Joe (kanan) mengangkat motosikal milik ayahnya yang terjunam ke dalam parit.
Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa yang hanya dikenali sebagai Joe, 22, terhempap motosikal jenis Suzuki Axelo milik ayahnya sebelum diselamatkan seorang penduduk yang dalam perjalanan untuk berniaga.
Penduduk, Yusri Halim, 41, berkata, sewaktu melalui jalan itu, dia terlihat sebuah motosikal yang dipandu seorang pemuda di hadapannya secara tiba-tiba terbabas dan terjunam ke dalam tali air.
Menurutnya, dia segera memberhentikan kereta lalu membantu pemuda yang juga anak rakannya itu keluar dari tali air berkenaan.
“Semasa kejadian, saya melihat dia terkapai-kapai akibat dihempap motosikal dan saya segera terjun ke tali air berkenaan bagi menyelamatkannya.
“Mujurlah mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kejadian serius,” katanya kepada media di lokasi kejadian di sini.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Joe berkata, sewaktu dia melalui jalan ban, dia dikejutkan dengan kehadiran seekor biawak di atas jalan raya.
“Saya gagal kawal motosikal dan terbabas dalam tali air. Kejadian itu menyebabkan motosikal milik ayah terbenam ke dalam lumpur manakala saya mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut dan badan,” katanya.