Sekurang-kurangnya 30 mayat ditemui di dalam sebuah bot yang diberhentikan di antara Sicily dan Perairan Utara Afrika, hari ini.

Menurut pihak berkuasa Itali, bot tersebut membawa dan memindahkan kira-kira 590 pelarian termasuklah dua wanita hamil.

Menurut salah sebuah agensi berita, kebanyakan mangsa yang ditemui dipercayai mati akibat lemas.

“Ini bukan kali pertama pasukan penyelamat menemui pendatang asing yang bersesakan di dalam sebuah bot, namun pihaknya tidak pernah menemui bilangan kematian yang besar,” katanya dalam satu laporan.

Sementara itu, tentera laut Itali berkata, pihaknya sedang menguruskan perpindahan kapal tersebut dan ianya dijangka tiba lewat hari ini di tenggara pantai Sicily, Pozallo.

Minggu lalu, lebih 1,600 pendatang asing telah dikepung dan diselamatkan oleh pihak berkuasa Itali dalam pelbagai operasi berasingan.

Dalam satu operasi pada awal bulan Jun, pihaknya telah berjaya menyelamatkan 39 pendatang asing manakala 10 ditemui lemas setelah bot yang dinaiki karam di luar perairan Libya.

Emma Watson gaji amah haram


LONDON 29 Jun - Emma Watson mungkin merupakan antara aktres popular Hollywood, namun dia boleh berdepan dakwaan selepas didapati menggunakan khidmat pembantu rumah haram untuk bekerja di rumahnya di Islington, London pada September lalu selama tiga bulan.
Menurut laporan laman web, tv3.ie, Watson menggunakan perkhidmatan pembantu rumahnya itu yang telah bekerja dengannya sejak awal tahun lalu di pangsapurinya di New York.
Agensi Sempadan Britain yang menyiasat aduan itu mendedahkan, pembantu rumah tersebut menggunakan visa pelancongnya untuk datang ke London bagi membantu Watson di Islington.
Pembantu rumah itu turut dipercayai berada di Britain selama tiga bulan sejak September lalu sehingga Februari dan pernah disoal siasat oleh kakitangan imigresen Britain tentang dari mana dia mendapat wang untuk menetap di negara ini.
Pejabat Perumahan Britain enggan mengulas tentang kes tersebut, namun satu sumber memberitahu akhbar The Mirror, dakwaan itu sedang diproses dan tindakan selanjutnya akan diambil.

Lelaki melecur teruk selepas bakar diri


TOKYO 30 Jun - Seorang lelaki bertindak membakar dirinya sendiri di Stesen Kereta Api Shinjuku, di sini semalam sebagai tanda membantah perubahan polisi pertahanan Jepun oleh kerajaan negara ini.
Pegawai polis, Daiji Kubota berkata, lelaki itu yang dalam lingkungan umur 50 hingga 60 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital kerana melecur teruk.
Katanya, identiti lelaki tersebut serta motif dia membakar diri masih disiasat.
Menurut saksi, lelaki berkenaan pada mulanya dilihat duduk di atas hamparan tikar kecil bersama beberapa botol dipercayai mengandungi minyak petrol di sisinya di bahagian pejalan kaki stesen bas berkenaan.
Dia kemudian dikatakan berteriak menerusi pembesar suara, membantah perubahan polisi pertahanan kerajaan sebelum membakar dirinya sendiri. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140630/lu_01/Lelaki-melecur-teruk-selepas-bakar-diri#ixzz367F501hC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

100 dikhuatiri maut serangan Boko Haram


CAPE TOWN 30 Jun - Lebih 100 orang dipercayai terkorban di timur laut Nigeria selepas kumpulan militan Boko Haram melancarkan siri serangan di beberapa lokasi, lapor akhbar Daily Post semalam.
Serangan itu yang dilakukan pada hari pertama Ramadan, dilancarkan di lima buah gereja di pekan Chibok, ketika penganut Kristian berkumpul.
Daily Post melaporkan, anggota kumpulan tersebut kemudian menyerang orang awam di Kautikari sebelum membakar bangunan-bangunan.
Pada 14 April lalu, anggota militan Boko Haram menculik lebih 200 pelajar perempuan di sebuah asrama di Chibok. Lokasi tebusan ditahan masih tidak diketahui sehingga kini. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140630/lu_02/100-dikhuatiri-maut-serangan-Boko-Haram#ixzz3678r3g7t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ketukan periuk selamatkan nyawa mangsa


2014/06/30 - 05:02:03

Foto
Antara rumah di penempatan atas air seluas 1.6 hektar yang musnah dalam kebakaran, manakala (gambar kanan) kelihatan penduduk cuba mencari barang yang terselamat dalam kebakaran di Kampung Pangkalan, Kunak, semalam. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Foto
100 rumah setinggan, 50 rumah kedai atas air terbakar



Kunak: "Memang tradisi anak muda kampung ini mengetuk periuk untuk mengejutkan penduduk bersahur setiap kali Ramadan.

“Namun, bunyi bising yang disangka panggilan sahur awal pagi ini, rupa-rupanya jeritan meminta kami bangun menyelamatkan diri,” kata ibu kepada lima anak, Helen Jakaria.

