MOHD. MOKHTAR menunjukkan barang rampasan dalam beberapa serbuan Ops Soga di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor Bahru semalam.
KUALA LUMPUR - Sembilan rakyat Malaysia merupakan antara 22 bookie yang diberkas di Macau, China kelmarin kerana disyaki terbabit dalam judi bola sepak yang mengutip wang pertaruhan mencecah wang HK$5 bilion (RM2.07 bilion) sejak berlangsungnya Piala Dunia 2014 pada 13 Jun lalu.
Mengikut laporan akhbar South China Post Hong Kong semalam, semua suspek itu diberkas dalam serbuan di tiga buah bilik hotel yang dipercayai dijadikan markas operasi menawar dan mengutip wang pertaruhan secara dalam talian.
"Pemeriksaan pihak berkuasa di ketiga-tiga bilik tersebut menemui resit pembayaran, buku akaun, 17 unit komputer, lebih 10 buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak HK$2.07 juta (RM830,000)," lapor akhbar itu yang memetik kenyataan seorang pegawai polis.
Lapor akhbar itu, semua barangan yang dirampas termasuk wang tunai itu dipercayai hasil kegiatan judi Piala Dunia 2014 yang berlangsung sejak seminggu lalu.
Selain sembilan rakyat Malaysia, turut ditahan dalam serbuan itu ialah empat warga Hong Kong dan sembilan rakyat China.
Kesemua yang ditahan membabitkan 20 lelaki dan dua wanita dan mereka berusia 23 hingga 50 tahun.
"Pihak kami percaya setiap perlawanan, sindiket ini mampu mengaut wang pertaruhan sebanyak RM16 juta (HK$40 juta)," menurut akhbar South China Post Hong Kong lagi.
Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menghubungi pihak berkuasa Macau untuk mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, di Pahang, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, seramai lima bookie Piala Dunia 2014 melibatkan wang pertaruhan RM100,000 diberkas dalam Ops Soga sejak seminggu lalu.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an itu diberkas secara berasingan iaitu tiga ditahan di Kuantan dan dua lagi masing-masing ditangkap di Kuala Lipis dan Temerloh.
Menurut beliau, bersama kelima-lima lelaki itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM1,680 dan lima telefon pintar.
Polis jangka jumlah wang pertaruhan akan meningkat beratus kali ganda apabila saingan Piala Dunia 2014 memasuki pusingan akhir pada Julai ini.
Di Selangor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, polis menahan 18 bookie warga tempatan dan dua bookie warga asing iaitu masing-masing warga China dan warga Indonesia yang terlibat dengan sindiket judi Piala Dunia 2014 menerusi Ops Soga dalam tempoh seminggu lalu.
Menurut beliau, bersama kesemua yang ditahan polis merampas wang tunai sebanyak RM7,948, telefon bimbit (15), dua buah komputer riba, satu tablet dan tiga kertas pertaruhan.
"Tangkapan itu dibuat dalam serbuan di Klang Selatan, Ampang, Petaling Jaya, Kajang, Gombak dan Kuala Selangor dan sindiket-sindiket itu dipercayai terlibat dalam jumlah pertaruhan hampir RM900,000," kata beliau.
GAMBAR yang disiarkan akhbar South China Post menunjukkan sebahagian bookie judi yang ditahan di Macau kelmarin.
Di Johor, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, polis menahan 31 individu yang terlibat dalam bookie bola sepak Piala Dunia 2014 dengan nilai pertaruhan RM1.05 juta dalam 105 serbuan dan memeriksa 311 individu.
"Semua yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun dan 90 peratus serbuan dilakukan di tempat awam seperti restoran dan kawasan terbuka yang lain di sekitar Wilayah Iskandar Malaysia," kata beliau.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM61,215 dan 5,650 dolar Singapura (RM14,563), sembilan komputer tablet, 30 telefon bimbit, tujuh modem Wifi dan sejumlah rekod pertaruhan perlawanan bola sepak.
Di Sabah, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, polis menahan tiga lelaki tempatan yang disyaki bookie bola sepak Piala Dunia 2014 di sekitar Inanam dekat sini kelmarin.
Menurut beliau, tiga lelaki itu ditahan dalam dua serbuan pada kira-kira pukul 2 petang dan bersama mereka yang ditahan polis merampas wang tunai RM5,200 serta beberapa barangan lain seperti telefon bimbit yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek itu untuk menerima tempahan pertaruhan judi bola.
Pada 11 Jun lalu, Kosmo! melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi memantau judi Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Brazil.
Mereka yang ditangkap terlibat dalam judi bola akan didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz35E9fdhx4
Hakcipta terpelihara