Helen, 57, sempat menyelamatkan diri bersama suami dan lima anak mereka sebaik terjaga selepas terdengar bunyi bising serta ketukan periuk oleh penduduk Kampung Pangkalan, di sini, yang musnah akibat kebakaran dalam tragedi awal pagi 1 Ramadan, semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, kira-kira 100 rumah setinggan dan 50 rumah kedai di penempatan atas air seluas 1.6 hektar terbabit hangus menyebabkan lebih 1,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Kawasan titik panas disiasat, diambil tindakan


2014/06/30 - 05:38:29
Kuala Lumpur: Semua titik panas yang dikesan dalam negara, akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, berkata 16 titik panas dikesan melalui cerapan imej oleh satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan kelmarin, membabitkan masing-masing satu di Selangor dan Johor; Pahang (dua), Sabah (lapan) dan Sarawak (empat).
“Bagaimanapun, satelit tidak dapat memaparkan jumlah sebenar titik panas berikutan cerapan tidak menyeluruh dan ada litupan awan tebal,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Palanivel berkata, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga kelmarin, mengesan 3,973 kes pembakaran terbuka dengan jumlah tertinggi membabitkan kawasan pertanian (1,271 kes), belukar (924 kes), hutan (840 kes), lain-lain pembakaran terbuka kecil (724 kes), tapak pembinaan (117 kes), kawasan pelupusan sampah (69 kes) dan kawasan industri (31 kes).

Beliau berkata, satu titik panas turut dikesan di Sumatera, Indonesia, kelmarin.

Bacaan IPU semakin baik

Sementara itu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat pukul 1 tengah hari semalam, menunjukkan 30 lokasi mencatatkan bacaan IPU baik, sementara 20 lagi mencatatkan bacaan IPU sederhana.
Sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, lokasi yang mencatatkan bacaan IPU baik termasuklah Kota Tinggi (30), Alor Setar (42), Tanah Merah (30), Jerantut (45) dan Ipoh (47).

Sementara itu, lokasi yang mencatatkan bacaan IPU sederhana ialah Muar (53), Sungai Petani (54), Melaka (68), Port Dickson (71) dan Bintulu (52).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya. Orang ramai boleh merujuk portal www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing. - BERNAMA

Hajat jual nasi ayam tak sampai


NUR MARINI (tengah) tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui ibu bapanya terbunuh dalam kemalangan semalam.


ALOR SETAR – Niat sepasang suami isteri berniaga nasi ayam di bazar Ramadan tidak kesampaian apabila mereka mati lemas selepas motosikal dinaiki terjunam ke dalam tali air Terusan Wan Mat Saman di Batu 8 Jalan Alor Setar-Sungai Petani, Simpang Empat dekat sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, Abd. Muin Hamzah, 56, dan isterinya Nor Hanida Jaafar, 51, dari Kampung Batu Menunggol, Pendang dalam perjalanan ke kedai pemborong ayam di Simpang Empat untuk membeli ayam sebagai persiapan untuk perniagaan mereka.
Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan terlanggar seketul batu menyebabkan ia terbabas dan menjunam ke dalam tali air itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0630&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz36724YlOb 
Hakcipta terpelihara 

Murid koma disyaki dijangkiti JE - Pengarah Kesihatan Pulau Pinang


2014/06/30 - 16:31:08
TASEK GELUGOR: Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di sini koma disyaki dijangkiti virus ensefalitis Jepun (JE).

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Lailanor Ibrahim ketika mengesahkan perkara itu, berkata murid itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Bayan Baru dekat sini.

"Kami telah menerima laporan kesihatan pesakit dan hasil pemeriksaan atau ujian cecair tulang belakang pesakit itu oleh hospital swasta berkenaan mendapati ia mendorong positif JE," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, sebuah stesen televisyen swasta melaporkan murid terbabit berada dalam keadaan kritikal dan koma selepas dijangkiti JE.

Murid itu dikatakan mengalami demam panas sejak 18 Mei dan dirawat di Hospital Kepala Batas sebelum dipindahkan ke hospital swasta berkenaan.

Dr Lailanor berkata pihaknya akan mengikut tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dalam menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

"Kami akan membuat siasatan secara terperinci antaranya menjalankan temu bual dan pemeriksaan dengan keluarga pesakit, rakan-rakan pesakit termasuk pergi ke sekolahnya untuk menyiasat bagaimana pesakit boleh dijangkiti JE," katanya.
Beliau berkata satu satu jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan laporan lengkap berhubung kes itu akan dihantar ke Kementerian Kesihatan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata Jabatan Veterinar Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel di kawasan ladang babi yang terdapat di Kampung Selamat untuk ujian.

"Sebagai langkah awal, kami akan 'fogging' kawasan berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pesakit itu dijangkiti JE disebabkan ternakan di kawasan berkenaan atau sebaliknya," katanya.

Kerajaan negeri akan mengimbil tindakan selanjutnya berhubung penyakit JE selepas menerima laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar, kata Dr Afif.

Guru Besar SK Kampung Selamat, Hawa Mat Yazid yang ditemui pula berkata beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memantau penyakit itu kerana sekolah berkenaan terletak kira-kira dua kilometer daripada ladang babi.

Beliau berkata selain sekolah itu, terdapat beberapa sekolah lagi yang berhampiran kawasan ladang ternakan berkenaan.

"Saya sendiri telah melawat murid itu dan keadaannya kritikal jadi pihak sekolah telah tubuhkan tabung bantuan khas bagi membantu murid berkenaan," katanya. - BERNAMA